Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda City 2021 vs 2020 — perbandingan antara generasi GN terbaru dan GM sebelumnya di Malaysia

    Honda City 2021 vs 2020 — perbandingan antara generasi GN terbaru dan GM sebelumnya di Malaysia

    Bagi sedan segmen B, sekiranya sudah terpanggil untuk memilikinya dari jenama Honda melalui modelnya City, varian mana satu yang berbaloi, dan apa perbezaannya? Untuk ini, kami mempertemukan dua versi hibrid bagi model berkenaan, satu dari versi yang paling baru, dan satu lagi dari generasi sebelumnya, yang berada di bilik pameran tempatan hingga tahun 2020.

    City Hybrid berkenaan dilancarkan di sini pada Julai 2017, beberapa bulan selepas versi facelift GM diperkenalkan. Dijual pada harga RM89,200, ia ditawarkan antara varian pertengahan E (RM84,600) dan varian paling tinggi V (RM92,000). Malaysia menjadi pasaran tunggal di luar Jepun yang memperkenalkan model ini secara rasmi, ketika itu.

    Sama seperti Jazz, City Hybrid generasi sebelum ini menggunakan sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) yang menggabungkan enjin 1.5 liter dengan kotak gear automatik klac-berkembar tujuh-kelajuan dan motor elektrik bersepadu, bateri lithium-ion dan pemampat pacuan elektrik.

    Enjin kitaran Atkinson DOHC i-VTEC ini menghasilkan 110 PS dan 134 Nm tork. Bersama dengan motor elektrik yang membekalkan 30 PS/160 Nm, output gabungannya ialah 137 PS dan 170 Nm. Honda mendakwa yang Sport Hybrid i-DCD ini memberikan prestasi yang sama dengan enjin konvensional 1.8 liter NA, tetapi dengan penggunaan minyak yang lebih rendah. Kadar yang didakwa ialah 3.9 liter per 100 km, atau 25.6 km/l. Saiz but masih sama, 536 liter.

    Generasi GN yang terbaru bagi City pula dilancarkan Oktober tahun lalu. Varian e:HEV RS Hybrid digunakan sebagai kereta hero untuk kempen pengenalannya, tetapi tidak hingga Mac 2021 barulah ia mula dijual. Kali ini, versi hibridnya menjadi varian paling tinggi, dengan penampilan RS, kelengkapan spesifikasi dan juga harganya (RM105,950 dengan pengecualian SST).

    Sistem hibridnya juga serba baru. Berbanding motor elektrik yang membantu enjin, seperti IMA dan i-DCD sebelum ini, e:HEV memanfaatkan sistem dua motor i-MMD hibrid yang menggunakan motor elektrik 108 PS/253 Nm untuk menggerakkan kereta ini pada kebanyakan masa. Sementara enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC dengan janaan 98 PS/127 Nm digunakan hanya sebagai generator untuk mengecas baterinya, yang menguasakan motor. Output keseluruhan sistem ialah 126 PS.

    Enjin terbabit juga boleh “disambung” melalui transmisi satu-kelajuan (tiada lagi DCT) untuk memacu kereta ini secara langsung ketika kelajuan tinggi, menjadikannya lebih cekap. Ketika dalam situasi beban tinggi, misalnya sewaktu memotong, kedua-dua sumber tenaga itu boleh digunakan untuk memberi pecutan maksimum. Disebabkan enjin boleh menguasakan kereta ini secara langsung dalam beberapa keadaan, i-MMD tidaklah sama seperti e-Power Nissan, yang merupakan sistem range extender EV.

    MMD bermaksud Multi-Mode Drive, dan ada tiga mod pemanduan. Kereta ini akan sentiasa bermula dalam mod EV Drive dan senyap. Enjin hanya akan kedengaran berbunyi sekiranya ada keperluan untuk mengecas bateri lithium-ion 1.3 kWh, yang menguasakan motor.

    Dalam keadaan pecutan penuh, ia akan memasuki mod Hybrid Drive. Motornya masih lagi jadi penggerak utama, tetapi enjin akan rev lebih tinggi untuk memberikan lebih kuasa kepada bateri. Engine Drive adalah ketika enjin mengambil alih tugas menggerakkan daripada motor untuk menghantar kuasa ke roda dalam keadaan kelajuan tinggi.

    Jika sebelum ini Honda membandingkan prestasi pecutan sistem hibrid i-DCD dengan enjin 1.8L NA, kali ini ia beralih pula untuk membandingkan hibrid terbaru ini dengan Toyota Camry — yang menggunakan enjin 2.5L NA — dalam iklannya bagi City e:HEV RS Hybrid. Penjimatan adalah lebih penting dengan model hibrid, dan model ini memberikan 3.77 liter per 100 km, atau 26.5.km/l. Ini satu peningkatan, tetapi IPU (intelligent power unit) bagi kereta terbaru ini diletakkan di belakang, yang mengurangkan kapasiti ruang but kepada 409 liter (kurang 110L). Ia juga datang dengan kit tayar dan bukan tayar ganti space saver lagi.

    Versi hibrid ini hanya menyumbang sedikit sahaja kepada jumlah jualan City — kebanyakan pengguna memilih enjin 1.5 liter i-VTEC NA, yang menghasilkan 121 PS/145 Nm. Kini dengan unit DOHC dan VTC, ia digandingkan bersama kotak gear CVT.

    City GN generasi kelima ini 111 mm lebih panjang (4,553 mm) dan 54 mm lebih lebar (1,748 mm) berbanding sebelumnya. Ini disertai juga dengan ketinggian yang berkurangan 10 mm, dan jarak antara roda yang kekal sama 2,600 mm. Sebab itu bentuk antara keduanya boleh dilihat agak berbeza.

    Model GN terbaru tampil dengan bahagian depan yang lebih tinggi (dengan “dahi” menonjol), serta garis sisi badannya juga lebih lurus hingga ke belakang. Begitu juga dengan garis tingkapnya. Sebagai perbezaannya, semua garis profil pada model GM sebelumnya agak meninggi ke belakang, dengan bahagian but nampak lebih tinggi berbanding model terbarunya. Garis bumbung kereta terbaru ini juga sedikit lebih rendah. Penampilan antara keduanya boleh dibezakan dengan sangat mudah.

    Akhir sekali, harganya. City e:HEV RS Hybrid terbaru mengejutkan ramai dengan harga RM105,950. Reaksi ini boleh difahami, kerana jarang kereta segmen B melepasi harga RM100k, dan jangkaannya kereta hibrid akan lebih murah. Tetapi, hibrid biasanya melibatkan lebih banyak perkakasan dan teknologi maju, dan memang akan menelas kos yang lebih berbanding model enjin biasa. Honda Malaysia juga memang sudah mendedahkan sejak awal bahawa model hibrid GM ini akan dijual melebihi RM100k sekiranya tanpa insentif cukai. Tambahan pula hibrid ini ialah penawaran varian paling tinggi.

    Premium RM19k berbanding model City 1.5V itu melibatkan roda 16-inci unik, cakera brek di belakang, brek parkir elektrik dengan Auto Hold, panel instrumen digital, dalaman balutan kulit dengan benang merah, pedal aluminium dan pek keselamatan Honda Sensing.

    GALERI: Honda City e:HEV RS Hybrid 2021

    GALERI: Honda City Hybrid 2017

     
     
  • Malaysia kaji tawaran insentif cukai dan duti untuk mempromosi penggunaan dan pelaburan EV – Azmin

    Malaysia kaji tawaran insentif cukai dan duti untuk mempromosi penggunaan dan pelaburan EV – Azmin

    Awal tahun ini, dilaporkan polisi kenderaan elektrik (EV) baharu di Malaysia bakal menawarkan insentif cukai yang lebih menarik, termasuk insentif tetap yang akan memberikan manfaat untuk industri automotif dan pengguna.

    Di antara manfaat yang disebut itu ialah pelepasan cukai jalan sepenuhnya, tetapi rancangan pelepasan cukai pendapatan untuk pembelian EV dan pemasangan pengecas EV sedang dikaji, menurut laporan The Edge. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Azmin Ali, insentif terbabit sedang dikaji untuk menggalakkan pemilikan EV dan pembangunan infrastruktur yang berkaitan di negara ini.

    Katanya, kerajaan akan melihat pelbagai sudut dalam merumuskan polisi baharu, yang menjadi salah satu perkara yang dibangkitkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). “Malaysia akan mengambil pendekatan “perbandingan dan penawaran” yang lebih komprehensif, jelas dan konsisten untuk menarik penggunaan EV, sementara pesaing serantau kita pula memfokuskan insentif untuk OEM (pengeluar kelengkapan tulen),” ujarnya dalam Dewan Rakyat semalam.

    Malaysia kaji tawaran insentif cukai dan duti untuk mempromosi penggunaan dan pelaburan EV – Azmin

    Beliau juga berkata, Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) yang dikemaskini turut merangkumi inisiatif khusus bagi memperkukuhkan ekosistem EV, seperti pembuatan kelengkapan kritikal, penetapan standard dan dorongan penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan serta inovasi untuk mengembangkan teknologi tempatan.

    Insentif tersebut akan datang dalam bentuk pelepasan cukai langsung dan tidak langsung untuk pembuatan EV, pembuatan alat ganti dan pembangunan ekosistem seperti infrastruktur pengecasan, dan insentif untuk OEM termasuk status perintis, elaun cukai pelaburan serta pengecualian duti import dan eksais untuk EV.

    Ia adalah seperti yang pernah dinyatakan oleh Azmin bulan lalu, di mana rancangan sedang dibuat untuk pakej insentif bagi menarik pelaburan di samping memperkukuhkan insentif yang ada bagi pengeluaran kenderaan dan komponen EV di negara ini.

     
     
  • Triumph Tiger Sport 660 didedah – enjin tiga silinder 81 PS, 64 Nm tork, harga di Malaysia sekitar RM50k?

    Triumph Tiger Sport 660 didedah – enjin tiga silinder 81 PS, 64 Nm tork, harga di Malaysia sekitar RM50k?

    Selepas beberapa siri teaser, Triumph Tiger Sport 660 akhirnya didedahkan kepada dunia. Ia cuma datang dalam satu versi standard sahaja, sementara jika pemilik mahukan sesuatu yang lebih bersesuaian dengan penggunaan, mereka boleh menambah pelbagai aksesori yang dijual secara berasingan.

    Motosikal jenis adventure/tourer ini mengambil asas daripada Trident 660, dan hampir semua kelengkapan teknikalnya sama seperti model naked tersebut. Ini termasuklah enjin tiga silinder DOHC tiga silinder bersama kotak gear enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm.

    Walaubagaimanapun, Tiger Sport 660 ini dijadikan lebih sesuai untuk tugas jelajah, yang membawa kepada perubahan panel badan serta tangki bahan api yang lebih besar (17.2 liter). Suspensi yang lebih tinggi (unit Showa sama seperti Trident 660 tetapi dengan jarak gerak 150 mm) juga menjadikan tempat duduknya lebih tinggi, iaitu 835 mm.

    Pada bahagian meter, Tiger Sport 660 menggunakan unit TFT dengan rekaan unik khas untuknya, dan ia boleh disambung dengan sistem My Triumph Connectivity untuk memberikan fungsi sambungan kepada telefon pintar dan GoPro, setelah mendapatkan aksesori tambahan yang disediakan sebagai pilihan.

    Melalui skrin ini juga anda boleh melihat pilihan dua mod tunggangan yang disediakan (Road/Rain), ABS serta kawalan cengkaman (boleh ditutup). Brek menggunakan set daripada Nissin, dengan cakera berkembar 310 mm dan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 255 mm dengan angkup satu piston di belakang. Rim masih adalah unit 17 inci.

    Di United Kingdom, Tiger Sport 660 dijual pada harga bermula 8,450 pound sterling (RM48,134) dan ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, merah dan kelabu. Untuk Malaysia pula, kami menjangkakan ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk tiba, dan melihat kepada halaman media sosial rasmi pengedarnya di sini, harganya akan terletak antara RM44,900 ke RM59,900.

    GALERI: Triumph Tiger Sport 660

    GALERI: Triumph Tiger Sport 660 dengan aksesori

     
     
  • Proton jual 10,380 unit kereta sepanjang September

    Proton jual 10,380 unit kereta sepanjang September

    Dengan semakin banyak kelonggaran diberikan kerajaan bagi membolehkan aktiviti perniagaan beroperasi semula, jualan automotif di Malaysia juga dilihat naik secara drastik bulan lalu. Bagi Proton, jualan bulan penuh pertama selepas PKP ini juga sudah mencatatkan lima angka, dengan catatan sebanyak 10,380 unit kereta baharu telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang September 2021.

    Walau bagaimanapun, Proton biasanya menggabungkan jualan domestik dan eksport dalam data jualan bulanannya, dan mungkin jualan tempatan tidak sampai 10,000 unit. Dengan jumlah tersebut, Proton masih berada di kedudukan kedua manakala Perodua juga kekal di atas dengan jualan 14,160 unit sepanjang bulan lalu.

    Menurut Proton, pegangan pasarannya kini dianggarkan sekitar 23.9% yang bersandaran kepada anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit. Secara keseluruhan, pegangan pasaran syarikat tersebut bagi 2021 berada kini berada pada 23%, dan dilihat lebih tinggi berbanding angka penutup sebanyak 20.7% tahun lalu.

    Proton jual 10,380 unit kereta sepanjang September

    Dari keseluruhan jualan model paling mampu milik jenama tersebut iaitu Saga menyumbang jualan paling banyak dengan angka 3,907 unit. Angka tersebut menunjukkan bahawa sedan berkenaan bukan sahaja model paling laris dari Proton dan juga mendahului saingan model segmen-A lain dalam pasaran, malah ia juga sebenarnya model paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu.

    Model-model SUV Proton juga kekal menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan 2,431 unit Proton X50 dan 1,577 unit Proton X70 sudah diserahkan kepada pelanggan sepanjang September, dan kedua-dua model tersebut terus berada di kedudukan pertama segmen masing-masing. Secara keseluruhan, 27,312 unit SUV telah dijual oleh Proton pada tahun 2021, bersamaan 37.4% jualan keseluruhan tahunannya sebanyak 73,017 unit.

    Pasangan segmen-B sedan Persona dan hatchback Iriz juga menunjukkan momentum yang baik pada bulan lalu. Kedua-dua model yang baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift pada Ogos lalu masing-masing dijual sebanyak 1,440 unit bagi Persona dan 749 unit untuk Iriz (termasuk varian psedo-SUV Iriz Active baharu).

    Proton jual 10,380 unit kereta sepanjang September

    “Kami amat berpuas hati dengan pencapaian baik Proton pada bulan September. Sebenarnya, kami mampu untuk menjual lebih dari 10,380 unit yang diperolehi, tetapi konteks harus diberikan kepada prestasi kami kerana Malaysia dalam proses pemulihan pandemik yang masih lagi memberi kesan kepada pembekal-pembekal industri automotif. Situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain adalah isu yang tidak akan selesai dalam masa yang singkat, jadi kami harus berhati-hati apabila membuat anggaran jualan kerana kapasiti produksi tertakluk kepada perubahan semasa,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    “Oleh itu, bagi tiga bulan akhir tahun ini, Proton akan menumpukan perhatian untuk menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan yang telah mebuat tempahan. Menyelesaikan masalah permintaan yang tertangguh akan membolehkan lebih banyak jualan pada tahun hadapan dan membantu kita untuk maju kehadapan dengan perancangan untuk meluaskan lagi rangkaian produk yang boleh diberikan kepada pasaran tempatan dan eksport,” tambahnya lagi.

    Proton jual 10,380 unit kereta sepanjang September

    Proton turut menyatakan bahawa semua rangkaian jualan dan pusat servisnya telah dibuka di seluruh negara berikutan semua negeri telah berada pada Fasa 2 atau lebih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Oleh itu syarikat berkenaan mengalu-alukan pelanggan yang telah mendapat vaksinasi penuh untuk ke bilik pameran bagi melihat dan memandu uji semua produk mereka, dalam masa yang sama semua operasi akan dikawal dengan SOP ketat untuk memastikan jumlah orang yang terhad di dalam premis.

    “Sementara kita menyaksikan pertumbuhan pada angka tempahan dalam talian, Proton dan wakil jualannya telah membuat pelaburan besar untuk menambah baik rangkaian jualan dan servis sejak beberapa tahun lalu. Pengalaman jenama terbaik masih diberikan secara peribadi, jadi kami telah adaptasi prosedur operasi baharu bagi menyesuaikan diri dalam situasi pandemik,” kata Roslan lagi.

     
     
  • Proton Saga model paling laris di M’sia untuk Sept!

    Proton Saga model paling laris di M’sia untuk Sept!

    Selepas mencatatkan perniagaan yang teruk selepas Malaysia mula menjalankan semula sekatan pergerakan penuh bermula Jun lalu, ekonomi negara kini dilihat bernafas semula apabila program vaksinasi berjalan lancar. September merupakan bulan pertama industri automotif mula berjalan sepenuhnya, dan menyaksikan data-data jualan sudah mula normal.

    Dengan jualan yang sudah melonjak semula, Proton mengumumkan bahawa model paling mampu miliknya iaitu Saga bukan sahaja menjadi model paling laris dalam saingan segmen-A, malah ia sekali lagi menjadi model paling laris di Malaysia bulan lalu – sepanjang September, sebanyak 3,907 unit Saga telah berjaya dihantar kepada pelanggan

    Secara keseluruhan, Proton telah menjual sebanyak 10,380 unit kereta untuk September 2021 dengan pegangan pasaran dianggarkan sekitar 23.9%. Ini membolehkan Proton kekal ditangga kedua dalam carta jualan kenderaan antara jenama di Malaysia.

     
     
  • Toyota pintas jualan GM pada suku ke-3 2021 di Amerika buat pertama kali; bakal no.1 tahun ini?

    Toyota pintas jualan GM pada suku ke-3 2021 di Amerika buat pertama kali; bakal no.1 tahun ini?

    Seperti diketahui, Toyota sememangnya antara gergasi dalam pasaran automotif global – jenama Jepun berkenaan berjaya merampas semula gelaran jenama paling laris di dunia tahun lalu yang sebelum ini dipegang oleh Volkswagen. Namun sebenarnya, pasaran Amerika Syarikat masih dikuasai oleh kumpulan automotif tempatan iaitu General Motors (GM) dan ia kekal sepanjang 90-tahun kebelakangan ini.

    Namun pada suku ketiga tahun ini, satu keputusan yang tidak dijangka terjadi. Buat pertama kali jumlah jualan yang dicatatkan oleh Toyota dalam pasaran Amerika Syarikat adalah lebih tinggi dari GM! Sepanjang sembilan bulan dalam 2021, Toyota berjaya menjual sebanyak 1,857,884 unit kenderaan, atau sekitar 80k unit lebih banyak dari GM yang mencatatkan jualan 1,777,483 unit dalam tempoh yang sama.

    Menurut laporan Motor1, Toyota mencatatkan jumlah jualan 27.9% lebih tinggi dari tahun lalu, begitu juga GM mencatatkan kenaikan sebanyak 0.1% untuk tempoh yang sama. Ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap kereta-kereta baharu terus meningkat di Amerika Syarikat walaupun pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

    Namun masalah bekalan cip semikonduktor yang menjejaskan keseluruhan industri automotif menyebabkan GM tewas kepada Toyota kali ini. Laporan dari Automotive News menyatakan bahawa GM mungkin akan berhadapan jumlah jualan paling rendah tahun ini sejak era 1950’an.

    Toyota pintas jualan GM pada suku ke-3 2021 di Amerika buat pertama kali; bakal no.1 tahun ini?

    Seperti yang diketahui, hampir semua produksi pengeluar-pengeluar automotif terpaksa dikurangkan akibat masalah bekalan cip tersebut. Namun Toyota yang sudah belajar untuk menangani masalah sebegini ketika berlakunya gempa bumi dan Tsunami di Jepun pada 2011, persediaan yang dibuat membolehkan mereka lebih bertahan berbanding GM.

    “Apa yang kami belajar ketika berlakunya gempa bumi, kami perlu membawa lebih banyak komponen yang bergerak perlahan ke dalam inventori – dan cip merupakan salah satu komoditi yang telah kami kenal pasti sejak dari awal,” kata naib presiden eksekutif Toyota Motor North America, Bob Carter kepada Automotive News.

    Toyota juga mempunyai satu lagi ‘senjata’ baharu bagi meneruskan momentum jualan sehingga akhir tahun ini, iaitu trak pikap Toyota Tundra yang akan mula dijual di bilik pameran tidak lama lagi. Namun masih ada tiga bulan untuk tahun 2021 berakhir, dan GM mungkin mempunyai strateginya yang tersendiri bagi memastikan takhta jenama paling laris di AS akan terus dipertahankan.

    Di Malaysia, Toyota yang diuruskan oleh UMWT juga kelihatan hampir pasti untuk menjadi jenama bukan nasional no.1 tahun ini, setelah sekian lama gelaran tersebut dipegang oleh Honda. Sehingga Ogos 2021, Toyota telah mencatatkan jumlah jualan kumulatif sekitar 10k unit lebih banyak dari Honda – satu angka yang agak solid bagi terus kekal dikedudukan berkenaan sehingga akhir tahun ini.

     
     
  • Toyota Land Cruiser 300 2022 di Australia — RM274k

    Toyota Land Cruiser 300 2022 di Australia — RM274k

    Toyota secara rasminya telah melancarkan Land Cruiser 300 di Australia. SUV terbaru ini mendapat sambutan hangat di Jepun, dengan senarai menunggu dikatakan mencecah hingga empat tahun. Ada enam varian ditawarkan, dengan harga bermula dari AUD$89,990 (RM274k) hingga AUD$138,790 (RM422k).

    Semua varian yang dijual di sana menggunakan enjin F33A-FTV 3.3 liter turbo berkembar V6 diesel, yang menghasilkan 309 PS dan 700 Nm tork. Ini melibatkan peningkatan 37 PS dan 50 Nm berbanding enjin V8 sebelum ini. Enjin V6 ini dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan, dengan julat nisbah gear yang luas untuk menjadikan SUV ini mampu memberi pretasi off-road serta penggunaan minyak yang baik.

    Toyota Land Cruiser 300 2022 di Australia — RM274k

    Ia turut melibatkan transfer case yang boleh mengurangkan masa tukar hingga 28%, dan Land Cruiser ini 18 mm lebih tinggi untuk stabil optimum. Differential lock di tengah juga adalah standard, seperti sistem kawalan Multi-Terrain Select (MTS). Ini menawarkan enam mod off-road, lima dalam high range dan empat dalam low range.

    Bergantung kepada varian, ada paparan skrin infotainmen 12.3-inci apung, paparan kluster instrumen baru bersaiz tujuh-inci, konfigurasi tujuh-tempat duduk, serta ciri keselamatan Toyota Safety Sense.

    Toyota Land Cruiser 300 2022 di Australia — RM274k

    Ini termasuklah ciri AEB dengan pengesanan pejalan kaki waktu malam, pengesan pengayuh (waktu siang), bantuan belok di persimpangan dan bantuan stereng. Kawalan Melayar Radar Dinamik juga tersedia, kini dengan fungsi pengurangan laju di selekoh.

    Lain-lain sistem ADAS yang ada termasuk bantuan tanda jalan dan bantuan pengesan lorong dengan fungsi gegaran stereng. Ditawarkan standard ialah ciri lampu tinggi automatik, kamera undur dan 10 beg udara. Jaminan lima-tahun tanpa had juga standard, dengan pelanggan diberi pilihan untuk lanjutan pelindungan jaminan untuk enjin dan komponen pacuan hingga tujuh tahun.

     
     
  • Kerajaan akan pastikan rakyat tidak terbeban ekoran harga minyak mentah global naik semula – Mustapa

    Kerajaan akan pastikan rakyat tidak terbeban ekoran harga minyak mentah global naik semula – Mustapa

    Beberapa hari ini dilaporkan harga minyak mentah di pasaran global meningkat semula, mencecah AS$80 (RM334.24) satu tong. Perkara ini turut menjadi kebimbangan rakyat kita yang gusar sekiranya harga runcit bagi tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel bakal mengalami kenaikan.

    Walau bagaimana pun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan sentiasa mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan beban rakyat ekoran perkara itu. Tambahnya, kerajaan turut meneliti pelbagai perkara kepentingan pengguna walaupun Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memutuskan negara perlu meningkatkan pengeluaran petroleum, laporan Berita Harian.

    “Mesyuarat OPEC malam tadi, memutuskan supaya kita meningkatkan pengeluaran petroleum kepada 400,000 tong sehari. Ia bagi menstabilkan harga minyak mentah di pasaran global dan akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan.

    Kerajaan akan pastikan rakyat tidak terbeban ekoran harga minyak mentah global naik semula – Mustapa

    “Ini penting kerana pada 1 Okober lalu, harga minyak mentah di pasaran global mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum harga siling diesel RM2.15 dan petrol RON95 RM2.05 per liter. Dalam hal ini, kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya.

    Kenyataan beliau ini adalah bagi menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berhubung keadaan sekuriti krisis tenaga global dan hala tuju bagi meningkatkannya di negara ini pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

     
     
  • Geely mulakan produksi satelit untuk kereta tanpa pemandu – sasar hasilkan sejumlah 500 unit setahun

    Geely mulakan produksi satelit untuk kereta tanpa pemandu – sasar hasilkan sejumlah 500 unit setahun

    Geely secara rasmi telah memulakan produksi besar-besaran satelit bumi orbit rendah, di mana pengeluarannya dikendalikan oleh ahli kumpulan di tempat kelahiran asal syarikat tersebut iaitu di Taizhou, wilayah Zhejiang. Satelit berkenaan disasarkan untuk diproduksi sebanyak 500 unit setahun.

    Ia dibangunkan oleh syarikat subsidiari Geely iaitu Geespace, yang kemudiannya akan membentuk jaringan bagi memberikan data navigasi GPS secara sangat tepat, digunakan untuk panduan bagi kenderaan berautonomi yang bergerak sendiri tanpa pemandu. Pelbagai jenis satelit akan dibina bagi merealisasikan fungsi-fungsi lain seperti komunikasi kenderaan-kepada-kenderaan (V2V) dan kenderaan-kepada-semua (V2X).

    Geely mulakan produksi satelit untuk kereta tanpa pemandu – sasar hasilkan sejumlah 500 unit setahun

    Ini menandakan permulaan untuk pembuat kenderaan swasta terbesar di China untuk masuk ke lapangan yang selama ini dikuasai oleh jabatan kententeraan negara berkenaan. Sebelum ini, pembuatan satelit merupakan perusahaan yang didominasi oleh entiti yang berkait dengan Tentera Pembebasan Rakyat.

    Dengan syarikat swasta AS kini semakin aktif dalam perniagaan ruang angkasa, Geely merasakan bahawa mereka juga harus meneroka perniagaan satelit bagi memperluaskan penampilannya pada peringkat global. Menurut laporan Nikkei Asia, pengasas dan pengerusi Geely, Eric Li Shufu berkhidmat dalam Kongres Rakyat Nasional dan mempunyai hubungan rapat dengan presiden Xi Jinping. Xi pernah bertugas sebagai setiausaha parti di wilayah Zhejiang, iaitu tempat asal Geely.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya – Fasa Dua hampir siap 93.52%, sasaran boleh beroperasi mulai Januari 2023 – Menteri

    MRT Laluan Putrajaya – Fasa Dua hampir siap 93.52%, sasaran boleh beroperasi mulai Januari 2023 – Menteri

    Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Wee Ka Siong memaklumkkan Fasa Dua bagi projek pembinaan MRT Laluan Putrajaya kini sedang berjalan lancar, dengan tahap kemajuan keseluruhan pada 93.52%. Ia dimaklumkan selepas lawatan beliau buat kali kedua bagi meninjau perkembangan projek berkenaan di tapak pembinaan tersebut.

    “Melihat tahap kemajuan ini, saya yakin Fasa Dua Laluan Putrajaya ini dapat mula beroperasi seperti yang disasarkan pada Januari 2023. Kita juga yakin Fasa Satu Laluan Putrajaya iaitu dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu yang kini hampir 99.9% siap akan memulakan perkhidmatan operasi kurang daripada dua bulan lagi,” ujarnya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.

    Menurut beliau, apabila Fasa Satu bermula, rangkaian pengangkutan awam rel Lembah Klang akan diperluas dengan sembilan buah stesen baru seterusnya meningkatkan liputan ke kawasan baru seperti Damansara Damai, Bandar Sri Damansara, Kepong, Jinjang dan Kampung Batu.

    “Pembangunan ini akan menjadikan Pelan Pembangunan Rel Bandar menjadi tonggak sejarah yang antara lain dapat meningkatkan taraf pengangkutan dan kehidupan penduduk di Lembah Klang. Pembinaan Laluan MRT Putrajaya ini tepat pada masanya kerana ia menjadi pemangkin penting dalam pemulihan ekonomi negara. Ia membolehkan ramai pekerja dapat kembali bekerja dan kembali menjalani kehidupan normal sebagai satu Keluarga Malaysia.

    “Ketika negara bergerak dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan dan semua prosedur operasi standar (SOP) COVID-19 mesti dipatuhi. Kementerian saya akan memastikan bahawa pengendali pengangkutan awam menerapkan SOP ini dengan ketat demi menjamin keselamatan pengguna,” sambungnya lagi.

    Selain itu, katanya, kemajuan MRT Putrajaya ini wajar dipuji kerana walaupun berdepan waktu sukar akibat COVID-19 sehingga melumpuhkan aktiviti ekonomi, namun kontraktor dan subkontraktor dapat mengharungi rintangan dengan menyelesaikan kerja-kerja pembinaan sivil dan sistem, dan dalam masa yang sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

    MRT Putrajaya merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai 2017.

     
     
  • Mazda 2 generasi seterusnya hanya rebadge Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

    Mazda 2 generasi seterusnya hanya rebadge Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

    Ketika pembentangan prestasi kewangan syarikat pada November tahun lalu, Mazda ada menyebut bahawa mereka akan menghasilkan model pasaran Eropah yang diasaskan dari hatchback segmen-B, Toyota Yaris THS (Yaris Hybrid). Projek tersebut dijangka merupakan asas kepada penghasilan Mazda 2 generasi baru.

    Langkah tersebut bukan hanya menjimatkan kos pembangunan, malah Mazda juga boleh melepasi sasaran emisi CO2 Kesatuan Eropah dengan menyertai perkongsian emisi bersama Toyota. Jadi gambar intipan terbaharu yang kami terima ini berkemungkinan adalah lanjutan dari pengumuman berkenaan.

    Sekali imbas hatchback dalam set gambar ini sememangnya sebuah Toyota Yaris Hybrid, lengkap dengan emblem Hybrid di belakang. Namun jika anda lihat dengan teliti, logo utama yang diselindung dengan pelekat hitam pada kereta berkenaan sebenarnya adalah logo “M” Mazda dan bukan logo Toyota. Malah unit ini juga dikesan di fasiliti Mazda di Eropah, sebab itulah ia dikelilingi pelbagai model Mazda lain.

    Mazda 2 generasi seterusnya hanya rebadge Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

    Di Eropah, Yaris Hybrid dijana oleh enjin M15A-FXE 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 92 PS (91 hp) dan tork maksima 120 Nm. Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork maksima 141 Nm. Secara keseluruhan, gandingan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 116 PS (114 hp), dan kuasa disampaikan pada roda hadapan dengan kotak gear e-CVT.

    Model berkenaan dibekalkan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah bagi menjana motor elektrik. Ini membolehkan Yaris Hybrid mencapai penggunaan bahan api 3.8 l/100 km dalam standard WLTP. Manakala dari segi prestasi pula, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat serta mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Ini bukan kali pertama Mazda dan Toyota berkongsi model. Sebelum ini Toyota telah menghasilkan Yaris sedan dan hatchback khas untuk pasaran Amerika Syarikat yang dihasilkan berasaskan Mazda 2. Jadi Mazda 2 Hybrid yang diasaskan dari Toyota Yaris ini berkemungkinan dihasilkan khas hanya untuk pasaran Eropah.

    Mazda 2 generasi seterusnya hanya rebadge Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

    Di Jepun, Mazda 2 generasi ketiga sedia ada sudah pun berada dalam pasaran sejak 2014. Baru-baru ini ia telah pun menerima tingkat taraf bagi model 2021, menampilkan enjin dengan nisbah mampatan lebih tinggi, bersama beberapa kelengkapan baharu lain.

    Menurut laporan portal Best Car Web dari Jepun, model generasi seterusnya bagi Mazda 2 pasaran negara berkenaan bakal dihasilkan dari platform SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture rekaan Mazda. Jadi bagi peminat Mazda 2 di Malaysia, jangan risau kerana biasanya kita akan menerima model yang sama seperti versi JDM.

     
     
  • 4Design hasilkan acuan coklat bentuk rim BBS!

    4Design hasilkan acuan coklat bentuk rim BBS!

    Syarikat rekaan kraf dari Jepun, 4Design telah memperkenalkan acuan coklat baharu yang digelar “Hanagata”, membolehkan anda menghasilkan coklat dengan bentuk seperti rim aloi ikonik BBS. Produk baharu berkenaan dihasilkan oleh 4Design bersama BBS Jepun sendiri.

    Menurut syarikat tersebut, Hanagata ini dihasilkan bagi menarik perhatian pengguna berkenaan proses acuan, iaitu salah satu elemen yang sangat penting dalam proses pembuatan industri, yang biasanya tidak langsung difikirkan pengguna.

    Dengan menghayati proses membuat “rim BBS” coklat berkenaan menggunakan acuan tersebut termasuk proses “pembajaan” (menghasilkan adunan coklat), kemudian menuangnya ke dalam acuan, membolehkan pengguna belajar sambil berseronok menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja sedap untuk dimakan, malah cantik untuk dipandang.

    Acuan ini dihasilkan dari aluminium yang dimesin, dengan ukuran 75×100 mm kemudian akan menghasilkan “rim coklat” seberat sekitar 40 gram. Set berkenaan turut datang dengan acuan yang akan membentuk “kusyen sofa” coklat menampilkan logo BBS dan elemen jejari rim BBS ditengahnya dengan berat 51 gram.

    Menurut 4Design, mereka merancang untuk mengadakan sesi dalam jumlah terhad bagi mereka yang berminat untuk merasai pengalaman membuat coklat berkenaan di Muzium Kesenian Kilang di Bandar Takaoka, wilayah Toyama. Mereka juga sedang meneroka kemungkinan untuk mengadakan sesi yang sama untuk kelab pemilik rim BBS di Jepun.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 – teaser rasmi didedahkan!

    Honda Civic Type R 2023 – teaser rasmi didedahkan!

    Selepas model sedan dan hatchback bagi Honda Civic generasi ke-11 didedahkan, ini dia model yang paling ditunggu-tunggu – varian paling berkuasa Civic Type R generasi baharu akan muncul tak lama lagi! Honda secara rasmi menyiarkan imej model berkenaan yang dibalut dengan pelekat penyamaran berwarna merah-hitam sebagai teaser sebelum kemunculan sulungnya nanti.

    Apa yang menarik, jika anda perhatikan betul-betul, pelekat penyamaran tersebut turut menampilkan illustrasi bayangan badan model-model Civic Type R sebelum ini termasuk versi pertama EK9, FD2, FN2 dan FK8 sebelum ini. Malah warna merah yang dilihat pada pelekat berkenaan sebenarnya terbentuk dari huruf ‘R’.

    Seperti yang dijangka, ia diasaskan dari Civic Hatchback dengan menampilkan lampu hadapan dan belakang yang sama. Walaupun hampir keseluruhan badannya diselindung dengan pelekat, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

    Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah. Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang.

    Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya. Honda masih belum menyiarkan sebarang imej kabin untuk Type R generasi baharu ini, namun boleh dijangka ia masih mengekalkan papan pemuka Civic standard bersama perincian ikonik Type R seperti tempat duduk bucket, tombol gear titanium dan perincian-perincian merah lain.

    Honda Civic Type R 2023 – teaser rasmi didedahkan!

    Juga tiada sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal diumumkan. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan untuk memacu roda hadapan.

    Ada juga khabar angin menyatakan bahawa model generasi baharu ini akan menampilkan sistem hibrid dengan pemadanan motor elektrik yang menjadikan ia sebagai model pacuan semua roda. Tetapi menurut laporan dari Autocar Januari lalu, model ini akan kekal sebagai jentera sport mekanikal asli dari Honda tanpa sebarang bantuan teknologi elektrifikasi, sebelum peralihan era tidak lama lagi.

    Selepas kilang Honda Swindon di UK tutup, produksi Honda Civic Type R ini akan berpindah ke Amerika Utara buat pertama kali, dijangka akan dibuat di kilang Greensburg, Indiana kerana fasiliti tersebut turut akan memasang Civic Hatchback standard.

    Honda Civic generasi ke-11 mungkin dilihat lebih ‘matang’ dari rupa seakan robot Gundam pada model generasi sebelumnya. Namun bila sudah dijelmakan dalam versi Type R ini nampaknya boleh tahan garang juga kan? Tapi anda rasa macam mana? masih tak boleh move on dengan konsep rekaan FK8?

     
     
  • SPYSHOT: Peugeot 2008 baru sekali lagi dilihat di Malaysia — bakal dilancar Q4 tahun ini? Model CKD?

    SPYSHOT: Peugeot 2008 baru sekali lagi dilihat di Malaysia — bakal dilancar Q4 tahun ini? Model CKD?

    Pertama kali dilihat di Malaysia pada November 2020, model generasi kedua Peugeot 2008 baru-baru ini dilihat pula oleh Irfan Sahar, yang memuat naik beberapa gambar SUV segmen B berkenaan ke laman Facebook Peugeot Citroen Club Malaysia.

    Contoh yang dilihat ini nampak jauh berbeza berbanding kelibat sebelumnya, dan 2008 kali ini mengenakan pakej Pace dan bukannya GT Line (jika dirujuk kpeada konfigurator Peugeot Perancis). Antara perbezaan utama ialah rim aloi 17-inci Salamnca, tiada lampu kabus (ada pada Allure dan pakej GT Line) dan muncung ekzos bulat (trapezoidal pada GT Line).

    Semua elemen ini melengkapkan lagi penampilan rekaan baru bagi model 2008 berkenaan, yang menampilkan permukaan bersegi seperti yang dapat dilihat ketika model ini muncul pertama kali pada 2019. Perubahan lain termasuk “taring” LED yang menonjol di antara rekaan gril yang juga lebih besar — sama seperti model 208 ketika ini.

    SPYSHOT: Peugeot 2008 baru sekali lagi dilihat di Malaysia — bakal dilancar Q4 tahun ini? Model CKD?

    Model ini mungkin akan menggunakan enjin 1.2 liter PureTech turbocas tiga-silinder petrol, yang menawarkan kuasa sebanyak 101 hp dan 205 Nm tork dalam talaan asas “100 S&S”, atau 129 hp dan 230 Nm dalam versi “130 S&S”.

    Kotak gear manual enem-kelajuan adalah standard dengan versi kuasa yang lebih rendah, sementara yang lebih berkuasa turut menerima pilihan transmisi automatik lapan-kelajuan — yang kedua ini mungkin pilihan paling ideal akan diterima oleh pasaran tempatan kita. 2008 juga datang dalam bentuk prestasi GT, yang tampil lebih garang seperti GT Line, tetapi menggunakan enjin 1.2 liter dengan janaan 155 hp dan 240 Nm, diganding bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    SPYSHOT: Peugeot 2008 baru sekali lagi dilihat di Malaysia — bakal dilancar Q4 tahun ini? Model CKD?

    Seperti dilaporkan sebelum ini, SUV 2008 dijangka akan dilancarkan di sini pada suku keempat tahun ini dan boleh jadi dalam bentuk CKD yang akan dipasang oleh Naza Automotive Manufacturing (NAM), yang dikawal selia oleh Stellantis Group (nama lamanya PSA Group).

    Jualan dan pengedaran model Peugeot di Malaysia ketika ini akan dikendalikan oleh Bermaz Auto Alliance (BAASB), sebuah anak syarikat Bermaz Auto — ia terdahulunya dikenali sebagai Berjaya Auto Alliance apabila usahasama antara Bermaz Auto dan Berjaya Corporation dibentuk tahun lalu untuk mengambil alih jenama Perancis ini daripada Naza Group.

    SPYSHOT: Peugeot 2008 baru sekali lagi dilihat di Malaysia — bakal dilancar Q4 tahun ini? Model CKD?

    Jun tahun ini, Berjaya Corporations mengambil keputusan untuk melupuskan 51% pegangannya dalam BAASB, membolehkan pegangan Bermaz Auto meningkat dari 20% kepada 55%, dengan pemegang saham lain memiliki yang selebihnya. Dilaporkan, dengan pengurusan baru ini, “jaminan 5+5 tahun” akan disediakan bagi kenderaan baru Peugeot, walaupun ia belum lagi disahkan.

    Ketika ini, BAASB menjual Peugeot 3008 dan 5008, kedua-duanya dalam kemasan Allure, dan dilaporkan versi facelift bagi model tersebutnya akan diperkenalkan kelak.

     
     
  • Perodua catat jualan 102% pada Sept 2021 sebagai pemulihan impak Covid-19, optimistik untuk Q4

    Perodua catat jualan 102% pada Sept 2021 sebagai pemulihan impak Covid-19, optimistik untuk Q4

    Selepas beberapa bulan permintaan dan tempahan banyak yang tertunggak, jualan automotif Malaysia kini kembali utuh, dan pasaran masih dikuasai oleh Perodua. Jika pada Ogos 2021, jualannya hanya lebih 10 unit berbanding Julai, namun untuk bulan September, ia mencatatkan lonjakan padu sehingga 102%. Pada bulan lalu, Perodua telah meningkatkan penghantaran untuk tiga bulan berturut-turut, sehingga 102% menjadi 14,160 unit berbanding 6,988 unit pada Ogos.

    “Rantaian bekalan automotif dilihat ada peningkatan tetapi masih belum mencapai potensi sepenuhnya. Kami akan terus bekerjasama dengan pembekal dan pengedar untuk meningkatkan produktiviti dan keselamatam,” ujar presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Untuk sembilan bulan pertama 2021, sebanyak 119,093 unit kenderaan telah terjual, sedikit rendah berbanding 145,012 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Apabila membandingkan suku kedua untuk 2021 dengan suku ketiga, jualan menyusut sebanyak 44.6% ke 21,803 unit, dari 39,381 unit yang didaftarkan antara April dan Jun.

    Ini disebabkan penutupan sepenuhnya untuk aktiviti produksi dan jualan auto oleh kerajaan yang melaksanakn lockdown bermula 1 Jun lalu. Walau bagaimana pun sektor ekonomi yang kembali dibuka secara berperingkat sejak 16 Ogos, termasuk membenarkan bilik pameran dan kilang pembuatan kembali beroperasi.

    “Suku keempat 2021 pasti menawarkan rekod yang lebih baik berbanding dua sukuan sebelum ini, terutamanya penurunan kes Covid-19 di seluruh negara apabila kita hampir mencapai 90% kadar vaksinasi untuk golongan dewasa di Malaysia,” tambah Zainal dengan penuh optimistik.

    Dalam pada itu, Perodua juga berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi pesanan, termasuk permintaan beberapa model seperti SUV Ativa yang telah bertambah. Bos besar Perodua ini juga menjelaskan bahawa pertumbuhan secara beransur-ansur kembali pulih dalam produksi dan penjualan, sesuai dengan langkah-langkah kawalan mutu yang ketat untuk memastikan operasi pengeluar kereta ini dapat mencapai kepuasan pelanggan.

    “Kami berterima kasih kepada pelanggan kami kerana terus bersabar dengan kami dalam usaha kami meningkatkan produksi. Kami juga memohon maaf di atas segala kesulitan akibat penghantaran yang tertunda dan kami juga akan membantu para pelanggan bagi memastikan mereka mendapat kereta yang ditempah secepat mungkin,” ujarnya lagi.

     
     
  • Toyota Kinto One kini dengan lebih banyak pilihan — ikut had perbatuan, tempoh langganan lima tahun

    Toyota Kinto One kini dengan lebih banyak pilihan — ikut had perbatuan, tempoh langganan lima tahun

    Januari lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Kinto One, sebuah program langganan kenderaan terbaru untuk pelanggan di Malaysia. Walaupun ini merupakan penawaran sulung program berkenaan melalui cabang perniagaan Toyota Capital Malaysia, Kinto One sudah beroperasi di banyak negara seluruh dunia.

    Direka di Jepun dan ditawarkan di seluruh dunia, langganan ansuran bulanan tetap dengan Kinto One ini meliputi pendaftaran kenderaan, insurans tahunan komprehensif, cukai jalan, serta penyelenggaraan pencegahan dan berjadual.

    Tempoh langganan adalah dalam masa dua atau tiga tahun dan sebaik sahaja tamat, pelanggan hanya perlu memulangkan kenderaan terbabit dan selebihnya akan diuruskan untuk pelanggan. Pelanggan juga perlu risau dengan nilai semasa atau cara untuk menjual kenderaan selepas tamat tempoh langganan.

    Toyota Kinto One kini dengan lebih banyak pilihan — ikut had perbatuan, tempoh langganan lima tahun

    “Tidak lama selepas kami melancarkan Kinto One, negara ini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula, dan ini memaksa kami untuk menjadi lebih adaptif dengan perkembangan sekeliling. Melalui semangat Kaizen dan disiplin berstruktur dalam pembangunan produk, kami mengambil kesempatan tempoh PKP berkenaan untuk menambahbaik ciri penawarannya,” jelas Presiden Toyota Capital Malaysia, Thomas Chai.

    Dengan ini, ciri tambahan terbaru untuk Kinto One pun diperkenalkan. Antaranya, pelanggan kini boleh memilih pakej perbatuan tahunan yang berbeza, yang bermula dari 20,000 km hingga 30,000 km, serta memilih tempoh langganan yang lebih panjang hingga lima tahun.

    Sebagai tambahan, Kinto One kini turut menawarkan Lite Package, sebagai maklum balas kepada permintaan pasaran di mana pelanggan kini kurang bergerak berbanding dahulu tetapi masih perlukan sebuah program pemilikan kenderaan yang mudah dan ringkas. Ia masih menawarkan nilai terbaik dari program langganan kenderaan dan tetap menawarkan keanjalan penuh bagi pelanggan untuk memilih pakej yang memenuhi keperluan spesifik mereka.

    Toyota Kinto One kini dengan lebih banyak pilihan — ikut had perbatuan, tempoh langganan lima tahun

    Selain itu, untuk memudahkan lagi syarikat-syarikat menguruskan barisan armada kenderaan dalam operasi mereka, Kinto One Business juga diperkenalkan, dengan fokus terhadap kenderaan komersial untuk kegunaan perniagaan.

    Kinto adalah sebuah penyelesaian mobiliti yang disasarkan untuk menyediakan kemudahan kepada pelanggan, dengan matlamat untuk menjadikannya lebih mudah buat pengurus barisan armada kenderaan syarikat dan juga pelanggan individu sekaligus. Model yang terlibat bagi langganan KINTO ONE ini termasuklah model popular dari Lexus dan Toyota serta Toyota Hilux dan Hiace. Senarai inventori berserta harga langganan ada di sini.

     
     
  • Jabatan selepas jualan Tan Chong menang Global Nissan Aftersales 2020 – kemenangan ke-3 sejak 2017

    Jabatan selepas jualan Tan Chong menang Global Nissan Aftersales 2020 – kemenangan ke-3 sejak 2017

    Baru-baru ini, jabatan selepas jualan Tan Chong Motor Holdings telah dinobatkan sebagai pemenang untuk Global Nissan Aftersales Award (GNAA) 2020. Ini merupakan kemenangan kali ketiga bagi syarikat berkenaan sejak tahun 2017 sebagai pengedar terbaik Nissan untuk perkhidmatan selepas jualan di antara rantau Asia Pasifik.

    GNAA bertujuan untuk memotivasi dan meningkatkan kecemerlangan operasi selepas jualan bagi menambah pengalaman perkhidmatan pelanggan di seluruh dunia. Penghargaan diberikan kepada pengedar Nissan yang berprestasi terbaik berdasarkan satu standard yang merangkumi aspek seperti prestasi bahagian dan perkhidmatan, perkhidmatan pelanggan dan kepuasan serta kualiti pengurusan perniagaan.

    “Kami berbangga kerana diiktiraf sebagai pengedar selepas jualan Nissan antara yang terbaik di rantau ini, dan ini merupakan kemenangan kali ketiga sejak 2017 yang menjadi bukti pendekatan pelanggan yang lebih fokus, dedikasi dalam prestasi perkhidmatan dan kerja berpasukan. Kami juga akan terus meningkatkaan mutu perkhidmatan secara konsisten dalam memberikan perkhidmatan sokongan kepada pelanggan,” kata Michael Yao Tsu-Wei, ketua jabatan selepas jualan di Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS).

    “Anugerah ini merupakan tonggak baru bagi syarikat. Pasukan kami terutamanya di jabatan selepas jualan telah melakukan usaha terbaik untuk memberikan perkhidmatan kepada para pelanggan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kami atas sokongan dan kerja keras mereka yang berterusan,” kata Christopher Tan, pengarah penjualan dan pemasaran Edaran Tan Chong Motor (ETCM), yang merupakan pengedar rasmi kenderaan Nissan di Malaysia.

    Pusat servis Nissan kini kembali beroperasi seperti biasa, kecuali untuk lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pelanggan boleh menempah menerusi aplikasi mobil DriveOn, laman web rasmi TCEAS, menghubungi talian khidmat pelanggan (1800 88 3838), atau pun terus menghubungi mana-mana pusat servis yang berdekatan.

     
     
  • VIDEO: Proton X50 ‘dibelasah’ di litar Sepang – catat masa terpantas 2:47.94; kuasa 200 whp/310 Nm!

    Alhamdulillah, negara kita kini sedang pulih dari Pandemik Covid-19 dengan semakin banyak negeri telah pun beralih ke Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kini aktiviti sukan permotoran juga sudah dibolehkan dengan SOP yang ketat, menyaksikan garis masa media sosial penulis sendiri dipenuhi dengan gambar-gambar dari Trackday yang berlangsung di litar Sepang sepanjang hujung minggu lalu.

    Ingat lagi Proton X50 ‘Bumblebee’ yang kemudiannya berubah imej kepada Miltank selepas terlibat dalam kemalangan yang telah kami paparkan sebelum ini? Nampaknya pemilik SUV segmen-B Proton tersebut juga tidak ketinggalan untuk menyertai MSF Night Trackday tempoh hari bagi menguji kemampuan jentera yang sudah diubahsuai berkenaan.

    Ini kali kedua Proton X50 tersebut di bawa ke Litar Sepang, dan kali ini ia dipandu oleh pelumba professional Malaysia, Mark Darwin. Menurut hantaran media sosial yang dibuat, talaan Stage 2 terhadap sistem pengurusan enjin asal 1.5 Turbo GDI X50 Flagship tersebut turut telah lengkap – ia mencatatkan angka 200 hp dan tork maksima 310 Nm pada roda hadapan (whp), dibuktikan di atas mesin dyno!

    VIDEO: Proton X50 ‘dibelasah’ di litar Sepang – catat masa terpantas 2:47.94; kuasa 200 whp/310 Nm!

    Menurut pemilik Proton X50 berkenaan, Lee kepada paultan.org sebelum ini, keretanya kini dilengkapkan dengan set suspensi boleh laras sepenuhnya. Manakala untuk berhenti, sistem brek ditingkap taraf dengan cakera berliang dan ditebuk berdiamater 405 mm (diambil dari Cadillac CTS-V) bersama angkup Brembo enam-omboh di hadapan serta cakera 380 mm bersama angkup empat omboh di belakang. Booster brek dan kelengkapan lain turut telah dipertingkat bagi memastikan ia boleh beroperasi dengan set brek yang lebih besar.

    Sebelum ini Lee menggunakan rim berdiameter 20-inci dari AD Wheels bersama tayar Michelin Pilot Sport 4 S bersaiz 235/40R20. Namun untuk sesi Trackday kali ini, X50 tersebut kelihatan menggunakan set rim Volk Racing TE37 dari Rays Engineering. Oh ya, bahagian muka dan sebahagian sisi X50 Miltank berkenaan kini sudah pun berwarna hitam kusam bersama grafik seakan percikan minyak.

    Dalam sesi tersebut, Proton X50 berkenaan mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 47.94 saat yang boleh dianggap agak laju kerana ia adalah sebuah SUV dan bukan hot-hatch atau kereta sport. Lee turut memuji Proton kerana setelah lebih 20 lap ‘dibelasah’ secara bersungguh di dalam litar dengan komponen dalaman enjin dan kotak gear DCT 7-kelajuan yang masih standard, ia tidak langsung menunjukkan sebarang tanda-tanda kerosakan.

    Jika anda nak tahu apa yang akan Lee buat terhadap X50 berkenaan selepas ini, atau berminat untuk mendapatkan apa-apa aksesori untuk X50 anda, jangan lupa untuk singgah di laman Facebook All In Cross Fifty Accessories Malaysia.

    GALERI: Proton X50 Miltank

    GALERI: Proton X50 Bumblebee

     
     
  • Teaser filem baru Kamen Rider disiar – moto apa tu?

    Teaser filem baru Kamen Rider disiar – moto apa tu?

    Program televisyen dari Jepun, Kamen Rider mula disiarkan pada tahun 1971, dan pastinya sehingga kini, ia sudah mengumpul ramai peminat di seluruh dunia, termasuklah yang sekarang sudah berumur. Disebabkan ia masih lagi popular, satu filem khas sedang dibuat dan mengikut perancangan, akan ditayangkan pada bulan Mac 2023.

    Ya, masih ada satu tahun lima bulan sebelum kita dapat melihat tayangan filem karekter yang mungkin boleh meningkat nostalgia ini, tetapi teaser awalnya sudah disiar. Ia dibuat menyamai seperti teaser pertama Kamen Rider pada tahun 1971.

    Selain aksi melawan penjahat, perkara penting lain yang menyumbang kepada karekter Kamen Rider adalah motosikal. Modifikasi unik itu sudah tentu, dan setakat ini, kita sudah melihat pelbagai evolusi jentera yang digunakan oleh Kamen Rider. Jadi untuk filem terbaru ini apa pula bentuknya dan menggunakan asas daripada model apa?

    Setakat pemerhatian kami, ada dua jentera yang digunakan oleh Kamen Rider dalam teaser ini. Satu jenis tanpa fairing dengan lampu bulat di hadapan (aksi lebih lasak), dan satu lagi dengan fairing penuh. Apa model sebenar yang digunakan agak sukar untuk dikenal pasti kerana panel badannya adalah buatan khas.

    Jika sekadar melihat kepada video teaser ini, kita cuma dapat melihat motosikal tersebut mempunyai brek cakera berkembar dengan angkup Nissin di hadapan, fork warna emas dan klac jenis kabel. Namun, ada satu sumber lagi yang boleh diambil sebagai rujukan, iaitu akaun Twitter rasmi Shin Kamen Rider.

    Bagi meningkatkan kemeriahan terhadap filem ini, mereka telah memuat naik pelbagai informasi termasuklah gambar motosikal tersebut waktu ia sedang dibuat dan di sebalik tabir. Melalui plet casisnya kita sudah tahu ia sebuah Honda, dan kemudiannya kelengkapan lain kelihatan sangat mirip dengan CB650R.

    Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana motosikal Kamen Rider sebelum ini pun memang menggunakan pelbagai model daripada pengeluar Jepun, dan CB650R adalah satu pilihan moden yang baik dan berkemampuan. Ia dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 649 cc bersama transmisi enam kelajuan (dengan klac jenis slip and assist), dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 94 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Model ini juga ada dijual di Malaysia, di mana ia dilancarkan oleh Boon Siew Honda Februari lalu dengan harga RM43,499 tidak termasuk insurans. Ini bermakna, kalau anda ada bercadang nak buat replika motosikal Kamen Rider terbaru, asasnya boleh didapati di Malaysia.

     
     
  • Ducati Malaysia beri waranti tambahan tiga bulan

    Ducati Malaysia beri waranti tambahan tiga bulan

    Bagi pemilik Ducati yang mana waranti motosikal mereka sudah tamat pada bulan Ogos dan September lalu, mereka kini boleh menikmati tambahan tempoh waranti tiga bulan lagi. Ducati Malaysia memberi tambahan tempoh waranti ini bagi menangani sebarang masalah penyelenggaraan yang mungkin timbul semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

    Tambahan tempoh waranti ini akan diberi selepas satu pemeriksaan khas tamat waranti dibuat secara percuma di pusat servis berdaftar Ducati Malaysia. Sebarang masalah yang dikenal pasti waktu pemeriksaan ini akan dibaiki mengikut jangkauan perlindungan waranti, sementara alat ganti dan minyak bagi servis biasa diberikan diskaun 15%.

    Sebagai tambahan, pelangan Ducati yang mempunyai temu janji untuk sambungan waranti ini juga boleh menikmati diskaun 35% untuk barangan serta pakaian rasmi Ducati. Program tambahan tempoh waranti Ducati Malaysia ini bermula dari 28 September hingga 15 Oktober 2021.