Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MV Agusta F3 RR diberi facelift – kuasa 147 hp, 88 Nm

    MV Agusta F3 RR diberi facelift – kuasa 147 hp, 88 Nm

    Pengeluar dari Itali, MV Agusta, telah memberikan pembaharuan kepada model F3 RR, di mana peningkatan utamanya adalah pada bahagian aerodinamik seperti fairing baru dengan sirip di sebalik panel sisi, yang mampu memberikan tambahan daya tolakan ke bawah sebanyak 8 kg.

    Kemudiannya, model baru ini juga menggunakan penghadang angin hadapan lebih tinggi, panel fairing gentian karbon serta mudguard baru yang dapat meningkatkan aliran udara kepada radiator. Sistem penyejukan juga ditambah baik dengan penyejuk minyak baru yang 5% lebih cekap.

    Rim yang sebelum ini mencatat berat 4.56 kg diganti dengan rim baru seberat 4.14 kg (10% lebih ringan), sekaligus membantu putaran roda yang lebih cepat. Penukaran gear melalui quickshifter EAS 3.0 juga diperbaiki dengan sensor baru serta hab klac yang diperkuat.

    Pada bahagian enjin, F3 RR menggunakan unit tiga silinder 798 cc yang mampu menghasilkan 147 hp pada 13,000 rpm dan 88 Nm tork pada 10,100 rpm. Penunggang boleh mengawal penyampaian kuasa ini melalui empat mod tunggangan yang disediakan sementara kawalan cengkaman pula boleh dilaras dalam lapan tahap.

    Suspensi terdiri daripada fork 43 mm Marzocchi boleh laras sepenuhnya di hadapan manakala di belakang pula terdapat monoshock Sachs, yang juga boleh dilaras sepenuhnya. Brek adalah daripada Brembo, dengan set cakera 320 mm berkembar di hadapan dan 220 mm di belakang.

    Pada bahagian kokpit terdapat panel instrumen TFT-LCD 5.5 inci berwarna penuh dengan sistem yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk memberikan fungsi seperti notifikasi dan pemain muzik. Motosikal ini juga datang dengan tangki bahan api 16.5 liter, launch control, cruise control serta berat keseluruhan 173 kg.

     
     
  • UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    Kepada pemilik kenderaan Toyota di Malaysia, ini ada perkembangan penting dan menarik. UMW Toyota Motor (UMWT) telah memperkenalkan aplikasi mudah alih terbaru bagi servis 24Seven Road Assist.

    Ini bermaksud, bantuan tepi jalan 24 jam yang sedia ada sebelum ini kini boleh dicapai melalui beberapa sentuhan mudah di skrin telefon. Ia bagaimanapun tidak menggantikan talian bantuan 1-800-888-247, sebaliknya ditawarkan sebagai satu lagi saluran alternatif kepada pengguna. UMWT menyifatkan ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri di Malaysia.

    Ada butang SOS disediakan, dan lebih menarik, ada juga ciri pengesan masa nyata untuk melihat di mana lokasi pengguna yang memerlukan bantuan itu terletak, serta bila bantuan akan tiba, sama seperti anda melihat dan mengesan perjalanan penghantar makanan yang anda pesan. Semua ini, termasuk bantuan yang dihantar adalah dari pengedar dan penyedia perkhidmatan sah Toyota sendiri, akan memberikan lebih kelegaan kepada pengguna dalam menghadapi situasi sukar.

    UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    Pengguna bahkan boleh meminta bantuan sekecil apa pun, seperti untuk menukar tayar ataupun jika kereta kehabisan minyak. Pengguna juga boleh memilih cawangan Toyota yang mereka inginkan. Servis ini, yang ditawarkan 24/7 sepanjang tahun, di seluruh negara, turut menawarkan baik pulih minor di lokasi dan tundaan (hingga 50 km jarak).

    “Kami telah menyediakan Bantuan Jalanan 24Seven Toyota kepada pelanggan sejak 20 tahun lalu. Ini perkhidmatan yang terus diberi penambahbaikan bagi memastikan pelanggan tidak perlu risau ketika berada di jalanan. Dengan perkembangan teknologi mudah alih yang semakin maju, langkah seterusnya bagi kami adalah untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih yang membawa servis ini ke tahap lebih tinggi,” jelas Presiden UMW Toyota, Ravindran K.

    UMWT telah menyepadukan aplikasi ini dengan Vehicle Telematics System (VTS) yang dibina ke dalam model-model kenderaan terbarunya. Dengan VTS, kenderaan boleh dipantau menggunakan GPS, dengan lokasi semasanya ditunjukkan dalam aplikasi. Ini tidak hanya akan memudahkan pihak berkuasa mengesan kenderaan sekiranya dicuri, sistem ini juga akan mengesan sekiranya berlaku impak (kemalangan), untuk menghantar bantuan kecemasan secepat mungkin.

    UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    VTS juga membolehkan pemilik melihat semula sejarah perjalanan dengan laporan minit-ke-minit, jarak yang dilalui dan tempoh keseluruhan perjalanan. Melalui aplikasi ini, pengguna juga boleh menilai semula corak pemanduan serta menetapkan parameter keselamatan untuk memantau pergerakan orang yang tersayang, misalnya pemandu baru. Aplikasi ini boleh menjejaki beberapa kenderaan dalam satu masa.

    “Dengan teknologi makin maju, kereta juga begitu. Ini tidak dapat dielakkan, dan kita telah melihat kenderaan berevolusi sejak 20 ke 30 tahun lalu untuk menjadi lebih selamat, bersih, lebih ekonomikal, menawarkan prestasi lebih baik, dan kini berkembang untuk menjadi lebih pintar dan boleh menawarkan interaksi lebih meluas kepada pemandu. Pengangkutan dan komunikasi bakal saling terhubung untuk memberikan manfaat di masa depan, dalam era keterhubungan mobiliti,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    Aplikasi mudah alih Toyota 24Seven Road Assist boleh dimuat turun darip App Store bagi iOS atau Google Play Store untuk peranti Android.

     
     
  • Rentas negeri jika liputan imunisasi capai 90% takkan cetuskan lonjakan kes Covid-19 – Khairy Jamaluddin

    Rentas negeri jika liputan imunisasi capai 90% takkan cetuskan lonjakan kes Covid-19 – Khairy Jamaluddin

    Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menyatakan bahawa pergerakan rentas negeri akan dibenarkan apabila negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa, hari ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan bahawa ia dijangka tidak akan mengundang gelombang peningkatan kes Covid-19, lapor Berita Harian.

    Khairy menyatakan perkara berkenaan dalam sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini, dan menjelaskan bahawa sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.

    Oleh itu, menteri berkenaan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

    “Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia. Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.

    “Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi ‘congregation’ (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan. Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat,” katanya.

    Keputusan kerajaan bagi membenarkan pergerakan rentas negeri selepas negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berkenaan telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang berlangsung semalam. Sasaran tersebut dijangka mampu dicapai dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja lagi.

    Buat masa sekarang Malaysia sudahpun mencapai tahap 80% kadar vaksinasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK).

     
     
  • Toyota failkan paten sistem kamera dalam kenderaan untuk kesan pesalah trafik yang langgar lampu merah

    Toyota failkan paten sistem kamera dalam kenderaan untuk kesan pesalah trafik yang langgar lampu merah

    Toyota telah memfailkan paten di United States Patent and Trademark Office (USPTO) yang menjelaskan sebuah sistem di mana keretanya dilengkapi dengan kamera yang boleh merakam perlanggaran peraturan lalulintas. Rakaman berkenaan kemudiannya dihantar ke sebuah pelayan, dan akan dinilai oleh pihak berkuasa sebelum saman dihantar kepada pesalah trafik yang terlibat.

    Dikesan oleh CarBuzz, sistem berkenaan, yang disifatkan sebagai sebuah “sistem pengesanan perlanggaran peraturan lalulintas”, bakal menjadikan kereta sebagai sebuah kamera trafik mudah alih. Berdasarkan dokumen paten tersebut, sistem berkenaan kelihatan seperti direka untuk mengesan pemandu yang melanggar lampu merah.

    Kurang lebih, ini caranya sistem berkenaan berfungsi. Ketika sebuah kereta (1) dengan sistem berkenaan mendekati sebuah simpang dengan lampu isyarat, sistemnya akan mengesan warna lampu isyarat berkenaan.

    Jika ia bertukar hijau, sistem akan meninjau jika ada mana-mana kereta (2) sedang melintas atau sedang datang, dan sekiranya ia melanggar lampu merah atau memecut. Sekiranya berlaku perlanggaran peraturan, kamera dalam kereta itu akan mengambil gambar dan sistem akan mencari perincian kereta terbabit, seperti nombor pendaftaran. Semua maklumat ini, termasuk lokasi kejadian, akan disalurkan kepada sebuah pelayan, dan kepada pihak berkuasa.

    Untuk maklumat yang lebih terperinci, sistem berkenaan juga disifatkan mampu untuk berinteraksi dengan kenderaan lain yang mempunyai sistem sama (atau prasarana sedia ada), kemungkinan besar melalui teknologi vehicle-to-everything (V2X), jadi kejadian yang sama boleh dirakam daripada dua sudut berbeza. Tidak dinyatakan model Toyota mana yang akan menerima teknologi ini, tetapi jika menjadi kenyataan, kita akan mempunyai kereta yang boleh “mengitip” satu sama lain.

     
     
  • Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Barisan kenderaan Peugeot di Thailand tiada perubahan sejak jenama ini hadir di bawah pengurusan baharu pada tahun 2019. Sama seperti di Malaysia, model 3008 dan 5008 masih kekal sebegitu sudah lebih dua tahun, tanpa sebarang pembaharuan atau peningkatan – walau pun model 2008 baharu telah pun dipertontonkan banyak kali di negara berkenaan pada tahun lalu.

    Kini sudah tiba masanya ia menerima perubahan, sekurang-kurangnya untuk 3008. Malahan Peugeot Thailand telah pun mengesahkan ia bakal melancarkan model facelift SUV lima-tempat duduk ini pada 1 Oktober 2021. Seperti sebelum ini, kereta berkenaan diimport dari Malaysia, sekaligus mengekalkan hab pengeluaran Groupe PSA (kini Stellantis) di Asia walau pun Bermaz Auto Alliance telah pun mengambil alih tugas pengedarannya dari Naza.

    Buat masa ini, 3008 dan 5008 untuk Thailand dipasang di kilang sedia ada yang terletak di Gurun, Kedah, yang dipercayai masih menjadi sebahagian pemilikan oleh Naza. Malahan kami juga menjangka model yang menerima peningkatan ini juga akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Walau bagaimana pun, jangkaan perancangan awalnya terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi memandangkan kilang automotif dan bilik pameran telah kembali beroperasi, progres ke arah pelancarannya akan segera dilaksanakan.

    Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Wajah 3008 facelift baharu ini kelihatan lebih segar, dengan menampilkan gril “tanpa bingkai” yang dilunjurkan menghala ke lampu nyalaan siang LED menegak pada hujung sudutnya. Corong pengambilan udara juga diprofilkan semula, sementara lampu belakang LED “triple-claw” juga lebih nipis. Lencana 3008 juga ditambah pada bonet, sama seperti model terkini 508, 208 dan 2008.

    Di dalamnya, kelihatan grafik baharu untuk kluster instrumen digital 12.3-inci, serta skrin sesentuh infotainmen yang ukurannya dipertingkatkan sehingga 10 inci. Malah ia juga diberikan kemasan baharu dengan pilihan upholstery untuk menyerlahkan lagi kabin futuristik sedia ada itu.

    Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Model facelift ini juga didatangkan dengan beberapa pilihan enjin – termasuk varian plug-in hybrid baharu – model untuk pasaran Thai (dan pasaran Malaysia) juga diberikan pilihan enjin yang sama dengan unit 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder petrol. Ia menghasilkan kuasa hingga 156 hp dan tork 240 Nm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan Aisin.

    Model yang lebih kecil, 2008, juga dijangka akan tiba selepas itu, dan ia pernah dirancang untuk dilancarkan di Malaysia pada November (dikhabarkan sebelum PKP di negara kita dilanjutkan).

    GALERI: Peugeot 3008 facelift

     
     
  • Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

    Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

    Sekumpulan aktivis alam sekitar di Amerika Syarikat kini menyeru orang ramai agar memboikot Toyota kerana mendakwa gergasi automotif Jepun berkenaan kini menggunakan wang dan pengaruhnya bagi memperlahankan peralihan kepada penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV).

    Menurut laporan Electrek, ketika pengeluar automotif lain kini sedang menggandakan usaha bagi peralihan kepada EV berkenaan, Toyota dilihat masih mempertahankan teknologi hibrid dan kenderaan sel bahan api mereka.

    Toyota dituduh sedang memperlahankan usaha kolektif untuk EV menerusi usaha-usaha yang dijalankan secara melobi. Salah satu contoh di Amerika Syarikat adalah jenama berkenaan menentang program insentif EV persekutuan yang baharu sahaja diumumkan oleh negara berkenaan.

    Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

    Toyota bZ4X, model pertama elektrik penuh Toyota yang hanya akan diproduksi pada 2022, salah satu dari 15 model EV Toyota yang akan dilancarkan menjelang 2025

    Menerusi program tersebut, setiap pengeluar kini tidak lagi dihadkan jumlah unit kenderaan bagi menerima insentif yang ditawarkan. Insentif tersebut diberikan dalam bentuk diskaun, yang secara langsung membolehkan pembeli lebih berjimat ketika membeli kereta elektrik.

    Toyota juga sebelum ini dilihat menyebelahi presiden Trump dalam tuntutan mahkamah bagi menghentikan California dari melaksanakan standard emisi lebih ketat berbanding yang digunakan oleh persekutuan. Namun tuntutan berkenaan ditarik balik apabila presiden Joe Biden mula mengambil alih kerajaan Amerika Syarikat.

    Kumpulan aktivis ini menyeru orang ramai agar memboikot Toyota kerana mereka “tidak mahu lihat alasan”. Boikot berkenaan diketuai oleh Paul Scott, pengasas kumpulan advokasi Plug In America. Dia sebelum ini sudah pun membuat bantahan di pejabat Toyota Santa Monica.

    Kereta berkuasa sel bahan api hidrogen Toyota Mirai (kiri) dan Toyota Venza Hybrid (kanan)

    “Jam iklim sedang berdetik dan kami perlu mula menekan pencemar di mana ia melibatkan – wang. Saya bekerja di pengedar EV, walaupun ia bukan Toyota, dan saya boleh beritahu anda bahawa ini merupakan peluang terbaik kita untuk berubah, bersama perundangan persekutuan. Penjual kereta tak suka kehilangan walaupun satu jualan dan mereka tak suka publisiti buruk. Toyota berhak menerima setiap daripadanya kerana mereka sentiasa memastikan kita ketagih terhadap gasolin,” kata Scott.

    Pada 21 September, kira-kira 15 kumpulan aktivis alam sekitar bersama-sama menandatangani surat yang ditujukan kepada Toyota, meminta untuk duduk berbincang dengan presiden dan CEO Toyota Motor North America Tetsuo Ogawa berkenaan perkara ini.

    Aktivis alam sekitar mahu Toyota diboikot kerana lambatkan usaha peralihan elektrik sepenuhnya

    Kereta lumba Toyota Corolla dengan enjin pembakaran dalaman berkuasa hidrogen yang diuji sendiri oleh presiden Toyota, Akio Toyoda dalam perlumbaan Super Taikyu di Jepun untuk penyelidikan teknologi berkenaan

    “Malangnya, usaha Toyota untuk melobi Kongress bagi beralih dari visi ini serta tekanan kepada ahli Kongress untuk mengurangkan dana serta kredit cukai yang dikenakan bagi akses rakyat Amerika kepada EV sifar pencemaran meletakkan masa hadapan pengangkutan negara dan dunia serta iklim dalam bahaya.”

    “Sebagai kumpulan kolektif dari pelbagai organisasi yang gusar terhadap apa akibat besar yang akan berlaku dari langkah berkenaan, kami minta Toyota untuk tidak menghalang halatuju pembiayaan Kongress dari visi presiden. Sebaliknya, kami desak agar anda menyokong sepenuhnya pelaburan kenderaan elektrik bateri dalam semua mod pengangkutan, dan dalam semua yang berkaitan dengan pengecaj EV sifar pencemaran serta infrastruktur lain yang diperlukan,” tulis surat tersebut.

     
     
  • Bayangan SUV baru Honda ditunjuk ketika pengenalan BR-V 2022 di Indonesia — bakal lawan Ativa?

    Bayangan SUV baru Honda ditunjuk ketika pengenalan BR-V 2022 di Indonesia — bakal lawan Ativa?

    Ketika pengenalan maya bagi model Honda BR-V terbaru di Indonesia sebelum ini, Honda turut mencadangkan bayangan kewujudan sebuah model baru yang disifatkan sangat mengujakan. Kereta berkenaan ditutup dengan kain merah, tetapi bentuknya tetap boleh dilihat; dengan landasan pada bumbung, ia mencadangkan ini sebuah model SUV.

    Jadi, model apa sebenarnya ini? Honda memang memiliki barisan crossover yang komprehensif di Indonesia, dengan BR-V, HR-V dan CR-V meliputi semua segmen utama. BR-V kini telah diperbaharui, sementara HR-V dijangka akan ada model gantiannya, tetapi DRL yang berbeza serta landasan di bumbung mencadangkan ia bukanlah model generasi seterusnya untuk HR-V. CR-V juga sudah agak lama bertapak, namun penggantinya belum lagi didedahkan, dan model global penting seperti itu dirasakan tidak akan diberi bayangan dalam pelancaran model peringkat serantau.

    Apa yang Honda inginkan ketika ini adalah wakilnya dalam segmen SUV peringkat kemasukan, yang ketika ini dipelopori oleh Peordua Ativa di Malaysia dan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize di Indonesia. Ada kemungkinan Honda sedang mempersiap model SUV kompak lima-tempat duduk atau BR-V tujuh tempat-duduk di sana? Memang ada kemungkinan untuk itu.

    Bayangan SUV baru Honda ditunjuk ketika pengenalan BR-V 2022 di Indonesia — bakal lawan Ativa?

    Dengan tambahan sebuah model SUV lebih murah akan memberikan kelebihan kepada Honda, membolehkannya memenuhi kelompok pembeli muda. Walaupun pasaran di Indonesia didominasi oleh SUV tujuh-tempat duduk, Raize menjadi model kelapan paling laris bagi kereta penumpang bulan lalu, dengan 2,883 unit terjual, mengatasi Honda Brio. Di Malaysia, Ativa telah mencapai angka jualan 4,624 unit pada April, sebulan selepas dilancarkan.

    Untuk ini, Honda memang sudah ada enjin yang sesuai untuk digunakan — unit 1.0 liter turbocas tiga-silinder yang digunakan untuk model City di Thailand, menghasilkan 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm tork dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan CVT untuk pasaran Thailand.

    Ada juga dakwaan adanya versi lebih kecil BR-V dengan lima-tempat duduk boleh dijangkakan, lapor OtoDriver. Ada sumber memaklumkan penerbitan itu; “BR-V serba baru adalah kereta yang istimewa. Ia akan menjadi induk kepada model Honda terbaru pada masa depan. Akan ada sebuah SUV kecil yang dibangunkan menggunakan platform ini.”

    Bayangan SUV baru Honda ditunjuk ketika pengenalan BR-V 2022 di Indonesia — bakal lawan Ativa?

    Ada juga kemungkinan SUV baru itu nanti akan mengambil bentuk kenderaan tujuh-tempat duduk yang lebih kecil berbanding BR-V, membolehkan Honda bersaing dalam segmen Low Cost Green Car (LCGC) yang turut diwakili oleh Brio. Daihatsu Sigra dan Toyota Calya ketika ini mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pasaran berkenaan, yang dikuasakan oleh enjin 1.0 dan 1.2 liter.

    Apa pun bentuk yang akan ada nanti, ia mungkin tidak akan sampai ke pasaran Malaysia sama sekali. Imej jenama itu di sini diletakkan pada tahap yang tinggi, dan syarikat itu juga mungkin tidak terlalu ada keinginan untuk bersaing secara berdepan dengan Perodua — Honda di sini tidak menjual Brio yang sama saiz dengan Axia, dan BR-V di sini bersaing menentang Toyota Rush sebelum Aruz.

    Tetapi, SUV Honda dalam segmen A sentiasa menarik untuk dibayangkan di sini, sekiranya ia mampu dijual pada harga yang kompetitif berbanding Ativa — memandangkan harga naik untuk BR-V tahun lalu, ini bukanlah kemungkinan yang meyakinkan.

     
     
  • Suzuki GSX-S1000GT didedah – kuasa 152 PS, 106 Nm

    Suzuki GSX-S1000GT didedah – kuasa 152 PS, 106 Nm

    Meskipun sekarang trend motosikal perjalanan jauh lebih kepada jenis adventure tourer, masih ada pengeluar yang menawarkan model sport tourer baru seperti BMW R1200RS dan Kawasaki H2SX. Sekarang, Suzuki juga menyertai kategori ini dengan pengenalan GSX-S1000GT.

    Penggerak GSX-S1000GT ini adalah enjin empat silinder 999 cc DOHC sama seperti GSX-S1000 (model naked) dan mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan quickshifter secara standard.

    Berat motosikal ini adalah 226 kg, dan ia berada dalam lingkungan yang biasa bagi model seperti ini, manakala tinggi tempat duduk pula 810 mm, dan datang dengan tangki bahan api 19 liter. Suspensi depan dan belakang boleh dilaras sepenuhnya secara manual dan di masa hadapan nanti mungkin akan ada versi yang dipertingkat dengan suspensi elektronik.

    Pada bahagian kokpit, Suzuki telah memasang skrin TFT-LCD 6.5 inci berwarna penuh dan ia boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth untuk memberikan pelbagai fungsi yang memudahkan penunggang. Sistem elektronik lain yang diberi adalah seperti kawalan cengkaman, mod tunggangan, cruise control serta Cornering ABS.

    Dengan perjalanan Suzuki yang semakin rancak di Malaysia sekarang, kita juga boleh menjangkakan GSX-S1000GT bakal tiba tidak lama lagi. Selepas pelancaran enam model pada bulan lepas, Suzuki Malaysia memberitahu akan melancarkan tiga lagi model berkapasiti tinggi hujung tahun ini dan kemudiannya akan diikuti tiga model kapasiti rendah suku pertama tahun hadapan.

     
     
  • Prolintas umum lencongan jalan, laluan kontra di KM37.6-KM38.4 di MRR2 mulai 24 Sept ’21-10 Mac ’22

    Klik untuk besarkan imej

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) selaku pengendali projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE), telah mengumumkan pelaksanaan lencongan jalan dan pengaktifan laluan kontra di KM37.6 sehingga KM38.4, Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) arah Sungai Besi. Malahan ia turut melibatkan penutupan pusingan U berhampiran simpang TBS kedua-dua arah.

    Menurut Prolintas, lencongan dan penutupan jalan tersebut akan dilakukan untuk dua fasa iaitu Fasa 1 bagi tempoh bermula 24 September hingga 10 Disember 2021. Manakala Fasa 2 pula dari 11 Disember 2021 hingga 10 Mac 2022, dan kedua-dua fasa terbabit dilaksanakan dalam tempoh 24 jam. Ia adalah sebagai langkah keselamatan bagi aktiviti pembinaan struktur jejambat seperti tiang portal, kerja-kerja konkrit & pemasangan parapet.

    Sepanjang penutupan tersebut, pengguna MRR2 dari arah Sri Petaling (KESAS) dan Ulu Kelang diminta untuk menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan sebagai laluan sementara (rujuk peta di bawah bagi Laluan Alternatif 1 & 2).

    Manakala bagi pengguna dari arah Ulu Kelang yang ingin membuat pusingan-U di jejambat berhampiran susur ke TBS boleh membuat pusingan-U di Pekan Sungai Besi atau melalui ‘Exit 516’ Persimpangan Sri Petaling KESAS sebagai laluan alternatif (rujuk peta di bawah bagi Laluan Alternatif 3 & 4).

    Bagi pengguna yang datang dari Sungai Besi yang ingin membuat pusingan-U di jejambat berhampiran susur ke TBS perlu membuat pusingan-U di Persimpangan Persiaran Mewah/Bandar Tun Razak, sebagai laluan alternatif (rujuk peta di bawah bagi Laluan Alternatif 5).

    Dalam masa yang sama, Prolintas turut menasihati pengguna laluan terbabit untuk mematuhi had kelajuan serta arahan petugas untuk perjalanan yang lancar dan berhati-hati memandu di kawasan pembinaan.

     
     
  • Polis sita empat motosikal ekzos bising di Bentong

    Polis sita empat motosikal ekzos bising di Bentong

    Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Bentong, Pahang mengumumkan bahawa empat buah motosikal telah di sita kerana kesalahan mengubahsuai ekzos di daerah berkenaan. Kesemua motosikal tersebut ditahan dalam Op Khas Ekzos Bising yang dijalankan di sekitar Bandar Bentong pada 21 September lalu.

    Operasi yang diketuai oleh Inspektor Muhamad Ridwan bin Kassim berkenaan adalah bagi memeriksa kenderaan yang telah melakukan pengubahsuaian ekzos dan tindakan sita dilakukan dibawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Kuasa-Kuasa Menyita Kenderaan Bermotor sehingga diperlukan bagi tujuan mengelak kesalahan tersebut berterusan (Kesalahan pengubahsuaian ekzos). Kenderaan tersebut boleh diserahkan semula kepada tuan punya setelah tindakan menggantikan ekzos asal.

    Secara keseluruhan sebanyak 39 buah motosikal telah diperiksa menerusi operasi tersebut. Selain dari empat motosikal yang disita, sebanyak 21 keping saman atas pelbagai kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut peraturan, LKM tamat tempoh, tiada cermin sisi dan ubahsuai kenderaan telah dikeluarkan dalam operasi itu.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Penolong Superitenden Zaiham Mohd Kahar menyatakan bahawa operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Oleh itu beliau menasihatkan mana-mana pemilik kenderaan yang telah membuat pengubahsuaian ekzos agar memasang semula ekzos asal kerana ekzos yang diubah suai mengeluarkan bunyi bising sekaligus menggangu ketenteraman orang awam dan kawasan sekeliling.

    Beliau juga menegaskan bahawa individu yang didapati bersalah membuat pengubahsuaian ekzos sehingga menggangu ketenteraman awam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara 6 bulan di bawah Kaedah 103 iaitu di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).

     
     
  • Pergerakan rentas negeri dibenarkan apabila negara capai 90% kadar vaksinasi dewasa – Ismail Sabri

    Pergerakan rentas negeri dibenarkan apabila negara capai 90% kadar vaksinasi dewasa – Ismail Sabri

    Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang berlangsung hari ini turut memutuskan untuk membenarkan rakyat merentas negeri apabila negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran 90% itu dijangka mampu dicapai dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja lagi.

    “Saya percaya, ramai yang sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung berjumpa dengan keluarga setelah sekian lama. InsyaAllah, sasaran 90% ini dijangka dapat dicapai dalam masa 2-3 minggu sahaja lagi.

    “Kelonggaran yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan kita bersama. Saya yakin, dengan adanya kelonggaran-kelonggaran ini, kita dapat mengembalikan kecemerlangan ekonomi negara tidak lama lagi. Namun, dalam usaha ini, kita juga hendaklah sentiasa peka dan saling menjaga keselamatan diri dan Keluarga Malaysia,” kata beliau menerusi laman Facebook rasminya.

    Semalam beliau mengumumkan negara telah mencapai tahap 80% kadar vaksinasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK).

     
     
  • Vespa Sprint S 150 dengan skrin TFT diperkenal untuk pasaran Malaysia – dua pilihan warna, harga RM19,900

    Vespa Sprint S 150 dengan skrin TFT diperkenal untuk pasaran Malaysia – dua pilihan warna, harga RM19,900

    Vespa Malaysia hari ini telah melancarkan model Sprint S 150 baru yang dilengkapi dengan panel instrumen TFT untuk pasaran Malaysia. Harga jualan yang ditetapkan adalah RM19,900 tidak termasuk insurans dan diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Ditawarkan dalam dua warna istimewa iaitu Bronzo Antico dan Nero Opaco, Sprint S 150 baru ini adalah model Sprint pertama yang menggunakan panel instrumen TFT. Ia boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui sistem Vespa MIA dan bluetooth, dan memberikan fungsi seperti menjawab panggilan, notifikasi, arah navigasi dan pemain muzik.

    Selain penampilan unik dan panel instrumen TFT, spesifikasi teknikal model ini masih sama seperti Sprint S 150 yang diperkenalkan sebelum ini, termasuk enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api, i-GET 154.8 cc yang mampu menghasilkan kuasa 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Untuk suspensi, Sprint S 150 TFT ini menggunakan penyerap hidraulik serta lengan tunggal, dengan jarak gerak 78 mm di bahagian hadapan manakala bahagian belakang pula menggunakan satu penyerap hentak dengan pelarasan pra beban empat tahap dan jarak gerak 70 mm.

    Brek hadapan terdiri daripada unit cakera 200 mm dengan sistem ABS sementara di belakang pula menggunakan unit dram. Rim adalah unit 12 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 120/70 di belakang. Perincian lain adalah termasuk lampu LED, tangki bahan api tujuh liter, berat 126 kg, tinggi tempat duduk 790 mm dan jarak antara roda 1,334 mm.

     
     
  • Stesen minyak dibenarkan kembali beroperasi dari 6 pagi-12 tengahmalam mulai 23 September ini – PM

    Stesen minyak dibenarkan kembali beroperasi dari 6 pagi-12 tengahmalam mulai 23 September ini – PM

    Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 sebentar tadi telah mengumumkan beberapa premis perniagaan seperti stesen minyak, kedai makan, kedai serbaneka, kedai runcit dan restoran kini dibenarkan kembali beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengahmalam berkuatkuasa esok, 23 September 2021.

    Walau bagaimana pun, kehadiran para pekerja di premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100% dengan syarat majikan dan semua pekerja telah lengkap divaksinasi.

    Dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pandemik hari ini juga telah bersetuju untuk peralihan fasa beberapa negeri berkuatkuasa pada 24 September 2021. Negeri-negeri terbabit ialah Negeri Sembilan (beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4), Pahang (Fasa 2 ke Fasa 3) dan Johor (Fasa 1 ke Fasa 2).

    Menurut beliau, keputusan ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan tanggungjawab. Patuhi setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal, dan sentiasa menjaga keselamatan serta kebersihan diri,” kata beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengesahkan cadangan tersebut dan katanya perkara tersebut akan diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini. Walau bagaimana pun, katanya, kebenaran itu dikecualikan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

     
     
  • Sime Darby Motors ‘Employee Mobility at Ease Programme’ — langganan kereta setahun untuk staf

    Sime Darby Motors ‘Employee Mobility at Ease Programme’ — langganan kereta setahun untuk staf

    Sime Darby Motors (SDM) telah mengumumkan Employee Mobility at Ease Programme (EMAEP) kepada semua staf Sime Darby Berhad dan anak syarikatnya di Semenanjung Malaysia. Skim berkenaan disifatkan sebagai sebuah penyelesaian mobiliti inovatif bagi menyediakan capaian lebih mudah dan fleksibiliti untuk memiliki kenderaan dari francais terpilih SDM, dengan bayaran muka minimal atau sifar.

    Di bawah program ini, pekerja Sime Darby boleh menikmati kemudahan kereta tanpa perlu melalui proses pemilikan tradisional dengan cara membayar yuran bulanan tetap bagi tempoh setahun. Bayaran tersebut turut termasuk insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan alat ganti. Sama seperti sewaan atau langganan kenderaan, staf yang mengambil EMAEP tidak perlu risau tentang kos penyusutan.

    Manfaat lain adalah dalam tempoh komitmen singkat selama setahun itu, pekerja Sime Darby boleh menaik taraf atau menukar kereta mengikut keperluan mereka sebaik sahaja kereta itu dipulangkan ke Sime Darby Auto Selection, cabang kereta terpakai SDM.

    “Pasaran moden kini menginginkan penyelesaian mobiliti, bukan hanya pengangkutan dan EMAEP adalah respon logikal terhadap keperluan mobiliti masyarakat yang semakin berubah. EMAEP menjamin mobiliti dan mengalami keseronokan kereta baru setiap tahun tanpa perlu runsing,” jelas Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Runcit dan Pengedaran SDM Malaysia.

    “SDM terus mencari jalan untuk memanfaatkan kepakaran kami dan maklum balas pelanggan untuk meningkatkan lagi nilai sedia ada. Program ini menjawab keinginan pelanggan untuk kemudahan dan pilihan semata-mata, tetapi turut melengkapi usaha sedia ada oleh SDAS untuk menyediakan bekalan kereta terpakai yang berkualiti secara berterusan,” tambah beliau.

     
     
  • Harga minyak 23-29 Sept – RON97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 23-29 Sept – RON97 naik 2 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 September 2021, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 97 mengalami kenaikan sebanyak dua sen seliter, iaitu RM2.75 seliter berbanding RM2.73 seliter sejak dua minggu lalu.

    Manakala untuk tempoh minggu yang sama, tiada perubahan harga siling untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 29 September 2021.

     
     
  • Kerajaan akan kenalpasti strategi baharu untuk promosi industri EV di kalangan pelabur asing – MITI

    Kerajaan akan kenalpasti strategi baharu untuk promosi industri EV di kalangan pelabur asing – MITI

    Kerajaan akan mengenal pasti strategi baharu bagi mempromosi industri kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dalam kalangan pelabur asing. Menurut Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, strategi itu termasuk mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dalam dialog Belanjawan 2022, laporan Berita Harian.

    Menerusi sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, antara inti pati perbincangan terarah kepada usaha merangka dasar merangkumi pakej insentif yang turut memberi penekanan kepada sisi pengguna bagi menarik pelaburan ekosistem EV.

    “Selain itu, insentif sedia ada untuk pengeluar kenderaan dan komponen EV akan diperkukuhkan bagi mewujudkan satu ekosistem yang kekal kondusif untuk memacu kadar pertumbuhannya.

    “Langkah ini dijangka dapat menggalakkan pelaburan dari segi pengeluaran EV atau komponennya, sokongan infrastruktur termasuk stesen pengecas EV dan meningkatkan permintaan pengguna terhadap kenderaan EV,” katanya.

    Selain itu, katanya, berdasarkan pola peningkatan penggunaan EV di peringkat global, industri itu diunjur berupaya menggantikan kenderaan berasaskan penggunaan tenaga fosil, selaras Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Di mana matlamat itu bertujuan memelihara alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon yang dikenal pasti menjadi penyumbang utama pemanasan global berikutan kesan gas rumah hijau.

    “Perkembangan ini seiring dasar kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon oleh sektor pengangkutan yang menyumbang sebanyak 20% dalam negara berdasarkan Laporan Kedua Dwitahunan dan Komunikasi Ketiga Kebangsaan Malaysia kepada Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC),” katanya.

     
     
  • Pembinaan kilang bateri Hyundai dan LG di Indonesia bermula, dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024

    Pembinaan kilang bateri Hyundai dan LG di Indonesia bermula, dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024

    Hyundai Motor Group (HMG), bersama dengan LG Energy Solution telah memulakan pembinaan kilang sel bateri untuk kenderaan elektrik yang telah dirancangkan di Indonesia. Majlis pecah tanah kilang terbabit, yang terletak di Bandar Industri Baru Karawang, dekat Jakarta, minggu lalu.

    Ini adalah susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Julai lalu antara kedua-dua syarikat dengan kerajaan Indonesia untuk menubuhkan sebuah usaha sama bagi mengeluarkan sel bateri bagi BEV di sana. Dua syarikat Korea terbabit memaklumkan mereka masing-masing akan menguasai 50% pegangan dalam usaha sama itu, dan akan melabur dengan jumlah keseluruhan USD 1.1 bilion (RM4.6 bilion) dalam operasinya.

    Turut hadir dalam majlis pecah tanah itu termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Menteri Pelaburan republik itu, Bahlil Lahadalia, serta CEO usaha sama Baterry Cell, Hong Woo-pyeong serta Ketua Ibupejabat Asia-Pacific Hyundai Motor Company. Pengerusi Hyundai, Euisun Chung dan Presiden dan CEO LG Energy Solutions, Jong-hyun Kim menghadiri majlis berkenaan secara maya dari Korea.

    Pembinaan kilang bateri Hyundai dan LG di Indonesia bermula, dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024

    Kilang sel bateri baru itu akan dibina di atas tanah berkeluasan 330,000 meter persegi. Pembinaan kilang dijangka siap menjelang separuh pertama 2023, dan pengeluaran massa bagi sel bateri di fasiliti itu akan bermula pada separuh pertama tahun 2024.

    Jika beroperasi sepenuhnya nanti, kilang ini dijangka akan mengeluarkan keseluruhannya sel bateri lithium-ion NCMA (nickel, cobalt, manganese, aluminium) bernilai 10 GWh setahun, yang akan menepati keperluan lebih daripada 150,000 BEV. Fasiliti berkenaan akan mampu menambah kapasiti pengeluarannya hingga 30 GWh untuk memenuhi pertumbuhan keperluan BEV di masa akan datang.

    Sel bateri yang dikeluarkan di Karawang akan digunakan dalam model yang memanfaatkan binaan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) HMG, termasuk untuk Hyundai Ioniq 5 serta Kia EV6. Sementara itu, kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk menawarkan beberapa insentif dan pulangan untuk menyokong operasi kilang tersebut.

     
     
  • Hyundai Staria Load – van komersil futuristik, harga bermula RM139k di Australia, tempahan sudah dibuka

    Hyundai Staria Load – van komersil futuristik, harga bermula RM139k di Australia, tempahan sudah dibuka

    Selepas diperkenalkan dalam versi untuk kegunaan persendirian, MPV besar dengan rupa seperti kapal angkasa, Hyundai Staria kini diperkenalkan dalam versi van panel untuk kegunaan komersial dikenali sebagai Hyundai Staria Load. Ia kini sudahpun dibuka untuk tempahan bagi pelanggan di pasaran Australia.

    Dari segi rupa luaran, Staria Load ini masih menampilkan bentuk badan dan juga muka seakan ‘polis angkasa Gaban’ seperti Staria biasa. Namun sebagai van komersil, tiada tingkap sisi belakang diberikan, lampu LED hadapan digantikan dengan lampu biasa, tiada kemasan hitam berkilat pada gril dan hanya disertakan dengan rim besi 17-inci.

    Hyundai Staria Load hadir dengan dua pilihan konfigurasi kabin di Australia di mana pelanggan boleh memilih sama ada dari versi dua tempat duduk (hanya baris paling hadapan, tanpa sebarang tempat duduk di kabin belakang), atau versi kru dengan lima tempat duduk.

    Hyundai Staria Load – van komersil futuristik, harga bermula RM139k di Australia, tempahan sudah dibuka

    Staria Load ini sebenarnya menggantikan Hyundai iLoad (Starex versi komersil) di Australia. Ia menampilkan ruang kargo dengan dimensi 2,607 mm panjang, 1,640 mm lebar dan 1,436 mm tinggi, yang ternyata lebih besar dari iLoad yang datang dengan ruang kargo 2,375 mm panjang, 1,620 lebar dan 1,340 mm tinggi. Model baharu ini juga menampilkan bukaan pintu gelangsar sisi lebih besar bersama lantai 96 mm lebih rendah bagi memudahkan barang diangkat ke dalam.

    Berbanding Staria biasa yang diberikan suspensi multilink di belakang, Staria Load ini dipadankan dengan suspensi jenis gandar solid bersama spring dedaun. Ini membolehkan ia menampung beban yang lebih berat serta mempunyai kebolehan menunda 2.5 tan.

    Walaupun ia sebuah van yang digunakan untuk bekerja, Staria Load masih diberikan pelbagai ciri-ciri yang agak mewah seperti paparan instrumen digital supervision dengan skrin 4.2-inci, tombol gear dan roda sterang dengan butang pelbagai fungsi balutan kulit, cruise control, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta pembuka tingkap kawalan jauh, brek parkir elektronik serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Jika sebahagian van komersil hanya diberikan radio 1-DIN biasa atau kadang-kadang langsung tiada sistem audio, Staria Load ini sebaliknya diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 8-inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto hubungan tanpa wayar.

    Hyundai Staria Load hanya hadir dengan satu pilihan rangkaian kuasa iaitu gandingan enjin turbodiesel 2.2 liter CRDi berkuasa 174 hp pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 1,500 rpm hingga 2,500 rpm, bersama kotak gear automatik lapan kelajuan yang hanya memacu roda hadapan.

    Untuk keselamatan, Staria Load diberikan tujuh beg udara, bersama pakej bantuan pemanduan keselamatan Hyundai Smartsense secara standard. Pakej tersebut menampilkan fungsi keselamatan aktif seperti bantuan pengelak pelanggaran lintasan trafik belakang, bantuan pengelak pelanggaran titik buta, monitor paparan sekeliling, bantuan pengekal lorong, bantuan pengelak pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, serta banyak lagi.

    Hyundai Staria Load ini hanya ditawarkan dengan dua warna badan iaitu Shimmering Silver dan Creamy White. Pada pasaran Australia ia dijual pada harga bermula AUD45,740 (RM139k) bagi model dua tempat duduk dan bermula AUD48,240 (RM146k) bagi model dengan lima tempat duduk.

     
     
  • Jln Simpang Pulai-C.Highlands dibuka semula untuk kenderaan ringan, laluan selamat digunakan – JKR

    Jln Simpang Pulai-C.Highlands dibuka semula untuk kenderaan ringan, laluan selamat digunakan – JKR

    Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi mengesahkan jalan lencongan akan dibuka kepada kenderaan ringan di Seksyen 43.9, laluan persekutuan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, yang terbabit dalam runtuhan cerun Sabtu lalu.

    Keputusan ini dibuat selepas penilaian ke atas cerapan data ukur pergerakan tanah bahawa ia selamat untuk digunakan. JKR turut berkata, pihak konsesi Jalan Persekutuan telah diarahkan untuk menjalankan kerja penanaman ‘temporary sheet pile’ sebagai langkah tambahan ke arah pembukaan kepada semua lalu lintas di kawasan lencongan tersebut.

    JKR menambah, lokasi tersebut juga telah termasuk dalam senarai lokasi pembaikian cerun oleh JKR dan Kementerian Kerja Raya (KKR). “Projek pembaikan kekal menggunakan kaedah jenis Contiguous Bored Pile With Anchor di keseluruhan kawasan terbabit telah diluluskan untuk pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah KKR. Status terkini pelaksanaan projek ini adalah di peringkat perolehan dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka akan dikeluarkan pda Disember 2021,” ujar JKR dalam kenyataan terbabit.

    Kejadian runtuhan cerun dan jalan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Raya Simpang Pulai itu membabitkan runtuhan sepanjang kira-kira 30 meter dengan kelebaran lima meter membabitkan kedalaman 70 meter. Runtuhan cerun itu yang berlaku jam 5.45 petang, 18 September lalu dipercayai berpunca daripada hujan berterusan selain aliran air bawah tanah yang mengakibatkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh sebelum laluan ditutup.

     
     
  • Yamaha MT-25 diberi penampilan baru – RM21,500

    Yamaha MT-25 diberi penampilan baru  – RM21,500

    Setelah satu tahun berada dalam pasaran Malaysia, Yamaha MT-25 kini diberikan pembaharuan grafik, dengan ia sekarang ditawarkan dalam dua warna iaitu Yamaha Blue dan Storm Fluo. Harganya masih kekal RM21,500 seperti sebelum ini, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    MT-25 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari DOHC 249 cc dengan sistem suntikan bahan api, dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 23.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Pada badannya pula, ia menggunakan semua lampu jenis LED serta panel yang diperkemas dan mempunyai bukaan udara di bahagian tepi. Suspensi hadapan menggunakan fork USD berwarna hitam manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Panel instrumen motosikal ini menggunakan unit digital penuh yang memaparkan pelbagai informasi, termasuk kedudukan gear, tahap rpm, laju serta penanda waktu menukar gear. Kedua-dua brek bahagian depan dan belakang menggunakan unit cakera dan dilengkapi dengan sistem ABS.

    Kelengkapan lain pada MT-25 adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, tangki bahan api 14 liter, berat 165 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.