Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Hyundai Kona Electric kini dijual di Malaysia – RM180k bagi unit demo HSDM yang dipamerkan di KLIMS 2018

    Bagi mereka yang mahukan sebuah kereta elektrik selain Nissan Leaf, ini ada satu pilihan untuk anda iaitu Hyundai Kona Electric. Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud Kona Electric sudah dilancarkan secara rasmi oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), sebaliknya unit yang anda lihat ini adalah unit terpakai yang dijual oleh divisi kereta terpakai Sime Darby iaitu Sime Darby Auto Selection.

    Unit tersebut dikilangkan pada tahun 2018, dan telah didaftarkan di Malaysia pada September tahun lalu. SUV elektrik ini telah mencatatkan jarak perjalanan sejauh 18,000 km, dan kini dibuka untuk jualan pada harga RM180,000. Kami turut telah mendapat pengesahan dari HSDM sendiri bahawa unit yang dijual ini adalah unit yang sama dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, bersama Hyundai Nexo berkuasa sel bahan api hydrogen dan hot-hatch i30 N.

    Selepas ia dipamerkan untuk tatapan umum bagi mendedahkan teknologi elektrik yang ada pada Hyundai buat masa sekarang di acara tersebut, Kona Electric ini digunakan sendiri oleh HSDM. Ia telah diuji oleh unit teknikal dan pengurusan syarikat berkenaan bagi melihat prestasi, kesesuaian dan ketahanan Kona Electric tersebut di Malaysia.

    Hyundai Kona Electric kini dijual di Malaysia – RM180k bagi unit demo HSDM yang dipamerkan di KLIMS 2018

    Menurut HSDM lagi, mereka berpuas hati terhadap aspek perbatuan untuk setiap caj Kona Electric tersebut kerana dalam ujian berkenaan jarak gerak yang ditunjukkan bukan sahaja tepat, malah mereka turut telah mendapat jarak 60 km lebih jauh daripada apa yang didakwa.

    Hyundai Kona Electric ini telah membuat kemunculan sulungnya pada Februari 2018 dan diperkenalkan terlebih dahulu di pasaran Eropah. Secara keseluruhan, ia masih menampilkan rupa yang hampir sama dengan Kona biasa, dan hanya dibezakan dengan perincian unik seperti gril hadapan tanpa liang, serta menampilkan konsol tengah tanpa tombol gear.

    Ketika dilancarkan, Kona Electric ditawarkan dalam dua pilihan bateri polimer lithium ion iaitu 39.2 kWj dan 64 kWj. Model dengan bateri 39.2 kWj dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 135 PS/395 Nm dengan jarak gerak 312 km, manakala versi dengan bateri 64 kWj pula menerima motor elektrik 204 PS/395 Nm, dan boleh bergerak sejauh 482 km dengan satu caj penuh.

    Hyundai Kona Electric kini dijual di Malaysia – RM180k bagi unit demo HSDM yang dipamerkan di KLIMS 2018

    Dari segi prestasi, model asas dengan bateri lebih kecil berkenaan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat, manakala versi bateri 64 kWj mampu untuk memecut dalam jarak sama dalam masa 7.6 saat. Tetapi kedua-dua versi ditetapkan dengan kelajuan maksima yang sama iaitu 167 km/j.

    Sistem caj cepat 100 kW DC (CCS) pada Kona Electric ini membolehkan caj 80% dicapai dalam masa hanya 54 minit. Namun sekiranya anda menggunakan pengecaj on board 7.2 kW AC (Type 2), model dengan bateri asas memerlukan 6 jam 10 minit, manakala versi dengan bateri 64 kWj pula memerlukan masa selama 9 jam 40 untuk dipenuhkan.

    Unit milik HSDM yang hendak dijual ini adalah dari versi 64 kWj, dan turut dibekalkan dengan kabel pengecas standard. Sekiranya pembeli mahukan pengecaj pantas, ia boleh ditempah melalui HSDM sendiri. Malah syarikat tersebut telah mengesahkan kepada kami bahawa mereka turut akan memberikan khidmat sokongan selepas jualan kepada pemilik baharu Kona Electric tersebut.

    Hyundai Kona Electric merupakan model yang agak berjaya buat Hyundai. Sehingga kini, ia telah terjual sebanyak 100,000 unit di seluruh dunia selepas diperkenalkan dua tahun lalu. Ia juga telah diperkenalkan dalam versi facelift – walaupun hanya menampilkan perubahan dari segi tayar, model dengan rupa lebih segar tersebut kini boleh bergerak sejauh 484 km (+2 km) bagi model dengan bateri 64 kWj.

    HSDM kini dilihat bersemangat dalam memperkenalkan model-model baharu Hyundai – mereka telah membawa hot-hatch i30 N, malah bagi model Kona facelift versi lebih sporty N Line juga turut telah diperkenalkan di Malaysia. Adakah Kona Electric 2021 turut akan dibawa ke sini tidak lama lagi? Sama-sama kita tunggu.

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • SPYSHOT: JMC Vigus Pro dijumpai di Malaysia – akan dipasarkan di bawah kumpulan syarikat Tan Chong

    SPYSHOT: JMC Vigus Pro dijumpai di Malaysia – akan dipasarkan di bawah kumpulan syarikat Tan Chong

    Satu lagi jenama dari China nampaknya akan memasuki pasaran Malaysia kerana ada yang sudah menjumpai unit ujiannya di atas jalan. Pembaca kami, Yeoh ChinHann telah menemui trak pikap ini, yang ditutup dengan pelekat serba hitam di Lebuh Raya Persekutuan dan ia nampaknya adalah Jiangling Motors Corp (JMC) Vigus Pro.

    Ketibaan JMC sebenarnya bukanlah satu kejutan kerana tahun lepas, syarikat Warisan TC Holdings di bawah Tan Chong Group telah mengumumkan bahawa mereka sedang membuat kontrak pengeluaran dan pemasangan dengan jenama itu, melalui Angka-Tan Motor. Pada waktu itu, model pertama yang dinyatakan adalah pikap JMC Yuhu 7.

    Ia bagaimanapun telah diubah kepada Yuhu 9, yang lebih moden dan mempunyai penampilan lebih gagah berbanding Yuhu 7. Bagi pasaran luar China, Yuhu dipasarkan sebagai Vigus, dan mempunyai beberapa varian termasuklah Pro.

    SPYSHOT: JMC Vigus Pro dijumpai di Malaysia – akan dipasarkan di bawah kumpulan syarikat Tan Chong

    Nama ini mungkin juga boleh ditukar apabila ia memasuki pasaran Malaysia nanti, kerana Warisan TC sebelum ini sudah pernah melakukan perkara sama dengan menukar nama Foton Tunland kepada Bison Savanna apabila ia dijual di Malaysia.

    Setakat ini masih belum ada spesfikasi bagi Vigus Pro yang akan dijual di Malaysia, tetapi dalam pasaran lain, trak ini ditawarkan dengan enjin petrol EcoBoost 2.0 liter GDi Ford yang menawarkan 217 hp dan 350 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF. Ada juga versi yang menggunakan enjin diesel turbo 2.4 liter (juga unit daripada Ford) bersama pilihan transmisi manual.

    Sebenarnya, JMC bukanlah satu-satunya jenama China yang mempunyai kerjasama dengan Tan Chong Group, kerana tahun lepas, salah satu syarikat di bawah Tan Chong Motor Holdings, iaitu TC Overseas Assets Holdings Labuan (TCOAHL) telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan GAC Motor International untuk kajian potensi penjualan dan pemasangan model GAC di Malaysia dan Vietnam.

     
     
  • Toyota akan perkenalkan sesuatu 27 September ini – model hibrid CKD? Mungkinkah Corolla Cross Hybrid?

    Toyota akan perkenalkan sesuatu 27 September ini – model hibrid CKD? Mungkinkah Corolla Cross Hybrid?

    Hari ini kami telah menerima satu siaran akhbar dari UMW Toyota Motor (UMWT) yang menyatakan mereka akan memperkenalkan sesuatu 27 September ini, dan perincian berkenaannya akan didedahkan pada hari tersebut. Orang ramai juga boleh menyaksikannya melalui laman web rasmi serta saluran media sosial syarikat tersebut.

    Siaran akhbar tersebut datang dengan beberapa imej yang memberi gambaran suasana alam, tetapi salah satu daripadanya yang bertajuk sinergi seakan memberi gambaran gabungan dua sumber kuasa. Melalui ayat yang dimainkan juga kita boleh mendapat petunjuk, contohnya seperti “melangkah ke hari esok pada hari ini, perjalanan awal tersebut menjanjikan keterujaan menakjubkan, kesunyian, harmoni, tenaga, endurans dan kuasa, sebuah pengalaman yang akan mengubah hidup.”

    “Tanpa ingin mendedahkan terlalu banyak, biar saya katakan yang kami akan membuat pengumuman terperinci tentang ini dalam masa terdekat, dan ia akan memberi impak besar tidak hanya kepada jenama ini sahaja, tetapi ke atas industri secara keseluruhannya, serta terhadap gaya hidup dan pilihan yang sudah serasi dengan kita,” jelas Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

    Toyota akan perkenalkan sesuatu 27 September ini – model hibrid CKD? Mungkinkah Corolla Cross Hybrid?

    Beliau menambah lagi, “Toyota Motor Corporation terus akan menjadi pelopor dan syarikat telah mengambil satu lagi langkah ke depan untuk mengukuhkan komitmen globalnya menjelang 2050. Kami sedang berdepan dengan jangkaan sebuah era baru yang menarik, yang akan menetapkan perjalanan masa depan untuk generasi akan datang.”

    Daripada kenyataan ini, kita sudah boleh menjangka ini bukanlah sebuah model biasa dan seperti yang sudah diketahui, komitmen global Toyota menjelang 2050 adalah untuk mengurangkan emisi karbon sehingga 90%. Dalam siaran akhbar itu juga presiden syarikat, Ravindran K ada menyatakan bahawa usaha yang akan dijalankan melangkaui sekadar pengilangan dan pemasangan kenderaan.

    Jadi, tekaan kami, ia adalah sebuah model hibrid pemasangan tempatan (CKD) – usaha ini sudah pernah diumumkan secara rasmi sebelum ini. Model sebenar masih belum diketahui tapi Corolla Cross Hybrid nampak seperti calon yang sesuai kerana model biasanya sudah dalam perjalanan untuk pemasangan tempatan, dan model hibridnya juga sudah pernah ditemui membuat ujian di Malaysia.

    Satu lagi calon berpotensi adalah Camry Hybrid facelift XV70, kerana di negara luar memang ada model ini dan model biasa di Malaysia pula juga sudah lama tidak dinaik taraf. Pada tahun 2015 juga UMW Toyota sudah pernah menjual Camry Hybrid (XV50) CKD pada harga RM174,900. Kami juga tidak akan terperanjat sekiranya mereka memperkenalkan Corolla Hybrid kerana model ini juga sudah pernah diuji di sini.

     
     
  • Mitsubishi M’sia buka pusat 3S di Bukit Raja, Klang

    Mitsubishi M’sia buka pusat 3S di Bukit Raja, Klang

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah membuka pusat 3S (jualan, servis & alat ganti) baharu di Bukit Raja, Klang. Pusat 3S terbabit dikendalikan oleh MN Wheels Sdn Bhd, salah satu pengedar rasminya di sini.

    Terletak di No. 36, Jalan Astaka 4, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, pusat 3S berkenaan berkeluasan hampir 5,000 kaki persegi, dilengkapi dengan ruang lounge pelanggan dengan kemudahan WiFi, serta mampu mempamerkan dua buah kereta dalam satu masa. Ia turut dilengkapi bengkel dengan tiga petak penyelenggaraan yang bersedia untuk menyelenggara kenderaan Mitsubishi.

    Ini merupakan bilik pameran kedua yang dikendalikan oleh MN Wheel Sdn Bhd, selepas membuka cawangannya di Kuala Selangor. Menurut MMM, bilik pameran berkenaan juga mengikut identiti jenama korporat terbaharu Mitsubishi Motors, dengan tagline ‘Drive Your Ambition’ .

    “Tahniah kepada MN Wheels atas pembukaan satu lagi bilik pameran Mitsubishi Motors di Selangor. Walau pun kami berhadapan dengan persekitaran perniagaan yang sangat mencabar, namun MN Wheels berjaya menubuhkan bilik pameran ini bersama identiti visual baharu kami. Ini menunjukkan komitmen MN Wheels dalam memperkukuhkan lagi kehadiran jenama Mitsubishi di Malaysia, ” kata Tomoyuki Shinnishi, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

    Tambah beliau, dengan perkembangan jualan Mitsubishi Motors yang pantas dan dijangka meningkat tempoh beberapa tahun yang akan datang, pihaknya mensasarkan pembukaan bilik pameran baharu bagi setiap sukuan untuk Tahun Kewangan 2021. “Ini merupakan sebahagian dari strategi kami untuk terus berkembang, selain kami meletakkan para pelanggan sebagai keutamaan termasuk dalam penghantaran model baharu XPander dan Triton Athlete. Kami juga mensasarkan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dalam aspek jualan dan selepas jualan kepada para pelanggan terutamanya yang berada di Lembah Klang,” sambungnya lagi,

     
     
  • Penutupan jalan, lencongan trafik di Jln Sultan Azlan Shah/Jln Tun Razak hingga 14 Dis 2021 – DBKL

    Penutupan jalan, lencongan trafik di Jln Sultan Azlan Shah/Jln Tun Razak hingga 14 Dis 2021 –  DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan penutupan jalan dan lencongan trafik sedang dilaksanakan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah/Jalan Tun Razak sejak 15 September lalu sehingga 14 Disember 2021. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, penutupan jalan itu bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf persimpangan bertingkat di Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru), Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail, Jalan Ipoh dan jalan-jalan di sekitarnya.

    Menurut DBKL, trafik dari Bulatan Pahang yang menghala ke Jalan Sultan Azlan Shah akan dilencongkan ke arah jambatan Jalan Tun Razak dan seterusnya ke Jalan Tun Ismail, Jalan Putra dan Jalan Raja Laut untuk ke Jalan Sultan Azlan Shah.

    Manakala bagi kenderaan ringan, trafik dari Bulatan Pahang akan dilencongkan ke Jalan Batu-Bata untuk ke Jalan Sultan Azlan Shah.

    Dalam masa yang sama, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan.

     
     
  • Republik Czech bantah pengharaman kereta berenjin pembakaran oleh Kesatuan Eropah menjelang 2035

    Republik Czech bantah pengharaman kereta berenjin pembakaran oleh Kesatuan Eropah menjelang 2035

    Berikutan cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penjualan kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman termasuk petrol dan diesel, dan hanya membenarkan penjualan kereta elektrik menjelang 2035, salah satu negara yang menganggotai badan berkenaan iaitu Republik Czech telah menyatakan bantahan mereka terhadap langkah tersebut.

    Menurut portal Drive, ini kerana Republik Czech bukan sahaja mempunyai jenama automotifnya sendiri iaitu Skoda (kini bernaung di bawah Volkswagen Group), negara tersebut juga mempunyai sebilangan kilang kenderaan milik Toyota dan Hyundai – sekitar 35% dari GDP adalah dari pembuatan kenderaan dengan tenaga kerja warga tempatan seramai 120,000 orang. Pada 2020, hampir 1,000,000 kereta telah diproduksi secara tempatan.

    “Kami tidak bersetuju dengan pengharaman terhadap penjualan kereta berkuasa bahan api fosil,” kata Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babiš yang dipetik oleh Drive dari laporan berita iDnes. “Ia mustahil – kami tak boleh tentukan di sini apa yang dirangka oleh fanatik mesra alam dalam Parlimen Eropah,” tambahnya lagi.

    Republik Czech bakal mengambil alih presidensi EU yang ditetapkan secara giliran pada Julai 2022, dan menentang cadangan untuk mengharamkan penjualan kereta dengan enjin pembakaran bakal menjadi keutamaan mereka, kata Andrej Babiš lagi.

    Republik Czech bantah pengharaman kereta berenjin pembakaran oleh Kesatuan Eropah menjelang 2035

    Skoda tidak mempunyai masalah untuk beralih sepenuhnya kepada teknologi elektrifikasi kerana Volkswagen kini dalam fasa peralihan dan memperkenalkan semakin banyak model yag dijana kuasa elektrik sepenuhnya. Skoda juga telah memperkenalkan model elektrik sepenuhnya, Enyaq iV yang diasaskan dari platform MEB yang sama seperti Volkswagen ID.4.

    Namun dengan langkah yang dibuat oleh kerajaan Republik Czech ini telah mencetuskan spekulasi bahawa VW Group akan memanjangkan lagi produksi kereta dengan enjin pembakaran dalaman mereka menerusi Skoda. Walau bagaimanapun, apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri negara berkenaan tersebut berkemungkinan lebih bersifat retorik kerana pilihan raya yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.

    Drive turut mendapatkan respon dari Skoda Australia berhubung perkara ini. “Setakat ini masih tiada rancangan [untuk jenama] bagi beralih sepenuhnya kepada elektrik, tetapi jika ia berlaku ia akan terjadi selepas Eropah membuat keputusan,” kata jurucakap syarikat berkenaan.

    Selain dari Republik Czech, Itali juga ada menyuarakan bantahan mereka terhadap pengharaman penjualan kereta berkuasa bahan api fosil oleh EU ini, tetapi negara berkenaan hanya berharap pengecualian dibuat terhadap pengeluar-pengeluar supercar. Itali merupakan negara asal bagi jenama-jenama eksotik seperti Ferrari, Lamborghini dan Maserati.

     
     
  • Pemegang lesen belajar memandu diberi lanjutan hingga Jun 2022; lebih banyak kaunter bergerak JPJ

    Pemegang lesen belajar memandu diberi lanjutan hingga Jun 2022; lebih banyak kaunter bergerak JPJ

    Pemegang lesen belajar memandu (LDL) telah diberikan lanjutan hingga Jun tahun depan untuk mereka memperbaharui lesen berkenaan, jelas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong. Tempoh lanjutan itu telah diberikan oleh JPJ untuk membantu mereka yang tidak dapat mengikuti proses mendapatkan lesen dan menduduki ujian memandu akibat pandemik Covid-19, lapor The Star.

    “Sebelum ini, kami melanjutkan tempoh sah LDL selama tiga bulan, hingga November tahun ini. Sebagai menteri pengangkutan, saya bersetuju untuk memberikan lanjutan kepada LDL ini hingga 30 Jun tahun depan. Mereka yang terlibat tidak perlu tergesa-gesa untuk menduduki ujian memandu selepas ini. Mereka mempunyai banyak masa untuk membuat perancangan,” jelas beliau.

    Sebelum ini, JPJ pada Ogos lalu memaklumkan semua pengguna jalan raya untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sebelum 30 September ini, tanpa ada tempoh lanjutan lain akan diberikan selepas tarikh tersebut. Sementara itu, Kementerian Pengangkutan juga sedang mempertimbang untuk menyediakan lebih banyak kaunter bergerak JPJ bagi memudahkan orang ramai menjalankan urusan dengan jabatan itu ketika ini. Terdapat 17 kaunter bergerak JPJ setakat ini di seluruh negara, sekurang-kurangnya satu di setiap negeri.

    “Kami akan menambah 50 lagi kiosk JPJ di seluruh negara. Kami akan mendapatkan bekalan bagi semua kiosk berkenaan antara Oktober dan November tahun ini,” jelas Wee, menekankan bahawa kaunter bergerak JPJ itu sangat membantu pengguna di kawasan yang jauh dari pejabat pos atau JPJ.

     
     
  • ETCM ajak pemilik Nissan Almera Turbo sertai cabaran penjimatan minyak dan ikut serta beramal kebajikan

    ETCM ajak pemilik Nissan Almera Turbo sertai cabaran penjimatan minyak dan ikut serta beramal kebajikan

    Panggilan untuk semua pemilik Nissan Almera 1.0L Turbo untuk melakukan kebajikan dengan hanya memandu kereta masing-masing. Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kini menganjurkan kempen “Nissan Almera Turbo Fuel Efficiency Charity Drive” bulan ini, dan menjemput semua pemilik Almera baru untuk memandu kereta mereka dan hantarkan keputusan penggunaan minyak terbaik mereka, yang kemudiannya akan didermakan kepada badan kebajikan terpilih berdasarkan keputusan berkenaan.

    Cabarannya begini. Ambil gambar keputusan kecekapan purata penggunaan minyak anda yang tertera pada meter kereta. Emelkan penyertaan anda dengan nama penuh dan nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, nama akaun Facebook dan gambar purata penggunaan minyak tersebut ke [email protected]. Anda boleh menghantar seberapa banyak penyertaan, tetapi hanya keputusan penjimatan minyak tertinggi yang akan dikira bagi kedua-dua hadiah cabaran dan juga derma tersebut.

    Syarikat itu akan mendermakan RM1 bagi setiap satu km yang dicatatkan bagi cabaran ini kepada organisasi kebajikan terpilih — jumlahnya tertakluk kepada bacaan km per liter tertinggi keseluruhan yang dicatatkan daripada peserta (keputusan dari varian VL akan ditukar dari liter per 100 km kepada km per liter).

    Peserta juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah — 20 bacaan purata tertinggi akan menerima Lego eksklusif Nissan GT-R, sementara 30 bacaan purata terbaik berikutnya akan menerima beg pakaian Nissan. Kempen ini berlangsung hingga 30 September, dan keputusan akan diumumkan melalui laman Facebook Nissan Malaysia.

     
     
  • Suzuki Jimny bakal dilancarkan di M’sia tak lama lagi

    Suzuki secara rasminya telah kembali semula ke Malaysia, diuruskan oleh Naza Eastern Motor dan telah melancarkan hot-hatch kompak Swift Sport pada April lalu. Dan dengan petunjuk baharu disiarkan di laman Facebook rasmi syarikat tersebut, nampaknya mereka bakal memperkenalkan satu lagi model ikonik, iaitu SUV kompak Suzuki Jimny generasi terkini.

    Teaser tersebut dibuat dengan menyiarkan iilustrasi muka hadapan Jimny, bersama kapsyen “hanya satu-satunya…kembali.” Kami sebelum ini sebenarnya sudah menjangkakan bahawa Jimny bakal menjadi model kedua dilancarkan di Malaysia selepas Swift Sport selepas Naza Eastern menyatakan bahawa mereka bakal melancarkan satu lagi “ikon” Suzuki pada separa kedua tahun ini.

    Juga sama seperti Swift Sport, Jimny juga dijangka bakal tiba di Malaysia sebagai model yang diimport sepenuhya (CBU), di mana Naza Group sebelum ini telah menyatakan bahawa perniagaan mereka dalam sektor automotif kini akan ditumpukan hanya kepada CBU buat masa sekarang.

    SUV off-road sebenar berkenaan juga berkemungkinan mendarat di Malaysia dengan enjin petrol NA K15B 1.5 liter empat silinder berkuasa 102 PS (100 hp) dan tork maksima 130 Nm, sama seperti yang diterima pada pasaran ASEAN lain iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand.

    Walaupun Jimny generasi baharu ini masih ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan, bagi pasaran Malaysia tidak mustahil ia hanya datang dengan kotak gear empat-kelajuan automatik seperti penawaran yang dibuat pada Swift Sport.

    Jimny secara normalnya hanya akan memacu roda belakang, namun ketika berhadapan dengan situasi sukar, pemandu boleh menggunakan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro yang dibekalkan, menampilkan gear 2H, 4H dan nisbah rendah 4L. Untuk pengetahuan anda juga, Di Jepun Jimny masih diklasifikasikan sebagai sebuah Kei-Car dan dijana oleh enjin turbo 660 cc tiga-silinder.

    Dengan struktur cukai khas sebagai sebuah Kei-Car, Jimny dijual pada harga 1,611,500 yen (RM61,116) untuk varian tertinggi XG dengan kotak gear 4AT di Jepun. Namun di Indonesia, harga model Sierra dalam varian paling rendah mencecah hampir dua kali ganda iaitu 395.5 rupiah (RM115,669). Hah, agak-agaknya berapa pula harga di Malaysia nanti?

     
     
  • Fox Sport akhiri penyiaran di Malaysia – F1 dan MotoGP kekal di Astro menerusi saluran baharu

    Fox Sport akhiri penyiaran di Malaysia – F1 dan MotoGP kekal di Astro menerusi saluran baharu

    Baru-baru ini Astro telah mengumumkan Disney bakal menghentikan beberapa salurannya di rantau ini selepas 30 September 2021, sebagai sebahagian daripada strategi untuk memberi tumpuan terhadap perkhidmatan penstriman. Ia susulan selepas beberapa bulan Disney memperoleh kesemua aset TV dan filem 21st Century Fox pada tahun 2019.

    Saluran terbabit termasuklah Fox, Fox Life, FX, Fox Movies, Fox Action Movies, Fox Family Movies, Fox Sports, Fox Sports 2, Fox Sports 3 dan Nat Geo People yang tidak lagi ditawarkan oleh Astro mulai bulan hadapan. Saluran Fox Sports yang popular di kalangan peminat Formula 1 dan MotoGP untuk menonton perlumbaan secara langsung, jangan risau, ini kerana Astro telah mengesahkan pelanggannya masih dapat menonton kedua-dua sukan permotoran tersebut.

    Fox Sport akhiri penyiaran di Malaysia – F1 dan MotoGP kekal di Astro menerusi saluran baharu

    Dalam kenyataan rasmi yang diedarkan, Astro berkata ia akan menambah tiga saluran baharu – Astro SuperSport 5, Astro Arena 2 dan SPOTV – bermula 1 Oktober 2021, tanpa melibatkan penambahan kos. Pelanggan Astro Sports Pack akan menikmati perlumbaan Formula 1, bersama Bundesliga, ATP dan WTA menerusi Astro SuperSport5, sementara untuk menonton MotoGP, Wimbledon dan US Open adalah menerusi saluran SPOTV.

    Sementara itu, Astro Arena 2, yang merupakan sebahagian daripada Family Pack, akan memanfaatkan populariti Astro Arena dengan memberikan liputan dan berita terkini sukan, serta siaran langsung untuk WWE, BWF dan banyak lagi dalam format baharu.

     
     
  • Chery QQ Ice Cream – dijangka akan dijual bermula RM19k, kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS/85 Nm

    Chery QQ Ice Cream – dijangka akan dijual bermula RM19k, kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS/85 Nm

    Apa yang anda lihat ini adalah imej rasmi pertama kereta elektrik kompak buatan China, Chery QQ Ice Cream. Menurut laporan CarNewsChina, QQ Ice Cream ini dijangka akan dijual pada harga 30,000 yuan (RM19,375) di pasaran tersebut, dan bakal memberi saingan terus kepada satu lagi kereta elektrik kompak iaitu Wulling Hongguang Mini EV yang dijual pada harga lebih murah, 28,800 yuan (RM18,600) dan telah dilancarkan pada Julai lalu.

    Model baharu ini akan membarisi siri kereta bandar Chery QQ dan ia merupakan yang pertama berada dalam sub-divisi iCar Ecology jenama China tersebut. Ia dihasilkan dengan panjang hanya 2,980 mm, lebar 1,496 mm, tinggi 1,637 mm dan jarak roda 1,960 mm.

    Bagi membayangkan betapa kecilnya QQ Ice Cream ini, ia adalah 660 mm lebih pendek, 126 mm kurang lebar dan jarak roda 495 lebih dekat berbanding Perodua Axia. Namun untuk tinggi, Axia adalah 127 mm lebih rendah berbanding kereta elektrik kecil buatan China ini.

    Chery QQ Ice Cream – dijangka akan dijual bermula RM19k, kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS/85 Nm

    Walaupun bersaiz kecil dan menampilkan badan tiga pintu, Chery QQ Ice Cream masih mampu untuk membawa empat penumpang. Ia direka dengan bentuk yang benar-benar seperti kotak bagi memastikan setiap ruang boleh digunakan oleh penumpang. Ciri yang sama juga sebenarnya tampil pada Wuling Hongguang, namun Chery memberikan rupa yang lebih menarik pada Q Ice Cream ini untuk memberikan saingan.

    Pada bahagian muka, Ice Cream diberikan lampu nyalaan siang LED berbentuk-U yang memberikannya satu karekter unik. Manakala pada bahagian bampar, ia menerima satu kemasan hitam yang lebar serta diberikan seksyen berbentuk bulat yang mungkin untuk menempatkan lampu kabus.

    Walaupun secara asasnya Ice Cream ini direka seakan kotak, profil sisinya masih diberikan garis badan untuk menimbulkan bahagian ruang tayar hadapan dan belakang, serta garis tingkap belakang yang direka tinggi. Bahagian belakang kereta ini direka seakan cerminan mukanya, yang diberikan grafik pada lampu berbentuk sama serta sepasang reflektor bulat pada bampar.

    Chery QQ Ice Cream – dijangka akan dijual bermula RM19k, kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS/85 Nm

    Bagi memberikan imej yang lebih funky, Chery QQ Ice Cream ini akan ditawarkan dengan tidak kurang dari tujuh warna badan, bersama pilihan tema dua tona dengan bumbung berwarna hitam. Roda kereta ini nampak kecil bukan? Ya, ia memang kecil, hanya berdiameter 12-inci, dibalut bersama tayar bersaiz 145/70R12.

    Tiada imej rasmi untuk bahagian dalaman disiarkan setakat ini. Tetapi berdasarkan versi ubahsuai QQ Ice Cream (digelar Tao Huanxi) yang didedahkan ketika acara Chengdu Auto Show baru-baru ini dan disiarkan oleh portal iNews, model ini menampilkan rekaan dalaman yang juga lebih bergaya dari Wuling Hongguang Mini EV.

    Ia diberikan papan pemuka bentangan dua lapisan rata dengan paparan instrumen digital dan juga skrin sesentuh berdiri sendiri untuk sistem infotainmen, roda stereng dua jejari bersama suis pelbagai fungsi yang menampilkan material premium. Walau bagaimanapun, unit-unit yang didedahkan tersebut masih dalam versi konsep dan mungkin berbeza untuk model produksi yang akan dijual kepada pelanggan.

    Chery telah mengesahkan bahawa QQ Ice Cream akan digerakkan oleh motor elektrik “TZ160XFDM13A” yang menghasilkan 27 PS (27 hp atau 20 kW) dan tork maksima 85 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 100 km/j. Motor tersebut menerima bekalan kuasa dari bateri lithium logam fosfat, membolehkan ia bergerak sejauh antara 120 atau 170 km untuk sekali cas penuh. Kereta ini mempunyai berat antara 699 dan 743 kg, bergantung kepada varian.

     
     
  • 12 orang dikompaun kerana rentas negeri dari KL ke Genting Highland dalam sekatan jalan raya polis

    12 orang dikompaun kerana rentas negeri dari KL ke Genting Highland dalam sekatan jalan raya polis

    Ya, selepas Selangor dan Lembah Kelang beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula minggu lalu, penduduk di negeri berkenaan sudah boleh merentas ke Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan syarat sudah cukup dua dos vaksin. Namun anda perlu ingat, Genting Highland sudah pun berada di Pahang dan bukan lagi Selangor atau Kuala Lumpur ya.

    Oleh kerana ingkar dengan arahan berkenaan, 12 orang dari Kuala Lumpur telah pun dikompaun pada 15 September lalu setelah cuba merentas negeri untuk ke Genting Highland. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Daerah Bentong, kesemua individu berumur antara 20 hingga 58 tahun itu ditahan di sekatan jalan raya yang dibuat di KM17 Checkpoint Kee Sang di Genting Higland

    Menurut Ketua Polis Bentong Superintendan Zaiham Mohd. Kahar, kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM5,000.

    Jadi beringatlah, kita belum lagi menang menentang Covid-19. Peluang yang diberikan untuk mengurangkan tekanan dalam pandemik ini perlu kita lakukan dengan seimbang – jaga SOP dan jangan sampai dikurung lagi.

     
     
  • Chery kembali ke pasaran Indonesia pada Q4 2021; rangkaian pengedar 3S sertai pemasangan tempatan

    Chery kembali ke pasaran Indonesia pada Q4 2021; rangkaian pengedar 3S sertai pemasangan tempatan

    Chery Tiggo 7 di Beijing Motor Show 2016

    Jenama China, Chery, bakal kembali ke pasaran Indonesia pada suku ke-empat tahun ini, perkhabaran yang disahkan oleh pengarah pemasaran Chery Motors, Qin Gang, kepada Detik Oto.

    Operasi pengeluar kereta berkenaan di Indonesia juga adalah termasuk dengan pemasangan tempatan bagi kenderaannya di masa hadapan, selain memfokuskan pembangunan rangkaian pengedaran termasuk 3S (jualan, servis dan alat ganti). Ibu pejabat Chery di China juga komited untuk melabur dalam operasi di Indonesia, dan pengendali jenama ini akan ditubuhkan bagi mewujudkan rangkaian pengedaran di negara tersebut, kata pengarah pemasarannya.

    Menurut laporan yang dikeluarkan Detik Oto, Chery akan menubuhkan pasukan pembangunan dan penyelidikan di Indonesia bagi pasaran Asia. Sementara itu, laman Instagram rasmi Chery Motors Indonesia pula telah memuat naik imej teaser bagi Tiggo 7 Pro, di mana ia adalah model semakan komprehensif bagi Tiggo 7 yang dipertontonkan di Beijing Motor Show 2016.

    Berita mengenai kembalinya Chery ke pasaran Indonesia turut disahkan oleh persatuan automotif berkenaan. Di mana Chery akan kembali menyertai Gaikindo, persatuan automotif di Indonesia, dan telah menunjukkan minat untuk mengendalikan pemasangan tempatan bagi kenderaan mereka, ujar setiausaha agong Gaikindo, Kukuh Kumara, kepada Autonetmagz.

    Ini menunjukkan usaha Chery untuk kembali ke pasaran rantau Asia, selepas jenama ini tidak lagi menganggotai Gaikindo sejak tahun 2016. Data jualan dari Gaikindo yang dilihat oleh Detik Oto mendedahkan Chery menjual 269 unit pada tahun pertamanya di Indonedia, kemudian meningkat ke 759 unit pada tahun keduanya.

    Puncak jualan Chery mencecah 859 unit pada tahun ketiganya di Indonesia, dan kemudian menyusut pada 407 unit pada tahun 2009, dan kemudian terjual sebanyak 528 unit pada 2010. Kemudian jualan Chery di Indonesia terus menurun dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, dan tiada kenderaan Chery yang terjual di antara tahun 2013 dan 2015, sebelum dibatalkan pendaftarannya dari menganggotai Gaikindo setahun selepas itu.

     
     
  • Socar raih dana RM229.35 juta daripada Sime Darby Berhad dan EastBridge Partners dari Korea Selatan

    Socar raih dana RM229.35 juta daripada Sime Darby Berhad dan EastBridge Partners dari Korea Selatan

    Socar Mobility Malaysia (Socar) baru-baru ini mengumumkan syarikat itu telah meraih sebanyak USD55 juta (RM229.35 juta) dalam Siri B pencarian dana yang dijalankan. Syarikat yang mengendalikan platform perkongsian kereta tersebut ketika ini bernilai USD213 juta (RM888.21 juta).

    Pendanaan dalam pusingan terbaru ini bakal menyaksikan Socar menerima ekuiti dan suntikan modal daripada EastBridge Partners yang berpangkalan di Korea Utara serta pelaburan daripada Sime Darby Berhad dari Malaysia. Kedua-duanya merupakan pelabur pertama kali dalam Socar dan akan menjadikan kedudukan kewangan semasanya ketika ini sebanyak USD73 juta (RM304.41 juta). Pelaburan terbaru ini akan distrukturkan dalam dua tahap, 60% pelaburan terus manakala 40% lagi bakal diagih berdasarkan syarat perjanjian yang dipersetujui.

    “Kami mengalu-alukan rakan niaga terbaru kami — EastBridge Partners dan Sime Darby Berhad ke dalam Socar untuk sama-sama berkembang, membawakan mobiliti cara baru ke lebih banyak negara di Asia Tenggara,” ujar CEO Socar Mobility Malaysia, Leon Foong.

    “Bagi kami di Socar, bahawa kami berjaya mendapatkan rakan ekuiti dalam pertumbuhan syarikat ini ketika pandemik membuktikan keyakinan rakan niaga terlibat terhadap kepimpinan Socar dalam pasaran perkongsia kenderaan, serta kemampuan kami untuk memperluaskan perniagaan ke rantau ini,” tambah beliau.

    Socar raih dana RM229.35 juta daripada Sime Darby Berhad dan EastBridge Partners dari Korea Selatan

    “Kami sangat senang untuk mengukuhkan jalinan bersama Sime Darby Berhad, melanjutkan lagi kerjasama sedia ada dengan bahagian automotifnya, dengan cara memperluaskan lagi kerjasama strategik berasaskan kepentingan ekuiti,” tambah Foong.

    Pelaburan terbaru ini akan digunakan unutk membangunkan lagi aspek teknologikal serta melabur lebih banyak untuk langkah-langkah keselamatan dan kepercayaan untuk memperbaiki keuntungan Socar. Syarikat itu juga akan menggunakan kepakarannya dalam menguruskan perkhidmatan armada kenderaan untuk memperkenalkan mobiliti bersih kepada umum, seperti yang ditunjukkan melalui kerjasama dengan TNB.

    Socar juga akan menumpukan untuk menambahbaik platform peer-to-peer Trevo untuk memperkasakan lagi komuniti kereta persendirian dan penyedia perkhidmatan. Syarikat itu kini mempunyai kerjasama dengan Sime Darby Berhad, dengan Trevo digunakan bagi program Fund Your Drive sempena Sime Darby Auto Selection oleh Sime Darby Motors.

     
     
  • GilletteLabs Bugatti Special Edition Heated Razor – pisau cukur edisi khas dengan material premium

    GilletteLabs Bugatti Special Edition Heated Razor – pisau cukur edisi khas dengan material premium

    Nama ‘Bugatti’ yang begitu berpengaruh bukan hanya laku untuk menjual hypercar. Syarikat berkenaan turut berkolobrasi dengan jenama bukan automotif bagi menghasilkan barangan edisi khas, contohnya jam tangan Jacob & Co. Bugatti Chiron Tourbillon yang dijual pada harga US$280,000.

    Terbaharu, Bugatti mengumumkan satu produk baharu yang dihasilkan bersama pembuat pisau cukur lelaki terkenal iaitu Gillete, dikenali sebagai GilletteLabs Bugatti Special Edition Heated Razor. Menurut kedua-dua syarikat tersebut, produk yang dihasilkan bersama ini membawa pisau cukur “ke dalam dimensi lain”.

    Pisau cukur berkenaan diasaskan dari kit Gillete Heated Razor, iaitu pisau cukur dengan sistem bar pemanas pada sisi, menampilkan empat penderia pintar yang akan memberikan rasa panas yang selesa pada kulit ketika bercukur dengan satu sentuhan suis.

    Bagi versi edisi istimewa ini, ia diberikan pelbagai perincian unik antaranya diberikan kemasan Agile Bleu seperti warna biru pada Bugatti Chiron Pur Sport, emblem “Macaron” Bugatti yang diperbuat zink alumium gred premium, serta menerima material-material lain seperti aluminium tersadur anod serta titanium dalam rekaannya.

    “Bugatti merangkumi semangat bagi mewujudkan kesempurnaan, sebagai tambahan kepada prestasi, rekaan yang revolusi, dan kualiti tanpa tandingan. GilletteLabs berkongsi nilai-nilai yang sama ini,” kata pengarah urusan Bugatti International, Wiebke Stahl.

    “Oleh itu kami gembira dapat bekerjasama dengan syarikat peneraju dunia dalam lapangan dandanan. Di Bugatti, kami bangga dengan diri kami sendiri dalam menyediakan pengalaman paling mewah dalam semua yang kami lakukan, berpegang kepada mantera: ‘Jika ia sama dengan yang lain, ia bukan lagi Bugatti,'” tambahnya lagi.

    GilletteLabs Bugatti Special Edition Heated Razor ini masih menampilkan ciri lain yang sama seperti kit Gillete Heated Razor standard. Antaranya ia menampilkan teknologi Flexdisc dengan lima bilah pisau, kalis air, dikuasakan bateri lithium ion dan menerima sistem caj tanpa wayar magnetik.

    Pisau cukur GilletteLabs Bugatti Special Edition Heated Razor tersebut akan mula dijual di beberapa pasaran terpilih bermula bulan ini, tetapi harganya belum lagi diumumkan. Untuk perbandingan, kit asas Gillete Heated Razor biasa boleh dibeli pada harga sekitar USD 200 (RM834), jadi boleh dijangka versi istimewa Bugatti berkenaan mungkin jauh lebih mahal.

     
     
  • Yamaha guna grafik lumba klasik pada model sports sempena sambutan ulang tahun ke-60 dalam World GP

    Yamaha guna grafik lumba klasik pada model sports sempena sambutan ulang tahun ke-60 dalam World GP

    Di Eropah, Yamaha telah melancarkan versi khas untuk model sports mereka, yang menggunakan grafik lumba klasik warna putih dengan jalur merah di tepi. Ia dibuat pada model YZF-R1, R7, R3 dan R125 sempena menyambut ulang tahun ke-60 penyertaan Yamaha dalam World GP.

    Grafik ini sudah digunakan oleh Yamaha pada jentera lumba factory mereka sejak tahun 1961 lagi, dan ia juga adalah grafik sama yang digunakan pada jentera 250 cc Phil Read waktu beliau memenangi Kejuaran Dunia serta Juara Pengeluar yang pertama untuk Yamaha pada tahun 1964.

    Grafik ini terus digunakan sehingga tahun 80-an, waktu ia ditunggang oleh Eddie Lawson dan Wayne Rainey, dan selepas itu barulah Yamaha menukar grafik mengikut penaja. Selain grafik ikonik pada panel badan, rim pula menggunakan warna emas.

    Yamaha guna grafik lumba klasik pada model sports sempena sambutan ulang tahun ke-60 dalam World GP

    Motosikal siri World GP 60th Anniversary ini akan dijual sebagai satu pilihan variasi di samping model warna biasa di Eropah dan dijangka mula berada di pusat pameran di sana pada bulan November. Turut dikeluarkan adalah pelbagai lagi barangan gaya hidup seperti topi, baju dan jaket yang mengikut konsep sama.

    Di Malaysia, R1 dan R7 tidak ada dijual oleh pengedar rasmi motosikal Yamaha, iaitu Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), sementara R25 pula dijual pada harga RM19,988 sementara R15 pula RM11,988.

     
     
  • Medan selera di tujuh R&R, hentian sebelah kembali dibuka; pengunjung harus lengkap divaksinasi – PLUS

    Medan selera di tujuh R&R, hentian sebelah kembali dibuka; pengunjung harus lengkap divaksinasi – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pengendali lebuhraya utara-selatan, telah mengumumkan medan selera di tujuh kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di lebuhraya kendaliannya telah kembali beroperasi sejak semalam.

    PLUS menjelaskan lebih daripada 80% rakan niaga di R&R kendaliannya telah lengkap divaksinasi, selari dengan SOP vaksinasi yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kini bersedia menerima kunjungan pengguna lebuhrayanya untuk menikmati makanan di medan selera di R&R berkenaan.

    Medan selera tersebut ialah di R&R Restoran Jejantas Sungai Buloh, Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Selatan), Mambau (Arah Timur) dan Mambau (Arah Barat) yang telah kembali beroperasi sejak semalam. Mulai hari ini, 17 September, pula, medan selera di Hentian Sebelah Sungai Buloh (Arah Selatan) kembali beroperasi manakala R&R Dengkil untuk kedua-dua arah utara dan selatan bakal dibuka semula esok.

    “Semua pengguna lebuhraya yang telah menerima vaksin lengkap kini boleh menikmati makanan di tujuh lokasi di atas berikutan beberapa negeri yang telah memasuki Fasa ke-2 Pelan Pemulihan Negara.

    Medan selera di tujuh R&R, hentian sebelah kembali dibuka; pengunjung harus lengkap divaksinasi – PLUS

    “Kami sangat teruja mengalu-alukan pelanggan kami untuk kembali di R&R dan hentian sebelah, bagi menikmati sajian hidangan panas dan berehat sebentar terutamanya setelah mengharungi perjalanan yang jauh. Dalam beberapa minggu lagi, kami akan mengumumkan lebih banyak lokasi di beberapa R&R yang bersedia untuk membuka ruang makan di medan selera, berikutan lebih ramai peniaga R&R kami akan memperoleh status vaksin lengkap mereka dalam masa 14 hari akan datang,” kata Christine Liew, Ketua Pegawai Komersial, PLUS.

    Tambahnya lagi, melalui semangat ‘Kita Jaga Kita’, PLUS menyeru para pengguna yang telah menerima vaksin lengkap untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dengan menunjukkan status vaksinasi Covid-19 di Aplikasi MySejahtera mereka untuk pengesahan ketika memesan makanan di gerai yang dikendalikan oleh peniaga R&R. Bagi mereka yang mempunyai status vaksinasi lengkap, akan menerima label pelekat hijau daripada peniaga R&R bagi membolehkan mereka menikmati makanan di medan selera R&R.

    Manakala bagi pengguna lebuhraya yang belum menerima vaksin lengkap, mereka masih boleh menikmati menu yang enak dengan pembelian secara bawa pulang dari R&R. PLUS juga menyarankan para pengguna untuk menggunakan fungsi Pra-Pesanan menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/ daripada peniaga dan pengusaha gerai R&R yang mengambil bahagian bagi meminimumkan interaksi.

     
     
  • Toyota Corolla Cross Modellista JDM diperkenalkan

    Toyota Corolla Cross Modellista JDM diperkenalkan

    Toyota Corolla Cross baru sahaja dilancarkan di pasaran negara asal jenama berkenaan iaitu Jepun pada minggu ini. Seperti biasa, setiap model pasaran domestik Jepun untuk jenama arus perdana seperti Toyota, ia tentu sekali diperkenalkan dengan barisan aksesori rasmi – ini dia Corolla Cross JDM dengan barisan aksesori lengkap Modellista.

    Dengan rupa yang lebih tersendiri, sudah tentu Corolla Cross Modellista JDM ini menampilkan kit yang berbeza dari Corolla Cross Modellista versi pasaran Thailand yang dilancarkan pada minggu lalu. Bagi penggayaan luaran, kit Modellista ini menampilkan spoiler bawah bampar hadapan dua lapis, kemasan tambahan pada bampar belakang dan juga skirt sisi yang sama labuh.

    Kesemua ruang roda juga diberikan overfender yang menerima kemasan warna badan, serta dua pilihan rim aloi baharu iaitu 17-inci dan 18-inci, masing-masing dengan rekaan yang tersendiri. Bagi mereka yang sukakan lebih elemen bling, Modellista turut menawarkan kit Cool Shine (boleh dibeli sebagai set atau individu), yang menampilkan kemasan krom untuk gril hadapan, kemasan pintu hadapan, cermin-cermin luaran, serta pembuka pintu dan tailgate.

    Toyota Corolla Cross Modellista JDM diperkenalkan

    Katalog Modellista untuk Corolla Cross ini turut menawarkan pelbagai aksesori lain. Antaranya pelindung pembuka pintu dengan elemen seperti gentian karbon serta scuff plate untuk pintu hadapan dan belakang, dan “kusyen pintar” yang bukan sahaja boleh digunakan sebagai bantal, malah turut menawarkan ruang storan berkapasiti 17 liter yang boleh dibuka.

    Selain itu, pelbagai perincian kecil dari Modellista ditawarkan untuk Corolla Cross JDM ini, antaranya bol-bol keselamatan untuk mengikat plat pendaftaran, lampu LED yang dipasang pada bahagian dalam pintu tailgate belakang dan juga pelbagai lampu LED untuk kabin seperti pada ruang kaki dan juga tiang-B.

    Modellista turut menawarkan filem penapis haba dengan pelindungan inframerah dalam dua warna untuk Corolla Cross JDM ini iaitu Smoke dan Dark Smoke, masing-masing memberikan VLT 21% dan 8%. Menurut Modellista, penapis Dark Smoke turut menawarkan pengurangan inframerah lebih baik pada kadar 60%, manakala Smoke pula menawarkan penurangan IR 54%. Namun kedua-duanya memberikan pengurangan ultraungu sebanyak kira-kita 99%.

    Tak cukup dengan itu, pakej tingkat taraf audio juga disediakan untuk Corolla Cross ini di mana Modellista menawarkan komponen-komponen dari JBL terdiri dari empat pembesar suara 16 cm, dengan kadar input 55 W dan maksimum 165 W pada takat impedans 3 ohm. Pakej ini datang sekali dengan braket dan pendawaian yang tidak memerlukan anda membuat ubahsuai sendiri.

    Toyota Corolla Cross di Jepun dijual dalam versi enjin petrol sepenuhnya dan juga Hybrid. Kedua-duanya dijana oleh enjin 1.8 liter NA di mana model petrol penuh menjana 140 PS/170 Nm, manakala versi Hybrid dengan enjin kitaran Atkinson 98 PS/140 Nm bersama motor elektrik 72PS/163 Nm menghasilkan kuasa maksima 122 PS.

     
     
  • Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Lebuhraya Pennsylvania Turnpike di Amerika Syarikat mengumumkan bahawa mereka kerugian USD104 juta (RM432 juta) kerana 11 juta pengguna dari 170 juta penggunanya tidak membayar tol mereka setelah sistem kutipan tol tanpa palang beroperasi sepenuhnya tahun lalu, lapor AP.

    Menurut laporan berkenaan, lebuhraya tersebut mula menggunakan sepenuhnya sistem pembayaran elektronik pada tahun lalu kerana pandemik Covid-19, di mana mereka yang tidak mempunyai sistem E-Zpass perlu menggunakan sistem kamera nombor plat pendartaran “toll-by-plate” sebagai cara pembayaran bagi menggunakan lebuhraya yang menghubungkan Philadelphia dan Pittsburgh sejauh 805 km itu.

    Namun menerusi pemerhatian yang dibuat, satu daripada dua pengguna sistem “toll-by-plate” cenderung untuk tidak membayar kos tol berkenaan, menyebabkan agensi pengendalinya tidak menghasilkan sebarang keuntungan sehingga 31 Mei lalu.

    “Kami ambil isu ini dengan sangat serius. Ia adalah angka yang besar, tiada persoalan,” kata ketua eksekutif PA Turnpike, Mark Compton. “Tetapi kami, sebagai sebuah organisasi, tidak akan meninggalkan sebarang cara untuk mengatasi ‘kebocoran’ berkenaan,” kata Compton lagi.

    Disebabkan masalah yang ditimbulkan oleh golongan minoriti yang tidak mempunyai E-Zpass tersebut, Pennsylvania Turnpike kini dibelenggu hutang di mana lebih separuh dari pendapatannya terpaksa digunakan untuk membayar kos pinjaman dan tol yang telah meningkat empat kali ganda dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini.

    Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Tahun lalu sejumlah 1.8 juta plat pendaftaran pengguna Pennsylvania Turnpike tidak dapat dikesan, dengan jumlah bil tertunggak mececah lebih dari satu juta. Agensi kenderaan motor yang gagal untuk memberikan alamat pemilik pula mencapai lebih dari 1.5 juta, serta tambahan 6.7 juta transaksi ditandakan sebagai “belum dibayar”.

    Selepas tiada lagi orang diperlukan di pondok tol, kakitangan Pennsylvania Turnpike kini terdiri dari kontraktor yang bertugas untuk menilai gambar yang diambil tetapi sistem tidak dapat mengeluarkan nama dan alamat pemilik secara automatik supaya bil dapat dihantar.

    Laporan yang dikeluarkan oleh lebuhraya tersebut sendiri Julai lalu menyatakan bahawa hampir separuh imej kamera plat pendaftaran tersebut tidak dapat digunakan kerana plat berkenaan tidak berada dalam gambar. Antara contoh yang diberikan adalah kenderaan tidak mempunyai nombor pendaftaran hadapan kerana ia memang tidak menjadi kesalahan di Pennsylvania.

    Sekitar 41% imej yang rosak pula adalah kerana halangan seperti rak basikal. Manakala 1.1% lagi adalah imej di mana pemilik kenderaan sengaja mewujudkan halangan agar ia tidak dapat dibaca seperti meletakkan sesuatu pada plat tersebut.

    Mereka yang mengelak dari membayar tol ini juga dilihat sangat kreatif dalam melakukan kesalahan berkenaan dengan menggunakan gris bagi mengkaburkan plat, dan menggunakan alat yang boleh menutup plat tersebut ketika ia dipandu melalui kamera.

    Menerusi undang-undang negeri 2017, Suruhanjaya Pennsylvania Turnpike telah merujuk kapada jabatan pengangkutan negeri berkenaan untuk menggantung pendaftaran kenderaan yang terlibat melakukan kesalahan itu, menyaksikan sekitar 10,000 kenderaan telah pun ditahan.

    Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Pennsylvania Turnpike juga meminta peguam daerah untuk menuntut caj perkhidmatan bagi mereka yang berhutang sekurang-kurangnya USD2,000, serta telah menggunakan pemungut hutang bagi mendapatkan bayaran tertunggak dari pemandu di Pennsylvania dan lain-lain tempat.

    Setiausaha Pengangkutan Negeri Yassmin Gramian yang juga pengerusi lembaga turnpike menyatakan bahawa suruhanjaya lebuhraya tersebut mahu lebih kuasa untuk mengutip tol yang tidak berbayar berkenaan dari penghutang yang berada di luar Pennsylvania, namun memerlukan perundangan di negeri-negeri itu.

    Walaupun sistem bayaran tol tanpa palang ini menyebabkan masalah pengguna yang enggan membayar, ia tetap menyelesaikan beberapa masalah lain. Antaranya ia memperbaiki aliran trafik, mengurangkan pencemaran dan juga mengurangkan kos penyelenggaran pondok tol.

    Tahun lalu Pennsylvania Turnpike telah mengurangkan kakitangannya dari 1,900 orang kepada hanya 1,300 orang buat masa sekarang. Kutipan tol keseluruhan pula adalah sekitar USD 1.3 bilion tahun lalu, dengan kutipan dari E-Zpass sahaja berjumlah lebih dari 1 bilion.

     
     
  • Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

    Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

    Ducati Multistrada V4 2021

    Model adventure touring Ducati Multistrada generasi keempat yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Multistrada V4, pada harga RM135,900 dan Multistrada V4S pada harga RM146,900.

    Peningkatan utama pada model ini adalah enjin V4 Granturismo, yang berkapasiti 1,158 cc, dengan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan 125 Nm tork pada 8,750 rpm. Enjin ini berbeza berbanding enjin V4 pada model lain, dengan Ducati memanggilnya sebagai versi “touring” dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan (quickshifter untuk V4S).

    Enjin ini tidak menggunakan sistem injap Desmodromic dan saiznya adalah lebih kecil dan lebih ringan – berat keseluruhan cuma 6.7 kg dan 1.2 kg lebih ringan berbanding enjin Testastretta DVT pada Multistrada 1260, meskipun mempunyai lebihan dua piston. Berat Multistrada V4 adalah 215 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 22 liter.

    Ducati Multistrada V4 2021

    Multistrada V4, yang merupakan versi asas menggunakan suspensi Marzocchi, yang terdiri daripada fork 50 mm boleh laras sepenuhnya, serta monoshock di belakang, dengan jarak gerak masing-masing 170 mm dan 180 mm. Brek hadapan versi ini menggunakan angkup Brembo empat piston radial M4.32 manakala di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD lima inci warna penuh dan lampu menggunakan unit LED (bersama DRL).

    Versi lebih tinggi pula, iaitu Multistrada V4S, dipertingkat dengan skrin TFT-LCD 6.5 inci dan angkup brek hadapan Brembo Stylema empat piston manakala suspensi pula ditambah dengan sistem elektronik Ducati Skyhook yang boleh memberikan fungsi auto levelling (masih lagi unit Marzocchi dengan jarak gerak yang sama seperti Multistrada V4). Penambahan lain adalah sistem Vehicle Hold Control, lampu membelok LED, sistem tanpa kunci, Blind Spot Detection dan Cruise Control.

    Sistem radar baru Ducati diberikan terus pada Multistrada V4S. Sistem ini dibangunkan bersama Bosch dan dapat memberikan fungsi Adaptive Cruise Control yang boleh mengawal jarak dengan kenderaan di hadapan serta pengesan titik buta.

    Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

    Ducati Multistrada V4S 2021 dengan aksesori tambahan

    Pelbagai teknologi canggih dipasang pada Multistrada V4 termasuk sistem Cornering ABS Bosch-Brembo 10.3ME, Traction Control, Wheelie Control dan Vehicle Hold Control. Untuk suspensi Skyhook pula (V4S), ia boleh melaras sendiri ketinggian mengikut tetapan satu penunggang, penunggang dan pembonceng ataupun penunggang dengan beg barangan. Sistem pemerhati tekanan angin tayar pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Sistem elektronik lain dapat dilihat pada panel instrumen LCD, yang mana apabila ditambah dengan Ducati Connect System, boleh disambungkan dengan telefon pintar dan memaparkan peta navigasi serta memberi arahan petunjuk. Sistem ini juga boleh dipasang dengan modul Ducati Connect untuk mengawal fungsi telefon dan muzik menggunakan butang pada pemegang. Tempat khas meletakkan telefon disediakan atas tangki dan datang sekali dengan pengecas USB.

    Ada empat mod yang disediakan pada Multistrada V4 iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro. Dalam mod Sport, semua 170 hp dapat dinikmati, suspensi diletakkan dalam mod Sport, Traction Control dan Wheelie Control pada tahap rendah dan ABS pada tahap nombor 2.

    Ducati Multistrada V4S 2021 dengan aksesori tambahan

    Dalam mod Touring, maklum balas enjin adalah lebih lancar dengan Traction Control dan Wheelie Control ditetapkan pada tahap maksimum, manakala dalam mod Urban kuasanya dikurangkan kepada 115 hp bagi memudahkan kendalian dalam trafik sesak atau jalan basah.

    Mod Touring mengubah ABS kepada tahap nombor 3, dan fungsi ABS dilaras supaya bersesuaian dengan keselesaan tunggangan jarak jauh. Mod Enduro adalah untuk tunggangan offroad, dengan kuasanya dilaras kepada 115 hp, Wheelie Control ditutup dan ABS cuma berfungsi pada tahap 1 untuk roda hadapan.

    Tempat duduk standard penunggang boleh dilaras untuk ketinggian 840 mm dan 860 mm, manakala untuk menjadikan ia lebih rendah, pemilik boleh mendapatkan unit 810 mm atau untuk lebih tinggi, ia berukuran 875 mm. Dua warna disediakan untuk Multistrada V4S, iaitu Ducati Red dan Aviator Grey sementara Multistrada V4 pula disediakan dalam satu warna sahaja, iaitu Ducati Red.

    GALERI: Ducati Multistrada V4 2021

    GALERI: Ducati Multistrada V4S 2021