Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Ferrari telah mendedahkan supercar terbaru mereka yang dinamakan sebagai SF90 Stradale. Istimewanya, ini adalah model plug-in hybrid produksi pertama dari pengeluar Itali tersebut dan ia menggunakan gabungan enjin V8 turbo serta dua motor elektrik – dua pada gandar hadapan dan satu lagi di belakang.

    Enjin pembakaran dalaman itu sendiri masih adalah unit F154 sama seperti yang digunakan pada Pista dan F8 Tributo, tetapi telah dinaik taraf pada banyak bahagian dan kapasitinya meningkat 88 cc lagi menjadi 3,990 cc. Hasilnya, ia mampu mengeluarkan 780 PS dan 800 Nm tork pada 6,00 rpm.

    Tiga motor elektrik itu pula mampu memberikan tambahan kuasa 220 PS (162 kW), dan ia datang daripada pek bateri 7.9 kWh yang terletak di belakang tempat duduk. Melalui sistem hibrid ini, pemandu boleh menggunakan kuasa elektrik sahaja untuk menggerakkan kenderaan (pacuan roda hadapan sahaja) dan ia boleh pergi sehingga 25 km dan kelajuan maksimum 135 km/j.

    Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Waktu mengecas kenderaan ini masih belum didedah secara terperinci tetapi pengarah teknikal Ferrari, Michael Leiters ada memberitahu apabila menggunakan soket kuasa, bateri tersebut boleh penuh dalam masa tiga jam. Sistem hibrid ini juga menambah berat 270 kg pada kereta, tetapi hasil daripada penggunaan bahan serba ringan, berat kenderaan masih dapat dijadikan rendah, iaitu cuma 1,570 kg.

    Kotak gear juga adalah baru, yang merupakan unit klac berkembar lapan kelajuan. Selain nisbah gear serta maklum balas lebih pantas, ia juga menggunakan set klac yang lebih kompak dan 10 kg lebih ringan (tiga kilogram daripadanya adalah disebabkan tiada lagi gear undur, dengan tugas itu diambil oleh motor elektrik).

    Ada empat mod pemanduan pada kereta ini iaitu eDrive untuk elektrik penuh, Hybrid untuk mod standard yang akan memilih tetapan mengikut kesesuaian keadaan, Performance yang memberi lebih keutamaan untuk mengecas bateri berbanding penggunaan bahan api dan Qualify untuk prestasi yang paling tinggi.

    Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Banyak lagi inovasi serta perkara baru bagi Ferrari pada kereta ini. Antaranya adalah pacuan empat roda, yang dikatakan perlu baginya. Ia boleh mencatat masa 2.5 saat untuk pecutan 0-100 km/j, 6.7 saat untuk 0-200 km/j dan kelajuan maksimum 340 km/j. Ini adalah lebih laju daripada LaFerrari.

    Pada bahagian elektronik, kereta ini mempunyai sistem Electronic Side Slip Control (eSSC), torque vectoring, Electric Traction Control (eTC) dan rotation axis control – electric (RAC-e), semuanya untuk membantu dinamik kenderaan dan mendapatkan cengkaman yang lebih baik.

    Brek juga adalah baru di mana ia menggabungkan sistem elektrik dan hidraulik. Dalam keadaan brek biasa, elektrik digunakan untuk menyokong sistem penjanaan semula kuasa dan apabila membrek kuat, sistem hidraulik akan membantu untuk memberikan lebih kuasa henti.

    SF90 menggunakan rekaan baru, yang seperti kebiasaan bagi Ferrari, mendapat banyak inspirasi daripada kereta lumba F1 termasuk bahagian-bahagian aerodinamik aktif yang boleh berubah bergantung kepada keadaan kereta dan kelajuan demi membantu cengkaman.

    Sama juga dengan bahagian dalam. Keseluruhannya adalah baru, dengan yang menjadi perhatian adalah panel instrumen digital definisi tinggi 16 inci (pertama dalam dunia), stereng yang penuh dengan pelbagai butang kawalan serta tombol gear yang mengambil inspirasi daripada model lama Ferrari.

    Selain daripada model standard, SF90 juga akan ditawarkan dengan versi yang lebih sporty dipanggil sebagai Assetto Fiorano. Antara peningkatan pada model ini adalah termasuk penyerap hentak Multimatic (dibangunkan daripada dunia lumba GT), berat kurang 30 kg, spring dan ekzos titanium, daya tolak ke bawah (downforce) 390 kg pada 250 km/j dan tayar Michelin Pilot Sport Cup2. Dalam keadaan standard SF90 datang dengan rim 20 inci (tayar 255/35 di depan dan 315/30 di belakang).

    Harga SF90 ini masih belum didedahkan tetapi ia akan berada lebih mahal berbanding Superfast, tetapi masih di bawah LaFerrari generasi seterusnya. Walaubagaimanapun, kami rasa itu tidak akan mengganggu bakal pembeli model seperti ini.

     
     
  • Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Proton Exora 2019 pun akhirnya selamat diperkenalkan minggu ini dengan dua varian ditawarkan. Sebagai sebuah MPV untuk keluarga, ia memang kena dengan semangat musim perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tak lama lagi. Sesuai sangat – walaupun mungkin sedikit lewat bagi pelanggan yang nak jadikan Exora sebagai kereta Raya – bagi perjalanan balik kampung sekeluarga.

    Tambah menarik, harga yang diperkenalkan juga sebenarnya lebih rendah berbanding sebelum ini; secara ringkasnya, bagi varian paling asas Executive (RM59,800), harganya kurang sekitar RM2,000 manakala bagi varian paling tinggi Premium (RM66,800) pula kurang sekitar RM2,500.

    Ini belum lagi mengambil kira nilai tambah dan pakej istimewa yang diberikan sebagai tambahan kepada penawaran Exora versi yang dikemaskini berkenaan. Antara yang dimaksudkan ialah pertambahan ciri seperti unit multimedia “Hi! Proton”, pakej servis kos buruh percuma selama lima tahun, pakej internet dalam kenderaan percuma 1GB sebulan selama lima tahun, cukai jalan percuma (bagi 1,000 pelanggan terawal) dan banyak lagi.

    Ini memang menjadikan penawaran Exora 2019 begitu menarik dan berbaloi, terutamanya jika ingin dibandingkan dengan dua pesaing terdekatnya, apa lagi kalau bukan Perodua Alza dan Toyota Avanza. Proton sendiri tidak menggelarkan versi terbaru ini sebagai facelift; kerana cukup jelas, rupa bentuk luarannya tak ada apa yang berubah sangat. Maka sesuailah untuk kita panggil Exora 2019 ini sebagai versi yang diberi kemaskini dari beberapa aspek.

    Dan, Exora ini bukanlah model baru. Ia telah diperkenalkan sejak 2009 lagi, menjadikan usianya tahun ini mencecah angka 10 tahun. Sebab itu perbandingan dengan dua model pesaing yang disebutkan ini sangat adil; Alza sendiri berusia kurang lebih sama dengan Exora, manakala Avanza pula lebih lama daripada itu. Semuanya telah menerima berkali-kali facelift atau peningkatan penawaran.

    Sejak pengenalan versi facelift yang dilakukan pada 2017 dahulu, ada dua perkara yang tidak ditawarkan lagi pada Exora ini yang mungkin pelanggan terlepas pandang. Bagi varian Premium misalnya, sejak itu hanya tinggal dua beg udara SRS untuk penumpang hadapan yang ditawarkan. Sebelum itu, Exora pernah hadir dengan empat beg udara – termasuk dua di sisi penumpang depan. Tetapi, dalam versi 2019 ini, ia meneruskan penawaran berkenaan dari 2017 dan kedua-dua varian hanya tinggal dua beg udara sahaja.

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Perkara kedua yang sama diteruskan sejak 2017 dulu; masih tiada ciri kawalan kestabilan (ESC) bagi varian Executive. Ini agak aneh, kerana lebih baik jika ia ditawarkan kini sebagai sebuah peningkatan terhadap penawaran Exora Executive, lebih-lebih bagi sebuah syarikat yang terkenal mempromosi betapa selamatnya kenderaan keluaran mereka untuk digunakan di jalanraya dengan segala macam teknologi yang ada.

    Selari dengan matlamat untuk menjadikan jalanraya Malaysia lebih selamat, ESC sepatutnya sudah menjadi satu penawaran yang standard bagi semua kenderaan, bukan menjadi satu ciri pilihan dalam situasi apa pun. Bayangkan, model-model seperti Proton Iriz dan Persona yang lebih murah daripada Exora Executive ini pun ada dilengkapi dengan ESC, inikan pula bagi sebuah MPV yang terang-terangan akan digunakan untuk seisi keluarga.

    Untuk berlaku adil perlu juga dinytakan di sini, bahawa model pesaing seperti Alza dan Avanza juga sebenarnya tidak dilengkapi ciri ESC ini, serta hadir dengan jumlah dua beg udara juga. Kami cuma merasakan adalah lebih baik sekiranya Proton menjadi pelopor untuk mengubah trend ini dan meletakkan keselamatan penggunanya satu langkah di hadapan melalui penawaran yang dipertingkatkan.

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Jawapan oleh wakil Proton ketika sesi pandu uji ringkas yang diadakan pada hari pelancarannya juga tidak menjelaskan dengan memuaskan perkara ini. Pertama, alasannya ialah untuk menurunkan kos. Ini, kami faham. Tetapi mengapa melibatkan ciri keselamatan yang paling asas dan bukannya ciri keselesaan lainnya yang tidak menjejaskan penawaran keselamatan untuk mencapai tujuan itu?

    Kedua, katanya dengan Exora 2019 ini, ciri seperti voice command pada sistem “Hi! Proton” telah diperkenalkan (bagi mengelakkan pemandu daripada menggunakan telefon bimbit) serta pertambahan ciri Auto Cruise juga menyumbang untuk menjadikan pemanduan Exora Executive ini lebih selamat. Walaupun ini tidak sepenuhnya salah, bagaimana ciri keselamatan pasif seperti ini (jika boleh dianggap begitu) difikirkan dapat menggantikan ciri keselamatan aktif seperti ESC dan beg udara?

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Kami fikir, dalam konteks ini, Proton boleh saja mengambil langkah proaktif untuk tetap menawarkan ciri ESC bagi semua variannya, atas faktor keselamatan yang lebih penting terhadap pengguna. Untuk itu, sekiranya anda benar-benar ingin membeli Proton Exora 2019 ini, kami cadangkan terus pilih yang Premium dan abaikan varian Executive. Perbezaan harga juga tidak banyak, sekitar RM7,000, tetapi anda akan lebih tenang dan tahu bahawa dalam situasi tak menentu, ESC mampu membantu menjamin keselamatan semua penumpang.

    Kekurangan dari sudut penawaran ciri keselamatan pada Exora 2019 boleh dipertingkatkan lagi, tentunya. Kerana, nilai dan penawaran keseluruhannya berada pada tingkat yang sangat baik. Berbanding dengan pesaing yang ada, Exora menyediakan ruang yang paling luas, begitu juga dengan aspek pemanduan yang lebih meyakinkan dan selesa sampai ke penumpang di barisan ketiga. Sayang sekali aspek keselamatan pada varian Executive yang dipilih untuk dikorbankan. Apa pula fikiran anda tentang hal ini? Harapnya Proton buat sesuatu terhadap penawaran Exora 2019 ini untuk kepentingan pelanggannya.

    Proton Exora 2019 Executive

    Proton Exora 2019 Premium

     
     
  • BMW F40 1 Series dengan kit M Performance

    BMW F40 1 Series dengan kit M Performance

    Serentak dengan pengenalan model generasi baharu BMW 1 Series F40, jenama premium dari Jerman tersebut turut memperkenalkan komponen-komponen M Performance bagi meningkatkan imej sporty hatchback berkenaan.

    Untuk bahagian luaran, kit ini terdiri dari splitter udara dan juga sirip aero pada bampar hadapan, serta gril kidney kemasan hitam dengan elemen mesh sama seperti pada varian tertinggi M135i xDrive.

    Pada bahagian belakang, pembeli boleh memilih spoiler bumbung dengan saiz yang lebih besar. Komponen-komponen gentian karbon juga ditawarkan terdiri dari diffuser belakang dan juga penutup cermin sisi pandang belakang. Selain itu, kemasan pada bendul pintu dan juga lampu puddle LED juga boleh dipilih dalam kit ini.

    Bukan sekadar rupa, tingkat taraf untuk prestasi pemanduan juga turut ditawarkan. Pembeli boleh memilih sistem brek M Performance yang lebih besar, terdiri dari cakera hadapan bersaiz 18-inci dengan angkup empat omboh yang diperbuat dari bahan aluminium, dan cakera belakang yang lebih ringan dengan omboh tunggal.

    BMW F40 1 Series dengan kit M Performance

    Tiga set rim boleh digayakan dengan kit ini iaitu rim 18-inci M Performance forged 554M dengan jejari-Y kemasan Jet Black matte, rim 18-inci aloi ringan 711M jejari-Y kemasan Ferric Grey, serta set paling besar M Performance 19-inci aloi ringan 555M jejari berkembar.

    Bahagian dalaman juga boleh ditingkat taraf dengan pilihan roda stereng M Performance yang dibaluti Alcantra dengan pilihan kemasan gentian karbon/Alcantara dan gentian karbon/kulit – kedua-duanya hadir dengan penanda tengah berwarna merah.

    Selain itu, M Performance turut menawarkan pedal penukar gear gentian-karbon, dan juga karpet-karpet lantai velvet velour dengan warna M bagi melengkapkan bahagian kabin.

    BMW 1 Series F40 ini merupakan model pacuan roda hadapan, berbeza dari model sebelumnya yang hadir dengan platform pacuan belakang. Dua enjin diesel dan dua enjin petrol ditawarkan untuk model generasi baharu ini.

    Model paling rendah untuk diesel adalah 116d yang dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbodiesel berkuasa 116 PS (114 hp) dan tork maksima 270 Nm. Ia ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau klac berkembar Steptronic automatik tujuh-kelajuan.

    Versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter pula datang dengan dua talaan iaitu 118d berkuasa 150 PS (147 hp) dan tork maksima 350 Nm, manakala 120d xDrive pula menjana 190 PS (188 hp) dan tork maksima 400 Nm. Versi 118d tampil dengan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai ciri standard, bersama opsyen transmisi automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic. 120d pula hanya diberikan pilihan kotak gear automatik.

    Bagi versi petrol, model paling rendah 118i dijana enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 140 PS (138 hp) dan tork maksima 220 Nm. Pilihan kotak gear untuk model ini adalah sama seperti 116d.

    Model tertinggi pula adalah M135i xDrive, dikuasakan enjin yang sama pada BMW X2 F39 M35i iaitu enjin produksi empat-silinder BMW paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini, unit 2.0 liter turbo menjana 306 PS (302 hp) dan tork maksima 450 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport dengan sistem pacuan semua roda BMW xDrive.

     
     
  • BMW X2 M35i di Malaysia – lancar bulan Julai, RM400k

    BMW X2 M35i di Malaysia – lancar bulan Julai, RM400k

    Selain X4 G02 yang dilancar dan X5 G05 yang dipertonton semalam, BMW Malaysia turut menunjukkan satu lagi model dari siri X yang bakal dilancarkan Julai nanti dengan harga anggaran RM400,000 iaitu X2 M35i. Ini adalah varian paling tinggi bagi model baru X2 F39.

    Model M Performance ini dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 2.0 liter yang mampu menghasilkan 306 hp dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Ia adalah model M Performance pertama yang menggunakan enjin empat silinder dan juga enjin empat silinder paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

    Enjin yang mempunyai sistem penyejukan yang direka semula untuk bertahan dengan prestasi ini dipadankan bersama sistem pacuan AWD xDrive serta transmisi automatik lapan kelajuan bersama fungsi launch control. Kotak gear jenis torque converter ini turut menerima talaan khas M Performance.

    BMW X2 M35i di Malaysia – lancar bulan Julai, RM400k

    Walaupun kuasanya sedikit kurang berbanding Mercedes-AMG GLA 45, ia masih menunjukkan peningkatan yang banyak berbanding X2 yang dilancarkan pada bulan Mac 2018 yang lalu. Enjin pada model sDrive20i M Sport B48 itu cuma mampu menghasilkan 192 hp dan 280 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat. Harga model CBU ini adalah RM320,000.

    Pergi ke bahagian casis, X2 M35i dipasang dengan suspensi adaptif M Sport yang mempunyai dua mod, manakala pada gandar hadapan terdapat differential mekanikal M Sport untuk memastikan cengkaman yang baik. Peningkatan lain adalah termasuk talaan stereng serta brek yang lebih besar iaitu cakera 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang dengan angkup M berwarna biru.

    X2 M35i yang dipertonton di Malaysia ini menggunakan rim 20 inci Style 721M yang diwarnakan Cerium Grey dan dibalut dengan tayar runflat Pirelli P-Zero bersaiz 225/40. Bahagian luar adalah menggunakan pakej M Sport, tetapi ditambah dengan beberapa kemasan lain.

    Bukaan udara hadapan menyumbang kepada penyejukan yang lebih baik, gril kidney serta cermin sisi juga diwarnakan Cerium Grey manakala di belakang terdapat dua muncung ekzos yang berdiameter 100 mm. Ia kemudiannya disambungkan dengan sistem ekzos M Performance dengan kawalan injap. Bahagian dalam juga menggunakan pakej M Sport tetapi tempat duduk M Sport disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Untuk sistem hiburan dan sambungan, X2 M35i datang dengan servis BMW ConnectedDrive yang termasuk Intelligent Emergency Call, Teleservices, Concierge Services dan Remote Services. Ia juga dipautkan kepada sistem Navigation Plus BMW melalui skrin sesentuh 8.8 inci dan head-up display. Bunyi pula datang daripada sistem Harman Kardon 360W dengan 12 pembesar suara.

     
     
  • BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    Setahun selepas diperkenalkan diperingkat global buat pertama kali dan pernah juga ditayangkan di Singapura, SUV premium BMW X5 G05 kini dipertontonkan pula di Malaysia. Dipersembahkan dalam varian BMW X5 xDrive40i M Sport, model ini akan dilancarkan secara rasmi pada Ogos nanti pada harga anggaran RM640,000.

    Bagi versi xDrive40i yang dijual untuk pasaran di sini, ia menggunakan enjin BMW TwinPower Turbo enam-silinder 3.0 liter yang menghasilkan kuasa sebanyak 340 hp dan 450 Nm tork antara 1,500 hingga 5,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j juga masih agak pantas, iaitu dalam masa 5.5 saat. Transmisi pula menggunakan unit automatik lapan kelajuan Steptronic. Penggunaan bahan api pula ialah pada kadar 9.2 l/100 km dengan pembebasan sisa karbon sebanyak 211g/km.

    Dari segi dimensi binaan, model generasi keempat G05 ini besar berbanding model generasi F15 dahulu. Panjangnya bertambah 36 mm menjadi 4,922 mm, lebar bertambah 66 mm menjadi 2,004 mm, tinggi naik 19 mm kepada 1,745 mm dan jarak roda semakin panjang 42 mm menjadi 2,975 mm. Ruang simpanan di belakang mempunyai kapasiti antara 650 liter hingga 1,870 liter.

    BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    Pada bahagian depan, memang jelas menampilkan kesinambungan sebuah X5. Tetapi dari belakang, kali ini menerapkan rekaan a la sebuah Audi ataupun SUV Korea. Gril hadapan yang besar pada kenderaan ini bercantum sedikit di bahagian tengah, dan lampu standard yang diberi adalah unit LED Adaptive. Selain itu, lampunya juga hadir dengan ciri BMW Selective Beam.

    Model M Sport menerima tambahan kemasan di bahagian lengkuk roda, bampar, pelindung bawah badan di belakang dan side skirt yang berwarna sama dengan badan. Versi yang lebih sporty juga menerima kemasan keliling tingkap dan rel bumbung warna hitam. Bagi pakej M Sport yang ditampilkan ini, ia menerima rim 20-inci. Tayar depan pula menggunakan saiz 275/45, sementara di belakang 305/40.

    Sistem AWD xDrive pada X5 ini juga menerima sistem kawalan yang lebih cekap, dengan agihan kuasa yang lebih kepada roda belakang. Differential Lock pada gandar belakang pula menjadikan ia lebih dinamik dengan kelincahan, cengkaman dan stabiliti yang lebih baik apabila memecut keluar daripada selekoh.

    BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    X5 G05 ini juga adalah model X BMW pertama yang didatangkan dengan pakej Off-Road. Dalam pakej ini terdapat suspensi udara dua gandar, pelindung bahagian bawah di depan, serta paparan yang lebih spesifik pada panel instrumen bersama kawalannya. Empat mod pemanduan disediakan dan ia akan mengubah ketinggian kenderaan serta tindak balas xDrive, DSC, transmisi dan pendikit.

    Bagi sistem casis dan gantungan pula, ia menggunakan jenis double-wishbone untuk bahagian hadapan, sementara di belakang menggunakan suspensi jenis multi-link. Model yang dipertontonkan ini juga dilengkapi dengan penyerap hentak Adaptive M Suspension.

    Papan pemuka yang lebih ringkas dan moden pula menampilkan buat kali pertamanya konsep paparan dan kawalan BMW Live Cockpit Professional (secara standard) yang dikuasakan oleh BMW Operating System 7.0. Sistem iDrive yang digunakan disambung kepada panel instrumen digital sepenuhnya dan panel kawalan Control Display bersaiz 12.3 inci boleh digunakan sama ada melalui butang, kawalan suara ataupun pergerakan. Head-up display (HUD) juga lebih besar – 7 x 3.5 inci.

    Menambahkan keselesaan dalam kenderaan, X5 G05 pengawal suhu empat zon, perehat tangan dengan ciri pemanas, tempat cawan dengan fungsi pemanas/penyejuk, bumbung kaca Panoramik yang 30% lebih jelas, pakej Ambient Air, sistem bunyi Bowers & Wilkins, sistem hiburan di belakan dengan skrin sesentuh 10.2 inci, iDrive Controller, butang start/stop dan pilihan tombol gear kaca.

    Turut boleh didapati servis BMW ConnectedDrive, serta merangkumi BMW Display Key, lampu suasana yang dinaik taraf dengan Welcome Light Carpet dan Dynamic Interior Light yang mempunyai penyalaan seperti denyutan di panel instrumen (apabila menerima panggilan telefon) dan panel pintu (apabila pintu terbuka waktu enjin hidup).

    Untuk sistem bantuan pemandu, ia serba lengkap dengan BMW Personal CoPilot, termasuk Driving Assistant Professional bersama Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning dan Lane Departure Warning, Side Collision Protection, Evasion Aid, Crossing Traffic Warning, Priority Warning dan Wrong-Way Warning.

    BMW X5 G05 baru ini akan ditawarkan dalam pilihan warna Mineral White, Black Sapphire, Artic Grey dan Phytonic Blue. Begitu juga dengan pilihan untuk kemasan ruang dalaman; material kulit Vernasca boleh didapati dalam warna hitam klasik dengan Aluminium Tetragon bagi pilihan warna Mineral White dan Black Sapphire. Selain itu, BMW X5 generasi keempat ini juga didatangkan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, Program Servis Berjadual Percuma serta Jaminan Tayar BMW.

     
     
  • BMW X4 G02 xDrive30i M Sport diperkenal – RM380k

    BMW X4 G02 xDrive30i M Sport diperkenal – RM380k

    BMW X4 G02, yang merupakan generasi kedua model itu menggantikan F26 sebelum ini sudah pun diperkenalkan di Malaysia dalam satu varian sahaja iaitu xDrive30i M Sport. Harga anggaran yang dikeluarkan adalah RM380,000 tidak termasuk insurans dan datang dengan waranti lima tahun tanpa had batuan, program servis berjadual percuma serta program waranti tayar BMW.

    X4 G02 yang juga boleh dianggap sebagai X3 versi coupe ini mempunyai bahagian hadapan lebih dinamik, dengan gril kidney yang lebih besar, lampu hadapan LED adaptif, fungsi bantuan lampu tinggi serta cermin hadapan akustik untuk mengurangkan bunyi bising. Bahagian bumbung pula menjunam di bahagian belakang.

    Melihat kepada ukuran, X4 G02 baru ini 81mm lebih panjang (4,752 mm) dan 37 mm lebih lebar (1,918 mm), tetapi bumbungnya lebih rendah sebanyak 3 mm menjadi 1,621 mm. Dengan perubahan saiz ini, bahagian dalam juga menjadi lebih luas iaitu tambahan 27 mm lagi untuk ruang kaki penumpang dan tambahan 25 liter untuk ruang simpanan belakang (menjadi 525-1,430 liter bergantung kepada tetapan tempat duduk).

    BMW X4 G02 xDrive30i M Sport diperkenal – RM380k

    Memandangkan model yang tiba di Malaysia ini adalah model spesifikasi M Sport, anda boleh melihat ia menggunakan kit badan pakej M Aerodynamics, kemasan hitam Shadow Line BMW Individual, bumbung panoramik, angkup brek M Sport berwarna biru serta rim M 20 inci yang mempunyai lebar berbeza antara depan dan belakang (tayar 245/45 di depan dan 275/45 di belakang).

    Enjin yang digunakan untuk menggerakkan X4 xDrive30i M Sport ini adalah unit empat silinder sebaris 1,998 cc petrol turbo, yang dipadankan bersama kotak gear Steptronic lapan kelajuan, mampu menghasilkan 252 hp pada antara 5,200 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,450 hingga 4,800 rpm. Laju maksimum model ini adalah 240 km/j dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dan penggunaan bahan api 7.8 liter bagi setiap 100 km.

    Masuk ke dalam, rekaan papan pemuka juga diberi perubahan dan ia dipasang dengan kelengkapan spesifikasi tinggi termasuk skrin sensitif sentuhan 10.25 inci BMW Navigation System Professional, sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara, panel instrumen resolusi tinggi 12.3 inci, head-up display berwarna, sistem kawalan suara serta sambungan fungsi BMW ConnectedDrive.

    Pada bahagian keselamatan, model ini datang dengan beg udara hadapan, sisi (depan sahaja), bidai (depan hingga belakang) dan atas, Dynamic Stability Control (DSC) yang termasuk Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) serta Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist. Membantu pemandu lagi adalah cruise control dengan fungsi brek, Parking Assistant dan kamera pandangan belakang.

    Kelengkapan lain yang ada pada X4 xDrive30i M Sport adalah suspensi adaptif, stereng sport, pendingin hawa automatik tiga zon, lampu kabus LED, lampu dan pengelap cermin automatik serta kemasan dalam Aluminium Rhombicle dan Pearl Chrome.

    Untuk warna luar kenderaan, BMW Malaysia menawarkan pilihan warna putih (Alpine White), hitam (Carbon Black), merah (Flamenco Red) dan biru (Phytonic Blue). Untuk bahagian dalam, balutan kulit Black Vernasca boleh didapati bagi kesemua warna luar yang ditawarkan, sementara kulit warna Tacora Red Vernasca pula hanya ditawarkan secara eksklusif untuk Alpine White dan Carbon Black.

     
     
  • Proton tawar promosi data internet ekstra 50% sempena Raya – RM8-RM30 untuk 1.5GB-7.5GB

    Klik untuk besarkan

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Proton telah mengumumkan Promosi Data Tambahan Raya bagi memberikan para pelanggan data internet ekstra sehingga 50% apabila menambah nilainya. Promosi yang bermula hari ini (29 Mei) dan bakal berakhir pada 5 Julai 2019 (jam 5 petang).

    Sebagai contoh, bagi yang membeli pelan data 1 GB (RM8) akan menerima tambahan 500 MB, sementara pilihan 3 GB (RM21) akan mendapat ekstra 1.5 GB. Bagi penggunaan data yang lebih banyak, bolehlah memilih pelan bermula 5 GB, kerana dengan RM30, anda boleh mendapat data sehingga 7.5 GB.

    Walau bagaimana pun, tawaran ini hanyalah untuk kereta yang dilengkapi unit utama skrin sesentuh terkini (atau pun sistem GKUI), yang boleh didapati pada model Proton X70, Persona Premium, Iriz Premium dan juga Exora Premium yang baru dilancarkan.

     
     
  • Honda e – kamera sisi adalah standard, kini sudah mula boleh ditempah pada pasaran Eropah terpilih

    Honda e – kamera sisi adalah standard, kini sudah mula boleh ditempah pada pasaran Eropah terpilih

    Honda telah mengumumkan bahawa hatchback elektrik sepenuhnya prototaip Honda e akan dijelmakan sebagai model produksi, dan ia telah pun boleh ditempah di pasaran negara-negara Eropah terpilih.

    Apa yang menarik lagi, sistem kamera sisi bagi menggantikan cermin sisi pandang belakang pada versi prototaip tersebut turut akan dibawa ke model produksi sebenar, dan ia adalah standard untuk semua varian yang ditawarkan kelak.

    Sistem berkenaan akan dilengkapi sepasang kamera di kedua-dua sisi kereta tersebut yang terletak pada bahagian yang selalunya ditempatkan cermin sisi pandang belakang.

    Direka dengan saiz kompak dan boleh disorokkan ke dalam badan, imej dari kamera berkenaan akan dipaparkan ke dua buah kamera bersaiz enam-inci, diletakkan secara eronomik pada kedua-dua sisi papan pemuka bagi memberikan rasa semulajadi dan paparan lebih jelas kepada pemandu.

    Menurut Honda, dengan sistem ini bukan sahaja memberikan penglihatan yang lebih baik, malah rekaannya mampu mengurangkan rintangan angin sehingga sekitar 90% berbanding cermin sisi konvensional – sekitar 3.8% lebih baik bagi keseluruhan kereta. Ia juga akan mengurangkan bunyi angin secara signifikant yang selalunya dihasilkan oleh cermin sisi biasa.

    Honda turut menghasilkan rekaan kamera tersebut bagi mengelakkan air menitik pada lensanya, serta di saluti lapisan anti-air pada permukaan lensa bagi menghalang dari takungan air terjadi.

    Pada skrin pula, pemandu boleh memilih untuk melihat sama ada ‘pandangan normal’ atau ‘pandangan lebar’ yang akan memberikan pandangan lebih luas dan mengurangkan titik buta sebanyak 10%. Pencahayaan pada skrin juga akan dilaras secara automatik dan secara keseluruhan sistem ini telah diuji secara ekstensif dalam keadaan cuaca buruk, gelap dan malam bagi memastikan ia sentiasa memberikan visual terbaik serta anti-silau.

    Model elektrik sepenuhnya yang dilihat seperti jelmaan semula Honda Civic ‘telur’ generasi pertama ini dijangka akan mula dijual di Eropah pada tahun 2020, di mana versi produksinya mungkin akan didedahkan pada hujung tahun ini. Dengan satu cas penuh, Honda e boleh bergerak lebih dari 200 km, dan fungsi cas cepatnya membolehkan bateri di cas 80% penuh dalam masa hanya 30 minit.

    Honda turut menjanjikan hatchback elektrik ini akan memberikan pengalaman pemanduan yang seronok dan dinamik, dengan unit janakuasa elektrik terkini yang memacu roda belakang serta bateri berprestasi tinggi.

    Inspirasi Civic generasi pertama masih lagi banyak dikekalkan pada bahagian dalam, terutamanya papan pemuka yang direka dengan konfigurasi dek berkembar, bersama kemasan seakan kayu merentanginya. Juga, roda stereng dua jejari akan mengingatkan kita kepada Civic SB1.

    Ruangan kabin ini menerima rekaan moden minimalis, yang akan mewujudkan suasana menenangkan untuk pemandu dan penumpang, dakwa Honda. Perasaan seperti berada di lounge diberikan menerusi fabrik sofa gaya melange dan material-material lain yang boleh dijumpai di rumah kontemporari.

     
     
  • Ferrari tunjuk teaser hybrid supercar baharu

    Kurang daripada 24 jam, Ferrari bakal memperkenalkan hybrid V8 supercar terkininya. Pengeluar jentera prestasi tinggi ini telah menyebarkan video berdurasi 10 minit menerusi platform media sosial untuk menunjukkan lakaran digital rekaan model ini, yang menumpukan bahagian lampu belakang LED segi empat tepat yang menarik pandangan.

    Tidak banyak yang diketahui mengenai supercar ini, tapi CEO syarikat Louis Camilleri berkata ia bukanlah model edisi terhad sebaliknya hanya model produksi dengan “kitar hayat biasa”. Ada sumber pula menyatakan model ini didatangkan dengan unit V8 yang dipadankan bersama motor elektrik, malah ada yang mendakwa ia akan mempunyai tiga motor elektrik untuk hamburan kuasa sistem kombinasi sekitar 1,000 hp.

    Selain itu, ada spekulasi turut bertebaran, memetik kenyataan CTO Ferrari Michael Leiters pada tahun lalu, yang menyatakan akan membangunkan kuasa yang lebih padu berbanding 488 Pista, sekaligus meletakkannya pada kedudukan tertinggi dalam barisan jentera sport keluaran syarikat tersebut. Walau bagaimana pun, Camilleri berkata Ferrari mensasarkan 60% bagi portfolio produk bakal mempunyai varian hibrid menjelang tahun 2022, dan jentera elektrik-penuh akan dilancarkan selepas 2022.

     
     
  • Husqvarna Svartpilen 701 Style – keluaran unit terhad

    Husqvarna Svartpilen 701 Style – keluaran unit terhad

    Husqvarna sebelum ini telah pun mendedahkan beberapa model kategori street mereka yang termasuk Vitpilen 401, Svartpilen 401, Svartpilen 701 dan Vitpilen 701 Aero Concept. Kali ini, mereka mendedahkan pula Svartpilen 701 Style, yang dikatakan sudah berada di wakil pengedar global mereka (yang terpilih sahaja).

    Ini adalah sebuah model keluaran istimewa, dan selain kemasan premium yang sudah pun dikenali untuk jenama ini, ia turut menampilkan skema warna baru, beberapa naik taraf dan menggunakan gaya badan yang mendapat inspirasi daripada motosikal flat track.

    Antara keistimewaan model ini adalah ia dilengkapi dengan rim jenis spoked, cermin sisi di hujung pemegang, peletak kaki dibentuk menggunakan mesin CNC dan lencana aluminium. Selain daripada itu, kelengkapan lain masih sama seperti Svartpilen 701.

    Ini termasuklah bahagian enjin iaitu unit satu silinder berkapasiti 692.7 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 75 hp dan 72 Nm tork. Bahagian brek pula menggunakan angkup daripada Brembo dan datang dengan sistem ABS.

    Kelengkapan lain yang ada pada Svartpilen 701 Style adalah termasuk suspensi WP boleh laras, lampu LED, pendikit ride-by-wire dengan pilihan mod tunggangan, tangki bahan api 12 liter, meter jenis digital serta tempat duduk yang boleh dinaiki oleh dua orang.

     
     
  • SIC mahu sambung kontrak MotoGP Sepang hingga tahun 2026 lebih awal – tidak mahu ketinggalan

    SIC mahu sambung kontrak MotoGP Sepang hingga tahun 2026 lebih awal – tidak mahu ketinggalan

    Melalui kontrak yang ditandatangani pada tahun 2016, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menganjurkan Grand Prix Motosikal Malaysia (Malaysia GP) sehingga tahun 2021. Walaupun masih mempunyai lebih dua tahun lagi, SIC mahu menyambung kontrak ini lebih awal, iaitu untuk penganjuran dari tahun 2022 hingga 2026.

    Dalam laporan Berita Harian, ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali memberitahu memang sudah terdapat perbincangan tentang perkara ini dengan pemegang hak penganjuran MotoGP iaitu Dorna Sports dan ia baru saja berlaku beberapa minggu lepas.

    SIC mahu sambung kontrak MotoGP Sepang hingga tahun 2026 lebih awal – tidak mahu ketinggalan

    Apabila ditanya kenapa mahu menyambung kontrak ini lebih awal, Razlan menjawab beliau tidak mahu ketinggalan daripada sudut kontrak, yuran ataupun hak penganjuran kerana dalam masa terdekat ini beberapa lagi negara jiran juga telah menganjurkan serta bakal dipilih sebagai tempat penganjuran perlumbaan.

    Thailand sudah menganjurkannya bermula tahun lalu, Indonesia akan bermula pada tahun 2021 dan seterusnya nanti mungkin juga Vietnam dan Finland. Selain perbincangan tentang kontrak ini, mereka juga akan melihat dan menilai sebarang kos baru dalam penganjuran MotoGP.

     
     
  • Menteri umum senarai penuh 23 lebuhraya yang menawarkan diskaun tol pada hari raya pertama ini

    Menteri umum senarai penuh 23 lebuhraya yang menawarkan diskaun tol pada hari raya pertama ini

    Menteri Kerja Raya Baru Bian telah mengumumkan 23 lebuhraya di negara ini bakal memberikan diskaun tol sebanyak 10 hingga 33% kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari pertama sambutan Aidilfitri minggu depan, iaitu pada 5 Jun 2019 (Rabu). Diskaun berkenaan akan berkuatkuasa bermula pukul 12 tengah malam hingga 11.59 malam hari yang sama.

    Berikut adalah kadar diskaun tol di 23 lebuhraya yang terlibat :

    • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) – 33%
    • Lebuhraya Grand Saga (GSSB) – 30%
    • Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) – 20%
    • Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) – 20%
    • Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) – 20%
    • Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) – 20%
    • Jambatan Pulau Pinang – 20% (kenderaan Kelas 2 sahaja)
    • Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 – 20%
    • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) – 20%
    • Lebuhraya Pantai Baru (NPE) – 20%
    • Lebuhraya BESRAYA – 20%
    • Lebuhraya MEX (Maju Expressway) – 15% (semua Kelas kenderaan)
    • Lebuhraya Grand Sepadu – 15%
    • Lebuhraya Shah Alam (Kesas) – 10%
    • Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) – 10%
    • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) – 10%
    • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) – 10%
    • Lebuhraya Kajang SILK (SILK) – 10%
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) – 10%
    • Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 – 10%
    • Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) – 10%
    • Lebuhraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JKSB) – 10%
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Selangor (LATAR) – 10%

    Laporan Bernama turut menyebut, tiga lagi lebuhraya hanya menawarkan diskaun di plaza tol tertentu; Plaza Tol Ampangan bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dengan 10%, 20% di Plaza Tol Perling dan Lima Kedai di Lebuhraya Laluan Kedua (LINKEDUA), 10% di Plaza Tol Pulau Indah di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) bagi trafik keluar sahaja. Ia adalah untuk semua Kelas kenderaan bermula pukul 6 pagi pada 5 Jun hingga 5.59 pagi pada 7 Jun 2019.

     
     
  • Guna tilam di kabin belakang boleh disaman – MIROS

    Guna tilam di kabin belakang boleh disaman – MIROS

    Minggu lalu, kami telah mengutarakan perihal yang tidak patut dilakukan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung pada musim perayaan iaitu menggunakan tilam pada kabin belakang untuk kanak-kanak berbaring ketika kereta sedang bergerak dan juga tidak memakai tali pinggang keledar. Perkara ini nampaknya telah mendapat perhatian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

    Menurut ketua pengarah MIROS Dr. Siti Zaharah Ishak dalam laporan Utusan Online, penggunaan tilam di bahagian tempat duduk belakang kenderaan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

    “Tular dalam media sosial mengenai penggunaan tilam di belakang kenderaan untuk pulang ke kampung dan itu merupakan perbuatan yang amat-amat dilarang walaupun ramai mendakwa ia untuk keselesaan dan sebagainya.

    “Perbuatan yang menjadi trend itu merbahaya dan boleh disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya ketika Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Balik Kampung Yamaha Ke-21 semalam yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

    Beliau turut berkata, antara punca lain kemalangan jalan raya semasa sambutan musim perayaan adalah faktor manusia termasuk menggunakan aplikasi WhatsApp atau Facebook dan mengambil gambar ‘selfie’ atau `wefie’ dengan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

    “Menggunakan WhatsApp atau Facebook untuk menunjukkan keceriaan pulang ke kampung, tetapi malangnya walaupun cuma satu saat melakukan perbuatan itu boleh menyebabkan kemalangan,” jelasnya.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Toyota Vios 2019 — dari RM77,200

    Toyota Vios di Malaysia telah mengalami banyak perubahan berbanding ketika awal pengenalannya dahulu. Paling tidak, dari segi penampilan. Aspek berkenaan kini bakin ketara dengan penawaran Vios 2019 terbaru yang berada dalam pasaran tempatan ketika ini.

    Ia seperti ingin memberi satu pernyataan; bahawa Vios sekarang ingin memberikan kelainan dari sudut rupa paras yang lebih agresif dan sporty, tidak seperti Vios yang sebelum-sebelum ini – daripada sesetengah orang, Vios pernah menerima jolokan antaranya “Vios dugong” disebabkan rekaannya yang sedikit berlainan dan lebih banyak bujur daripada bersegi.

    Tetapi, melalui Toyota Vios 2019, semua itu sudah ditinggalkan. Penampilannya kini jauh lebih matang dan menarik, terutama untuk mengimbangi imej yang ada pada model-model pesaingnya – paling rapat tentulah Honda City, atau mungkin Proton Persona yang turut baru saja menerima peningkatan dan kemaskini tahun ini. Sedan segmen B masih mempunyai tarikan dan permintaannya yang tersendiri di sini.

    Namun, adakah perubahan penampilan sahaja sudah mencukupi? Macam mana pula dengan kelengkapan lain pada Vios 2019, adakah setanding dengan pesaingnya? Dengan rupa baru ini, mengapa ia masih menggunakan sistem janaan yang sama (enjin dan transmisi CVT) seperti versi terakhir Vios sebelum ini?

    Dalam video ini, kami cuba singkap apa kelebihan dan kelemahan lain yang ada pada Vios 2019 ini. Kalau nak tahu lebih lanjut, sila tonton. Kami ceritakan sedikit sebanyak pengalaman pemanduannya selepas menempuh perjalanan sekitar 400 km bersama kereta sedan ini.

     
     
  • Honda NSX Type R generasi baharu akan muncul di Tokyo Motor Show tahun ini dengan kuasa 650 hp?

    Honda NSX Type R generasi baharu akan muncul di Tokyo Motor Show tahun ini dengan kuasa 650 hp?

    Hampir tiga tahun lalu, ada ura-ura mengatakan Honda bakal menghidupkan kembali NSX Type R berdasarkan Honda/Acura NSX generasi terkini. Terbaharu, desas-desus berkenaan bertiup lagi, kali ini lebih kencang mengatakan ia akan membuat kemunculan sulung pada Tokyo Motor Show yang akan berlangsung Oktober tahun ini.

    Berita berkenaan dilaporkan oleh Forbes, dan mendakwa NSX hardcore tersebut akan dibekalkan dengan kuasa setinggi 650 hp, dengan kit aerodinamik diinspirasikan dari jentera perlumbaan sebenar NSX-GT seperti spoiler belakang dan splitter udara hadapan. Ia juga dikhabarkan akan menerima suspensi lebih keras bersama sistem brek karbon-seramik, dan bakal dijual pada harga sekitar US$200,000 (RM840k).

    Laporan berkenaan tidak memperincikan unit janakuasa yang akan digunakan pada NSX Type R berkenaan tetapi menyebut ia mungkin boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai tiga saat. Pada model standard, NSX dijana enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar bersama motor elektrik di belakang serta pada gandar hadapan, bagi membolehkan ia mencapai kuasa maksima 573 hp/645 Nm dengan sistem pacuan semua roda SH-AWD, dan memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.1 saat.

    Walau bagaimanapun, portal Motor1 telah menghubungi jurucakap Acura bagi mengesahkan apa yang dilaporkan oleh Forbes ini dan dia menyifatkan ia sebagai “spekulatif dan tidak mempunyai informasi berkenaan sumber. Walaupun kami tidak mempunyai pengumuman mengenai pelan masa hadapan untuk NSX, kami gembira bahawa casisnya telah dipertingkat dengan pilihan warna yang kini lebih banyak untuk model tahun 2019 telah meningktakan jualannya di Amerika Syarikat sebanyak 42%.”

    Sebelum ini, ketua pembangunan dinamik NSX Nick Robinson pernah berkata bahawa sekiranya projek NSX Type R ini menjadi kenyataan, motor elektrik pada bahagian belakang akan dikekalkan, tetapi unit pada bahagian hadapan akan dicabut bukan sahaja untuk mengurangkan beratnya, malah ia akan menjadikan kereta ini sebagai jentera berenjin tengah pacuan belakang (MR) sejati seperti NSX Type R generasi NA1 dan NA2.

    GALERI: Acura NSX 2019

     
     
  • LITRAK tawar diskaun tol untuk pengguna LDP dan LSA pada 5 Jun ini sempena hari raya Aidilfitri

    LITRAK tawar diskaun tol untuk pengguna LDP dan LSA pada 5 Jun ini sempena hari raya Aidilfitri

    Sempena dengan sambutan hari raya Aidilfitri ini, pengendali Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Shah Alam (LSA), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) bakal menawarkan diskaun tol untuk pengguna di kedua-dua lebuhraya terbabit.

    Ia akan bermula daripada jam 12 tengah malam sehingga jam 11.59 malam pada Hari Raya Aidilfitri pertama iaitu 5 Jun (Rabu) ini. Diskaun tol sebanyak 30% akan diberikan untuk pengguna kenderaan kelas 1 di LDP, manakala di LSA pula sebanyak 10%.

    Menurut CEO LITRAK, Sazally Saidi, dianggarkan hampir 516,000 pengguna LDP dan LSA akan menerima manfaat daripada sejumlah RM 256,000 subsidi tol yang diberikan pada Aidilfitri tahun ini.

    LITRAK tawar diskaun tol untuk pengguna LDP dan LSA pada 5 Jun ini sempena hari raya Aidilfitri

    Inisiatif pemberian diskaun tol ini telah dimulakan sejak tahun 2010, dengan harapan langkah ini akan memanfaatkan pengguna lebuh raya dan dalam masa yang sama, merupakan satu platform untuk syarikat konsesi itu bersama-sama berkongsi kegembiraan menyambut Syawal.

    “Sejak tahun 2010 hingga 2018, LITRAK telah memberikan hampir RM 14.3 juta subsidi tol kepada jutaan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan. Kami faham akan keperluan untuk melawat saudara dan rakan pada waktu ini. Kami berharap menerusi langkah kali ini, kita dapat bersama-sama dengan pengguna lebuh raya untuk berkongsi kegembiraan menyambut dan menyemarakkan Syawal,” ujarnya.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi bulan April ikut jenama

    Bulan April 2019 menyaksikan penurunan jualan kenderaan sebanyak 4,812 unit atau 8.78%, dengan jumlah keseluruhan kenderaan yang dihantar hanya 49,964 unit. Dengan data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kita dapat melihat prestasi jualan mengikut jenama.

    Melihat lima jenama teratas dalam carta di bawah, hanya Proton sahaja yang menunjukkan peningkatan dalam jualan, iaitu naik sebanyak 14.3% berbanding Mac 2019. Manakala empat jenama lagi jenama teratas dalam carta menunjukkan penurunan jualan, termasuk Perodua (-4.9%), Honda (-28.8%), Toyota (-7.4%) dan Nissan (-21.6%).

    Selain itu, Mazda menentang arus dengan peningkatan jualan bagi bulan tersebut sebanyak 28.9%. Manakala jenama di bawahnya menunjukkan penurunan jualan termasuk Volkswagen (-37.5%), Ford (-17.6%), Kia (-22%) dan Renault (-89%). Malah Peugeot pula menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 32.8%.

    Bagi segmen premium, jualan bagi Mercedes-Benz juga menyusut sebanyak 28.6%, begitu juga dengan jenama lain seperti BMW (-17.6%), Lexus (-50.9%) dan MINI (-18.2%). Walau bagaimana pun, Volvo pula meningkat jualannya sebanyak 14.8%.

    Klik carta di bawah untuk melihat versi yang lebih jelas.

    Data jualan kenderaan bagi bulan April ikut jenama

     
     
  • Hyundai Santa Fe generasi ke-4 kini rasmi di M’sia – 2.4L petrol dan 2.2L turbodiesel, bermula RM170k

    Hyundai Santa Fe generasi ke-4 kini rasmi di M’sia – 2.4L petrol dan 2.2L turbodiesel, bermula RM170k

    Setelah di prebiu di KLIMS November tahun lalu, kini SUV Hyundai Santa Fe generasi keempat kini rasmi dijual untuk pasaran Malaysia. Ditawarkan dalam versi petrol dan diesel, kedua-dua pilihan enjin tersebut hadir dengan versi asas Execuitve dan model tertinggi Premium.

    Untuk model petrol dengan enjin Theta II 2.4 liter MPI dalam varian Executive, Santa Fe dijual pada harga RM169,888, manakala varian Premium pula adalah RM189,888. Bagi versi turbodiesel R 2.2 CRDi Executive pula, ia dijual pada harga bermula RM191,888, dan varian Premium boleh dimiliki dengan harga RM211,888.

    Kesemua harga yang dinyatakan di atas adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian disertai waranti selama lima tahun/300,000 km (yang mana sampai dulu) dan servis penyelenggaraan sehingga 50,000 km/tiga tahun (yang mana sampai dulu).

    Hyundai Santa Fe generasi ke-4 kini rasmi di M’sia – 2.4L petrol dan 2.2L turbodiesel, bermula RM170k

    Enjin petrol Theta II 2.4 liter empat silinder NA pada Santa Fe ini mampu menghasilkan kuasa 172 PS dan tork maksima 225 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan biasa serta hanya memacu roda hadapan.

    Manakala bagi enjin turbodiesel R 2.2 CRDi pula, ia dibekalkan dengan 193 PS dan tork maksima 440 Nm, digandingkan bersama dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik konvensional baharu yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai. Versi dengan tork lebih tinggi ini juga hanya hadir dengan pilihan pacuan semua roda Hyundai HTRAC.

    Senarai kelengkapan varian Executive dan Premium bagi kedua-dua versi enjin adalah sama. Varian Executive hadir standard dengan lampu hadapan projektor halogen, lampu kabus dan lampu belakang jenis mentol, rim 18-inci dengan tayar 235/60R18, balutan kulit hitam, tempat duduk penumpang larasan manual dan paparan meter analog dengan skrin pelbagai info TFT LCD 3.5-inci.

    Hyundai Santa Fe generasi ke-4 kini rasmi di M’sia – 2.4L petrol dan 2.2L turbodiesel, bermula RM170k

    Versi Premium pula diberikan ciri-ciri seperti lampu hadapan Bi-LED dengan fungsi Dynamic Bending Light, lampu kabus dan lampu belakang LED, rim 19-inci dengan tayar 235/55R19, pilihan upholsteri sama ada hitam atau Burgundy, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa lapan-hala, kemasan kulit pada papan pemuka, dan juga papan instrumen digital Supervision TFT LCD 7-inci.

    Model tertinggi ini juga dilengkapi dengan pintu tailgate belakang bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan pengelap cermin hadapan automatik

    Walau bagaimanapun, kesemua varian hadir standard dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kedudukan LED, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, sistem infotaimen dengan skrin terapung 7-inci sokongan Apple Carplay dan Android Auto, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, penghawa dingin dua-zon automatik, serta auto cruise.

    Untuk sistem keselamatan juga, semua versi Santa Fe dilengkapi enam-beg udara, ESC, ABS bersama Kawalan Brek Menuruni Bukit dan Bantuan Mula Mendaki, Traction Control dan Kawalan Pengurusan Kestabilan (VCM). Versi Premium pula ditambah dengan ciri Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Buat pertama kali juga, teknologi Rear Occupant Alert (ROA) Hyundai hadir ke Malaysia menerusi Santa Fe Premium. Sistem ini berfungsi dengan menggunakan penderia ultrasonic pada kabin belakang untuk mengingatkan pemandu bahawa ada penumpang di bahagian belakang seterusnya mengelakkan kejadian kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

    GALERI: Hyundai SantaFe Theta II 2.4 MPi Executive 2019

    GALERI: Hyundai SantaFe Theta II 2.4 MPi Premium 2019

    Hyundai Santa Fe R 2.2 CRDi Executive 2019

    Hyundai Santa Fe R 2.2 CRDi Premium 2019

     
     
  • Selangor, Johor dan Perak catat kemalangan maut tertinggi bagi tempoh 2015 hingga 2017 – MIROS

    Selangor, Johor dan Perak catat kemalangan maut tertinggi bagi tempoh 2015 hingga 2017 – MIROS

    Saban hari pasti ada saja berita mengenai kemalangan maut dilaporkan di dada-dada akhbar tempatan. Kemalangan yang tidak mengenal bangsa, agama mahu pun umur ini, dan bertambah menyedihkan jika ia membabitkan kehilangan nyawa. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tiga buah negeri di Malaysia telah mencatatkan kemalangan maut tertinggi bagi tempoh 2015 hingga 2017, iaitu Selangor, Johor dan Perak.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak berkata, setakat ini dalam tempoh yang dinyatakan itu, daerah Batu Pahat di Johor mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 554 kes. Di mana laluan Batu Pahat ke Kluang melalui Ayer Hitam dikenal pasti sebagai laluan ‘kawasan panas’ berikutan banyak berlaku kes kemalangan maut di situ.

    “Laluan empat lorong yang lurus dan panjang itu menjadi antara faktor berlakunya kemalangan kerana pengguna jalan raya cenderung untuk memandu melebihi had kelajuan. Selain Batu Pahat daerah lain di negeri itu yang turut mencatatkan kadar kemalangan maut yang tinggi adalah di Johor Bahru Selatan dengan 315 kes dan Kluang 296 kes.

    Selangor, Johor dan Perak catat kemalangan maut tertinggi bagi tempoh 2015 hingga 2017 – MIROS

    “Bagi Selangor pula katanya, sebanyak 347 kes maut direkodkan di Kajang, Klang Selatan (270) dan Kuala Selangor (260), manakala Perak, Ipoh (402), Manjong (261) dan Hilir Perak (232),” katanya.

    Mengulas lanjut, Dr Siti Zahirah berkata, faktor kecuaian manusia turut menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan.

    “Ketika ini juga menjadi ‘kebiasaan’ pemandu untuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu sama ada untuk bercakap, melayari internet, menggunakan aplikasi Whatsapp atau berswafoto. Perlu diingat kelalaian walau hanya satu saat boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

    Selangor, Johor dan Perak catat kemalangan maut tertinggi bagi tempoh 2015 hingga 2017 – MIROS

    Dalam masa yang sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula berkata, kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mencari langkah mengurangkan kadar kemalangan terutama di lokasi panas.

    Katanya, walaupun banyak penguatkuasaan dijalankan di lokasi terbabit, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk mengurangkan kadar kemalangan.

    “Tahap kesedaran di kalangan pemandu masih kurang justeru kempen untuk mendidik masyarakat mengenai keselamatan jalan raya perlu terus diadakan. Selain itu, peranan ibu bapa juga penting untuk mengawal dan mendisiplinkan anak-anak supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya,” katanya.

     
     
  • Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

    Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

    Enam bulan selepas Geely menunjukkan teaser SUV “coupe” baru mereka yang menggunakan nama kod FY11, kini syarikat itu telah pun melancarkannya di China. Ia dinamakan sebagai Xingyue, dan menampilkan pelbagai teknologi baru serta pilihan pakej kuasa, dengan harga yang bermula 135,800 yuan (RM82,400) hinggalah 208,800 yuan (RM126,800).

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Xingyue adalah model pertama Geely yang dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang juga digunakan oleh Volvo XC40 dan barisan model Lynk & Co. Ia mempunyai ukuran 4,605 mm panjang, 1,878 mm lebar dan 1,643 mm tinggi, dengan jarak roda pula 2,700 mm.

    Di bahagian hadapan kenderaan ini terdapat lampu utama yang nipis, gril “expanding cosmos” (sekarang dengan lencana hitam seperti yang digunakan pada model konsep Preface), serta bukaan udara besar yang dilengkapi dengan pengatup aktif untuk mengoptimakan aerodinamik dan penyejukan. Di belakang pula terdapat lampu yang lebar, jalur krom, diffuser yang agresif serta empat muncung ekzos.

    Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

    Masuk ke dalam, anda boleh menyaksikan Xingyue mempunyai papan pemuka yang disengetkan sedikit ke arah pemandu dan panel pintu yang mendapat inspirasi daripada origami. Dua skrin menguasai bahagian papan pemuka ini, dengan satu daripadanya untuk paparan instrumen dan satu lagi adalah skrin sesentuh 12.3 inci yang disambung dengan Global Key User Interface (GKUI) 2.0 berserta sistem pengenalan suara dan navigasi.

    Turut diberi adalah head-up display sembilan inci, serta sistem pengenalan muka untuk mengecam pemandu. Sistem ini kemudiannya akan melaras pelbagai tetapan kenderaan seperti kedudukan kerusi, cermin serta sistem hiburan mengikut kegemaran mereka. Tidak cukup dengan itu, sistem ini juga boleh memberi amaran sekiranya muka pemandu nampak keletihan atau sering menguap.

    Daripada aspek keselamatan, Xingyue boleh didapati dengan teknologi pemanduan semi-autonomous Level 2 seperti Intelligent Cruise Control (ICC) dengan Traffic Jam Assistance (TJA) kelajuan penuh serta Lane Keeping System (LKS). Ia juga ditampilkan dengan Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki (AEB-P), Rear Collision Warning (RCW), Speed Limit Identification (SLIF), Lane Change Assist (LCA), Blind Spot Detection (BSD) dan Door Open Warning (DOW). Turut ditawarkan adalah Automatic Park Assist (APA) dan kamera 360 darjah.

    Di bawah bonet, Xingyue adalah model pertama Geely yang datang dengan enjin empat silinder turbo 2.0 liter Drive-E daripada Volvo. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Aisin, seterusnya mampu menghasilkan kuasa 235 hp dan 350 Nm tork manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.8 saat. Xingyue ini turut ditawarkan dengan enjin tiga silinder 1.5 liter, yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 174 hp dan 255 Nm tork.

    Enjin yang lebih kecil ini juga boleh ditambah dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang melonjakkan kuasa menjadi 188 hp sementara penggunaan bahan api menjadi 5.6 liter bagi setiap 100 km. Satu lagi alternatif adalah versi plug-in hybrid yang menjadikan kuasa kenderaan 255 hp/415 Nm dan ditawarkan dalam dua kapasiti bateri.

    Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

    Versi 11.3 kWh mempunyai jarak gerak menggunakan elektrik sahaja sejauh 56 km, kadar penggunaan bahan api 1.6 liter setiap 100 km dan masa pengecasan pantas 90 minit. Versi yang menggunakan bateri 15.2 kWh pula mampu pergi 80 km menggunakan elektrik sahaja, penggunaan bahan api 1.2 liter bagi setiap 100 km dan boleh dicas secara pantas dalam masa 105 minit.

    Di sebalik bahagian luarnya, Xingyue ini dipegang oleh suspensi jenis MacPherson di hadapan manakala di belakang menggunakan tetapan multi-link. Pemilik juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan sistem pacuan semua roda yang boleh menghantar sehingga 50% kuasa ke roda belakang serta rim 20 inci yang dibalut tayar Goodyear Eagle F1. Di sebalik rim itu terdapat brek cakera 322 mm.