Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Indonesia rancang pengeluaran kereta elektrik baru

    Indonesia rancang pengeluaran kereta elektrik baru

    Banyak betul perkembangan berkaitan industri automotif di Indonesia kebelakangan ini. Terbaru, sebuah laporan Reuters menyatakan, seorang pegawai kanan dari Kementerian Industri Indonesia telah umumkan bahawa negara itu sedang merancang untuk mula mengeluarkan kereta elektrik pada 2022.

    Dalam masa yang sama, negara itu juga sedang merancakkan pembangunan dan pengeluaran bateri EV, untuk memanfaatkan sumber asli nickel laterite ore yang banyak terdapat di sana. Bahan berkenaan diperlukan untuk pembuatan bateri lithium.

    Syarikat seperti Toyota dan Hyundai sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk mengeluarkan EV dari Indonesia; negara itu juga ketika ini merupakan hab pengeluaran kenderaan kedua terbesar di Asia Tenggara. Toyota bersedia melaburkan US$2 bilion (RM8.24 bilion) di sana bagi tempoh lima tahun – sebahagiannya akan digunakan untuk pengeluaran EV.

    “Menjelang 2022, pengeluaran kenderaan elektrik sepatutnya dimulakan,” jelas Pengurus Besar, Logam, Jentera, Pengangkutan dan Elektronik di Kementerian Industri Indonesia, Airlangga Hartarto. Kerajaan juga telah mensasarkan pengeluaran EV untuk mencecah angka sekitar 20% dari jumlah pengeluaran kenderaan keseluruhan di sana pada 2025.

    Sebagai insentif, kerajaan Indonesia menawarkan pengecualian cukai bagi syarikat-syarikat yang mengeluarkan bateri EV. “Kebelakangan ini ada beberapa syarikat bateri yang datang berjumpa dengan kementerian kami, tetapi masih diperingkat awal,” ujar Harjanto.

    “Mereka melihat Indonesia mempunyai potensi besar untuk pembangunan produk berasaskan teknologi kenderaan elektrik disebabkan sumber bahan mentah yang kami miliki,” tambah beliau. Selain itu, Harjanto juga memaklumkan kerajaan Indonesia kini sedang membuat perincian akhir penilaian semula terhadap skim cukai kenderaan mewah untuk menggalakkan pengeluaran kenderaan dengan pembebasan karbon yang rendah.

     
     
  • Akrapovic hasilkan ekzos untuk Toyota GR Supra A90

    Pembuat sistem ekzos berprestasi tinggi dari Slovenia, Akrapovic telah pun menghasilkan produk baharu khas untuk digunakan pada Toyota GR Supra A90.

    Menerusi video yang disiarkan, sistem ekzos Akrapovic berkenaan berupaya untuk menghasilkan bunyi yang lebih kasar, garau dan tajam dari enjin BMW B58 3.0 liter enam-silider sebaris yang menjana Supra generasi baharu tersebut.

    Seperti biasa, pembuat ekzos yang terlibat secara terus dalam dunia perlumbaan sebenar ini bukan hanya menghasilkan sistem bagi memberikan bunyi lebih merdu, malah ia turut diuji di atas mesin dyno untuk memastikan ia turut menjana kuasa enjin yang optimum.

    Ekzos tersebut dibina dari bahan titanium sepenuhnya bagi mendapatkan berat yang kurang dari sistem standard, dan set tersebut terdiri dari muffler dan juga injap ekzos. Selepas digunakan dalam tempoh tertentu, ia akan menyerlahkan warna titanium sebenar iaitu warna aloi kebiru-biruan.

    Akrapovic turut menawarkan opsyen Sound Kit untuk pembeli sistem ekzos ini, di mana anda boleh melaras bunyi ekzos Supra ini walaupun sedang bergerak.

    Walau bagaimanapun, Akrapovic tidak mendedahkan berapa peratus kuasa kuda tambahan dapat dihasilkan menerusi sistem baharu ini. Dalam keadaan standard, Toyota GR Supra versi paling berkuasa menjana 340 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF untuk mengalirkan kuasa sepenuhnya ke gandar belakang yang lengkap dengan LSD, membolehkan Supra ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

    GALERI: Toyota GR Supra A90 di Bangkok International Motor Show 2019

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupe F44 ditunjuk awal – varian M235i xDrive paling tinggi guna enjin 2.0L turbo 302 hp

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 ditunjuk awal – varian M235i xDrive paling tinggi guna enjin 2.0L turbo 302 hp

    Model baru BMW 2 Series Gran Coupe F44 akan membuat penampilan awam pertamanya tidak lama lagi, tapi sebelum itu, pengeluar dari Jerman itu telah mendedahkan beberapa gambar kereta yang digunakan untuk pembangunan yang dilitupi dengan pelekat camouflage.

    Sama seperti 1 Series F40, 2 Series GC ini akan menggunakan platform pacuan roda hadapan, dengan varian paling tinggi dinamakan sebagai M235i xDrive dan dipacu oleh enjin empat silinder paling berkuasa BMW Group – 2.0 liter turbo B48 dengan kuasa 306 PS (302 hp) dan 450 Nm tork.

    Transmisi yang akan dipadankan dengan enjin ini masih belum diberitahu, tetapi kemungkinan besar ia adalah unit automatik lapan kelajuan Steptronic Sport. BMW walaubagaimanapun ada memberitahu limited-slip differential jenis Torsen dan sistem pacuan semua roda xDrive akan termasuk dalam pilihan untuk model ini. Teknologi pengehad gelinciran tayar ARB (yang diambil daripada i3s dan juga digunakan pada 1 Series) juga akan disediakan bersama, dan disokong dengan sistem pengagihan waktu olengan BMW Performance Control.

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 ditunjuk awal – varian M235i xDrive paling tinggi guna enjin 2.0L turbo 302 hp

    Pada aspek gaya, M235i nampak lebih agresif dengan bukaan udara yang besar pada bahagian penjuru bampar dan ia dibahagikan kepada dua untuk menyampaikan udara ke tempat sepatutnya. Bahagian atas kenderaan pula menyerupai 1 Series bersama gril rekaan mesh seperti model M Performance yang lain.

    Lekuk pada bonet juga sama seperti model hatchback itu, tetapi satu bahagian yang berlainan adalah bentuk lampu utama, yang mempunyai sedikit tingkat di bahagian bawahnya. Apabila dilihat dari tepi pula, model ini seperti lebih rendah berbanding 1 Series dan belakangnya menggunakan spoiler kecil atas but.

    Lampu belakang menggunakan bentuk L, manakala bamparnya dipasang dengan diffuser di tengah dan dua muncung ekzos berpetak di bucu. Gambar bahagian dalam masih belum didedah, tetapi memikirkan ia banyak persamaan dengan 1 Series, mungkin ia juga sebegitu. Apa pun, kita masih perlu menunggu penampilan rasminya nanti. Selepas teaser ini, 2 Series Gran Coupe akan dipersembahkan di Los Angeles Auto Show pada bulan November nanti.

     
     
  • Berjaya nafi mahu bawa semula Suzuki ke Malaysia

    Berjaya nafi mahu bawa semula Suzuki ke Malaysia

    Tempoh hari, seakan ada sinar menanti peminat Suzuki untuk melihat semula bilik pameran yang menayangkan Suzuki Swift dan Jimny di Malaysia setelah NST melaporkan bahawa jenama tersebut akan kembali ke sini, bakal di bawa oleh Berjaya Corporation. Namun khabar ini dinafikan oleh Berjaya sendiri dalam satu laporan oleh akhbar The Sun.

    “Berjaya Corp ingin menjelaskan bahawa kenyataan tersebut tidak benar sama sekali. Para lembaga pengarah Berjaya Corp juga tidak mengetahui dan turut tidak merancang perkara tersebut,” jelas syarikat berkenaan dalam satu kenyataan untuk menafikan berita bahawa pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Vincent Tan akan ke Jepun bulan hadapan untuk menandatangani perjanjian dengan Suzuki.

    Berjaya nafi mahu bawa semula Suzuki ke Malaysia

    Tiga tahun lalu, Suzuki Malaysia Automobile yang memasang hatchback segmen-B Swift di kilang Hicom Automotive Manufacturers Pekan, Pahang menutup operasinya setelah menandatangani MoU bersama Proton dan DRB-Hicom untuk membolehkan jenama automotif nasional itu mendapat akses kepada model-model, platform, unit janakuasa setta teknologi automotif Suzuki.

    Ini membawa kepada pelan rasionalisasi yang turut menutup operasi jualan Suzuki di Malaysia, dan pada Januari 2016 kesemua 29 outlet pengedar Suzuki di seluruh negara telah ditransformasikan kepada outlet Proton Edar.

    Kerjasama ini telah membolehkan MPV segmen-B Suzuki Ertiga dihasilkan sebagai Proton Ertiga, dan kemudian versi kemaskini Proton Ertiga Xtra diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.

     
     
  • WCE: Keseluruhan projek siap 76% setakat Jun 2019

    WCE: Keseluruhan projek siap 76% setakat Jun 2019

    Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir memaklumkan bahawa projek pembangunan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Taiping, Perak ke Banting, Selangor sudah siap kira-kira 76% secara keseluruhan setakat Jun lepas.

    Katanya, projek berkenaan melibatkan jajaran di negeri Perak setakat ini mencapai kemajuan sebanyak 73% manakala di Selangor 75.4%.

    “Aktivitï pembinaan lebuh raya ini sedang giat dilaksanakan melibatkan kerja pembersihan tanah, penambakan tanah, pembinaan struktur jalan serta penurapan jalan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Kenyataan beliau adalah bagi menjawab soalan Senator Dr Yaakob Sapari yang ingin tahu status terkini pelaksanaan kerja pembangunan WCE di persidangan Dewan Negara hari ini.

    Mohd Anuar berkata kos pembinaan keseluruhan projek berkenaan sebanyak RM6.62 billion itu meliputi pakej penswastaan dengan nilai RM5.04 bilion dan RM1.58 bilion untuk pakej konvensional yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya.

    Mulai 31 Mei lalu, Seksyen 8, iaitu dari persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 km dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan raya. Jajaran pertama yang dibuka itu juga tidak akan dikenakan bayaran tol sehingga kerajaan membuat keputusan berkenaan dasar pengenaan tol dan kadar tol bagi lebuh raya berkenaan.

     
     
  • GALERI: Toyota Yaris 1.5G hatchback – RM83,888

    GALERI: Toyota Yaris 1.5G <em>hatchback</em> – RM83,888

    Jika anda ingin mencari kereta hatchback dari segmen B ketika ini, apa pilihan yang ada? Antara yang ada ditawarkan dalam pasaran ketika ini ialah Perodua Myvi, Proton Iriz dan Honda Jazz. Tidak lupa juga tambahan terbaru bagi segmen berkenaan yang mula diperkenal tahun ini, iaitu Toyota Yaris.

    Secara ringkasnya, model Yaris adalah versi hatchback bagi versi sedannya, Toyota Vios. Sebab itu ia ditawarkan dengan pilihan varian yang sama iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G. Bagaimanapun, harga Yaris adalah sedikit lebih rendah berbanding Vios, jika dibandingkan dengan varian yang setara – menjadikannya pilihan yang lebih ringkas, tetapi dalam imej yang lebih muda dan sporty.

    Yaris J dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM70,888, sementara versi pertengahan Yaris E dijual pada harga RM76,888. Manakala versi tertinggi, Yaris G yang kami tampilkan di dalam galeri ini pula pada harga RM83,888. Lima warna disediakan untuk semua varian Yaris iaitu Super White II, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic dan warna hero Citrus Mica Metallic.

    GALERI: Toyota Yaris 1.5G <em>hatchback</em> – RM83,888

    Ketiga-tiga varian ini turut menerima unit janakuasa yang sama dengan Vios iaitu enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut hanya ditawarkan dengan transmisi CVT automatik, dan istimewa untuk varian E dan G ia turut menerima mod Sport dan tujuh-kelajuan maya Sequential Shiftmatic.

    Jika anda belum pernah mendekati model ini, boleh belek galeri penuh yang disediakan ini. Kami juga pernah menulis laporan pandu uji bersama Toyota Yaris berdasarkan pengalaman awal sebaik ia dilancarkan April lalu, dan boleh dicapai di sini.

     
     
  • Hyundai Sonata Hybrid didedah – pertama di dunia guna teknologi transmisi ASC, bumbung solar

    Hyundai Sonata Hybrid didedah – pertama di dunia guna teknologi transmisi ASC, bumbung solar

    Hyundai telah pun mendedahkan buat kali pertama Sonata Hybrid, yang menggunakan teknologi termaju syarikat itu. Antara teknologi yang dimaksudkan adalah transmisi Active Shift Control (ASC), yang mana Sonata Hybrid ini adalah kenderaan pertama di dunia yang menggunakan teknologi tersebut dan bumbung solar (kenderaan Hyundai pertama yang menggunakannya).

    ASC secara ringkasnya menggunakan perisian pengawal logik baru untuk Hybrid Control Unit (HCU), yang kemudian mengawal motor elektrik untuk menyelaraskan laju putaran enjin dengan transmisi, bagi mengurangkan waktu penukaran gear sehingga 30%. Walaupun lebih pantas, teknologi ini masih dapat memberikan penukaran gear yang lebih lancar.

    Untuk bumbung solar itu pula, ia membantu mengecas kembali bateri hibrid pada kenderaan, sekaligus mengelakkan pengurangan kuasa yang tidak sepatutnya pada bateri tersebut. Dalam tempoh satu tahun, sistem bumbung solar ini, bersama pengecasan enam jam setiap hari dapat meningkatkan jarak penggunaan sehingga tambahan 1,300 km lagi.

    Penggerak Sonata Hybrid adalah enjin Smartstream G2.0 GDi HEV yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 152 PS dan 188 Nm tork. Kemudiannya, ia dibantu dengan motor elektrik berkuasa 38 kW dan 205 Nm tork, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 195 PS dan memberikan penggunaan bahan api sehingga 20.1 km/l.

    Pada aspek penampilan, Sonata Hybrid ini mempunyai perbezaan yang minimal dengan Sonata 2020 yang ditunjukkan buat pertama kali pada bulan Mac lalu. Bahagian yang unik termasuk gril hadapan, spoiler belakang dan rim. Selain daripada itu, Sonata Hybrid juga didatangkan dengan sistem kunci digital baru, Forward Collision-Avoidance Assist dan Lane Follow Assist.

     
     
  • Volvo panggil balik 507,000 kenderaan, risiko terbakar

    Volvo panggil balik 507,000 kenderaan, risiko terbakar

    Volvo telah umumkan panggilan semula terhadap 507,000 kenderaan keluarannya di seluruh dunia berikutan kegagalan komponen enjin, dan dalam situasi ekstrem, berisiko menyebabkan kebakaran, seperti dilaporkan oleh Automotive News Europe.

    Berdasarkan siasatan yang dijalankan sendiri, Volvo telah mengenal pasti bahagian manifold masukan pada enjin yang diperbuat daripada plastik cenderung untuk menjadi cair atau berubah bentuk, walaupun hal itu sangat jarang akan berlaku.

    “Dalam situasi yang paling buruk, kebakaran ruang enjin diakibatkan daripada masalah itu boleh berlaku,” jelas Volvo. Kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula ini ialah kenderaan mereka yang dikilangkan dari 2014 hingga 2019, serta menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder diesel, jelas Volvo lagi. Model-model yang terlibat ialah S60, S80, S90, V40, V60, V70, V90, XC90 dan XC60.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan berkaitan hal ini. Volvo memaklumkan, semua pelanggan akan menerima surat meminta mereka untuk menghubungi pengedar tempatan mereka untuk langkah-langkah pencegahan. Semua kos yang terlibat dengan program ini akan ditanggung oleh syarikat itu.

     
     
  • BMW Z4 G29 sDrive30i dilancar di M’sia – RM479,800

    BMW Z4 G29 sDrive30i dilancar di M’sia – RM479,800

    Selepas muncul buat pertama kali di Malaysia pada bulan Mac lalu semasa pelancaran 3 Series G20, dan seterusnya dipamerkan di Sepang sempena BMW M Track Day, BMW Z4 G29 kini dilancarkan secara rasmi untuk jualan pada harga RM479,800 tidak termasuk insurans.

    Model yang dipasarkan untuk Malaysia cuma datang dalam satu varian sahaja iaitu sDrive30i M Sport, dan harga yang didedahkan ini sebenarnya RM23,000 lebih tinggi berbanding harga jangkaan yang dikeluarkan sebelum ini. Bersamanya, BMW Malaysia memberikan jaminan tanpa had batuan selama lima tahun, program servis berkala percuma dan program jaminan tayar BMW.

    Z4 G29 sDrive30i dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter dengan sistem pengecas turbo twin-scroll, bersama padanan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 255 hp (258 PS) dan 400 Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm. Laju maksimum dihadkan pada 250 km/j, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat.

    Antara ciri Z4 G29 ini adalah termasuk casis serba baru, sambungan spring berkembar strut axle di depan, suspensi jenis five-link rear axle di belakang, Dynamic Stability Control (DSC), yang merangkumi ABS, Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC), Start-Off Assistant, serta Fungsi Performance Control yang memberikan kawalan lebih mantap dengan cara menyalurkan tork dalam kadar yang pelbagai kepada roda belakang.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk M Sport Suspension dengan Variable Sport Steering, pengecas telefon tanpa wayar, Intelligent Parking Assistant dengan Reversing Assistant, Connected Package Professional, serta BMW Digital Key yang membolehkan pengguna membuka atau mengunci pintu, serta menghidupkan kenderaan dengan menggunakan telefon pintar Android.

    Lima warna badan ditawarkan untuk mdoel ini iaitu San Francisco Red, Misano Blue, Black Sapphire, Glacier Silver dan Alpine White. Ia kemudiannya boleh dipadankan dengan tiga warna bahagian dalam iaitu kemasan serba hitam, Magma Red dengan jahitan hitam atau Cognac dengan jahitan hitam.

    GALERI: BMW Z4 G29 sDrive30i yang dipamerkan di Litar Sepang

     
     
  • Audi SQ7 TDI 2020 – guna enjin V8 4.0L, tork 900 Nm

    Audi SQ7 TDI 2020 – guna enjin V8 4.0L, tork 900 Nm

    Setelah Audi Q7 diberikan facelift, sekarang tibalah pula masa untuk SQ7 TDI. Model ini menggunakan enjin sama seperti SQ8, iaitu unit diesel V8 4.0 liter biturbo, mampu menghasilkan 435 hp dan 900 Nm tork dari tahap serendah 1,000 rpm. Daripada aspek prestasi, SUV tiga baris tempat duduk ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sudah tentu, prestasi ini dapat dicapai hasil daripada bantuan sistem elektrikal 48 volt, yang menggerakkan compressor kuasa elektrik (EPC) untuk membantu dua unit pengecas turbonya. Melalui tetapan ini, Audi memberitahu SQ7 TDI dapat memberikan prestasi tanpa kelambatan (lag). Sepasang actuator diletakkan pada sistem ekzos untuk memberikan bunyi enjin lapan silinder yang lebih garang.

    Dari enjin, kuasa disalurkan ke atas jalan melalui transmisi automatik tiptronik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Quattro. Kenderaan ini juga datang dengan all-wheel steering, yang mana roda belakangnya boleh membelok sehingga lima darjah pada kelajuan rendah, sekaligus meningkatkan kelincahannya.

    Audi SQ7 TDI 2020 – guna enjin V8 4.0L, tork 900 Nm

    Suspensi udara diberikan secara standard, tetapi pelanggan boleh memilih pakej suspensi lebih maju yang termasuk Active Roll Stabilisation elektromekanikal. Kelengkapan seperti stereng progresif dan differential sport dipasang secara standard.

    Daripada aspek rekaan, model Q paling besar ini mendapat kemasan khas versi S seperti bampar yang lebih sporty, gril Singleframe twin slat, pelindung cermin sisi aluminium, empat muncung ekzos krom di belakang dan kemasan tambahan lain berwarna perak matte.

    Rim 20 inci seperti di dalam gambar ini dibalut dengan tayar 285/45, dan di sebaliknya terdapat sepasang brek cakera 400 mm di hadapan dan 370 mm di belakang. Angkup brek pula diwarnakan hitam, dengan logo S. Sekiranya mahukan kelainan, pelanggan boleh memilih angkup yang berwarna merah, ataupun cakera seramik karbon yang didatangkan dengan angkup warna kelabu.

    Audi SQ7 TDI 2020 – guna enjin V8 4.0L, tork 900 Nm

    Pada bahagian dalam, kabin SQ7 TDI menggunakan kombinasi kulit warna gelap dan Alcantara untuk tempat duduk, lengkap bersama kemasan brushed aluminium. Tapi sekali lagi, pelanggan juga boleh menukarnya kepada kemasan gentian karbon, tempat duduk sport S yang menggunakan kuilt Valcona serta pakej lampu suasana dengan 30 pilihan warna yang boleh ditukar-tukar.

    Ciri lain yang ada pada kenderaan ini adalah termasuk MMi Navigation Plus dengan kemas kini trafik secara langsung, kokpit digital khas untuk model S dengan paparan prestasi, pengawal suhu empat zon, pintu tutup dengan lembut (pilihan tambahan), sistem bunyi Bang & Olufsen 3D Advanced dan pakej kualiti udara dengan pewangi dan ioniser. Harga model ini di Jerman adalah 94,900 euro (RM438k).

     
     
  • Lebuhraya Lekas ditutup sementara pada 27-28 Julai ini untuk acara RHB Lekas Highway Ride 2019

    Lebuhraya Lekas ditutup sementara pada 27-28 Julai ini untuk acara <em>RHB Lekas Highway Ride 2019</em>

    Khas untuk pengguna Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), pada 27 hingga 28 Julai ini, lebuhraya terbabit bakal ditutup sementara. Ia adalah untuk memberi laluan bagi acara berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2019 pada tarikh berkenaan.

    Menurut kenyataan dari pengendali Lekas, penutupan sementara itu akan bermula dari 5 petang pada 27 Julai hingga 4 pagi, 28 Julai. Sebanyak 19 persimpangan akan ditutup bagi memastikan kelancaran dan keselamatan peserta. Penutupan jalan bermula dari Persimpangan Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi.

    Bagi laluan alternatif, pengguna dari arah utara (Kuala Lumpur, Cheras, Kajang) dan arah selatan (Seremban, Senawang dan Kuala Pilah) dinasihatkan agar menggunakan Jalan Persekutuan 1 atau Lebuhraya PLUS.

    Untuk maklumat lanjut dan bantuan, orang ramai boleh menghubungi talian info di 1 800 888 021 atau Twitter @LEKAStrafik dan Facebook LEKAS Highway.

     
     
  • Mazda CX-5 2.5L Turbo, CX-8, CX-30 CKD akan tiba

    Mazda CX-5 2.5L Turbo, CX-8, CX-30 CKD akan tiba

    Pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Auto sudah bersedia untuk memperkenalkan CX-8, CX-5 turbo dan CX-30 tidak lama lagi. Menurut laporan daripada The Edge, semua SUV ini akan dipasang dalam negara (CKD) dan Bermaz Auto melaburkan sekitar RM200 juta untuk menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka, sekaligus meningkatkan kapasiti dari 30,000 unit setahun kepada 50,000 unit.

    Untuk CX-5, ia akhirnya akan ditawarkan dalam versi yang menggunakan enjin petrol empat silinder 2.5L turbo SkyActiv-G, menghasilkan kuasa 230 PS pada 4,250 rpm dan 420 Nm tork pada 2,000 rpm. Transmisi automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan datang secara standard dan ia menyalurkan kuasa sama ada kepada roda hadapan sahaja (2WD) atau semua roda (AWD). Penggunaan bahan api purata berada pada tahap 12.6 km/l (ujian WLTP).

    CX-5 yang diperbaharui ini juga datang dengan G-Vectoring Control (GVC), fungsi pengesan pejalan kaki waktu malam untuk sistem Advanced Smart City Braking Support (SCBS), pilihan kamera 360 darjah, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta tweeter baru untuk sistem bunyinya. Kelengkapan lain adalah termasuk rim 19 inci dengan kemasan berkilat, balutan kulit Deep Red Nappa, kemasan dalam real woodgrain, cermin pandang belakang tanpa bingkai, panel instrumen TFT LCD tujuh inci dan lampu suasana LED putih.

    Untuk CX-30 pula, kita masih tidak mengetahui pakej enjin apakah yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia, tetapi model ini boleh didapati dengan barisan enjin terkini Mazda termasuk unit SkyActiv-X. Walaupun begitu, jangkaannya ia akan termasuk dengan pilihan enjin petrol NA biasa. Lagipun, CX-30 ditawarkan hanya untuk mengisi ruang antara CX-3 dan CX-5.

    Pergi kepada CX-8, model ini sudah pun dipertontonkan semasa Malaysia Autoshow baru-baru ini. Pada masa itu, kami diberitahu ia boleh tiba di Malaysia dalam versi enam tempat duduk atau tujuh tempat duduk. Pilihan enjin pula dari turbodiesel empat silinder SkyActiv-D 2.2 liter (188 hp, 450 Nm) dan petrol NA SkyActiv-G 2.5 liter (192 hp, 257 Nm). Kedua-duanya digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

    CX-8 mempunyai ukuran 4,900 mm panjang dan jarak roda 2,930 mm, sekaligus menjadikan ia masing-masing 350 mm dan 230 mm lebih panjang berbanding CX-5. Kelengkapan standard padanya termasuk rim aloi 19-inci, lampu hadapan LED automatik, lampu kabus LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, sistem infotainmen MZD Connect, enam beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

    Versi tujuh tempat duduk akan menggunakan balutan fabrik manakala model yang lebih tinggi menggunakan balutan kulit serta tempat duduk kapten (dengan perehat tangan di konsol tengah). Walaupun begitu spesifikasi ini masih boleh berubah dan belum disahkan sepenuhnya.

     
     
  • Nissan Leaf generasi kedua dilancar di M’sia – 100% elektrik dengan 148 hp/320 Nm, harga dari RM189k

    Nissan Leaf generasi kedua dilancar di M’sia – 100% elektrik dengan 148 hp/320 Nm, harga dari RM189k

    Setelah pertama kali ditunjukkan kepada umum ketika KLIMS 2018, dan terbaru dilihat sedang diangkut di atas lori untuk dihantar, Nissan Leaf generasi kedua hari ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Kereta elektrik (EV) sepenuhnya berkenaan akan dijual pada harga RM188,888 tidak termasuk insurans.

    Berbanding model generasi pertama, Leaf serba baru ini menampilkan prestasi yang jauh lebih baik dengan motor elektrik EM57 berkuasa 148 hp/320 Nm, diterjemahkan kepada 38% lebih berkuasa dan 26% lebih tork. Ini juga menjadi model pertama dengan ciri e-pedal di dunia, yang membolehkan pemandu menggunakan hanya satu pedal kaki – tekan untuk bergerak dan lepaskan untuk membrek – dan mengaplikasikan kaedah regenerative braking.

    Pecutan 0-100 km/j kereta ini pula boleh dicapai dalam masa 7.9 saat. Kelajuan maksimum pula ialah 155 km/j, dihadkan secara elektronik. Dari segi rekaan, ia juga ditampilkan di dalam reka bentuk seperti hatchback normal dan sporty dengan ukuran dimensi 4,480 mm panjang, 1,790 mm lebar dan 1,540 mm tinggi.

    Nissan Leaf generasi kedua dilancar di M’sia – 100% elektrik dengan 148 hp/320 Nm, harga dari RM189k

    Rekaan khusus yang membezakan Leaf berbanding model Nissan lain ialah seperti gril holografik “diamond”, lampu nyalaan siang LED bentuk boomerang, lampu utama LED dan lampu belakang kombinasi LED serta rim 17-inci aloi “Turbine”. Ruang dalaman pula antara lain dilengkapi dengan paparan tujuh-inci serta kemasan balutan kulit Alcantara. Dengan tempat duduk belakang direbahkan, ruang barangan yang tersedia mencecah 1,176 liter; 435 liter dengan barisan kedua ditegakkan.

    Nissan Leaf di Malaysia ditawarkan dalam varian standard yang didatangkan dengan bateri lithium-ion 40 kWh, manakala versi Nissan Leaf e+ dengan bateri 62 kWh tidak akan dijual di sini oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasminya disebabkan faktor harga. Menurut Nissan, bateri yang dibangunkan sendiri ini telah diuji dengan menyeluruh, termasuk di dalam situasi banjir dan juga ujian kilat.

    Dengan satu cas penuh, Leaf mampu untuk bergerak sejauh 311 km dalam kitaran ujian NEDC. Leaf direka bagi membolehkan ia di cas semula dengan dua jenis penyambung iaitu Type 1 (pengecas AC dengan kadar cas maksima 6.6 kW) dan CHAdeMO (pengecas DC pantas dengan kadar cas maksima 50 kW dalam masa sekitar 60 minit) – kedua-dua soket berkenaan terletak pada “hidung” kereta ini.

    Nissan Leaf generasi kedua dilancar di M’sia – 100% elektrik dengan 148 hp/320 Nm, harga dari RM189k

    Dengan kaedah cas biasa menerusi wallbox pada kadar 6.6 kW, bateri Leaf memerlukan lima hingga tujuh jam untuk mendapatkan kuasa penuh (Nissan menyatakan bahawa lapan jam diperlukan sekiranya di cas pada kadar 6 kW). Jadi jika Nissan Leaf di cas menggunakan pengecas awam 230V/16A 3.7 single-phase atau 230V/13A 3.0 kW single-phase di Malaysia, ia mungkin mengambil masa sekitar 10-12 jam.

    Ia juga boleh memberhentikan kereta sepenuhnya dan kembali bergerak selepas itu, sama seperti yang boleh dilakukan oleh sistem Honda Sensing. Selain parkir ProPILOT, turut tersedia ialah e-Pedal, fungsi mudah untuk memulakan, memecut, memperlahankan, memberhentikan serta mengekalkan kedudukan kereta menggunakan pedal minyak sahaja.

    Leaf juga lengkap dengan enam beg udara SRS, sistem Nissan Safety Shield yang merangkumi ciri intelligent lane intervention, amaran pertukaran lorong, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, pengesanan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik di belakang, peninjau pintar 360-darjah serta bantuan kecemasan bagi kesilapan aplikasi pedal pemijak selain ciri standard seperti kawalan kestabilan, ABS dengan Brake Assist dan bantuan mula mendaki.

    Nissan Leaf generasi kedua dilancar di M’sia – 100% elektrik dengan 148 hp/320 Nm, harga dari RM189k

    Khas untuk pemilik Leaf, mereka boleh berkungjung ke mana-mana daripada 17 lokasi ETCM di seluruh negara untuk menggunakan pengecas 6.6 kW Wallbox secara percuma. Nissan Leaf didatangkan dengan jaminan tiga-tahun atau 100,000 km jarak perjalanan. Ini termasuk penyelenggaraan percuma atau 60,000 km juga selama tiga tahun manakala bagi bateri lithium-ion menerima jaminan selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    Selain itu, ETCM juga memperkenalkan program Nissan Leaf Owners Priviledge yang menawarkan penggunaan percuma bagi tempoh 23 hari setahun bagi model-model seperti X-Trail, Serena dan juga Navara, bagi tempoh tiga tahun pertama pemilikan.

    ETCM juga menawarkan Subscription Programme yang membolehkan pengguna “bayar dan guna” Leaf dengan kontrak tiga-tahun dengan bayaran RM3,500 sebulan. Ini membolehkan pelanggan menikmati Nissan Leaf tanpa perlu merasa bimbang tentang risiko pemilikan yang mungkin ada. Untuk perincian lanjut berkaitan Nissan Leaf 2019, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Cari alternatif syarikat e-hailing lain jika tambang naik

    Cari alternatif syarikat <em>e-hailing</em> lain jika tambang naik

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyeru agar pengguna mendapatkan alternatif dari syarikat e-hailing lain sekiranya berdepan dengan kenaikan tambang.

    Katanya terdapat 31 Syarikat Perniagaan Pengantaraan (EHO) yang menawarkan perkhidmatan e-hailing sekali gus memberi pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan tambang lebih murah.

    “Pengguna harus membuat pilihan secara bijak. Jika berlaku kenaikan kadar tambang, mereka ada pilihan untuk mengguna perkhidmatan e-hailing lain yang menawarkan tambang yang lebih murah. Kita juga tidak mahu industri ini ada unsur monopoli dan harus ada persaingan. Kalau ada persaingan maka tambang tersebut menjadi murah dan tiada syarikat e-hailing sesuka hati menaikkan harga mereka,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Cari alternatif syarikat <em>e-hailing</em> lain jika tambang naik

    Tambahnya lagi, terdapat syarikat-syarikat yang menawarkan harga yang kompetitif dan pengguna boleh menilai sendiri syarikat dan aplikasi yang mereka pilih.

    Loke turut berkata mana-mana syarikat e-hailing yang beroperasi tanpa lesen yang sah bakal berhadapan dengan tindakan tegas, dan pemandu yang belum mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), mempunyai tempoh tambahan selama tiga bulan untuk berbuat demikian sebelum peraturan ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

    Kerajaan telah menetapkan 12 Julai sebagai tarikh akhir pemandu e-hailing mengambil lesen PSV. Sehingga 11 Julai lalu, sebanyak 17,596 permit kenderaan e-haling (EVP) telah dikeluarkan, di mana 13,380 daripadanya untuk kenderaan persendirian dan 4,216 untuk teksi.

     
     
  • Renault Subscription dibuka kepada umum – servis langganan kenderaan dari RM1,299 sebulan

    Renault Subscription dibuka kepada umum – servis langganan kenderaan dari RM1,299 sebulan

    Bulan Mei lalu pengedar kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars telah memulakan projek perintis servis langganan kenderaan (Renault Subscription) secara eksklusif kepada Tan Chong Motor Holdings (TCMH), Warisan Tan Chong Holdings (WTCH) dan pekerja APM. Kini, servis sama dibuka pula kepada awam.

    Mereka yang berminat boleh menggunakan servis ini untuk dua model iaitu Captur dan Koleos, dengan harga bergantung kepada pelan langganan bulanan yang dipilih. Walaubagaimanapun, deposit keselamatan yang boleh dipulangkan semula sebanyak RM2,500 untuk Captur dan RM3,500 untuk Koleos dikenakan, tanpa mengambil kira pelan yang anda pilih.

    Dua pelan ditawarkan, iaitu yang pertama adalah Fixed, untuk satu model sahaja, dengan pilihan terma satu atau dua tahun. Untuk Captur, pelan selama dua tahun akan melibatkan kos RM1,299 sebulan, manakala langganan untuk satu tahun berharga RM1,499 sebulan.

    Mereka yang memerlukan model lebih besar boleh memilih Koleos, di mana servis langganannya untuk tempoh dua tahun ditetapkan pada harga RM2,299 sebulan manakala untuk satu tahun ia berjumlah RM2,499 sebulan. TC Euro Cars juga ada menawarkan Koleos Signature yang menggunakan spesifikasi lebih tinggi pada harga RM2,699 sebulan untuk dua tahun dan RM2,899 sebulan untuk satu tahun.

    Renault Subscription dibuka kepada umum – servis langganan kenderaan dari RM1,299 sebulan

    Harga semua pelan ini adalah termasuk kos servis biasa, cukai jalan, insurans serta jarak perjalanan 20,000 km yang telah ditetapkan untuk satu tahun. Sekiranya anda perlukan jumlah yang lebih, terdapat pilihan tambahan 10,000 km setahun yang diberikan dengan harga tambahan RM200 sebulan. Di hujung tempoh langganan, setiap catatan jarak perjalanan yang lebih daripada perjanjian akan dicas RM0.50 bagi setiap kilometer.

    Satu lagi tambahan yang ditawarkan adalah pakej Wear & Tear, dengan harga tambahan RM100 setiap bulan – untuk pelan Fixed dua tahun sahaja. Apabila memilih pakej ini, setiap alat ganti lusuh yang ditukar akan dimasukkan sekali dalam program langganan.

    Jika perlu menamatkan pelan sebelum tempoh yang telah ditetapkan, anda perlu membayar RM300 (dikenakan setiap bulan bagi tempoh selebihnya), sekiranya ia dilakukan dalam masa 12 bulan. Syarat ini diguna untuk semua pelan Fixed, termasuk terma satu dan dua tahun. Bagi pelan yang melibatkan langganan selama dua tahun, penamatan pelan dari bulan ke 13 dan tempoh selepas itu akan dikenakan bayaran RM200 – juga dikenakan setiap bulan untuk tempoh yang tinggal.

    Renault Subscription dibuka kepada umum – servis langganan kenderaan dari RM1,299 sebulan

    Sekiranya mahukan kepelbagaian pula, terdapat pelan Switch, yang membenarkan anda menukar antara Captur dan Koleos. Pelanggan pelan ini boleh mendapatkan pilihan sama ada Base atau Prime, di mana perbezaannya adalah pada jumlah bulan anda dapat menggunakan Koleos (dua bulan untuk Base dan empat bulan untuk Prime) dalam tempoh satu tahun. Deposit RM3,500 dikenakan untuk kedua-dua pilihan.

    Pelan Switch Base ditetapkan pada harga RM1,999 sebulan manakala Prime pula RM2,199. Kedua-dua pelan juga dikira termasuk cukai jalan, insurans serta kos servis biasa, tetapi berlainan berbanding pelan Fixed kerana ia sudah termasuk sekali dengan pakej Wear & Tear serta tidak mempunyai had catatan perjalanan. Selain itu, anda juga tidak akan dikenakan sebarang bayaran untuk menamatkan pelan Switch pada tempoh lebih awal, tetapi notis sebulan lebih awal diperlukan.

    Servis Renault Subscription menawarkan manfaatnya yang tersendiri kerana pelanggan tidak perlu mengeluarkan jumlah bayaran muka yang tinggi untuk memandu sebuah Renault, membayar kos penyelenggaraan, dikekang dengan tempoh jual beli yang lama dan tidak terkesan dengan susut nilai. Namun adakah ia sesuai di negara kita?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024