Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW M2 Competition terima peralatan berprestasi tinggi M – lebih gentian karbon, lebih ringan

    BMW M2 Competition terima peralatan berprestasi tinggi M – lebih gentian karbon, lebih ringan

    BMW M2 Competition yang baharu sahaja didedahkan sebelum ini sememangnya sebuah jentera yang telah cukup berkuasa, dibekalkan dengan pelbagai peralatan yang lebih mengujakan berbanding M2 standard serta boleh membuatkan mulut anda ternganga. Namun untuk pelanggan yang masih lagi tidak berpuashati dengan senarai kelengkapan yang datang secara standard, BMW kini menawarkan barisan komponen berprestasi tinggi M untuk model istimewa tersebut.

    Kit berprestasi tinggi M ini bukan sahaja memberikan rupa yang lebih garang, malah ia turut berfungsi untuk mengurangkan berat keseluruhan kereta ini. Pada bahagian luaran, pemilik boleh memilih komponen-komponen yang diperbuat dari gentian karbon bermula dengan bonet hadapan baharu (kurang 9 kg), bumbung (kurang 5 kg) dan but belakang (kurang 6 kg). Mahu lebih ringan? Komponen lain seperti panel sisi hadapan dan scuttle sisi yang turut dibuat dari gentian karbon turut ditawarkan.

    Komponen penggayaan lain juga diperkenalkan termasuk spiltter udara hadapan, gril ‘buah pinggang’ baharu, bar liang udara sisi, penutup cermin sisi, kemasan bendul pintu, penambah pada skirt sisi, diffuser belakang dan juga penutup enjin. Spoiler juga ditawarkan pada barisan produk M ini, dan pemilik boleh memilih sama ada mahu menggunakan jenis sayap GT atau ekor itik. Untuk rupa yang lebih ‘M’ anda juga boleh memilih untuk memadankan set pelekat badan tiga warna yang sinonim dengan BMW M Power.

    BMW M2 Competition terima peralatan berprestasi tinggi M – lebih gentian karbon, lebih ringan

    Untuk bahagian dalaman pula, peralatan M ini memberikan pengguna dua pilihan roda stereng iaitu jenis Pro (dibalut dengan kulit dan Alcantara pada bahagian genggaman) dan jenis bukan Pro (hadir dengan paparan perlumbaan yang boleh dikonfigurasi serta gentian karbon). Lampu projektor LED, pedal keluli tahan karat, karpet kaki khas serta kit gentian-karbon/Alcantara lain turut ditawarkan untuk bahagian ini termasuk sarung pelindung untuk kunci yang diperbuat dari material yang sama.

    Bukan sekadar untuk mata, senarai perlatan M ini juga terdiri dari komponen yang membantu menaikkan lagi prestasi kereta ini. Ia termasuk tayar Michelin Piot Sport Cup 2 yang membaluti rim forged M Performance berjejari-Y 763 (3.2 kg lebih ringan) yang menyerlahkan lagi sistem brek perlumbaan dengan cakera lebih besar pada kereta ini. Jika masih lagi tidak berpuas hati dengan angkup enam- (hadapan) dan empat- (belakang) omboh tersebut, anda boleh memilih pad brek yang lebih berprestasi tinggi.

    Kit gegelung spring yang boleh ditukar terus pada penyerap hentak asal juga ditawarkan, membolehkan badan kereta ini dirapatkan ke bumi lebih 20 mm lagi, manakala sistem keseluruhan masih lagi boleh dilaras dengan 12-peringkat mampatan dan 16-peringkat pantulan semula.

    Untuk ekzos pula, tip asal boleh ditukar kepada unit baharu juga diperbuat dari gentian karbon disertakan dengan logo M bagi diserasikan dengan sistem asal M Performance yang menampilkan paip keluli tahan karat dan juga peredam titanium pada bahagian belakang. Selain dari mengurangkan lagi 8 kg berat, sistem ekzos ini juga memberikan ngauman lebih garang dari enjin S55 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo berkembar BMW M2 Competition ini.

     
     
  • Mitsubishi Bonus Raya – tawaran istimewa potongan harga sehingga RM12k serta kit tambahan percuma

    Mitsubishi Bonus Raya – tawaran istimewa potongan harga sehingga RM12k serta kit tambahan percuma

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini menawarkan bonus Raya istimewa sempena musim perayaan Aidilfitri nanti. Bermula dari sekarang hingga 30 Jun, pelanggan yang membeli Outlander 2.0L akan menerima dua barangan tambahan – monitor keliling dan tempat duduk kulit premium.

    Kedua-dua varian Outlander 2.0L (RM139,888 atas jalan tanpa insurans) dan Outlander 2.4L (RM154,988) akan ditawarkan dengan bonus Raya sebanyak RM4,000. Bagaimanapun, model Triton sebaliknya ditawarkan dengan nilai bonus yang lebih tinggi, iaitu RM12k – sila rujuk rajah di bawah.

    Mitsubishi Bonus Raya – tawaran istimewa potongan harga sehingga RM12k serta kit tambahan percuma

    Yang terakhir, tidak lain dan tidak bukan ialah model ASX 2WD dan 4WD, yang akan menerima bonus bernilai sehingga RM8,000. ASX 2WD dijual pada harga RM119,100, sementara versi 4WD pada harga RM134,300. Semua varian ASX dan Outlander datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

    Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

    Sejak dari wujudnya Perodua Kancil, ‘kiblat’ modifikasi kereta-kereta berjenama Perodua tidak pernah lari dari ubahsuai untuk mentransformasikannya kepada sebuah model JDM sebenar. Kancil menjadi Mira, Kenari menjadi Move, Myvi menjadi Boon/Toyota Passo dan begitulah seterusnya.

    Namun dua model terakhir Perodua – Bezza dan Myvi generasi ketiga – jenama automotif nasional kedua tersebut mula menghasilkan kereta-kereta yang lebih original, berbeza dari banyak aspek dari model-model JDM Daihatsu. Bagi Myvi generasi baharu, sudah banyak artikel dan video yang kami sajikan sebelum ini dan memberitahu ia kini bukan lagi model yang diasaskan dari Boon atau Passo, sebaliknya kerangka asal dibina dengan penambahbaikkan dari Myvi generasi kedua dan bahagian upper body pula hampir keseluruhannya adalah rekaan Perodua sendiri.

    Jadi adakah ini akan menyebabkan pengubahsuaian Myvi tidak lagi akan menjadi kegilaan seperti generasi-generasi seterusnya? Nampaknya tidak, kerana walaupun ia bukan lagi model jelmaan JDM, produk-produk aftermarket untuk Myvi ini begitu pantas muncul dipasaran walaupun usia model ini belum lagi sampai setahun. Myvi milik Abang Liey dari Kuala Lumpur ini antara contoh bagaimana anda boleh mengubahsuai Myvi generasi ketiga bagi membezakannya dari kebanyakkan Myvi lain di atas jalan raya.

    Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

    Abang Liey memilih model 1.5 High lengkap dengan kit badan asli Gear Up sepenuhnya sebagai asas projek ini. Perkara pertama yang membezakan kereta Abang Liey ini dengan Myvi yang lain adalah pengubahsuaian pada pintu hadapannya – bukaan keatas seperti pintu model-model Lamborghini, atau lebih spesifik digelar sebagai Scissors Door (pintu gunting).

    Menurut Abang Liey, bagi membolehkan pintu tersebut dibuka sedemikian rupa, kit hinge atau engsel pintu khas perlu digunakan. Abang Liey memilih untuk memadankan kit universal jenis satu penyerap (damper) tanpa pengubahsuaian pada fender hadapan. Pengubahsuaian ini dipilih kerana ia lebih ringkas, namun bukaan mendatar pintu tersebut tidak boleh dibuka dengan lebar. Abang Liey telah menghabiskan sebanyak RM2,500 hanya untuk ubahsuai bahagian ini sahaja.

    Pada bahagian luaran, ubahsuai lain yang dibuat sangat minimalis. Abang Liey menanggalkan semua emblem pada badan Myvi ini bagi kelihatan lebih ‘bersih’ dan memadankan kemasan penutup untuk cermin suku belakang. Kemudian ia diberikan dengan set rim replika Work Zeast hitam dengan serlahan merah (sedondon dengan warna badan) bersaiz 17x8jj et32, dibaluti tayar 205/45R17. Selepas itu, badan kereta ini direndahkan menggunakan set suspensi boleh laras tinggi-rendah keras-lembut dari D2.

    Perodua Myvi, tapi pintu buka macam Lamborghini!

    Ubahsuai lain yang turut diberikan pada bahagian luaran termasuk lampu kabus hadapan LED dan juga cermin sisi boleh lipat automatik. Anda juga akan disajikan dengan persembahan lampu LED pada setiap pintu Myvi merah ini sekiranya ia dibuka, dengan tujuh warna berbeza dan kerlipannya telah disetkan dengan 16 corak berbeza secara automatik.

    Kabin Myvi ini juga menerima sentuhan semula Abang Liey. Keseluruhan tempat duduk telah dibalut semula dengan material separa kulit berwarna merah-hitam bagi diselarikan bersama warna luaran. Penumpang hadapan pula akan dihiburkan dengan skrin utama Android pada papan pemuka, manakala penumpang belakang menerima dua buah skrin berasingan yang ditanam di dalam perehat kepala.

    Tidak cukup dengan itu, sistem audio Myvi ini telah dihubungkan kepada empat pembesar suara baharu di dalam panel pintu, dua lagi pada panel belakang, dan turut dibantu dengan empat unit tweeter dan sepasang subwoofer yang terletak di bawah kedua-dua tempat duduk hadapan. Walaupun bentangan sistem ini kelihatan agak ringkas jika dibandingkan dengan sistem yang digunakan dalam pertandingan autoshow, ia masih lagi mampu memberikan kualiti audio yang begitu padu.

    Abang Liey tidak melakukan sebarang pengubahsuai terhadap enjin, namun sistem ekzos masih dirombak semula bagi memberikan bunyi enjin yang lebih sedap. Abang Liey menukar paip utama asal kepada sistem paip custom berdiameter 2-inci bersama peredam pada bahagian tengah, manakala muffler belakang digantikan dengan unit yang mempunyai dua tip pada bahagian kiri dan kanan bampar belakang – secara tidak langsung menambah seri bahagian belakang Myvi ini.

    Walaupun tidak diubahsuai secara benar-benar ekstrem, Abang Liey berjaya mengangkat Myvi generasi ketiga miliknya ini setingkat lebih tinggi dari Myvi lain. Hah, pemilik Myvi baharu lain macam mana? Dah ada idea nak ubahsuai Myvi anda selepas tengok kereta Abang liey ni?

     
     
  • UMW selangkah lebih hampir dalam bidaan Perodua

    UMW selangkah lebih hampir dalam bidaan Perodua

    Ini ada perkembangan terbaru berkaitan bidaan UMW Toyota Holdings Bhd untuk mengambil alih kepentingan majoriti dalam Perodua. Syarikat berkenaan kini berada satu langkah lebih hampir bagi tujuan itu selepas pemegang kepentingan majoriti semasa, Med-Bumikar Mara, yang secara kolektif memiliki 52.06% dalam Perodua, mengambil keputusan untuk menjual sebanyak 50.07% kepentingan yang disenaraikan dalam MBM Resources (MBMR) kepada UMW. MBMR memegang 22.58% kepentingan di dalam Perodua.

    Menurut The Star, pemegang saham minoriti Med-Bumikar yang membantah – yang memiliki 48% kepentingan – dilaporkan keluar dari mesyuarat agung tergempar (EGM) minggu lalu dan mempersoalkan kesahihan perjumpaan itu. Daripada tujuh pemegang saham Med-Bumikar, yang terbesar ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan 29% kepentingan. Enam lagi pihak terdiri daripada keluarga pengasasnya. Laporan itu juga menyatakan, Mara yang ingin menjual kepentingan itu turut mendapat sokongan daripada dua lagi pihak pemegang saham berkenaan.

    “Dalam EGM itu, 52.06% daripada kepentingan keseluruhan milik Med-Bumikar telah diluluskan selari dengan resolusi EGM berkenaan, iaitu untuk menerima tawaran UMW, tertaklum kepada beberapa keperluan dan syarat.

    UMW selangkah lebih hampir dalam bidaan Perodua

    “Sebagai tambahan, semua pemegang saham juga mencaadangkan lembaga itu untuk memebentuk sebuah komiti khas untuk berunding dengan UMW, mewakili kepentingan syarikat,” jelas Mara di dalam sebuah kenyataannya. Setiap keputusan yang dibuat oleh Mara juga adalah berpandukan potensi manfaat strategik kepada Mara sebagai sebuah entiti, semua pemegang sahamnya dan juga kepada negara.

    Bulan lalu, pemegang saham yang membantah hasrat itu, diketuai oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Abdul Rahim Abdul Halim, telah memfailkan injuksi untuk menghentikan EGM tersebut, tetapi permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Lembaga pengarah Med-Bumikar terlebih dahulu menolak tawaran UMW (RM2.56 bagi setiap saham MBM) kerana nilainya disifatkan rendah.

    Sekiranya berjaya membeli kepentingan Med-Bumikar dalam MBMR, UMW berhasrat untuk menswastakan syarikat itu, yang turut memiliki kepentingan dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP, 15.87%) dan syarikat insurans AIA (4.2%).

    UMW selangkah lebih hampir dalam bidaan Perodua

    Di dalam Perodua ketika ini, UMW merupakan pemilik saham terbesar dengan 38% kepentingan, diikuti MBMR dengan 22.58% dan PNB Equity Resources dengan 10%. UMW mencadangkan pada Februari lalu untuk mengambil alih kepentingan PNB dalam Perodua dan mengambil alih MBMR. Jika kedua-dua perkara ini menjadi kenyataan, UMW akan memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 70.6% dalam Perodua.

    UMW perlu menanggung kos sebanyak RM501 juta untuk MBMR, dengan menilai syarikat itu sekitar RM1 bilion. Pengambil alihan kepentingan 10% PNB pula akan menelan belanja RM417.5 juta.

    Bagaimanapun, terdapat beberapa halangan lagi yang masih tersisa untuk UMW. Mereka perlu mendapatkan persetujuan daripada rakan perniagaan Perodua, iaitu Daihatsu. Di dalam laporan sebelum ini, khabarnya syarikat Jepun itu tidak bersetuju dengan langkah oleh UMW ini. Pemegang saham dalam Perodua juga boleh menolak langkah ini sekiranya pemegang saham sedia ada berhasrat untuk keluar.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI TCR versi jalan raya bakal didedahkan di festival Wörthersee – 290 PS/370 Nm

    Volkswagen Golf GTI TCR versi jalan raya bakal didedahkan di festival Wörthersee – 290 PS/370 Nm

    Volkswagen telah mendedahkan teaser untuk model Golf GTI yang lebih berkuasa dan akan membuat kemunculan sulungnya di perhimpunan tahunan Golf GTI iaitu festival Wörthersee, Austria yang berlangsung pada minggu ini. Seperti namanya – Volkswagen Golf GTI TCR – merupakan versi jalan raya untuk jentera perlumbaan touring car sebenar yang diperkenalkan pada tahun 2016 dahulu.

    Model yang akan diasaskan dari Golf GTI Mk7.5 ini bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini. Tiada lagi perincian sepenuhnya untuk Golf GTI TCR ini, namun ia dikatakan akan dijana enjin turbo (mungkin 2.0 liter TSI asal) yang ditala bagi mendapatkan kuasa 290 PS pada takat 5,000 hingga 6,800 rpm dan tork maksima 370 Nm bermula seawal 1,600 rpm – jauh lebih besar dari kuasa asal GTI standard dan hampir sama dengan angka yang dihasilkan oleh Golf R.

    Kuasa bakal dialirkan hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar DSG tujuh-kelajuan dan akan dibantu oleh unit LSD. Menurut VW, kelajuan maksima kereta ini akan dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, namun Vmax limiter pada sistem tersebut boleh ‘dibuka’ bagi memberikan kelajuan maksima 264 km/j.

    Volkswagen juga mendakwa, Golf GTI TCR ini merupakan “Golf paling pantas dan secara amnya Volkswagen berlesen paling laju untuk kegunaan di jalan raya awam”.

     
     
  • Potongan kadar tol sempena PRU14 – libatkan NPE, LDP, PLUS dan lain-lain; rebat 20% turut disediakan

    Potongan kadar tol sempena PRU14 – libatkan NPE, LDP, PLUS dan lain-lain; rebat 20% turut disediakan

    Sempena hari mengundi bagi Pilihanraya Umum ke-14 Rabu ini, beberapa lebuhraya utama akan memberikan potongan kadar tol dan rebat kepada pengguna. Ini disahkan oleh Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), di mana lapan lebuhraya akan memberikan diskaun 10% bagi kenderaan Kelas 1 yang menggunakan lebuhraya mereka bermula tengah malam hingga 11.59pm pada 9 Mei 2018.

    Lebuhraya yang terlibat ialah Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di plaza tol Ampangan sahaja, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru (Grand Sepadu).

    Sementara itu, semua kenderaan dari kelas lain juga akan menerima potongan 10% yang sama di jambatan Pulau Pinang Kedua, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Maju (MEX) dari tengah malam hingga 11.59 pm 9 Mei. Lebuhraya SPRINT pula akan sediakan diskaun 10 sen bagi tempoh sama.

    Pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) juga akan menikmati potongan 10%, tetapi hanya dari jam 8 pagi hingga 5 pm pada 9 Mei sahaja. Dalam tempoh yang sama ini, semua pengguna Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) akan menikmati perjalanan percuma sepenuhnya.

    Bagi rebat pula, ia akan diberikan kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Lebuhraya PLUS (kecuali Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan plaza tol di Jambatan P. Pinang). Rebat yang diberikan ialah 20% bagi pemegang kad PLUSMiles atau kad Touch n’ Go yang berdaftar melalui portal PLUSMiles, sah pada 8 dan 9 Mei bagi kenderaan kelas 1. Rebat ini bagaimanapun hanya diberikan bagi perjalanan melebihi 100 km, dan pengguna boleh membuat tuntutan antara 15 Jun hingga 14 September tahun ini.

     
     
  • Lotus Exige Sport 410 – berenjin 3.5L 410 hp, 420 Nm

    Lotus Exige Sport 410 – berenjin 3.5L 410 hp, 420 Nm

    Lotus telah mendedahkan Exige Sport 410, iaitu pengganti bagi Exige Sport 380 sebelum ini. Model baru ini menggunakan asas daripada Exige Cup 430 yang ada sekarang, tapi sedikit kurang ganas kerana disiapkan untuk pemanduan harian. Pada bahagian enjin, ia menggunakan unit V6 3.5 liter supercharge yang mampu menghasilkan 410 hp pada 7,000 rpm dan 420 Nm tork pada 3,000 hingga 7,000 rpm.

    Jumlah ini adalah lebih sedikit daripada Exige Sport 380 sebelum ini yang mampu menghasilkan 375 hp dan 410 Nm tork, tetapi kurang berbanding Exige Cup 430 yang berkemampuan 430 hp dan 440 Nm tork. Transmisi pula adalah unit manual enam kelajuan, dan dengan berat cuma 1,054 kg, ia mempunyai nisbah berat dan kuasa 389 hp bagi setiap tan. Menurut Lotus ini menjadikan ia sebagai Exige berenjin V6 paling ringan pernah dihasilkan.

    Sekiranya anda rasa catatan ini masih kurang menakjubkan, Exige Sport 410 boleh mencatat pecutan 0-100 km/j cuma 0.1 saat kurang daripada Exige Cup 430, iaitu pada 3.4 saat. Sebagai sebuah coupe, kenderaan ini boleh mencapai kelajuan maksimum 290 km/j, manakala apabila dengan badan roadster, ia boleh mencatat 233 km/j.

    Turut diperbaiki adalah daya tolakan ke bawah (downforce), yang kini berada pada 150 kg, berbanding 140 kg pada Exige Sport 380 sebelum ini. Casis, suspensi dan penyerap hentakan kenderaan ini diambil daripada Exige Cup 430, tetapi unit penyerap boleh laras Nitron yang digunakan ditala supaya tidak terlalu keras seperti kenderaan litar. Turut boleh dilaras adalah anti-roll bar depan dan belakang Eibach.

    Bagi memastikan cengkaman yang bagus, model baru ini didatangkan dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 215/45 di hadapan dan 285/30 di belakang, melengkapi rim aloi 17 inci dan 18 inci padanya. Brek pula daripada AP Racing. Berat yang dinyatakan awal tadi boleh didapati hanya apabila semua barangan serba ringan dipasang. Jika tidak, berat standardnya adalah 1,074 kg.

    Pada bahagian dalam, banyak bahagian yang dibalut dengan Alcantara, termasuk roda stereng dan tempat duduknya. Untuk barangan seperti alas kaki, pendingin hawa, karpet, sistem audio, cruise control dan penyerap bunyi, semuanya disediakan sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • VIDEO: John Morton pandu semula BRE Datsun 240Z

    Era 70’an hingga 90’an, setiap pengeluar kenderaan ada satu strategi mudah namun sukar untuk dilaksanakan untuk memasarkan kenderaan mereka – menang perlumbaan pada hari Ahad, dan model tersebut akan laris pada hari Isnin. Ini jugalah antara strategi yang Nissan gunakan ketika mula untuk bertapak di Amerika.

    Nissan atau dikenali sebagai Datsun untuk pasaran eksport luar dari Jepun ketika itu bekerjasama rapat dengan Brock Racing Entreprises (BRE) – pasukan perlumbaan diasaskan bekas pereka General Motor iaitu Peter Brock. Bersama Datsun, BRE bermula dengan mengubahsuai Datsun 2000 Roadster untuk berlumba dalam siri National SCCA pada tahun 1969, kemudian mendominasi perlumbaan tersebut dengan Datsun 240Z dan juga Datsun 510 SSS sehingga tahun 1972.

    Dari bermula hingga akhir zaman kegemilangan BRE Datsun berkenaan, pasukan tersebut sebenarnya ditunjangi seorang pelumba yang begitu berbakat iaitu John Morton. Nama Morton terpahat pada semua jentera BRE Datsun dan imej ikonik tersebut terus dikenang oleh peminat Datsun di seluruh dunia sehingga kini.

    Sempena Historic Sportscar Racing (HSR) Speedfest Classic Motorsports “Mitty” 2018 yang berlangsung di litar Road Atlanta, Nissan membawa replika kereta-kereta lumba BRE Datsun, dan apa yang lebih mengujakan, John Morton diberi penghormatan untuk memandu semula jentera tersebut di atas litar.

    Malah Datsun 240Z ini bukan replika biasa, ia dibina oleh Randy Jaffe dari Giorgia dan dibantu oleh Peter Brock, John Morton serta berberapa bekas staf Brock Racing Enterprises sendiri, dan ia adalah hampir 100% sama dengan jentera yang memenangi perlumbaan untuk musim 1970 dan 1971 berkenaan.

    Nak cari balik video sebenar ketika zaman perlumbaan tersebut mungkin agak sukar, jadi video on-board pada Datsun 240Z yang dipandu oleh John Morton ini mungkin boleh membayangkan betapa teruja perlumbaan yang berlangsung pada era tersebut.

    GALERI: BRE Datsun dan John Morton

     
     
  • Bermaz lancar Kad Keistimewaan Mazda di Malaysia – diskaun 15% untuk alat ganti tulen, 5% bagi kos buruh

    Bermaz lancar Kad Keistimewaan Mazda di Malaysia – diskaun 15% untuk alat ganti tulen, 5% bagi kos buruh

    Bermaz Motor telah memperkenalkan Kad Keistimewaan Mazda, di mana ia merupakan tambahan terkini untuk program Mazda Peaceful Ownership – waranti lima-tahun/100,000 km dengan tiga-tahun/60,000 km penyelenggaraan percuma.

    Dengan kad ini, para pelanggan berpeluang menikmati kadar diskaun sebanyak 15% bagi alat ganti tulen Mazda dan juga cenderahati rasmi, bersama potongan 5% bagi kos buruh. Diskaun ini juga diberikan untuk perkhidmatan selepas jualan yang diperlukan melebihi tempoh waranti yang dinyatakan.

    Selain memberi manfaat kepada pelanggan, Kad Keistimewaan Mazda juga menyediakan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik melalui dana Mazda Medicare, program CSR oleh Bermaz yang ditubuhkan pada tahun 2014. Ini dicapai menerusi yuran pendaftaran RM100 untuk kad (sah selama tiga tahun), yang akan dikecualikan cukai kepada dana atas nama pemohon.

    Manfaat kad ini hanya untuk kenderaan Mazda yang didaftarkan, dan hanya boleg digunakan di bilik pameran dan pusat servis selepas jualan yang dikendalikan oleh Bermaz Motor dan Prima Madu – malah permohonan juga boleh dilakukan di sana. Bermaz turut bercadang untuk mengembangkan kad keistimewaan ini ke seluruh cawangannya di seluruh negara pada masa akan datang.

     
     
  • Kia Niro EV – crossover elektrik jarak gerak 380 km

    Kia Niro EV – crossover elektrik jarak gerak 380 km

    Lima bulan selepas ia ditunjukkan sebagai sebuah kenderaan konsep, kini Kia Niro EV dipersembahkan secara rasmi dalam bentuk produksi sewaktu pameran kenderaan elektrik di Jeju, Korea Selatan. Crossover elektrik penuh ini adalah hampir sama seperti Hyundai Kona EV, yang pernah ditunjukkan pada bulan Februari lalu.

    Pada bahagian luar, versi EV ini boleh dibezakan dengan model hibrid dan plug-in hybrid melalui gril yang tertutup, bersama soket pengecas, serta bukaan udara pada bawah bampar yang direka semula dengan kemasan warna hijau dan lampu siang LED berbentuk tajam. Kemasan hijau tadi turut digunakan pada bahagian bawah bampar, manakala side skirt pula kelihatan lebih sporty, bersama rim 17 inci baru.

    Kia masih belum menyiarkan sebarang jumlah kuasa yang mampu dihasilkan Niro EV ini, tetapi kalau melihat kepada Kona EV, ia sepatutnya bergantung kepada pek bateri yang diguna. Bermakna, kalau ia menggunakan bateri 39.2 kWh dengan jarak gerak 240 km, padanannya adalah motor elektrik 99 kW (135 PS), manakala bateri 64 kWh pula membawa kepada jarak 380 km, bersama motor elektrik 150 kW (204 PS).

    Kia Niro EV – crossover elektrik jarak gerak 380 km

    Untuk aspek keselamatan, kenderaan elektrik ini masih mengekalkan segala ciri yang ada pada model Niro yang lain, termasuk Front Collision Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Smart Cruise Control (SCC), Driver Attention Warning (DVA) dan Back Collision Warning (BCW).

    Menurut Kia, ramai pengguna di Korea yang menunjukkan minat terhadap Niro EV ini, dengan tempahan sudah mencapai 5,000 unit dalam masa hanya tiga hari selepas tempahan dibuka Februari lalu. Pada tahun lepas, Kia telah menjual sebanyak 23,647 unit Niro Hybrid dan Plug-in Hybrid.

     
     
  • Mazda BT-50 facelift kali kedua diperkenalkan di Australia – rupa lebih segar, pelbagai ciri baharu

    Mazda BT-50 <em>facelift</em> kali kedua diperkenalkan di Australia – rupa lebih segar, pelbagai ciri baharu

    Trak pikap Mazda yang diasaskan dari Ford Ranger T6, Mazda BT-50 masih lagi bertahan dalam pasaran dan untuk pasaran Australia ia kini sudahpun masuk ke fasa facelift kali kedua. Model yang dikemaskini berkenaan diberikan rupa yang lebih lasak serta dipadankan dengan pelbagai kelengkapan baharu.

    Model ini dihasilkan sendiri oleh divisi Mazda Australia, dengan rekaan mukanya menampilkan konsep “pandangan visual dengan pusat graviti lebih rendah”. Elemen rekaan pada bampar BT-50 ini direka lebih berpetak, terutama pada kemasan perumah lampu kabus dan juga liang kemasukan udara tengah berbentuk trapezoid bersama elemen seakan 3D serta plat pelindung bersepadu.

    Gril trak pikap ini turut disentuh semula dengan jalur-jalur berkembar seperti pada SUV CX-9 terbaharu. Model varian tertinggi XTR dan GT diberikan gril kemasan krom pada jalur berkenaan serta elemen berwarna kelabu gelap pada kemasan bampar, manakala versi asas XT diberikan gril kemasan hitam satin bersama elemen hitam pada kemasan bampar.

    Pada bahagian kabin, BT-50 kini menerima sistem infotaimen dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Namun ia masih bukan sistem signatur Mazda MZD Connect generasi seterusnya, sebaliknya dibekalkan dengan pemain utama Alpine double-DIN dengan skrin sesentuh tujuh-inci.

    Penggunaan sistem dari Alpine tersebut membolehkan BT-50 pasaran Australia ini menjadi model pertama Mazda yang membolehkan ia bersepadu dengan telefon pintar, lebih kehadapan berbanding Mazda 6 facelift 2018 yang baharu sahaja didedahkan sebelum ini di Amerika Syarikat.

    Kamera undur juga dibekalkan secara standard, manakala untuk model GT ia turut ditambah dengan sports bar kemasan krom bersama lampu brek LED bina-dalam, bed liner tugas berat, sistem kunci pusat termasuk pada pintu tailgate belakang serta soket kuasa tambahan 12-volt bersama lampu pada bed belakang.

    Model baharu ini juga menyaksikan jarak servis berkala trak pikap tersebut dilanjutkan dari 10,000 km/12 bulan kepada 15,000 km/12 bulan, yang menurut Mazda mampu memberikan penjimatan kepada pelanggan lebih dari AU$850 (RM2,500) dalam tempoh lima tahun sekiranya dihitung berdasarkan penggunaan purata dunia sebenar BT-50 pada 25,000 km setahun. Trak pikap ini akan dijual di Australia pada harga bermula AU$28,990 (RM86,000).

     
     
  • UMWT anjur ‘Jalan Cerita – Ramadan Bersama Toyota’ – nilai hebat termasuk rebat tunai sehingga RM3,500

    Klik untuk besarkan

    Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba pada pertengahan bulan ini, UMW Toyota Motor (UMWT) dan semua rangkaian pengedar sahnya akan mengadakan kempen “Jalan Cerita—Ramadan Bersama Toyota”. Menerusi kempen ini para pelanggan bakal ditawarkan nilai istimewa termasuk “Duit Raya” bernilai RM500 (bagi model-model terpilih).

    Selain itu, pelanggan juga diberi rebat tunai sehingga RM3,500 serta tawaran menarik yang lain seperti baucar perkhidmatan percuma atau aksesori pakej percuma yang memberikan nilai terbaik untuk pembelian mereka. Walau bagaimana pun, ia tertakluk kepada model dan varian yang terpilih. Tawaran ini adalah sah sehingga 31 Mei 2018.

    Menurut UMWT, bagi pelanggan yang memerlukan bantuan pembiayaan juga boleh mempertimbangkan perkhidmatan Toyota Capital seperti Toyota “2-Tier Plan” yang menawarkan bayaran ansuran bulanan lebih rendah bagi graduan, serta pelan pembiayaan “Toyota Drive”, yang pertama seumpananya disediakan yang membolehkan pelanggan jimat lebih banyak.

    UMWT anjur ‘Jalan Cerita – Ramadan Bersama Toyota’ – nilai hebat termasuk rebat tunai sehingga RM3,500

    Bagi kesenangan pemilik, semua model Toyota didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan (kecuali Toyota Hilux, dengan maksimum perbatuan 150,000km). Untuk meningkatkan nilai Toyota para pelanggan , waranti boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya tertakluk kepada terma dan syarat.

    Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan tawaran menarik ini, sila berkunjung ke mana-mana bilik pameran Toyota serta jangan lepaskan peluang untuk memandu uji model-model yang disediakan. Layari juga toyota.com.my untuk perincian selebihnya.

     
     
  • Honda Malaysia umum promosi ‘Welcome Ramadan Rewards’ – rebat hingga RM3k, pilihan baucer servis

    Honda Malaysia umum promosi ‘Welcome Ramadan Rewards’ – rebat hingga RM3k, pilihan baucer servis

    Sempena kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak tidak lama lagi, Honda Malaysia mula mengumumkan promosi terbaharunya yang menawarkan bukan sahaja rebat tunai, malah pembeli kereta baharu Honda menerusi kempen ‘Welcome Ramadan Rewards’ ini boleh memilih sama ada menerima baucer servis atau wang tunai, serta diberikan hadiah eksklusif.

    Promosi ini ditawarkan untuk hampir kepada semua model Honda di bilik pameran pengedar bertauliah mereka, kecuali Civic Type R. Bagi mereka yang membeli HR-V, BR-V, Jazz (termasuk model hibrid), City (termasuk model hibrid) dan Odyssey, mereka akan diberikan rebat tunai terbesar berjumlah RM3,000. Pelanggan yang membeli kesemua model tersebut juga boleh memilih sama ada untuk menerima baucer servis bernilai RM1,000 ataupun wang tunai sebanyak RM1,000 lagi.

    Manakala bagi mereka yang membeli Civic dan CR-V pula, pilihan antara baucer servis dan tunai bernilai RM1,000 yang sama diberikan tetapi nilai rebat tunainya berbeza iaitu RM500 untuk sedan segmen-C dan RM2,000 untuk SUV segmen-C berkenaan.

    Pembeli yang memilih sedan segmen-D Accord tidak akan menerima rebat tunai seperti model-model sebelumnya, tetapi pilihan untuk baucer servis ditawarken dengan nilai RM5,000 atau pelanggan boleh memilih wang tunai sebanyak RM3,000. Promosi ini sah untuk kenderaan yang didaftarkan dari 1 hingga 31 Mei dan ia tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 terjual 38k setakat ini – 70k tempahan, kurang 90 hari tempoh menunggu bagi 1.5L

    Perodua Myvi 2018 terjual 38k setakat ini – 70k tempahan, kurang 90 hari tempoh menunggu bagi 1.5L

    Setakat minggu ketiga April 2018, Perodua Myvi telah mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 38,000 unit daripada 70,000 tempahan yang diterima.

    Menurut angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bermula Januari sehingga Mac 2018, Perodua menjual 55,568 kenderaan berbanding 135,140 unit jumlah keseluruhan industri (TIV), membawa lebih 41% bahagian pasaran untuk suku pertama tahun 2018. Pencapaian ini merupakan peningkatan lebih daripada 10.5% berbanding 50,260 unit yang didaftarkan pada suku pertama tahun 2017, menjadikannya rekod suku pertama bagi Perodua dari segi jualan.

    Jualan 55,560 unit tersebut terdiri daripada 24,473 Myvi, 14,962 Axia, 10,101 Bezza dan 6,032 Alza. Sebanyak 18% daripada semua kenderaan baharu yang didaftarkan di Malaysia pada suku pertama 2018 adalah model Myvi.

    “Pencapaian ini amat bermakna bagi kami kerana MAA telah mengumumkan bahawa Perodua telah mencapai penguasaan pasaran 41.5% pada bulan Mac lalu. Kami amat gembira dan bersyukur kerana telah mencapai keputusan ini pada penghujung April lalu. Pada perkiraan kami, Myvi telah memperoleh 70,000 tempahan dari 8 November 2017 sehingga 30 April 2018 dan kami amat terharu dengan sambutan yang diterima,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

    Mengenai penghantaran, Dato’ Dr Zahari berkata Perodua sedang berusaha meningkatkan kecekapan operasinya bagi memastikan penghantaran dapat dibuat dalam masa yang terdekat. Beliau berkata tempoh menunggu semasa untuk varian Myvi 1.5L adalah di bawah tiga bulan. Walau bagaimanapun bagi varian 1.3L, ia boleh dihantar dengan segera buat masa ini.

    Zahari turut menambah, Kempen Perodua Pilihanku kini bermula dan beliau menyeru para pelanggan Perodua untuk menyertai Hari Pelanggan pada hujung minggu ini (5-6 Mei) di semua bilik pameran dan pusat servis Perodua di seluruh negara. Pemeriksaan kenderaan percuma dan penebusan tunai sehingga RM1,800 untuk model dan varian terpilih menanti pengunjung.

    “Rebut peluang ini untuk melihat dengan lebih dekat varian Bezza terbaharu kami iaitu Bezza GXtra yang baru dilancarkan minggu lepas,” ujarnya.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2018

     
     
  • Mercedes-Benz Concept EQ dipertontonkan dalam EQ Brand Exhibition di Desa Park City, Kuala Lumpur

    Mercedes-Benz Concept EQ dipertontonkan dalam EQ Brand Exhibition di Desa Park City, Kuala Lumpur

    Mercedes-Benz Concept EQ membuat penampilan pertamanya di peringkat Asia Tenggara – dalam acara Mercedes-Benz EQ Exhibition, yang bakal bermula esok.

    Model konsep, yang turut dikenali sebagai Generation EQ ini dipertontonkan di Paris Motor Show pada 2016, merupakan pendedahan bagi hala tuju elektrifikasi pengeluar kereta terbabit dan membantu untuk meningkatkan lagi kesedaran terhadap EQ Power oleh MBM di negara ini. Selepas ini, EV tersebut akan dipamerkan di Singapura sebelum meninggalkan rantau ini.

    Model empat-tempat duduk yang diprebiu sebagai EQC SUV ini akan hadir di pasaran dunia pada 2019 – dijanakan oleh dua motor elektrik, yang diletakkan di gandar hadapan dan belakang, dengan kuasanya disalurkan ke bateri yang ditempatkan di lantai kenderaan.

    Larasan pacuan semua-roda elektrik ini mampu menghasilkan keseluruhan kuasa sehingga 300 kW (402 hp) dan tork 700 Nm, membenarkan kenderaan ini dipacu dari 0-100 km/j hanya di bawah lima saat. Mengenai operasinya, kenderaan dengan sifar-emisi ini mampu dipacu sehingga 500 km.

    Model konsep SUV ini akan dipamerkan di The Waterfront di Desa Park City, KL, bermula esok sehingga 7 Mei ini, pada jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

    Acara ini bakal dibuka kepada orang ramai, bukan sahaja mempertontonkan Concept EQ, bahkan model EQ Power hybrid, Mercedes-Benz EQ Power C 350 e dan EQ Power E 350 e, serta model lain dalam barisan tempatan.

    MBM turut memperkenalkan stesen pengecasan EV ke-empat di Lembah Klang. Fasiliti baharu ini mempunyai dua petak stesen pengecasan EV, terletak di The Waterfront, Desa Park City, menyertai fasiliti EQ sedia ada yang terdapat di Bangsar Shopping Centre, Sunway Pyramid dan Pavilion KL.

    GALERI: Mercedes-Benz Concept EQ

    GALERI: Mercedes-Benz EQ Brand Exhibition, Waterfront, Desa Park City

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025