Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Secara senyap, Audi Malaysia rupanya telah membawa model genarasi baharu A7 Sportsback ke pasaran tempatan. Kami telah ke Audi Glenmerie setelah menerima maklumat berkenaan, dan model ini disahkan di jual pada pasaran tempatan pada harga atas jalan tanpa insuran RM609,900.

    Jika dibandingkan dengan model facelift generasi sebelum ini yang juga diimport sepenuhnya (CBU), model terkini berkenaan nampaknya dijual dengan harga lebih rendah kerana versi yang dilancarkan pada tahun 2015 yang lalu dijual pada harga RM625,900.

    Model generasi kedua ini mula diperkenalkan pada peringkat global pada penghujung 2017. Ia masih lagi menerapkan bentuk badan Sportback sama seperti model sebelumnya, dengan saiz juga tidak jauh berbeza.

    Versi terkini ini hadir ke pasaran Malaysia dengan kemasan S Line yang lebih sporty dari model standard dan menerima lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, bersama set rim 20-inci dengan tayar UHP 255/40R20 Pirelli P-Zero.

    Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Perubahan terbesar untuk model baharu ini sebenarnya adalah pada bahagian dalaman. Ia diberikan kelengkapan kabin hampir sama seperti Audi A8 terbaharu menampilkan panel-panel kawalan digital sepenuhnya.

    Dua skrin diberikan pada bahagian tengah papan pemuka. Pada bahagian atas adalah skrin sistem infotainmen bersaiz 10.1-inci (dengan tindak balas haptic) yang akan menghala ke pemandu serta direka agar “hilang” ketika enjin dimatikan.

    Manakala di bawah, skrin bersaiz 8.6-inci diberikan bagi mengawal sistem pendingin hawa, pemanas tempat duduk serta tetapan fungsi-fungsi lain seperti bantuan kekal lorong dan start/stop enjin. Ia juga bertindak sebagai pad sesentuh untuk menaip. Skrin yang sama turut terdapat pada SUV flagship Audi iaitu Q8.

    Model yang dipamerkan ini juga menerima pelbagai lagi kelengkapan lain seperti sistem bunyi Bang Olufsen, pendingin hawa empat-hala, paparan head-up, bumbung suria, dan juga papan pemuka dengan kemasan kulit. Pakej S line juga memberikan kemasan-kemasan gelap pada panel pintu A7 ini.

    Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

    Audi A7 Sportback TFSI dijana oleh enjin baharu 3.0 liter V6 turbo-berkembar menjana 340 hp dan tork maksima 500 Nm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S tronic dan juga sistem pacuan semua roda Audi Quattro. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Enjin ini juga sebenarnya turut menerima sistem hibrid ringkas (MHEV) Audi, yang terdiri dari sistem elektrikal 48-volt, bateti lithium-ion dan alternator stater yang digerakkan dengan tali sawat, memberikan kuasa pemulihan sehingga 12kW ke bateri ketika membrek.

    Dengan sistem MHEV ini, enjin akan dimatikan ketika kereta berkenaan ‘berlayar’ pada kelajuan 55 hingga 160 km/j, dan sistem start-stop enjin yang bermula pada 22 km/j. Secara keseluruhan, sistem ini dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 liter/100 km.

    Dalam pasaran, A7 Sportback ini akan berhadapan terus dengan Mercedes-Benz CLS, sebagai sedan empat pintu yang lebih sporty dari Audi A6 atau E-Class. Dari segi prestasi, CLS 450 mampu menghasilkan 362 hp/500 Nm dari enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris juga dengan sistem hibrid ringkas. Oleh itu, Mercedes berkenaan mampu untuk memecut dengan lebih cepat (0-100 km/j 4.8 saat) tetapi dijual lebih malah iaitu RM698,888.

     
     
  • Lamborghini kini taja pasukan MotoGP Pramac Ducati

    Lamborghini kini taja pasukan MotoGP Pramac Ducati

    Perlumbaan MotoGP yang berlangsung hujung minggu lalu di Mugello, Itali menjadi tempat pasukan Pramac Racing menunjukkan grafik baru jentera mereka setelah bertukar penaja utama dari Alma yang telah menarik diri kepada Lamborghini. Pramac juga sebelum ini memang pernah bekerjasama dengan Lamborghini.

    Penampilan jentera Desmosedici GP Ducati pasukan ini direka sendiri oleh pusat rekaan Lamborghini yang digelar sebagai Centro Stile Lamborghini, dengan warna utamanya adalah hitam dan kuning, sementara di tengahnya terdapat bintang tiga penjuru dengan jalur warna Itali.

    Kerjasama antara dua pasukan ini bukan setakat di dalam litar sahaja, malah turut pergi ke luar. Semasa minggu perlumbaan itu, pelumba serta pihak pengurusan pasukan berpeluang untuk memandu lima kenderaan Lamborghini di luar litar iaitu tiga model Urus, satu Huracan dan satu Aventador.

    Meskipun salah seorang pelumba pasukan ini iaitu Jack Miller kerap menunjukkan prestasi yang baik sejak kebelakangan ini, beliau bersama seorang lagi rakan sepasukan iaitu Francesco Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan di Mugello. Daripada kutipan mata keseluruhan, Miller kini di tempat keenam manakala Bagnaia di tempat ke-18.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Seltos – SP Signature produksi dijumpa

    SPYSHOT: Kia Seltos – SP Signature produksi dijumpa

    Antara cara mereka yang bertuah dapat melihat kereta yang belum dilancarkan di depan mata adalah semasa mereka melakukan penggambaran iklan di kawasan awam. Begitulah dengan jurugambar kami, yang berjaya menangkap Kia Seltos ini tanpa sebarang pelekat penyamaran.

    Nama crossover segmen B baru Kia ini dapat diketahui kerana lencananya terdedah, sedangkan sebenarnya jelas ia mempunyai rekaan yang sama dengan SP Signature yang muncul sebagai sebuah konsep awal tahun ini. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Seltos akan menjadi sebuah model global yang akan dipasarkan di seluruh dunia, kecuali Eropah kerana tempatnya sudah diisi oleh Stonic.

    Tidak banyak yang berubah daripada sebuah model konsep menjadi model produksi. Perincian bahagian depan masih sama, dengan lampu utama yang nipis – pada model konsep sedikit lebih besar – pergi kepada gril “tiger nose” serta lampu kabus LED yang duduk menegak di hujung bampar.

    SPYSHOT: Kia Seltos – SP Signature produksi dijumpa

    Turut dikekalkan adalah garis tingkap yang naik ke atas di bahagian belakang serta bumbung serba hitam yang seakan mengingatkan kenderaan ini kepada Volvo XC40. Seperti biasa, cermin sisi kereta konsep yang tidak praktikal telah diganti dengan unit yang lebih besar. Untuk rim, rekaannya masih sama, tapi kini berukuran satu inci lebih kecil iaitu 18 inci.

    Bahagian dalam masih belum dapat dilihat, tetapi lukisan yang didedahkan oleh pengeluar kenderaan dari Korea Selatan ini telah menunjukkan rekaan yang kontemporari dengan skrin infotainmen seakan terapung serta kemasan metalik pada corong pendingin hawa dan konsol tengah. Kia juga memberitahu Seltos akan mendapat sistem Sound Mood Lighting yang boleh bergetar mengikut muzik.

    Sama seperti Stonic, Seltos dijangka menggunakan asas yang sama seperti Rio dan mungkin ditawarkan dengan enjin yang sama, termasuk unit empat silinder petrol NA 1.25 dan 1.4 liter, tiga silinder turbo 1.0 liter petrol serta empat silinder diesel turbo 1.6 liter.

     
     
  • Filem Ford V Ferrari ditayang November ini – kisah benar permusuhan dua jenama dalam Le Mans 24 Jam

    Jika anda peminat filem-filem kisah benar dalam dunia perlumbaan seperti The World Fastest Indian dan juga Rush, ini satu lagi filem yang wajib anda tonton – Ford V Ferrari – yang akan ditayangkan pada bulan November tahun ini.

    Dibintangi oleh Christian Bale sebagai pemandu lagenda kelahiran British, Ken Miles dan juga Matt Damon sebagai lagenda sukan permotoran Amerika, Caroll Shelby, filem ini mengisahkan pertelingkahan antara dua jenama iaitu Ford dan Ferrari pada era 60’an, seterusnya melahirkan Ford GT40 yang dibina semata-mata mahu memalukan Ferrari dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam.

    Sinopsis ringkas – pada era berkenaan Enzo Ferrari berminat untuk menjual syarikatnya dan Ford Motor Company berminat untuk membeli. Walau bagaimanapun, Enzo menetapkan satu syarat bahawa divisi perlumbaan Ferrari mesti diletakkan di bawah selian beliau sepenuhnya.

    Ford bersetuju dan mula membuat pelbagai kertas kerja dan membuat penilaian aset-aset Ferrari, memerlukan mereka mengeluarkan dana berjuta dolar untuk kerja-kerja tersebut. Kemudian, Ford melarang Ferrari untuk berlumba pada kejohanan Indy 500 di Amerika, kerana Ford juga berlumba dalam perlumbaan tersebut dan mahu mengelak sebarang persaingan antara jenama di bawah satu bumbung.

    Enzo jelas marah dengan apa yang diumumkan Ford tersebut dan terus membatalkan segala urusniaga berkenaan penjualan syarikatnya itu. Insiden ini jelas membuatkan Ford bengang kerana mereka telah membelanjakan dana yang besar. Jadi, mereka mengambil keputusan bagi merosakkan reputasi Ferrari yang menjadi juara perlumbaan ketahanan Le Mans 24-Jam dari 1960 hingga 1965.

    Untuk itu, Ford dengan bantuan Caroll Shelby telah membina jentera perlumbaan khas untuk misi ini iaitu Ford GT40, dihasilkan dari kerangka Lola GT dengan enjin V8 Ford. Sejarah tercipta pada perlumbaan Le Mans 1966, di mana Ford telah menang dalam ‘perang’ tersebut – membelasah Ferrari dengan pukulan K.O dengan kemenangan 1-2-3. Takhta kejuaraan tersebut terus kekal milik Ford empat tahun berturut-turut hingga tahun 1969.

    Tak sabar nak tengok? Rileks, kita layan dulu trailer filem ini dalam video di atas.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Proton Exora 2019 – dari RM59,800

    Proton Exora 2019 telahpun dilancarkan secara rasmi minggu lalu. Dari segi rekabentuk luaran, tak banyak perubahan yang dilakukan sebenarnya. Cuma, ia melibatkan beberapa pertambahan dan kemaskini kelengkapan sedia ada. Jika anda belum baca mengenainya, boleh tonton video ini, kami terangkan secara ringkas tentang perbezaan penawaran yang ada.

    Selain itu, ada beberapa laporan lain yang telah kami sediakan, dan rasanya jika anda ingin mempertimbangkan Exora 2019 untuk dimiliki, ada baiknya dibaca terlebih dahulu. Antaranya, perbezaan kelengkapan antara varian Executive dan Premium. Kedua, beza kos penyelenggaraan antara Exora dan pesaing rapatnya, Perodua Alza. Mungkin ini dapat membantu anda membuat pilihan.

    Selebihnya, dari sudut janaan kuasa, Exora 2019 ini mengekalkan unit enjin dan transmisi yang sama seperti sebelum ini. Ia menggunakan enjin 1.6 liter turbo dengan output 138 hp pada 5,000 rpm dan tork maksimum 205 Nm pada takat 2,000.

    Transmisi juga masih dengan CVT automatik. MPV keluarga ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.6 saat dengan kelajuan maksimum 185 km/j. Bagi penggunaan bahan apinya pula, ia dianggarkan sekitar 7.0 liter bagi setiap 100 km.

    Tonton video ulasan kami ini untuk mengetahui lebih lanjut. Rasa-rasanya, dengan usia Exora dalam pasaran kita sudah mencecah 10 tahun, adakah ia masih merupakan pilihan terbaik kini? Kongsikan pandangan anda.

    Proton Exora 2019 Executive

    Proton Exora 2019 Premium

     
     
  • Audi lancar 30 model baru plug-in, EV menjelang 2025

    Audi lancar 30 model baru plug-in, EV menjelang 2025

    Audi telah mengumumkan bakal mempercepatkan pelaksanaan bagi perancangan elektrifikasi yang disasarkan mampu dicapai menjelang 2025. Menurut InsideEV, sebahagian daripada perancangan ini ialah memperkenalkan lebih 30 buah model baharu bagi plug-in, termasuk 20 jentera pacuan elektrik (EV).

    Langkah ini dijangka akan mengambil 40% perkongsian daripada jualan global dunia Audi menjelang 2025, dan untuk merealisasikannya, jenama berkenaan perlu melabur lebih kurang 14 juta euro (RM65.5 bilion) bagi mobiliti elektrik, digitalisasi dan pemanduan sendiri termaju.

    Pelan perancangan elektrifikasi Audi dilihat mampu merangkumi semua segmen pasaran yang relevan daripada kelas kompak hinggalah ke kelas saiz-sepenuhnya. Sesetengah daripada model berkenaan akan membawakan gaya badan tradisional jenama ini, termasuk Avant dan Sportback. Dan sekurang-kurangnya tiga daripada model EV akan dibangun menggunakan platform MEB ciptaan Volkswagen, sementara Premium Platform Electric (PPE) yang bekerjasama dengan Porsche akan digunakan selepas 2020.

    Audi lancar 30 model baru plug-in, EV menjelang 2025

    Selain itu, barisan plug-in hybrid AUdi akan terdiri daripada Audi Q5 TFSI e quattro (dua versi – comfort dan performance, dari Q3 2019), Audi A6 TFSI e (dua versi – comfort dan performance), Audi A7 Sportback TFSI e (dua versi – comfort dan performance), dan Audi A8 TFSI e.

    Manakala bagi model elektrik-penuh pula, dijangka model akan datang untuk e-tron, e-tron Sportback (bakal diperkenalkan tidak lama lagi, mungkin di Frankfurt pada September), diikuti dengan Q2 L e-tron (untuk China, juga tahun ini), e-tron GT (hujung 2020) dan e-tron sedan saiz-A3 (bakal diperkenalkan tidak lama lagi), dan juga model konsep Q4 e-tron (hujung 2020). Model baseline dikatakan akan tiba dengan pengecasan pantas sehingga 150 kW dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

    Juga lebih banyak produk yang bakal dibangunkan dengan platform PPE di mana ia adalah hasil kerjasama Audi dan Porsche. Model volume-tinggi (segmen-B merentasi -D) dengan janaan elektrik tulen akan dibangunkan berdasarkan binaan ini, di mana ia termasuk sedan dan SUV. Kekuatan utama bagi PPE ialah membangunkan pacuan elektrik secara lebih eksklusif. Ia menawarkan kelebihan untuk berat, pakej dan juga perkadaran badannya.

     
     
  • Ops Selamat 15 sempena Aidilfitri: Hari ke-empat catat 7,012 kes kemalangan dan 96,127 saman trafik

    Ops Selamat 15 sempena Aidilfitri: Hari ke-empat catat 7,012 kes kemalangan dan 96,127 saman trafik

    Sejak dilancarkan pada Rabu lalu, Ops Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri telah mencatatkan sejumlah 7,012 kemalangan jalan raya yang membabitkan 10,042 kenderaan dilaporkan. Dalam jumlah itu, seramai 69 orang maut, ujar Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad.

    Laporan Bernama turut menyebut, Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu 2,154 kes, diikuti Johor (1,068 kes), Kuala Lumpur (989 kes) dan Pulau Pinang (616 kes).

    “Sebanyak 1,238 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 96,127 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

    Op Selamat 15/2019 bermula Rabu lepas sehingga 12 Jun memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

     
     
  • Subaru Malaysia semak waranti lima-tahun/100k km

    Subaru Malaysia semak waranti lima-tahun/100k km

    Subaru Malaysia (Motor Image Malaysia) mengumumkan kini ia menawarkan waranti lima-tahun/100,000 km yang lebih komprehensif untuk semua kereta Subaru baharu yang dijual di negara ini, iaitu untuk semua kereta yang didaftarkan mulai 25 April 2019.

    Sebelum ini, pakej waranti terdahulu yang ditawarkan dengan tempoh/perbatuan yang sama, namun ia hanya terhad untuk sistem kenderaan tertentu sahaja. Secara perincian, ia termasuklah untuk suspensi, elektrikal, bahan api, pendingin hawa, beg udara dan ciri keselamatan, ekzos dan sistem stereng yang yang dilindungi sehingga tahun ketiga pemilikan. Hanya enjin, bersama penjana kuasa dan transmisi dilindungi sepenuhnya sehingga lima tahun.

    Dengan program waranti yang disemak semula ini, semua sistem tersebut kini dilindungi sepenuhnya sehingga tempoh/perbatuan yang disebutkan, iaitu lima-tahun/100,000 km. Menurut syarikat tersebut, ia adalah bagi memberikan pengalaman pemilikan yang lebih optimum dan memuaskan kepada para pelanggannya.

    Dengan semua terma dan syarat, pemilik perlukan mengikut jadual penyelenggaraan berkala, dan ia harus dilakukan di pusat servis Subaru yang bertauliah sahaja. Sebagai tambahan, pemilik yang menggunakan alat ganti bukan tulen atau bahagian teknikal yang telah dimodifikasi tidak layak untuk menyertai program yang ditawarkan ini.

     
     
  • VIDEO: PDRM kejar kereta dicuri yang melawan arus

    Ini video panas lagi – mengikut tarikh dan masa pada visual dashcam depan dan belakang di dalam Proton Iswara yang di curi ini, ia berlaku tengah malam semalam, 2 Jun 2019 sekitar 1.30 pagi. Tidak diketahui di mana kejadian ini berlaku, namun video yang di muat naik oleh laman Facebook Friends of PDRM ini memaparkan aksi penuh kejadian kejar-mengejar berkenaan.

    Ia bermula dengan Iswara yang di curi tersebut dipandu menentang arus, kemudian sebuah kereta peronda polis – Proton Preve – melakukan pusingan-U untuk mengejar suspek.

    Di fahamkan, pemilik kereta yang dicuri berkenaan turut menyertai polis untuk mengejar serta memberkas pencuri tersebut dan kereta peronda tadi disertai sebuah Proton Wira, sebuah lagi Proton Preve dan berberapa peronda polis bermotosikal.

    Suspek kelihatan jelas sangat degil dan membuat pelbagai tindakan nekad seperti melanggar penghadang kawasan parkir, dan masih berusaha untuk melepaskan diri walaupun sudah di kepung dan turut melanggar sebuah motosikal.

    Apa pun, tahniah kepada PDRM kerana berjaya menahan pencuri tersebut tanpa langsung mengacukan senjata api!

     
     
  • Petrol percuma untuk penunggang motosikal 150 cc ke bawah di Kepong esok sempena Hari Raya Aidilfitri

    Petrol percuma untuk penunggang motosikal 150 cc ke bawah di Kepong esok sempena Hari Raya Aidilfitri

    Berita baik untuk penunggang motosikal yang berada di Kepong, esok 3 Jun 2019, anda berpeluang untuk mendapatkan petrol percuma di Stesen Minyak Caltex, Batu 8 Jalan Kepong, bermula 12 tengah hari hingga 4 petang.

    Menurut anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataan yang dilaporkan Bernama hari ini, program itu diadakan dengan kerjasama Parti Amanah Negara (Amanah) Kepong, dalam usaha menghargai penduduk di kawasan itu untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.

    Ketua Penaja Amanah Kepong Datuk Mohd Noor Ali Bakar pula berkata, pengisian petrol percuma itu tertakluk kepada motosikal di bawah 150cc sahaja.

    “Program ini kita lebih fokus kepada golongan B40 sebagai tanda terima kasih menjadi masyarkat Kepong dan kita berharap pemberian minyak petrol ini dapat meringankan beban mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Syawal,” katanya.

    Mohd Noor turut mejelaskan bahawa program tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan program pengisian petrol percuma yang diberikan kepada hampir 300 penghantar makanan bermotosikal pada bulan lepas.

     
     
  • Harga minyak 1-14 Jun 2019 – RON97 turun 13 sen

    Harga minyak 1-14 Jun 2019 – RON97 turun 13 sen

    Pengumuman harga runcit RON 97 minggu ini ada kelainan sedikit; ia akan digunakan untuk tempoh dua minggu berturut-turut (sebab cuti Raya agaknya). Dan, lebih manis, selepas naik lapan sen minggu lalu, harga berkenaan menyaksikan penurunan pula sempena musim cuti Aidilfitri ini. Bermula 1 Jun, RON 97 akan dijual pada harga RM2.63 seliter, turun 13 sen berbanding RM2.76 seliter minggu lalu.

    Seperti biasa, RON 95 bagaimanapun kekal pada harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Ini harga paling tinggi yang akan dibayar oleh pengguna tidak kira berapa perubahan yang berlaku dalam pasaran dunia.

    Bagi diesel juga sama, harganya kekal seperti sebelum ini, dengan dijual seliter pada harga RM2.18 bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula mahal 10 sen berbanding harga berkenaan, dijual RM2.28 seliter.

    Menurut KPDNHEP, penurunan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan corak menurun susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.

    Harga minyak 1-14 Jun 2019 – RON97 turun 13 sen

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya ialah sebanyak RM2.33 seliter dan RM2.40 seliter masing-masing.

    Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 1 Jun 2019 sehingga 14 Jun 2019 adalah berjumlah RM165.27 juta.

    Harga yang diumumkan ini akan kekal bagi tempoh 1-14 Jun 2019, sebelum harga baru mingguan diumumkan seperti biasa.

     
     
  • Proton Exora RC 2019 vs Perodua Alza: kami banding kos servis kedua-duanya untuk 5 tahun/100,000 km

    Proton Exora RC 2019 vs Perodua Alza: kami banding kos servis kedua-duanya untuk 5 tahun/100,000 km

    Ketika pelancaran Proton Exora RC 2019 tempoh hari, Proton sekali lagi membuat perbandingan kos servis produk mereka terhadap saingan terdekatnya. Untuk Exora ini, jenama berkenaan membandingkan dua model dari pengeluar lain yang dinamakan sebagai “Model X” dan “Model Y”.

    Model yang mempunyai perbezaan paling sedikit antara kedua-duanya dalam perbandingan ini adalah Model X – dengan beza sekitar RM200, dan setelah diteliti dengan pelbagai maklumat, Model X yang dimaksudkan tersebut adalah Perodua Alza 1.5 dengan transmisi automatik.

    Secara Am, Proton Exora adalah MPV tujuh-tempat duduk dijana oleh enjin CFE 1.6 liter turbo empat-silinder menjana 140 PS/205 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, dengan dimensi 4,610 mm panjang, 1,809 mm mm lebar dan jarak roda 2,730 mm.

    Manakala Alza pula dikuasakan oleh enjin 3SZ-VE 1.5 liter empat-silinder NA menghasilkan 104 PS/136 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan. Model dari Perodua ini dibina dengan dimensi 4,220 mm panjang, 1,695 mm lebar, dengan jarak roda 2,750 mm.

    Proton Exora RC 2019 vs Perodua Alza: kami banding kos servis kedua-duanya untuk 5 tahun/100,000 km

    Bagi mendapatkan harga senarai servis berkenaan, kami ambil dari kedua-dua sumber rasmi (sehingga 31 Mei 2019) iaitu aplikasi MyProton dan juga laman web rasmi Perodua. Tidak seperti perbandingan antara Persona dan Bezza Februari lalu, kali ini untuk Perodua kami tidak masukkan item-item opsyenal dari pakej Pro Care bagi mengelakkan kekeliruan.

    Kita mulakan dengan minyak pelincir. Untuk Perodua, ia agak sedikit unik kerana untuk servis pertama (sebulan/1,000 km) dan kedua (tiga bulan/5,000 km) ia menggunakan minyak pelincir semi sintetik 5W-30 API SL. Masuk servis ketiga (6 bulan/10,000 km), ia ditukar kepada minyak lebih mahal iaitu 5W-30 API SM, membolehkan sela masa servisnya selepas itu menjadi lebih panjang iaitu 10,000 km dan bukan lagi 5,000 km.

    Bagi Proton Exora pula, ia kekal menggunakan minyak pelincir Petronas Syntium 800 SE 10W-30 dengan rating API lebih terkini iaitu SM. Secara keseluruhan, kos keseluruhan untuk minyak enjin Exora adalah lebih tinggi berbanding Alza untuk tempoh 5 tahun/100,000 km ini.

    Untuk palam pencucuh pula, Alza perlu untuk menukar komponen berkenaan setiap 20,000 km. Manakala untuk Exora yang menggunakan palam pencucuh jenis Iridium yang lebih mahal, ia hanya perlu ditukar setiap 70,000 km. Walau bagaimanapun, jika dihitung untuk tempoh masa 5 tahun/100,000 km ini, kos untuk menukar palam pencucuh antar Alza dan Exora sebenarnya adalah lebih kurang sama.

    Jadual penyelenggaraan untuk Proton Exora RC 1.6L CVT 2019 (kiri), Perodua Alza 1.5L AT (kanan); klik untuk besarkan

    Perodua telah menyenaraikan penapis udara kabin untuk sistem penghawa dingin perlu ditukar setiap 30,000 km. Manakala untuk Exora pula, komponen yang sama tidak disenaraikan oleh Proton – mungkin ia hanya perlu ditukar sekiranya diperiksa sudah terlalu kotor.

    Untuk tali sawat (bagi menggerakkan pemampat pendingin hawa dan alternator) pula, Proton Exora perlu ditukar pada 100,000 km, manakala Perodua tidak menyenaraikannya dalam jadual penyelenggaraan.

    Bagaimana pula dengan timing belt? Perodua seperti diketahui tidak menggunakan tali sawat ini sebaliknya menggunakan rantai (timing chain) yang tidak perlu ditukar. Untuk Exora pula, timing belt berkenaan perlu ditukar pada 110,000 km dan tidak termasuk dalam tempoh perbandingan ini. Proton turut menyenaraikan komponen lain yang perlu ditukar dalam tempoh 100,000 km ini seperti penuras bahan api dan juga komponen-komponen berkenaan pengecas turbo.

    Bagi sistem stereng berkuasa, kedua-dua MPV ini menggunakan sistem hidraulik – bendalir untuk sistem ini pada Exora perlu ditukar setiap 40,000 km, manakala Alza pula hanya tersenarai pada jadual Pro Care pada 100,000 km. Manakala kos untuk menukar minyak kotak gear, Exora yang menggunakan CVTF adalah lebih tinggi dari Alza yang menggunakan ATF.

    Proton Exora RC 2019 vs Perodua Alza: kami banding kos servis kedua-duanya untuk 5 tahun/100,000 km

    Jumlah keseluruhan kos servis antara Proton Exora RC 1.6L CVT 2019 dan Perodua Alza 1.5L AT; klik untuk besarkan

    Setelah disenaraikan semua servis dari 1,000 km hingga 100,000 km, kos penyelenggaraan Proton Exora dilihat sekitar RM200 lebih rendah dari Perodua Alza. Walau bagaimanapun kos ini adalah dikira berdasarkan promosi Proton yang menawarkan 11 kali/lima tahun kos buruh percuma untuk pelanggan yang membeli Exora RC ini sebelum 31 Disember 2019. Sekiranya tanpa promosi berkenaan, kos untuk menyelenggara Exora tentu sahaja lebih tinggi dari Alza.

    Perlu diingatkan, segala komponen yang disenaraikan ini adalah dari kategori penyelengaraan pencegahan (preventative maintenance) dan tidak termasuk alat-alat ganti wear & tear seperti pad brek, bateri, tayar dan sebagainya yang perlu ditukar tidak berdasarkan kilometer, tetapi hanya perlu ditukar setelah ia tidak lagi boleh digunakan.

    Tentu ada yang tertanya-tanya, kereta apa pula Model Y yang dinyatakan di atas tadi? Setelah kami periksa, ia adalah Toyota Avanza, yang di dakwa Proton sebagai memerlukan kos penyelengaraan lebih tinggi berbanding Exora dalam tempoh 5 tahun/100,000 km. Kami hanya membuat perbandingan antara Exora dan Alza kerana kedua-duanya adalah dari jenama nasional.

    Sekali lagi diingatkan bahawa kesemua perincian yang kami tulis ini adalah berdasarkan jadual yang dinyatakan setiap pengeluar ketika artikel ini ditulis, dan ia mungkin berbeza dengan harga sebenar.

    Selain dari Exora vs Alza ini, kami turut telah membandingkan kos servis untuk Proton X70 vs Honda CR-V, Perodua Aruz vs Honda BR-V, dan juga Proton Persona 2019 vs Perodua Bezza.

     
     
  • RS5-R Sportback ABT – 50 unit saja, 503 hp, 680 Nm

    RS5-R Sportback ABT – 50 unit saja, 503 hp, 680 Nm

    Syarikat talaan kenderaan yang terkenal dengan ubah suai model daripada Volkswagen dan Audi Group, iaitu ABT kini mengumumkan pakej terbaru untuk Audi RS5 Sportback, yang memberi naik taraf bukan sahaja penampilan, tetapi juga prestasi. Walaupun begitu, hanya 50 unit sahaja akan dihasilkan.

    Untuk bahagian prestasi, kuasa RS5-R ABT dinaikkan menjadi 503 hp dan 680 Nm tork, berbanding 444 hp dan 600 Nm untuk RS5 standard. Ini adalah hasil daripada penggunakan unit kawalan enjin (AEC), penyejuk air tambahan, sistem ekzos, serta salur udara, yang kesemuanya adalah keluaran ABT. Kemudian, ia turut dipasang dengan spring suspensi boleh laras serta besi penstabil di kedua-dua gandar.

    Seperti yang boleh dilihat, RS5-R ABT ini mempunyai rupa lebih agresif hasil daripada kit aerodinamik serta kemasan gentian karbon pada bahagian lip hadapan, tepi bampar serta gril yang mempunyai logo gelap. Bukaan udara pada tepi fender itu adalah pilihan tambahan, tetapi ia menjadikan kenderaan nampak lebih ganas apabila digabungkan dengan rim 21 inci ABT Sport GR yang dibalut tayar 275/25.

    Bahagian belakang menampilkan spoiler serta skirt yang juga diperbuat daripada gentian karbon. Pada setiap penjuru bampar terdapat dua muncung ekzos ABT yang berukuran 102 mm. Semua bahagian yang diperbuat daripada gentian karbon disudahi dengan kemasan berkilat.

    Sama seperti luar, bahagian dalam juga menggunakan banyak kemasan gentian karbon termasuk pada panel pintu, roda stereng, papan pemuka, tombol gear dan paling besar adalah rangka belakang tempat duduk. Selain daripada itu, terdapat juga lencana “ABT RS5-R‚ 1 of 50”, kemasan tepi pintu serta lampu bawah pintu.

    Harga untuk kit ini sahaja, termasuk kos cat dan pemasangan adalah lebih sedikit daripada 33,000 euro (RM154k). Kalau mahu membelinya kereta yang sudah siap dipasang terus dengan kit ini, harganya bermula daripada 116,700 euro (RM545k).

     
     
  • WCE: Jajaran Hutan Melintang-Teluk Intan mula dibuka jam 6 petang hari ini – tiada tol hingga dimaklumkan

    WCE: Jajaran Hutan Melintang-Teluk Intan mula dibuka jam 6 petang hari ini – tiada tol hingga dimaklumkan

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, mengumumkan Seksyen 8, jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dari persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 km dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan raya bermula jam 6 petang, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Mohd Anuar berkata, jajaran pertama yang dibuka itu juga tidak akan dikenakan bayaran tol sehingga kerajaan membuat keputusan berkenaan dasar pengenaan tol dan kadar tol bagi lebuh raya berkenaan.

    “Kita cuba sedaya upaya untuk membuka jajaran yang kritikal ini untuk digunakan oleh pengguna untuk pulang beraya di kampung masing-masing dan akan membantu mengurangkan tekanan trafik pada musim perayaan ini. Pembukaan jajaran Seksyen 8 yang direka bentuk laluan dua lorong dua hala bakal menjadi laluan pintasan kepada penduduk setempat sekitar Sabak Bernam di Selangor, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan di Perak.

    WCE: Jajaran Hutan Melintang-Teluk Intan mula dibuka jam 6 petang hari ini – tiada tol hingga dimaklumkan

    “Jajaran ini juga dapat memendekkan masa perjalanan dengan anggaran 11 minit berbanding penggunaan laluan FT 005 (Klang-Teluk Intan) dan turut disediakan kemudahan awam seperti surau dan bilik air bersebelahan Plaza Tol Hutan Melintang dan Plaza Tol Teluk Intan,” katanya.

    Menurutnya lagi, pembukaan Seksyen 8 itu bersifat setempat namun apabila WCE siap sepenuhnya ia bakal menjadi sistem penyuraian trafik dan laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), terutama pada musim perayaan.

    “Bagi jajaran Seksyen 9 dan 10, iaitu persimpangan daripada Lekir ke Beruas sejauh 44 km pula dijangka akan dibuka selewat-lewatnya pada Ogos ini dan setakat ini ia sudah siap 95%. Jajaran WCE akan dibuka secara berperingkat dan untuk keseluruhannya, ia akan beroperasi sepenuhnya pada hujung tahun depan,” katanya yang turut menasihati pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal supaya tidak menggunakan jajaran WCE yang belum dibuka kepada awam.

    “Saya menerima maklumat bahawa ada penunggang motosikal yang menggunakan jajaran WCE sama ada untuk tujuan santai, berlumba atau memang digunakan (untuk urusan harian). Ia tidak boleh dilakukan kerana sekiranya berlaku sesuatu kemalangan ia tidak dilindungi insurans kerana jajaran belum diwartakan biarpun jalan nampak sudah cantik dan elok, jadi saya nasihatkan jangan guna mana-mana seksyen yang belum dibuka secara rasmi,” katanya.

     
     
  • GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

    GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

    Proton baru saja melancarkan MPV Exora RC 2019 (RC bermaksud running change) pada 28 Mei lalu. Walau pun tidak melibatkan pembaharuan kosmetik yang besar untuk luaran, RC hanya diberikan warna baharu dan juga antera sirip jerung. Namun begitu, untuk bahagian dalamnya, ada beberapa perubahan yang dilakukan, dan nilai lain yang dipertingkatkan termasuk harga atas jalan yang dikurangkan serta pakej bonus.

    Kit dalaman baharu yang paling menarik ditampilkan sudah tentu unit utama skrin sesentuh tujuh-inci berasaskan Global Key User Interface (GKUI) buatan Geely, dengan arahan suara “Hi Proton” dan sambungan internet 4G menerusi kad eSIM. Sistem ini mula diperkenalkan pada model SUV X70, yang memiliki fungsi termasuk penstriman muzik dalam talian, navigasi secara langsung, ketersambungan telefon pintar, mirroring untuk Android dan WiFi hotspot, serta beberapa lagi.

    Selain itu, ia juga menampilkan kluster instrumen baharu (sama seperti Iriz/Persona 2019) dan juga ruang tengah yang direka semula – jam di bahagian tengah papan pemuka pula telah digugurkan dan keseluruhan panel pula kini menerima kemasan piano black dengan sentuhan perak untuk penampilan yang lebih anggun. Turut ditampilkan ialah dua USB port yang diletakkan di tempat pemegang cawan hadapan, dan soket 12V – berbanding satu unit USB port pada model terdahulu.

    GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

    Bukan itu sahaja, Exora RC 2019 ini juga ditampilkan dengan cermin pandang belakang “tanpa bingkai” – juga sama seperti Iriz/Persona baharu. Manakala tempat duduknya pula menerima material upholstery separa kulit hitam dengan paten “quilted”, begitu juga dengan permukaan dalaman pintu. Butang SAT (stepped automatic transmission) untuk CVT juga telah digugurkan kerana Proton mendapati ia sangat kurang digunakan.

    Tiada perubahan mekanikal namun Proton telah meningkatkan talaan bagi suspensi dan engine mount untuk NVH yang lebih bagus. Selain itu, Proton juga telah mengurangkan bunyi bising disebabkan seretan angin untuk keselesaan pemandu dan penumpang yang lebih optimum. Bagi kit keselamatan, ia masih kekal dengan dua beg udara, ABS dan EBD. ESC hanya untuk varian Premium.

    Berita yang paling besar sudah pasti melibatkan harga yang diumumkan jauh lebih murah berbanding model sebelum ini. Exora 2019 hadir dengan dua varian – Executive berharga RM59,800 dan RM66,800 bagi Premium, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans. Ia melibatkan penurunan harga masing-masing sebanyak RM2,208 dan RM2,547, berbanding varian Executive/Executive Plus bagi model sebelum ini.

    Tawaran menarik yang turut diumumkan oleh Proton ialah pakej servis dengan tiga kali kos buruh percuma, dan data percuma sebanyak 1GB untuk lima tahun. Malah pakej perlindungan insurans istimewa dan kadar pembiayaan terendah dari 2.76% setahun turut ditawarkan.

    Sebagai tambahan, sesiapa yang membeli Exora tahun ini akan menerima lima tahun (atau 11 kali) kos buruh percuma untuk setiap kali tempoh servis yang dinyatakan. Manakala bagi 1,000 pembeli pertama pula akan menerima bonus yang berupa cukai jalan percuma selama dua tahun. Ini bermakna Proton telah memberikan keseluruhan nilai tambahan sebanyak RM4,233 untuk Executive dan RM5,652 bagi Premium, menerusi setiap pakej dan keistimewaan yang ditawarkan, berbanding model sebelumnya.

    Ketika majlis pelancarannya, hanya model spesifikasi penuh yang dipamerkan. Jadi, kami pergi ke bilik pameran Proton untuk mendapatkan foto galeri penuh bagi varian Executive.

    Varian Executive, yang berharga di bawah RM60k, tidak ditampilkan dengan beberapa ciri yang disebutkan di atas. Ia tidak diberikan unit utama “Hi Proton” (sekadar unit utama panel sentuh 2DIN), kamera undur dan juga tempat duduk kulit. Ruang bahagian tengah juga telah dikemaskini (dengan sentuhan perak) tetapi bukan dengan kemasan piano black. Manakala dua USB port/soket 12V serta panel meter baharu adalah standard untuk kedua-dua varian.

    Seperti sebelum ini, varian Executive juga tidak dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, cermin sisi boleh laras elektrikal, skirt sisi, spoiler belakang, bumbung hitam, stereng balutan kulit, butang kawalan pada stereng, kawalan kelajuan, cermin vanity pemandu (hanya untuk penumpang hadapan sahaja) dan perehat tangan untuk tempat duduk hadapan. Juga roda stereng 16-inci bagi Executive tidak diberikan kemasan dua-tona.

    Walau pun tidak banyak dilengkapi dengan ciri seperti Premium, namun perbezaan harga sebanyak RM7,000, atau pun RM100 sebulan untuk pinjaman selama tujuh-tahun, ataupun RM800 sebulan untuk pembiayaan sembilan tahun – menjadikannya berbaloi untuk anda yang tidak memerlukan ciri seperti varian tertinggi tapi inginkan MPV yang mempunyai kapasiti tujuh tempat duduk.

    GALERI: Proton Exora RC Executive 2019

    GALERI: Proton Exora RC Premium 2019

     
     
  • PLUS guna dron pantau lebuhraya – keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan sempena Aidilfitri

    PLUS guna dron pantau lebuhraya – keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan sempena Aidilfitri

    Buat pertama kalinya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal menggunakan dron bagi memantau trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan ketika musim perayaan ini. Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, dron berteknologi tinggi dan memiliki kamera berdefinisi tinggi itu mampu merakam video dengan kualiti yang baik. Sebelum ini, PLUS menggunakan perkhidmatan helikopter untuk tujuan pemantauan di lebuhraya.

    “Kita memiliki empat dron dilengkapi kamera berdefinisi tinggi yang mampu merakam dan memancarkan video terus ke paparan di Pusat Kawalan Trafik di Persada PLUS secara langsung. Dron ini akan digunakan di kawasan panas yang sering berlaku kesesakan. Buat masa ini kita mengenalpasti empat kawasan yang sering berlaku kesesakan iaitu Rawang, Slim River, Gua Tempurung dan Sungai Perak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Selain dron, PLUS juga bercadang meneroka teknologi baharu lain yang menambah baik perkhidmatan sedia ada. “Kita sedang melihat penggunaan lampu isyarat lorong kecemasan yang diguna di negara maju untuk menyuraikan kesesakan serta beberapa cadangan lain yang boleh membantu melancarkan operasi di lebuh raya,” katanya.

    PLUS guna dron pantau lebuhraya – keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan sempena Aidilfitri

    Seperti kebiasaan setiap kali musim perayaan besar, PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk Aidilfitri kali ini. Ia sebagai rujukan untuk para pengguna lebuhraya PLUS bagi merancang perjalanan supaya tidak tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

    Bagi pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Pulau Pinang, Perak serta Johor, dinasihati memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Manakala dari Lembah Klang menuju ke lain-lain negeri, disarankan memulakan perjalanan selepas jam 10 pagi.

    Untuk perjalanan ke Lembah Klang pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor digalakkan memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Bagi pengguna dari lain-lain negeri menuju ke Lembah Klang, disarankan bergerak selepas jam 10 pagi.

     
     
  • Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Bagaimana agaknya sebuah Proton Saga 2020 akan kelihatan sekiranya ia ingin memberikan “tabik hormat” kepada model original yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1985? Jangan risau, ini bukannya model sebenar; setakat ini belum kedengaran pula Proton akan keluarkan model generasi terbaru untuk menggantikan Saga pada 2020.

    Sebaliknya, seperti biasa, ini ialah hasil imajinasi Theophilus Chin membayangkan bagaimana penampilan yang wajar bagi kereta nasional ini untuk tahun 2020. Dan, memandangkan arah tuju global sekarang ini lebih terarah kepada kenderaan elektrik, maka Proton Saga 2020 ini juga diberikan sentuhan berkenaan – mempertemukan ilham dari masa lalu, tetapi lengkap dengan rekaan dan teknologi masa hadapan; sebagai penghormatan atau “homagE” kepada versi asalnya.

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Ini merupakan idea yang sama diterapkan kepada Honda e, yang akan mula dijual tahun depan. Bagi imej Proton Saga 2020 ini, reka bentuk asas versi yang menggunakan asas dari Mitsubishi dahulu masih dapat dilihat, misalnya rekaan lampu utama bersegi. Tambahan di bawahnya ialah lampu DRL LED yang memanjang, menggantikan tempat kemasan jalur hitam dari model aslinya.

    Bahagian gril yang kecilnya juga seperti pernah dilihat, kan? Itu tak lain mengambil corak “Infinite Weave” yang sama diperkenalkan pada X70 kini. Tak banyak liang udara di depannya disebabkan ia dibayangkan sebagai sebuah EV yang tidak mempunyai enjin konvensional.

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Rekaan bahagian tepi juga lebih ringkas dan kemas. Kelainan yang mungkin paling ketara diterapkan ialah pada bahagian lengkung tayar belakang – ia terpotong dan rata di bahagian atasnya, memberikan kelainan yang unik pada rekaan EV ini. Satu lagi, warna biru cerah ini juga diambil dari warga Saga asal dahulu.

    Bahagian belakang pula diberi rekaan yang lebih rumit berbanding yang lama. Saga yang dibayangkan ini telah beralih kepada lampu LED sepenuhnya, dengan kemasan krom melintang bersepadu bersama lampu berkenaan, dengan lambang atau ejaan Proton di dalamnya. Tapi bukan itu saja; rekaan ikonik Saga Aeroback turut digunakan, seperti yang dapat dilihat pada kereta merah ini.

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Ia sebenarnya ada menampilkan sedikit kelainan – rim aloi dengan rekaan yang lebih sporty serta bahagia belakang dengan sentuhan liftback tail. Lampu belakangnya juga berbeza, lebih bersegi dengan kemasan krom hitam melintang. Diffuser juga diberikan warna hitam.

    Apa pendapat anda tentang rekaan ini? Adakah Proton Saga wajar diberikan nyawa yang lebih segar melalui penawaran model generasi terbarunya kelak? Atau adakan lebih elok ia kekal dengan status klasik yang dinikmati ketika ini? Saga EV sebenarnya bukanlah satu idea yang teruk, kan?

    GALERI: Proton Saga 1.3S 1985 milik Encik Mohd Isa bin Ibrahim Shah

     
     
  • PLUS cadang bina kapsul tidur di R&R tahun depan

    PLUS cadang bina kapsul tidur di R&R tahun depan

    Sebelum ini Plus Malaysia Berhad (PLUS) pernah mempunyai hotel penginapan di beberapa buah kawasan rehat dan rawat (R&R) namun ia telah ditutup berikutan tiada sambutan di kalangan pengguna lebuhrayanya. Namun sikap keprihatinan dan tanggungjawab PLUS terhadap penggunanya tidak terhenti begitu sahaja. Terkini, PLUS bercadang untuk membina kapsul tidur untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan berehat terutamanya bagi pemandu kenderaan berat.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail, cadangan tersebut kini dalam peringkat kajian dan projek rintisnya dijangka bakal dilaksanakan tahun hadapan.

    “Kita sentiasa melihat kepada kemahuan pengguna… kapsul tidur yang juga dipanggil ‘time capsule’ ini akan memberi peluang kepada pemandu terutamanya pemandu kenderaan berat untuk mereka ambil ‘quick nap’ pada waktu malam sebelum mereka meneruskan pemanduan.

    PLUS cadang bina kapsul tidur di R&R tahun depan

    “Ini antara penambahbaikan fasiliti sedang dikaji dan kita berharap langkah ini nanti dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu kenderaan berat dan mereka boleh memandu dalam keadaan segar… sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan akibat mengantuk dan kepenatan,” katanya kepada Bernama.

    Azman berkata, kapsul tidur tersebut akan dibina di R&R memandangkan ia mempunyai kawasan parkir kenderaan berat yang luas, selain menyediakan pelbagai fasiliti lain termasuk tandas yang lengkap dengan bilik mandi.

    “Dahulu PLUS pernah membuka hotel di sepanjang lebuh raya tetapi terpaksa menutupnya kerana tidak mendapat sambutan dan kita dapati pemandu mahukan tempat tidur hanya untuk ‘quick nap’ dan tidak memerlukan hotel seharian. Maka kita akan lihat maklum balas pengguna terhadap projek rintis itu nanti dan kalau sambutannya baik, kita akan perluaskan di R&R bersesuaian,” ujarnya lagi.

     
     
  • Lebuhraya WCE – laluan 19 km dari Hutan Melintang ke Teluk Intan akan dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri

    Lebuhraya WCE – laluan 19 km dari Hutan Melintang ke Teluk Intan akan dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri

    Perkembangan terkini berkenaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) – Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sr Aziz Abdullah mengesahkan bahawa laluan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan dijangka akan dibuka sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    “Insya-ALLAH satu lawatan dan pengumuman rasmi akan disampaikan oleh Timbalan Menteri pada Jumaat ini, apa-apa pun Insya-ALLAH dijangka sebelum Aidilfitri laluan tersebut akan dibuka,” katanya dalam laporan Sinar Harian semalam.

    Laluan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19 kilometer tersebut adalah sebahagian dari Lebuhraya WCE yang di bina sejauh 233 km merentasi Selangor dan Perak.

    Ia bermula dari Jalan Banting – KLIA (B18) Selangor hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.

    Bagi jajaran Lebuhraya WCE di Perak mempunyai empat Seksyen iaitu Seksyen 8 (persimpangan Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (persimpangan Lekir-Changkat Cermin), Seksyen 10 (persimpangan Changkat Cermin-Beruas) dan Seksyen 11 (persimpangan Beruas-Taiping Selatan).

    Ia juga mempunyai 21 persimpangan bertingkat bersama dengan 20 plaza tol selain turut dihubungkan dengan lebuhraya sedia ada seperti PLUS, SKVE, NKVE, NNKSB, LATAR, KESAS demi memenuhi keperluan trafik di laluan utama.

    Sebelum ini ia dilaporkan akan dibuka sepenuhnya sebelum Aidilfitri tahun ini, namun disebabkan pelbagai masalah antaranya insiden tiga paip utama pecah berhampiran tapak pembinaannya di Klang baru-baru ini menyebabkan ianya ditangguhkan.

     
     
  • Proton X70: Kemaskini bagi OTA terbaru kini tersedia

    Proton X70: Kemaskini  bagi OTA terbaru kini tersedia

    Ada kemaskini over-the-air (OTA) terbaru bagi head unit Proton X70, dengan kali ini ia memberi perhatian kepada beberapa isu yang dihadapi oleh pengguna kebelkangan ini. Versi 2.4.0 terbaru ini menyenaraikan 10 kemaskini yang akan dibuat, seperti dipaparkan dalam gambar.

    Kemaskini paling penting termasuk fungsi kawalan suara “Locate Me” yang telah digugurkan, penyelarasan saluran bandwidth wifi (menjadikan capaian wifi lebih stabil selepas ini), serta memperbaiki aliran pendingin hawa ke tempat duduk depan. Sistem tunjuk arah GPS juga diperkemas, kini dengan fungsi penetapan alamat “Home”, ketepatan isyarat 4G yang lebih baik serta senarai Point of Interest (POI) tambahan.

    Proton X70: Kemaskini  bagi OTA terbaru kini tersedia

    Selain itu, kemaskini berkenaan juga turut melibatkan pengguguran laporan suara ketika bertukar kepada mod pemanduan yang berbeza. Versi 2.4.0 ini sudah boleh diakses oleh pengguna; ambil maklum juga saiz failnya yang agak besar, 786 MB – tetapi ia tidak akan mengguna kuota data anda.

    Juga sempena promosi Hari Raya ini, Proton menawarkan 50% data internet tambahan bagi pemilik yang menambah top up dari sekarang hingga 5 Julai nanti. Bagaimanapun, ini hanya akan ditawarkan bagi kenderaan yang menggunakann head unit dengan skrin sentuh terkini – Proton X70, Persona Premium, Iriz Premium dan juga Exora Premium.