Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda e ada di Malaysia – RM210k, versi Advance berkuasa 154 PS/315 Nm, jarak gerak 220 km sekali caj

    Honda e ada di Malaysia – RM210k, versi Advance berkuasa 154 PS/315 Nm, jarak gerak 220 km sekali caj

    Honda e merupakan kereta elektrik produksi pertama dari Honda, dan ia sebelum ini sudahpun pun diumumkan hanya akan dijual di Jepun dan Eropah sahaja – pasaran Amerika dan China tidak menerima kereta elektrik kompak ini, apatah lagi Malaysia kan?

    Namun, ini tidak menghalang Honda e untuk mendarat di Malaysia. Unit yang anda lihat ini adalah versi pasaran UK, dan ia diimport ke sini oleh Weststar Motors sebagai kenderaan recond. Malah unit ini juga sebenarnya adalah Honda e kedua yang dibawa oleh syarikat tersebut, di mana unit pertama sudah pun dihantar kepada pelanggan bulan lalu.

    Di UK, Honda e ini tampil dalam dua varian iaitu model asas Standard dan versi paling lengkap Advance. Unit yang di bawa oleh Weststar ini adalah dalam varian Advance dan ia ditawarkan pada harga RM210,000. Di UK sendiri model ini dijual dengan harga atas jalan £31,665 atau sekitar RM180k. Menurut syarikat tersebut, harga yang ditawarkan untuk Honda e ini tidak tetap untuk setiap unit yang di bawa ke sini kerana ia turut mengambil kira spesifikasi dan keadaan kereta berkenaan.

    Honda e ada di Malaysia – RM210k, versi Advance berkuasa 154 PS/315 Nm, jarak gerak 220 km sekali caj

    Ya, memang agak mahal jika kita ambil kira saiz Honda e ini kerana anda boleh mendapatkan Nissan Leaf baharu dari ETCM dengan harga bermula RM188,888. Namun jika mengambil kira rekaan, teknologi dan perincian yang ditawarkan oleh Honda e ini, harga tersebut dilihat berpatutan. Kalau tidak, takkan la ada permintaan sehingga Weststar membawanya ke Malaysia, dan ada yang berani membeli kereta ini walaupun tanpa khidmat selepas jualan yang ditawarkan secara rasmi oleh Honda bukan?

    Perkara pertama yang mungkin membuatkan kereta ini mendapat permintaan adalah dari segi rupanya. Honda e dihasilkan dengan rupa luaran diinspirasikan dari Honda Civic ‘telur’ generasi pertama, yang kelihatan begitu comel. Pengaruh retro dan ringkas berkenaan turut dibawa ke dalam kabin, diadun bersama pelbagai teknologi moden.

    Lima buah skrin diletakkan pada papan pemuka Honda e ini – dua skrin utama bersaiz 12.3-inci berada di tengah dan penumpang, satu skrin di belakang roda stereng sebagai paparan instrumen pemandu, serta dua lagi skrin pada kedua-dua belah hujung berfungsi memaparkan visual dari kamera sisi yang menggantikan cermin pandang belakang.

    Honda e ada di Malaysia – RM210k, versi Advance berkuasa 154 PS/315 Nm, jarak gerak 220 km sekali caj

    Honda e ini menerima kelengkapan standard seperti lampu hadapan LED automatik, sky roof, cermin privasi belakang, roda stereng balutan kulit, sistem Honda Connect dengan navigasi Garmin serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi model Advance ini, ia turut menerima perincian lain seperti sistem Parking Pilot, sistem audio premium, kamera pelbagai pandangan, rim aloi 17-inci (16-inci untuk Standard) yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 205/45R17.

    Untuk model Honda e Standard, ia digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS dan tork maksima 315 Nm. Manakala versi Advance seperti yang dibawa oleh Weststar ini menerima motor lebih berkuasa, menghasilkan 154 PS dengan tork yang sama.

    Motor tersebut diletakkan pada gandar belakang bagi memacu roda belakang untuk memberikan pemanduan yang sporty, bersama bateri lithium-ion 35.5 kWj yang diletakkan pada lantai bagi memberikan nisbah berat 50:50 antara hadapan dan belakang.

    Honda e ini boleh dicaj semula menerusi pengecaj AC menggunakan penghubung Type 2, serta boleh juga menggunakan Power Charger Honda dengan 7.4 kW (bekalan kuasa fasa tunggal) dan 22 kW (bekalan kuasa tiga-fasa), membolehkan kuasa 100% dipenuhkan dalam masa 4.1 jam.

    Ia juga boleh menggunakan caj cepat DC menerusi hubungan CCS2 bagi memenuhkan bateri sehingga 80% dalam masa hanya 30 minit. Satu caj penuh bateri berkenaan membolehkan kereta elektrik ini bergerak sejauh 220 km, dakwa Honda.

    Menurut Weststar, mereka kini sedang cuba untuk membawa Power Charger ke Malaysia bagi mereka yang berminat terhadap kelengkapan tersebut. Malah, sebuah lagi Honda e juga bakal tiba ke sini tidak lama lagi. Jadi untuk mereka yang berminat, jangan segan silu untuk ke Weststar Motors untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

     
     
  • PDRM buat ujian penilaian terhadap BMW M3, X3 dan Volkswagen Tiguan untuk pengiring prestasi tinggi

    PDRM buat ujian penilaian terhadap BMW M3, X3 dan Volkswagen Tiguan untuk pengiring prestasi tinggi

    Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa gambar BMW M3 dengan grafik badan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah prop untuk penggambaran filem – laporan tersebut kami buat berdasarkan sumber yang diberitahu oleh BMW Malaysia sendiri selaku pihak yang membekalkan kereta tersebut.

    Namun apa yang kami difahamkan selepas itu, unit BMW M3 berkenaan sebenarnya memang sedang dinilai oleh PDRM sebagai kenderaan pengiring kelajuan tinggi. Bukan hanya M3, malah PDRM turut membuat ujian penilaian yang sama terhadap dua unit SUV BMW X3 dan juga dua unit Volkswagen Tiguan.

    Sehingga kini, masih lagi tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh PDRM. Malah kedua-dua pengeluar yang membekalkan kesemua kenderaan tersebut iaitu BMW Malaysia dan Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) masih tidak dapat kami hubungi untuk mendapatkan sebarang kenyataan rasmi.

    Juga tiada sebarang hebahan dibuat di laman media sosial rasmi PDRM, tetapi akaun Facebook Friends of PDRM ada menaikkan hantaran gambar kelima-lima kenderaan berkenaan yang menunjukkan ia bersama pegawai-pegawai polis di Bukit Aman.

    Kesemua unit kenderaan tersebut diberikan grafik badan “Polis High Performance” yang sama dan foto tersebut turut memaparkan perkataan “cadangan uji nilai” di belakangnya. Friends of PDRM turut menulis kapsyen “Cawangan Pengawal Pengiring (CPP) IPK Selangor…High Perfomance Defence” pada set gambar berkenaan.

    Jadi setakat ini masih belum ada dana awam yang terlibat kerana kesemua kenderaan tersebut masih milik BMW Malaysia dan juga VPCM. Ujian yang sama turut dibuat oleh PDRM sebelum ini terhadap Honda Civic Type R FK8, sebelum kereta tersebut diumumkan secara rasmi menjadi kenderaan pengiring untuk Yang Dipertuan Agong.

    Sekali lagi, kami meminta maaf atas kekeliruan informasi yang kami terima. Seperti berita-berita yang kami sampaikan sebelum ini, apa yang kami berani tulis kebiasaannya memang akan diambil dari sumber-sumber yang paling dipercayai. Walau bagaimanapun, apa pendapat anda terhadap BMW M3 sebagai kenderaan pengiring ini?

     
     
  • Tiada lagi sekatan jalan sebaik boleh merentas negeri, SOP sedia ada kekal dan orang ramai perlu jaga diri

    Tiada lagi sekatan jalan sebaik boleh merentas negeri, SOP sedia ada kekal dan orang ramai perlu jaga diri

    Sebaik sahaja pergerakan rentas negeri dibenarkan tidak lama lagi, SOP sedia ada yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara sebelum ini akan terus diguna pakai. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata SOP berkenaan akan turut terpakai untuk mengawal pergerakan mereka yang enggan menerima suntikan vaksinasi dengan mengawal kebebasan yang mereka ada untuk melakukan pelbagai aktiviti biarpun mereka merentas negeri.

    “Walaupun kita akan kata bahawa hanya mereka yang lengkap divaksinasi sahaja yang boleh merentas negeri, tidak ada cara untuk kita mengawal pergerakan mereka yang belum divaksinasi. Kita juga tidak lagi akan mengadakan sekatan jalan raya. Tetapi kalau mereka balik atau merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tidak akan diberi kebebasan sedemikian,” kata beliau dalam sidang media Menteri Kesihatan hari ini yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Khairy juga menjelaskan yang pihak kerajaan tidak ada cara untuk melakukan pemeriksaan terhadap setiap orang yang merentas negeri untuk mengenal pasti sama ada mereka divaksinasi atau tidak kerana ia akan lebih menyukarkan pergerakan orang ramai dan keadaan.

    “Kita telah kaji rancangan tersebut, tetapi tidak ada cara untuk kita menguatkuasakannya. Takkan kita hendak adakan sekatan jalan raya (SJR) dan periksa setiap orang yang keluar dan kalau dia tak divaksinasi kita minta dia buat ujian saringan di lokasi. Rakyat pastinya akan lebih marah kalau berlaku kesesakan jalan disebabkan itu. Mereka dah tunggu nak balik kampung, tiba-tiba ada sekatan jalan raya untuk periksa setiap orang,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Triton catat jualan tertinggi dan bersejarah di Malaysia – 1,521 unit terjual sepanjang September

    Mitsubishi Triton catat jualan tertinggi dan bersejarah di Malaysia – 1,521 unit terjual sepanjang September

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan bahawa mereka telah menjual sebanyak 1,521 unit trak pikap Triton sepanjang bulan September 2021. Angka tersebut mewakili 34% dalam bahagian pasaran keseluruhan trak pikap di Malaysia, tertinggi dalam kelasnya.

    Jualan bagi Triton untuk separa pertama tahun kewangan MMM (April hingga September 2021) meningkat sebanyak 5.1% berbanding tempoh sama tahun lalu. Syarikat tersebut kini turut mencatatkan jualan keseluruhan berjumlah 6,907 unit, meningkatkan pegangan pasaran kepada 3.9% (naik dari 1.7% dalam tempoh sama tahun lalu). Mitsubishi juga masih kekal dalam senarai tiga teratas jenama bukan nasional di Malaysia

    Sementara itu, Mitsubishi Xpander pula merupakan MPV bukan nasional paling laris di Malaysia, dengan tempahan menghampiri 13,000 unit sejak dilancarkan pada November 2020. Sehingga kini, sebanyak 5,756 unit Xpander telah berjaya dihantar kepada pelanggan.

    “Selepas beberapa bulan berada dalam situasi pasaran yang mencabar kerana pendemik Covid-19 dan sekatan pergerakan, pasukan di Mitsubishi Motors bekerja keras dengan usaha terbaik bagi menambahbaik produksi, masa penghantaran, dan memulihkan tempahan yang tertangguh bagi Xpander dan Triton,” kata CEO MMM Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi Triton catat jualan tertinggi dan bersejarah di Malaysia – 1,521 unit terjual sepanjang September

    “Kami turut berterima kasih kepada para pelanggan yang telah menunjukkan sokongan kepada kami dan bersabar dengan kami. Dengan negara kini sedang menuju ke era endemik dan dengan jaringan pembekalan automotif serta bilik pameran yang sudah beroperasi semula, kami yakin untuk angka jualan yang optimistik pada separa kedua tahun kewangan kami,” tambahnya.

    “Sebagai tambahan, kami akan terus mempertingkatkan dan memperkenalkan servis-servis digital baharu. Tidak lama lagi kami akan mengumumkan Servis Penghantaran ke Rumah bagi pelanggan yang telah membeli Mitsubishi bagi membolehkan kereta baharu mereka dihantar terus ke depan pintu.

    “Ini adalah untuk memudahkan pelanggan yang menggunakan kaedah pembelian atas talian. Kami turut bekerja sama secara rapat dengan pengedar kami bagi memastikan SOP penuh dijalankan dan hanya staf yang menerima vaksinasi penuh dibenarkan utnuk bertugas dan melayan para pelanggan,” kata Shinnishi lagi.

     
     
  • Optimus Prime G1, Porsche 911 dan Nissan Skyline R33 akan muncul dalam filem Transformers baru

    Optimus Prime G1, Porsche 911 dan Nissan Skyline R33 akan muncul dalam filem Transformers baru

    Selepas kejayaan filem spin-off Bumblebee yang nyata lebih baik dari filem-filem arahan Micheal Bay sebelum itu, siri filem Transformers bakal muncul dengan satu lagi prekuel yang diberi tajuk Transformers: Rise of the Beasts. Ia diarahkan oleh Steven Caple Jr, dan beliau sendiri telah pun mendedahkan barisan jentera dari pihak Autobots dan Decepticon yang bakal muncul dalam filem berkenaan.

    Imej tersebut disiarkan di akaun instagram peribadi Caple, dan nampaknya watak-watak dalam filem berkenaan menampilkan pelbagai model-model klasik dan ikonik yang tentunya menyebabkan sebahagian peminat tidak sabar menantikan kemunculannya di pawagam.

    Garis masa filem baharu ini adalah tujuh tahun selepas babak terakhir filem Bumblebee. Jadi Optimus Prime muncul dalam versi Transformers Generation (G1) yang berselindung disebalik trak Freightliner FL86, bersama Bumblebee di dalam Chevrolet Camaro 1977 tetapi kali ini tampil dengan imej sebuah kenderaan off-road.

    Autobots juga nampaknya kali ini disertai dengan sebuah Porsche 911 964 (lihat pada spoiler belakang, ia mungkin model Carrera RSR), sebuah van Volkswagen Type 2 dan juga sebuah motosikal Ducati (916 atau 996?). Tidak diketahui watak-watak mana yang akan hidup menerusi model-model berkenaan, namun bagi Porsche 911 tersebut ia mungkin adalah Jazz kerana dalam siri animasi Transformers G1, Jazz adalah sebuah Porsche 935 Turbo ‘Moby Dick’ lengkap dengan grafik Martini.

    Optimus Prime G1, Porsche 911 dan Nissan Skyline R33 akan muncul dalam filem Transformers baru

    Apa yang lagi menarik, kali ini Decepticon turut disertai oleh sebuah Nissan Skyline R33. Tidak diketahui sama ia R33 GT-R asli atau tidak, namun unit tersebut dilihat diberikan kit badan lebar dengan GT-Wing gergasi. Ini mungkin kereta Jepun pertama yang muncul sebagai robot dalam filem Transformers, namun dalam siri animasi asal G1 sememangnya banyak lagi model-model Jepun yang digunakan seperti Nissan Vanette C20 (Ironhide dan Ratchet) serta Nissan 280ZX (Bluestreak dan Smokescreen).

    Filem Transformers: Rise of the Beasts ini dikatakan adalah berasaskan siri kartun Transformers: Beast Wars, jadi prekuel ini juga turut akan menampilkan watak Optimus Primal dan Rhinox dari pihak Maximals. Ia juga akan menceritakan bagaimana Optimus Prime mula berasa bertanggungjawab untuk melindungi manusia di bumi.

    Penggambaran filem berkenaan dibuat di Brooklyn, Amerika Syarikat dan juga dibeberapa bahagian di Peru termasuk Machu Picchu di mana gambar Instagram Steven Caple Jr tersebut dirakam. Antara pelakon yang membintangi filem ini termasuk Anthony Ramos, Dominique Fishback, Luna Lauren Vélez dan Tobe Nwigwe. Peter Cullen akan kekal sebagai suara Optimus Prime manakala suara Ron Perlman akan digunakan bagi watak Optimus Primal. Ia dijadual bakal ditayangkan di pawagam bermula 24 Jun 2022.

     
     
  • Tata Punch dilancar untuk India – SUV berenjin 1.2L NA

    Tata Punch dilancar untuk India – SUV berenjin 1.2L NA

    Tata Motors telah memperkenalkan sebuah SUV kompak untuk India, dipanggil sebagai Punch. Apabila dilancarkan ke dalam pasaran secara rasmi hujung bulan ini, ia akan memberi saingan kepada model seperti Maruti Suzuki Ignis, Mahindra KUV100, Nissan Magnite and Renault Kiger.

    Direka atas platform Agile Light Flexible Advanced (ALFA) sama seperti Altroz, Punch mempunyai saiz yang lebih besar berbanding kebanyakan pesaingnya, iaitu panjang 3,827 mm, lebar 1,742 mm, tinggi 1,615 mm dan jarak roda 2,445 mm.

    Walaupun mempunyai lekuk-lekuk badan unik, rekaan Punch masih mengikuti konsep yang sama seperti Tata Safari dan Harrier (bukan model Toyota), terutamanya untuk tetapan lampu hadapan yang bertingkat. Di belakang pula terdapat lampu yang mempunyai nyalaan berbentuk segi tiga.

    Tata Punch dilancar untuk India – SUV berenjin 1.2L NA

    Pada bahagian dalam, Punch menggunakan papan pemuka yang ringkas, dengan bentuk petak pada corong pendingin hawa (diserlahkan dengan warna biru), serta skrin infotainmen 3.5 inci atau 7.0 inci di tengah, bergantung kepada varian – ada empat, iaitu Pure, Adventure, Accomplished dan Creative.

    Bagi skrin besar yang diberikan terus pada varian Accomplished dan Creative, ia akan dipadankan bersama sistem yang dibangunkan oleh Harman dan boleh digunakan untuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Skrin 3.5 inci dengan fungsi ringkas diberikan pada varian Adventure sementara varian Pure tidak mempunyai sistem infotainmen langsung.

    Kelengkapan lain yang boleh didapati pada Punch adalah seperti rim 15 atau 16 inci, tempat duduk balutan fabrik, pemula enjin tanpa kunci, tempat duduk larasan manual, lampu automatik, pengelap cermin automatik, dua beg udara, ABS, EBD, kamera undur, cruise control serta ruang barangan belakang 366 liter.

    Di bawah bonet, semua varian menggunakan enjin petrol tiga silinder 1.2 liter NA, yang boleh dipilih bersama transmisi manual atau AMT, dan mampu menghasilkan kuasa 86 PS pada 6,000 rpm dan 113 Nm tork pada 3,300 rpm. Untuk memadankan pemanduan dengan keadaan, pemandu boleh memilih dua mod iaitu Eco atau City.

     
     
  • Polis Diraja Malaysia bakal guna BMW M3?

    Polis Diraja Malaysia bakal guna BMW M3?

    Baru-baru ini tular imej sebuah BMW M3 dengan grafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) – ada yang mengatakan bahawa ia adalah satu lagi kenderaan pengiring bagi kegunaan Istana sama seperti Honda Civic Type R dan juga Volvo S90 T5 sebelum ini, betul ke?

    KEMASKINI: BMW M3, X3 dan Volkswagen Tiguan yang tular berkenaan sememangnya sedang menjalani ujian penilaian oleh PDRM. Berita awal yang kami buat menyatakan bahawa ia adalah prop untuk produksi filem adalah diberitahu oleh BMW Malaysia sendiri, dan kami laporkan berdasarkan maklumat berkenaan. Namun disebabkan kesemua pihak yang terlibat mempunyai syarat yang ketat untuk tidak mendedahkannya mungkin menjadi penyebab terhadap kekeliruan informasi ini. Sekali lagi, kami minta maaf.

    Tak, sebenarnya BMW M3 yang anda lihat ini adalah sebuah kereta prop bagi digunakan dalam penggambaran filem. Perkara ini disahkan sendiri oleh BMW Malaysia, namun mereka tidak mendedahkan tajuk filem tersebut. Namun kami menjangkakan M3 dengan grafik ‘Polis High Performance’ tersebut mungkin akan muncul dalam antara dua filem baharu – Polis Evo 3 atau The Catcher.

    Walau bagaimanapun, peluang untuk ia untuk membintangi The Catcher adalah lebih tinggi kerana filem tersebut dikatakan sebagai filem dengan kos penghasilan paling tinggi dalam sejarah Malaysia. Menurut laporan Pocket News, filem berkenaan bakal memaparkan gaya hidup dan juga budaya ubahsuai kereta di Malaysia, dihasilkan dengan bajet melebihi RM50 juta.

    Polis Diraja Malaysia bakal guna BMW M3?

    Lebih dari 500 unit supercar dikatakan bakal digunakan sepanjang penggambaran filem berkenaan (juga merupakan angka yang memecahkan rekod dunia), yang kebanyakkannya adalah milik ahli-ahli Robotz Car Club. Dalam sidang akhbar pada 4 Oktober lalu, pengasas Robotz Datuk Seri Jeffrey Teoh berkata; “Supercar disukai oleh semua orang, dari mana-mana kedudukan dan latar belakang.”

    “Sebagai pemandu supercar, kita masing-masing di Robotz selalu mendapat inspirasi dari francais filem “Fast & Furious” lakonan Vin Diesel dan Paul Walker. Jadi kami berharap serta berbangga jika filem kami dapat mencontohi kecemerlangan filem tersebut,” jelasnya lagi.

    Produksi filem The Catcher berkenaan akan bermula sekitar 2022 dan dijangka bakal disiapkan pada 2023. Jelas? Jadi tolong bagitahu jiran-jiran dan sedara mara BMW M3 tersebut bukan aset PDRM ya!

     
     
  • Yamaha perkenal Aerox 155 dan MX King 150 dengan grafik ulang tahun GP ke-60 Yamaha di Indonesia

    Yamaha perkenal Aerox 155 dan MX King 150 dengan grafik ulang tahun GP ke-60 Yamaha di Indonesia

    Bulan lepas, Yamaha telah memperkenalkan barisan model sports R1, R7 dan R3 yang menggunakan grafik Ulang Tahun Grand Prix ke-60 di pasaran Eropah. Kini, versi sama yang menggunakan corak “Speed Block” merah putih ini diperkenalkan pula pada dua model kapasiti rendah di Indonesia, iaitu Aerox 155 dan MX King 150.

    Keunikan utamanya sudah tentu adalah grafik lagenda yang mula terkenal sejak tahun 70-an lagi apabila digunakan pada jentera lumba Yamaha, bersama rim berwarna emas, fender warna merah dan juga sedikit jalur kuning di bahagian dada motosikal.

    Selain daripada itu, ciri mekanikal dua motosikal ini masih sama dengan versi standard. Bagi Aerox dengan grafik Ulang Tahun Grand Prix ke-60, ia menggunakan asas daripada varian Aerox paling tinggi, yang dilengkapi dengan brek ABS serta sistem sambungan Y-Connect.

    Yamaha perkenal Aerox 155 dan MX King 150 dengan grafik ulang tahun GP ke-60 Yamaha di Indonesia

    Untuk spesifikasi, MX King 150 di Indonesia adalah sama seperti Y15ZR (V2) di pasaran Malaysia, yang dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api 150 cc 15 hp, sementara Aerox 155 adalah sama seperti NVX 155 (V2) di Malaysia yang menggunakan enjin suntikan bahan api, VVA 155 cc 15.4 hp.

    Melihat kepada harga pula, model versi grafik ulang tahun ini dijual pada harga sekitar 500,000 rupiah (RM150) lebih tinggi berbanding model biasa, iaitu 29.9 juta rupiah (RM8,777) untuk Aerox 155 dan 25 juta rupiah (RM7,339) untuk Exciter 150.

     
     
  • Sekatan untuk hanya hantar kereta ke pusat servis rasmi atas alasan waranti bantutkan persaingan

    Sekatan untuk hanya hantar kereta ke pusat servis rasmi atas alasan waranti bantutkan persaingan

    Jaminan merupakan aspek penting dalam pengalaman pemilikan kenderaan. Ia memberi jaminan kepada pembeli, dan melegakan fikiran mereka sekiranya berlaku apa-apa masalah teknikal — pengeluar sendiri akan bertanggungjawab dan menyelesaikan permasalahan itu, sekiranya ada.

    Namun, untuk menjadikan waranti itu sah, kereta perlu dihantar untuk servis di pusat servis rasmi sahaja sepanjang tempoh waranti. Menurut pengeluar, ini penting untuk memastikan kereta berada dalam keadaan standard dari kilang, dan tidak berlaku sebarang ubah suai sendiri yang mungkin menjadi penyebab kepada masalah berlaku — ini boleh membatalkan waranti terbabit.

    Kekurangan hal ini pula ialah pelanggan “tersangkut” untuk menghantar kereta ke rangkaian rasmi pengeluar sahaja. Tidak hanya untuk servis, malahan untuk baik pulih kemalangan, sesuatu yang menurut Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengekang persaingan sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan itu.

    Dalam Market Review Under Competition Act 2010 for Selected Transportation Sectors terbaru, yang diumumkan semalam, suruhanjaya itu menyatakan ia mengesan masalah berkaitan persaingan, serta kerisauan pasaran atau masalah kawal selia berkaitan tuntutan waranti kenderaan. Ia memaklumkan, sekatan yang dikenakan oleh pengeluar kenderaan itu boleh mengelak atau menghadkan persaingan dalam industri baik pulih dan servis kenderaan.

    Sekatan untuk hanya hantar kereta ke pusat servis rasmi atas alasan waranti bantutkan persaingan

    Dari segi servis, ulasan itu menyatakan klausa khas dalam waranti kenderaan baru itu berpotensi menjurus kepada pasaran disudutkan hanya kepada francais (3S/4S) atau bengkel sah dalam rangkaian pengeluar kenderaan sahaja. Ini mengurangkan pilihan pengguna dan mengelakkan persaingan daripada bengkel persendirian.

    Situasinya jadi lebih teruk ketika melibatkan baik pulih kemalangan. Disebabkan sekaran waranti, pembaik pulih persendirian berdepan dengan halangan yang membolehkan mereka untuk melakukan baik pulih kenderaan baru yang masih di bawah waranti, menjadikan satu-satunya pilihan yang ada hanyalah dalam rangkaian pengeluar sahaja.

    Ia menjadikan PIAM Approved Repairers Scheme (PARS) sebagai contoh. Bagi baik pulih kemalangan, OEM membenarkan pemilik untuk menghantar kereta mereka ke bengkel PARS yang dilantik PIAM, di mana kerja-kerja baik pulih hanya bagi yang berkaitan kemalangan. Bengkel perlu menepati kriteria seperti standard servis, kualiti, profesionalism, berdaya saing dan kemahiran yang memiliki tahap pelaburan kapital cukup besar sebelum layak menerima sijil PARS.

    Sekatan untuk hanya hantar kereta ke pusat servis rasmi atas alasan waranti bantutkan persaingan

    Memandangkan bengkel PARS adalah setanding dalam segala aspek berbanding bengkel francais, pelanggan sepatutnya bebas untuk memilih bengkel mana yang mereka mahu. Tetapi, ini bukanlah amalannya, jelas suruhanjaya dalam ulasan berkenaan.

    MyCC mendapati sesetengah pengeluar kenderaan dan sesetengah syarikat insurans telah membuat persetujuan dan usahasama dan menetapkan set KPI yang perlu dipatuhi oleh syarikat insurans dengan cara mengarahkan sejumlah kereta baru yang diinsuranskan ke bengkel francais. Suruhanjaya itu juga menambah, disebabkan KPI dari persetujuan itu, syarikat insurans boleh melebihkan usaha untuk menggalakkan pelanggan mendapatkan servis dari bengkel francais.

    Dalam kes di mana pemilik memilih menghantar kereta baru mereka ke cawangan PARS (atau bengkel persendirian), ada berlaku situasi pelanggan diminta untuk menandatangani surat pelepasan. Dalam surat ini, dinyatakan bahawa pemilik kenderaan sedar bahawa mereka sedang mendapatkan servis dari bengkel persendirian, dan keseluruhan waranti kenderaan akan terbatal disebabkan itu.

    Sekatan untuk hanya hantar kereta ke pusat servis rasmi atas alasan waranti bantutkan persaingan

    MyCC berkata, ini akan memberi tekanan kepada pemilik kenderaan untuk hanya mendapatkan servis dari bengkel dalam rangkaian rasmi sahaja. Untuk ini, suruhanjaya terbabit mencadangkan lapan cadangan untuk dirasakan dapat merancakkan persaingan dalam pasaran waranti kenderaan ini.

    Antara cadangan utama termasuk menilai semula klausa waranti semasa yang mengecilkan pilihan pelanggan. Ia menambah pihaknya sedang mendapatkan pihak berkepentingan berkaitan untuk berurusan dengan pengeluar kendearan bagi menggalakkan mereka untuk mencabut keluar klausa waranti seperti yang dimaksudkan itu dan tidak menjadikan syarat waranti untuk servis dan baik pulih kenderaan hanya dalam rangkaian mereka sahaja.

    Suruhanjaya itu menyatakan, campur tangan di dalam pasaran berkaitan waranti kenderaan akan memberikan lebih banyak manfaat, membukanya untuk persaingan sihat, dan seterusnya menguntungkan pengguna. Sejauh mana perubahan yang dapat dicapai berkaitan ini hanya masa yang akan menentukan. Apa pula pandangan anda?

     
     
  • MV Agusta Brutale 1000 Nurburgring – terhad 150 unit

    MV Agusta Brutale 1000 Nurburgring – terhad 150 unit

    MV Agusta telah memperkenalkan satu lagi model keluaran terhad, iaitu Brutale 1000 Nurburgring, dengan harga bermula 39,900 euro (RM192,900) di Eropah. Model yang menggunakan asas daripada Brutale 1000RR ini akan dikeluarkan sebanyak 150 unit sahaja, dan setiap satu akan diletakkan dengan plet nombor keluaran di panel tepi.

    Keistimewaan model ini bermula pada grafiknya, yang menggunakan rekaan khas gabungan warna perak dan merah, sementara rim pula menggunakan unit gentian karbon berwarna gangsa daripada BST.

    Bagi mendapatkan kepuasan penuh, MV Agusta menyediakan kit lumba untuk model istimewa ini, di mana ia terdiri daripada sistem ekzos titanium berserta muncung pendek daripada SC project, ECU khas serta tambahan barangan gentian karbon di beberapa bahagian.

    Motosikal ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 998 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan quickshifter, dan mampu menghasilkan 208 hp pada 13,000 rpm serta 116.5 Nm tork pada 11,000 rpm. Suspensi Ohlins yang dipasang pada motosikal ini boleh dilaras secara elektronik.

    Pelbagai sistem elektronik turut diberi secara terus pada model ini, termasuk empat tahap kawalan tork, lapan tahap kawalan cengkaman, wheelie control, launch control, sambungan bluetooth, cruise control serta engine control melalui aplikasi MV Agusta.

     
     
  • Michelin LTX Trail dilancarkan di Malaysia — untuk trak pikap dan SUV, sembilan saiz tersedia, 15-18 inci

    Michelin LTX Trail dilancarkan di Malaysia — untuk trak pikap dan SUV, sembilan saiz tersedia, 15-18 inci

    Michelin telah melancarkan tayar LTX Trail untuk pasaran Malaysia, yang diposisikan untuk kegunaan jalanan dan juga off-road. LTX Trail ialah tayar untuk pelbagai kegunaan dan dicadangkan untuk 80% atas jalan dan 20% pemanduan off-road, menurut Michelin.

    LTX Trail disasarkan untuk SUV dan trak pikap 4×2 dan 4×4, seperti Toyota Hilux dan Fortuner serta Nissan Navara. Semuanya ada sembilan saiz tersedia dari 15 inci ke 18 inci, serta dari profil 225/70R15 104 T XL hingga 285/60R18 116T.

    Di Thailand, ketika dibandingkan tayar ini dengan tayar pesaing paling hampir menggunakan saiz 265/65R17 pada Toyota Hilux Vigo 2020, LTX Trail menunjukkan 41% ketahanan kehausan tayar lebih baik, disumbangkan oleh kompaun corak RallyForce 2 untuk lebih tahan lasak dan hayat panjang dalam kedua-dua kegunaan atas jalan atau off-road, sementara dinding sisinya melindungi agar tahan dan memberikan cengkaman lebih baik ketika off-road.

    Michelin LTX Trail dilancarkan di Malaysia — untuk trak pikap dan SUV, sembilan saiz tersedia, 15-18 inci

    Dari segi brek di permukaan basah, LTX Trail mampu berhenti dalam jarak 3.1 meter lebih pendek berbanding tayar pesaingnya ketika masih baru, dan 4.6 meter lebih pendek ketika sudah digunakan (dengan kedalaman bunga berbaki 2.0 mm). Jarak berhenti ketika kering pula 3.8 meter lebih pendek berbanding pesaingnya.

    LTX Trail menjanjikan pemanduan yang senyap juga, dengan 19.8% pengurangan bunyi tekanan tayar. Ini dicapai melalui blok bunga Duo-Harmony, yang menampilkan dua blok berbeza bentuk di corak bahagian tengah bunganya, yang mengagihkan tenaga corak bunyi kepada spektrum yang lebih luas, menjadikan suasananya lebih tenang.

    Michelin LTX Trail kini boleh didapati melalui pengedar sah Michelin seluruh negara. Harga pula bermula dari RM611, dan naik hingga RM1,074.

     
     
  • Michelin Uptis – tayar tanpa udara, kalis pancit didedahkan kepada umum, bakal diproduksi pada 2024

    Michelin Uptis – tayar tanpa udara, kalis pancit didedahkan kepada umum, bakal diproduksi pada 2024

    Michelin telah mendedahkan inovasi baharunya iaitu tayar tanpa udara yang digelar Uptis kepada umum ketika berlangsungnya IAA Munich 2021. Tayar tersebut dipasang pada kereta elektrik sepenuhnya MINI Electric bagi mendemonstrasikan kebolehannya kepada orang ramai yang hadir ke acara berkenaan.

    “Kepuasan paling besar kami tiba pada pengakhiran demonstrasi apabila penumpang kami, yang mengaku sedikit ragu-ragu pada awalnya, mengatakan bahawa dia tidak merasakan sebarang kelainan berbanding tayar konvensional,” kata pengarah komunikasi teknikal dan saintifik kumpulan Michelin, Cyrille Roget.

    Nama “Uptis” berkenaan adalah singkatan kepada Unique Puncture-Proof Tire System (sistem tayar kalis pancit unik), dan ia bakal masuk ke pasaran pada 2024. Tayar tanpa angin berkenaan menggabungkan roda aluminium dengan struktur galas-beban yang diperbuat dari kaca gentian-diperkuat plastik (GFRP) serta komposit getah fleksibel, dan ia boleh dimuatkan pada rim konvensional.

    Michelin Uptis – tayar tanpa udara, kalis pancit didedahkan kepada umum, bakal diproduksi pada 2024

    Tayar ini juga bersifat lebih mesra alam kerana ia tidak menggunakan udara sekaligus melenyapkan masalah tayar pancit. Tinjauan dalaman yang dibuat oleh Michelin menunjukkan bahawa 20% dari keseluruhan tayar tidak lagi boleh digunakan sebelum waktunya adalah kerana masalah bocor, kehilangan tekanan secara cepat, dan juga haus secara tidak sekata kerana tekanan angin tayar yang tidak tepat.

    Jumlah 20% berkenaan adalah mewakili sejumlah 200 juta tayar yang dibazirkan, bersamaan dengan 200 kali berat Menara Eiffel, dakwa Michelin.

    Uptis merupakan langkah pertama dalam konsep visi Michelin kearah sasaran bagi menjadi pengeluar tayar yang menggunakan material dan proses yang mampan sepenuhnya menjelang 2050. Bermula awal tahun ini, hampir 30% komponen untuk mengilangkan tayar Michelin adalah dari sumber asli, kitar semula atau sumber lestari yang lain, kata Michelin.

    Inovasi seterusnya di bawah konsep visi ini termasuk bunga tayar yang “boleh dicaj semula”, atau dalam kata lain bunga tayar yang sudah haus boleh dibuat semula menerusi proses cetakan 3D dan boleh ditawarkan dalam beberapa kemungkinan seperti corak bunga berlainan untuk iklim serta situasi berbeza.

    Langkah ketiga dalam konsep visi ini adalah untuk menawarkan teknologi terhubung, di mana data yang dikumpulkan boleh digunakan kearah keselamatan jalan raya, pengurusan flit bagi penggunaan komersil dan juga untuk kegunaan dalam situasi prestasi tinggi seperti pemanduan di litar.

    GALERI: Tayar tanpa udara Michelin Uptis

     
     
  • Perodua Ativa Hybrid bakal tiba? Perodua sedang uji model Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid di Malaysia!

    Perodua Ativa Hybrid bakal tiba? Perodua sedang uji model Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid di Malaysia!

    Ini satu perkembangan yang nampak menarik. Ya, Daihatsu Rocky ini dilihat di jalan raya Malaysia. Latarnya di Bukit Bintang, dan gambar-gambar ini dikongsi oleh pengguna Facebook Alex Tung dalam laman FB Perodua Ativa bahasa Cina.

    Ada pemerhatian lain juga tentang ini; kereta terbabit menggunakan “trade plate” Perodua, yang beberapa kali sebelum ini pernah dilihat ketika syarikat itu menguji model Daihatsu Move dan Tanto. Ini mencadangkan bahawa Perodua sekali lagi sedang menguji unit berkenaan, sebelum diserasikan sebagai model tempatan kelak.

    Tapi, Daihatsu Rocky kita dah ada dalam bentuk Perodua Ativa, lengkap dengan enjin turbo, CVT dan sistem keselamatan aktifnya sekali. Ini nak buat apa lagi sebenarnya?
    Jawapannya, ini bukan Rocky biasa. Lencana nama Daihatsu dan Rocky di fender depan dan belakang ditutup, sementara gril honeycomb yang ada nampak berbeza daripada Rocky biasa. Letakkannya bersebelahan dengan imej teaser yang bocor secara tidak sengaja oleh Daihatsu bulan lalu dan kita akan dapat jawapannya — ia Rocky e:Smart Hybrid!

    Perodua Ativa Hybrid bakal tiba? Perodua sedang uji model Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid di Malaysia!

    Ya, memang betul. Versi petrol-elektrik SUV popular Daihatsu ini sedang diuji di Malaysia sebulan sebelum ia dijadualkan diperkenalkan secara rasmi di Jepun. Agak jelas bahawa Perodua sedang mempertimbangkan untuk menerapkan sistem hibrid berkenaan ke dalam Ativa, seperti ujian yang banyak dijalankan sebelum ini terhadap model-model Daihatsu yang lain — yang kemudiannya akan digunakan untuk pasaran tempatan — misalnya ke atas brek kecemasan autonomous pada Move dan enjin 1.0 turbo pada Tanto.

    Ini petanda jelas bahawa kita juga mungkin akan menerima sistem hybrid berkenaan kelak. Ini juga tidaklah menghairankan, memandangkan kerajaan juga bakal melaksanakan Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon, yang tentunya akan menyediakan insentif kepada pengeluar kenderaan elektrifikasi.

    Perodua Ativa Hybrid bakal tiba? Perodua sedang uji model Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid di Malaysia!

    Perincian teknikal masih samar, tetapi kita tahu yang e:Smart menggunakan enjin WA-VE 1.2 liter NA tiga-silinder yang digunakan dalam Rocky di Indonesia, dengan kod nama WA-VEX. Tanda nama X yang digunakan oleh Toyota sebelum ini berkemungkinan ia enjin kitaran Atkinson, untuk kereta hibridnya.

    Ini digandingkan pula dengan sistem hibrid elektrik yang dikhabarkan dibangun oleh Daihatsu dan bukan Toyota. Khabar anginnya, ia adalah sistem range-extender yang menggunakan motor elektrik untuk memacu kenderaan dan enjin petrol bertindak sebagai generator, sama seperti e-Power Nissan dan (mirip juga dengan) e:HEV Honda. Sistem pedal pintar (S-PDL) akan membolehkan pemanduan dengan pedal tunggal.

    Apa pandangan anda, ingin lihat Ativa Hybrid untuk pasaran tempatan, dan adakah akan memilih versi ini berbanding model turbo?

     
     
  • 3 stesen MRT ditutup mulai 9 Okt hingga pembukaan MRT Laluan Putrajaya – bas perantara disediakan

    3 stesen MRT ditutup mulai 9 Okt hingga pembukaan MRT Laluan Putrajaya – bas perantara disediakan

    Rapid KL, pengendali tren MRT telah mengumumkan penutupan tiga stesen MRT iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sg Buloh bermula Sabtu ini, 9 Oktober 2021 hingga pembukaan MRT Laluan Putrajaya. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja migrasi terakhir bagi Sistem MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan SSP).

    Untuk stesen Kwasa Damansara, kawasan parkir juga turut ditutup. Tetapi parkir bertingkat di stesen Sg.Buloh dibuka seperti biasa.

    Dengan penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di stesen Kwasa Sentral. Perkhidmatan bas perantara MRT percuma akan disediakan di antara stesen Sg Buloh dan Kwasa Sentral, malah dalam perjalanan akan berhenti di Kampung Selamat. Frekuensi kekerapan bas perantara berkenaan adalah setiap 15 minit.

    Dua hari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Dr Wee Ka Siong mengesahkan, Fasa Satu Laluan Putrajaya iaitu dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu kini hampir 99.9% siap dan akan memulakan perkhidmatan operasi kurang daripada dua bulan lagi.

    Manakala untuk Fasa Dua projek berkenaan kini telah mencapai tahap kemajuan keseluruhan sehingga 93.52% dan kebarangkalian boleh beroperasi seperti yang disasarkan pada Januari 2023.

    Jajaran Putrajaya merupakan jajaran MRT kedua Lembah Klang selepas Jajaran Kajang, yang mula beroperasi pada Julai 2017. Laluan sepanjang 56.2 km akan mempunyai 36 stesen, sembilan daripadanya di aras bawah tanah. Ia akan menghubungkan Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • Tiga kilang Nissan di Sepanyol akan ditutup tahun ini; bakal dijual kepada Great Wall Motors dari China?

    Tiga kilang Nissan di Sepanyol akan ditutup tahun ini; bakal dijual kepada Great Wall Motors dari China?

    Nissan dan pihak berkuasa di Sepanyol kini sudahpun mula berbincang dengan pihak yang berminat untuk mengambil alih tiga kilang milik jenama automotif Jepun berkenaan, di mana ia bakal ditutup pada Disember ini sebagai salah satu langkah penstrukturan semula bagi mengurangkan kos-kos tetap.

    Syarikat tersebut mempunyai lima kilang di Sepanyol, di mana tiga daripanya yang terletak di Barcelona (Zona Franca, Montcada i Reixac dan Sant Andreu de la Barca) akan ditutup, manakala dua lagi kilang iaitu Avila dan Corrales de Buelna akan meneruskan operasi Nissan di negara berkenaan.

    Bagi kilang Avila, ia juga turut membekalkan komponen kepada model-model dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, manakala Corrales de Buelna pula menjalankan operasi membuat proses penuangan serta pemesinan pelbagai komponen.

    Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, “perbincangan yang diutamakan” kini dibuat dengan jenama automotif China iaitu Great Wall Motors (GWM) berkenaan kilang Zona France, iaitu kilang paling besar antara tiga fasiliti yang bakal ditutup tersebut. Sumber dari Konfederasi Umum Buruh (CGT) memberitahu Reuters bahawa GWM kini turut sedang menilai keperluan untuk turut mengambil alih kilang Nissan Montcada i Reixac dan Sant Andreu de la Barca.

    Tiga kilang Nissan di Sepanyol akan ditutup tahun ini; bakal dijual kepada Great Wall Motors dari China?

    Sementara itu, pengeluar motosikal elektrik Sepanyol iaitu Silence dan juga firma mobiliti elektrik tempatan, QEV Technologies (syarikat yang mempunyai kaitan dengan Volta Trucks dan Inzile) dikatakan turut berminat dengan dua kilang lebih kecil berkenaan.

    Sumber tersebut turut menyatakan bahawa tiga kilang Nissan di Barcelona berkenaan kini mempunyai sekitar 3,000 pekerja secara terus dan 20,000 secara tidak terus. Dengan penutupan yang dijadualkan berkenaan, hanya 1,600 pekerja secara terus kini masih belum diketahui nasib mereka, manakala selebihnya menerima manfaat seperti persaraan awal dan lain-lain.

    “Nissan kini membuka sepenuhnya perbincangan dengan satu objektif: bagi mencapai industrisasi semula kilang Nissan di Barcelona. Kami percaya bahawa kami akan mencapai solusi yang memberikan manfaat bagi semua pihak,” kata Frank Torres, naib presiden eksekutif serantau bagi tranformasi perniagaan dan perhubungan di Pakatan untuk rantau AMIEO (Afrika, Timur Tengah. India, Eropah dan Ocenania). Torres turut bertanggungjawab terhadap operasi industri Nissan di Sepanyol.

    “Seperti yang telah kami buat sejak dari mula, Nissan akan terus untuk memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan projek-projek terpilih. Syarikat akan bekerjasama dengan ahli lain dalam suruhanjaya industrisasi semula sepanjang perbincangan dengan yang terbaik akan mencapai persetujuan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Harga minyak 7-13 Okt – RON97 naik 1 sen seliter

    Harga minyak 7-13 Okt – RON97 naik 1 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 7 hingga 13 Oktober 2021, Kementerian Kewangan (MOF) telah memaklumkan harga bahan api petrol RON 97 mengalami kenaikan harga sebanyak satu sen seliter, menjadi RM2.77 seliter berbanding RM2.76 seliter pada minggu sebelumnya. Perkara ini memang dijangka kerana pada masa ini, harga minyak mentah di pasaran global meningkat semula, mencecah AS$80 (RM334.24) satu tong.

    Walau bagaimana pun, harga RON 95 masih tidak berubah sejak Februari lalu iaitu dikekalkan pada harga siling mencecah RM2.05 seliter.

    Harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 13 Oktober 2021.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sentiasa mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak mentah global.

     
     
  • Puspakom Temerloh ditutup hingga 8 Okt 2021

    Puspakom Temerloh ditutup hingga 8 Okt 2021

    Puspakom telah mengumumkan penutupan sementara cawangan pusat pemeriksaan kenderaannya di Temerloh, Pahang bermula hari ini, 6 Oktober, sehingga 8 Oktober 2021. Penutupan tersebut bertujuan untuk melakukan proses disinfeksi dan sanitasi bagi memastikan keselamatan semua pihak. Cawangan ini akan beroperasi semula pada 11 Oktober 2021 dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Menurut Puspakom, bagi temujanji pemeriksaan yang telah dibuat pada tarikh penutupan akan dibatalkan dan bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik kepada pelanggan terlibat dalam tempoh 30 hari.

    “Temujanji pemeriksaan boleh dilakukan semula apabila pusat pemeriksaan beroperasi kembali seperti biasa. Sehubungan ini, pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan tersebut,” ujar Puspakom menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Untuk maklumat terkini berhubung operasi dan perkhidmatan Puspakom, orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my.

     
     
  • Honda City 2021 vs Toyota Vios di Malaysia — pertembungan dua sedan segmen B paling sporty

    Honda City 2021 vs Toyota Vios di Malaysia — pertembungan dua sedan segmen B paling sporty

    Honda City dan Toyota Vios memang lawan yang tidak perlu diperkenalkan lagi bagi sedan segmen B. Dan kini, kedua-duanya ada penawaran terbaru untuk pasaran Malaysia. Untuk itu, kami mempertemukan kedua-duanya untuk melihat apa yang ada ditawarkan oleh dua sedan dengan imej sporty masakini.

    Honda mempunyai City generasi kelima, yang di sini tampil dalam kemasan RS dan sistem hibrid e:HEV. Toyota pula mempertaruhkan Vios generasi ketiga dalam facelift terbarunya, juga diperkemas dengan penampilan GR Sport penuh — model pertama yang menggunakan lencana itu di sini.

    Vios mempunyai kelebihan harga yang lebih murah, dijual RM95,294 atas jalan tidak termasuk insurans. City dengan teknologi canggih itu pula RM10,000 lebih mahal pada RM105,950. Kedua-dua harga ini termasuk pengeculian cukai SST mamandangkan ini model CKD — Honda dipasang di Pegoh, Melaka manakala Toyota di Shah Alam.

    Honda City 2021 vs Toyota Vios di Malaysia — pertembungan dua sedan segmen B paling sporty

    Dari segi kuasa, City yang mendahului dengan output sistem 126 PS, dengan perbezaan tersendiri. Kebanyakan masa, ia akan dipacu oleh motor elektrik 108 PS/253 Nm, dengan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC empat silinder (98 PS/127 Nm) digunakan sebagai generator untuk mengecas bateri.

    Enjin petrol itu juga tetap boleh memacu kereta terbabit melalui transmisi kelajuan tunggal, misalnya ketika dalam kelajuan tinggi, menjadikannya lebih cekap. Kereta ini boleh juga memanfaatkan kedua-dua sumber kuasa ini, misalnya dalam keadaan memotong — mencapai kuasa maksimumnya sekaligus.

    Vios pula lebih ringkas dengan enjin 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder, dengan janaan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm. Walaupun sistem ini sangat ringkas dan lama, ia juga sudah teruji kemampuan dan ketahanannya.

    Sekali lagi CVT melengkapi keperluan transmisinya, tetapi dengan talaan GR Sport. Jumlah nisbah maya telah dipertingat dari tujuh kepada 10, boleh diakses melalui mod Sport yang dipertingkatkan yang juga mengekalkan gear lebih lama sebelum menukar kedudukannya. Kawalan manual juga boleh dilakukan dengan paddle shifter atau tombol gear.

    City merupakan model baru sepenuhnya, berkongsi kerangka yang sama dengan Jazz terbaru (yang tidak dijual di sini) dan juga HR-V baru. Penggayaan RS (road sailing) juga menyuntik imej yang lebih bergaya untuknya — keseluruhan wajah depan yang lebih menonjol, profil sisi yang lebih rata dan lurus serta bampar belakang lebih sporty antara yang menyumbang ke arah itu.

    Vios pula sama seperti sebelum ini, tetapi hadir dengan wajah depan baru yang lebih agresif. Gril lebih tirus serta lampu trapezoidal kini dengan LED sebagai penawaran standard untuk semua varian.

    Model Toyota ini juga yang paling sporty penampulannya, hasil suntikan imej daripada GR Sport yang digunakan itu. Dengan kemasan dan sentuhan lebih agresif yang ditampilkan itu, ia juga kini ada iras persamaan dengan GR Yaris. Ini termasuklah skirting sisi, bampar belakang dengan kemasan hitam dan spoiler but hitam berkilat yang dikenakan. Rim multi-jejari yang digunakan pula satu inci lebih besar berbanding model G (dan juga City RS), dengan saiz 17-inci.

    Di dalam, perbezaan diteruskan, dengan City tampil dengan rekaan papan pemuka yang lebih bersih serta ada material kulti soft touch untuk menjadikan kualitinya lebih menarik. Vios pula menggunakan papan pemuka sama sejak 2018, dengan material plastik keras dan jahitan palsu.

    Untuk ciri infotainmen, kedua-duanya menggunakan head unit aftermarket, walaupun sistem binaan dalaman pada Honda lebih menarik bagi saiz skrin sentuh yang disediakan — lapan inci berbanding tujuh inci. Kedua-duanya ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan Vios juga ada kamera 360-darjah berbanding City yang hanya datang dengan kamera undur tunggal.

    Kedua-dua model RS dan GR Sport ini menggunakan kulit hitam untuk balutan kerusinya dengan jahitan merah. Vios ada kelebihan pada perehat kepala dengan lencana sulam GR, lapik kaki GR dan juga butang GR — lencana dan penjenamaan GR ini memang menghidupi jiwa kereta ini.

    Sebagai varian tertinggi, City dan Vios ini lengkap dengan lampu utama, lampu kabus dan lampu belakang LED, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan pendingin zon-tunggal automatik dan perehat lengan di depan. City turut ada corong pendingin di belakang dan dua pembesar suara tambahan (lapan keseluruhannya), sementara Vios menerima pengecas tanpa wayar Qi, sensor parkir depan, dash cam depan dan cermin pandang belakang anti-silau.

    Kedua-duanya juga cemerlang dari segi keselamatan, misalnya dengan adanya ciri AEB dan amaran penukaran lorong. Pakej lengkap Honda Sensing turut datang dengan kawalan melayar adaptif, bantuan panduan lorong dan lampu tinggi automatik. Vios mempunyai peninjau titik buta, manakala City ada kamera LaneWatch tetapi tanpa fungsi amaran. Vios ada tujuh beg udara, manakala City pula enam. Mana satu jadi pilihan?

    Galeri: Honda City e:HEV RS

    Galeri: Toyota Vios GR Sport

     
     
  • KKM saran orang ramai buat ujian kendiri Covid-19 lebih kerap bila pergerakan rentas negeri dibenarkan

    Memandangkan rentas negeri bakal dibenarkan tidak lama lagi apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa negara mencapai 90%, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan agar orang ramai melakukan ujian kendiri COVID-19 dengan lebih kerap sebelum melakukan pergerakan rentas negeri.

    Menurut Menteri KKM, Khairy Jamaluddin, langkah itu penting terutamanya mereka yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi.

    “Kini tanggungjawab dan tingkah laku bergantung kepada individu itu sendiri. Saya percaya kita dapat menghadapi cabaran ini dalam #ReopeningSafely. Sekiranya anda ingin pulang ke kampung dan bertemu dengan golongan berusia, lakukan kit ujian kendiri COVID-19 (RTK) air liur. Jaga keselamatan mereka.

    “Hanya tinggal 1.6% (belum divaksinasi lengkap) sebelum sempadan negeri dibuka. Kini Kementerian Kesihatan (KKM) sudah beralih ke ujian simptomatik. Kami meminta orang yang berada dalam persekitaran dan bertemu dengan ramai orang atau mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

    Tambah beliau, ketika negara beralih ke fasa endemik COVID-19, kebanyakan tanggungjawab bergantung kepada orang ramai.

    “Ketika kita beralih ke fasa endemik, kita tidak boleh mengatur sekatan jalan raya untuk melihat sama ada anda telah divaksinasi atau melakukan ujian saringan. Kini ia banyak bergantung kepada tanggunjawab dan tingkah laku peribadi, saya percaya kita dapat menghadapi cabaran dalam pembukaan dengan selamat,” jelasnya.

     
     
  • Pengurangan kadar tol masih dalam kajian – menteri

    Pengurangan kadar tol masih dalam kajian – menteri

    Mengenai perkembangan terkini isu pengurangan kadar tol di lebuhraya di negara ini, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan masih mengkaji dan meneliti opsyen yang bersesuaian bagi perkara tersebut.

    Menurut beliau, pihaknya turut mempertimbangkan bebanan kewangan kerajaan terhadap opsyen itu dan impak kepada ekonomi, laporan Berita Harian.

    “Kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji pelbagai inisiatif dan kaedah boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kadar tol di lebuh raya di negara ini. Kementerian Kerja Raya juga membenarkan syarikat konsesi lebuh raya mencadangkan kaedah penstrukturan semula kewangan syarikat bagi tujuan pengurangan kadar tol.

    “Semua cadangan berhubung perkara ini akan dibincangkan di antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan agensi berkaitan bagi mencapai keputusan secara holistik,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

    Pada hujung April lalu, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya hingga tahun hadapan. Tiga konsesi lebuhraya yang sepatutnya menaikkan kadar tol sejak 1 Januari lalu ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2). Langkah penangguhan oleh kerajaan itu dilakukan selepas mengambil kira kesan ekonomoi ketika ini ke atas orang ramai akibat pandemik.