Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Bermaz Auto latih petugas tingkat kemahiran EV, PHEV — CX-60 bakal sertai MX-30, e-2008, Sorento, Niro?

    Bermaz Auto latih petugas tingkat kemahiran EV, PHEV — CX-60 bakal sertai MX-30, e-2008, Sorento, Niro?

    Bermaz Auto sebelum ini telah umumkan tamat pengajian bagi 185 pelajar di bawah Program Perintis Bermaz, yang bakal menyaksikan semua mereka akan ditempatkan di pusat servis bagi tiga jenama yang dikendalikan oleh syarikat itu; Mazda (Bermaz), Peugeot (Bermaz Auto Alliance) dan Kia (Dinamikjaya Motors).

    Keseluruhan 185 pelajar itu juga adalah daripada tiga program berbeza, dengan 68 orang dari Program Perintis Mazda, 60 orang dari Program Mekanik Mazda dan 57 orang lagi dari Program Badan & Cat.

    Selain itu Bermaz Auto juga telah menaik taraf kelengkapan teknikal dan kemudahan di Sekolah Latihan di Glenmarie untuk memastikan tenaga kerja lepas jualanya bersedia untuk mengendalikan kenderaan generasi akan datang seperti kenderaan elektrik bateri (BEV) serta kenderaan plug-in hybrid (PHEV).

    Naiktaraf tersebut bertujuan untuk memberikan pendidikan vokasional dan teknikal serta program latihan untuk memenuhi keperluan tiga jenama yang dinyatakan itu. Satu lagi program, Program Mekatronik juga telah ditambah, memberi tumpuan untuk mendidik pelajar berkaitan teknologi elektronik dan EV.

    Langkah ini adalah sangat perlu sebagai persiapan syarikat itu menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk mengendalikan BEV dan PHEV terlebih dahulu sebelum model-model berkaitan dilancarkan secara rasmi. Sebagai contoh, MX-30 yang dipertontonkan beberapa hari lalu dijangka akand mula dijual di sini dalam tahun ini, sementara syarikat itu juga ada perancangan untuk membawa masuk Peugeot e-2008.

    Bagi Kia pula, Carnival, Sorento, Sportage dan Niro dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan dalam masa dua tahun ini, dengan setiap daripadanya akan melibatkan sistem janaan elektrifikasi, sama ada hibrid, elektrik penuh atau plug-in hybrid yang akan mengiringi sistem janaan konvensional.

    Dan, walaupun belum dinyatakan oleh Bermaz, CX-60 yang menjadi model pertama jenama itu dengan sistem janaan PHEV, mungkin juga akan diperkenalkan di sini. “Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pekerja untuk menepati keperluan kenderaan generasi akan datang dengan fokus terhadap teknologi hijau dan bersih, ciri keselamatan autonomous dan keterhubungan lebih baik. Program kami akan di strukturkan untuk menggalakkan pembelajaran berterusan,” ujar Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022 – 65 unit sudah dihantar kepada pelanggan, 300 unit ditempah

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022 – 65 unit sudah dihantar kepada pelanggan, 300 unit ditempah

    Volvo Car Malaysia (VCM) telahpun menghantar kumpulan pertama berjumlah 65 unit SUV elektrik penuh Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 kepada pelanggan pada 23 April lalu. Model ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Shah Alam, dilancarkan pada 15 Mac lalu.

    Menurut VCM, sehingga kini sebanyak 300 tempahan telah diterima untuk XC40 EV berkenaan, dan dijangka sejumlah 100 unit SUV tersebut akan dihantar kepada pelanggan pada hujung bulan ini. XC40 EV ini dijual pada harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan RM262,460, dan merupakan model pertama elektrik penuh dipasang di sini.

    Volvo XC40 EV ini digerakkan oleh dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar menjadikan ia SUV pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, menjadikan ia SUV paling pantas yang boleh anda beli dalam pasaran buat masa sekarang.

    Kuasa dibekalkan dari bateri 78 kWj yang mampu memberikan jarak gerak 418 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. XC40 EV ini menyokong pengecas AC 11 kW menggunakan penyambung Type 2, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa 7.5 jam. Ia juga diberikan sistem cas pantas DC dengan kemampuan maksimum 150 kW (antaramuka CCS2) yang boleh mengecas bateri dari 0% hingga 80% penuh dalam masa hanya 33 minit.

    Walaupun XC40 EV ini sekitar RM20k lebih mahal berbanding XC40 plug-in hybrid, ia adalah pilihan yang lebih berkuasa malah lebih murah berbanding Mercedes-Benz EQA 250 AMG Line dan juga varian tertinggi Hyundai Ioniq 5 Max. Ia turut ditawarkan dengan waranti dan servis percuma selama lima tahun dengan bantuan tepi jalan. Bateri EV pula diberikan waranti berasingan selama lapan-tahun.

    GALERI: Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022

     
     
  • VIDEO: Toyota Hilux 2.4V vs Mitsubishi Triton 2.4 A/T Premium – trak pikap mana lebih berbaloi di Malaysia?

    Sebelum ini, kami pernah membuat perbandingan antara Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, dengan mengambil varian yang paling tinggi iaitu Hilux 2.8L dan Triton 2.4L Adventure X. Sambutannya cukup baik, dan kali ini kami temukan sekali lagi dua trak pikap paling popular dalam pasaran itu, tetapi dengan mengambil varian pertengahan pula, iaitu Hilux 2.4V dan Triton 2.4 A/T Premium.

    Satu lagi perkara yang membawa kepada perbandingan ini adalah Hilux diberikan facelift pada tahun 2020. Meskipun secara luaran hanya varian paling tinggi sahaja yang nampak jelas menerima perubahan, varian lain juga masih diberikan peningkatan termasuk pada kelengkapan, enjin dan lebih penting, selang masa servis.

    Bagi Triton, walaupun sudah berada dalam pasaran sejak awal tahun 2019, ia masih lagi memberikan cabaran sengit dalam segmen trak pikap dengan rupa Dynamic Shield serba garang serta barangan yang tidak kurang lengkapnya berbanding model lain.

    Bagi yang ingin membeli trak pikap, membuat keputusan mungkin tidak mudah. Jadi, dengan adanya video ini kami harap ia dapat membantu memberikan anda idea di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model. Bukan setakat itu, kami turut nyatakan pilihan kami sendiri dan sebabnya. Jom tonton!

    GALERI: Toyota Hilux 2.4V

    GALERI: Mitsubishi Triton 2.4 A/T Premium

     
     
  • MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    Pada tahun 2020, MG ZS EV diberitahu akan datang ke negara kita dengan dijual dan dipasarkan oleh MG Berjaya. Kerjasama syarikat itu nampaknya tidak berjaya tetapi awal tahun ini tersebar lagi berita bahawa jenama itu sendiri akan mengeskport kenderaan ke negara ASEAN, dengan Malaysia bakal menerima pengedar baru.

    Itu semua bagaimanapun masih belum berlaku, dan bagi sesiapa yang masih mencari SUV elektrik segmen B tersebut, ia sebenarnya sudah ada dalam negara, dibawa oleh pengimport persendirian, G-Mart Corporation. Unit yang mereka bawa ini adalah daripada varian Trophy dari United Kingdom (UK).

    Model facelift ini boleh dikenali dengan mudah melalui ketiadaan gril hadapan, serta tempat mengecas yang dialihkan ke sebelah kanan kenderaan dan mempunyai penutup yang terbuka ke tepi. Bukaan udara di bahagian bawah bampar juga adalah lebih besar berbanding sebelum ini.

    Lampu LED adalah baru, dan ia mempunyai DRL berbentuk anak panah, sementara di belakang pula ia mendapat bampar yang direka semula. Melengkapkan penampilannya adalah rim 17 inci berserta penutup aerodinamik (masih belum dipasang pada kereta).

    Kedua-dua model yang dibawa ini adalah versi standard, yang bermakna ia dilengkapi dengan bateri 51.1 kWh, boleh memberikan jarak gerak sehingga 319 km (kitaran WLTP) dan merupakan satu peningkatan berbanding 263 km yang ditawarkan melalui bateri lithium ion 44.5 kWh pada model sebelum ini. Di pasaran luar, Z5 EV juga mempunyai versi Long Range dengan bateri 72.6 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 440 km.

    Motor elektrik pada model facelift kini menawarkan 177 PS (130 kW) kuasa pada model Standard – 150 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini – sementara tork pula menurun sedikit menjadi 280 Nm (sebelum ini 350 Nm). Daripada aspek prestasi, kereta seberat 1,610 kg ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat dan mencecah kelajuan maksimum 174 km/j.

    MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    Untuk mengecas, ia akan mengambil masa lapan jam apabila menggunakan pengecas AC tujuh kilowatt, 54 minit untuk mencapai tahap 80% (dari kosong) menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan 36 minit apabila menggunakan pengecas pantas DC 100 kW.

    Di dalam, model facelift ini mendapat panel instrumen digital tujuh inci baru, skrin sesentuh 10.1 inci di tengah untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, suis pengawal suhu rekaan baru, sistem masuk tanpa kunci bersama butang pemula, kamera parkir 360 darjah serta roda stereng balutan kulit.

    Barangan tambahan yang diberikan pada versi Trophy ini pula terdiri daripada balutan tempat duduk ala kulit dengan jahitan benang warna kontras, tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung panoramik, pengelap cermin automatik, sistem audio enam pembesar suara serta pengecas Qi tanpa wayar.

    Untuk sistem keselamatan, ZS EV dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu MG Pilot, yang termasuk AEB dengan pengesan pejalan kaki dan basikal, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Traffic Jam Assist, Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Intelligent High Beam Assist.

    Model MG ZS EV Trophy Standard ini dijual pada harga RM235,000 dan ia termasuk sekali dengan pengecas dinding, serta pengecas kompak Exicom EVAC 7.5 kW Type 2, tetapi pemilik harus menanggung sendiri kos untuk memasangnya.

    Pada masa hadapan, syarikat itu akan membawa pula versi SE bagi ZS EV ini, dan ia dijual pada harga kurang RM20k, iaitu RM215,000. Kedua-dua model Trophy ini menggunakan warna Dynamic Red dan sekarang dipamerkan di Auction House syarikat itu di Shah Alam.

     
     
  • ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    ANIH Berhad, pemegang konsesi untuk Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi pengguna lebuhrayanya. Ia adalah bagi tempoh perjalanan antara 30 April hingga 8 Mei 2022.

    Bagi perjalanan dalam tempoh 30 April-2 Mei, pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur dan Selangor yang memasuki lebuhraya berkenaan dari Plaza Tol Gombak dan ingin ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, memiliki beberapa pilihan waktu untuk bergerak.

    Bagi yang ingin ke Pahang, anda boleh bergerak antara jam 10 pagi-2 petang atau 8 malam-11 malam. Untuk pengguna yang ingin ke Terengganu dan Kelantan pula, boleh bergerak antara jam 6 pagi-10 pagi atau 5 petang-10 malam. Manakala waktu perjalanan bebas pula dari jam 12 tengah malam-6 pagi.

    ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    Untuk yang mahu bergerak pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 7-8 Mei 2022, juga diberikan beberapa pilihan waktu untuk memulakan perjalanan. Bagi yang datang dari Pahang, disarankan untuk memulakan perjalanan antara 6 pagi-10 pagi atau 7 malam-10 malam. Manakala yang datang dari Terengganu dan mula memasuki lebuhraya dari Plaza Tol Jabor, boleh memulakan perjalanan antara jam 8 pagi-11 pagi atau 8 malam-10 malam.

    Manakala yang datang dari Kelantan, boleh memulakan perjalanan antara jam 6 petang-8 malam atau 10 malam-12 tengahmalam. Dan waktu perjalanan bebas pula dari jam 12 tengah malam-6 pagi.

    Dalam masa yang sama, pengguna lebuh raya dinasihati untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi. Selain itu, pengguna juga diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19, khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah.

     
     
  • Wuling Mini EV dikesan di Malaysia – kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS, akan dilancarkan di sini?

    Wuling Mini EV dikesan di Malaysia – kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS, akan dilancarkan di sini?

    Kereta elektrik antara yang paling mampu milik dan paling laris di China, Wuling Hongguang Mini EV baru-baru ini telah dilihat di Malaysia. Imej yang anda lihat ini dirakam oleh Zulfadzli Mustafar, salah seorang ahli Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC) yang terserempak dengan kereta tersebut yang dibawa oleh sebuah trak pengangkut.

    Mini EV merupakan kereta elektrik yang dibangunkan dengan kerjasama antara SAIC Motor, General Motors dan Liuzhou Wuling Motors, diperkenalkan buat pertama kali di China pada Julai 2020. Ia juga telah dipamerkan di Indonesia, dan dijangka akan dijual di republik tersebut pada tahun ini.

    Dari segi saiz, kereta elektrik kompak ini dihasilkan dengan dimensi 2,917 mm panjang, 1,493 mm lebar, 1,621 tinggi dan jarak roda 1,940 mm. Sebagai perbandingan, ia adalah 728 mm lebih pendek, 127 mm kurang lebar dan jarak roda 515 mm lebih dekat berbanding Perodua Axia.

    Kereta ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 27 PS (27 hp atau 20 kW) dan tork 85 Nm, bagi membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 100 km/j. Manakala untuk bateri, dua pilihan bateri lithium-ion ditawarkan; 9.3-kWj memberikan jarak gerak sejauh 120 km dan juga 13.9 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 170 km dengan sekali cas penuh.

    Menrusi imej ini, unit yang dibawa tersebut adalah Mini EV Macaron Edition, berdasarkan lencana yang kelihatan pada tiang-C kereta berkenaan. Buat masa sekarang, pihak yang mungkin akan menjual kereta ini di Malaysia adalah Tan Chong Motor Holding (TCMH), namun masih belum ada petunjuk jelas bila ia akan dilancarkan. Unit yang dibawa ini berkemungkinan adalah untuk tujuan penilaian.

    Pada 2019, TCMH mengumumkan di Bursa bahawa mereka telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SAIC-GM-Wuling Automobile (SGMW) untuk meneroka kerjasama dalam memasang, menjual, mengimport dan mengedar kenderaan di Vietnam.

    Wuling Mini EV dikesan di Malaysia – kereta elektrik kompak berkuasa 27 PS, akan dilancarkan di sini?

    Dalam pemfailan Bursa berikutnya bertarikh 20 November 2019, syarikat itu berkata ia sedang mengkaji potensi dan kebolehlaksanaan untuk memperkenalkan kenderaan komersial SGMW di Asia Tenggara, dengan pasaran awal untuk diteroka adalah seperti Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos.

    Pemfailan seterusnya dibuat untuk mengumumkan pengembangan terhadap MoU tersebut, dengan tarikh terbaharu pada 25 Mac 2021, mendedahkan bahawa TC Motor Vietnam (TCMV), anak syarikat milik penuh tidak langsung TCMH, telah dicalonkan oleh TC Manufacturing (Labuan) Pte Ltd untuk menjalin hubungan eksport dengan SGMW. Ia membolehkan TCMV menjadi pengimport dan pengedar tunggal dan eksklusif SGMW bagi kenderaan dan bahagian trak pikap N111P dan N300P serta van kargo N300L di Vietnam.

     
     
  • Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Pengedar Honda di Indonesia, PT Honda Prospect Motor telah melancarkan varian baharu untuk hatchback segmen-A Honda Brio di pasaran berkenaan, digelar sebagai Brio RS Urbanite Edition. Model istimewa ini dihasilkan dengan rupa lebih agresif berbanding Brio RS biasa, disasarkan untuk “anak muda yang menginginkan Honda Brio dengan penampilan yang lebih sporty, bergaya dan hype,” ujar syarikat tersebut.

    Seperti yang anda lihat, model ini diasaskan dari Brio RS biasa, tetapi untuk Urbanite Edition ini ia menerima perincian tambahan untuk penampilan luaran lebih garang termasuk spoiler bumbung belakang yang jauh lebih besar dan juga rim aloi 15-inci dengan kemasan warna hitam matte.

    Dua warna dua tona seperti Brio RS standard iaitu Phoenix Orange Pearl Two Tone dan Carnival Yellow Two Tone masih kekal ditawarkan, bersama dua tambahan warna baru khas untuk Urbanite Edition ini iaitu Tafetta White Two Tone dan Crystal Black Pearl. Emblem Urbanite dilekat pada pintu tailgate belakang model ini bagi melengkapkan perbezaan penampilan luaran.

    Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Perincian-perincian lain dari Brio RS biasa masih dibawa pada Urbanite Edition ini termasuk gril hadapan dengan emblem RS, spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser pada bampar belakang – kesemuanya dalam kemasan hitam berkilat. Ia turut diberikan cermin sisi bersama lampu isyarat membelok LED, serta penutup dan pembuka pintu yang turut diberikan kemasan hitam berkilat.

    Tiada sebarang perubahan perincian dalaman disebut, jadi model Urbanite Edition ini sepatutnya menerima spesifikasi sama seperti Brio RS biasa, tampil lebih sporty berbanding model-model Brio Satya dalam varian lebih rendah. Ia termasuk tema warna dalaman hitam dengan serlahan oren pada papan pemuka, roda stereng dengan suis kawalan audio, tempat duduk hadapan dengan perehat kepala boleh laras, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 6.2-inci bersama tambahan unit tweeter.

    Kesemua varian Honda Brio di Indonesia ini menerima perincian standard seperti lampu hadapan dengan lampu panduan LED, roda stereng dengan hanya larasan turun dan naik, sistem stereng kuasa elektrik, dan suis kawalan pendingin hawa dengan paparan digital.

    Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

    Sistem keselamatan juga adalah sama untuk semua varian, dengan perincian seperti dua beg udara dengan pengingat pemakaian tali pinggang hanya untuk tempat duduk hadapan, serta sistem brek ABS dan EBD tanpa sebarang bantuan sistem kestabilan elektronik.

    Tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa pada Brio Urbanite Edition ini. Kesemua varian Brio di Indonesia menerima enjin 1.2L i-VTEC empat-silinder yang berkuasa 90 PS dan tork maksima 110 Nm, didakwa paling berkuasa dalam kelasnya. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, dan apa yang menarik varian paling mahal Urbanite Edition ini turut ditawarkan dengan kotak gear manual lima kelajuan.

    “Honda Brio merupakan salah satu produk Honda yang terpenting di Indonesia, terutama kerana model ini telah menjadi salah satu produk dengan penjualan tertinggi dan kualitinya sebagai kereta produksi Indonesia telah diakui di pasaran domestik mahupun antarabangsa,” kata Yusak Billy, pengarah inovasi perniagaan, jualan dan pemasaran PT Honda Prospect Motor.

    “Honda Brio RS Urbanite Edition dihasilkan khusus untuk segmen pengguna anak muda yang selalu ingin tampil berbeza, sehingga kami perlu untuk terus menyegarkan varian ini untuk mengikuti gaya hidup penggunanya yang dinamik dan sentiasa mengikuti hype terbaru,” tambahnya lagi.

    Honda Brio RS Urbanite Edition ini dijual pada harga bermula Rp 225,900,000 (RM67,520) untuk varian kotak gear manual sehingga Rp 235,900,000 (RM70,509) untuk versi dengan kotak gear CVT automatik.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 29 April-9 Mei 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri

    PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 29 April-9 Mei 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri

    Selepas dua tahun berturut-turut kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada musim perayaan Aidilfitri, kali ini, kita semua sudah boleh merentas negeri (malah merentas negara) dan dapatlah berhari raya bersama keluarga tersayang di kampung halaman.

    Untuk itu,PLUS Malaysia (PLUS) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri bagi tempoh 29 April hingga 9 Mei 2022. TTA ini adalah untuk mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan termasuk di plaza tol dan kawasan rehat.

    Bagi yang ingin pulang ke kampung dalam tempoh 29 April hingga 2 Mei, PLUS menyarankan pengguna lebuhraya yang hendak ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor agar memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Manakala untuk lain-lain negeri pula, waktu yang bersesuaian ialah selepas jam 1 tengahari.

    Manakala bagi perjalanan pulang ke ibu kota dalam tempoh 5-9 Mei pula, pengguna dari semua negeri (Semenanjung Malaysia) disarankan untuk memulakan perjalanan sebelum jam 9 pagi.

    PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 29 April-9 Mei 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri

    Dalam masa yang sama, PLUS juga menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di R&R dan hentian sebelah di sepanjang lebuhraya. Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

    Selain itu, pengguna lebuhraya juga dinasihati agar memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan. Serta tolong patuhi had laju yang ditetapkan. Juga jangan lupa untuk selenggara kenderaan bagi meningkatan keselamatan selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak.

    Pada masa yang sama, pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuhraya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari. Selain itu, bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar di lebuhraya, sila pastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet RFID Touch ‘n Go sentiasa mencukupi.

     
     
  • Mazda MX-30 dipertonton di Malaysia – crossover EV dengan jarak gerak 199 km, harga bawah RM200k

    Mazda MX-30 dipertonton di Malaysia – crossover EV dengan jarak gerak 199 km, harga bawah RM200k

    Pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor telah mempertontonkan awal model MX-30, sebelum ia dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Kereta elektrik ini pertama kali didedahkan di Tokyo Motor Show 2019, dan sudah pernah dilihat atas jalan raya Malaysia Disember lalu.

    Penggerak elektrik yang digunakan pada MX-30 ini dipanggil sebagai e-Skyactiv, di mana ia terdiri daripada bateri lithium ion 35.5 kWh, 355 volt serta motor elektrik berkuasa 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm tork, yang dipadankan bersama transmisi satu kelajuan.

    Berkenaan prestasi, crossover ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, dengan kelajuan maksimum 140 km/j manakala untuk jarak gerak, dengan cas penuh, ia boleh pergi sehingga 199 km.

    MX-30 datang dengan pengecas AC Type 2 yang boleh digunakan sehingga 6.6 kW, dan apabila menggunakan wallbox pada kadar maksimum, baterinya akan mengambil masa lima jam untuk penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Berkongsi platform yang sama, serta saiz yang hampir dengan CX-30, MX-30 ini dijadikan berbeza dengan rekaan unik di sekeliling badannya. Paling menarik perhatian adalah pintu belakang yang terbuka secara ‘suicide‘, seperti RX-8.

    Menggunakan rekaan papan pemuka yang lebih mendatar dan bergaris lurus, MX-30 turut dipasang dengan tiga skrin iaitu untuk panel instrumen, infotainmen dan pengawal suhu (unit di bawah, berhampiran tombol gear). Bahagian kabin ini juga ada menggunakan bahan kitar semula termasuk pada tempat duduk dan panel pintu.

    Mazda MX-30 dipertonton di Malaysia – crossover EV dengan jarak gerak 199 km, harga bawah RM200k

    Kami diberitahu, model yang dipamerkan ini adalah mengikut spesifikasi dari United Kingdom, dan ia datang dengan rim 18 inci, balutan tempat duduk coklat/kelabu, tempat duduk larasan kuasa, bumbung suria boleh buka, pendingin hawa automatik, panel instrumen digital tujuh inci, skrin infotainmen 8.8 inci serta sistem bunit Bose 12 pembesar suara.

    Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Sistem aktif pula terdiri daripada Smart Brake Support (Autonomous Emergency Braking), Mazda Radar Cruise Control, Blind Spot Monitoring, Cross Traffic Alert dan kamera 360 darjah. Spesifikasi model pasaran Malaysia masih belum ditetapkan.

    Daripada aspek praktikaliti, MX-30 menyediakan ruang but 332 liter manakala tempat duduknya pula boleh dilipat 60:40 untuk menjadikan ruang keseluruhan 1,137 liter. Tiada ruang kosong di bawah hud kerana ia masih digunakan untuk menempatkan motor elektrik serta kelengkapan lain.

    Harga rasmi MX-30 pasaran Malaysia masih belum diumumkan, tetapi pengerusi eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh memberitahu bahawa syarikat kini sedang berusaha untuk membawanya dengan harga bawah RM200,000, mengambil kira insentif untuk EV sekarang.

    Jika mengambil kira harga tersebut, pesaing terdekat MX-30 adalah Kona Electric, yang dilancarkan November lalu dan ditawarkan dalam tiga varian, dengan dua kapasiti bateri (39.2 dan 64 kWh), serta harga antara RM149,888 ke RM199,888. Varian asas Hyundai Ioniq 5, MINI Cooper SE dan Nissan Leaf juga terletak pada harga bawah RM200k.

     
     
  • TuneBoss hasilkan sistem keselamatan ATAS untuk Yamaha 135LC Fi V8 – diberi terus pada ECU prestasi

    TuneBoss hasilkan sistem keselamatan ATAS untuk Yamaha 135LC Fi V8 – diberi terus pada ECU prestasi

    Bersekali dengan pelancaran unit pengawal elektronik (ECU) untuk motosikal Yamaha 135LC Fi, TuneBoss turut memperkenalkan satu sistem keselamatan baru khas untuk motosikal tanpa klac tangan, dipanggil sebagai ATAS (Accidental Throttle Activation Safety).

    Melalui sistem ini, kejadian motosikal melompat secara mengejut apabila dihidupkan, kerana penunggang tidak sedar ia berada di dalam gear dapat dielakkan. Meskipun jarang, kejadian seperti ini memang ada berlaku dan boleh menyebabkan kerosakan atau kecederaan.

    ATAS disediakan terus pada ECU 135LC Fi TuneBoss yang dijual pada harga RM399 (Stage 1), bersama fungsi lain seperti pemetaan prestasi untuk motosikal standard, immobilizer serta sambungan kepada aplikasi telefon yang membolehkan pengguna memerhati bacaan penting seperti suhu, voltan dan sebarang kekurangan yang dikesan oleh sensor.

    TuneBoss hasilkan sistem keselamatan ATAS untuk Yamaha 135LC Fi V8 – diberi terus pada ECU prestasi

    Untuk mendapatkan lebih fungsi, ECU ini boleh dinaik taraf kepada versi Stage 2 dengan harga tambahan RM200, dan selepas itu pengguna bukan sahaja boleh memerhati, tetapi juga melakukan pelarasan minyak dan percikan api mengikut kesesuaian dan keperluan enjin.

    Demonstrasi fungsi ATAS dapat disaksikan dalam video di bawah, di mana apabila motosikal berada dalam gear, ia tidak boleh dihidupkan langsung setelah menggunakan ECU TuneBoss. Pada masa hadapan, TuneBoss juga akan menyertakan fungsi ATAS ini pada semua ECU mereka, dan ia dianggap penting bagi motosikal tanpa klac tangan seperti Yamaha Lagenda dan Honda Wave/EX5.

     
     
  • Mazda CX-60 2022 – produksi mega bermula di Jepun

    Mazda CX-60 2022 – produksi mega bermula di Jepun

    Mazda telah memulakan produksi mega atau dalam skala besar-besaran bagi SUV CX-60, yang diperkenalkan buat pertama kalinya di peringkat global pada Mac lalu. CX-60 ini merupakan salah satu daripada lima model SUV yang dimasukkan dalam barisan pengeluar jenama Jepun ini dalam tempoh dua tahun ini, salah satunya ialah CX-50 yang didedahkan pada November lalu, serta model akan datang yang akan diperkenalkan termasuk CX-70, CX-80 dan CX-90.

    Untuk memperingati peristiwa itu, baru-baru ini Mazda telah mengadakan majlis bermulanya produksi di kilang Hofu di wilayah Yamaguchi di mana ia menghasilkan CX-60 bersama Mazda 6 dan CX-5. Menurut Mazda, pengeluaran CX-60 untuk pasaran Eropah telah pun bermula pada 15 Mac, dengan penghantaran pertama SUV ini dijangka akan berlepas dari pelabuhan Nakanoseki ke benua berkenaan pada 26 April ini.

    CX-60 dibangun menggunakan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak untuk memacu roda belakang. Di Eropah, CX-60 ditawarkan dengan versi plug-in hybrid – pertama bagi Mazda – menampilkan enjin Skyactic-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan kuasa 192 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm.

    Mazda CX-60 2022 – produksi mega bermula di Jepun

    Ia juga digandingkan dengan motor elektrik pada kadar 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan torn 250 Nm yang diposisikan di antara enjin dan transmisi automatik lapan-kelajuan. Motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion 17.8 kWhm memberikan sehingga 63 km bagi pemanduan bebas-emisi pada kelajuan sehingga 100 km/j.

    SUV ini turut didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda i-Activ ciptaan Mazda sendiri. Gandingan ini memberikan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 323 PS (319 hp atau 238 kW) pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.

    Untuk pasaran Jepun, CX-60 juga ditawarkan dengan enjin diesel, dengan unit Skyactiv-D 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 231 PS (228 hp atau 179 kW) dari 4,000 hingga 4,200 rpm dan 500 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

    SUV ini turut ditawarkan dengan enjin diesel enam-silinder sebaris versi mild hybrid yang dipanggil e-Skyactiv D, yang disepadukan dengan sistem elektrikal M Hybrid Boost 48-voltan yang mampu menyalurkan kuasa hingga 254 PS (251 hp atau 187 kW) pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Semua enjin yang disebutkan ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard.

    GALERI: Mazda CX-60 2022

     
     
  • Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

    Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

    Bagi yang belum mengetahui, selain dari pasaran UK dan Australia, Proton sebenarnya pernah masuk ke pasaran Jepun. Ya, Jepun! Tetapi, hanya Satria Neo yang di bawa kesana.

    Ini kerana pengedar yang membawa Satria Neo ke Jepun adalah pengeluar peralatan prestasi tinggi khususnya untuk transmisi dan suspensi dari negara tersebut iaitu Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco. Cusco sebenarnya berminat untuk menghasilkan kereta rali berasaskan Satria Neo kerana model tersebut sememangnya sangat berpotensi. Jadi dalam masa yang sama mereka turut menjadi pengedar untuk versi produksi biasa kereta berkenaan di Jepun.

    Unit yang anda lihat tampil dalam hantarn blog Gazoo.com hari ini adalah milik Encik Junichi Miyasaka yang kini berumur 49 tahun. Satria Neo miliknya ini merupakan jentera rali sebenar yang dibina oleh Cusco dan digunakan oleh pasukan Cusco Jr Rally Team dalam Kejohanan Rali Seluruh Jepun musim 2012 dan 2013. Apa yang menarik, Gazoo.com menyatakan bahawa En Miyasaka kini tidak mempunyai kereta lain untuk kegunaan hariannya selain dari Satria Neo ini.

    Menurut En Miyasaka lagi, Satria Neo ini dibeli selepas kereta rali Suzuki Swift Sport HT81S miliknya terlibat dalam kemalangan pada 2013. Satria Neo ini kini digunakan oleh En Miyasaka untuk berlumba di Kejohanan Rali Hokkaido dalam kategori RA3.

    Tidak seperti Satria Neo S2000 yang dibina oleh Mellors Elliot Motorsport di UK, jentera rali yang dibina oleh Cusco di Jepun ini adalah untuk kategori produksi. Jadi ia masih menggunakan enjin asal Campro S4PH 1.6L yang sama dengan model standard, dan ia cuma ditala semula menerusi pemadanan kotak komputer perlumbaan.

    Selain dari enjinnya yang masih standard, Satria Neo ini menerima kelengkapan-kelengkapan seperti kereta rali lain seperti rollcage penuh, pemadam api, komputer trip, tempat duduk dan tali pinggang keledar perlumbaan dan pelbagai lagi. Ia turut diberikan perlalatan prestasi dari Cusco seperti LSD dan komponen-komponen suspensi lain termasuk set penyerap hentak rali boleh laras sepenuhnya.

    Selain itu, Satria Neo ini juga dipadankan dengan rim Enkei 15-inci serta disertakan dengan corong bumbung bagi memberikan udara segar kepada pemandu dan juruarah di dalam kabin. En Miyasaki turut masih mengekalkan grafik badan Cusco Jr Rally Team pada badan kereta ini yang menampilkan watak bernama “Sato Ria”. Kalau anda nak tahu, orang Jepun sememangnya memanggil Satria ini dalam loghat mereka yang berbunyi Satoria.

    Untuk lebih perincian berkenaan latar belakang En Miyasaki dan juga lebih gambar kereta rali Satria Neo miliknya ini, anda boleh lawati sendiri laman blog Gazoo.com pada PAUTAN INI.

    Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

    Sedikit sejarah berkenaan kereta rali Satria Neo binaan Cusco ini, pasukan berkenaan telah memberikan kereta ini kepada tiga pelumba Cusco Junior Rally Team dari Jepun iaitu Hiroshi Yanagisawa, Yuya Sumiya dan Akira Bamba, digunakan dalam Kejohanan Rali Jepun dan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk kategori N2. Juara Kejohanan Rali Indonesia lapan-kali, Rifat Sungkar turut memandu kereta ini pada pusingan ke-8 Kejohanan Rali Jepun 2011, yang merupakan percubaan pertamanya memandu dalam rali di atas permukaan tar.

    Jentera rali Cusco Satria Neo Group N ini juga mencatatkan kenangan manis buat Karamjit Singh. Setelah menyepi dari APRC selepas penampilan terakhirnya pada 2005, Karam kembali ke kejohanan tersebut pada pusingan kedua musim 2011, iaitu di Rali Queensland yang berlangsung di Australia pada 13 hingga 15 Mei.

    Beliau terus memberikan impak besar pada kejohanan tersebut dengan menjadi juara kategori N2, meninggalkan Akira Bamba 4.5 minit di belakang, dalam masa yang sama menjadikan Satria Neo ini sebagai kereta rali 2WD terpantas sepanjang perlumbaan berkenaan. Karamjit turut meraih tempat ke-sembilan secara keseluruhan yang rata-rata di dominasi jentera jauh lebih berkuasa seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru WRX.

     
     
  • Kit badan rekaan tempatan untuk Proton X50 – dari RM4.5k, fender lebih lebar, tanpa perlu tebuk badan

    Kit badan rekaan tempatan untuk Proton X50 – dari RM4.5k, fender lebih lebar, tanpa perlu tebuk badan

    Ingat lagi Proton X50 dengan kit badan lebih lebar milik Lee yang kami tampilkan tempoh hari? Berita baik untuk pemilik X50 lain yang mahukan kit badan yang sama, ia kini sudahpun diproduksi, dan anda boleh beli kit tersebut untuk dipadankan pada kereta anda!

    Menurut hantaran Facebook yang dibuat, kit ini direka dan diproduksi oleh pembuat kit badan tempatan iaitu JWide Bodykits. Ia terdiri dari 10 komponen termasuk spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, overfender lebih lebar, diffuser hadapan dan belakang, kemasan pelindung ekzos dan juga spoiler jenis ducktail yang diletakkan pada aras tengah pintu tailgate belakang.

    Ia dijual pada harga bermula RM4,500 untuk kit asas, sehingga RM5,500 jika anda beli kit penuh yang turut datang sekali dengan pelindung ekzos, spoiler ducktail (boleh dibeli asing dengan harga RM650-RM750) serta kemasan-kemasan kit badan lebar.

    Kit badan rekaan tempatan untuk Proton X50 – dari RM4.5k, fender lebih lebar, tanpa perlu tebuk badan

    Harga yang dinyatakan adalah berserta kos pemasangan, dan lagi berita baik untuk pemilik X50 yang mahukan kit badan ini, tiada sebarang pengubahsuaian perlu dibuat, dan tiada sebarang lubang pada badan yang perlu ditebuk kerana kit ini direka untuk ‘fit’ terus pada X50.

    Kereta milik Lee ini turut dipadankan dengan rim berdiameter 21-inci dengan lebar yang ngam untuk kit badan lebih lebar berkenaan, bersama tayar Continental ContiSport Contact 5P bersaiz 275/30R21 di hadapan dan 285/30R21 di belakang.

    Pada yang masih belum mengetahui, X50 milik Lee ini sebelum ini agak tular dikenali sebagai Bumblebee, mula diubahsuai hanya seminggu selepas Proton X50 dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2020. Ia menerima tingkat taraf sistem brek dengan menggunakan cakera berliang 405 mm yang ditebuk diambil dari sedan V8 Amerika, Cadillac CTS-V bersama angkup enam-omboh dari Brembo untuk bahagian hadapan, serta cakera berliang 380 mm bersama angkup empat-omboh yang diambil dari Porsche Cayenne di belakang.

    Manakala enjin asal 1.5 liter tiga silinder turbo pada X50 ini telah diberikan talaan semula dengan modul penala kotak komputer RaceChips GTS, sistem ekzos lebih lawas tanpa catalytic converter, serta kit ambilan udara sejuk, membolehkan ia mencapai kuasa maksima 203 PS/330 Nm jika menggunakan petrol RON 100.

    Ia juga telah diberikan sistem suspensi boleh laras dengan set bushing perlumbaan, membolehkan ia mencatatkan masa 2 minit 47.94 saat di Litar Antarabangsa Sepang, diketahui sebagai X50 terpantas di litar berkenaan setakat ini.

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor AMK, QAB_E bersedia dibida

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor AMK dan QAB_E untuk ditempah menerusi platform bidaan dalam talian.

    Siri nombor pendaftaran terkini Perak, AMK, dan bidaannya dibuka pada 23 April 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJeBid adalah lima hari, berakhir pada 10 malam pada 27 April. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada hari berikutnya, 28 April. Keseluruhan proses kini adalah menerusi dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau pun sebaliknya) menerusi e-mel.

    Kini bidaan plat nombor dilakukan secara dalam talian dan pastinya akan ramai reseller yang akan mengambil kesempatan menjual semula siri plat ini, seperti yang sering kita lihat memang banyak plat Malaysia Timur berada di Lembah Klang, termasuk yang bermula dengan “Q”. Termasuk plat Sarawak, dan QA yang mewakili Kuching. Bidaan bagi “QAB_E” akan bermula 1 Mei dan berakhir pada jam 10 malam 5 Mei 2022. Keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 6 Mei.

    Jadi, bagi yang berminat untuk mendapatkan siri plat nombor ini, kena cepat membida sebalik ia dibuka. Terutamanya jika anda Ahli Majlis Ke….. atau belia PKR yang digelar ‘Angkatan Muda Keadilan’, bolehlah mencuba nasib untuk mendapatkan plat ini.

     
     
  • Kad Enhanced Touch ‘n Go dijual secara rasmi – RM10 untuk kad NFC, tambahan RM5 untuk penghantaran

    Kad Enhanced Touch ‘n Go dijual secara rasmi – RM10 untuk kad NFC, tambahan RM5 untuk penghantaran

    Kad Enhanced Touch ‘n Go kini sudah dilancarkan secara rasmi, dan ia boleh dibeli di lokasi tertentu serta melalui aplikasi TNG eWallet. Kad yang datang dalam corak warna merah jambu dan biru ini mulanya dijual dalam jumlah yang terhad minggu lalu, sehinggakan ada yang membeli dan menjualnya semula pada harga hampir dua kali ganda lebih tinggi.

    Kad Enhanced baru ini dijual pada harga RM10, iaitu sama seperti harga kad Touch ‘n Go biasa. Selain membeli secara terus (tiada had bagi setiap pembeli), anda juga boleh membuat tempahan melalui aplikasi eWallet. Setiap tempahan dihadkan hanya untuk dua kad sahaja dan caj penghantaran sebanyak RM5 akan dikenakan. Jika mahukan lebih daripada dua kad, anda boleh membuat tempahan beberapa kali.

    Dengan kad Enhanced ini, anda boleh menambah nilai di dalam kad melalui fungsi NFC kepada telefon pintar, sekaligus memudahkan pengguna kerana tidak perlu pergi ke lokasi fizikal. Sistem keselamatannya juga dikatakan telah ditambah baik.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go dijual secara rasmi – RM10 untuk kad NFC, tambahan RM5 untuk penghantaran

    Setiap kad baru perlu dihubungkan kepada aplikasi dengan meletakkannya di bahagian belakang telefon yang mempunyai fungsi NFC selama lima saat, dan selepas itu anda boleh menggunakan aplikasi untuk melihat baki serta melakukan tambah nilai kepadanya (letakkan kad sekali lagi pada telefon). Menurut Touch ‘n Go, setiap akaun aplikasi masih hanya boleh disambung kepada maksimum lima kad sahaja, termasuk versi Enhanced.

    Meskipun pengguna jalan raya kebanyakannya tidak lagi memerlukan tambah nilai secara fizikal kerana sudah ada fungsi PayDirect, kad Enhanced ini masih lagi berguna bagi mereka yang menggunakan kad Touch ‘n Go di Lebuh Raya Utara Selatan (tidak boleh guna PayDirect), lot parkir serta servis dan tempat lain.

    Satu masalah dengan kad baru ini adalah bekalan yang terhad kerana masalah kekurangan cip di serata dunia sekarang. Touch ‘n Go menjangkakan permintaan untuk kad ini adalah tinggi, jadi stok mungkin boleh habis dengan cepat.

     
     
  • Malaysia terpilih jadi tapak ujian dunia sebenar skuter elektrik Yamaha E01 – saiz dan kuasa seperti NMax

    Malaysia terpilih jadi tapak ujian dunia sebenar skuter elektrik Yamaha E01 – saiz dan kuasa seperti NMax

    Yamaha Motor Corporation telah membuat pengumuman bahawa Malaysia, bersama Thailand, Taiwan dan Indonesia telah terpilih untuk menjadi tapak ujian dunia sebenar bagi skuter elektrik Yamaha E01. Ia dijangka bermula pada bulan Julai tahun ini dan menurut perancang Proof of Concept (PoC) E01, Yasushi Nomura, ujian turut akan dilakukan di Jepun dan juga Eropah.

    Malaysia dimasukkan ke dalam kategori yang sama dengan Eropah, di mana ujian boleh dibuat atas lebuh raya, dengan Malaysia menyediakan cuaca tropika manakala Eropah pula cuaca bermusim. Dalam ujian sebenar atas jalan ini, antara perkara yang akan diperhatikan adalah jarak gerak, cara mengecas serta waktu yang diambil untuk mengecas.

    E01 adalah sebuah skuter yang mempunyai saiz dan kuasa seperti Yamaha NMax, tetapi dipacu oleh motor elektrik berkuasa 8.1 kW (10.8 hp) pada 5,000 rpm dan 30.2 Nm tork pada 1,950 rpm. Baterinya tidak boleh dicabut keluar daripada badan motosikal dan mempunyai kapasiti 4.9 kWh.

    E01 boleh dicas menggunakan tiga cara, bermula dengan pengecas mudah alih AC 110-240V yang memerlukan masa 14 jam untuk penuh, pengecas dinding dengan arus domestik (lima jam untuk penuh) dan pengecas pantas yang akan diletakkan di kedai wakil pengedar (satu jam untuk mencapai tahap 80%).

    Menurut Yamaha, apabila bateri E01 penuh, ia boleh menyediakan jarak gerak sehingga 100 km dan bergerak sehingga kelajuan 100 km/j dengan tiga mod kuasa yang boleh dipilih oleh penunggang.

    Disebabkan bateri E01 sudah disepadukan pada kerangkanya, ia dapat menyediakan ruang simpanan 28 liter di bawah tempat duduk dan ini biasanya tidak disediakan oleh kebanyakan skuter elektrik atau hibrid.

    GALERI: Yamaha Genesis E01 Concept di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 di M’sia – 11 unit pertama telah diserah kepada pelanggan, hampir 300 ditempah sejak dilancar

    Hyundai Ioniq 5 di M’sia – 11 unit pertama telah diserah kepada pelanggan, hampir 300 ditempah sejak dilancar

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah menyerahkan 11 unit pertama kepada Ioniq 5 di Malaysia dalam satu majlis khas yang berlangsung di bilik pameran syarikat tersebut di Ara Damansara. 11 pelanggan pertama ini juga diberikan keahlian satu tahun percuma dengan ChargEV oleh Yinson GreenTech.

    “Ini merupakan kenderaan elektrik kedua yang diperkenalkan oleh HSDM ke pasaran Malaysia. Memandangkan landskap mobiliti terus menyaksikan penggunaan kenderaan EV yang lebih meluas di Malaysia, kami berbesar hati untuk mengembangkan barisan EV kami dengan tawaran mampu milik berkualiti tinggi bertaraf dunia, menyokong peralihan negara ke arah masa depan mobiliti rendah karbon,” ulas Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, peruncitan dan pengedaran Sime Darby Motors Malaysia.

    Tambahnya lagi, “Mentakrifkan semula gaya hidup mobiliti elektrik, Ioniq 5 menetapkan penanda aras baharu dengan pujian globalnya untuk menggabungkan kemampanan dengan prestasi yang berkuasa. Buktinya, sejak pelancaran di Malaysia pada Mac 2022, kami telah merekodkan hampir 300 unit tempahan. Ini sememangnya mencerminkan penerimaan yang sangat positif untuk kenderaan mampan yang inovatif ini, dan kami akan terus berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan,” kata Low Yuan Lung, pengarah urusan HSDM.

    Untuk pasaran tempatan, Ioniq 5 ditawarkan dalam tiga varian; Lite, Plus dan Max, sama seperti penawaran Kona Electric sebelum ini. Lite dilengkapi bateri lithium ion polimer 58 kWh dan pacuan roda belakang, sementara Plus merupakan versi lebih lengkapnya. Max pula varian paling tinggi dengan bateri 72.6 kWh dan dwi-motor AWD.

    Harga pula adalah seperti berikut; Lite (RM199,888), Plus (RM229,888) dan Max (RM259,888). Ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, dan tidak termasuk duti import dan eksais, cukai jualan serta cukai jalan. Sebagai perbandingan, Kona Electric dijual pada harga RM149,888 (39.2 kWh) hingga RM199,888 (64 kWh).

    Ioniq 5 ini juga datang dengan jaminan standard dua tahun atau 50,000 km serta jaminan bateri EV lapan-tahun atau 160,000 km. Pakej lanjutan jaminan dan servis ditawarkan dengan kos tambahan RM10k, dan menjadikan tempoh jaminan lima-tahun atau 100,000 km, dan termasuk penyelenggaraan untuk tiga tahun atau 50,000 km. Jaminan bateri EV kekal sama.

    Hyundai Ioniq 5 di M’sia – 11 unit pertama telah diserah kepada pelanggan, hampir 300 ditempah sejak dilancar

    HSDM juga menawarkan dua pengecas di rumah sebagai pilihan — unit 7 kW AC pada harga RM6,000 atau 22 kW AC pada harga RM7,000. Harga ini termasuk pemasangan standard, tetapi ia mungkin melibatkan caj tambahan untuk penkabelan tambahan dan keperluan pemasangan lainnya. Jika anda pilih varian Max dan tambahn lanjutan jaminan dan pengecas 22 kW ini, harga maksimumnya adalah RM276,888.

    Tentang spesifikasi. Varian 58 kWh RWD mempunyai motor belakang dengan janaan 170 PS/350 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, sementara versi dwi-motor AWD pula dengan 305 PS/605 Nm (225 kW) dan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Jarak WLTP dengan satu cas penuh ialah 384 km bagi versi 58 kWh dan 430 km bagi versi 72.6 kWh AWD. Laju maksimum adalah 185 km/j untuk kedua-duanya.

    Bagi pengecasan, dengan pengecas pantas 350 kW DC, ia boleh dilakukan dari 10%-80% dalam masa hanya 18 minit. Dengan hanya lima minit pengecasan saja sudah boleh memberikan 100 km jarak perjalanan mengikut kitaran WLTP. Memang kita belum mempunyai pengecas dengan kapasiti tinggi seperti ini, tetapi kereta ini mampu untuk menampung pengecasan pantas seperti ini jika ia tersedia nanti.

    Hyundai Ioniq 5 Max 2022

     
     
  • Proton sedang cari tenaga kerja baharu untuk projek EV smart – tawar peluang dalam pelbagai bidang

    Proton sedang cari tenaga kerja baharu untuk projek EV smart – tawar peluang dalam pelbagai bidang

    Januari lalu, Proton Edar telah diumum dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk jenama smart di Malaysia dan Thailand. Ia susulan memorandum perjanjian (MoU) yang telah ditandatangani oleh Proton dengan smart Automobile Company (smart) untuk bekerjasama dalam memperkenalkan kenderaan tenaga baru (NEV) keluaran smart untuk pasaran ASEAN.

    Bagi memastikan rancangan ini berjalan lancar, Proton kini dilihat mencari bakat-bakat baharu di laman LinkedIn rasmi mereka, bagi menubuhkan satu pasukan baru untuk menguruskan projek berkenaan. Senarai jawatan kosong yang dibuka nampaknya sangat luas merangkumi bidang pengurusan produk, pemasaran jualan dan selepas jualan, sokongan dan juga teknologi maklumat (IT).

    “Kami bersedia untuk memulakan perjalanan kami ke arah segmen kenderaan tenaga baru (NEV) dan kami mahu anda turut bersama kami. Jadi sebahagian dari pasukan yang akan membentuk strategi NEV Proton, memformulasikan rancangan pemasaran, menjual kepada pelanggan dalam segmen serba baharu, dan memberikan servis premium untuk barisan kenderaan yang akan mengukuhkan kedudukan jenama di kedudukan hadapan dalam segmen. Kami turut akan menjaul model-model terbaharu EV dari smart dan akan memerlukan individu yang faham bagaimana untuk bekerja dalam perniagaan pengedaran,” tulis kapsyen dari Proton.

    SUV elektrik kompak smart #1 akan menjadi antara model yang akan dijual di Malaysia dan Thailand, namun bila pelancaran rasminya belum lagi diketahui. Baru sahaja didedahkan untuk peringkat global di Berlin awal bulan ini, smart #1 dibangunkan berasas platform modular khas dibangunkan untuk kereta elektrik SEA2 dari Geely, namun rekaannya masih dibuat oleh Mercedes-Benz.

    Ia menampilkan dimensi 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar, 1,636 mm tinggi bersama jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi smart #1 sebenarnya adalah SUV dalam segmen B dengan panjang keseluruhan 60 mm lebih pendek tetapi dengan jarak roda 150 mm lebih jauh berbanding Proton X50.

    smart #1 ini digerakkan dengan hanya sebuah motor berkuasa 272 ps (200 kW) dan tork maksima 343 Nm, yang hanya memacu roda belakang, membolehkan ia dipandu sehingga kelajuan maksima 180 km/j. Motor tersebut menerima bekalan kuasa elektrik menerusi bateri lithium-ion berkapasiti 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420-440 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Dengan pengecas AC 22-kW, bateri kereta ini boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 3.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula jumlah cas yang sama boleh dicapai dalam masa hanya 30 minit. Teknologi yang ada pada smart #1 ini juga membolehkan 75% dari kotak komputernya menerima kemaskini secara over-the-air, membolehkan sistemnya ditambah baik dari masa ke masa.

    Sejurus pelancarannya tempoh hari, smart #1 turut dilaporkan akan diperkenalkan dalam versi prestasi tinggi dengan menggunakan lencana Brabus, didakwa bakal menerima satu lagi motor elektrik untuk memacu roda hadapan, menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 406 PS.

     
     
  • Warga Singapura ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di Johor Bahru dalam Op Mabuk

    Warga Singapura ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di Johor Bahru dalam Op Mabuk

    Polis telah menahan dua orang individu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had dibenar di Johor Bahru semalam, di mana salah seorang dari pemandu berkenaan adalah warga negara Singapura.

    Kedua-dua mereka adalah sebahagian dari lima individu dibawah lingkungan 30an-40an yang diperiksa kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol dalam satu operasi yang digelar OP Mabuk, dijalankan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Daerah Johor Bahru Utara, di sekitar kawasan pentadbiran Balai Taman Tun Aminah di Jalan Sutera Danga.

    Tiga individu yang diperiksa memberikan keputusan negatif, manakala dua lagi yang positif akan disabitkan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020). Menurut polis, kaedah untuk mengesan alkohol dalam badan bagi operasi kali ini dibuat melalui ujian saringan awal menggunakan alatan SD2+, dan sekiranya ujian awal melebihi had akan disusuli dengan ujian hembusan menggunakan alatan EBA-II.

    “Sekiranya disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 2 tahun dan denda tidak kurang sepuluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada tiga puluh ribu ringgit untuk kesalahan pertama,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh JSPT JB Utara.

    Selain dari mengesan pemandu mabuk, sebanyak 23 notis saman atas pelbagai jenis kesalahan lalulintas telah dikeluarkan sepanjang operasi yang membabitkan pemeriksaan terhadap 61 buah kenderaan berkenaan.

    Ia termasuk 14 notis saman kesalahan melanggar isyarat lampu merah, satu notis saman kesalahan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, lima notis saman kesalahan menggunkan alat komunikasi, satu notis saman kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan dua notis saman kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

     
     
  • Lexus RZ 450e EV didedahkan secara rasmi – bateri 71.4 kWh, motor-berkembar, jarak hingga 450 km

    Lexus RZ 450e EV didedahkan secara rasmi – bateri 71.4 kWh, motor-berkembar, jarak hingga 450 km

    Lexus telah mengeluarkan perincian rasmi dan foto galeri penuh untuk Lexus RZ baharu, model elektrik sepenuhnya yang pertama buat jenama premium ini. Sebelum ini kita mengetahui sedikit makluman mengenai SUV elektrik tersebut, tetapi untuk kali ini, ia lebih lengkap.

    Syarikat tersebut berkata EV pertama keluarannya yang didedikasikan khas untuk pasaran global ini, secara tidak melangsung menyaksikan RZ (Z bermaksud ‘zero’) ini menduduki platform spesifikasi-EV, e-TGNA, di mana Lexus berkata ia memberikan pengedaran berat yang optimal menerusi posisi bateri (lithium-ion 71.4 kWh) dan motor yang lebih ideal.

    SUV RZ yang dikaitkan dengan Toyota bZ4X ini memiliki ukuran 4,805 mm panjang dan 1,895 mm lebar, dengan jarak roda 2,850 mm. Berbanding Lexus NX semasa (generasi pertama) yang dijual di Malaysia, EV ini memiliki ukuran 165 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar. Jarak roda RZ juga 190 mm lebih panjang berbanding NX. Walau bagaimana pun, EV ini hanya berketinggian lebih 5 mm (pada 1,635 mm) berbanding NX. Saiz roda untuk RZ ini pula ialah 20-inci.

    Lexus RZ 450e EV didedahkan secara rasmi – bateri 71.4 kWh, motor-berkembar, jarak hingga 450 km

    Varian RZ yang anda lihat menerusi foto ini ialah 450e, dan ia didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda baharu yag digelar DIRECT4. Ia digunakan untuk pendikitan, kelajuan sewaktu melalui selekoh dan informasi sudut stereng yang secara automatiknya dilaras bagi menghantar tork hadapan-belakang dan paksaan brek untuk semua roda.

    Sistem ini menggunakan e-gandar hadapan dan belakang, setiap satunya dilengkapi dengan motor elektrik tork-tinggi (150 kW di hadapan, 80 kW di belakang), transaxle dan inverter dalam unit kompak. Setiap motor juga disambungkan terus ke roda oleh driveshaft tunggal, yang beroperasi tanpa tertangguh. E-gandar hadapan pula dilengkapi sekali dengan bentangan hadapan-belakang yang pendek, sementara e-gandar belakang pula menampilkan bentangan profil-rendah untuk memaksimumkan ruang dalaman dan kargo.

    Dari titik pegun dan ketika dalam pendikitan laluan lurus, sistem ini menggunakan nisbah drive-force hadapan-ke-belakang antara 60:40 dan 40:60 untuk meminimakan rentak kenderaan. Ketika roda stereng membelok, drive force lebih ke roda hadapan antara 50% dan 75% untuk “tindak balas stereng yang lebih padu”. Ketika keluar dari simpang, pengedaran tork yang dihantar ke roda belakang akan dipertingkatkan antara 50% dan 80% untuk cengkaman yang lebih maksima ketika mengawal rentak kenderaan.

    Lexus RZ 450e EV didedahkan secara rasmi – bateri 71.4 kWh, motor-berkembar, jarak hingga 450 km

    DIRECT4 ialah pemain utama yang bertanggungjawab untuk “Lexus Driving Signature”, di mana syarikat ini menggambarkan ia sebagai “pengalaman pemanduan Lexus yang unik untuk menyasarkan jangkaan, tindakbalas linear mengikut kemahuan pemandu”. Lain-lain ciri yang membantu memberikan pengendalian lebih jitu termasuklah AHB-G (Active Hydraulic Booster-G, mengawal kecekapan brek regeneratif hadapan dan belakang secara bebas) dan sistem steer-by-wire pertama dari Lexus.

    Berkenaan dengan stereng, RZ diberikan roda stereng separa bulat. Lexus berkata roda stereng ini membantu mengurangkan ‘bebanan’ pemandu, menyingkirkan keperluan operasi hand-over-hand, sewaktu berada di persimpangan, membuat pusingan-U, parkir dan melalui jalan yang berliku. Roda stereng separa bulat “topless”, memberikan laluan untuk panel instrumen diletakkan di bahagian yang lebih bawah. Selain itu, ia turut diberikan tombol dial shift pertama Lexus, yang diposisikan di konsol tengah.

    RZ juga diberikan suspensi topang MacPherson di hadapan dan trailing arm double-wishbones di belakang. Untuk pertama kalinya juga, Lexus menggunakan frequency-reactive dampers untuk mengubahsuai daya redaman pada extension stroke sebagai tindakbalas kepada input frekuensi permukaan jalan. Peredam prestasi hadapan dan belakang yang tersedia pula mengurangkan pergerakan badan yang tidak perlu dan memberikan lebih banyak tindak balas langsung.

    Lexus RZ 450e EV didedahkan secara rasmi – bateri 71.4 kWh, motor-berkembar, jarak hingga 450 km

    Lexus turut memaklumkan dengan pengecasan tunggal, jarak bagi RZ ini boleh mencapai 450 km mengikut mod J-WLTC. Secara tradisionalnya, bacaan kitaran J-WLTC lebih tinggi, dan mengikut kenyataan media Lexus Australia, ia dianggarkan mampu mencecah 400 km. Walau bagaimana pun, ternyata ia tidak dapat menandingi jarak pengecasan tunggal bagi Toyota bZ4X yang mampu mencapai 516 km mengikut kitaran WLTP.

    Lexus mengatakan bahawa teknologi kawalan bateri memastikan kadar pengekalan kapasiti bateri “bertaraf dunia” sekurang-kurangnya 90% selepas 10 tahun. Nampaknya, kapasiti bateri yang lebih tinggi tersedia dengan fungsi pengecasan pemasa (timer) yang mengelakkan pengecasan berlebihan. Jadi, walaupun julatnya tidak hebat, ia tidak akan merosot dalam masa yang singkat.

    Bagi ruang kabinnya, RZ menggunakan konsep tazuna yang pertama kali dilihat pada NX generasi kedua. Ini bermakna, semuanya tertumpu pada pemandu, dengan adanya skrin sesentuh yang besar dan tiada lagi Lexus Remote Touch yang kurang intuitif dengan kawalan ala-tetikus. Seperti yang dinyatakan di atas, stereng separa bulat dan tombol gear unik yang pertama kali digunakan oleh Lexus turut diberikan.

    Ciri lain untuk kabin termasuklah sistem pintu “e-latch” elektronik (sama seperti NX baharu), pemanas elektrik pertama Lexus (digabungkan dengan sistem heat-pump), tempat duduk belakang yang luas, material Ultrasuede dan bumbung panoramik dengan fungsi kelam Lexus.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut diberikan dengan Lexus Safety System + termasuk Proactive Driving Assist (PDA), Pre-Collision Safety (PCS), kawalan kelajuan radar semua-kelajuan dan Lane Departure Alert (LDA). Turut diberikan Advanced Drive (sokongan kesesakan trafik) dan Advanced Park (dengan fungsi kawalan menerusi telefon pintar).

    Ia juga diberikan dengan paparan untuk pemandu dengan sistem yang mengesan sekiranya pemandu mengantuk atau sedang melihat tempat lain. Jika postur pemandu dikesan tidak bersesuaian dengan pemanduan, sistem akan memberikan amaran kepada pemandu lain dengan memancarkan lampu hazard dan kenderaan akan diperlahankan. Dengan sistem tersebut juga, RZ ini kemudiannya akan berhenti di lorong yang selamat, pintu akan terbuka secara automatik dan makluman servis kecemasan akan dihantar secara serta-merta.