Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Pengangkutan awam bawa penumpang tanpa vaksin lengkap rentas negeri boleh dikenakan tindakan

    Pengangkutan awam bawa penumpang tanpa vaksin lengkap rentas negeri boleh dikenakan tindakan

    Kerajaan bukan sahaja akan mengesan mereka yang merentas negeri tanpa vaksin lengkap menggunakan pengangkutan persendirian dengan memantau pusat tumpuan awam termasuk kawasan Rehat dan Rawat di lebuhraya, malah mereka yang menggunakan pengangkutan awam juga turut akan diberikan perhatian.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam laporan Bernama, arahan khusus untuk memeriksa sijil vaksinasi berkenaan telah dikeluarkan kepada semua pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam sama ada darat, udara mahupun maritim selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan semula, mulai semalam.

    “Agensi penguatkuasaan boleh membuat pemeriksaan, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat pemeriksaan rawak terhadap bas untuk memastikan semua penumpang mematuhi syarat ditetapkan.

    “Pemeriksaan ini (sijil vaksinasi) juga tidak membabitkan kos tambahan pada pengusaha syarikat pengangkutan, sebaliknya menambah keyakinan penumpang untuk melakukan perjalanan jarak jauh dengan menaiki pengangkutan awam,” katanya.

    Sebelum ini Ka Siong dilaporkan berkata bahawa pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam diminta memastikan penumpang dibawa sudah lengkap vaksinasi seperti ditetapkan bawah prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan merentas negeri.

     
     
  • Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

    Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

    2022 Forte

    Kia Forte (juga dikenali sebagai Cerato di Malaysia atau K3 di Korea Selatan) kini diperkenalkan dalam versi kemaskini 2022 di pasaran Amerika Syarikat, yang menyaksikan ia menerima pelbagai tingkat taraf kelengkapan dari segi teknologi terhubung dan juga keselamatan aktif.

    Pada pasaran negara berkenaan, Forte ditawarkan dalam empat pilihan tahap kemasan iaitu FE, LXS, GT-Line, serta model paling sporty dan berkuasa GT.

    Bagi penggayaan luaran, Forte yang disegarkan ini menerima rupa yang sama dengan K3 facelift yang telah pun diperkenalkan di Korea pada April lalu. Ia menampilkan lampu nyalaan siang LED bina dalam dengan dua jalur putus-putus pada lampu hadapan, gril ‘hidung harimau’ yang disentuh semula, manakala model GT-Line dan GT menerima lampu kabus LED yang disusun serong selari dengan bentuk gril bawah, dan berkongsi rekaan lampu belakang LED.

    Model FE hanya diberikan rim besi 15-inci, manakala model lebih tinggi diberikan rim aloi dengan saiz 16-inci dibalut tayar 205/55R16 untuk varian LXS dan 17-inci dengan tayar 225/45R17 bagi varian GT-Line. Bagi versi GT pula, ia dilengkapi rim aloi 18-inci dengan tayar 225/40R18.

    Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

    Kesemua varian kini datang standard dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), manakala sejumlah 15 sistem lagi boleh dipilih secara opsyen. Ia termasuk sistem bantuan mengikut lorong, cruise control pintar berdasarkan sistem navigasi, bantuan pemanduan lebuhraya dan amaran selamat keluar.

    Sistem bantuan pemanduan lain sedia ada tetapi telah dipertingkat pada Forte 2022 ini pula termasuk bantuan pengelak pelanggaran titik buta, bantuan pengelak pelanggaran hadapan (brek kecemasan automatik) yang mengesan pejalan kaki secara standard (pengesan penunggang basikal ditawarkan secara opsyen) dan bantuan pengelak pelanggaran lintasan trafik belakang.

    Manakala sistem lain seperti amaran tumpuan pemandu, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong dan bantuan kekal lorong terus dibekalkan secara standard bagi semua varian Forte ini.

    Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

    2022 Forte

    Bagi kelengkapan dalaman pula, model FE dan LXS menerima ciri standard seperti paparan TFT LCD berwarna 4.2-inci pada kluster instrumen, skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz lapan-inci dan juga hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Model GT-Line dan GT diberikan skrin infotainmen lebih besar bersaiz 10.25-inci.

    Juga sama seperti K3 pasaran Korea, Forte pasaran Amerika ini juga sudah diberikan brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold bagi memberikan ruang storan lebih baik pada konsol tengah. Penumpang belakang juga kini diberikan port pengecas USB.

    Sistem Smart Key yang membolehkan enjin dihidupkan pada jarak jauh diberikan secara standard pada model GT-Line dan GT. Manakala bagi upholsteri, pilihan balutan kulit sintetik SynTex ditawarkan secara opsyen.

    Kia Cerato 2022 kini di AS – pilihan enjin 1.6L Turbo 201 hp/265 Nm dan 2.0L NA, harga bermula RM80k

    2022 Forte

    Model pasaran Amerika Syarikat ini dijana dengan dua pilihan rangkaian kuasa. Model FE, LXS dan GT-Line menerima enjin 2.0 liter MPI NA empat silinder, berkuasa 147 hp dan tork maksima 179 Nm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear IVT iaitu transmisi CVT yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat pada sistem konvensional.

    Bagi model GT penuh pula, ia dijana oleh enjin petrol 1.6 liter dengan pengecas turbo yang menghasilkan 201 hp dan tork maksima 365 Nm. Pembeli boleh memilih sama ada mahukan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan atau enam-kelajuan manual. Model GT juga menerima suspensi multilink pada bahagian belakang berbanding torsion beam pada varian tanpa turbo.

    Untuk harga, Forte 2022 dijual pada harga bermula US$19,090 (RM79,643) bagi model asas FE, sehingga US$23,490 (RM98,000) untuk model paling berkuasa GT. Pemilik yang mahukan kotak gear manual perlu untuk menambah harga Forte GT mereka sebanyak US$1,000 (RM4,172).

     
     
  • KTMB tambah tren ETS, Antarabandar mulai 14 Okt ini

    KTMB tambah tren ETS, Antarabandar mulai 14 Okt ini

    Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pergerakan rentas negeri berkuat kuasa semalam, 11 Oktober 2021, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan akan menambah jumlah perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar mulai 14 Oktober ini.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, jualan tiket bermula pada hari ini untuk perjalanan sehingga Disember 2021.

    “Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua pada ketika ini. Laluannya meliputi sektor Gemas-Padang Besar, KL Sentral–Ipoh, Gemas–Butterworth dan sebaliknya. KTMB turut menawarkan diskaun RM5 untuk 10,000 penumpang terawal bagi pembelian tiket berharga RM40 ke atas dengan kod promo BOLEHRENTAS dan tawaran itu bermula dari 14 hingga 24 Oktober 2021.

    “Empat perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor Gemas–Johor Bahru Sentral dan dua perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran di sektor Tumpat–Johor Bahru Sentral akan beroperasi setiap hari, setelah digantung sementara operasinya sejak pelaksanaan PKP 3.0,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Klik untuk besarkan imej

    Manakala Shuttle Timuran di sektor Kuala Lipis-Tumpat kekal beroperasi dengan 10 perkhidmatan. Tambah beliau, secara keseluruhan, perkhidmatan KTM Antarabandar akan beroperasi dengan 16 servis.

    Mengenai pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata, kakitangan barisan hadapan KTMB akan memastikan hanya mereka lengkap divaksin sahaja dibenarkan menaiki tren dengan menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi Covid-19 sebagai bukti.

    “Penumpang perlu berada di stesen sekurang-kurangnya satu jam awal sebelum perjalanan bagi pemeriksaan dokumentasi dan pemeriksaan suhu badan. Pemantauan oleh anggota Polis Bantuan KTMB, khususnya, akan dibuat di semua stesen dan di dalam tren bagi memastikan para pengguna mematuhi SOP ditetapkan.

    “Selain itu, KTMB ingin menasihatkan orang ramai untuk membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Ia lebih mudah, pantas dan efisien,” katanya.

     
     
  • Isuzu Malaysia perkenal varian D-Max Plus 4×2 Auto — enjin 1.9L, berat kurang 85 kg, harga RM101k

    Isuzu Malaysia perkenal varian D-Max Plus 4×2 Auto — enjin 1.9L, berat kurang 85 kg, harga RM101k

    Isuzu Malaysia kini memperkenalkan varian terbaru Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L untuk pasaran tempatan. Dengan hanya 28% pengguna trak pikap di Malaysia yang kerap menggunakan sistem 4×4 pada kenderaan mereka, varian 4×2 ini menurut pengeluarnya merupakan varian paling ideal yang menawarkan rintangan lebih rendah melalui sistem pacuan yang lebih ringkas, dengan pengurangan beberapa komponen yang perlu diselenggara serta lebih ringan.

    Dengan menggugurkan transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L hanya mempunyai berat 1,830 kg, kurang 85 kg berbanding model pacuan 4×4 biasa. Ia hadir dengan spesifikasi yang sama seperti varian D-Max Standard 4×4 1.9L Auto, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L dikuasakan oleh enjin RZ4E-TC 1.9 liter yang menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800-2,600 rpm.

    Dengan memanfaatkan Isuzu Dynamic Drive Platform, Isuzu D-Max Plus 4×2 baru ini memberikan kestabilan menakjubkan dengan rintangan anjal yang cemerlang, menjadikannya sebuah kenderaan yang sangat berkemampuan tidak kira bebanannya. Bagi mendapatkan kemampuan tampungan beban yang baik untuk varian ini, kadar tetapan suspensi standardnya menggunakan jenis double wishbone di depan dan jenis 3-leaf semi-elliptical spring di belakang.

    Untuk lebih prestasi dinamik dan keyakinan pemanduan, Isuzu D-Max Plus 4×2 1.9L turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan elektronik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Menuruni Curam (HDC) dan Sistem Override Brek (BOS).

    Isuzu Malaysia perkenal varian D-Max Plus 4×2 Auto — enjin 1.9L, berat kurang 85 kg, harga RM101k

    Gabungan bantuan elektronik maju ini dengan struktur badan dengan kejuruteraan jitu telah membolehkan Isuzu D-Max meraih penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, menjadikannya antara trak pikap paling selamat dalam pasaran ketika ini.

    Luaran Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L ini mewarisi penampilan dinamik model Isuzu D-Max generasi ketiga kabin berkembar. Denga gaya dan ketegapannya, varian ini menerima gril kelabu kesat, lampu utama projektor Bi-LED dengan DRL LED serta lampu kabus bersepadu di bucu bampar. Model dengan kedudukan tinggi ini menggunakan rim aloi 17-inci dengan tayar radial 255/65 R17 HT yang menawarkan pemanduan mantap dan tahan lasak.

    Bahagian sisinya diserikan dengan pelekat hiasan “4×2 Auto Plus” untuk membezakan antara varian 4×4 dan 4×2. Kamera undur yang dipasangkan pada pemegang pintu ruang belakang juga kelihatan pada varian 4×2. Ciri ini ditambah kepada varian Auto Plus 1.9L untuk mudahkan lagi kendaliannya, dan digandingkan dengan skrin multimedia 7-inci di dalam untuk paparan.

    Menambah kepada kepelbagaian penggunaannya di dalam bandar, turut tersedia empat sensor undur yang dipasang pada bampar belakang. Ini tidak hanya menawarkan amaran bunyi, turut ada ialah paparan grafik pada panel instrumennya untuk menunjukkan jarak halangan untuk memudahkan pemandu di ruang sempit.

    Isuzu Malaysia perkenal varian D-Max Plus 4×2 Auto — enjin 1.9L, berat kurang 85 kg, harga RM101k

    Kesemua lima pilihan warna ada ditawarkan untuk varian ini, termasuklah Splash White Solid, Mercury Silver Metallic, Onyx Black Mica, Sapphire Blue Mica dan Valencia Orange Metallic. Di dalam, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L didatangkan dengan kerusi fabrik yang tahan lasak dan mudah dibersihkan. Kerusi berkenaan juga direka untuk memberi sokongan dan keselesaan optimum untuk perjalanan jauh. Kerusi pemandunya boleh dilaras enam-arah secara manual.

    Stereng balutan kulitnya boleh dilaras atas-bawah dan jaraknya daripada pemandu. Butang kawalan juga tersedia untuk memudahkan kawalan audio dan telefon serta untuk mengalih paparan MID pada panel instrumen 4.2-inci berwarna.

    Untuk keselamatan, semua kerusi dalam D-Max direka untuk memberikan perlindungan terbaik, sementara cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak juga tersedia di belakang. Kesemua lima kedudukan tali keledar tiga-titiknya datang dengan amaran bunyi dan visual.

    Panel instrumen berkenaan menampilkan paparan e-LUMAX yang mudah dibaca dalam keadaan pencahayaan apa pun, serta memberikan maklumat komprehensif di hujung jari. Paparannya boleh dimalapkan untuk melaraskan lampu ambient.

    Isuzu Malaysia perkenal varian D-Max Plus 4×2 Auto — enjin 1.9L, berat kurang 85 kg, harga RM101k

    Di konsol tengah terletak pula sistem multimedia tujuh-inci dengan skrin sentuh. Ini menawarkan pilihan ketersambungan termasuk USB, Bluetooth, WiFi, MirrorLink, Miracast, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ini menawarkan hiburan tanpa had melalui enam-pembesar suaranya.

    Kuasa untuk peranti pintar juga akan sentiasa tersedia melalui soket 12-volt 120W di depan dan slot USB bagi setiap penumpang di depan dan belakang. Slot di belakang terletak di atas corong pendingin hawa tengah, dengan ruang khusus untuk meletakkan peranti secara kemas juga ada.

    Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L dijual pada harga RM100,999.20 atas jalan tidak termasuk insurans, ia sebuah trak pikap paling mampu milik dan ringkas untuk diselenggara. Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L kini boleh ditempah dan penghantaran akan dilakukan awal bulan November 2021.

     
     
  • Lexus NX 2022 dengan aksesori Modellista dan TRD

    Lexus NX 2022 dengan aksesori Modellista dan TRD

    Selepas dilancarkan pada bulan Jun lalu, Lexus NX generasi kedua kini boleh didapati dengan aksesori TRD dan Modellista, yang dapat menjadikan SUV kompak ini lebih bergaya dan sporty.

    Daripada Modellista, barangan yang disediakan termasuk kit badan yang terdiri daripada spoiler hadapan, skirt tepi serta skirt belakang. Semua barangan ini mempunyai kemasan krom bagi memberikan impak visual, dan ia kemudiannya boleh dinaik taraf dengan pilihan rim aloi 20 inci dan kemasan pada pintu but.

    TRD pula menyediakan barisan aksesori yang dipanggil sebagai F Sport Parts untuk NX 2022, di mana ia terdiri daripada ekzos sport empat muncung, pendakap tapak penyerap serta pendakap di bawah badan. Pemilik model ini juga boleh mendapatkan rim aloi 20 inci serta pakej kit badan daripada TRD.

    Tidak seperti kit badan Modellista yang menggunakan kemasan krom, kit TRD pula menggunakan kemasan hitam, iaitu pada spoiler hadapan, skirt tepi, diffuser belakang serta pelindung cermin sisi. Semua barangan ini disediakan untuk NX varian F Sport di Jepun, sementara untuk varian “version L” pula pilihannya lebih sedikit.

    Model NX di Jepun dijual dalam beberapa varian, bermula daripada NX 250, diikuti NX 250 version L, NX 350 F Sport, NX 350h, NX350h F Sport, NX 250h version L, NX 450h+ version L dan NX 450h+ F Sport. Harga diletakkan bermula 4.55 juta yen (RM167,474), dan naik sehingga 7.38 juta yen (RM271,639).

    GALERI: Lexus NX 2022 dengan aksesori Modellista

    GALERI: Lexus NX 2022 dengan aksesori TRD

     
     
  • Toyota Rumion – model MPV rebadge dari Suzuki Ertiga generasi kedua, untuk pasaran Afrika Selatan

    Toyota Rumion – model MPV rebadge dari Suzuki Ertiga generasi kedua, untuk pasaran Afrika Selatan

    Pada November 2016, Proton pernah memperkenalkan MPV tujuh-tempat duduk berdasarkan Suzuki Ertiga, yang digelar Proton Ertiga. Kini nampaknya bukan hanya Proton menghasilkan model sedemikian, kerana Toyota baru sahaja melancarkan MPV tujuh tempat duduk yang digelar Toyota Rumion di Afrika Selatan, iaitu model rebadge dari Suzuki Ertiga.

    Secara spesifik, Rumion diasaskan dari Ertiga generasi kedua, dan ia bukan dari Indonesia, sebaliknya dari Maruti Suzuki Ertiga yang dijual di pasaran India. Malah, Rumion sebenarnya adalah model ketiga Toyota yang di’rebadge’ oleh Toyota berdasarkan model-model dari Maruti Suzuki bagi pasaran India dan Afrika Selatan selepas Toyota Starlet 2020 (dari Maruti Baleno) dan Toyota Urban Cruiser (dari Maruti Vitara Brezza).

    Tiada perubahan mekanikal dilakukan pada Rumion ini, dan ia masih dijana enjin petrol 1.5 liter empat silinder berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 4,400 rpm, sama seperti Maruti Suzuki Ertiga. Ia ditawarkan sama ada dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Juga, tiada sebarang perubahan penggayaan dibuat terhadap Rumion, di mana Toyota hanya menggantikan gril hadapan dan lencana-lencana berkaitan. Rim juga kelihatan sama, tetapi Rumion diberikan kemasan sedikit lebih gelap berbanding Ertiga.

    Suzuki Ertiga generasi kedua pasaran Indonesia

    Toyota masih belum menyiarkan sebarang foto dalaman bagi Rumion ini. Namun berdasarkan Starlet dan Urban Cruiser sebelum ini, boleh dijangka ia mengunakan kembali keseluruhan rekaan dari Maruti Suzuki termasuk roda stereng rata di bawah, papan instrumen analog dan juga skrin sesentuh untuk sistem infotainmen.

    Dari segi saiz, Rumion dan Ertiga dihasilkan dengan dimensi 4,395 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,690 mm tinggi, menjadikan ia 130 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar serta 5 mm lebih tinggi berbanding Suzuki [dan Proton] Ertiga generasi pertama. Namun, jarak rodanya sebenarnya masih sama.

    Manakala untuk ruang but, ia direka dengan kapasiti 153 liter (naik 18 liter). Ruang tersebut bertambah sehingga 550 liter (naik 50 liter) sekiranya tempat duduk baris ketiga dilipat, dan mencapai kapasiti maksima 803 liter (naik 68 liter) jika tempat duduk baris kedua turut dilipat.

    GALERI: Suzuki Ertiga generasi kedua pasaran Indonesia

     
     
  • Mazda CX-5 2022 dilancar di Thai – paparan 8″, sistem Bose 10-pembesar suara, i-Activsense; dari RM164k

    Mazda CX-5 2022 dilancar di Thai – paparan 8″, sistem Bose 10-pembesar suara, i-Activsense; dari RM164k

    Mazda CX-5 2022 telah pun dilancarkan di pasaran Thailand. Ia bukanlah versi facelift, tetapi lebih kepada sedikit rombakan dan sentuhan yang lebih segar. Ditawarkan dengan empat varian dan tiga pilihan penjana kuasa, dengan harga bermula dari 1,320,000 baht (RM164k) untuk model asas hingga 1,830,000 (RM228k) bagi varian tertinggi pengecas turbo. Harga tersebut turun antara 20,000 baht (RM2,490) hingga 90,000 baht (RM11,205), bergantung pada kemasan.

    Semua pilihan enjin masih diteruskan – dua varian daripadanya menerima enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder, dengan kuasa 165 PS dan tork 210 Nm. Varian ketiga tertinggi pula, XDL, diberikan enjin 2.2 liter turbodiesel dengan kuasa 190 PS dan tork 450 Nm.

    Bagi model tertinggi, menerima enjin 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa 231 PS dan tork 420 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan GVC Plus secara standard, dan hanya model pengecas turbo menampilkan sistem pacuan semua-roda.

    Mazda CX-5 2022 dilancar di Thai – paparan 8″, sistem Bose 10-pembesar suara, i-Activsense; dari RM164k

    Bagi senarai kelengkapannya, semua varian menerima lampu utama LED projektor adaptif dengan lampu nyalaan siang LED secara standard, serta lampu belakang kombinasi LED, cermin pandang belakang elektrokromik, kawalan suhu automotik dwi-zon dan tailgate larasan kuasa. Paparan infotainmen kini didatangkan dengan unit lapan-inci berbanding tujuh-inci sebelum ini, dan ia masih menerima sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Lain-lain negara seperti USA dan UK menerima paparan lebih besar bersaiz 10.25-inci.

    Saiz roda pula antara 17 hingga 19-inci dalam diameter bergantung pada varian, dengan kit tambahan bumbung suria larasan kuasa, sistem bunyi sekeliling Bose 10-pembesar suara dengan program Audio Pilot dan Centre Point, tempat duduk kulit Nappa dengan ventilasi, kemasan kayuan, dan pencahayaan dalaman LED dengan iluminasi untuk bahagian kaki hadapan dan belakang.

    Untuk keselamatan, tiga varian tertinggi menerima i-Activsense (sistem bantuan pemandu termaju Mazda), yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif, brek kecemasan sendiri (hadapan dan undur), bantuan kekal lorong, kepekaan perhatian pemandu, kepekaan lintasan trafik belakang dan pemantauan titik buta termaju. Sistem kamera pandangan sekeliling 360-darjah juga ditawarkan untuk varian terpilih.

    Ciri standard untuk semua varian termasuklah penderia parkir hadapan dan belakang dan enam beg udara. Enam pilihan warna luaran diberikan, bermula dengan Machine Grey, Soul Red Crystal, Deep Crystal Blue, Jet Black, Snowflake White Pearl, dan Sonic Silver.

     
     
  • Honda Civic Si 2022 – teaser ditunjuk dalam versi kereta lumba sebelum didedahkan secara rasmi

    Honda Civic Si 2022 – teaser ditunjuk dalam versi kereta lumba sebelum didedahkan secara rasmi

    Sebelum versi paling berkuasa Type R muncul dari model generasi ke-11, Amerika Syarikat bakal menerima satu lagi model prestasi Civic yang cukup ikonik bagi pasaran berkenaan iaitu Si yang dikhabarkan akan dilancarkan pada Oktober ini. Nampaknya khabar tersebut mungkin tepat kerana Honda sudahpun menyiarkan imej dan video teaser bagi model berkenaan.

    Seperti yang sudah disahkan sebelum ini, Si generasi baharu ini hanya tampil dalam badan sedan kerana Civic Coupe dua pintu pasaran AS sudah tidak lagi ditawarkan, sementara model prestasi dalam badan hatchback hanya eksklusif untuk Type R. Unit Civic Si yang didedahkan sebagai teaser kali ini bukan sahaja masih dilitupi dengan pelekat penyamaran, malah ia tampil sebagai sebuah kereta lumba sebenar.

    Kereta lumba tersebut dibina oleh Team Honda Research West (THR-W), iaitu pasukan lumba yang dianggotai oleh kakitangan Honda dan diselia oleh Honda sendiri sebagai aktiviti selepas kerja (sama seperti Honda Malaysia Racing Team).

    Honda Civic Si 2022 – teaser ditunjuk dalam versi kereta lumba sebelum didedahkan secara rasmi

    Jentera tersebut bakal berlumba di Thunderhill 25-Jam tahun ini, dan dilihat mengenakan sayap GT yang cukup besar dibelakang, spoiler bawah bampar hadapan, sepasang liang udara pada bonet, badan yang direndahkan lebih rapat ke permukaan jalan dan juga kelengkapan dalaman yang telah dibuka.

    Walaupun hampir seluruh badannya dilindung oleh pelekat penyamaran, berberapa perincian unik bagi model produksi Civic Si 2022 dapat dilihat pada unit berkenaan. Antaranya gril hadapan dengan elemen sarang lebah seperti Civic Hatchback bersama lencana “Si”, brek lebih besar serta dua tip ekzos yang diserlahkan berbanding tip yang disorok disebalik bampar pada model standard.

    Selain dari itu, perincian-perincian lain seperti lampu hadapan dan belakang, bampar dan sebagainya masih kelihatan sama seperti Civic sedan biasa.

    Honda Civic Si 2022 – teaser ditunjuk dalam versi kereta lumba sebelum didedahkan secara rasmi

    Bagi unit rangkaian kuasa, Civic Si dijangka bakal menggunakan resipi yang hampir sama seperti model Si generasi sebelum ini – mengekalkan unit 1.5 liter VTEC turbo yang sama tetapi diberikan talaan kuasa lebih besar, digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

    Honda Civic Si generasi sedia ada menampilkan kuasa 205 hp dan tork 260 Nm, atau 31 hp/40 Nm lebih berkuasa dari Civic FC biasa. Bagi model standard generasi ke-11, enjin VTEC Turbo yang sama sudah pun menjana 180 hp dan tork maksima 240 Nm, 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari model generasi ke-10. Jadi tak mustahil Si juga akan menerima lebih peningkatan kuasa kuda, atau mungkin sekadar menerima talaan yang diperhalusi.


     
     
  • Benelli bakal lancar model touring kelas pertengahan baru? Gambar paten di China terdedah, enjin v-twin

    Benelli bakal lancar model touring kelas pertengahan baru? Gambar paten di China terdedah, enjin v-twin

    Walaupun sudah mempunyai TRK 502 sebagai penawaran dalam segmen motosikal touring/adventure kelas pertengahan, Benelli nampaknya tidak mahu ketinggalan dengan pesaing baru seperti Aprilia Tuareg 660, Triumph Tiger Sport 660, Suzuki V-Strom 660 atau Yamaha Tenere 700.

    Syarikat induk Benelli, iaitu Qianjiang Motorcycles didapati telah mendaftar satu lukisan paten motosikal di China, di mana ia telah bocor dan menampakkan sebuah motosikal bentuk touring serba baru. Walaubagaimanapun, kita masih belum pasti sama ada ia betul-betul akan digunakan untuk Benelli ataupun jenama lain yang berada di bawah Qianjiang Motorcycle.

    Daripada lukisan ini, kita boleh lihat motosikal tersebut menyediakan posisi menunggang tegak dengan pemegang yang tinggi, fairing separa seperti Tracer 9, pelindung bawah enjin, suspensi panjang serta penghadang angin kecil di depan.

    Walaupun menggunakan rim jenis spoked, motosikal ini mungkin difokuskan lebih kepada penggunaan di atas jalan bertar kerana masih dipasang dengan tayar biasa, dan ia kelihatan seperti mempunyai saiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Bahagian lain yang dilihat dapat memberi sokongan baik untuk perjalanan jauh adalah tangki yang besar, tempat duduk lebar serta tapak yang sudah tersedia untuk beg barangan tepi dan belakang. Brek menggunakan set cakera berkembar di hadapan dan tunggal di belakang.

    Sementara TRK 502 menggunakan enjin dua silinder selari, motosikal di dalam gambar paten ini pula dilihat menggunakan enjin dua silinder V, sekaligus mungkin memberikan rasa tunggangan yang berbeza. Melalui gambar dari atas pula, kita dapat melihat panel meter digital yang kecil.

     
     
  • Geely Boyue X dilancarkan di China – RM73k hingga RM93k, casis talaan Eropah, muka baru lebih agresif

    Geely Boyue X dilancarkan di China – RM73k hingga RM93k, casis talaan Eropah, muka baru lebih agresif

    Setelah rupanya didedahkan pada Ogos lalu, versi lebih garang bagi kembar Proton X70 bagi pasaran China, Geely Boyue yang dikenali sebagai Geely Boyue X kini dilancarkan pada pasaran berkenaan secara rasmi. Empat varian ditawarkan bagi model baharu ini dengan versi paling asas dijual pada harga bermula 112,800 yuan (RM73k) sehingga varian paling lengkap dijual pada harga 142,800 yuan (RM93k).

    Model ini dihasilkan berasaskan Boyue Pro, namun seperti yang anda boleh lihat, Boyue X ini menerima muka yang berbeza dari rekaan tipikal model-model Geely yang lain. Ini kerana ia menampilkan konsep rekaan baharu yang digelar sebagai “Energy Storm”.

    Rekaan berkenaan diadaptasi dari model konsep Vision Starbust, dan Boyue X ini dihasilkan bagi menarik minat golongan sasar baharu yang lebih muda dengan portfolio produk yang “nampak lebih gagah”. Selepas ini rekaan Energy Storm berkenaan akan diterapkan pula pada sedan Emgrand.

    Geely Boyue X dilancarkan di China – RM73k hingga RM93k, casis talaan Eropah, muka baru lebih agresif

    Bagi Boyue X, rekaan Energy Storm berkenaan membuatkan gril dan bampar hadapannya kelihatan seperti rekaan gril Spindle Lexus. Ia juga menerima skid plate yang direka semula, kemasan liang udara sisi dengan kemasan serlahan oren, rim lima jejari berkembar 19-inci dalam kemasan hitam, angkup brek berwarna oren, rel bumbung hitam dan juga kemasan bawah sisi badan yang diubah sedikit bersama serlahan jalur oren.

    Bahagian belakang masih lagi nampak sama seperti Boyue Pro, namun spoiler dan juga antena sirip yu serta panel penghubung lampu belakang diberi kemasan warna hitam. Kemasan diffuser bawah bampar belakang disentuh semula bagi kelihatan lebih agresif, serta diberikan emblem Boyue X pada pintu tailgate.

    Dalam kabin, Boyue X ini nampaknya masih diberikan rekaan asas pada papan pemuka dan tempat duduk yang sama dengan dengan Boyue Pro. Namun ia diberikan upholsteri dua tona gabungan kulit Beluga Blue dan putih.

    Geely Boyue X dilancarkan di China – RM73k hingga RM93k, casis talaan Eropah, muka baru lebih agresif

    Sistem infotainmen juga sama, menampilkan skrin infotainmen bersepadu dengan papan pemuka, dikuasakan dengan cip-pada-sistem (SoC) Geely E01. Cip berkenaan dikatakan memberikan prestasi dan fungsi yang lebih baik dari sistem sebelumnya.

    Sistem tersebut berfungsi menggunakan Galaxy OS, iaitu sistem yang dihasilkan sendiri oleh Geely yang membolehkan pelbagai aplikasi digunakan termasuk WeChat.

    Varian lebih tinggi turut menerima sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara disertakan dengan mikrofon yang membolehkan anda berkaraoke dalam kereta, sistem lampu suasana kabin 72-warna dan juga kunci digital menggunakan aplikasi telefon pintar membolehkan kunci pintu dibuka secara automatik apabila ia dihampiri oleh pemilik.

    Keempat-empat varian Boyue X ini masih dijana pilihan rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin empat-slinder 1.8 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (memenuhi piawaian emisi 6B nasional China) berkuasa 184 PS dan tork maksima 300 Nm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Ketika didedahkan di Chengdu Auto Show 2021 tempoh hari, Geely turut menyebut bahawa Boyue X ini turut akan hadir dengan pilihan enjin tiga-silinder 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api penuh (sama seperti Geely Binyue/Proton X50) berkuasa 174 hp dan tork maksima 255 Nm. Untuk versi ini hanya didatangkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan automatik dari Aisin, namun harganya masih belum didedahkan.

    Menurut Geely, Boyue X ini turut menerima talaan suspensi berbeza berbanding Boyue lain, di mana ia menampilkan “talaan casis Eropah” yang lebih selesa, dan telah melalui ujian pengesahan merangkumi jarak 60,000 km.

     
     
  • Pelanggan Jaguar F-Pace menang BMW G310R dalam cabutan bertuah Sime Darby Motors Virtual

    Pelanggan Jaguar F-Pace menang BMW G310R dalam cabutan bertuah Sime Darby Motors Virtual

    Baru-baru ini, Sime Darby Motors (SDM) telah menyerahkan BMW G 310 R kepada pelanggannya yang menyertai acara cabutan bertuah sempena karnival jualan maya anjuran syarikat berkenaan yang berlangsung dari 2 hingga 6 Disember 2020. Pelanggan terbabit berpeluang menyertai cabutan bertuah berkenaan selepas membeli Jaguar F-Pace 300PS dalam karvival tersebut.

    Acara dalam talian itu dikendalikan menerusi laman web Sime Darby Motors dengan mempamerkan kenderaan dari jenama BMW, MINI, BMW Motorrad, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai, serta kenderaan pra-pemilikan yang dioperasikan di bawah Sime Darby Auto Selection. Pelanggan yang tidak dikongsikan namanya ini telah menghantar penyertaan untuk acara cabutan bertuah selepas membeli F-Pace.

    “Acara yang dijalankan ini adalah sebagai usaha untuk terus memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan kami walau terdapat beberapa sekatan, dan kami gembira dengan sambutan yang diterima. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemenang yang membawa pulang motosikal BMW G 310 R ini,” ujar pengarah urusan bagi peruncitan dan peredaran SDM Malaysia, Jeffrey Gan.

    Varian. 300PS bagi Jaguar F-Pace dilengkapi dengan enjin 2.0L. Ingenium petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,500 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan sumber-ZF yang menyalurkan pacuan ke semua roda. Pendikitan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam 6.1 saat, dan kelajuan tertinggi cecah 233 km/j.

    Sementara itu, model terkini G 310 R 2021 pula didatangkan dengan enjin 313 cc penyejukan-cecair silinder-tunggal suntikan-bahan api dengan empat-kepala injap, mampu menghasilkan kuasa hingga 34 PS pada 9,500 rpm dan tork 28 Nm pada 7,500 rpm. Transmisinya menerusi kotak gear enam-kelajuan dengan transmisi klac basah dan chain final drive.

     
     
  • Polis akan kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksin, pemantauan dibuat di R&R, tempat tumpuan

    Polis akan kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksin, pemantauan dibuat di R&R, tempat tumpuan

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sudah menyatakan bahawa tiada lagi sekatan jalan raya yang akan dibuat selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi mereka yang sudah lengkap vaksin mulai hari ini. Sehubungan dengan itu, hari ini Polis Diraja Malaysia menyatakan bahawa pasukan pemantau akan diarahkan untuk ke lokasi tumpuan orang ramai bagi mengesan mereka yang merentas negeri tanpa suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

    Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali dalam laporan Berita Harian, polis akan akan mengeluarkan kompaun kepada individu belum lengkap divaksin tetapi mengambil kesempatan turut merentas negeri.

    Pemantauan dan pemeriksaan pasukan berkenaan akan dibuat di lokasi tumpuan orang ramai termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuhraya, dan Hazani menegaskan bahawa tiada lagi amaran akan diberi dan pihaknya akan lebih bertegas dalam penguatkuasaan berkenaan.

    “Pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan dari semasa ke semasa itu bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.

    “Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.

    “Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras. Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu,” katanya kepada akhbar berkenaan hari ini.

    “Kita sedia maklum tiada lagi sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi sekatan jalan raya dan operasi lain seperti Op Benteng tetap dilaksanakan untuk menangani aktiviti jenayah dan pelanggaran SOP,” katanya lagi.

    Selain dari R&R, pemantauan SOP ini turut akan dibuat secara rawak di kawasan tumpuan awam lain di seluruh negara termasuk pusat-pusat beli belah.

     
     
  • LLM jangka trafik di lebuhraya meningkat 4j sehari

    LLM jangka trafik di lebuhraya meningkat 4j sehari

    Susulan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran merentas negeri secara serentak di seluruh negara (kecuali Sabah) bermula hari ini, 11 Oktober 2021, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada empat juta kenderaan sehari terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Oktober ini. Jumlah tersebut meningkat berbanding 3.5 juta kenderaan sehari pada masa kini.

    Menerusi kenyataan yang disiarkan, Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Suhaimi Hassan berkata, untuk memastikan kelancaran pergerakan trafik, LLM telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja–kerja penyelenggaraan dan mengelakkan pelaksanaan penutupan lorong terutamanya di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya KL–Karak, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Kajang Seremban.

    “Persediaan rapi juga perlu dilakukan di plaza tol bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan semasa melakukan transaksi di plaza tol.

    “Selain itu, syarikat pengendali lebuh raya juga diarahkan untuk melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat & rawat dan hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik, teratur serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19,”katanya.

    Dalam masa yang sama, LLM juga menasihati pengguna agar memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, baki kad Touch ‘n Go adalah mencukupi, merancang dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

    “Pakai pelitup muka, amalkan penjarakan sosial, elakkan 3C (close contact, crowded area & close conversation), penggunaan surau dan tandas serta merekodkan pergerakan menerusi aplikasi MySejahtera terutamanya apabila berada di kawasan rehat & rawat atau hentian sebelah,”tambahnya lagi.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1–800–88–7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan. Maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik.

     
     
  • PLUS ingatkan hanya yang lengkap vaksin boleh makan di R&R, sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan

    PLUS ingatkan hanya yang lengkap vaksin boleh makan di R&R, sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan

    Syarikat konsesi yang mengoperasikan Lebuhraya Utara Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengingatkan pengusaha premis makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah kendaliannya agar memastikan hanya pengunjung lengkap vaksinasi boleh makan di kedai atau ‘dine in’ selepas kebenaran merentas negeri yang diberikan kerajaan bermula hari ini.

    Menurut Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid, seorang kakitangan PLUS akan ditempatkan di laluan masuk tempat makan berkenaan bagi mengingatkan orang awam untuk merekod suhu badan dan mendaftar masuk aplikasi MySejahtera.

    “Kakitangan PLUS tidak boleh pantau prosedur operasi standard (SOP) semua pelanggan di R&R sebab itu pengusaha kedai perlu memainkan peranan dalam hal ini.

    “Selain itu, pengunjung perlu mengamalkan kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya kepada akhbar Berita Harian hari ini.

    PLUS ingatkan hanya yang lengkap vaksin boleh makan di R&R, sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan

    Syarikat berkenaan menjangkakan sebanyak 1.3 juta kenderaan akan menggunakan lebuhraya kendaliannya sehari pada hujung minggu ini serta cuti umum Maulidur Rasul Selasa depan, berbanding 1.1 juta kenderaan sehari ketika ini.

    “Sebelum penularan pandemik COVID-19 di negara ini, sebanyak 1.7 juta kenderaan direkodkan pada hari biasa manakala cuti umum atau hari minggu sebanyak 2.2 juta kenderaan,” katanya.

    Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan kerajaan kini memberi kebenaran bagi pergerakan rentas negeri di seluruh negara bermula 11 Oktober 2021 berikutan kadar vaksinasi kebangsaan sudah mencapai 90% bagi mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin ketika ini.

    Namun kebenaran tersebut adalah bersyarat di mana hanya mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin sahaja dibolehkan untuk merentas negeri. Beliau turut mengingatkan agar rakyat Malaysia mengamalkan penjagaan kendiri dan memastikan SOP sedia ada sentiasa dipatuhi — penggunaan pelitup muka, kerap membasuh tangan dan juga menjaga jarak fizikal di tempat awam perlu sentiasa dipatuhi.

     
     
  • UMW Toyota catat 223% lonjakan jualan pada Sept 2021 – bakal memperhebatkan pengenalan model HEV

    UMW Toyota catat 223% lonjakan jualan pada Sept 2021 –  bakal memperhebatkan pengenalan model HEV

    Sektor ekonomi termasuk industri automotif tempatan makin pulih selepas situasi pandemik Covid-19 kian bertambah baik. Malahan mulai hari ini, rentas negeri telah pun dibenarkan secara serentak di seluruh negara (kecuali Sabah) sekaligus membantu merancakkan lagi ekonomi negara. Bagi industri automotif yang telah kembali beroperasi sejak pertengahan Ogos lalu, syarikat pengeluar kenderaan berlumba-lumba memperkenalkan model baharu, malah semakin agresif dalam mengaturkan pelbagai rangka promosi untuk lonjakan semula jualan masing-masing.

    Ini termasuklah dengan UMW Toyota Motor (UMWT) yang semakin menunjukkan perkembangan jualan yang memberangsangkan selepas kembali beroperasi sepenuhnya. Bagi bulan September 2021, syarikat ini telah mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 8,033 unit, iaitu menunjukkan kenaikan sebanyak 5,550 unit berbanding Ogos.

    Menurut UMWT, daripada keseluruhan jumlah tersebut, 7,931 unit daripadanya adalah model Toyota, dan 102 unit lagi dari Lexus. Malahan jumlah ini juga 43% lebih tinggi berbanding bulan sama tahun 2020 yang hanya mencatatkan 5,605 unit kenderaan terjual.

    UMW Toyota catat 223% lonjakan jualan pada Sept 2021 –  bakal memperhebatkan pengenalan model HEV

    Secara keseluruhan, jualan semasa tahunan (year-to-date) bagi kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia mencecah 43,594 unit pada penghujung September. Bagi tempoh sembilan bulan yang sama pada 2020, jumlah keseluruhan tersebut hanya mencatatkan 25,978 unit. Ini menjadi petunjuk yang jelas terhadap situasi buruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada separuh kedua tahun 2020.

    “Kami sangat senang melihat pasaran mula kembali kepada situasi normal, memandangkan tempoh beberapa bulan sebelum ini keadaannya sangat mencabar. Bilik pameran kami telah dibuka dan menerima kunjungan ramai pelanggan setiap hari, dengan tempahan juga semakin meningkat. Kesannya, jualan keseluruhan bagi September untuk Toyota dan Lexus melonjak tinggi sebanyak 223% berbanding bulan Ogos,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    Beliau juga berkata, bahkan sebelum larangan pergerakan dimansuhkan, semua kemudahan syarikat ini telah disanitasi dan bersedia untuk menerima pengunjung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan. SOP berkenaan kini akan dipastikan pematuhannya sebaik mungkin di semua cawangan, sementara program diperingkat syarikat turut dilaksanakan bagi memastikan semua tenaga kerja sudah lengkap divaksin.

    UMW Toyota catat 223% lonjakan jualan pada Sept 2021 –  bakal memperhebatkan pengenalan model HEV

    “Saya ingin meyakinkan semua pelanggan bahawa mereka akan selamat dan dilindungi ketika berkunjung ke bilik pameran atau pusat servis kami, dan pada masa sama kami juga akan mengingatkan mereka agar sentiasa mematuhi SOP. Ini termasuk mengimbas suhu badan dan mendaftarkan kunjungan mereka menggunakan aplikasi MySejahtera, serta menggunakan cecair sanitasi tangan dan pelitup muka sepanjang masa,” ujarnya.

    UMWT turut memaklumkan,pelanggan yang merancang untuk membeli kenderaan baharu Toyota boleh menikmati ansuran bulanan rendah dengan Toyota EZ Beli. Untuk pegawai kerajaan, UMWT juga ada menawarkan program Jom Drive (dengan kerjasama Toyota Capital Malaysia) dengan manfaat istimewa dan sepilihan pelan pembiayaan. Permohonan (dengan dokumen sokongan) sangat ringkas dan akan diproses segera agar pembeli boleh menikmati kenderaan Toyota baru mereka dalam masa yang singkat.

    “Pelanggan setia kami yang telah menyokong jenama ini sejak lebih lima dekad lalu juga tidak dilupakan. Kami kini mempunyai program kesetiaan Loyal-T dengan servis dan ganjaran yang lebih besar,” tambah Ravindran. “Program berkenaan memanfaatkan aplikasi mudah alih Toyota Drive untuk keselesaan pengguna dan memudahkan komunikasi dengan UMWT.”

    UMW Toyota catat 223% lonjakan jualan pada Sept 2021 –  bakal memperhebatkan pengenalan model HEV

    Toyota Corolla Cross Hybrid untuk pasaran Thailand

    Dengan aktiviti perniagaan kini kembali normal, UMWT sedang sibuk mempersiapkan masa depan yang mengujakan dengan Teknologi Hibrid Elektrik. Model-model baru ini akan dilengkapi sistem janaan lebih cekap dengan pembebasan sisa pembakaran yang rendah serta lebih senyap.

    “Kenderaan hibrid elektrik Toyota (HEV) kini dalam tahap paling maju, dan merupakan penyelesaian segera dan paling ekonomik bagi pengeluaran pasaran massa dan jualan, terutama dari segi pengurangan pembebasan CO2, penggunaan praktikal dan penerimaan harga oleh pengguna. Kami sangat positif yang HEV adalah pilihan paling mudah diakses dan realistik untuk pelanggan di Malaysia dari sudut praktikaliti dan prasarana, serta mempunyai potensi besar di sini,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    Sejak akhir September lalu, UMWT juga telah menyiarkan teaser bagi model hibrid CKD dan kemungkinan besar ia adalah Corolla Cross Hybrid. Malah ia dikhabarkan bakal diperkenalkan secara rasminya pada 14 Oktober ini. Selain Corolla Cross Hybrid, kita juga boleh menjangkakan Corolla sedan (sudah pernah dilihat kelibat model hibridnya di sini dua tahun lalu) dan varian hibrid untuk Camry juga sebaik saja ia dipasang di sini.

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport 2022 kini tiba di pasaran Jepun – RM159k, suspensi dan penampilan lebih sporty

    Toyota Hilux GR Sport 2022 kini tiba di pasaran Jepun – RM159k, suspensi dan penampilan lebih sporty

    Kepada yang masih belum tahu, Hilux walaupun ia adalah trak pikap dari jenama Jepun Toyota, produksi utamanya adalah di Thailand. Jualannya di Jepun juga pernah dihentikan pada 2004, dan kemudian dijual semula pada 2017. Jadi selepas pasaran Thailand menerima model lebih sporty Hilux GR Sport pada April lalu, kini barulah tiba masa model dengan lencana sama mendarat di pasaran Jepun.

    Walau bagaimanapun, Hilux GR Sport JDM ini diberikan perincian agak berbeza dari model pasaran Thailand. Ia tidak diberikan enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter 204 PS/500 Nm seperti di Thai, sebaliknya masih diasaskan dari varian Z Grade Jepun dan kekal dengan enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel berkuasa 150 PS (148 hp) dan tork maksima 400 Nm. Kotak gear enam kelajuan dan sistem 4WD yang sama dengan versi standard juga masih digunakan.

    Dari segi rupa, Hilux GR Sport pasaran Jepun ini menerima gril hadapan yang direka seakan Land Cruiser 300 GR Sport menampilkan skrip ‘Toyota’ bagi menggantikan logo biasa. Manakala pada bampar hadapan, perumah lampu kabus model JDM ini adalah lebih ringkas dari versi pasaran Thailand.

    Toyota Hilux GR Sport 2022 kini tiba di pasaran Jepun – RM159k, suspensi dan penampilan lebih sporty

    Keempat-empat ruang roda trak pikap ini diberikan overfender warna badan dengan kemasan hitam di atasnya. Ia juga diberikan rim 18-inci enam jejari berkembar kemasan dua-tona gelap, bersama angkup brek berwarna merah. Model JDM ini nampak lebih ringkas dari kembarnya di Thailand kerana tidak diberikan pelekat grafik badan serta sports bar di belakang.

    Pada bahagian kabin, model ini diberikan tempat duduk balutan gandingan kulit sintetik dan sued hitam-merah dengan logo GR pada perehat kepala. Ia juga dilengkapi dengan roda stereng balutan kulit bersama penanda pukul 12 merah, butang penghidup enjin, set pedal aloi dan kunci yang kesemuanya menampilkan logo GR.

    Selain tingkat taraf estetika yang diberikan, Hilux Gazoo Racing Sport ini turut diberikan talaan suspensi istimewa. Menurut Toyota, talaan tersebut dibuat bagi memberikan penambahbaikkan dari segi “respon stereng dan merasai bahagian rata serta pemanduan lebih selesa”.

    Toyota Hilux GR Sport 2022 kini tiba di pasaran Jepun – RM159k, suspensi dan penampilan lebih sporty

    Model ini turut diberikan kelengkapan-kelengkapan standard lain yang sama dengan Hilux Z Grade pasaran Jepun. Jadi ia hadir dengan sistem pendingin hawa dua zon, sistem kemasukan tanpa kunci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz lapan-inci serta pedal penukar gear.

    Dengan kesemua perincian yang dibekalkan ini, trak pikap Toyota Hilux GR Sport dijual di Jepun pada harga 4.312 juta yen (RM159,484), termasuk cukai.

     
     
  • MForce Bike Holdings Sdn Bhd dilantik jadi pengedar rasmi QJ Motor di Malaysia – tiba tengah tahun depan

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd dilantik jadi pengedar rasmi QJ Motor di Malaysia – tiba tengah tahun depan

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd, yang kini merupakan pengedar rasmi untuk motosikal Benelli, SYM, Keeway, SM Sport, WMoto, Brixton dan Niu di Malaysia menambah satu lagi jenama di bawah pengurusan mereka, iaitu QJ Motor setelah dilantik oleh pengeluarnya dari China, Qianjiang Motorcycle.

    Sudah wujud sejak tahun 1985, Qianjiang Motorcycle mempunyai beberapa jenama di bawahnya, seperti Benelli, Keeway dan QJ Motor. Bagi QJ Motor, produknya terdiri daripada 100 cc hingga 1,300 cc, dan contoh modelnya adalah seperti SRT800, SRK600 dan QJ Race 250.

    Menurut pengurus kanan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad, Mforce kini sedang giat menjalankan ujian ketahanan ke atas beberapa model QJ Motor bagi memastikan kualiti keseluruhan motosikal tersebut berada dalam keadaan yang maksimum dan ia dijangka berada dalam pasaran tempatan suku kedua tahun hadapan.

    Untuk jualan dan servis sokongan, MForce mempunyai perancangan untuk mewujudkan rangkaian 247 pengedar di seluruh negara untuk memberi khidmat kepada jenama di bawah MForce, termasuk QJ Motor. Jumlah pengedar paling banyak adalah di Selangor, iaitu 45, diikuti 36 di Johor, 29 di Perak dan 25 di Kedah.

    Negeri lain turut tidak ketinggalah, termasuk 23 di Pulau Pinang, 16 masing-masing di Kuala Lumpur dan Pahang, 13 di Sarawak, 10 di Negeri Sembilan, sembilan masing-masing di Kedah dan Melaka, lapan di Sabah, tujuh di Terengganu dan satu di Perlis.

     
     
  • Hyundai Kona Electric facelift 2021 dilihat di Malaysia — pilihan bateri 39.2 kWh atau 64 kWh, pelancaran Q4

    Hyundai Kona Electric facelift 2021 dilihat di Malaysia — pilihan bateri 39.2 kWh atau 64 kWh, pelancaran Q4

    Ini Hyundai Kona Electric facelift yang akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia tahun ini. Dua unit ini dilihat oleh Adi Azri Ari di Petronas Ara Damansara — ketika sedang isi angin tayar.

    Versi EV untuk SUV segmen B Kona yang dilihat ini mungkin untuk kegunaan dalaman, memandangkan kereta ini hanya akan berada di bilik pameran hujung tahun nanti. Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) telah mengesahkan kepada paultan.org bahawa pelancaran Kona Electric di Malaysia akan berlangsung pada suku keempat tahun ini — maksudnya, tidak lama lagi.

    Tahun lalu, Hyundai memperkenalkan Kona versi facelift, dan HSDM juga sudah membawa masuk versi berkenaan, dengan enjin 2.0 liter NA April lalu, diikuti dengan versi enjin turbo 1.6 liter dan N Line pada Julai lalu. Kona Electric akan menjadi model elektrik sepenuhnya yang pertama HSDM yang ditawarkan di sini — hibrid sebelum ini ada Ioniq.

    Hyundai Kona Electric facelift 2021 dilihat di Malaysia — pilihan bateri 39.2 kWh atau 64 kWh, pelancaran Q4

    Kona Electric akan ditawarkan di sini dengan dua saiz bateri, sama seperti di Eropah. Sama seperti versi pra-facelift, EV ini datang dengan bateri 39.2 kWh atau 64 kWh. Motor tunggal pada model asas menghasilkan 136 PS sementara versi bateri yang lebih besar dengan motor 204 PS. Kedua-duanya datang dengan 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.9 saat bagi bateri 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi bateri 64 kWh. Laju maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

    Walaupun tiada perubahan pada bateri, ada sedikit perbezaan bagi jarak pemanduan bagi satu cas penuhnya dalam kitaran WLTP. Versi 39.2 kWh kini memberikan 305 km (kurang 7 km dari 312 km) sementara versi 64 kWh memberikan 484 km (tambah 2 km dari 482 km).

    Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW akan mengambil masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi model 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula ia hanya memerlukan 47 minit untuk kedua-duanya.

    Hyundai Kona Electric facelift 2021 dilihat di Malaysia — pilihan bateri 39.2 kWh atau 64 kWh, pelancaran Q4

    Pengecasan AC biasa dengan pengecas dalaman 7.2 kW single-phase pula memerlukan enam jam untuk mencapai 10% hingga 80% bagi model asas, dan sembilan jam 15 minit bagi model 64 kWh. Masa mengecas masing-masing akan jadi hanya empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas dalaman 10.5 kW three-phase pilihan.

    Untuk pasaran Eropah, ada dua tema ruang dalaman — pertama, hitam dengan material kain, campuran kain dan kulit atau balutan kulit; sementara yang kedua dalam warna kelabu. Ruang dalaman kereta yang ada ini tidak dapat dilihat dengan jelas.

    Bantuan pemandu SmartSense telah dinaiktaraf dan kini termasuk ciri bantuan mengelak perlanggaran lintasan belakang (RCCA) dan bantuan tinjauan titik buta. Semua fungsi ini ada tambahan brek autonomous kepada ciri amaran sebelum ini. Juga baru untuk Kona Electric adalah ciri Leading Vehicle Departure Alert (LVDA), Safe Exit Warning (SEW) dan Rear Seat Alert (RSA).

     
     
  • Mitsubishi Motors tawar hantar kereta baru terus ke rumah untuk pelanggan bilik pameran atas talian

    Mitsubishi Motors tawar hantar kereta baru terus ke rumah untuk pelanggan bilik pameran atas talian

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini telah mengumumkan bahawa perkhidmatan penghantaran kereta baharu terus ke rumah pelanggan kini sudahpun bermula.

    Perkhidmatan berkenaan ditawarkan kepada pelanggan yang menempah dan membuat pendaftaran mana-mana model baharu Mitsubishi menerusi bilik pameran atas talian MMM, dan kemudian kereta berkenaan akan dihantar terus ke pintu rumah menggunakan trak pengangkut.

    Walau bagaimanapun, servis ini hanya akan dimulakan di kawasan Lembah Klang terlebih dahulu, sebelum dikembangkan di bahagian lain seluruh Malaysia.

    “Dengan Malaysia kini sedang bersedia untuk beralih dari pandemik Covid-19 kepada fasa endemik, Mitsubishi Motors kini menjalankan usaha bagi memastikan servis digital kami dipertingkat untuk keselamatan dan keselesaan pelanggan. Kami mahu menyediakan pilihan untuk pelanggan membeli secara atas talian, menawarkan sesuatu yang di luar kebiasaan pemilikan kenderaan,” kata CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    “Kami menawarkan servis digital sehenti bermula dari melihat kereta menerusi bilik pameran maya, menempah slot pandu uji, menyiapkan proses jualan atas talian seperti tempahan, serta proses tukar beli dan kereta baharu yang dihantar terus ke pintu rumah mereka,” tambahnya.

    Sebagai sebahagian promosi yang sedang berlangsung, pelanggan turut boleh menggunakan kod promo “4SUREBELI” bagi menerima jaket North Face edisi terhad apabila mereka menempah dan mendaftar Mitsubishi Triton baharu menerusi bilik pameran maya MMM.

     
     
  • Hong Leong Yamaha Motor siarkan teaser model baru yang akan diperkenalkan 15 Okt ini – MT-09? T-Max?

    Pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengeluarkan dua video teaser yang mahu memberitahu pada 15 Oktober ini, mereka akan melancarkan sebuah model baru untuk pasaran.

    Dalam kedua-dua video ini, tidak sedikit pun bentuk motosikal ditunjuk, dengan yang pertama cuma menampakkan seorang lelaki sedang mengangkat besi di gim, berserta ayat yang bermaksud “enjin baru lebih berkuasa” dan tarikh pendedahannya – 15 Oktober, 8 malam.

    Kemudiannya dalam video kedua pula, ia menunjukkan seseorang sedang meluncur salji dan dipadankan bersama ayat “elegan & mewah, kemasan premium”. Memang bukan senang untuk menterjemah teaser ini, tetapi kita masih boleh menggunakan beberapa petunjuk.

    Pertama, ia bukan sahaja disiarkan di halaman rasmi HLYM, tetapi juga satu lagi halaman khas yang dibuat hanya untuk motosikal kapasiti tinggi mereka. Jadi bermakna, ini adalah sebuah motosikal kapasiti tinggi, lebih daripada 250 cc.

    Ramai yang membuat jangkaan ini adalah teaser untuk R7, tetapi kami rasa, ia seperti kurang sesuai dengan tema video yang disiarkan. Jika R7, pastinya ia lebih ke arah prestasi dan litar. Jika mahu membuat tekaan, kami namakan, MT-09 dan Tracer 9 baru sebagai permulaan.

    Dua model yang masih belum tiba di Malaysia ini mendapat enjin berkapasiti lebih tinggi berbanding MT-09 dan Tracer 900 yang dijual di negara kita sekarang, dan ia bersesuaian dengan tema “enjin baru lebih berkuasa” pada video pertama.

    Kalau mahu dipadankan dengan tema “elegan & mewah, kemasan premium” pada video kedua juga ia nampak bersesuaian, tetapi dengan orang yang meluncur itu, mungkin tidak. Jadi disebabkan itu, kami namakan satu lagi model, iaitu T-Max 560.

    Model ini didedahkan untuk pasaran Eropah pada hujung tahun 2019 dan ia menggunakan enjin 560 cc bagi menggantikan unit 530 cc sebelumnya. Disebabkan ia adalah sebuah skuter, kami rasakan ia bersesuaian dengan konsep meluncur seperti yang ditunjukkan dalam video teaser kedua.

    Anda pula macam mana? Anda rasa motosikal apa yang akan diperkenalkan oleh HLYM nanti? Bersama kita saksikan siaran pengenalannya 15 Oktober ini, jam 8 pm melalui saluran media sosial mereka.

    GALERI: Yamaha Tracer 9 2021

    GALERI: Yamaha MT-09 2021

    GALERI: Yamaha T-Max 560 2021