Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • ACO Tech lancar ATLAS – OS yang dibangunkan warga Malaysia untuk kereta, berasaskan Android 9

    ACO Tech lancar ATLAS – OS yang dibangunkan warga Malaysia untuk kereta, berasaskan Android 9

    Selepas beberapa teaser, ACO Tech akhirnya melancarkan ATLAS (akronim untuk ACO Tech Local Automotive Services), iaitu satu sistem operasi (OS) infotainmen yang akan ditawarkan kepada pengeluar kenderaan OEM yang berminat.

    Diketuai dan dibangunkan sendiri oleh warga Malaysia, dengan pelaburan berjumlah RM30 juta, sistem ini menawarkan pengalaman penggunaan lebih baik, dengan ciri baru dan disokong oleh aplikasi mudah alih percuma yang dipanggil ATLAS Auto.

    Tidak seperti perisian GKUI berasaskan Android 8 (Oreo) yang digunakan oleh beberapa model Proton sekarang, ATLAS ini pula adalah serba baru dengan menggunakan Android 9 (Pie). Walaubagaimanapun, anda masih tidak mendapat akses kepada servis berkaitan Google seperti Play Store. Aplikasi, kandungan lain serta pakej data untuk sistem ini bagaimanapun boleh didapati melalui A-Store di dalamnya.

    Paparan sistem ini seperti biasa dilihat, hampir sama seperti perisian GKUI pada Iriz dan Persona baru. susun aturnya melibatkan paparan peta di bahagian kiri sementara widget lain seperti untuk cuaca, pemain media dan aplikasi pilihan diletakkan di bahagian kanan. Anda juga boleh melihat semua aplikasi yang ada, tetapan kenderaan serta pilihan tema.

    Bagi sistem GKUI – turut melibatkan penyertaan ACO Tech sfemasa pembangunannya – kawalan suara adalah antara fungsi yang penting. Pada ATLAS, ia dipertingkatkan lagi. Anda boleh memilih suara lelaki (Atlas) atau perempuan (Aethra), dan namanya juga boleh ditukar. Sistem ini turut dikatakan dapat memahami Bahasa Inggeris yang digunakan oleh orang tempatan dengan lebih baik.

    Fungsi lain yang disediakan adalah amaran suhu ekstrem dan tayar pancit – bergantung kepada spesifikasi kereta. Sementara itu bagi sistem hiburan, platform Astro Syok disediakan terus bersama servis layaran muzik Joox. Penggunaan Spotify atau Android Auto dan Apple CarPlay untuk ciri ini tidak dinyatakan.

    Pergi kepada navigasi pula, aplikasi Map menyediakan informasi trafik masa sebenar, tempat menarik dan disambungkan dengan aplikasi cuaca untuk memberitahu pemandu keadaan cuaca di destinasi. Sekiranya tiada sambungan internet atau GPS, pemandu masih boleh menggunakan sistem ini melalui data peta offline. Satu lagi fungsi berguna adalah ia boleh mengesan sekiranya tahap bahan api kenderaan sudah rendah dan mengeluarkan cadangan stesen minyak terdekat.

    Pada suku kedua tahun hadapan, fungsi kalendar akan ditambah dalam sistem ini, dan membenarkan pengguna menyamakan kalendar dan peringatan yang berada pada telefon bimbit. Menurut ACO Tech, sistem ini akan menggunakan informasi yang ada, dan menyediakan cadangan masa berlepas untuk memastikan pengguna sampai mengikut masa.

    Menjelang separuh kedua tahun tahun hadapan pula, sistem ini akan ditambah dengan fungsi bayaran ATLAS Pay. Melaluinya, pengguna boleh membuat bayaran dan transaksi secara selamat tanpa keluar daripada kereta. Ini adalah sistem pertama yang menggunakan fungsi tersebut dalam industri automotif di Malaysia, dan dilakukan dengan kerjasama Fasspay.

    ATLAS Pay juga akan berada dalam aplikasi ATLAS Auto menjelang suku keempat tahun ini, dan ia boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery pada aplikasi mudah alih. Selain membenarkan integrasi antara beberapa platform e-wallet, aplikasi ini juga boleh digunakan untuk membeli servis di dalam pusat beli-belah atas talian, membaca berita ataupun informasi lain.

    Satu lagi yang penting, aplikasi ini juga boleh mengendali fungsi telematik, yang membenarkan pengguna mengawal fungsi kenderaan dari jarak jauh, atau memeriksa status kenderaan. Menjelang suku pertama tahun hadapan juga anda boleh membuat sambungan kepada peranti pintar yang dipakai (seperti jam pintar).

    Menurut ACO Tech, ATLAS dibangunkan untuk menjadi satu sistem seperti OS Android Automotive, di mana sistem kenderaan, infotainmen dan servis ketersambungan dapat disepadukan dalam satu sistem. Ada antara fungsi yang dinyatakan ini akan disediakan pada kenderaan Proton, tetapi pengeluar lain juga boleh mendapatkan OS ini sekiranya mahu.

    GALERI: OS infotainmen ATLAS

    GALERI: Aplikasi ATLAS Auto

     
     
  • Cukai jalan motosikal boleh diperbaharui di Puspakom seluruh semenanjung Malaysia mulai 1 Okt 2021 – JPJ

    Cukai jalan motosikal boleh diperbaharui di Puspakom seluruh semenanjung Malaysia mulai 1 Okt 2021 – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau pun cukai jalan bagi motosikal boleh diperbaharui di semua 39 pusat pemeriksaan Puspakom seluruh Semenanjung Malaysia mulai 1 Oktober 2021.

    Menurut JPJ, semenjak tahun 2020, inisiatif pembaharuan LKM ini telah mula dilaksanakan kepada kenderaan bermotor persendirian yang melibatkan kenderaan decontrolled (kenderaan barangan dengan berat 7,500 kg ke bawah). Kemudian, pada 1 September 2021 pula, inisiatif pembaharuan LKM ini telah diperluaskan kepada kenderaan bermotor persendirian (kecuali kenderaan e-hailing).

    Untuk urusan pembaharuan LKM ini, orang ramai boleh terus walk-in di mana-mana cawangan Puspakom berhampiran dan buat masa ini, pembayaran secara tunai sahaja yang dilaksanakan.

    “JPJ dan Puspakom sentiasa komited ke arah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai serta memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, selaras dengan objektif yang digariskan.

    “Diharapkan, melalui inisiatif pembaharuan LKM di Pusat Pemeriksaan Puspakom ini akan dapat memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan yang lebih efisien, cepat dan cekap serta menyediakan kemudahan alternatif selain daripada saluran perkhidmatan sedia ada (kaunter/kiosk JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Portal mySIKAP JPJ),” kata JPJ.

    Sebelum ini, JPJ pernah membuat kenyataan bahawa inisiatif yang sama akan diperluaskan kepada urusniaga pembaharuan LKM motosikal dan kenderaan e-hailing, yang dijangka mula dilaksanakan pada bulan November 2021.

     
     
  • Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

    Tesla Model S — review jangka panjang selepas tiga tahun; pengalaman penggunaan EV di Malaysia

    Kenderaan elektrik adalah masa depan. Di Malaysia juga, makin banyak model diperkenalkan. Nissan, Renault, BMW, MINI dan Porsche misalnya ada penawaran EV di sini, dan bakal diikuti nanti oleh Mercedes-Benz, Hyundai dan Volvo. Ada juga pengimport persendirian yang menawarkan Tesla dan Polestar.

    Ramai yang ingin tahu tentang EV, tentang pengalaman pemilikannya dari segenap sudut. Jarang pertanyaan seperti ini diajukan untuk sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalam, melainkan itu memang kereta yang benar-benar istimewa. Tak lupa, ramai juga yang bertanya tentang prasarana pengecas untuk EV.

    Kali ini kami ingin beri perhatian kepada pengalaman sebenar sebagai pengguna EV selama tiga tahun, seperti yang dilalui oleh bos Driven, Harvinder Singh. Harapannya, banyak persoalan yang akan terjawab dengan cara ini.

    Antara awal tahun 2017 dan 2019, kami antara yang terawal di Malaysia yang mempunyai sebuah Tesla Model S 90D tahun 2016. Ia digunakan secara harian, diguna bergilir antara Harve dan Paul Tan. Kereta dalam warna Obsidian Black ini adalah dari program pajakan oleh GreenTech Malaysia yang dilancarkan pada 2016. Ia 90D dengan bateri 90 kWh dan dua motor, satu pada setiap gandarnya.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Suzuki Jimny 2021 kini di Malaysia – 4×4 mini, RM169k

    Suzuki Jimny 2021 kini di Malaysia – 4×4 mini, RM169k

    Sepatutnya ia dilancarkan pada April lalu, namun rancangan tersebut tertunda atas sebab tertentu. Walau bagaimana pun, akhirnya Suzuki Jimny generasi ke-empat kini telah pun berada di pasaran Malaysia, dan harganya telah pun didedahkan menerusi media sosial. Model 4×4 berskala kecil ini ditawarkan dengan harga atas jalan yang agak tinggi – RM168,900 tanpa insurans, termasuk dengan 50% pengecualian cukai (SST).

    Kuasanya disalurkan dari enjin 1.5 liter VVT empat-silinder petrol, yang mampu menghamburkan 100 hp pada 6,000 rpm dan tork 130 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan dan juga sisitem pacuan empat-roda dengan kotak pemindahan jarak rendah serta viscous coupling.

    Kit standard yang diberikan termasuklah lampu utama projektor LED automatik, lampu kabus, roda aloi kelabu 15-inci, tempat duduk fabrik larasan manual, kawalan suhu automatik zon-tunggal, sistem infotainmen skrin sesentuh dengan ketersambungan Apple CarPlay dan dua pembesar suara. Bagi aspek keselamatan, ia hadir dengan hanya dua beg udara, ABS, bantuan brek, kawalan kestabilan dan cagak ISOFIX untuk menempatkan kerusi keselamatan kanak-kanak pada tempat duduk belakang.

     
     
  • Honda Integra 2022 pasaran China diperkenalkan – Civic dengan muka lain, akan dilancar suku ke-4 2021

    Honda Integra 2022 pasaran China diperkenalkan – Civic dengan muka lain, akan dilancar suku ke-4 2021

    Eh, apa ni? Honda Integra 2022? Kenapa lain dengan dari rupa imej teaser Integra generasi baharu yang Acura dedahkan tempoh hari? Ok, untuk pengetahuan semua, ini adalah Honda Integra khas pasaran untuk China, dan ia tidak akan dijual di pasaran lain termasuk di Jepun sendiri.

    Pada asasnya, ia adalah sedan Civic generasi ke-11 dan diberikan muka hadapan dan bahagian belakang berbeza. Amalan untuk menghasilkan model kembar khas bagi pasaran China ini bukan perkara baharu kerana Honda diwakili oleh dua syarikat kerjasama tempatan di republik berkenaan iaitu Dongfeng Honda dan juga Guangqi Honda yang dimiliki oleh GAC. Kedua-dua entiti berkenaan bukan sahaja mempunyai dua jaringan jualan yang berbeza, malah masing-masing turut mempunyai fasiliti produksi yang tersendiri.

    Antara contoh model kembar lain Honda di pasaran China ini termasuk SUV segmen-B Honda Vezel (atau HR-V di Malaysia) yang dijual oleh GAC, dan juga Honda XR-V yang dihasilkan oleh Dongfeng Honda. Manakala untuk Civic generasi ke-11 ini, ia dikilangkan oleh Dongfeng Honda di Wuhan, manakala kembarnya, Integra diproduksi oleh Guangqi Honda di Guangzhou.

    Honda Integra 2022 pasaran China diperkenalkan – Civic dengan muka lain, akan dilancar suku ke-4 2021

    Honda Integra khas untuk pasaran China ini masih menampilkan profil sisi badan yang sama dengan Civic sedan. Namun mukanya telah diberikan lampu hadapan lebih nipis (dengan sistem LED matrix seperti Civic Hatchback JDM), gril dengan elemen sarang lebah seperti Civic Hatchback tetapi dengan bentuk yang berbeza, serta rekaan sudut pada liang udara yang lebih tajam.

    Manakala di belakang, Integra diberikan lampu dengan grafik LED berbentuk-L, manakala sambungannya pada penutup but direka lebih nipis dan tajam berbanding lampu belakang Civic. Ia juga diberikan bampar dengan kemasan hitam di bawah yang lebih besar yang turut menempatkan lampu kabus merah ala-kereta lumba di tengah, bersama reflektor sisi yang diletakkan dalam posisi menegak.

    Menerusi imej yang terdedah di laman sesawang kementerian industri dan teknologi informasi China tempoh hari, Integra ini juga dilihat ditawarkan dengan pelbagai opsyen antaranya pilihan rim bersaiz dari 16- hingga 18-inci, spoiler ekor itik berwarna hitam dibelakang, diffuser bampar belakang dengan tip ekzos berkembar yang diserlahkan dan pelbagai lagi.

    Honda Integra 2022 pasaran China diperkenalkan – Civic dengan muka lain, akan dilancar suku ke-4 2021

    Perincian berkenaan spesifikasi teknikal Honda Integra pasaran China ini masih belum didedahkan. Namun menerusi lencana “240 Turbo” pada bahagian belakang menandakan bahawa ia mungkin menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti Civic iaitu gandingan enjin 1.5 liter empat silinder VTEC turbo berkuasa 182 PS (sama seperti model pasaran AS dan Jepun) dan kotak gear CVT automatik.

    Imej terbaharu yang didedahkan ini juga menunjukkan bahawa Integra diberikan pilihan warna yang agak funky, termasuk Emerald Blue dan Fiery Yellow. Ia bakal dilancarkan secara rasmi di negara berkenaan pada suku keempat tahun ini

     
     
  • Nissan Sylphy e-Power didedah di China secara rasmi

    Nissan Sylphy e-Power didedah di China secara rasmi

    Teknologi hibrid range extender e-Power dari Nissan kini diimplementasikan pada satu lagi modelnya, kali ini ia tampil dalam sedan segmen-C, Sylphy pasaran China yang juga kini sedan paling laris di negara berkenaan.

    Secara asasnya teknology e-Power Nissan ini berfungsi seakan “generator pasar malam”, di mana enjin petrol yang dibekalkan berfungsi semata-mata untuk mengecaj bateri, manakala tayar hadapan hanya dipacu oleh motor elektrik dengan tork 300 Nm.

    Sistem yang dibekalkan pada Sylphy ini adalah teknologi generasi kedua e-Power, dan menurut Nissan ia memberikan pecutan yang responsif, nyah pecut yang lancar serta kabin yang senyap setara dengan kereta elektrik sepenuhnya.

    Nissan Sylphy e-Power didedah di China secara rasmi

    Buat masa sekarang Nissan masih belum mengumumkan sepenuhnya perincian teknikal Sylphy e-Power ini, namun menyatakan bahawa ia mampu mencapai penggunaan bahan api 3.9 liter untuk setiap 100 km berdasarkan standard ujian di China. Ia juga datang dengan lima mod pemanduan yang menawarkan kitaran antara kadar efisien maksimum atau prestasi penuh.

    “Pelancaran Nissan e-Power Sylphy di China melambangkan kesungguhan Nissan untuk memperkenalkan teknologi tercanggih dalam pasaran utama, bagi mempercepatkan visi syarikat terhadap mobiliti elektrifikasi dan sasaran pencapaian neutal karbon China,” kata naib presiden Dongfeng Motor dan pengarah urusan Dongfeng Nissan Passenger Vehicle Company, Takeshi Yamaguchi.

    “e-Power direka bagi memberikan pengalaman pemanduan baharu sepenuhnya kepada pelanggan di China bagi mereka mengejar untuk mobiliti berkualiti tinggi dalam era elektrifikasi,” tambahnya lagi.

    Nissan Sylphy e-Power didedah di China secara rasmi

    Teknologi e-Power ini telah diperkenalkan buat pertama kali di Jepun menerusi Nissan Note pada 2016, dengan jualan kumulatif yang sudahpun mencecah angka 500,000 pada Mac 2021.

    Di China, Nissan menjangkakan teknologi ini akan menyumbang kepada rancangan pembangunan mampan kerajaan negara berkenaan, dan selari dengan sasaran global Nissan bagi mencapai status neutral karbon bagi seluruh operasinya menjelang 2050.

    Menjelang awal era 2030, kesemua model baharu Nissan yang ditawarkan pada pasaran-pasaran utama akan dilengkapi teknologi elektrifikasi. Selepas ini enam lagi model e-Power dirancang akan diperkenalkan di China sehingga 2025.

     
     
  • PLUS umum 4 lagi medan selera di kawasan R&R dan hentian sebelah di lebuhrayanya kembali beroperasi

    PLUS umum 4 lagi medan selera di kawasan R&R dan hentian sebelah di lebuhrayanya kembali beroperasi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan lebih banyak medan selera di kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah akan dibuka semula untuk dine-in. Menurut PLUS, hanya pelanggan yang telah selesai divaksinasi dan layak melakukan perjalanan dengan kebenaran polis kini boleh menikmati pilihan makanan yang lebih menyelerakan bagi memenuhi keinginan selera mereka ketika berehat di sepanjang lebuh raya.

    Medan selera di kawasan R&R dan Hentian Sebelah yang telah kembali beroperasi adalah di R&R Ayer Keroh (Arah Utara), R&R Ayer Keroh (Arah Selatan), Restoran Jejantas Ayer Keroh dan R&R Pagoh (Arah Utara). Ini menjadikan sebanyak 22 medan selera di kawasan R&R dan Hentian Sebelah kendalian syarikat konsesinya ini telah kembali beroperasi sejak 17 September lalu.

    Dalam masa yang sama, PLUS juga mengingatkan para pelanggan supaya menunjukkan status vaksinasi Covid-19 di Aplikasi MySejahtera ketika memesan makanan dan minuman di gerai kendalian rakan niaga mereka untuk menerima tag pelekat hijau sebelum dibenarkan memasuki ruang makan medan selera tersebut.

    “Manakala bagi pelanggan kami yang masih belum menerima vaksin lengkap juga dialu-alukan untuk menikmati menu lazat untuk dibawa pulang dari R&R kami. Bagi meminimumkan interaksi pelanggan juga boleh menggunakan fungsi Pra-Pesanan PLUS App atau melalui pautan https://orderdisini.plus.com.my/ daripada rakan perniagaan dan pengendali gerai yang mengambil bahagian. Pelanggan boleh memuat turun Aplikasi PLUS dengan mudah dari Android Play Store dan Apple App Store. Untuk maklumat terkini mengenai dine-in dan perkhidmatan lain, sila layari www.plus.com.my,” ujar kenyataan dari PLUS.

     
     
  • Geely bakal hasilkan telefon pintar premium

    Geely bakal hasilkan telefon pintar premium

    Pengasas Zhejiang Geely Group, Eric Li (Li Shufu) telah melancarkan satu lagi syarikat, kali ini bukan satu lagi jenama automotif, sebaliknya entiti berkenaan akan membangunkan serta menjual peranti pintar premium termasuk telefon pintar yang akan bersaing terus dengan jenama seperti Apple, Samsung dan Xiaomi.

    Syarikat tersebut dinamakan sebagai Hubei Xingji Shidai Technology dan akan bertapak di Wuhan, China selepas Li menandatangani kerjasama strategik bersama Zon Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Wuhan.

    Menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Xingji Shidai akan mempunyai akses penuh kepada “pengalaman ekstensif Geely dalam rekaan, R&D, pembuatan pintar atasan, integrasi jaringan industri, kepintaran kenderaan, pembangunan perisian dan infrastruktur global, termasuk jaringan satelit orbit rendah yang telah dirancang.”

    Masih tiada sebarang perincian produk disebutkan, namun difahamkan dengan menambah telefon pintar kepada portfolio produk Geely akan mewujudkan satu ekosistem terhubung yang lancar.

    Geely bakal hasilkan telefon pintar premium

    “Telefon mudah alih dan peranti-peranti telah bervolusi dengan cepat kepada terminal mudah alih dan platform aplikasi yang mana bukan sahaja membolehkan pengguna menikmati hasil inovasi dalam cara yang paling cepat, mereka juga berperanan sebagai jambatan kepada aplikasi automotif yang lebih baik,” kata Li, yang memiliki 55% saham dalam syarikat baharu berkenaan, lapor Reuters.

    “Ada hubungan rapat dalam teknologi bersama kokpit kenderaan pintar dan teknologi perisian telefon pintar. Trend besar pada masa akan datang adalah untuk mewujudkan ekosistem merentas sempadan dan menyediakan pengguna dengan pengalaman yang lebih selesa, pintar dan pelbagai skrin yang terhubung secara lancar,” katanya lagi.

    Komitmen Geely untuk masuk ke industri telefon pintar ini dilihat terbalik berbanding trend di mana pembuat-pembuat peranti pintar yang mula masuk ke sektor automotif, seperti yang kita lihat apa yang sedang dilakukan oleh Huawei dan Xiaomi dengan projek kenderaan elektrik mereka.

    Langkah yang diambil oleh Geely ini dilihat agak mengejutkan, namun syarikat tersebut sebelum ini telah mempunyai pelbagai rekod yang menyaksikan mereka telah melabur lebih dari sekadar sektor automotif, termasuk bidang penerbangan (kereta terbang dan teksi udara), perkongsian kereta, inkubator teknologi, satelit dan lain-lain.

    Geely bakal hasilkan telefon pintar premium

    Struktur Zhejiang Geely Holding Group

    Namun pasaran telefon pintar buat masa sekarang berada dalam tahap yang sangat kompetitif, dan bagaimana Xingji Shidai milik Geely ini akan bertahan dalam industri tersebut masih belum dapat dipastikan.

    “Geely telah meningkatkan pelaburannya dalam teknologi-teknologi untuk melihat kehadapan dalam masa yang sama mempercepatkan transformasi untuk menjadi syarikat teknologi mobiliti inovatif. Pembangunan peranti-peranti mudah alih, satelit-satelit, dan aeromobiliti semuanya adalah sebahagian dari program transformasi kumpulan,” kata Li.

    “Pada 27 September, satelit pertama Geely telah keluar dari barisan produksi di Pusat Produksi dan Ujian Satelit Pintar Geely yang baru beroperasi di Taizhou, membuka jalan baru dalam usaha kumpulan bagi membangunkan ekologi mobiliti berintegrasi masa hadapan,” tambah Li lagi.

     
     
  • Triumph Tiger Sport 660 – gambar rasmi pertama model touring didedah, pengenalan penuh 5 Oktober

    Kemunculan Trident 660 pada tahun lepas menunjukkan Triumph kini mahu memberi saingan kepada model naked keluaran Jepun seperti Suzuki SV650, Yamaha MT-07, Honda CB650R dan Kawasaki Z650. Ia dijadikan lebih mampu milik berbanding model Triumph sebelum ini, tetapi masih mengekalkan ciri unik jenama tersebut.

    Sekarang, hampir satu tahun selepas Trident mula dijual, muncul pula variasi pertama daripada model ini, yang menggunakan bentuk touring, iaitu Tiger Sport 660. Perkara ini sememangnya sudah boleh dijangka dan ia mungkin akan diikuti oleh beberapa lagi model variasi seperti scrambler, adventure atau mungkin juga sports.

    Tiger Sport 660 hanya akan didedah pada 5 Oktober ini melalui satu siaran langsung di media sosial, tetapi sejak sebulan yang lepas, Triumph sudah mula mengeluarkan gambar teaser bentuk penuh motosikal dengan pelekat camouflage. Terbaru, gambar sebenar yang cuma menunjukkan bahagian hadapan pula disiar.

    Triumph Tiger Sport 660 – gambar rasmi pertama model touring didedah, pengenalan penuh 5 Oktober

    Bahagian yang ditutup cuma badannya, sementara bahagian lain di bawah semuanya boleh dilihat jelas. Ini mungkin kerana Triumph sudah tidak hirau jika orang ramai dapat melihat kelengkapan lain, kerana daripada namanya sahaja kita boleh mengetahui ia menggunakan asas yang sama dengan Trident 660.

    Ini termasuklah enjin tiga silinder 660 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan (kuasa 81 PS dan 64 Nm pada Trident), fork teleskopik Showa, set brek cakera berkembar dengan angkup Nissin di hadapan serta ekzos yang berakhir di bahagian tengah motosikal (bawah).

    Sudah tentu, sebagai sebuah motosikal touring, Tiger Sport 660 boleh dijangka menggunakan beberapa kelengkapan yang berbeza seperti tangki lebih besar, pemegang serta penghadang angin lebih tinggi serta talaan kuasa yang berbeza. Daripada gambar teaser penuh motosikal juga, kita sudah boleh melihat ia mempunyai tapak khas untuk meletakkan beg barangan di bahagian tepi.

     
     
  • KL, S’gor, Putrajaya dan Melaka beralih ke Fasa 3, Kedah masuki Fasa 2 PPN mulai 1 Okt 2021 – PM

    KL, S’gor, Putrajaya dan Melaka beralih ke Fasa 3, Kedah masuki Fasa 2 PPN mulai 1 Okt 2021 – PM

    Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik baru sahaja mengumumkan persetujuan untuk membenarkan beberapa negeri beralih fasa berkuatkuasa 1 Oktober 2021. Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan beralih dari Fasa 2 ke Fasa 3, begitu juga dengan Melaka yang beralih ke fasa yang sama. Manakala Kedah pula akan beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 mulai tarikh yang sama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.

    “Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” katanya.

    Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga telah membuat beberapa ketetapan untuk negeri-negeri yang sudah beralih fasa ini. Antaranya, majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50% ruang premis, manakala 100% kapasiti penuh bagi Fasa 4. Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani pre- event test menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.

    Selain itu, kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4. juga telah dibenarkan. Di mana kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton/penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium. Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

    KL, S’gor, Putrajaya dan Melaka beralih ke Fasa 3, Kedah masuki Fasa 2 PPN mulai 1 Okt 2021 – PM

    Dalam masa yang sama, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini. Semua SOP terkini boleh didapati menerusi laman sesawang www.mkn.gov.my.

    “Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun saya berharap agar rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

    “Negara kini sedang menuju ke fasa endemik di mana kita akan terus hidup bersama COVID-19 dalam kehidupan norma baharu. Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri,” sambung Ismail Sabri lagi.

     
     
  • GALERI: BMW iX xDrive50 Sport dalam warna Mineral White dan Sophisto Grey — perincian SUV elektrik

    GALERI: BMW iX xDrive50 Sport dalam warna Mineral White dan Sophisto Grey — perincian SUV elektrik

    BMW iX diperkenalkan di Malaysia Ogos lalu, dan telah menarik lebih daripada 100 tempahan dalam masa hanya seminggu. Dijual pada harga RM419,630 atas jalan tidak termasuk insurans, unit CBU tersebut menawarkan nilai yang menarik, walaupun kita masih perlu menunggu untuk unit awalnya tiba di sini untuk didekati.

    Ketika pelancaran antarabangsanya juga, BMW telah memuat naik banyak gambar model terbabit; di lihat di sini dalam dua warna — Mineral White and Sophisto Grey. Kedua-dua unit ini dari spesifikasi xDrive50.

    Dalam varian xDrive50 ini, sistem janaannya menampilkan motor elektrik pada setiap gandar untuk pacuan semua roda, dengan output 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 765 Nm tork. Ini membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dan laju maksimum 200 km/j, sementara bateri lihtium-ion dengan kuasa 105.2 kWh (kapasiti kasar 111.5 kWh) menyediakan jarak 630 km.

    GALERI: BMW iX xDrive50 Sport dalam warna Mineral White dan Sophisto Grey — perincian SUV elektrik

    xDrive50 belum ditawarkan di Malaysia lagi, tetapi BMW Malaysia memaklumkan varian berkenaan akan dibawa masuk nanti. Ketika ini, pasaran tempatan hanya menerima xDrive40 paling asas, yang turut datang dengan tetapan dua motor, tetapi dengan janaan 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan 630 Nm bagi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan laju maksimum yang sama, 200 km/j. Bateri yang digunakan padanya mempunyai kapasiti lebih kecil dengan 71 kWh (kapasiti kasar 76.6 kWh), dengan jarak tersedia 425 km.

    Bagi pengecasan, kedua-dua varian menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menggunakan sambungan Type 2, dengan xDrive40 memerlukan 7.25 jam untuk cas 0-100% SoC, sementara xDrive50 memerlukan 10.75 jam.

    GALERI: BMW iX xDrive50 Sport dalam warna Mineral White dan Sophisto Grey — perincian SUV elektrik

    Dengan pengecasan pantas DC melalui sambungan CCS2, masa yang diperlukan untuk pengecasan 0-80% SoC jurangnya lebih dekat, dengan xDrive40 memerlukan 31 minit, sementara xDrive50 memerlukan 35 minit. Ini disebabkan kerana xDrive50 mampu mengendalikan pengecas pntas DC 200 kW, sementara xDrive40 hanya mampu mengendalikan 150 kW.

    iX yang anda lihat ini juga dilengkapi dengan rekaan luaran Sport Line, yang menjadi sebahagian daripada pakej Sport, pilihan dengan tambahan RM53,000 bagi xDrive40 di sini. Dengannya, iX turut menerima brek sport dengan kaliper biru, lampu dengan rekaan lebih gelap serta rekaan wajah depan dan belakang baru dengan perincian hitam, serta grafik gril krom.

    GALERI: BMW iX xDrive50 dalam warna Mineral White

    GALERI: BMW iX xDrive50 dalam warna Sophisto Grey

     
     
  • Harga minyak 30 Sept-6 Okt – RON 97 naik 1 sen

    Harga minyak 30 Sept-6 Okt – RON 97 naik 1 sen

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan kenaikan harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 akan dilaksanakan bagi minggu bertarikh 30 September hingga 6 Oktober 2021. Ia mengalami kenaikan harga sebanyak 1 sen seliter, menjadikannya RM2.76 seliter berbanding RM2.75 seliter pada minggu lalu.

    Manakala harga RON 95 yang masih tidak berubah sejak Februari lalu iaitu dikekalkan pada harga siling mencecah RM2.05 seliter.

    Harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 6 Oktober 2021.

     
     
  • TOM’S hasilkan GR Supra kenang Paul Walker – 426 PS, RM487k, terhad hanya 3 unit untuk pasaran Jepun

    TOM’S hasilkan GR Supra kenang Paul Walker – 426 PS,  RM487k, terhad hanya 3 unit untuk pasaran Jepun

    Ingat lagi babak akhir filem Fast & Furious 7 di mana Brian O’Conner berpisah dengan Dominic Toretto pada satu susur dengan berlatarkan lagu See You Again yang dinyanyikan oleh Wiz Khalifa? Seperti yang diketahui babak berkenaan dilakonkan oleh adik Paul Walker, iaitu Cody Walker dengan mukanya diubah dengan teknik CGI agar benar-benar menyerupai Paul.

    Ini kerana Paul tidak sempat menyudahkan sedikit lagi bahagian akhir filem berkenaan, kerana terlibat dalam satu kemalangan maut yang mengorbankan nyawa. Babak tersebut juga sebenarnya menggunakan Toyota Supra A80 milik Paul Walker sendiri, yang membayangkan perpisahan selama-lamanya dengan keluarga saga filem berkenaan.

    Bagi meraikan ulang tahun ke-20 sejak filem pertama The Fast and The Furious ditayangkan pada 2001, penala yang sinonim dengan Toyota dari Jepun, TOM’s dengan kerjasama majalah fesyen juga dari Jepun iaitu Safari menghasilkan model talaan khas berasaskan model generasi terkini GR Supra, yang diinspirasikan dari Supra Mk4 milik Paul Walker tersebut.

    Pada bahagian luaran, GR Supra edisi khas yang dihasilkan TOM’S ini diberikan penampilan seperti Supra Paul Walker berkenaan, termasuk penggunaan rim 20-inci BBS LM, spoiler ‘tiang gol’ seakan spoiler belakang asli Supra Turbo JZA80, dan juga cat badan berwarna putih matte.

    TOM’S hasilkan GR Supra kenang Paul Walker – 426 PS,  RM487k, terhad hanya 3 unit untuk pasaran Jepun

    Bukan hanya penampilan, TOM’S turut melakukan sentuhan semula terhadap prestasi GR Supra berkenaan. Enjin BMW B58 3.0 liter enam silinder dengan dua pengecas turbo pada perut GR Supra tersebut masih dikekalkan. Namun dengan pemadanan TOM’S Power Box yang mampu meningkat tekanan boost turbo, enjin berkenaan kini menjana kuasa keseluruhan 426 PS, atau 39 PS lebih berkuasa dari jumlah 387 PS dalam keadaan asal.

    TOM’S juga telah menggantikan set suspensi asal dengan set penyerap hentak boleh laras KW Variant 3, yang bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik, malah turut merendahkan lagi kedudukan badan GR Supra berkenaan bagi memberikan stance yang lebih bergaya.

    Model edisi khas ini hanya dihasilkan sebanyak tiga-unit oleh TOM’S. Manakala pembeli yang berminat perlu menyertai cabutan loteri untuk melayakkan mereka membeli kereta berkenaan, dengan cara memohonnya menerusi kedai mail-order Safari bermula 31 Oktober ini.

    TOM’S GR Supra istimewa ini akan dijual pada harga 12,970,000 yen (RM487,000), atau 5,657,000 yen (RM212,400) lebih mahal dari GR Supra RZ biasa yang dijual pada harga 7,313,000 yen (RM274,600) di pasaran Jepun.

     
     
  • Honda, Mazda, Nissan, Subaru & Toyota tubuhkan JAMBE – galak guna pembangunan berasaskan model

    Honda, Mazda, Nissan, Subaru & Toyota tubuhkan JAMBE – galak guna pembangunan berasaskan model

    Lima pengeluar kereta dari Jepun (Honda, Mazda, Nissan, Subaru dan Toyota) serta lima pembekal komponen automotif (Aisin, Jatco, Denso, Panasonic dan Mitsubishi Electric) telah bersetuju untuk menstandardkan cara rekaan kenderaan bagi membolehkan pembangunan dibuat dengan cara lebih cepat serta mengurangkan kos.

    Kesemua sepuluh syarikat ini mengumumkan bahawa mereka akan menjadi ahli perintis bagi entiti baharu yang dinamakan sebagai Japan Automotive Model-Based Engineering (JAMBE), yang disasarkan bagi mempromosikan penggunaan pembangunan berasaskan model (MBD).

    Dengan MBD, semua komponen akan dihasilkan dalam bentuk digital bagi menghasilkan kereta maya yang kemudiannya boleh digunakan dalam pelbagai simulasi, bagi membolehkan jurutera mengenalpasti masalah-masalah yang berpotensi serta mencari penyelesaian sebelum meneruskan pembangunan produk. Berbanding menghasilkan dan menguji prototaip sebenar, cara ini bukan hanya lebih cepat, ia juga jauh lebih efektif terhadap kos.

    Beberapa pengeluar automotif utama sudahpun menggunakan MBD untuk pembangunan kereta mereka, tetapi kini JAMBE turut membawa pembekal komponen bersama-sama, membolehkan model yang sama digunakan oleh kesemua syarikat dalam jaringan kejuruteraan untuk mendapatkan kadar efisien lebih tinggi.

    Honda, Mazda, Nissan, Subaru & Toyota tubuhkan JAMBE – galak guna pembangunan berasaskan model

    MBD ini juga membolehkan banyak syarikat mengurangkan keperluan untuk melakukan pelbagai kerja semula atau mengubahsuai rekaan bagi memenuhi keperluan setiap pengeluar automotif, yang juga mengurangkan masa dan mengurangkan kos.

    “Kami tiada masa yang banyak untuk menyelesaikan masalah yang berbeza antara kenderaan dan pembuat komponen,” kata Mitsuo Hitomi, felow innovasi senior di Mazda, seperti yang dilaporkan oleh Nikkei Asia. “Kami akan menambahbaik kadar efisien di mana yang boleh supaya kami boleh fokus untuk melabur dalam perkara seperti teknologi-teknologi mesra alam,” tambahnya.

    Mazda telahpun menggunakan MBD apabila memperkenalkan teknologi SkyActiv yang ditampilkan pada CX-5 generasi pertama, didedahkan pada 2012. Pengeluar lain seperti Honda dan Toyota juga telah menggunakan MBD dan kaedah ini sudahpun menjadi kaedah arus perdana dalam industri, namun pembekal komponen masih sedang mengadaptasi kaedah tersebut. Ini disebabkan bajet yang terhad, dengan pembekal peringkat bawah masih berharap kepada kemahiran jurumesin dan tidak menggunakan rekaan dan pembangunan digital.

    Penubuhan JAMBE ini disasarkan untuk mewujudkan industri di mana model digital dan dikongsi oleh semua, menghubungkan penyelidikan akademik dengan pembangunan komponen, sistem dan kenderaan. Ini membolehkan ksemua pihak berkoordinasi dan membuat pelarasan secara digital dari peringkat asas pembangunan.

     
     
  • Modenas Pulsar NS200 diberi warna baru – RM9,655

    Modenas Pulsar NS200 diberi warna baru – RM9,655

    Modenas Pulsar NS200 ABS, yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2019 kini diberikan perubahan warna, dan disediakan dalam pilihan Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey. Harganya masih sama seperti sebelum ini, iaitu RM9,655 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    NS200 pertama kali memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2017 dan pada tahun 2019, ia dipertingkat dengan sistem brek ABS. Menurut Modenas, lebih 8,000 unit NS200 sudah terjual di seluruh negara, dan ia sekarang adalah antara motosikal street paling popular di pasaran.

    Motosikal ini dipacu oleh enjin satu silinder 199.5 cc SOHC dengan teknologi Triple Spark yang mempunyai tiga palam pencucuh, dan dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 24 hp dan 18.6 Nm tork.

    ABS yang dipasang pada motosikal ini hanyalah sistem one-channel, iaitu untuk brek hadapan yang menggunakan cakera 300 mm dan angkup dua piston Bybre, sementara di belakang pula menggunakan cakera 230 mm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada NS200 adalah termasuk fork teleskopik, monoshock dengan tabung Nitrox, tangki bahan 12 liter, berat 158 kg, rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang serta panel meter gabungan analog dan digital.

     
     
  • Honda Integra 2023 – teaser dedahkan ia fastback 5-pintu, bukan coupe 2-pintu atau hatchback 3-pintu

    Honda Integra 2023 – teaser dedahkan ia fastback 5-pintu, bukan coupe 2-pintu atau hatchback 3-pintu

    Selepas mengumumkan bahawa Integra akan kembali semula ke pasaran sebelum ini, divisi mewah Honda iaitu Acura kini mendedahkan satu lagi imej teaser berkenaan model ikonik dalam versi generasi baharu tersebut.

    Menerusi imej teaser dalam bentuk illustrasi itu nampaknya Integra generasi baharu ini sah bakal tampil dalam bentuk fastback lima-pintu, bukan coupe dua-pintu atau hatchback tiga pintu.

    Imej tersebut mendedahkan bahagian belakang Integra berkenaan, dengan garis bumbung dan juga cermin tingkap serta cermin suku belakang dan juga pintu tailgate yang hampir seiras Civic Hatchback, diadun dengan rekaan lampu seakan Acura TLX.

    Honda Integra 2023 – teaser dedahkan ia fastback 5-pintu, bukan coupe 2-pintu atau hatchback 3-pintu

    Acura Integra Teaser Sketch

    Ketika pengumuman berkenaan ‘kelahiran semula’ Integra pada bulan lalu, Acura juga ada menyiarkan teaser menampilkan sebahagian muka model tersebut. Ia menerima lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang LED bina dalam yang juga direka seakan TLX, dengan skrip “Integra” terukir di bawahnya, seakan model-model Integra terdahulu.

    Walaupun seblum ini Integra popular sebagai sebuah coupe, ini bukan kali pertama Integra tampil dengan badan yang mempunyai pintu bagi kabin belakang. Malah, untuk model pertama Integra Type R, ia juga dihasilkan dalam versi empat pintu yang dikenali dengan kod casis DB8, berbanding DC2 untuk ITR coupe.

    Seperti yang didedahkan oleh naib presiden dan pegawai jenama Acura, Jon Ikeda sebelum ini, Integra akan terus membawa imej prestasi tinggi Acura yang bakal ditinggalkan oleh NSX selepas model halo berkenaan dihentikan pengeluarannya tidak lama lagi.

    Namun, Integra bukan akan dijual sebagai model paling mahal, sebaliknya akan dihasilkan sebagai produk entry level dan menjadi model yang paling mampu milik dari Acura, bagi membolehkan ia dijual pada pasaran lebih luas. Oleh itu, Ikeda menjelaskan bahawa Integra generasi baharu ini akan diasaskan dari Honda Civic generasi ke-11, dan akan dibangunkan di Jepun.

    Tiada pengesahan sama ada Integra generasi baharu ini nanti akan dihasilkan dalam versi Type R, namun ia sekurang-kurangnya mungkin akan hadir dengan lencana Type S bagi varian berprestasi tinggi. “Saya sedar ramai yang mahukan Integra Type S,” kata Ikeda.

    Dengan diasaskan dengan platform yang sama dengan Civic, Integra juga mungkin akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama terdiri dari enjin 1.5L VTEC Turbo, bersama pilihan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik. Civic generasi ke-11 turut sudah disahkan bakal tiba dengan varian Type R, dikhabarkan akan terus menggunakan enjin K20C 2.0L VTEC Turbo dengan kotak gear enam-kelajuan manual.

     
     
  • GALERI: Mazda CX-9 Skyactiv-G 2.5L Turbo AWD 2021 – kini dengan Apple CarPlay tanpa wayar; RM336,215

    GALERI: Mazda CX-9 Skyactiv-G 2.5L Turbo AWD 2021 – kini dengan Apple CarPlay tanpa wayar; RM336,215

    Dilancarkan di Malaysia awal bulan ini, Mazda CX-9 2021 di pasaran kita adalah unit import sepenuhnya (CBU) yang ditawarkan dengan dua varian – 2WD dengan harga atas jalan bermula RM319,847.40 tanpa insurans, dan model yang dipaparkan menerusi galeri ini pula, AWD berharga RM336,215.40.

    Seperti versi 2WD, harga bagi AWD juga menerima 50% pengecualian cukai jualan (SST) untuk kenderaan penumpang import sepenuhnya, dan didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km serta pakej penyelenggaraan percuma.

    SUV tujuh-tempat duduk ini menerima kemasan luaran “Ignite Edition” sebagai ciri standard dengan ditampilkan ciri termasuk gril dan cermin sisi hitam berkilat, dan dilengkapi dengan rim aloi-aluminium 20-inci hitam yang dibaluti tayar 255/50.

    Di dalamnya, ia menerima tempat duduk balutan kulit berwarna burgundy dengan papan pemuka kontras hitam, disertakan dengan kemasan dalaman ala-gunmetal gelap pada papan pemula dan pemukaan pintu, serta suis cermin dan tuil gear pula dihiasi dengan hitam berkilat di sekelilingnya.

    Skrin infotainmen Mazda Connect sembilan-inci yang diperkenalkan tahun lalu masih dikekalkan, tetapi kini dengan ciri sokongan Apple CarPlay tanpa wayar yang melengkapi sambungan Android Auto dengan wayar sebelum ini.

    Lain-lain kelengkapan yang diberikan termasuklah lampu utama LED larasan-sendiri automatik, lampu belakang LED, bilah pengelap cermin automatik, bumbung suria dan tailgate larasan kuasa, penderia parkir hadapan dan belakang (setiap satunya ada empat unit), kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

    Tempat duduk hadapan pada CX-9 2021 ini dilengkapi dengan larasan kuasa 10-hala dengan memori untuk bahagian pemandu dan larasan kuasa enam-hala untuk penumpang hadapan; kedua-duanya dengan fungsi pengaliran dan pemanas. Ia turut diberikan kawalan suhu tiga-zon dengan corong di barisan kedua, kluster instrumen 4.6-inci, unit utama berwarna, navigasi dan sistem audio Bose 12-pembesar suara.

    Penjana kuasanya masih kekal seperti sebelum ini iaitu 2.5 liter pengecas turbo, empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 228 hp pada 5,000 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Varian AWD ini turut dilengkapi sistem pacuan semua-roda i-Activ bersama ciri Off-road Traction Assist, yang merupakan lanjutan kepada Traction Control System (TCS) pada SUV ini, untuk membantu pemandu di dalam permukaan mencabar. Ciri lain yang masih dikekalkan dari model tahun 2020 termasuk sistem i-Stop dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).

    Kelengkapan keselamatan SUV tujuh-tempat duduk ini juga kekal sama, termasuk enam beg udara (depan, sisi dan tirai), ABS, DSC, EBD, bantuan brek kecemasan, bantuan mula mendaki, lampu isyarat kecemasan dan Isofix. Tidak ketinggalan ialah bantuan pemanduan i-ActiveSense yang terdiri daripada ciri seperti lampu utama LED adaptif (ALH), peninjau titik buta (BSM), amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), amaran penukaran lorong (LDWS), bantuan mengekalkan lorong (LAS) dan amaran perhatian pemandu (DAA). Sistem Smart City Brake Support (SCBS) juga datang dengan pengesan pejalan kaki di depan dan belakang.

    Untuk pasaran Malaysia, Mazda CX-9 2021 ini ditawarkan dengan enam pilihan warna – Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl dan Sonic Silver, dengan Soul Red Crystal seperti dalam foto ini.

     
     
  • Filipina lulus rang undang-undang promosi industri EV

    Filipina lulus rang undang-undang promosi industri EV

    Dewan Perwakilan Filipina baru-baru ini telah meluluskan pembentangan akhir Akta Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik di negara itu, seperti dilaporkan oleh Autoindustriya dan Philippine News Agency.

    Kelulusan rang undang-undang tersebut, yang menyaksikan sokongan penuh 195 perwakilan, dilihat sebagai penanda aras baru negara itu dalam usahanya untuk menjadi hab bagi kenderaan elektrik. Negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia telah mengumumkan matlamat dan perancangan EV masing-maisng, dan Filipina juga tidak mahu ketinggalan.

    Akta Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik tersebut bertujuan untuk menyokong pembangunan polisi kebangsaan dan kerangka kawal selia untuk meningkatkan kadar penggunaan EV di negara itu. Ini akan meliputi bukan sahaja pengeluaran okal dan penggunaan EV, tetapi juga janaan peluang pekerjaan dan pengurangan kebergantungan terhadap bahan api import.

    Filipina lulus rang undang-undang promosi industri EV

    Faktor penting rang undang-undang tersebut adalah Pelan Komprehensif Industri Kenderaan Elektrik (CREVI), yang akan memberi kesan terhadap pelan pembangunan dicipta untuk dijadikan garis panduan bagi pihak-pihak berkepentingan. Ini termasuk piawaian dan spesifikasi EV serta stesen pengecas, pembinaan industri pengilangan EV tempatan dan infrastruktur rantaian bekalan, memperkukuh R&D untuk teknologi berkaitan EV dan latihan tenaga kerja berkaitan EV.

    Infrastruktur juga menjadi aspek teras dalam CREVI, yang mencadangkan stesen pengecas sebagai keperluan di tempat-tempat awam tumpuan, stesen minyak dan parkir EV. Sebagai tambahan, entiti swasta dan kerajaan yang mempunyai lebih daripada 20 kenderaan dalam armada mereka perlu memastikan sekurang-kurangnya 10% daripadanya adalah EV.

    Bagi memastikan pelan ini dilaksanakan dengan efektif, akan ada badan antara agensi yang dikenali Lembaga Penasihat Kenderaan Elektrik (EVAB) yang ditugaskan untuk mewujudkan polisi untuk mempercepat pertumbuhan industri EV. EVAB akan mempunyai ahli daripada pelbagai agensi kerajaan serta pemain industri.

     
     
  • Proton Saga Aerokit – kit talaan lengkap dari Eon Motorsport untuk Saga Aeroback satu ketika dulu!

    Proton Saga Aerokit – kit talaan lengkap dari Eon Motorsport untuk Saga Aeroback satu ketika dulu!

    Petronas EON Racing Team atau PERT, pasukan yang dikendalikan oleh sayap perlumbaan pengedar tunggal Proton pada era 80’an dan 90’an, EON Motorsport bukan sahaja bertugas sebagai ‘iklan bergerak’ bagi mempromosikan kereta-kereta Proton dalam dunia perlumbaan. Malah sebenarnya mereka turut bertindak sebagai badan penala rasmi untuk Proton, menyediakan pelbagai pilihan aksesori dan peralatan prestasi untuk pemilik-pemilik kereta jenama nasional berkenaan.

    Brosur yang anda lihat ini adalah salah satu produk Eon Motorsport, yang digelar sebagai Saga Aerokit yang dibangunkan untuk Saga Iswara Aeroback. Terima kasih kepada saudara Abdul Amirul Hadi Masshoud kerana menyimpan brosur ini dengan begitu baik dan sudi berkongsinya dengan kita semua. Mana Amirul Hadi dapat brosur ini? Dia adalah anak kepada salah seorang kru Eon Motorsport dan PERT, Md Masshoud bin Umar.

    Proton Saga Aerokit ini bukan sahaja menampilkan kit badan yang agak agesif untuk Proton Saga Iswara, malah ia juga datang sekali dengan beberapa perincian prestasi. Seperti yang anda boleh lihat, kit badan gentian kaca Aerokit ini menjadikan Saga Iswara berkenaan lebih lebar dari biasa.

    Proton Saga Aerokit – kit talaan lengkap dari Eon Motorsport untuk Saga Aeroback satu ketika dulu!

    Kit berkenaan dipadankan pada keempat-empat ruang roda, bukan sahaja membuatkan ia kelihatan lebih berotot, malah di belakang ruang roda standard yang sepatutnya ‘petak’ kini kelihatan lebih bulat dengan panel tambahan yang turut meliputi sebahagian besar pintu belakang.

    Bagi menyempurnakan rupanya, kit ini juga hadir dengan skirt sisi lebih labuh dan lebar serta rim aloi berdiamter 14-inci bersama tayar siri 60. Selain dari itu, kit ini juga menawarkan tingkat taraf untuk sistem ekzos, meliputi manifold, paip logam tahan karat dan juga tip ekzos yang lebih sporty.

    Eon Motorsport bukan hanya menawarkan kit ini kepada Iswara Aeroback, malah ia terlebih dahulu ditawarkan untuk model Saga Aeroback Megavalve terdahulu. Untuk Saga Megavalve, kit ini turut menampilkan bampar hadapan dan belakang lebih labuh yang kelihatan lebih agresif.

    Dari segi rupa, Saga Aerokit ini sebenarnya diinpirasikan dari jentera perlumbaan ‘Super Saga’ yang mengegar litar Shah Alam satu ketika dahulu. Super Saga ini merupakan versi yang jauh lebih berkuasa dari ‘Saga Clubman’ yang masih menggunakan karburator asal, di mana ia menerima pengubahsuaian yang jauh lebih ekstensif seiring dengan spesifikasi FIA Group A, menampilkan penggunaan karburator perlumbaan Weber DCOE berkembar atau sistem suntikan bahan api dengan unit pengurusan enjin Haltech, serta pengubahsuai ekstrem pada suspensi, transmisi dan lain-lain.

    Ketika dilancarkan, kit untuk Saga Iswara ini dijual pada harga RM7,000. Dan menurut Eon Motorsport, sistem ekzos Saga Aerokit ini telah dibangunkan dan diuji bersama sayap perlumbaan Mitsubishi iaitu Ralliart, membolehkan 10% kuasa lebih diekstrak berbanding Saga biasa.

    Selain pemasangan, Eon Motorsport turut menawarkan khidmat untuk menyembur semula keseluruhan badan pelanggan yang memilih Saga Aerokit ini menggunakan warna 2K berkualiti tinggi dengan caj tambahan. Seperti yang anda boleh lihat dalam brosur tersebut, Eon Motorsport turut menawarkan pakej ubahsuai lain termasuk sistem suspensi, kit pengecas turbo, kit perlumbaan litar dan kit perlumbaan rali untuk kereta-kereta Proton!

     
     
  • Tempoh menunggu Mercedes-Benz lebih setahun akibat kekurangan cip — M’sia masih belum terkesan

    Tempoh menunggu Mercedes-Benz lebih setahun akibat kekurangan cip — M’sia masih belum terkesan

    Kekurangan bekalan semikonduktor di peringkat global terus memberi kesan kepada industri automotif, mengakibatkan kelewatan pengeluaran serta serahan kenderaan kepada pelanggan. Ini bahkan tidak terkecuali bagi syarikat besar seperti Daimler, dengan pembeli Mercedes-Benz ketika ini perlu menunggu lebih dari setahun untuk menerima kereta baru mereka, lapor Reuters.

    Pengerusi dan CEO Mercedes, Ola Källenius memaklumkan perkembangan buruk itu dalam sebuah wawancara dengan Frankfurter Allgemeine Zeitung. “Permintaan adalah tinggi untuk Mercedes-Benz dan dalam masa sama, sedikit tidak bernasib baik, berlaku kekurangan bekalan yang teruk. Bagi sesetengah model, tempoh menunggunya kini lebih panjang daripada yang sepatutnya, dan dalam beberapa kes, ia lebih dari setahun,” ujarnya.

    Källenius mengulang kenyataannya ketika Munich Motor Show awal bulan ini, memaklumkan gangguan bekalan itu boleh berlarutan hingga 2023 berikutan masalah struktural dan kawalan pergerakan yang dikenakan di negara pembekal seperti Malaysia. “Beberapa pembekal cip telah menuding kepada masalah struktural dengan permintaan. Ini boleh berlanjutan tahun depan, dan mungkin boleh mereda dalam tahun 2023 nanti,” jelasnya.

    Tempoh menunggu Mercedes-Benz lebih setahun akibat kekurangan cip — M’sia masih belum terkesan

    Kami sebelum ini sempat bertanyakan kepada Mercedes-Benz Malaysia (MBM) berkaitan kesan gangguan bekalan cip di pasaran tempatan. Presiden dan CEO Sagree Sardien memaklumkan yang model CKD setakat ini tidak terkesan dengan gangguan itu, walaupun serahan mungkin akan sedikit tertangguh.

    “Kebanyakan kereta kami di Malaysia tidak terkesan dengan kekangan itu. Bagaimanapun, dalam beberapa kes, sesetengah spesifikasi hanya akan dipasang sebaik sahaja peralatan yang terlibat itu tersedia kelak atau, seperti yang telah dipersetujui bersama pelanggan, akan dikeluarkan daripada kereta tanpa retrofit,” jelas beliau.