Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Harga bahan api 3-9 Ogos 2019 – RON 97 turun

    Harga bahan api 3-9 Ogos 2019 – RON 97 turun

    Asyik naik je kan? Minggu ini ada berita sedikit okey untuk pengguna petrol RON97 kerana ia dilaporkan turun sedikit. Bermula tengah malam 3 Ogos 2019, RON 97 akan dijual pada harga RM2.54 seliter atau turun 2 sen berbanding RM2.56 seliter minggu lalu.

    RON 95 pula seperti biasa masih ditambat pada harga RM2.08 seliter tanpa perubahan kerana ia telah mencecah harga siling yang ditetapkan kerajaan.

    Untuk diesel, ia juga masih kekal RM2.18 seliter untuk Euro 2M, dan seperti biasa Euro 5 pula adalah 10 sen seliter lebih mahal pada harga RM2.28.

    Harga bahan api 3-9 Ogos 2019 – RON 97 turun

    Menurut pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM) yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, RON 95 sepatutnya dijual pada harga RM2.24 seliter minggu ini, dan diesel pula adalah RM2.33. Kerajaan menyatakan bahawa mereka telah menyerap kira-kira RM85.78 juta untuk subsidi bahan api untuk tempoh 3 hingga 9 Ogos 2019.

    Harga yang diumumkan ini akan kekal sehingga 9 Ogos, setelah harga baharu minggu berikutnya diumumkan.

     
     
  • Empat pemenang bertuah bawa balik Toyota Vios

    Empat pemenang bertuah bawa balik Toyota Vios

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengumumkan senarai pemenang bertuah bagi kempen As Never Before Bonanza yang berlangsung dari 1 Januari hingga 30 April 2019. Sepanjang tempoh berkenaan, pelanggan yang membeli dan mendaftarkan kenderaan Toyota mereka sebelum 30 April 2019 berpeluang untuk memenangi satu daripada hadiah utama sebuah Toyota Vios 1.5G.

    Empat pemenang bertuah yang membawa pulang Vios berkenaan ialah Pugalendran A/L Chelliah, Lee Yian Ling, Siti Aishah Binti Mohd Said dan Hasmynor Bin Ahmad yang dipilih melalui pembelian mereka dari cawangan-cawangan berbeza dari seluruh negara.

    Selain itu, pelanggan yang mencuba model kenderaan Toyota di bilik pameran juga berpeluang untuk memenangi hadiah pakej percutian bernilai dari RM5,000 hingga RM8,000 serta peranti elektronik seperti iPad, VIVO NEX serta Samsung Note 9. Mereka yang bertuah memenangi hadiah-hadiah ini pula terdiri daripada Ng Joon Ka, Kok Beng Hin dan Lukman Hakim Bin Kamarudin.

    “Kami sangat gembira dengan maklum balas yang diterima daripada orang ramai terhadap kempen As Never Before Bonanza yang berlangsung sepanjang empat bulan pertama tahun ini. Dengan model-model terkini di bilik pameran, ia merupakan peluang kepada pelanggan untuk memandu dan mengalami sendiri apa yang ditawarkan oleh kenderaan Toyota,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    Orang ramai boleh mengetahui tentang promosi-promosi akan datang serta maklumat berkaitan produk dan perkhidmatan lain di laman web toyota.com.my atau mengunjungi sendiri cawangan pengedar sah di seluruh negara.

     
     
  • Perodua Aruz – tempoh menunggu kini sekitar sebulan

    Perodua Aruz – tempoh menunggu kini sekitar sebulan

    Ada yang dah tempah Perodua Aruz tapi masih belum dapat? Ini kenyataan yang baru kami terima dari Perodua – tempoh menunggu untuk SUV tujuh-tempat duduk berkenaan telah berjaya dikurangkan antara 1 hingga 1.5 bulan (bergantung pada varian) berbanding 2 hingga 2.5 bulan sebelum ini kerana mereka kini telah meningkatkan pengeluarannya.

    Menurut CEO dan Presiden Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, syarikatnya dapat memperbaiki proses pengeluaran SUV tersebut membolehkan waktu menunggu untuk pelanggan yang menempahnya dipendekkan.

    “Kami akan terus menumpukan kepada kualiti dan penghantaran seperti mana keutamaan kami kepada pelanggan yang dihargai. Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan sehingga Aruz menjadi SUV yang paling popular di Malaysia – ini menjadi peristiwa penting buat kami,” katanya.

    Perodua menganggarkan pencapaian jualan Januari hingga Julai akan mencecah 140,900 unit untuk semua model, setara dengan 140,900 unit dari tempoh yang sama tahun lepas walaupun ketika itu jumlah jualan dipacu oleh “cuti cukai” selama tiga bulan. Dari keseluruhan jumlah jualan terkini 2019, Aruz dijual sebanyak 17,989 unit.

    Perodua Aruz – tempoh menunggu kini sekitar sebulan

    “Dari sudut perbandingan, bulan Jun, Julai dan Ogos tahun lalu menyaksikan “cuti cukai” yang terhasil daripada keputusan penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST oleh kerajaan. Meskipun begitu, kami sangat beruntung kerana prestasi kami jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kesan semasa “cuti cukai”,” jelasnya lagi dan menambah sasaran jualannya sebanyak 235,000 unit menjelang akhir tahun ini masih lagi kekal.

    Pada pertengahan bulan lalu, Perodua telah mengumumkan bahawa ia telah meningkatkan sasaran jualannya kepada 235,000 unit untuk 2019, peningkatan 4,000 daripada sasarannya 231,000 yang diumumkan pada Januari tahun ini. Peningkatan sasaran jualan ini adalah untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk semua model semasanya.

    Serentak dengan itu, jumlah sasaran pengeluaran untuk 2019 turut telah ditingkatkan kepada 249,000 unit, penambahan 2.9% daripada sasaran sebelumnya iaitu sebanyak 242,000 unit.

    Buat masa sekarang, kedua-dua kilang pembuatan Perodua beroperasi pada kapasiti 97% – mencatatkan kestabilan operasi pada tahap optimum; naik sebanyak 96.2% berbanding tahun lalu bagi PMSB dan 94.6% bagi PGMSB, sementara kecacatan per unit (DPU) di kedua-dua kilang telah mencatatkan penurunan yang stabil.

     
     
  • Volvo S90, XC60 dan XC90 pasaran Malaysia dapat papan pemuka kulit – varian T8 sahaja, harga sama

    Volvo S90, XC60 dan XC90 pasaran Malaysia dapat papan pemuka kulit – varian T8 sahaja, harga sama

    Volvo Cars Malaysia (VCM) telah memberikan peningkatan kepada XC60, XC90 dan S90, dengan melengkapkan kesemua model ini dengan papan pemuka kulit, bersama jahitan kontras yang dipanggil sebagai Tailored Instrument Panel. Menurut syarikat ini, peningkatan tersebut sudah pun dimulakan pada bulan Mei lalu, dan diberikan tanpa sebarang perubahan harga.

    Walaubagaimanapun, Tailored Dashboard ini hanya boleh didapati bagi varian T8 Inscription dan T8 Inscription Plus untuk semua model yang disebutkan tadi. Ini bermakna, XC60 T5 AWD Momentum, XC90 T5 AWD Momentum dan S90 T5 Momentum tidak mendapat papan pemuka tersebut.

    Harga jualan untuk XC60 bermula pada RM298,888 tidak termasuk insurans, iaitu untuk varian T5 Momentum, manakala varian T8 Inscription dijual pada RM333,888 dan T8 Inscription Plus RM343,888. Model XC90 pula terdiri daripada T5 Momentum yang berharga RM373,888, T8 Inscription RM399,888 dan T8 Inscription Plus RM409,888.

    Volvo S90, XC60 dan XC90 pasaran Malaysia dapat papan pemuka kulit – varian T8 sahaja, harga sama

    Akhir sekali, S90 yang juga mempunyai varian sama seperti dua SUV tadi dijual pada harga RM338,888 untuk T5 Momentum, RM366,888 untuk T8 Inscription dan RM386,888 untuk T8 Inscription Plus. Selain daripada perubahan papan pemuka Tailored Instrument Panel untuk varian T8, senarai kelengkapan untuk semua varian ini masih lagi sama.

    Semua model T5 dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 2.0 liter Drive-E, yang mampu menghasilkan kuasa 254 hp dan 350 Nm tork. Varian T8 Twin Engine pula menggunakan penjana plug-in hybrid, yang terdiri daripada enjin Drive-E 320 hp/400 Nm dan motor elektrik 87 hp/240 Nm yang menyampaikan kuasa kepada roda belakang sekaligus menghasilkan pacuan empat roda. Semua enjin ini menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan Aisin.

     
     
  • Renault Triber – lebih 1,000 unit telah di tempah di pasaran Indonesia hanya dalam masa 10 hari

    Renault Triber – lebih 1,000 unit telah di tempah di pasaran Indonesia hanya dalam masa 10 hari

    Renault di Malaysia masih lagi dianggap sebagai jenama lebih premium dari model-model buatan Asia kerana ia berasal dari Perancis – rata-rata konsumer masih gusar akan kos penyelenggaraannya. Skeptikal yang sama juga masih sama di Indonesia, tetapi dengan pengenalan SUV bajet tujuh-tempat duduk baharunya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019 tempoh hari iaitu Renault Triber, seakan membawa lembaran baharu jenama tersebut setelah lebih 1,000 unit ditempah sepanjang acara berkenaan berjalan.

    Menurut laporan Kompas, sepanjang 11 hari (18 hingga 28 Julai) GIIAS 2019 berlangsung, PT Maxindo Renault Indonesia (MRI) telah menerima 1,386 unit tempahan kereta baharu, di mana 1,033 unit daripadanya adalah Renault Triber. Walaupun harga rasmi SUV ini masih belum diumumkan, ia tidak menghalang orang ramai untuk menempahnya dengan bayaran deposit sebanyak Rp 3 juta (RM875).

    Pasaran Indonesia sememangnya meminati SUV/MPV tujuh tempat duduk, dan Triber akan berhadapan dengan lawan-lawan yang telahpun mendapat tempat di hati ‘sejuta umat’ negara berkenaan seperti model dalam segmen Low Cost Green Car (LCGC) tiga baris tempat duduk yang lain termasuk Toyota Calya, Daihatsu Sigra dan Datsun GO+).

    Renault Triber – lebih 1,000 unit telah di tempah di pasaran Indonesia hanya dalam masa 10 hari

    MRI telah memberikan jangkaan bahawa model ini akan dijual pada pasaran Indonesia pada harga lingkungan sama seperti model-model segmen LCGC, jadi sudah tentu ia akan diletakkan lebih rendah dari model-model SUV/MPV tujuh-tempat duduk yang lebih besar seperti Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Honda Mobilio, Suzuki Ertiga, Mitsubishi Xpander dan Nissan Livina.

    Renault Triber membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global di India bulan Jun lalu, menampilkan tiga baris tempat duduk seperti MPV tetapi dengan rekaan seperti SUV. Panjang keseluruhan model ini adalah 3,990 mm.

    Ia juga sebenarnya dibangunkan dan diproduksi di India, namun Renault masih mempunyai hasrat untuk menjualnya di negara lain. Triber diasaskan dari platform Alliance CMF-A dan mempunyai perincian rekaan unik yang termasuk garis tingkap yang menaik di tiang-C dan bumbung bertingkat untuk memberikan lebih ruang kepala kepada penumpang belakang.

    Triber menerima enjin tiga silinder 1.0 liter berkuasa 72 hp/96 Nm dan dipadankan dengan transmisi sama ada manual lima-kelajuan atau AMT lima-kelajuan. Kalau di Malaysia, sudah tentu soalan “boleh naik Genting ke ni?” akan berkumandang kan? Namun menurut Renault, Triber mempunyai berat bawah 1,000 kg dan perancangan untuk menggunakan enjin 1.0L turbo sudah dibuat di India.

    Antara kelengkapan yang diberikan untuk Triber varian tinggi adalah panel paparan informasi 3.5 inci dengan meter kelajuan digital, skrin sesentuh 8.0 inci dengan sambungan Apple CarPlay, corong pendingin hawa untuk semua baris tempat duduk, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin dan rim 15 inci. Pada bahagian keselamatan, terdapat brek ABS dan empat beg udara.

    Tempat duduk baris ketiga pada Triber boleh dicabut sepenuhnya untuk memberikan ruang simpanan 625 liter, sekaligus membuatkan ia juga boleh bersaing sebagai sebuah hatchback lima tempat duduk – tetapi sudah tentu dengan kedudukan yang lebih tinggi (182 mm dari tanah). Kalau di India, Renault memberitahu kos pemilikan Triber adalah kurang 20% berbanding hatchback segmen B di sana.

    Triber akan ditawarkan di Indonesia dalam dua varian iaitu RXE dan RXL, dengan transmisi manual ataupun AMT. Menurut Ketua Pegawai Operasi MRI Davy J Tuilan, Triber akan diimport sepenuhnya ke Indonesia dan pelanggan akan menerima kereta mereka dalam dua peringkat – model manual pada Disember tahun ini, manakala AMT pula pada April tahun hadapan.

     
     
  • Human Horizons HiPhi 1 – kereta elektrik jenama baru yang bakal memasuki pasaran tahun 2021 dari China

    Human Horizons HiPhi 1 – kereta elektrik jenama baru yang bakal memasuki pasaran tahun 2021 dari China

    China sudah mempunyai banyak syarikat pengeluar kenderaan elektrik baru, dan sekarang muncul satu lagi yang dikenali sebagai Human Horizons. Walaubagaimanapun, syarikat baru ini dilihat lebih serius kerana telah mendedahkan model pertama mereka, HiPhi 1, dan dikatakan sudah sedia untuk pengeluaran. Menurut laporan Autocar, penghantaran kepada pelanggan dirancang berlaku pada tahun 2021.

    Mengikuti trend semasa, HiPhi 1 juga menggunakan bentuk SUV dengan menawarkan ruang luas serta tempat duduk untuk enam orang. Pintu tempat duduk belakangnya dibuka secara suicide, manakala di atas pula (bahagian belakang) terdapat panel bumbung yang boleh ditolak ke atas untuk memudahkan orang masuk ke baris ketiga. Human Horizons memanggilnya sebagai NT Doors, dan mereka juga mahu menyediakan mod “parade” yang membolehkan bumbung itu terbuka semasa kenderaan bergerak perlahan.

    Satu ciri menarik pada kenderaan ini adalah lampu utamanya dipasang dengan pemproses cahaya yang boleh diprogramkan untuk memancarkan corak pada permukaan jalan ataupun dinding. Contohnya, apabila kereta berhenti dan mahu memberikan petunjuk kepada pejalan kaki keadaan selamat untuk melintas, ia akan memancarkan corak belang di hadapan. Panel Intelligent Signal Display (ISD) di bawah lampu depan dan belakang juga boleh digunakan untuk menghantar mesej dan corak kepada penggguna jalan lain.

    Human Horizons HiPhi 1 – kereta elektrik jenama baru yang bakal memasuki pasaran tahun 2021 dari China

    Bahagian dalam pula didominasi oleh beberapa skrin – satu untuk pemandu, satu untuk penumpang hadapan dan satu lagi diletakkan menegak di konsol tengah. Human Horizons memberitahu HiPhi 1 akan menjadi kereta pertama yang menampilkan rangkaian komunikasi kenderaan-ke-semua (V2X) 5G, serta Human Oriented Architecture (HOA) pertama di dunia yang didakwa boleh menyesuaikan kenderaan dengan pemandu menggunakan analisis data berkomputer atas talian.

    Menggunakan empat pengawal domain dan enam platform komputer, kereta ini boleh menjangka dan memahami kelakuan pengguna, sekaligus memberikan penyelesaian yang bersesuaian seperti pengurusan jarak perjalanan. HiPhi 1 juga akan dilancarkan dengan kemampuan autonomous Level 3.

    Perincian teknikal masih lagi belum disiarkan, tetapi Autocar melaporkan HiPhi 1 akan ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dan pacuan semua roda. Model pacuan semua roda akan dikuasakan oleh dua motor elektrik 268 hp dan memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, dengan jarak perjalanan 640 km hasil daripada penggunaan bateri 96 kWh.

     
     
  • BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    Kereta yang dibina menggunakan 95% bahan yang boleh kitar semula, BMW i3s kini sudah tiba di Malaysia. Dan, harganya juga telah diumumkan oleh BMW Malaysia, yang akan dijual pada RM278,800 (atas jalan, tanpa insurans) dan kini mula berada di bilik pameran sah BMW i.

    Model yang pertama kali ditunjukkan April lalu ini menggunakan janaan kuasa motor elektrik hybrid synchronous yang ditempatkan di belakang yang dipakejkan bersama elektronik kuasa bersepadu, unit pengecas serta fungsi generator untuk janaan semula tenaga melalui brek (sehingga 50 kW).

    Motor elektriknya menyediakan 181 hp (135 kW) dan 270 Nm tork, dengan bacaan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 160 km/j. Antara yang diperbaharui bagi aspek ini berbanding model i3 ialah kawalan motornya dan pembaharuan bahagian roller bearing yang digunakan, menjadikan penyaluran kuasa lebih baik.

    BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    BMW i3s juga dilengkapi dengan mod Sport khusus yang boleh dipilih melalui sistem Driving Experience Control. Mod berkenaan turut merangkumi program cengkaman yang mengizinkan sedikit situasi drift pada tayar ketika tahap cengkaman pada tahap yang rendah.

    Kereta ini menggunakan bateri lithium-ion yang terletak di bahagian lantai, dengan output 42.2 kWh (output) dengan kapasiti 120 Ah. Ini memberikan jarak perjalanan sekiar 260 km bagi satu cas penuh, atau 345 km jika mengikut ujian kitaran WLTP. Ini bateri dengan kapasiti yang paling tinggi diperkenalkan untuk barisan kenderaan BMW i3 setakat ini.

    Untuk mengecas, boleh dilakukan melalui kaedah AC atau DC. Bagi AC, ia menggunakan pengecas siap pasang dan sambungan Type 2. Bagi DC, pemilik perlu menggunakan sambungan Sistem Pengecas Gabungan, yang merupakan lanjutan kepada penyambung Type 2 dengan dua pin tambahan di bawah.

    BMW i3s – harga rasmi di M’sia disahkan RM278,800

    Dengan BMW i Wallbox Connect yang menyediakan 11 kW tiga-fasa, kuasa pengecas AC, proses mengecas dari kosong hingga 80% (sekitar jarak perjalanan 180 km), masa yang diperlukan ialah sekitar 3 jam enam minit. Jika ingin mengecas di tempat selain rumah anda, boleh gunakan rangkaian ChargEV di seluruh negara yang juga merupakan sebahagian daripada BMW ChargeNow yang termasuk di dalam program BMW 360° Electric. Bergantung lokasi, pengecas ChargeEV mempunyai output antara 3.7 kW, 7.0 kW atau 22 kW.

    BMW i3s ini turut ditawarkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, program servis berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua tahun bagi servis ‘run flat tyre’, bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan. Tidak lupa juga, pelanggan akan menikmati aplikasi BMW Group Loyalty – BMW White Card serta servis dalam talian lainnya.

     
     
  • Boon Siew Honda panggil semula 224 unit CB250R untuk betulkan kotak gear yang berkemungkinan rosak

    Boon Siew Honda panggil semula 224 unit CB250R untuk betulkan kotak gear yang berkemungkinan rosak

    Boon Siew Honda Malaysia Sdn Bhd (BSH) telah mengeluarkan satu notis panggilan balik untuk model motosikal CB250R yang dibeli daripada syarikat itu sendiri ataupun pengedar sah mereka. Secara keseluruhannya ada 224 unit CB250R yang terlibat dan ini adalah untuk yang menggunakan nombor casis MLHMC52AXJ5000651 hingga MLHMC52A4J5001018.

    Ia dilakukan kerana BSH mendapati terdapat risiko klip pada syaf utama kotak gear boleh tertanggal seterusnya menyebabkan gear tersebut rosak dan enjin menghasilkan bunyi luar daripada kebiasaan. Dalam keadaan lebih teruk, ia boleh menyebabkan roda belakang terkunci dan enjin tertutup waktu bergerak.

    Pemilik motosikal yang terlibat boleh menghubungi talian bebas tol BSH di 1-800-88-3993 atau terus ke wakil pengedar mereka untuk membuat temu janji penukaran bahagian yang terlibat dalam panggilan semula ini. Mereka diseru cepat kerana masalah ini boleh memberi bahaya kepada pemilik dan juga pengguna jalan raya lain.

    Boon Siew Honda panggil semula 224 unit CB250R untuk betulkan kotak gear yang berkemungkinan rosak

    Segala kos penukaran alat yang terlibat akan ditangguna oleh BSH, dan ia akan mengambil masa selama tujuh jam untuk dibaiki, bagi setiap motosikal. Alat baru yang menggantikan bahagian bermasalah itu diimport daripada pembekal luar negara.

    CB250R dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Jun 2018 dan pada bulan Mei yang lalu, BSH telah memperkenalkan pula warna baru bagi model ini dengan harga yang berbeza iaitu RM23,499 untuk Candy Chromsphere Red dan RM22,999 untuk Graphite Black serta Mat Crypton Silver Metallic.

    GALERI: Honda CB250R 2019

     
     
  • VIDEO: TOM’S Toyota Corolla Sport beraksi di litar

    Kami telah melihat sendiri depan mata TOM’S Corolla Sport E164 ini di Tokyo Auto Salon (TAS) 2019 pada Januari lalu, ketika itu segala peralatan TOM’S pada hatchback ini dilancarkan secara rasmi. Tetapi apa yang kami tidak sedar, TOM’S rupanya turut telah menyiarkan satu video yang menampilkan kereta ini beraksi di litar.

    Diasaskan dari hatchback Corolla Sport Hybrid generasi baharu, kereta ini menampilkan rupa lebih agresif dengan pemadanan splitter udara dari bampar hadapan hingga ke skirt sisi. Manakala pada bampar belakang, ia diberikan diffusser yang lebih radikal dan turut menempatkan empat tip ekzos berbentuk oval dari sistem TOM’S Barrel Titan.

    Badan Corolla ini direndahkan lagi menerusi penggunaan kit sistem suspensi Sport TOM’S, manakala rim asal ditukar kepada rim TOM’S Crosspeed berdiameter 19-inci dengan lebar 8.5j dan offset +45. Kesemua rim berkenaan dibaluti tayar Bridgestone Potenza S007 bersaiz 225/35R19. Sistem brek masih lagi standard, tetapi kesemua pad brek ditukar kepada pad TOM’S Sport.

    VIDEO: TOM’S Toyota Corolla Sport beraksi di litar

    Pada bahagian kabin, TOM’S Corolla berkenaan menerima tempat duduk sport dengan balutan kulit merah gelap. Unit yang kami temui di TAS tempoh hari dilihat menerima roda stereng yang diperbuat dari gentian karbon, tetapi dalam video ini nampaknya hanya roda stereng balutan kulit standard ditampilkan.

    Manakala untuk prestasi, Corolla Sport talaan TOM’S ini dipadankan dengan sistem pengawal pendikit elektronik L.T.S III yang mampu untuk merubah semula respon dan karekter pedal pendikit dengan dua storan mod Eco dan empat storan mod Sport.

    Dalam keadaan standard, Toyota Corolla Hybrid Hatchback generasi baharu ini dijana enjin 1.8 liter bersama sisitem hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 122 PS. Kuasa hanya disalurkan pada roda hadapan menerusi kotak gear Direct-Shift CVT.

    GALERI: TOM’S Corolla Sport di Tokyo Auto Salon 2019

     
     
  • Proton jual 8,590 unit kenderaan sepanjang Julai lalu, kembali rampas tangga kedua keseluruhan setakat ini

    Proton jual 8,590 unit kenderaan sepanjang Julai lalu, kembali rampas tangga kedua keseluruhan setakat ini

    Proton kini buat pertama kali kembali di kedudukan nombor dua bagi jumlah keseluruhan jualan kenderaan di Malaysia bagi tempoh 40 bulan terakhir. Kali terakhir Proton berada di dalam kedudukan sama ialah pada Mac 2016, manakala kedudukan yang sama dalam tahun setahun penuh pula ialah pada 2015.

    Dengan jumlah jualan sebanyak 8,590 unit bagi bulan Julai, bermakna momentum positif bagi tahun ini telah berterusan selama tujuh bulan berturut-turut, menjadikan Proton satu-satunya jenama yang mampu mencatat pencapaian sepanjang 2019, setakat ini.

    Anggaran pegangan pasaran bagi bulan lalu pula ialah sebanyak 16.5% dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 51,960 unit. Pegangan pasaran keseluruhan Proton bagi 2019 setakat ini dianggarkan berada pada kadar 15%. Setakat ini, jumlah jualan yang dicatatkan ialah sebanyak 52,108 unit berbanding 35,561 unit tahun lalu, bagi tempoh sama.

    Proton jual 8,590 unit kenderaan sepanjang Julai lalu, kembali rampas tangga kedua keseluruhan setakat ini

    Proton juga terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding 12 tahun lalu, ketika pembelian kenderaan di Malaysia meningkat disebabkan tempoh tanpa cukai selama tiga bulan pada 2018. Bagi Proton, setelah mencapai peningkatan jualan 23% bagi bulan Jun, angka berkenaan sekali lagi meningkat sebanyak 6% bagi bulan Julai. Walaupun kadar kenaikan berkurang, Proton menjadi satu-satunya jenama utama pengeluar yang mencatatkan kenaikan jualan positif sepanjang Julai lalu, membuktikan permintaan tinggi terhadap produknya.

    “Kedudukan Proton kembali ke tempat kedua secara keseluruhannya dalam pasaran automotif Malaysia telah berlaku lebih awal daripada yang kami jangkakan. Peningkatan permintaan terhadap produk menunjukkan kami berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran jangka panjang. Dan bagi 2019, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan dan berhasrat untuk mengakhiri tahun ini di tempat kedua buat pertama kalinya dalam tempoh empat tahun,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

    Peningkatan jualan kenderaan Proton telah disumbangkan oleh prestasi menyerlah setiap model yang ada. Varian Premium dan Eksekutif bagi Proton X70 terus menjadi peneraju dalam segmen SUV masing-masing dengan 1,932 unit telah diserahkan pada bulan Julai dan sebanyak 17,023 unit sepanjang 2019 setakat ini.

    Proton jual 8,590 unit kenderaan sepanjang Julai lalu, kembali rampas tangga kedua keseluruhan setakat ini

    Proton Persona terkini turut merupakan antara model yang menjadi pilihan. Ia dilancarkan pada bulan April tahun ini dan sejak itu, jualan telah meningkat hampir dua kali ganda bagi tempoh sama pada tahun 2018. Sebanyak 2,720 unit telah diserahkan pada bulan Julai, menjadikan model ini yang terlaris dalam pasaran sedan segmen B, mengatasi pesaing keluaran syarikat Jepun yang sebelum ini menguasai segmen tersebut. Dengan 10,034 unit serahan setakat ini, Persona telah mencatatkan kenaikan 3% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu.

    Proton Iriz juga turut mengalami pertumbuhan sejak versi terkininya dilancarkan bersama Persona. Sebanyak 974 unit telah diserahkan bulan lalu, dan bagi tujuh bulan pertama tahun ini, sejumlah 3,035 unit telah dijual. Apa yang lebih mengagumkan, jualan yang meningkat sebanyak 53% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Bagi Proton Saga, model ini berjaya dijual sebanyak 2,381 unit pada bulan Julai, daripada jumlah keseluruhan iaitu 17,722 unit yang terjual setakat ini. Walaupun terdapat penurunan dalam jualannya berbanding bulan sama pada 2018, jualan keseluruhannya terus meningkat sebanyak 14%, menjadi satu pencapaian luar biasa bagi model yang akan menerima kemaskini terbaru dan yang akan diperkenalkan minggu hadapan.

     
     
  • Politeknik Port Dickson juara pertandingan pemasaran ‘Intelligence that Inspires’, diikuti Taylor’s dan UTAR

    Politeknik Port Dickson juara pertandingan pemasaran ‘Intelligence that Inspires’, diikuti Taylor’s dan UTAR

    Pertandingan “Intelligence that Inspires” anjuran Proton telah berakhir pada 29 Julai 2019 di dalam satu majlis di Pusat Kecemerlangan PROTON (COE). Sebanyak 12 kumpulan bersaing untuk membuat pembentangan akhir mereka di hadapan seramai tujuh orang juri yang terdiri daripada pengurusan kanan Proton, pakar industri pemasaran dan pengamal media.

    Kumpulan Eureka dari Politeknik Port Dickson muncul sebagai pemenang dan berjaya menarik perhatian barisan juri dengan idea inovatif mereka di dalam sebuah pembentangan yang baik. Tempat kedua pula menjadi milik kumpulan Alpha dari Taylor’s Lakeside Campus, sementara tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Alpha Visionaries dari UTAR Kampar.

    Pembentangan di hadapan barisan juri profesional adalah sebahagian daripada cara untuk memastikan para peserta peringkat akhir didedahkan dengan sebanyak mungkin pengalaman sebenar dunia pekerjaan. Untuk itu, Proton menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang pemasaran dan media untuk menjadi juri.

    Diketuai oleh Cheng Seng Fook, Pengarah Jualan dan Pemasaran Proton serta juri-juri dari industri pemasaran iaitu Tuan Abang Jimmy Abang Mordian, Ketua Pemasaran PETRONAS Dagangan, Profesor Madya Dr Norbani Che Ha, Ketua Jabatan Pemasaran Fakulti Perniagaan & Perakaunan di Universiti Malaya dan Encik Devan Perinpanay, Pengurus Negara VM Ware Malaysia.

    Pengamal media yang turut terlibat pula ialah Hafriz Shah, Ketua Pengarang di Paultan.org; Gan Yong Li, pengasas dan pemilik laman web Pandulaju.com.my dan Eugene Wong Kang Yen, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Sin Chew Daily. Setelah meneliti setiap pembentangan, para juri kemudiannya diberi masa untuk berbincang antara satu sama lain sebelum menentukan pemenang. Kumpulan yang mendapat skor keseluruhan tertinggi diumumkan sebagai pemenang dan mereka dipilih tidak semestinya berdasarkan skor tertinggi dari markah setiap juri.

    “Tahap pemikiran asli, daya kreativiti dan keyakinan yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan di peringkat akhir ini telah memberi kejutan kepada juri. Kami juga pernah menjadi pelajar seperti mereka, jadi kami tahu bahawa untuk membentangkan idea kepada barisan pakar industri jelas memerlukan banyak latihan dan keyakinan diri. Bagi saya, setiap peserta dan kumpulan di peringkat akhir adalah pemenang yang mempunyai masa depan cerah dalam mana-mana industri yang mereka mahu sertai kelak.” kata Cheng Seng Fook.

     
     
  • Pasaran Eropah kini terima Volvo XC60 dari China

    Pasaran Eropah kini terima Volvo XC60 dari China

    Pasaran Eropah kini menerima unit-unit SUV Volvo XC60 mereka yang dibuat sepenuhnya oleh kilang Volvo di Chengdu, China bagi menggantikan bekalan stok yang dibuat dari kilang Volvo di Torslanda, Sweden.

    Ini kerana kilang di Sweden berkenaan akan membekalkan unit-unit XC60 kepada pasaran Amerika Syarikat sahaja, memandangkan negara yang di ketuai oleh Presiden Donald Trump tersebut kini mengenakan tarif 25% terhadap kereta-kereta yang dipasang dari China, kesan dari perang perdagangan Amerika-China buat masa ini.

    Kumpulan pertama XC60 dari China tersebut sudahpun sampai ke Ghent, Belgium awal bulan ini, dihantar dengan menggunakan kereta api menerusi laluan yang dibina oleh Inisiatif Jalur dan Laluan China. Unit-unit XC60 tersebut kemudian akan dihantar ke pasaran Eropah lain termasuk Belgium, Belanda, Perancis, Jerman, UK dan Itali.

    Kereta api berkenaan akan pulang semula tidak dengan muatan kosong, sebaliknya akan membawa SUV XC90 dan juga hatchback V40 dari Sweden untuk pasaran China.

    Pasaran Eropah kini terima Volvo XC60 dari China

    China kini bukan sahaja menjadi ‘rumah kedua’ bagi Volvo kerana dimiliki oleh jenama dari republik itu iaitu Geely, malah kini adalah pasaran terbesarnya – merekodkan jualan 67,741 unit hanya untuk separuh pertama tahun ini, meningkat 10% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Volvo juga sebenarnya mempunyai kilang mereka di Amerika Syarikat, terletak di South Carolina. Buat masa sekarang, kilang tersebut merupakan satu-satunya fasiliti pemasangan Volvo untuk menghasilkan sedan S60 generasi baharu untuk diedarkan ke seluruh dunia. Ia juga bakal memproduksi SUV XC90 tidak lama lagi.

    SUV XC60 telah pun dilancarkan di Malaysia pada Januari tahun lalu. Namun, Volvo Car Malaysia tidak lagi mengimport model tersebut dari luar, sebaliknya ditawarkan dengan versi CKD dari kilang Volvo Shah Alam, membolehkan ia dijual pada harga yang agak kompetitif bermula RM299k hingga RM344k.

     
     
  • Peugeot 3008, 5008 dalam versi CKD tak lama lagi

    Peugeot 3008, 5008 dalam versi CKD tak lama lagi

    SUV Peugeot 3008 dan 5008 dalam versi pemasangan tempatan (CKD) khabarnya akan tiba tak lama lagi; Model berkenaan muncul di laman Facebook rasmi Peugeot Malaysia, sekaligus menjadi petunjuk kepada perkara ini. Operasi CKD bagi kedua-dua model berkenaan telah dimulakan, memandangkan versi pemanduan sebelah kanannya akan dikeluarkan dari kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah.

    Versi CKD berkenaan bakal memasuki pasaran Thailand di bawah pengimport dan pengedar baru, Belfort Automobiles Thailand. Tiga lagi model akan diperkenalkan untuk pasaran di sana, menjadikan jumlah keseluruhannya lima model dalam tempoh dua tahun. Kilang yang sama turut mengeluarkan 3008 pemanduan sebelah kiri untuk pasaran Filipina.

    Ketika ini, Peugeot 3008 yang ditawarkan di sini bermula dari RM134,827 dalam kemasan Active THP, serta versi Allure THP RM147,091. Sementara itu, Peugeot 5008 pula ditawarkan dalam varian Allure THP pada harga RM164,072. Harga baru bagi versi CKD ini bagaimanapun belum didedahkan.

    Peugeot 3008, 5008 dalam versi CKD tak lama lagi

    Tahun lalu, Groupe PSA menandatangani persetujuan dengan Naza Corporation Holdings bagi pegangan majoriti terhadap kilang di Gurun, yang sekaligus menjadikannya hab pemasangan kenderaan pertama pengeluar Perancis itu di rantau Asia Tenggara.

    Kilang di Gurun, Kedan itu mempunyai sejumlah 450 pekerja dengan kapasiti pengeluaran 50,000 unit setahun, setakat Februari lalu. Anggaran jumlah eksport Groupe PSA ke rantau ini ialah 18,000 bagi tahun ini, dan meningkat kepada 21,000 tahun hadapan.

    GALERI: Peugeot 3008 Allure THP

    GALERI: Peugeot 3008 Active THP

     
     
  • Pagani Huayra Roadster BC – 791 hp, harga RM11 juta

    Pagani Huayra Roadster BC – 791 hp, harga RM11 juta

    Selepas pengenalan Pagani Huayra Roadster dan BC dalam tempoh beberapa tahun lepas, kita cuma menunggu masa sebelum pengeluar kereta prestasi mewah dari Itali menggabungkan kedua-duanya. Masanya telah tiba dan mereka memperkenalkan Huayra Roadster BC, yang menggabungkan prestasi seperti BC dengan badan jenis bumbung terbuka seperti Roadster.

    Sudah tentu, menjadikannya lebih ganas, Pagani telah meningkatkan kuasa yang datang daripada enjin Mercedes-AMG 6.0 liter twin turbo pada model ini sebanyak 40 hp lagi, menjadikan keseluruhannya 791 hp pada 5,900 rpm dan 1,050 Nm tork dari 2,000 hingga 5,600 rpm. Kesemua kuasa ini disalurkan kepada roda belakang melalui kotak gear sequential tujuh kelajuan Xtrac, yang didakwa oleh Pagani sebagai 35% lebih ringan berbanding unit klac berkembar yang digunakan oleh pesaingnya.

    Bagi kereta seperti ini, berat sememangnya memainkan peranan penting, dan Pagani telah berusaha keras untuk mengurangkannya lagi. Casis monocoque padanya menggunakan banyak bahan komposit seperti carbo-titanium HP62 G2 dan carbo-triax HP62 yang bukan sahaja sangat ringan malah juga sangat kuat. Hasilnya, Huayra Roadster BC cuma mencatat berat 1,250 kg, iaitu cuma 32 kg lebih berbanding BC Coupe walaupun ia perlu memuatkan kelengkapan untuk bumbung boleh buka tersebut.

    Bahagian suspensi terdiri daripada double wishbone aluminium forged dengan penyerap elektronik, manakala rim aloi forged APP pula kini menggunakan saiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang (dibalut tayar Pirelli P Zero Trofeo R). Dengan kelengkapan ini, Roadster BC boleh mencatat tarikan sehingga 1.9G di selekoh. Kuasa henti datang daripada brek Brembo dengan cakera karbon seramik dan angkup enam piston di hadapan, dan angkup empat piston di belakang.

    Sama seperti BC, pakej aerodinamik model Roadster ini juga telah diubah suai, dengan dipasang pelbagai splitter, skup udara dan sayap yang besar di belakangnya. Menurut Pagani, pada kelajuan 280 km/j reka bentuk ini dapat memberikan daya tolak ke bawah (downforce) sehingga 500 kg. Hanya 40 unit Roadster BC akan dikeluarkan, dan ia dijual pada harga 3,085,000 euro (RM11.1 juta) sebelum cukai.

     
     
  • Pengingat Penumpang Belakang (ROA) Hyundai akan dibekalkan standard pada semua model AS pada 2022

    Dua tahun lalu Hyundai telah memperkenalkan teknologi baharu yang dipadankan pada Santa Fe generasi baharu digelar Pengingat Penumpang Belakang (Rear Occupant Alert atau ROA) yang dihasilkan bagi mengingatkan pemandu bahawa ada sesuatu atau kanak-kanak perlu diambil setelah pemandu keluar dan mengunci kereta mereka.

    Semalan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat telah mengingatkan pengguna jalan raya agar jangan meninggalkan anak mereka tanpa pengawasan di dalam kenderaan ketika Hari Pencegahan Strok Haba Nasional di negara berkenaan, dan dalam masa yang sama Hyundai berjanji akan memadan sistem ROA pada semua kenderaan baharu mereka di Amerika menjelang 2022.

    Buat masa sekarang, dua buah model Hyundai pada pasaran berkenaan telah dilengkapi dengan sistem ini iaitu SUV Santa Fe dan Palisade. Hyundai mempunyai dua jenis sistem ROA ini iaitu yang berfungsi dengan logik-pintu yang hadir standard pada kedua-dua SUV tadi, manakala satu lagi menggunakan sensor ultrasonic yang diletakkan pada kabin belakang ditawarkan sebagai ciri opsyen untuk model seperti Santa Fe dan Sonata generasi baharu.

    Untuk sistem logik-pintu, sistem ini akan memaparkan mesej pada papan instrumen untuk mengingatkan pemandu agar memeriksa tempat duduk belakang setelah mematikan enjin, sekiranya sebelum masuk ke tempat pemandu sebelum itu, pintu belakang ada dibuka terlebih dahulu.

    Manakala untuk sistem sensor ultrasonic, ia akan mengesan sebarang pergerakan di dalam kabin setelah kereta dikunci, dan kemudian akan membunyikan penggera kereta bagi memberikan amaran kepada pemandu untuk memeriksa semula kabin belakang. Serentak dengan itu, sistem ROA dengan sensor ultrasonic ini juga akan menghantar mesej amaran ke telefon pintar sekiranya aplikasi Bluelink diaktifkan.

    “Strok haba dalam kenderaan dapat dielakkan dan kami sedang memainkan peranan kami untuk mengelakkan perkara ini. Kami mempunyai sistem yang baik yang menggunakan memori logik pada pintu dan juga sensor pergerakan bagi mengelakkan kanak-kanak dan haiwan peliharaan tertinggal di dalam kereta, tetapi ia juga membantu dalam kes kanak-kanak terkunci diri mereka di dalam kenderaan,” kata Mike o’Brien, naib presiden produk, korporat dan perancangan digital Hyundai Motor Amerika.

    Selain dari Hyundai, Nissan juga telah menghasilkan sistem bagi tujuan yang sama digelar Rear Door Alert atau amaran pintu belakang, yang memberi amaran kepada pemandu dalam bentuk hon bagi memeriksa kembali tempat duduk belakang setelah mereka keluar dari kereta dan beroperasi seakan sama dengan sistem logik-pintu Hyundai.

    Di harap bukan hanya model-model Hyundai dan Nissan sahaja diberikan fungsi seperti ini, tetapi akan diambil berat oleh semua jenama automotif untuk memadankannya pada semua model secara global termasuk Malaysia. Untuk pengetahuan anda, di Amerika Syarikat sahaja, 37 orang kanak-kanak telah meninggal dunia sepanjang 2017 akibat strok haba kerana ditinggalkan di dalam kereta yang panas, dan kita di Malaysia juga telah berlaku banyak kejadian yang sama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024