Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis Negeri Sembilan cari lima marshal konvoi parti politik berlagak polis, hentikan trafik di persimpangan

    Polis Negeri Sembilan cari lima marshal konvoi parti politik berlagak polis, hentikan trafik di persimpangan

    Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya kini sedang mengesan lima individu yang bertindak sebagai pengiring (marshal) konvoi motosikal yang memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada lapan kenderaan sebuah parti politik di lampu isyarat Taman Desa Dahlia, Senawang.

    Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff, kejadian tersebut dikesan menerusi satu klip video yang tular di media-media sosial, memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang membawa bendera parti politik yang sama dan menghalang laluan di lokasi berkenaan awal minggu ini.

    “Pada jam 6.47 petang Isnin lalu, tular satu rakaman berdurasi 33 saat berkaitan sekumpulan penunggang motosikal yang menghalang dan mengganggu kelancaran lalu lintas serta pengguna jalan raya lain yang melalui jalan itu.

    “Dalam video itu merakamkan aksi lima penunggang motosikal dengan membawa bendera parti politik menahan kenderaan di simpang empat lampu isyarat di lokasi.

    “Ia bagi memberi laluan lapan kenderaan yang dipercayai daripada parti politik yang sama. Kejadian itu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, dan menambah pihak polis kini sedang mengesan semua pemandu dan penunggang yang terbabit dalam kejadian itu.

    “Tindakan mereka sebagai marshal dengan menahan dan mengawal kenderaan melalui lampu isyarat adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.

    “Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967. Individu yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    “Mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, hukuman individu yang melakukan kesalahan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya lagi.

    Dalam kenyataan yang sama Ahmad Dzaffir turut menasihatkan semua parti politik supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya ketika dalam tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

     
     
  • EICMA 2022: Suzuki V-Strom 800DE diperkenal – enjin dua silinder selari 776 cc baharu, quickshifter standard

    EICMA 2022: Suzuki V-Strom 800DE diperkenal – enjin dua silinder selari 776 cc baharu, quickshifter standard

    Selain GSX-8S, Suzuki juga ada memperkenalkan sebuah lagi model baru di EICMA 2022, iaitu V-Strom 800DE. Rupa ikonik model adventure ini masih dapat dilihat, termasuk dengan paruh hadapannya, tetapi sudah diterap dengan kelengkapan moden termasuk lampu LED bertingkat di hadapan.

    Fokus utama pada model ini adalah penggerak yang dikatakan serba baru, iaitu enjin dua silinder selari DOHC 776 cc dengan crankshaft 270 darjah serta pengimbang yang dipanggil sebagai Suzuki Cross Balancer. Kuasa enjin ini tidak didedahkan, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac Suzuki Clutch Assist System (SCAS).

    Empat mod tunggangan disediakan pada V-Strom 800DE, iaitu Active (A), Basic (B), Comfort (C) dan Gravel. Mod A adalah yang paling agresif dan C paling santai, sementara Gravel pula sesuai untuk tunggangan offroad kerana ia masih membenarkan tayar belakang tergelincir sedikit tanpa mengurangkan kuasa.

    Sistem kawalan cengkaman Suzuki Traction Control System (STCS) pada motosikal ini juga boleh dipilih dalam empat mod, ataupun ditutup terus, sementara ABS disediakan dalam dua mod, bersama tambahan pilihan untuk ditutup terus bagi roda belakang.

    Suspensi Showa dengan jarak gerak 220 mm dipasang pada V-Strom 800DE, dan ia terdiri daripada fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock dengan tabung gas serta tombol pelaras pra beban di belakang. Apabila dipadankan dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, motosikal ini menyediakan jarak kelegaan dari tanah 220 mm dan tinggi tempat duduk 855 mm.

    EICMA 2022: Suzuki V-Strom 800DE diperkenal – enjin dua silinder selari 776 cc baharu, quickshifter standard

    Meskipun mempunyai karekter lasak, V-Strom 800DE masih diberikan ciri canggih seperti skrin TFT lima inci serta quickshifter yang diberikan secara standard. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi tangki bahan api 20 liter, soket pengecas USB serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras tiga tahap (manual).

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 230 kg, sementara barangan lain seperti beg barangan, pemanas tangan, lampu kabus, tongkat tengah serta pelindung bawah enjin dijual secara berasingan sebagai aksesori pilihan.

     
     
  • Proton sifatkan kerjasama dengan smart akan ajar pemasangan EV tempatan — model #1 CKD nanti?

    Proton sifatkan kerjasama dengan smart akan ajar pemasangan EV tempatan — model #1 CKD nanti?

    Proton bukan hanya ingin meraih pengalaman berkaitan penjualan kenderaan elektrik (EV) semata-mata melalui kerjasama dengan smart Automobile. Ini kerana, kerjasama itu juga turut akan membolehkan Proton utnuk mempelajari cara pemasangan EV, jelas Timbalan CEO, Roslan Abdullah, lapor Bernama.

    “Kerjasama dengan smart Automobile dan edaran kereta smart akan mengajar Proton bagaimana untuk memasang EV di sini dan memberikan pengetahuan serta pengalaman terhadap proses pemasangannya,” ujar beliau dalam satu sesi panel ketika Invest Malaysia Series 2: The Road to EV yang diadakan semalam.

    Telah menandatangani perjanjian untuk mengedar dan menjual smart EV di Malaysia dan Thailand pada Ogos lalu, syarikat itu bakal memperkenalkan model smart #1 di negara ini pada suku keempat tahun 2023. Model smart itu — serta model-model akan datang — akan dipasarkan oleh anak syarikat milik penuh Proton, Proton New Energy Technology (Pro-Net).

    Dengan smart #1 bakal tiba ke pasaran kita dalam bentuk CBU nanti, perkara yang dimaklumkan berkaitan mendapatkan pengetahuan untuk memasang EV di sini memberi bayangan yang model CKD untuk smart juga ada kemungkinan untuk dikeluarkan secara pemasangan tempatan — walaupun mungkin ambil masa yang lama untuk merealisasikannya.

    Proton sifatkan kerjasama dengan smart akan ajar pemasangan EV tempatan — model #1 CKD nanti?

    Proton mensasarkan penjualan antara 800 hingga 1,000 unit setahun kenderaan jenama smart di Malaysia. Jadi caranya mungkin dengan membawa masuk unit CBU dahulu. Bagaimanapun, impian untuk meningkatkan jumlah kenderaan smart kepada 10,000 unit menjelang 2027 memberi bayangan yang pemasangan tempatan boleh menjadi kenyataan.

    Berkenaan rancangan Proton untuk membangun dan menjual EV keluarannya sendiri, yang diharap akan bermula menjelang 2027, Roslan memaklumkan Malaysia perlu menghasilkan EV sendiri, memandangkan trajektori pertumbuhan segmen itu dijangka meningkat dalam tahun mendatang, lapor NST.

    “Perlu bagi Proton dan pengeluar kelengkalan tulen (OEM) lain untuk menghasilkan EV mereka sendiri, kerana corak pasaran global menunjukkan EV adalah masa depan dan akan kekal begitu,” tambahnya.

     
     
  • JPJ eBid: AMS dan KFM bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, AMS, bakal dibuka bidaan mulai esok, 11 November 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 15 November ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 16 November 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah pula, KFM, bidaannya bakal dibuka bermula 17 November dan akan berakhir jam 10 malam pada 21 November 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 November ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • MMM serah 3 trak pikap Mitsubishi Triton buat Persatuan Bulan Sabit Merah untuk bantuan banjir

    MMM serah 3 trak pikap Mitsubishi Triton buat Persatuan Bulan Sabit Merah untuk bantuan banjir

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menyerahkan tiga unit trak pikap 4×4 Triton kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). Triton berkenaan akan digunakan oleh NGO terbabit untuk kelancaran misi banjir, termasuk penghantaran logistik bagi makanan, bekalan ubat-ubatan dan bantuan kemanusian.

    PBSM menjangkakan monsun timur laut yang akan melanda negara bakal membawa hujan lebat dari November 2022 hingga Mac 2023. Malahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga memaklumkan PBSM bahawa walaupun banjir monsun berlaku setiap tahun di kawasan berisiko yang dikenal pasti, bahagian lain di Malaysia juga mungkin menghadapi banjir kilat terutamanya di bandar.

    “Selaras dengan aktiviti sumbangan sosial Mitsubishi Motors Corporation, syarikat kami sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menyediakan pelbagai sokongan sebagai respons kepada bencana atau situasi kecemasan. Di peringkat tempatan, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PBSM, sebuah NGO yang menumpukan perkhidmatan kemanusiaan,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

    Tambah beliau lagi, “Kami yakin Triton mampu membantu PBSM untuk merentasi keadaan jalan yang paling teruk akibat hujan lebat seperti jalan yang sangat licin, bentuk muka bumi yang tidak rata, dan jalan ditenggelami air yang semuanya mampu diharungi oleh Triton.”

    PBSM telah terlibat dalam tindak balas bencana selama lebih enam dekad. Peranannya adalah berdasarkan garis panduan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju pengurusan bencana dan keselamatan negara di Malaysia. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh NGO ini termasuk bantuan awal dalam kesiapsiagaan bencana, bantuan bencana semasa dan selepas tragedi, serta pemulihan bencana.

     
     
  • Pemandu Alphard ‘cop’ pengecas EV untuk kenalan – pesalah mungkin boleh dikenakan denda RM2k

    Pemandu Alphard ‘cop’ pengecas EV untuk kenalan – pesalah mungkin boleh dikenakan denda RM2k

    Tindakan ‘cop parking’ bukan perkara baru di Malaysia – ia dilakukan oleh segelintir yang pentingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Kelakuan ini nampak naik satu lagi tahap di sini – sudah ada pemilik kenderaan elektrik (EV) yang ‘cop pengecas EV’ awam.

    Kejadian ini berlaku di pengecas EV Pusat Membeli-belah 1 Utama baru-baru ini, dan ia disuarakan oleh seorang pengguna EV dalam Facebook Group MyEVOC. Menurutnya, ketika dia mahu mengecas kereta elektriknya pada satu slot yang kosong, ada sebuah MPV Toyota Alphard menghalang laluan masuk petak tersebut.

    Pemilik EV itu memberikan lampu isyarat membelok dan membunyikan hon kepada pemandu Alphard berkenaan menandakan ia mahu menggunakan fasiliti tersebut. Namun apa yang terjadi, pemandu Alphard berkenaan turun dan memberitahunya bahawa “ada sebuah kereta yang mahu menggunakan pengecas tersebut kerana pengecas di sayap satu lagi pusat membeli-belah tersebut sudah penuh”.

    Pemilik EV berkenaan memberi jawapan balas menyatakan tindakan tersebut adalah tidak adil kerana dia yang sampai dahulu ke slot pengecas itu, dan kemudian pemandu MPV itu kembali ke kenderaannya dan membuat panggilan telefon (mungkin menelefon pemilik EV kenalannya yang sedang dalam perjalan itu).

    Nasib baik pemandu Alphard berkenaan mengalah dan beredar dari slot tersebut serta tidak berlaku sebarang petengkaran.

    Sama seperti petak parkir, undang-undang slot pengecas EV terbuka ini adalah sama – siapa cepat dia dapat. Kecualilah sekiranya anda menggunakan fasiliti pengecas yang memberikan fungsi menempah seperti yang disediakan oleh ParkEasy.

    Tahukah anda, walaupun nampak remeh, perbuatan ‘cop parking’ atau ‘cop pengecas EV’ ini sebenarnya satu kesalahan di Malaysia yang membolehkan anda dikenakan hukuman? Menerusi perkongsian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam akaun twitternya sebelum ini, ‘cop parking’ dengan cara seperti meletakkan kerusi/kon/pasu bunga/ampaian baju, berdiri atas petak parking dan sebagainya merupakan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Akta berkenaan jelas menyebut “Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan.”

    Menurut JPJ, undang-undang ini turut diguna pakai di semua kawasan sama ada di tempat awam mahupun di premis swasta termasuk pusat membeli-belah, dan hukuman bagi pesalah cop parking ditetapkan dibawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2 ribu atau penjara tidak lebih 6 bulan bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya.

     
     
  • EICMA 2022: Honda CL500 diperkenal – enjin dua silinder selari 471 cc, rim aluminium 19 dan 17 inci

    EICMA 2022: Honda CL500 diperkenal – enjin dua silinder selari 471 cc, rim aluminium 19 dan 17 inci

    Satu lagi model baru yang didedahkan oleh Honda buat pertama kali, sewaktu EICMA 2022 adalah CL500. Menggunakan enjin yang sama seperti barisan model CB500, model ini direka dengan bentuk inspirasi daripada model awal CL tahun 60-an dan 70-an.

    Kerangka utama model ini menggunakan binaan besi bulat ala trellis, dan ia digabungkan bersama tangki berbentuk bujur, ekzos yang keluar tinggi di atas serta tempat duduk berbentuk rata. Lengan ayun juga menggunakan besi bulat.

    Dipanggil sebagai sebuah model street scrambler, CL500 mendapat padanan rim aluminium 19 inci dengan tayar 110/80 dan fork teleskopik 41 mm (tanpa sebarang pelarasan) di hadapan serta rim 17 inci dengan tayar 150/70 dan dua penyerap hentak (larasan pra beban) di belakang. Tinggi tempat duduk adalah 790 mm dan berat keseluruhannya adalah 192 kg.

    Tugas menghentikan motosikal ini dilaksana brek cakera 310 mm tunggal dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 240 mm dengan angkup satu piston. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard, dan ia ditala dengan mengambil kira tunggangan offroad ringan.

    Di sebalik pemegang tinggi dan lebar motosikal ini terletak skrin LCD berbentuk bulat yang memaparkan pelbagai informasi penting termasuk kedudukan gear. Semua lampu model ini menggunakan unit LED, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 12 liter.

    Honda CL500 dipacu oleh enjin dua silinder DOHC 471 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan 46 hp pada 8,500 rpm dan 43.4 Nm tork pada 6,250 rpm – tiada mod tunggangan yang disediakan. Bagi menyesuaikan enjin ini dengan karekternya, sprocket belakang telah dibesarkan menjadi 41 mata, berbanding 40 pada Rebel CMX500.

     
     
  • Proton akan hasilkan EV pada 2027 – perlu 5 tahun untuk hasilkan EV mampu milik, mudah selenggara

    Proton akan hasilkan EV pada 2027 – perlu 5 tahun untuk hasilkan EV mampu milik, mudah selenggara

    Naib CEO Proton Roslan Abdullah mengumumkan bahawa syarikatnya kini sedang memperkasakan kemampuannya dalam segmen kenderaan elektrik penuh (EV) dan merancang untuk memproduksi EV dengan jenama sendiri menjelang 2027.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, Proton kini sedang berbincang dengan pihak-pihak yang berpotensi untuk menjadi rakan kerjasama bagi projek berkenaan, kerana ia tidak boleh terus menghasilkan EV tanpa memahami cara menjual dan memasarkan kenderaan dalam segmen itu.

    Beliau turut menyatakan bahawa Proton sudahpun memulakan pelan hala tuju untuk EV sejak 10 tahun lalu, namun ia tidak boleh diteruskan kerana permintaan pasaran dan teknologi yang rendah.

    “Lima tahun akan datang (sehingga 2027) akan memberi kami masa yang mencukupi untuk menentukan teknologi yang paling boleh diterima, mudah diselenggara, dan mampu dimiliki oleh pengguna dan kami,” katanya selepas perbincangan panel dalam acara Invest Malaysia Siries 2 bertajuk ” The Road to EV” hari ini.

    Proton akan hasilkan EV pada 2027 – perlu 5 tahun untuk hasilkan EV mampu milik, mudah selenggara

    Roslan menambah, buat masa sekarang Proton sedang menimba lebih banyak pengalaman melalui kerjasama dengan Smart Automobile Co Ltd sebagai pengedar baharu Proton di Malaysia dan Thailand, sebelum ia menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri.

    Sasaran Proton untuk menghasilkan EV sendiri pada 2027 adalah selari dengan artikel penyelidikan yang diterbitkan oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) awal tahun ini. Laporan tersebut menyebut bahawa Proton akan mengambil langkah awal untuk masuk ke segmen hibrid terlebih dahulu sebelum masuk ke segmen EV pada 2027.

    September lalu, Proton telah mewujudkan anak syarikat baharu diberi nama Proton New Energy Technology (Pro-Net) bagi menguruskan jualan dan pengedaran untuk EV jenama smart dan juga kenderaan-kenderaan tenaga baharu (NEV) jenamanya sendiri yang bakal ditawarkan pada masa hadapan.

    Malah sebelum ini, Roslan turut ada menyatakan bahawa 16 juruteranya akan dihantar ke China selama enam bulan untuk dilatih dalam R&D, menguji prestasi kenderaan, homologasi dan pelbagai ujian dengan tujuan untuk membina dan menjual NEV.

     
     
  • Selangor sediakan 20 unit bas Smart Selangor mulai 10 Nov untuk bantu pengguna LRT Laluan Kelana Jaya

    Selangor sediakan 20 unit bas Smart Selangor mulai 10 Nov untuk bantu pengguna LRT Laluan Kelana Jaya

    Menteri Besar Selangor, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari telah mengumumkan kerajaan negeri bakal menyediakan 20 unit bas Smart Selangor mulai esok, 10 November 2022, bagi membantu ribuan pengguna berikutan gangguan sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

    Menurut Amirudin menerusi sidang media khas petang ini, perkhidmatan tambahan itu diselaras dengan bas perantara disediakan Rapid KL bagi mengelak gangguan jadual.

    “Kerajaan Negeri dukacita dengan insiden gangguan sistem LRT laluan Kelana Jaya semalam yang menyebabkan operasi 16 stesen ditutup. Bagi membantu ribuan pengguna pergi dan balik kerja, Kerajaan Negeri akan menyumbang penggunaan 20 Bas Smart Selangor mulai esok bagi membantu Rapid KL mengatasi masalah gangguan,” katanya.

    Selangor sediakan 20 unit bas Smart Selangor mulai 10 Nov untuk bantu pengguna LRT Laluan Kelana Jaya

    Awal pagi tadi, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung sehingga 15 November ini bermula 6 pagi tadi. Ia disebabkan isu teknikal yang melibatkan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil dikenal pasti punca gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada Sabtu (5 Nov) dan Isnin lepas (7 Nov).

    Sementara itu, Rapid KL turut menyediakan lima laluan bas sebagai pengangkutan alternatif di sepanjang laluan di mana stesen-stesen yang terkesan itu berada. Sejumlah 69 bas didakwa sedang menyediakan perkhidmatan di semua laluan berkenaan, dan mungkin akan dipertingkatkan sehingga 85 bas jika ada keperluan.

    RapidKL juga memaklumkan pihaknya akan membayar ganti rugi kepada pemegang Unlimited Travel Pass, tetapi perincian lanjut tentang perkara ini akan dikongsikan nanti.

     
     
  • Harga minyak 10-16 Nov – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 10-16 Nov – Semuanya dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 10 hingga 16 November 2022, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan sekali lagi harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan. Ini bermakna harga runcit bagi RON 97 masih dikekalkan pada paras RM3.95 seliter buat minggu kelima berturut-turut.

    Begitu juga dengan petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya juga dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga yang diumumkan ini dilaksanakan mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 16 November 2022.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • EICMA 2022: Italjet Dragster 500GP – petunjuk model yang akan dikeluarkan di Itali pada tahun 2024

    EICMA 2022: Italjet Dragster 500GP – petunjuk model yang akan dikeluarkan di Itali pada tahun 2024

    Italjet tiba ke EICMA 2022 dengan membawa sebuah model konsep yang dikatakan boleh membawa revolusi kepada dunia dua roda, iaitu Dragster 500GP. Ia membawa konsep rekaan sama seperti Dragster 125 dan 200 yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia bulan lalu, tapi dengan penggerak yang lebih berkuasa dan komponen berprestasi tinggi.

    Walaupun nampak seperti sebuah skuter, model ini sebenarnya menggunakan enjin satu silinder empat strok DOHC 450 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai untuk menghantar kuasa sehingga 43 hp pada 8,000 rpm dan tork 43 Nm pada 6,000 rpm kepada roda belakang.

    Meskipun masih menggunakan kerangka trellis dari depan sampai ke belakang (dengan beberapa sambungan) seperti Dragster 125 dan 200, motosikal ini tidak lagi menggunakan suspensi hadapan lengan sebelah, dan sebaliknya dipasang dengan fork USD 47 mm boleh laras yang lebih konvensional.

    Penyerap boleh laras belakang pula terletak di bahagian tepi lengan ayun, membuatkan ia kelihatan seperti unit tunggal, tetapi sebenarnya disediakan pada kedua-dua belah. Brek menggunakan unit daripada Brembo dengan tetapan cakera berkembar 270 mm di hadapan dan 230 mm tunggal di belakang – bersama ABS dual-channel.

    Padan dengan bentuk kompaknya, Dragster 500GP dipasang dengan rim 15 inci, bersama tayar Pirelli bersaiz 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 180 kg, dan disediakan dengan tangki bahan api 12 liter.

    Menurut Italjet, Dragster 500GP yang ditunjukkan ini masih lagi adalah model konsep, tetapi ia memberi petunjuk kepada produksi yang akan dikeluarkan dari kilang mereka di Itali dan diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 2024.

     
     
  • EICMA 2022: Honda Transalp XL750 diperkenal – enjin dua silinder selari 755 cc, rim 21/18 inci, skrin TFT

    EICMA 2022: Honda Transalp XL750 diperkenal – enjin dua silinder selari 755 cc, rim 21/18 inci, skrin TFT

    Nama Transalp yang sudah digunakan oleh Honda untuk model jelajah mereka sejak tahun 1986 hingga 2008 dihidupkan kembali apabila mereka memperkenalkan Transalp XL750 di acara EICMA 2022. Ia membawa rekaan serba baru, bersama enjin yang dikatakan berprestasi tinggi serta kelengkapan moden.

    Dipacu oleh enjin dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper (sama seperti Hornet CB750), motosikal ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Lima mod tunggangan disediakan, dengan empat daripadanya (Sport, Standard, Rain dan Gravel) sudah ditetapkan manakala satu lagi (User) boleh dilaras mengikut kegemaran penunggang. Transalp XL750 juga datang dengan sistem elektronik lain seperti empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS (ditutup untuk brek belakang).

    Suspensi Transalp XL750 menggunakan unit daripada Showa, dengan bahagian hadapan terdiri daripada fork SFF-CATM (Separate Function Fork-Cartridge) 41 mm dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 200 mm, manakala di belakang terdapat monoshock yang menyediakan jarak gerak 190 mm bersama pelarasan pra beban dan disambung kepada lengan ayun melalui tetapan Pro-Link.

    Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim spoked bertiub saiz 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Sistem brek terdiri daripada cakera 310 mm berkembar dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 256 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Segala informasi dan operasi motosikal dipaparkan melalui skrin TFT lima inci berwarna penuh di hadapan penunggang, dan ia juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth dan sistem Honda Smartphone Voice Control. Empat jenis paparan utama boleh dipilih oleh penunggang untuk skrin ini.

    EICMA 2022: Honda Transalp XL750 diperkenal – enjin dua silinder selari 755 cc, rim 21/18 inci, skrin TFT

    Kelengkapan lain yang disediakan oleh Transalp XL750 adalah termasuk semua lampu jenis LED, lampu penunjuk arah padam sendiri dan tangki bahan api 16.9 liter. Jarak kelegaan dari tanah adalah 210 mm manakala berat keseluruhan adalah 208 kg.

    Selain tiga warna yang disediakan (Matte Iridium Gray Metallic, Matte Ballistic Black Metallic dan Ross White Tricolour), Honda juga menyediakan beberapa pakej untuk Transalp XL750 ini, iaitu Urban, Touring, Adventure, Rally dan Comfort, yang memberikan beberapa tambahan aksesori seperti beg barangan, pelindung enjin, pemanas tangan, soket pengecas, quickshifter, ekzos, lampu kabus dan pelbagai lagi.

     
     
  • Ora Good Cat – 500 slot pra-tempahan awal habis dalam 58 min di Thai – tempahan kini cecah 5,500 unit

    Ora Good Cat – 500 slot pra-tempahan awal habis dalam 58 min di Thai – tempahan kini cecah 5,500 unit

    Ora Good Cat keluaran Great Wall Motors (GWM) ternyata cukup diterima baik di Thailand, di mana hatchback elektrik sepenuhnya ini telah menjadi kenderaan elektrik (EV) paling laris di negara berkenaan. Dalam pelancaran EV berkenaan di Thailand pada Jun lalu, kesemua 500 unit kumpulan pra-tempahan awal telah pun penuh dalam tempoh 58 minit selepas tempahannya dibuka, kata GWM menerusi kenyataan yang dikeluarkan

    Menurut GWM lagi, berikutan permintaan awal yang memberansangkan di Thailand, Ora Good Cat telah merekodkan lebih daripada 5,500 tempahan pada akhir Oktober lalu. Rekod tempahan tersebut melibatkan kesemua varian yang ditawarkan, sekaligus membuatkan ia menjadi EV terlaris di Thailand.

    Pada Julai lalu, pengeluar kereta China ini telah pun mengumumkan bakal memasuki pasaran Malaysia, dan syarikat ini dilihat telah bersedia untuk memulakan pra-tempahan bagi EV ini. Ora Good Cat juga dijangka akan dilancarkan bila-bila masa pada bulan ini, dan ditawarkan dengan empat varian iaitu Tech, Pro, Ultra dan Ultra G.

    Kesemua varian ini dilengkapi motor elektrik yang menghasilkan 143 PS/210 Nm yang memacu roda depan, dengan kelajuan maksimum mencecah 152 km/j. Pemanduan dengan pedal tunggal juga tersedia, dan ada lima mod — Normal, Sport, Eco, Eco+ dan Auto.

    Varian Tech dan Pro akan menggunakan bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate yang boleh memberikan jarak perjalanan cecah 400 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan penuh, ia memerlukan sekitar lapan jam jika dicas menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) pada kadar input maksimum 6.6 kW. Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas 0-80% (SoC) dalam masa 46 minit pada kadar 60 kW.

    Sementara itu, bagi varian Ultra dan Ultra G pula diberikan bateri lithium 63.1 kWh yang menawarkan jarak perjalanan mencecah 500 KM mengikut kitaran NEDC. Ia mengambil masa sekitar 10 jam untuk pengecasan penuh menerusi pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diambil untuk status 0-80% pengecasan pula adalah sekitar 40 minit.

    Kit keselamatan aktif yang diberikan termasuklah kawalan kelajuan adaptif dengan belokan pintar, bantuan kesesakan trafik, brek kecemasan automatik dengan sokongan di persimpangan, amaran pelanggaran hadapan, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan pemusatan lorong.

    Manakala varian tertinggi Ultra dan Ultra G pula diberikan beberapa lagi ciri keselematan tambahan termasuklah kekal lorong kecemasan, bantuan tukar lorong, pengesan titik buta, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang serta penderia parkir hadapan.

    Buat masa ini, harganya masih belum diumumkan, namun ia akan didedahkan sepenuhnya dalam majlis pelancarannya kelak. Dijangkakan harga bagi varian Tech dan Pro bermula di bawah RM150k, sementara Ultra dan Ultra G pula mungkin bermula pada harga RM160k.

     
     
  • LRT Kelana Jaya — kerja baikpulih tertangguh, tunggu ketibaan pakar asing; bas disediakan sebagai alternatif

    LRT Kelana Jaya — kerja baikpulih tertangguh, tunggu ketibaan pakar asing; bas disediakan sebagai alternatif

    RapidKL mengadakan sebuah sidang media awal hari ini untuk menjawab beberapa persoalan daripada pihak media berkaitan masalah 16 stesen jajaran LRT Kelana Jaya yang ditutup seminggu bermula hari ini. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, masalah yang di hadapi oleh jajaran berkenaan adalah berkaitan sistem Automatic Train Control (ATC), yang katanya dibekalkan oleh Thales.

    Dalam sidang media berkenaan, ada dinyatakan bahawa setiap kali RapidKL cuba membaik pulihnya sendiri berdasarkan maklum balas dari jauh serta SOP yang disediakan oleh Thales, keadaan itu hanya mampu bertahan sehari sebelum masalah sama berulang.

    Jadi, ketika ini pasukan teknikalnya sedang menunggu ketibaan dua pakar dari Thales yang sedang dalam perjalanan ke Malaysia. Mereka dijangka akan tiba esok. Sekiranya pasukan teknikal mampu untuk mengatasi masalah tersebut dan melakukan ujian lebih cepat, diharapkan jajaran berkenaan boleh dibuka lebih awal daripada tempoh tujuh hari yang diumumkan itu. Ketika ini, tempoh tujuh hari berkenaan diumumkan sebagai jangkaan awal dan semuanya perlu diselesaikan sebelum itu.

    Sementara itu, RapidKL telah menyediakan lima laluan bas sebagai pengangkutan alternatif di sepanjang laluan di mana stesen-stesen yang terkesan itu berada. Anda boleh rujuk rajah infografik yang ada untuk maklumat lanjut. Sejumlah 69 bas didakwa sedang menyediakan perkhidmatan di semua laluan berkenaan, dan mungkin akan dipertingkatkan sehingga 85 bas jika ada keperluan.

    RapidKL juga memaklumkan pihaknya akan membayar ganti rugi kepada pemegang Unlimited Travel Pass, tetapi perincian lanjut tentang perkara ini akan dikongsikan nanti.

     
     
  • EICMA 2022: Vespa GTs 2023 diperkenal, disertai GTv, Primavera Colour Vibe dan 946 10° Anniversario

    EICMA 2022: Vespa GTs 2023 diperkenal, disertai GTv, Primavera Colour Vibe dan 946 10° Anniversario

    Vespa memperbaharui barisan skuter ikonik mereka di EICMA 2022, dengan pengenalan Vespa GTs, GTv, Primavera Colour Vibe serta 946 10° Anniversario 2023. Vespa GTs mendapat beberapa peningkatan, sambil mengekalkan badan besinya yang kini sudah menjadi ikonik.

    Antara bahagian yang diperbaharui pada GTs adalah termasuk panel tepi, pemegang nombor plet serta bentuk perumah lampu hadapan, yang kini merupakan unit LED penuh. Cermin sisi dan suis kawalan juga adalah baru, sementara pemegang dijadikan lebih lebar dan ergonomik.

    Turut diberikan secara standard pada GTs adalah sistem tanpa kunci, bersama sistem brek yang lebih kuat, ABS serta kawalan cengkaman. Ada empat versi bagi GTs ini, dengan pilihan 14 warna, manakala enjin pula disediakan dalam dua pilihan, iaitu 300 HPE atau 125 i-GET.


    Vespa GTv 2023 (kiri), Vespa 946 10° Anniversario 2023,

    Satu lagi model baru yang diperkenalkan adalah GTv. Ia boleh dianggap sebagai GTs yang lebih sporty, dengan dilengkapi panel instrumen digital, lampu yang terletak di atas fender, tempat duduk tunggal dua tona, serta rima lima cabang baru.

    Primavera Colour Vibe pula ditawarkan dalam warna Arancio Impulsivo dan Bianco Innocente, dipadankan bersama lantai berwarna Ottanio Turquoise. Beberapa bahagian lain diwarnakan hitam bagi memberi kontras, termasuklah tempat duduk.

    Vespa 946 10° Anniversario adalah model yang lebih istimewa kerana dibuat bagi menyambut ulang tahun kesepuluh Vespa 946. Masih mengekalkan bentuk uniknya, model ini dicat dengan warna Vespa Green dengan efek mutiara.

     
     
  • Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Hyundai-Sime Darby Motor Sdn Bhd (HSDM) mengumumkan bahawa MPV bersaiz besar Hyundai Staria dalam versi 10-tempat duduk kini sudahpun terjual lebih dari 200-unit selepas ia dilancarkan sekitar sebulan yang lalu.

    Menurut pengarah urusan runcitan dan pengedaran Sime Darby Motors Malaysia Jeffry Gan, syarikatnya menjangkakan permintaan terhadap Staria 10-tempat duduk ini akan terus meningkat untuk beberapa bulan akan datang.

    “Dengan lebih 200 unit terjual sejak dilancarkan pada awal Oktober, kami mengalakkan agar orang ramai Malaysia berkenalan dengan ciri-ciri Hyundai Staria 10-tempat duduk sebagai MPV dinamik yang menawarkan yang terbaik, dari segi praktikal dan prestasi. Kami menjangkakan permintaan akan terus meningkat pada bulan bulan terakhir (tahun ini) dan sehingga ke tahun baharu,” katanya.

    Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Pengarah urusan HSDM Low Yuan Lung pula menyatakan bahawa stok untuk kumpulan pertama Staria 10-tempat duduk ini sudah tidak banyak, dan sekarang merupakan masa terbaik untuk menempah MPV berkenaan untuk pelanggan yang berminat.

    “Hyundai merupakan peneraju dari segi inovasi ditambah pula dengan reka bentuknya yang sangat futuristik. Inilah daya tarikan Hyundai-Staria. Kami berbesar hati dengan maklum balas yang menakjubkan dan positif daripada kumpulan pertama pemilik, yang merupakan bukti pengalaman yang ditawarkan oleh Hyundai. Memandangkan bekalan yang terhad dan dengan kumpulan seterusnya dijangka pada awal 2023, kini adalah masa terbaik untuk peminat MPV untuk membuat tempahan mereka sementara stok masih ada,” kata Low.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam tiga varian, bermula varian paling asas Lite dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM179,888, diikuti varian pertengahan Plus berharga RM196,888 dan tertinggi Max dijual pada harga RM209,888.

    Model ini menggantikan sepenuhnya Hyundai Grand Starex yang sudah tidak lagi dijual dan ia juga menampilkan harga yang jauh lebih mampu milik berbanding Staria tujuh-tempat duduk yang hanya ditawarkan dalam varian Premium, dijual pada harga RM366,768.

    Staria dalam versi 10-tempat duduk ini masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan varian 2.2D Premium. Ia menggandingkan enjin 2.2 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm, bersama kotak gear lapan kelajuan automatik memacu roda hadapan.

    Warna badan Abyss Black Pearl dan Creamy White ditawarkan untuk ketiga-tiga varian Staria ini, manakala warna Shimmering Silver hanya ditawarkan untuk varian Lite. Sementara warna Graphite Grey dan Moonlight Blue Pearl hanya khas untuk varian Max.

    Lebih 200 unit Hyundai Staria 10-tempat duduk terjual hanya selepas sebulan dilancarkan di Malaysia

    Secara standard Hyundai Staria 10-tempat duduk pasaran Malaysia ini menerima waranti standard dua-tahun atau 50,000 km (yang mana sampai dahulu), tetapi HSDM turut menawarkan waranti lanjutan dengan kos tambahan sebanyak RM10,000 yang merangkumi lima-tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dahulu) dan servis percuma tiga-tahun atau 50,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Untuk perincian lebih lengkap berkenaan perincian bagi setiap varian, anda boleh baca laporan pelancaran Hyundai Staria 10-tempat duduk yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Hyundai Staria Max 10-tempat duduk

    GALERI: Hyundai Staria Lite 10-tempat duduk

     
     
  • EICMA 2022: Suzuki GSX-8S didedah – enjin dua silinder selari, quickshifter dan skrin TFT diberi terus

    EICMA 2022: Suzuki GSX-8S didedah – enjin dua silinder selari, quickshifter dan skrin TFT diberi terus

    Suzuki memperkenalkan beberapa model baru di EICMA 2022, dan salah satunya adalah model naked kelas pertengahan GSX-8S. Dianggap sebagai satu penyambung generasi kepada model tahun 70-an dan 80-an, model ini akan bersaing dalam pasaran antaranya dengan Kawasaki Z650, Yamaha MT-07 dan Aprilia Tuono 660.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik. Kotak gear enam kelajuan bersama sistem pacuan rantai digunakan untuk menyalurkan kuasa kepada roda belakang, dan rim menggunakan saiz 17 inci.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, manakala bentuk badannya pula mengikuti model yang lebih besar iaitu GSX-S1000. Model baru ini menyediakan tiga mod tunggangan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Berat keseluruhan GSX-8S adalah 202 kg, dan tempat duduknya mempunyai ketinggian 810 mm, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 14 liter. Tiga warna ditawarkan, iaitu Pearl Cosmic Blue, Pearl Tech White dan Metallic Matt No.2/Glass Sparkle Black.

     
     
  • Toyota Innova Zenix Hybrid disahkan — MPV 7-seater guna platform TNGA diperkenal 17 November ini

    Toyota Innova Zenix Hybrid disahkan — MPV 7-seater guna platform TNGA diperkenal 17 November ini

    Selepas menunjukkan sedikit wajah depan Toyota Innova generasi ketiga bulan lalu, pengeluarnya mengesahkan yang MPV terbaru itu nanti akan turut ditawarkan dalam versi hibrid. Ini berdasarkan imej yang ditunjukkan di laman sosial Toyota Indonesia dan juga laman web rasminya.

    Nampak jelas lencana “Hybrid” di pintu, lencana yang sama dilihat pada Corolla Cross Hybrid yang ada di sini. Lain-lain rekabentuk yang kelihatan adalah lengkuk roda lebih ketara, garis tengah badan yang lebih tinggi dan bumbung lebih rendah.

    Spyshot dari Kompas juga menunjukkan lebih banyak wajah depan MPV tersebut, dengan rekaan gril hexagonal besar dan lampu utama bersegi, sementara apron bawahnya menampilkan perincian bentuk H lebar dengan warna kontras dari warna badan.

    Innova terbaru ini akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan bukan casis IMV asas dari Hilux yang digunakan sebelum ini. Untuk ini, ia juga akan beralih daripada kenderaan pacuan belakang menjadi kenderaan pacuan roda depan.

    Toyota Innova Zenix Hybrid disahkan — MPV 7-seater guna platform TNGA diperkenal 17 November ini

    Platform TNGA dibangunkan untuk dapat memanfaatkan sistem janaan dengan elektrifikasi seperti yang pernah kita lihat pada Corolla Cross Hybrid dan Lexus UX300e EV. Sistem janaan yang sama dalam Corolla Cross Hybrid boleh digunakan untuk Innova bagi memberikan output sistem 122 PS, dengan unit enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson (98 PS/142 Nm), eCVT dan motor elektrik (72 PS/163 Nm).

    Di masa akan datang, tidak mustahil akan ada versi elektrik sepenuhnya, memandangkan Toyota pernah menunjukkan Kijang Innova EV Concept, walaupun ini tidak akan diproduksi kerana menggunakan platform IMV. Peralihan kepada platform TNGA mungkin jadi penyelesaian yang terbaik.

    Menurut Kompas, Innova serba baru akan dilancarkan pada 17 November ini, dengan varian hibrid dijangka akan menggunakan nama Innova Zenix Hybrid. Jangkaan harga jualannya ialah 455 juta rupiah (RM137,745). Kijang Innova sedia ada misalnya dalam varian pertengahan V dijual pada harga 422.9 juta rupiah (RM128,027), sementara varian paling tinggi Venturer pada harga 494.4 juta rupiah (RM149,653).

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor SYW dan JVU sedia dibida

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sabah dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SYW, dibuka bidaan mulai hari ini, 9 November, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 13 November 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 November. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JVU, bidaannya bakal dibuka bermula esok, 10 November dan akan berakhir jam 10 malam pada 14 November 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 November ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Farizon SuperVAN – van komersil EV Geely, produksi 2024, ke pasaran global termasuk Asia Tenggara

    Farizon SuperVAN – van komersil EV Geely, produksi 2024, ke pasaran global termasuk Asia Tenggara

    Selain dari Homtruck Cabless, divisi kenderaan komersil dari Geely iaitu Farizon Auto turut memperkenalkan model konsep van komersil elektrik penuh yang dikenali sebagai SuperVAN.

    Model ini diasaskan dari platform Geely Multi-purpose Architecture (GMA) rekaan Farizon, membolehkan SuperVAN ini dihasilkan dalam pelbagai versi bagi memenuhi pelbagai keperluan berbeza untuk pengangkutan moden. Antaranya SuperVAN ini boleh tampil dalam versi jarak roda pendek atau panjang, sebagai MPV ataupun trak ringan dan sebagainya.

    Farizon SuperVAN – van komersil EV Geely, produksi 2024, ke pasaran global termasuk Asia Tenggara

    Ini kerana platform GMA tersebut menggunakan senireka kenderaan komersil modular drive-by-wire dwi-lewah pertama seumpamanya yang direka oleh Farizon, dakwa Geely – membolehkan badan dan casis dipisahkan sepenuhnya bagi memberikan integrasi pakej kenderaan yang lebih baik.

    Ia juga bakal menggunakan material-material mesra alam boleh urai-bio dan boleh diperbaharui ketika diproduksi kelak dalam usaha Geely mencapai sasaran sifar-karbon kitaran hidup penuh menjelang 2023.

    Tiada perincian spesifikasi didedahkan buat masa sekarang, namun Farizon menyatakan SuperVAN ini akan masuk ke fasa ujian operasi dalam kuantiti kecil di China pada separa 2023.

    SuperVAN ini bakal diproduksi secara besar-besaran pada 2024, dan ia disasarkan untuk ke pasaran global termasuk Eropah, Australasia, Asia Tenggara, Amerika Selatan dan Timur Tengah.