Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Geely Haoyue mula dijual di China – diikuti ASEAN?

    Geely Haoyue mula dijual di China – diikuti ASEAN?

    SUV paling besar keluaran Geely iaitu Haoyue 2020 (boleh memuatkan sehingga tujuh orang) telah pun dilancarkan untuk pasaran China. Menurut China Car News, Haoyue (juga dikenali sebagai VX11) direka dengan mengambil kepentingan pasaran eksport, dan boleh memuaskan pelanggan di luar China yang mahukan “SUV besar dan luas, terutamanya di negara ASEAN.”

    Ketibaannya di negara kita masih lagi tidak dapat dipastikan tetapi Geely ada memberitahu bahawa kenderaan mereka memang biasanya direka untuk pasaran global. Walaupun begitu, perancangan mereka untuk pengenalan di pasaran tertentu masih belum boleh didedah.

    Satu pasaran yang pasti adalah Eropah, di mana Haoyue akan bersaing dengan model seperti Mazda CX-8 dan Santa Fe. Ukuran SUV ini adalah panjang 4,835 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak roda 2,815 mm. Sebagai perbandingan, Mazda CX-8 pula memiliki ukuran panjang 4,900 mm (+65 mm), lebar 1,840 mm (-60 mm), tinggi 1,730 mm (-50 mm), dan jarak roda 2,930 mm (+115 mm).

    Selain rekaan yang lebih moden, Haoyue juga menawarkan ruang yang luas di bahagian dalam termasuk 2,370 liter untuk bahagian but versi lima tempat duduk (tempat duduk dilipat). Versi tujuh tempat duduk pula menyediakan ruang simpanan 2,050 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat. Menambahkan lagi rasa luas itu, bumbungnya dipasang dengan kaca panoramik yang besar.

    Dua enjin petrol turbo disediakan untuk pasaran China iaitu unit tiga silinder 1.5 liter berkuasa 174 PS dan 225 Nm tork, manakala satu lagi enjin adalah unit empat silinder 1.8 liter berkuasa 181 PS dan 300 Nm tork sama seperti Boyue Pro. Transmisi tujuh kelajuan klac berkembar datang secara standard dan kuasa dihantar sama ada ke dua roda hadapan ataupun kesemua roda.

     
     
  • Auto Bavaria beroperasi seperti biasa mulai 4 Mei

    Auto Bavaria beroperasi seperti biasa mulai 4 Mei

    Auto Bavaria telah mengumumkan perniagaannya di seluruh negara telah beroperasi semula mulai 4 Mei, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

    Ini bermakna unit jualan dan selepas jualannya kini telah pun kembali dibuka, walau bagaimana pun Auto Bavaria masih melaksanakan sistem ‘drop-off’ bagi perkhidmatan penyelenggaraannya. Untuk pelanggan yang mahu menghantar kereta masing-masing untuk diselenggara, perlulah membuat temujanji terlebih dahulu dengan pusat servis berhampiran.

    Untuk waktu operasinya, premis yang melibatkan bilik pameran akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada setiap hari Isnin hingga Sabtu, dan 10 pagi hingga 5 petang untuk Ahad dan cuti umum. Manakala pusat servis pula dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu.

    Auto Bavaria beroperasi seperti biasa mulai 4 Mei

    Pembukaan semula fasiliti bagi hampir kesemua sektor perniagaan mulai 4 Mei 2020 dengan mengikut SOP yang ditetapkan adalah sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, penggantungan ekonomi sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac telah mengakibatkan negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari, dan jumlah keseluruhan kerugian setakat ini telah mencecah RM63 bilion. Jika PKP yang telah pun memasuki fasa ke-empat, diteruskan dalam tempoh sebulan lagi, katanya, negara akan kerugian lagi RM35 bilion.

     
     
  • Pusat Servis HLYM Sungai Buloh kembali dibuka esok

    Pusat Servis HLYM Sungai Buloh kembali dibuka esok

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd mengumumkan pusat servis mereka yang terletak di Sungai Buloh (HQ) akan dibuka bermula 5 Mei 2020 dengan waktu operasi dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Walaupun begitu, ia hanyalah untuk pelanggan yang sudah membuat temu janji sahaja.

    Sebelum datang, pelanggan perlu membuat temu janji dengan menghubungi 03-61577011 (sambungan 6650) dan kemudian, tarikh servis akan diberikan. Sebaik tiba pula, mereka perlu mengikuti peraturan baru seperti memakai topeng muka, penjarakan sosial, letak motosikal di tempat yang telah ditetapkan dan hanya satu pelanggan bagi setiap motosikal.

    Walaupun pusat servis di Sungai Buloh ini telah beroperasi, HLYM memberitahu cawangan pusat servis lain iaitu di Pulau Pinang, Ipoh, Johor dan Kuantan, serta pusat alat ganti dan kaunter jualan alat ganti masih lagi ditutup sehingga satu waktu yang akan diumumkan nanti.

     
     
  • Ketua Polis Negara harap pemandu mabuk sebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman maksimum

    Ketua Polis Negara harap pemandu mabuk sebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman maksimum

    Memberi respon berkenaan kejadian pemandu mabuk yang menyebabkan seorang anggota polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya di Kajang awal pagi semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berharap pemandu kenderaan yang tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian dikenakan hukuman maksimum, lapor Bernama.

    Menurutnya hukuman itu adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak agar perkara seperti itu tidak berulang. “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan. Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Hospital Serdang, semalam.

    Beliau meluangkan masa hampir satu jam di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu bagi menziarah jenazah anggota polis yang maut dalam kemalangan di sekatan jalan raya yang berlaku berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada awal pagi Ahad lalu.

    Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu, di mana Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

    “Saya rasa sedih apabila pada awal pagi tadi dikejutkan dengan berita berlaku kemalangan ini yang tidak sepatutnya berlaku dan anggap ini sebagai takdir.

    “Saya juga difahamkan arwah yang mempunyai sembilan adik beradik ialah seorang pendiam. Ada antara ahli keluarga arwah bekerja sebagai polis iaitu bapanya yang juga bekas komander VAT69 di Ulu Kinta, Perak dan sudah tiga tahun bersara,” katanya yang pilu dengan insiden tersebut.

    Mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

     
     
  • PKPB: Polis PJ laksana perubahan sekatan jalan raya, ada beberapa jalan yang ditutup telah dibuka semula

    PKPB: Polis PJ laksana perubahan sekatan jalan raya, ada beberapa jalan yang ditutup telah dibuka semula

    Polis Daerah Petaling Jaya telah memaklumkan perubahan sekatan jalan raya dan pembukaan semula jalan yang ditutup bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini, 4 Mei 2020. Ia adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengatur semula barisan anggotanya untuk penugasan mobile di kawasan tumpuan ramai seperti pasaraya, pasar awam, pusat komersil dan pusat riadah.

    Terdapat sembilan lokasi sekatan jalan raya yang telah ditamatkan iaitu di Tol NPE PJS2, Tol Subang, Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara, KM34.1 Lebuhraya Persekutuan (arah KL ke Klang), Persiaran Surian, Royal Chulan (masuk/keluar).

    Walau bagaimana pun, terdapat satu lokasi sekatan jalan raya yang baharu iaitu di Batu 8 1/2 Jalan Klang Lama (berhadapan Wisma Ann Joo).

    PKPB: Polis PJ laksana perubahan sekatan jalan raya, ada beberapa jalan yang ditutup telah dibuka semula

    Manakala terdapat empat penutupan jalan yang masih beroperasi iaitu di Jalan PJS 5/46 (Gasing Indah, Petaling Jaya), dan tiga lokasi di Kota Damansara; Jalan Mahogani (Seksyen 9), Jalan Persiaran Jati (Seksyen 8) dan Jalan Persiaran Sungai Buloh.

    Untuk pengguna yang perlu ke kawasan terbabit, bolehlah menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Persiaran Kenanga-Tol Kota Damansara, Jalan Persiaran Surian-Palm Spring Kota Damansara, dan Jalan Persiaran Tropicana-Casa Tropicana.

    Bagi penutupan jalan yang tidak lagi beroperasi pula melibatkan laluan lampu isyarat PJU 8.1 Damansara dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) susur keluar Mutiara Damansara.

    Walau bagaimana pun, Polis Daerah Petaling Jaya menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi PKPB agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

     
     
  • PKPB: Prasarana umum jumlah penumpang dihadkan 30-50% bagi setiap trip, waktu operasi kembali normal

    PKPB: Prasarana umum jumlah penumpang dihadkan 30-50% bagi setiap trip, waktu operasi kembali normal

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali rel urban dan bas henti-henti di Lembah Klang dan negeri-negeri lain serta perkhidmatan Rapid Ferry, memaklumkan, semua perkhidmatannya beroperasi mengikut waktu normal daripada pukul 6 pagi sehingga tengah malam mulai hari ini, 4 Mei 2020.

    Langkah ini diambil susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu, yang menyatakan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) adalah bagi membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat. Walau bagaimana pun, hampir kesemua operasi yang dibenarkan itu tertakluk dengan syarat-syarat dan prosedur ketat bagi memastikan usaha mencegah penularan wabak COVID-19 terus diperkasakan.

    “Selaras dengan itu, bagi menggalakkan penjarakan sosial di dalam tren dan bas, perjalanan waktu puncak dipanjangkan daripada 7 pagi hingga 11 pagi untuk waktu puncak pagi; dan antara pukul 4 petang hingga 7 malam untuk waktu puncak petang bagi semua perkhidmatan. Ini bermakna kekerapan tren yang lebih tinggi pada waktu-waktu ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Muhammad Nizam Alias.

    Klik untuk besarkan

    Kekerapan waktu puncak pagi dan petang untuk LRT Laluan Kelana Jaya adalah tiga minit, manakala untuk LRT Laluan Ampang/Sri Petaling adalah enam minit. Perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang pula mempunyai kekerapan waktu puncak empat minit manakala perkhidmatan monorel pula beroperasi dengan kekerapan enam minit.

    Bagi mendapatkan jarak yang sesuai bagi penjarakan sosial, pihaknya terpakda mengehadkan jumlah penumpang untuk setiap satu perjalanan. Di mana untuk perkhidmatan tren, hanya menampung 50% penumpang daripada kapasiti penuh dan 30% untuk bas.

    Tambahnya lagi, “Kami akan meletakkan staf tambahan untuk mengawal penumpang di pintu masuk stesen dan di platform bagi memastikan penjarakan sosial di dalam tren. Tentunya, ini adalah sesuatu yang amat mencabar. Jadi, kami memohon agar semua penumpang memberikan kerjasama rapat dengan staf kami dalam menjalankan tugas mereka.

    “Kuasa untuk meneruskan usaha memutus rantaian penularan COVID-19 adalah di tangan orang ramai dan para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Anda mesti bersedia melakukan penjarakan sosial secara sukarela dan menyokong satu sama lain. Tren dan bas akan mempunyai tanda-tanda khas untuk membantu urusan penjarakan sosial dalam bas dan tren. Kita jaga kita,” katanya lagi.

    Dalam masa yang sama beliau turut menasihatkan para penumpang rel, bas dan feri untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung di samping mengamalkan penjagaan kesihatan peribadi khususnya mencuci tangan dengan cecari pembasmi kuman atau hand sanitisers, yang akan diletakkan di semua stesen-stesen tren LRT, MRT, monorel dan BRT, hab-hab bas dan pangkalan-pangkalan feri.

    “Kerja-kerja membasmi kuman di stesen-stesen dan hab-hab bas serta di dalam tren dan bas-bas kendalian Prasarana dan juga feri akan diteruskan secara gigih seperti masa-masa lepas. Staf-staf yang bertugas khususnya Kapten-kapten bas, anggota Polis Bantuan dan staf-staf stesen akan turut diperiksa suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memulakan kerja masing-masing,” katanya.

    Maklumat penuh mengenai jadual perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana boleh didapati daripada laman-laman media sosial di Facebook @myrapid, Twitter @MyRapidKL atau menerusi talian 03-78852585.

     
     
  • Proton PM5 — dari model skala jadi kereta sebenar?

    Proton PM5 — dari model skala jadi kereta sebenar?

    Mungkin ada yang masih ingat kepada Proton PM5. Pada tahun 2007, rekaannya pernah tampil dan menarik perhatian diforum-forum automotif tempatan. Ia pada asalnya hanyalah sebuah rekaan yang dihasilkan sebagai aktiviti sampingan seorang pereka Proton ketika itu.

    Sedikit latar belakang tentang rekaan yang Proton tak pernah hasilkan model sebenarnya ini; ketika itu kilang Proton di Tanjung Malim hendak dilancarkan oleh Perdana Menteri Ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau orang panggil Pak Lah. Maka, model Proton PM5 ini dihasilkan dalam bentuk skala 1:3 untuk dihadiahkan kepada beliau.

    Kini, selepas 15 tahun, perekanya, Shaharudin Busri yang pernah kita lihat kerja-kerjanya sebelum ini – antaranya melalui rekaan Proton Suprima X, Suprima R dan Proton Bayu – kembali memberi tumpuan terhadap rekaan digital model berkenaan untuk diberikan kemaskini da lebih perincian.

    Proton PM5 — dari model skala jadi kereta sebenar?

    Menurut beliau, rekaan asal Proton PM5 ini menggunakan platform Lotus M250 yang telah dipanjangkan sedikit casisnya untuk menjadikan ruang dalaman lebih luas bagi memuatkan konfigurasi penumpang melalui konsep 2+2. Hasilnya, PM5 tampil sebagai sebuah kereta sport dua pintu yang unik dan elegan.

    Rekaan keseluruhan tidak banyak diubah berbanding model contoh yang pertama dahulu. Lampu utama, jalur DRL di sudut bawah serta logo baru Proton kini ditampilkan. Sekali imbas, siluetnya ada mirip Nissan Fairlady 370Z. Tambahan dengan garis bumbung dengan jalur kemasan krom yang semakin menirus di belakang, penampilannya tampak yakin.

    Bahagian belakang nampak lebih lebar dan rendah (ada iras dari Audi TT?), dengan ruang kabin dalaman yang dibayangkan untuk tampil dengan elemen futuristik. Selepas 15 tahun rekaan ini masih nampak segar? Ada harapan untuk dijadikan kenyataan? Kepada yang berminat untuk meneliti aktiviti rekaan digital model-model kenderaan, boleh ikuti akaun Instagram @saharudindesign.

     
     
  • Max Orido X AKEa GR Supra – kit rekaan lagenda!

    Max Orido X AKEa GR Supra – kit rekaan lagenda!

    Pelumba dan drifter ikonik Toyota Supra, Manabu ‘Max’ Orido telah mengumumkan bahawa set kit badan rekaannya sendiri yang digelar Max Orido X AKEa A90 Supra kini sudahpun boleh dibeli.

    Kit badan berkenaan terdiri daripada lip spoiler bawah bampar hadapan dengan tambahan sirip sisi, skirt sisi lebih lebar dengan ‘sayap’, diffuser untuk bampar belakang serta spoiler jenis ekor itik yang lebih lebar dari standard.

    Anda boleh membeli kit ini sama ada secara berasingan atau secara set. Untuk set lip spoiler hadapan dengan sirip, ia dijual pada harga 51,000 yen (RM2k) untuk yang belum dicat dan 64,000 yen (RM2.6k) untuk yang telah dicat hitam.

    Untuk set lengkap pula akan dijual pada harga 152,800 yen (RM6.2) untuk yang belum dicat dan 194,800 yen (RM7.8k) untuk yang sudah dicat hitam. Harga yang diberikan ini sudah pun termasuk cukai tanpa kos pemasangan. Anda turut boleh membeli pemegang nombor pendaftaran yang diperbuat dari gentian karbon berharga 30,000 yen (RM1.2k).

    Seperti pelbagai Supra JZA80 yang dimiliki oleh Orido sebelum ini, kereta demo Supra A90 miliknya ini juga diberikan warna merah-hitam (tema rasmi jenama tayar yang membawa namanya naik iaitu Yokohama Advan).

    Ia turut menampilkan set brek project ? di hadapan dengan angkup enam-omboh dan cakera ‘two-piece’. Seperti biasa, Orido memilih set rim Advan GT berwarna hitam untuk GR Supra miliknya ini.

    Sebelum ini, Max Orido turut terlibat dalam menguji peralatan prestasi yang dihasilkan oleh HKS untuk GR Supra berkenaan.

    Toyota Supra generasi baharu ini dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo yang mampu menghasilkan 340 PS dan tork maksima 500 Nm dalam keadaan standard. Ia digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik, dan hanya memacu roda belakang.

     
     
  • PKPB: Pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu masih tertakluk di bawah pengecualian oleh menteri

    PKPB: Pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu masih tertakluk di bawah pengecualian oleh menteri

    Minggu lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumankan bahawa bermula hari ini (4 Mei 2020), kita sudahpun masuk ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan sebahagian besar perniagaan boleh beroperasi semula seperti biasa. Jadi adakah ini bermaksud mereka dengan cukai jalan dan lesen memandu yang telah tamat tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga empat sudah boleh memperbaharuinya hari ini?

    Menurut pengumuman Jabatan Pengangkutan Jalan, anda yang masih berhadapan dalam situasi berkenaan masih belum perlu memperbaharui dokumen-dokumen tersebut dalam tempoh PKPB ini.

    “Bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, adalah masih tertakluk di bawah pengecualian pembaharuan LKM dan lesen memandu seperti yang telah diberikan oleh YB Menteri Pengangkutan,” tulis jabatan berkenaan di laman facebook rasmi mereka.

    Walaupun kaunter di pejabat JPJ telah dibuka sepanjang PKPB ini dengan waktu operasi dari 8 pagi hingga 1 petang, urusan-urusan pembaharuan cukai jalan, lesen (GDL dan PSV), penyelesaian senarai hitam dan pembayaran saman adalah hanya untuk kenderaan perdagangan (kecuali teksi dan e-hailing) sahaja.

    PKPB: Pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu masih tertakluk di bawah pengecualian oleh menteri

    Langkah ini diambil bagi menyokong pengoperasian semula sektor ekonomi disamping mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19, menurut JPJ.

    Pada Mac lalu, menteri pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengumumkan bahawa mereka dengan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh ketika PKP sedang berlangsung akan dikecualikan dari memperbaharuinya sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan.

    Menurutnya, dengan kapasiti beliau sebagai menteri pengangkutan telah menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dengan memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing melalui suatu undang-undang khusus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 25 Mac 2020.

    Begitu juga dengan cukai jalan, dimana ia tidak perlu diperbaharuinya secepat mungkin, tetapi pemilik masih perlu memperbaharui insuran terlebih dahulu kerana walaupun dengan adanya pengecualian khas ini, para pemandu masih perlu membawa salinan sijil perlindungan atau e-cover note insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP. Ini bermakna, sesiapa yang mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan tersebut wajib memiliki perlindungan insurans yang sah.

     
     
  • Proton mulai operasi pusat 3S dan kilang secara berperingkat pada 5 Mei dengan SOP norma baharu

    Proton mulai operasi pusat 3S dan kilang secara berperingkat pada 5 Mei dengan SOP norma baharu

    Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan pelbagai perniagaan beroperasi semula dengan SOP norma baharu bermula 4 Mei 2020, jenama atomotif nasional, Proton mengesahkan bahawa operasi syarikat mereka akan dimulakan semula secara berperingkat mulai esok.

    Walau bagaimanapun menurut Proton, setiap operasi mereka tidak akan berjalan sepenuhnya pada 5 Mei nanti, sebaliknya ia akan dimulakan secara berperingkat dan akan mematuhi setiap arahan dan syarat seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa.

    Pusat jualan dan servis akan beroperasi semula esok, tetapi pembukaan semula ini tertakluk pada cawangan-cawangan yang terletak di zon kuning dan hijau, dan semua premis dan kakitangan perlu mematuhi protokol keselamatan yang ketat seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia dalam usaha untuk mengekang penyebaran virus COVID-19.

    Proton mulai operasi pusat 3S dan kilang secara berperingkat pada 5 Mei dengan SOP norma baharu

    “Proton akan kembali memulakan semua aktiviti perniagaan secara berperingkat. Namun, kami tetap akan mengutamakan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami dan selari dengan seruan Perdana Menteri untuk menyesuaikan keadaan dengan norma baharu, kami akan memperkenalkan satu protokol khas di semua kawasan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Selain operasi-operasi peruncitan ini, Proton juga akan memulakan operasi pengeluaran di kilang-kilangnya di Tanjung Malim dan Shah Alam secara berperingkat bermula esok, termasuk pejabat korporatnya di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), dengan mempraktikkan amalan kerja baharu bagi meminimakan risiko jangkitan.

    “Kami ingin meyakinkan semua pelanggan bahawa kami akan berusaha seboleh mungkin dalam memastikan keselamatan dan kesihatan anda terjamin. Sebagai pengeluar automotif yang bertanggungjawab, keselamatan tetap menjadi keutamaan kami,” tambah Dr. Li.

     
     
  • Honda City Turbo gaya NSX, Civic Type R dari NKSDesign Thailand – laju betul buat kerja!

    Honda City Turbo gaya NSX, Civic Type R dari NKSDesign Thailand – laju betul buat kerja!

    Walaupun baru sahaja Honda City 1.0 liter VTEC Turbo dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu, kita dah lihat dua jenis rekaan kit badan aftermarket untuk City GN1 ini iaitu keluaran NKGarage dan AZC Original. Jika dua rekaan ini lebih bersifat tersendiri, ini ada dua rekaan dari NKSDesign dari Thailand yang lebih klise dengan mengambil inspirasi dari model-model prestasi Honda.

    NKSDesign menghasilkan kit badan mereka dengan meniru rekaan dari Honda NSX generasi baharu dan juga Honda Civic Type R FK8 – cepat betul diorang ni buat kerja! Untuk kit ‘City NSX’ selain dari bampar, ia turut diberikan ‘sayap’ splitter hadapan dan skirt sisi, bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan perumah tip ekzos seperti port HDMI sama seperti NSX dan juga sayap GT di atas but belakang.

    Manakala untuk ‘City Type R’, ia hadir dengan bampar hadapan dan belakang dengan rekaan FK8, lengkap dengan tip ekzos kembar tiga palsu di tengah bampar belakang, serta sayap but belakang yang turut menyerupai rekaan pada Civic Type R terkini berkenaan.

    Selain dari kit-kit badan keluaran pihak ketiga ini, pemilik Honda City GN1 ini turut boleh memilih kit Modulo asli dari Honda, diperkenalkan ketika pelancarannya tempoh hari. Seperti model-model sedan City sebelum ini, model generasi baharu ini bukan dihasilkan oleh Honda Jepun, tetapi dibangunkan sendiri oleh Honda Thailand – setakat ini belum ada pasaran lain yang menerima City GN1 berkenaan.

    Bagi membolehkan model ini bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 dan menerima insentif potongan cukai istimewa di Thailand, ia diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

    Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

    Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

     
     
  • PKPB: Empat sekeluarga dalam sebuah kenderaan persendirian dibenarkan mulai 4 Mei – Ismail Sabri

    PKPB: Empat sekeluarga dalam sebuah kenderaan persendirian dibenarkan mulai 4 Mei – Ismail Sabri

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok, 4 Mei 2020, kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama.

    Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebut kebenaran itu diberikan berikutan isu jarak sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga dan mereka yang tinggal serumah.

    “Kerajaan memutuskan membenarkan untuk kenderaan persendirian maksimum empat orang tetapi mesti daripada keluarga yang sama dan rumah yang sama.

    “Namun saya percaya ada yang cuba membawa kawan dan jika didapati ingkar, prosedur operasi standard mesti dipatuhi, sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut mengingatkan pihak yang telah membuat keputusan untuk beroperasi esok susulan pelaksanaan PKPB, perlu mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

    “Kerajaan mengambil maklum mengenai kebimbangan orang ramai terhadap pembukaan semula sektor perniagaan dan industri apabila berlakunya pergerakan secara besar-besaran. Malah, ramai turut melahirkan kerisauan kemungkinan PKPB ini boleh menyebabkan penularan semula jangkitan COVID-19,” katanya.

    Justeru, katanya rakyat disaran terus mengamalkan kawalan kendiri untuk memastikan dapat menghindarkan diri daripada wabak itu dan memutus rantaian jangkitan COVID-19

    Ismail Sabri berkata rakyat juga diseru supaya memainkan peranan dan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti, serta mengelakkan berada di tempat awam jika tiada keperluan.

     
     
  • PKP: Pergerakan rentas negeri ditetapkan dari 7-10 Mei – PDRM bakal sediakan jadual perjalanan

    PKP: Pergerakan rentas negeri ditetapkan dari 7-10 Mei – PDRM bakal sediakan jadual perjalanan

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pergerakan rentas negeri iaitu memberikan kebenaran kepada orang ramai yang berada di kampung halaman untuk pulang ke kediaman masing-masing akan bermula dari 7 hingga 10 Mei ini.

    Menurutnya, bagi memastikan kelancaran perjalanan berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan jadual pergerakan. Setakat ini, PDRM sudah menerima kira-kira 500,000 permohonan untuk pulang bekerja dan kebenaran bergerak itu bergantung kepada kelulusan Gerak Malaysia.

    “PDRM akan mengeluarkan kenyataan media bagi memberikan penjelasan lebih terperinci mengenainya seperti bila dan di mana,” katanya sambil menambah penjawat awam diingatkan supaya tidak terburu-buru pulang hari ini atau esok walaupun pejabat kerajaan mula dibuka Isnin ini.

    PKP: Pergerakan rentas negeri ditetapkan dari 7-10 Mei – PDRM bakal sediakan jadual perjalanan

    Jelasnya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, telah meberikan persetujuan supaya penjawat awam tidak perlu mula bekerja Isnin ini dan boleh menunggu waktu pulang berdasarkan hari yang akan ditetapkan PDRM.

    “Sebagai contoh, kalau jadual perjalanan jatuh pada Jumaat, mereka perlu tunggu pada Jumaat dan boleh bekerja pada Isnin berikutnya,” katanya. Dalam masa yang sama, beliau turut meminta majikan sektor swasta memberi ruang kepada pekerja melakukan perjalanan berdasarkan jadual disediakan PDRM dan tidak mengambil tindakan jika pekerja gagal hadir Isnin ini.

    “Saya akan minta Kementerian Sumber Manusia melihat dari aspek perundangan jika tindakan boleh dikenakan kepada majikan yang mengambil tindakan ke atas pekerja mereka kerana ia bukan pilihan pekerja tetapi mengikut peraturan yang ditetapkan PDRM,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula 4 Mei 2020. Ini termasuklah hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

     
     
  • Bank diminta untuk pertimbang lupus semula kadar faedah tambahan bagi tempoh enam bulan moratorium

    Bank diminta untuk pertimbang lupus semula kadar faedah tambahan bagi tempoh enam bulan moratorium

    Susulan daripada pengumuman Bank Negara Malaysia (BMN) Khamis lalu berkaitan caj faedah tambahan yang akan dikenakan bagi peminjam yang mengambil moratorium atau penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020 seperti yang diumumkan penghujung Mac lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul ada saranan terbaru kepada bank.

    Melalui hantara di Facebook semalam, beliau meminta pihak bank untuk melupuskan semula apa yang mereka panggil sebagai kadar faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islamik kadar tetap) sepanjang tempoh enam bulan moratorium berkenaan.

    Saranan ini diutarakan selepas mendengar permintaan rakyat terbanyak, yang terkesan secara langsung dengan tindakan itu. Menurut beliau, sebelum ini telah berlaku kekeliruan umum berkenaan caj kadar faedah tambahan moratorium berkenaan, dengan menyebut itu “disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat.”

    Sebaliknya, sepanjang pemerhatian kami berkaitan perkembangan berkaitan, FAQ yang dikeluarkan oleh BNM bertarikh kemaskini 27 Mac 2020 lalu memang dengan jelas menunjukkan bahawa hal “tiada kadar faedah tambahan dikenakan” ada dinyatakan dengan jelas. Anda boleh rujuk liputan kami sebelum ini.

    Bank diminta untuk pertimbang lupus semula kadar faedah tambahan bagi tempoh enam bulan moratorium

    Bagaimanapun, dalam kemaskini terbaru senarai FAQ yang sama bertarikh 1 Mei 2020 kelmarin, bahagian berkenaan telah dikeluarkan. Bagi contoh kadar faedah dan pengiraan yang terlibat juga boleh dirujuk dalam laporan terdahulu yang sama seperti pautan di atas.

    “Menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa BNM. Namun yang demikian, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat,” jelas beliau dalam kenyataan yang sama.

    Tengku Zafrul juga menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini. Kerajaan sentiasa peka terhadap cetusan hati nurani rakyat, terutamanya dari golongan B40 dan M40, dan mengambil berat perkara ini.

    “Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara,” tambah beliau. Moga ada penyelesaian terbaik yang dapat menguntungkan semua pihak berkaitan perkara ini. Kekal tenang dan selamat, kita tunggu perkembangan selanjutnya nanti.

     
     
  • Mini EV X2 – kereta elektrik hanya berharga RM13.8k?

    Mini EV X2 – kereta elektrik hanya berharga RM13.8k?

    Kalau anda perasan, selain dari kecoh hal ‘u-turn’ oleh Bank Negara berkenaan morotorium pinjaman selama enam-bulan sepanjang PKP, telah berlegar di media sosial gambar sebuah kereta elektrik kecil yang sangat mampu milik dikhabarkan akan dijual di Malaysia.

    Kereta tersebut digelar sebagai Mini EV X2, dan dengan saiz yang sangat kompak, khabarnya akan dijual pada harga RM13,800 setelah diberikan diskaun berbanding harga asal RM18,800. Bukan itu sahaja, anda tidak perlu mengeluarkan tunai ‘selepuk’ untuk membeli kereta ini, kerana ia boleh dibeli dengan bayaran ansuran bulanan serendah RM159.98 untuk tempoh sembilan tahun! Gila!

    Kami rasa curiga berkenaan kereta ini, jadi kami lihat sendiri laman sesawang miniev.online yang didakwa sebagai laman rasmi Mini EV Malaysia (kami tidak akan berikan anda pautannya, pandai-pandailah anda cari sendiri kalau nak tengok). Di situ, lebih banyak imej dan perincian kereta ini didedahkan.

    Mini EV X2 – kereta elektrik hanya berharga RM13.8k?

    Brosur pada laman tersebut menyatakan bahawa Mini EV X2 akan membawa “revolusi elektrik”, dan ia didakwa telah dihomologasi dengan jarak perjalanan 120 km dengan satu cas penuh bateri. Tidak perlu wallbox canggih, di mana anda hanya perlu mengecasnya pada plag domestik biasa bagi memberikan cas 80% dalam masa lima jam, dan cas penuh selama lapan jam.

    Kereta ini juga adalah kereta pacuan roda belakang, dan ia mempunyai brek cakera pada roda hadapan dan belakang. Dengan kelengkapan ini, Mini EV dicanang boleh memecut dari 0-50 km/j dalam masa 25 saat, dan mampu mencatatkan kelajuan maksima 50 km/j. Anda akan dapat mencapai kelajuan 80 km/j jika memilih versi “High Speed” yang ditawarkan.

    Namun walaupun syarikat ini menyatakan anda boleh berhutang selama sembilan tahun, bateri kereta ini hanya boleh dicas sebanyak 800 kali.

    Mini EV X2 – kereta elektrik hanya berharga RM13.8k?

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya, lampu hadapan LED automatik, skrin sesentuh bersaiz besar gila – sembilan-inci, kamera undur, dan ruang kargo cukup luas dengan kapasiti 850-liter yang terletak di belakang dua tempat duduk. Enam warna badan ditawarkan, bersama panel dalaman berwarna sama, seakan MINI sebenar.

    Tak susah sebenarnya nak tahu asal usul kereta ini. Dengan carian lebih mendalam, apa yang kami jumpa Mini EV X2 ini sebenarnya dihasilkan oleh syarikat dari China iaitu Zhejiang Today Sunshine New Energy Vehicle Industry. Di pasaran republik rakyat tersebut, kereta ini dikenali dengan nama Mine M1.

    Kami turut menjumpai satu laman sesawang yang serupa dengan laman Mini EV Malaysia ini, didakwa untuk pasaran Eropah dan dijual dengan nama Today Sunshine M1. Brosur antara dua laman ini juga kelihatan serupa dengan dakwaan bahawa kereta ini boleh “dipandu oleh semua orang” bermula dari 16 tahun dengan lesen memandu B1. Di Malaysia, lesen untuk memandu ‘motokar’ seperti ini adalah dalam kelas ‘D’ ya, bukan B1.

    Mini EV X2 – kereta elektrik hanya berharga RM13.8k?

    Laman sesawang ini nampak begitu meragukan kerana tidak mempunyai dokumentasi dan nombor telefon untuk dihubungi yang lengkap, tapi ada pula nombor akaun bank CIMB untuk mereka yang berminat membuat pembayaran. Ya, hati-hati tuan-tuan, jangan sebarang bagi duit pada orang yang kita tidak kenal.

    Rakan kami dari Pandulaju.com.my, Abang Gan turut telah memberitahu kami bahawa dia telah merujuk ke pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengetahui adakah kereta ini pernah memohon dan menerima sijil Vehicle Type Approval (VTA) – jawapannya tidak. Jadi jika benar pun ia dijual di sini, kereta ini haram untuk dipandu di atas jalan raya Malaysia.

    Jadi, kami nasihatkan kepada anda, jangan gembira sangat dan jangan berangan dahulu untuk memiliki sebuah kereta elektrik dengan harga yang sangat murah seperti ini. Selidik dulu betul-betul sebelum membuat apa-apa bayaran.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024