Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

    PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

    Sejak sekian lama, Volvo sering digambarkan sebagai jenama alternatif bagi mereka yang mahukan sebuah kereta premium tetapi bukan berasal dari Jerman seperti Mercedes-Benz dan BMW. Dari satu sudut, ya Volvo memang berada pada aras yang sama ketika bersaing dalam pasaran, namun dari segi penghasilan produk, Volvo seringkali tidak dapat menghasilkan model-model ‘sehalus’ saingan-saingannya dari Jerman berkenaan.

    Dari segi saiz syarikat, jelas jenama dari Sweden ini tidak sebesar BMW dan Mercedes-Benz, secara tidak langsung ia mengehadkan kemampuan Volvo untuk meneroka teknologi yang lebih kehadapan. Malah ketika sahamnya dikuasai Ford Motor Co., Volvo pernah hampir bankrap sewaktu berlakunya krisis ekonomi global 2008.

    Di bawah Geely, pasukan jurutera Volvo bukan sahaja bebas untuk meneroka pelbagai teknologi baharu, malah mereka juga diberikan suntikan modal yang begitu besar. Untuk memulihkan kembali jenama tersebut, Volvo mula membangunkan platform dan enjin-enjin baharu untuk menggantikan unit-unit sedia ada – yang sebahagiannya ‘terpaksa’ berkongsi dengan model-model dari Ford, dan akhirnya terhasillah platform Scalable Product Architecture (SPA) dan juga barisan enjin empat-silinder Drive-E baharu.

    Sedan Volvo S90 ini merupakan antara produk awal yang diasaskan dari platform SPA berkenaan, selain versi SUVnya iaitu XC90 yang hadir ke pasaran lebih awal. Untuk Malaysia, S90 dan kembar wagonnya V90 diperkenalkan terlebih dahulu dalam versi CBU T5 dan T6 pada March 2017, manakala versi CKD dengan unit janakuasa plug-in hybrid T8 Twin Engine yang lebih berkuasa ini pula muncul pada Oktober tahun lalu.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Mercedes-Benz melancarkan jenama EQ di Malaysia

    Mercedes-Benz melancarkan jenama EQ di Malaysia

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini telah memperkenalkan sebuah lagi cabang jenama baru – EQ – sebagai pengenalan khas bagi barisan kenderaan elektrik atau plug-in hybrid selepas ini. EQ merupakan singkatan bagi “Electric Intelligence”, dan akan menjadi jenama khas seperti jenama-jenama lain yang digunakan ketika ini di bawah seliaan Mercedes-Benz – seperti AMG dan Maybach.

    Dengan pelancaran jenama baru ini – ia sudah diperkenalkan di Eropah juga – model-model PHEV yang sudah diperkenalkan untuk pasaran tempatan seperti E 350 e dan C 350 e akan dijenamakan semula sebagai barisan produk EQ Power.

    Antara perkhidmatan baru yang turut disertakan kepada pelanggan yang berminat untuk memiliki barisan kenderaan EQ Power selepas ini ialah ialah kad untuk mengecas kenderaan secara percuma bagi tempoh setahun.

    Selain itu, turut diperkenalkan ialah EQ Agility Plan Package untuk kemudahan dan kelegaan dari aspek pengalaman pemilikan pengguna. Melalui pelan ini, mana-mana pemilikan barisan kenderaan EQ Power bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun akan ditawarkan dengan kemudahan bayaran ansuran.

    Mercedes-Benz melancarkan jenama EQ di Malaysia

    Turut termasuk di dalamnya ialah kos servis kenderaan serta peranti wallbox khusus untuk tujuan mengecas kenderaan berkenaan. Ini memudahkan pengguna untuk mengira dan menganggarkan perbelanjaan sepanjang pemilikan kenderaan terbabit.

    Di dalam perkembangan berkaitan, selepas memperkenalkan stesen pengecas dengan jenama Mercedes-Benz (yang terbuka untuk digunakan oleh kenderaan jenama lain) di Bangsar Shopping Center (BSC, tiga pengecas), MBM turut meluaskan lagi rangkaian stesen seperti itu antaranya ke Pavilion Kuala Lumpur (empat pengecas), Sunway Pyramid (dua pengecas) dan Desa Park City (dua pengecas).

    Selari dengan pengenalan jenama baru ini, semua stesen berkenaan juga akan menggunakan jenama EQ yang sama. Rangkaian stesen pengecas terbaru yang akan datang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

     
     
  • Kawasaki Z900 ditambah dengan pilihan warna baru

    Kawasaki Z900 ditambah dengan pilihan warna baru

    Semasa dilancarkan pada bulan Mac tahun lalu, Kawasaki Z900 ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu kelabu sebagai model standard yang dijual pada harga RM49,158 dan biru serta merah metalik sebagai model edisi khas berharga RM50,959. Model edisi khas ini juga mendapat tambahan pelbagai aksesori.

    Terbaru, Kawasaki telah menambah pilihan warna bagi model standard, iaitu warna yang digelar sebagai Metallic Green Black. Harganya masih lagi sama, iaitu RM49,158 termasuk GST, tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

    Z900 adalah pengganti bagi Z800, dan ia melibatkan binaan serba baru, bersama enjin berkapasiti 948 cc, empat silinder sebaris berpenyejukan cecair yang mampu menghasilkan 124 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm tork pada 7,700 rpm. Jumlah kuasa ini adalah 13 hp lebih berbanding enjin Z800.

    Kawasaki Z900 ditambah dengan pilihan warna baru

    Turut diberikan secara standard pada Z900 adalah klac jenis slipper, yang boleh mengelakkan lantunan pada tayar belakang semasa menurunkan gear secara agresif, panel instrumen skrin LCD, pilihan tiga mod tunggangan, serta lampu shift light pada bahagian meter rpm.

    Di bahagian hadapan, motosikal ini menggunakan fork USD yang boleh dilaras untuk lantunan dan pra beban, serta brek cakera berkembar 300 mm dengan angkup empat piston. Di bahagian belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan lantunan dan pra beban, serta brek cakera tunggal 250 mm serta angkup satu piston. Kedua-dua brek ini juga mempunyai sistem brek ABS.

    Berat keseluruhan Z900 adalah 210 kg (213 kg untuk model SE) dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 17 liter. Rim di kedua-dua bahagian adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    GALERI: Kawasaki Z900 ABS SE

     
     
  • VIDEO: Nissan tunjuk kereta EV pertama dan terbaru

    Pada tahun 1947, telah wujud kenderaan elektrik prototaip yang dinamakan sebagai Tama, dibangunkan oleh Tachikawa Aircraft Company. Ini adalah sebuah syarikat yang kemudiannya dikenali sebagai Prince Motors, dan menjadi sebahagian daripada Nissan.

    Tama adalah sebuah kenderaan dua tempat duduk, yang dikuasakan oleh bateri dan kebanyakannya digunakan sebagai pengangkut barang kerana di hadapannya cuma ada dua tempat duduk, dan selebihnya adalah ruang kargo di belakang. Ia juga memainkan peranan penting waktu ketandusan minyak di Jepun selepas perang.

    Motor elektrik 4.5 hp pada Tama mendapat kuasa daripada bateri lead acid 40 volt dan ia boleh memberi jarak pergerakan 65 km dan laju maksimum 35 km/j. Ia juga mempunyai bateri yang terletak di bahagian lantai, sekaligus dapat merendahkan titik graviti seperti EV masa kini.

    Walaupun sudah berlaku di waktu dulu, Nissan cuba menunjukkan kembali bagaimana kereta elektrik terbaru mereka, Leaf juga dapat membantu cabaran masa kini. Leaf adalah sebuah kereta elektrik yang dikuasakan oleh motor elektrik 148 hp dan 320 Nm tork. Kuasa ini datang daripada bateri lithium ion 40 kWh yang boleh menawarkan jarak pergerakan 378 km.

    Sudah tentu, kereta elektrik terbaru Nissan ini lebih moden, dan ia lebih kepada tugas untuk membawa penumpang, berbeza dengan Tama yang lebih kepada pengangkut dengan had muatan 454 kg. Antara teknologi lain yang ada pada Leaf adalah termasuk e-Pedal, ProPILOT dan pemanduan autonomous satu lorong. Ia dijangka tiba di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

    GALERI: Nissan Leaf di Singapura

     
     
  • China beri tawaran terbaik untuk projek ECRL – Najib

    China beri tawaran terbaik untuk projek ECRL – Najib

    Keputusan Malaysia memilih China untuk membina dan membiayai projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dilakukan kerana mereka menawarkan perjanjian yang terbaik, kata perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan The Star.

    Perjanjian ini melibatkan perlepasan daripada servis pinjaman tersebut selama tujuh tahun, bersama kadar faedah paling rendah, kata Najib. “Dalam masa tujuh tahun, kita tidak perlu servis pinjaman tersebut. Pada masa itu, ringgit akan lebih dihargai, dan kadar faedah tersebut tidak begitu tinggi,” kata beliau waktu majlis pecah tanah kem ECRL Tunjung Rabu semalam.

    Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPC) dianugerahkan kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC), sementara perjanjian kewangan pula dimeterai bersama Export-Import Bank of China (EXIM). Pemilik projek pula adalah Minister of Finance Incorporated, Malaysia Rail Link (MRL).

    Projek ECRL terdiri daripada dua fasa, iaitu fasa pertama melibatkan 21 stesen sepanjang 600.3 km yang menyambungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu (ITT) Gombak di Selangor. Fasa kedua pula akan dilaksanakan dan menghubungkannya sehingga ke Pelabuhan Klang. Kelajuan tren akan mencecah 160 kilometer sejam dan ia akan membawa penumpang serta kargo.

    Secara keseluruhannya, kos pembinaan projek ini adalah RM55 bilion, dan peruntukan baginya telah diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan bajet tahun lepas. Ia dijangka siap pada Jun 2024.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Bagi tempoh suku pertama 2018 (Q1 2018), Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mencatatkan jualan sebanyak 3,335 unit kenderaan di negara ini. Angka ini juga merupakan peningkatan 13.2% berbanding tempoh sama tahun lalu, yang mencatatkan 2,945 unit.

    Secara keseluruhannya, tahun ini merupakan prestasi terbaik MBM bagi tempoh suku pertama berbanding tahun-tahun sebelum ini. Sebagai pecahan, turut menjadi rekod terbaru pada bulan Januari dan Februari, dengan masing-masing mencatatkan jualan 1,200 unit serta 1,185 unit.

    Dengan prestasi suku pertama terbaru yang dicapai ini juga telah membolehkan MBM meningkatkan kadar perkongsian pasarannya sebanyak 5% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu – kini dengan 2.8%. MBM juga kekal menjadi jenama kenderaan premium nombor satu di sini.

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Pertumbuhan jualan paling tinggi dicatatkan bagi segmen kenderaan kompak Mercedes-Benz – dengan model GLA menjadi antara yang mencatatkan penerimaan paling tinggi dari pelanggan – yang mencatatkan jualan sebanyak 596 unit bagi tempoh Q1 2018. Ini diterjemahkan kepada peningkatan sebanyak 37.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Segmen yang mencatatkan kadar pertumbuhan kedua tertinggi ialah barisan SUV premium jenama itu. Sebanyak 675 unit kenderaan dari segmen ini berjaya dijual – dengan peningkatan sebanyak 13.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Segmen limosin pemasangan tempatan MBM juga menyaksikan peningkatan sebanyak 8% berbanding tahun lalu, dengan jualan mencecah 1,965 unit bagi suku pertama tahun ini. Barisan kenderaan “Dream Car” Mercedes-Benz pula terjual sebanyak 94 unit, dengan pertumbuhan minimal 1.1% berbanding Q1 tahun lalu.

    Mercedes-Benz Malaysia catat rekod jualan Q1 terbaik setakat ini – 3,335 unit terjual, peningkatan 13.2%

    Khidmat pembiayaan kenderaan yang ditawarkan MBM kepada pelanggan mereka pula mencatatkan jumlah RM2.4 bilion sejak penghujung 2017, dengan purata empat daripada 10 kenderaan Mercedes-Benz yang dijual, pelanggan akan memilih perkhidmatan pembiyaan berkenaan.

    Bagi perkhidmatan lepas jualan, seluruh rangakaian pengedar MBM telah melakukan servis terhadap 36,000 kenderaan sepanjang Q1 2018 ini. Itu merupakan kenaikan sebanyak 18% berbanding tahun lalu. Setakat ini, MBM mempunyai 33 rangakaian pengedar di seluruh negara.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Supra generasi baharu terima paparan instrumen digital berbeza dari BMW Z4

    SPYSHOT: Toyota Supra generasi baharu terima paparan instrumen digital berbeza dari BMW Z4

    Menerusi gambar-gambar intipan sebelum ini, prototaip Toyota Supra generasi baharu dilihat menggunakan komponen dalaman yang sama dengan kembarnya, BMW Z4. Manakala menerusi pendedahan model konsep perlumbaan Gazoo Racing Supra yang didedahkan bulan lalu, bentuk asas papan pemuka jentera berkenaan pula kelihatan.

    Menerusi imej spyshot yang baharu kami terima ini nampaknya Supra sudahpun diberikan panel instrumen digital khas yang direka untuknya – menampilkan takometer sebagai watak utama diletakkan pada bahagian tengah. Namun pada bahagian lain seperti roda stereng, pedal penukar gear, skrin infotaimen utama dan juga tombol gear nampaknya masih sama seperti BMW.

    Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster. Ogos tahun lalu, BMW telah pun mendedahkan model BMW Concept Z4 di Pebble Beach Concours D’Elegance, yang memberikan gambaran paling hampir bagaimana rupa versi produksi sebenar nanti.

    Sebelum ini juga CEO BMW Group Australia Marc Werner pernah memberitahu portal CarAdvice bahawa kedua-dua kereta tersebut bukan hanya berbeza dari segi rekaan, malah pemanduan antara kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“ sebenar.

    Namun sehingga kini, tiada lagi perincian teknikal menyeluruh dari Toyota berkenaan Supra tersebut. Tetapi, ketua jurutera Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) mengesahkan Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

    Tada juga menjelaskan bahawa Supra generasi baharu ini tidak akan hadir dengan kotak gear manual – dijangka mungkin akan diberikan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF seperti Z4 atau kotak gear automatik klac berkembar.

     
     
  • CEO AMG, Tobias Moers beritahu akan keluarkan A35

    CEO AMG, Tobias Moers beritahu akan keluarkan A35

    Kali terakhir ketua pegawai eksekutif Mercedes-AMG, Tobias Moers berkata tentang model AMG permulaan, beliau sekadar menyatakan “kami akan melihat kepada pesaing, dan siapa yang akan dijadikan sebagai tanda aras. Kemudian, barulah kami akan membangunkan A 35 mengikut tugasnya untuk menetapkan pula tahap yang baru.” Menurut Car and Driver, langkah itu telah pun selesai, dan A 35 sedia untuk bersaing dengan model seperti Audi S3.

    Sekarang ini, terdapat jurang yang besar dalam penawaran kenderaan kompak Mercedes-Benz, terutamanya di antara A 250 dan A 45 – sama juga dengan CLA dan GLA. Varian 250 menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter berkuasa 218 hp dan 350 Nm tork, manakala versi AMG 45 mendapat enjin 2.0 liter turbo berkuasa 381 hp dan 475 Nm tork. Melalui A-Class W177 yang baru diperkenal, AMG juga bercadang untuk mengisi ruang antara varian 250 dan 45 ini dengan model 35.

    Berkata tentang A-Class Sedan yang akan datang, Moers memberitahu “memang akan ada AMG 45 baru, tetapi ia juga akan ditambah dengan AMG 35 dengan kuasa sekitar 300 hp.” Sudah tentu, perkara yang sama juga boleh dijangka dilakukan pada model CLA dan GLA.

    CEO AMG, Tobias Moers beritahu akan keluarkan A35

    Untuk model AMG 45, Moers masih belum mahu memberitahu perincian seperti jumlah kuasa, tetapi enjin baru padanya dijangka dapat menghasilkan sehingga 400 hp dan mengatasi Audi RS3 yang menggunakan enjin lima silinder 2.5 liter turbo dengan kuasa 400 hp.

    Mengikut laporan juga, AMG 35 turut akan menggunakan enjin M133 seperti A 45, dan bukannya M260 yang dinaik taraf. Ia dijangka dapat diperkenalkan kepada orang ramai hujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Adakah anda teruja dengan kemunculannya?

     
     
  • Toyota akan bangunkan kilang bateri hibrid di Thailand

    Toyota akan bangunkan kilang bateri hibrid di Thailand

    Menurut agensi berita Kyodo, Toyota kini sedang merancang untuk membina sebuah kilang bateri hibrid di Thailand, dan dijangka beroperasi pada tahun 2020. Keputusan ini dibuat kerana jumlah kenderaan yang menggunakan kuasa bateri dijangka meningkat di sana dengan adanya tafsiran cukai yang lebih mesra.

    Jualan di Thailand juga akan menjadi penyumbang kepada sasaran Toyota untuk menjual sebanyak 4.5 juta kenderaan hibrid dan plug-in hybrid (PHEV) menjelang tahun 2030. Bagi kilang di Thailand ini, ia hanya akan melakukan pemasangan untuk bateri tersebut sementara komponen utama untuk bateri masih lagi diimport.

    Langkah yang diambil oleh Toyota ini mengikuti langkah hampir sama yang dilakukan oleh Mercedes-Benz bulan lalu, di mana pengeluar kenderaan premium tersebut mengumumkan akan melabur lebih 100 juta euro (RM483 juta) untuk kilang di Thailand yang dibuka di Thailand dengan rakan kongsinya, Thonburi Automotive Assembly Plant.

    Pelaburan ini akan diguna untuk membesarkan lagi kilang pemasangan kenderaan yang sudah sedia ada di Samut Prakan, dan juga untuk membuka sebuah kilang pemasangan bateri hibrid baru di kawasan tersebut. Pengeluaran bateri lithium ion di situ akan bermula pada tahun 2019, untuk kenderaan PHEV yang dipasarkan di sana.

    Sejak kebelakangan ini, Thailand telah meletakkan banyak usaha untuk menarik pengeluar kenderaan untuk mengeluarkan kenderaan mesra alam seperti hibrid, PHEV dan EV di negara mereka, dan BMW juga seperti berminat untuk melakukan perkara sama. Tahun lepas, kerajaan Thailand juga telah mengumumkan hak istimewa promosi untuk pengeluar kenderaan. Toyota adalah yang pertama menerimanya bagi kategori hibrid, melalui C-HR Hybrid.

     
     
  • Ford Escort facelift 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Ford Escort <em>facelift</em> 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Kebanyakkan peminat Ford tahu bahawa legasi Escort tamat pada generasi keenam dan ia kemudiannya disambung oleh model Focus. Namun tahukah anda bahawa nama Escort telah di bawa ke China dan Ford menghasilkan model khas hanya untuk pasaran berkenaan? Model tersebut telah diperkenalkan buat pertama kali di republik berkenaan pada tahun 2014, dan model versi facelift 2017 Escort tersebut akan diperkenalkan pada Auto China di Beijing tahun ini.

    Untuk model facelift ini, Escort diberikan muka seakan sama dengan Fiesta dan Focus generasi baharu. Lampu hadapan xenon direka semula dengan rekaan lebih tirus, digandingkan dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C. Gril hadapan turut mendapat sentuhan semula, begitu juga dengan liang kemasukan udara dan juga perumah lampu kabus.

    Ford masih belum mendedahkan gambar untuk bahagian belakang, tetapi menurut kenyataan yang dikeluarkan, lampu belakang LED baharu diberikan yang menampilkan rekaan ‘two-piece‘ sehingga pada penutup but, manakala lampu kabus dialihkan ke bampar belakang. Menerusi gambar yang telah disiarkan ini pula, dapat dilihat Escort menerima antena sirip yu pada bahagian belakang serta model varian tinggi diberikan rim aloi baharu berdiameter 17-inci.

    Ford Escort <em>facelift</em> 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Gambar bahagian dalaman juga belum ditunjukkan sepenuhnya, namun Ford mendedahkan Escort akan menerima kluster instrumen dengan rekaan baharu, tema warna dua ton (kelabu dan hitam), serlahan aluminium satin serta kemasan-kemasan berkilat. Ia juga akan dilengkapkan dengan tempat duduk hadapan larasan berkuasa dan cermin sisi elektrik – kedua-duanya diberikan fungsi memori.

    Ciri lain yang turut disahkan pada model ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau automatik serta skrin sesentuh 8.0-inci untuk sistem infotainmen lengkap dengan kamera undur. Untuk keselamatan pula, Escort facelift kini diberikan sistem kawalan stabiliti elektronik, enam beg udara termasuk beg udara tirai serta sistem pemantau tekanan angin tayar – kesemua hadir sebagai ciri standard.

    Ford Escort <em>facelift</em> 2017 bakal didedahkan di Beijing Auto Show – tampil pilihan enjin 1.0 liter EcoBoost

    Enjin emapt silinder 1.5 liter NA Ti-VCT pada model ini telah dipertingkatkan – Ford mendakwa ia kini 16% lebih jimat bahan api dari sebelumnya. Buat pertama kali juga, Escort menerima enjin petrol turbo 1.0 liter tiga-silinder Ecoboost. Namun angka kuasa untuk kedua-dua enjin ini masih belum didedahkan. Pada model Fiesta, enjin 1.0 liter EcoBoost tersebut menghasilkan 125 PS/170 Nm, manakala versi lama 1.5 liter Ti-VCT pula menjana 113 PS/142 Nm.

    Kedua-dua enjin ini ditawarkan dengan opsyen sistem start/stop automatik. Manakala untuk transmisi pula, kedua-dua enjin boleh dipilih sama ada untuk digandinkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik konvensional SelectShift.

     
     
  • Harga bahan api 12-18 April – semua tiada perubahan

    Harga bahan api 12-18 April – semua tiada perubahan

    Seperti biasa pada hari Rabu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan harga bahan api untuk 12 hingga 18 April ini. Mungkin ramai yang sudah menjangka, dan ia memang pun berlaku – harga bahan api sekali lagi tidak berubah.

    Bermakna, ini adalah minggu ketiga harga bahan api tidak berubah, iaitu sejak 29 Mac yang lalu. Bermula esok, 12 April 2018, harga bahan api RON 95 masih lagi RM 2.20 seliter manakala RON 97 pula dijual pada harga RM2.47 seliter.

    Harga bahan api diesel juga sama seperti sekarang, iaitu Euro 2M pada RM2.18 seliter, diikuti RM2.28 seliter untuk diesel Euro 5 yang lebih bersih dan kurang sulfur.

     
     
  • Range Rover Velar akan dilancarkan di Malaysia bulan ini, guna enjin Ingenium 2.0L dengan kuasa 250 PS

    Range Rover Velar akan dilancarkan di Malaysia bulan ini, guna enjin Ingenium 2.0L dengan kuasa 250 PS

    Memang dah dinyatakan sebelum ini bahawa Jaguar Land Rover Malaysia (JLR) akan melancarkan model Range Rover Velar untuk pasaran tempatan pada suku kedua 2018. Terbaru, spesifikasi awal bagi model yang ditawarkan untuk Malaysia juga telah diketahui, dan khabarnya akan dilancarkan dalam bulan ini juga.

    Antara maklumat yang diketahui kini ialah model berkenaan akan ditawarkan dalam pilihan enjin Ingenium 2.0 liter empat-silinder turbocas petrol, yang mampu menghasilkan sebanyak 250 PS dan 365 Nm tork. Ia dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan daripada ZF derta sistem pacuan semua roda.

    Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada model ini nanti akan ditawarkan dalam tahap kemasan yang mana (asas, S, SE atau HSE) atau sama ada ia akan lengkap dengan kit penggayaan R-Dynamic atau sebaliknya.

    Range Rover Velar akan dilancarkan di Malaysia bulan ini, guna enjin Ingenium 2.0L dengan kuasa 250 PS

    Sistem AWD yang digunakan disokong oleh ciri Intelligent Driveline Dynamics (IDD), yang membantu memberikan cengkaman maksimum bagi kedua-dua pemanduan atas jalan biasa dan juga off-road. Sistem ini akan mengagihkan tork dari enjin ke roda belakang dan depan melalui transfer box dengan klac basah multi-plat yang diaktifkan secara elektro-mekanikal.

    Bermula dengan agihan tork 50:50, sistem ini berupaya menjadikannya 100% pacuan depan mahupun belakang, bergantung kepada keadaan semasa. Turut menjadi ciri standard ialah sistem Torque Vectoring by Braking yang mengurangkan kemungkinan situasi understeer dengan cara mengawal brek pada roda dalam ketika di selekoh.

    Rekabentuk luaran Velar sangat memikat sebagai sebuah SUV yang ranggi. Ia mempunyai kadar coefficient drag 0.32, menjadikannya model Land Rover paling aerodinamik yang pernah dihasilkan setakat ini. Dari aspek jarak antara roda, Velar mempunyai jarak 2,874 mm – berada di antara Evoque (2,660 mm) dan Range Rover Sport (2,923 mm).

    Senarai kelengkapan luaran pula termasuk lampu utama LED, pemegang pintu tersorok dan rim 21-inci; dengan empat corak sebagai pilihan. Di dalam, terdapat sistem Touch Pro Duo, dengan skrin 10-incinya membolehkan anda untuk melihat dan berinteraksi dengan pelbagai ciri yang ada dalam sistem infotainmen InControl dan sistem Terrain Response.

    Ciri lain yang turut melengkapi SUV ini adalah seperti Head-Up Display (HUD), Navigation Pro System, panel instrumen 12.3-inci Intercative Driver Display, sistem kamera keliling, bukaan pintu ruang belakang automatik dan Auto High Beam Assist.

    Dari aspek keselamatan, Velar datang dengan enam beg udara. Bagaimanapun, ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki tidak disertakan untuk pasaran Malaysia.

    Untuk perincian lanjut, kita nantikan sebaik sahaja Velar dilancarkan di sini nanti. Apa pun, tempahan untuk model ini sudah pun dibuka jika ada yang berminat untuk mendapatkannya lebih awal.

     
     
  • Lexus siar teaser model serba baharu – adakah ES?

    Lexus siar teaser model serba baharu – adakah ES?

    Lexus telah mengeluarkan satu imej teaser dengan tajuk “Expect the Unexpected”, dan ia menunjukkan bahagian depan sebuah kenderaan yang sudah bersedia untuk dilancarkan di Beijing Auto Show 25 April ini. Identiti model ini masih dirahsiakan, tetapi Lexus memberitahu ia “mensasarkan transformasi radikal pada pengalaman pemanduan pengguna mewah seluruh dunia.”

    Walaupun begitu, anda boleh melihat perincian yang terdapat pada gambar ini mempunyai persamaan dengan gambar Lexus ES 2019 yang bocor semalam. Jika benar itulah ia, model eksekutif saiz sederhana ini akan menggunakan rekaan inspirasi daripada model limo yang lebih besar iaitu Lexus LS.

    Jika dibandingkan dengan ES XV60 facelift sekarang (diperkenalkan pertama kali pada tahun 2015), model di dalam gambar ini menunjukkan bahagian hadapan yang lebih menonjol dan agresif. Grilnya juga lebih lebar dan mempunyai seperti dua tanduk yang bersambung dengan garisan di atas hud.

    Merujuk kepada gambar yang bocor sebelum ini pula, lampu hadapannya mempunyai rekaan lebih tajam, dan disertakan dengan lampu siang LED bersepadu. Lampu DRL itu juga mempunyai nyalaan yang lebih moden, dengan beberapa variasi grafik.

    Menurut khabar, Lexus ES 2019 ini akan menggunakan platform TNGA, sama seperti yang ada pada Toyota Camry terkini. Ini tentunya akan memberikan ruang yang lebih luas bagi ES. Untuk pasaran Amerika, Camry di sana turut ditawarkan dengan enjin V6 baru yang mungkin akan ditawarkan juga pada Lexus ES ini. Dan, seperti model Lexus yang lain, ada kemungkinan versi hibrid turut akan ditawarkan.

     
     
  • SUV pertama Proton – undian pemilihan nama dapat sambutan, ciri AEB juga sah akan turut ditawarkan

    SUV pertama Proton – undian pemilihan nama dapat sambutan, ciri AEB juga sah akan turut ditawarkan

    Selepas membuka undian kepada umum untuk memilih nama yang sesuai bagi SUV pertama Proton yang turut menyaksikan penawaran hadiah bernilai RM100,000, Proton menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan terhadap kempen berkenaan.

    Di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Proton memaklumkan, sepanjang sembilan hari pertama sahaja, mereka telah menerima sebanyak 69,000 maklum balas daripada pengguna internet. Bagi video yang dinaikkan pula, ia telah menerima 165,000 tontonan dan 1,000 perkongsian di Facebook.

    Lebih menarik, di dalam kenyataan media yang sama, Proton sekali lagi mengesahkan antara senarai kelengkapan dan ciri-ciri yang akan melengkapi model SUV terbabit. Terbaru, ciri brek kecemasan automatik (atau Autonomous Emergency Braking, AEB) disahkan turut akan ditawarkan.

    “Seperti yang telah kami kongsikan sedikit pada video promosi pertandingan ini, SUV ini akan dilengkapi ciri-ciri berteknologi canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera 3D 360 darjah dan pelbagai ciri keselamatan canggih yang lain seperti kawalan pelayaran adaptif, brek kecemasan automatik serta banyak lagi,” memetik kenyataan itu.

    SUV pertama Proton – undian pemilihan nama dapat sambutan, ciri AEB juga sah akan turut ditawarkan

    Sebagai habuan kepada pengguna yang ikut serta di dalam undian atas talian itu juga, lima pemenang akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang diundi. Hadiah yang bakal diterima pula terdiri daripada undangan ekslusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini yang terdapat pada SUV tersebut di litar ujian PROTON di Shah Alam.

    Selain itu, orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV berkenaan. Sekiranya nama yang mereka cadangkan itu terpilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai bagi 2 orang, termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.

    Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut.

     
     
  • Perodua Axia jika dibayangkan sebagai ‘mini Myvi’

    Perodua Axia jika dibayangkan sebagai ‘mini Myvi’

    September nanti, Perodua Axia akan berusia empat tahun berada dalam pasaran tempatan, sejak dilancarkan pada 2014. Untuk itu, adakah model berkenaan akan diberi pembaharuan? Mungkin gaya dan reka bentuk yang diambil dari Myvi?

    Itulah yang dilakukan oleh Theophilus Chin, melalui hasil imej render terbaru yang dihasilkannya. Kelihatan agak jelas, reka bentuk keseluruhan model bayangan ini meminjam sebahagian besar elemennya dari model Myvi sedia ada – lebih hampir kepada Perodua Myvi 1.3 Premium X.

    Bagaimanapun, perincian pada lampu utamanya serta rekaan gril diberi kelainan untuk membezakan kedua-dua model berkenaan. Grilnya terdiri dari elemen dua bahagian – yang bawah dalam warna hitam berkilat, sementara bahagian atas dalam warna krom.

    Di bahagian bawah lagi ialah kedudukan lampu kabus dengan kemasan krom (seperti yang pernah dilihat pada Axia SE dan Advance), dalam penampilan yang lebih menonjol jika dibandingkan dengan Myvi 1.3 Premium X.

    Perodua Axia jika dibayangkan sebagai ‘mini Myvi’

    Dari sisi, rim yang digunakan serta bentuk panel yang ada dipinjam terus dari Myvi, dengan pemegang pintu krom menyumbang elemen kontras pada profil tepinya.

    Bahagian belakang ada banyak kelainan. Antaranya, C-pillar kini lebih kurus berbanding Myvi. Ini membolehkan pandangan di belakang menjadi lebih jelas. Bumbung juga semakin rendah di belakang, memberikan imej yang lebih ranggi – turut terletak di situ ialah antena “shark fin”.

    Cermin belakang lebih condong berbanding pada Myvi. Bahagian rekaan lampu pula tampil ringkas sahaja. Sekali lagi, ia meminjam penampilan dari rekaan bahagian belakang Myvi. Dengan saiz yang lebih kecil untuk disesuaikan pada Axia, ia menyumbang kepada penampilan yang segar, lari dari imej Axia ketika ini.

    Anda rasa macam mana? Suka atau tidak dengan rekaan yang anda lihat ini?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025