Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • LM Corsa tukar jentera lumba dari Lexus RC F GT3 kepada Toyota GR Supra GT300 untuk Super GT 2021

    LM Corsa tukar jentera lumba dari Lexus RC F GT3 kepada Toyota GR Supra GT300 untuk Super GT 2021

    Pasukan LM Corsa mengumumkan bahawa mereka akan beralih menggunakan jentera Toyota GR Supra GT300 untuk siri perlumbaan Super GT dalam kelas GT300 di Jepun bermula musim 2021, bagi menggantikan Lexus RC F GT3 yang telah digunakan sebelum ini.

    Pertukaran jentera tersebut dibuat setelah Lexus mengumumkan mereka tidak lagi akan meneruskan sokongan teknikal terhadap jentera dengan spesifikasi GT3 berkenaan di Eropah, dan ia turut menjejaskan pasukan yang menggunakan jentera yang sama dalam kategori GT300 di Super GT Jepun, lapor Motorsport.com.

    Malah pasukan LM Corsa juga dilihat bergelut dengan prestasi Lexus RC F GT3 berkenaan setelah hanya berjaya mengutip satu mata pada musim lalu, dengan menghabiskan perlumbaaan terakhir di Fuji Speedway di tangga ke sembilan.

    LM Corsa tukar jentera lumba dari Lexus RC F GT3 kepada Toyota GR Supra GT300 untuk Super GT 2021

    LM Corsa yang dimiliki oleh salah satu pengedar Toyota di Jepun iaitu Osaka Toyopet, bakal menggunakan Toyota GR Supra yang dibangunkan oleh satu lagi pasukan dibawah rangkaian sama iaitu Saitama Toyopet. Musim lalu, Saitama Toyopet yang berlumba dengan nama pasukan Green Brave Racing mencatatkan keputusan cemerlang dengan dua kemenangan dan mengumpul 82 mata, membolehkan mereka berada di tempat kedua kejuaraan secara keseluruhan.

    Jentera GR Supra GT300 Saitama Toyotpet berkenaan juga agak unik dari pesaing-pesiangnya – ia bukan seperti jentera pasukan lain dengan spesifikasi GT3 dan dibeli menerusi program-program perlumbaan pelanggan, sebaliknya dihasilkan sendiri oleh firma berkenaan dari model produksi kemudian ditransformasikan kepada spesifikasi GT300 tulen, dijana enjin V8 5.0 liter 2UR-G.

    Tiada perubahan lain diumumkan oleh LM Corsa, dan pasukan berkenaan akan terus diuruskan oleh pelumba lagenda GT Jepun, Akira Iida, bersama dua pemandu sedia ada Hiroki Yoshimoto dan Shunsuke Kohno. Penaja utama masih lagi kekal iaitu syarikat petroleum nasional Malaysia, Petronas, namun tajaan tayar akan bertukar dari Michelin kepada Dunlop.

     
     
  • VIDEO: Mitsubishi Xpander — tanggapan pemanduan; enjin cukup kuasa, ruang kabin senyap dan selesa?

    Mitsubishi Xpander barangkali menjadi model baru daripada pengeluar Jepun itu yang berjaya menarik perhatian umum. Dengan harga RM91k untuk sebuah MPV tujuh-tempat duduk, dan hanya ditawarkan dalam satu varian, ia nampaknya mempunyai nilai yang ramai orang cari-cari selama ini, terutama untuk dijadikan kereta keluarga.

    Tetapi, adakan semua yang ditawarkannya memadai untuk memenuhi keperluan kebanyakan orang. Paling tidak, ia menjadikan MPV nampak “cool” dengan rekaan yang tajam dan berani. Tetapi bagaimana dengan hal lain? Enjin 1.5L yang digunakan mampu bagi prestasi memuaskan? Ruang kabin cukup luas dan selesa?

    Kami telah bikin satu video sebelum ini untuk menunjukkan secara terperinci apa yang ada pada Mitsubishi Xpander ini, termasuklah konfigurasi dan keluasan ruang bagi setiap tempat duduknya. Dan, kali ini kami bawa anda ke jalan raya pula, untuk meninjau bagaimana prestasi pemanduan yang ditawarkannya.

    Sekadar makluman, Mitsubishi Xpander menggunakan enjin 1.5 liter MIVEC dengan janaan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit enjin itu digandingkan pula dengan transmisi automatik empat-kelajuan (dan bukanny CVT), yang menurut Mitsubishi, mengoptimumkan kuasa dan penjimatan bahan api. Jadi, sedap bawa ke tidak? Jom tonton.

     
     
  • VIDEO: Proton X50 1.5L Flagship — Apa yang best dan apa yang teruk? Kami tinjau semua perinciannya

    Kepada yang buat tempahan awal untuk Proton X50, masih menunggu serahan atau dah dapat? Setakat hujung tahun lepas, Proton katanya sedang berusaha keras untuk melangsaikan tempahan dan memendekkan masa menunggu. Tapi, kalau masih ada yang belum boleh buat keputusan sama ada untuk teruskan pembelian atau tidak, ada apa yang buatkan anda ragu-ragu?

    Adakah X50 ini bagi nilai yang sangat berbaloi bagi SUV segmen B ketika ini? Kami cuba tinjau perkara ini melalui varian paling tingginya, X50 Flagship, dan bahaskan dalam video kali ini. Memang banyak perkara yang menyenangkan tentang kereta ini, tetapi ada juga hal-hal yang sedikit mengecewakan.

    Sekadar makluman semula, X50 ditawarkan dalam empat varian semuanya, dengan varian Flagship ini yang paling lengkap, dan dijual dari harga RM79k hingga RM103k, dengan pengecualian SST hingga 30 Jun 2021.

    X50 Flagship juga berbeza daripada yang lainnya, terutama dari segi sistem enjin dan output yang dihasilkan — ia lebih berkuasa. Untuk tahu lebih lanjut, tak perlu sembang panjang. Kami pandu X50 untuk satu hujung minggu dan ulang-alik ke Pulau Pinang sebelum tempoh PKP 2.0 ini berlangsung dan ini apa yang dapat diperhatikan. Selamat menonton.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

     
     
  • Yokohama lancarkan siri rim ikonik Oni2 dan RG-4

    Yokohama lancarkan siri rim ikonik Oni2 dan RG-4

    Pengeluar tayar dan set roda dari Jepun, Yokohama telah melancarkan dua rim ikonik mereka dalam versi generasi baharu iaitu Advan Racing Oni2 dan juga Advan Racing RG-4. Kedua-dua rim berkenaan sepatutnya didedahkan pada Tokyo Auto Salon 2021 hujung minggu lalu, tetapi disebabkan acara tersebut dibatalkan kerana pandemik Covid-19, ia hanya dilancarkan secara maya.

    Bagi peminat rim, Advan Oni sememangnya dikenali dengan rekaan tiga jejari yang ikonik, bermula dari versi Advan A3A pada era 80’an yang sinonim dengan Toyota Corolla AE86. Advan Oni yang asal pula popular digunakan untuk kereta-kereta pacuan roda belakang era 90’an seperti Nissan Silvia S14 dan 180SX.

    Walau bagaimanapun, Advan Oni2 ini dihasilkan oleh Yokohama untuk model-model kompak dan Kei-Car, dan bukan untuk kereta-kereta sport terkini. Jadi ia hanya dihasilkan dalam diameter 14 dan 15-inci, dengan lebar dari 5jj hingga 8jj bersama offset bermula +45, dan hanya menampilkan lubang dengan PCD 100×4.

    Namun Oni2 ini masih dihasilkan dalam dua versi iaitu standard dan GTR. Model standard tampil dengan spesifikasi yang lebih sesuai untuk kegunaan kebanyakkan kereta, manakala versi GTR dihasilkan dengan ‘bibir’ yang lebih tebal dan offset lebih ‘mangkuk’ dengan lebar 7jj untuk rim 14-inci, serta 8jj untuk rim 15-inci.

    Ciri-ciri utama lain dari Advan Oni terus dibawa ke Oni2 ini seperti lubang nat berbentuk empat segi, dan juga logo pada permukaan concave pada yang dihasilkan dengan proses pemesinan tiga-dimensi. Manakala skrip pada bibir Oni2 pula dihasilkan dengan proses cetakan pemindahan haba.

    Kesemua versi Advan Oni2 dihasilkan dengan bibir yang digilap berkilat, namun jejarinya boleh dipilih dalam empat kemasan berbeza iaitu Racing Candy Red, Champagne Gold, Black Gun Metallic dan juga Diamond Cut.

    Yokohama lancarkan siri rim ikonik Oni2 dan RG-4

    Beralih kepada RG-4, tahukah anda “RG” tersebut bermaksud ‘Racing & Gymkhana’? Versi generasi ke-empat untuk Advan RG ini masih lagi dihasilkan untuk kegunaan sama, dengan bentuk enam-jejari yang sama, tetapi diberikan berberapa peningkatan serta rupa yang lebih agresif, terutamanya jejari yang direka lebih lebar dari Advan RG III.

    Tiga versi dihasilkan untuk Advan RG-4 ini iaitu standard, GTR, dan Super GTR, di mana ketiga-tiganya berbeza dari segi rekaan concave. Skrip “ADVAN Racing” dihasilkan timbul tiga-dimensi dari bibir sebelah dalam rim berkenan. Yokohama turut mengumumkan bahawa buat permulaan Advan RG-4 ini hanya dibuat dengan diameter 18-inci sahaja.

    Empat warna berbeza boleh dipilih pada Yokohama Advan RG-4 ini. Untuk warna Hyper Black dan Racing White, ia akan tampil dengan bibir yang diberi kemasan diamond-cut. Manakala untuk warna Copper Bronze dan Semi-gloss Black, kedua-duanya tampil hanya dalam kemasan tona tunggal.

     
     
  • Mercedes-Benz EQA didedah – GLA elektrik dengan kuasa 190 PS, 375 Nm tork, jarak gerak 426 km

    Mercedes-Benz EQA didedah – GLA elektrik dengan kuasa 190 PS, 375 Nm tork, jarak gerak 426 km

    Setelah sekian lama memberi bayangan, akhirnya Mercedes-Benz menunjukkan juga secara penuh SUV elektrik terbaru mereka iaitu EQA. Ia boleh dianggap sebagai GLA versi tanpa emisi, dan merupakan model ketiga dalam barisan EQ selepas EQC dan EQV. Nanti, ia akan disertai pula oleh EQB, yang menggunakan asas GLB.

    Seperti yang boleh dijangka, bentuk asas EQA ini sama sahaja dengan GLA tetapi muka hadapannya diubah sedikit dengan ciri seperti lampu runcing, gril hitam yang tertutup serta lencana hitam di tepi. Lampu LED penuh diberikan secara standard dan mempunyai jalur cahaya yang bersambung antara lampu kiri dan kanan di depan dan belakang.

    Disebabkan jalur cahaya ini, serta logo yang diletakkan lebih rendah di belakang, tempat nombor plet kini berada bampar. Sama seperti model lain Mercedes-Benz, EQA juga ditawarkan dengan pakej AMG Line, yang memberikan bampar depan dan belakang lebih sporty serta gril khas. Pilihan rim ada sehingga 20 inci, bersama kemasan sama ada biru atau emas.

    Mercedes-Benz EQA didedah – GLA elektrik dengan kuasa 190 PS, 375 Nm tork, jarak gerak 426 km

    Untuk mendapatkan jarak gerak yang paling jauh, kereta elektrik memerlukan aerodinamik yang bagus. Pada EQA, ia cuma 0.28 Cd, dan lebih rendah daripada GLA, meskipun ia menggunakan rim 18 inci yang lebih besar secara standard. Bahagian lain yang membantu ciri ini adalah rekaan rim, salur udara aktif, bentuk lampu, panel bawah badan serta penutup radiator.

    Bahagian dalam juga kebanyakannya sama seperti GLA, ataupun B-Class. Di hadapan pemandu terdapat dua skrin yang berukuran sama ada tujuh inci atau 10.25 inci, dan dilengkapi terus dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

    Skrin sesentuh untuk infotainmen mempunyai menu spesifik EQ untuk pilihan mengecas, penggunaan elektrik dan kitaran tenaga, sementara panel paparan instrumen pula dilengkapi dengan petunjuk watt untuk menggantikan tahap rpm. Selain pilihan kemasan kayu atau aluminium, pembeli juga boleh mendapatkan jalur gentian optik yang menyala pada papan pemuka.

    Mercedes-Benz EQA didedah – GLA elektrik dengan kuasa 190 PS, 375 Nm tork, jarak gerak 426 km

    Selain daripada varian Progressive dan AMG Line, EQA juga akan ditawarkan dalam varian Electric Art yang menggunakan balutan kulit tiruan Artico serta kemasan warna emas pada corong pendingin hawa serta tempat duduk. Terdapat juga versi Edition 1 keluaran khas yang mendapat corong pendingin hawa warna biru serta gabungan fabrik biru dan kulit kelabu.

    Hanya ada satu varian penggerak sahaja untuk EQA ini iaitu EQA 250, yang menggunakan satu motor elektrik asynchronous di hadapan untuk memberikan 140 kW (190 PS) dan 375 Nm tork, sekaligus membenarkan ia memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa 8.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 160 km/j. Bateri lithium ion 66.5 kWh yang digunakan mampu memberi jarak gerak 426 km.

    Menurut Autocar, Mercedes-Benz juga akan memperkenalkan beberapa lagi varian, termasuk versi pacuan semua roda dengan satu lagi motor elektrik synchronous di belakang, serta varian AMG prestasi tinggi. Untuk versi pacuan roda hadapan jarak jauh pula, ia dijangka dapat memberi jarak gerak sehingga 500 km mengikut kitaran WLTP.

    Mercedes-Benz EQA didedah – GLA elektrik dengan kuasa 190 PS, 375 Nm tork, jarak gerak 426 km

    Bagi menjimatkan ruang, bateri 420 volt pada EQA menggunakan bentuk bertingkat dengan sebahagian daripada berada di bawah tempat duduk belakang dan sebahagian lagi, iaitu yang lebih tinggi berada di bawah ruang simpanan belakang. Disebabkan itu, ruang barangan berkurang menjadi 340 liter (daripada 435 liter untuk GLA) dan ruang kaki penumpang belakang juga berkurang.

    EQA boleh dicas menggunakan kuasa AC sehingga 11 kW, tetapi waktu mengecas bergantung kepada insfrastruktur yang digunakan. Kereta ini juga boleh menerima kuasa daripada pengecas pantas DC sehingga 100 kW, yang akan mengambil masa untuk mengecas dari 10% ke 80% dalam masa cuma setengah jam sahaja. Pembeli di Eropah dan Amerika akan menerima soket pengecas jenis CCS sementara Jepun dan China pula akan mendapat soket mengecas mereka sendiri.

    Satu ciri yang membantu menambah lagi jarak geark adalah Eco Assist, di mana ia memberi seakan latihan kecekapan kepada pemandu. Ia juga menggunakan data navigasi, pengenalan tanda trafik serta maklumat lain daripada sensor kenderaan untuk menentukan sama perlu meluncur sahaja atau mengecas semula bateri apabila pemandu melepaskan pedal minyak.

    Mercedes-Benz EQA didedah – GLA elektrik dengan kuasa 190 PS, 375 Nm tork, jarak gerak 426 km

    Di Eropah, Mercedes-Benz turut memperkenalkan inisiatif Green Charging untuk menggalakkan penggunaan semula kuasa. Ia dimasukkan sekali dalam pakej Mercedes Me Charge dan memberikan akses kepada lebih 450,000 tempat mengecas di dalam 31 negara – didakwa sebagai rangkaian pengecas paling besar di dunia.

    Sama seperti GLA, EQA juga dilengkapi dengan suspensi jenis MacPherson di hadapan dan four-link di belakang, sementara penyerap jenis adaptif disediakan sebagai pilihan tambahan. Mercedes-Benz juga memberitahu kereta ini mempunyai beberapa peningkatan yang dapat meningkatkan pengalaman pemanduan seperti struktur lebih tegap, getah tapak subframe yang diperelok serta bearing jenis elastomer kurang gegaran di gandar belakang.

    EQA juga akan dilengkapi dengan fungsi keselamatan aktif biasa Mercedes-Benz termasuk Autonomous Emergency Braking dan Lane Keeping Assist. Fungsi yang disediakan sebagai pilihan tambahan pula adalah seperti Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Active Speed Limit Assist, Evasive Steering Assist, Blind Spot Monitoring serta Pre-Safe Plus.

     
     
  • Hyundai henti pembangunan enjin diesel serba baharu

    Hyundai henti pembangunan enjin diesel serba baharu

    Hyundai Motor Group telah mengikut jejak langkah Volvo dengan menggantung pembangunan bagi enjin diesel serba baharu. Menurut laporan Korea JoongAng Daily, langkah tersebut telah pun diambil sejak pertengahan tahun 2020.

    Justeru, tiada enjin diesel serba baharu yang bakal dilancarkan oleh kumpulan terbabit, walau pun enjin sedia ada akan dipertingkatkan. Ini termasuklah dalam famili R, U dan Smartstream D, yang masih ditawarkan pada beberapa model terpilih dari kumpulan subsidiari (Hyundai, Kia dan Genesis), bergantung pada pasaran.

    Memandangkan enjin diesel tidak lagi memainkan peranan yang besar dalam masa hadapan kumpulan ini, maka enjin petrol akan terus dibangunkan untuk digunakan pada model hibrid dan plug-in hybrid, di mana ia masih lagi ada kepentingan biar pun harus mematuhi peraturan emisi yang diperketatkan.

    Elektrifikasi merupakan keutamaan dalam strategi perniagaan terkini syarikat pengeluar kereta Korea ini, malah ia juga termasuklah penghasilan model elektrik sepenuhnya berasaskan Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Ia mensasarkan untuk mengembangkan barisan kenderaan elektrik iaitu daripada lapan model buat masa ini kepada 23 menjelang tahun 2025 dan menjual sebanyak satu juta unit setahun dalam pasaran global.

     
     
  • JPJ Wangsa Maju ditutup hingga 25 Jan untuk sanitasi

    JPJ Wangsa Maju ditutup hingga 25 Jan untuk sanitasi

    Cawangan utama JPJ di Kuala Lumpur yang terletak di Wangsa Maju, Setapak, akan ditutup selama lima hari bermula hari ini untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan. Perkara ini diumumkan oleh JPJ WPKL dalam satu hantaran rasmi.

    Untuk itu, sebagai alternatif, pelanggan boleh berkunjung ke cawangan JPJ di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Menjalara, UTC Kuala Lumpur, Mini UTC Sentul dan Mini UTC Keramat untuk sebarang urusan berkaitan.

    Di bawah PKP 2.0 yang sedang berlangsung ketika ini, pejabat JPJ akan dibuka dari 9 pagi hingga 4 petang (rehat dari 1 tengahari-2 petang), dengan perkhidmatan yang terhad kepada cukai jalan bagi kenderaan komersil dan pembaharuan lesen memandu serta lesen vokasional (GDL, PSV) bagi kenderaan komersil, termasuk teksi dan e-hailing.

    Pelanggan boleh juga datang ke JPJ untuk mendapatkan sijil pemilikan kenderaan atau untuk mendapatkan ID capaian bagi sistem online MySikap. Semua perkhidmatan melibatkan orang perseorangan boleh dilakukan secara online, melalui platform MySikap dan lain-lain.

     
     
  • Hyundai bina kilang sistem fuel cell pertama luar negara di Guangzhou, China — siap pada tahun 2022

    Hyundai bina kilang sistem fuel cell pertama luar negara di Guangzhou, China — siap pada tahun 2022

    Hyundai Motor Group (HMG) umumkan semalam yang syarikat itu telah menandatangani kontrak pelaburan dengan kerajaan China untuk membangunkan kemudahan pengeluaran sistem fuel cell luar negaranya bertempat di Guangzhou. Pelaburan ini akan mempercepatkan lagi pertumbuhan Hyundai sebagai pelopor teknologi hidrogen global dan menggiatkan lagi keterlibatannya di dalam industri hidrogen yang semakin membangun di China.

    Pembinaan dijadualkan bermula bulan depan dan dijangka siap pada separuh kedua tahun 2022. Kilang berkenaan akan menjadi yang pertama bagi Hyundai yang mengeluarkan fuel cell luar dari Korea Selatan, dengan kapasiti pengeluaran 6,500 unit sistem itu setahun dan akan ditingatkan dari semasa ke semasa bergantung permintaan.

    Hyundai memaklumkan, kilang di Guangzhou akan memanfaatkan pengeluaran sistem fuel cell untuk membolehkan syarikat itu terus menjadi pelopor dalam industri hidrogen di China. HMG akan mengeluarkan sistem fuel cell yang sudah terbukti berkesan, yang digunakan pada SUV elektrik Hyundai Nexo di kilang baru berkenaan.

    Hyundai bina kilang sistem fuel cell pertama luar negara di Guangzhou, China — siap pada tahun 2022

    Syarikat Korea itu juga menyatakan yang pihaknya akan terlibat sama dengan syarikat China yang lain di dalam usaha dan projek peneraju berkaitan hidrogen yang dijalankan oleh kerajaan di Guangdong. Syarikat global yang lain, seperti dari Jepun, Jerman dan UK sudahpun mula bekerjasama dengan syarikat China untuk membangunkan teknologi berkaitan. China mensasarkan 1 juta FCEV di atas jalan negara itu menjelang 2035, sebahagian besarnya untuk sektor komersil.

    Pada Disember 2018, HMG mengumumkan perancangan “Fuel Cell Vision 2030” untuk mengukuhkan lagi komitmen terhadap hidrogen. Sebahagian daripada rancangan ini adalah untuk mengeluarkan 700,000 fuel cell setiap tahun untuk memenuhi permintaan sektor industri. Hyundai menjadi yang terawal memberi tumpuan kepada teknologi ini, dengan memperkenalkan model ix35 FCEV secara massa pada 2013. Nexo pula mula masuk pasaran pada 2018.

    Kumpulan ini juga telah berjaya menyerahkan tujuh unit pertama trak XCIENT Fuel Cell keluarannya, sebuah trak elektrik fuel cell pertama dunia yang dikeluarkan secara massa, kepada pelanggan di Switzerland hujung tahun lalu. Hyundai juga baru-baru ini memperkenalkan HTWO, sebuah jenama baru untuk sistem fuel cell keluarannya.

     
     
  • Bride Emperor – kaki kerusi malas untuk tempat duduk bucket berharga RM2.7k, edisi terhad buatan tangan

    Bride Emperor – kaki kerusi malas untuk tempat duduk bucket berharga RM2.7k, edisi terhad buatan tangan

    Pengeluar tempat duduk sport dan perlumbaan dari Jepun, Bride seperti diketahui turut menghasilkan kerusi untuk kegunaan pejabat dan juga e-sport. Ini satu lagi inovasi yang agak kreatif dan sesuai dengan gaya hidup “garage life” yang popular sekarang – Bride melancarkan kaki kerusi malas atau rocking chair yang digelar Bride Emperor untuk dipadankan pada siri tempat duduk bucket keluaran mereka.

    Menurut Bride, ini adalah produk pertama seumpamanya dalam pasaran di mana anda boleh “bergoyang sambil merebahkan perehat belakang.” Ia juga tidak dihasilkan dalam jumlah yang banyak, di mana hanya 10-unit akan dibuat sebulan, dan kesemuanya dibina dengan tangan sepenuhnya.

    Kaki kerusi Bride Emperor ini dihasilkan dengan material kayu oak berkualiti tinggi, dengan kemasan menggunakan pewarna urethane. Ia menggunakan rekaan Ellie bagi menghasilkan “pusat graviti yang harmoni serta memberikan keselesaan yang melegakan, menenangkan dan merehatkan,” dakwa Bride.

    Dibuat dengan dimensi panjang kiri dan kanan 290 mm, kaki Bride Emperor ini boleh dipadankan dengan pelbagai tempat duduk Bride seperti dari siri Streams, Euroster, Digo, Zaou dan banyak lagi.

    Bride Emperor akan mula dijual di Jepun bermula 1 Februari 2021, namun pelanggan yang berminat sudahpun boleh mula menempahnya sekarang. Harga? Pelanggan boleh memiliki Bride Emperor ini dengan bayaran 69,000 Yen (RM2,687) dan perlu diingat, ini hanya harga kaki ya, belum masuk lagi kerusi di atasnya.

     
     
  • Harley-Davidson tahun 2021 disertai 114 Street Bob

    Harley-Davidson tahun 2021 disertai 114 Street Bob

    Harley-Davidson (H-D) telah mendedahkan barisan model tahun 2021 mereka, yang kini termasuk dengan model elektrik Livewire. Selepas perlantikan CEO baru, Jochen Zeitz, H-D kini telah membatalkan rancangan untuk mensasarkan golongan lebih muda dan kembali memberi fokus kepada pasaran tradisional mereka. Rancangan itu dipanggil sebagai “Rewire”.

    Dengan itu, barisan model 2021 juga sebenarnya kelihatan sama sahaja seperti tahun lepas, kecuali ditambah dengan Street Bob 114, yang menggunakan enjin Milwaukee-Eight 1,868 cc yang menghasilkan kuasa 86 hp pada 5,020 rpm dan 155 Nm tork. Tidak banyak krom pada model ini, dan ia diganti dengan kemasan yang kebanyakannya berwarna hitam.

    Sebaliknya, Fat Boy 114 pula, iaitu sebuah model yang menggunakan enjin sama Street Bob 114 pula dipenuhkan dengan pelbagai barangan krom. Tangki bahan api Fat Boy 114 juga adalah lebih besar, iaitu 19 liter (berbanding 13.2 liter pada Street Bob 114) sementara tayarnya menggunakan tayar lebar 240 di belakang dan 160 mm di hadapan.

    Enjin 114 ini juga diperkenalkan kepada model touring, di mana ia kini digunakan pada Road King Special, Street Glide Special dan Road Glide Special. Untuk tahun 2021, Street Glide Special dan Road Glide Special ditawarkan dengan pilihan warna dua tona baru, serta kemasan sama ada krom ataupun serba gelap.

    H-D juga kini menyediakan motosikal tertentu mereka dengan sistem RDRS Safety Enhancements, yang termasuk Cornering ABS, Linked Braking, Traction Control, Rear Wheel Slip Control, Vehicle Hold dan pemerhati tekanan angin tayar. RDRS ini datang standard pada CVO, Tri-Glide Ultra, Freewheler dan Livewire, sementara untuk model lain kecuali Softail, ia ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Hyundai Bayon ditunjuk menerusi teaser – bakal dilancarkan di Eropah pada suku pertama 2021

    Hyundai Bayon ditunjuk menerusi <em>teaser</em> – bakal dilancarkan di Eropah pada suku pertama 2021

    Sekali lagi, Hyundai telah menyiarkan imej teaser untuk model Bayon, yang dijangka akan diperkenalkan di Eropah pada suku pertama 2021. Seperti Sonata, i20, Elantra dan Tucson, SUV segmen-B baharu tersebut juga menggunakan bahasa rekaan “Sensuous Sportiness” ciptaan Hyundai sendiri.

    Imej teaser yang memberikan bayangan wajah hadapan Buyon dan sedikit imbasan lampu belakangnya sekaligus memberikan kita sedikit petunjuk bahawa SUV ini juga bakal dilengkapi dengan imej yang menyerlah, sama seperti model baharu Hyundai yang lain. Ciri yang menyerlahkannya, antaranya, lampu nyalaan siang (DRL) LED yang disambung ke corong pengambilan udara, manakala apron bawahnya pula terdiri dari gril yang besar yang melebar arah bawah.

    Sementara itu, lampu utama yang terasing daripada DRL, diletakkan di hujung bampar hadapan. Setiap kluster ditampilkan dengan tiga elemen pencahayaan, dan dikelilingi bingkai sebagai perumah yang turut menampilkan corong udara dan indikator. Sekaligus membuatkan penampilannya cukup menyerlah dengan binaan pencahayaan yang unik.

    Sedikit imbasan bahagian belakang turut dipaparkan menerusi teaser ini yang mendedahkan lampu berbentuk-anak panah yang cukup bergaya. Lampu tersebut disambungkan ke garisan merah yang nipis, menggambarkan tailgate yang lebih bersudut. Posisi bagi lampu belakang tersebut juga menaikkan pandangan visual bagi kelebarannya.

    Bayon juga mungkin banyak bersamaan dengan i20 terkini, dan mungkin bakal menjadi pengganti kepada model Active untuk sesetengah pasaran. Malahan bahagian dalamannya juga mungkin banyak diadaptasikan dari i20.

    Untuk bahagian mekanikalnya, dijangkakan ia bakal digandingkan dengan enjin pengecas turbo tiga-silinder, dengan pilihan transmisi manual dan dwi-klac. Malahan varian prestasi N juga kemungkinan besar akan ditawarkan, sama seperti i20.

    Seakan pembawaan konsep seperti Ford Puma dan Toyota Yaris Cross yang diberikan olahan gaya dari model hatchback segmen-B, iaitu Fiesta dan Yaris, Bayon juga adalah SUV yang diolah dari i20. Jadi tidak hairanlah ia memiliki banyak persamaan dengan hatchback tersebut. Apa pun, perincian penuhnya akan didedahkan pada pelancarannya kelak.

     
     
  • Yema Spica EV – Alphard klon dari China dengan kuasa elektrik sepenuhnya, harga bermula RM69k

    Yema Spica EV – Alphard klon dari China dengan kuasa elektrik sepenuhnya, harga bermula RM69k

    Yema adalah antara jenama dari China yang masih lagi menggunakan konsep membuat model dengan rekaan klon dari pengeluar lain bagi menghasilkan produk mereka. Ia bukan hanya menciplak rekaan dari jenama import, malah Yema pernah menghasilkan SUV dengan rekaan yang ditiru dari jenama senegaranya iaitu Geely Boyue, digelar sebagai Yema Bojun!

    Cuba anda perhatikan MPV dari Yema ini, macam pernah nampakkan? Tapi di mana ya? Ya, ia sebenarnya adalah model yang diklon dari MPV popular Jepun, Toyota Alphard tetapi bukan dari model generasi terkini AH30, sebaliknya dari model generasi kedua AH20.

    Yema Spica ini sebenarnya telahpun dijual di China sejak tahun 2015 dengan enjin 1.5 liter bersama kotak gear manual (rupa je macam Alphard, tapi power macam Avanza), namun untuk kemaskini terbaharu, ia turut ditawarkan dalam versi EV dengan janaan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Yema Spica EV – Alphard klon dari China dengan kuasa elektrik sepenuhnya, harga bermula RM69k

    MPV Spica EV dengan tujuh-tempat duduk ini menerima motor elektrik berkuasa 70 kW (94 hp) dan tork maksima 180 Nm. Kuasa dibekalkan menerusi bateri lithium 48 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 350 km dengan satu caj penuh berdasarkan kitaran NEDC.

    Menurut Yema, dengan sistem caj cepat, bekalan kuasa dalam bateri dapat dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa hanya 40 minit. Ia juga mencatatkan kelajuan maksima hanya 120 km/j.

    Walaupun rekaannya ditiru dari Alphard, tiada sebarang peincian mewah boleh ditemui pada Yema Spica EV ini, lebih-lebih lagi untuk model varian asas seperti pada gambar ini.

    Yema Spica EV – Alphard klon dari China dengan kuasa elektrik sepenuhnya, harga bermula RM69k

    Ia hanya diberikan rim besi, lampu hadapan halogen, sistem pendingin hawa manual, malah untuk hiburan tiada sebarang skrin diberikan, sebaliknya hanya diberikan sistem stereo asas dengan pemain utama 1-DIN. Mujur ada juga port USB yang boleh diguna untuk mendengar muzik pilihan.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital bersama paparan pemantau tekanan angin tayar. Manakala model dalam varian lebih tinggi akan diberikan ciri tambahan lain seperti skrin infotainmen LCD, kamera undur, butang pelbagai fungsi pada roda stereng, sistem kunci pintar dengan butang pemula, bumbung suria elektrik dan juga pengelap cermin belakang.

    Menurut laporan CarNewsChina, Yema Spica EV ini dijual pada harga bermula RMB109,900 (RM68,800) untuk model paling asas, sehingga RMB129,900 (RM81,280) untuk model dengan spesifikasi tertinggi.

     
     
  • VIDEO: Nissan Magnite hanya dapat 4 bintang dalam ujian ASEAN NCAP untuk model pasaran Indonesia

    Setelah Nissan Magnite diumumkan hanya memperolehi empat-bintang dalam ujian pelanggaran penilaian keselamatan ASEAN NCAP awal bulan ini, kini perincian berserta video ujian tersebut telah pun disiarkan oleh badan keselamatan berkenaan.

    Nissan Magnite dengan spesifikasi pasaran Indonesia berkenaan menerima markah keseluruhan hanya 70.60%, termasuk 28.09 markah dari 36 markah penuh untuk perlindungan penumpang dewasa (AOP), 31.96 markah dari 49 markah penuh untuk perlindungan penumpang kanak-kanak dan juga 11 markah dari 18 markah penuh untuk teknologi bantuan keselamatan (SAT).

    Dalam ujian pelanggaran berhadapan, Nissan Magnite dinilai memberikan perlindungan yang lemah pada bahagian pemandu, manakala bahagian lain diberikan penilaian bagus dan memadai. SUV segmen-B ini juga menerima markah COP dan SAT yang tidak kuat, menyebabkan markah akhir hanya melayakkan Magnite untuk menerima empat bintang dari lima bintang penuh.

    VIDEO: Nissan Magnite hanya dapat 4 bintang dalam ujian ASEAN NCAP untuk model pasaran Indonesia

    Nissan Magnite ini diuji oleh ASEAN NCAP sebelum 1 Januari lalu bersama Proton Iriz dan Persona yang dihantar semula oleh Proton untuk dinilai semula (kedua-dua model Proton berkenaan masih kekal menerima lima-bintang). Ini bermakna ia adalah model terakhir dinilai menggunakan protokol 2017-2020 ASEAN NCAP. Di Indonesia, SUV ini dibekalkan dengan dua beg udara, sistem brek ABS dan kawalan kestabilan elektronik secara standard untuk semua varian.

    Nissan Magnite telah pun membuat kemunculan sulungnya di India pada Disember lalu, dan kemudian dilancarkan di Indonesia pada bulan yang sama – dalam kedua-dua pasaran ini, Magnite dijual pada harga yang cukup kompetitif dan mungkin akan menggugat pasaran pesaingnya yang lain.

    Di Indonesia, SUV kompak ini ditawarkan dalam tiga varian berbeza di negara tersebut bermula dengan model paling asas Upper MT berharga 208.8 juta rupiah (RM59,629), model spesifikasi tinggi Premium MT berharga 226.3 juta rupiah (RM63,855) dan model kemasan sama dengan kotak gear automatik Premium CVT berharga 238.8 juta rupiah (RM68,196). Bagi model varian tertinggi, ia turut dipadankan dengan Hill Start Assist dan kamera 360 darjah.

    Ia dijana oleh enjin HR0A 1.0 liter tiga-silinder yang sama dengan Nissan Almera turbo menjana 100 PS dan tork maksima 160 Nm. Model MT diberikan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala model automatik pula diberikan kotak gear CVT X-Tronic, bagi mengalirkan kuasa ke roda hadapan.

    Panjang keseluruhan SUV ini adalah 3,994 mm dengan jarak roda 2,500 mm. Manakala lebarnya pula adalah 1,758 mm dengan tinggi 1,572 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Proton X50, Magnite adalah 336 mm lebih pendek dengan jarak roda 100 lebih dekat, serta 42 mm kurang lebar. Jika di bawa ke Malaysia, Magnite sebenarnya adalah lawan terus kepada SUV Perodua D55L yang akan dilancarkan mungkin tak lama lagi, diasaskan dari Daihatsu Rocky.

    Magnite dipadankan dengan rim bersaiz 16-inci dan tayar tebal dengan saiz 195/60R16. Ia mengahsilkan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.

    Dalam video ujian di atas, dapat dilihat ada jata kerajaan Malaysia pada badan Magnite berkenaan, adakah ini petunjuk bahawa ia turut akan dipasarkan disini? Untuk pengetahuan anda, ujian-ujian untuk ASEAN NCAP sememangnya dibuat di makmal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang terletak di Melaka.

    Jadi ini bukan petunjuk bahawa Magnite akan dilancarkan di Malaysia pada masa akan datang. Yang pasti, Edaran Tan Chong Motor memang mempunyai perancangan melancarkan SUV segmen-B yang lebih canggih dikelaskan sebagai model global Nissan iaitu Kicks facelift pada pasaran tempatan.

    GALERI: Nissan Magnite

     
     
  • Subaru BRZ GT300 2021 bakal gegarkan litar lumba

    Subaru telah menyiarkan video promosi jentera lumba BRZ GT300 baharu, yang bakal berentap dalam perlumbaan Super GT bagi kelas GT300 tahun ini.

    Pusingan pertama bagi musim baharu ini dijangka akan bermula pada 10-11 April 2021 di Litar Antarabangsa Okayama, disusuli dengan pusingan kedua di Fuji Speedway dari 1-2 Mei. Dua pusingan lagi mungkin bakal berlangsung di Thailand dan Malaysia seperti yang direncanakan, tetapi disebabkan penularan pandemik Covid-19, tidak dapat disahkan adakah perlumbaan di dua negara berkenaan akan diteruskan.

    Bagi jentera lumba BRZ GT300, badannya kelihatan sama seperti BRZ generasi kedua yang diperkenalkan pada November tahun lalu. Walau bagaimana pun, beberapa modifikasi telah diberikan untuk mengoptimumkan prestasi aerodinamiknya, termasuklah fender yang lebih lebar, splitter hadapan yang lebih besar dan beberapa corong pengambilan udara, diffuser belakang yang besar dan juga wing belakang yang menyerlah.

    Buat masa ini Subaru masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal bagi jentera lumba ini, tetapi pastinya masih mengekalkan enjin boxer. Jentera lumba BRZ GT300 terdahulu yang terlibat dengan perlumbaan dari tahun 2012 hingga 2020 menampilkan enjin talaan perlumbaan dengan unit EJ20 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 300 PS (had kuasa bagi kelas GT300) dan tork 450 Nm. Sebagai perbandingan, model biasa yang dipandu di jalan raya, ditampilkan dengan enjin 2.4 liter naturally aspirated empat-silinder flat dengan kuasa 231 PS dan 249 Nm.

    Sebelum perlumbaan bagi musim 2021 bermula, Subaru akan menganjurkan acara shakedown untuk BRZ GT300 pada 22 Februari, di mana kita akan menyaksikan ‘uniform’ luaran jentera lumba ini yang khabarnya digandingkan dengan rona biru.

     
     
  • AD: Audi A5 Sportback baru — sporty dan dinamik, MMI Touch baru, sistem mild-hybrid, dari RM349,900

    AD: Audi A5 Sportback baru — sporty dan dinamik, MMI Touch baru, sistem <em>mild-hybrid</em>, dari RM349,900

    Kalau bercakap tentang kereta fastback, hanya segelintir yang mampu menandingi penampilan dan daya tarik Audi A5 Sportback. Model tahun 2021 yang terbaru di Malaysia yang turut datang dengan kemaskini estetik, mekanikal dan teknologi menjadikannya lebih menarik dengan nilai tambah yang tiada sebelum ini.

    Dari sudut rekaan, A5 Sport tampil dengan gaya lebih sporty didorong oleh rekaan baru bagi lampu utama Matrix LED dengan lampu nyalaan siang LED. Sistem pencahayaan berteknologi tinggi ini ditawarkan standard bagi semua varian A5 Sportback di Malaysia. Gril khusus Sigleframe padanya juga kini dijadikan lebih tirus, dan bersama dengan lekuk profil yang ada, memperlihatkan kereta coupe empat-pintu ini lebih atletik.

    Di belakang, lampunya juga diberikan sentuhan rekaan baru, lengkap dengan lampu isyarat sequential LED. Turut ada ialah rekaan kemasan ala diffuser hitam yang menempatkan bersekali corong ekzos trapezoidal. Melengkapi rekaan luaran yang mengancam ini ialah rim 18-inci atau 19-inci, dengan pilihan yang kedua tersebut diberikan untuk varian quattro.

    AD: Audi A5 Sportback baru — sporty dan dinamik, MMI Touch baru, sistem <em>mild-hybrid</em>, dari RM349,900

    Di dalam, ciri pada kabinnya menampilkan rekaan stereng baru, dan di belakangnya terletak pula kokpit virtual beresolusi tinggi digital Audi dengan saiz 12.3-inci. Skrin sentuh 10.1-inci berasingan untuk paparan infotainmen pula terletak pada papan pemuka, lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta kawalan suara dan sokongan aplikasi myAudi.

    Ini dibolehkan dengan kehadiran paltform infotainmen modular generasi ketiga Audi (MIB 3 dipacu oleh unit pemprosesan teras yang lebih pantas), menjadikan A5 Sportback model pertama dari Audi di Malaysia yang dilengkapi sistem MMI Navigation Plus canggih tersebut.

    Menjadi nadi utama kereta ini ialah enjin EA888 2.0 liter turbocas petrol empat-silinder. Model paling asas pacuan depannya menerima versi janaan 190 PS dari 4,200 hingga 6,000 rpm dan 320 Nm tork antara 1,450 dan 4,200 rpm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 241 km/j.

    AD: Audi A5 Sportback baru — sporty dan dinamik, MMI Touch baru, sistem <em>mild-hybrid</em>, dari RM349,900

    Bagi model quattro pula, angka outputnya ditingkatkan kepada 249 PS dari 5,000 rpm hingga 6,500 rpm dan 370 Nm tork antara 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Ia juga lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat dan laju maksimum dihadkan pada 250 km/j.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi klac berkembar S Tronic tujuh-kelajuan, dengan bantuan daripada sistem 12-volt mild-hybrid. Dengan ini, enjin A5 Sportback boleh bergerak dengan enjin dimatikan antara 55 km/j hingga 160 km/j, yang menyumbang kepada penambahbaikan penggunaan minyak sehingga 0.3 liter bagi setiap 100 km dalam penggunaan sebenar.

    Berminat untuk mendapatkan sebuah kereta coupe empat-pintu yang paling menawan dalam pasaran ketika ini? Harga untuk Audi A5 Sportback ini bermula dari RM349,900, dan boleh didekati serta dipandu uji di semua bilik pameran Audi seluruh negara. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kereat ini, lawati juga Audi Online Showroom, di sini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024