Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Debat berkenaan projek kereta nasional ketiga semakin panas, dan seorang lagi individu yang sudah lama dalam industri telah memberikan kenyataan. Dalam satu laporan oleh Bernama, bekas pengerusi dan pengarah urusan Proton, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh memberitahu kereta nasional elektrik ini akan mendapat mendapat kelebihan kerana masuk dalam industri awal.

    “Syarikat pengeluar lain mempunyai kereta elektrik (EV) dan hibrid mereka, tetapi tiada satu pun, kecuali Tesla yang dapat mengatakan mereka mempunyai kelebihan berbanding yang lain. Jadi, kelebihan bersaing untuk semua syarikat bagi kenderaan elektrik adalah hampir sama,” kata Nadzmi.

    Tambah beliau, antara masalah utama yang dihadapi syarikat kereta untuk mengeluarkan kenderaan elektrik dalam skala yang besar adalah rintangan daripada bukan sahaja vendor dan pembekal alat ganti, malah juga kerana banyak pelaburan yang telah dibuat untuk enjin diesel dan petrol.

    “Kita adalah negara pengeluar kereta, tetapi kita tidak melabur begitu banyak untuk teknologi konvensional lama. Pada pandangan saya, jika kita memperkenalkan teknologi baru untuk industri, orang ramai dapat menyokongnya dan tidak akan ada banyak tentangan,” kata Nadzmi.

    Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Beliau yang kini merupakan pengerusi Nadicorp mengaku terdapat beberapa rintangan daripada pembekal dan pemberi khidmat selepas jualan, kerana EV tidak memerlukan banyak penyelenggaraan dan gantian komponen. Walaupun begitu, beliau menambah syarikat yang terlibat boleh menyesuaikan diri kerana perubahan dari kereta konvensional kepada kereta elektrik tidak akan berlaku sekelip mata.

    Walaupun Malaysia masih belum mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan EV pada masa ini, Nadzmi memberitahu tidak mustahil negara dapat membangunkan industri ini, dan menunjukkan kepada sektor perladangan sebagai contoh Malaysia mampu menyesuaikan diri.

    “Cuba lihat kepada industri perladangan seperti getah dan kelapa sawit yang sebelum ini bukanlah berasal dari Malaysia sendiri. Tapi sekarang, kita adalah antara pengeksport terbesar bagi komoditi ini. Bagi saya, jika anda mahu masuk ke sesuatu industri, anda perlulah mempunyai semangat dan sentiasa bersedia,” kata Nadzmi.

    Kereta nasional ketiga akan dapat manfaat daripada kemasukan awal dalam industri EV – bekas MD Proton

    Selain daripada itu, Nadzmi juga menggesa usahawan, syarikat swasta dan syarikat senarai awam untuk mengetuai pembangunan industri EV, dan bukannya kerajaan yang beliau katakan sepatutnya menjalankan tugas memberi sokongan. “Anda perlukan usahawan untuk datang dan melakukannya sementara kerajaan boleh mengambil sedikit ekuiti atau memberikan geran untuk membangunkan industri ini sebelum ia boleh berdiri sendiri,” kata Nadzmi.

    Idea untuk mewujudkan kereta nasional ketiga ini telah dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika satu persidangan di Jepun Jun lalu, selepas Proton dikatakan kini tidak lagi sebuah jenama kereta nasional Malaysia. Namun ia mendapat reaksi yang kurang positif dari pelbagai pihak seperti pemain industri dan juga ahli politik dari blok kerajaan. Tetapi projek berkenaan nampaknya akan teruskan apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menyatakan bahawa projek tersebut akan muncul menjelang tahun 2020.

    Ketika Perdana Menteri berkunjung ke Jepun sekali lagi awal bulan ini, beliau mendedahkan bahawa projek tersebut bakal menerima bantuan teknikal dari pembuat-pembuat kereta Jepun termasuk Nissan, Toyota dan Daihatsu – walaupun Daihatsu telah diketahui telah beroperasi di Malaysia bersama Perodua, dan ia sememangnya di bawah syarikat induknya iaitu Toyota.

     
     
  • Infiniti Prototype 10 – EV konsep satu tempat duduk

    Infiniti Prototype 10 – EV konsep satu tempat duduk

    Kereta pameran Infiniti yang dibawa ke Pebble Beach Concours d’Elegance tahun lepas adalah sesuatu yang tidak dijangka – ia sebuah kereta elektrik yang diimaginasikan semula daripada kereta lumba tahun 1940-an, dipanggil sebagai Prototype 9. Tahun ini, pengeluar itu akan membawa satu lagi kereta elektrik satu tempat duduk iaitu Prototype 10.

    Kereta konsep tersebut ditunjukkan awal melalui lukisan yang didedahkan ini, dan ia digambarkan sebagai sebuah speedster elektrik berani yang dapat memberi ruang kepada keinginan jenama itu untuk memberikan kepuasan memandu serta prestasi mengujakan daripada penggerak elektrik.

    Semasa membangunkan Prototype 10, Infiniti memberitahu mereka telah cuba mengimaginasikan semula speester klasik dengan rekaan yang menarik dan berpandangan ke hadapan. Model konsep ini dikatakan bakal menjadi evolusi semulajadi untuk konsep rekaan yang digunakan bagi Infiniti Q Inspiration, dan memberi petunjuk kepada gaya rekaan jenama itu untuk masa hadapan.

    “Infiniti Prototype 10 membawa bentuk dan rekaan antara yang paling berkuasa sepanjang zaman, di mana kuasa diraikan melalui kereta lumba satu tempat duduk berkuasa tinggi. Konsep baru kami menunjukkan masa hadapan menggunakan elektrik, dan ia dicerminkan melalui bentuk dan perinciannya,” kata pengarah eksekutif rekaan Infiniti, Karim Habib.

    Untuk penggeraknya, tiada sebarang informasi diberikan, tetapi kalau melihat kepada Prototype 9, ia dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion 30 kWh dan boleh digunakan di dalam trek secara agresif untuk 20 minit (kuasa elektrik sahaja). Motor 120 kW (161 hp) dan 320 Nm yang digunakan membolehkan kenderaan ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai laju maksimum 170 km/j.

    GALERI: Infiniti Prototype 9

     
     
  • SIC akan sertai perlumbaan MotoE pada tahun 2019

    SIC akan sertai perlumbaan MotoE pada tahun 2019

    Tahun depan, Sepang International Circuit (SIC) bukan sahaja akan menubuhkan pasukan baru untuk bertanding dalam kategori premier MotoGP sebagai pasukan satelit, malah juga akan mempunyai pasukan dalam perlumbaan sulung motosikal elektrik FIM Enel MotoE. Perkara ini diumumkan selepas ahli jawatankuasa MotoE mengadakan pertemuan di litar Red Bull Ring.

    Dengan penyertaan SIC, kini pasukan yang akan bertanding dalam perlumbaan MotoE keseluruhannya menjadi 12 pasukan, dan di garis permulaan nanti akan ada 18 buah motosikal (ada pasukan yang mempunyai dua motosikal). Setakat ini, sesi ujian untuk pasukan ini ditetapkan pada 23-25 November 2018, 13-15 Mac 2019 dan 23-25 April 2019.

    Nama pasukan yang akan menyertai perlumbaan ini adalah Tech 3 Racing, LCR Team, Pramac Racing, Esponsorama Racing, Gresini Racing, Angel Nieto Team, Sepang International Circuit (SIC), Marc VDS Racing Team, Ajo Motorsport, Pons Racing, Dynavolt Intact GP dan SIC58 Squadra Corse.

    Untuk penaja pula, selain Enel dan Energica, mereka akan disertai oleh Michelin sebagai pembekal tayar dan DHL sebagai rakan kongsi logistik. Bagi bahagian teknikal, Dell’Orto, Regina, Brembo, Marchesini dan Öhlins semuanya telah bersetuju untuk terlibat sama.

    Sekarang ini, bahagian penting yang masih belum diumumkan adalah di mana perlumbaan ini akan berlangsung dan siapakah pelumba yang akan digunakan oleh semua pasukan ini. Menurut MotoE, perkara ini akan diumumkan semasa pusingan ke-13 MotoGP yang akan berlangsung 9 September ini di Misano, Itali.

     
     
  • Toyota Camry Sports dijual di Jepun – dari RM136k

    Toyota Camry Sports dijual di Jepun – dari RM136k

    Toyota Camry terkini sudah berada dalam pasaran Jepun lebih daripada satu tahun. Bagi menjadikan sedan segmen D ini lebih segar, Toyota telah memperkenalkan varian Camry Sports. Rupa yang lebih sporty untuk Camry ini sebelum ini hanya boleh didapati di pasaran Amerika Syarikat dan Australia, tapi kini akhirnya berada di Jepun sendiri.

    Rekaan luar model ini juga lebih agresif berbanding Camry standard, dengan motif berbentuk X warna hitam berkilat di bahagian depannya, bersama bukaan udara yang lebih besar, side skirt lebih ke dalam, bukaan udara hiasan di bawah lampu belakang, spoiler di hujung but serta diffuser dengan dua muncung ekzos.

    Bahagian dalam pula mendapat kemasan hiasan warna metalik serta pedal penukar gear. Untuk enjin, Camry ini masih lagi menggunakan unit hibrid sama seperti sebelum ini, yang terdiri daripada enjin petrol 2.5 liter Dynamic Force 178 hp/ 221 Nm yang digabungkan bersama motor elektrik 120 PS/ 202 Nm, seterusnya menghasilkan kuasa keseluruhan 211 PS. Penggunaan bahan api pula terletak sekitar 33.4 km dalam kitaran JC08.

    Camry Sports ditawarkan dalam dua varian iaitu WS (menurut Toyota bermaksud “Worldwide” dan “Sports”) dan WS Leather Package yang lebih tinggi dengan tempat duduk kulit, rim 18 inci dua tona, head-up display, tempat duduk larasan kuasa di hadapan dan sistem navigasi T-Connect.

    Harga untuk model ini terletak antara 3,672,000 yen (RM135,900) untuk model WS dan 4,341,600 yen (RM160,600) untuk WS Leather Package. Keseluruhannya 10 warna luar ditawarkan untuk model ini, termasuk warna dua tona yang menggabungkan Platinum White Pearl Mica, Emotional Red dan Dark Blue Mica Metallic dengan bumbung Attitude Black Mica.

     
     
  • Fasa 1 Penang Sentral akan beroperasi hujung 2018

    Fasa 1 Penang Sentral akan beroperasi hujung 2018

    Fasa pertama bagi hab pengangkutan bersepadu Pulau Pinang yang dipanggil sebagai Penang Sentral akan mula beroperasi Disember tahun ini. Perkara ini dilaporkan oleh The Sun dan ketua menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu pembukaan terminal baru di Bagan Dalam bakal memberikan fasiliti lebih baik untuk pengangkutan awam di negeri itu.

    “Ia adalah satu langkah ke hadapan untuk meningkatkan sambungan pengangkutan awam, iaitu antara bas, keretapi dan feri,” kata Yeow kepada media sambil menambah feri dan keretapi adalah servis yang akan dinaik taraf berikutnya. “Kekerapan keretapi ke Pulau Pinang dan kawasan utara boleh ditambah, terutamanya servis komuter dari Butterworth ke Kamunting atau Butterworth ke Alor Star,” kata beliau.

    Selain daripada itu servis catamaran (kapal terbuka) juga akan diperkenalkan untuk melengkapi servis feri, dan Penang Sentral sudah mempunyai kawasan yang dikenal pasti untuk servis itu. Untuk laluan LRT yang dijangka menghubungkan pulau dan tanah besar Malaysia, Chow memberitahu lokasi hab spesifik telah dikenal pasti dan perincian lanjut akan diberitahu kelak.

    Penang Sentral dikatakan akan mengikut model KL Sentral, dan projek tersebut dilaksanakan oleh Penang Sentral Sdn Bhd di bawah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Ia terletak di atas tanah seluas 22.65 ekar (lebih 91,600 kaki persegi).

    Fasa 1 Penang Sentral akan beroperasi hujung 2018

    Menurut CEO syarikat, Shireen Iqbal, hab untuk bas, keretapi dan pengangkutan laut yang baru sahaja siap melibatkan kos sebanyak RM230 juta. “Keseluruhannya terdapat tujuh fasa untuk projek ini. Fasa dua, tiga dan empat adalah untuk hotel, pusat beli belah dan menara pejabat.” Tambah Shireen, nilai pembangunan kasar untuk keseluruhan projek ini adalah RM2.8 bilion.

    Untuk bahagian terminal itu sahaja, ia mempunyai lima tingkat, dan dijangka akan menerima antara 2,000 hingga 3,000 penumpang sehari. Apabila sudah bersepadu sepenuhnya nanti, ia boleh menampung jumlah penumpang lebih daripada itu. Terminal ini turut menempatkan ruang letak kereta empat tingkat, 38 petak untuk bas dan 55 lot kedai.

    Menurut perancangan, keseluruhan Penang Sentral akan siap pada tahun 2030, dan ia juga bakal menjadi hab untuk servis LRT di kawasan itu. Menurut Chow, ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai Pusat Transformasi Urban (UTC).

     
     
  • Kereta nasional 3.0 tak jejas beban trafik – Menteri

    Kereta nasional 3.0 tak jejas beban trafik – Menteri

    Lagi input dari kerajaan berkenaan rancangan untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga hasil cetusan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed – menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Ignatius Darell Leiking, projek tersebut tidak akan menjejaskan polisi kerajaan untuk mengurangkan kesesakan trafik dalam negara, lapor Bernama.

    Menurutnya, ini kerana kerajaan akan meneruskan rancangan menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien untuk mengurangkan kesesakan di samping menjadikan industri automotif lebih berdaya saing.

    “Saya yakin dengan menggariskan polisi baharu dan menyediakan pengangkutan awam yang efisien, rakyat akan memilih menggunakan kemudahan awam yang lebih efektif,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Leiking turut menjawab soalan Rozman mengenai tarikh pelancaran kereta nasional itu dengan menyatakan bahawa rancangan tersebut masih pada peringkat cadangan. Jika pelancaran itu menjadi nyata, selain daripada insentif percukaian, insentif menarik lain akan diberikan kepada pengusaha mengikut polisi yang terkandung Dasar Automotif Nasional (NAP) 2018 yang akan diumum kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat, katanya lagi.

    Kereta nasional 3.0 tak jejas beban trafik – Menteri

    Idea untuk mewujudkan kereta nasional ketiga ini telah dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika satu persidangan di Jepun Jun lalu, selepas Proton dikatakan kini tidak lagi sebuah jenama kereta nasional Malaysia.

    Namun ia tidak mendapat reaksi yang kurang positif dari pelbagai pihak seperti pemain industri dan juga ahli politik dari blok kerajaan. Tetapi projek berkenaan nampaknya akan teruskan apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menyatakan bahawa projek tersebut akan muncul menjelang tahun 2020.

    Ketika Perdana Menteri berkunjung ke Jepun sekali lagi awal bulan ini, beliau mendedahkan bahawa projek tersebut bakal menerima bantuan teknikal dari pembuat-pembuat kereta Jepun termasuk Nissan, Toyota dan Daihatsu – walaupun Daihatsu telah diketahui telah beroperasi di Malaysia bersama Perodua, dan ia sememangnya di bawah syarikat induknya iaitu Toyota.

    Dilaporkan juga bahawa MITI sendiri turut akan mengambil kira idea dan input untuk projek berkenaan di dalam semakan semula terhadap Dasar Automotif Nasional (NAP) yang dijangka akan siap pada penghujung tahun ini, manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula menyatakan projek ini akan hanya menggunakan dana sektor swasta.

     
     
  • BMW Group Malaysia eksport MINI Countryman F60 ke Thailand – dua varian Cooper S, harga dari RM260k

    BMW Group Malaysia eksport MINI Countryman F60 ke Thailand – dua varian Cooper S, harga dari RM260k

    BMW Group Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bakal mengeksport MINI Countryman F60 ke Thailand, dan ini adalah satu inisiatif hasil daripada Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) yang mempromosi perniagaan antara ASEAN. Menurut Bangkok Post, disebabkan ini langkah eksport ini, harga Countryman di negara itu dapat diturunkan sehingga THB 460,000 (RM57k).

    Sekarang, SUV Countryman akan ditawarkan dalam dua varian, iaitu Cooper S Countryman dan Cooper S Countryman Hightrim. Kedua-dua model ini dipasang di kilang di Kulim, Kedah. Cooper S Countryman versi permulaan dijual pada harga THB 2,299,000 (RM259,557) termasuk cukai Value Added Tax (VAT) – sekitar RM27k lebih mahal daripada Cooper S Countryman Sports di Malaysia, tetapi ini adalah perbandingan dengan harga tanpa GST.

    Melihat kepada spesifikasi, model yang dieksport ke Thailand mempunyai kelengkapan seperti lampu utama LED dengan lampu siang LED, warna luar dua tona serta rim aloi 18 inci Pair Spoke. Masuk ke dalam pula terdapat trim hitam berkilat bersama tempat duduk yang dibalut kulit Cross Punch Carbon warna hitam, serta skrin infotainmen sesentuh 6.5 inci dengan ciri MINI Connected.

    Pergi kepada Cooper S Countryman Hightrim pula, ia dijual pada harga THB 2,499,000 (RM282,137), dan mendapat pek Chrome Line serta tambahan kamera undur dan cermin pandang belakang elektrokromik. Parking Assist datang secara standard untuk kedua-dua model, tetapi varian Hightrim turut mendapat tambahan rim 19 inci Edged Spoke, head-up display berwarna, skrin sesentuh 8.8 inci yang lebih besar dan sistem bunyi Harman Kardon. Ia juga dipasang dengan pakej MINI Yours Piano Black Illuminated yang menambah lampu suasana pelbagai warna dan MINI Connected.

    BMW Group Malaysia eksport MINI Countryman F60 ke Thailand – dua varian Cooper S, harga dari RM260k

    Kedua-dua model menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter dengan teknologi MINI TwinPower Turbo yang sama, dan ia mampu menghasilkan 192 h pdan 280 Nm tork. Kuasa disampaikan ke roda hadapan melalui transmisi automatik lapan kelajuan, dan membolehkan kenderaan ini memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 224 km/j.

    Langkah eksport ini tidak termasuk model Cooper S E Countryman All4, yang merupakan model plug-in hybrid pemasangan tempatan yang menggunakan enjin sama seperti BMW i8 tetapi kuasanya ditala sedikit rendah. Kuasa utama datang daripada enjin tiga silinder petrol 1.5 liter turbo 134 hp dan 220 Nm tork, dan disokong dengan motor elektrik 87 hp/ 165 Nm, seterusnya menghasilkan kuasa keseluruhan 221 hp dan 385 Nm tork.

    GALERI: MINI Cooper S Countryman Sports di Malaysia


    GALERI: MINI Cooper S E Countryman All4 F60 di Malaysia

     
     
  • Daihatsu Gran Max 1.5L Automatik akan dilancarkan di Malaysia – kini sudah boleh ditempah, RM69,888

    Daihatsu Gran Max 1.5L Automatik akan dilancarkan di Malaysia – kini sudah boleh ditempah, RM69,888

    Setelah berada lapan tahun dalam pasaran, Daihatsu Malaysia bakal memperkenalkan Panel Van Daihatsu Gran Max 1.5L dalam versi automatik ke pasaran tempatan. Belum lagi dilancarkan secara rasmi, namun untuk pelanggan yang berminat, van komersial berkenaan kini sudah pun boleh ditempah menerusi pengedar-pengedar rasmi jenama tersebut, bakal dijual pada harga RM69,888.

    Serentak dengan itu, Daihatsu turut mengumumkan pakej servis penyelenggaraan percuma selama satu tahun kepada pelanggan yang membuat tempahan bermula 16 Ogos hingga 30 September ini.

    Van pacuan roda belakang ini dijana dengan enjin 1.5L DOHC DVVT 3SZ-VE, sama seperti Perodua Myvi generasi kedua menghasilkan kuasa 95 hp dan tork maksima 134 Nm. Menurut Daihatsu, model dengan transmisi automatik berkenaan tidak mempunyai masalah untuk membawa badan bersama beban pada angka mencecah 2,000 kg.

    Ia direka dengan radius pusingan stereng 4.7 meter bagi memudahkan pergerakan di dalam bandar, manakala untuk keselamatan ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, dua beg udara SRS di hadapan, serta kolum stereng terlipat sendiri ketika kemalangan. Setiap pembelian van panel ini disertakan sekali dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km yang masa sampai dulu.

     
     
  • Sebahagian BMW dengan enjin diesel diharamkan dipandu di Korea Selatan kerana kerap terbakar

    Sebahagian BMW dengan enjin diesel diharamkan dipandu di Korea Selatan kerana kerap terbakar

    Kementerian pengangkutan Korea Selatan menyatakan mereka akan mengharamkan sekitar 20,000 unit model keluaran BMW berikutan 27 kes kebakaran di negara berkenaan, lapor Automotive News Europe. Insiden tersebut mendorong BMW Korea untuk mengeluarkan kenyataan meminta maaf, serta membuat panggilan semula terhadap 106,000 unit model yang dijana enjin diesel, termasuk 520d.

    “Saya menyeru agar pemilik kenderaan BMW yang terlibat dengan panggilan semula tersebut untuk bekerjasama bagi mengelakkan kemalangan yang lebih besar,” kata menteri pengangkutan Korea Selatan Kim Hyun-mee. Pemilik kereta yang terlibat boleh memandu kereta mereka untuk membuat pemeriksaan keselamatan, dan pengharaman ini adalah untuk mempercepatkan proses pemeriksaan dan bukan untuk menghukum pemilik, jelas menteri berkenaan.

    Arahan pengharaman ini berkuatkuasa sejurus sahaja para pemilik berkenaan menerima surat notis, yang telah pun bermula pada 15 Ogos, kata menteri tersebut lagi. BMW telah pun mengenalpasti masalah yang menyebabkan kebakaran tersebut – berpunca dari kerosakan pada sistem kitaran semula gas ekzos (EGR), manakala kerajaan Korea Selatan sendiri sedang menjalankan siasatan berasingan dan mungkin akan mengambil tindakan undang-undang jika perlu.

    Isu yang sama sebenarnya turut menjejaskan model-model janaan diesel BMW pada pasaran Eropah, di mana jenama tersebut kini telah pun mengeluarkan ‘kempen teknikal’ di benua berkenaan.

    Laporan Automotive News Europe berkenaan turut menyatakan bahawa BMW merupakan jenama asing kedua terlaris di Korea Selatan selepas Mercedes-Benz dengan mencatatkan jualan 59,624 unit tahun lalu. Angka berkenaan dilihat naik sekali ganda berbanding lima tahun lalu.

     
     
  • BMW Z4 2019 – gambar rasmi varian M40i G29 tersebar

    BMW Z4 2019 – gambar rasmi varian M40i G29 tersebar

    Mungkin banyak yang telah diperkatakan tentang BMW Z4 2019, dan gambar waktu ia sedang diuji dengan badan yang penuh pelekat camouflage juga sudah banyak tersebar. Tapi kali ini, anda dapat melihat rupa penuhnya melalui gambar rasmi yang tersebar di internet. Roadster generasi ketiga ini akan diperkenalkan secara rasmi semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance di California 23 Ogos ini.

    Dalam gambar ini adalah Z4 G29 yang paling tinggi iaitu varian M40i, dicat dengan warna merah, yang kami jangkakan adalah warna utama untuk model ini. Bentuk asasnya masih mengikuti rekaan model konsep yang ditunjukkan tahun lepas, dan ia juga mempunyai gril kidney dengan jejaring Y di dalam serta lampu siang LED “corona ring“.

    Memandangkan M40i ini adalah model M Performance yang duduk hanya sedikit di bawah versi prestasi penuh M, ia menerima bukaan udara di bampar hadapan yang lebih sporty dengan bentuk U yang lebih besar, bukaan udara hiasan di bampar belakang dan diffuser yang besar bersama dua muncung ekzos.

    Berbeza dengan gambar yang pernah tersebar sebelum ini yang menggunakan rim hitam berkilat, Z4 M40i dalam gambar rasmi ini pula menggunakan rim berwarna cerah, dengan rekaan lima cabang dan angkup brek berwarna biru. Selain daripada itu, kita juga dapat melihat sedikit bahagian kabin.

    Rekaan yang diguna pada bahagian dalam jelas memberikan fokus kepada pemandu dan butang kawalan yang terdapat di tengah adalah lebih ringkas. Atas pada corong pendingin hawa, terdapat skrin infotainmen yang lebar dan kelilingnya ada kemasan satin.

    Bahagian konsol tengah dan tombol gear pula sama seperti 8 Series Coupe, tetapi ia menggunakan tombol kawalan iDrive berbentuk biasa dan bukannya kaca seperti model mewah tersebut. Panel meter digital di hadapan pemandu pula kelihatan sama seperti BMW Live Cockpit Professional yang terdapat pada model 8 Series, kecuali logonya. Stereng juga kelihatan sama.

    BMW Z4 2019 – gambar rasmi varian M40i G29 tersebar

    BMW Z4 baru ini dibangunkan bersama dengan Toyota dan akan berkongsi platform, komponen serta enjin dengan Supra akan datang. Walaupun begitu, keduanya dikata akan mempunyai gaya dan tetapan prestasi yang berlainan. Selain daripada itu, Supra akan dijadikan sebagai sebuah coupe manakala Z4 pula mempunyai bumbung boleh buka.

    Sebelum ini juga BMW telah memberitahu model M Performance Z4 ini akan mempunyai enjin enam silinder sebaris yang “sangat berkuasa” (berkemungkinan unit 3.0L twin-scroll turbo yang dipadankan bersama transmisi auto lapan kelajuan), suspensi sport dengan penyerap kawalan elektronik, gandar hadapan baru, rim aloi ringan M dengan tayar berbeza saiz depan dan belakang, sistem brek sports M dan differential belakang yang boleh dikunci secara elektronik.

     
     
  • Volvo AWD terima talaan lebih kuasa ke gandar belakang dengan perisian Polestar Optimisation

    Volvo AWD terima talaan lebih kuasa ke gandar belakang dengan perisian Polestar Optimisation

    Sebelum ini Polestar telah dilaporkan dipisahkan dari Volvo bagi membolehkan mereka membina kereta sport dengan lencana sendiri. Namun nampaknya jenama tersebut masih lagi menala kereta-kereta keluaran Volvo seperti S60 T8 Polestar Engineered yang baharu diperkenalkan, dan terkini perisian Polestar Optimisation yang dikemaskini pada model-model AWD membolehkan lebih tork dialirkan ke gandar belakang.

    Talaan berkenaan membolehkan kereta-kereta tersebut beraksi lebih seperti model pacuan belakang dan menurut Volvo, ia akan memperbaiki kawalan ketika masuk dan di tengah serta semasa keluar selekoh, seterusnya memberikan pemanduan yang lebih menyeronokkan.

    Aliran kuasa lebih ke belakang ini dapat diaktifkan dengan memilih mod pemanduan Dynamic atau dengan mematikan kawalan stabiliti elektronik. “Kami sentiasa menala aspek pengalaman pemanduan untuk kereta Volvo dan tingkat taraf ini membuatkan sistem pacuan semua roda lebih lancar dan lebih dinamik,” kata naib presiden R&D Volvo Henrik Green.

    Volvo AWD terima talaan lebih kuasa ke gandar belakang dengan perisian Polestar Optimisation

    Volvo XC90 T8 Twin Engine with Polestar Performance Optimisation

    Selain kemaskini terbaharu ini, perisian talaan Polestar Optimisation turut menawarkan lima lagi talaan untuk memberikan prestasi pemanduan lebih baik, termasuk respon pendikit lebih tajam, tukaran gear lebih pantas, talaan kedudukan gear lebih baik dan gear di tahan lebih lama diselekoh, serta mengekstrak leboh kuasa dari enjin.

    Walau bagaimanapun, talaan kemaskini ini hanya diberikan untuk model AWD konvensional Volvo, tidak termasuk model AWD hibrid yang menggerakkan gandar belakang menggunakan motor elektrik kerana sistem berkenaan sudahpun mempunyai talaan sedemikian. Sistem ini bakal ditawarkan untuk pemilik-pemilik Volvo siri 90, siri 60 dan XC40 yang dijana enjin petrol dan diesel bermula Ogos 2018.

     
     
  • Hyundai Grand Starex facelift dilancarkan di Thailand

    Hyundai Grand Starex facelift dilancarkan di Thailand

    Hyundai Grand Starex versi facelift yang terbaru sudah pun dilancarkan di Thailand, di mana versi yang mempunyai 11 tempat duduk dipanggil sebagai H-1 manakala yang mempunyai tujuh tempat duduk dipanggil Grand Starex. Thailand menerima kenderaan ini beberapa bulan selepas ia diperkenalkan di Indonesia.

    Grand Starex facelift tidak lagi menggunakan lampu utama susunan menegak seperti dulu, sebaliknya hadir dengan lampu utama LED projektor trapezoid melintang. Gril besar masih lagi kekal dengan saiz seperti sebelumnya. Ruang masukan udara di bawah turut direka semula (dengan DRL LED), manakala di belakang, ia menggunakan bampar serta lampu rekaan baru.

    H-1 facelift pasaran Thailand ditawarkan dalam tiga pilihan trim – Touring, Elite dan Deluxe – dan ditambah dengan kelengkapan termasuk kawalan pendingin hawa automatik, tempat duduk berliang dengan ciri pemanas, roda stereng yang boleh dilaras tilt/telescopic dan unit skrin sesentuh dengan pandangan atas 360 darjah untuk varian tinggi.

    Hyundai Grand Starex facelift dilancarkan di Thailand

    Turut ditawarkan adalah lampu utama automatik, dua pintu gelungsur, cruise control, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng balutan kulit, skrin LCD pada bumbung, lampu puddle dan pelbagai lagi. Dalam senarai keselamatan, terdapat empat beg udara, ABS dan ESP. Sama seperti pasaran Indonesia, Thailand juga tidak mendapat papan pemuka rekaan baru yang diperkenalkan untuk model di Korea.

    Grand Starex facelift mempunyai jumlah tempat duduk yang kurang, tetapi memberikan lebih ruang dan kemewahan. Dengan kurangnya satu barisan tempat duduk, barisan kedua pula menempatkan dua tempat duduk kapten (berasingan) dan ia berhadapan dengan “kaunter hiburan” bersama skrin sebesar 22 inci. Turut diberi adalah kotak simpanan, lampu suasana serta pemain DVD Pioneer.

    Kedua-dua H-1 dan Grand Starex masih dikuasakan enjin sama iaitu unit 2.5 liter turbodiesel 175 PS dan 441 Nm tork yang dipadankan bersama kotak gear automatik lima kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang. Pada bahagian roda, Starex baru ini menggunakan rim saiz 17 inci, iaitu satu inci lebih besar berbanding pada H-1.

    Harga pula terletak antara 1.329 ke 1.729 juta baht (RM163,554 to RM212,780) untuk H-1, dan 2.349 hingga 2.399 juta baht (RM289,081 to RM295,228) untuk Grand Starex. Harga ini mungkin kedengaran mahal bagi kita tetapi Hyundai masih mempunyai harga yang rendah berbanding pesaingnya seperti Volkswagen Caravelle T6 dan Mercedes-Benz V-Class di Thailand. Pasangan Toyota Alphard dan Vellfire pula adalah model yang lebih canggih.

    Minggu lepas kami sudah paparkan Grand Starex facelift yang dijumpai di pameran GIIAS dan ia mempunyai kelengkapan hampir sama seperti model yang diperkenalkan di Thailand, kecuali tiada “kaunter hiburan” untuk model tujuh tempat duduk itu. Model ini juga akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.

    GALERI: Hyundai Grand Starex facelift di GIIAS 2018

     
     
  • Harga RON 97 bagi 16-22 Ogos naik 4 sen – RM2.65

    Harga RON 97 bagi 16-22 Ogos naik 4 sen – RM2.65

    Selepas turun sebanyak 3 sen minggu lalu, harga petrol RON 97 bagi minggu 16 hingga 22 Ogos akan naik pula sebanyak 4 sen, menjadikan harga runcit terbarunya ialah RM2.65 seliter.

    Harga bahan api lain pula masih kekal sama disebabkan diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini. Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • SPYSHOT: SUV Volvo XC40 dijumpai di Malaysia – dengan lencana T5 dan kemasan luaran R-Design

    SPYSHOT: SUV Volvo XC40 dijumpai di Malaysia – dengan lencana T5 dan kemasan luaran R-Design

    Anda sedang menunggu ketibaan SUV kompak Volvo XC40 ke Malaysia? Ini mungkin petanda awal bahawa tempoh menunggu tersebut semakin hampir kerana dua orang pembaca kami – Amirul dan SK Teoh – telah terserempak dengan crossover berkenaan di Ipoh. Bukan hanya sebuah, tetapi sekurang-kurangnya tujuh unit dalam pelbagai warna serta telah didaftarkan dengan nombor pendaftaran ‘V’ baharu.

    Berdasarkan pelekat nombor yang ditampal pada sudut cermin hadapan, kesemua SUV tersebut mungkin sedang digunakan untuk sesi pandu uji untuk media atau pelanggan yang diaturkan oleh Volvo Car Malaysia (VCM) sendiri. Ini juga mungkin petanda paling jelas bahawa ia akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Set imej ini juga mungkin memberikan petanda barisan model XC40 yang akan ditawarkan di sini. Kesemua SUV berkenaan nampaknya diberikan dengan kemasan R-Design, dikenalpasti menerusi gril hadapan berwarna hitam kilat, tip ekzos berkembar dan juga spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang. Ia juga dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar, bersama lencana T5 di belakang.

    Volvo XC40 T5 dijana oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo Drive-E yang menghasilkan 247 hp dan tork maksima 350 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Geartronic, dengan sistem pacuan semua roda ditawarkan sebagai opsyen. Walau bagaimanapun, untuk model yang ditemui ini masih belum jelas adakah ia dari versi pacuan semua roda atau AWD.

    Setakat ini untuk pasaran global, hanya model T4 dan T3 hadir tanpa pilihan sistem AWD. Volvo juga sebelum ini telah mendedahkan model XC40 yang dijana unit plug-in hybrid T5 Twin Engine, tetapi masih lagi belum jelas sama ada ia akan di bawa ke Malaysia atau tidak.

    Jika dilihat dari trend strategi yang digunakan oleh VCM sebelum ini, setiap model baharu akan ditawarkan dalam bentuk unit CBU yang diimport sepenuhnya, kemudian versi CKD pemasangan tempatan akan tampil selepas itu. SUV yang telah meraih anugerah Kereta Tahunan Eropah 2018 ini bakal memberikan cabaran kepada BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA dan kami jangkakan ia akan dijual pada harga bermula RM250k hingga RM300k.

    GALERI: Volvo XC40 T5 pasaran Singapura

     
     
  • Borgward BX5 akan dilancar di Malaysia 30 September

    Borgward BX5 akan dilancar di Malaysia 30 September

    Nampaknya Borgward BX5 bakal dilancarkan di Malaysia secara rasmi pada 30 September ini, kerana dalam laman web rasmi Borgward Malaysia sekarang, sudah ada kiraan mengundur yang pada hari ini menunjukkan 45 hari lagi.

    Kami berpeluang mendekati model SUV lima tempat duduk BX5 ini buat pertama kali April lalu, semasa sebuah model panduan sebelah kiri dipamerkan semasa satu acara. SUV ini menggunakan enjin empat silinder 1.8 liter turbo dengan kuasa 190 PS dan 280 Nm tork. Kuasa ini disampaikan ke semua tayar melalui transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda. Di China, terdapat juga varian BX5 yang menggunakan enjin 1.4 liter turbo.

    Untuk saiz, BX5 mencatat panjang 4,490 mm, lebar 1,877 mm dan tinggi 1,675 mm, manakala jarak roda pula adalah 2,685 mm. Semasa pameran itu, BX5 turut ditemani model Borgward yang lebih besar iaitu BX7 sekaligus seakan memberi petunjuk ia mungkin adalah model yang akan diperkenalkan seterusnya.

    Walaupun begitu, spesifikasi lengkap untuk model yang dibawa ke Malaysia masih belum disiarkan dan informasi selebihnya hanya akan didapati apabila kenderaan itu dilancarkan nanti. Tetapi, kami ada diberitahu bahawa BX5 akan dipasang di dalam negara (CKD) dan harga tidak rasminya berada di sekitar RM100k.

    Pada bulan Mei tahun ini, Borgward juga telah menandatangani persetujuan dengan Go Bremen Motors yang dilantik sebagai pengilang dan pengedar kenderaan Borgward untuk pasaran Malaysia serta beberapa pasaran lain Asean yang terpilih.

    Borgward asalnya merupakan sebuah jenama berasal dari Jerman, yang beroperasi sejak tahun 1919 lagi. Namun, pada 1961, syarikat berkenaan menghentikan oeprasinya. Kemudian, pada tahun 2015, sebuah syarikat dari China Beiqi Foton Motor yang merupakan anak syarikat BAIC Group menghidupkan semula jenama ini – Borgward BX7, yang dipamer ketika Frankfurt Motorshow 2015 menjadi titik mula kepada kebangkitan itu.


    GALERI: Borgward BX5


    GALERI: Borgward BX7

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025