Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Proton Iriz crossover dan Persona facelift 2021 dijumpai lagi sedang diuji di atas jalan raya awam

    SPYSHOT: Proton Iriz crossover dan Persona <em>facelift</em> 2021 dijumpai lagi sedang diuji di atas jalan raya awam

    Kami baru sahaja terima satu lagi set gambar unit ujian prototaip dua buah model baharu Proton yang akan dilancarkan pada tahun hadapan iaitu Proton Iriz dalam versi crossover dan juga sedan segmen-B Persona untuk versi facelift 2021. Set gambar yang kami terima kali ini adalah lebih jelas dari sebelum ini, tetapi ia lebih tertumpu pada bahagian belakang.

    Untuk Iriz, kita boleh lihat fender hadapan dan belakang nampak diberikan pelindung badan tambahan yang tiada pada model biasa, dan nampak seperti turut diberikan perubahan pada panel skirt sisi. Ia juga dilihat diberikan rel bumbung bagi melengkapkan rupa seakan crossover.

    Idea untuk menjelmakan Iriz dari hatchback kepada crossover segmen-B bukan idea baru dari Proton. Pada 2014, Proton pernah mendedahkan model tersebut dalam bentuk konsep, digelar sebagai Proton Iriz Acitve (dikemaskini sebagai Iriz Active Mk.2 pada 2015).

    Manakala untuk Persona facelift, ia nampaknya diberikan lampu belakang LED yang digelapkan. Rekaan bampar belakang juga nampak seakan berubah dengan tidak lagi diberikan kemasan bahagian bawah yang sama seperti model sedia ada. Rim juga berkemungkinan akan tampil dengan rekaan baharu kerana ia turut ditampal dengan pelekat penyamaran.

    Berdasarkan gambar bahagian hadapan sebelum ini, Persona facelift 2021 tersebut mungkin akan mengekalkan rekaan kluster lampu hadapan serta lampu nyalaan siang LED yang diletak melintang seperti model sedia ada. Perubahan yang boleh dilihat adalah gril ‘infinite weave’ pada Persona tersebut nampaknya diberikan jalur krom pada bahagian bawah.

    Model-model kemaskini ini juga dijangka bakal diberikan perubahan pada sistem transmisi seperti pada Saga 2019, di mana kotak gear CVT automatik asal akan ditukar dengan transmisi automatik konvensional empat kelajuan 4AT yang dibekalkan oleh Hyundai.

    Namun barisan enjin sedia ada berkemungkinan besar akan dikekalkan – model asas Iriz dijana oleh enjin 1.3 liter VVT berkuasa 95 PS/120 Nm, manakala varian lebih tinggi serta sedan Persona menerima enjin 1.6 liter VVT berkuasa 109 PS/150 Nm.

    GALERI: Model konsep Proton Iriz Active 2014

     
     
  • Ford Mustang Mach-E GT Performance Edition – versi prestasi dengan kuasa 480 hp dan tork 860 Nm

    Ford Mustang Mach-E GT Performance Edition – versi prestasi dengan kuasa 480 hp dan tork 860 Nm

    Seperti yang dijanjikan sebelum ini, Ford telah mengeluarkan versi prestasi bagi SUV elektrik mereka, iaitu Mustang Mach E GT Performance Edition. Model ini menawarkan kuasa 480 hp dan 860 Nm tork hasil daripada penggunaan dua motor elektrik dan sistem pacuan AWD, sekaligus membolehkan ia memecut 0-96 km/j dalam masa 3.5 saat. Pek bateri yang digunakan mempunyai kapasiti 88 kWh dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 376 km.

    Kuasa maksimum versi GT Performance Edition ini sebenarnya sama sahaja seperti Mach E GT biasa, tetapi torknya adalah lebih 47 Nm. Model prestasi ini boleh dikenali melalui ciri seperti cakera brek 19 inci dengan angkup Brembo berwarna merah, rim 20 inci dua tona yang dibalut tayar Pirelli 245/45R20 dan penyerap adaptif MagneRide.

    Sebagai perbandingan, barisan model Mach E ditawarkan bermula dengan varian Select yang menggunakan bateri 68 kWh dan jarak gerak 368 km dalam versi Standard Range RWD dan 336 km pada versi Standard Range AWD. Varian Premium yang berada di atasnya pula menggunakan bateri 88 kWh dan menawarkan jarak gerak 480 km bagi versi RWD dan 432 km untuk versi AWD.

    Ford Mustang Mach-E GT Performance Edition – versi prestasi dengan kuasa 480 hp dan tork 860 Nm

    Tema sport yang digunakan pada model ini turut dibawa kepada bahagian dalam, menyaksikan ia menerima tempat duduk Ford Performance yang dibalut kain Performance Gray ActiveX, jahitan metalik serta bahagian tengah pantul cahaya dan berliang. Bahagian panel instrumen mendapat hiasan alumninium unik dan lencana Performance Edition GT diletakkan di bahagian belakang kenderaan.

    Mustang Mach E GT dan GT Performance Edition ditawarkan dalam warna Cyber Orange Metallic Tri-Coat, Dark Matter Gray Metallic, Rapid Red Metallic Tinted Clearcoat, Star White Metallic Tri-Coat, Grabber Blue Metallic, Shadow Black, Iconic Silver Metallic dan Space White Metallic.

    Varian GT dan GT Performance Edition ini akan mula memasuki pasaran selepas varian lain Mustang Mach E, iaitu hujung tahun 2021. Varian Select, Premium, First Edition dan California Route 1 akan mula ditawarkan penghujung tahun ini.

     
     
  • Proton Saga Pakistan – guna enjin S4PE 34 cc lebih kecil dari di M’sia, unit tanpa penyamaran dijumpai

    Proton Saga Pakistan – guna enjin S4PE 34 cc lebih kecil dari di M’sia, unit tanpa penyamaran dijumpai

    Sebelum ini Proton telah disahkan akan melancarkan model sedan mampu miliknya iaitu Saga ke pasaran Pakistan dengan dua varian iaitu Standard dan Premium, dan yang paling mendapat perhatian, kedua-duanya akan dijana enjin 34 cc lebih kecil dari model pasaran Malaysia bagi mendapatkan pengecualian cukai yang lebih baik.

    Persoalannya, adakah ia akan dijana oleh enjin dari siri sama, atau diberikan enjin 4G13 dari Geely yang menampilkan kapasiti betul-betul 1,299 cc seperti yang diperlukan? Perkara ini terungkai apabila portal automotif Pakistan, CarSpirit.pk menjumpai berberapa maklumat di laman sesawang jabatan cukai dan eksais negara berkenaan.

    Menerusi dua nombor pendaftaran pada dua unit prototaip yang dijumpai sedang diuji, maklumat portal berkenaan mengesahkan bahawa Saga pasaran Pakistan ini masih menggunakan enjin S4PE yang sama seperti Saga di Malaysia. Mungkin Proton telah melakukan sedikit ubahsuai pada omboh, blok atau pada aci engkol enjin berkenaan yang pada asalnya mempunyai kapasiti 1,332 cc bagi menjadikan ia sedikit lebih kecil dengan kapasiti 1,298 cc.

    Ini membolehkan Saga diklasifikasikan sebagai model dengan enjin dalam julat tidak melebihi 1.3L, dan menerima potongan cukai lebih banyak dan dijual dengan harga lebih kompetitif. Menurut CarSpirit.pk lagi, setelah dilancarkan nanti Saga bakal berhadapan terus dengan dua sedan dari China BAIC D20 dan Changan Alsvin dalam saingan “sedan paling murah di Pakistan”.

    Malah untuk Saga varian paling asas mungkin akan diberikan harga hampir sama dengan Suzuki Cultus yang buat masa ini dijual pada harga PKR2.3 juta (RM59k), dan mungkin akan membuatkan pelanggan dari segmen hatchback akan mula beralih kepada sedan mampu milik berkenaan.

    Proton Pakistan sebelum ini turut telah mengumumkan bahawa Saga Standard hanya ditawarkan dengan kotak gear manual lima kelajuan, manakala varian Premium pula hanya digandingkan dengan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT. Dan walaupun kapasiti enjin tersebut lebih kecil, kuasa yang dinyatakan adalah sama dengan versi pasaran Malaysia iaitu 95 PS dan tork maksima 120 Nm.

    Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Proton Saga tersebut akan dilancarkan pada bulan Januari 2021, selepas pelancaran SUV segmen-C Proton X70 pada bulan ini. Dengan tarikh pelancaran yang semakin hampir, CarSpirit.pk turut menyatakan bahawa kelibat unit ujian Saga tersebut kini dilihat lebih kerap di atas jalan raya, malah ia sudah berani tampil tanpa sebarang pelekat penyamaran.

    Untuk X70, ia juga akan menerima enjin yang lebih kecil dari model pasaran Malaysia atas faktor yang sama. Oleh itu, X70 pasaran Pakistan tersebut tidak diberikan enjin 1.8 liter T-GDI berkuasa 181 hp/300 Nm seperti versi di Malaysia, sebaliknya ia dijana enjin 1.5 liter T-GDI tiga-silinder berkuasa 174 hp/255 Nm bersama kotak gear klac berkembar automotik DCT tujuh kelajuan seperti yang berada dalam perut SUV lebih kecil Proton X50 di pasaran kita.

    Proton X70 dan Saga pasaran Pakistan ini akan ditawarkan secara CBU untuk stok permulaan, diambil sepenuhnya dari kilang Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim. Namun selepas kilang baharu usahasama Al-Haj Automotive mula beroperasi di negara tersebut pada suku pertama tahun hadapan, kedua-dua model akan dijual sebagai model CKD.

    CarSpirit.pk turut menyatakan bahawa Proton adalah antara pengeluar baharu yang masuk ke pasaran Pakistan yang akan dianugerahkan status pelaburan Greenfield di bawah dasar automotif negara tersebut yang akan dimuktamadkan pada Jun 2021.

     
     
  • Mitsubishi Outlander PHEV kini di Thai – 55 km bagi pacuan semua-elektrik, 52.6 km per liter, dari RM221k

    Mitsubishi Outlander PHEV kini di Thai – 55 km bagi pacuan semua-elektrik, 52.6 km per liter, dari RM221k

    Thailand telah pun menerima kemasukan model Mitsubishi Outlander PHEV di pasarannya, menjadikannya sebagai negara ketiga di Asia Tenggara yang menerima kehadiran SUV elektrik-petrol ini selepas Indonesia dan Filipina. Outlander PHEV versi Thailand ini telah pun dilancarkan di sana sempena penganjuran Thai Motor Expo yang sedang berlangsung tika ini.

    Tidak seperti kebanyakan pasaran lain, Outlander PHEV yang dijual di Thailand adalah model pemasangan tempatan (CKD), dengan unit pertamanya bakal dikeluarkan di kilang Laem Chabang pada bulan hadapan, menurut Bangkok Post. Harga yang diumumkan agak tinggi iaitu bermula 1,640,000 baht (RM221,000) untuk varian GT hingga 1,749,000 baht (RM235,600) bagi GT Premium.

    Dengan harganya yang agak tinggi, ia diberikan motor elektrik yang diletakkan pada setiap gandar – untuk bahagian hadapan mampu memberikan kuasa hingga 60 kW (82 PS) dan tork 137 Nm, sementara di belakang pula dengan 70 kW (95 PS) dan 195 Nm. Sistem ini memberikan pacuan semua-roda dan teknologi Super All-Wheel Control ciptaan Mitsubishi sendiri, dan bersama bateri lithium-ion 13.8 kWh, PHEV ini mampu memberikan jarak pacuan semua-elektrik mencecah 55 km.

    Mitsubishi Outlander PHEV kini di Thai – 55 km bagi pacuan semua-elektrik, 52.6 km per liter, dari RM221k

    Ia dijanakan oleh enjin baharu iaitu unit 2.4 liter MIVEC naturally-aspirated empat-silinder petrol. Enjin baharu yang lebih besar berbanding penjana kuasa lama 2.0 liter itu mampu memberikan kuasa hingga 128 PS dan tork 199 Nm pada 4,500 rpm, membantu mengecas bateri dalam hampir semua situasi pemanduan. Ia juga berkeupayaan menyalurkan pemanduan langsung dalam kelajuan yang tinggi, hasil lock-up clutch.

    Larasan ketetapan ini adalah lebih kurang dengan Honda City e:HEV baharu, kecuali Mitsubishi mempunyai bateri yang lebih besar. Syarikat ini juga mendakwa angka bagi penggunaan bahan api cukup impresif iaitu sekitar 52.6 km per liter.

    Untuk bahagian luarannya, PHEV versi Thailand ini diberikan suntikan facelift terkini, dengan rekaan gril dua-palang yang dirombak semula dan kemasan krom pada corong pengambilan udara tengah. Ciri lain yang ditampilkan tidak seperti Outlander janaan petrol, termasuklah lapisan yang sama dengan warna badan, lencana PHEV berwarna biru dan roda aloi pelbagai-jejari 18-inci. Di dalamnya, PHEV ini menerima tuil gear elektronik yang cukup unik.

    Mitsubishi Outlander PHEV kini di Thai – 55 km bagi pacuan semua-elektrik, 52.6 km per liter, dari RM221k

    Ciri standard lain bagi semua model termasuklah lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon dengan corong pada tempat duduk belakang, tempat duduk hadapan larasan elektronik, kulit upholstery, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar-suara dan operasi kawalan bagi fungsi kenderaan dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.

    Varian GT Premium ditambah dengan lampu utama LED larasan-sendiri, kemasan kulit quilted dan pintu tailgate larasan elektronik, bersama beberapa ciri sistem bantuan pemanduan termasuklah brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, pedal misoperation control dan lampu tinggi automatik.

     
     
  • Yamaha NMax 2020 tiba di M’sia – ciri ringkas, RM9k

    Yamaha NMax 2020 tiba di M’sia – ciri ringkas, RM9k

    Skuter yang ditunggu ramai, Yamaha NMax 2020 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga pasaran RM8,998, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Warna yang ditawarkan cuma ada dua iaitu kelabu dan merah, dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    NMax 2020 pertama kali diperkenalkan kepada dunia Disember tahun lepas di Indonesia, dan setelah memasuki beberapa pasaran lain, kita dapat melihat ada perbezaan pada spesifikasi termasuklah antara model yang dipasarkan di Thailand dan juga negara kita.

    Untuk model baru ini, semua panel badannya adalah baru, bersama dengan lampu depan dan belakang LED serta panel meter LCD. Enjin pula masih lagi sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api, SOHC 155 cc VVA yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Jika dibandingkan dengan model pasaran Indonesia, NMax yang tiba di Malaysia kekurangan beberapa ciri termasuklah sistem sambungan Y-Connect, kawalan cengkaman, ABS, suspensi belakang dengan tabung gas serta sistem kunci pintar. Ini sekaligus menjadikan model yang tiba di negara kita sebagai antara yang paling ringkas di dalam Asia Tenggara.

    Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan sistem start/stop, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.3 liter serta brek cakera depan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 130 kg dan ia menggunakan rim 13 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Honda tawar rebat RM2k untuk City dalam jualan 12.12

    Honda tawar rebat RM2k untuk City dalam jualan 12.12

    Susah kita nak dengar beli kereta yang betul-betul baru dilancarkan dapat rebat kan? Jadi, untuk anda yang berkira-kira nak beli Honda City generasi kelima yang baru sahaja dilancarkan Oktober lalu, jangan lepaskan peluang ini – Honda Malaysia menawarkan rebat tunai untuk pembelian model berkenaan dalam promosi istimewa “Jualan 12.12”!

    Tawaran ini dibuka untuk Honda City petrol 1.5 dalam gred S dan E, dan anda akan menerima rebat tunai sebanyak RM2,000 dalam promosi ini. Varian tertinggi 1.5V yang kini merupakan varian paling laris serta varian hibrid City RS e:HEV yang hanya dilancarkan pada tahun hadapan tidak termasuk dalam promosi ini.

    Promosi ini bermula sekarang sehingga 12 Disember nanti – anda perlu menempah kereta tersebut dalam tempoh berkenaan, manakala untuk pendaftaran kereta baharu yang ditempah tersebut disyaratkan sehingga 31 Disember nanti.

    Honda tawar rebat RM2k untuk City dalam jualan 12.12

    Pelanggan akan menerima rebat tersebut setelah memenuhi syarat tempahan dan pendaftaran yang dinyatakan tadi di semua pengedar bertauliah Honda seluruh negara. Selain rebat, anda juga perlu merebut peluang pengecualian cukai jualan 2020 yang ditawarkan dalam insentif PENJANA kerana ia juga akan berakhir pada 31 Disember ini.

    Model dengan penjana petrol sepenuhnya ini digerakkan dengan enjin 1.5 liter i-VTEC, yang kini menerima kepala silinder DOHC berbanding SOHC pada model generasi sebelumnya. Ia menghasilkan kuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, dan ia dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Model E dan V turut menerima pedal penukar gear pada stereng.

    Honda tawar rebat RM2k untuk City dalam jualan 12.12

    Honda City generasi baharu ini dijual pada pasaran Malaysia dengan harga bermula RM74,191 untuk gred S, RM81,664 untuk gred E dan RM86,561 untuk gred V – angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, sebelum ditolak rebat promosi 12.12 berkenaan.

    Bermula 1 Januari 2021 nanti, City S,E dan V masing-masing akan dijual pada harga RM76,800, RM84,800 dan RM89,800 kerana berakhirnya tempoh pengecualian cukai jualan 2020. Lebih perincian berkenaan kelengkapan dan fungsi yang dibekalkan pada model generasi baharu ini, anda boleh baca artikel yang telah pun kami sediakan sebelum ini pada pautan di bawah:

    GALERI: Honda City 1.5L E Modulo 2020

     
     
  • Berjaya dan Bermaz sah ambil alih jenama Peugeot di M’sia dari Naza, jualan Citroen dan DS berakhir di sini

    Berjaya dan Bermaz sah ambil alih jenama Peugeot di M’sia dari Naza, jualan Citroen dan DS berakhir di sini

    Pemilik jenama automotif Perancis – Peugeot, Citroen dan DS – iaitu Groupe PSA telah pun mengumumkan langkah yang diambil setelah Naza Group melepaskan hak pengedaran tiga jenama tersebut di Malaysia; kini jenama Peugeot diserahkan kepada Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB), manakala Citroen dan DS pula nampaknya tidak lagi berada dalam pasaran tempatan.

    BAASB adalah syarikat yang diwujudkan dengan dua pemegang saham terbesarnya adalah Berjaya Corporation dengan 51%, dan juga pengedar jenama Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto dengan pegangan saham 20%.

    Menurut PSA, langkah ini membolehkan strategi Peugeot terus berkembang di Malaysia. Syarikat berkenaan kini sedang merancang untuk melancarkan pelbagai model baharu termasuk Peugeot 2008 terkini, serta mengesahkan Malaysia masih menjadi hab eksportnya untuk rantau Asia Tenggara.

    “Kami mensasarkan untuk terus merevolusikan pengalaman pelanggan bersama dengan rakan kerjasama baharu kami, BAASB dan mengutamakan komitmen kami kepada pelanggan menerusi servis jualan dan selepas jualan yang cemerlang,” kata naib presiden Groupe PSA untuk Asia Tenggara, Laurence Noel.

    “Kolobrasi baharu ini akan melengkapkan kewujudan kumpulan kami dalam perniagaan automotif, iaitu HR Owen dan Berjaya China Motor. Kami percaya kerjasama antara BerjayaCorp, Bermaz dan Groupe PSA akan membawa manfaat sinergi positif untuk semua pihak,” kata CEO BerjayaCorp, Datuk Sri Robin Tan Yeong Chin.

    “Kami rasa terhormat apabila Groupe PSA dan BerjayaCorp mengiktiraf kebolehan dan kepakaran Bermaz Group dalam industri automobil dan gembira untuk menyertai kolobrasi baharu ini, yang dijangka akan memberikan sumbangan positif terhadap asas pendapatan masa hadapan kami,” kata pengerusi eksekutif Bermaz, Datuk Seri Ben Yeoh.

    Kerjasama ini walau bagaimanapun tidak membawa sekali jenama Citroen dan divisi lebih premiumnya iaitu DS yang sebelum ini turut diuruskan oleh Naza Group untuk pasaran Malaysia. Buat masa sekarang, konsortium tempatan hanya mempunyai hak untuk menyediakan servis selepas jualan dan juga alat ganti. Ini menandakan berakhirnya jualan kereta baharu untuk dua jenama Perancis ini di Malaysia buat masa sekarang.

    Awal bulan lalu Naza Group mengumumkan bahawa mereka kini sedang menstrukturkan kembali perniagaan mereka dan melepaskan tiga jenama Perancis berkenaan dan juga satu lagi jenama Korea iaitu Kia. Masih lagi belum jelas adakah BAASB turut akan mengambil alih Kia, namun difahamkan bahawa Bermaz kini sedang menjadi entiti utama bagi rundingan mendapatkan hak ke atas jenama Korea tersebut di Malaysia.

     
     
  • Lewis Hamilton sah positif COVID-19 – juara dunia tujuh kali ini terlepas Sakhir Grand Prix di Bahrain

    Lewis Hamilton sah positif COVID-19 – juara dunia tujuh kali ini terlepas Sakhir  Grand Prix di Bahrain

    Pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One telah mengesahkan Lewis Hamilton tidak akan mengambil bahagian dalam Sakhir Grand Prix di Bahrain yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini selepas didapati positif dalam ujian COVID-19. Hamilton merupakan pelumba F1 ketiga yang didapati positif dalam ujian virus tersebut selepas Sergio Perez (sebelum British Grand Prix) dan Lance Stroll (sebelum Eifel Grand Prix) tahun ini.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pasukan Mercedes F1 memaklumkan Hamilton telah menjalani ujian COVID-19 sebanyak tiga kali pada minggu lalu dan hasilnya adalah negatif bagi setiap ujian. Ujian terakhir yang dijalankan adalah pada Ahad lalu di Litar Antarabangsa Bahrain yang menjadi sebahagian daripada program ujian perlumbaan hujung minggu.

    Walau bagaimana pun, juara dunia tujuh kali ini telah mengalami simpton ringan pada Isnin dan telah dimaklumkan kontak rapatnya sebelum tiba di Bahrain telah disahkan positif dalam ujian COVID-19. Berikutan itu, sekali lagi beliau menjalani ujian pemeriksaan kesihatan dan hasilnya sah positif.

    Lewis Hamilton sah positif COVID-19 – juara dunia tujuh kali ini terlepas Sakhir  Grand Prix di Bahrain

    Seperti yang dintetapkan dalam protokol COVID-19 dan garis panduan pihak berkuasa kesihatan awam di Bahrain, Hamilton kini telah diasingkan dan menjalani kuarantin, namun demikian, pasukannya mengesahkan selain daripada mengalami gejala ringan, Hamilton didapati masih sihat. Dengan perkembangan ini, penyertaan Hamilton dalam perlumbaan terakhir bagi musim 2020 di Abu Dhabi masih dalam tanda tanya, ini kerana dia perlu disahkan bebas daripada virus ini sebelum dibenarkan kembali ke paddock.

    Buat masa ini, pasukan Mercedes F1 masih belum mengesahkan penganti Hamilton untuk perlumbaan hujung minggu ini. Antara calon termasuk pelumba simpanan pasukan, Stoffel Vandoorne dan Esteban Gutierrez, antara salah seorangnya mungkin menjadi pilihan utama.

    Kemungkinan lain pula ialah dengan meminta khidmat Nico Hülkenberg, yang mewakili Perez dan Stroll di Racing Point F1 Team untuk tiga perlumbaan pada tahun 2020. George Russell, yang merupakan salah seorang pelumba daripada program pemandu muda Mercedes, juga boleh didaftarkan, walaupun ia memerlukan kebenaran dari pasukannya, Williams.

     
     
  • Honda bakal hasilkan semula S2000 generasi baharu dengan enjin VTEC Turbo K20C dari Civic Type R?

    Honda bakal hasilkan semula S2000 generasi baharu dengan enjin VTEC Turbo K20C dari Civic Type R?

    Honda tak banyak buat model pacuan belakang, tapi sekali-sekala dia buat, model tersebut akan dikenang sebagai lagenda seperti Honda NSX dan juga siri roadster S iaitu S500 hingga S2000. NSX dah pun muncul dalam versi generasi baharu, adakah Honda berminat untuk menghasilkan model generasi seterusnya untuk S2000 setelah produksi model AP2 tamat pada tahun 2009?

    Menurut laporan Forbes, sumber yang rapat dengan Honda menyatakan bahawa jenama berkenaan kini sedang serius untuk memperkenalkan Honda S2000 pada tahun 2024 nanti, sempena ulangtahun ke-25 model roadster ikonik tersebut. Keputusan tersebut diambil berdasarkan respon menggalakkan diterima dari model prototaip S2000 20th Anniversary (kemudian komponen akseosori berkenaan diproduksi oleh Modulo untuk dijual) yang muncul pada Tokyo Auto Salon awal tahun ini.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa S2000 generasi baharu berkenaan tidak lagi dijana oleh enjin VTEC dengan jeritan rpm tinggi seperti AP1 dan AP2, sebalik menggunakan enjin dengan kuasa dan tujahan tork lebih tinggi K20C VTEC Turbo yang diambil dari Honda Civic Type R. Buat masa sekarang, enjin tersebut membekalkan 320 PS/400 Nm.

    Honda bakal hasilkan semula S2000 generasi baharu dengan enjin VTEC Turbo K20C dari Civic Type R?

    Enjin berkenaan akan diubahsuai untuk diletakkan secara menegak kebelakang bagi memacu roda belakang, berat keseluruhan tidak akan melebihi 1360 kg dengan penggunaan struktur badan dari material aluminium dan gentian karbon lebih banyak, serta bentuk asal roadster S2000 tersebut juga akan dikekalkan bersama rekaan lampu hadapan lebih nipis, sebut laporan itu lagi.

    Dengar macam sedap berita ni kan? Sebenarnya ini bukan kali pertama khabar angin sebegini bertiup. Pada 2017, khabar yang hampir serupa dilaporkan yang mendakwa bahawa S2000 generasi baharu akan dihasilkan Honda juga dengan perincian bahawa ia akan dijana enjin dari FK8 Type R dan kononnya akan didedahkan pada 2018.

    Tapi sekarang dah tahun 2020, masih tak nampak bayang. Jadi untuk berita seperti ini, jangan berharap sangat. Kita tunggu isyarat rasmi dari Honda terlebih dahulu.

    GALERI: Honda S2000 20th Anniversary Prototype di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Porsche Experience Centre ke-9 berpusat di Jepun

    Porsche Experience Centre ke-9 berpusat di Jepun

    Porsche Experience Centre (PEC) yang ke-sembilan telah pun ditetapkan lokasinya iaitu di Jepun dan akan mula mengalu-alukan kedatangan pengunjung pada tahun 2021. Terletak di Chiba, wilayah bersebelahan Tokyo, PEC terbaharu ini akan mempunyai litar sepanjang 2.1 km, kawasan dinamik, litar bagi off-road, simulator perlumbaan, restoran dan bilik mesyuarat untuk majlis korporat.

    Menurut Porsche, litar sepanjang 2.1km itu juga akan menghasilkan semula selekoh terkenal dari beberapa litar lumba di seluruh dunia, termasuk Karussell di Litar Nürburgring dan Corkscrew di Litar Laguna Seca. Malah, tidak seperti PEC yang lain yang mempunyai litar yang rata, PEC Tokyo ini mempunyai topografi semulajadi yang akan menghasilkan litar yang beralun.

    PEC Tokyo juga akan menempatkan bangunan yang besar, dengan rekaan yang diinspirasikan berdasarkan Edo Kiriko, kraf tradisional Jepun, di mana garisan pepenjurunya yang dipanggil ‘Yaraimon’ akan menciptakan corak yang tersendiri. Ia akan diaplikasikan pada luaran bangunan terbabit untuk melindunginya daripada kerosakan dan kekotoran. Sementara bahagian dalamannya akan digayakan dengan imej plaster dan juga taman Jepun.

    “Porsche adalah mengenai pengalaman pelanggan yang unik dan kami di PEC di seluruh dunia menerapkan pendekatan ini yang tidak akan dijumpai di mana-mana tempat lain di dalam dunia automotif ini,” ujar Detlev von Platen, ahli lembaga eksekutif bagi jualan dan pemasaran Porsche.

    Tambahnya lagi, “Pelanggan Jepun kami sangat menyukai elemen sporty dan eksklusiviti produk kami – dengan PEC ini, mereka akan mempunyai lokasi yang terbaik untuk berkongsi semangat masing-masing.”

    Lain-lain PEC di seluruh dunia adalah terletak di Leipzig, Silverstone, Atlanta, Le Mans, Los Angeles, Shanghai, Hockenheim, dan Franciacorta (dijadualkan bakal dibuka apda tahun 2021). Dan yang terdekat dengan kita ialah Porsche Asia Pacific yang menawarkan pelbagai acara bagi pengalaman pemanduan yang dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

     
     
  • BMW M3 G80 dan M4 G82 sah akan dilancarkan di M’sia dalam versi Competition, harga bermula RM665k

    BMW M3 G80 dan M4 G82 sah akan dilancarkan di M’sia dalam versi Competition, harga bermula RM665k

    Baru sahaja didedahkan untuk peringkat global September lalu, nampaknya model prestasi tinggi BMW untuk sedan 3 Series dan Coupe 4 Series iaitu M3 G80 dan M4 G82 sudah pun disahkan akan mendarat ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Perkara ini diumumkan oleh BMW Malaysia bersama harga jangkaan untuk setiap model, dan bakal dijual dalam versi Competition yang lebih berkuasa dari model standard.

    Bagi M3 Competition asas, ia akan dijual dengan harga bermula RM664,800, manakala dengan Innovation Package harganya akan meningkat kepada RM739,800 – buat masa sekarang, BMW telahpun membuka pra-tempahan secara atas talian dan ia memaparkan harga termasuk diskaun RM722,800 yang sah sehingga 31 Disember sahaja.

    BMW M3 G80 dan M4 G82 sah akan dilancarkan di M’sia dalam versi Competition, harga bermula RM665k

    Untuk M4 Competition pula, model asas dijual bermula RM684,800, manakala dengan Innovation Package pula berharga RM760,800. Dengan diskaun pra-tempah yang sama seperti M3 Competition tadi, model penuh Coupe M4 ini akan dijual pada harga RM740,800. Selepas 31 Disember, harga untuk kesemua model akan kembali pada harga penuh asal.

    Jika diperhatikan, dalam keadaan standard, M3 dan M4 Competition berkenaan dijual pada harga yang lebih murah dari generasi terdahulu – sebelum ini M3 F80 dijual pada harga RM738,800, manakala M4 F82 pula dijual pada harga RM748,800 ketika dilancarkan pada Jun 2014.

    Innovation Package untuk kedua-dua model berkenaan akan memberikan perincian-perincian seperti sistem BMW Laserlight, paparan head-up, akses Comfort, Connected Package dan Bantuan Parkir. Pakej bantuan pemanduan Driving Assistant juga disertakan dengan fungsi seperti amaran keluar laluan, amaran tukar lorong, amaran pelanggaran hadapan bersama brek kecemasan automatik (AEB), amaran lintasan trafik belakang dan juga pengelak pelanggaran belakang.

    Klik untuk besarkan

    M3 dan M4 digerakkan oleh penjana yang sama iaitu enjin S58 3.0 liter turbo berkembar enam-silinder sebaris, menghasilkan 480 PS (473 hp) pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 550 Nm bermula 2,650 hingga 6,130 rpm – ini dalam versi asas, dan ia adalah 50 PS/50 Nm lebih berkuasa dari model generasi sebelum ini.

    Bagi versi Competition yang ditawarkan oleh BMW Malaysia ini, enjin berkenaan ditala bagi menghasilkan 510 PS (503 hp) pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 650 Nm bermula 2,750 hingga 5,500 rpm, atau 60 PS/100 Nm lebih berkuasa dari model Competition F80 dan F82.

    Klik untuk besarkan

    Enjin tersebut digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan M Steptronic dengan Drivelogic, memacu hanya roda belakang. Model dengan sistem pacuan semua roda masih belum ditawarkan kerana versi Competition dengan sistem AWD XDrive hanya akan membuat kemunculan sulung pada pertengahan tahun hadapan.

    Lebih perincian untuk sedan M3 Competition G80 dan coupe M4 G82 Competition pasaran Malaysia ini akan kami siarkan sejurus sahaja setiap kenyataan rasmi diumumkan oleh BMW Malaysia dalam masa terdekat.

    GALERI: BMW M3 G80 Competition

    GALERI: BMW M4 G82 Competition

     
     
  • Mitsuoka Buddy laris dalam beberapa hari hingga 2023

    Mitsuoka Buddy laris dalam beberapa hari hingga 2023

    26 November lalu, Mistsuoka mula mengambil tempahan bagi model Buddy, yang merupakan sebuah Toyota RAV4 digayakan untuk menjadi sebuah trak Amerika dari tahun 1980an. Didedahkan buat pertama kali Oktober lalu, model berkenaan ternyata laris; syarikat telah habis menjualnya bagi peruntukan tersedia untuk tahun 2021 dan 2022.

    Menurut Car Watch Impress dari Jepun, Mitsuoka hanya mensasarkan untuk mengeluarkan 50 unit Buddy bagi tahun 2021, diikuti dengan 150 unit untuk tahun 2022. Dengan semuanya sudah ditempah, tempoh menunggu menjadi agak panjang memandangkan semua tempahan baru selepas ini hanya akan mengisi kuota pengeluaran tahun 2023 nanti.

    Harga Buddy bermula dari 4.697 juta yen (RM183,497) bagi varian paling asas 2.0 liter petrol dengan pacuan roda depan, sementara varian spesifikasi penuh dengan enjin 2.5 liter hibrid dan sistem pacuan semua roda bermula 5,899,300 yen (RM230,467). Sebagai perbandingan, Toyota RAV4 di Jepun dijual pada harga antara 2.743 juta yen (RM107,166) dan 4.029 juta yen (RM157,408).

    Harga Buddy itu adalah sebelum ditambah pilihan-pilihan lain. Sebagai contoh, warna luara dua tona akan menelan kos 484,000 yen (RM18,908), sementara set rim 16-inci gaya retro dijual 264,000 yen (RM10,314) – semua harga termasuk cukai.

    Secara mekanikal, Buddy sama seperti Toyota RAV4, dengan enjin 2.0 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 171 PS dan 207 Nm, sementara janaan hibrid 2.5 liter dengan 178 PS dan 221 Nm. Bahagian dalamannya juga kekal sama hampur keseluruhannya, melainkan beberapa aspek kemasan dan lencanan Mitsuoka yang digunakan pada stereng.

    Rekaan luaran adalah kekuatan Buddy, dengan pengaruh dari Chevrolet K5 Blazer serta Jeep Grand Wagoneer lama. Modifikasi luaran yang dilakukan agak banyak, sekali gus membezakan penampilan Buddy daripada RAV4 – dan hal utama yang membezakan harganya.

     
     
  • Toyota C-HR GR Sport tiba di Australia — bodykit JDM, enjin 1.8L hibrid dengan 122 PS, harga RM113,200

    Toyota C-HR GR Sport tiba di Australia — bodykit JDM, enjin 1.8L hibrid dengan 122 PS, harga RM113,200

    Sebagai crossover segmen B, Toyota C-HR mempunyai daya penarik yang tersendiri, terutama penampilan sporty yang menjadi imejnya selama ini. Lebih menarik, kini dengan lencana GR Sport – bayangkan lencana M Sport untuk BMW – naik taraf prestasi juga telah diberikan kepadanya. Dan kini, ia sudah tiba pula di Australia.

    Untuk pasaran di sana, C-HR GR SPort ini ditawarkan dalam versi hibrid, dengan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson 94 PS/142 Nm dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm – keseluruhannya menghasilkan 122 PS, saluran kuasa ke roda depan.

    Dan, tidak seperti di Eropah, C-HR GR Sport untuk Australia menerima bodykit yang sama di pasaran Jepun. Maka, ia menerima bampar depan yang serba baru seperti GR Yaris. Bahagian bawah grilnya lebih besar, lampu kabus serta lip bawah yang lebih ketara. Spoiler belakang, perumah cermin sisi dan kemasan pada pintu juga diberi penyudah hitam berkilat.

    Toyota C-HR GR Sport tiba di Australia — bodykit JDM, enjin 1.8L hibrid dengan 122 PS, harga RM113,200

    Bagi roda, C-HR GR Sport ini menggunakan saiz rim 19-inci jejari Y aloi dengan tayar 225/45. Ia juga 12 mm lebih rendah dari tanah disebabkan penggunaan komponen suspensi yang merendahkan kedudukan kereta sebanyak 15 mm. Kemaskini bahagian casis termasuk talaan semula bagi spring, penyerap hentak dan palang anti-olengan, serta pendakap untuk mengukuhkan lagi badan dan tidak lupa, peningkatan maklum balas stereng.

    Di dalam, kerusi bucket digunakan dalam balutan kulit hitam. Turut ada ialah butang penghidup enjin dengan lencana GR. Kit standard padanya pula termasuk lampu utama dan lampu belakang LED, sistem tanpa kunci, butang Push Start, kawalan pendingin hawa dua zon, cermin pandang belakang anti-silau, pengilap automatik, skrin sentuh infotainmen lapan-inci, sistem tunjuk arah dan enam pembesar suara.

    Toyota C-HR GR Sport tiba di Australia — bodykit JDM, enjin 1.8L hibrid dengan 122 PS, harga RM113,200

    Pakej keselamatan Toyota Safety Sense juga ditawarkan sebagai standard, merangkumi antaranya brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki wakti malam, pengesanan pengayuh waktu siang dan pengesanan kendearan mendatang. Lain-lain fungsi termasuk bantuan stereng kecemasan, bantuan mengikut lorong, pengesanan papan tanda trafik, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan kamera undur.

    Datang dalam lima warna, C-HR GR Sport dijual pada harga AU$37,665 (RM113,200), dengan caj tambahan AU$450 (RM1,350) bagi pilihan bumbung hitam pada warna Crystal Pearl, Hornet Yellow dan Feverish Red.

     
     
  • Geely telah jual lebih dari 10 juta kereta hanya dalam 23-tahun – disumbang besar oleh Emgrand & Boyue

    Geely telah jual lebih dari 10 juta kereta hanya dalam 23-tahun –  disumbang besar oleh Emgrand & Boyue

    Jenama automotif dari China, Geely telah berjaya menjual lebih dari 10 juta kereta pada awal tahun ini, dalam tempoh hanya 23-tahun ia beroperasi.

    Sudah tentu, angka berkenaan dapat dicapai mengambilkira China itu sendiri merupakan pasaran automotif terbesar dunia, namun jika mengambil faktor persaingan direpublik berkenaan yang sebenarnya sangat sengit kerana ia mempunyai jenama tempatan yang terlalu banyak, pencapaian yang ditempa Geely ini merupakan sesuatu yang bukan mudah untuk dicapai.

    Geely Auto hanya diasaskan pada tahun 1997 oleh pengerusinya sekarang iaitu Li ShuFu, yang percaya dengan potensi pasaran automotif China, serta melihat rakan-rakan industrinya yang lain mula beralih dari menghasilkan basikal dan motosikal kepada memproduksi kereta.

    Kereta pertama yang Geely hasilkan dan masuk ke pasaran China pada tahun 1997 adalah Geely Hao Qing, atau secara asasnya sebuah Daihatsu Charade Aura G100 dengan gril hadapan seperti Mercedes-Benz.

    Geely telah jual lebih dari 10 juta kereta hanya dalam 23-tahun –  disumbang besar oleh Emgrand & Boyue

    Model produksi pertama Geely pada 1997, Hao Qing

    Model ini mencatatkan sejarah sebagai model domestik pertama di China dihasilkan oleh syarikat swasta, dan menjadi alternatif kepada model kompak mampu milik buatan Jepun ketika itu yang berharga lebih dari 100,000 yuan (RM61,901) pada era pendapatan purata tahunan di China pada masa itu adalah 10,000 yuan setahun.

    Hao Qing mencatatkan jualan melebihi 10,000 unit hanya pada tahun pertamanya, kemudian mencapai 100,000 unit pada tahun 2003, dan pada 2009, ia berganda sehingga mencapai 326,000 unit.

    Pada 2009 juga, Geely mula memperkenalkan siri Emgrand, menandakan mereka mula masuk ke pasaran premium, dan kualiti serta prestasi mula menjadi teras jenama berkenaan. Ia diterima positif dalam pasaran dan terus memacu jualan Geely ke angka lebih tinggi.

    Selepas itu Emgrand dihasilkan dalam pelbagai versi seperti crossover Emgrand GS dan sedan Emgrand GL, dan ia membantu nama Emgrand berkenaan untuk mencatatkan jualan melebihi tiga juta unit pada 2020. Penyumbang lain untuk jualan ini sudah tentu adalah Geely Boyue atau dikenali juga sebagai Emgrand X7 dan Azkarra (Bouye Pro) di pasaran lain, dan ia telah dijelmakan sebagai Proton X70.

    Sejak diperkenalkan pada 2016, Boyue telah menjual lebih dari sejuta model berkenaan, dan ia terus menjadi antara SUV jenama tempatan paling laris di negara tersebut.

    Geely telah jual lebih dari 10 juta kereta hanya dalam 23-tahun –  disumbang besar oleh Emgrand & Boyue

    Ketika syarikat induk Geely Auto iaitu Zhejiang Geely Holding Group mengambil alih jenama premium Sweden, Volvo pada 2010, sasaran langkah berkenaan adalah untuk mendapatkan kerjasama teknologi. Hasilnya, kini Geely mempunyai pelbagai inovasi termasuk platform Compact Modular Architecture (CMA), enjin kapasiti kecil iaitu siri 1.5TD yang dihasilkan bagi disesuaikan bersama penjana elektrik dengan mudah, serta kotak gear 7DCT yang dihasilkan bersama Volvo.

    Teknologi-teknologi tersebut kini turut digunakan oleh pelbagai jenama di bawah payung Geely Group, termasuk divisi mewahnya iaitu Lynk & Co dan juga Proton.

    Jika diperhatikan lebih teliti, hampir separuh jualan dari jumlah keseluruhan 10 juta unit yang dicapai tersebut adalah dari tiga tahun kebelakangan ini, disumbangkan oleh model-model dengan teknologi baharu Geely.

    Dengan model-model lebih baharu berasaskan platform CMA dan BMA (dan juga model-model elektrik sepenuhnya dari platform SEA baharu), angka jualan 10 juta berikutnya dijangka akan dicapai jauh lebih cepat dari sebelum ini. Antara barisan model baharu yang diperkenalkan termasuk sedan Preface atau Xing Rui dan juga SUV Coupe Xing Yue – kedua-dua ini merupakan model yang diasaskan dari platform CMA.

     
     
  • Mazda CX-5 generasi baru akan datang dengan ciri RWD serta unit enjin enam-silinder sebaris?

    Mazda CX-5 generasi baru akan datang dengan ciri RWD serta unit enjin enam-silinder sebaris?

    Menurut sebuah laporan oleh Best Car Web dari Jepun, model generasi baru Mazda CX-5 mungkin akan beralih kepada platform pacuan roda belakang dan memanfaatkan enjin enam-silinder. Langkah itu adalah strategi syarikat untuk menembusi pasaran lebih premium, yang dipelopori oleh Mercedes-Benz, BMW dan Audi.

    Pembangunan platform dan enjin baru itu sebelum ini disahkan oleh pengeluarnya sejak 2019 lagi, dengan khabar angin menyatakan Mazda 6 generasi seterusnya akan menjadi model pertama menerima teknologi tersebut. Jika mengambil kira laporan terbaru ini pula, kelihatannya CX-5 akan ikut serta di dalam barisan penawaran terbaru ini, walaupun bukan dalam masa terdekat – pengenalan mungkin pada 2023.

    Bulan lalu, Mazda mempertontonkan enjin enam-silinder sebaris yang dibangunkannya untuk pertama kali. Ia dikatakan bakal ditawar dalam versi petrol, diesel dan SkyActiv-X, dengan sokongan elektrifikasi dalam bentuk PHEV atau 48-volt mild hybrid. Enjin empat-silinder dengan elektrifikasi yang menggunakan Toyota Hybrid System (THS) turut dipertontonkan pada masa yang sama, dan ini akan digunakan pada SUV baru yang dibina di Amerika Syarikat.

    Mazda CX-5 generasi baru akan datang dengan ciri RWD serta unit enjin enam-silinder sebaris?

    CX-5 generasi kedua yang dijual ketika ini sudah berada dalam pasaran sejak 2016, dan menggunakan platform pacuan roda depan yang dipasang enjin petrol dan diesel. Transmisi automatik enam-kelajuan adalah standard, dengan pilihan bagi pacuan semua roda.

    Dalam satu laporan lain yang lebih awal oleh Spyder7, CX-5 generasi akan datang dikatakan akan ditawarkan dengan enjin 3.0 liter dan 3.3 liter enam-silinder sebaris – kapasiti lebih besar itu merupakan enjin diesel. Sebagai tambahan, akan ada dua enjin yang lebih kecil, 2.5 liter – satu daripadanya enjin hibrid – serta 2.2 liter diesel.

    Laporan yang sama turut mencadangkan bahawa CX-5 akan dinamakan CX-50 berdasarkan fail paten yang dilihat, walaupun belum dapat dipastikan kesahihan perkembangan ini. CX-5 mungkin akan kekal dengan namanya yang sama, manakala CX-50 boleh jadi akan digunakan untuk model baru yang lain di antara CX-5 dan CX-9 sebagai sebuah crossover ala coupe.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025