Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan bagi aktiviti-aktiviti di bawah sektor perdagangan pengedaran sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Berfasa.
Antara aktiviti yang kini dibenarkan termasuklah sesi pandu uji di bilik pameran kenderaan bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 2. Ini termasuklah untuk negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang baru memasuki Fasa 2 sejak 10 September lalu, seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. Sebelum ini, negeri-negeri berkenaan diletakkan di Fasa 1 PPN di mana kebanyakan sektor perniagaan dan aktiviti perdagangan ditutup sejak pertengahan Jun lalu.
Manakala negeri-negeri lain yang terlebih dahulu telah diumumkan memasuki Fasa 2 ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.
Walau bagaimana pun, hanya individu yang lengkap vaksinasi sahaja (dengan dos kedua yang telah melepasi hari ke-14 bagi vaksin Pfizer, Astra Zeneca, Sinovac, Moderna dan Sinopharm/atau melepasi hari ke-28 untuk jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson &Johnson dan Cansino) yang dibenarkan untuk memandu uji di bilik pameran.
Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada harus terus dipatuhi termasuk memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan dan check-in menerusi aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis. Hanya pelanggan dengan status “Low Risk” termasuk “Casual Contact Low Risk” dalam MySejahtera dibenarkan masuk ke dalam premis.
Sektor borong dan runcit Malaysia dilaporkan menguncup sebanyak 14.7% bagi tempoh sama tahunan sehingga Julai 2021, kepada RM92.7 bilion. Menurut Jabatan Perangkaan, seperti dilaporkan oleh Malay Mail, kenderaan motor menyumbang kepada pertumbuhan negatif pada kadar -85.4%, diikuti perniagaan runcit dengan -8.1% dan -1.1% bagi perniagaan borong.
Dalam subsektor perniagaan runcit, Jualan Runcit bagi Bahan Api Automotif dalam Kedai Khusus jatuh sebanyak 14.1%, Jualan Runcit bagi Barangan Lain dalam Kedai Khusus jatuh 11.1% dan Jualan Runcit dalam Kedai Bukan-Khusus menurun 10.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pecahan bagi kategori perniagaan borong pula melibatkan Borongan Berasaskan Yuran atau Kontrak (-22.1%), Borongan Barangan Isi Rumah (-12.1%), Borongan Mesin, Peralatan dan Bekalan (-10.4%) dan Perniagaan Borongan Bukan Khusus (-1.2%).
Bagi kenderaan motor, ia dipecahkan kepada Penyelenggaraan dan Baik Pulih Kenderaan (-88.7%), Jualan Alan Ganti dan Aksesori Kenderaan (-87.4%) dan Jualan, Penyelenggaraan dan Baik Pulih Motosikal (-86.9%).
Memang angka bagi kenderaan motor ini mengejutkan, tetapi perlu diingat bahawa kita berada di dalam PKP penuh sepanjang Julai lalu, dan sektor automotif dibekukan sepenuhnya operasi mereka — bekalan alat ganti, kilang kenderaan dan bilik pameran semuanya terpaksa ditutup. Tiada pergerakan, bermaksud kenderaan juga tidak dihantar untuk servis dan baik pulih seperti selalu.
Sektor automotif dibenarkan beroperasi semula pertengahan Ogos, dan dengan kilang kembali mengeluarkan kenderaan dan jualan mula meningkat semua untuk melangsaikan tunggakan pesanan, jualan pada Ogos meningkat banyak. Corak yang sama dijangka untuk September, dengan operasi dan jualan berjalan untuk tempoh sebulan penuh.
Rapid KL yang telah meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas dan tren kendalian syarikat itu di Lembah Klang bermula 10 September berikuta peralihan ke Fasa 2 PPN di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjangkakan peningkatan penumpang juga akan berlaku untuk perkhidmatan LRT bermula hari ini, 13 September.
CEO Rapid KL, Azmi Md Zain berkata syarikat itu menjangkakan peningkatan jumlah pengguna untuk LRT bermula Isnin, dan data tersebut akan diperhatikan setiap hari untuk menentukan jika tren tambahan perlu digerakkan, lapor New Straits Times.
Bercakap kepada wartawan Jumaat lalu, beliau berkata peningkatan kadar aliran penumpang belum dikesan ketika itu, dan tren sedia ada mampu menampung keperluan dengan memastikan pematuhan SOP PPN yang telah digariskan kerajaan.
Sejak Jumaat lalu, perkhidmatan LRT jajaran Kelana Jaya telah beralih kepada selang empat minit antara tren pada hari bekerja dalam waktu puncak sebelah pagi dan tengahari. Pada bukan waktu puncak hari bekerja, tren akan tiba dalam selang 11 minit, dan ini akan dinaikkan kepada 15 minit pada hujung minggu.
Azmi memaklumkan Rapid KL akan memastikan semua pengguna mematuhi SOP. “Kami mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pematuhan SOP. Kami akan melaksakan pematuhan SOP dengan tegas, termasuk tidak membenarkan mereka yang mempunyai simptom atau tidak memakai pelitup muka daripada menaiki tren,” jelasnya. Staf Prasarana dan polis bantuan juga telah ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di stesen untuk memastikan semua orang mematuhi SOP berkenaan.
Menurut laporan Nikkei Asia, beberapa pengeluar kenderaan di Jepun telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan jumlah produksi melibatkan lebih daripada satu juta kenderaan bagi tahun kewangan semasa. Ini disebabkan oleh peningkatan jangkitan Covid-19 di Asia Tenggara, yang telah memberi kesan kepada bekalan cip semikonduktor daripada pembekal utama di rantau ini, termasuk untuk pengeluar di Eropah dan Amerika Syarikat.
Pada 10 September, Toyota memaklumkan syarikat itu menilai semula ramalan pengeluaran globalnya kepada sembilan juta unit berbanding 9.3 juta unit sebelum ini. Dalam jangka pendek, ini akan menyaksikan menyusutan angka pengeluara sekitar 70,000 unit dan 330,000 unit (180,000 unit pasaran luar dan 150,000 unit di pasaran Jepun) bagi Oktober, berbanding rancangan pengeluaran bulan Ogos.
Toyota bagaimanapun menambah, permintaan kekal kukuh, tetapi jangkaan pengeluaran bagi November dan selepas ini masih tidak jelas. Disebabkan itu, rancangan pengeluaran bagi November dan bulan-bulan mendatang akan diteruskan dengan anggapan bahawa pelan terdahulu masih dikekalkan.
Suzuki pula terkesan agak teruk akibat kekurangan cip, dengan terpaksa mengurangkan pengeluaran sebanyak 350,000 kenderaan, iaitu 10% daripada jumlah pengeluaran keseluruhan tahun kewangan terakhir. Operasi syarikat itu di Jepun, Thailand dan Hungary turut akan digantung, sementara di India, satu daripada pasaran terbesar bagi Suzuki, dijangka akan beroperasi dengan kira-kira 40% daripada kapasiti normalnya untuk bulan ini.
Sementara itu, Nissan pula telah maklumkan pengurangan produksi sebanyak 250,000 kenderaan, dan jualan Honda pula menurun 150,000 kenderaan disebabkan pengurangan pengeluarannya. Bagi Mazda, Mitsubishi dan Subaru telah umumkan juga pengurangan pengeluaran masing-masing, menyumbang kepada penguncupan keseluruhan bagi semua pengeluar automotif Jepun sekitar 1.05 juta kenderaan.
Toyota terpaksa mengambil langkah pengurangan tersebut akibat penutupan kilang STMicroelectronics di Malaysia, yang telah memberi kesan ketara kepada bekalan terhadap alatan kenderaan yang menggunakan semikonduktor. Dengan kilang yang agak lambat dibuka semula untuk operasi, STMicroelectronics menyatakan kilang itu mempunyai tempahan tertunggak hingga 18 bulan dan sedang berusaha keras memenuhi permintaan itu.
Pengeluar cip automotif lain, Infineon Technologies, telah menggantung produksi di kilang Melaka bagi tempoh 20 hari ketika PKP pada JUn lalu. Syarikat lain seperti Bosch dan Continental turut mempunyai operasi kilang di Asia Tenggara yang terkesan sama.
Masalah kekurangan bekalan cip turut memberi kesan kepada pengeluar kenderaan di luar Jepun, dengan General Motors misalnya terpaksa menggantung operasinya di separuh daripada kilangnya bagi tempoh antara satu hingga empat minggu bermula 6 September. Renault turut menutup operasi beberapa kilangnya di Sepanyol hingga 60 hari sejak hujung Ogos, sementara Volkswagen juga terus mengurangkan pengeluarannya di kilang utama di Wolfsburg.
Chevron Malaysia telah melancarkan secara rasmi aplikasi CaltexGO untuk pengguna di Lembah Klang, susulan pengenalannya pada April lalu. Ia menawarkan cara pembayaran yang lebih pantas untuk mengisi minyak, dan pengguna berpeluang memperoleh dan menebus mata ganjaran.
Buat masa ini, CaltexGO hanya boleh digunakan di sekitar Lembah Klang sahaja, dan ia akan diperluaskan di lain-lain bahagian dinegara ini menjelang separuh pertama tahun hadapan, menurut syarikat tersebut. Aplikasi ini boleh digunakan dalam peranti yang menggunakan sistem operasi Apple iOS dan Android, serta boleh dimuat turut menerusi Apple App Store dan Google Play.
Chevron Malaysia turut memberikan penekanan aspek keselamatan dengan menasihati pelanggan untuk menggunakan aplikasi pada peranti mudah alih mereka hanya setelah enjin kenderaan mereka dimatikan, di dalam kenderaan yang tidak bergerak dengan tingkap tertutup atau ketika berada di dalam kedai serbaneka.
Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu mempunyai kad pembayaran (kad debit atau kredit) dan kad Journey yang didaftarkan pada aplikasi, dengan menyertakan stesen dan nombor pam, dan kemudian mengisi minyak kenderaan mereka dengan amaun yang dinyatakan. Sebagai alternatif, pengguna juga boleh memeriksa baki BPoints mereka dan jika baki mencukupi, ia boleh ditebus dan digunakan untuk mengisi minyak sebelum membuat pembayaran bagi amaun akhir.
Untuk masa yang terhad, bagi pengguna yang pertama kali menggunakannya dengan minimum RM30 bagi pembelian minyak di Caltex akan menerima pulangan balik (cashback) sebanyak RM5,dan satu lagi pulangan balik bernilai RM5 ketika mengisi minyak minimum RM30 untuk kunjungan yang berikutnya. Ia hanya terhad kepada dua kujungan sahaja bagi setiap pengguna dengan pulangan balik maksimum RM10, dan promosi ini akan berakhir pada 31 Disember 2021.
Selepas sebuah Proton Saga Black Knight 1989 memenangi hadiah utama dalam acara Hagerty Festival of the Unexceptional di United Kingdom bulan lalu, nampaknya minat terhadap model-model lama Proton oleh peminat-peminat kereta klasik di negara tersebut mula meningkat.
Semalam Matt Richardson dari saluran YouTube Furious Driving memuat naik video penemuannya terhadap sebuah Proton Saga 1994 (juga dikenali sebagai Iswara di Malaysia) yang telah terbiar dalam sebuah bangsal dengan keadaan yang sangat-sangat sempurna.
Sebenarnya Matt pergi melihat kereta berkenaan bagi pihak Stephanie Holloway dari saluran YouTube Idriveaclassic, yang telah dihubungi oleh keluarga pemilik asal Saga berkenaan untuk dijual kepadanya. Sebelum Steph sendiri datang melihat sendiri kereta berkenaan pada Sabtu lalu, Matt terlebih dahulu membantunya datang ke bangsal berkenaan bagi mengetahui keadaan sebenar kereta tersebut.
Kereta berkenaan telah disimpan oleh keluarga berkenaan dalam sebuah bangsal tanpa lampu dan juga tanpa sebarang akses cahaya masuk ke dalamnya sejak 10 tahun yang lalu. Manakala meter perbatuannya hanya mencatatkan jarak perjalanan sejauh 10,724 batu atau 17,259 km selepas dibeli baru pada tahun 1994.
Ia adalah model spesifikasi khas untuk pasaran UK, yang sedikit berbeza dari model pasaran Malaysia bagi membolehkan ia mematuhi syarat homologasi negara berkenaan. Antara perincian yang jelas berbeza adalah enjin 4G15 1.5 liter 12 injap yang dibekalkan tidak disuap oleh karburator sebaliknya menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik, dan ia diberikan papan pemuka serta roda stereng yang seiras dengan Mitsubishi Lancer Fiore.
Melihat dengan lebih teliti keadaan kereta yang ditinggalkan lebih satu dekad berkenaan, bahagian luarannya termasuk panel-panel dan cat badan, unit-unit lampu dan sebagainya masih dalam keadaan seperti baharu dan hanya diselaputi oleh habuk dan debu kotoran. Oleh kerana tidak terdedah kepada sebarang cahaya, getah pengelap cermin Saga tersebut juga masih lembut seperti baru dibeli.
Keempat-empat tayar masih belum kempis, malah pada bahagian bawah lantai juga nampak seakan baharu, serta pemilik asalnya turut telah memberikan lapisan perlindungan berwarna hitam bagi mengelakkan ia berkarat. Begitu juga pada bahagian kabin, tempat duduk, karpet lantai, pelapik bumbung serta kemasan-kemasan lain nampak masih seperti baharu.
Melihat ke bahagian ruang enjin, tiada sebarang kebocoran minyak dijumpai. Malah ketika minyak enjin diperiksa, ia dalam keadaan yang sangat bersih seolah-olah ia baru ditukar sebelum kereta tersebut disimpan dalam bangsal berkenaan.
Bateri yang terletak dalam ruang tersebut juga nampak seperti baru (resit yang dijumpai disahkan ia dibeli 10 tahun yang lalu!) dan pemiliknya dilihat sudah mencabut terminalnya sebelum ditinggalkan. Namun mungkin sudah terlalu lalu lama bateri itu dibiarkan, kereta berkenaan tidak dapat dihidupkan walaupun menggunakan unit jumper.
Menurut Matt, dia tidak mahu berusaha untuk menghidupkan enjin berkenaan, kerana ‘acara’ tersebut perlu dibuat sendiri oleh pemilik baharunya, Stephanie kelak. Matt kembali semula ke bangsal berkenaan Sabtu lalu (11 September) bersama Stephanie untuk membawa pulang Proton Saga tersebut.
Ketika itu, buat pertama kalinya dalam tempoh 10 tahun, Saga berkenaan kembali terdedah kepada cahaya matahari. Ia ditolak keluar dengan mudah bukan hanya kerana tayarnya yang masih mempunyai tekanan udara, malah brek Saga tersebut juga tidak jammed walaupun sudah ditinggalkan sekian lama.
Tanpa sebarang penukaran dilakukan pada palam pencucuh serta masih menggunakan baki petrol berjumlah 3/4 tangki yang diisi lebih sedekad yang lalu, enjin Saga tersebut terus hidup dengan hanya satu putaran kunci setelah ia diberikan bateri yang lebih baharu!
“Semua orang di Malaysia kini sedang cemburu dengan saya,” kata Stephanie setelah mengetahui keadaan kereta berkenaan. Menurutnya selepas ini kereta ini akan terus dibasuh dan diperiksa bagi menjalani pemeriksaan MOT yang telah di tempah minggu ini juga. Dia juga bercadang untuk membalut kesemua tempat duduk dan memberikan satu lagi lapisan alas kaki bagi memastikan kesemua perincian asal dari kilang berkenaan terpelihara seperti baharu.
Walau bagaimanapun, mengapa kereta tersebut ditinggalkan dalam garaj berkenaan begitu lama tidak diberitahu dalam video ini. Tetapi Matt menyatakan bahawa kereta ini hampir dihantar untuk diskrap ketika keluarga berkenaan mahu membersihkan garaj tersebut. Nasib baik salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan memberikan cadangan agar ia dijual kepada mereka yang berminat kerana keadaannya yang masih lagi elok!
Awal pagi semalam, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengadakan Ops Khas Motosikal di Jalan Tun Razak di ibukota. Menurut Ketua JSPT, Asisten Komisioner Sarifuddin Mohd Salleh berkata, operasi yang bermula jam 12 malam itu dilakukan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan serta mengesan individu yang menggunakan motosikal tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Selain itu, operasi berkenaan bertujuan mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol serta mereka yang terlibat dalam lumba haram.
Dalam operasi berkenaan, sekurang-kurangnya 200 individu termasuk remaja ditahan. Ketika diperiksa ada kumpulan remaja memberi alasan motosikal ditunggang mereka milik ibu bapa. Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk ujian saringan air kencing dan semakan rekod jenayah, laporan Astro Awani.
“Selain daripada operasi motosikal, kita juga melakukan operasi ini untuk mengesan pemandu mabuk di Kuala Lumpur. Ketika operasi ini dijalankan, kami mendapati ada individu yang menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya iaitu lumba haram. Kami akan teruskan operasi ini dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana seperti yang kita tahu kenderaan mula bertambah di pusat bandar,” katanya.
Tambah beliau, lebih 300 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya ekzos bising serta nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. Beberapa buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur ekzos kenderaan.
Ketika belum ada lagi kata putus sama ada Mitsubishi Lancer Evolution akan ‘bangkit semula dari kubur‘ atau tidak, ini dia, seteru utamanya Subaru WRX kini sudah pun muncul dalam versi generasi kelima! Ia membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat dengan platform baharu, rangkaian kuasa yang lebih bertenaga serta perubahan rupa yang ekstensif.
Sama dengan model-model terkini Subaru yang lain seperti XV, Impreza, Levorg, Forester dan Ascent, WRX generasi baharu ini turut diasaskan dari Subaru Global platform. Oleh itu, ia kini menampilkan kekuatan torsi keseluruhan 28% lebih tinggi, manakala kekuatan cagak-cagak suspensi pula meningkat sehingga 75%.
Model-model rekaan Subaru sememangnya dikenali dengan titik graviti yang rendah kerana dijana oleh enjin bentangan boxer, namun WRX generasi baharu ini didakwa menampilkan titik graviti yang lebih rendah. Ia juga diberikan suspensi dengan strok lebih panjang, membolehkan kestabilan dan cengkaman lateralnya dipertingkat pada permukaan jalan yang tidak rata.
Geometri suspensi hadapan WRX ini dioptimakan bagi mengurangkan offset besar. Bar penstabil belakang pula kini dipasangkan terus pada badan dan bukan pada subframe, memberikan operasi lebih efisien dengan memberikan kadar olengan yang lebih dikurangkan ketika mengambil selekoh.
Manakala untuk stereng, ia diberikan sistem bantuan kuasa dua-pinan yang mengasingkan syaf input dari pemandu dan juga syaf motor bantuan. Kombinasi berkenaan memberikan respon yang lebih pantas terhadap input pemandu, serta memberikan ketepatan lebih baik serta rasa stereng yang lebih semula jadi.
Bagi model varian tertinggi WRX GT, ia turut menerima suspensi dengan penyerap hentak kawalan elektronik – pertama kali dipadankan pada WRX. Suspensi ini datang dengan tiga tetapan mod yang boleh dipilih iaitu Comfort, Normal dan Sport. Pilihan berkenaan boleh dibuat menerusi sistem Drive Mode Select, yang juga menawarkan opsyen untuk membuat tetapan terhadap rasa stereng.
Subaru WRX generasi baharu ini datang dengan pilihan rim aloi 17- atau 18-inci bergantung pada varian, bersama brek cakera berliang untuk setiap sudut.
Model generasi baharu ini menerima enjin boxer yang lebih besar dan berkuasa dari sebelum ini, iaitu unit FA24F 2.4 liter empat silinder, berbanding hanya 2.0 liter pada model generasi sebelumnya. Enjin tersebut juga menerima pengecas turbo dengan injap wastegate dan injap bypass udara kawalan elektronik bagi memberikan respon dan pecutan lebih baik.
Enjin berkenaan menghasilkan 271 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,000 hingga 5,200 rpm. Walaupun kapasiti enjin baharu ini jauh lebih besar, penghasilan kuasa yang ditampilkan sebenarnya tidak jauh berbeza dari model sebelum ini yang menjana 268 hp dan tork maksima 350 Nm bagi model pasaran Amerika Syarikat. Namun menurut Subaru, enjin baharu ini ditala bagi memberikan lengkuk kuasa yang lebih luas.
Enjin FA24 ini juga turut digunakan pada SUV Subaru Ascent, namun unit pada WRX ini menampilkan kuasa yang lebih besar tetapi menerima tork yang lebih rendah (260 hp/376 Nm pada Ascent). Subaru masih belum mengumumkan sebarang angka prestasi seperti pecutan 0-100 km/j dan sebagainya, namun boleh dijangka ia lebih pantas dari model sebelum ini.
Subaru masih menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan bagi WRX generasi baharu ini. Manakala untuk mereka yang lebih gemarkan pemanduan dua pedal, ia juga masih ditawarkan dengan transmisi CVT automatik yang digelar Subaru Performance Transmision yang kini telah ditala bagi memberikan tukaran gear menaik 30% lebih pantas, dan tukaran menurun gear 50% lebih pantas antara gear maya kedua dan ketiga.
Subaru juga menyatakan bahawa rasa “gegelang getah” pada transmisi CVT tersebut juga kini dikurangkan lagi, dan ia juga diberikan sistem kawalan tukaran gear adaptif yang mampu memberikan respon lebih pantas bagi memberikan kesan seakan sistem rev-match ketika gear diturunkan semasa membrek.
Pemandu juga boleh memilih tiga mod pemanduan dalam sistem SI Drive dengan transmisi CVT ini, serta diberikan lapan nisbah gear maya dalam mod manual. Ia juga kini dibekalkan dengan penyejuk cecair transmisi jenis luaran bagi memberikan ketahanan dan kebolehan lebih baik dalam situasi lasak, misalnya ketika dipandu dalam litar.
Seperti biasa, kesemua kuasa berkenaan dihantar ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru, serta dibantu dengan sistem Active Torque Vectoring.
Dari segi penggayaan, WRX generasi baharu ini menampilkan ciri-ciri rekaan yang diambil dari Viziv Performance Concept yang didedahkan pada Oktober 2017. Oleh itu, mukanya diberikan rupa yang lebih garang menampilkan gril berbentuk heksagon, serta kelihatan seperti tertusuk pada lampu hadapan LED yang juga direka lebih tajam.
Bahagian apron bawah bampar direka lebih lebar bagi menempatkan lampu kabus LED yang diletakkan pada perumah yang turut diberikan elemen sarang lebah. Skup pada penutup bonet signatur yang mengalirkan udara segar terus ke unit intercooler di atas enjin masih lagi kekal, dan ia kini direka lebih lebar.
Scooby generasi baharu ini diberikan fender hadapan yang diperbuat dari aluminium, didakwa dapat mengurangkan berat sebanyak 2.3 kg. Dan apa yang jelas berbeza, sedan sport ini turut menerima pelindung badan plastik hitam untuk kesemua ruang roda, menyebabkan ia kelihatan seperti SUV.
Dimensi sebenar WRX ini belum lagi diumumkan oleh Subaru, tetapi ia disahkan lebih panjang dan lebih lebar berbanding model generasi keempat. Ia juga diberikan rekaan but belakang yang lebih tersendiri dan berbeza dari Impreza sedan biasa. Walau bagaimanapun, profil sisi WRX ini masih nampak tidak jauh berbeza dari versi sebelum ini.
Bahagian belakang WRX ini juga diberikan rupa seakan Viziv Performance, menampilkan lampu berbentuk-C dan bersambung dengan kemasan yang merentangi sepenuhnya penutup but. Juga seperti model konsep tersebut, bampar belakang WRX produksi ini kelihatan agak ‘sibuk’ dengan diffuser yang besar bersama tip ekzos berkembar pada setiap sisi.
Dalam kabin, WRX ini menerima rekaan yang seiras dengan model-model terkini Subaru yang lain, dengan papan pemuka hampir seiras seperti crossover Subaru Outback. Ia diberikan skrin sesentuh utama dengan kedudukan menegak bersaiz 11.6-inci, diapit liang penghawa dingin tengah yang juga berdiri.
Skrin tersebut dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon dengan 11-pembesar suara, bersama teknologi GreenEdge dan Clari-Fi, memberikan memberikan kesan bunyi yang dipacu dengan 504 watt.
Walau bagaimanapun, WRX masih belum menerima paparan meter digital sepenuhnya seperti BRZ, dan masih diberikan kluster meter analog bersama skrin pelbagai info di tengah. Pemandu juga menerima roda stereng rata di bawah serta tombol gear serta tuil brek tangan yang direka dalam kedudukan mudah capai.
Secara keseluruhan, kabin WRX ini menerima upholsteri yang dijahit dengan serlahan benang merah, panel-panel kemasan grafik gentian karbon, manakala model dalam varian GT menerima tempat duduk Recaro yang dibalut material Ultrasued berwarna hitam bersama larasan elektrik pada sebelah pemandu.
Untuk keselamatan pula, WRX 2022 ini dibekalkan dengan tujuh-beg udara, manakala varian dengan kotak gear automatik diberikan pakej sistem bantuan pemanduan Subaru EyeSight sebagai ciri standard. Pakej keselamatan tersebut memberikan fungsi seperti sistem Pengelak Keluar Lorong yang diperhalusi bersama Stereng Automatik Kecemasan, Sistem Brek Pra-pelanggaran.
Malah buat pertama kali, WRX menerima sistem Advanced Adaptive Cruise Control dengan Bantuan Kekal Tengah Lorong menerusi sistem EyeSight berkenaan.
Subaru WRX serba baharu ini akan mula dijual di Amerika Syarikat pada awal 2022 nanti, jadi senarai harga rasmi hanya akan diumumkan hampir ketika dilancarkan nanti. Subaru juga masih belum mengumumkan bila versi lebih berkuasa WRX STI generasi baharu akan membuat penampilan, namun biasanya ia akan muncul tidak lama selepas versi biasa ini didedahkan.
Bagi model tahun 2021 untuk pasaran tempatan, Bermaz Motor kini memperkenalkan kemaskini bagi model SUV Mazda CX-9. Sama seperti sebelum ini, model CBU berkenaan ditawarkan dalam dua varian — 2WD dan 4WD — kedua-duanya dengan spesifikasi yang hampir sama melainkan sistem pacuannya.
Dari segi harga, varian 2WD dijual pada harga RM319,847.40 atas jalan tidak termasuk insurans, sementara versi 4WD pula RM336,215.40. Kedua-dua harga ini mengambil kira potongan 50% SST untuk kenderaan CBU dan termasuk jaminan lima-tahun/100,000 km dan penyelenggaraan percuma.
Kemaskini penggayaannya pula melibatkan pakej luaran “Ignite Edition” sebagai ciri standard, yang melibatkan gril dan cermin sisi hitam berkilat, dan dilengkapi dengan rim 20-inci hitam. CX-9 datang dalam enam pilihan warna, dengan Soul Red Crystal menyertai warna sedia ada sebelum ini — Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl dan Sonic Silver.
Di dalam, kerusi dalam balutan kulit berwarna merah menjadi kontras kepada kemasan dalaman hitam yang menghiasinya. Skrin infotainmen Mazda Connect sembilan-inci yang diperkenalkan tahun lalu masih dikekalkan, tetapi kini dengan ciri sokongan Apple CarPlay tanpa wayar yang melengkapi sambungan Android Auto dengan wayar sebelum ini. Turut diperkenalkan pengecas tanpa wayar dan paddle shifter bagi transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuannya.
Kotak gear ini digandingkan dengan enjin petrol sama, SkyActiv-G 2.5 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 228 hp pada 5,000 rpm dan 420 Nm tork pada 2,000 rpm. Bagi varian 2WD, ia adalah pacuan roda depan, sementara 4WD menerima sistem pacuan semua roda i-Activ Mazda.
Versi 4WD juga lengkap dengan ciri Off-road Traction Assist, yang merupakan lanjutan kepada Traction Control System (TCS) pada SUV ini, untuk membantu pemandu di dalam permukaan mencabar. Ciri lain yang masih dikekalkan dari model tahun 2020 termasuk sistem i-Stop dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).
Kelengkapan lain hampir sama seperti sebelumnya, dengan kedua-dua varian dilengkapi lampu utama LED latasan sendiri, lampu belakang LED, pengilap cermin automatik, pintu belakang berkuasa, sunroof berkuasa, sensor parkir depan dan belakang (empat di setiap sudut) dan sistem pintar tanpa kunci.
Ada juga kerusi depan berkuasa (larasan 10-hala dengan fungsi memori untuk pemandu, enam-hala untuk penumpang) dengan fungsi pengudaraan dan pemanasan, paparan kluster instrumen 4.6-inci, pendingin hawa tiga-zon dengan corong di barisan kedua, fungsi tunjuk arah dan sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara.
Kelengkapan keselamatan SUV tujuh-tempat duduk ini juga kekal sama, termasuk enam beg udara (depan, sisi dan tirai), ABS, DSC, EBD, Emergency Brake Assist, bantuan mula mendaki, lampu isyarat kecemasan dan Isofix. Tidak ketinggalan ialah bantuan pemanduan i-ActiveSense yang terdiri daripada ciri seperti lampu utama LED adaptif (ALH), peninjau titik buta (BSM), amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), amaran penukaran lorong (LDWS), bantuan mengekalkan lorong (LAS) dan amaran perhatian pemandu (DAA). Sistem Smart City Brake Support (SCBS) juga datang dengan pengesan pejalan kaki di depan dan belakang.
Modenas hari ini telah melancarkan model Dominar D400 versi dipertingkat untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua warna baru, iaitu Savanna Green dan Charcoal Black, dan dijual pada harga RM13,997 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Dominar D400 baru ini akan menggantikan Dominar yang mula dijual di Malaysia sejak tahun 2018 lalu, dan antara peningkatan utamanya adalah pada bahagian suspensi, di mana bahagian hadapan kini menggunakan unit fork USD 43 mm dengan jarak gerak 135 mm. Bahagian belakang masih menggunakan monoshock dengan tabung Nitrox.
Enjin masih lagi menggunakan unit satu silinder DOHC tiga palam pencucuh berkapasiti 373.2 cc, tetapi ia telah ditala semula untuk menghasilkan 40 hp pada 8,650 rpm dan 35 Nm tork pada 7,000 rpm (tambahan 5 hp berbanding model terdahulu). Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.
Kemudiannya pada bahagian brek, model ini masih menggunakan padanan cakera 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang, siap dengan sistem ABS two-channel, tetapi kedudukan cakera itu telah dialih ke bahagian kiri roda, berbanding sebelah kanan sebelum ini. Rim bersaiz 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.
Kelengkapan lain masih lagi sama, termasuklah tangki bahan api 13 liter, panel meter LCD, lampu hadapan LED dan berat 182 kg. Model ini didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengesahkan bahawa model A-Class Sedan V177 bakal dilancarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi. Perkara tersebut didedahkan ketika sesi temuramah bersama presiden dan CEO syarikat berkenaan, Sagree Sardienas dan juga ketua jualan dan pemasarannya, Micheal Jopp.
Februari tahun ini, MBM telah mendedahkan minat mereka bagi menambah model-model kompak berasaskan platform MFA dan juga SUV yang dihasilkan secara pemasangan tempatan dalam barisan modelnya. Ia kemudiannya disahkan apabila tercatat dalam laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk bulan Julai.
Laporan tersebut tidak mendedahkan secara terperinci model mana yang akan dipilih untuk dipasang oleh kilang MBM di Pekan, Pahang, namun dengan kapasiti enjin yang disenaraikan adalah 1,301 cc hingga 1,501 cc, ia memberi petunjuk kepada tiga model yang menggunakan enjin M282 1.33 liter empat silinder turbo iaitu A 200 Sedan, W177 A 200 hatchback dan crossover GLA 200.
Tekaan kami ketika itu bahawa A-Class Sedan yang akan dipilih ternyata tepat. “Pertama sekali, kami ucapkan tahniah [kepada paultan.org] kerana menjumpai perkara ini, sangat bagus. Ya, kami akan lancarkan A [Class] Sedan CKD, yang mana, jelas kami umumkan pada awal tahun ini bahawa kami akan lancarkan [model dari] MFA,” kata Jopp.
“Namun, walaupun kami telah memproduksi kereta bukan bermaksud kami boleh menjual kereta tersebut, kerana sebelum kami boleh menjual kereta, ada berberapa pra-syarat lain yang perlu kami penuhi secara dalaman, hanya dari perspektif pelepasan produksi sebenar,” tambahnya lagi.
Jopp turut menyatakan berkenaan isu kelulusan harga , yang sebelum ini menjejaskan syarikat-syarikat kereta di Malaysia, seperti yang kita lihat terjadi pada Honda Civic facelift. “Merujuk kembali kepada kerajaan, kesemua kelulusan harga yang diperlukan belum lagi kami terima pada saat ini,” katanya.
“Ini sesuatu yang boleh saya pastikan sekarang dan oleh itu, malangnya, saya tak dapat pastikan bila sebenarnya kami akan lancarkan [A-Class Sedan]. Dari perspektif jualan, saya harap hanya beberapa minggu akan datang. Tetapi secara jujurnya, saya tak tahu, saya memang tak boleh katakannya pada masa sekarang,” tambah Jopp lagi.
Berdasarkan jawapan Jopp, kita boleh jangkakan A-Class Sedan CKD akan dilancarkan dalam masa “beberapa minggu” lagi, mungkin dengan harga lebih rendah berbanding model A 200 Progressive Line yang diimport sepenuhnya (CBU) sedia ada yang bakal kehabisan stok tidak lama lagi. Juga masih tidak dapat dipastikan adakah model CKD nanti akan kekal dengan kelengkapan yang diberikan pada model CBU.
Buat masa sekarang, A 200 Sedan Progresive Line dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM222,121, sudah termasuk pengecualian cukai jalan 50% untuk kenderaan CBU. Model CKD kelak mungkin lebih murah setidak-tidaknya ia menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 100%, membolehkan ia berada dalam kedudukan lebih kompetitif dengan pesaing terusnya, BMW 2 Series Gran Coupe F44 yang juga versi CKD dalam varian 218 M Sport bermula RM211,367.
Kami turut menjangkakan MBM turut akan melancarkan sekali model A 250 CKD serentak dengan A 200 kelak, berdasarkan trend sebelum ini di mana syarikat tersebut lazimnya akan memperkenalkan barisan model pemasangan tempatan yang sama seperti versi CBU. Buat masa sekarang A 250 AMG Line CBU dijual pada harga RM259,255 dengan pengecualian cukai jualan 50%.
Dengan pemasangan tempatan model-model dari platform MFA tersebut kini menjadi kenyataan, kami turut bertanya adakah MBM turut akan membawa model-model EQ (janaan elektrik sepenuhnya) yang menggunakan platform sama dalam barisan model CKD mereka.
“Dengan penilaian keseluruhan portfolio EV, keputusan belum dibuat produk mana yang lebih masuk akal bagi dilokalisasikan dalam Malaysia, jika kami buat keputasan untuk untuk langkah tersebut. Dan oleh itu, malangnya, saya tak boleh beri jawapan sekarang,” balas Jopp.
GALERI: Mercedes-Benz A 200 V177 Progressive Line Sedan
Rapid KL memaklumkan semua perkhidmatan rel kendalian syarikat ini telah dipertingkatkan kekerapan tren susulan peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini. Di mana langkah itu diambil bagi membolehkan penumpang kekal mematuhi penjarakan fizikal berikutan jumlah pengguna dijangka bertambah mulai minggu depan.
Menurut kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasminya, kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, laluan monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara empat hingga 10 minit, bergantung pada waktu puncak. Bagaimana pun, operasi perkhidmatan rel adalah dari jam 6 pagi hingga 11 malam sahaja.
Rapid KL turut memaklumkan pihaknya akan sentiasa memantau situasi penumpang melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sekiranya perlu jumlah tren akan ditambah lagi. Justeru, para penumpang tidak perlu gusar kerana Rapid KL menyediakan kapasiti mencukupi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Namun demikian, penumpang juga digalakkan untuk melakukan penjarakan fizikal secara kendiri memandangkan operasi tren dijalankan dengan kapasiti 100% penumpang.
Volvo telah menaiktaraf aspek janaan kuasa bagi barisan model Recharge plug-in hybrid untuk membolehkannya menghasilkan lebih jarak perjalanan elektrik, pembebasan CO2 lebih rendah, peningkatan prestasi dan pemanduan lebih baik. Datang dalam dua spesifikasi — T6 dan T8 — sistem janaan yang diperkemask ini akan digunakan dalam barisan kenderaan siri 90 dan 60 Volvo.
Satu perubahan besar yang dilakukan adalah pek bateri yang menampilkan lapisan ketiga sel untuk meningkatkan kuasanya daripada 11.6 kWh kepada 18.8 kWh. Volvo memaklumkan ini memberi jarak sehingga 90 km (bergantung model) bagi mod elektrik sepenuhnya, berbanding purata sebelum ini sekitar 50 km (bergantung model).
Menurut Volvo, peningkatan jarak perjalanan itu lebih daripada mencukupi untuk meliputi perjalanan 50 km atau lebih jarak purata yang dilalui oleh pemilik setiap hari berkerja dalam seminggu. Jarak keseluruhan dengan enjin pembakaran dalam bila digunakan juga mempengaruhi peningkatan tersebut. Tidak pula dimaklumkan sekiranya masa mengecas turut berubah dengan bateri yang lebih besar ini, atau adakah peningkatan pengecasan turut dilakukan terhadap pengecas AC dalaman (kini 3.7 kW) yang ada pada model Recharge.
“Kini sudah 2021, dan pengguna tidak lagi perlu bergantung kepada pengangkutan dengan enjin petrol atau diesel,” jelas Hendrik Green, ketua pegawai teknologi Volvo Cars. “Kenderaan plug-in hybrid terkini kami memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya yang diperlukan oleh kebanyakan orang untuk urusan setiap hari,” tambahnya.
Selain mempertingkatkan bateri, Volvo turut memasang motor elektrik belakang yang lebih berkuasa yang memberikan 145 hp, 58 hp lebih tinggi. Dengan kuasa tambahan ini, Recharge T6 menyediakan kuasa keseluruhan 350 hp, sementara T8 pula memberikan 455 hp, menjadikan model T8 kenderaan paling berkuasa yang pernah dihasilkan Volvo.
Pengeluar itu juga memaklumkan enjin petrol yang digunakan pada model T8 turut diberi kemaskini untuk mendapatkan kecekapan dan prestasi yang lebih tinggi, termasuk kuasa enjin yang lebih tinggi pada rpm rendah dan ketika mula bergerak untuk memastikan pemanduan elektrik yang lebih lancar dengan emisi CO2 dikurangkan.
Barisan kenderaan Recharge (sebelum ini dirujuk sebagai Twin Engine) adalah pacuan semua roda, di mana roda depannya digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman dan transmisi bersama motor elektrik dipasangkan padanya. Sementara di belakang pula menerima motor elektrik berasingan sebagai pemacu, tetapi tidak ada sambungan fizikal sebenar antara gandar depan dan gandar belakang — ia merupakan tetapan AWD elektrik.
Peningkatan lain yang diberikan ialah tambahan pemanduan pedal tunggal, yang beroperasi dengan cara yang sama seperti kereta elektrik lainnya ketika ini, memberikan pilihan kepada pemandu untuk mengawal input pecutan dan memperlahankan kenderaan dengan hanya satu pedal sahaja. Ini akan disertakan bagi model XC60, S90 dan V90.
“Memandu kenderaan plug-in hybrid menjadi jambatan paling ideal sebelum beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya. Kami percaya semua peningkatan ini akan menunjukkan kepada ramai orang bahawa kenderaan elektrik adalah masa depan, dan membawa kami lebih dekat kepada wawasan 2030 untuk mengeluarkan kenderaan elektrik sepenuhnya,” ujar Green.
UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjual sebanyak 2,524 unit kenderaan Toyota dan Lexus pada Ogos 2021, dan angka itu dilihat lebih rendah sebanyak 56% berbanding bulan yang sama pada 2020. Namun demikian, jualan kumulatif bagi lapan bulan pertama untuk 2021 adalah lebih tinggi – 38,085 unit berbanding 31,734 unit dalam tempoh yang sama pada tahun lalu – walau pun industri ditutup selama beberapa bulan.
UMWT mengaitkannya dengan momentum penjualan yang berterusan yang bermula tahun lalu, terutamanya dengan pengecualian cukai jualan (SST) untuk kenderaan penumpang yang berlangsung sehingga 31 Disember 2021. Dengan pengeluaran dan penjualan telah kembali beroperasi, dua kilang UMWT yang terletak di Shah Alam dan Bukit Raja kini berusaha untuk “memenuhi tempahan yang tertunda” yang akan dihantar “dalam tempoh waktu yang wajar”.
Syarikat ini turut berkata, impak dari bulan Jun, Julai dan sebahagiannya dari Ogos juga akan memberikan kesan terhadap keseluruhan jualan tahunan bagi Toyota dan Lexus, dan oleh sebab itu, sasaran 2021 akan dikaju semula. Walau bagaimana pun, UMWT tidak memperjelaskan lebih lanjut mengenainya, tetapi kita tahu ia mensasarkan untuk memintas kedudukan Honda pada tahun ini dan mahukan kedudukan di tangga pertama bagi kenderaan bukan-nasional.
“Ia tentunya memberikan cabaran buat kita, tetapi kami faham tindakan yang diambil oleh kerajaan itu adalah untuk melawan pandemik Covid-19. Bagi pihak kami, kami memastikan semua tenaga kerja kami telah lengkap divaksinasi jadi kami boleh kembali beroperasi dan meneruskan aktiviti di fasiliti kami di seluruh negara,” ujar presiden UMWT Ravindran.K.
Tambahnya lagi, “Kami juga akan menganjurkan promosi jualan tidak lama lagi, jadi jika anda mahu membeli kenderaan baharu, inilah masanya untuk anda mendaparkan tawaran yang terbaik dan sudah pasti, ia lebih menjimatkan kerana pengecualian cukai jualan yang masih berlangsung hingga hujung tahun ini. Untuk pelanggan setia kami juga tidak akan dilupakan dan kami akan mengumumkan program baharu sebagai tanda penghargaan di atas kesetiaan mereka terhadap jenama ini lebih dari lima dekad.”
Mengenai promosi yang sedang berlangsung, Toyota Yaris kini ditawarkan dengan bayaran bualan serendah RM493 menerusi skim EX Beli, sementara pembeli SUV RAV4 bakal menikmati rebat tunai sehingga RM10,000 menerusi kempen September. Bilik pameran juga kini telah dibuka, dan UMWT sentiasa memastikan semua cawangan jualannya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Toyota Corolla Cross kini sudah pun dijual di beberapa pasaran ASEAN serta Amerika Syarikat, tetapi tidak di Jepun. Laporan terdahulu mencadangkan bahawa model crossover yang menggunakan platform TNGA-C itu akan dilancarkan di Jepun akhir bulan ini, dengan penampilan yang juga sedikit berbeza daripada versi yang kita ada di Malaysia.
Gambar terbaru yang dinaikkan di Instagram nampaknya telah mengesahkan perkara itu, dengan model JDM berkenaan mendapat wajah depan dengan rekaan yang berbeza, menampilkan rekaan gril yang lebih kecil yang diapit oleh lampu utama LED rekaan baru.
Apron bawah juga disertakan bahagian bukaan udara lebih besar sama seperi yang ada pada model di Malaysia, lengkap dengan kemasan mesh dan lampu kabus di sudutnya. Ini turut melibatkan bampar yang direka semula tanpa bucu tajam sebelum kawasan lengkung tayarnya.
Bahagian sisi pula bagaimanapun tidak diberi sebarang kelainan. Rim yang dilihat ini pula mirip dengan corak sama dalam pakej Modellista yang ditawarkan di Thailand. Di belakang, terdapat sedikit kelainan diterapkan, seperti lampu belakang diberi sentuhan berbeza, dan tidak seperti versi di Malaysia, posisi lencana nama modelnya pada kedudukan sama dengan pasaran AS.
Lencana dengan perincian biru yang dilihat ini mencadangkan bahawa ia akan ditawarkan sebagai model hibrid di Jepun, walaupun belum ada sebarang perincian diumumkan. Di Thailand, Corolla Cross hibrid terdiri daripada enjin 2ZR-FXE 1.8 liter petrol kitaran Atkinson dengan janaan 98 PS dan 142 Nm tork yang digandingkan bersama motor elektrik yang menghasilkan 72 PS dan 163 Nm untuk output keseluruhan sistem 122 PS. Kuasa dihantar ke roda depan melalui e-CVT. Lagi cantik versi Corolla Cross di Jepun ini?
Bulan lepas, Triumph telah mengeluarkan teaser untuk sebuah model baru yang dipanggil sebagai Speed Triple RR. Apa yang boleh dilihat pada waktu itu adalah gambar bahagian tepi, yang menunjukkan motosikal tersebut mempunyai fairing di hadapan.
Disebabkan ia mempunyai fairing, ramai yang tertanya kenapa pengeluar dari United Kingdom ini tidak menggunakan nama Daytona yang dikenali untuk model sports mereka. Sekarang, muncul pula siri teaser kedua. Anda boleh lihat betul-betul dari hadapan, lampunya menggunakan bentuk bulat seperti motosikal klasik.
Ia seakan mempunyai aura Thruxton, tetapi dengan nama Speed Triple itu, kita sudah mengetahui ia menggunakan asas daripada model naked moden Speed Triple 1200 yang baru sahaja dipertingkat secara menyeluruh Januari lalu.
Dari pandangan kami, ini sudah seperti model kedua yang menggunakan bentuk ala klasik, tetapi dengan enjin lebih moden iaitu unit tiga silinder yang sudah cukup dikenali bagi Triumph. Model pertama yang dimaksudkan adalah Trident 660.
Daripada gambar teaser terbaru ini juga kita boleh melihat Speed Triple RR menggunakan pemegang jenis clip-on, yang kedudukannya lebih rendah berbanding pemegang pada Speed Triple RS. Cermin sisi dipasang di fairing dan kita juga boleh menjangka peletak kaki diubah supaya bersesuaian dengan kedudukan menunggangnya yang lebih agresif.
Bahagian mekanikal lain mungkin sama sahaja seperti Speed Triple RS, termasuk enjin tiga silinder 1,160 cc berkuasa 180 PS, kotak gear enam kelajuan, suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya, brek Brembo Stylema di hadapan, skrin TFT 5.0 inci serta pelbagai sistem elektronik. Majlis pengenalan global Speed Triple RR akan diadakan pada 14 September.
Beberapa hari lalu Boon Siew Honda telah melancarkan model baru CBR150R untuk pasaran Malaysia. Apa yang kita dapat, hanya beberapa gambar, dan disebabkan itu, kami telah pergi sendiri ke pusat pameran untuk mendapatkan gambar lengkap buat tatapan anda. Dalam kata pendek, motosikal ini kelihatan jauh lebih menarik di depan mata berbanding gambar studio.
Model yang anda lihat ini menggunakan warna Candy Scintillate Red, iaitu salah satu warna yang ditawarkan selain Matte Charcoal Grey Metallic. Selain daripada itu, melalui galeri lengkap ini juga anda boleh membuat jangkaan saiz serta kedudukan tunggangan yang disediakan.
CBR150R dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac assist and slipper, untuk menghasilkan kuasa 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.
Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan unit digital yang lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter sementara berat keseluruhan motosikal adalah 139 kg.
Suspensi model ini dipadankan dengan ciri sporty, menggunakan unit fork Showa USD berwarna emas di hadapan (tanpa sebarang pelarasan) dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua bahagian depan dan belakang menggunakan brek cakera, siap dengan ABS two-channel dan rim pula bersaiz 17 inci dengan dibalut tayar IRC 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.
CBR150R dijual pada harga RM12,499 tidak termasuk insurans, dan didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.
Walaupun banyak produk dari China masih kekal dengan identiti mereka – murah tapi berkualiti rendah – namun ada pengeluar kenderaan dari negara berkenaan sudah mula mensasarkan pasaran global serta menawarkan produk berkelas dunia. Dalam ujian pelanggaran keselamatan terkini Euro NCAP, dua SUV dari jenama China telah menerima penarafan lima-bintang, serta menampilkan markah lebih tinggi berbanding kereta jenama Eropah sendiri!
Dua model berkenaan adalah Lynk & Co 01 dan SUV elektrik sepenuhnya Nio ES8. Bagi Lynk & Co 01, ia menerima markah 36.8 dari 38 markah penuh (atau 96%) dalam ujian pelindungan penumpang, serta menerima markah penuh dalam pelanggaran lateral serta ujian penyelamatan dan pengekstrakan. Markah yang diterima ini sebenarnya lebih tinggi berbanding Audi Q4 e-tron dan Volkswagen ID.4.
Manakala dalam ujian pelanggaran membabitkan kanak-kanak di bawah 10 tahun, Lynk & Co 01 hanya kurang 0.1 markah untuk mendapatkan markah penuh. Hanya ketiadaan cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofx pada tempat duduk penumpang hadapan dan juga sistem tempat duduk keselamatan kanak-kanak bersepadu yang menyebabkan model tersebut hanya mencatatkan 87% dalam ujian keselamatan penumpang kanak-kanak.
Secara strukturnya, SUV ini adalah solid. Namun Euro NCAP menyatakan ia menampilkan prestasi yang sedikit kurang dalam ujian keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain. “Bonetnya memberikan perlindungan yang baik atau mencukupi kepada kepala pejalan kaki yang dilanggar, dengan berberapa keputusan yang tidak baik pada asas tiang cermin hadapan yang keras,” tulis laporan ujian yang dikeluarkan.
Lynk & Co 01 juga menerima sistem brek kecemasan automatik yang turut melindungi pejalan kaki serta penunggang basikal. Dalam ujian Euro NCAP terhadap reaksi sistem tersebut kepada penunggang basikal, ia berfungsi dengan baik, dengan pelanggaran dapat dielakkan dalam hampir semua senario yang diuji. Model ini menerima markah 81% untuk tahap ciri keselamatan yang ditawarkan.
Nio ES8 juga menerima penarafan lima bintang, walaupun SUV elektrik mewah bersaiz besar berkenaan menampilkan berat 2,435 kg, atau hampir 700 kg lebih berat berbanding Lynk & Co 01. Ia berjaya mengutip markah 82% untuk ujian pelindungan dewasa dan 85% untuk perlindungan kanak-kanak. Dengan dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemanduan, Nio ES8 ini juga diberikan markah 92% dalam penilaian sistem bantuan keselamatan.
“Gelombang kenderaan tenaga baharu buatan China di Eropah kini dalam perjalanan, dengan model-model baharu dilancarkan oleh BYD, Xpeng, DFSK, Seres dan lain-lain. Malangnya, kebanyankkan daripadanya masih tidak berapa telus kepada pengguna di Eropah dari segi keselamatan,” kata setiausaha agung Euro NCAP, Michiel van Ratingen.
“Walau bagaimanapun, Lynk & Co dan Nio menunjukkan bahawa ‘Buatan China’ bukan lagi istilah pejoratif apabila tiba kepada keselamatan kereta. Di sini, kita ada dua kereta baharu, kedua-duanya dibangunkan oleh China, menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam ujian kami.
“Ini jelas bahawa semua pengeluar tahu bahawa Euro NCAP akan membawa mereka ke standard yang tinggi sekiranya mereka mahu menjual kereta di Eropah dan menghargai apa yang telah mereka sediakan bagi membuat pelaburan untuk mendapatkan penarafan keselamatan terbaik,” tambahnya lagi.
GALERI: Ujian pelanggaran Euro NCAP untuk Lynk & Co 01
Hari ini secara rasminya kawasan Lembah Klang termasuk Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan juga Putrajaya telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Dan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tempoh hari, peralihan fasa ini sekali gus membolehkan pergerakan rentas negeri dibenarkan antara tiga negeri itu serta tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan yang akan dibuat.
Walau bagaimanapun, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa hanya dua SJR dalam daerah Petaling yang ditutup, manakala selebihnya masih dikekalkan beroperasi. Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam laporan Harian Metro, dua SJR yang ditutup itu adalah Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram yang terletak di bawah laluan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).
Manakala lokasi SJR lain sedia ada iaitu Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang akan terus dikekalkan, jelas Fakhrudin.
“Polis Daerah Petaling Jaya ingin menasihatkan orang ramai supaya terus sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PPN Fasa 2.
“Orang ramai juga diingatkan tidak terlalu leka dengan beberapa pengumuman kelonggaran yang diberi sehingga mengabaikan SOP dalam mengawal dan mencegah pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan dan meminta kerjasama erat daripada semua lapisan masyarakat bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Young Syefura Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Pahang, telah memaklumkan menerusi entrinya di laman Facebook, Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) Pakej 5D bakal dibuka dalam tempoh dua minggu lagi. Laluan berkenaan bermula dari Lebuhraya Pantai Timur (LPY) selepas Tol Bentong ke susur keluar Lebu. Perkara ini dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong. Walau bagaimana pun, tarikh sebenar pembukaan laluan berkenaan belum dimaklumkan.
Projek pembinaan Lebuhraya CSR ini melibatkan laluan sepanjang 295.7 km dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan. Ia mempunyai dua laluan iaitu antara Kota Bharu dan Kuala Krai, Kelantan, serta Kuala Krai ke Simpang Pelangai, Bentong. Ia mula dibina sejak tahun 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Pada tahun 2017, Timbalan Menteri Kerja Raya (ketika itu) Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, lebuhraya terbabit tidak akan dikenakan kadar tol. Apa pun kita nantikan perkembangan selanjutnya mengenai lebuhraya ini.