Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Hyundai Staria Premium dijumpai di M’sia

    SPYSHOT: Hyundai Staria Premium dijumpai di M’sia

    Nampaknya pengenalan Hyundai Staria di pasaran Malaysia akan berlaku tidak lama lagi, kerana model ini sudah mula dilihat di perkarangan hab automotif Sime Darby Motors City di Ara Damansara, Selangor.

    MPV jenama Korea ini sudah pun dilancarkan di Thailand Julai lalu, dengan hanya satu pilihan enjin iaitu 2.2 liter turbodiesel dengan kuasa 177 PS dan 431 Nm tork. Di negara lain, ada juga pilihan enjin V6 petrol 3.5 liter yang mampu menghasilkan 272 PS dan 331 Nm tork. Kedua-dua enjin ini menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan.

    Tempat duduk di dalam Staria boleh dipilih dengan konfigurasi sehingga 11 orang, sementara varian Premium mendapat pelbagai lagi kelengkapan seperti Premium Relaxation Seats. Ada juga pilihan tempat duduk yang boleh dipusing supaya penumpang boleh menghadap satu sama lain.

    Model yang menggantikan Starex ini dikatakan mampu memberi lebih keselesaan hasil penukaran suspensi belakang daripada solid axle kepada multi-link dan penyerap yang ditala semula, sementara brek juga telah dinaik taraf.

    Sekarang ini masih terlalu awal untuk kita membuat anggaran harganya, tetapi jika melihat di Thailand, Staria biasa (bukan Premium) dijual pada harga bermula 1,729,000 baht (RM222,100), iaitu lebih mahal berbanding Starex/H-1 yang dijual pada harga bermula 1,329,000 baht (RM170,800).

    Di Malaysia, Grand Starex dijual pada harga bermula RM165,888 untuk varian Executive Plus, sementara varian Executive Prime yang lebih tinggi pula dijual pada harga RM173,888. Jika Staria ini dijual pada harga lebih RM200k, adakah ia masih boleh masuk dalam senarai MPV pilihan anda?

    GALERI: Hyundai Staria 2021

     
     
  • Mitsubishi Xpander facelift 2022 dikesan di Indonesia

    Mitsubishi Xpander facelift 2022 dikesan di Indonesia

    Nampak gayanya Mitsubishi Xpander bakal hadir dengan model facelift tidak lama lagi dan MPV bajet rendah ini telah pun dikesan di Indonesia dengan rupa paras yang sedikit berbeza. Menurut Autonetmagz, foto ini diambil ketika Xpander facelift berkenaan sedang menjalani sesi penggambaran komersil. Fotonya agak blur, tetapi bolehlah kita lihat sedikit bayangan yang bakal ditampilkan untuk model facelift ini.

    Perubahan paling ketara ialah lampu utamanya yang diberikan nafas yang lebih segar. Pada Xpander, terdapat tiga tetingkat lampu yang diletakkan di tengah. Lampu utama pada model semasa adalah unit menegak pada bampar. Namun untuk model faceliftini, lampu utamanya diletakkan di perumah berbentuk-T, dengan kepingan melintang melunjur ke gril Dynamic Shield. Lampu tersebut juga agak nipis.

    Lampu nyalaan siang LED pula ditempatkan di atas tertingkat. Tidak begitu jelas kelihatan menerusi foto ini, namun ternyata ia juga menampilkan rekaan gril baharu. Manakala roda dua-tona dengan paten gaya-bilah juga antara ciri baharu yang diberikan. Pada bahagian belakang, bampar baharu bersama potongan menegak pada bahagian sisi, disertai dengan jaluran.

    Klik untuk besarkan imej

    Sebelum ini, pertama kali melihat XM Concept dalam penganjuran GIIAS 2016, dan versi produksi telah diperkenalkan pada acara yang sama setahun kemudian. Sedikit naiktaraf telah dilakukan melibatkan gril dan kelengkapan lain untuk model pasaran negara berkenaan pada awal 2020 lalu.

    Walau bagaimana pun, ia mengambil sedikit masa untuk Xpander sampai ke pasaran Malaysia disebabkan ia adalah pemasangan tempatan (CKD), dan pada November 2020, MPV tujuh-tempat duduk ini telah pun dilancarkan secara rasmi. Ia telah pun menerima sambutan yang begitu menggalakkan dan mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan. Buat masa ini, Xpander juga merupakan MPV bukan-nasional terlaris di pasaran tempatan dengan mencatatkan sejumlah hampir 13,000 unit tempahan sejak ia dilancarkan. Sehingga September 2021, MMM telah menghantar 5,756 unit kepada para pelanggannya.

    Model semasa Xpander dijana oleh enjin petrol NA 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Unit 4A91 MIVEC itu menyalurkan pacuannya ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik empat-kelajuan. Antara ciri kelengkapannya termasuklah lampu utama reflektor bi-LED, aloi 16-inci, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk kulit quilted, unit utama skrin sesentuh 9.0-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto dan kamera dashcam 360-darjah.

    GALERI: Mitsubishi Xpander di Malaysia

     
     
  • Ducati Scrambler 1100 Tribute Pro dan Urban Motard 2021 diperkenal – bawa penampilan unik tersendiri

    Ducati Scrambler 1100 Tribute Pro dan Urban Motard 2021 diperkenal – bawa penampilan unik tersendiri

    Selepas siri pertama Ducati World Premiere 2021 (DWP) mendedahkan Multistrada V2, siri kedua pula melibatkan dua versi model Scrambler iaitu Scrambler 1100 Tribute Pro dan Scrambler Urban Motard, dengan masing-masing membawa keunikan tersendiri.

    Melihat terlebih dahulu kepada Scrambler 1100 Tribute Pro, ia adalah sebuah model yang dihasilkan dengan konsep penghormatan kepada Ducati 450 Desmo Mono dan Ducati 750 Sport tahun 70-an, yang menjadi antara model terawal menggunakan enjin v-twin penyejukan udara Ducati 50 tahun dahulu.

    Selain warna kuning Giallo Ocra serta kerangka Trellis serba hitam, model ini ditambah lagi dengan tanda-tanda grafik seperti motosikal lumba 70-an Ducati seperti logonya, yang dibuat oleh Giugiaro, rim spoked hitam, cermin sisi bulat serta tempat duduk coklat.

    Pada bahagian enjin, model ini masih menggunakan pakej sama seperti Scrambler 1100 yang lain, iaitu unit dua silinder V 1,079 cc berkemampuan 86 hp pada 7,500 rpm dan 92 Nm tork pada 4,750 rpm. Pengguna disediakan dengan tiga mod tunggangan iaitu Active, Journey dan City, sementara kawalan cengkaman dan Cornering ABS datang secara standard.

    Datang dengan rim 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli MT60 RS, Scrambler Tribute Pro menyediakan tinggi tempat duduk 810 mm sementara tangki bahan api menyediakan kapasiti 15 liter. Semua lampu model ini adalah unit LED, dan didatangkan dengan motf ‘X’ di hadapan.

    Kemudahan lain yang disediakan pada Scrambler Tribute Pro adalah seperti soket USB di bawah tempat duduk dan pilihan tambahan Ducati Multimedia System yang boleh memberikan sambungan kepada telefon pintar. Dalam keseluruhan pilihan Scrambler 1110, Scrambler 1100 Dark Pro disediakan sebagai pilihan permulaan dan di atasnya terdapat Scrambler 1100 Sport Pro.

    Ducati Scrambler 1100 Tribute Pro dan Urban Motard 2021 diperkenal – bawa penampilan unik tersendiri

    Satu lagi Scrambler baru yang diperkenalkan adalah daripada kategori Scrambler 803, dinamakan sebagai Scrambler Urban Motard. Grafik yang digunakan menyamai konsep seperti Hypermotard 950 RVE, dan ia dihasilkan oleh Centro Stile Ducati untuk mengetengahkan imej seni jalanan dan grafiti.

    Walaupun menggunakan nama motard, suspensi model ini masih sama seperti Scrambler 803 biasa, iaitu fork USD Kayaba 41 mm, serta monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban di belakang, menghasilkan tinggi tempat duduk 798 mm.

    Enjin juga masih sama, iaitu unit dua silinder V penyejukan udara 803 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm. Tiada pilihan mod tunggangan pada model ini.

    Pada bahagian tayar, yang dipasang pada rim jenis spoked, Scrambler Urban Motard menggunakan unit Pirelli Diablo Rosso III bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang. Brek menggunakan cakera 330 mm tunggal berserta angkup empat piston di hadapan, sementara belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston – Cornering ABS diberikan secara standard.

    Urban Motard ini menyertai pilihan lain yang disediakan dalam barisan model Scrambler 803 seperti Icon, Icon Dark, Nightshift dan Desert Sled yang paling tinggi. Di Malaysia, Scrambler Nightshift baru sahaja dilancarkan Ogos lalu dan ia dijual pada harga RM65,900.

    GALERI: Ducati Scrambler Tribute Pro

    GALERI: Ducati Scrambler Urban Motard

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia sumbang Triton kepada Dignity Farm School sebagai sebahagian inisiatif CSR

    Mitsubishi Motors Malaysia sumbang Triton kepada Dignity Farm School sebagai sebahagian inisiatif CSR

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menyumbang seunit trak pikap Triton kepada Dignity Farm School, pusat pembelajaran komuniti dan holistik di Bentong, Pahang, untuk golongan miskin bandar.

    Trak pikap Triton berkenaan diserahkan oleh CEO MMM Tomoyuki Shinnishi dan akan digunakan untuk operasi harian ladang terbabit termasuk pengangkutan bagi anak Orang Asli ke sekolah, di mana mereka terbabit dalam dengan program pendidikan remaja transformatif yang diasaskan pada pembangunan komuniti, pertanian semulajadi dan pengembangan kemahiran.

    “Seiring dengan usaha kerajaan malaysia yang bakal membuka semula sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan dan diperbaharui, kami di Mitsubishi Motors merasakan ini adalah waktu yang cukup tepat untuk kami boleh melakukan lebih banyak perkara untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan masyarak pribumi dari segi pendidikan dan kesihatan,” kata Shinnishi.

    Mitsubishi Motors Malaysia sumbang Triton kepada Dignity Farm School sebagai sebahagian inisiatif CSR

    Tambah beliau lagi, “Kami gembira dapat bekerjasama dengan Dignity Farm School, tempat di mana kemahiran dan pengetahuan dihubungkan dan dididik dari pelbagai sumber dan pengalaman, menggabungkan kemahiran praktikal dan teori dalam persekitaran ladang. Ia dapat mempersiapkan anak-anak yang kurang bernasib baik di masa depan sebelum memasuki lapangan kerja dalam bidang pertanian dan pelancongan.”

    Selain itu, menurutnya lagi, sekolahyang terletak di kawasan pedalaman di Bentong ini memang memerlukan kenderaan 4×4 sebagai pengangkutan, sesuai dengan keupayaan dan kelebihan yang ada pada trak pikap Triton yang telah melalui pelbagai ujian ketahanan.

    Visi CSR MMM pada tahun ini ialah “memberi inspirasi kepada kehidupan hari ini untuk masa depan yang lebih baik”, sementara misinya pula adalah untuk melaksanakan. aktiviti CSR yang bertujuang untuk menyokong anak-anak yang kurang berkemampuan dan bekerjasama dengan NGO dalam mempromosikan persekitaran, kemasyarakatan dan ekonomi yang lestari. Usaha lain yang turut dilakukan oleh MMM termasuklah menyumbang keperluan makanan kepada kumpulan B40 di Malaysia, dan telah membantu lebih daripada 150 keluarga.

     
     
  • Honda e:N Series EV Concept didedah – lima model EV dan FCV, akan masuk pasaran bermula tahun depan

    Honda e:N Series EV Concept didedah – lima model EV dan FCV, akan masuk pasaran bermula tahun depan

    Selari dengan strategi untuk meningkatkan penawaran kenderaan elektrik (EV) dan fuel cell elektrik (FCV) dalam pasaran dengan sasaran jualan 40% daripada jumlah keseluruhan menjelang 2030, 80% menjelang 2035 dan 100% menjelang 2040, Honda menguatkan lagi perancangan mereka dengan mendedahkan beberapa rekaan serta model konsep elektrik terbaru.

    Dipanggil sebagai Honda e:N Series (huruf “e” diambil daripada “e:Technology” dan “N” daripada “New/Next”), barisan model maju ini buat permulaan akan lebih dikhususkan kepada pasaran China yang dianggap sudah bersedia untuk menerimanya.

    Dua model yang akan diperkenalkan paling awal adalah e:NS1 dan e:NP1, di mana ia akan dijual di China pada tahun hadapan dan dibuat masing-masing oleh Dongfeng Honda dan GAC Honda. Menggunakan asas yang sama, dua crossover ini boleh dikatakan seperti versi elektrik untuk HR-V generasi ketiga, dan telah ditunjukkan lebih awal April lalu melalui model konsep e:prototype.

    Setakat ini masih belum ada perincian berkenaan penggerak yang akan digunakan, tetapi laporan awal mengatakan e:NS1 akan dikuasakan oleh satu motor elektrik yang diletakkan di gandar belakang, dengan kemampuan 182 hp untuk varian asas, dan 201 hp untuk varian lebih tinggi.

    Untuk barisan model elektrik itu secara keseluruhannya, Honda mengatakan ia bakal menampilkan “ciri pemanduan sporty dan mengujakan, unik bagi model Honda,” bersama ruang dalam selamat, menyenangkan dan pintar – model e:N akan menggunakan e:N OS, iaitu sistem bersepadu yang menggabungkan sistem Sensing, Connect serta kokpit digital jenama tersebut.

    Tiga lagi model yang akan mengikuti jejak e:NS1 dan e:NP1 sedang melalui proses pembangunan, dan ia akan menggunakan asas daripada e:N COUPE Concept, e:N SUV Concept dan e:N GT Concept, dengan rancangan pengenalan kepada pasaran dalam masa lima tahun lagi.

     
     
  • Honda Sensing 360 – sistem keselamatan dan bantuan pemandu lebih maju, akan mula diguna tahun hadapan

    Honda Sensing 360 – sistem keselamatan dan bantuan pemandu lebih maju, akan mula diguna tahun hadapan

    Honda telah mendedahkan Honda Sensing 360, iaitu satu sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang bertujuan melenyapkan titik buta di sekeliling pemandu dalam kenderaan, membantu mengelak perlanggaran serta mengurangkan beban kepada pemandu sewaktu mengendali kenderaan.

    Ia direka sebagai sebahagian daripada sasaran Honda untuk mewujudkan “masyarakat bebas perlanggaran untuk semua yang berkongsi jalan raya,” dan menggunakan sistem Honda Sensing yang diperkenalkan pada tahun 2014 sebagai asas. Selain kamera monokular yang sudah sedia ada, Honda Sensing 360 ditambah lagi dengan lima unit radar gelombang milimeter untuk menghasilkan pengesan 360 darjah.

    Melalui pakej ini, sistem seperti amaran trafik melintas hadapan, pengurangan perlanggaran keluar lorong, bantuan tukar lorong aktif, sistem brek pengurangan perlanggaran (CMBS) dan bantuan kelajuan selekoh dapat dijadikan lebih maju.

    Honda Sensing 360 – sistem keselamatan dan bantuan pemandu lebih maju, akan mula diguna tahun hadapan

    Penambahan pembangunan bagi CMBS bermaksud, ia kini mempunyai jarak pengesanan lebih luas, termasuk semua hala, berbanding depan sahaja sebelum ini. Bagi kenderaan yang dilengkapi dengan Honda Sensing 360 ini, CMBS padanya boleh mengesan, mengelak atau mengurangkan perlanggaran dengan kenderaan lain atau pejalan kaki apabila berada di persimpangan dengan mengesan objek dari segenap penjuru dalam masa yang sama.

    Untuk amaran perlanggaran trafik melintas hadapan pula, sistemnya boleh memberitahu pemandu sekiranya ada kenderaan yang menghampiri persimpangan sama dari tepi dan hadapan. Sekiranya terdapat risiko perlanggaran, amaran audio dan visual akan dikeluarkan bagi memastikan pemandu dapat mengambil langkah yang sepatutnya.

    Tindakan mengubah lorong juga boleh dibantu oleh Honda Sensing 360. Sistem pengurangan perlanggaran tukar lorong boleh mengesan sekiranya ada kenderaan di lorong sebelah yang mendekati kenderaan dipandu, seterusnya mengeluarkan amaran audio dan visual kepada pemandu.

    Selain Active Lane Change Assist, pemanduan di atas lebuh raya juga boleh dibantu dengan bantuan kelajuan selekoh, yang diaktifkan apabila kenderaan mengambil selekoh sambil Adaptive Cruise Control aktif. Dalam sistem ini, kamera digunakan untuk mengesan lengkok selekoh, dan data dihantar kepada kenderaan untuk melaras kelajuan supaya selekoh dapat diambil dengan lancar.

    Menurut Honda, pembangunan Honda Sensing 360 ini dibantu dengan pengetahuan yang diperoleh daripada penyelidikan dan pembangunan yang dibuat pada sistem pemanduan autonomous Level 3, atau lebih khusus lagi Honda Sensing Elite seperti yang dipasang pada model Legend Hybrid EX.

    Pakej Honda Sensing 360 akan mula diperkenalkan pada kenderaan produksi pada tahun hadapan, iaitu pada model yang dilancarkan untuk pasaran China, dan kemudian akan diperluaskan kepada model-model lain di dalam pasaran utama mereka.

     
     
  • Honda HR-V 1.8L SE kini di M’sia – BLIS, bantuan tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang, RM105k

    Honda HR-V 1.8L SE kini di M’sia – BLIS, bantuan tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang, RM105k

    Honda Malaysia telah memperkenalkan varian baharu HR-V 1.8L yang dipanggil SE, yang didedahkan menerusi laman web syarikat berkenaan awal hari ini. Ditawarkan dengan unit terhad, ia berasaskan varian Grade E, di mana ada ciri kelengkapan tambahan untuk versi asas bagi SUV generasi kedua ini. Ini termasuklah kit bantuan pemandu baharu dan beberapa aksesori tambahan.

    Peningkatan terbesar yang dibuat ialah menampilkan bantuan tukar lorong, informasi titik buta, dan kepekaan trafik lintasa belakang, yang menjadikanSE ini sebagai HR-V pertama yang dilengkapi ciri tersebut. Untuk keselamatan, indikator amaran membuka pintu turut disertakan. Manakala ciri lain bagi aksesori yang diberikan untuk varian ini termasuklah perakam video digital, trunk tray dan trunk organiser, serta lencana SE.

    Tiada perubahan mekanikal dilakukan pada bahagian enjin dan transmisi, masih mengekalkan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC yang menghamburkan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, serta CVT yang masih dikekalkan.

    Honda HR-V 1.8L SE kini di M’sia – BLIS, bantuan tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang, RM105k

    Ciri kelengkapan lain yang juga dikekalkan termasuklah kemasukan pintar/butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik, lampu utama automatik, lampu nyalaan siang, kawalan kelajuan, pedal penukar gear, kawalan audio pada roda stereng dan sistem audio dengan paparan tujuh-inci dan empat pembesar suara.

    Manakala ciri bantuan pemandu baharu yang ditampilkan turut menyertai kelengkapan keselamatan standard sedia ada, termasuk enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai sisi), bantuan kestabilan kenderaan (VSA), bantuan mula mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan (ESS) dan kamera pandangan belakang pelbagai-sudut.

    Honda HR-V 1.8L Se edisi terhad ini dijual pada harga atas jalan RM105,364 tanpa insurans. Kiranya, ia lebih RM1,364 berbanding model asas Grade E (RM104,000). Kiranya pemilikan yang lebih berbaloi kerana varian SE ini lebih banyak diberikan ciri baharu yang menarik.

     
     
  • Honda siar teaser motosikal touring baru yang akan didedah 21 Okt ini – NT1100 dengan enjin Africa Twin?

    Honda siar teaser motosikal touring baru yang akan didedah 21 Okt ini – NT1100 dengan enjin Africa Twin?

    Sejak beberapa bulan yang lalu, Honda Europe telah menyiarkan beberapa teaser untuk sebuah model baru. Kini, tarikh pengenalan serta jenis motosikalnya sudah diketahui melalui video terbaru. Ia akan didedah kepada dunia 21 Oktober ini, dan merupakan sebuah motosikal touring.

    Nama sebenar model tersebut tidak diberitahu, tetapi ramai yang menjangkakan ia adalah NT1100 (atau mungkin dipanggil sebagai CB1100X di Jepun) berdasarkan lukisan paten model berbentuk hampir sama yang pernah bocor sebelum ini.

    Di dalam video teaser ini, kita juga boleh melihat beberapa bahagian tertentu motosikal tersebut, tetapi tidaklah secara penuh – sedikit di bahagian sana, sedikit di bahagian sini. Ia adalah sebuah motosikal touring berbentuk tinggi seperti CB500X, tetapi dengan enjin lebih besar serta lebih fokus kepada penggunaan atas jalan biasa sahaja.

    Honda siar teaser motosikal touring baru yang akan didedah 21 Okt ini – NT1100 dengan enjin Africa Twin?

    Jika mengikut lukisan paten yang bocor sebelum ini juga, Honda akan menggunakan asas daripada Africa Twin untuk model touring ini, termasuklah enjin dua silinder 1.084 cc dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan biasa atau DCT enam kelajuan.

    Setakat ini, apa yang boleh jelas dilihat cuma motosikal tersebut mempunyai penghadang angin tinggi di hadapan, tempat duduk lebar untuk dua orang, boleh diletakkan dengan beg barangan, panel meter bertingkat seperti Africa Twin serta pemegang tinggi yang mudah dicapai.

     
     
  • Tata Motors bakal labur USD2 bilion untuk EV dalam tempoh lima tahun — 10 EV dirancang dalam portfolio

    Tata Motors bakal labur USD2 bilion untuk EV dalam tempoh lima tahun — 10 EV dirancang dalam portfolio

    Tata Motors merancang untuk melabur sejumlah USD2 bilion (sekitar RM8.3 bilion) ke dalam perniagaan kenderaan elektriknya dalam tempoh lima tahun akan datang, jelas seorang eksekutif syarikat itu kepada Nikkei Asia. Perkara ini didedahkan selepas pengeluar kenderaan dari India itu mengumumkan pihaknya telah memeterai persefahaman dengan TPG Rise Cilmate berserta pelabur bersamanya, ADQ.

    “Sasarannya adalah untuk mempelopori pengecas EV dalam pasaran,” jelas Ketua Perniagaan Kenderaan Penumpang Tata Motor, Shailesh Chandra, yang turut menambah bahawa syarikat itu ingin mencapai sasaran tersebut dengan cara bekerjasama dengan pelabur-pelabur yang memberi tumpuan kepada “dunia bebas karbon”.

    Perjanjian yang dinyatakan itu bakal menyaksikan TPG dan ADQ melabur sekitar USD 1 bilion (sekitar RM4.14 bilion atau 750 bilion Rupees) di dalam anak syarikat Tata yang baru ditubuhkan untuk membangunkan EV, platform bateri kenderaan elektrik khusus, sistem automotif canggih, teknologi bateri dan prasarana pengecas di masa depan.

    Tata Motors bakal labur USD2 bilion untuk EV dalam tempoh lima tahun — 10 EV dirancang dalam portfolio

    Dengan pelaburan mereka yang melibatkan instrumen peralihan wajib, TPG dan ADQ akan menerima kepentingan antara 11-15% dalam anak syarikat Tata itu, yang diterjemahkan kepada penilaian ekuiti mencecah USD9.1 bilion (sekitar RM37.8 bilion).

    Dengan kemasukan pelaburan tambahan, syarikat itu memaklumkan ia akan mewujudkan portfolio 10 EV. Ketika ini, syarikat itu hanya menjual dua EV, iaitu Nexon EV dan Tigor EV, yang kedua itu diberikan kemaskini bulan lalu. Sementara itu, Tata Power, yang merupakan sebahagian daripada Tata Group bersama dengan Tata Motors, akan memperkembangkan prasarana pengecasan untuk menampung perkembangan rancak penggunaan EV di India.

    India mensasarkan untuk mempunyai kadar jualan EV sebanyak 30% menjelang tahun 2030, berbanding ketika ini yang hanya pada kadar 1%. Untuk menyokong langkah ini, kerajaan telah meluluskan skim insentif kira-kira USD3.5 bilion (sekitar RM14.5 bilion atau 260 bilion Rupees) untuk menarik pelaburan baru ke dalam sektor kenderaan elektrik.

     
     
  • R&R Seremban (arah selatan) ditutup sehingga 31 Dis 2022 untuk kerja-kerja naiktaraf keseluruhan – PLUS

    R&R Seremban (arah selatan) ditutup sehingga 31 Dis 2022 untuk kerja-kerja naiktaraf keseluruhan – PLUS

    PLUS Malaysia Bhd (PLUS) telah memaklumkan penutupan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) di KM274.6 di Lebuhraya Utara-Selatan untuk tempoh 14 bulan bagi kerja-kerja menaik taraf yang akan melibatkan keseluruhan premis mulai semalam (13 Okt 2021) sehingga 31 Disember 2022.

    Menurut PLUS, epanjang tempoh penambahbaikan ini, semua outlet F&B dan kemudahan awam sedia ada di R&R akan ditutup. Walau bagaimanapun, stesen minyak masih beroperasi seperti biasa dan PLUS turut menyediakan kemudahan sementara seperti tandas awam, surau, tempat letak kereta termasuk trak makanan kepada semua pelanggan lebuh raya.

    “Pelanggan lebuh raya yang menuju ke selatan boleh menggunakan R&R Dengkil, Hentian Sebelah Nilai, Hentian Sebelah Senawang, Restoran Jejantas Ayer Keroh, R&R Ayer Keroh atau mana-mana R&R dan hentian sebelah yang berdekatan untuk mendapatkan kemudahan makanan dan keperluan lain dengan lebih selesa. Pelanggan lebuh raya juga boleh menggunakan kemudahan tandas awam dan surau di mana-mana plaza tol yang terdekat,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, pelanggan lebuh raya juga mempunyai pilihan untuk menikmati tawaran makanan yang disediakan rakan perniaga R&R terpilih melalui fungsi Pra-Pesanan di https://orderdisini.plus.com.my/ atau menerusi Aplikasi PLUS untuk bawa pulang.

    Untuk mendapatkan maklumat dan keadaan trafik terkini, bolehlah layari platfom sosial media PLUS seperti Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, Youtube dan laman web www.plus.com.my atau menerusi Aplikasi PLUS untuk membantu anda merancang perjalanan.

     
     
  • HondaJet 2600 Concept didedahkan — jet ringan pertama mampu rentas benua Amerika tanpa henti

    HondaJet 2600 Concept didedahkan — jet ringan pertama mampu rentas benua Amerika tanpa henti

    Honda Aircraft Company telah mendedahkan HondaJet 2600 Concept ketika di acara NBAA Business Aviation Convention and Exhibition (NBAA-BACE) 2021. Unit contoh bagi kapal terbang berkenaan dipertontonkan sebagai model jet ringan perniagaan generasi terbaru syarikat itu. Setakat ini, HondaJet sudah merekodkan 31 jet terjual dalam tahun 2020, menjadikannya pendahulu empat tahun berturut-turut sebagai jet yang paling banyak diserahkan dalam kelasnya.

    HondaJet 2600 Concept disifatkan sebagai kapal terbang ringan pertama di dunia yang mampu terbang tanpa henti, merentas benua di atas Amerika Syarikat dengan jarak 2,625 batu nautika (4,861 km) dengan seorang kru dan empat penumpang, dengan kelajuan tinggi mencecah 450 knot (833 km/j) dan altitud maksimum untuk operasinya ialah 47,000 kaki (14,325), jelas Honda.

    Jarak pelepasan adalah pada 1,006 m, sementara jarak mendarat pula 762 m, menurut syarikat itu. Berat pelepasan maksimum bagi jet ini ialah 7,938 kg. Kedudukan enjin pada sayapnya telah membolehkan ruang penumpang yang lebih luas dalam kabin berbanding jet ringan biasa. Tekanan dalam kabin juga didakwa terbaik dalam kelasnya, dengan altitud kabin 6,363 kaki (1,939 m) pada kadar operasi siling 47,000 kaki (14,325 m).

    Dari segi ukuran luaran, panjangnya ialah 17.62 m dan ketinggian 4.84 m, sementara bukaan sayap 17.29 m. Untuk melayani pengembara perniagaan sasarannya, kabin HondaJet 2600 Concept ini menawarkan tiga jenis modular, tataletak yang boleh diubah dengan kepelbagaian. Ruang barangan keseluruhan yang ada ialah 120 kubik kaki (3.4 kubik meter).

    HondaJet 2600 Concept juga merupakan jet penumpang transkontinental yang pertama direka untuk kendalian juruterbang tunggal, jelas Honda. Ini dibolehkan melalui sistem automatik termasuk pendikit automatik dan brek automatik, sementara keselamatan operasi pula dipertingkat dengan antaramuka canggih dan intuitif yang mengurangkan beban juruterbang.

    Sistem bantuan lanjut termasuk augmentasi stereng maju, dan amaran terlajak landasan. Dari sudut penumpang, HondaJet 2600 Concept boleh dilaraskan untuk memuatkan seorang kru udara dan 10 penumpang, atau dua kru udara dengan sembilan penumpang.

     
     
  • Sabah bakal cuba bas elektrik di Kota Kinabalu hujung tahun ini, untuk promosi pengangkutan awam bersih

    Sabah bakal cuba bas elektrik di Kota Kinabalu hujung tahun ini, untuk promosi pengangkutan awam bersih

    Kerajaan Sabah telah umumkan negeri itu akan menjalankan projek percubaan bas elektrik di Kota Kinabalu menjelang hujung tahun ini. Hal ini dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu, Datuk Jafry Ariffin.

    “Ini merupakan satu perkembangan penting dalam menjadikan pengangkutan awam kami berada dalam landasan mesra alam yang betul untuk masa hadapan. Jumlah kenderaan di atas jalan raya negeri Sabah sentiasa meningkat, dan tiada siapa yang boleh menafikan bahawa pembebasan gas dari kenderaan konvensional menyumbang kepada perubahan iklim dunia,” jelas Jafry dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan oleh NST.

    “Kita perlu melakukan apa saja yang termampu untuk menangani situasi berkenaan yang kini menjadi ancaman kepada kemanusiaan. Di seluruh dunia, penggunaan kenderaan elektrik semakin meningkat memandangkan ia lebih mesra alam. Kita juga perlu bergerak ke arah itu,” tambah beliau.

    e-Bus berkenaan adalah hasil usahasama antara QSB dan Gemilang Coachwork dari Johor, dengan syarikat Johor berkenaan menjadi antara pengeluar badan bas aluminium dan bas elektrik utama di Asia dengan pengalaman selama tiga dekad dalam industri berkenaan.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada QSB, cadang pelaburan strategik kerajaan negeri, kerana memperkenalkan bas elektrik di Kota Kinabalu. Dengan ketiadaan mass rapid transit (MRT) di Kota Kinabalu ketika ini, bas elektrik boleh menjadi alternatif bagi perkhidmatan pengangkutan awam yang bersih,” jelas Jafry lagi, dan menambah pihak berkuasa lain turut perlu meneroka penggunaan e-bas di bahagian lain Sabah.

    e-Bas ini mempunyai kapasiti hingga 66 penumpang dan dilengkapi dengan pelantar khas bagi memudahkan golongan berusia dan juga orang kelainan upaya. Projek percubaan ini dijanga akan bermula sebaik sahaja koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan selesai untuk memudahkan pergerakan orang-ramai di Kota Kinabalu.

     
     
  • Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

    Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini secara rasminya melancarkan Porsche Taycan Cross Turismo di Malaysia, selepas ia diperkenalkan di peringkat global pada Mac tahun ini.

    Jadi bagi mereka yang berminat dengan model elektrik sport Taycan dalam negara, anda sudah boleh memilih versi crossover ini jika tidak berminat dengan model Taycan sedan yang juga sudah dilancarkan di Malaysia tahun ini. SDAP menawarkan tiga varian Taycan Cross Turismo untuk pasaran tempatan.

    Taycan Cross Turismo ini merupakan versi produksi dari model konsep Porsche Mission E Cross Turismo yang didedahkan pada 2018. Pada asasnya, Taycan Cross Turismo ini adalah versi wagon yang diasaskan dari Taycan biasa, dan ia menerima penggayaan seakan SUV yang lebih lasak.

    Oleh itu, jarak kelegaan tanah untuk Taycan Sport Turismo ini adalah 20 mm lebih tinggi dari versi sedan, dan ia diberikan pelindung-pelindung berwarna hitam disekeliling badan. Apron pada bampar hadapan direka bagi menampilkan skid plate untuk disesuaikan dengan imej baharu tersebut.

    Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

    Dengan pakej opsyen Offroad Design, jarak kelegaan tanah akan ditinggikan lagi 10 mm, bagi memberikan keseluruhan 30 mm lebih tinggi dari biasa. Pakej tersebut turut datang dengan flap tambahan pada sudut bampar hadapan dan belakang, serta dihujung bendul sisi bagi melindung bahagian tersebut dari impak batu.

    Manakala dengan bentuk wagon pada bahagian belakang membolehkan Taycan Cross Turismo ini menawarkan ruang kepala 47 mm lebih luas kepada penumpang belakang, serta bukaan ruang but yang lebih lebar berbanding Taycan sedan. Ruang but itu sendiri juga kini menampilkan kapasiti 446 liter atau 40 liter lebih besar dari Taycan biasa, serta boleh ditingkatkan kepada 1,212 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40).

    Oleh kerana kereta ini tidak mempunyai enjin, ia juga tampil dengan but hadapan dengan ruang kargo tambahan 84 liter – juga sedikit lebih besar berbanding versi sedan.

    Kabin Cross Turimo ini walau bagaimanapun menampilkan rupa yang hampir sama dengan versi sedan. Jadi pada papan pemuka ia menampilkan tiga paparan skrin secara standard, dengan satu lagi skrin opsyen yang boleh diletakkan di hadapan penumpang hadapan. Jika anda memilih pakej Offroad Design, sebuah kompas akan diletakkan di atas skrin infotainmen tengah bagi menggantikan jam randik analog/digital.

    Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

    Kesemua varian Taycan Cross Turismo yang dijual di Malaysia adalah datang dengan unit rangkaian kuasa dua motor, pacuan semua roda, serta sistem sistem suspensi udara adaptif dan juga Performance Battery Plus iaitu bateri lithium ion dengan kapasiti 93.4 kWj.

    Sama seperti Taycan biasa, model ini juga beroperasi dengan senibina elektrifikasi 800-volt. Ia boleh menyokong sistem pengecaj AC (penyambung Type 2) sehingga 11 kW (opsyen 22 kW turut ditawarkan), membolehkan caj penuh dicapai dalam masa sekitar sembilan jam (lebih cepat dengan pengecaj onboard).

    Ia juga menyokong pengecaj pantas DC (dengan penyambung CCS2) sehingga 270 kW, yang boleh memenuhkan kuasa bateri dari 5-80% dalam masa sekitar 23 minit.

    Dari segi varian, ia dimulakan dengan Taycan 4 Cross Turismo yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM645,209, termasuk pengecualian cukai jualan sebanyak 50% untuk kereta CBU yang masih berjalan sehingga akhir tahun ini.

    Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

    Model ini dibekalkan dengan kuasa 380 PS (375 hp atau 280 kW) atau 476 PS (469 hp atau 350 kW) serta tork maksima 500 Nm selepas fungsi overboost diaktifkan. Dalam konfigurasi ini, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, kelajuan maksima dicatatkan pada 220 km/j serta jarak gerak sejauh 437 km dalam kitaran NEDC.

    Varian pertengahan adalah Taycan 4S Cross Turismo, dijual pada harga bermula RM728,727. Model ini datang dengan kuasa 490 PS (483 hp atau 360 kW) atau 571 PS (563 hp atau 420 kW) dan tork maksima 650 Nm dalam mod overboost. Jadi ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat dan kelajuan maksima meningkat sehingga 240 km/j. Jarak gerak pula adalah 436 km untuk satu caj penuh bateri.

    Manakala model tertinggi adalah Taycan Turbo Cross Turismo yang dijual pada harga bermula RM968,928. Ia dibekalkan dengan kuasa 625 PS (617 hp atau 460 kW) atau 680 PS (670 hp atau 500 kW) dan tork maksima 850 Nm dengan overboost. Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masan hanya 3.3 saat, dengan kelajuan maksima 250 km/j serta jarak gerak 425 km.

    Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

    Harga-harga yang disebutkan ini adalah harga asas tanpa sebarang perincian opsyen ditambah. Bagi mereka yang berminat, anda boleh membuat temu janji bagi melihat sendiri Taycan Cross Turismo ini dengan lebih dekat di semua Porsche Centre yang terletak di Ara Damansara, Sungai Besi, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

    Bagi memudahkan anda membandingkan setiap perincian yang ditawarkan untuk semua varian Taycan Cross Turismo pasaran Malaysia ini, kami pecahkannya seperti di bawah:

    Porsche Taycan 4 Cross Turismo – RM645,209

  • 380 PS dan 500 Nm; overboost: 476 PS
  • 0 hingga 100 km/j dalam 5.1 saat; kelajuan maksima 220 km/j
  • Pek bateri lithium-ion 93.4 kWj
  • Pengecaj AC onboard 11-kW; menyokong caj pantas DC 270-kW
  • Jarak gerak 437 km dalam kitaran NEDC
  • Porsche Taycan 4S Cross Turismo – RM728,727

  • 490 PS dan 650 Nm; overboost: 571 PS
  • 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat; kelajuan maksima 240 km/j
  • Pek bateri lithium-ion 93.4 kWj
  • Pengecaj AC onboard 11-kW; menyokong caj pantas DC 270-kW
  • Jarak gerak 436 km dalam kitaran NEDC
  • Porsche Taycan Turbo Cross Turismo – RM968,928

  • 625 PS dan 850 Nm; overboost: 680 PS
  • 0 hingga 100 km/j in 3.3 saat; kelajuan maksima 250 km/j
  • Pek bateri lithium-ion 93.4 kWj
  • Pengecaj AC onboard 11-kW; menyokong caj pantas DC 270-kW
  • Jarak gerak 425 km dalam kitaran NEDC
  •  
     
  • Harga minyak 14-20 Okt – RON 97 naik 10 sen

    Harga minyak 14-20 Okt – RON 97 naik 10 sen

    Kementerian Kewangan (MOF) telah memaklumkan untuk minggu bertarikh 14 hingga 20 Oktober 2021, harga petrol RON 97 dilaporkan mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM2.87 seliter berbanding RM2.77 seliter pada minggu sebelumnya.

    Seperti minggu-minggu sebelum ini, harga RON 95 pula masih tidak berubah iaitu dikekalkan pada harga siling mencecah RM2.05 seliter. Di mana harga tersebut kekal sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 20 Oktober 2021.

     
     
  • Sabah benar rentas daerah esok, rentas negeri 1 Nov

    Sabah benar rentas daerah esok, rentas negeri 1 Nov

    Walaupun kerajaan Malaysia sudahpun memberikan kebenaran merentas negeri bermula 11 Oktober lalu, ia tidak tertakluk kepada Sabah. Namun hari ini kerajaan negeri berkenaan bersetuju untuk memberikan kebenaran merentas daerah bermula esok, manakala pergerakan merentas negeri pula akan bermula pada 1 November nanti.

    Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, kemasukan ke Sabah meliputi lawatan sosial dan pelancongan adalah dibenarkan juga dengan beberapa syarat.

    “Individu haruslah telah lengkap divaksin dan perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri hari ini juga membenarkan aktiviti rentas daerah seluruh Sabah tanpa mengikut zon yang akan berkuat kuasa esok, manakala syarat untuk golongan remaja dan kanak-kanak merentas negeri juga sama seperti syarat yang dikenakan untuk rentas daerah.

    Hajiji menyatakan bahawa pihaknya berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri setakat hari ini yang telah dikeluarkan Jawatankuasa COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) telah mencapai melebihi 70 peratus.

    “Selaras dengan itu, kerajaan negeri pada hari ini bersetuju supaya rentas daerah dibenarkan di seluruh negeri mulai 14 Oktober (esok) dengan beberapa syarat.

    “Antara syarat ialah individu terbabit telah lengkap divaksin. Bagi remaja berumur 12 sehingga 18 tahun pula mestilah yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    “Bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun harus ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan tersebut

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 habis dijual di Australia dalam 2 jam

    Hyundai Ioniq 5 habis dijual di Australia dalam 2 jam

    Australia adalah salah sebuah negara yang akan menerima kereta elektrik pertama Hyundai iaitu Ioniq 5, tetapi dalam jumlah yang terhad. Sebelum ini dilaporkan pasaran berkenaan akan menerima 400 unit Ioniq 5 secara keseluruhan, namun untuk stok awalan yang berjumlah 240 unit sudah pun habis dijual dalam masa hanya dua jam, lapor Car Expert.

    Untuk pasaran Australia, Hyundai Ioniq 5 ditawarkan dalam dua varian – versi motor tunggal pacuan roda belakang 218 PS dan juga versi dua motor pacuan semua roda berkuasa 306 PS, di mana kedua-duanya dibekalkan dengan pek bateri lithium ion berkapasiti 7.6 kWj.

    Hyundai Ioniq 5 habis dijual di Australia dalam 2 jam

    Bagi model pacuan belakang, ia dijual pada harga AUD$71,900 (RM219,532). Manakala model paling berkuasa pacuan semua roda pula ia ditawarkan pada harga AUD$75,900 (RM231,746). Menurut Hyundai, 70 pelanggan dari 240 orang yang membuat tempahan berkenaan sudahpun membuat bayaran deposit.

    Baki 160 unit bagi melengkapkan jumlah keseluruhan 400 unit Ioniq 5 bagi pasaran Australia ini akan tiba mungkin pada awal 2022 selepas keadaan mula stabil, kerana Hyundai turut terjejas dengan masalah bekalan cip semikonduktor. Tempahan untuk baki unit yang telah ditetapkan berkenaan hanya akan dibuka selepas produksi bagi unit pasaran Australia berjalan semula untuk memastikan masa penghantaran kepada pelanggan tidak terlalu lama.

    Hyundai Ioniq 5 habis dijual di Australia dalam 2 jam

    Hyundai Ioniq 5 dihasilkan dengan senibina elektrikal yang mampu menampung 400- dan 800-volt, membolehkan baterinya dicaj semula dari 10% sehingga 80% penuh dalam masa hanya 18 minit menggunakan caj pantas DC 350 kW. Ini bermaksud bagi mendapatkan jarak perjalanan 100 km (WLTP), pengguna hanya perlu mengecajnya selama lima minit.

    Model pacuan semua roda mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, manakala versi pacuan roda belakang bersama bateri 72.6 kWj pula mampu untuk bergerak antara 470 km hingga 480 km (dalam kitaran WLTP) dengan satu caj penuh.

     
     
  • ERL lancar aplikasi KLIA Ekpress baharu, EkspreSmile – program kesetiaan untuk galak transaksi tanpa tunai

    ERL lancar aplikasi KLIA Ekpress baharu, EkspreSmile – program kesetiaan untuk galak transaksi tanpa tunai

    Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) selaku pengendali perkhidmatan kereta api KLIA Ekspres dan KLIA Transitmelancarkan aplikasi KLIA Ekspres baharu dan program kesetiaan, EkspreSmiles sebagai menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai.

    Menerusi aplikasi KLIA Ekspres yang baharu ini, pelanggan boleh menikmati tawaran-tawaran menarik seperti tambang terendah pertama dan juga cadangan nilai hebat.

    Manakala menerusi program kesetiaan, EkspreSmiles, pelanggan dapat mengumpul mata ganjaran yang membolehkan mereka menikmati potongan hebat untuk pembelian tiket seterusnya.

    Menurut syarikat ini, sepanjang tempoh kempen 12 Oktober hingga 15 Disember 2021, pelanggan akan mendapat mata ganjaran berganda apabila mereka mendaftar sebagai ahli EkspreSmiles dan juga bagi setiap pembelian tiket perjalanan. Malahan mata bonus juga dapat diperoleh semasa membeli pakej dan tambang potongan tertentu seperti pakej keluarga dan group saver.

    Klik untuk besarkan imej

    Kedua-dua aplikasi ini dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, semalam menerusi dalam talian. Beliau berkata, pandemik COVID-19 mengajar dunia untuk mengadaptasi normal baharu termasuk pendigitalan dan transaksi tanpa tunai dalam pengangkutan awam.

    “ERL merupakan syarikat pengendali perkhidmatan kereta api pertama di Asia Pasifik yang memperkenalkan penggunaan transaksi tanpa sentuhan Visa di pintu masuk pada 2010.

    “Kemudian pada 2013, syarikat ini melancarkan aplikasi mudah alih dan kini menerima hampir semua transaksi digital seperti e-wallet di kaunter dan secara dalam talian,” katanya.

    Para pelanggan kini boleh memuat turun kedua-dua aplikasi berkenaan menerusi Apple App Store dan Google Play.

     
     
  • BMW ‘pening’ kerana sistem karaoke dalam kereta kini sangat diperlukan oleh pelanggan pasaran China

    BMW ‘pening’ kerana sistem karaoke dalam kereta kini sangat diperlukan oleh pelanggan pasaran China

    Kita mungkin tergelak apabila membaca spesifikasi sebahagian model-model dari jenama China yang kini menawarkan fungsi karaoke pada sistem infotainmen seperti pada Geely Boyue X, serta model-model lain keluaran Xpeng, Nio dan BYD. Fungsi tersebut bukan sahaja membolehkan aplikasi karaoke seperti Changba beroperasi, malah ia turut datang dengan mikrofon yang dibekalkan oleh pengeluar kenderaan berkenaan.

    Namun, itulah antara fungsi yang mendapat permintaan dari pelanggan di pasaran China sekarang, dan mungkin sesebuah model itu tidak menjadi pilihan kerana ketiadaan sistem karaoke! Jadi, ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh jenama-jenama luar dari China termasuk jenama premium Jerman, BMW untuk bersaing di negara berkenaan yang sememangnya tidak menawarkan fungsi sedemikian.

    “Kami mengenalpasti bahawa ini adalah cabaran. Pelanggan di China adalah yang paling banyak permintaan dalam aspek teknologi digital dalam kereta,” kata ketua kereta digital BMW, Christoph Grote kepada Automotive News.

    China bukan sahaja pasaran terbesar bagi BMW dengan menyumbang 36% dari keseluruhan jualan globalnya, malah untuk kebanyakkan jenama-jenama barat lain termasuk Volkswagen. Jadi adalah penting bagi mereka memenuhi kehendak pelanggan bagi memastikan mereka boleh terus mendapat jualan di pasaran berkenaan.

    Traum Meet 3, model klon Mercedes-Benz GLA dari China, antara model yang menawarkan sistem karaoke dalam kereta

    Buat masa sekarang BMW masih belum mempunyai aplikasi karaoke dalam kereta yang dapat ditawarkan kepada pelanggan di China, namun mereka kini sedang bekerja sama dengan Tencent Holdings bagi menyediakan fungsi tersebut menerusi aplikasi pembayaran parkir yang popular di sana iaitu WeChat Pay.

    Menurut Grote lagi, BMW juga merancang untuk menggunakan kerjasama yang telah diwujudkan bersama syarikat Archermind Technology Nanjing tahun lalu bagi mengembangkan perician-perincian terhubung serta mereka juga kini terbuka untuk kerjasama-kerjasama bersama pemain ekosistem tempatan yang lain.

    “Anda perlukan halatuju teknologi untuk China dan anda perlukan kepakaran tempatan. Kerjasama kami membolehkan kami untuk membangun terus seiring dengan ekosistem teknologi China,” jelasnya lagi.

    Laporan Automotive News ini turut memetik laporan Kearney tahun lalu yang menyatakan jenama-jenama automotif barat kini ketinggalan dalam mengimplementasikan ekosistem digital China pada model-model mereka.

    BMW ‘pening’ kerana sistem karaoke dalam kereta kini sangat diperlukan oleh pelanggan pasaran China

    Firma konsultasi pentadbiran tersebut turut melaporkan lebih dari dua pertiga pengguna di China melihat bahawa apliksai navigasi tempatan (seperti Baidu dan Gaode) adalah ciri yang perlu ada pada sesebuah kenderaan, dan jenama barat kini berhadapan risiko kejatuhan kerana ketiadaan fungsi tersebut dalam era “semuanya terhubung” di negara berkenaan buat masa sekarang.

    Malah menurut CEO Automobiliti, Bill Russo, jenama-jenama barat berkenaan melihat sistem hubungan digital ini secara tradisional yang membolehkan mereka mengenakan caj tambahan kepada pengguna, berlawanan dengan pengeluar-pengeluar China yang menggunakan sistem tersebut bagi menghubungkan kepada servis integrasi pihak ketiga.

    “Servis-servis digital seperti itu didominasi oleh pemain ekosistem tempatan di China dan syarikat multinasional selalunya kurang kolobrasi bagi menghasilkan pendapatan dari servis-servis berkenaan,” kata Russo.

    Jenama-jenama tempatan kini sedang berusaha keras untuk menguasai pasaran yang dipenuhi oleh kumpulan natif-digital, lapor Automotive News lagi. Zhejiang Geely Holding Group misalnya telah mewujudkan jenama premium elektrik sepenuhnya, Zeekr yang disasarkan kepada golongan millennials. Zeekr menggunakan influencer tempatan sebagai model mereka ketika ini, seiring dengan trend pembelian secara atas talian.

     
     
  • JMC Vigus Pro 4×4 dilancarkan di Malaysia — guna enjin Ford 2.0 TDCi, ZF8 automatik, CKD, RM98,888

    JMC Vigus Pro 4×4 dilancarkan di Malaysia — guna enjin Ford 2.0 TDCi, ZF8 automatik, CKD, RM98,888

    Trak pikap terbaru untuk pasaran tempatan, JMC Vigus Pro 4×4 dari China hari ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM), yang merupakan sebuah anak syarikat Warisan TC Holdings Berhad, entiti di bawah Tan Chong Group.

    JMC Vigus Pro 4×4 ini menjadi penawaran terbaru bagi segmen trak pikap tempatan, bersaing dengan banyak lagi model-model utama lain seperti Toyota Hilux, Isuzu D-Max, Nissan Navara, Mitsubishi Triton, Ford Ranger dan lain-lain.

    Untuk bersaing, JMC perlu memberikan lebih nilai terlebih dahulu, dan dengan penawaran varian tunggal Vigus Pro ini, ia dijual pada harga RM98,888 atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian SST. Menurut ATM, Vigus Pro ini dipasang di sini di kilang Tan Chong di Serendah memberikan nilai baru bagi segmen berkenaan di sini.

    JMC Vigus Pro 4×4 dilancarkan di Malaysia — guna enjin Ford 2.0 TDCi, ZF8 automatik, CKD, RM98,888

    Vigus Pro dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo diesel dengan pengecas turbo pemboleh ubah geometry. Ia merupakan enjin yang diperoleh dari Ford dengan janaan 141 PS pada 3,600 rpm tork dari 1,500 rpm hingga 2,600 rpm. Ini bukan unit yang sama pada Ranger terkini, dengan enjin EcoBlue Si-Turbo (180 PS/420 Nm), enjin “Puma” ini merupakan saudara kepada unit 2.2L TDCi (160 PS/385 Nm) yang digunakan pada Ranger XL dan XLT, tetapi dengan cukai jalan yang lebih rendah.

    Kadar penggunaan bahan api didakwa 7.8 liter per 100 km (12.8 km/l) dalam mod UNECE R101, menjadikan Vigus Pro satu daripada trak pikap satu tan paling jimat minyak di Malaysia ketika ini. Enjin ini digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF — kotak gear ini dikawal oleh pemilih gear elektronik dan ada mod manual serta paddle shifter juga.

    Sistem pacuan berkenaan disertai juga oleh sistem BorgWarner 4WD dengan low-range transfer box (2H/4H/4L dengan tombol di bawah panel AC), serta differential lock Eaton mengalihkan tork antara roda belakang untuk cengkaman lebih optimum. Modul kawalan kestabilan elektroniknya pula dari Bosch. Ini termasuk ABS, EBD, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan kawalan menuruni curam dengan kelajuan di bawah 8 km/j.

    JMC Vigus Pro 4×4 dilancarkan di Malaysia — guna enjin Ford 2.0 TDCi, ZF8 automatik, CKD, RM98,888

    Saiz trak China ini juga hampir sama dengan trak pikap lain yang ada ketika ini. Panjangnya 5,305 mm sama dengan Mitsubishi Triton, dan jarak antara roda 3,085 mm sepadan dengan Hilux. Kelebarannya pula ialah 1,905 mm, Vigus Pro ini 35 mm lebih lebar berbanding D-Max terkini. Jarak kelegaan tanah pula ialah 225 mm. Bagaimanapun ruang barangan di belakang dengan panjang 1,475 mm berada di sisi yang lebih kecil. Tampungan bebanan ialah 850 kg.

    Suspensi depannya menggunakan jenis double wishbone mandiri, sementara di belakang menggunakan jenis leaf spring. Empat brek cakera melengkapinya, dengan rim 16-inci yang menggunakan tayar 265/70 Maxxis A/T. Lengkung rodanya juga sangat menonjol. Sports bar dengan lampu brek ketiga bersepadu bagaimanapun nampak agak kurus.

    Dari segi kelengkapan, Vigus Pro menerima lampu utama halogen projektor automatik dengan larasan tahap manual, DRL bentuk C LED, lampu kabus depan dan belakang, cermin sisi larasan elektrik dengan lampu isyarat LED, pengilap automatik, sensor parkir depan dan belakang, pengunci pintu berdasarkan kelajuan (25 km/j) dan pemijak sisi.

    JMC Vigus Pro 4×4 dilancarkan di Malaysia — guna enjin Ford 2.0 TDCi, ZF8 automatik, CKD, RM98,888

    Di dalam, tombol analog tersedia berdekatan paparan multi-info tanpa warna. Head unit pula terdiri daripada skrin sentuh 8.0-inci dengan sambungan USB dan Bluetooth, dengan empat pembesar suara serta kamera undur. Kerusinya balutan fabrik, namun sterengnya dibalut dengan kulit lengkap dengan butang kawalan dan paddle shifter. Bagi pendingin hawa, ia kawalan manual, begitu juga dnegan brek tangan dan kunci tradisional.

    Aspek keselamatan pula, hanya ada dua beg udara yang disertai juga oleh kelengkapan keselamatan yang disebut di atas. Empat warna ditawarkan untuk trak pikap ini — Solid White, Brilliant Silver, Glossy Black dan warna utama Steady Brown.

    Trak ini datang dengan jaminan tiga-tahun atau 100,000 km. Ia boleh didekati dan dipandu uji di semua 13 pengedar ATM seluruh negara, juga dengan sokongan 13 bengkel servis lepas jualan.

     
     
  • Honda HR-V e:HEV 2022 kini rasmi di Eropah — 1.5 liter i-MMD hibrid, 131 PS, 253 Nm, harga dari RM151k

    Honda HR-V e:HEV 2022 kini rasmi di Eropah — 1.5 liter i-MMD hibrid, 131 PS, 253 Nm, harga dari RM151k

    2021 Honda HR-V e:HEV

    Honda HR-V e:HEV 2022 akhirnya mula dijual di Eropah. Di sana, hanya ada sistem janaan i-MMD hibrid ditawarkan secara tunggal untuk pasaran itu, selari dengan komitmen pengeluarnya untuk memberi tumpuan terhadap kenderaan hibrid dan elektrik sahaja.

    Tiga tingkat kemasan tersedia — Elegance, Advance dan Advance Style, dengan harga bermula dari 31,290 Euro (RM151k). Ini menjadikannya sedikit lebih mahal berbanding sebelum ini, tetapi itu boleh difahami kerana kini ia melibatkan sistem janaan hibrid yang lebih kompleks. Jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana sistem ini berfungsi, baca huraian lengkapnya di sini.

    Ia berkongsi enjin 1.5 liter i-MMD hibrid yang sama. Enjin kitaran Atkinson ini menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 131 Nm tork dari 4,500 hingga 5,000 rpm. Motor Traction pula menghasilkan 131 PS dan 253 Nm tork. Ini menjadikannya 22 PS lebih berkuasa berbanding motor pada City RS.

    Honda HR-V e:HEV 2022 kini rasmi di Eropah — 1.5 liter i-MMD hibrid, 131 PS, 253 Nm, harga dari RM151k

    2021 Honda HR-V e:HEV

    Kelengkapan standard termasuk lampu LED dengan DRL LED, rim 18-inci lima-jejari berkembar Black Cut dengan tayar 225/50, spoiler belakang bersepadu, lampu belakang kombinasi LED dengan jalur LED berterusan, empat sensor parkir di depan dan belakang, kamera pandang belakang, suis parkir brek elektronik dan sistem infotainmen sembilan-inci dengan Honda Connect dan Apple CarPlay tanpa wayar. Android Auto pula dengan sambungan wayar.

    Model paling tinggi menerima naiktaraf sistem bunyi premium 10-pembesar suara, pengecas telefon tanpa wayar, kawalan pendingin automatik dua-zon, slot USB berkembar di belakang, cermin pandang belakang elektrokromik serta kerusi balutan kulit/fabrik dengan jahitan oren.

    Advance Style juga menerima penyudah luaran eksklusif, seperti motif tiga-warna pada bahagian kiri gril, warna cat dua-tona, landasan pada bumbung, serta kemasan oren pada bahagian bawah pintu.

    Honda HR-V e:HEV 2022 kini rasmi di Eropah — 1.5 liter i-MMD hibrid, 131 PS, 253 Nm, harga dari RM151k

    2021 Honda HR-V e:HEV

    Walaupun tahap kelengkapan berbeza, ciri keselamatan agak menyeluruh, dan hampir sama untuk semua penawaran. Ketiga-tiga varian dilengkapi dengan Honda Sensing sebagai standard, menawarkan kawalan melayar adaptif dengan ikutan kelajuan rendah, AEB, bantuan mengekalkan lorong, penghindaran tertukar lorong, pengesanan tanda trafik, serta kawalan pendikit penghindar perlanggaran depan dan belakang.

    Turut ada ialah peninjau titik buta, kawalan menuruni curam (dari 3 km/j), lampu belokan aktif LED (model teratas sahaja), enam beg udara dan Isofix.