Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Harga minyak 17-23 Nov – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 17-23 Nov – semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan untuk minggu bertarikh 17 hingga 23 November 2022, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara masih dikekalkan seperti minggu sebelum ini. Ini bermakna enam minggu berturut-turut tiada perubahan harga runcit bagi petrol dan diesel.

    Di mana harga runcit bagi petrol RON 97 dikekalkan pada harga RM3.95 seliter. Untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bagi diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic RS e:HEV 2022 — RM166,500

    VIDEO: Honda Civic RS e:HEV 2022 — RM166,500

    Honda Civic RS e:HEV 2022 yang dilancarkan semalam untuk pasaran tempatan meneruskan lagi penawaran Honda Malaysia dalam segmen kenderaan berteknologi hibrid ketika ini. Ini bukanlah hal baru yang dilakukan syarikat itu, kerana Civic Hybrid yang pertama sekali sudah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2007 dahulu.

    Dalam penawarannya bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini juga dapat dilihat perkembangan yang sama: Honda City sedan dan hatchback kedua-duanya dihadirkan dalam varian hibrid. Dan, model terbaru yang diperkenalkan untuk pasaran tempatan, HR-V juga mengikut langkah yang sama — hibrid sebagai penawaran paling lengkap, paling canggih dan paling mahal antara kesemuanya.

    Dan kini, corak yang sama diteruskan oleh Civic RS e:HEV 2022, yang dijual pada harga RM166,500. Jika dibandingkan dengan Civic RS petrol sebelum ini (yang dijual pada harga RM151k), beza harga yang terlibat adalah sekitar RM16k. Jadi apa kelebihan dan pertambahan ciri yang ada pada model hibrid ini? Dan adakan ia berbaloi dengan pertambahan harga tersebut.

    Antara perkara unik dan perlu disebutkan adalah, Civic hibrid ini merupakan Honda yang pertama di sini yang menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik. Ia berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri.

    Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm. Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol, dan sebab itulah ia masih diberikan transmisi E-CVT.

    Untuk tahu perbezaan dan kelaian Civic hibrid ini berbanding versi petrolnya, tonton video ringkas yang kami sediakan ini. Antara keduanya memang nampak sama, tapi “isi” dan prestasi agak jauh berbeza.

     
     
  • EICMA 2022: Aprilia RS660 Extrema – 3 kg lebih ringan, barangan gentian karbon, perisian dipertingkat

    EICMA 2022: Aprilia RS660 Extrema – 3 kg lebih ringan, barangan gentian karbon, perisian dipertingkat

    Aprilia hadir ke pameran EICMA dengan membawa satu versi ubah suai bagi sportbike kelas pertengahan mereka, dipanggil sebagai RS660 Extrema. Menggunakan RS660 biasa sebagai asas, model ini kemudiannya dipasang dengan beberapa barangan bagi menaikkan prestasinya.

    Paling utama, beratnya telah berkurang tiga kilogram, menjadi 166 kg (kering) hasil daripada penggunaan penghadang lumpur hadapan dan pelindung bawah enjin gentian karbon, serta ekzos SC Project yang terletak di tepi motosikal (RS660 biasa mempunyai ekzos pendek di tengah motosikal).

    Satu lagi naik taraf yang dibuat adalah pada bahagian elektronik. Sistem standard termasuk Traction Control, Cornering ABS, Engine Brake Control, Wheelie Control serta mod tunggangan kini ditambah dengan perisian quickshifter yang membolehkan pengguna mengubah jenis tukaran gear daripada jenis biasa kepada GP dengan lebih mudah.

    Bahagian lain masih lagi sama seperti RS660 standard, termasuk enjin, iaitu unit dua silinder selari DOHC 660 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, menghasilkan kuasa 100 hp pada 10,500 rpm dan 67 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Kelengkapan lain RS660 adalah termasuk fork Kayaba 41 mm boleh laras sepenuhnya, monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan, cakera berkembar 320 mm berserta angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 220 mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang, rim 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55, tangki bahan api 15 liter dan tinggi tempat duduk 820 mm.

     
     
  • EICMA 2022: Royal Enfield Super Meteor 650 bawa gaya cruiser, enjin 650 cc 47 PS, lampu hadapan LED

    EICMA 2022: Royal Enfield Super Meteor 650 bawa gaya cruiser, enjin 650 cc 47 PS, lampu hadapan LED

    Barisan motosikal siri 650 keluaran Royal Enfield kini disertai satu lagi model baru apabila pengeluar itu memperkenalkan Super Meteor 650 di pameran EICMA 2022. Membawa rekaan sebuah cruiser, model ini menggunakan rekaan serba baru, termasuk casis dan menjadi motosikal Royal Enfield pertama yang menggunakan lampu utama jenis LED.

    Menggerakkannya adalah enjin sama seperti Continental GT 650 dan Interceptor 650, iaitu unit dua silinder selari 650 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan angin/minyak, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 47 PS pada 7,250 rpm dan 52.3 Nm tork pada 5,650 rpm.

    Bagi menjadikan motosikal yang mencatat berat 241 kg ini stabil atas jalan raya, ia dipasang dengan fork USD 43 mm dengan jarak gerak 120 mm di hadapan, sementara di belakang menggunakan dua penyerap berjarak gerak 101 mm, dengan pelarasan pra beban. Rim pula menggunakan jenis aluminium bersaiz 19 inci di hadapan, dan 16 inci di belakang, dibalut tayar tebal masing-masing bersaiz 100/90 dan 150/80.

    Sistem brek yang sekadar mencukupi diberi pada Super Meteor 650, terdiri daripada unit cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 300 mm dengan angkup dua piston di belakang – ABS dual channel adalah standard. Tangki bahan api model ini berkapasiti 15.7 liter.

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui meter gabungan analog dan digital utama berbentuk bulat, sementara di sebelahnya pula terdapat satu lagi panel digital bulat kecil untuk navigasi apabila sistem disambung kepada telefon pintar. Demi memberi kesenangan kepada pengguna, motosikal ini juga disediakan dengan soket pengecas USB 5V.

    Selain versi asas, Super Meteor 650 turut ditawarkan dalam versi Tourer yang datang dengan beberapa aksesori tambahan termasuk penyandar tempat duduk belakang serta penghadang angin hadapan. Pilihan warna pula kesemuanya ada tujuh.

    first led headlamp

     
     
  • Tiket tren KTM ETS, Antarabandar bagi 2023 kini dibuka secara dalam talian – lebih murah jika beli awal

    KTM Berhad telah mengumumkan tiket tren bagi ETS dan KTM Antarabandar untuk perjalanan tahun hadapan kini telah pun boleh dibeli. Jualan tiket secara dalam talian telah dibuka bermula semalam untuk perjalanan dari 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

    Pengendali perkhidmatan tren berkenaan berkata anda boleh membeli tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile atau laman web rasmi KTM, dan membayar secara elektronik iaitu transaksi tanpa tunai dengan Go Cashless. Jadual tren 2023 untuk ETS dan KTM Antarabandar adalah lebih kurang sama dengan jadual masa kini dan anda boleh menyemaknya menerusi dalam talian atau pun melalui aplikasi MyRailtime.

    Dengan pengumuman ini, KTM turut menyiarkan tarikh untuk cuti perayaan bagi separuh pertama tahun hadapan, termasuklah Tahun Baharu (1-2 Januari), Tahun Baharu Cina (22-24 Januari), Thaipusam (5 Februari), Hari Raya Aidilfitri (22-24 April) dan Hari Raya Aidiladha (29 Jun).

    Untuk pengetahuan anda, tambang ETS adalah fleksibel, di mana jika membelinya lebih awal, maka anda berpeluang mendapat tambang yang lebih murah. Tiket sewaktu musim perayaan sangat laris, jadi lebih baik beli awal untuk mengelakkan kekecewaan kemungkinan tiket habis terjual.

     
     
  • Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Setelah didedahkan Julai lalu, kini trak pikap elektrik RD6 yang dihasilkan oleh satu lagi jenama EV di bawah payung Geely Auto Group iaitu Radar telah dilancarkan secara rasmi di China. Menurut laporan CarNewsChina, model ini dijual pada harga bermula 178,800 yuan (RM116k) sehingga 268,800 yuan (RM171k), dan diberikan waranti selama 4 tahun atau 100,000 km.

    Trak pikap ini dibangunkan berasaskan platform modular untuk kenderaan elektrik terbaharu dari Geely iaitu Sustainable Experience Architecture (SEA). Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, platform SEA berkenaan mampu menghasilkan pelbagai kenderaan dari saiz sekecil segmen-A sehingga model mewah segmen-F, dan juga model lain seperti kereta sport dan juga kenderaan komersil. Ia sebelum ini sudah pun digunakan pada Shooting Brake EV Zeekr 001 dan juga kereta kompak Smart #1, membuktikan versatiliti platform tersebut.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 5,260 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,830 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,120 mm. Jadi trak pikap EV ini sebenarnya mempunyai saiz yang hampir sama dengan Toyota Hilux yang tampil dengan dimensi 5,325 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,815 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm.

    Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Rupa keseluruhan Radar RD6 ini dihasilkan oleh pusat rekaan Geely Group Britain, memberikan ‘perisa British’ pada trak pikap ini. Pada bahagian muka, ia diberikan lampu hadapan yang kelihatan agak sama dengan lampu dari SUV Geely Haoyue (bakal dijelmakan sebagai Proton X90), tetapi digandingkan dengan gril hadapan yang lebih kecil.

    Bampar hadapannya pula diberikan dua liang udara sisi palsu dengan rekaan tipikal model-model Geely lain (juga seiras dengan rekaan liang udara Geely Boyue/Proton X70), serta turut dengan kemasan skid plate berwarna perak yang kelihatan agak besar pada bahagian bawah.

    Skrip ‘RADAR’ pula ditampal pada bahagian hujung penutup but hadapan dengan gaya seperti SUV dari Range Rover, dan lencana yang sama turut diletakkan pada bahagian kedua-dua pintu hadapan.

    Radar RD6 – trak pikap elektrik dari Geely dilancar di China, bermula RM116k, jarak gerak sehingga 632 km

    Pada bahagian sisi, RD6 ini menampilkan rekaan yang ringkas dengan bahagian perumah roda dijelaskan menerusi garis lekuk di atasnya, sementara port mengecas diletakkan pada sebelah sisi kanan bed belakang. Tidak seperti trak pikap lain yang cenderung diberikan lampu belakang menegak, RD6 ini nampaknya diberikan lampu belakang tirus melintang dengan konfigurasi “2-piece”.

    Untuk unit rangkaian kuasa, malangnya RD6 hanya diberikan motor tunggal berkuasa 272 hp (200 kW) diletakkan pada gandar belakang – ini bermakna sistem berkenaan hanya akan memacu roda belakang, tanpa sistem pacuan semua roda yang diperlukan untuk pemanduan off-road. Namun tidak mustahil versi untuk motor berkembar AWD tidak mustahil bakal diperkenalkan selepas ini kerana platform SEA memang direka untuk menempatkan konfigurasi sedemikian.

    Walaupun hanya diberikan sebuah motor elektrik, ia sudah cukup untuk memberikan pecutan 0-100 km sekitar 6 saat pada trak pikap ini. Motor berkenaan disuap dengan kuasa elektrik yang dibekalkan dari bateri LFP 63 kWj untuk varian asas, memberikan jarak gerak 400 km. Varian pertengahan menerima bateri NMC 86 kWj untuk jarak gerak 550 km, dan varian paling mahal diberikan bateri NMC 100 kWj untuk jarak gerak 632 km.

    Radar RD6 ini turut boleh dijadikan “powerbank gergasi” dengan enam port kuasa berbeza diletakkan pada bed belakang bagi membekalkan kuasa sehingga 2,000 watt. Ini membolehkan ia membekalkan kuasa elektrik kepada pelbagai kelengkapan elektrik sama ada untuk membuat kerja ataupun berkhemah. Menurut Radar, port kuasa ini mampu mengoperasikan sehingga 5 pendingin hawa rumah!

    Bahagian kabin trak pikap ini juga dilihat menggunakan banyak komponen yang dikongsi bersama Geely Haoyue/Proton X90. Ia termasuk papan pemuka, roda stereng, paparan instrumen dan skrin infotaimen (kedua-duanya bersaiz 12.3-inci), corong penghembus, konsol terowong dan panel pintu.

    Yang nampak berbeza adalah tombol gear di mana RD6 diberikan tombol melintang, dan Haoyue pula diberikan tombol sama seperti Binyue/X70. Antara peincian lain yang diberikan pada kabin Radar RD6 ini termasuk lampu suasana 72-warna, paparan head-up, dan juga sistem arahan suara.

    Jika Geometry merupakan jenama EV Geely untuk pasaran biasa dan Zeekr pula adalah jenama EV untuk segmen premium, Radar Auto merupakan jenama EV yang menghasilkan model-model gaya hidup outdoor. Trak pikap RD6 ini merupakan produk produksi pertama dari Radar, dan selepas ini ia akan diikuti empat model lain termasuk SUV, trak pikap lebih kecil, SUV besar dan juga ATV.

     
     
  • Mazda CX-90 dalam teaser – pengganti CX-9 di AS, enjin enam silinder, akan diperkenal Januari 2023

    Mazda CX-90 dalam teaser – pengganti CX-9 di AS, enjin enam silinder, akan diperkenal Januari 2023

    Mazda telah memberikan kita gambaran awal bagi SUV tiga baris tempat duduk yang dipanggil CX-90, dan merupakan salah satu daripada model yang terletak dalam kategori Large Product bersama CX-60, CX-70 dan CX-80.

    Direka khas untuk pengguna Amerika Syarikat, CX-90 akan menjadi model paling besar Mazda dan seterusnya menggantikan CX-9 dalam pasaran. Sama seperti CX-60, ia juga dibina atas platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture, dengan enjin menegak di hadapan dan pacuan roda belakang.

    Enjin sebenar yang akan diguna masih belum disahkan, tetapi diketahui akan ada unit enam silinder, menjadikan CX-90 ini sebagai model kedua yang menggunakan enjin seperti itu, selepas CX-60. Barisan enjin enam silinder sedia ada Mazda sekarang adalah termasuk petrol 3.3 liter turbo, hibrid ringkas 3.0 liter Skyactiv-X dan dua unit 3.3 liter diesel turbo (termasuk satu hibrid ringkas).

    Mazda CX-90 dalam teaser – pengganti CX-9 di AS, enjin enam silinder, akan diperkenal Januari 2023

    Mazda CX-9 pasaran Amerika Syarikat

    Gambar teaser yang dikeluarkan tidak menunjukkan banyak benda berkenaan rekaan, tetapi kita boleh menjangka konsep rekaan sama seperti model Mazda sedia ada sekarang dan dimensi yang melebihi CX-9 – Mazda memberitahu kenderaan baru mereka ini akan “lebih besar, lebih panjang, dan mempunyai ukuran lebih agresif berbanding kenderaan Mazda lain,”

    Perkara utama yang mahu ditunjukkan oleh Mazda melalui gambar ini nampaknya adalah warna merah baru yang dipanggil sebagai Artisan Red Premium. Ia terdiri daripada tiga lapisan cat iaitu lapisan lutsinar (clear), lapisan translucent serta lapisan pemantul/penyerap.

    Pengenalan CX-90 kepada dunia hanya akan berlaku pada Januari 2023, jadi kita boleh menjangkakan ada lagi teaser yang akan dikeluarkan dalam minggu-minggu yang akan datang ini. Sementara CX-90 ini disasarkan kepada pasaran Amerika Syarikat, SUV tiga baris lain pula akan diperkenalkan kepada pasaran Eropah, Jepun dan lain-lain, seperti CX-80 dan CX-60 (dua baris tempat duduk).

     
     
  • Terima e-mel dari Touch ‘n Go mengatakan akaun eWallet anda tidak aktif? Abaikan, ia masalah teknikal

    Adakah anda menerima e-mel dari Touch n Go (TnG) hari ini yang mengatakan bahawa akaun eWallet anda kini tidak aktif? Makluman seterusnya turut mengatakan bahawa akaun tersebut tertakluk kepada yuran tidak aktif sebanyak RM2.50 setahun dan TnG telah menolak baki anda.

    “Untuk menetapkan semula status pengaktifan ini, anda boleh melakukan apa-apa tambah nilai, pembayaran, pemindahan atau hanya log masuk ke eWallet anda dengan segera, jika tidak, yuran pengaktifan akan terus dikenakan setiap tahun. Sila terima makluman ini sebagai pemberitahuan rasmi daripada kami. Kami berharap anda akan kembali menggunakan Touch n Go eWallet sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai pilihan anda,” menurut e-mel yang dihantar itu.

    E-mel penjelasan – klik untuk besarkan

    Apabila menerima notifikasi begini, pasti ia mengejutkan terutamanya bagi pengguna TnG eWallet, tetapi jangan risau, sebenarnya ia hanyalah kesilapan teknikal dari pihak mereka. Malahan TnG turut menghantar e-mel seterusnya dengan memohon maaf di atas kekeliruan ini.

    “Anda mungkin menerima e-mel dari [email protected] yang mengatakan bahawa akan anda tidak aktif pada awal hari ini. Sila abaikan e-mel berkenaan kerana terdapat kesilapan teknikal dan kami memohon maaf di atas kekeliruan dan sebarang kesulitan yang timbul. Pemahaman anda amat dihargai. Yakinlah tiada potongan dilakukan pada eWallet anda,” kata e-mel kedua diterima.

    Jadi, jangan risau atau panik ya. Macam kena prank pulak pagi ni.

     
     
  • Lebuhraya MEX laksana laluan kontra secara percubaan di KM 11.5 hingga KM 7.9 mulai 16 Nov ini

    Lebuhraya MEX laksana laluan kontra secara percubaan di KM 11.5 hingga KM 7.9 mulai 16 Nov ini

    Maju Expressway Sdn Bhd selaku pengendali Lebuhraya Maju Expressway (MEX) telah mengumumkan pelaksanaan laluan kontra secara percubaan di lebuhraya berkenaan ke arah Kuala Lumpur akan bermula jam 7 pagi esok (16 November).

    “Laluan kontra ini akan bermula dari KM 11.5 sehingga KM 7.9 bagi aliran trafik arah utara (Putrajaya-Kuala Lumpur), khusus untuk kenderaan ringan (kelas 1) yang menuju ke Jalan Tun Razak dan Pusat Bandar melalui Plaza Tol Salak Selatan sahaja.

    “Pengguna yang mahu keluar ke Bukit Jalil atau Kuchai Lama perlu kekal di laluan utama tanpa memasuki laluan kontra,” menurut kenyataan itu.

    Dalam masa yang sama, syarikat berkenaan memaklumkan laluan kontra itu akan dipantau dan dinilai keberkesanannya dari semasa ke semasa. Selain itu, katanya lagi, langkah berkenaan dijangka dapat mewujudkan aliran trafik yang lebih lancar dan mengurangkan masa perjalanan bagi semua pengguna MEX.

    Lebuhraya MEX laksana laluan kontra secara percubaan di KM 11.5 hingga KM 7.9 mulai 16 Nov ini

    “Laluan kontra ini akan dilaksanakan pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula 7 pagi sehingga 10 pagi kecuali hujung minggu atau cuti umum. Justeru, pengguna lebuh raya diminta untuk merancang perjalanan ketika tempoh laluan kontra dilaksanakan.

    “Pengguna diingatkan untuk berada di lorong yang betul bagi mengelakkan kekeliruan serta gangguan aliran trafik dan kerjasama semua pemandu amat dihargai,” tambahnya.

    Sebelum ini, dilaporkan pelaksanaan laluan kontra berkenaan bermula pada 1 November lalu, namun ditangguhkan. Beberapa hari lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah pun meluluskan pelaksanaannya.

    Maklumat terkini mengenai laluan kontra dan laporan trafik melalui akaun MEXTraffic Twitter serta Facebook MEX Traffic atau menghubungi MEX Helpline di talian 03-83159111.

     
     
  • PRU15: PLUS keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan 16-21 Nov – jangka trafik meningkat 1.8j-1.9j sehari

    PRU15: PLUS keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan 16-21 Nov – jangka trafik meningkat 1.8j-1.9j sehari

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari di rangkaian lebuh raya kendaliannya pada 17 hingga 21 November ini apabila orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 19 November 2022.

    Justeru, bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa sewaktu merentasi Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan bersedia dari pelbagai sudut operasi lebuh raya bagi menghadapi peningkatan trafik.

    “PLUS mengeluarkan TTA sempena PRU ke-15 di Lebuhraya Utara-Selatan bagi tempoh 16 hingga 21 November 2022. Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 hingga 18 November, kami menasihatkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

    “Manakala, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya di antara jam 1 petang hingga 4 petang,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    PRU15: PLUS keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan 16-21 Nov – jangka trafik meningkat 1.8j-1.9j sehari

    Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang dan ibu kota bermula 20 hingga 21 November pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

    “Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini. Pengguna juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.

    Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut. Persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya,” tambah beliau.

    Sementara itu, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 sehingga 21 November 2022 kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

    Dalam masa yang sama, PLUS juga menyediakan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik lebuh raya untuk mempercepatkan proses pengalihan, penundaan kenderaan rosak atau kenderaan terlibat dengan kemalangan untuk melancarkan aliran trafik.

    Selain itu, PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas dan surau serta stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah terpilih beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung. Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.

    “Para pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan yang melanda negara di beberapa lokasi. PLUS berharap semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara,” kata Datuk Zakaria lagi.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan hari kelepasan am di seluruh Malaysia pada 18-19 November ini bagi memudahkan rakyat untuk keluar mengundi. Selain itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian kadar tol percuma di kesemua lebuhraya untuk tempoh yang sama.

     
     
  • Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

    Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

    Oleh Victor Kan

    Perodua Ativa Hybrid akhirnya sudah diserahkan, dan sebagai salah seorang daripada 300 pelanggan bertuahnya, saya kongsikan pendapat berkenaannya apabila dibandingkan dengan Ativa varian turbo biasa.

    Setelah memandu kenderaan ini dalam kedua-dua keadaan trafik yang teruk di KL, serta lebuh raya merentasi negeri, saya rasa sekarang adalah waktu yang sesuai untuk membuat pengenalan kepada kereta hibrid pertama negara ini. OK, ini mungkin kedengaran sedikit melebih-lebih, kerana secara teknikalnya ia cuma sebuah Daihatsu Rocky eSmart Hybrid, tapi menggunakan lencana Perodua.

    Nampak sama seperti Ativa Turbo, model Hybrid ini boleh dikenali dengan beberapa perbezaan apabila anda tahu apa yang perlu dicari. Mari mulakan di bahagian hadapan, yang menggunakan muka serba lain. Grilnya adalah lebih kecil dan terasing, bukannya seperti Turbo yang lebar dan bersambung rapat dengan lampu utama. Lampu kabus pula terletak dalam perumah berbentuk berlian, dan bukannya perumah bentuk T seperti versi Perodua. Ini menghasilkan rupa hadapan yang kurang agresif bagi model Hybrid ini.

    Pergi ke bahagian tepi, satu lagi perbezaan – dan ini tidak boleh ditukar dengan senang oleh pengguna Ativa Turbo – adalah rim lima nat. Ativa Turbo menggunakan rim empat nat. Cermin sisi juga berbeza saiz, dengan model Hybrid mempunyai unit yang lebih kecil; dan jika anda lihat pada bahagian penumpang, cermin sisi itu mempunyai tambahan satu lagi cermin kecil yang kelihatan sangat JDM. Model Hybrid terletak lebih rendah berbanding Ativa Turbo, tetapi dalam dunia sebenar, ia tidak begitu ketara, melainkan apabila anda meletakkannya bersebelahan.

    Untuk bahagian belakang, bagaimana untuk mengetahui Ativa di hadapan anda adalah versi Hybrid? Pertama sekali, logo Ativa pada pintu but tidak datang dengan lencana lain. Tiada lencana AV atau H, dan cuma ATIVA sahaja. Kemudiannya apabila melihat kepada bahagian bampar, perumah untuk pemantul cahaya – sama seperti hadapan – menggunakan bentuk berlian dan bukannya T seperti model Perodua. Juga, jika anda perhatikan pada bampar di bahagian sebelah pemandu, anda akan nampak lambu kabus. Sebagai bonus, tempat meletak nombor plet adalah lebih kecil dan berpadanan dengan dimensi plet Jepun, bukannya Malaysia.

    Berkata tentang bahagian belakang, tahukah anda bahawa model Hybrid ini menggunakan pintu but yang dibuat daripada plastik? Ada kawan saya yang bertanya, “selamat ke?” Harap-harap selamatlah, memandangkan sekarang banyak kenderaan baru di Jepun menggunakan pintu but yang dibuat daripada plastik. Kelebihan plastik adalah jelas – pengurangan berat. Tapi jangan risau, ia kuat dan lasak – bukannya jenis plastik sama seperti sudu nasi lemak tu.

    Masuk ke dalam dan tempat duduk pemandu, anda akan dapat merasakan suasana yang lebih kelam di dalam. Tiada kemasan merah pada tempat duduk, panel pintu, corong pendingin hawa atau papan pemuka, dan sebaliknya anda akan disambut dengan kabin yang bertemakan hitam, kelabu dan perak.

    Bergantung kepada usia dan kegemaran, anda sama ada akan suka atau benci. Saya secara individu menggemarinya kerana selama ini saya memang suka bahagian dalam yang kurang sporty bagi kereta seperti ini. Mungkin pandangan ini akan berubah apabila saya memiliki Bugatti Veyron nanti. Tapi sebelum waktu itu sampai, saya suka bahagian dalam yang sederhana sama seperti kereta ini yang juga sederhana.

    Sama seperti Ativa Turbo, kebanyakan bahagian menggunakan permukaan plastik yang keras, tetapi saya senang hati Perodua tidak memilih kemasan yang paling asas. Anda masih akan dapat menjumpai balutan ala kulit lembut di bahagian-bahagian penting seperti roda stereng, tombol gear, perehat tangan dan juga bersama dengan balutan tempat duduk fabriknya serta penyandar kepala.

    Bahagian konsol tengah telah direka semula sepenuhnya, memandangkan model Hybrid ini menggunakan brek parkir elektronik (EPB) dan bukannya brek tangan biasa. Ini membenarkan penambahan dua tempat cawan yang besar. Bersama dengan EPB ini terdapat butang Auto Brake Hold. Saya dimanjakan dengan ciri ini dan sekarang saya rasa lebih malas apabila lebih banyak menggunakan kereta ini! Nanti saya ceritakan.

    Model Hybrid ini masih mengekalkan pengawal pendingin hawa standard Rocky dengan dua tombol bulat. Saya rasa ini nampak lebih elok bersama bahagian lain, termasuk dua butang bulat di stereng serta bahagian tengah stereng. Tapi sekali lagi, ini cumalah cita rasa individu. Tiada fungsi memori pada pengawal ini.

    Dengan itu, saya rasakan fungsi kawalan suhu automatik adalah lebih mudah untuk digunakan, tekan sekali dan lupakan. Jadi, tak kisahlah sama ada keadaan panas, atau sejuk, AC akan melaras sendiri sehingga suhu yang telah kita tetapkan. Malah, ia juga boleh sekadar mengeluarkan angin panas jika perlu. Sebagai bonus, terdapat pemanas untuk tempat duduk hadapan, tetapi saya rasa kita tidak akan memerlukannya di negara ini.

    Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

    Ruang simpanan barang hampir sama, tetapi anda tidak akan menjumpai roda simpanan saiz sebenar di bawah papan lantainya. Sebaliknya, di situlah terletak bateri hibridnya, bersama beberapa ruang tersembunyi. Jadi, apa nak buat kalau tayar pancit? Kit tayar (pam elektrik) tersembunyi di bahagian tepi. Saya sangat menyukai ciri ini kerana saya tak nak kotorkan tangan dan baju, sebaliknya cuma perlu pam angin dan pandu kereta ke kedai untuk dibaiki. Kalau ditanya, saya rasa lebih banyak kereta perlu buat seperti ini. Dan model Hybrid juga ada lampu di kaki – menyala automatik apabila lampu dihidupkan – bestnya! (Ativa pun ada sebenarnya.)

    Bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Ini kan model hibrid. Tapi dengan sekarang sudah ada banyak jenis dalam pasaran, ia menggunakan jenis yang mana? Penjelasan yang paling baik adalah kereta ini berfungsi seperti sebuah kereta elektrik penuh (EV), tetapi tanpa sebarang kerisauan tentang jarak gerak.

    Macam mana tu? Jawapannya terletak di sebalik label Hybrid, kerana kereta ini juga masih mempunyai enjin petrol biasa. Inilah yang menarik. Enjin petrol 1.2L itu hanya digunakan sebagai generator kuasa elektrik sahaja. Ia beroperasi untuk menghasilkan kuasa elektrik untuk menggerakkan motor elektrik (dan mengecas bateri) yang memacu kenderaan. Jadi, tiada transmisi CVT di sini, dan cuma ada motor elektrik sahaja.

    Tekan sahaja pedal, kereta akan pergi dengan lancar, terus menerus, penuh tork dari awal, seperti yang sepatutnya bagi sebuah EV. Apabila enjin petrol 1.2L itu tidak berfungsi, kereta akan senyap dan diam sahaja. Rasa seperti kereta tidak dihidupkan pun. Sistem pendingin hawa juga dikuasakan oleh elektrik, yang mana adalah masuk akal.

    Ativa Hybrid dilengkapi dengan mod pemanduan S-Pedal secara terus. Anda boleh padamkannya jika mahu. Seperti yang boleh dikenali melalui namanya, ini adalah operasi satu pedal yang membolehkan anda menggerakkan dan memberhentikan kenderaan menggunakan cuma satu pedal sahaja, tanpa menggunakan pedal brek. Brek cuma perlu digunakan apabila anda mahu berhenti mengejut.

    Satu lagi peningkatan besar berbanding model Turbo adalah penambahan fungsi EPB dan Auto Brake Hold. Ia membenarkan kereta terus berhenti sehinggalah anda bersedia untuk jalan semula, tanpa menggunakan brek tangan setiap kali. Sangat berguna untuk keadaan trafik yang kerap jalan dan berhenti di bandar. Satu lagi ciri yang ditambah baik adalah Adaptive Cruise Control (ACC). Dengan adanya EPB, Ativa Hybrid boleh mengikut kenderaan hadapan dalam kelajuan rendah (sebagai daripada ACC), bermula dari kedudukan berhenti. Ini tidak dapat dilakukan oleh Ativa Turbo.

    Ingat lagi tadi saya kata saya jadi makin malas apabila lebih banyak menggunakan kereta ni? Ia adalah kerana anggota badan saya kurang bergerak semasa memandu. Tangan kiri saya sentiasa di stereng, termasuklah dalam bandar kerana EPB dan Auto Brake Hold melakukan kerjanya dengan sempurna. Tak perlu nak tukar gear ke N, dan tak perlu tarik atau lepas brek tangan di lampu isyarat. Dan dengan S-Pedal, kaki kanan saya juga jarang bergerak dari pedal pendikit. Saya mula rasa macam seorang pemalas – di tempat duduk kereta!

    Setakat ini semuanya kedengaran baik dan bagus, tapi mari kita lihat pula kekurangannya, atau perkara yang boleh ditambah baik. Sebagai permulaan, beberapa ciri telah dibuang daripada kenderaan asal Rocky Hybrid, dan kekurangan berbanding Ativa Hybrid.

    Soket elektrik kecemasan 110V di bahagian ruang simpanan Rocky Hybrid tiada pada kereta ini. Awalnya saya berharap sangat dapat menggunakan kereta ini sebagai sebuah mini-camper, tapi sekarang saya perlu membawa sendiri sumber kuasa luar. Turut dicabut adalah head-unit Rocky, dan diganti dengan unit biasa sama seperti Ativa Turbo. Ini bermakna, tiada Apple CarPlay, Android Auto, butang kawalan tahap bunyi di stereng dan yang paling menyeksakan, kamera undur. Pemerhati titik buta juga tiada. Sedih, tapi itulah keadaannya.

    Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

    Jadi dengan review kereta ini sudah selesai, apa pendapat saya tentang sistem pajakan (leasing) Perodua ini? Meskipun nama anda sudah berada pada geran dan insurans kenderaan, Ativa Hybrid yang cuma ada 300 unit ini secara teknikalnya cuma dipajak dan bukannya dijual. Bayaran awalnya adalah RM2,150, diikuti RM500 sebulan selama 60 bulan.

    Bertentangan dengan pendapat orang tertentu, anda tidak dikira layak hanya kerana anda boleh membayar RM500 setiap bulan. Setiap pemajak yang berpotensi disaring terlebih dahulu, sama seperti apa yang dibuat jika anda mahu memohon pembiayaan sewa beli. Saya rasa Perodua mahu kepastian bahawa mereka tidak perlu tukar pemajak sewaktu di pertengahan tempoh program.

    Semua perkara berkenaan servis, baik pulih, alat ganti lusuh, insurans dan cukai jalan ditanggung sepenuhnya oleh Perodua, jadi pemajak cuma perlu bayar duit petrol sahaja. Kereta ini juga dijangka cukup jimat, dengan penggunaan bahan api yang didakwa boleh mencapai 31 km/l. Saya masih belum capai tahap itu, tapi ia tidak lari jauh dan sudah cukup untuk membuatkan saya kagum. Walaubagaimanapun, had batuan kenderaan ini ditetapkan pada 100,000 km dan anda tidak boleh melakukan sebarang ubah suai padanya. Bagi mereka yang cuma mahukan sebuah kereta yang seronok dipandu dan jimat untuk pergi dari satu tempat ke tempat, ini adalah pilihan yang baik.

    Perodua Ativa Hybrid – peserta program langganan kongsi pengalaman guna model CBU, RM500 sebulan

    Saya gunakan Ativa Hybrid ini sebagai kenderaan utama untuk pergi kerja di Lembah Kelang dan saya menyukainya. Kereta ini tidak terlalu besar, mempunyai pandangan pemandu yang tinggi, rasa lincah dan mempunyai radius membelok yang kecil – terbaik untuk bergerak dalam trafik. Paling memuaskan adalah ia berfungsi seperti EV, jadi selain diam, ia juga boleh bergerak dengan senang termasuk waktu di dalam kesesakan trafik.

    Kualiti binaan keseluruhan kenderaan juga adalah baik; mungkin kerana ia adalah sebuah model CBU dari Jepun. Ia juga tidak terkesan dengan banyak masalah kronik Ativa Turbo, seperti yang boleh dilihat dalam internet.

    Salah satu sisi negatif pemilikan kereta ini adalah rasa terasing dengan orang lain. Tidak ada banyak forum yang dibuat khas untuk Ativa/Rocky/Raize Hybrid. Jadi, agak susah untuk mendapatkan sokongan atau jawapan kepada soalan spesifik tertentu – harap ini boleh berubah di masa hadapan apabila pemilikan Ativa/Rocky/Raize Hybrid semakin meningkat di dalam negara dan juga secara global.

    GALERI: Perodua Ativa Hybrid

     
     
  • Corak penerimaan model hibrid Honda di Malaysia tunjuk peningkatan — 11% bagi model terkini HR-V

    Corak penerimaan model hibrid Honda di Malaysia tunjuk peningkatan — 11% bagi model terkini HR-V

    Bagi Honda Malaysia, memperkenalkan model hibrid untuk pasaran tempatan bukanlah perkara baru. Bagi model Civic misalnya — yang mana versi terbaru Civic RS e:HEV bagi model generasi ke-11 dilancarkan untuk pasaran tempatan hari ini — telah menyaksikan Civic hibrid pertama yang diperkenalkan di sini adalah sejak tahun 2007 lagi.

    Sepanjang tempoh berkenaan, ada beberapa lagi model hibrid yang pernah diperkenalkan, sebagai contoh Honda Insight, model sports CR-Z, dan pernah juga ada Jazz Hybrid. Ini bermakna, Honda sejak awal telah memberi tumpuan kepada teknologi hibrid untuk pasaran tempatan, dan corak itu diteruskan dengan lebih giat dalam tempoh dua tahun terakhir ini.

    Memang, komposisi jumlah yang terjual bagi versi hibrid bagi model-model sedia ada Honda — bahkan bagi jenama lain juga — adalah relatif kecil, tetapi ia semakin memberikan sumbangan jualan yang bertambah banyak. Hal ini ditunjukkan oleh Honda bagi tiga model hibrid terkini yang dijual.

    Corak penerimaan model hibrid Honda di Malaysia tunjuk peningkatan — 11% bagi model terkini HR-V

    Model yang dimaksudkan termasuklah City sedan e:HEV RS yang dilancarkan pada Oktober 2020, dan sehingga Oktober 2022 ia telah menyumbang sebanyak 5% daripada jualan City sedan setakat ini. City Hatchback yang dilancarkan pada Disember 2021 juga turut diperkenalkan dalam versi e:HEV, dan angka jualannya bagi model bersamaan juga meningkat kepada 8%.

    Model hibrid yang diperkenalkan sebelum ini, HR-V e:HEV RS juga terus menunjukkan peningkatan dan penerimaan pelanggan, dengan mencatatkan 11% daripdaa jumlah keseluruhan model itu yang telah terjual setakat Oktober 2022. Kini dengan Civic RS e:HEV, Honda Malaysia mempunyai penawaran barisan kenderaan hibrid dalam segmen B dan C yang agak lengkap sebagai pilihan kepada versi petrol biasa. Akan ada lebih ramai yang beralih kepada kereta hibrid selepas ini?

     
     
  • Honda Civic masih sedan segmen-C paling laris di Malaysia – pegangan pasaran sebesar 81%

    Honda Civic masih sedan segmen-C paling laris di Malaysia – pegangan pasaran sebesar 81%

    Ketika melancarkan varian baharu untuk Honda Civic generasi ke-11 iaitu Civic RS e:HEV pagi ini, Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura mengumumkan bahawa Civic masih merupakan sedan segmen-C paling laris di Malaysia buat masa sekarang.

    Menurutnya, sejak dilancarkan pada Januari lalu sehingga akhir bulan September 2022, Civic generasi ke-11 kini sudahpun dijual sekitar 7,000 unit dan masih kekal nombor satu dalam kelas sedan segmen-C tempatan dengan pegangan pasaran sebesar 81%.

    Dengan penambahan satu lagi varian hari ini, Civic kini ditawarkan bermula model asas 1.5 E yang dijual pada harga RM130,700 diikuti model pertengahan 1.5 V dijual pada harga RM143,700, model spesifikasi tertinggi serta menampilkan rupa lebih agresif bagi varian petrol penuh iaitu Civic 1.5 RS Turbo dijual pada harga RM150,700, manakala model hibrid dan juga yang paling mahal iaitu Civic e:HEV RS dijual pada harga RM166,500.

     
     
  • Honda Civic RS e:HEV dilancarkan di Malaysia – RM166,500, hibrid i-MMD 2.0L, 184 PS/315 Nm

    Honda Civic RS e:HEV dilancarkan di Malaysia – RM166,500, hibrid i-MMD 2.0L, 184 PS/315 Nm

    Honda Malaysia hari ini melancarkan satu lagi varian tambahan untuk Civic generasi ke-11 – ini dia Honda Civic RS e:HEV. Seperti namanya, model ini menerima penggayaan paling sporty seperti Civic RS Turbo, tetapi menerima unit rangkaian kuasa hibrid dua motor elektrik intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD).

    Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM166,500, atau RM15,800 lebih mahal dari Civic RS Turbo yang dijual pada harga RM150,700, menjadikan ia model tertinggi dalam barisan model Civic di Malaysia buat masa sekarang. Ini juga bukan kali pertama Honda Malaysia membawakan varian hibrid untuk Civic pada pasaran tempatan, kerana pada pada 2007 syarikat tersebut telah melancarkan Civic Hybrid generasi pertama (dalam badan Civic generasi ke-lapan) di sini.

    Dimensi untuk Civic RS e:HEV ini juga sama seperti model petrol dengan 4,678 mm panjang, 1,802 mm lebar, 1,415 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,734 mm, Namun ia mempunyai jarak kelegaan tanah sedikit lebih tinggi iaitu 128 mm (126 mm, untuk petrol), tetapi dengan titik graviti yang didakwa 10 mm lebih rendah.

    Honda Civic RS e:HEV dilancarkan di Malaysia – RM166,500, hibrid i-MMD 2.0L, 184 PS/315 Nm

    Model RS e:HEV ini menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik. Ia berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri.

    Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm. Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol, dan sebab itulah ia masih diberikan transmisi E-CVT.

    Dengan komponen unit rangkaian kuasa yang lebih rumit, model hibrid ini juga 100 kg lebih berat dari versi turbo, walaupun sebenarnya Honda telah membuat pelbagai proses untuk mengurangkan beratnya. Antara perkara yang dibuat termasuk menggunakan aluminium dalam pendawaian kabel bervoltan tinggi, mengurangkan 37% berat berbanding wayar tembaga yang digunakan sebelum ini.

    Honda Civic RS e:HEV dilancarkan di Malaysia – RM166,500, hibrid i-MMD 2.0L, 184 PS/315 Nm

    Civic ini diberikan bateri lithium-ion 72-sel 1.05 kWj yang diletakkan dalam intelligent Power Unit (IPU) dengan berat keseluruhan 37 kg, diletakkan sekali pada ruang enjin, menjadikan bahagian hadapannya 15 kg lebih berat dari model turbo. Walau bagaimanapun, menurut Ketua Projek Besar Civic e:HEV RS ini iaitu Tomoyuki Yamagami, agihan berat keseluruhan model ini telahpun dibuat seimbang 50:50 bagi memastikan pengendalian dan dinamik pemanduannya tidak terjejas.

    Dari segi rupa, seperti yang dinyatakan tadi model RS hibrid ini menerima kit yang nampak sama seperti RS Turbo. Ia diberikan lencana ‘RS’ pada gril hadapan dan juga spoiler belakang yang diberikan kemasan hitam berkilat. Namun model RS hibrid ini tidak diberikan rim 18-inci (rekaan sama seperti Civic SI di AS) kemasan hitam seperti model RS Turbo, sebaliknya digantikan dengan rim 18-inci kemasan dua tona.

    Model lebih mesra alam ini juga diberikan serlahan biru pada bahagian latar belakang ‘Logo H’ gril hadapan dan juga pada penutup but belakang, lebih kemasan krom diberikan pada gril hadapan, bezel dalam lampu hadapan dan juga pada bahagian atas tingkap sisi. Model hibrid ini juga hanya diberikan satu tip ekzos di belakang, berbanding dua tip untuk model RS Turbo.

    Antara perincian yang diberikan pada model RS e:HEV ini termasuk ruang dalaman berwarna hitam, sistem pendingin hawa dua-zon bersama penghembus untuk kabin belakang, skrin infotainmen Display Audio sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta penghidup enjin jarak jauh.

    Model ini turut menerima perincian khas yang tiada pada versi petrol termasuk Honda Smart Key Card (kunci seakan kad), paparan instrumen digital 10.25-inci dan pengecas tanpa wayar Qi. Ia juga di dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang meliputi sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran keluar laluan, lampu tinggi automatik, cruise control adaptif dan amaran bergerak kenderaan hadapan.

    Empat warna badan ditawarkan untuk Civic RS e:HEV ini iaitu Ignite Red, Meteoroid Gray, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl. Ia menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan bersama lima servis dengan kos buruh percuma dan tambahan waranti lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri lithium-ion.


    Pembentangan produk Honda Civic RS e:HEV 2022 pasaran Malaysia

     
     
  • Geely masuki Eropah dengan jenama EV Geometry

    Geely masuki Eropah dengan jenama EV Geometry

    Geometry C

    Geely Auto telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan firma dari Hungary, Grand Automotive Central Europe, untuk pengedaran dan jualan bagi produk dari jenama Geometry, bermula dengan Geometry C yang bakal dijual di Hungary, Czech Republic dan Slovakia pada separuh pertama tahun hadapan.

    Sebelum menandatangani perjanjian dengan Geely Auto, Grand Automotive Central Europe merupakan pengimport dan pengedar bagi jenama Nissan di Hungary, Czech Republic dan Slovakia, menurut laman webnya.

    “Ini merupakan kali pertama jenama Geely memasuki pasaran Kesatuan Eropah, dan mewakili satu langkah penting ke hadapan untuk cita-cita globalisasi Geely,” kata timbalan pengurus besar eksekutif Geely Xue Tao menurut laporan Car News China.

    Jenama Geometry muncul sebagai cabang EV bagi kenderaan elektrik arus perdana Geely, manakala model pembakaran dalaman konvensional, hibrid dan plug-in hybrid kekal di bawah jenama Geely Auto.

    Geometry C mempunyai dua pilihan kerangka sama ada hatchback atau crossover, berukuran 4,432 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,560 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Motor elektrik tunggalnya mampu memberikan kuasa hingga 200 PS dan tork 310 Nm dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan, dan ia menawarkan dua spesifikasi bateri; pek bateri 51.9 kWh dengan jarak EV sehingga 400 km, dan pek bateri 61.9 kWh yang mampu memacu Geometry C hingga 550 km.

    Ia merupakan keluaran selepas Geometry A, yang merupakan model pertama di bawah jenama kenderaan elektrik syarikat berkenaan dan sebelum ini dikenali sebagai Geely GE11.

    Model terbaharu yang muncul daripada jenama Geometry ialah Geometry E, sebuah crossover EV kecil yang berasaskan EX3 Kungfu Cow dan menghasilkan 82 PS daripada motor elektrik tunggalnya. Sebagai perbandingan, EX3 diberikan unit 95 PS/180 Nm yang lebih berkuasa, dan bateri lithium-ion 37 kWh membolehkannya dipacu dengan jarak sehingga 322 km.

    GALERI: Geometry C di China

     
     
  • PRU15: Kerajaan umum pemberian kadar tol percuma di semua lebuhraya pada 18-19 November ini

    PRU15: Kerajaan umum pemberian kadar tol percuma di semua lebuhraya pada 18-19 November ini

    Bukan setakat mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan tawaran tol percuma diberikan yang melibatkan kesemua lebuhraya pada tarikh yang sama.

    Ismail Sabri berkata, tawaran tol percuma ini dipersetujui oleh 30 syarikat konsesi lebuhraya dan bertujuan memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Sabtu ini.

    “Bagi memudahkan pengundi balik mengundi, sebanyak 30 konsesi lebuh raya bersetuju tawar tol percuma selama dua hari kepada pengguna sempena PRU15.

    “Pemberian kadar tol secara percuma ini akan bermula pada jam 12.01 tengah malam pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 19 November,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    PRU15: Kerajaan umum pemberian kadar tol percuma di semua lebuhraya pada 18-19 November ini

    Sebagai pengingatan bersama, sekiranya anda belum tahu di manakah tempat mengundi, anda disarankan melakukan semakan menerusi MySPR Semak.

    Selain itu, bagi anda yang mengundi di luar kawasan tempat anda bermastautin, mungkin di kampung halaman, pastikan anda memeriksa kondisi kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Jika kenderaan anda menghampiri tempoh servis yang berikutnya, anda boleh berbuat demikian sebelum balik mengundi.

    Atau pun, jika tempoh servis masih lambat lagi, jangan lupa untuk periksa minyak enjin, keadaan pad brek, radiator dan coolant – pastikan semuanya berada pada tahap yang baik. Jika ada sebarang kerosakan, masih sempat untuk diperbaiki agar ia tidak menganggu kelancaran perjalanan anda kelak.

    Jangan lupa juga untuk memeriksa kondisi bateri dan tayar kenderaan. Jika ia perlu ditukar, jangan kedekut duit untuk menukarkannya demi keselamatan anda juga. Jika tayar masih berada dalam kondisi baik, anda mungkin boleh melakukan penjajaran ( alignment) dan pengimbangan (balancing), serta jangan lupa pam tayar juga (jika diperlukan). Sekarang ini pula musim hujan, jadi bab tayar sangat penting dan perlu dititikberatkan atas dasar keselamatan bersama.

    Sila rancang perjalanan anda, pastikan kesihatan ‘mengizinkan’ untuk anda memandu, amalkan pemanduan berhemah dan berhati-hatilah di jalan raya.

     
     
  • GWM Ora Good Cat 2022 di Malaysia — EV ini terima 100 unit tempahan pada hujung minggu pertama

    GWM Ora Good Cat 2022 di Malaysia — EV ini terima 100 unit tempahan pada hujung minggu pertama

    Tempahan telah pun dibuka untuk model Great Wall Motors (GWM) Ora Good Cat di Malaysia, dan EV comel ini berjaya menerima sebanyak tempahan bagi hujung minggu pertama pembukaan tempahan tersebut.

    “Kami berbangga untuk membawakan Ora Good Cat, kereta elektrik sepenuhnya yang pertama kami ke pasaran Malaysia. Kami yakin ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna di negara ini, dan memenuhi bermacam keperluan yang ada di sini. Pengenalan Ora Good Cat di sini akan menggalakkan lagi minat pelanggan di sini terhadap kereta elektrik,” ujar pengarah urusan Great Wall Motors Malaysia, Cui Anqi.

    Buat masa ini, harga Ora Good Cat masih belum diumumkan, walaupun ia dijangka akan dijual pada harga antara RM150k hingga RM160k dan akan ditawarkan dalam empat varian — Tech, Pro, Ultra dan Ultra G. Semua varian ini dilengkapi motor elektrik yang menghasilkan 143 PS/210 Nm yang memacu roda depan, dengan kelajuan maksimum mencecah 152 km/j. Pemanduan dengan pedal tunggal juga tersedia, dan ada lima mod — Normal, Sport, Eco, Eco+ dan Auto.

    Varian Tech dan Pro akan menggunakan bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate yang boleh memberikan jarak perjalanan cecah 400 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan penuh, ia memerlukan sekitar lapan jam jika dicas menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) pada kadar input maksimum 6.6 kW. Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas 0-80% (SoC) dalam masa 46 minit pada kadar 60 kW.

    Sementara itu, bagi varian Ultra dan Ultra G pula diberikan bateri lithium 63.1 kWh yang menawarkan jarak perjalanan mencecah 500 KM mengikut kitaran NEDC. Ia mengambil masa sekitar 10 jam untuk pengecasan penuh menerusi pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diambil untuk status 0-80% pengecasan pula adalah sekitar 40 minit.

    Varian Tech dilengkapi dengan rim aloi 17-inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, tempat duduk balutan fabrik, kluster instrumen 7.0-inci, pendingin hawa automatik dengan penapis PM2.5, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci, empat pembesar suara, kawalan kelajuan, dua beg udara, ESC, penderia parkir, bantuan mula mendaki, brek kecemasan kelajuan rendah dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Untuk Pro pula, ia ditambahkan dengan aloi 18-inci, lampu utama automatik, cermin sisi lipatan kuasa elektrik, penderia pengilap cermin, bumbung panoramik, tempat duduk kulit, kamera 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, slot USB untuk dashcam serta enam beg udara.

    Ultra G pula datang dengan ciri kelengkapan yang diperoleh hampir sama dengan Utlra, tetapi ia diberikan warna eksklusif Hazel Wood Beige/Wisdom Brown dan Verdant Green dengan bumbung putih. Ia dipadankan dengan upholstery ruang kabin dalam warna coklat dan beige atau hijau-kelabu.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor PQP bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor PQP bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, PQP, bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Pulau Pinang, PQP ini akan mula dibuka bidaan pada 19 November 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 23 November. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 24 November 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Toyota GR Yaris Rally2 Concept didedahkan di Jepun – bakal dijual bermula 2024, guna enjin tiga-silinder?

    Toyota GR Yaris Rally2 Concept didedahkan di Jepun – bakal dijual bermula 2024, guna enjin tiga-silinder?

    Selepas mendominasi kategori utama Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan jentera Yaris WRC dan GR Yaris Rally1, Toyota nampaknya bakal hadir ke kancah pertarungan tangga kedua WRC selepas ini iaitu dalam kategori Rally2 – Toyota Gazoo Racing telahpun mendedahkan GR Yaris Rally2 Concpet di pusingan terakhir WRC musim ini iaitu Rally Japan 2022 yang berlangsung hujung minggu lalu!

    Toyota langsung tidak mengumumkan sebarang perincian berkenaan jentera baharu ini. Ia didedahkan dan kemudian terus dibawa ke SS rali, dengan pemanduan demonstrasi dibuat oleh juara dunia WRC empat-kali (sekali dengan Toyota) dari Finland, Juha Kankunnen. Pelbagai laporan menyebut bahawa pembangunan bagi GR Yaris Rally2 ini bakal dibuat tahun hadapan, dan pelanggan-pelanggan yang berminat untuk program customer racing boleh membelinya pada 2024.

    Menerusi video-video yang tersiar dilaman-laman sosial, bunyi GR Yaris Rally2 ini seperti menggunakan enjin tiga-silinder – mungkin menggunakan asas enjin G16-GTS 1.6L Turbo yang sama seperti GR Yaris produksi. Untuk pengetahuan anda, jentera GR Yaris Rally1 masih menggunakan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang diambil dari jentera Yaris WRC sebelum itu.

    Untuk semua jentera Rally2/R5, FIA telah menetapkan bahawa ia perlu dijana enjin 1.6 liter turbo dengan diberikan unit restrictor turbo berdiameter 32 mm, kebiasaannya akan menghasilkan kuasa sekitar 200-300 hp an tork melebihi 400 Nm.

    Kuasa dari enjin perlu dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif – semua komponen ini perlu diambil dari pembekal-pembekal yang telah ditetapkan oleh FIA.

    Berbanding kategori Rally1 yang hanya ada tiga pengeluar yang menghasilkan kereta dengan spesifikasi tersebut iaitu Toyota, Hyundai dan Ford, kategori Rally1 (sebelum ini dikenali sebagai R5) jauh lebih meriah. Buat masa sekarang antara jentera yang masih mempunyai homologasi FIA untuk kategori ini termasuk VW Polo GTI R5, Proton Iriz R5, Citroën C3 R5, dan antara yang paling terkini adalah Hyundai i20 N Rally2 serta Skoda Fabia RS Rally2.



     
     
  • Perodua Axia 2019 tak servis tukar minyak enjin sejak beli hingga 79,600 km; sampai patah camshaft!

    Perodua Axia 2019 tak servis tukar minyak enjin sejak beli hingga 79,600 km; sampai patah camshaft!

    Selain dari mengisi petrol, kita seharusnya tahu bahawa kereta yang kita pandu perlu diselenggara dan diservis. Namun jangan terkejut, kadang-kala ada juga individu tak tahu bahawa kereta mereka perlu diservis sekurang-kurangnya menukar minyak enjin mengikut sela masa yang disyorkan oleh pengeluar.

    Ini yang berlaku di pusat servis Perodua Penchala – satu video yang dimuat naik oleh akaun tiktok rasmi pusat servis berkenaan memaparkan enjin sebuah Perodua Axia yang rosak teruk kerana langsung tidak pernah diservis dan menukar minyak enjin sejak dibeli pada 2019 sehingga meter perbatuan mencecah 79,600 km!

    Antara kerosakan yang ditemui pada enjin tersebut termasuk kesan terbakar dilihat pada pelbagai komponen dalaman, pam minyak pelincir tersumbat, enapcemar (sludge) minyak enjin boleh dijumpai di segenap sudut dan yang paling teruk adalah aci sesondol (camshaft) patah – ini agaknya yang menyebabkan enjin berkenaan mati di tengah jalan ketika memandu dan mengingatkan pemiliknya untuk membawa kereta tersebut ke pusat servis.

    Menurut pusat servis Perodua Penchala, kerja-kerja pembaikan ini turut dibantu oleh staf-staf Perodua yang datang dari Ibu Pejabat (mungkin pemiliknya cuba memohon waranti kerana usia kereta baru mencecah empat tahun?), dan ‘punca kerosakan’ tersebut dikesan dengan memeriksa rekod sejarah servis kereta tersebut, yang sememangnya tiada sejarah langsung kerana tak pernah diservis.

    Jadi tuan-tuan dan puan-puan semua, kami sarankan setiap kali anda membeli kereta baharu, rajin-rajinkanlah untuk membaca buku manual yang disediakan. Dalam buku manual berkenaan sebenarnya sudah cukup lengkap apa yang perlu anda buat untuk menjaga kereta tersebut. Kalau dah jadi macam ni, memang anda tak layak untuk mendapat perlindungan waranti kerana kereta tersebut tidak diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan. Nak beli enjin baru bukan murah sedara…

    @perodua.penchala sampai patah camshaft ooo #peroduapenchala #peroduakl #peroduadamansara #fyp??viral #foryoupage #fypdongggggggg #fyp #perodua #viral #viraltiktok ? Sayunk I Love You – Chombi