Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Great Wall Ora Good Cat terima lebih 6,000 tempahan di Thailand dalam masa 48-jam, dilancar pada 29 Okt

    Great Wall Ora Good Cat terima lebih 6,000 tempahan di Thailand dalam masa 48-jam, dilancar pada 29 Okt

    Hanya selepas 48-jam tempahannya dibuka untuk pasaran Thailand, kereta elektrik dari jenama China Great Wall Motor (GWM), Ora Good Cat telah pun mencatatkan tempahan menggalakkan melebihi 6,000 unit, lapor cnevpost. Model tersebut telah pun diprebiu di negara berkenaan pada Februari tahun ini, dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 29 Oktober nanti.

    GMW masih belum mengumumkan harga sebenar Ora Good Cat untuk pasaran Thai tersebut, namun cnevpost turut ada menyatakan bahawa ia bakal dijual dalam julat harga bermula 900,000 baht (RM112k) sehingga 1.2 juta baht (RM149k). Manakala di China sendiri, model elektrik penuh comel ini dijual pada harga bermula 103,900 yuan (RM65,221) hingga 143,900 yuan (RM90,340).

    Ora Good Cat merupakan model elektrik penuh pertama dari GWM yang masuk ke pasaran Thai, dan ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Tech dan Pro dimana kedua-duanya diberikan bateri membolehkan ia bergerak sejauh 400 km, serta varian tertinggi Ultra yang menerima bateri dengan jarak gerak sejauh 500 km.

    Great Wall Ora Good Cat terima lebih 6,000 tempahan di Thailand dalam masa 48-jam, dilancar pada 29 Okt

    Spesifikasi yang didedahkan ini nampaknya sejajar dengan model pasaran China, yang ditawarkan dengan pilihan bateri berkapasiti 47.8 kWj dan 59.1 kWj yang masing-masing memberikan jarak gerak 401 km dan 501 km. Menurut GWM, pengecaj AC standard memerlukan masa selama lapan jam bagi mendapatkan caj penuh, manakala pengecaj cepat DC membolehkan bateri dipenuhkan dari 30% sehingga 80% dalam masa 30 minit.

    Ora Good Cat ini dihasilkan menerusi platform Lemon GWM yang turut menjadi asas kepada Haval H6. Ia menampilkan berat 1,519 kg, bersama kapasiti ruang kargo 228 liter. Sekiranya pemilik mahukan ruang lebih, tempat duduk belakang boleh dilipat bagi memberikan kapasiti keseluruhan 858 liter.

    Ketika dipertontonkan di Thailand Februari lalu, Ora Good Cat dilihat diberikan sistem bantuan pemanduan separa autonomous yang digelar Ora Pilot Driving, menampilkan sistem seperti cruise contol adaptif, kawalan pendikit automatik dan juga bantuan selekoh pintar.

    Great Wall Ora Good Cat terima lebih 6,000 tempahan di Thailand dalam masa 48-jam, dilancar pada 29 Okt

    Ia juga datang dengan sistem yang digelar Wisdom Dodge, iaitu fungsi yang mampu mengalihkan arah tuju kereta dari kenderaan besar di lorong bersebelahan dalam masa yang sama mengekalkan kedudukan dalam lorongnya sendiri.

    Good Cat turut diberikan sistem Ora Pilot Safety, menampilkan fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, pengesan titik buta, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran belakang serta amaran lintasan trafik belakang.

    Satu lagi perincian yang menarik pada Ora Good Cat ini adalah sistem bantuan parkir dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang bukan sahaja memberikan fungsi parkir automatik, malah menampilkan fungsi parkir memori poin-ke-poin.

    Dengan sistem tersebut, Ora Good Cat mampu untuk ‘belajar’ dan mengingati laluan biasa ke ruang parkir menerusi sistem navigasi satelit dan radar ultrasonic, dan apabila ia tiba di lokasi yang telah pun disimpan dalam memori, fungsi parkir automatik akan mencari ruang dan memarkir secara sendiri.

    Sebelum ini Great Wall Motors telah pun menyatakan minat mereka bagi menjadikan Thailand sebagai hab bagi kenderaan elektrik mereka bagi rantau asia. Dengan dana RM2.9 bilion, Thailand akan menjadi hab bagi rantau ini untuk mengeksport ke pasaran-pasaran pemanduan-sebelah-kanan.

    Jadi tidak mustahil Ora Good Cat mungkin turut akan dilancarkan di Malaysia kerana ia sudah pun dilihat di uji di sekitar Elmina, Shah Alam pada April lalu.

     
     
  • Hyundai Staria Premium – tempahan sudah pun di buka, bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi

    Hyundai Staria Premium – tempahan sudah pun di buka, bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi

    Selepas dilihat ‘berkeliaran’ di Sime Darby Motors City Ara Damansara tempoh hari, hari ini pengedar Hyundai di Malaysia, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan bahawa MPV bersaiz besar generasi baharu iaitu Hyundai Staria bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

    Staria bakal dijual di pasaran Malaysia dalam versi Staria Premium, iaitu model dengan kelengkapan mewah bersama konfigurasi tujuh-tempat duduk. Menurut HSDM, Staria akan diposisikan sebagai MPV paling mewah Hyundai, disasarkan untuk profesional dan keluarga urban yang aktif.

    Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, Staria tampil dengan rupa luaran futuristik tetapi kekal minimalis, seakan kereta api peluru. Bahagian hadapan MPV ini dihasilkan cukup ringkas dengan satu jalur LED merentangi keseluruhan mukanya, bersama gril besar di bahagian bawah yang turut diberikan lampu utama terdiri dari kiub LED yang disusun dua baris menegak.

    Hyundai Staria Premium – tempahan sudah pun di buka, bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi

    Pada bahagian sisi Staria ini, Hyundai mendakwa bahawa bentuk garis badan tunggal dari muncung sehingga bumbung belakang MPV ini diinspirasikan bentuk Bumi ketika matahari terbit yang dilihat dari angkasa. Ia diberikan tingkap sisi yang cukup besar, manakala pada permukaan sisi tidak diganggu dengan sebarang garisan lain yang menyerlahkan rupa ringkas dan bersih.

    Konsep yang sama juga diteruskan di belakang di mana ia menampilkan cermin dan juga pintu tailgate yang besar, bersama permukaan rata, bersama bampar yang cukup nipis disertakan jalur kemasan di bawahnya. Lampu belakang Staria ini direka menegak pada kedua-dua hujung sisi, menampilkan rekaan grafik dalam Parametric Pixel sama seperti model Ioniq 5.

    Nampak macam Hyundai Staria ini lebih besar dari Starex kan? Bukan sahaja nampak, tapi saiz sebenar Staria ini sememangnya lebih besar dari Starex. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,253 mm panjang (+103 mm), 1,997 mm lebar (+77 mm), 1,990 mm tinggi (+55 mm) dan jarak roda sejauh 3,273 mm (+73 mm).

    Seperti rupa diluar, papan pemuka Staria ini juga tampil dengan rekaan futurisitk seakan Tucson generasi baharu – liang penghawa dingin yang nipis diberikan merentangi keseluruhan papan pemuka, dipisahkan dengan skrin sesentuh sistem infotainmen yang diletak tinggi di tengah, nampak seakan air terjun.

    Menurut Hyundai, rekaan dalaman MPV ini diinspirasikan dari lounge kapal persiaran mewah. Ia juga menerima banyak penggunaan material-material mewah bagi memberikan imej yang lebih premium.

    Menurut HSDM, Staria Premium pasaran ini hanya akan ditawarkan dengan enjin turbodiesel 2.2 liter empat silinder berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan. Ia tidak lagi memacu roda belakang seperti Starex, sebaliknya memacu roda hadapan dengan gandar belakang dilengkapi sistem suspensi multilink yang lebih selesa.

    Tiada sebarang petunjuk berkenaan harga didedahkan, namun Staria standard (bukan Premium) telahpun dilancarkan di Thailand pada harga bermula 1,729,000 baht (RM222,100), iaitu lebih mahal berbanding Starex/H-1 yang dijual pada harga bermula 1,329,000 baht (RM170,800).

    GALERI: Hyundai Staria Premium

     
     
  • Subaru Forester ditawar promosi “Pandu Sekarang, Bayar Kemudian” – bayaran ditangguh 15 bulan

    Subaru Forester ditawar promosi “Pandu Sekarang, Bayar Kemudian” – bayaran ditangguh 15 bulan

    TC Subaru, pengedar utama kenderaan Subaru di Malaysia, telah bekerjasama dengan Maybank untuk memperkenalkan promosi istimewa “Pandu Sekarang, Bayar Kemudian. Twaran ini khas untuk pelanggan Maybank sahaja yang membeli model Forester baharu bermula kini sehingga 31 Disember 2021.

    Pelanggan yang layak untuk menyertai promosi ini tidak perlu membayar ansuran bulanan selama 15 bulan sejurus menerima Forester baharu mereka. Walau bagaimanapun, ini bukan bermakna ia adalah 15 bulan ansuranpercuma tetapi melibatkan penangguhan pembayaran dari mula, sesuai dengan slogan promosi “Pandu Sekarang, Bayar Kemudian.” Bayaran ansuran akan bermula selepas 15 bulan, mengikut terma yang dipersetujui dengan pihak bank.

    Promosi ini melibatkan semua varian Forester bagi model masa kini, termasuklah 2.0i-L GT Lite Edition, 2.0i-S, 2.0i-S GT Lite Edition, 2.0i-S EyeSight, 2.0i-S EyeSight GT Lite Edition dan 2.0i-S EyeSight GT Edition.

    Setiap pembelian didatangkan dengan waranti lima-tahun, 100,000 km termasuk servis percuma Subaru Eco Sterilising In-Cabin 3D Spray bernilai RM1,200, di mana ia menyingkirkan sehingga 99% bakteria dan virus.

     
     
  • Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

    Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

    Bulan lalu, agak tular di media sosial berkenaan seorang youtuber dari UK menemui dan membeli sebuah Proton Saga 1994 (dikenali sebagai Saga Iswara di Malaysia) yang sudah lama terbiar dalam sebuah bangsal, tetapi berada dalam keadaan yang cukup baik.

    Pemilik baharu Saga tersebut, Stephanie Holloway dari saluran YouTube Idriveaclassic, hari ini menyiarkan satu video baharu mengenai status terbaharu kereta berkenaan. Menurut Steph, oleh kerana keadaan kereta tersebut yang cukup baik ketika dijumpai, tidak banyak yang perlu dilakukan.

    Setakat ini dia hanya melakukan servis-servis asas seperti menukar minyak enjin dan sebagainya, serta menukar satu set tayar baharu untuk Saga berkenaan. Dan selepas kereta tersebut diselamatkan, ia tidak hanya disimpan, malah dipandu dengan kerap – hanya selepas sebulan memilikinya, Saga berkenaan telah mencatatkan tambahan jarak perjalanan sejauh 3,200 batu (5,150 km)!

    Steph turut menyatakan bahawa tangki bahan api kereta tersebut sentiasa dengan petrol E5 yang lebih mahal bagi memastikan enjinnya berada dalam keadaan ‘sihat’. Di UK, pengguna ditawarkan dengan petrol E5 (campuran 5% bahan api boleh diperbaharui Ethanol) dan E10 (campuran 10% bahan api boleh diperbaharui Ethanol) yang lebih murah, di mana kereta-kereta lama lebih sesuai menggunakan petrol E5.

    Dia juga bercadang untuk membawa Proton Saga ini ke NEC Classics Car Show bulan hadapan untuk dipamerkan, sekiranya Morris Marina miliknya tidak berjaya disiapkan. Namun Steph masih ragu-ragu sama ada untuk membawa Saga tersebut atau Triumph 1300.

    Proton Saga ini telah disimpan oleh sebuah keluarga dalam sebuah bangsal tanpa lampu dan juga tanpa sebarang akses cahaya masuk ke dalamnya sejak 10 tahun yang lalu. Manakala meter perbatuannya hanya mencatatkan jarak perjalanan sejauh 10,724 batu atau 17,259 km selepas dibeli baru pada tahun 1994.

    Ia adalah model spesifikasi khas untuk pasaran UK, yang sedikit berbeza dari model pasaran Malaysia bagi membolehkan ia mematuhi syarat homologasi negara berkenaan. Antara perincian yang jelas berbeza adalah enjin 4G15 1.5 liter 12 injap yang dibekalkan tidak disuap oleh karburator sebaliknya menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik, dan ia diberikan papan pemuka serta roda stereng yang seiras dengan Mitsubishi Lancer Fiore.

    Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

    Oleh kerana tidak terdedah kepada sebarang cahaya bahagian luarannya termasuk panel-panel dan cat badan, unit-unit lampu dan sebagainya masih dalam keadaan seperti baharu dan hanya diselaputi oleh habuk dan debu, malah getah pengelap cerminnya juga masih lembut seperti baru dibeli.

    Keempat-empat tayar masih belum kempis, malah pada bahagian bawah lantai juga nampak seakan baharu, serta pemilik asalnya turut telah memberikan lapisan perlindungan berwarna hitam bagi mengelakkan ia berkarat. Begitu juga pada bahagian kabin, tempat duduk, karpet lantai, pelapik bumbung serta kemasan-kemasan lain nampak masih seperti baharu.

    Melihat ke bahagian ruang enjin, tiada sebarang kebocoran minyak dijumpai. Malah ketika minyak enjin diperiksa, ia dalam keadaan yang sangat bersih seolah-olah ia baru ditukar sebelum kereta tersebut disimpan dalam bangsal berkenaan.

    Proton Saga Iswara 1994 yang dijumpai dalam bangsal di UK kini dipandu dengan kerap oleh pemilik baharu

    Sebelum Stephanie melihat sendiri kereta tersebut, Matt Richardson dari saluran YouTube Furious Driving terlebih dahulu membantunya datang ke bangsal itu bagi mengetahui keadaan sebenar Saga berkenaan.

    Ketika Stephanie datang, buat pertama kalinya dalam tempoh 10 tahun, Saga tersebut kembali terdedah kepada cahaya matahari. Ia ditolak keluar dengan mudah bukan hanya kerana tayarnya yang masih mempunyai tekanan udara, malah brek Saga tersebut juga tidak jammed walaupun sudah ditinggalkan sekian lama.

    Tanpa sebarang penukaran dilakukan pada palam pencucuh serta masih menggunakan baki petrol berjumlah 3/4 tangki yang diisi lebih sedekad yang lalu, enjin Saga tersebut terus hidup dengan hanya satu putaran kunci setelah ia diberikan bateri yang lebih baharu.

    Walau bagaimanapun, mengapa kereta tersebut ditinggalkan dalam garaj berkenaan begitu lama tidak langsung diberitahu. Tetapi Matt menyatakan bahawa kereta ini hampir dihantar untuk diskrap ketika keluarga berkenaan mahu membersihkan garaj tersebut. Nasib baik salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan memberikan cadangan agar ia dijual kepada mereka yang berminat kerana keadaannya yang masih lagi elok.


     
     
  • BMW bersedia untuk sebarang larangan terhadap enjin pembakaran dalaman dari tahun 2030 – kata CEO

    BMW bersedia untuk sebarang larangan terhadap enjin pembakaran dalaman dari tahun 2030 – kata CEO

    BMW, melalui ketua pegawai eksekutifnya, Oliver Zipse telah memberitahu bahawa mereka akan bersedia untuk sebarang larangan terhadapan enjin pembakaran dalaman (ICE) bermula tahun 2030. Ini berkaitan dengan pengumuman Kesatuan Eropah (EU) yang mencadangkan semua kenderaan yang dijual di Eropah mestilah sifar-emisi dari tahun 2035.

    “Kami akan bersedia dengan larangan ICE ini. Sekiranya sesebuah benua, bandar atau negara mahu mengharamkan kenderaan ICE, kami akan mempunyai penawaran lain,”kata Zipse di dalam laporan Reuters. “BMW Group tidak risau tentang perkara ini. Sama ada ia satu idea yang bagus ataupun tidak, itu soalan lain… tetapi, kami akan ada produknya,” tambah beliau.

    Pengeluar dari Jerman ini, bersama Mercedes-Benz bagaimanapun masih belum menetapkan tarikh bila mereka akan menjadi satu jenama yang cuma mengeluarkan kenderaan elektrik, tidak seperti Volkswagen, General Motors dan Volvo. Dalam pelan masa hadapan yang dibentangkan sebelum ini, BMW Group menunjukkan akan meningkatkan penawaran kenderaan elektrik, dengan sasaran 50% produk yang dihantar adalah EV menjelang tahun 2030.

    Meskipun cadangan EU meletakkan tahun 2035 sebagai sasaran, negara ahli seperti Norway dan Denmark akan melaksanakan larangan terhadap ICE ini lebih awal. Pada masa ini, BMW mempunyai beberapa kenderaan EV yang ditawarkan kepada pasaran, seperti iX, iX3 dan i4, sementara beberapa yang lain akan tiba dalam masa beberapa tahun akan datang.

     
     
  • Berbasikal di lebuhraya tanpa kebenaran polis dan LLM, boleh didenda maksimum RM5k, penjara setahun

    Berbasikal di lebuhraya tanpa kebenaran polis dan LLM, boleh didenda maksimum RM5k, penjara setahun

    Sejak kebelakangan ini, aktiviti berbasikal kian menjadi sebutan, bukan kerana semakin ramai yang menggemarinya, tetapi beberapa pendedahan yang tular mengenai aksi individu berbasikal yang boleh dikatakan berbahaya di jalan utama, termasuk di lebuhraya. Antaranya berbasikal mengekori rapat lori dan menggunakan lorong kanan di laluan utama. Mungkin ada yang ingin menunjukkan ‘jaguh jalanan’ namun sedarkan anda, tindakan itu mampu mengundang bahaya dan kecelakaan.

    Perkara ini turut mendapat perhatian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang telah mengeluarkan larangan sebarang aktiviti berbasikal di lebuhraya tanpa kebenaran pihaknya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim, penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    “Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan. Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuhraya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Selain itu, beliau berkata, penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

    Tambahnya, Kaedah 42 yang membawa hukuman sama boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan.

    “JSPT setakat hari ini hanya mengambil tindakan advokasi terhadap penunggang basikal yang berkayuh secara berkelompok di jalan raya. Polis tidak menghalang aktiviti berbasikal namun harus mematuhi aspek keselamatan ditetapkan,” katanya lagi.

    Klik untuk besarkan imej

    Tambah beliau, berdasarkan rekod sebanyak 150 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal sejak Januari hingga September tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 71 kes kematian, manakala 24 cedera parah dan 55 lagi cedera ringan.

    Justeru, beliau menasihati penunggang basikal supaya sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain. Selain itu, penunggang basikal juga dinasihati supaya memilih lokasi dan masa sesuai iaitu di luar waktu puncak dan mengelak tempat sesak dengan kenderaan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta mengundang risiko kemalangan.

    Sementara itu, pemandu kenderaan diingatkan bertimbang rasa dan berhati-hati kerana penunggang basikal amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya.

     
     
  • Mitsubishi M’sia lantik Shinya Ikeda sebagai CEO baru

    Mitsubishi M’sia lantik Shinya Ikeda sebagai CEO baru

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) pengedar rasmi bagi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, telah mengumumkan pelantikan Shinya Ikeda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat berkenaan. Perlantikan tersebut adalah bagi menggantikan Tomoyuki Shinnishi yang memegang jawatan berkenaan sejak Oktober 2016. Ikeda-san memulakan tugas baharunya di Malaysia pada 11 Oktober lalu.

    Memulakan kerjayanya di Jepun pada tahun 1995, dan kemudian menyertai Mitsubishi Corporation pada tahun 2008 dengan tugasan pertamanya mengendalikan pelaburan perniagaan automatif di Malaysia. Dari Mac 2009 hingga Mei 2012, Ikeda memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Pengurus Besar di MMM, dan mengetuai pembangunan perniagaan baharu. Beliau juga pernah mengendalikan pembangunan perniagaan bagi Mitsubishi Corporation di beberapa negara lain seperti di Indonesia, Rusia dan Jerman.

    “Saya teruja menyertai pasukan Mitsubishi Motors Malaysia. Syarikat ini kian berkembang dan kini menjadi salah satu jenama automotif terkemuka di negara ini. Seperti yang diumumkan dalam Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Mid-Term Business Plan tahun lalu, MMC akan terus memberi tumpuan kepada pasaran ASEAN dan khususnya Malaysia kerana megara ini merupakan salah satu pasaran terpenting di dunia untuk memperluaskan lagi jenama Mitsubishi.

    “Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan untuk menyumbangkan pengetahuan dan pengalaman yang saya ada. Saya juga gembira dapat kembali ke Malaysia kerana negara ini mempunyai pelbagai makanan dan budaya serta orang-orang yang berbakat dan berpotensi tinggi,” kata Ikeda.

    Di bawah kendalian CEO terdahulu, Shinnishi, MMM telah memperkenalkan beberapa model termasuk Triton baharu dan crossover tujuh-tempat duduk Xpander. Malahan Xpander telah menjadi MPV bukan-nasional No.1 di sini serta MMM juga menduduki tangga ketiga bagi jenama bukan-nasional di Malaysia.

     
     
  • Kilang Proton di Pakistan milik Al-Haj Automotive beroperasi secara rasmi – hasilkan Saga, diikuti X70

    Kilang Proton di Pakistan milik Al-Haj Automotive beroperasi secara rasmi – hasilkan Saga, diikuti X70

    Proton secara rasminya telah melancarkan kilang pemasangan tempatan (CKD) di Karachi Pakistan, yang dioperasikan oleh rakan kerjasama di negara berkenaan iaitu Al-Haj Automotive. Kilang tersebut dapat direalisasikan menerusi perjanjian yang dipersetujui dan ditandatangani kedua-dua pihak pada Mac 2019 dengan pelaburan awalan bernilai USD30 juta (sekitar RM125 juta).

    Model pertama yang keluar dari barisan produksi kilang Al-Haj Automotive tersebut adalah Saga, dan kemudiannya akan diikuti oleh SUV segmen-C X70 sebelum berakhirnya 2021. Proton X70 telah pun dilancarkan di Pakistan pada Disember 2020, begitu juga Saga yang telah rasmi masuk ke pasaran negara tersebut pada April tahun ini.

    Sebelum dipasang secara CKD di kilang baharu tersebut, kedua-dua model berkenaan dibekalkan secara CBU yang diimport sepenuhnya dari Malaysia. Al-Haj juga telah mengumumkan harga bagi unit CKD bagi kedua-dua model berkenaan pada Julai lalu yang menyaksikan harganya turun sehingga 100,000 rupee (RM2,422).

    Perasmian pembukaan kilang baharu berkenaan dihadiri oleh Presiden Pakistan, Arif Alvi, bersama CEO Al-Haj Automotive Hilal Khan Afridi serta Konsul Jeneral Malaysia di Pakistan, Khairul Nazran.

    Al-Haj Automotive turut melantik bekas pengarah produksi dan kualiti Proton Malaysia, Encik Aris Bin Anuar sebagai ketua pengarah pembuatan bagi kilang baharu di Pakistan tersebut.

    Menerusi laporan sebelum ini, kilang berkenaan dirancang mampu untuk mengeluarkan sebanyak 25,000 unit kereta setahun, serta dijangka dapat menyediakan 2,000 peluang pekerjaan terus di sana, dan 20,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung apabila operasinya berjalan penuh.

     
     
  • CFMoto dedah model konsep SR dengan barangan premium – dibangunkan di Eropah, suspensi Ohlins

    CFMoto dedah model konsep SR dengan barangan premium – dibangunkan di Eropah, suspensi Ohlins

    Pengeluar motosikal dari China, CFMoto, telah mendedahkan sebuah model konsep berbentuk sports melalui laman media sosial mereka. Tiada sebarang nama yang diberikan pada model ini, tetapi mungkin boleh dipanggil sebagai satu siri SR seperti model sports produksi mereka.

    Model ini dibuat untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, dan menurut CFMoto, ia dibangunkan oleh pusat penyelidikan dan pembangunan mereka di Eropah. Selain daripada itu, kita juga tahu mereka mempunyai kerjasama rapat dengan syarikat yang turut terlibat membuat rekaan motosikal KTM, iaitu Kiska.

    Bukan setakat rekaan yang menarik, CFMoto juga memasang kelengkapan berkualiti dan berjenama pada model ini, seperti brek Brembo, ekzos SC Project (keluar dua muncung di belakang), tayar Pirelli Supercorsa serta suspensi Ohlins. Kemudiannya, ada panel pada motosikal ini dibuat daripada bahagn yang kelihatan seperti forged carbon.

    Setakat ini kita masih tidak diberitahu berkenaan spesifikasi teknikal seperti enjin bagi model konsep ini, tetapi dengan sekadar melihat kepada grafik yang tertera nombor 400 di bahagian sisinya, kita boleh menjangka ia berada dalam lingkungan itu. Memandangkan CFMoto juga mempunyai kerjasama rapat dengan KTM, kita juga boleh menjangka penggunaan enjin seperti RC390.

    Model sports CFMoto yang lebih kecil, iaitu 250SR turut ada dipasarkan di Malaysia, dan dijual pada harga RM15,800 waktu ia dilancarkan bulan Julai tahun lalu. Turut ditawarkan kepada pengguna Malaysia adalah model naked 250NK, sementara model yang dijangka tiba pula adalah seperti 800MT dan 700CL-X.

     
     
  • Petronas akan akhiri kerjasama dengan pasukan F1 Mercedes-AMG? Jurucakap Mercedes nafikan laporan

    Petronas akan akhiri kerjasama dengan pasukan F1 Mercedes-AMG? Jurucakap Mercedes nafikan laporan

    Semalam portal sukan permotoran Decalspotters melaporkan bahawa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bakal mengakhiri kerjasamanya selama 10-tahun dengan pasukan Formula 1 Mercedes-AMG pada penghujung 2021, dan tempat berkenaan akan digantikan dengan syarikat petroleum Saudi Arabian Oil Co (Aramco).

    “Kerjasama pasukan (Mercedes-AMG Formula One Team) dengan Aramco akan bermula pasa 2022, dengan warna hijau-biru syarikat tersebut akan menggantikan warna turquoise Petronas di atas penjenamaan Mercedes-AMG,” lapor Decalspotters yang mendakwa menerima maklumat dari sumber.

    Decalspotters turut menyatakan bahawa perkara ini bukanlah kejutan kerana Petronas telah membuat penilaian semula terhadap usaha permasarannya dalam F1 dan kini sedang membuat langkah-langkah mengurangkan kos, selepas kesan ekonomi yang besar akibat pandemik Covid-19.

    “Kejayaan Mercedes dalam era hibrid F1 sering dikaitkan dengan formulasi pelincir dan minyak Petronas yang berevolusi secara cepat, yang dibangunkan sepanjang tempoh tersebut di Malaysia dan di Grand Prix,” tulis Decalspotters dalam laporan tersebut lagi.

    Petronas sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan perkara ini. Namun satu lagi portal berita sukan permotoran khusus untuk Formula 1, GPFans menyatakan Mercedes menafikan laporan berkenaan.

    Petronas akan akhiri kerjasama dengan pasukan F1 Mercedes-AMG? Jurucakap Mercedes nafikan laporan

    “Petronas dan Mercedes telah menjadi rakan kerjasama sejak 2010 dalam satu hubungan koloboratif jangka masa panjang yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Tahun lalu kami telah pun memanjangkan kerjasama kami untuk tempoh kitaran berberapa tahun lagi dan kami berbangga untuk terus bekerja bersama bagi memberikan prestasi termaju,” kata jurucakap Mercedes kepada GPFans.

    Portal berkenaan turut menjelaskan bahawa punca laporan yang mengaitkan Aramco dan pasukan F1 Mercedes-AMG ini adalah kerana syarikat petroleum milik Arab Saudi berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan syarikat petrokimia INEOS, yang memiliki satu pertiga (33%) kepentingan dalam pasukan tersebut tahun lalu, sama dengan jumlah kepentingan dua entiti lain iaitu Daimler dan Toto Wolff.

    Aramco juga dilihat agak menonjol dalam F1 pada musim ini, di mana syarikat tersebut dilihat beberapa pusingan perlumbaan dan juga sesi ujian pra-musim. Tahun ini juga merupakan tahun pertama penganjuran Grand Prix Arab Saudi, yang menjadi petanda negara berkenaan kini sedang mencari pelbagai peluang dalam perlumbaan F1.

    Malah pada Ogos lalu, Petronas telah mengumumkan akan menamatkan tajaannya terhadap pasukan Sepang Racing Team MotoGP tahun ini, yang juga menjadi penyebab bagi juara MotoGP tujuh-kali Valentino Rossi mengambil keputusan untuk terus bersara selepas berakhirnya musim 2021.

     
     
  • Nahas jalan raya termasuk kemalangan maut direkod lebih 566k kes dari 18 Mac 2020-13 Okt 2021 – JSPT

    Nahas jalan raya termasuk kemalangan maut direkod lebih 566k kes dari 18 Mac 2020-13 Okt 2021 – JSPT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah memaklumkan sebanyak 566,760 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Mac 2020 hingga pertengahan Oktober 2021. Di mana ia turut menunjukkan trend peningkatan setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, daripada keseluruhan kes direkodkan sejak 18 Mac 2021 hingga 13 Oktober 2021, sebanyak 5,412 kes melibatkan kemalangan maut dengan merekodkan sejumlah 5,739 kematian. Tambahnya, jumlah nahas jalan raya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa ketika peralihan fasa PKP sejak ia dilaksanakan bermula Mac tahun lalu.

    “Saya mengambil data bagi pelaksanaan PKP 1 yang merekodkan sebanyak 5,948 kemalangan, membabitkan 51 kemalangan maut dan 58 kematian, manakala PKP 2 pula mencatatkan 4,693 kemalangan meliputi 54 kemalangan maut serta 56 kematian.

    “Bagi tempoh PKP 3 pula, sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan, membabitkan 63 kemalangan maut dan 65 kematian, manakala ketika PKPP pula, sebanyak 102,240 kemalangan dilaporkan dengan 835 kemalangan maut serta 907 kematian,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Katanya, terdapat tiga punca utama menyebabkan kemalangan maut iaitu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan.

    Nahas jalan raya termasuk kemalangan maut direkod lebih 566k kes dari 18 Mac 2020-13 Okt 2021 – JSPT

    “Tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi menentukan kepatuhan pengguna kepada peraturan serta undang-undang jalan raya, sekali gus mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut. Kebenaran rentas negeri ketika ini juga akan memberikan impak baharu kepada aliran trafik di semua jalan raya dan peningkatan kadar kemalangan berdasarkan trend semasa,” katanya.

    Beliau turut menambah pihak polis juga mencadangkan supaya pengguna jalan raya mengamalkan kawalan kendiri yang tinggi serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    “JSPT akan melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut ekoran pertambahan jumlah kenderaan. Langkah ini membabitkan semua lapan operasi utama JSPT yang akan dipertingkatkan,” katanya.

    Selain itu, Mat Kasim berkata, penguatkuasaan JSPT yang menyeluruh akan digunakan bagi menyuraikan kesesakan aliran kenderaan di semua jalan raya.

    “Ia dibuat selepas mengambil kira pertambahan jumlah kenderaan yang dijangka berlaku dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila peraturan dilonggarkan. Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menentukan diri kekal cergas semasa pemanduan,” katanya.

     
     
  • Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

    Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

    Selepas pelbagai khabar angin bertiup, akhirnya satu set imej Toyota Avanza generasi baharu telah tertiris di Indonesia. Apa yang penting, Avanza Veloz ini dikatakan bakal menjadi asas kepada Perodua Alza generasi kedua, yang kini turut sedang dibangunkan oleh Perodua di Malaysia.

    Unit yang tertiris dan disiarkan oleh AutonetMagz ini nampaknya sudah berada di bilik pameran, mungkin akan dilancarkan pada masa terdekat. Model generasi baharu menampilkan rupa yang jauh lebih moden dari Avanza sedia ada, dan nampaknya bersedia memberikan saing sengit terhadap model-model sekelasnya.

    Muka Avanza Veloz tersebut direka dengan penggayaan sama seperti model-model terkini Toyota seperti RAV4 dan Corolla Cross, menampilkan gril berbentuk trapezoid. Ia juga diberikan lampu hadapan LED yang tirus, bersama perumah lampu kabus berbentuk segi tiga. Satu lagi gril yang lebar turut diberikan pada bahagian bawah bampar.

    Bagi memberikan rupa yang lebih premium, satu jalur krom direka merentangi sepenuhnya bahagian sisi MPV ini bermula dari lampu hadapan, merentas pintu hadapan dan belakang, berakhir pada tiang-D. Jika dilihat dengan teliti, garis bumbung, bentuk cermin-cermin tingkap, tiang-D dan bahagian sisi lampu belakang Avanza baharu ini adalah seiras dengan model konsep Daihatsu DN Multisix, yang dikatakan model konsep bagi Perodua Alza generasi selepas ini.

    Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

    Rekaan Avanza ini juga nampaknya sudah terpengaruh dengan lawannya Mitsubishi Xpander , yang menampilkan rupa seakan SUV. Ia diberikan kemasan seakan skid plate di bawah bampar hadapan dan belakang, serta ruang roda yang berotot. Ia juga hadir dengan rim berdiameter besar, mungkin bersaiz 17-inci.

    Di belakang, Avanza diberikan lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Dengan skrip ‘Veloz’ yang diberikan di bawah logo Toyota, mungkin ada lagi model yang kurang sporty daripadanya sebagai Avanza standard.

    Apa yang menarik, set gambar kali ini turut disertakan dengan beberapa imej bahagian kabin Avanza 2022 tersebut. Dapat dilihat, papan pemukanya direka dengan elemen-elemen yang sama seperti kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa terutamanya pada bahagian liang tengah dan suis kawalan pendingin hawa dan juga konsol gear. Ia juga tampil dengan skrin infotainmen berdiri sendiri yang juga mungkin berkongsi dengan Raize.

    Kabin Avanza ini juga menampilkan perincian terkini termasuk roda stereng rekaan baharu, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik – yang sememangnya jauh lebih moden dari Avanza sedia ada yang sudah berada lebih satu dekad dalam pasaran. Ia juga menerima kelengkapan menarik lain seperti monitor bumbung bersaiz besar untuk kabin belakang, poket untuk menyimpang barang juga sangat besar di belakang tempat duduk hadapan serta pemegang cawan dan port USB untuk penumpang baris kedua.

    Toyota masih belum mengumumkan sebarang petunjuk berkenaan Avanza generasi baharu ini. Namun kami menjangkakan ia adalah model produksi bagi model konsep Daihatsu DN Multisix, diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama seperti Raize/Rocky/Ativa (sebelum ini tampil sebagai model konsep Daihatsu DN Trec). Oleh itu, ia tidak lagi menggunakan casis ladder frame dan bentangan pacuan belakang, digantikan dengan casis monocoque pacuan roda hadapan.

    Dengan menggunakan platform DNGA, Avanza ini juga dijangka akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.0 liter tiga silinder turbo berkuasa 98 PS/140 Nm, atau enjin 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 88 PS/113 Nm yang kini ditawarkan pada Raize dan Rocky di Indonesia.

    Avanza ini juga dilihat mempunyai dua kamera pada bahagian atas cermin hadapan, menandakan ia telah dilengkapkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA). Pada model-model Perodua, sistem berkenaan kini memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong dan lain-lain.

    Pada penghujung 2019, Perodua dikesan sedang membangunkan MPV baharu mereka yang dijangka akan menggantikan Alza yang sudah berada lebih 10-tahun dalam pasaran. Pengeluar dari Rawang berkenaan dilihat menguji prototaip baharu tersebut dengan ‘menyembunyikannya’ dalam badan Toyota Avanza yang kelihatan pelik, diuji bersama Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga baharu di kawasan sekitar Genting Highland.

    Ini Perodua Alza generasi baharu? Imej Toyota Avanza Veloz 2022 tertiris di Indonesia sebelum dilancarkan

    Khabar yang bertiup dalam industri, Alza generasi baharu yang kini digelar dengan kod nama D27A tersebut akan dihasilkan menggunakan platform yang sama dengan model generasi seterusnya untuk Daihatsu Xenia dan juga Toyota Avanza – tidak hairan mengapa ia diuji dengan menggunakan dua MPV pasaran Indonesia tersebut sebagai tanda aras. Ketiga-tiga MPV ini juga mungkin adalah versi produksi untuk model konsep Daihatsu DN Multisix yang muncul pada tahun 2017 di Jepun dan Indonesia.

    Menerusi laporan majalah automotif popular Jepun, Best Car dan dipetik oleh portal Creative Trend, ketika itu Daihatsu sedang membangunkan versi produksi MPV DN Multisix berkenaan dengan platform terkini mereka iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Malah pada Mei lalu, salah satu vendor Perodua di Malaysia kini sedang membangunkan komponen bagi D27A tersebut, dan ia dijangka bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini.

     
     
  • Yamaha MT-09 dan Tracer 9 GT 2021 dipertonton untuk Malaysia – harga akan didedah November nanti

    Yamaha MT-09 dan Tracer 9 GT 2021 dipertonton untuk Malaysia – harga akan didedah November nanti

    Semasa majlis pelancaran dalam talian TMax 560, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut mempertontonkan dua model baru lain yang akan tiba dalam pasaran tidak lama lagi. Ia adalah MT-09 dan Tracer 9 GT 2021 – kedua-duanya didedah untuk pasaran global buat kali pertama hujung tahun lepas, sementara harga jualan di Malaysia hanya akan didedahkan hujung bulan November nanti.

    Melihat pertamanya kepada Tracer 9, perubahan paling besar bagi model tahun 2021 ini adalah pada bahagian enjin, di mana ia sekarang menggunakan enjin tiga silinder Crossplane 3 berkapasiti 890 cc dan mendapat penarafan Euro 5, sama seperti MT-09 2021. Jumlah kuasa yang dihasilkan juga sama iaitu 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Sebelum ini, enjin 847 cc yang digunakan pada Tracer 900 menghasilkan kuasa 113 hp dan 87.5 Nm tork, sekaligus memberi makna enjin baru ini mencatat peningkatan tork 7% dan sampai ke puncak pada rpm yang lebih rendah. Enjin baru 890 cc ini juga 1.7 kg lebih ringan dan dipadankan bersama ekzos berkembar yang juga lebih ringan 1.4 kg berbanding ekzos sebelum ini.

    Transmisi masih lagi unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper, tetapi sedikit perubahan dibuat bagi menjadikan tarikan klac itu lebih ringan. Nisbah gear untuk gear 1 dan gear 2 juga dilaras kembali supaya padan dengan tork yang sudah berubah dan memastikan penukaran lebih lancar.

    Satu lagi perubahan besar adalah kedudukan enjin dijadikan lebih tegak pada casis Deltabox, demi memberikan imbangan serta maklum balas yang lebih baik kepada penunggang. Lengan ayun aluminium model baru ini juga direka semula dan mempunyai panjang yang lebih 60 mm. Walaupun begitu, jarak roda masih tidak berubah iaitu 1,500 mm.

    Bahagian elektronik juga menunjukkan peningkatan yang jelas. Yamaha telah memasang unit pengukur inertia (IMU) six axis pada Tracer 9 dan unit generasi baru ini 50% lebih kecil dan 40% lebih ringan berbanding unit awal yang digunakan pada model R1 tahun 2015.

    Yamaha MT-09 dan Tracer 9 GT 2021 dipertonton untuk Malaysia – harga akan didedah November nanti

    IMU digunakan untuk mengawal sistem elektronik seperti mod tunggangan (semuanya ada empat mod), Cruise Control, Traction Control (tiga tahap), Slide Control (tiga tahap), Wheelie Control (tiga tahap) dan pilihan manual untuk melaras semua ciri ini pada tahap yang dimahukan.

    Untuk brek, di hadapan menggunakan set berkembar cakera 298 mm manakala di belakang terdapat cakera 245 mm. Sistem ABS disediakan dalam dua mod yang boleh ditukar oleh penunggang sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55.

    Model baru Tracer 9 ini menggunakan panel paparan TFT-LCD yang berbentuk petak dan dibahagikan kepada dua. Informasi berkenaan laju, tahap rpm, tahap minyak dan kedudukan gear ditunjukkan di bahagian kiri manakala bahagian kanan terdapat paparan seperti jarak perjalanan, suhu dan pelbagai lagi. Semua lampu model ini menggunakan unit LED.

    Tempat duduk Tracer 9 kini adalah 15 mm lebih rendah dan ia boleh dilaras secara mudah tanpa menggunakan sebarang alat. Peletak kaki juga boleh dilaras sehingga 15 mm sementara pemegang disediakan dalam dua kedudukan.

    Suspensi Tracer 9 menggunakan unit daripada Kayaba dengan di hadapan terdapat fork USD 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya – 30 mm lebih rendah berbanding sebelum ini – sementara di belakang pula terdapat monoshock. Bagi Tracer 9 GT, suspensi ini dipertingkat dengan kawalan elektronik yang datang dalam dua mod, bersama kelengkapan lain seperti quickshifter naik dan turun gear, lampu membelok LED, pemanas tangan serta beg barangan.

    Pergi pula kepada MT-09 2021, perubahan pertama yang dapat dilihat adalah bentuknya, yang masih lagi ringkas tetapi lampu hadapannya berbeza, dengan kini menggunakan bentuk lebih unik serta unit LED kompak untuk pencahayaan utama dan jalur DRL menegak. Di sebalik badan ini, Yamaha turut menggunakan kerangka aluminium baru yang lebih tegar untuk memberikan lebih stabiliti dan karekter pemanduan dinamik.

    Yamaha MT-09 dan Tracer 9 GT 2021 dipertonton untuk Malaysia – harga akan didedah November nanti

    Enjinnya adalah sama seperti Tracer 9 2021, iaitu unit tiga silinder 890 cc, yang berkemampuan 119 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm. Selain kuasa yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya, enjin ini turut dipertingkat untuk mematuhi tahap emisi Euro 5 manakala muncung suntikan bahan api diperelok untuk memberikan lebih penjimatan bahan api.

    Transmisi adalah unit enam kelajuan, dan klac jenis A&S dilaras kembali untuk memadankannya dengan kuasa baru enjin. Kemudian, penukar gear quickshifter pada motosikal ini turut dipertingkat untuk memberikan penukaran naik dan turun gear yang lebih pantas serta lancar.

    Di hadapan pemandu kini terletak panel paparan TFT berwarna 3.5 inci baru yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan operasinya boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

    Peningkatan elektronik tidak terhenti di situ kerana MT-09 2021 kini dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU) 6-axis untuk memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).

    Suspensi MT-09 2021 masih lagi menggunakan fork 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras, tetapi ia telah ditala semula untuk menyesuaikannya dengan casis serta lengan ayun baru. Pada bahagian brek, di hadapan ia kini menggunakan pam utama radial untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston.

    Jika anda lihat lebih terperinci, rekaan rim 17 inci MT-09 ini juga berlainan. Bukan setakat rekaan, ia juga adalah 700 gram lebih ringan sekaligus memperbaiki kawalan motosikal dan kecekapan bahan api. Tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Kelengkapan lain pada MT-09 2021 adalah seperti tangki bahan api 14 liter, berat keseluruhan 189 kg, tinggi tempat duduk 825 mm dan jarak dari tanah 140 mm. Jarak roda untuk model baru ini juga bertambah 30 mm menjadikannya 1,430 mm.

    GALERI: Yamaha MT-09 2021

    GALERI: Yamaha Tracer 9 2021

     
     
  • Yamaha TMax 560 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – versi lebih sporty, dua pilihan warna, RM72,288

    Yamaha TMax 560 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – versi lebih sporty, dua pilihan warna, RM72,288

    Selepas beberapa siri teaser, hari ini Hong Leong Yamaha (HLYM) melancarkan TMax 560 untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan pada harga RM72,288 tidak termasuk insurans, dalam dua pilihan warna iaitu Tech Kamo dan Power Grey. Pembeli juga akan menerima beg kunci khas buatan Royal Selangor dan kunci cakera brek.

    Yamaha TMax 560 mula diperkenalkan kepada dunia pada penghujung tahun 2019, dan ia melibatkan pelbagai peningkatan termasuk enjin yang dibesarkan, dari 530 cc ke 562 cc. Walaubagaimanapun, peningkatan kuasa daripada enjin dua silinder DOHC ini cuma sebanyak 2.6 hp, menjadi 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm. Kuasa daripada enjin disampaikan ke roda belakang melalui transmisi automatik dan sistem tali sawat.

    Walaupun masih mengekalkan gaya sporty yang sama seperti sebelum ini, Yamaha mendakwa keseluruhan bahagian luar TMax 2020 ini adalah baru kecuali fairing. Sekiranya diperhatikan secara terperinci barulah anda akan nampak perbezaannya dan ini termasuk lampu penunjuk arah yang disepadukan sekali pada unit lampu utama serta bentuk lampu belakang baru.

    Panel badan baru ini, bersama tempat duduk yang direka semula juga menjadikan ergonomik skuter ini lebih bagus dan menyumbang kepada lebih keselesaan. Bahagian lain masih sama seperti tetapan brek cakera berkembar 267 mm di hadapan dan 267 mm di belakang, rim 15 inci dan tangki bahan api 15 liter.

    Untuk pengetahuan, TMax 560 yang dilancarkan untuk Malaysia ini adalah versi lebih sporty dan ditambah dengan kelengkapan seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, suspensi belakang boleh laras serta fork berwarna emas (tetapi tiada sambungan MyTMAX Connect seperti TMax Tech Max di pasaran antarabangsa). Model ini juga datang dengan dua mod tunggangan, kawalan cengkaman serta brek ABS.

     
     
  • Guna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah jika masuk Pulau Pinang, elak kesesakan – JKSB

    Guna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah jika masuk Pulau Pinang, elak kesesakan – JKSB

    Susulan cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Maulidur Rasul pada Selasa hadapan, pastinya ramai yang merancang untuk merentas negeri, termasuk pulang ke kampung halaman atau pergi bercuti ke destinasi pilihan. Malahan kesesakan trafik juga dijangka bakal berlaku di kebanyakan lebuhraya utama, maka rancanglah perjalanan anda sebaik mungkin.

    Dalam pada itu, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) selaku pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) turut menjangkakan keadaan trafik memasuki bahagian pulau dan Seberang Perai di Pulau Pinang akan meningkat pada tempoh tersebut.

    Justeru, pengguna dinasihati merancang perjalanan, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan, serta patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    JKSB turut memaklumkan, pihaknya bersedia dari segi operasi dengan menyediakan lapan lorong tol merangkumi perkhidmatan Smart Tag, Touch N Go dan RFID bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan para pengguna, laporan Bernama.

    “JSAHMS juga menawarkan ciri-ciri keselamatan yang terbaik demi keselesaan pengguna seperti laluan khas kepada penunggang motosikal. Selain itu, JSAHMS juga bertindak sebagai laluan alternatif untuk ke bahagian utama pulau seperti Batu Maung, Bayan Lepas, Balik Pulau dan Georgetown.

    “Malahan dengan kadar tol sebanyak RM 5.74 bagi Kelas Satu merangkumi kenderaan persendirian atau penumpang, justeru JSAHMS adalah pilihan untuk pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau. Ini kerana ia adalah direct dual carriageway yang menghubungkan secara terus Batu Kawan kepada bahagian utama pulau dan menghubungkan Batu Kawan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas,” ujar JKSB

    JKSB turut berkata, walau pun JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain tetapi jika dipertimbangkan dari segi kesenangan pengguna, JSAHMS adalah alternatif terbaik.

     
     
  • KL, S’gor, Putrajaya ke Fasa 4 mulai 18 Okt – Kelantan, Perak, Pahang, Penang, Sabah, Kedah ke Fasa 3

    KL, S’gor, Putrajaya ke Fasa 4 mulai 18 Okt – Kelantan, Perak, Pahang, Penang, Sabah, Kedah ke Fasa 3

    Hanya selepas dua minggu beralih ke Fasa 3 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerajaan telah mengumumkan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya termasuk Melaka bakal beralih ke Fasa 4 PPN mulai 18 Oktober ini.

    Selain itu, turut diumumkan ialah peralihan fasa bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah iaitu dari Fasa 2 ke Fasa 3 PPN bermula pada tarikh yang sama. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menerusi kenyataan lewat petang tadi.

    Negeri-negeri berkenaan akan memulakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengikut fasa masing-masing seperti mana yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula Isnin ini, malahan kerajaan juga mengumumkan kelonggaran SOP lebih lanjut, dan ini berkuatkuasa pada peralihan fasa berkenaan.

    Perubahan tersebut termasuklah untuk e-hailing, di mana ia membenarkan perkhidmatan ini membawa jumlah penumpang mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan, dan ia digunapakai di bawah semua fasa PPN. SOP baharu bagi e-hailing ini bermula esok, 16 Oktober 2021.

    Selain itu, semua fasiliti R&R di semua lebuhraya di seluruh negara kini dibenarkan beroperasi 24 jam sehari, juga bermula esok, 16 Oktober 2021.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

    PANDU UJI: Toyota Vios GR Sport 2021 – sekadar bodykit atau benar-benar dengan talaan prestasi?

    Dulu masa era 80’an atau 90’an, jika ada model istimewa yang dilekapkan dengan lencana sayap perlumbaan rasmi satu-satu jenama berkenaan, maknanya ia benar-benar menerima sentuhan semula yang melibatkan prestasi. Namun tahun demi tahun, menghasilkan model prestasi berasaskan model biasa bukan lagi tugas mudah.

    Ini kerana dengan pelbagai undang-undang emisi dan keselamatan yang semakin lama semakin ketat, kos untuk membangunkan model-model sedemikian melibatkan pelaburan R&D yang tinggi.

    Misalnya Proton Iriz dan Saga R3 yang baru dilancarkan tahun ini, ramai yang tanya kenapa hanya melibatkan “kejuteraan sticker”? Cuba anda fikir balik, nak ekstrak sekitar 5-10% kuasa pun bukannya mudah. Ia memerlukan banyak komponen baharu misalnya camshaft, injap, spring injap, kotak komputer dan sebagainya.

    Komponen tersebut bukan sahaja perlu direka semula, malah perlu benar-benar diuji bagi memastikan kuasa tambahan yang diberikan tidak akan mendatangkan kesan sampingan lain, dan perlu dipastikan untuk tidak melebihi tahap pencemaran yang ditetapkan. Selepas itu, ia sekali lagi perlu menjalani proses homologasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Integra 2023 dapat transmisi manual 6-kelajuan

    Honda Integra 2023 dapat transmisi manual 6-kelajuan

    Acura Integra Teaser Sketch

    Sebelum ini kita sudah tahu, Honda, melalui cabang jenama mewah mereka di Amerika Syarikat, iaitu Acura akan memperkenalkan Integra generasi baru, yang jika mengikut teaser disiar, akan menggunakan bentuk fastback lima pintu seperti Civic hatchback.

    Kini dalam teaser yang terbaru, ada lagi berita baik untuk mereka yang gemar memandu. Ia akan disediakan dengan transmisi manual enam kelajuan! Perkara ini disahkan melalui satu video yang menunjukkan menukar gear satu demi satu sementara konsol tengah itu pula bertukar dari Integra generasi awal sehinggalah yang terbaru, menggunakan unit enam kelajuan.

    Pada konsol itu juga kita boleh melihat terdapat beberapa butang lain termasuk untuk pilihan mod pemanduan, brek parkir elektronik serta butang Individual untuk memaparkan tetapan pilihan pemandu.

    Untuk rupa, melalui gambar teaser yang disiarkan sebelum ini, selain bentuk fastback lima pintu, kita juga boleh melihat Integra 2023 bakal menggunakan konsep rekaan hampir seperti Acura TLX, terutamanya pada bahagian lampu hadapan dan belakang. Pada bahagian hadapan, di bawah lampu kiri, terdapat cetakan tulisan Integra, sebagai mengikuti konsep model terdahulu.

    Menurut Acura, Integra baru ini akan diletakkan sebagai produk kelas permulaan, dan menjadi model mampu milik jenama itu. Tiada pengesahan sama ada Integra generasi baharu ini nanti akan dihasilkan dalam versi Type R, namun ia sekurang-kurangnya mungkin akan hadir dengan lencana Type S bagi varian berprestasi tinggi.

    Meskipun Integra baru ini akan diperkenalkan di bawah jenama Acura untuk pasaran Amerika Syarikat, kemungkinan ia ditawarkan ke pasaran lain menggunakan jenama Honda masih ada kerana ia dibangunkan di Jepun. Pilihan enjin masih tidak diberitahu tetapi kita boleh menjangka khidmat unit sama seperti Civic generasi ke-11, iaitu unit 1.5 liter VTEC Turbo.

     
     
  • Proton lancar rangkaian minyak pelincir PGO – diformulasi secara spesifik oleh Petronas; dari RM78

    Proton lancar rangkaian minyak pelincir PGO – diformulasi secara spesifik oleh Petronas; dari RM78

    Proton telah melancarkan rangkaian produk minyak pelincir yang diformulasi secara ekslusif untuk kereta di bawah jenamanya. Rangkaian Minyak Pelincir Proton (PGO) ini ditawarkan dengan empat gred dari PGO 1 ke PGO 4, termasuk minyak sintetik penuh, minyak semi-sintetik dan minyak pelincir jenis mineral.

    Diformulasikan secara spesifik untuk enjin kereta Proton oleh Petronas, rakan teknikal Proton, PGO dihadirkan dengan spesifikasi 5W30 SP, 5W30 SN, 10W30 SN serta tahap kelikatan 15W40 SN dengan API SP dan tahap API SN. Kelebihan rangkaian minyak enjin ini ialah ia dapat melawan haba yang berlebihan untuk memberikan prestasi enjin yang lebih optimum. Diformulasikan dengan molekul yang padu, ia juga dapat mengelakkan kerosakan minyak termal dalam apa jua keadaan pemanduan. Selain itu, ia juga mampu meningkatkan kestabilan termal untuk membantu keupayaan enjin.

    Menurut Proton, PGO 1 sesuai untuk model Proton dengan enjin 1.5 TGDI termasuk X50, difahamkan ini merupakan pertama kali SUV crossover ini bakal menggunakan minyak pelincir baharu dari Proton (yang diformulasi oleh Petronas), sebelum ini ia menggunakan minyak pelincir dari Shell. Namun SUV X70 masih mengekalkan penggunaan minyak pelincir dari Shell memandangkan rangkaian PGO baharu ini tidak memiliki pilihan minyak pelincir sintetik penuh 5W-40. Namun X70 facelift dijangka bakal hadir dengan enjin 1.5 liter, jadi bolehlah menggunakan PGO 1 seperti X50.

    Manakala PGO 2, PGO 3 dan PGO 4 pula diformasikan khas untuk enjin Campro seperti Saga, Persona, Iriz, Preve, Suprima S, Exora, Ertiga dan Perdana. Kapasiti bagi PGO 2 hingga PGO 4 ialah empat liter bagi satu pek botol, manakala lima liter untuk PGO 1.

    Klik untuk besarkan imej

    “Pelancaran minyak pelincir PGO adalah satu langkah baharu bagi perjalanan Proton untuk menjadi jenama automotif premium di Malaysia. Kami bekerja dengan rakan niaga dalam penghasilan formulasi bagi memastikan ia mencapai tahap yang diinginkan oleh kami dan memberikan pelanggan perlindungan enjin untuk model Proton mereka dengan harga yang berpatutan. Dengan senarai penuh produk tersebut, keseluruhan rangkaian model dirangkumi termasuk enjin baharu TGDI yang digunapakai pada SUV kami,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Kesemua minyak pelincir PGO boleh didapati di wakil servis Proton yang sah dengan harga RM78 bagi PGO 4, PGO 3 pula berharga RM105. Manakala minyak pelincir sintetik penuh iaitu PGO 2 dan PGO 1 pula masing-masing berharga RM159 dan RM163. Proton turut berkata, minyak pelincir tersebut juga boleh didapati di stokis alat ganti, walaupun pada waktu ini hanya terhad kepada PGO 3 dan PGO 4.

    “Menuju kehadapan, Proton juga menerokai peluang di mana kita boleh berkerjasama dengan pembekal untuk memberikan lebih nilai kepada pelanggan. Kami juga akan mengolah kekuatan rangkaian wakil jualan yang mempunyai jumlah pusat 3S dan 4S terbesar di dalam negara, bagi memastikan produk seperti rangkaian PGO boleh didapati di seluruh negara secepat yang mungkin,” tambah Roslan lagi.

     
     
  • Lexus ES 250 facelift 2022 dilancarkan di Malaysia — Premium, Luxury dan F Sport baru, harga dari RM296k

    Lexus ES 250 facelift 2022 dilancarkan di Malaysia — Premium, Luxury dan F Sport baru, harga dari RM296k

    Lexus Malaysia kini memperkenalkan secara rasmi model Lexus ES 2022 facelift untuk pasaran tempatan — dan ini merupakan kali pertama model berkenaan ditawarkan dalam tingkat kemasan F Sport.

    Varian Lexus ES 2022 ini bermula dengan Premium pada harga RM295,663, diikuti ES 250 Luxury dengan tanda harga RM329,910, sementara versi F Sport dijual dengan harga RM345,134. Semua harga atas jalan tidak termasuk insurans, tetapi dengan pengecualian 50% SST bagi kereta CBU hingga hujung tahun ini.

    Model generasi ketujuh ini diperkenalkan di sini pada September 2019, dengan penampilan yang paling menonjol pernah ES miliki setakat ini sejak nama model ini mula diperkenalkan pada tahun 1989. Berbanding model ES generasi sebelumnya, versi yang terkini adalah 66 mm lebih panjang dan 46 mm lebih lebar, dengan jarak antara roda yang 51 mm lebih panjang. Jejak keseluruhan yang lebih besar serta kedudukan yang 5 mm lebih rendah menyumbang kepada imej sporty.

    Lexus ES 250 facelift 2022 dilancarkan di Malaysia — Premium, Luxury dan F Sport baru, harga dari RM296k

    Semua ini boleh dicapai melalui platform Global Architecture K (GA-K) yang digunakan. Ini versi Lexus apa yang untuk Toyota dikenali sebagai Toyota New Global Architecture (TNGA). Perbezaan yang terlibat bagi model facelift 2022 ini lebih banyak terarah kepada perinciannya. Rekaan spindle grille baru antara yang ketara, dan membezakan dengan versi lamanya.

    Itu menjadi gril standard bagi varian Premium dan Luxury. Varian F Sport pula didatangkan dengan corak L bersilang yang khusus untuknya dengan penyudah metalik hitam. Terdapat juga perubahan kecil pada lampu utama. Untuk ES 250 Premium, unit projektor bi-LED diberikan rekaan dalaman baru. Sementara bagi lampu utama projektor LED tiga-tahap kompak pada ES 250 Luxury dan F Sport menerima DRL LED baru.

    Ada dua warna baru turut diperkenalkan, iaitu Sonic Iridium dan Sonic Chrome. Ini disertai oleh pilihan warna sedia ada — Sonic Quartz, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Red Mica Crystal Shine, Ice Ecru Mica Metallic dan Deep Blue Mica.

    Lexus ES 250 facelift 2022 dilancarkan di Malaysia — Premium, Luxury dan F Sport baru, harga dari RM296k

    F Sport boleh dipilih dalam dua warna eksekutif; Heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake (dalam gambar), sebagai tambahan kepada pilihan standard yang ada, kecuali warna Ice Ecru Mica Metallic dan Deep Blue Mica.

    Varian paling sporty ini juga menerima spoiler belakang, perumah lampu belakang gelap, lencana F Sport di fender depan serta rim 19-inci (tayar 235/40) dalam warna Dark Premium Metallic. Bagi Premium dan Luxury, ia kekal dengan rim 18-inci (tayar 235/45) — satu dengan rekaan multi-jejari dalam Dark Grey Metallic, dan satu lagi dengan rekaan gaya turbin dalam warna Hyper Chrome Metallic.

    ES kini datangde dengan warna dalaman balutan kerusi coklat gelap dengan kemasan kayu Walnut Brown. Pada Luxury, ia melibatkan tambahan beberapa tona berbeza dikenali sebagai Mauve, dengan kemasan Walnut Black. Bagi F Sport pula, ia datang dengan tema merah dan hitam, beserta kemasan aluminium — tema ini eksklusif untuk F Sport sahaja, namun pilihan untuk tema hitam keseluruhan turut ditawarkan.

    Lexus telah mempertingkatkan sistem infotainmen, dengan matlamat agar lebih mudah dikendalikan. Paparan 12.3-inci yang ada kini skrin sentuh (8.0-inci untuk Premium) dan ia kini 112 mm lebih dekat dengan penumpang dan disudutkan lima-darjah lebih condong ke arah pemandu. Sistem berkenaan — yang ada tunjuk arah bagi Luxury dan F Sport — boleh juga dikawal dengan Remote Touch Pad berdekatan tuil gear. Semua slot USB dalam ES kini berjenis Type C.

    Ada lagi keunikan F Sport. Pakejnya termasuk kerusi sport; stereng dengan balutan kulit berliang selain kemasan kayu, jahitan merah dan lencana F Sport; tombol gear yang sepadan serta pedal aluminium. Jam analog di sebelah skrin sentuh juga memiliki dail berbeza.

    F Sport juga menampilkan meter boleh alih. Pertama kali digunakan pada supercar LFA, dail utama yang boleh beralih kedudukan ini pernah ditampilkan juga pada varian F Sport sebelum ini juga. Di dalam gelung paparan tersebut, grafik yang ditampilkan juga berubah mengikut mod pemanduan.

    Apa yang masih kekal ialah enjinnya; Lexus ES 250 menggunakan unit 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder, menghasilkan 204 hp pada 6,600 rpm dan 247 Nm tork pada 5,000 rpm.Unit suntikan terus A25A-FKS ini digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Direct Shift yang menghantar kuasa ke roda depan. Paddle Shifter adalah standard. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.1 saat dengan laju maksimum 210 km/j. Mod Eco, Normal dan Sport juga tersedia.

    Suspensi ES terdiri daripada jenis MacPherson Strut di depan dan double wishbone di belakang. Walaupun ini masih sama, Lexus menjelaskan bahawa keselesaan dan pengendalian telah dipertingkat dengan menambah kekerasan di belakang — melibatkan pertambahan pendakap. Luxury dan F Sport juga menerima penyerap hentak prestasi.

    Ditawarkan standard untuk semua varian ES ialah Lexus Safety System+ (LSS+). Versi terkininya menyaksikan Sistem Pra-Perlanggaran (PCS atau AEB) dipertingkat dengan pengesanan pengayuh waktu siang oleh kedua-dua radar gelombang-milimeter dan sensor kamera monokular. Pengesanan pejalan kaki dalam sesetengah keadaan pencahayaan rendah turut telah dipertingkat dengan menaikkan sensitiviti kamera dan jarak dinamik.

    Lain-lain elemen LSS+ termasuk Kawalan Melayar Radar Dynamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go; Bantuan Mengekalkan Lorong; Bantuan Mengesan Lorong (LTA) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA); serta Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS), yang juga datang dengan teknologi BladeScan. Turut ada teknologi lampu yang dikenali sebagai Sistem Pencahayaan Depan Adaptif (AFS).

    Harga bagi Premium dan Luxury juga beberapa ribu ringgit lebih rendah berbanding model sama yang diperkenalkan pada 2019, walaupun datang dengan pelbagai peningkatan. Ini menjadi satu daripada daya tarikannya ketika ini. Lexus ES 250 terbaru ini akan berada di semua bilik pameran Lexus bermula 31 Oktober ini, dan tempahan mula dibuka hari ini.

    Lexus ES 250 F Sport 2022

    Lexus ES 250 Luxury 2022