Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru Forester EyeSight tiba di M’sia pertengahan 2019; XV bakal terima keselamatan aktif pada 2020

    Subaru Forester EyeSight tiba di M’sia pertengahan 2019; XV bakal terima keselamatan aktif pada 2020

    Ketika sidang media selepas pelancaran Subaru Forester serba baharu di Taiwan, kami dimaklumkan model generasi kelima (SK) ini akan tiba pada pertengahan tahun 2019.

    Perkara ini didedahkan oleh Glenn Tan, pengarah pengurusan Tan Chong International, yang memberitahun berhubung spesifikasinya, model yang dijangka tiba ke negara kita tidak banyak bezanya dengan yang dilancarkan di Taiwan, dan EyeSight iaitu sistem pembantu pemandu juga akan ditampilkan pada varian tertinggi.

    Untuk penjelasan, beliau berkata pengenalan tersebut mungkin akan dilaksanakan pada April 2019, dengan tiga varian yang akan ditawarkan pada permulaan, diikuti dengan model keempat bersama EyeSight yang dijangka hanya akan tiba pada satu atau dua bulan selepas itu. Syarikat itu turut berkata kemungkinan akan membawa versi e-Boxer hybrid namun tidak menjelaskan selanjutnya.

    Subaru Forester EyeSight tiba di M’sia pertengahan 2019; XV bakal terima keselamatan aktif pada 2020

    Forester baharu ini bakal menjadi model kedua Subaru yang didatangkan dengan EyeSight selepas Outback diperkenalkan. Turut dimaklumkan XV juga akan didatangkan dengan EyeSight pada tahun 2020 (sebelum ini separuh kedua 2019).

    Untuk pasaran Taiwan, Forester ditawarkan dengan empat varian yang kesemua dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder direct injection FB20 daripada Impreza yang mampu menghasilkan 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan pacuan Symmetrical All-Wheel Drive, bersama fungsi idling stop untuk mengurangkan penggunaan bahan api.

    Varian dengan kelengkapan EyeSight bagi sistem bantuan pemanduan menerima Pre-Collision Braking dan Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning, juga termasuk Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert yang menyertai High Beam Assist, Rear Cross-Traffic Alert dan Side View Monitor.

    GALERI: Subaru Forester 2.0-S EyeSight 2019

     
     
  • GIIAS 2018: Suzuki Ignis Sport tampil lebih cool

    GIIAS 2018: Suzuki Ignis Sport tampil lebih <em>cool</em>

    Selain model Jimny baru yang dipertontonkan di GIIAS 2018, Suzuki juga ada menampilkan model MPV Ertiga yang diperkemas. Tidak ketinggalan juga model kompak ini, Suzuki Ignis Sport.

    Ini bukanlah model baru, tetapi diberikan sentuhan yang lebih menyegarkan. Ia dilancarkan untuk pasaran Indonesia pada April 2017, Ignis kini ditampilkan pula dalam edisi Suzuki Sport yang nampak lebih menarik.

    Disediakan dalam tiga pilihan warna – putih, hitam dan biru, dengan rekaan pelekat – versi ini turut menggunakan bodykit dan spoiler belakang baru untuk menambahkan kemasan penampilannya.

    Rekaan DRL baru yang digunakannya juga unik – ia bukan terletak pada bahagian lampu utama, sebaliknya berada di bahagian gril. Bahagian dalam bagaimana pun tidak diberikan pembaharuan, melainkan logo jahitan yang membezakan model Suzuki Sport ini.

    Ia dijana oleh enjin 1.2 liter empat-silinder dengan 83 PS dan 113 Nm tork. Transmisi pula menggunakan jenis manual lima-kelajuan atau kotak gear manual dengan ciri AGS automated juga dengan lima kelajuan.

     
     
  • Honda Civic Type R dan Jenson Button pecah rekod kereta pacuan hadapan terpantas di Hungaroring

    Type R Challenge 2018 kini sudah pun menamatkan ekspedisinya untuk menawan lima rekod di lima litar ikonik Eropah setelah Honda Civic Type R FK8 berwarna merah berkenaan memperbaharui rekod kereta produksi pacuan hadapan di litar GP Hungoraring, Hungary. Tugas terakhir untuk memahatkan rekod ini disempurnakan oleh bekas Juara Formula 1 yang kini memandu Honda NSX dalam kejohanan Super GT, Jenson Button.

    Button melengkapkan satu lap litar sepanjang 4.38 km berkenaan dengan catatan dua minit 10.19 saat untuk memecahkan rekod yang di buat oleh Honda Civic Type R FK2 pada Type R Challenge 2016.

    “Kami datang ke Hungaroring, tempat di mana saya menang perlumbaan F1 pertama saya pada 2006 bersama Honda, bagi membuat satu rekod lap baru pacuan roda hadapan produksi dengan Type R baharu, dan saya sangat gembira kami telah melakukannya!,” kata Button. Litar berkenaan sangat istimewa baginya kerana di situlah tempat beliau memenangi perlumabaan F1 pertamanya, ketika itu bersama pasukan Honda.

    “Perkara pertama yang saya perasan apabila saya meninggalkan laluan pit adalah betapa neutralnya kereta ini. Saya datang dari latar belakang yang bukan memandu kereta pacuan hadapan, jadi saya rasa amat berbeza untuk saya kerana Type R sangat seimbang dan seterusnya sangat seronok dan lebih semulajadi,” jelasnya.

    “Perkara yang memeranjatkan saya adalah betapa lambatnya anda boleh brek dengan kereta ini. Kotak gear manual juga berfungsi dengan baik. Kebanyakkan kereta sekarang tidak lagi ditawarkan dengan kotak gear manual, jadi ia agak menarik kerana dapat memberikan perasaan manual tersebut. Anda sentiasa dapat rasakan hubungan dengan kereta. Type R baharu ini merupakan kelengkapan yang besar, seperti sebelum ini, dan ia masih belum hilang mana-mana daya tarikannya,” tambah Button.

    Type R Challenge ini bermula setelah Civic Type R kembali merampas gelaran kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di litar Nürburgring Nordschleife pada April 2017. Empat litar ikonik Eropah yang telah ‘diserang’ sebelum ini adalah Silverstone di UK, Spa Francorchamps di Belgium, Magny Cours di Perancis dan Estoril di Portugal.

    Projek ini menggunakan hanya sebuah kereta yang sama iaitu Honda Civic Type R FK8 berwarna merah standard sepenuhnya, dijana enjin asal 2.0L DOHC VTEC Turbo berkuasa 320 PS/400 Nm dan kotak gear enam kelajuan manual,memacu roda hadapan.

     
     
  • Berita pembatalan saman sebelum GE14 adalah palsu

    Berita pembatalan saman sebelum GE14 adalah palsu

    Ada berita yang beredar ketika ini di media sosial menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membatalkan semua saman trafik termasuk oleh PDRM yang dikeluarkan sebelum 9 Mei 2018. Malangnya, desas-desus itu tidak benar sama sekali.

    Dalam satu kenyataan ringkas melalui laman Twitter JPJ, pihak berkenaan memaklumkan; “Kementerian Pengangkutan ingin menafikan kenyataan yang dikongsikan di media sosial berkaitan saman trafik JPJ dan polis, yang dikatakan datang dari menteri sendiri.” Jabatan itu menafikan adanya sebarang arahan seperti itu daripada menterinya, Anthony Loke. Tiada sebarang perbincangan ke atas percara itu pernah berlangsung sebelum ini.

    Jadi, jika anda pernah disaman kerana melakukan kesalahan trafik sebelum ini, anda perlu menjelaskan saman berkenaan seperti yang sepatutnya. Tidak ada saman yang percuma.

     
     
  • GIIAS 2018: Lexus UX buat penampilan sulung di Asia

    GIIAS 2018: Lexus UX buat penampilan sulung di Asia

    Pameran GIIAS 2018 di Jakarta turut menyaksikan penampilan sulung di Asia bagi model Lexus UX, sebuah SUV saiz kecil jenama itu yang pertama kali dipertonton diperingkat dunia ketika pameran di Geneva, Mac lalu.

    Lexus UX merupakan penawaran SUV paling kecil, diposisikan di bawah model NX dan merupakan segmen baru untuk jenama Jepun itu. Akan memberi saingan kepada model seperti BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA, Lexus UX merupakan model pertama yang menggunakn platform Global Architecture-Compact (GA-C).

    Menurut Lexus, model ini memberikan kerangka yang teguh, dan disebabkan titik gravitinya yang rendah, ia mampu menyediakan kendalian yang baik dan selesa. UX memiliki dimensi 4,496 mm panjang dengan 2,639 mm jarak antara roda; menjadikannya 144 mm lebih pendek dari NX, walaupun hanya 21 mm kurang bagi jarak antara roda.

    Rekaan dalamannya pula baru, tetapi masih kekal dengan sentuhan Lexus seperti pada model-model lain. Pemandu dapat memerhatikan jalan dengan pemandangan yang luas, dengan posisi pemanduan seperti sebuah hatchback.

    Model ini datang dalam dua varian, UX 200 dan UX 250h hibrid. UX 200 menggunakan enjin 2.0 liter baru, menghasilkan 168 hp dan dipadankan dnegan transmisi Direct-Shift CVT yang juga baru. UX 250h pula dilengkapi dengan sistem hibrid generasi keempat – dengan unit enjin yang sama – dan menjana secara keseluruhannya 176 hp.

    Dengan bateri nickel metal-hydride (NiMH) dan sistem penyejukannya yang kompak ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, ruang kabin dan kargo dapat dimaksimumkan. Sistem E-Four pula memberikan keupayaan AWD bagi model hibrid berkenaan, menggunakan motor elektrik tambahan pada gandar belakang.

    Kereta yang dipertontonkan ini dilengkapi tahap kemasan F Sport, dengan spring khusus serta palang penstabil, dan penyerap hentak prestasi di belakang. Ia juga didatangkan dengan rim aloi 18-inci. Di dalam, ia dilengkapi dengan paparan TFT lapan-inci, pedal alumium serta stereng F Sport.

     
     
  • LRT3: Rasionalisasi kos pembinaan hampir 50% ambil kira faktor saling menguntungkan – Lim Guan Eng

    LRT3: Rasionalisasi kos pembinaan hampir 50% ambil kira faktor saling menguntungkan – Lim Guan Eng

    Mengenai pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang tetap diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penjimatan dan rasionalisasinya sehingga hampir 50% dilakukan setelah mengambil kira faktor saling menguntungkan bagi semua pihak yang terlibatt.

    Menurutnya, penjimatan kos bagi pihak kerajaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan keberkesanan projek berkenaan kepada rakyat dan memenuhi standard piawaian yang ditetapkan, laporan Bernama.

    Walau bagaimana pun, penjimatan kos bagi pihak kerajaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan keberkesanan projek berkenaan kepada rakyat dan memenuhi standard piawaian yang ditetapkan.

    “Yang lebih penting kalau lihat skop asal, ia LRT tetapi stesennya macam MRT, mengapa kita buat LRT tetapi nak buat stesen macam MRT, apa maksudnya? Bukankah ini satu pembaziran yang kita tak perlu tanggung buat masa ini?” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    LRT3: Rasionalisasi kos pembinaan hampir 50% ambil kira faktor saling menguntungkan – Lim Guan Eng

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang ingin tahu sama ada langkah kerajaan ini boleh dikira sebagai satu penjimatan sedangkan banyak skop asal projek telah dikurangkan spesifikasinya.

    Pada awal Julai lalu, kerajaan telah mengumumkan projek LRT3 akan diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak 47% iaitu RM16.63 bilion berbanding kos asal sebanyak RM31.65 bilion.

    Antara langkah utama yang diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek ini termasuk mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc. “Ia sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga tahun 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set kereta api 3-koc dilaksanakan,” jelasnya.

    Selain itu, saiz pembinaan pangkalan tren LRT juga dikurangkan dan mengikut piawaian jajaran LRT Kelana Jaya, dan bukannya saiz stesen MRT yang lebih besar. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pembinaan stesen yang akan dibatalkan iaitu di Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic. Bukan itu saja, pembinaan terowong sepanjang dua kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam turut dibatalkan.

    Selain itu katanya, langkah turut diambil dengan melanjutkan tempoh masa untuk menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk mempercepatkan tempoh siap projek itu.

     
     
  • GALERI: BMW M5 Competition F90 secara terperinci

    GALERI: BMW M5 Competition F90 secara terperinci

    BMW M5 F90 pertama kali diperkenalkan kepada dunia Ogos tahun lalu, dan pada bulan Mei, ia memasuki pasaran Malaysia. Selain daripada versi biasa, pengeluar dari Jerman itu juga ada memperkenalkan versi yang lebih ganas iaitu M5 Competition, tetapi ia masih belum tiba di Malaysia.

    M5 Competition adalah model M5 F90 paling berkuasa yang boleh dibeli sekarang, dan ia dipacu oleh enjin V8 4.4 liter twin-turbo yang ditala untuk menghasilkan sebanyak 625 hp dan 750 Nm tork, iaitu 25 hp lebih berkuasa, dengan lingkungan tork yang lebih luas (1,800 hingga 5,800 rpm) berbanding model M5 biasa.

    Dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dan sistem pacuan semua roda M xDrive yang lebih kepada tayar belakang, M5 Competition ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat, dan ini adalah 1/10 lebih pantas berbanding M5 biasa. Untuk mencapai kelajuan 200 km/j dari kedudukan pegun pula ia cuma memerlukan masa 10.8 saat (0.3 saat lebih pantas).

    Model ini juga mendapat sistem ekzos M Sport yang khas untuknya secara standard, serta tapak enjin unik dengan karekter yang diubah serta kadar spring yang ditingkatkan. Ini sekaligus memberikan tindak balas enjin yang lebih terus, kemampuan mengambil selekoh lebih tepat dan lebih bunyi enjin di dalam kabin. Ia juga lebih rendah tujuh milimeter – geometri suspensi telah ditala dengan spring lebih keras, dan toe link disambung terus kepada ball joint untuk gandar belakang.

    Untuk bahagian kabin, model ini mendapat tali pinggang keledar warna hitam dengan corak berjalur warna khas M, alas kaki khas bersama logo M5 serta grafik “M5 Competition” pada panel instrumen. Kebanyakan bahagian lain masih lagi sama seperti M5 standard, tetapi pemilik masih mempunyai pelbagai pilihan ubah suai melalui katalog BMW Individual.

    Bermula dengan M5 Competition, BMW M sekarang akan menawarkan varian paling berkuasa bagi kenderaan mereka secara terus sebagai sebuah model lengkap, seperti M2 Competition dan ini adalah hasil daripada permintaan tinggi terhadap pakej M Competition bersama pelbagai naik taraf. Pakej M Competition pertama kali ditawarkan kepada pengguna untuk M5 generasi sebelum ini dan sekarang boleh didapati untuk M4 Coupe/Convertible dan juga M3.


     
     
  • Geely SX11 – SUV segmen-B, gambar awalan disiar

    Geely SX11 – SUV segmen-B, gambar awalan disiar

    Setelah gambar teaser disiarkan tempoh hari, imej awalan SUV segmen-B Geely yang diberi kod nama SX11 kini telahpun disiarkan. Walau bagaimanapun, tiada sebarang informasi disertakan sekali, namun menurut portal automotif dari China, Gasgoo, SUV ini bakal dijual pada suku keempat tahun ini dengan nama Xing Yue.

    Seperti kebanyakkan crossover segmen-B seperti Toyota C-HR, Hyundai Kona, Mazda CX-3 dan Honda HR-V, SX11 ini turut menampilkan rupa yang lebih tajam dan sporty dari abangnya, SUV segmen-C Geely Boyue. Muka model ini diberikan gril signatur “expanding cosmos” Geely, diapit dengan lampu hadapan yang direka tajam serta menempatkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang.

    Muka garang corssover ini turut disokong dengan rekaan apron hadapan yang terbentuk dari tiga liang udara (dua sisi, tengah) pada bampar dengan rupa yang agresif. SX11 juga menerima ‘otot’ pada fender hadapan seperti Boyue, bersama garis bahu yang bersambung terus ke lampu belakang. Selain itu, rekaan ‘bumbung terapung’ yang terhasil dari bentuk cermin tingkap pada tiang-D turut dikekalkan pada SUV kompak ini.

    Untuk bahagian belakang pula, model ini diberikan lampu berbentuk trapezoid yang terhubung antara kedua-dua sisi menerusi bar krom dengan ukiran ‘GEELY’, bersama spoiler bumbung besar dan juga kemasan seakan diffusser serta dua perumah tip ekzos kemasan krom pada bampar.

    Set gambar kali ini turut mendedahkan sekali bahagian dalam SX11 berkenaan. Papan pemuka SUV ini kelihatan ringkas, serta diberikan skrin utama ‘berdiri sendiri’ pada bahagian tengah. Ia turut menerima paparan instrumen utama digital sepenuhnya seperti Boyue, dan diberikan roda stereng rata di bawah bersama tombol gear bersaiz kecil.

    Satu lagi portal China, autohome.com.cn sebelum ini pernah melaporkan bahawa SX11 mempunyai dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak roda 2,600 mm. Ini meletakkan SX11 di tengah antara model SUV Vision X3 dan Vision, dan sudah tentu ia lebih kecil daripada Boyue yang bersaing dalam segmen-C.

    Geely SX11 – SUV segmen-B, gambar awalan disiar

    Geely telah mengesahkan SX11 bakal dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibangunkan bersama Volvo dan mampu menghasilkan kuasa 161 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia dijangka dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang juga dibangunkan bersama Volvo, serta didakwa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Sebelum ini juga Geely telah membayangkan bahawa Proton bakal menerima model-model yang dibangunkan menggunakan platform BMA berkenaan, dengan kenyataan bahawa ia turut akan diguna oleh jenama luar dan dibina di Asia Tenggara, namun masih belum jelas adakah SX11 ini akan dijelmakan sebagai Proton kerana platform berkenaan turut dijadikan asas untuk sedan segmen-C Geely Bin Rui.

    Selain dapat memuatkan unit-unit janakuasa terbaharu Geely yang dibina bersama Volvo, platform BMA ini turut boleh menggunakan teknologi keselamatan aktif terkini serta ciri pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3.

     
     
  • Subaru Forester 2019 dilancar di Taiwan – empat varian ditawarkan, enjin 2.0L CVT, sistem EyeSight

    Subaru Forester 2019 dilancar di Taiwan – empat varian ditawarkan, enjin 2.0L CVT, sistem EyeSight

    Subaru Forester 2019 pertama kali diperkenalkan kepada dunia semasa pameran New York International Auto Show (NYIAS) awal tahun ini, dan sekarang, SUV serba baru ini telah dilancarkan di Taiwan oleh Motor Image.

    Secara visualnya, Forester generasi kelima (SK) ini masih mengekalkan bentuk sama seperti model generasi sebelumnya (SJ), tetapi dengan gaya yang lebih gagah. Bahagian hadapannya lebih tegak, bersama gril heksagon yang diapit lampu utama lebih tajam dan di dalamnya terdapat lampu siang.

    Bampar juga dijadikan lebih ranggi, dengan tambahan paling jelas adalah bahagian skid plate. Bergantung kepada varian, lampu kabusnya boleh didapati dalam unit halogen ataupun LED, dan ia terletak jelas di penjuru bampar dengan perumah yang besar.

    Pada bahagian tepi, lebih banyak elemen yang menunjukkan konsep kenderaan yang “boleh pergi ke mana-mana” dapat dilihat, termasuk melalui penggunaan side skirt, sementara garis badannya pula nampak mengalir lebih dari atas lengkuk tayar hadapan ke bahagian D-pillar.

    Perubahan di bahagian belakang adalah lebih dramatik, dengan lampu lebih besar yang menyerupai konsep bentuk C yang digunakan pada lampu hadapan. Pintu but juga mempunyai lekuk yang lebih jelas pada bahagian bawah, manakala bampar pula dijadikan lebih ranggi dengan kemasan seperti bampar hadapan dan side skirt.

    Untuk dimensi, Forester baru ini mempunyai ukuran 4,625 mm panjang (+30 mm), 1,815 mm lebar (+20 mm) dan 1,730 mm tingi (-5 mm). Jarak dari tanah pula adalah 220 mm manakala jarak roda ditambah 30 mm menjadi 2,670 mm. Sekaligus, ini menjadikan bahagian kabin lebih luas dengan ruang kaki bertambah 35 mm, dan ruang lain seperti untuk kepala, bahu serta pinggang juga bertambah.

    Di sebalik penampilan yang berubah ini, Forester baru duduk di atas Subaru Global Platform (SGP), yang didakwa dapat memberikan pengendalian yang responsif, penyerapan impak perlanggaran bertambah baik 40%, kurang olengan 50%, serta pemanduan yang lebih senyap dan stabil.

    Platform SGP ini juga digunakan oleh model XV dan Impreza terbaru, dan disebabkan itu, Forester menggunakan rekaan papan pemukan yang hampir sama seperti model-model tersebut. Di bahagian tengah terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen, dan di atasnya terdapat satu lagi skrin yang lebih kecil untuk informasi kenderaan yang lain.

    Subaru Forester 2019 dilancar di Taiwan – empat varian ditawarkan, enjin 2.0L CVT, sistem EyeSight

    Pergi ke bawah pula, anda akan dapat melihat butang pengawal untuk sistem pendingin hawa, diikuti oleh konsol tengah yang menempatkan tombol gear, butang penukar mod pacuan empat roda serta beberapa fungsi lain seperti Auto Vehicle Hold, Side View Monitor dan brek tangan elektronik.

    Untuk aspek praktikaliti, ruang kargo kini bersaiz 2,155 liter dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60:40 – penambahan sebanyak 40 liter – dan keluasan maksimum bagi bukaan pintu but menjadi 135 mm lebih lebar pada 1,300 mm.

    Bagi pasaran Taiwan, Forester akan ditawarkan dalam empat trim iaitu 2.0i-L, 2.0i-L EyeSight, 2.0i-S dan 2.0i-S EyeSight. Kesemua empat pilihan ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter direct injection FB20 daripada Impreza yang mampu menghasilkan 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan pacuan Symmetrical All-Wheel Drive, bersama fungsi idling stop untuk mengurangkan penggunaan bahan api. Sistem lain yang memberi sokongan adalah termasuk Active Torque Vectoring, SI-Drive, X-Mode dan Special X-Mode (untuk trim 2.0i-S ke atas).

    Untuk kelengkapan pula (ingat, ini adalah untuk pasaran Taiwan), varian 2.0i-L datang dengan rim 17 inci dan tayar 225/60, lampu LED, lampu DRL halogen, gril dengan pengatup aktif, sistem masuk dan hidupkan enjin tanpa kunci, pedal penukar gear di stereng, akses kod PIN dan tujuh beg udara.

    Varian 2.0i-L EyeSight pula ditambah dengan cermin sisi dengan fungsi pemanas, lampu utama yang bertindak balas kepada putaran stereng serta tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu. Pergi kepada varian 2.0i-S pula, kelengkapannya bertambah dengan pedal aluminium, pintu but kuasa dengan fungsi memori serta Lane Change Assist.

    Varian yang datang dengan sistem bantuan pemandu EyeSight juga akan menerima fungsi lain seperti Pre-Collision Braking dan Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning serta Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert. Ia kemudiannya disertai oleh High Beam Assist, Rear Cross-Traffic Alert dan Side View Monitor.

    Setakat ini masih belum ada pengesahan bila Forester baru akan tiba di Malaysia dan sama ada ia akan dipasang di dalam negara atau tidak. Model generasi keempat yang dipasarkan sekarang adalah model pemasangan tempatan (CKD). Bila ada maklumatnya nanti, kami akan sampaikan.


    GALERI: Subaru Forester 2.0i-L 2019

    GALERI: Subaru Forester 2.0-S 2019

    GALERI: Subaru Forester 2.0-S EyeSight 2019

     
     
  • GIIAS 2018: Daihatsu Boon Active – ‘acah-acah’ SUV

    GIIAS 2018: Daihatsu Boon Active – ‘acah-acah’ SUV

    Daihatsu Boon tidak pernah dijual di Malaysia, namun rata-rata rakyat di negara kita kenal akan hatchback kompak berkenaan kerana ia adalah kembar kepada kereta ikonik Malaysia iaitu Perodua Myvi generasi pertama dan kedua. Di Gaikindo Indonesia International Auto Show tahun ini, selain mempamerkan Myvi generasi ketiga dengan logo Daihatsu Sirion, jenama berkenaan turut membawa sebuah model custom Boon generasi baharu terus dari Jepun yang digelar Daihatsu Boon Active.

    Seperti namanya, Boon Active ini sebuah kereta yang telah diubahsuai sebagai model ‘acah-acah’ SUV, menampilkan pelbagai peralatan bagi menampakkannya lebih lasak. Daihatsu juga sebenarnya telah pun mempamerkan kereta ini di Tokyo Auto Salon 2018 yang berlangsung pada Januari lalu.

    Berbanding model statndard, Boon Active ini menerima pelindung badan berwarna hitam pada bahagian bawah, skid plate palsu pada hadapan dan belakang, overfender pada setiap ruang roda dan juga rel bumbung. Bampar hadapan dan belakang juga menerima lampu kabus dengan kemasan perumah yang besar.

    GIIAS 2018: Daihatsu Boon Active – ‘acah-acah’ SUV

    Badan kereta ini diberikan warna biru bersama jalur serlahan oren pada gril hadapan, kemasan atas nombor pendaftaran belakang, rel bumbung dan juga sedikti pada bahagian atas overfender serta disekeliling rim. Elemen biru yang sama turut di bawa ke bahagian kabin kereta ini.

    Di Jepun, Boon mempunyai dua model dengan karekter berbeza diperkenalkan pada masa yang sama (seperti adik-beradik Toyota Levin dan Sprinter Treuno) iaitu model Boon Cliq dengan lampu hadapan bulat, dan juga model standard seperti pada versi Active ini. Ia dijana oleh enjin 1KR-FE Topaz-Neo 1.0 liter tiga-silinder DVVT berkuasa 69 PS dan tork maksima 92 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, manakala sistem 4WD turut ditawarkan sebagai opsyen.

     
     
  • Isuzu Malaysia perkenalkan barisan pengurusan baru

    Isuzu Malaysia perkenalkan barisan pengurusan baru

    Isuzu Malaysia telah memperkenalkan empat individu terbaru yang menyertai syarikat itu dalam usaha untuk mengembang dan mengukuhkan lagi operasi untuk pasaran tempatan.

    Mereka terdiri daripada Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Komersial, Atsunori Murata yang akan bertanggungjawab terhadap perniagaan trak Isuzu dan Ketua Pegawai Operasi Bahagian Lepas Jualan, Ryo Kakogawa yang akan menguruskan perniagaan lepas jualan.

    Selain itu, Penasihat Kanan, Servis Pemasaran Bahagian Lepas Jualan, Katsushi Shimauchi dan Penasihat, Operasi Alat Ganti, Yuji Shinya – kedua-duanya akan membantu Kakogawa untuk mempertingkat prosedur yang diamalkan supaya menapati tahap yang ditetapkan Isuzu Jepun.

    Atsunori Murata yang akan mengetuai operasi bagi cabang kenderaan komersial Isuzu selepas ini memiliki pengalaman 20 tahun menguruskan jenama Isuzu untuk pasaran antarabangsa. Beliau antara lain sebelum ini pernah bertugas di beberapa buah negara seperti New Zealand, Hong Kong, Eropah dan Afrika Selatan.

    “Saya percaya dengan kepakaran dan pengalaman yang beliau miliki akan dapat membantu Isuzu mengekalkan kedudukan pertama sebagai kenderaan komersial pilihan di Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura, yang menggalas tanggungjawab ini sejak November tahun lalu.

     
     
  • Jambatan kedua Pulau Pinang kurang peroleh kutipan tol, syarikat konsesi digesa beri rebat untuk pengguna

    Jambatan kedua Pulau Pinang kurang peroleh kutipan tol, syarikat konsesi digesa beri rebat untuk pengguna

    Memandangkan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) kurang memperoleh pendapatan hasil kutipan tol, pemegang konsesinya, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), disaran untuk mempertimbangkan pemberian rebat bagi menarik lebih ramai pengguna menggunakan jambatan berkenaan, laporan Bernama.

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan dan Agensi Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam, meskipun kutipan tol di jambatan kedua Pulau Pinang berkenaan mencapai tahap yang memuaskan, namun berdasarkan empat analisis kewangan yang dijalankan, kedudukan kewangan JKSB secara keseluruhannya masih kurang stabil.

    Menurut laporan itu, syarikat juga mengalami kerugian tahunan bagi tiga tahun berturut-turut dan kerugian terkumpul yang meningkat. Selain itu, hasil kutipan tol masih belum mampu menampung perbelanjaan yang meningkat dan liabiliti pinjaman yang tinggi berbanding jumlah aset.

    Jambatan kedua Pulau Pinang kurang peroleh kutipan tol, syarikat konsesi digesa beri rebat untuk pengguna

    Selain faktor kedudukan jambatan kedua yang terletak pada jarak 30 minit perjalanan dari bandar utama, pemberian rebat sebanyak 20% oleh syarikat konsesi jambatan tersebut kepada penduduk Pulau Pinang yang berdaftar dengan PLUS turut mempengaruhi pilihan penduduk.

    Menurut LKAN, sehingga tahun lalu, bilangan trafik di JSAHMS meningkat sebanyak 1.97 juta trafik atau 32.4% berbanding 2016 dengan jumlah kutipan tol sejumlah RM38.64 juta, iaitu 29.5% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Dalam maklum balas JKSB, syarikat berkenaan menyasarkan pertumbuhan kutipan tol yang sederhana tahun ini, iaitu sebanyak tujuh peratus atau RM2.68 juta berbanding tahun lepas.

    Syarikat berkenaan juga menjangkakan peningkatan trafik secara berperingkat selepas projek kawasan rehat dan rawat siap pada suku keempat tahun ini. Selain itu, syarikat berkenaan juga menjangkakan peningkatan trafik sebanyak 20% berikutan pembukaan jajaran baharu Bayan Lepas Expressway yang bersambung dengan JSAHMS.

     
     
  • JPJ gagal sediakan SOP untuk kereta lelong – JAN

    JPJ gagal sediakan SOP untuk kereta lelong – JAN

    Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal dalam menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi proses penilaian kenderaan terutamanya yang melibatkan dokumen sokongan, laporan Berita Harian.

    Menurut JAN, ia adalah hasil semakan terhadap 122 sampel lelong di lima pejabat negeri terpilih bagi tempoh 2015 hingga 2017 mendapati semua kenderaan yang dilelong dikemukakan kepada bahagian Kejuruteraan Automotif (KA) untuk mendapatkan penilaian harga rizab.

    Menurut Laporan Audit Negara 2017 Siri 1, bagaimanapun pihak Audit tidak menjumpai sebarang kertas kerja dan dokumen sokongan bagi mengesahkan harga rizab berkenaan.

    “Temubual pihak Audit dengan Bahagian KA mendapati penilaian harga rizab dibuat melalui semakan di laman sesawang (yang terlibat dengan penjualan kereta terpakai). Selain itu, faktor lain juga diambil kira antaranya seperti kategori kenderaan mewah, biasa, popular dan tidak popular, usia kenderaan, keadaan fizikal kenderaan dan sama ada kenderaan terbabit boleh atau tidak boleh dilesenkan,” ujar JAN.

    JPJ gagal sediakan SOP untuk kereta lelong – JAN

    Oleh itu, JAN mengesyorkan JPJ mengambil tindakan penambahbaikan antaranya mengkaji semula SOP meliputi prosedur lucut hak dan pelelongan kenderaan klon dan penentuan tempoh lelongan selepas keputusan mahkamah.

    Malahan penambahan baik lain perlu dipandang serius termasuk melaksanakan aktiviti pelelongan dengan segera di samping menetapkan kaedah pengukuran prestasi yang jelas.

    Selain itu, JAN turut menyentuh mengenai wujud kelemahan pengurusan penyimpanan kenderaan sita yang memberi kesan terhadap risiko keselamatan dan kehilangan kenderaan itu selain kelemahan pemantauan pembayaran boleh mendedahkan JPJ kepada aspek penyelewengan.

    “Lawatan Audit antara Ogos hingga November 2017 mendapati sebanyak enam daripada 11 lokasi simpanan kenderaan tidak mematuhi ciri-ciri kawalan keselamatan yang ditetapkan sehingga menyukarkan aktiviti pemantauan kenderaan dalam simpanan. Tempat simpanan yang didapati tidak mematuhi ciri-ciri keselamatan turut menyebabkan kenderaan menjadi rosak dan usang, termasuk risiko kehilangan kenderaan dan aksesori kenderaan,” katanya.

     
     
  • Kereta nasional 3.0 perlu disemak semula – Rafizi

    Kereta nasional 3.0 perlu disemak semula – Rafizi

    Projek kereta nasional ketiga yang dibayangkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed sememangnya mendapat reaksi kurang positif dari pelbagai pihak. Namun projek berkenaan nampaknya masih akan dijalankan setelah Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof sendiri menyatakan bahawa kerajaan bakal melancarkannya menjelang tahun 2020.

    Dengan perkembangan terbaharu ini, ia sekali lagi mencetuskan kebimbangan, kali ini dari blok kerajaan sendiri iaitu naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

    Menurut Rafizi dalam catatan status Facebook persendiriannya, beliau ingin melahirkan rasa bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan secara berterusan mahu meneruskan projek ini dalam keadaan tentangan rakyat terhadapnya adalah jelas. Dengan melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan ini juga akan mengundang rasa sinis rakyat.

    Kereta nasional 3.0 perlu disemak semula – Rafizi

    Catatan status tersebut turut menyatakan bahawa tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga, malah Pakatan Harapan secara berterusan menyatakan hasrat untuk menghapuskan duti eksais (yang banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta menjadi lebih mahal berbanding negara-negara lain) yang dikenakan ke atas penjualan kereta kerana cukai kereta itu dilihat sangat membebankan.

    Justeru, untuk mengurangkan sindiran dan serangan ke atas Kerajaan Persekutuan, Rafizi menyeru supaya perkara ini dipertimbangkan semula terutamanya berkenaan berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam, badan kerajaan mana (GLC, GLIC atau MOF Inc) yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek tersebut dan adakah Kerajaan Persekutuan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan.

    Rafizi juga menegaskan bahawa memandangkan perkara ini bersabit perkara dasar, ia sewajarnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan bersama parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan. Walau bagaimanapun, beliau menghargai keperluan Jemaah Menteri membuat keputusan, tetapi keputusan yang bersabit perkara dasar mestilah diperhalusi secara prinsipnya di peringkat Pakatan Harapan sebelum boleh dilaksanakan melalui Jemaah Menteri.

     
     
  • GIIAS 2018: Benelli Motobi 200 EVO tiba di Indonesia

    GIIAS 2018: Benelli Motobi 200 EVO tiba di Indonesia

    Satu lagi jenama motosikal yang tidak ketinggalan memperkenalkan model baru semasa pameran GIIAS 2018 di Indonesia adalah Benelli, di mana mereka telah melancarkan Motobi EVO 200 untuk pasaran sana. Motosikal bergaya santai ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu merah dan hitam, dengan harga 30.8 juta rupiah (RM8,678).

    Motobi 200 EVO ini mempunyai rekaan yang menghampiri sebuah lagi model Benelli iaitu Leoncino, tetapi didatangkan dengan enjin lebih kecil, iaitu unit satu silinder empat strok 197 cc suntikan bahan api elektronik, bersama padanan kotak gear lima kelajuan dan mampu menghasilkan tork maksimum 13.9 Nm pada 6,000 rpm.

    Antara kelengkapan utama yang menjadi perhatian pada model ini adalah meter jenis digital berbentuk bulat, fork teleskopik dengan jarak gerak 120 mm di hadapan, serta dua penyerap hentak di belakang dengan tabung gas. Untuk brek, kedua-dua bahagian depan dan belakang menggunakan set cakera, iaitu masing-masing 280 mm dan 240 mm.

    GIIAS 2018: Benelli Motobi 200 EVO tiba di Indonesia

    Bagi memberikan penampilan yang unik, Motobi 200 EVO didatangkan dengan rim aloi berbeza saiz iaitu 17 inci di hadapan, dibalut dengan tayar 90/90, manakala di belakang menggunakan rim bersaiz 15 inci dengan tayar 130/90. Tangki bahan api yang disediakan pula bersaiz 11.8 liter.

    Secara keseluruhannya, motosikal ini mencatat berat cuma 156 kg, dan ia memberikan tambahan pilihan kepada pengguna dalam barisan model yang ditawarkan oleh Benelli di sana. Untuk yang berbentuk klasik dan santai seperti Motobi 200 EVO ini, Benelli Indonesia turut menawarkan Patagonian Eagle 250, Motobi 200 Standard dan juga Motobi 125.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025