Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Bagi tempoh suku pertama 2018 (Q1 2018), Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mencatatkan jualan sebanyak 3,335 unit kenderaan di negara ini. Angka ini juga merupakan peningkatan 13.2% berbanding tempoh sama tahun lalu, yang mencatatkan 2,945 unit.

    Secara keseluruhannya, tahun ini merupakan prestasi terbaik MBM bagi tempoh suku pertama berbanding tahun-tahun sebelum ini. Sebagai pecahan, turut menjadi rekod terbaru pada bulan Januari dan Februari, dengan masing-masing mencatatkan jualan 1,200 unit serta 1,185 unit.

    Dengan prestasi suku pertama terbaru yang dicapai ini juga telah membolehkan MBM meningkatkan kadar perkongsian pasarannya sebanyak 5% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu – kini dengan 2.8%. MBM juga kekal menjadi jenama kenderaan premium nombor satu di sini.

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Pertumbuhan jualan paling tinggi dicatatkan bagi segmen kenderaan kompak Mercedes-Benz – dengan model GLA menjadi antara yang mencatatkan penerimaan paling tinggi dari pelanggan – yang mencatatkan jualan sebanyak 596 unit bagi tempoh Q1 2018. Ini diterjemahkan kepada peningkatan sebanyak 37.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Segmen yang mencatatkan kadar pertumbuhan kedua tertinggi ialah barisan SUV premium jenama itu. Sebanyak 675 unit kenderaan dari segmen ini berjaya dijual – dengan peningkatan sebanyak 13.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Segmen limosin pemasangan tempatan MBM juga menyaksikan peningkatan sebanyak 8% berbanding tahun lalu, dengan jualan mencecah 1,965 unit bagi suku pertama tahun ini. Barisan kenderaan “Dream Car” Mercedes-Benz pula terjual sebanyak 94 unit, dengan pertumbuhan minimal 1.1% berbanding Q1 tahun lalu.

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Khidmat pembiayaan kenderaan yang ditawarkan MBM kepada pelanggan mereka pula mencatatkan jumlah RM2.4 bilion sejak penghujung 2017, dengan purata empat daripada 10 kenderaan Mercedes-Benz yang dijual, pelanggan akan memilih perkhidmatan pembiyaan berkenaan.

    Bagi perkhidmatan lepas jualan, seluruh rangakaian pengedar MBM telah melakukan servis terhadap 36,000 kenderaan sepanjang Q1 2018 ini. Itu merupakan kenaikan sebanyak 18% berbanding tahun lalu. Setakat ini, MBM mempunyai 33 rangakaian pengedar di seluruh negara.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Supra generasi baharu terima paparan instrumen digital berbeza dari BMW Z4

    SPYSHOT: Toyota Supra generasi baharu terima paparan instrumen digital berbeza dari BMW Z4

    Menerusi gambar-gambar intipan sebelum ini, prototaip Toyota Supra generasi baharu dilihat menggunakan komponen dalaman yang sama dengan kembarnya, BMW Z4. Manakala menerusi pendedahan model konsep perlumbaan Gazoo Racing Supra yang didedahkan bulan lalu, bentuk asas papan pemuka jentera berkenaan pula kelihatan.

    Menerusi imej spyshot yang baharu kami terima ini nampaknya Supra sudahpun diberikan panel instrumen digital khas yang direka untuknya – menampilkan takometer sebagai watak utama diletakkan pada bahagian tengah. Namun pada bahagian lain seperti roda stereng, pedal penukar gear, skrin infotaimen utama dan juga tombol gear nampaknya masih sama seperti BMW.

    Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster. Ogos tahun lalu, BMW telah pun mendedahkan model BMW Concept Z4 di Pebble Beach Concours D’Elegance, yang memberikan gambaran paling hampir bagaimana rupa versi produksi sebenar nanti.

    Sebelum ini juga CEO BMW Group Australia Marc Werner pernah memberitahu portal CarAdvice bahawa kedua-dua kereta tersebut bukan hanya berbeza dari segi rekaan, malah pemanduan antara kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“ sebenar.

    Namun sehingga kini, tiada lagi perincian teknikal menyeluruh dari Toyota berkenaan Supra tersebut. Tetapi, ketua jurutera Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) mengesahkan Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

    Tada juga menjelaskan bahawa Supra generasi baharu ini tidak akan hadir dengan kotak gear manual – dijangka mungkin akan diberikan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF seperti Z4 atau kotak gear automatik klac berkembar.

     
     
  • CEO AMG, Tobias Moers beritahu akan keluarkan A35

    CEO AMG, Tobias Moers beritahu akan keluarkan A35

    Kali terakhir ketua pegawai eksekutif Mercedes-AMG, Tobias Moers berkata tentang model AMG permulaan, beliau sekadar menyatakan “kami akan melihat kepada pesaing, dan siapa yang akan dijadikan sebagai tanda aras. Kemudian, barulah kami akan membangunkan A 35 mengikut tugasnya untuk menetapkan pula tahap yang baru.” Menurut Car and Driver, langkah itu telah pun selesai, dan A 35 sedia untuk bersaing dengan model seperti Audi S3.

    Sekarang ini, terdapat jurang yang besar dalam penawaran kenderaan kompak Mercedes-Benz, terutamanya di antara A 250 dan A 45 – sama juga dengan CLA dan GLA. Varian 250 menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter berkuasa 218 hp dan 350 Nm tork, manakala versi AMG 45 mendapat enjin 2.0 liter turbo berkuasa 381 hp dan 475 Nm tork. Melalui A-Class W177 yang baru diperkenal, AMG juga bercadang untuk mengisi ruang antara varian 250 dan 45 ini dengan model 35.

    Berkata tentang A-Class Sedan yang akan datang, Moers memberitahu “memang akan ada AMG 45 baru, tetapi ia juga akan ditambah dengan AMG 35 dengan kuasa sekitar 300 hp.” Sudah tentu, perkara yang sama juga boleh dijangka dilakukan pada model CLA dan GLA.

    CEO AMG, Tobias Moers beritahu akan keluarkan A35

    Untuk model AMG 45, Moers masih belum mahu memberitahu perincian seperti jumlah kuasa, tetapi enjin baru padanya dijangka dapat menghasilkan sehingga 400 hp dan mengatasi Audi RS3 yang menggunakan enjin lima silinder 2.5 liter turbo dengan kuasa 400 hp.

    Mengikut laporan juga, AMG 35 turut akan menggunakan enjin M133 seperti A 45, dan bukannya M260 yang dinaik taraf. Ia dijangka dapat diperkenalkan kepada orang ramai hujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Adakah anda teruja dengan kemunculannya?

     
     
  • Toyota akan bangunkan kilang bateri hibrid di Thailand

    Toyota akan bangunkan kilang bateri hibrid di Thailand

    Menurut agensi berita Kyodo, Toyota kini sedang merancang untuk membina sebuah kilang bateri hibrid di Thailand, dan dijangka beroperasi pada tahun 2020. Keputusan ini dibuat kerana jumlah kenderaan yang menggunakan kuasa bateri dijangka meningkat di sana dengan adanya tafsiran cukai yang lebih mesra.

    Jualan di Thailand juga akan menjadi penyumbang kepada sasaran Toyota untuk menjual sebanyak 4.5 juta kenderaan hibrid dan plug-in hybrid (PHEV) menjelang tahun 2030. Bagi kilang di Thailand ini, ia hanya akan melakukan pemasangan untuk bateri tersebut sementara komponen utama untuk bateri masih lagi diimport.

    Langkah yang diambil oleh Toyota ini mengikuti langkah hampir sama yang dilakukan oleh Mercedes-Benz bulan lalu, di mana pengeluar kenderaan premium tersebut mengumumkan akan melabur lebih 100 juta euro (RM483 juta) untuk kilang di Thailand yang dibuka di Thailand dengan rakan kongsinya, Thonburi Automotive Assembly Plant.

    Pelaburan ini akan diguna untuk membesarkan lagi kilang pemasangan kenderaan yang sudah sedia ada di Samut Prakan, dan juga untuk membuka sebuah kilang pemasangan bateri hibrid baru di kawasan tersebut. Pengeluaran bateri lithium ion di situ akan bermula pada tahun 2019, untuk kenderaan PHEV yang dipasarkan di sana.

    Sejak kebelakangan ini, Thailand telah meletakkan banyak usaha untuk menarik pengeluar kenderaan untuk mengeluarkan kenderaan mesra alam seperti hibrid, PHEV dan EV di negara mereka, dan BMW juga seperti berminat untuk melakukan perkara sama. Tahun lepas, kerajaan Thailand juga telah mengumumkan hak istimewa promosi untuk pengeluar kenderaan. Toyota adalah yang pertama menerimanya bagi kategori hibrid, melalui C-HR Hybrid.

     
     
  • Ford Escort facelift 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Ford Escort <em>facelift</em> 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Kebanyakkan peminat Ford tahu bahawa legasi Escort tamat pada generasi keenam dan ia kemudiannya disambung oleh model Focus. Namun tahukah anda bahawa nama Escort telah di bawa ke China dan Ford menghasilkan model khas hanya untuk pasaran berkenaan? Model tersebut telah diperkenalkan buat pertama kali di republik berkenaan pada tahun 2014, dan model versi facelift 2017 Escort tersebut akan diperkenalkan pada Auto China di Beijing tahun ini.

    Untuk model facelift ini, Escort diberikan muka seakan sama dengan Fiesta dan Focus generasi baharu. Lampu hadapan xenon direka semula dengan rekaan lebih tirus, digandingkan dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C. Gril hadapan turut mendapat sentuhan semula, begitu juga dengan liang kemasukan udara dan juga perumah lampu kabus.

    Ford masih belum mendedahkan gambar untuk bahagian belakang, tetapi menurut kenyataan yang dikeluarkan, lampu belakang LED baharu diberikan yang menampilkan rekaan ‘two-piece‘ sehingga pada penutup but, manakala lampu kabus dialihkan ke bampar belakang. Menerusi gambar yang telah disiarkan ini pula, dapat dilihat Escort menerima antena sirip yu pada bahagian belakang serta model varian tinggi diberikan rim aloi baharu berdiameter 17-inci.

    Ford Escort <em>facelift</em> 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Gambar bahagian dalaman juga belum ditunjukkan sepenuhnya, namun Ford mendedahkan Escort akan menerima kluster instrumen dengan rekaan baharu, tema warna dua ton (kelabu dan hitam), serlahan aluminium satin serta kemasan-kemasan berkilat. Ia juga akan dilengkapkan dengan tempat duduk hadapan larasan berkuasa dan cermin sisi elektrik – kedua-duanya diberikan fungsi memori.

    Ciri lain yang turut disahkan pada model ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau automatik serta skrin sesentuh 8.0-inci untuk sistem infotainmen lengkap dengan kamera undur. Untuk keselamatan pula, Escort facelift kini diberikan sistem kawalan stabiliti elektronik, enam beg udara termasuk beg udara tirai serta sistem pemantau tekanan angin tayar – kesemua hadir sebagai ciri standard.

    Ford Escort <em>facelift</em> 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Enjin emapt silinder 1.5 liter NA Ti-VCT pada model ini telah dipertingkatkan – Ford mendakwa ia kini 16% lebih jimat bahan api dari sebelumnya. Buat pertama kali juga, Escort menerima enjin petrol turbo 1.0 liter tiga-silinder Ecoboost. Namun angka kuasa untuk kedua-dua enjin ini masih belum didedahkan. Pada model Fiesta, enjin 1.0 liter EcoBoost tersebut menghasilkan 125 PS/170 Nm, manakala versi lama 1.5 liter Ti-VCT pula menjana 113 PS/142 Nm.

    Kedua-dua enjin ini ditawarkan dengan opsyen sistem start/stop automatik. Manakala untuk transmisi pula, kedua-dua enjin boleh dipilih sama ada untuk digandinkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik konvensional SelectShift.

     
     
  • Harga bahan api 12-18 April – semua tiada perubahan

    Harga bahan api 12-18 April – semua tiada perubahan

    Seperti biasa pada hari Rabu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan harga bahan api untuk 12 hingga 18 April ini. Mungkin ramai yang sudah menjangka, dan ia memang pun berlaku – harga bahan api sekali lagi tidak berubah.

    Bermakna, ini adalah minggu ketiga harga bahan api tidak berubah, iaitu sejak 29 Mac yang lalu. Bermula esok, 12 April 2018, harga bahan api RON 95 masih lagi RM 2.20 seliter manakala RON 97 pula dijual pada harga RM2.47 seliter.

    Harga bahan api diesel juga sama seperti sekarang, iaitu Euro 2M pada RM2.18 seliter, diikuti RM2.28 seliter untuk diesel Euro 5 yang lebih bersih dan kurang sulfur.

     
     
  • Range Rover Velar akan dilancarkan di Malaysia bulan ini, guna enjin Ingenium 2.0L dengan kuasa 250 PS

    Range Rover Velar akan dilancarkan di Malaysia bulan ini, guna enjin Ingenium 2.0L dengan kuasa 250 PS

    Memang dah dinyatakan sebelum ini bahawa Jaguar Land Rover Malaysia (JLR) akan melancarkan model Range Rover Velar untuk pasaran tempatan pada suku kedua 2018. Terbaru, spesifikasi awal bagi model yang ditawarkan untuk Malaysia juga telah diketahui, dan khabarnya akan dilancarkan dalam bulan ini juga.

    Antara maklumat yang diketahui kini ialah model berkenaan akan ditawarkan dalam pilihan enjin Ingenium 2.0 liter empat-silinder turbocas petrol, yang mampu menghasilkan sebanyak 250 PS dan 365 Nm tork. Ia dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan daripada ZF derta sistem pacuan semua roda.

    Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada model ini nanti akan ditawarkan dalam tahap kemasan yang mana (asas, S, SE atau HSE) atau sama ada ia akan lengkap dengan kit penggayaan R-Dynamic atau sebaliknya.

    Range Rover Velar akan dilancarkan di Malaysia bulan ini, guna enjin Ingenium 2.0L dengan kuasa 250 PS

    Sistem AWD yang digunakan disokong oleh ciri Intelligent Driveline Dynamics (IDD), yang membantu memberikan cengkaman maksimum bagi kedua-dua pemanduan atas jalan biasa dan juga off-road. Sistem ini akan mengagihkan tork dari enjin ke roda belakang dan depan melalui transfer box dengan klac basah multi-plat yang diaktifkan secara elektro-mekanikal.

    Bermula dengan agihan tork 50:50, sistem ini berupaya menjadikannya 100% pacuan depan mahupun belakang, bergantung kepada keadaan semasa. Turut menjadi ciri standard ialah sistem Torque Vectoring by Braking yang mengurangkan kemungkinan situasi understeer dengan cara mengawal brek pada roda dalam ketika di selekoh.

    Rekabentuk luaran Velar sangat memikat sebagai sebuah SUV yang ranggi. Ia mempunyai kadar coefficient drag 0.32, menjadikannya model Land Rover paling aerodinamik yang pernah dihasilkan setakat ini. Dari aspek jarak antara roda, Velar mempunyai jarak 2,874 mm – berada di antara Evoque (2,660 mm) dan Range Rover Sport (2,923 mm).

    Senarai kelengkapan luaran pula termasuk lampu utama LED, pemegang pintu tersorok dan rim 21-inci; dengan empat corak sebagai pilihan. Di dalam, terdapat sistem Touch Pro Duo, dengan skrin 10-incinya membolehkan anda untuk melihat dan berinteraksi dengan pelbagai ciri yang ada dalam sistem infotainmen InControl dan sistem Terrain Response.

    Ciri lain yang turut melengkapi SUV ini adalah seperti Head-Up Display (HUD), Navigation Pro System, panel instrumen 12.3-inci Intercative Driver Display, sistem kamera keliling, bukaan pintu ruang belakang automatik dan Auto High Beam Assist.

    Dari aspek keselamatan, Velar datang dengan enam beg udara. Bagaimanapun, ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki tidak disertakan untuk pasaran Malaysia.

    Untuk perincian lanjut, kita nantikan sebaik sahaja Velar dilancarkan di sini nanti. Apa pun, tempahan untuk model ini sudah pun dibuka jika ada yang berminat untuk mendapatkannya lebih awal.

     
     
  • Lexus siar teaser model serba baharu – adakah ES?

    Lexus siar teaser model serba baharu – adakah ES?

    Lexus telah mengeluarkan satu imej teaser dengan tajuk “Expect the Unexpected”, dan ia menunjukkan bahagian depan sebuah kenderaan yang sudah bersedia untuk dilancarkan di Beijing Auto Show 25 April ini. Identiti model ini masih dirahsiakan, tetapi Lexus memberitahu ia “mensasarkan transformasi radikal pada pengalaman pemanduan pengguna mewah seluruh dunia.”

    Walaupun begitu, anda boleh melihat perincian yang terdapat pada gambar ini mempunyai persamaan dengan gambar Lexus ES 2019 yang bocor semalam. Jika benar itulah ia, model eksekutif saiz sederhana ini akan menggunakan rekaan inspirasi daripada model limo yang lebih besar iaitu Lexus LS.

    Jika dibandingkan dengan ES XV60 facelift sekarang (diperkenalkan pertama kali pada tahun 2015), model di dalam gambar ini menunjukkan bahagian hadapan yang lebih menonjol dan agresif. Grilnya juga lebih lebar dan mempunyai seperti dua tanduk yang bersambung dengan garisan di atas hud.

    Merujuk kepada gambar yang bocor sebelum ini pula, lampu hadapannya mempunyai rekaan lebih tajam, dan disertakan dengan lampu siang LED bersepadu. Lampu DRL itu juga mempunyai nyalaan yang lebih moden, dengan beberapa variasi grafik.

    Menurut khabar, Lexus ES 2019 ini akan menggunakan platform TNGA, sama seperti yang ada pada Toyota Camry terkini. Ini tentunya akan memberikan ruang yang lebih luas bagi ES. Untuk pasaran Amerika, Camry di sana turut ditawarkan dengan enjin V6 baru yang mungkin akan ditawarkan juga pada Lexus ES ini. Dan, seperti model Lexus yang lain, ada kemungkinan versi hibrid turut akan ditawarkan.

     
     
  • SUV pertama Proton – undian pemilihan nama dapat sambutan, ciri AEB juga sah akan turut ditawarkan

    SUV pertama Proton – undian pemilihan nama dapat sambutan, ciri AEB juga sah akan turut ditawarkan

    Selepas membuka undian kepada umum untuk memilih nama yang sesuai bagi SUV pertama Proton yang turut menyaksikan penawaran hadiah bernilai RM100,000, Proton menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan terhadap kempen berkenaan.

    Di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Proton memaklumkan, sepanjang sembilan hari pertama sahaja, mereka telah menerima sebanyak 69,000 maklum balas daripada pengguna internet. Bagi video yang dinaikkan pula, ia telah menerima 165,000 tontonan dan 1,000 perkongsian di Facebook.

    Lebih menarik, di dalam kenyataan media yang sama, Proton sekali lagi mengesahkan antara senarai kelengkapan dan ciri-ciri yang akan melengkapi model SUV terbabit. Terbaru, ciri brek kecemasan automatik (atau Autonomous Emergency Braking, AEB) disahkan turut akan ditawarkan.

    “Seperti yang telah kami kongsikan sedikit pada video promosi pertandingan ini, SUV ini akan dilengkapi ciri-ciri berteknologi canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera 3D 360 darjah dan pelbagai ciri keselamatan canggih yang lain seperti kawalan pelayaran adaptif, brek kecemasan automatik serta banyak lagi,” memetik kenyataan itu.

    SUV pertama Proton – undian pemilihan nama dapat sambutan, ciri AEB juga sah akan turut ditawarkan

    Sebagai habuan kepada pengguna yang ikut serta di dalam undian atas talian itu juga, lima pemenang akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang diundi. Hadiah yang bakal diterima pula terdiri daripada undangan ekslusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini yang terdapat pada SUV tersebut di litar ujian PROTON di Shah Alam.

    Selain itu, orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV berkenaan. Sekiranya nama yang mereka cadangkan itu terpilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai bagi 2 orang, termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.

    Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut.

     
     
  • Perodua Axia jika dibayangkan sebagai ‘mini Myvi’

    Perodua Axia jika dibayangkan sebagai ‘mini Myvi’

    September nanti, Perodua Axia akan berusia empat tahun berada dalam pasaran tempatan, sejak dilancarkan pada 2014. Untuk itu, adakah model berkenaan akan diberi pembaharuan? Mungkin gaya dan reka bentuk yang diambil dari Myvi?

    Itulah yang dilakukan oleh Theophilus Chin, melalui hasil imej render terbaru yang dihasilkannya. Kelihatan agak jelas, reka bentuk keseluruhan model bayangan ini meminjam sebahagian besar elemennya dari model Myvi sedia ada – lebih hampir kepada Perodua Myvi 1.3 Premium X.

    Bagaimanapun, perincian pada lampu utamanya serta rekaan gril diberi kelainan untuk membezakan kedua-dua model berkenaan. Grilnya terdiri dari elemen dua bahagian – yang bawah dalam warna hitam berkilat, sementara bahagian atas dalam warna krom.

    Di bahagian bawah lagi ialah kedudukan lampu kabus dengan kemasan krom (seperti yang pernah dilihat pada Axia SE dan Advance), dalam penampilan yang lebih menonjol jika dibandingkan dengan Myvi 1.3 Premium X.

    Perodua Axia jika dibayangkan sebagai ‘mini Myvi’

    Dari sisi, rim yang digunakan serta bentuk panel yang ada dipinjam terus dari Myvi, dengan pemegang pintu krom menyumbang elemen kontras pada profil tepinya.

    Bahagian belakang ada banyak kelainan. Antaranya, C-pillar kini lebih kurus berbanding Myvi. Ini membolehkan pandangan di belakang menjadi lebih jelas. Bumbung juga semakin rendah di belakang, memberikan imej yang lebih ranggi – turut terletak di situ ialah antena “shark fin”.

    Cermin belakang lebih condong berbanding pada Myvi. Bahagian rekaan lampu pula tampil ringkas sahaja. Sekali lagi, ia meminjam penampilan dari rekaan bahagian belakang Myvi. Dengan saiz yang lebih kecil untuk disesuaikan pada Axia, ia menyumbang kepada penampilan yang segar, lari dari imej Axia ketika ini.

    Anda rasa macam mana? Suka atau tidak dengan rekaan yang anda lihat ini?

     
     
  • Modenas siar teaser model Bajaj baru – Dominar 400?

    Setelah RS200, NS200 dan V15, nampaknya Modenas akan memperkenalkan satu lagi model Bajaj baru untuk pasaran Malaysia, apabila teaser untuknya disiar di laman Facebook mereka. Gambar teaser ini cuma menampakkan nyalaan lampu motosikal tersebut, tapi kami membuat jangkaan, ia adalah Dominar 400.

    Sebenarnya, gambar itu, apabila diterangkan sahaja sudah menampakkan bayang jelas Dominar 400, tetapi ketibaannya boleh dikata agak jelas kerana wakil media telah dibawa ke India untuk mencuba sendiri motosikal ini hujung tahun lalu.

    Ini termasuklah wakil kami dari laman Bahasa Inggeris, Mohan K Ramanujam dan anda boleh membaca pendapat awal beliau berkenaan Dominar 400 tersebut di sini. Beliau mencubanya bukan setakat di atas jalan biasa, malah litar tertutup milik Bajaj sendiri.

    Modenas siar teaser model Bajaj baru – Dominar 400?

    Bajaj Dominar 400 dikuasakan oleh enjin satu silinder 373 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Triple Spark dan DTS-i. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 35 PS pada 8,000 rpm dan 35 Nm pada 6,500 rpm, disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Ini adalah enjin yang sama dengan KTM Duke/RC 390, dan ia turut dilengkapi dengan meter jenis digital, fork teleskopik hadapan 43 mm, monoshock boleh laras di belakang, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dan lampu jenis LED sepenuhnya.

    Memandangkan KTM Duke dan RC 390 dijual dalam lingkungan harga RM29k, kami mensasarkan Modenas akan meletakkan harga Dominar 400 ini lebih rendah, mungkin sekitar RM20,000. Apa pendapat anda? Adakah yang ingin membeli Bajaj Dominar 400 ini pada harga tersebut?





     
     
  • Ford Focus Mk4 2019 – tiga gaya badan, enam varian, enjin EcoBoost/EcoBlue, automatik lapan-kelajuan

    Ford Focus Mk4 2019 – tiga gaya badan, enam varian, enjin EcoBoost/EcoBlue, automatik lapan-kelajuan

    Ford today introduces the all-new Focus car for global customers, featuring the latest advanced and affordable technology with more comfort and space and a better fun-to-drive experience.

    Selepas teaser yang muncul sebelum ini, Ford Focus Mk4 2019 akihirnya didedahkan, dan akan masuk ke pasaran Eropah dan China tahun ini sebelum menjengah pasaran Amerika Syarikat pada suku kedua tahun 2019 nanti. Ini merupakan model pesaing bagi Volkswagen Golf Mk7.5, Renault Megane dan Hyundai i30.

    Keseluruhannya ada tiga gaya badan bagi Focus 2019 yang ditawarkan – hatchback lima-pintu, estate lima-pintu dan sedan empat-pintu (sedan hanya ditawarkan untuk pasaran terpilih sahaja). Bagi pilihan varian pula, semuanya ada enam varian atau tingkat kemasan – Active, Ambiente, ST-Line, Titanium, Trend dan Vignale.

    Bagi pengenalan model ini, varian Vignale, ST-Line yang lebih sporty (lebih rendah 10 mm) dan versi kembara Active (lebih tinggi 30 mm) dan Titanium akan ditawarkan untuk pasaran Eropah. Untuk pasaran di China pula, varian ST-Line dan Titanium akan diperkenalkan terlebih dahulu.

    Model baru ini dibangun menggunakan platform C2, yang lanjutan daripada platform C1 yang digunakan pada model sebelum ini, dengan 20% peningkatan ketahanan. Walaupun nampak besar, ia sebenarnya tidak jauh berbeza dari model lamanya dari sudut dimensi.

    Ford Focus Mk4 2019 – tiga gaya badan, enam varian, enjin EcoBoost/EcoBlue, automatik lapan-kelajuan

    Ford today introduces the all-new Focus car for global customers, featuring the latest advanced and affordable technology with more comfort and space and a better fun-to-drive experience.

    Versi lima-pintunya cuma panjang, lebar dan rendah sedikit berbanding yang dulu. Dimensinya adalah seperti berikut; 4,378 mm panjang (+20 mm), 1,825 mm lebar (+2 mm) dan 1,455 tinggi (-29 mm). Jarak antara rodanya pula ditambah sebanyak 53 mm dan kini dengan kepanjangan 2,701 mm.

    Bagi versi estate pula, ia 4,666 mm panjang dengan ketinggian 1,481 mm; lebarnya sama sahaja seperti model lima-pintu. Model baru Mk4 ini juga lebih ringan sebanyak 88 kg berbanding model Mk3 yang setara sebelum ini.

    Dari sudut rekaan, hud depannya lebih panjang dengan gaya bampar yang lebih agresif, begitu juga dengan bahagian fender yang lebih menonjol – menjadikannya tampil lebih menarik dan kemas berbanding model Mk3, walaupun masih memiliki imej keseluruhan yang khusus bagi Focus.

    Dari tepi, masih tebal kelihatan imej dan rekabentuk sebelum ini yang masih diwarisinya. Tentunya dengan garis badan yang lebih “mengalir”, dari depan hingga ke belakang dan menyumbang kepada imej serta aspek aerodinamik.

    Kit aksesori menjadi antara perkara yang membezakan antara varian-varian yang ada. ST-Line hadir dengan rekaan diffuser yang lebih agresif, spoiler pada bumbung yang besar dan berfungsi serta bahagian depan yang lebih banyak ruang terbuka.

    Bagi Vignale pula, banyak elemen aluminium satin digunakan untuk memberikan sentuhan yang lebih mewah padanya, juga dengan rekaan gril khusus. Bagi varian Active, paling ketara ialah jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi serta lebih cenderung ke arah penggayaan kenderaan off-road menjadi keunikannya.

    Ruang kabin menerima pembaharuan sepenuhnya; bukan hanya rekaan, malahan material kemasan yang digunakan turut menyumbang kepada penampilan yang lebih menarik dan ada sentuhan mewah. Lebih banyak material lembut digunakan, serta gabungan kemasan yang berbeza mengikut varian.

    Sebagai contoh, Vignale menerima kemasan ala kayu dengan permukaan yang halus serta material kulit premium, sementara kemasan ala gentian karbon pula menghiasi varian ST-Line. Ruang kabin Focus Mk4 ini juga lebih mementingkan praktikaliti pengguna.

    Rekaan papan pemuka dan konsol tengahnya jauh berbeza daripada orientasi yang dulu – kini lebih ringkas dan tersusun dengan penambahbaikan bagi aspek ergonomik. Pendekatan rekaan yang lebih “bersih” dan ringkas ini memberi manfaat dari segi ketersediaan ruang pada bahagian kabis yang lebih luas.

    Misalnya, penumpang belakang kini mempunyai ruang bahu yang 61 mm lebih luas, sementara ruang lutut dan kaki turut menerima pertambahan, masing-masing 51 mm dan 71 mm. Lagi perkara yang menyumbang kepada ruang yang lebih ini ialah penggunaan brek parkir elektrik serta dial gear berbentuk bulat.

    Turut ada ialah sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sentuh, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pad pengecas tanpa wayar bagi peranti elektronik dengan ciri berkenaan. Antara kelengkapan lain ialah sistem audio B&O Play 675 watt dengan 10-pembesar suara. Juga disertakan ialah sistem modem bersepadu FordPass Connect untuk fungsi dan capaian WiFi sehingga 10 peranti.

    Dua enjin EcoBoost petrol dan dua enjin EcoBlue diesel akan ditawarkan di sana. Unit petrolnya terdiri daripada enjin 1.0 liter EcoBoost yang telah dikemaskini dan menawarkan pilihan jumlah output berbeza – 85 PS, 100 PS dan 125 PS. Ini disertai dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder EcoBoost (bukan enjin 1.5 EcoBoost sekarang yang mempunyai empat-silinder) dengan pilihan output janaan 150 PS dan 182 PS dengan teknologi nyah-aktif silinder.

    Dua enjin EcoBlue pula dalam kapasiti 1.5 liter dan 2.0 liter. Enjin serba baru 1.5 liternya menghasilkan 95 PS dan 120 PS (kedua-dua dengan tork 300 Nm) manakala enjin 2.0 liter pula menjana 150 PS dan 370 Nm. Penawaran transmisi pula ada dua; manual enam-kelajuan dan kotak gear baru automatik lapan-kelajuan yang pertama kali ditawarkan untuk Focus.

    Selain itu terdapat juga kit bantuan pemandu seperti Ford Co-Pilot 360 yang merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan ciri stop & go dalam kesesakan, pengimbas tanda had laju dan pengekal laluan ditengah serta Active Park Assist 2. Tidak ketinggalan ialah fungsi Evasive Steering Assist, yang pertama bagi segmennya, bertujuan membantu pemandu mengelak kenderaan yang berhenti atau perlahan agar tiada perlanggaran berlaku.

    Bagi mengekalkan kelebihan pemanduan yang dimiliki Focus sejak dulu, sistem Continuously Controlled Damping (CCD) disediakan. Ia bertujuan memerhatikan input pada suspensi, badan kenderaan serta stereng dan brek setiap dua milisaat dan memberikan respon semasa berpandukan input itu.

    Sistem CCD turut menyokong mod pemanduan yang ada (Normal, Sport and Eco). Pertama kali ditawarkan untuk Focus, ia membolehkan peralihan karektor bagi throttle pedal, transmisi lapan-kelajuan serta bantuan stereng berkuasa elektronik (EPAS) untuk disesuaikan dalam setiap gaya pemanduan. Dengan CCD juga, dua lagi mod turut disertakan – Comfort dan Eco-Comfort.

    Sebanyak 13 pilihan warna luaran telah diumumkan bagi Focus Mk4 ini, termasuk Orange Glow, Desert Island Blue, Race Red serta warna khas bagi Vignale, Dark Mulberry.

    Ford Focus ST-Line 2019

    Ford Focus Vignale 2019

    Ford Focus Titanium 2019

    Ford Focus Active 2019

     
     
  • Audi A6 Avant 2019 – wagon dengan ruang 1,680 liter

    Audi A6 Avant 2019 – wagon dengan ruang 1,680 liter

    Audi A6 C8 yang baru diperkenalkan Februari lalu kini ditambah dengan versi wagon. Digelar sebagai Audi A6 Avant, model baru ini menyediakan ruang kargo 1,680 liter (bila tempat duduk dilipat rata), dan mempunyai dimensi 4,940 mm, 1,890 mm lebar dan 1,470 mm tinggi – lebih besar berbanding sebelum ini. Dengan semua kerusi tegak, ruang barangan yang disediakan adalah 565 liter.

    Pintu but dan penutup tempat meletak barangan di belakang boleh dibuka secara elektrik (standard), tetapi sensor pengawal juga ada ditawarkan. Bahagian lantai meletak barangan itu pula mempunyai sistem rel dengan beberapa tapak untuk mengikat barang. Turut diberi secara standard adalah jaring getah, tali boleh lentur dan dua cangkuk, manakala kelengkapan lain untuk mengikat barangan ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Pakej enjin untuk model wagon ini masih sama dengan model sedan, iaitu pilihan dua enjin V6 3.0 liter bersama sistem AWD quattro. Enjin petrol TFSI menawarkan kuasa 335 hp dan 500 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan S-Tronic manakala enjin diesel TDI dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, menghasilkan kuasa sehingga 282 hp dan 620 Nm tork.

    Audi A6 Avant 2019 – wagon dengan ruang 1,680 liter

    Kedua-dua enjin ini dilengkapi dengan sistem hibrid ringkas 48 V, di mana belt alternator starter (BAS) bekerjasama dengan bateri lithium ion untuk membenarkan kereta meluncur pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j. Kereta ini juga mempunyai fungsi start/stop yang boleh aktif pada kelajuan sehingga 22 km/j. Pemilik juga boleh mendapatkan differential aktif yang boleh mengagihkan kuasa pada roda belakang mengikut cengkaman yang diperlukan.

    Menurut Audi, A6 baru ini menawarkan keseimbangan dinamik dan keselesaan lebih baik berbanding sebelum ini. Terdapat stereng progresif dan stereng semua roda dinamik (sebagai pilihan tambahan) – pada kelajuan sehingga 60 km/j, stereng dinamik tersebut boleh membelokkan roda belakang sehingga lima darjah ke arah bertentangan. Ini dapat mengurangkan sudut belokan wagon yang besar ini sehingga satu meter. Pada kelajuan atas 60 km/j, kedua-dua gandar menghala ke arah sama supaya lebih stabil dan lincah.

    Untuk bahagian suspensi, pelanggan boleh memilih empat tetapan iaitu hidraulik biasa dengan spring besi, sports, penyerap kawalan elektrik ataupun suspensi udara adaptif. Sebagai tambahan kepada penyerap biasa dan udara ini, Audi turut menyediakan platform casis elektronik (ECP) yang boleh mengawal pengemudian semua roda dan differential sport. Mod pemanduan ada tiga – Comfort, Auto dan Dynamic.

    Audi A6 Avant 2019 – wagon dengan ruang 1,680 liter

    Untuk model wagon ini, Audi menyediakan pelbagai sistem bantuan pemandu, yang dibahagikan kepada pakej “City” dan “Tour”. Selain bantuan brek kecemasan, pakej ini juga termasuk adaptive cruise assist, yang boleh digunakan pada kelajuan sehingga 250 km/j, dan juga di dalam trafik yang kerap berhenti dan bergerak.

    Meningkatkan lagi ciri keselamatannya, Audi A6 Avant dilengkapi dengan sistem bantuan kecemasan yang dapat memberikan amaran visual dan akustik sekiranya bahaya dikesan. Jika pemandu tidak memberi tindak balas, sistem ini akan mengambil alih dan boleh memberhentikan kenderaan sepenuhnya jika perlu. Turut diaktifkan adalah perlindungan lain seperti ketegangan tali pinggang, penutup tingkap dan membuat panggilan kecemasan sendiri.

    Dalam trafik bandar, lima fungsi dapat menyokong kenderaan ini. Crossing Assist mengesan trafik yang melintas di depan kenderaan, Audi Pre Sense 360° mengesan bahaya perlanggaran dan Rear Cross Traffic Assist memerhati bahagian belakang apabila mengundur. Ia kemudiannya diperlengkap bersama Exit Warning dan Lane Change Warning. Data untuk sistem ini diperolehi daripada sehingga lima pengesar radar, lima kamera, 12 pengesan ultrasonik dan pengimbas laser.

     
     
  • Lampu LED moden pada kenderaan terlampau cerah

    Lampu LED moden pada kenderaan terlampau cerah

    Lampu utama LED moden pada kenderaan adalah terlalu cerah dan sangat menyilaukan bagi pengguna jalan raya yang lain. Ini hasil daripada tinjauan RAC, sebuah badan berkaitan automotif di United Kingdom, seperti dilaporkan oleh The Telegraph.

    Badan automotif itu mendapati, kira-kira 15% pemandu pernah berdepan situasi hampir berlanggar akibat mata disilaukan oleh lampu jenis ini. Sehubungan itu, kumpulan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah ditubuhkan bagi meneroka kemungkinan lanjut tentang perkara ini.

    Pilihan lampu LED ini pada kenderaan menjadi semakin popular mungkin kerana cahaya terang yang ditawarkan. “Lampu LED lebih tertumpu dan terpancar secara terus. Berbanding lampu halogen yang pancarannya lebih bercambah dan meluas, lampu LED adalah sebaliknya.

    Cahayanya juga dalam warna putih kebiruan, menjadikannya nampak lebih cerah dalam keadaan gelap,” jelas pakar lampu dan pencahayaan dari Quality Light Source Factory, Stephen Dixon.

    Lampu LED moden pada kenderaan terlampau cerah

    “Kecerahan dan intensiti lampu utama dari sebahagian kenderaan baru sangat jelas menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang lain. Teknologi lampu utama semakin maju, tetapi, walaupun itu mungkin pilihan yang lebih baik bagi sesetengah pemandu bagi sesetengah jenis kenderaan, ia juga mempunyai kecenderungan untuk memberi risiko kepada pengguna yang lain,” jelas jurucakap RAC, Pete Williams.

    Selain itu, pemandu juga akan terganggu sekiranya cahaya dari lampu moden seperti ini dipantul pada cermin pandang belakang kereta mereka. “Walaupun peraturan membenarkan semua jenis lampu perlu berada dalam julat keterangan (luminosity) minimum dan maksimum, terdapat sebahagian lampu dari kenderaan moden adalah terlalu terang,” tambah Pete.

    Bergerak ke hadapan, akan ada dialog untuk membahaskan perkara ini di sana, dengan pemerhatian daripada kumpulan khas UN akan dibentang paling awal April nanti. Kita yang di Malaysia juga tidak terlalu asing dengan masalah ini, bukan?

     
     
  • Royal Enfield Himalayan telah dibuka untuk tempahan di M’sia – harga antara RM38k-RM40k, lancar bulan Mei

    Royal Enfield Himalayan telah dibuka untuk tempahan di M’sia – harga antara RM38k-RM40k, lancar bulan Mei

    Satu berita yang kami terima daripada pengedar eksklusif baru motosikal jenama Royal Enfield di Malaysia iaitu RE Motorcycles Sdn Bhd, model terbaru mereka, Himalayan kini sudah dibuka untuk tempahan pada harga antara RM38,000 ke RM40,000.

    Harga sebenar motosikal tersebut masih belum dapat ditetapkan, dan ia perlu menunggu waktu pelancaran rasmi yang dirancang dilakukan pada pertengahan bulan Mei tahun ini. Walapun begitu, menurut wakil RE Motorcycles, beberapa unit sudah pun ditempah oleh pelanggan.

    Royal Enfield Himalayan adalah sebuah model jelajah serba baru yang mula diperkenalkan secara global pada tahun 2015. Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal L410 411 cc overhead cam, bersama sistem sejukan udara/cecair. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 24.5 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada 4,500 rpm. Transmisi pula menggunakan kotak gear lima kelajuan.

    Reka bentuknya mengambil pendekatan rekaan sebuah motosikal dual-purpose; kedudukan yang tinggi, rim 21 inci di bahagian depan manakala belakang pula menggunakan saiz 17 inci. Ketinggian tempat duduk ialah 800mm manakala berat basahnya pula ialah 183 kg. Ia sebuah jentera yang direka untuk kegunaan pada permukaan yang pelbagai dan jelajah.

    Antara ciri lainnya adalah sistem suspensi depan fork 41 mm, dengan jarak mendapan 200 mm, serta penyerap hentak tunggal di belakang, dengan jarak mendapan 180 mm. Pelindung angin di bahagian depan jentera ini adalah ciri standard dan begitu juga dengan kerangka untuk membawa beg barangan dibelakang; ia diperbuat daripada kimpalan besi biasa untuk memudahkan kerja-kerja baik pulih sekiranya perlu.

    Lampu belakang motosikal ini menggunakan unit LED, sementara di depan hanya menggunakan lampu halogen biasa. Panel meter pula kekal menggunakan paparan analog, yang digandingkan dengan paparan LCD bagi bacaan odometer serta satu yang unik, kompas digital.

    Di bawah syarikat pengedar eksklusif baru ini, satu pusat 3S Royal Enfield juga sudah dibuka di 33, Jalan 15/23, Taman Perindustrian Tiong Nam, Seksyen 15, Shah Alam, namun ia hanya akan dirasmikan hujung bulan ini.


    GALERI: Royal Enfield Himalayan di GIIAS, Indonesia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025