Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Bekalan minyak habis, ratusan kenderaan terkandas — permintaan tinggi luar jangka, sesak teruk jadi punca

    Bekalan minyak habis, ratusan kenderaan terkandas — permintaan tinggi luar jangka, sesak teruk jadi punca

    Jarang berlaku, tetapi terdapat situasi di Pantai Timur menyaksikan kenderaan terkandas di stesen minyak akibat terputus belakan di musim perayaan kali ini. Astro Awani melaporkan, kira-kira 200 kenderaan terkesan disebabkan masalah itu di sebuah stesen minyak di Setiu, yang telah kehabisan minyak sejak semalam.

    Kata seorang pengguna kepada agensi berita itu, Azuddin Yusoff, beliau memulakan perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke Pahang sebelum terkandas di stesen minyak berkenaan sejak jam 6 petang Jumaat. Sehingga 11 malam, beliau bersama kira-kira 200 pengguna lain masih terkandas di situ.

    Seorang penyelia stesen minyak terbabit, Hafikir Zaki, memohon maaf di atas kesulitan yang dialami para pengguna dan menyatakan perkara itu berlaku akibat bekalan minyak yang terputus. “Lori yang menghantar minyak sepatutnya tiba lebih awal mengikut jadual, tetapi disebabkan kesesakan dan terlalu banyak kereta, perjalanannya tergendala,” ujar beliau. Difahamkan sekitar jam 12 malam tadi barulah lori yang membawa bekalan minyak berkenaan tiba di stesen minyak tersebut.

    Sementara itu, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) hari ini menjelaskan punca masalah tersebut. Presidennya, Datuk Khairul Anwar Abdul Aziz memaklumkan kepada The Malaysian Insight bahawa kekurangan bekalan itu berpunca daripada permintaan terlampau tinggi di luar jangkaan, dan juga kesesakan teruk di lebuhraya yang menyebabkan perjalanan lori tangki tergendala.

    Menurut beliau lagi, ini tidak hanya melibatkan stesen di lebuhraya, tetapi turut memberi kesan kepada stesen di laluan lain juga, termasuk di Pantai Timur. “Raya kali ini keadaannya sangat berbeza daripada sebelumnya, dan itu mengejutkan. Jualan melambung tinggi. Biasanya peningkatan hanya 20% berbanding hari biasa, tetapi kali ini naik hingga 40%,” tambah beliau.

    Beliau memaklumkan, gangguan bekalan ini dijangka berterusan hingga esok dan akan kembali seperti biasa sebaik saja penguna tiba ke destinasi mereka seperti sediakala.

     
     
  • 113 kematian bagi enam hari pertama Ops Selamat 18

    113 kematian bagi enam hari pertama Ops Selamat 18

    Dalam tempoh enam hari (setakat 4 Mei) selepas Ops Selamat 18 dijalankan bermula 29 April lalu, sebanyak 9,816 kes kemalangan jalan raya direkodkan, melibatkan 113 kematian. Ini baru sedikit melepasi separuh daripada tempoh ops berkenaan berlangsung, yang akan berakhir 8 Mei nanti, melibatkan perjalanan pengguna untuk pulang semula ke bandar.

    Timbalan Ketua Polis, Datuk Razarudin Husain memaklumkan kepada Bernama yang pada 4 Mei (Rabu), 24 orang telah meninggal di atas jalan raya, sedikit berkurang daripada 28 kematian yang direkodkan pada hari pertama Hari Raya (2 Mei).Daripada 113 kematian itu, 72 melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng, 30 pemandu dan penumpang kereta, enam pejalan kaki, dua penumpang van, dua penumpang 4×4 dan seorang dalam teksi.

    Selangor mencatatkan angka kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372), Perak (982), Kuala Lumpur (875), Pulau Pinang (803), Kedah (659), Pahang (561) dan Negeri Sembilan (507). Kebanyakan kemalangan berlaku di jalan dalam bandar (3,876), diikuti jalan persekutuan (1,937) dan lebuhraya (1,043).

    Beliau juga berkata, dalam enam hari pertama Ops Selamat 18 berlangsung, PDRM telah mengeluarkan 26,837 saman bagi enam kesalahan utama. Daripada jumlah itu, 25,582 saman adalah kerana memandu melebih had laju. Polis juga kini menggunakan drone untuk memantau pengguna yang memotong menggunakan lorong kecemasan.

    Perjalanan kembali ke kota yang sedang berlangsung hingga hujung minggu ini juga diharapkan menjadi lancar dan kurang kejadian tidak diingin. Berhati-hati memandu buat semua.

     
     
  • Proton Saga MC2 2022 — gambar kabin terdedah; OS dan kawalan pendingin baru, kemasan merah

    Proton Saga MC2 2022 — gambar kabin terdedah; OS dan kawalan pendingin baru, kemasan merah

    Ini tambahan terbaru gambar-gambar spyshot untuk Proton Saga MC2 2022, yang khabarnya akan dilancarkan tak lama lagi. Kita dah pun tengok rekaan luarannya sebelum ini, dan kini ada beberapa gambar lebih dekat serta bahagian dalaman kereta tersebut, yang memperlihatkan perbezaannya.

    Antara yang dapat dilihat ialah perincian merah keliling tombol pada panel meter. Pendekatan ini juga pernah digunakan untuk Saga Edisi Ulangtahun pada 2020, yang datang dengan kemasan kuning di corong pendingin hawa dan tengahnya.

    Perincian merah pada MC2 ini lebih meluas digunakan, misalnya di bahagian tengah corong pendingin hawa juga. Jalur krom kecil yang memisahkan butang stereng juga dalam warna merah. Corong pendingin di sisi tidak kelihatan, tetapi kemungkinan besar ia juga dalam warna merah untuk nampak sekata.

    Panel kawalan pendingin hawa juga baru, hadir dengan tombol di hujungnya dengan dua butang di tengah. Tombol berkenaan nampak sama dengan yang ada pada Iriz Active, tetapi tanpa kekunci ala piano dan paparannya. Ini nampak lebih menarik berbanding yang ada pada model semasa Saga.

    Nampaknya seperti ada OS baru untuk sistem infotainmen Saga ini, jika dilihat pada paparan utama skrinnya, yang ada banyak ikon dan warna. Kelihatannya juga tanda amaran “periksa barangan anda” ketika enjin dimatikan, sama seperti yang Perodua perkenalkan pada keretanya — untuk memastikan anda tidak tertinggal barangan atau bayi. Logo pada sterengnya juga logo baru.

    Untuk luaran, perubahan sangat sedikit. Antaranya gril menggunakan logo baru, dengan rekaan gril yang mirip gaya X50. Roda aloi yang digunakan juga diberi rekaan baru, serta perumah hitam untuk cermin sisi seperti dalam gambar. Selebihnya kekal sama seperti model semasa, termasuklah rekaan bampar dan lampu yang ada — namun tetap juga ada bodykit yang menawan.

    Dari dokumen yang bocor dan beredar bulan ini telah mendedahkan banyak perkara tentang Saga MC2 ini. Akan ada varian tertinggi baru 1.3L Premium S AT, dan ia akan menggunakan roda 15-inci dan bodykit yang anda lihat ini. Cermin sisi juga lipatan automatik, serta lid di belakang kini dengan suis pembuka ruang barangan.

    Lain-lain kemaskini termasuklah kluster instrumen, stereng dan kerusi balutan material ala kulit, masukan tanpa kunci dengan butang penghidup serta pelapik bumbung hitam. Selain itu, 1.3 Standard MT tidak mempunyai ESC, tetapi akan terus ada sebagai satu-satunya penawaran kereta manual Proton. Nampak menarik Saga baru ini?

     
     
  • Jualan kenderaan bagi Mac 2022 meningkat 62.5%

    Jualan kenderaan bagi Mac 2022 meningkat 62.5%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Mac 2022, yang menyaksikan sebanyak 73,222 buah kenderaan baru telah diserahkan kepada pembeli sepanjang bulan tersebut. Ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 28,171 unit daripada 45,051 unit (awalnya dilaporkan 43,722 unit) bagi Februari, diterjemahkan kepada 62.5% peningkatan.

    Menurut MAA, peningkatan itu disebabkan oleh gesaan jualan yang agresif oleh syarikat sebelum tamat tempoh tahun kewangan mereka pada 31 Mac, serta hari bekerja yang lebih panjang berbanding Februari.

    Dibanding dengan bulan yang sama tahun lalu, tahun ini memperlihatkan 2.76% (atau 8,284 unit) lebih banyak, sementara angka semasa bagi tiga bulan pertama 2022 adalah 159,752 unit, peningkatan 7.8% (atau 11,597 unit) berbanidng 2021 dengan 148,155 unit.

    MAA mensasarkan jualan bagi April akan lebih rendah disebabkan banyak serahan yang telah dilakukan sepanjang Mac ketika syarikat pengeluar cuba menepati sasaran bagi tahun kewangan masing-masing. Persatuan itu juga menambah, kekurangan cip dan komponen dijangka akan berterusan dan memberi kesan kepada jualan, serta kelewatan penghantaran juga mungkin akan memberi kesan kepada sesetengah syarikat.

     
     
  • Polis Terengganu tahan tiga kereta dengan nombor plat fancy MIRA, DINA, J3H3 — denda, penjara menanti

    Polis Terengganu tahan tiga kereta dengan nombor plat fancy MIRA, DINA, J3H3 — denda, penjara menanti

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) polis Terengganu baru-baru ini menahan tiga kenderaan yang menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya — rekaan nombor plat fancy.

    Menurut jabatan itu, dua daripada kenderaan yang ditahan itu adalah jenis MPV, satu daripadanya menggunakan plat “MIRA” yang dipandu oleh seorang individu 36-tahun dari Kuala Terengganu. Sebuah lagi MPV pula menggunakan nombor plat “DINA”. Kedua-duanya ditahan oleh anggota polis yang meninjau keadaan aliran trafik berdekatan Padang Midin, Kuala Terengganu.

    “Ketika ditanya kenapa mereka menggunakan nombor plat sebegitu, dua pemilik berkenaan menyatakan mereka seronok untuk menggunakan kereta baru untuk menyambut Syawal, jadi mereka dedikasikan lima huruf/angka terakhir itu sempena nama orang tersayang,” jelas jabatan berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook.

    Alasan seperti ini tidak akan diendahkan dan akan disiasat di bawah Seksyen 108 (3) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor yang menyerupai simbol/tanda dengan tujuan mengelirukan pihak berkuasa.

    Polis Terengganu tahan tiga kereta dengan nombor plat fancy MIRA, DINA, J3H3 — denda, penjara menanti

    Dalam satu lagi kejadian, sebuah Volkswagen Golf dengan nombor pendaftara “J3H3” turut ditahan di Bandar Baru Kuala Nerus. Alasan yang diberikan oleh pemandu berusia 24-tahun dari Setiu itu adalah kerana kereta itu dibeli pada malam Raya dan dia tidak sempat menukar nombor pendaftaran berkenaan untuk mengikut spesifikasi.

    Ketiga-tiga pemandu berkenaan, jika didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripda RM20,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya.

    Permasalahan tentang nombor plat fancy ini bukanlah perkara baru, dengan JPJ juga sudah berulang kali mengeluarkan peringatan kepada orang ramai agar tidak menggunakan rekaan nombor plat yang tidak mengikut standard (termasuk permukaan karbon) atau mendekatkan serta mengubah huruf/angka untuk dijadikan sebuah frasa, nama atau membawa maksud lain.

     
     
  • Polis tahan pemandu Audi A4, Toyota Wish kerana memandu secara merbahaya — lesen akan digantung?

    Polis tahan pemandu Audi A4, Toyota Wish kerana memandu secara merbahaya — lesen akan digantung?

    Ingat ada satu video yang tular melibatkan sebuah Audi A4 dan Toyota Wish yang memandu secara bahaya di lebuhraya baru-baru ini? Perkembangan terbaru, PDRM telahpun menahan kedua-dua individu terbabit atas kesalahan berkenaan yang berlaku pada 1 Mei di KM 269 hingga KM 238 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan).

    Pihak polis berbuat demikian disebabkan bantuan rakaman video yang tersebar. Pemandu Audi A4, warga tempatan berusia 36-tahun, menyerah diri pada 9 pagi 2 Mei sementara pemandu Wish pula yang berusia 34-tahun menyerah diri hari berikutnya pada jam 6.45 pm. Kedua-dua kenderaan juga telah disita.

    Menurut IPD Seremban, sebab adegan kejar-mengejar itu berlaku adalah kerana pemandu Wish berkenaan dikatakan tidak membayar ansuran keretanya untuk beberapa bulan. Pemandu Audi pula yang bertugas sebagai tukang tarik kereta ingin memberhentikannya.

    Kes ini masih dalam siasatan dan kedua-dua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika didapati bersalah, pelaku akan dilucutkan lesen memandunya bagi tempoh lima tahun, dan berhadapan dengan kemungkinan dipenjara tidak lebih daripada lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM10,000.

     
     
  • Suzuki Gixxer 250 dan SF250 tiba di M’sia pada 2023

    Suzuki Gixxer 250 dan SF250 tiba di M’sia pada 2023

    Aktifnya semula jenama motosikal Suzuki di Malaysia menyaksikan pelbagai model baru dilancar. Kebanyakannya adalah yang berkapasiti tinggi, sementara yang lebih rendah pula model-model 150 cc. Seperti biasa, pengguna mengharapkan lebih lagi.

    Bagi yang menunggu ketibaan motosikal 250 cc daripada Suzuki, ini ada berita yang kami dapat daripada sumber di dalam Suzuki sendiri. Kita boleh menjangkakan pelancarannya berlaku sekurang-kurangnya pada tahun 2023. Model yang dimaksudkan adalah Gixxer 250 dan Gixxer SF250, dan harganya dikatakan berada dalam lingkungan yang sama seperti pesaingnya termasuk KTM Duke 250, Yamaha MT-25 dan Yamaha R25.

    Kedua-dua Gixxer 250 dan Gixxer SF250 dipacu oleh enjin sama, iaitu unit satu siinder SOHC satu silinder 249 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, dipadankan bersama dengan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 26 hp pada 9,00 rpm dan 22.6 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Suzuki Gixxer 250 dan SF250 tiba di M’sia pada 2023

    Bezanya cuma pada bentuk badan di mana Gixxer 250 menggunakan rekaan sebuah motosikal naked sementara Gixxer SF250 mendapat bentuk yang lebih sporty dengan panel penuh. Selain tapak pemegang, bahagian lain dua motosikal ini kebanyakannya adalah sama.

    Ini termasuk fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan 150/60 di belakang, tinggi tempat duduk 800 mm dan tangki bahan api 12 liter.

    GALERI: Suzuki Gixxer SF250 pasaran Vietnam

    GALERI: Suzuki Gixxer 250 pasaran Vietnam

     
     
  • Myvi 2022 generasi baru EV oleh Saharuddin Design

    Myvi 2022 generasi baru EV oleh Saharuddin Design

    Bagaimana bayangannya jika Perodua Myvi generasi terbaru nanti adalah sebuah EV? Pendekatan rekaan yang bagaimana seharusnya digunakan? Untuk ini, Saharuddin Busri yang kerja-kerja rekaan digitalnya selalu kami kongsikan sebelum ini, ada jawapan beliau yang tersendiri.

    Merasakan penampilan rekaan Perodua Myvi ketika ini terlalu “sibuk” dengan garis-garis tajam dan berketul yang terserlah dengan agak ketara, beliau tampil dengan pendekatan yang lebih bersih. Ini selari dengan perkembangan rekaan yang kebanyakannya diterapkan pada model-model kenderaan EV sekarang, dengan imej dan garis badan yang lebih ringkas dan kemas — hal yang sama misalnya banyak mengambil inspirasi daripada rekaan kenderaan terkini Volvo.

    Bagaimanapun, oleh kerena Myvi adalah sebuah hatchback, ia masih dikekalkan dalam bentuk dan karakter sporty; dalam kes ini, rujukannya adalah model Volkswagen Golf terkini yang memberinya keteguhan dalam imej sporty berkenaan.

    Myvi 2022 generasi baru EV oleh Saharuddin Design

    Keringkasan yang ingin ditampilkan itu sangat terserlah. Dari depan misalnya, hud depan hanya ada dua garisan hampir lurus yang kemudian menjurus kepada wajah depan yang bersih; dengan jalur lampu LED melintang penuh. Elemen rekaan yang sama ini dilanjutkan ke bahagian cermin sisi, dengan jalur krom menjadi semacam tapak pemegang cermin sisi berkenaan — dengan perumah gentian karbon.

    Dari sisi juga rekaan ini nampak gagah, dengan garis baru yang bersih dan ketara memisahkan dua bahagian utama badan kenderaan ini. Satu lagi garis lengkung di badannya memberikan kesan “berotot” untuknya. Rim pula hadir dalam saiz yang besar daripada biasa, membuatkannya nampak seperti mempunyai tapak dan kedudukan yang lebih kukuh dan stabil sebagai sebuah kereta sporty.

    Paling “sibuk” mungkin bahagian belakang. Sekali pandang, ia kelihatan mengambil inspirasi daripada bahasa rekaan yang biasa kita lihat pada SUV. Jalur lampu LED melintang menjadikannya nampak lebar, dengan lampu belakang yang minimalis. Satu garis utama membuatkan bahagian belakang ini seperti terpisah dua dengan lekuk yang besar.

    Nama Perodua juga disesuaikan dengan unsur keringkasan, sebelum lencana yang tertulis “Myvi 2022” melengkapkan identiti kereta ini. Rekaan bampar juga tampil bersih, dengan dipisahkan kepada dua; pertama ruang hitam yang menempatkan nombor plat serta kedua bahagian ala diffuser hitam di bawahnya.

    Apa pandangan anda tentang rekaan bersih ala EV untuk Myvi yang dibayangkan ini? Jauh lagi menarik daripada Myvi yang ada sekarang? Rasa-rasa boleh jadi kenyataan tak, mana tahu kalau Myvi generasi seterusnya nanti akan ada versi elektrifikasi, atau bahkan EV sepenuhnya terus?

     
     
  • Selamat Hari Raya dari paultan.org & Honda Malaysia

    Hari Raya Aidilfitri semakin hampir. Selepas dua tahun berdepan dengan pandemik, suasana kali ini terasa sangat berbeza. Pusat beli-belah dikerumuni orang ramai, bazar Ramadan juga berdenyut kembali dan semua orang seronok untuk memulakan perjalanan balik ke kampung.

    Perlahan-lahan perasaannya seperti kembali seperti dahulu. Tapi, seperti juga perayaan yang lain, pasti ada mereka yang tidak bernasib baik dan tidak dapat bersama keluarga (paling tidak secara fizikal), seperti situasi Joe dalam video Hari Raya kami ini.

    Apa pun keadaannya, kami di paultan.org dan Honda Malaysia ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya kepada anda, dan semoga Raya kali ini penuh bermakna.

    Sebarkan rasa cinta dan kegembiraan seluas mungkin Raya ini, dan kepada sesiapa saja yang anda sayangi. Semoga Hari Raya anda kali ini dirahmati, dan harapan kami anda menikmati video yang disediakan ini. Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri semua!

     
     
  • Proton tandatangani perjanjian untuk masuki semula pasaran Afrika Selatan, sasar eksport 300% akhir 2022

    Proton tandatangani perjanjian untuk masuki semula pasaran Afrika Selatan, sasar eksport 300% akhir 2022

    Proton akan memasuki pasaran Afrika Selatan. selepas menandatangani perjanjian bersama CMH Group yang bakal menjadi pengedar bagi kenderaan Proton di sana. Majlis menandatangani perjanjian tersebut yang dijalankan secara maya, bagi memeterai permulaan proses penghantaran pertama kenderaan Proton (CBU) yang akan bakal dijual pada bulan September. Penghantaran pertama akan dimulakan dengan Proton X50 dan X70 dan ini akan diikuti dengan Saga, yang kembali ke negara itu selepas jualan berakhir pada tahun 2012.

    Pengeluar kereta nasional ini optimistik dengan prospek jualannya di Afrika Selatan. Malah Proton meramalkan jualan yang kukuh bagi tahun ini, dan menyasarkan lebih daripada dua kali ganda jumlahnya pada tahun 2023. Untuk suku pertama tahun ini, jumlah jualan eksport telah meningkat sebanyak 175% berbanding tempoh yang sama pada 2021. Jualan dijangka bertambah kerana syarikat bersasaran untuk meningkatkan eksport lebih daripada 300% pada akhir tahun ini.

    Proton tandatangani perjanjian untuk masuki semula pasaran Afrika Selatan, sasar eksport 300% akhir 2022

    Berkenaan dengan eksport untuk suku pertama tahun ini, sebanyak 794 unit bagi pelbagai model telah dihantar pada Mac, dan Pakistan merupakan pasaran eksport terbesar Proton, meliputi 690 unit pada bulan lalu. Dengan pertambahan Afrika Selatan di dalam pasaran eksportnya, buat masa ini Proton telah pun mengeksport produknya ke 13 buah negara, dan pemasangan tempatan pula telah beroperasi di Pakistan, Kenya dan Bangladesh, dan bakal disusuli Sri Lanka pada separuh kedua tahun ini.

    Dari segi keseluruhan eksport kenderaan di Malaysia, prestasi Proton semakin menonjol. Bermula dengan 12.8% daripada jumlah keseluruhan eksport pada tahun 2019, meningkat kepada 30.2% pada tahun 2020 dan mencecah 60.9% pada tahun 2021. Ini menjadikan jenama Proton sebagai pengeksport kenderaan utama negara dan menunjukkan eksportnya terus berkembang walaupun keadaan pasaran yang sukar disebabkan oleh Covid-19.

    “Matlamat jangka panjang Proton memerlukan eksport memainkan peranan utama untuk mengembangkan jualan keseluruhan syarikat kerana TIV di Malaysia dijangka tidak banyak berubah. Justeru, kami mengeksploitasi kekuatan produk baharu kami, jenama kami dan juga hubungan Malaysia dengan negara lain untuk bertapak di pasaran baharu. Ini kemudiannya diperkukuhkan dengan mewujudkan operasi pemasangan tempatan (CKD) di mana- mana yang berpotensi, yang juga dapat membantu mengembangkan ekonomi tempatan,” kata Steven Xu, Pengarah Jabatan Jualan Antarabangsa, Proton.

     
     
  • Toyota RAV4 2022 di Australia; unit utama baharu, Intersection Pre-Collision Safety & E-Steering Assist

    Toyota RAV4 2022 di Australia; unit utama baharu, Intersection Pre-Collision Safety & E-Steering Assist

    SUV Toyota RAV 2022 telah pun diberi peningkatan untuk pasaran Australia pada separuh pertama tahun ini. Peningkatan ciri melibatkan sistem multimedia, teknologi dan keselamatan.

    Ciri utama yang ditambahbaik ialah melibatkan sistem multimedia generasi-terbaharu yang kinidiberikan secara standard untuk semua barisan RAV4. Kini ditambah dengan sambungan USB-C untuk dipasangkan dengan telefon pintar dan fungsi pengecasan, serta termasuk dengan Toyota Connected Services.

    Selain itu, RAV4 2022 juga diberikan Toyota Safety Sense – juga standard untuk semua varian, yang termasuk dengan Intersection Pre-Collision Safety dan Emergency Steering Assist.

    Timbalan Presiden bagi operasi jualan, pemasaran dan francias Toyota Australia, Sean Hanley berkata, peningkatan yang dilakukan untuk RAV4 akan menaikkan lagi daya tarikan SUV ini. Malahan, ia juga sudah menjadi antara model Toyota yang paling popular.

    “Toyota sentiasa berminat untuk menyediakan teknologi keselamatan, ketersambungan dan multimedia terkini yang dikehendaki pelanggan. Peningkatan terbaharu untuk RAV4 ini akan menjadikannya sebagai SUV sederhana paling popular yang lebih menarik,” kata Hanley.

    Sambungnya lagi, “Toyota akan terus memastikan pelanggan kami menerima perkembangan mengenai penigkatan dan model untuk masa hadapan. Malah kami juga menggalakkan pelanggan kami untuk bercakap dengan pengedar kami mengenai ciri peningkatan ini.”

    Selain itu, lebih banyak peningkatan akan diumumkan pada masa hadapan, dengan pelarasan harga akan ditetapkan menjelang pelancarannya kelak.

     
     
  • Honda Click 160 dilancar di Thailand – Vario yang diperbaharui dengan badan serba baru, enjin 156.9 cc

    Honda Click 160 dilancar di Thailand – Vario yang diperbaharui dengan badan serba baru, enjin 156.9 cc

    Selepas Indonesia, kini Thailand pula menjadi negara seterusnya yang menerima model baru Click 160. Di Indonesia, skuter ini menggunakan nama Vario 160 (nama yang mungkin juga digunakan di negara kita sekiranya ia tiba nanti) dan masuk ke dalam pasaran sebagai menggantikan Vario sebelumnya (model yang berada di negara kita sekarang).

    Jika dibandingkan dengan Vario 150, Click 160 ini melibatkan perubahan yang menyeluruh termasuklah rekaan luar serta enjin. Bagi panel badan, walaupun masih nampak familiar, ia sebenarnya semua adalah baru dan paling utama, masalah penghadang lumpur yang nampak ‘tergantung’ sebelum ini telah diatasi.

    Rim masih lagi bersaiz 14 inci, tetapi dipadankan bersama tayar yang lebih tebal iaitu bersaiz 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang. Semua lampu pada Click 160 ini menggunakan unit LED, sementara tempat duduk juga menggunakan rekaan baru.

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, enjin skuter ini juga telah dipertingkat, dengan kini menggunakan unit satu silinder 156.9 cc, dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan menggunakan nisbah mampatan 12:1 (sebelum ini 10.6:1). Hasilnya, ia dapat menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm (sebelum ini 13.1 PS dan 13.4 Nm).

    Juga sama seperti Indonesia, pasaran Thailand juga menerima dua versi bagi Click 160. Yang pertama adalah menggunakan sistem brek CBS, sementara satu lagi yang baru menerima brek cakera hadapan dan belakang, bersama sistem ABS. Bahagian lain seperti suspensi, panel meter LCD, tangki bahan api 5.5 liter serta sistem tanpa kunci adalah sama seperti Vario sebelum ini.

    Harga jualan Click 160 di Thailand bermula 63,500 baht (RM8,044), dan ini cuma melibatkan beza 2,300 baht (RM291) sahaja berbanding Click 150 yang dijual bermula 61,200 baht (RM7,752).

     
     
  • SYM VF3i diperkenalkan dalam warna baru -RM9,938

    SYM VF3i diperkenalkan dalam warna baru -RM9,938

    Pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd memperkenalkan grafik baru untuk VF3i, yang terdiri daripada padanan warna oren dan hitam. Harganya adalah RM9,938 tidak termasuk insurans (sama seperti versi LE sebelum ini) sementara warna biasa dijual pada harga RM9,338).

    Diangkat sebagai kapcai dengan enjin berkapasiti paling besar dari kilang, VF3i dipacu oleh enjin satu silinder 183 cc SOHC penyejukan cecair bersama padanan tranmsisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 19.7 hp pada 9,000 rpm dan 17.4 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Selain daripada itu, model ini juga mempunyai kelebihan dalam segmen kapcai kerana dilengkapi dengan sistem brek ABS one channel pada roda hadapannya (sama seperti VF3i Pro V3 dan VF3i 185 LE). Kelengkapan brek itu sendiri terdiri daripada cakera dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera dengan angkup satu piston di belakang.

    Selain daripada itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan lampu LED depan dan belakang, panel meter gabungan LCD dan analog, tangki bahan api tujuh liter, fork teleskopik, monoshock, rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang serta pemula enjin elektrik.

    Model berwarna baru ini sudah mula berada di wakil pengedar motosikal SYM di seluruh negara dan ia diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mitsubishi M’sia jual 19,217 kereta dalam TK2021, naik 66% dari TK2020 – kini jenama bukan-nasional ketiga

    Mitsubishi M’sia jual 19,217 kereta dalam TK2021, naik 66% dari TK2020 – kini jenama bukan-nasional ketiga

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menunjukkan peningkatan yang signifikan sepanjang tahun kewangan (TK) 2021, dengan berjaya menghantar sebanyak 19,217 unit kenderaan dari April 2021 hingga Mac 2022. Ia mewakili kenaikan sebanyak 66% berbanding tahun kewangan sebalumnya (TK2022) dari April 2020 hingga Mac 2021, walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) menyusut sebanyak 6.7%, kata syarikat tersebut.

    Walau pun dalam tempoh dua tahun ini, industri automotif turut berhadapan dengan cabaran yang getir penangan pandemik, di samping beberapa faktor lain, namun MMM tetap melakar kejayaan tersendiri termasuk menjadi jenama automotif ketiga bagi segmen bukan-nasional. Mitsubishi Xpander juga telah mendominasi segmen MPV bukan-nasional di Malaysia sepanjang TK2021, sementara jualan trak pikap Triton pula meningkat 24% berbanding TK2020, memberikan laluan untuknya kekal dalam perkongsian pasaran sebanyak 21.4%.

    “Secara umumnya, dalam tempoh dua tahun yang penuh mencabar bagi industri automotif, bukan setakat peningkatan kes akibat Omicron, tetapi juga termasuk banjir kilat yang melanda Lembah Klang dan Pantai Timur, serta kekurangan bekalan cip semikonduktor. Walau pun terdapat pelbagai halangan dan cabaran, namun prestasi jualan kami berkembang dan ini merupakan kejayaan signifikan untuk kami,” ujar Shinya Ikeda, CEO bagi MMM.

    Tambah beliau lagi, “Kami amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas inisiatif dan lanjutan pengecualian cukai SST untuk beberapa tahun ini. Dengan inisiatif tersebut, pelanggan kami dapat menikmati penjimatan tambahan dan turut memberikan kami masa bagi memenuhi semua tempahan yang dibuat.”

    Ikeda juga menyedari bahawa sebilangan besar pelanggan ingin membeli kenderaan Mitsubishi sebelum pengecualian SST tamat. “Kami meneruskan usaha terbaik kami untuk memenuhi jumlah tempahan, dan kami telah meningkatkan kapasiti pengeluaran dan dalam masa yang sama mengekalkan tahap kualiti produk. Pelanggan kamilah yang meletakkan kami pada posisi ini, justeru, memberikan mereka kemudahan dan keyakinan sepenuhnya terhadap jenama itu adalah keutamaan kami,” katanya.

     
     
  • Petronas jadi penaja utama pasukan lumba TVS Motor

    Petronas jadi penaja utama pasukan lumba TVS Motor

    Syarikat minyak dan gas nasional Petronas mengadakan satu kerjasama dengan TVS Motor Company untuk menjadi penaja utama pasukan lumba factory pertama India iaitu TVS Racing. Dalam perjanjian dibuat, Petronas akan membekalkan pelincir prestasi Petronas Sprinta kepada pasukan tersebut yang dikenali sebagai Petronas TVS Racing Team, dan berlumba dalam pelbagai kategori seperti supercross, atas litar serta rali.

    Antara kejuaraan yang disertai pasukan ini adalah seperti Indian National Motorcycle Racing Championship (INMRC), Indian National Supercross Championship (INSC), dan Indian National Rally Championship (INRC). Sebagai tambahan, Petronas Lubricants International juga akan membuat satu pecahan jenama minyak baru bersama TVS dipanggil sebagai TVS TRU4 Race Pro dan akan dijual di negara itu bermula Mei 2022.

    “Petronas terus ke hadapan dalam rangkaian nilai di India termasuk membekalkan LPG melalui IndianOil Petronas dan pembekalan panel solar atas bumbung melalui AmPlus Energy. Pelincir Petronas mempunyai pengalaman yang kuat dalam acara sukan permotoran global dan kami bangga dapat memberi sokongan kepada hasrat TVS Motor,” kata pengurus kanan komunikasi strategik kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

     
     
  • Personal Mobiliti Aids dibenar digunakan di laluan pejalan kaki; OKU boleh guna PMA untuk lintas jalan

    Personal Mobiliti Aids dibenar digunakan di laluan pejalan kaki; OKU boleh guna PMA untuk lintas jalan

    Pada 26 April lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan mengenai larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu adalah di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah Larangan”). Kenderaan mikromobiliti yang terbabit ialah Moped, Personal Mobiliti Devices termasuk skuter elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan Personal Mobiliti Aids (PMA).

    Walau bagaimana pun, timbul kekeliruan orang ramai bagi larangan penggunaan PMA, justeru menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah memberikan penjelasan mengenai larangan kenderaan mikromobiliti tersebut.

    “Masih terdapat sedikit kekeliruan mengenai pemahaman orang ramai terutamanya daripada golongan OKU berkaitan peraturan penggunaan peralatan PMA. Saya ingin menjelaskan bahawa kenderaan mikromobiliti di bawah klasifikasi PMA secara umumnya adalah merupakan kenderaan yang mana direka bentuk dan dibina bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan dan khasnya untuk golongan OKU.

    “Walau bagaimana pun, penggunaan PMA di atas jalan adalah dilarang. Ini bermakna, tiada mana-mana orang dibenarkan menggunakannya di atas jalan yang bercampur dengan aliran trafik kenderaan motor yang lain seperti kereta, lori pasir dan bas,” katanya.

    Personal Mobiliti Aids dibenar digunakan di laluan pejalan kaki; OKU boleh guna PMA untuk lintas jalan

    Tambahnya lagi, jika tidak dilarang, penggunaan PMA di atas jalan termasuk di atas lebuhraya akan mendatangkan risiko nahas jalan raya dan kehilangan nyawa atau kecederaan yang tinggi. Ia adalah bagi mengelakkan PMA ini disalah guna oleh individu yang sihat tubuh badan untuk menggunakan sewenang-wenangnya di atas jalan.

    “Namun, penggunaan PMA ini tidaklah dilarang untuk digunakan di atas permukaan (surface) selain daripada jalan kerana ia adalah di luar daripada skop Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah Larangan ini. Penggunaan di atas permukaan atau lokasi seperti di dalam kawasan pusat membeli-belah, laluan pejalan kaki/kaki lima kedai dan di taman-taman adalah tertakluk kepada kuasa-kuasa oleh pihak berkuasa yang berkenaan dan/atau pemilik taman/pusat membeli-belah.

    “Untuk pengetahuan semua pihak, dalam membangunkan dasar ini, MOT juga telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU Central dan persatuan-persatuan OKU pada 23 April 2021, bagi mendapatkan input daripada pihak-pihak tersebut dalam pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti,” jelasnya lagi.

    Beliau sekali lagi menekankan bahawa hanya golongan yang benar-benar jatuh di bawah kategori OKU dan/atau mempunyai masalah kesihatan, individu berkenaan boleh menggunakan lintasan pejalan kaki yang diadakan di atas jalan (dengan berada di atas PMA) untuk melintas jalan tersebut. Namun, pengguna adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan menjaga keselamatan diri dan pejalan kaki yang lain semasa melintas jalan.

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition 2021 – satu unit ditawarkan di Malaysia menerusi Sakan Auto; RM668k

    Honda Civic Type R Limited Edition 2021 – satu unit  ditawarkan di Malaysia menerusi Sakan Auto; RM668k

    Honda Civic Type R Limited Edition merupakan hot hatch yang berasaskan FK8 dan diumumkan pada Februari 2020, sebelum pengeluar kereta Jepun itu mengumumkan sedang membangunkan Civic Type R (CTR) generasi akan datang.

    Tidak seperti CTR FK8, Limited Edition ini, ditawarkan dengan kuantiti yang terhad, hanya 1,020 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, 600 unit adalah untuk Amerika Syarikat, 200 unit untuk Jepun, 20 unit untuk United Kingdom, manakala Eropah dan Kanada masing-masing menerima 100 unit. Ini menjadikan Limited Edition benar-benar rare, malahan ia sungguh ‘laku keras’ dan habis dijual di beberapa pasaran termasuk UK dan Kanada.

    Jika anda dah lama menyimpan impian untuk memilikinya, pengedar kereta terpakai tempatan, Sakan Auto, ada menawarkan hanya satu unit bagi CTR ini, spesifikasi Jepun dengan warna Phoenix Yellow (satu-satunya warna yang ditawarkan untuk versi ini). Sebelum ini, syarikat terbabit memiliki dua unit namun satunya telah pun terjual.

    Honda Civic Type R Limited Edition 2021 – satu unit  ditawarkan di Malaysia menerusi Sakan Auto; RM668k

    Harga yang ditawarkan ialah RM668,000, di mana ia hampir sekali ganda dari RM320,000 (termasuk SST) bagi CTR biasa yang dijual oleh Honda Malaysia ketika pertama kali ia dilancarkan pada tahun 2017.

    Untuk pengetahuan, versi ini dihasilkan 47 kilogram lebih ringan dari versi FK8 facelift 2021, di mana Honda melakukan perkara yang hampir sama yang dilakukan untuk EK9 Type R termasuk mengurangkan penebat-penebat bunyi, dan membuang berberapa ciri yang tidak penting untuk kelajuan termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio dan juga sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang.

    Ia juga menerima set rim aluminium forged yang lebih ringan buatan BBS, tetapi masih mengekalkan diameter yang sama iaitu 20-inci. Honda turut turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Dari segi rupa luaran, model edisi terhad ini masih lagi kekal sama dengan versi facelift standard. Tetapi ia hadir dalam hanya satu warna iaitu Phoenix Yellow, yang begitu sinonim dengan Civic Type R EK9, khususnya yang pernah ditala oleh tuner lagenda Honda, Spoon.

    Model ini juga diberikan kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

    Walaupun sangat racing, Type R Limited Edition ini masih diberikan pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong dengan amaran dan juga cruise control adaptif.

    Bagaimana pun, Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.

    GALERI: Honda Civic Type R Limited Edition

     
     
  • Harga minyak 28 April-4 Mei — RON 97 naik 13 sen

    Harga minyak 28 April-4 Mei — RON 97 naik 13 sen

    Bagi minggu bertarikh 28 April hingga 4 Mei 2022, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi semua bahan api utama di Malaysi naik 13 sen berbanding minggu sebelumnya. Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 untuk seminggu ke depan adalah pada paras RM3.94 seliter, berbanding RM3.81 minggu lalu.

    Harga bagi petrol RON 95 pula masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter dan ia telah pun mencapai harga siling serta tidak berubah sejak setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang juga kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Pelitup muka tak lagi wajib bermula 1 Mei, namun perlu dalam pengangkutan awam dan bangunan tertutup

    Pelitup muka tak lagi wajib bermula 1 Mei, namun perlu dalam pengangkutan awam dan bangunan tertutup

    Kini rasmi. Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah umumkan penggunaan pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kawasan terbuka di Malaysia bermula 1 Mei. Ini langkah kelonggaran SOP Covid-19 terbaru yang diambil oleh kerajaan.

    Anda boleh untuk tidak menggunakan pelitup muka di luar rumah, bangunan pejabat dan pusat beli-belah, dan mana-mana kawasan luar yang terbuka. Bagi golongan berisiko pula, penggunaan pelitup muka masih digalakkan.

    Bagaimanapun, untuk kawasan atau bangunan tertutup, penggunaannya masih diwajibkan kecuali untuk tujuan makan, bersenam sendirian, persembahan pentas atau memberi ucapan. Anda juga perlu menggunakan pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan e-hailing. Tiada lagi penjarakan sosial diperlukan, walaupun disarankan untuk menjaga jarak masing-masing terutama ketika tidak menggunakan pelitup muka.

    Selain itu, bermula 1 Mei juga tidak perlu lagi mengimbas MySejahtera ketika memasuki premis komersial. Individu yang telah divaksin atau belum akan dibenarkan memasuki premis. Apapun, mereka yang didapati positif atau sedang menjalani kuarantin tetap dilarang masuk. Pemilik perniagaan perlu memeriksa status risiko pengunjung menerusi MySejahtera, seperti sebelum ini.

     
     
  • Tol percuma, tapi tetap perlu sentuh kad Touch ‘n Go atau guna lorong RFID — untuk tujuan kumpul data

    Tol percuma, tapi tetap perlu sentuh kad Touch ‘n Go atau guna lorong RFID — untuk tujuan kumpul data

    Seperti yang diumumkan oleh PM sebelum ini, tol percuma menanti penggguna di lebuhraya sempena cuti perayaan Aidilfitri nanti. Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur merupakan antara yang akan dibuka percuma bermula tengah malam Sabtu, 30 April hingga 11.59pm Ahad, 1 Mei untuk semua kenderaan. Tempoh tol percuma untuk perjalanan balik pula adalah dari tengah malam Sabtu, 7 Mei hingga 11.59pm Ahad, 8 Mei.

    Dalam persiapan PLUS untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna turut mengingatkan bahawa pengguna perlu menyentuh kad Touch ‘n Go ketika masuk dan keluar lebuhraya, seperti biasa. Jika menggunakan SmarTag, lalu lorong berkenaan seperti biasa juga, begitu juga dengan pengguna RFID.

    Tol percuma akan dikira nanti ketika pengguna keluar daripada lebuhraya, dan semua ini adalah sebahagian daripada proses perakaman data trafik oleh pihak PLUS. Pengguna perlu pastikan kad TnG dalam keadaan aktif sebelum memulakan perjalanan. Kad yang telah dorman atau luput tarikh akan ditolak oleh sistem dan akan menyebabkan kesesakan.

    “PLUS juga menasihatkan mereka yang merancang untuk bergerak sepanjang hari-hari puncak, terutamanya ketika empat hari mengikut jadual cadangan perjalanan (TTA) yang dikeluarkan. Kami nasihati mereka agar merancang perjalanan dengan cermat untuk mengurangkan kesesakan dan agar perjalanan menjadi lebih selesa untuk semua. Ini termasuklah mengenal pasti lokasi hentian yang diinginkan,” ujar Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    Senarai lebuhraya yang memberikan perjalanan percuma sempena Raya kali ini, ada di sini.