Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pengasas buku Haynes Manual meninggal dunia

    Pengasas buku Haynes Manual meninggal dunia

    Rata-rata peminat-peminat kereta yang suka melakukan pembaikkan secara sendiri atau DIY tentu tahu akan siri buku manual Haynes Manual kan? Berita buruk, pengasasnya iaitu John Harold Haynes telahpun meninggal dunia 8 Februari lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Haynes Manual sendiri, John menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dikelilingi ahli keluarganya Jumaat lalu, pada umur 80 tahun setelah jatuh sakit baru-baru ini.

    John Harold Haynes dilahirkan pada 25 Mac 1938 di Ceylon (Sri Lanka) ketika ayahnya, Harold Haynes bertugas sebagai pengurus ladang teh di sana. Beliau mula minat terhadap dunia automotif sejak dari kecil, dan sangat suka untuk bersiar-siar dengan Morris 8 milik ayahnya. Dia kemudiannya berpindah ke UK bersama abangnya David ketika berumur 12 tahun.

    Haynes kemudian memulakan projek pertamanya iaitu mengubahsuai sebuah Austin 7 menjadi model lebih sporty dan lebih ringan Austin 7 Special, dan selepas itu mendokumentasikan projek tersebut. Dokumen berkenaan dijilidkan dengan tajuk “Building A 750 Special” dan dicetak sebanyak 250 naskah, kesemuanya habis dijual dalam masa hanya 10 hari.

    Selepas habis zaman persekolahan, John memilih untuk berkhidmat dalam Tentera Udara DiRaja (RAF) sebagai melengkapkan program Khidmat Negara pada ketika itu. Dalam RAF, John mula berjumpa dengan lebih ramai kawan yang berminat dengan dunia perlumbaan, dan berjaya membina berberapa buah kereta lumba.

    Pada tahun 1965, seorang rakannya dalam RAF telah membeli sebuah Austin Healey Sprite ‘Frogeye’ dalam keadaan yang teruk dan meminta pertolongan John bagi merestorasi semula kereta tersebut. John bersetuju untuk membantu, tetapi ketika mahu memulakan projek tersebut, beliau sedar akan sesuatu – manual asli dari kilang untuk model berkenaan agak sukar untuk difahami bagi seseorang yang tidak mempunyai asas yang kuat dalam bidang automotif.

    Jadi beliau membeli sebuah kamera, dan segala langkah demi langkah untuk kerja-kerja membaikpulih Healey Sprite tersebut direkodkan, kemudian dihubungkan pada diagram asal – seperti yang anda boleh lihat pada siri-siri lain Haynes Manual. Buku Haynes Manual untuk Austin Healey Sprite itu menjadi buku pertama diterbitkan untuk siri berkenaan, dan mula dijual pada 1966.

    John mencetak sebanyak 3,000 naskah Haynes Manual pertama tersebut, dan kesemuanya habis dijual dalam masa tidak sampai tiga bulan! Sehingga kini, lebih dari 200 juta naskah Haynes Manual telah terjual di seluruh dunia. Kejayaan siri buku manual ini juga membolehkan Haynes Publishing Group PLC berkembang ke Eropah dan Amerika Utara, dan kemudian saham syarikat tersebut diapungkan di Bursa Saham London pada 1979.

    Setelah berjaya sebagai usahawan, John Haynes membuka museum automotifnya sendiri di Sparkford, Somerset. Haynes International Motor Museum tersebut juga merupakan Dana Amanah Pendidikan, yang menempatkan koleksi 30 buah keretanya, dimana keuntungannya akan digunakan untuk kerja-kerja amal dalam negara.

    Beliau terus memberikan dana sokongan dan tambahan unit-unit kereta yang dipamerkan, membolehkan ia kini mempunyai 400 buah kenderaan dengan jumlah pengunjung mencecah 125,000 orang setahun, serta berjaya dinobatkan sebagai Museum of the Year pada tahun 2014.

    John menerima anugerah OBE dari Istana UK pada 1995 atas usahanya menerbitkan siri buku manual berkenaan, dan kemudian beliau diberikan Ijazah Kehormat dari Open University. Usahanya dalam bidang penulisan pemotoran telah mendapat pengiktirafan dari The Guild of Motoring Writers pada 2014, membolehkan beliau menerima keahlian sepanjang hayat.

    John terus memegang jawatan sebagai Pengarah Pengasas dalam Haynes Publishing Group selepas melepaskan jawatan sebagai Pengerusi syarikat tersebut pada 2010. Sehingga akhir hayatnya, boleh dikatakan setiap hari beliau akan makan tengah hari di Cafe 750 yang terletak di muzium miliknya itu dan menyapa pengunjung-pengunjung muzium berkenaan.

     
     
  • Petron lancar kedai rasmi maya pertama di Shopee

    Petron lancar kedai rasmi maya pertama di Shopee

    Petron Malaysia telah mengumumkan, minyak enjin keluarannya kini boleh didapati secara atas talian melalui platform e-dagang terkemuka Shopee, yang mempunyai lebih daripada 16 juta pengguna di Malaysia. Ini menandakan pelancaran kedai rasmi atas talian yang pertama buat Petron Malaysia, selaras dengan komitmen Petron dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan akses yang lebih luas dan mudah kepada produknya.

    “Kami sentiasa berusaha untuk menggembirakan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka bersama kami. Pelanggan Petron kini boleh menikmati pengalaman pembelian yang lancar – hanya semak, klik atas talian untuk membeli minyak enjin Petron, dan mendapat penghantaran produk terus kepada mereka,” kata Choong Kum Choy, Ketua Jabatan Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia.

    Minyak enjin Petron juga boleh didapati di kedai serbaneka yang terdapat di stesen minyaknya dan bengkel kenderaan yang sah.

    “Pembelian atas talian semakin berkembang di kalangan pengguna. Kini, mereka boleh menyakini keaslian minyak enjin Petron yang terdapat di kedai rasmi Petron di Shopee kerana produk-produk dihantar dari pengedar kami yang sah. Kami berharap para pelanggan dapat menikmati inisiatif baharu ini daripada kami sebagai sebahagian daripada usaha kami bagi memenuhi keperluan terkini mereka dan menawarkan layanan yang lebih baik,” tambah Choong.

    Petron lancar kedai rasmi maya pertama di Shopee

    Pelanggan boleh menemui pelbagai produk minyak enjin Petron seperti Petron Blaze Racing Fully Synthetic, Petron Blaze Racing Synthetic Blend, dan Petron Blaze Racing Premium Multi-Grade yang terdapat dalam portal membeli-belah tersebut. Kedai rasmi Petron di Shopee juga memberi pelanggan akses kepada panduan dan maklumat produk.

    Selaras dengan kempen Tahun Baharu Cina Petron dan kempen Shopee Khas Untuk Lelaki yang akan datang, Petron Malaysia menawarkan barangan premium untuk sebarang pembelian Petron Blaze Racing Engine Oil.

    Setiap pembelian minyak enjin Petron Blaze Racing 4L dilengkapi dengan hadiah istimewa. ‘Speaker bluetooth’ percuma akan diberikan buat setiap pembelian Petron 4L Blaze Racing Fully Synthetic 5W-40, manakala pembelian 4L Petron Blaze Racing Synthetic Blend 10W-40 dilengkapi dengan satu set fon telinga tanpa wayar percuma.

    Sementara itu, pelanggan yang membeli 4L Petron Blaze Racing Premium Multi-Grade atau 7L Rev-X Premium Multi-Grade 15W40 akan menerima pengecas kereta USB percuma. Promosi ini sah sehingga 28 Februari atau sementara stok masih ada. Layari kedai rasmi Petron di Shopee menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • MIROS anggap trend pemasangan dashcam dalam kenderaan merupakan satu perkembangan positif

    MIROS anggap trend pemasangan dashcam dalam kenderaan merupakan satu perkembangan positif

    Sejak kebelakangan ini, trend pemasangan kamera di dalam kenderaan atau dashcam kian mendapat sambutan. Malah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menganggap ia satu perkembangan yang positif.

    Menurut ketua pengarahnya, Dr Siti Zaharah Ishak, ini kerana dashcam mampu merekodkan pelbagai kejadian di atas jalan raya dan boleh dijadikan sebagai maklumat tambahan untuk mengenal pasti punca sesuatu kemalangan.

    “Contohnya, apabila berlakunya satu kemalangan, pada mulanya ia dikatakan terjadi kerana kecuaian pemandu. Namun selepas siasatan dibuat melalui rakaman dashcam, kita mendapati kemalangan berlaku kerana faktor lain seperti tayar meletup sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Menurutnya lagi, pemasangan dashcam juga selari dengan usaha MIROS dan Kementerian Pengangkutan untuk menggalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat termasuk berkaitan kemalangan jalan raya.

    Dalam pada itu, Siti Zaharah berkata, dashcam juga wajar dipasang pada kenderaan keselamatan seperti ambulans, kereta peronda polis dan jentera bomba kerana ia dapat membantu melancarkan operasi pasukan penyelamat dan keselamatan.

    MIROS anggap trend pemasangan dashcam dalam kenderaan merupakan satu perkembangan positif

    “Ada kalanya ambulans memerlukan ruang untuk lalu di jalan raya dengan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi ia dihadang oleh kenderaan lain, melalui rakaman dashcam kita akan dapat kenal pasti pemandu-pemandu yang tidak bertoleransi itu dan seterusnya membantu pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

    Oleh itu, katanya, walaupun tidak diwajibkan namun pemilik kenderaan digalak memasang dashcam, apatah lagi pemasangan alat itu tidak melibatkan proses yang sukar dan harganya berpatutan iaitu serendah RM40 bergantung kepada spesifikasi.

    “Ia boleh dipasang dengan mudah iaitu hanya ‘plug and play’. Tidak mengganggu sistem kenderaan pun. Fungsi asasnya adalah untuk merakam dan merekod sahaja tetapi ada juga versi dashcam terkini yang mempunyai pelbagai fungsi tambahan seperti boleh merakam kemalangan yang berlaku pada waktu malam dengan jelas dan paparan yang luas. Ada juga dashcam yang mempunyai sistem amaran pelanggaran hadapan,” katanya.

    Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun menyedari akan kebaikannya, namun kerajaan belum mempunyai cadangan untuk mewajibkan pemasangan kamera itu pada setiap kenderaan di Malaysia kerana tidak mahu membebankan rakyat.

    Namun, Anthony memuji usaha pemilik kenderaan yang mengambil inisiatif sendiri memasang dashcam pada kenderaan mereka.

     
     
  • Daihatsu Copen hanya empat tahun di Indonesia

    Daihatsu Copen hanya empat tahun di Indonesia

    Model kereta “kei-roadster” Daihatsu Copen tak pernah dijual di Malaysia, tetapi ada dalam pasaran Indonesia. Sejak 2015, PT Astra Daihatsu Motor (ADM) jadi pengedar sahnya – yang turut memasarkan model paling laris jenama Jepun itu, MPV Xenia dan Sigra.

    Copen menjadi model paling kecil dan paling mahal, diimport terus dari Jepun. Di negara kelahirannnya juga, Copen bukanlah sebuah model yang senang dilihat merata. Ia “sekapal” dengan Honda S660, membikin satu kelompok kenderaan “rare” dengan dua-pintu – melawan arus dan pemahaman pasaran tentang praktikaliti dan ruang luas dan selesa.

    Tapi, kesempatan untuk menikmati kelebihan itu kini berakhir; masa Copen ditawarkan di sana sudah tamat. ADM mengesahkan syarikat itu akan berhenti membawa masuk Copen bermula tahun ini. “Sejak awal, niatnya adalah untuk menunjukkan bahawa Daihatsu mempunyai model-model menarik seperti itu. Ia bukan untuk meraih jumlah jualan tinggi. Selepas ini kami akan beri tumpuan kepada model-model semasa yang ada,” jelas Pengarah Pemasaran ADM, Amelia Tjandra kepada Kompas.

    Beliau juga memaklumkan, jumlah Copen yang ada di sana hanya dalam angka ratusan sahaja, dan syarikat itu juga tidak lagi akan melayani sebarang tempahan khas terhadap model berkenaan seperti sebelum ini. Laporan sebelum ada menyebut, pada 2015, ADM hanya menjual 14 unit Copen – empat manual dan 10 lagi CVT. Pada 2016, hanya dua unit dijual.

    TAS2019: Daihatsu Copen GR Sport Concept

     
     
  • Tun Mahathir mahu F1 kembali beraksi di SIC

    Tun Mahathir mahu F1 kembali beraksi di SIC

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah meluahkan hasrat untuk melihat perlumbaan berprestij dunia, Formula One (F1) kembali beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Dalam ucapannya selepas menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup di Majlis Anugerah PETRONAS SIC Motorsports Association of Malaysia 2018 hari ini Tun Dr Mahathir mengimbau kembali detik awal dalam pembinaan litar untuk kejuaraan di Malaysia, laporan Berita Harian.

    “Saya masih ingat kunjungan ke Estoril di Portugal, kunjungan yang mempengaruhi saya untuk mempunyai satu sirkit yang lebih kurang sama seperti itu di Malaysia. Saya tak pernah terfikir ia akan membangun sebegini, saya fikir mungkin dalam 10,000 atau 20,000 pengunjung yang akan datang tetapi seperti anda tahu penerimaannya agak baik,” ujar beliau.

    Tun Mahathir mahu F1 kembali beraksi di SIC

    Tambahnya lagi, rakyat Malaysia turut memberi maklum balas bukan saja dengan menyaksikan perlumbaan F1, mereka mula berlumba sesama mereka dan sekarang kita sangat bagus dalam sukan permotoran selain menjadi jurutera di belakang pasukan.

    “Saya harap kita dapat menjana banyak perkara daripada perlumbaan di Sepang dan perbelanjaan yang dibelanjakan di trek ini berbaloi. Malah berharap perlumbaan ini akan diteruskan pada masa depan dan F1 dapat kembali dengan penuh gemilang,” sambungnya lagi yang merupakan tonggak utama SIC diwujudkan dan F1 beraksi buat kali pertamanya di litar terbabit pada tahun 1999.

    Walau bagaimana pun, dua tahun lalu, SIC tidak dapat meneruskan penganjuran F1 memandangkan ia makin kurang mendapat sambutan dan kos perbelanjaan yang tinggi.

     
     
  • Toyota 86 British Green Limited – JDM, gaya Lotus

    Toyota 86 British Green Limited – JDM, gaya Lotus

    Anda perasan tak kereta lumba Ferrari dan Alfa Romeo selalunya berwarna merah, Toyota dan Honda harus berwarna putih-merah, serta Mercedes dan Audi perlu berwarna perak? Sebenarnya pada era 1920’an dahulu, dunia perlumbaan telah bersetuju untuk memilih warna-warna rasmi ini sebagai lambang negara asal jenama-jenama berkenaan.

    Ini ada sedikit pelik, Toyota 86 edisi khas terbaharu yang hanya akan dijual pada pasaran domestik Jepun (JDM) ini mengenakan warna perlumbaan rasmi untuk Britain iaitu British Racing Green. Jadi sekali tengok, model yang digelar Toyota 86 British Green Limited ini seolah-olah ada sentuhan dari Lotus, seperti Satria Neo Lotus Edition dihasilkan Proton satu ketika dulu.

    Selain dari warna badan unik ini, ia turut menerima spoiler belakang dengan kemasan hitam pada bahagian sayap dan juga rim aloi pelbagai jejari lebih ringan kemasan warna Bronze.

    Toyota 86 British Green Limited – JDM, gaya Lotus

    Masuk ke kabin, model istimewa ini juga diberikan rupa yang lebih ‘British’ dengan upholsteri kulit dan alcantara, gabungan warna hitam dan Dark Tan, bersama serlahan jahitan berwarna oren pada bahagian tempat duduk, roda stereng, but tuil penukar gear, tuil brek tangan, kemasan panel pintu dan juga pad lutut. Konsol tengah dihitamkan, dan ia nampak lebih hardcore tanpa sebarang sistem infotaimen di papan pemuka.

    Prestasi pengendalian kereta ini turut mendapat peningkatan menerusi pemadanan penyerap hentak dan spring dari Sachs untuk setiap sudut, bersama angkup brek lebih besar dengan empat omboh di hadapan dan dua omboh di belakang dari Brembo.

    Walau bagaimanapun, unit janakuasa masih kekal standard dengan enjin NA 2.0 liter empat-silinder boxer – berkuasa 207 PS untuk versi enam-kelajuan manual, manakala versi automatik hanya menjana 200 PS – memacu hanya roda belakang. Toyota 86 British Green Limited ini dijual pada pasaran Jepun dengan harga bermual 3,251,880 yen (RM119,476).

     
     
  • Pasukan Red Bull KTM akhirnya dedah jentera 2019

    Pasukan Red Bull KTM akhirnya dedah jentera 2019

    Tahun ini pasukan Red Bull KTM mempunyai pasukan lengkap dalam MotoGP, Moto2 dan Moto3, dan semalam mereka telah mendedahkan bentuk serta penampilan jentera musim ini. Walaupun agak lambat berbanding pasukan lain, KTM berjaya meningkatkan keterujaan kerana ramai yang mengatakan jentera mereka antara yang paling menarik tahun ini.

    Dalam MotoGP, pasukan utama yang mempunyai Johann Zarco serta Pol Espargaro sebagai pelumba menggunakan jentera RC16 berwarna oren/hitam manakala pasukan Tech 3 yang diwakili Hafizh Syahrin serta Miguel Oliveira menggunakan jentera berwarna oren/biru.

    “2019 adalah musim ketiga kami dalam MotoGP dan ini sudah pun satu pencapaian yang bermakna, terima kasih kepada Tech3 dan juga pelumba baru dalam pasukan ini. Keadaan akan jadi sangat mencabar tapi kami harap dapat terus ke atas. Kami berhadapan dengan beberapa halangan, tetapi telah bekerja baik waktu musim sejuk dan sepatutnya dapat membawa kepada sesuatu yang positif musim ini,” kata pengurus pasukan Red Bull KTM, Mike Leitner.

    Semasa ujian musim sejuk yang berlangsung di Litar Sepang minggu lalu, pelumba KTM dilihat bergelut untuk mencatat masa terpantas, dan ini bukan sahaja berlaku pada Hafizh, malah juga Zarco. Apabila hari ketiga ujian berakhir masa terpantas bagi KTM dicatat oleh Zarco iaitu 1 minit 59.640 saat, namun dalam kedudukan keseluruhan, itu adalah tempat ke-17.

    Jika dibandingkan dari hari ujian bermula sehingga tamat, Hafizh dapat memperbaiki catatan masa beliau, tetapi masih berada di kelompok bawah. Beliau juga pernah berkata bahawa jentera KTM bukannya mudah untuk dikendali bagi pelumba baru dan akan berusaha sehabis mungkin untuk menyesuaikan diri beliau.

     
     
  • Toyota Camry 2019 dapat ASEAN NCAP lima bintang

    Toyota Camry 2019 dapat ASEAN NCAP lima bintang

    Ketika majlis pengenalan label ASEAN NCAP baru, turut diumumkan ialah keputusan ujian perlanggaran bagi Toyota Camry 2019. Model terkini Camry versi pemasangan Thailand dalam varian 2.0G mencatatkan penarafan lima-bintang dengan mata keseluruhan 91.47%.

    Pecahan mata yang diperoleh model sedan segmen D itu adalah seperti berikut; 35.31 mata daripada 36 mata bagi pelindungan penumpang dewasa (AOP) – terdiri daripada 15.31 mata bagi pertembungan sisi hadapan, 16 mata penuh bagi impak bahagian tepi dan empat mata penuh bagi teknologi pelindungan kepala (HPT). Dengan AOP menyumbang sebanyak 50% daripada mata keseluruhan, peratusan yang dicapai Camry ialah 49.04%.

    Bagi pelindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula, Camry memperoleh 44.44 mata daripada 49 mata keseluruhan, termasuk 16 mata penuh bagi impak hadapan, lapan mata penuh bagi hentaman dari tepi, 11.44 mata bagi pemasangan mudah dan sembilan mata bagi penilaian ciri mesra kerusi kanak-kanak. Ini memberikan peratusan sebanyak 22.68% daripada 25.

    Akhir sekali, aspek bantuan keselamatan yang melengkapinya, di mana Camry berjaya mencatatkan 14.22 mata daripada 18. Ini termasuk lapan mata penuh bagi teknologi brek dan penghindaran perlanggaran yang cekap, tiga mata bagi amaran tali keledar, 1.22 mata bagi teknologi titik buta dan dua mata penuh bagi teknologi bantuan keselamatan termaju. Ini menjadikan peratusan keseluruhan yang dicapai ialah 19.75% daripada 25.

    Di Malaysia, Camry hanya ditawarkan dalam satu varian, 2.5V dan dijual pada harga RM189,900. Ia dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dan EBD dengan bantuan brek, kawalan kestabilan, ISOFIX di belakang dan ciri lengkap bantuan pemandu Toyota Safety Sense. Di dalamnya termasuk sistem pra-perlanggaran (brek kecemasan automatik), Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam.

     
     
  • Jalan Tuanku Abdul Rahman ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini – menteri

    Jalan Tuanku Abdul Rahman ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini – menteri

    Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR memang menjadi tumpuan ramai untuk membeli-belah khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, mahu pun cuti umum. Boleh dikatakan saban hari, Jalan TAR akan sesak tidak kira waktu.

    Justeru, Kementerian Wilayah Persekutuan telah membuat keputusan sepanjang jalan terbabit (di hadapan kompleks membeli-belah Sogo dan Pertama) akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas bermula 15 Mac ini, laporan Berita Harian.

    Menurut menterinya, Khalid Abdul Samad, laluan sepanjang satu kilometer itu merangkumi laluan di Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu.

    “Penutupan jalan itu dibuat bagi memberi keselesaan kepada orang awam untuk berurusan di kawasan berkenaan yang akan dijadikan tapak baharu untuk operasi bazar Ramadan. Malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menjalankan kajian dalam talian berhubung penutupan jalan berkenaan di mana sebanyak 57% pengguna laman sosial bersetuju dengan cadangan berkenaan,” ujarnya,

    Tambahnya lagi, laluan berkenaan akan dijadikan sebagai kawasan bebas kenderaan atau ‘pedestrian mall’ yang mana pengunjung boleh berjalan kaki untuk membeli-belah tanpa perlu bersesak.

     
     
  • Mitsubishi ASX facelift 2020 untuk Eropah didedahkan

    Mitsubishi ASX facelift 2020 untuk Eropah didedahkan

    Pada 2017, Mitsubishi telah memperkenalkan crossover segmen-B Eclipse Cross dan ramai yang menjangkakan ia akan secara berperingkat menggantikan Mitsubishi ASX. Tapi nampaknya umur ASX ternyata masih lagi panjang setelah Mitsubishi mendedahkan SUV kompak yang telah berada dalam produksi sejak 2010 itu diberikan satu lagi versi facelift untuk pasaran Eropah.

    Model yang disegarkan kembali ini akan membuat kemunculan pertamanya pada Geneva Motor Show 2019 Mac nanti. Dan seperti yang anda boleh lihat, muka ‘adik Lancer’ pada ASX telah berubah menggunakan rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi.

    Lampu utama ASX 2020 ini direka sepet, mengapit gril seakan dinding kubu yang kelihatan lebih gagah. Ia kemudian diberikan elemen X kemasan krom, bersama lampu kabus LED dan isyarat membelok dengan empat unit lampu disusun menegak dan juga skid plate dalam kemasan perak. Lampu belakang masih menggunakan kluster lampu yang sama, tetapi diberikan lensa jernih bersama grafik dan bar LED baharu di dalamnya.

    Bampar belakang juga menerima sentuhan semula dengan rekaan lebih rumit, menampilkan kemasan liang udara palsu, dan juga skid plate seperti gaya diffuser juga berwarna perak. Tiga warna baharu tampil pada model kemaskini ini iaitu Red Diamond, Sunshine Orange dan Oak Brown.

    Masuk ke kabin, sebahagian besar rekaan terutama pada papan pemuka masih lagi sama dengan model sedia ada. Perubahan yang paling ketara dapat dilihat adalah skrin sistem infotainmennya kini lebih besar, bersaiz lapan-inci.

    Di Eropah, ASX ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 2.0 liter NA dengan pilihan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT automatik INVECS-III. Pembeli juga boleh memilih sama ada mereka mahukan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

     
     
  • Suzuki Jimny Black Bison Edition didedah oleh Wald

    Suzuki Jimny Black Bison Edition didedah oleh Wald

    Kalau sebelum ini pernah ditampilkan versi rekaan digital sahaja, kini syarikat talaan Wald International tunjukkan pula versi akhir Suzuki Jimny Black Bison Edition yang sebenar.

    Diasaskan dari varian Sierra yang dijual di Jepun, Wald memberikan rekaan baru pada bahagian bampar, gril, perumah lampu utama dan bonet yang kini lebih aerodinamik. Sekali pandang, ia memang ada membawa imej dan iras yang sama dengan Mercedes-Benz G-Class, dengan pakej yang lebih kecil.

    Bahagian lain yang turut diperbaharui ialah pada lengkuk tayar yang menjadikannya lebih lebar dan nampak garang, diikuti juga dengan saiz rim dan tayar yang lebih besar. Wald juga memasangkan lampu LED di depan dan bumbung.

    Penyudah yang melengekapkan lagi imej SUV ini tentulah warna hitam kesat yang digunakan – sesuai dengan nama Black Bison Edition. Buat masa ini belum ada pengumuman harga atau aksesori berasingan yang mungkin dijual bagi Jimny ini.

     
     
  • Label ASEAN NCAP bagi kenderaan diperkenal, bantu pengguna untuk jadi lebih peka soal keselamatan

    Label ASEAN NCAP bagi kenderaan diperkenal, bantu pengguna untuk jadi lebih peka soal keselamatan

    Bermula 1 Mac 2019 ini, tempoh percubaan bagi pelabelan ASEAN NCAP akan dimulakan di Malaysia. Perkara ini dimaklumkan ketika majlis pelancaran Garis Panduan Pematuhan Pelabelan ASEAN NCAP oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama-sama Institut Kajian Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS), hari ini.

    Apa yang dimaksudkan dengan label ASEAN NCAP ini? Ia bolehlah difahami sebagai “lampiran maklumat sah” berkaitan ujian atau penarafan ASEAN NCAP yang telah dilakukan terhadap sesebuah model kenderaan, serta pencapaiannya di dalam ujian tersebut.

    Label ini akan ditampal di dua bahagian pada kenderaan baru yang dijual di bilik pameran atau pun aktiviti jelajah untuk promosi kenderaan yang dijalankan – satu pada bahagian cermin depannya dan sati lagi di tingkap sisi sebelah penumpang.

    Label ASEAN NCAP bagi kenderaan diperkenal, bantu pengguna untuk jadi lebih peka soal keselamatan

    Antara maklumat yang dipaparkan pada label berkenaan ialah tahap penarafan yang telah diberikan terhadap sesebuah model (misalnya pencapaian 5-bintang ASEAN NCAP), pencapaian NCAP lain bagi model berkenaa sekiranya ada, senarai ciri keselamatan yang melengkapi model berkenaan serta pengimbas kod QR untuk membolehkan pengguna menyemak-silang maklumat berkaitan.

    Apa keperluan dan manfaat yang dijangkakan daripada pengenalan label ini? Menurut KPDNHEP, ia akan dapat mengelakkan penyaluran maklumat yang mengelirukan kepada pengguna. Ia juga boleh dijadikan rujukan dan sekali gus jaminan terhadap tahap keselamatan setiap kenderaan yang berada dalam pasaran, dan mendidik pengguna untuk lebih peka terhadap hal itu.

    Dengan semua maklumat ini, pengguna boleh membuat keputusan sendiri selepas mempertimbangkan semua maklumat yang betul sebelum membuat pembelian. Dengan pengguna yang semakin berpengetahuan untuk menilai, pengeluar juga akan terus menghasilkan kenderaan yang menawarkan tahap dan kualiti yang lebih baik dari semasa ke semasa.

    Penggunaan label ini akan diwajibkan sepenuhnya bermula 1 Mac 2020 nanti.

     
     
  • Magtech bengkel jaringan I-Workshop pertama MARii – pusat servis lengkap, diagnosis guna mesin dyno

    Magtech bengkel jaringan I-Workshop pertama MARii – pusat servis lengkap, diagnosis guna mesin dyno

    Selepas berakhirnya tempoh waranti, kebanyakkan pengguna akan beralih untuk menyelenggara kenderaan mereka dari pusat 3S/4S bertauliah pengeluar kepada bengkel biasa bukan? Kebiasaannya setelah menghantar ke bengkel-bengkel sebegini, berberapa masalah akan muncul antaranya tidak mempunyai pusat sehenti untuk semua kerja pembaikan (contohnya tayar, pendawaian dan pembaikan panel badan), tidak mempunyai rekod servis, dan kenderaan tidak diselenggara menggunakan jadual penyelenggaraan yang betul.

    Oleh itu, Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) hadir dengan satu inisiatif – memperkenalkan model perniagaan baharu yang digelar sebagai Bengkel Bersepadu (Intergrated Workshop atau I-Workshop). Selain dari menempatkan segala jenis perkhidmatan servis dan pembaikan automotif di bawah satu bumbung, I-Workshop turut menampilkan ciri unik dengan menggunakan sistem cloud sebagai pengkalan data untuk beroperasi.

    Jaringan maklumat dari cloud berkenaan bukan sahaja dapat menguruskan hal-hal seperti tempahan servis pelanggan, sistem giliran nombor, iventori alat ganti dan pembayaran, malah data-data teknikal juga dapat dikongsi pada semua jaringan bengkel-bengkel berkenaan seperti buletin servis dan jadual penyelenggaraan spesifik untuk tiap-tiap model kenderaan, sama seperti pusat-pusat servis 3S/4S bertauliah.

    “Hari ini pemilik kereta mempunyai akses lebih baik terhadap informasi penyelenggaraan kenderaan, diberi lebih banyak pilihan servis dan mempunyai jangkaan lebih tinggi untuk kualiti servis. Jangkaan-jangkaan ini dalam pengalaman pelanggan, sebab utamanya adalah kerana peningkatan dalam aplikasi e-komersil yang telah mengganggu cara perniagaan selepas jualan yang dijalankan,” jelas CEO MARii, Dato Madani Sahari.

    Model perniagaan I-Workshop ini secara rasmi telah dilancarkan hari ini, bertempat di bengkel pertama dalam rangkaian tersebut dan juga rakan teknikal MARii dalam projek berkenaan – MAG Auto Garage (Magtech) yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan. Selepas Magtech, rangkaian ini akan dibuka dan dijalankan oleh ramai lagi usahawan di Melaka, Kedah, Sabah, Sarawak dan di negeri-negeri lain seluruh Malaysia.

    Seperti yang dinyatakan tadi, bengel-bengkel di bawah jaringan I-Workshop berkenaan akan beroperasi dengan cloud yang sama. Bermaksud sekiranya bulan ini anda menghantar kereta anda diservis di Melaka, bulan hadapan sekiranya anda datang ke satu lagi rangkaian di Kedah, mereka turut akan mengetahui rekod servis anda sebelum itu – sama seperti wakil-wakil servis pengedar rasmi sebenar.

    Para mekanik dan foreman juga akan berkongsi masalah dan cara penyelesian bagi pembaikkan-pembaikkan tertentu dalam cloud berkenaan, bagi memudahkan kerja-kerja pembaikkan akan datang sekiranya masalah yang sama dihadapi oleh mekanik lain, di jaringan I-Workshop yang lain.

    Magtech Senawang ini walaupun bukan bengkel di bawah mana-mana pengeluar rasmi, ia bukanlah bengkel yang dikategorikan sebagai bengkel ‘pokok ceri’. Selain dari aktiviti menala enjin-enjin perlumbaan, Magtech turut menggunakan mesin Dyno milik mereka sendiri untuk membuat kerja-kerja diagnos masalah pada kereta-kereta biasa.

    Menurut CEO Mag Group, En Zamani Baharom, penggunaan mesin Dyno dari Dyno Dynamics buatan Australia berkenaan bukan sahaja akan memaparkan segala maklumat-maklumat ‘on-board diagnosis’ ketika enjin sedang beroperasi dan memudahkan kerja-kerja mengesan masalah, malah ia juga lebih selamat bagi mengelakkan kemalangan atau breakdown berlaku di atas jalan raya sebenar ketika mekanik sedang melakukan tanggung jawab mereka.

    Magtech bukan sahaja mempunyai mesin Dynometer untuk kereta sahaja, malah mereka turut mempunyai mesin yang sama untuk kegunaan motosikal, dan Mag Group merupakan pengedar tunggal Dynometer berjenama Dyno Dynamics berkenaan di Malaysia, Singapura dan Brunei. Kesemua jaringan I-Workshop kelak bakal menggunakan teknologi yang sama.

    Selain dari mesin Dyno dan juga kelengkapan pembaikkan yang lain, Magtech turut mempunyai divisi kejuruteraan mereka sendiri di dalam bangunan yang sama. Ini bermaksud sekiranya kerja-kerja kejuruteraan semula perlu dilakukan contohnya meratakan semula kepala silinder enjin yang telah bengkok, merapatkan semula kedudukan injap atau membuat kerja-kerja sandblast untuk membersihkan kembali komponen-komponen lama, ia tidak perlu dihantar ke pihak ketiga kerana mereka mampu melakukannya sendiri.

     
     
  • Nissan Grand Livina baharu berasaskan Mitsubishi Xpander diuji di Indonesia – Dynamic Shield, V-Motion

    Nissan Grand Livina baharu berasaskan Mitsubishi Xpander diuji di Indonesia – Dynamic Shield, V-Motion

    Mitsubishi Xpander masih baharu lagi di pasaran Indonesia, jadi apa model dengan gril baharu dan pita hitam ditampal di bahagian tersebut? Dikesan oleh pengguna Instagram Indra Prasetya di Indonesia – ia merupakan prototaip bagi Nissan Grand Livina generasi baharu.

    Nissan merupakan pemegang saham terbesar dalam Mitsubishi Motors, dan kedua-dua jenama ini merupakan ahli dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, jadi kerjasama ini boleh kira masuk akal. Juga, Xpander yang memenangi produk terbaik untuk MMC dalam pasaran MPV di Indonesia, jadi Nissan Livina yang sudah lama tiada peningkatan nampak gayanya perlu diberikan suntikan lebih segar.

    Dilihat menerusi foto ini, ia memang jelas kelihatan mirip Xpander, tetapi pada bahagian hujung hadapan MPV tujuh-tempat duduk ini, ada sedikit perubahan yang dilakukan. Memang banyak sentuhan Mitsubishi Dynamic Shield diadaptasikan – termasuk lampu yang lebih langsing dengan susunan pencahayaan tiga tingkat – tetapi jalur krom yang menjadi tanda dagang seakan memberikan kesan yang tidak begitu ketara.

    Nissan Grand Livina baharu berasaskan Mitsubishi Xpander diuji di Indonesia – Dynamic Shield, V-Motion

    Tanpa bingkai ini, gril tersebut lebih berbentuk bulat melengkung berbanding bentuk-X, menyerupai hujung hadapan Nissan V-Motion. Juga berbeza dari Xpander ialah bahagian bampar bawah, dengan lip berwarna perak lebar-sepenuhnya dan lampu kabus bersudut pada hujungnya (bentuk bulat pada Xpander). Lampu nyalaan siang pula ditampilkan dengan rekaan yang berbeza, dan gerbang roda hadapan pula berbentuk bulat berbanding segi empat pada Mitsubishi.

    Pada sisinya, garisan mendalam jelas kelihatan, bersama “bumbung terapung” yang dibawakan oleh jaluran hitam kecil disambungkan pada bahagian kaca belakang dan sisi. Tiada lambang kelihatan pada bahagian belakang, mungkin tiada perubahan rekaan dibuat. Kerangka berwarna jingga pada model ujian ini (Xpander tidak memberikan pilihan warna ini) merupakan warna kegemaran Nissan, yang turut pernah digunakan pada trak pikap Navara NP300 dan X-Trail facelift.

    Mitsubishi Xpander diletakkan di bawah segmen MPV teras rendah bersaing dengan Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Honda Mobilio dan Suzuki Ertiga. Ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter dengan 104 PS dan 141 Nm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuam.

    GALERI: Mitsubishi Xpander di Indonesia

     
     
  • Perodua Myvi – lebih 100k unit model generasi ketiga telah dihantar sejak dilancarkan, 1,560 unit seminggu

    Perodua Myvi – lebih 100k unit model generasi ketiga telah dihantar sejak dilancarkan, 1,560 unit seminggu

    Perodua telah melancarkan Myvi generasi ketiga pada November 2017, dan hari ini, pengeluar kenderaan nasional kedua negara telah mengumumkan sebanyak lebih 100,000 unit model terbabit telah dihantar kepada pelanggan. Menandakan satu lagi kejayaan telah dicipta dengan penambahan jumlah jualan Myvi yang kini mencecah 1.1 juta.

    “Kami berbesar hati mengumumkan bahawa telah lebih 100,000 unit Myvi generasi ketiga telah dihantar kepada para pelanggan sejak ia dilancarkan pada November 2017, sekitar 1,560 unit seminggu,” ujar Datuk Dr Zahari Husin, pengarah urusan Perodua Sales.

    Tambahnya lagi, “Setakat ini, Perodua Myvi merupakan model yang paling berjaya dalam sejarah kami. Myvi pertama kalinya diperkenalkan di pasaran pada 2005 dan kemudiannya dikuasai oleh sedan. Pada 2013, ia telah diatasi oleh Kancil (708,000 unit dari 1994 hingga 2009) dan hingga ke tarikh ini, kami telah menjual hampir 1.1 juta Myvi.”

    Oleh kerana itu, tempahan untuk Myvi baharu telah mencapai 150,000 kumulatif, dan Perodua menjanjikan untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan segera.mereka dengan segera. “Kami berterima kasih pada semua rakyat Malaysia atas sambutan ini – sekaligus memberikan kami motivasi untuk terus membuat penambahbaikan. Di perodua, kami mengamalkan “People First”,” ujar Zahari lagi.

    Tahun lalu, Perodua telah mencatatkan rekod sebanyak 227,243 unit sekaligus mengekalkan posisinya di tangga pertama dalam carta jualan automotif tempatan untuk 13 tahun berturut-turut. Sejak 1994, syarikat ini telah menjual hampir 3.5 juta kenderaan, dengan Kancil sebagai model pertamanya. Untuk 2019, Perodua mensasarkan jualan yang lebih tinggi iaitu sekitar 231,000 unit.

     
     
  • VIDEO: Tular seorang wanita mandikan anjing di R&R Tapah, bilik tukar lampin bayi berkenaan telah disamak

    Pada 9 Februari lalu, telah mula tular video yang dirakamkan oleh pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, Farah Shafiza, yang menyaksikan gelagat seorang wanita sedang memandikan anjing peliharaannya di bilik menukar lampin bayi di R&R Tapah (Arah Selatan). Ekoran sikap tidak sensitif wanita terbabit, Farah telah melaporkan kejadian tersebut terus ke pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

    Susulan daripada kejadian tersebut, PLUS melahirkan rasa kesal dengan kejadian terpencil tersebut di mana wanita terbabit tidak menghiraukan teguran petugas dan pelanggan yang menyaksikan kejadian itu dan menegaskan bahawa seluruh kawasan R&R di sepanjang lebuhraya adalah kawasan larangan haiwan peliharaan untuk memastikan kebersihan dan keselesaan pelanggan lebuhraya.

    Malah PLUS juga memaklumkan bahawa sejurus kejadian tersebut, persekitaran Bilik Menukar Lampin Bayi terbabit telah disamak dan dibersihkan serta-merta supaya ia boleh terus digunakan oleh pelanggan.

    Dalam masa yang sama, PLUS menegaskan bahawa papanctanda peringatan yang memaklumkan pelanggan bahawa R&R adalah kawasan larangan untuk binatang peliharaan juga diletakkan di semua R&R di lebuh raya.Justeru, PLUS memohon kerjasama semua pelanggan supaya mematuhi larangan tersebut demi kelesaan pelanggan yang lain.

    Kami di Paultan.org juga berharap, masyarakat kita dapat terus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tak kira bangsa mahu pun agama demi mengekalkan kesejahteraan sebagai rakyat Malaysia. Sedih juga bila ada segelintir masyarakat yang tidak sensitif dengan bangsa dan agama lain. Dan harap perkara ini tidak berulang kembali, waima di mana jua ceruk di negara ini.

     
     
  • SPYSHOT: BMW 5 Series Touring plug-in hybrid diuji

    SPYSHOT: BMW 5 Series Touring plug-in hybrid diuji

    Susulan pengenalan model BMW 530e iPerformance G30, pengeluar kereta Jerman mempunyai versi bumbung yang lebih panjang bagi model plug-in hybrid, dan ia telah dikesan oleh jurufoto spy kami.

    Kemungkinan besar ia menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo dari sedan PHEV semasa, tapi dipasang pada kerangka wagon ini. Malah kelihatan pelekat ‘Hybrid Test Vehicle’ yang ditampal di pintu bahagian pemandu, sementara penutup port pengecasannya tidak ditutup.

    Pada sedan 530e, penjana kuasa mengandingkan enjin 184 hp/320 Nm dengan motor elektrik 113 hp/250 Nm yang mampu menghasilkan keseluruhan kuasa sebanyak 252 hp dan tork 420 Nm. Motor elektrik ini diaplikasi di antara transmisi automatik lapan-kelajuan dan tidak jauh dengan torque converter.

    SPYSHOT: BMW 5 Series Touring plug-in hybrid diuji

    Sebagai rujukan, sedan BMW 530e dilengkapi bateri lithium-ion 9.2 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, dan ia menampilkan litar suhu-rendah dengan penyejukan. Jarak elektrik tulen pada sedan ialah 47 km dengan kelajuan tertinggi mod elektrik sekitar 140 km/j, dengan jarak keseluruhan hibrid pada 644 km.

    Angka ini akhirnya dapat dicapai oleh Touring Wagon, dengan sedikit jangkaan, jika terdapat perbezaan dalam komponen pacuan elektriknya.

    Protokol pengecasannya dijangka sama dengan sedan, di mana pengecasan penuh lebih kurang lima jam dengan menggunakan soket domestik atau di bawah tiga jam dengan BMW i Wallbox 3.7 kW. Jika Touring ini mengadaptasikan pad pengecasan tanpa wayar, ia boleh dicas sepenuhnya dalam kira-kira tiga jam setengah.

    GALERI: BMW 530e sedan di Malaysia

     
     
  • Mazda 3 2019 – spesifikasi enjin SkyActiv-X untuk pasaran Eropah disiarkan, pilihan lebih variasi

    Mazda 3 2019 – spesifikasi enjin SkyActiv-X untuk pasaran Eropah disiarkan, pilihan lebih variasi

    Selepas beberapa bulan Mazda 3 generasi keempat didedahkan, perincian untuk enjin SkyActiv-X bagi pasaran Eropah disiarkan, menerusi laman web Mazda Slovakian.

    Sebagai imbas kembali, penjana kuasa petrol SkyActiv-X yang digunakan oleh Mazda merupakan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI). Di mana ia masih agak sama seperti enjin Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI) yang mendapatkan mampatan tinggi bagi memberikan sokongan pembakaran (juga sama seperti enjin diesel), tetapi permulaan pembakaran masih lagi dimulakan dengan unit spark plug yang akan memberikan nyalaan api.

    Dengan nisbah mampatan yang sangat tinggi, enjin baharu ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-petrol yang sangat lean (bahagian udara lebih banyak berbanding bahagian bahan api dalam nisbah campuran) seterusnya meningkatkan kecekapan enjin antara 20% hingga lebih 30% berbanding enjin SkyActiv-G sedia ada dan antara 35% hingga lebih 40% berbanding versi asal dengan kapasiti sama yang muncul pada tahun 2008.

    Kalau dilihat daripada dokumen sumber, enjin pencucuhan mampatan ini mampu memberikan sehingga 178 hp dan tork 222 Nm, walau bagaimana pun ia tidak menyebut anjakan enjin.

    Klik untuk besarkan

    Mengikut prototaip sebelum ini, yang pernah kami uji pada tahun lalu, ia menampilkan unit 2.0 liter, dan kami jangkakan ia masih dikekalkan. Juga tidak dimaklumkan sistem M Hybrid akan digandingkan dengan enjin yang dipilih, di mana sistem hibrid ringan yang akan menggunakan penjana e-motor untuk mendapatkan tenaga apabila brek untuk membuat sistem stop/start beroperasi dengan lebih lancar.

    Dokumen ini juga telah menyenaraikan lebih banyak enjin konvensional SkyActic-G yang boleh menghamburkan kuasa sehingga 120 hp dan 213 Nm untuk model yang menggunakan kod ‘SkyActiv-G122’. Merujuk kepada kenyataan media untuk negara Eropah yang lain, ia adalah unit 2.0 liter, di mana ia mengurangkan lebih banyak kuasa berbanding enjin yang digunakan pada Mazda 3 semasa (162 hp/210 Nm). Ia mengikut set struktur yang sama untuk Mazda 3 sebelum ini, dengan pasaran Asia dan Amerika Syarikat menerima talaan enjin yang lebih tinggi.

    Melihat pada senarai ini untuk pasaran Slovakian, ia turut menawarkan model dengan dengan kod ‘SkyActiv-D116’, yang kebarangkaliannya adalah enjin 1.8 liter turbodiesel, baharu dari Mazda. Penjana kuasa ini pertama kalinya diperkenalkan menerusi CX-3 facelift, dan menggantikan unit 1.5 liter yang lama, mampu menghasilkan sehingga 114 hp dan 270 Nm pada Mazda 3 terkini.

    Bergantung pada pemilihan enjin, pilihan transmisi termasuklah manual enam-kelajuan dan automatik enam-kelajuan, dengan sistem pacuan semua-roda i-Activ ciptaan Mazda akan turut ditampilkan.

    GALERI: Mazda 3 2019

     
     
  • Mercedes-AMG Burnout Collection – koleksi barangan dari fabrik yang di ‘keronyok’ tayar kereta sebenar

    Jika barangan-barangan dari kulit binatang eksotik menonjolkan prestij seseorang itu sebagai seorang yang berstatus tinggi, apa yang boleh menonjolkan anda sebagai seorang yang betul-betul minat kereta?

    Ya, ada banyak aksesori barangan yang berjenama dikaitkan dengan sukan permotoran, tetapi yang ini tak pernah dibuat orang – Mercedes-AMG bersama pembuat beg Destroy vs. Beauty memperkenalkan koleksi barangan yang diperbuat dari fabrik yang telah menerima kesan tayar sebenar!

    Koleksi ini dikenali sebagai Mercedes-AMG Burnout Collection – seperti namanya, barangan-barangan tersebut diperbuat dari fabrik yang ‘dikeronyok’ kereta-kereta Mercedes-AMG yang membuat aksi ‘burnout’ bagi mendapatkan kesan tayar sebenar. Menurut Destroy vs. Beauty, mereka mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan fabrik yang tidak akan koyak ketika dikeronyok sebegitu.

    Pelbagai barangan dihasilkan dalam koleksi ini, dari beg duit lelaki yang berharga 179 euro (RM824) hingga yang paling mahal beg weekender berharga 679 euro (RM3,127). Macam mana sebenarnya kesan tayar tersebut diambil? Tonton video yang kami paparkan di atas untuk mengetahui.

     
     
  • Suzuki Ertiga generasi kedua masuk pasaran Thailand

    Suzuki Ertiga generasi kedua masuk pasaran Thailand

    Di Thailand, MPV Suzuki Ertiga dari generasi kedua sudah mula dipasarkan. Ia dibawa masuk dari Indonesia, yang telahpun menerima model berkenaan lebih awal iaitu sejak April 2018.

    Dalam pasaran Indonesia, Ertiga bersaing di dalam segmen MPV rendah bersama-sama Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Mitsubishi Xpander dan Honda Mobilio. Ertiga pertama kali memasuki pasaran pada 2012, kemudian versi facelift generasi pertamanya dijenamakan semula oleh Proton dan dijual di Malaysia sejak tahun 2016.

    Ertiga generasi kedua ini diberi rekaan dan binaan baru sepenuhnya. Ia menggunakan platform Heartect yang ada pada model Swift terkini. Model ini juga dikuasakan oleh enjin baru, unit K15B 1.5 liter VVT yang menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,400 rpm. Enjin ini digandingkan pula dengan sistem transmisi automatik empat-kelajuan.

    Suzuki Ertiga generasi kedua masuk pasaran Thailand

    Ukuran dimensinya pula adalah seperti berikut; 4,395 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,690 mm tinggi. Ini menjadikan model baru berkenaan 130 mm lebih panjang, 40 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi berbanding model lama – bagaimanapun, jarak antara roda kekal 2,740 mm.

    Ruang barangan naik 18 liter menjadi 153 liter jika semua kerusi ditegakkan. Turunkan barisan ketiga, ia akan menjadi 550 liter (naik 50 liter) dan jika merebahkan kerusi barisan kedua pula, ruang yang tersedia menjadi 803 liter (naik 68 liter).

    Rekaan luarannya pula kini lebih bersegi; lampu utama projektor trapezoid serta rekaan gril enam-penjuru baru. Bampar depan juga hadir dengan rekaan yang lebih “sibuk”, termasuk pada bahagian masukan udaranya. Ia juga menggunakan pendekatan rekaan “bumbung terapung” seperti Swfit, dengan bahagian D-pillar dihitamkan.

    Suzuki Ertiga generasi kedua masuk pasaran Thailand

    Di dalam, Ertiga baru ini menerima papan pemuka dengan garis-garis melintang serta system paparan infotainmen rekaan apungan. Stereng pula rata di bahagian bawahnya, dipinjam terus dari Swift. Menurut Bangkok Post, Ertiga ini yang lebih ringan disebabkan penggunaan paltform baru hanya menghasilkan 150 g/km karbon dioksida dan layak untuk menerima potongan 5% cukai eksais bagi kenderaan eco di Thailand.

    Harga jualan bagaimanapun dikekalkan sama seperti sebelumnya, walaupun model generasi baru ini dilengkapi dengan ciri yang lebih baik. Varian GL yang paling asas dijual pada harga 655,000 baht (RM84,773) sementara GX pula 695,000 baht (RM89,964)