Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ducati Hypermotard 950 Concept diberi pengiktirafan

    Ducati Hypermotard 950 Concept diberi pengiktirafan

    Semasa acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este di Itali, model Hypermotard 950 Concept yang ditunjukkan oleh Ducati telah dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori ‘Motosikal Konsep: Rekaan dan Prototaip Baru oleh Pengeluar dan Persendirian.

    Model konsep ini direka sendiri oleh pusat rekaan dan penggayaan syarikat pengeluar motosikal Itali tersebut yang digelar sebagai Centro Stile Ducati, dan ia menggunakan asas daripada Hypermotard 950 (masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia).

    Daripada sebuah model yang sudah sedia agresif, Hypermotard 950 Concept membawanya satu tahap lebih tinggi dengan gaya yang mendapat inspirasi daripada jentera MotoGP serta grafik daripada seni grafiti jalanan. Ia juga telah menarik banyak minat dalam media sosial.

    Hypermotard 950 masih menggunakan enjin V-twin Testastretta 11 937 cc yang sama seperti Hypermotard 939, tetapi ia telah diberikan pelbagai peningkatan di bahagian dalamannya dan mampu menghasilkan lebih kuasa, iaitu kini 114 hp pada 9,000 rpm dan tork 96 Nm pada 7,250 rpm.

    Antara kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk transmisi enam gear berserta klac jenis slipper, suspensi Marzocchi/Ohlins bergantung kepada varian, angkup brek Brembo, Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC) EVO, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, pilihan mod tunggangan dan panel instrumen TFT.

     
     
  • PDAM sokong mekanisma harga bahan api kembali ditetapkan secara bulanan jika harga siling dihapuskan

    PDAM sokong mekanisma harga bahan api kembali ditetapkan secara bulanan jika harga siling dihapuskan

    Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia (PDAM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menyokong penggunaan semula mekanisma penetapan harga bahan api dibuat secara bulanan, berbanding secara mingguan seperti sekarang, lapor The Star.

    Persatuan berkenaan turut menyatakan bahawa mereka juga menyokong harga tetap untuk petrol RON 95 dan diesel yang dilaksanakan oleh kerajaan buat masa ini, dan mengakui bahawa ia adalah hak prerogatif kerajaan bagi menangani polisi fiskalnya, kata presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

    Tambahnya lagi, persatuan tersebut turut menyokong mekanisma penetapan harga bahan api secara bulanan sekiranya apungan harga terhadap petrol RON 95 dan diesel dilakukan semula.

    “Kami tidak sabar menunggu mekanisma akhir tersebut, kerana kami belum diajak untuk berunding,” kata Khairul Annuar. Bulan lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa harga siling untuk petrol RON 95 mungkin akan dihapuskan setelah skim subsidi bersasar untuk golongan B40 dilaksanakan kelak, namun ia belum lagi dimuktamadkan.

    Kerajaan turut menyatakan bahawa subsidi tersebut mungkin akan diberi dalam bentuk tunai dengan dimasukkan terus ke akaun penerima-penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana kementerian berkenaan bercadang untuk menggunakan senarai BSH berkenaan bagi menentukan kelayakan mereka yang akan menerima subsidi bersasar itu.

    “Mereka kini sedang membersihkan data dan kita berada pada peringkat terakhir. Kami mahu pastikan data tersebut boleh dipercayai – yang layak perlu dimasukkan dan mereka yang tidak layak akan dikeluarkan,” kata Saifuddin bulan lalu.

    Masuk minggu ini, kita sudah pun masuk minggu ke-21 menggunakan kaedah penetapan harga bahan api secara mingguan, yang bermula pada 1 Januari lalu.

     
     
  • Hapuskan tol akan tambah beban kerajaan – Tun M

    Hapuskan tol akan tambah beban kerajaan – Tun M

    Susulan mengenai cadangan pihak swasta untuk mengurangkan kadar tol, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, kerajaan masih belum memutuskan sebarang mekanisme untuk pelaksanaan tersebut.

    “Memang ada cadangan, tetapi tidaklah sampai membabitkan penurunan sehingga 25%, ini supaya mereka dapat ambil alih, namun ia belum diputuskan kerajaan,” katanya seperti mana yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam satu temubual baru-baru ini yang menyatakan kajian dilakukan menunjukkan kerajaan berupaya menurunkan kadar tol sehingga 25%.

    Hapuskan tol akan tambah beban kerajaan – Tun M

    “Saya tidak tahu banyak mana yang boleh kita kutip (kalau kadar tol turun 25%). Kita sekarang menghadapi masalah, walaupun kita buat perjanjian untuk menghapuskan tol, tetapi apabila tol dihapus, tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali.

    “Umpamanya, jika nak hapuskan tol PLUS, kerajaan kena beli lebuh raya itu dengan harga RM30 bilion sedangkan RM30 bilion itu lebih baik jika kita belanja bayar hutang untuk kurangkan sikit beban kita. Jadi, pada masa ini kita belum dapat tentukan apa yang harus dilakukan berkenaan tol,” tambahnya lagi.

    Dr Mahathir berkata, adalah benar rakyat akan berasa lega sekiranya tol diturun atau dihapuskan.

    “Bagaimanapun, kerajaan tidak lega kerana tol itu akan dibayar kerajaan,” katanya.

     
     
  • BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

    BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

    BMW 1 Series generasi ketiga dengan kod F40 kini telah didedahkan secara rasmi, dan seperti apa yang digembar-gemburkan sebelum ini, tiada lagi pacuan roda belakang untuk model ini, sebaliknya dibina sebagai sebuah hatchback pacuan roda hadapan seperti saingan terdekatnya, Mercedes-Benz A-Class. Model ini juga hanya tampil dengan bentuk badan hatchback lima-pintu.

    Pembinaan 1 Series F40 ini diasaskan dari platform FAAR (Frontantriebsarchitektur). Menurut BMW, konfigurasi baharu tersebut memberikan faedah praktikaliti disamping menjanjikan “ketajaman dinamik yang tidak pernah ada pada kereta-kereta pacuan roda hadapan lain.”

    Berbanding model generasi F20 sebelum ini, F40 adalah lima mm lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,319 mm dengan jarak roda juga 20 mm lebih pendek dengan 2,670 mm. Walau bagaimanapun, F40 adalah 34 mm lebih lebar (1,799 mm) dan 13 mm lebih tinggi (1,434 mm) dari model pacuan roda belakang sebelumnya.

    Dengan penggunaan bonet dan pintu tailgate belakang aluminium, dan juga logam-logam berketegaran tinggi, model baharu ini adalah 30% lebih ringan dari F20. Badan dan kerangka kereta ini juga kini mempunyai kadar ketegaran torsi dan melentur lebih tinggi, yang dibantu oleh penggunaan strut berbentuk boomerang pada bahagian belakang.

    BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

    Dengan enjin dialihkan melintang bagi memacu roda belakang membolehkan bonet hadapan direka lebih pendek. Jika dilihat dari sisi, 1 Series baharu ini menerima muncung hadapan “hidung jerung” yang lebih menyerlah, manakala garis tingkap pula ditarik naik keatas, bersambung dengan ‘Hofmeister kink’ pada tiang-C bagi memberikan rupa yang tajam kedepan.

    Muka 1 Series ini menerima rekaan seperti model-model BMW terkini, menampilkan hidung ‘gril buah pinggang’ bersaiz besar. Varian M135i xDrive pula diberikan elemen gril yang lebih tersendiri. Lampu hadapan pula direka lebih bersegi, di mana model asas hadir standard dengan lampu halogen bersama lampu nyalaan siang LED, dengan opsyen lampu adaptif LED penuh.

    Pada bahagian belakang, kluster lampu kini direka lebih tirus dan diberikan grafik berbentuk-L. Sama seperti hadapan, varian rendah diberikan lampu dengan mentol biasa, manakala versi lebih tinggi menerima lampu LED.

    Empat kemasan ditawarkan pada model baharu ini. Model paling asas Advantage diberikan gril hadapan dengan kemasan sekeliling krom bersama elemen utama hitam berkilat, bersama kemasan liang udara dan grafik sekeliling tingkap hitam matte dan juga penutup cermin sisa serta apron belakang kemasan warna badan.

    BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

    Model Sport Line pula ditambah dengan elemen hitam pada liang udara, bar gril, penutup cermin sisi dan apron belakang. Pada bahagian sekeliling tingkap pula menampilkan kemasan Shadow Line berkilat BMW Individual. Manakala bagi varian Luxury Line, ia ditambah dengan kemasan aluminium satin pada bahagian-bahagian seperti gril, keliling tingkap bersama penutup cermin sisi dan liang udara hadapan diberikan kemasan warna badan.

    Model paling sporty M Sport pula menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, bersama kemasan-kemasan hitam berkilat, termasuk kemasan sekeliling tingkap BMW Individual. Ia juga diberikan kemasan aluminium satin seperti pada Luxury Line pada bahagian gril. 1 Series F40 ditawarkan dengan pelbagai rekaan rim dari saiz 16- hingga 19-inci, bergantung pada varian yang dipilih.

    Pada bahagian dalaman, papan pemuka model baharu ini turut menerima rekaan berbeza, tetapi mengekalkan BMW Live Cockpit Professional (dengan BMW Operating System 7.0), terdiri dari dua skrin paparan masing-masing bersaiz 10.25-inci – satu berfungsi sebagai paparan instrumen digital, dan satu lagi untuk sistem infotaimen dan kawalan fungsi lain.

    Ia turut dibekalkan dengan sistem BMW Intelligent Personal Assistant yang pertama kali ditampilkan pada 3 Series G20, serta sistem kunci digital BMW Digital Key.

    BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

    Model-model lebih rendah pula diberikan sistem BMW Live Cockpit dan BMW Live Cockpit Plus, menampilkan suis kawalan analog serta skrin paparan format-potret 4:3 bersaiz 5.1-inci, yang turut menyokong Apple Carplay navigation plus.

    Ia juga diberikan rekaan roda setereng baharu, bumbung panaromik, paparan head-up 9.2-inci bersama jalur latar belakang hitam dan juga lampu suasana dengan larasan enam-pilihan warna. Seleksi pilihan upholsteri juga lebih luas dari model sebelumnya.

    Konfigurasi pacuan roda hadapan pada platform baharu ini membolehkan kabinnya direka lebih luas. Model ini menawarkan ruang lutut 33 mm lebih luas bersama luang lega kepala 19 mm lebih besar pada bahagian belakang. Ruang siku juga 42 mm lebih besar di hadapan, dan 13 mm lebih luas untuk penumpang belakang.

    Ruang kargo dibina dengan kapasiti 380 liter, 20 liter lebih besar dari sebelum ini, dan memberikan 1,200 liter secara keseluruhan sekiranya tempat duduk belakang direbahkan. Ruang ini juga direka 67 mm lebih lebar, dan pintu tailgate belakang diberikan fungsi bantuan kuasa elektrik bagi memudahkan pengguna.

    BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

    Dua enjin diesel dan dua enjin petrol ditawarkan untuk BMW 1 Series generasi baharu ini. Model paling rendah untuk diesel adalah 116d yang dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbodiesel berkuasa 116 PS (114 hp) dan tork maksima 270 Nm. Ia ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau klac berkembar Steptronic automatik tujuh-kelajuan.

    Versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter pula datang dengan dua talaan iaitu 118d berkuasa 150 PS (147 hp) dan tork maksima 350 Nm, manakala 120d xDrive pula menjana 190 PS (188 hp) dan tork maksima 400 Nm. Versi 118d tampil dengan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai ciri standard, bersama opsyen transmisi automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic. 120d pula hanya diberikan pilihan kotak gear automatik.

    Bagi versi petrol, model paling rendah 118i dijana enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 140 PS (138 hp) dan tork maksima 220 Nm. Pilihan kotak gear untuk model ini adalah sama seperti 116d.

    Model tertinggi pula adalah M135i xDrive, dikuasakan enjin yang sama pada BMW X2 F39 M35i iaitu enjin produksi empat-silinder BMW paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini, unit 2.0 liter turbo menjana 306 PS (302 hp) dan tork maksima 450 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport dengan sistem pacuan semua roda BMW xDrive.

    Ini meletakkan model berkenaan untuk bersaing terus dengan Mercedes-AMG A 35 4Matic, dan ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Kesemua varian 1 Series ini dilengkapkan dengan sistem suspensi multilink pada gandar belakang. Tiga pilihan suspensi diberikan, termasuk suspensi M Sport yang merendahkannya 10 mm dari model standard. Sistem suspensi adaptif juga diberikan bersama Variable Damper Control (VDC), membolehkan pemandu memilih mod pemanduan Comfort dan Sport.

    Teknologi actuator contiguous wheel slip limitation (ARB) yang diadaptasi dari model i3s juga dipadankan pada setiap varian. Sistem ini beroperasi bersama sistem DSC dengan mengurangkan power understeer tanpa ganguan kestabilan.

    Menurut BMW, sistem berkenaan dikawal sendiri oleh kotak komputer enjin dan bukannya oleh kotak komputer sistem DSC, membolehkan isyarat dihantar dan diterima tiga kali lebih pantas, dan pemandu dapat mengelakkan dari berlakunya tayar yang menggelangsar, seterusnya dapat mengawal kereta sehingga 10 kali lebih cepat.

    Sistem ARB ini turut dibantu oleh BMW Performance Control iaitu sistem torque vectoring yang diberikan semasa membrek bagi membolehkan model pacuan roda hadapan ini lebih lincah. Kesemua kawalan oleh sistem DSC boleh dinyah aktifkan, dan pemandu boleh melaras sistem Dynamic Traction Control (DTC) bagi memberikan pemanduan yang tidak bergantung kepada komputer.

    Untuk keselamatan pula, 1 Series pasaran Eropah didatangkan standard dengan kelengkapan seperti Amaran Pelanggaran dan Pejalan Kaki dengan fungsi City Braking, dan juga sistem Amaran Keluar Laluan dengan active lane return yang berfungsi pada kelajuan 70 hingga 210 km/j.

    Pembeli turut boleh memilih untuk memadankan sistem Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, dan juga pakej Driving Assistant yang terdiri dari Amaran Tukar Laluan dan Bantuan Pemanduan Proaktif, amaran pelanggaran belakang serta amaran lintasan trafik belakang.

     
     
  • Hong Leong Yamaha Motor panggil balik YZF-R25 2019 dan XMax 250 untuk mengganti tuil brek hadapan

    Pada 24 April 2019, Yamaha Motor Co., Ltd, Jepun telah mengeluarkan satu rancangan panggilan balik model YZF-R25 dan XMax 250 berkenaan isu tuil brek. Kini, setelah tidak begitu lama, ternyata ia turut memberi kesan kepada model yang dijual di negara kita kerana Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd secara rasminya telah mengeluarkan kenyataan panggilan balik yang sama.

    Syarikat itu juga mengeluarkan nombor casis bagi kedua-dua model yang terlibat dan anda boleh melihatnya di sini. Notis rasmi bagi setiap pemilik motosikal yang terlibat dengan panggilan balik ini akan dihantar bermula pertengahan Jun ini, dan selepas menerimanya, pemilik boleh menghubungi pengedar rasmi atau cawangan HLYM untuk membuat temu janji.

    Hong Leong Yamaha Motor panggil balik YZF-R25 2019 dan XMax 250 untuk mengganti tuil brek hadapan

    Nombor casis model yang terlibat

    Apa yang diberitahu, masalahnya adalah berkenaan Tuil Brek 2, dan bahagian itu akan ditukar, tetapi perincian lanjut tidak dijelaskan. Jika mengikut notis panggilan balik R3 di Amerika Syarikat yang dikeluarkan 17 Mei lalu, tuil brek tangan tersebut tidak dihasilkan dengan campuran betul dalam acuan dan akibatnya, besi tuil brek ini berkemungkinan mempunyai banyak buih dan menyebabkan ia tidak begitu kuat.

    Ini adalah panggilan balik yang pertama untuk model baru R25 2019 dan XMax 250, namun bagi model R25 sebelum ini, ia juga pernah dipanggil balik disebabkan beberapa masalah yang termasuk hos radiator serta torsion spring, dan ini turut melibatkan pasaran negara kita.

     
     
  • Proton Exora 2019 RC dilancarkan – tampil dengan unit infotainmen “Hi Proton”, harga dari RM59,800

    Proton Exora 2019 RC dilancarkan – tampil dengan unit infotainmen “Hi Proton”, harga dari RM59,800

    Selepas melancarkan SUV pertamanya, X70, pada Disember lalu, ternyata langkah Proton semakin agresif dengan memperkenalkan barisan model facelift bagi terus memastikan jenama ini kekal utuh di pasaran Malaysia. Malah selepas sebulan melancarkan Iriz dan Persona 2019, hari ini giliran MPV Exora RC 2019 pula diperkenalkan di pasaran. Perkataan RC pada Exora 2019 ini membawa maksud “Running Change”.

    Dengan tagline “Intelligence that Moves”, sudah tentu MPV yang pertama kali diperkenalkan sedekad lalu, membawakan pelbagai pembaharuan yang senada dengan barisan model baharu Proton termasuk Iriz, Persona dan sudah tentulah X70 yang dijadikan penanda aras bagi imej baharu jenama kereta nasional pertama negara ini.

    Bagi barisan Exora 2019, ia didatangkan dengan dua varian iaitu Executive 1.6 CVT dan Premium 1.6 CVT dengan masing-masing berharga RM59,800 dan RM66,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Ternyata harga yang diumumkan ini cukup berbaloi untuk pemilikan MPV berkapasiti tujuh-tempat duduk ini.

    Proton Exora 2019 RC dilancarkan – tampil dengan unit infotainmen “Hi Proton”, harga dari RM59,800

    Menurut Proton, Exora 2019 turut diberikan nilai tambah (daripada sudut penambahbaikan) sebanyak RM4,233 bagi varian Executive 1.6 CVT dan Premium 1.6 CCT pula RM5,652.

    Masih mengekalkan penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu unit 1.6 liter turbo dengan output 138 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksimum 205 Nm pada takat 2,000. Ia juga masih kekal dengan transmisi CVT automatik, dengan padanan penjana kuasa itu, MPV ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.6 saat dengan kelajuan maksimum 185 km/j. Bagi penggunaan bahan apinya pula, ia dianggarkan sekitar 7.0 liter bagi setiap 100 km.

    Walau pun begitu, bahagian suspensi dan cagak enjin telah ditambah baik untuk memberikan NVH terutamanya bunyi angin yang lebih baik berbanding sebelum ini.

    Proton Exora 2019 RC dilancarkan – tampil dengan unit infotainmen “Hi Proton”, harga dari RM59,800

    Kalau dilihat pada imej luarannya, Exora 2019 ini lebih kurang sama dengan model sebelum ini. Tidak seperti model-model terkini Proton, Exora tidak pula ditampilkan dengan gril infinite weave. Malah di belakangnya juga tiada perkataan ‘Proton’ dalam rekaan 3D seperti mana model-model terbaharu Proton. Walau bagaimana pun, Exora 2019 diberikan antena sirip jerung dan juga warna baharu, Rosewood Maroon, sama seperti Persona 2019.

    Untuk bahagian kabinnya pula, ada pembaharuan yang lebih segar dibawakan. Di mana ciri-cirinya hampir sama dengan Persona dan Iriz 2019. Paling menarik, sudah pasti dengan unit infotainmen yang menerima pemain utama binaan ECARX dengan menampilkan skrin sesentuh tujuh-inci dengan fungsi arahan suara “Hi Proton!”.

    Untuk memastikan perisiannya tidak ketinggalan, kemas kini bagi Over the Air (OTA) akan ditawarkan secara berkala sekiranya terdapat aplikasi-aplikasi baharu diperkenalkan. Malah Exora 2019 merupakan MPV pertama di bawah segmen-C yang menerima arahan suara sebegini.

    Selain itu, material bagi upholsteri juga sama seperti Persona dan Iriz 2019. Lebih menarik, Exora kali ini diberikan padanan panel instrumen baharu termasuk rekaan meter yang lebih premium dengan skrin TFT berwarna di tengahnya. Ia juga ditampilkan cermin pandang belakang tanpa bingkai, dua USB port, soket 12V dan sambungan 4G, juga sama seperti Persona dan Iriz 2019. Namun jam pada bahagian atas papan pemuka telah digugurkan dan keseluruhan panel kini menampilkan kemasan warna hitam berkilat bersama sentuhan perak.

    Bagi aspek keselamatan, ia masih dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, kawalan kestabilan elektronik (ESC), brek cakera di sekeliling, brek anti-kunci (ABS), agihan brek elektronik (EBD) dan tali pinggang hadapan dengan fungsi pengetat, sensor tempat letak kereta di belakang dan kamera undur.

    Juga seperti model-model baharu Proton, Exora 2019 juga ditawarkan dengan waranti lima-tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu. Ia juga ditawarkan dengan pakej tambahan istimewa seperti tiga kali kos buruh percuma untuk pakej servis, pakej data Internet percuma selama lima tahun (1Gb sebulan), kadar pembiayaan terendah bermula 2.76%, perlindungan insurans dengan beberapa tawaran hebat serta bagi 1,000 pelanggan terawal bakal menerima cukai jalan percuma selama dua tahun bagi pemilikan persendirian dan setahun untuk pendaftaran syarikat.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian dan spesifikasi penuh Exora 2019, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Proton Persona dan Iriz facelift – terima 10k tempahan, 2k unit dijual pada bulan pertama selepas dilancarkan

    Proton Persona dan Iriz facelift – terima 10k tempahan, 2k unit dijual pada bulan pertama selepas dilancarkan

    Walaupun hanya hadir sebagai model kemaskini, sedan segmen-B Persona facelift dan juga kembar hatchbacknya Iriz facelift menerima sambutan yang menggalakkan. Dilancarkan lebih kurang sebulan yang lalu, Proton telah menerima tempahan 10,000 unit kenderaan hanya terdiri dari dua model ini, di mana 2,000 unit telah berjaya diserahkan kepada pelanggan pada bulan pertama.

    Antara penyegaran yang dilakukan pada Persona adalah pada elemen-elemen bahagian luaran dan dalaman. Ia diberikan gril hadapan busur panah dan elemen infinite weave seperti Proton X70, bampar rekaan baharu dengan lampu nyalaan siang LED, rim baharu dan juga palang kemasan penutup but belakang dengan warna badan lengkap dengan perkataan ‘PROTON’.

    Iriz pula kini diberikan lampu dan bonet hadapan sama seperti Persona. Gril busur panah dan infinite weave serta bampar hadapan baharu pada hatchback ini diberikan rekaan yang lebih sporty. Manakala bahagian belakang, Iriz menerima kemasan pintu tailgate berwarna hitam baharu bersama bampar yang direka semula.

    Proton Persona dan Iriz facelift – terima 10k tempahan, 2k unit dijual pada bulan pertama selepas dilancarkan

    Pada bahagian dalaman, kedua-dua model ini dilengkapi sistem infotainmen binaan ECARX yang memberikan fungsi arahan suara “Hi Proton” serta internet 4G yang menghubungkan cloud bagi sistem navigasi, informasi trafik dan cuaca serta streaming muzik. Kedua-duanya juga diberikan panel meter lebih premium dengan rekaan baharu bersama skrin TFT berwarna dan juga tombol gear seakan SUV X70.

    Persona dan Iriz masih lagi dijana oleh enjin sama iaitu 1.6 liter VVT empat-silinder sebaris DOHC berkuasa 107 hp dan tork 150 Nm, digandingkan bersama kotak gear CVT automatik. Model 1.3 liter masih ditawarkan untuk Iriz dengan enjin DOHC VVT berkuasa 94 hp dan tork 120 Nm bersama pilihan kotak gear CVT automatik dan lima-kelajuan manual pada varian lebih rendah.

    Enjin dan kotak gear CVT pada kedua-dua model ini telah ditala semula bagi memberikan respon kuasa yang lebih baik. Proton juga telah menambah baik aspek NVH bagi memberikan kabin yang lebih senyap.

    Proton Persona 1.6L 2019 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM42,600 (Persona 1.6L Standard MT); RM44,600 (Persona 1.6L Standard CVT); RM49,600 (Persona 1.6L Executive CVT) dan RM54,600 (Persona 1.6L Premium CVT).

    Manakala Iriz 2019 pula hadir dengan lima varian – Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT, ditawarkan dengan harga RM36,700 untuk Standard 1.3L MT, RM39,700 (Standard 1.3L CVT), RM44,700 (Executive 1.3L CVT), RM46,700 (Executive 1.6L CVT) dan varian tertinggi Premium 1.6L CVT pula berharga RM50,700.

    Seperti model Proton yang lain, Persona dan Iriz facelift ini didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana sampai dahulu), servis buruh percuma sebanyak tiga kali dan juga pakej data selama lima-tahun (1GB/bulan).

     
     
  • Skru camber – perlu ditukar ketika penjajaran roda?

    Skru camber – perlu ditukar ketika penjajaran roda?

    Saya pasti, setiap kali anda ke kedai tayar untuk membuat penjajaran roda (wheel alignment), anda kerap kali disarankan untuk menukar ‘skru camber’ bagi membolehkan sudut camber roda kereta anda dilaras untuk ditegakkan kembali bukan? Harga untuk membuat penjajaran roda yang sepatutnya hanya sekitar RM20 hingga RM50, kadang-kala boleh mencecah ratusan ringgit dek kerana skru camber berkenaan. Persoalannya, perlu ke tidak kita tukar skru camber yang boleh laras ini?

    Sebelum kita pergi lebih jauh, mari sini saya terangkan dengan ringkas apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh sudut camber dan juga sudut toe yang sering dilaras ketika membuat penjajaran roda. Sudut toe merujuk kepada sudut jajaran tayar – kedua-dua tayar perlu tegak kehadapan jika dilihat dari bahagian atas kereta (mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pengeluar).

    Gambar rajah di bawah adalah gambaran mudah apa sebenarnya sudut toe ini. Sekiranya sudut jajaran roda anda ‘lari’ dari spesifikasi asal sama ada dalam keadaan toe-masuk (toe-in) atau toe-keluar (toe-out), ia akan menyebabkan roda stereng anda senget sebelah ketika bergerak lurus, dan kereta akan melencong sama ada ke kiri atau ke kanan sekiranya roda stereng dilepaskan.

    Skru camber – perlu ditukar ketika penjajaran roda?

    Sudut toe yang tidak betul ini akan menyebabkan rintangan untuk kereta anda bergerak dan mungkin akan menyebabkan penggunaan bahan api yang lebih tinggi dari biasa. Namun apa yang paling membimbangkan, penjajaran sudut toe yang tidak betul ini akan menyebabkan tayar anda ‘makan sebelah’ dengan sangat cepat!

    Manakala sudut camber pula adalah sudut condong tayar bila dilihat dari hadapan – negatif apabila condong ke dalam (kengkang) dan positif jika condong keluar seperti gambar rajah di bawah.

    Benarkah tayar juga akan ‘makan sebelah’ jika sudut camber ini tidak tegak/tidak tepat 0 darjah? Seperti juga sudut toe, camber mempunyai sudut toleransi yang telah ditetapkan oleh pengeluar. Tidak mengapa jika ia condong sedikit, asalkan ia masih dalam toleransi yang dibenarkan.

    Sudut camber neutral (kiri), sudut camber negatif (atas kanan) dan sudut camber positif (bawah kiri)

    Bagaimana nak tahu sudut camber roda kereta kita masih dalam toleransi yang dibenarkan? Ketika proses penjajaran roda, jangan segan untuk melihat sendiri paparan skrin mesin berkenaan. Pastikan mekanik memasukkan spesifikasi sebenar kereta anda (nama model, varian dan tahun dibuat) pada mesin tersebut.

    Pada skrin kita boleh lihat bacaan sudut berkenaan – merah tandanya sudah lari dari spesifikasi asal, dan jika hijau, ia masih dalam sudut toleransi yang ditetapkan oleh spesifikasi.

    Kebiasaannya, jika anda membuat penjajaran roda di pusat-pusat servis 2S/3S/4S pengedar bertauliah dan ia dibuat secara in-house (bukan dihantar ke pihak kontraktor di luar), perkhidmatan untuk melaras semula sudut camber ini tidak akan disediakan – bermaksud, ‘adjust camber’ ini memang tidak wujud pun sebenarnya dalam penyelenggaraan kereta. Malah tiada mana-mana jenama pengeluar yang menghasilkan skru camber ini sebagai alat ganti asli – tidak terdapat dalam katalog alat ganti mahupun dalam manual baik pulih.

    Skru camber – perlu ditukar ketika penjajaran roda?

    Perhatikan bacaan camber keseluruhan dibahagian tengah (-0°23′) yang masih lagi hijau walaupun bacaan camber kiri adalah -0°50′ dan kanan -0°27′. Sudut toe di bawah walau bagaimanapun lari teruk dengan bacaan berwarna merah -1.9 darjah secara keseluruhan dan perlu dilaras semula

    Ini kerana sukar untuk sudut camber ini untuk lari dari spesifikasi. Sekiranya ia lari juga, berkemungkinan ada komponen suspensi anda sudah rosak, contohnya absorber, lengan kawalan atau komponen lain yang sudah bengkok – ini perlu diteliti kembali oleh mekanik.

    Malah sekiranya anda merendahkan kereta anda, sebagai contoh menggunakan spring sport yang lebih rendah, ataupun menggunakan suspensi boleh laras, sudut camber kereta anda akan menjadi condong/negatif sedikit secara semula jadi kerana pergerakan ‘pendulum swing‘ pada lengan kawalan bawah (lower arm) – kebiasaannya ia tidak akan melebihi dari spesifikasi toleransi yang dibenarkan.

    Dan skru camber yang dijual oleh kedai-kedai tayar di Malaysia, majoritinya tidak mempunyai jenama – tidak mempunyai nombor komponen (part number) dan tidak diketahui siapa yang mengilangkannya.

    Dengan penggunaan skru dilengkapi sesondol boleh bergerak serta kedudukan sudut hab roda anda yang tidak lagi tetap tersebut akan meningkat risiko sudut camber anda untuk lari melebihi dari spesifikasi sekiranya anda terlanggar lubang.

    Jika perkara ini berlaku, ada kemungkinan tayar anda juga akan rosak – kita tidak tahu siapa yang menghasilkan skru berkenaan, dan kepada siapa kita mahu menuntut sekiranya perkara tersebut berlaku?

    Untuk pengetahuan anda juga, sekiranya anda membeli skru camber ini terus di kedai alat ganti, harganya hanyalah sekitar RM10 hingga RM15 sebatang. Itu kalau anda beli sebatang, bayangkan pula berapa jatuh harganya jika dibeli pukal terus dari pembekal atau pengilang.

     
     
  • Pusat 2S Toyota di Taman Petaling Utama dilancarkan

    Pusat 2S Toyota di Taman Petaling Utama dilancarkan

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah pun melancarkan pusat 2S (servis dan alat ganti) baharu yang telah pun beroperasi di Taman Petaling Utama. Dikendalikan oleh Laser Motor Sdn Bhd., pusat 2S ini pastinya menjadi tumpuan para pemilik kenderaan Toyota di kawasan sekitar Petaling Jaya, Puchong dan Kinrara.

    Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K. berkata, “Kami memuji inisiatif Laser Motor Group yang meningkatkan kemudahan mereka dalam rangkaian Toyota di Malaysia. Dengan lebih banyak cawangan di lokasi strategik, para pelanggan tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti.”

    Pusat 2S baharu ini juga dilengkapi dengan lounge pelanggan yang serba selesa di samping perkhidmatan wifi secara percuma, serta ruang permainan untuk kanak-kanak.

    Terletak di No.30E, Jalan PJS 1/46, PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, pusat 2S ini juga dilengkapi dengan 14 petak penyelenggaraan dan 13 juruteknik terlatih untuk menyelenggara kenderaan Toyota. Ia dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang (kecuali cuti umum).

     
     
  • JPJ akan buat pemeriksaan rawak di R&R ketika Raya

    JPJ akan buat pemeriksaan rawak di R&R ketika Raya

    Jaga-jaga ketika dalam perjalanan sepanjang musim perayaan nanti. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook maklumkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan tempatkan pasukan penguatkuasaan di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dan hentian sebelah sepanjang Ops Bersepadu sempena Aidilfitri nanti dan akan melakukan pemeriksaan secara rambang terhadap pengguna jalan raya.

    “Contohnya di Teminal Bersepadu Selatan (TBS), mereka akan memeriksa bas sebelum ia memulakan perjalanan. Ada tempat-tempat lain dan kita tahu menjadi hotspot, tetapi kita tak boleh dedahkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2019 semalam, lapor Bernama.

    Ops bersepadu itu yang bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ bermula hari ini sehingga 12 Jun. Loke berkata bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini pada musim perayaan, pengguna jalan raya khususnya yang tidak memandu dan menunggang boleh melaporkan kesalahan yang dilakukan individu kepada JPJ.

    JPJ akan buat pemeriksaan rawak di R&R ketika Raya

    Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata kempen serupa yang dijalankan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini menyaksikan angka kemalangan berkurangan daripada 21,041 pada tahun lepas kepada 20,829 kemalangan pada tahun ini.

    “Untuk tempoh yang sama, sebanyak 197 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 208 kematian pada tahun 2018 iaitu penurunan sebanyak 11 kes kematian dan saya berpandangan angka kematian itu masih tinggi dan saya berharap semua pihak berusaha mengurangkan angka ini.

    “Berdasarkan statistik lepas, kebanyakkan kemalangan jalan raya berlaku di jalan Persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar. Oleh itu saya mengharapkan PDRM dan JPJ memberi tumpuan kepada operasi mereka di jalan-jalan ini,” katanya.

    Loke berkata penguatkuasaan juga perlu dibuat dengan lebih banyak terhadap penunggang motosikal yang menyumbang sebanyak 63 peratus kemalangan maut. Selain itu, katanya hampir 35 peratus penunggang motosikal maut akibat tidak menggunakan topi keledar dan ia perlu diberi perhatian yang serius.

     
     
  • Pemilik BMW warga Singapura yang dikesan guna nombor plat Hyundai Elantra kini sedang disiasat

    Pemilik BMW warga Singapura yang dikesan guna nombor plat Hyundai Elantra kini sedang disiasat

    Minggu lalu, tular gambar seorang pemilik BMW warga Singapura menukar nombor pendaftaran keretanya dengan nombor pendaftaran palsu yang juga dari negara berkenaan. Menurut laporan portal berita republik tersebut, The Straits Times, pemandu berkenaan kini sah sedang disiasat oleh Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

    Nombor pendaftaran asal BMW 3 Series E90 berkenaan adalah SLX27E, tetapi pemiliknya menggunakan nombor SKD2777C milik sebuah Hyundai Elantra berwarna emas selepas tiba di Malaysia. Sejam selepas dikesan menukar nombor pendaftran berkenaan di Petron Gelang Patah pada pagi 18 Mei, kereta tersebut dikesan telah memandu melebihi had laju menerusi kamera perangkap had laju di lebuh raya.

    Netizen turut memeriksa rekod saman untuk nombor pendafaran SLX27E menggunakan laman MyEG setelah foto berkenaan tular, dan mendapati dua saman telah dikenakan – satu pada Julai tahun lalu, dan satu lagi pada 18 Mei 2019. Walau bagaimanapun rekod saman berkenaan didapati sudah lagi tiada pada 20 Mei 2019.

    Kereta berkenaan dilihat kembali semula ke Singapura pada hari yang sama dengan menggunakan nombor pendaftaran asalnya – kesemua gambar yang dipaparkan ini adalah dari laman Facebook SG Road Vigilante.

    Laporan dari The Straits Times turut memetik kenyataan saksi kejadian tersebut. “Ada banyak kereta dari Singapura di stesen minyak berkenaan pagi itu. Dan pemandu ini menukar nombor pendaftarannya secara terlalu terbuka. Kebanyakkan dari kami terkejut dengan apa yang kami lihat. Pemandu (BMW) berkenaan sangat sombong dan memberikan contoh yang sangat tidak baik terhadap rakyat Singapura. Apa akan jadi sekiranya dia terlibat dengan kemalangan di Malaysia dan seseorang cedera atau terbunuh? Syarikat insurannya boleh mempertikaikan tuntutan tersebut,” katanya.

    “Perkara ini telah tular. Jika sesuatu tidak dilakukan, masyarakat akan mula meniru apa yang pemandu BMW ini buat dan menukar nombor pendaftaran kenderaan mereka ketika memandu di Malaysia,” kata saksi itu lagi.

    Pemilik BMW warga Singapura yang dikesan guna nombor plat Hyundai Elantra kini sedang disiasat

    Portal berita berkenaan turut berhubung dengan penolong ketua polis Johor Mohd Kamaruddin Md Din, di mana beliau menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengetahui akan perkara tersebut. “Setakat ini, kami belum mempunyai kes sedemikian membabitkan pemandu dari Singapura. Jika perkara ini benar, kami mahu perkara tidak bertanggungjawab ini dihentikan. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

    Akta Pengangkutan Jalan Malaysia secara jelas menyebut sekiranya ada kenderaan yang dikesan menggunakan nombor pendaftaran yang bukan miliknya, pesalah akan dikenakan saman sehingga RM5,000 dan penjara sehingga setahun. Kenderaan tersebut turut akan disita. Perkara yang sama turut menjadi kesalahan jika dilakukan di Singapura dan pesalah boleh di saman sehingga S$5,000 dan/atau penjara sehingga setahun.

     
     
  • Shell, Toyota sedia pemeriksaan percuma musim Raya

    Shell, Toyota sedia pemeriksaan percuma musim Raya

    Jika anda masih belum sempat untuk hantar kenderaan untuk servis sempena cuti Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan, mungkin kempen pemeriksaan percuma yang dilakukan oleh Toyota dan Shell ini mungkin pilihan terbaik anda. Lebih menarik, ia terbuka untuk semua jenama kenderaan.

    Jangan risau kalau kenderaan anda bukan dari jenama Toyota, sebab perkhidmatan ini diberikan tidak mengira jenama kenderaan yang digunakan. Setiap kenderaan yang dihantar akan diberikan pemeriksaan menyeluruh 36-poin secara percuma, dan hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja.

    Sebanyak 20 stesen-stesen Shell terpilih seluruh negara akan terlibat dengan kempen ini, bermula dari 23-25 Mei di Sarawak, 23-26 Mei di Sabah dan 30 Mei-2 Jun di Semenanjung. Bagi pemilik kenderaan Toyota yang menghantar kenderaan ke lokasi terlibat, anda akan menerima baucar potongan harga untuk alat ganti sebanyak 10%. Selain itu, 10 pelanggan terawal setiap hari turut akan meneruma baucar bahan api bernilai RM10 dari Shell.

    “Ini merupakan kerjasama pertama Toyota dengan Shell Malaysia bagi kempen keselamatan sebagai sumbangan kami untuk menjadikan jalanraya kita lebih selamat. Kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalanraya dan melalui kempen ini, kami ingin membantu memastikan kenderaan yang digunakan itu berada dalam keadaan baik untuk perjalanan balik kampung,” ujar Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K.

    “Kami telah memilih dengan teliti stesen-stesen Shell yang strategik untuk menjalankan pemeriksaan percuma ini. Ia dipilih tidak hanya berdasarkan kedudukan lokasi yang baik, tetapi turut disokong oleh rangkaian perkhidmatan lain yang turut disediakan di stesen-stesen berkenaan,” jelas Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain.

     
     
  • BMW Motorrad Concept R18 – petunjuk awal cruiser, enjin boxer 1,800 cc baru yang akan didedah 2020

    BMW Motorrad Concept R18 – petunjuk awal cruiser, enjin boxer 1,800 cc baru yang akan didedah 2020

    BMW Motorrad sekarang mempunyai satu enjin boxer 1,800 cc prototaip baru dan sebelum menunjukkannya kepada umum, mereka telah mengadakan satu projek khas membina motosikal kustom yang menggunakan enjin tersebut. Setakat ini sudah ada dua syarikat yang terlibat iaitu Revival Cycles dari Amerika Syarikat dan Custom Works Zon dari Jepun.

    Sekarang, tiba pula masa untuk BMW sendiri menunjukkan motosikal konsep mereka yang menggunakan enjin “BMW Motorrad Big Boxer” ini, dipanggil sebagai Concept 18. Selain daripada bentuk motosikal itu sendiri, anda juga boleh melihat enjin boxer baru ini mempunyai push rod di atas silinder yang disalut dengan krom.

    Spesifikasi teknikal enjin ini masih belum didedahkan. Walaupun ia kelihatan seperti enjin model tahun 60-an BMW dulu, BMW menyatakan ia mempunyai kapasiti yang lebih besar dan sistem penyejukan udara/minyak yang moden. Motosikal pasaran awam pertama yang menggunakan enjin khas untuk cruiser ini akan ditunjukkan pada tahun 2020.

    “Melalui motosikal impian ini, BMW Motorrad mempersembahkan penawaran tulen dan penuh emosi versi kami sendiri, untuk segmen cruiser besar,” kata ketua BMW Motorrad, Dr. Markus Schramm.

    Ketua bahagian rekaan BMW Motorrad Design pula berkata,”Concept R18 menunjukkan pada saya apa maksud sebenar bermotosikal. Semuanya berkenaan rasa dan bukannya fikiran. Motosikal konsep ini menghasilkan tarikan yang mendalam – anda cuma mahu naik dan terus menunggangnya. Apabila selesai menunggang, anda tidak sekadar meletakkannya di garaj dan beredar. Sebaliknya, anda akan toleh semula sekali lagi untuk memberi pandangan terakhir.”

    Antara bahagian yang menjelaskan motosikal konsep ini sebuah BMW, selain enjin boxer itu adalah termasuk kerangka jenis cradle, universal shaft yang terbuka dan tangki bahan api menurun yang berwarna hitam, berserta jalur kontras, seperti model BMW Motorrad klasik. Kedudukan motosikal ini disokong rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

     
     
  • Masih ramai pemandu e-hailing belum ambil lesen PSV

    Masih ramai pemandu e-hailing belum ambil lesen PSV

    Kementerian Pengangkutan mengesahkan, pengambilan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) di kalangan pemandu perkhidmatan e-hailing masih kurang menggalakkan biar pun kerajaan memberikan kelonggaran masa untuk berbuat demikian.

    Menurut Timbalan Menteri Datuk Kamaruddin Jaafar, kerajaan mengalakkan pemandu e-hailing mendapatkan lesen PSV sebelum tarikh penguatkuasaannya 12 Julai ini.

    “Kita mengalakkan supaya mereka yang terlibat menjadi pemandu e-hailing ini segera melalui proses perolehan lesen PSV. Masih belum ramai lagi (yang belum berbuat demikian). Jadi kita cuba mengalakkan malah memberi kemudahan kepada mereka melalui proses ini,” katanya kepada Bernama bagi mengulas mengenai sambutan pemandu perkhidmatan e-hailing, terhadap langkah yang diambil kementerian itu yang bersedia memberi kelonggaran masa kepada mereka untuk menghabiskan kursus enam jam bagi mendapatkan lesen PSV.

    Antara perkara yang dipermudahkan ialah membolehkan pemandu e-hailing menjalani kursus dalam talian dan tidak perlu ke kelas, diberi masa anjal menghabiskan kursus selama enam jam secara berperingkat serta satu jam peperiksaan ujian berkomputer.

    Kamaruddin turut berkata susulan langkah berkenaan tiada alasan untuk mereka tidak mengambil lesen PSV. Tambahnya lagi, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu e-hailing yang didapati tidak memiliki lesen PSV selepas ia dikuatkuasakan.

    “Kementerian telah membuat keputusan bahawa hanya pemegang lesen PSV sahaja boleh menjadi pemandu e-hailing. Sekiranya mereka tidak mempunyai lesen secara tidak langsung, mereka telah melanggar peraturan menjadi pemandu. Semua ini tertakluk dalam undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada mereka adalah pemandu teksi dan pemandu e-hailing tidak mempunyai lesen, maka kesalahan dan hukuman tetap sama,” katanya.

     
     
  • Proton Exora 2019 dilancar esok, video teaser disiar – tampil unit infotaimen “Hi Proton” dan ciri-ciri lain

    Proton telah mengumumkan bahawa MPV tujuh-tempat duduk yang dikemaskini, Proton Exora 2019 bakal dilancarkan esok. Pengumuman tersebut disertakan dengan satu video teaser ringkas, menampilkan ciri-ciri baharu yang akan diterapkan pada model berkenaan.

    Menerusi video tersebut, Exora nampaknya menerima ciri-ciri hampir sama seperti model segmen-b sedan Persona facelift dan hatchback Iriz facelift. Pertama sekali, tentunya unit infotaimen Exora ini ditukar kepada pemain utama binaan ECARX menampilkan skrin sesentuh dengan fungsi arahan suara “Hi Proton!”.

    Rekaan upholsteri dalaman nampak seakan sama seperti model sedia ada, tetapi materialnya mungkin diubah menggunakan bahan yang sama seperti pada Persona dan Iriz. Proton juga menukar panel instrumen baharu untuk Exora ini, menampilkan rekaan meter lebih premium, bersama skrin TFT berwarna pada bahagian tengah.

    Pada bahagian luaran, Exora ini kelihatan seakan sama dengan model sedia ada. Tiada gril infinite weave diberikan seperti model-model terkini Proton, namun ia kini turut tampil dengan warna baharu Rosewood Maroon seperti Persona 2019.

    Selain dari perubahan-perubahan yang ditampilkan ini, Proton mungkin telah meningkatkan tahap NVH kabin Exora berkenaan bagi menjadikan ia lebih senyap dan selasa, serta menala semula enjin dan juga kotak gear transmisi CVT sedia ada bagi membolehkan ia memberikan respon yang lebih baik.

    Perincian lebih jelas termasuk harga, varian dan sebagainya akan kami laporkan kepada anda ketika hari pelancarannya esok. Jadi jangan lupa teruskan bersama kami.

     
     
  • Oliver Solberg tewaskan juara Rali Eropah 2018 dalam penampilan sulung ERC di Rali Liepàja 2019, Latvia

    Oliver Solberg tewaskan juara Rali Eropah 2018 dalam penampilan sulung ERC di Rali Liepàja 2019, Latvia

    Anak kepada Juara Rali Dunia (WRC) 2003 Petter Solberg dari Norway – Oliver Solberg – yang kini baru berusia 17 tahun melakukan kejutan ketika penampilan sulungnya di Kejohanan Rali Eropah (ERC), dalam Rali Liepàja 2019 di Latvia hujung minggu lalu dengan menewaskan juara ERC 2018, Aleksey Lukyanuk.

    Dalam pusingan ketiga dari lapan pusingan ERC 2019 tersebut, Oliver yang dibantu juruarah British, Aaron Johnston berjaya memenangi 10 SS dari keseluruhan 13 SS dengan memandu Volkswagen Polo GTI R5. Lukyanuk dari Rusia yang memandu Citroën C3 R5 untuk pasukan Saintéloc Junior Team hanya mencatatkan masa terpantas di SS9 dan SS12, tertinggal 22.7 saat di tempat kedua secara keseluruhan.

    “Saya menggeletar, ia tak boleh dipercayai. Dia (Lukyanuk) sentiasa saya anggap sebagai hero. Saya tonton semua video on-board beliau, menjadi mimpi yang sangat besar untuk mengalahkannya. Saya hampir menangis – Saya tak tau apa nak dikata,” kata Oliver ketika mendahului Lukyanuk pada lima SS terawal.

    “Ini adalah hari terbesar dalam hidup saya. Saya tak pernah memandu sebaik yang saya lakukan sekarang. Saya tak tahu apa nak cakap. Sukar untuk dipercayai, saya sendiri tak faham.

    “Ia merupakan rali yang sempurna. Pada peringkat kedua saya terlalu berhati-hati, saya memandu terlalu kaku. Kemudian saya rasa saya perlu melakukan apa yang telah saya lakukan sepanjang minggu dan terus memandu dengan kelajuan penuh, dan saya menang peringkat terakhir. Saya sangat gembira,” katanya pula setelah sah dinobatkan sebagai juara.

    Dalam Rali Liepàja ini, jentera Polo GTI R5 yang dipandu Oliver berkenaan perlu ditampal pelekat ‘M’ pada cermin belakang, iaitu pelekat yang sama maksudnya dengan pelekat ‘P’ di Malaysia menandakan pemandu tersebut belum mendapat lesen memandu penuh (kereta rali perlu bergerak dari SS ke SS dan ke service park melalui jalan awam, memerlukan semua kereta rali mempunyai cukai jalan dan nombor pendaftaran dan pemandu perlu memiliki lesen memandu awam).

    Oliver Solberg tewaskan juara Rali Eropah 2018 dalam penampilan sulung ERC di Rali Liepàja 2019, Latvia

    Oliver juga tidak menggunakan bendera Norway, tetapi digantikan dengan bendera Latvia di sebelah namanya kerana memegang lesen memandu awam negara berkenaan.

    Selain dari bertanding dalam ERC, Oliver turut bertanding sepanjang musim 2019 dalam kejuaraan American Rally Association (ARA), untuk pasukan Subaru Rally Team USA. Apa yang lebih mengharukan, Subaru WRX dipandu Oliver turut mengenakan livery perlumbaan klasik Subaru – Sonic Blue dan logo Subaru berwarna kuning – sama seperti Subaru Impreza WRCar 2003 yang dipandu ayahnya ketika dinobatkan sebagai juara dunia 16 tahun dahulu.

     
     
  • Yamaha Avenue 125 dilancar di China – enjin 125 cc

    Yamaha Avenue 125 dilancar di China – enjin 125 cc

    Yamaha telah melancarkan model skuter baru di China, dipanggil sebagai Avenue 125. Melihat di dalam gambar, skuter ini mempunyai bahagian hadapan seperti Lexi, yang sudah pun berada di beberapa pasaran Asia namun ia lebih panel tepinya lebih lebar dan penghadang angin lebih tinggi.

    Enjin yang digunakan untuk menggerakkan Avenue 125 adalah unit satu silinder 125 cc SOHC suntikan bahan api yang sama seperti Freego dan Avantiz, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 8.3 PS pada 6,500 rpm dan 9.7 Nm tork pada 5,000 rpm. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 99 kg.

    Melihat kepada spesifikasi, skuter terbaru Yamaha ini menggunakan rim 12 inci, fork teleskopik, lampu jenis LED, brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, soket pengecas USB, ruang simpanan untuk dua helmet di bawah tempat duduk serta meter digital yang kelihatan sama seperti NVX 155. Tangki bahan api berkapasiti 5.1 liter.

    Melalui model ini, kita boleh mengetahui pasaran China mempunyai cita rasa tersendiri dan Avenue 125 ini ditawarkan dalam variasi tujuh warna. Harga pula bermula dari 11,200 yuan (RM6,802) hinggalah 11,900 yuan (RM7,228).

     
     
  • PLUS tak galak motosikal guna lorong kecemasan ketika musim cuti hari raya ini bagi kurangkan risiko

    PLUS tak galak motosikal guna lorong kecemasan ketika musim cuti hari raya ini bagi kurangkan risiko

    Ketika mengumumkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Lebuhraya Utara Selatan untuk musim cuti perayaan Aidilfitri 2019 tempoh hari, Plus Malaysia Berhad (PLUS) turut menasihatkan pengguna lebuh raya terutama penunggang motosikal supaya tidak menggunakan lorong kecemasan semasa pulang ke kampung.

    Menurut CEO syarikat tersebut, Zakaria Ahmad Zabidi, ini adalah untuk mengurangkan risiko kemalangan maut kerana terdapat banyak halangan seperti kenderaan rosak diletakkan pada lorong berkenaan, dan statistik tahun lalu menunjukkan majoriti kemalangan maut melibatkan motosikal berlaku di lorong kecemasan.

    “Laluan itu amat berbahaya kepada penunggang motosikal kerana terdapat banyak kenderaan rosak dan lori yang diletakkan di lorong kecemasan itu. Berdasarkan statistik Ops Selamat 2018, lebih 60% kemalangan maut dan kes kematian di lebuh raya melibatkan motosikal. Daripada jumlah itu, 77% kemalangan melibatkan motosikal di lorong kecemasan,” jelasnya.

    Zakaria turut menasihati penunggang motosikal memakai pakaian cerah dan pantul cahaya serta membuat perjalanan pada waktu siang supaya mudah dilihat oleh pengguna lebuh raya lain.

     
     
  • Lorong kiri Lebuhraya Persekutuan tutup hingga 9 Jun

    Lorong kiri Lebuhraya Persekutuan tutup hingga 9 Jun

    Untuk pengguna Lebuhraya Persekutuan, ini ada makluman penting. Lebuh Raya DUKE Fasa 3 Sdn Bhd (LDF3) telah mengumumkan lorong kiri di lebuhraya terbabit iaitu dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya ditutup sementara sehingga 9 Jun ini. Penutupan dari jam 10 malam hingga 6 pagi itu adalah untuk kerja pelancaran dan pemasangan rasuk sementara bagi projek Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE).

    Menurut syarikat terbabit, pasukan tindakan kecemasan (ERT) daripada SPE akan ditempatkan bagi memantau keadaan dan memudahkan aliran trafik jika wujud masalah di kawasan terbabit.

    Justeru, semua pengguna jalan raya dinasihati supaya berhati-hati memandu di kawasan pembinaan dan mematuhi arahan pegawai trafik serta papan tanda lalu lintas di lokasi berkenaan.

    Orang ramai boleh merujuk lawan sesawang rasmi DUKE dan Facebook Setiawangsa Pantai Expressway – DUKE 3, atau hubungi Hotline DUKE melalui talian 03-62513100 untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Rakam gambar kenderaan yang melakukan kesalahan trafik dan salurkan kepada JPJ untuk tindakan

    Klik untuk besarkan

    Orang ramai kini digalakkan merakamkan gambar kenderaan yang melakukan kesalahan trafik dan menyalurkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan selanjutnya.

    Menurut JPJ, antara contoh kesalahan trafik tersebut ialah memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, memotong garisan, melanggar lampu isyarat merah dan sebagainya.

    Gambar yang dirakamkan itu mestilah bersertakan dengan butiran kesalahan sebagai bukti termasuk laporan ringkas aduan, tarikh/masa, tempat kejadian, jenis kenderaan, nombor pendaftaran kenderaan, salinan foto, video atau dokumen berkaitan. Segala maklumat terbabit boleh dihantar menerusi Whatsapp ke talian 013-4498997. Malah nama penuh penuh, alamat surat-menyurat, nombor kad pengenalan dan nombor telefon pengadu juga perlu disertakan bagi setiap jenis aduan yang disalurkan. Pengadu diingatkan supaya bertanggungjawab atas setiap aduan yang disalurkan.

    Menerusi bukti dan laporan yang dikirimkan, pihak JPJ akan mengeluarkan Notis 114 iaitu notis temu siasat kepada pemilik kenderaan untuk memberi keterangan lanjut berhubung dengan kesalahan yang dilakukan. Sekiranya didapati bersalah, Notis P22 iaitu notis saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terbabit.

    Apa pun perlu diingatkan, orang awam yang membuat aduan ini bukanlah juga yang turut melakukan kesalahan. Yelah, anda sedang memandu, sekali ternampak pulak orang lain melakukan kesalahan trafik seperti yang dinyatakan. Cepat pulak anda capai telefon bimbit dan merakamkan aksi pemandu tersebut, sedangkan anda sendiri sedang memandu. Jadi apa bezanya anda dengan pemandu yang melakukan kesalahan trafik? Dua kali lima, bro. Pastikan ketika itu, anda tidak memandu, sekadar penumpang atau pun menyaksikannya di tepi jalan. Hah! Itu macam baru boleh rakam gambar dan hantar saja kepada JPJ. Jadilah orang awam yang bijak ya!