Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • RMK-12: Polisi hujung hayat kereta perlu diperhalusi atas alasan keselamatan — hadkan usia kereta?

    RMK-12: Polisi hujung hayat kereta perlu diperhalusi atas alasan keselamatan — hadkan usia kereta?

    Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, turut terselit di dalamnya adalah perancangan kerajaan untuk menggalakkan lagi pertumbuhan teknologi hijau dan mesra alam di negara ini.

    Cetak biru bagi mobiliti rendah karbon akan diperkenalkan untuk memacu arah perancangan tersebut, begitu juga dengan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian sebarang usaha mobiliti hijau di negara ini. Cetak biru berkenaan akan menggariskan strategi untuk mengurangkan kesan pembebasan gas rumah hijau daripada sektor pengangkutan untuk mempercepat usaha peralihan kepada mobiliti hijau.

    “Kajian untuk mengenal pasti kaedah untuk melupuskan kenderaan lama dalam cara yang mapan turut akan dilakukan,” seperti tercatat dalam RMK-12. Dan ini bukanlah satu topik baru. Kerajaan sejak dulu bermain dengan idea berkaitan polisi penghujung hayat kenderaan (ELV), yang akan menghadkan kitaran hayat sesebuah kenderaan. Ambil Singapura sebagai contoh dan polisi pelupusan kenderaan yang diamalkan di sana.

    RMK-12: Polisi hujung hayat kereta perlu diperhalusi atas alasan keselamatan — hadkan usia kereta?

    RMK-12 adalah sebuah pelan yang meluas dan tiada perincian mendalam, tetapi pada Mac, Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sempena Program Penilaian Kereta Baru ASEAN (ASEAN NCAP), membuka satu kaji selidik ELV tiga mukasurat untuk orang awam di Malaysia.

    Kaji selidik berkenaan berhasrat untuk mengetahui pandangan umum terhadap berkaitan pelupusan kenderaan; adakah patut ada had usia kenderaan, dan sekiranya ya, berapa usia maksimum kenderaan yang patut dibenarkan berada di atas jalan raya — 10 tahun, 40 tahun atau tidak perlukan had langsung? Ia mencadangkan kaedah pelaksanaannya di Malaysia, termasuk memberi insentif kepada pemilik kenderaan lama untuk melupuskan kenderaan mereka, dan menawarkan rebat untuk pembelian kereta baru sebagai balasan.

    RMK-12: Polisi hujung hayat kereta perlu diperhalusi atas alasan keselamatan — hadkan usia kereta?

    Pelupusan kenderaan biasanya selari dengan pemeriksaan kelayakan kenderaan untuk digunakan atas jalan, sama seperti pemeriksaan berkala Puspakom bagi kenderaan komersial di sini. Cadangan lain adalah untuk menaikkan premium insurans bagi kenderaan berusia 10 tahun ke atas.

    Pegeluar kenderaan secara umumnya akan menyambut baik cadangan ini, kerana pengguna terpaksa membeli kereat baru untuk menggantikan yang lama, sementara rakyat biasa akan menentang idea ini, kerana pilihan seperti itu adalah hak masing-masing untuk ditentukan. Jika tiada desakan, kerajaan tentunya akan meneruskan pelaksanaan polisi ini. Untuk itu, sentiasa suarakan pandangan anda.

     
     
  • RMK-12: Malaysia neutral karbon menjelang 2050 – penjana elektrik lebih mesra alam gantikan arang batu

    RMK-12: Malaysia neutral karbon menjelang 2050 – penjana elektrik lebih mesra alam gantikan arang batu

    Semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyatakan bahawa negara meletakkan sasaran untuk menjadi neutral karbon menjelang tahun 2050. Menurut The Star, perdana menteri juga dipetik berkata bahawa langkah ekonomi seperti penetapan harga karbon dan cukai karbon akan diperkenalkan sebagai sokongan kepada visi ini.

    “Perincian lain berkenaan langkah pengurangan karbon ini akan diumumkan selepas kajian strategik jangka masa panjang unutk strategi pembangunan karbon rendah telah dimuktamadkan menjelang hujung tahun 2022,” kata beliau semasa pembentangan RMK-12 di parlimen semalam.

    Ismail Sabri turut meletakkan janji bahawa kerajaan tidak akan membangunkan lagi penjana kuasa arang batu baru di Malaysia, sambil menambah bahawa Polisi Tenaga Nasional akan diperkenalkan tidak lama lagi untuk memberikan “hala tuju strategik jangka masa panjang” sebagai sebahagian daripada komitmen untuk visi neutral karbon ini. “Penjanaan kuasa elektrik lebih bersih akan dilaksana melalui operasi beberapa penjana kuasa gas di Semenanjung Malaysia untuk menggantikan penjana kuasa arang batu,” kata beliau.

    RMK-12: Malaysia neutral karbon menjelang 2050 – penjana elektrik lebih mesra alam gantikan arang batu

    Garis masa yang diletakkan oleh kerajaan untuk mencapai emisi karbon sifar ini adalah selari dengan langkah bandar Kuala Lumpur serta syarikat seperti Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Sarawak Energy. Seperti yang dinyatakan dalam Bab 8 RMK-12, Petronas mempunyai perancangan untuk menyediakan tenaga bersi dan penyelesaian karbon rendah di peringkat global.

    Beberapa inisiatif akan diambil, seperti pengurangan mengurangkan pembakaran hidrokarbon dan pelepasan gas ke atmosfera, memerangkap pelepasan gas metana dan mengoptimumkan pengeluaran dan operasi. Inisiatif lain termasuk meningkatkan keberkesanan dalam membekalkan tenaga dan penyelesaian rendah karbon seperti gas asli dan tenaga boleh diperbaharui, membangunkan bahan api, produk serta penyelesaian yang rendah dan sifar karbon, dan melabur dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi dengan memelihara dan memulihkan keupayaan ekosistem hutan untuk bertindak sebagai penyerap karbon.

    RMK-12: Malaysia neutral karbon menjelang 2050 – penjana elektrik lebih mesra alam gantikan arang batu

    Langkah ke arah peneutralan karbon ini adalah satu berita baik bagi pemilik kenderaan elektrik (EV) memandangkan lebih ramai orang akan beralih kepada EV dan bergantung kepada grid negara untuk keperluan pengangkutan mereka. Ada kajian sebelum ini telah membuktikan bahawa EV akan dapat membantu mengurangkan emisi meskipun tenaga elektrik dihasilkan daripada bahan api fosil, dan langkah ke arah sumber tenaga lebih bersih ini sangat dialu-alukan.

    Menurut Tenaga Nasional pula, arang batu adalah sumber utama bagi penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia tahun lepas, dengan menyumbang kepada 65.84% daripada kuasa yang dihasilkan. Ia kemudiannya diikuti oleh gas pada 29.67%, hidro pada 3.78% dan solar 0.7%.

     
     
  • DHL, Tenaga Nasional bekerjasama terajui guna van penghantar EV, pengecas pantas 60 kW pada 1H 2022

    DHL, Tenaga Nasional bekerjasama terajui guna van penghantar EV, pengecas pantas 60 kW pada 1H 2022

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan DHL Express Malaysia (DHL) telah mencapai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengenalan kenderaan elektrik ke dalam armada logistik firma berkenaan, lapor The Edge Markets.

    Kumpulan pertama kenderaan bebas cemar berkenaan akan melibatkan tiga unit Nissan e-NV200, yang DHL jangkakan akan diterima dalam masa sembilan bulan, lapor The Star. Dalam fasa percubaan ini, TNB akan memasangkan infrastruktur pengecas untuk armada penghantar EV di pusat servis DHL di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

    Ini akan disertai oleh dua lagi pengecas pantas langsung di dua lagi lokasi di Lembah Klang — satu di bangunan Dayabumi sub-stesen di pusat bandar — yang berada dalam laluan kenderaan penghantaran tersebut. TNB akan memasang pengecas pantas 60 kW yang canggih, yang akan memberikan jarak perjalanan 6 km bagi setiap minit pengecasan, ujar Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

    Van penghantar Nissan e-NV200 dijangka akan memberikan jarak perjalanan sekitar 200 km dari pengecasan tujuh jam/satu malam. Jarak purata yang diliputi oleh petugas penghantaran DHL pula adalah 180 km di kawasan urban, ujar Pengarah Urusan DHL Express Malaysia, Julian Neo.

    DHL, Tenaga Nasional bekerjasama terajui guna van penghantar EV, pengecas pantas 60 kW pada 1H 2022

    “Dengan TNB merangcang untuk memasang lebih banyak stesen pengecas EV untuk memenuhi keperluan EV komersial yang semakin bertambah di sepanjang laluan penghantaran untuk DHL, kami secara tidak langsung mewujudkan permintaan terhadap EV bagi masa terdekat. Dengan itu, TNB terbuka untuk menjalin lebih banyak kerjasama dalam industri armada dan mensasarkan untuk membangun model perniagaan yang memanfaatkan banyak pihak bersama untuk memasang, menyelenggara dan mengendalikan infrastruktur di sepanjang laluan biasa kenderaan armada penghantaran,” tambah Megat.

    Neo pula berkata, penggunaan kenderaan EV oleh syarikat logistik seperti dilakukan DHL menandakan permulaan baru dalam usaha untuk menjadikan penghantaran jarak akhir lebih hijau dan mesra alam.

    Kerjasama ini selari dengan matlamat DHL untuk mencapai logistik sifar cemar menjelang 2050, yang juga merupakan usaha yang lebih meluas Deutsche Post DHL Group ke arah nyah-karbon; syarikat itu merancang untuk melabur tujuh bilion Euro (RM35 bilion) dalam tempoh 10 tahun ke arah usaha logistik neutral-iklim.

     
     
  • GALERI: Hyundai Kona N Line facelift di atas jalan di Malaysia – model 1.6L turbo lebih sporty, RM157k

    GALERI: Hyundai Kona N Line facelift di atas jalan di Malaysia – model 1.6L turbo lebih sporty, RM157k

    Awal bulan ini, kami telah pun membawakan galeri penuh Hyundai Kona facelift bagi varian tertinggi N Line. Hari ini, sekali lagi, kami membawakan galeri untuk model yang sama, tapi bukan foto yang dirakamkan di bilik pameran seperti pada artikel terdahulu, kami telah membawa keluar model berwarna Surfy Blue yang memang kelihatan menawan di bawah terik sang mentari.

    N Line merupakan model paling mahal dalam barisan Kona yang dipertingkatkan – RM156,888 untuk harga atas jalan, iaitu RM37,000 lebih mahal berbanding varian asas 2.0. Harga ini tanpa insurans, tapi termasuk dengan 50% pengecualian cukai jualan (SST), waranti lima-tahun/300,000 km dan pakej servis percuma 50,000 km.

    Model tertinggi ini dipadankan dengan enjin Smartstream G1.6 T-GDi pengecas turbo empat-silinder, sama seperti varian 1.6 Turbo, yang menghasilkan 198 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 265 Nm antara 1,800 hingga 4,500 rpm, menjadikannya 21 PS lebih berkuasa berbanding model Kona 1.6 Turbo pre-facelift.

    GALERI: Hyundai Kona N Line facelift di atas jalan di Malaysia – model 1.6L turbo lebih sporty, RM157k

    Model N Line ini lebih menyerupai Kona pre-facelift kerana menggunakan logo di tengah gril dan masih mempunyai jalur bukaan udara di atasnya (tetapi sekarang dibahagikan kepada tiga). Skid plate pada model biasa diganti dengan lip aerodinamik, berserta hujung seperti sirip dan bukaan udara yang lebih besar.

    Malahan ia juga nampak lebih lebih garang ini juga menampilkan kemasan pelindung badan pada sekeliling ruang roda diberikan dengan warna badan. Bahagian belakang pula diberikan bampar dengan corong pengambilan palsu dan diffuser besar berwarna hitam serta ditampilkan dengan paip ekzos berkembar. Ciri estetika juga ditambahkan dengan bumbung hitam standard bagi memberikan rupa dua-tona yang lebih bergaya, serta roda aloi gaya-turbin 18-inci.

    Menjengah di bahagian dalamnya, kelihatan jahitan merah pada tempat duduk, headlining hitam, pedal metal, tombol gear dengan jaluran merah dan logi N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk. Ia turut diberikan tempat duduk bucket balutan kulit dan sued, pelapik bumbung berwarna hitam, serta tempat duduk hadapan dengan liang dan pemanas bersama larasan berkuasa untuk penumpang.

    GALERI: Hyundai Kona N Line facelift di atas jalan di Malaysia – model 1.6L turbo lebih sporty, RM157k

    Selain itu, ciri lain yang turut ditampilkan pada N Line termasuklah skrin sesentuh tengah lapan-inci, enam pembesar suara, lampu utama dan lampu belakang LED penuh, kemasukan tanpa kunci, butang push-start, kawalan suhu automatik zon-tunggal, cermin pandang belakang auto malap, enjin automatik start/stop, kluster instrumen digital 10.25-inci, paparan utama, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

    Sama seperti 1.6 Turbo, N Line turut dilengkapi dengan teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan aktif Smartsense. Ini termasuk Penghindar Perlanggaran Titik Buta (BCA) dengan Bantuan Penghindar Litasan Trafik Di Belakang (RCCA), Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA) dan Kawalan Melayar Pintar (SCC) dengan ciri Stop/Go yang membolehkan ciri SCC berkenaan kekal tidak terbatal walaupun kenderaan berhenti sepenuhnya.

    Lain-lain ciri termasuk Bantuan Penghindar Perlanggaran Depan (FCA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dengan Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (LVDA), Amaran Penumpang Belakang (ROA), Amaran Keluar Selamat (SEW) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA).

     
     
  • Kawasaki Z650RS didedah – enjin dua silinder 68 PS

    Kawasaki Z650RS didedah – enjin dua silinder 68 PS

    Selepas Z900RS, barisan model klasik moden Kawasaki kini disertai satu lagi model iaitu Z650RS, yang baru sahaja diperkenalkan di Eropah. Mengikuti gaya retro yang sama, Z650RS ini bagaimanapun menggunakan enjin yang lebih kecil, iaitu unit dua silinder 649 cc DOHC sama seperti Ninja 650 dan Z650.

    Enjin ini dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, untuk menghasilkan kuasa 68 PS pada 8,000 rpm dan 64 Nm tork pada 6,700 rpm (sama seperti Z650). Di bahagian kokpit, terdapat panel meter gabungan analog untuk kelajuan dan tahap rpm, serta LCD untuk informasi lain.

    Motosikal ini datang dengan kelengkapan yang asas, dan tidak mempunyai mod tunggangan ataupun kawalan cengkaman. Walaubagaimanapun, sistem brek yang terdiri daripada set cakera berkembar 300 mm dengan angkup Nissin di hadapan dan cakera 220 mm di belakang datang dengan sistem ABS.

    Suspensi menggunakan fork teleskopik (tanpa sebarang pelarasan) di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci yang mempunyai rekaan sama sepeti Z900RS, dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Perincian lain Z650RS adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, berat keseluruhan 187 kg, tinggi tempat duduk 820 mm dan pilihan tiga warna. Harga untuk pasaran pertama, iaitu Eropah masih belum didedahkan dan pastinya nanti pelancarannya akan diteruskan ke negara lain.

     
     
  • 807 kemalangan jalan raya, 29 individu maut dari Jan- Sept 2021 libatkan pemanduan lawan arus – Dr. Wee

    807 kemalangan jalan raya, 29 individu maut dari Jan- Sept 2021 libatkan pemanduan lawan arus – Dr. Wee

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung pagi ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah mengesahkan sebanyak 807 kemalangan jalanraya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus direkodkan sejak Januari sehingga September 2021.

    Katanya, berdasarkan statistik data Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia melibatkan 29 kes kemalangan maut, 17 individu cedera parah, 49 cedera ringan dan 712 akibatkan kerosakan, laporan FMT.

    “Kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

    “Faktor manusia ini pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu itu. Dalam kes berkaitan yang memandu lawan arus ini, kebelakangan ini telah kerap dilaporkan berlakunya kes-kes sedemikian yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini amat membimbangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan menyatakan data dan statistik kemalangan jalanraya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus dari Januari 2021 sehingga kini serta faktor penyumbang

     
     
  • RMK-12: Penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit akan ditingkatkan – B30 menjelang tahun 2025

    RMK-12: Penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit akan ditingkatkan – B30 menjelang tahun 2025

    Turut dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah berkenaan biodiesel serta rancangan untuk meningkatkan penggunaannya pada masa hadapan.

    Sebelum pergi lebih lanjut, kita tengok dulu situasi semasa. Sekarang ini, di semua stesen minyak, anda boleh mendapatkan biodiesel B10 Euro 5, yang telah menggantikan diesel Euro 2M di seluruh negara sejak 1 April. Minyak ini melibatkan campuran 10% metil ester sawit dan 90% diesel biasa, dan merupakan diesel permulaan yang dijual pada harga seperti Euro 2M sebelumnya dan ditanda dengan muncung pengisi warna hitam.

    Satu lagi pilihan diesel yang disediakan adalah biodiesel B7 Euro 5, yang dijual pada harga lebih 10 sen dan menggunakan muncung pengisi berwarna biru. Minyak ini menggunakan campuran 7% metil ester sawit dan 93% diesel biasa, dan ditawarkan sebagai pilihan tambahan di kebanyakan stesen, sementara di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang, ia disediakan sebagai pilihan utama.

    RMK-12: Penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit akan ditingkatkan – B30 menjelang tahun 2025

    Kemudiannya pada tahun 2020, kerajaan telah melancarkan biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan, dan ia dilaksanakan terlebih dahulu di Langkawi dan Labuan. Penawaran bahan api dengan campuran metil ester sawit 20% dan diesel biasa 80% ini sepatutnya dikembangkan lagi ke seluruh negara bermula Jun 2021, tetapi ia telah dilanjutkan ke awal 2022 sementara menteri perusahaan perladangan dan komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, ia mungkin hanya akan berlaku pada hujung tahun 2022.

    Di bawah RMK-12, kerajaan telah mengesahkan komitmen untuk mengembangkan lagi program biodiesel B20 di seluruh negara secara berperingkat. Pada penghujung tempoh rancangan ini, iaitu pada tahun 2025, biodiesel B30 (30% metil ester sawit dan 70% diesel biasa) bakal diperkenalkan.

    Tiada garis masa terperinci serta cara pelaksanaan yang disediakan dalam rancangan ini, tetapi ia ada memberitahu bahawa bagi sektor pengangkutan, campuran biodiesel yang akan digunakan “akan terus dipertingkat daripada B15 kepada B20 dan seterusnya kepada B30. Ini adalah pertama kali B15 disebut, kerana sebelum ini cuma diberitahu tentang B10 dan B20.

    RMK-12: Penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit akan ditingkatkan – B30 menjelang tahun 2025

    Seterusnya, rancangan itu turut menyatakan bahawa kerajan akan menjalankan penilaian yang perlu untuk “mengenal pasti jurang keupayaan dan kos yang diperlukan untuk menaik taraf depoh adunan bagi mematuhi piawaian B30.” Kerajaan juga akan membuat lebih banyak kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menangani isu keyakinan pengilang terhadap B30.

    Jika dibandingkan dengan sektor pengangkutan, sektor industri adalah berbeza kerana di situlah terdapat lebih banyak pengguna biasa. Menurut RMK-12, program biodiesel akan dikembangkan dari B7 ke B10 untuk sektor industri demi mempromosi penggunaan bahan api yang lebih bersih. Sekali lagi, tiada perincian masa yang disediakan, tetapi nampaknya biodiesel B7 Euro 5 akan dikeluarkan terus dan diganti dengan B10 Euro 5 sebagai satu-satunya pilihan untuk pelanggan.

     
     
  • Banyak faktor lain penyebab kemalangan; tidak adil syarat khas untuk pemegang lesen warga emas – Lee

    Banyak faktor lain penyebab kemalangan; tidak adil syarat khas untuk pemegang lesen warga emas  – Lee

    Cadangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengesyorkan syarat khas untuk pemegang lesen warga emas berusia 70 tahun dan ke atas yang perlu mendapatkan pengesahan kesihatan dari doktor serta tempoh pembaharuan lesen dihadkan hanya setahun menerima banyak pandangan dari pelbagai pihak.

    Perkara ini turut mendapat perhatian Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, yang berpendapat adalah tidak adil tidak adil jika ada yang mengesyorkan supaya syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu warga emas. Malahan, katanya, banyak faktor lain yang menjadi punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

    “Usia tertentu warga emas tidak sepatutnya dijadikan isu dan wajar mereka dibenarkan memohon selagi mereka tiada masalah kesihatan kerana tidak adil jika kerajaan merancang untuk menyekat hak pemilikan lesen terhadap semua, hanya disebabkan peratusan kecil kemalangan.

    “Ini kerana ramai kalangan warga emas masih menjalani kehidupan aktif atau berdikari yang memerlukan mereka bergerak sendiridi samping kos menggunakan perkhidmatan e-hailing atau pengangkutan awam adalah tinggi terutama kepada yang tiada pendapatan tetap,” katanya kepada Berita Harian.

    Tambah beliau, secara relatifnya, banyak kemalangan disebabkan kenderaan dipandu laju, pemanduan melulu, menggunakan telefon bimbit dan penyalahgunaan dadah serta memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Banyak faktor lain penyebab kemalangan; tidak adil syarat khas untuk pemegang lesen warga emas  – Lee

    “Sedangkan kemalangan disebabkan individu lanjut usia agak terpencil berbanding punca nahas yang lain. Syor had usia tidak boleh dilakukan seperti negara Barat kerana faktor sosioekonomi yang rendah untuk melarang pemilikan lesen memandu terhadap golongan warga emas, pesara dan serta tiada pekerjaan.

    “Jika ia terus dibuat, akan timbul masalah tekanan mental susulan mereka tidak dapat bergerak terutama yang tinggal bersendirian akan menyukarkannya mendapatkan keperluan harian, melakukan aktiviti kerohanian, sukarela atau kebajikan yang biasa dilakukan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengambil contoh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih cekap memandu sendirian meskipun sudah usianya lebih 90 tahun.

    “Jadi pada saya, usia bukan menentukan kecekapan pemanduan tetapi ia dipengaruhi tahap pematuhan peraturan jalan raya, kesihatan berikutan ramai yang berusia 70 hingga 90 tahun mampu memandu dengan selamat,” katanya.

     
     
  • RMK-12: Pembangunan lebuhraya dinilai semula — kadar tol lebih adil untuk rakyat, pulangan adil pelabur

    RMK-12: Pembangunan lebuhraya dinilai semula — kadar tol lebih adil untuk rakyat, pulangan adil pelabur

    Turut disentuh dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) semalam adalah rancangan untuk menstruktur semula model pembangunan lebuhraya di negara ini.

    Menurut pelan tersebut, penstrukturan semula ini disasarkan untuk mengurangkan risiko kepada kerajaan disamping membolehkan pihak konsesi menguruskan operasi dan penyelenggaraan lebuhraya, dan dalam masa sama membolehkan janaan pendapatan yang adil daripada kutipan tol yang dikenakan.

    Di pertimbangkan kaedahnya tahun lalu, Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya 2030 (HNDP 2030) dihasilkan untuk mewujudkan sebuah “pelan menyeluruh yang komprehensif dan sistematik” bagi naik taraf dan pembinaan jalan baru, dan pelan ini turut bertindak sebagai rujukan bagi pembinaan di peringkat persekutuan, negeri dan setempat.

    RMK-12: Pembangunan lebuhraya dinilai semula — kadar tol lebih adil untuk rakyat, pulangan adil pelabur

    Kerajaan akan turut meneroka pilihan yang ada untuk memastikan keberdayaan projek lebuhraya sedia ada. HNDP 2030 juga akan mempunyai peruntukan terhadap “mekanisme bagi mendahulukan lebuhraya baru dan pilihan dana tersedia.”

    RMK-12 juga menyediakan laporan perkembangan ringkas pembinaan lebuhraya sedia ada di negara ini. Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Bentong, Pahang dan Kuala Krai Kelantan berada dalam 58.2% siap setakat penghujung 2020,dan pembinaan baki jajaran laluannya dijangka akan selesai pada 2025.

    Pembinaan lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) di Kelantan juga sedang dijalankan secara berperingkat, dengan dua daripada lapan sub-pakej dari Pasir Hor ke Ketereh telah siap pada 2019. erkembangan kerja-kerja di KBKK berada pada tahap 38% setakat penghujung 2020, dengan baki jajaran dari Ketereh ke Kuala Krai dijangka siap menjelang 2025.

    RMK-12: Pembangunan lebuhraya dinilai semula — kadar tol lebih adil untuk rakyat, pulangan adil pelabur

    Kerja awal di Lebuhraya Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT 3) dimulakan pada 2020, dan dijangka siap pada suku kedua 2022. LPT 3 akan menghubungkan Gemuruh, Terengganu ke Tok Bali, Kelantan.

    Di Malaysia Timur, perkembangan Lebuhraya Pan Borneo Sabah berada pada tahap 44% pada penghujung 2020, dan baki 281 km laluan itu dijangka siap menjelang 2024. Sementara itu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Miri sudah 59.4% siap setakat hujung 2020, dan dijangka dibuka menjelang 2022.

    Untuk kawasan Lembah Klang, lima lebuhraya sedang dalam pembinaan; ini termasuk Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE), Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH), East Klang Valley Expressway (EKVE), Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dan Putrajaya-KLIA Expressway (MEX 2). Semuanya dijadualkan siap pada suku keempat 2021. Sementara itu, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak dijangka siap pada 2024.

     
     
  • Toyota Corolla Cross Hybrid untuk Malaysia dalam teaser — SUV hibrid bakal dilancar 14 Oktober?

    Toyota Corolla Cross Hybrid untuk Malaysia dalam teaser — SUV hibrid bakal dilancar 14 Oktober?

    UMW Toyota Motor meneruskan lagi teaser bagi model hibrid CKD, dengan akhirnya mengesahkan bahawa syarikat itu akan memperkenalkan semula kenderaan petrol-elektrik untuk pasaran tempatan. Khabar angin untuk perkara ini sudah bertiup sejak Februari lalu.

    Bagaimanapun, inilah kali pertama Toyota mula memaklumkan tentang pelancaran model terbabit, selepas sebelum ini tidak mendedahkan sangat sedikit perincian sebenar. Apa yang sempat dilakukan hanyalah mendedahkan beberapa imej teaser yang dengan mudah mencadangkan identiti model yang akan dijual di sini itu.

    Seperti yang dapat anda lihat, bentuk dari imejnya menunjukkan ia sebuah SUV. Kemudian, melihat kepada rekaan gril besarnya, lampu utama yang agak besar juga dan fender depan serta belakang yang agak ketara sebenarnya dengan jelas menunjukkan bahawa model terbabit ialah Corolla Cross Hybrid. Ini juga tidak mengejutkan, kerana model petrolnya juga akan dipasang CKD tahun ini.

    Selain Corolla Cross Hybrid, kita juga boleh menjangkakan Corolla sedan (sudah pernah dilihat kelibat model hibridnya di sini dua tahun lalu) dan varian hibrid untuk Camry juga sebaik saja ia dipasang di sini. Perkembanga ini selari dengan beberapa perincian yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 hari ini, antara lain yang menyatakan bahawa Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon akan dilaksanakan untuk mempromosi penggunaan kenderaan cekap tenaga, hibrid dan elektrik.

    Laman web rasmi Toyota Malaysia juga mengeluarkan teaser “Live Hybrid Film Premiere” dalam masa kurang 17 hari lagi, menyatakan tarikh mengenalannya pada 14 Oktober nanti. Harapnya itu akan menjadi pelancaran rasmi dan bukan lagi teaser. Terus perhatikan ruang ini untuk perincian lanjut nanti.

     
     
  • RMK-12: Insentif EV di Malaysia akan dinilai semula — galak pengeluaran tempatan dan pembelian pelanggan

    RMK-12: Insentif EV di Malaysia akan dinilai semula — galak pengeluaran tempatan dan pembelian pelanggan

    Dalam beberapa perkara berkaitan automotif yang disentuh dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut termasuk adalah usaha dan penambah baikan berkaitan mobiliti hijau.

    Penggunaan kenderaan hijau, yang mengurangkan pencemaran udara dan kesan pembebasan gas rumah hijau sekaligus untuk mempertingkat kecekapan tenaga, semua ini akan dipromosi oleh kerajaan dalam usaha untuk menggalakkan peralihan pengguna kepada mobiliti hijau. Untuk tujuan ini, kerajaan akan menilai semula insentif yang diberikan kepada pengeluar kenderaan yang berpusat di negara ini untuk mengeluarkan kenderaan terbabit, serta pembelian oleh pelanggan.

    Pada bulan Mei tahun ini, CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata bahawa kerajaan Malaysia akan memperhalusi insentif penyesuaian khusus untuk pengeluar kenderaan berdasarkan tahap komitmen mereka, sebagai tambahan kepada insentif tetap yang akan memberi manfaat kepada pengguna dan industri sekaligus.

    Bagi pembeli, antara cadangan yang diusulkan termasuk sifar duti import dan eksais serta cukai jualan bagi kenderaan elektrik, serta sifar cukai jalan bagi masa terhad untuk kenderaan CBU.

    RMK-12: Insentif EV di Malaysia akan dinilai semula — galak pengeluaran tempatan dan pembelian pelanggan

    Sektor swasta juga akan digalakkan untuk melabur dalam usaha memacu kemajuan kenderaan generasi seterusnya, teknologo dan prasarana sokongan seperti kenderaan cekap tenaga, hidrogen dan kenderaan bateri-elektrik serta stesen pengecas, seperti yang terkandung dalam dokumen pembentangan berkenaan. Sebagai tambahan, sektor swasta juga akan digalakkan untuk menerapkan amalan pelabelan hijau bagi kenderaan generasi akan datang dan teknologinya.

    Kemungkinan hal in merujuk kepada versi pelabelan yang digunakan ketika ini dalam bentuk label EEV MARii yang pertama kali dilihat digunakan pada Proton X70 CKD 2020. Ini termasuklah kod QR yang mengandungi senarai spesifikasi kenderaan, termasuk nama model, penggunaan minyak, pembebasan CO2 dan laju maksimum.

    Skin pelabelan itu pertama kali diperkenalkan pada Mac 2018 ketika pelancaran Pusat Ujian Emisi Kebangsaan (NETC), selari dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pembebasan CO2 sebanyak 45% menjelang 2030 seperti yang digariskan di bawah Perjanjian Paris.

     
     
  • RMK-12: Latihan pemanduan cekap tenaga akan dimasukkan dalam permohonan lesen memandu

    RMK-12: Latihan pemanduan cekap tenaga akan dimasukkan dalam permohonan lesen memandu

    Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan, kita dapat melihat pelbagai langkah untuk kenderaan mesra alam disenaraikan, tetapi ia tidak hanya terhad kepada pengeluar dan pemain industri sahaja.

    Selain daripada penggunakan kenderaan cekap tenaga, kerajaan juga mahu orang ramai tahu cara memandu yang boleh menyumbang kepada pelepasan karbon lebih rendah. Oleh itu, mereka akan memasukkan program pemanduan cekap tenaga ke dalam proses mendapatkan lesen memandu.

    Perkara ini dinyatakan dalam Bab 8: Mempercepat Pertumbuhan Hijau untuk Kemampanan dan Daya Tahan, di bawah Bidang Keutamaan A Melaksana Pembangunan Rendah Karbon, Bersih dan Berdaya Tahan, Strategi A Menuju Ke Arah Negara Rendah Karbon.

    Cara sebenar pelaksanannya masih belum diberitahu, sama ada ia melibatkan latihan dan ujian teori sahaja, ataupun amali, tetapi akan dibuat untuk semua kelas kenderaan.

     
     
  • RMK-12: Tarik orang ramai beralih daripada kereta kepada pengangkutan awam – tempat letak kereta terhad dan bayaran lebih tinggi di bandar

    RMK-12: Tarik orang ramai beralih daripada kereta kepada pengangkutan awam – tempat letak kereta terhad dan bayaran lebih tinggi di bandar

    Satu lagi perkara yang berkaitan dengan automotif dan pengangkutan awam yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah rancangan untuk menarik orang ramai beralih daripada penggunaan kereta kepada pengangkutan awam. Perkara ini dijelaskan dalam Bab 12: Memperkukuh Kecekapan Infrastruktur Pengangkutan dan Logistik.

    Ada dua pecahan strategi yang dinyatakan, iaitu meningkatkan kebolehcapaian kepada pengangkutan awam secara menyeluruh dan menggalakkan perubahan tingkat laku daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

    Dalam strategi yang pertama, ia lebih tertumpu kepada menjadikan pengangkutan awam lebih mudah dengan menyepadukan segala jenis pengangkutan awam yang ada dan juga memastikan infrastruktur sokongan selepas penggunaan pengangkutan awam (menuju ke destinasi akhir) tersedia dengan baik.

    RMK-12: Tarik orang ramai beralih daripada kereta kepada pengangkutan awam – tempat letak kereta terhad dan bayaran lebih tinggi di bandar

    Dalam strategi kedua pula, pola pergerakan masyarakat akan sentiasa dipantau untuk mengenal pasti pengangkutan yang sesuai dan pelarasan yang akan dibuat. Pas tanpa had akan diteruskan untuk menggalakan penggunaan perkhidmatan rel dan bas, sementara untuk ETS pula, tambang akan ditentukan berdasarkan keadaan permintaan pasaran – lebih tinggi jika dibeli pada saat akhir.

    Demi mengawal kenderaan persendirian masuk ke pusat bandar, ruang letak kereta akan dihadkan dan bayaran letak kereta akan dijadikan lebih tinggi bagi kawasan yang mempunyai ketersambungan pengangkutan awam yang baik. Turut dinyatakan adalah sekarang ini satu kajian rapi sedang dijalankan untuk mengenal pasti penyatuan mod pengangkutan terbaik bagi kawasan Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang.

     
     
  • JPJ mempergiatkan Ops Merah di seluruh negara bagi membanteras aktiviti langgar lampu isyarat merah

    JPJ mempergiatkan Ops Merah di seluruh negara bagi membanteras aktiviti langgar lampu isyarat merah

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius akan kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang kerap berlaku terutamanya dalam kalangan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing). Justeru, pihak berkuasa tersebut nekad untuk mempergiatkan operasi khas ‘Ops Merah’ di seluruh negara.

    “Rekod di seluruh negara bagi kesalahan melanggar lampu isyarat pada 2019 ialah sebanyak 22,656 kes dan kompaun telah dikeluarkan, manakala pada 2020, jumlahnya agak berkurangan iaitu kepada 12,764 kes disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujar Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ Aedy Fadly Ramli menerusi laporan Bernama.

    Kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh disaman di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM300 dan denda mahkamah tidak lebih RM2,000.

    Selain itu, tambah beliau, tujuh kesalahan lain yang sering dikesan ialah tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu tanpa alat bebas tangan, memotong dua barisan berkembar, memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan.

    Ditanya mengenai kerjasama JPJ dengan agensi kerajaan lain dalam usaha mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat, beliau berkata pihak berkuasa tempatan disaran untuk memasang kamera litar tertutup khususnya di persimpangan yang sering berlaku kes tersebut.

     
     
  • Toyota GR DKR Hilux T1+ – Jentera Rali Dakar dengan enjin 3.5L V6 turbo berkembar jana 409 hp/650 Nm!

    Toyota GR DKR Hilux T1+ – Jentera Rali Dakar dengan enjin 3.5L V6 turbo berkembar jana 409 hp/650 Nm!

    Bagi mengharungi satu lagi musim rali Dakar, sayap perlumbaan Toyota iaitu Gazoo Racing telah memperkenalkan jentera baharu mereka yang diasaskan dari trak pikap Toyota Hilux, diberi nama Toyota GR DKR Hilux T1+.

    Jentera baharu ini adalah versi kemaskini dari trak lumba Toyota Dakar Hilux yang telah didedahkan pada 2018, kemudian memenangi rali paling lasak berkenaan pada tahun 2019. Ia berkongsi banyak komponen dari trak asal berkenaan, tetapi telah dikemaskini bagi memenuhi syarat undang-undang T1+ baharu.

    Jika sebelum ini Dakar Hilux dijana oleh enjin V8 turbodiesel, Toyota GR DKR Hilux T1+ ini pula dijana oleh enjin petrol 3.5 liter V6 dengan dua pengecas turbo yang diambil dari Toyota Land Cruiser 300 baharu, di tala bagi menghasilkan 409 hp pada takat 5,200 rpm, dan tork maksima 650 Nm bermula seawal 2,000 rpm.

    Toyota GR DKR Hilux T1+ – Jentera Rali Dakar dengan enjin 3.5L V6 turbo berkembar jana 409 hp/650 Nm!

    Ia juga menerima pelbagai peningkatan lain seperti set roda yang lebih besar dari 32-inci kepada 37-inci. Suspensi jentera baharu ini juga menampilkan strok yang lebih panjang dari 280 mm sebelumnya kepada 350 mm. Penampilan sulung ini hanya mendedahkan keseluruhan badan gentian karbon trak lumba tersebut, manakala grafik livery perlumbaan hanya akan didedahkan sedikit masa lagi.

    Walaupun masih dipanggil ‘Rali Dakar’ (Dakar merujuk kepada ibu kota Senegal), bermula tahun lalu ia hanya berlangsung di Arab Saudi, selepas 10 tahun berlangsung hanya di Amerika Selatan atas sebab-sebab keselamatan. Acara selepas ini akan bermula pada 2 hingga 14 Januari 2022, bermula di Ha’il dan berakhir di Jeddah dengan jarak sekitar 8,000 km.

    Bagi musim 2022, Toyota Gazoo Racing bakal mempetaruhkan empat buah Toyota GR DKR Hilux T1+, dengan menampilkan juara Rali Dakar 2019, Nasser Al-Attiyah bersama juru arahnya Mathieu Baumel sebagai pasangan utama. Tiga lagi jentera akan dipandu oleh pasangan Giniel de Villiers bersama juru arah Dennis Murphy, Henk Lategan bersama juru arah Brett Cummings, serta Shameer Variawa bersama juru arah Danie Stassen.

     
     
  • RMK-12: Infrastruktur pejalan kaki, penunggang basikal akan ditambahbaik untuk promosi mobiliti aktif

    RMK-12: Infrastruktur pejalan kaki, penunggang basikal akan ditambahbaik untuk promosi mobiliti aktif

    Sebahagian dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), terdapat juga pelan untuk mobiliti aktif dengan memfokuskan pembangunan infrastruktur bagi pejalan kaki dan penunggang basikal. Ia akan diberikan penekanan terhadap infrastruktur yang bersepadu dan mesra pengguna, serta selamat dan selesa.

    Langkah-langkah yang akan dilaksanakan termasuklah keadaan lalu lintas yang tenang serta teduhan semulajadi untuk ruang pejalan kaki. Ini adalah antara rancangan untuk meningkatkan mobiliti hijau sebagai sebahagian daripada pembangunan bandar dan wilayah termasuk mobiliti rendah karbon.

    Pelan mobiliti rendah karbon juga akan diperkenalkan sebagai panduan perancangan, implementasi, pemantauan dan juga penilaian inisiatif mobiliti hijau di kawasan bandar dan luar bandar. Selain itu, kebolehcapaian, ketersambungan, keselamatan dan kebolehpercayaan terhadap pengangkutan awam juga akan ditambahbaik, berserta dengan mobiliti mikro yang lebih lancar untuk sambungan pertama dan jarak terakhir.

     
     
  • RMK-12: Penggunaan pengangkutan awam rendah kerana kereta murah, pendaftaran kereta meningkat

    RMK-12: Penggunaan pengangkutan awam rendah kerana kereta murah, pendaftaran kereta meningkat

    Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada beberapa perkara berkaitan automotif dan pengangkutan yang turut mendapat perhatian dalam merangka pelan untuk tempoh lima tahun ke depan.

    Perihal pengangkutan awam turut tidak terlepas daripada menjadi tumpuan dalam merencanakan kemakmuran Malaysia bagi tempoh berkenaan. Ini turut meliputi penilaian semula terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan sepanjang tempoh RMK11 sejak 2016-2020.

    Menjadi pementaan menyeluruh bagi semua aspek pengangkutan awam termasuk untuk tujuan komersial, ia tidak ketinggalan merangkumkan juga usaha-usaha seperti meningkatkan perkongsian modal pengangkutan awam, sebagai contoh untuk mengelakkan kesesakan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang — seperti perkhidmatan MRT 1 (Sungai Buloh-Kajang) yang mula beroperasi pada 2017 dan LRT 2 (Putra Heights-Kelana Jaya) yang siap pada 2016.

    RMK-12: Penggunaan pengangkutan awam rendah kerana kereta murah, pendaftaran kereta meningkat

    Antara perkara yang dikenal pasti adalah penggunaan pengangkutan awam adalah pada tahap yang rendah disebabkan pemilikan kenderaan agak murah di negara ini. Sasaran 40% perkongsian modal pengangkutan awam pada tahun 2020 tidak dapat dicapai akibat keterhubungan rangkaian yang tidak mencukupi, kurangnya perkhidmatan yang boleh dicapai dan boleh diharap, serta keengganan orang ramai untuk beralih daripada kenderaan persendirian serta kesan penularan Covid-19 menjadi antara punca yang dikenal pasti menyumbang kepada hal ini.

    Prestasi ketepatan masa (OTP) yang rendah, tempoh perjalanan yang lebih panjang dan ketiadaan pengurusan permintaan perjalanan yang holistik telah memberi kesan kepada kecekapan dan kebolehpercayaan terhadap pengangkutan awam. Disebabkan ini, pemanfaatan pengangkutan awam kekal di bawah sasaran. Keengganan untuk beralih daripada pengengkutan persendirian kepada pengangkutan awam sebahagiannya juga disumbangkan oleh kos pemilikan kenderaan yang relatif murah.

    Ini dapat dilihat melalui peningkatan dalam angka pendaftaran kenderaan, menjangkau 6% setahun, daripada 20.2 juta pada 2010 kepada 30 juta kenderaan pada 2018. Nisbah kenderaan kepada populasi, pada kadar 0.9 pada 2018, adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Adakah Malaysia bersedia untuk mengubah cara penggunaan pengangkutan di negara ini dalam lima tahun akan datang?

     
     
  • Teknologi caj kereta elektrik tanpa wayar – kenapa masih belum digunakan pada model produksi terkini?

    Teknologi caj kereta elektrik tanpa wayar – kenapa masih belum digunakan pada model produksi terkini?

    Berberapa tahun lalu, pengecas induktif yang membolehkan kereta elektrik (EV) dicaj semula tanpa menggunakan wayar dikatakan bakal digunakan secara meluas. Tanpa perlu menggunakan sebarang wayar atau penghubung, teknologi berkenaan dilihat sebagai solusi yang sempurna bagi memudahkan pemilik EV mengecaj kenderaan mereka.

    Aspek teknikal untuk memindahkan kuasa elektrik tanpa menggunakan wayar ini kini semakin berkembang, dengan kadar dan keberkesanan yang semakin meningkat, namun penampilannya dalam model-model produksi masih belum kelihatan. Jadi persoalannya, adakah pengecaj kereta elektrik tanpa wayar ini akan benar-benar digunakan tidak lama lagi bagi menggantikan sistem pengecaj biasa seperti yang diramalkan?

    Dalam sesi temuramah bersama Johan Hellsing, pakar prinsipal Pergerakan dan Tenaga di China Euro Vehicle Technology (CEVT, pusat inovatif milik Zhejiang Geely Holding Group) baru-baru ini, kami turut bertanyakan berkenaan teknologi tersebut kepada beliau.

    Menurut Hellsing, memang ada masa hadapan untuk teknologi pengecaj tanpa wayar bagi kereta elektrik, tetapi ia akan mengambil sedikit lagi masa sebelum direalisasikan untuk penggunaan massa. Teknologi tersebut juga mampu memberikan keberkesanan yang sama seperti pengecaj konvensional, malah aspek penghantarannya juga dapat dilaksanakan sekarang.

    Teknologi caj kereta elektrik tanpa wayar – kenapa masih belum digunakan pada model produksi terkini?

    “Ia merupakan teknologi yang boleh berdaya maju, dengan tahap pembangunan kini mencapai keberkesanan yang sangat bagus – tahap kuasa kini sedang meningkat, dengan kebolehan untuk mengecaj pada kadar 10 atau 20 kW, dan ada sehingga 75 kW, seperti yang telah ditawarkan oleh satu syarikat,” katanya kepada paultan.org.

    Walau bagaimanapun, pada tahap sekarang ini, pengguna dilihat masih tidak kisah hidup dengan menggunakan kabel dan palam bagi kegunaan mengecaj. Ia telah ditunjukkan dengan jelas pada pasaran yang menerajui adaptasi EV berkenaan.

    “Norway merupakan contoh yang baik. Mereka mempunyai kadar penggunaan EV tertinggi di dunia, tetapi tidak ada seorang pun yang meminta sistem pengecaj tanpa wayar,” jelasnya. Faktor kos dan juga banyak akses kepada penghubung kabel juga menjadi punca mengapa tiada permintaan terhadap teknologi tersebut.

    Hellsing juga menyatakan pada peringkat awal dahulu dia juga berpendapat teknologi pengecaj tanpa wayar ini akan menjadi halatuju bagi EV, namun sekarang pendapatnya sudah berubah. Tetapi, dia berpendapat teknologi ini bakal mendapat permintaan tidak lama lagi selepas selepas teknologi pemanduan berautonomi mula digunakan.

    Ini kerana selepas kereta boleh bergerak tanpa pemandu, ia akan seiring dengan aspek mengecaj. “Saya rasa dengan kedatangan kereta berautonomi, di mana kereta boleh bergerak sendiri ke pengecaj, kita perlu juga menghasilkan pengecaj automotik,” katanya.

     
     
  • JPJ sasar selesaikan isu ujian lesen memandu tertangguh akibat PKP menjelang Disember ini

    JPJ sasar selesaikan isu ujian lesen memandu tertangguh akibat PKP menjelang Disember ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan untuk menyelesaikan isu ujian lesen memandu yang tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum tahun 2021 berakhir.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, bagi tujuan tersebut, JPJ akan menambah kakitangan penguji sehingga 20% bagi menampung jumlah penguji sedia ada untuk menyelesaikan 462,124 calon yang tertangguh akibat PKP bagi semua jenis kelas kenderaan, laporan Bernama.

    “Dengan penambahan tenaga penguji ini, kita percaya ia dapat menyelesaikan masalah membabitkan calon ujian lesen memandu yang tertunggak di 232 Institut Memandu (IM) pada hujung Disember ini. Setakat ini terdapat 530 bilangan penguji di seluruh negara dan akan menambah 10 hingga 20% penguji lagi mengikut kesesuaian IM bagi melancarkan proses ujian yang tertunggak,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya sudah menghantar bilangan calon di setiap negeri ke ibu pejabat di Putrajaya bagi mengenalpasti bilangan penguji tambahan bersesuaian dengan kuota calon bagi setiap IM.

    “Kita menyarankan supaya IM memberi keutamaan kepada calon tertunggak untuk menyelesaikan masalah pengambilan lesen memandu yang sebelum ini tergendala akibat PKP,” katanya lagi.

     
     
  • Aprilia Tuareg 660 – lagi teaser tunjuk kemampuan sebenar, akan didedah secara rasmi di EICMA 2021

    Aprilia Tuareg 660 – lagi teaser tunjuk kemampuan sebenar, akan didedah secara rasmi di EICMA 2021

    Mula ditunjuk sebagai sebuah model konsep pada tahun 2019, Aprilia Tuareg 660 akhirnya didedah pada bulan lalu. Walaubagaimanapun, hanya sedikit perincian diberi, bersama gambar statik, sementara penampilan rasminya akan dibuat waktu pameran EICMA hujung tahun ini.

    Tapi sebelum itu, satu lagi teaser disiar, dan kali ini menunjukkan video motosikal adventure kelas pertengahan tersebut dibelasah atas jalan offroad. Kemampuan sebenar Tuareg 660 ditunjuk dengan aksi-aksi seperti meluncur laju, mendaki jalan berbatu dan juga melompat ke udara.

    Semua ini dapat dilakukan dengan model versi standard, yang diberi dengan suspensi panjang (jarak gerak 240 mm depan dan belakang), rim 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan berat keseluruhan 187 kg.

    Meskipun ini adalah jentera lasak – dipanggil oleh Aprilia sebagai sebuah motosikal untuk memuaskan kehendak mereka yang suka meneroka – ia masih dipasang dengan ciri yang dapat memberikan kemudahan kepada pengguna seperti cruise control, skrin TFT 5.0 inci, mod tunggangan serta kawalan cengkaman.

    Perincian lain yang sudah diketahui untuk Tuareg 660 adalah termasuk tetapan brek Brembo berkembar di hadapan, ABS dan traction control yang boleh ditutup, tangki bahan api 18 liter dan paling penting, enjin dua silinder selari 660 cc berkuasa 80 hp.