Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Yamaha EC-05 – skuter elektrik berasaskan model Gogoro yang akan dijual di Taiwan bermula Ogos ini

    Yamaha EC-05 – skuter elektrik berasaskan model Gogoro yang akan dijual di Taiwan bermula Ogos ini

    Di Taiwan, Yamaha telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar skuter elektrik bernama Gogoro untuk menghasilkan model baru EC-05. Ia digerakkan oleh elektrik sepenuhnya, dan bakal dilancarkan dalam tahun ini juga di sana dan dijual menjelang bulan Ogos.

    Dalam video yang dikeluarkan melalui Youtube, Yamaha EC-05 ini dikatakan menggunakan asas daripada model Gogoro sedia ada dalam pasaran, tetapi rekaan luarnya mendapat sentuhan sendiri Yamaha Japan. Perincian sebenar EC-05 tidak didedahkan tetapi kami menjangka ia menggunakan asas daripada model Gogoro 2 dan mempunyai kelengkapan sama.

    Gogoro 2 datang dalam beberapa variasi dengan prestasi yang boleh mencapai 6.4 kW (8.5 hp) pada 3,000 rpm, laju maksimum 90 km/j dan jarak perjalanan 150 km dengan setiap cas penuh bateri (pada kelajuan 30 km/j). Gogoro juga mempunyai rangkaian infrastruktur skuter elektrik yang membolehkan pengguna kenderaan mereka menukar pek bateri ini di lebih 1,000 tempat dan meneruskan perjalanan tanpa perlu menunggu bateri dicas penuh.

    Antara kelengkapan menarik lain yang ada pada Gogoro 2 adalah seperti gear undur, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk, tiga mod tunggangan, sensor graviti, hentakan, suhu serta cahaya, sistem kunci pintar menggunakan cap jari, alat kawalan jauh atau aplikasi telefon, sambungan bluetooth dan semua lampu LED.

    Selain daripada itu, ia juga menggunakan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dengan larasan pra beban, brek cakera depan dan belakang, sistem brek SBS, rim 12 inci, berat keseluruhan 122 kg (dengan dua pek bateri) dan tinggi tempat duduk antara 750 hingga 770 mm. Harganya pula di sekitar USD3,000 (RM12,493).

    GALERI: Gogoro 2

     
     
  • BMW M8 F92 dengan barangan khas M Performance

    BMW M8 F92 dengan barangan khas M Performance

    Model BMW M8 yang baru didedahkan dalam dua bentuk badan iaitu Coupe F92 dan Convertible F91 sudah sedia cukup garang. Kalau itu masih tidak cukup, dan pemilik mahukan kemasan yang lebih sporty, BMW turut menawarkan pilihan barangan M Performance.

    Sudah tentu, dalam katalog M Performance ini banyak pilihan barangan yang dibuat daripada gentian karbon termasuk untuk keliling gril, salur udara di tepi, lip hadapan, side skirt serta spoiler dan diffuser belakang. Di dalam, bahan ini digunakan pada roda stereng, yang juga mempunyai pedal penukar gentian karbon serta penanda tengah biru.

    Turut ditawarkan adalah pad brek M Performance yang boleh menjadikan jarak berhenti lebih pendek, maklum balas lebih baik dan lebih ketahanan terhadap suhu tinggi, lapik kaki M Performance serta kain penutup khas untuk melindungi kenderaan apabila disimpan.

    BMW M8 baru dikuasakan oleh enjin S63 V8 4.4 liter twin turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dengan tetapan Drivelogic, mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum (telah dihadkan) 250 km/j. Jika memasang pakej M Driver’s, kelajuan ini akan dinaikkan kepada 305 km/j.

    Apabila memilih pakej Competition pula untuk M8 ini, kuasanya dinaikkan lagi menjadi 625 hp dan tork maksimum pada tahap 5,800 rpm. Versi ini juga akan mendapat pemegang enjin yang lebih keras untuk memastikan maklum balas pendikit yang lebih pantas, pusingan stereng lebih cepat serta sistem ekzos M Sport bersuis yang biasanya datang sebagai pilihan tambahan pada model lain

     
     
  • Proton jual 10,611 unit pada bulan Mei – naik 51.3% berbanding April, rekod tertinggi dalam 46 bulan

    Proton jual 10,611 unit pada bulan Mei – naik 51.3% berbanding April, rekod tertinggi dalam 46 bulan

    Satu pencapaian yang cukup memberangsangkan apabila Proton berjaya menjual sebanyak 10,611 unit pada Mei, iaitu meningkat sebanyak 51.3% berbanding April 2019. Sekali gus memecah rekod angka jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan. Proton berkata pencapaian itu merupakan angka jualan tertinggi yang pernah dicapai sejak Julai 2015.

    Malah ia turut mendorong pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini kepada lebih 70% berbanding tempoh masa sama pada 2018. Peratusan pegangan pasaran untuk bulan tersebut dianggarkan pada 17.2% menandakan satu lagi catatan cemerlang Syarikat sejak Januari 2016.

    Pastinya Proton X70 merajai carta jualan, dengan 2,439 unit dihantar pada Mei, dan jumlah keseluruhan jualannya dalam lima bulan pertama tahun ini mencecah 13,572 unit. Ini termasuklah unit yang dihantar pada hujung 2018 dan kini hampir 15,000 unit telah berada di jalan raya di Malaysia. Proton mendakwa X70 merupakan SUV yang terlaris di negara ini bagi tahun 2019.

    Selain itu, Proton Iriz dan Persona 2019 juga agak kencang jualannya. Persona 2019 terjual hampir 2,972 unit sejak dilancarkan, sementara Iriz 2019 pula cecah 940 unit, di mana ia memberikan angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh dua tahun. Dengan hampir 4,000 unit, kedua-dua model berkenaan telah menyumbang sebanyak 36% bagi keseluruhan jualan pada bulan Mei. Proton berkata, pihaknya telah menerima lebih 10,000 tempahan untuk bulan yang akan datang.

    Malah Saga juga mencatatkan jualan yang memberangsangkan, kini mencecah 3,000 unit bagi dua bulan berturut-turut. Dengan jualan sebanyak 3,610 unit pada Mei, jualan bagi model berkenaan hingga ke tarikh tersebut meningkat sebanyak 41%. Proton turut mengesahkan, versi yang dipertingkatkan bagi sedan saiz sederhana tersebut akan diperkenalkan tahun ini. Model yang terbaharu dilancarkan ialah MPV Exora RC 2019.

    “Dengan peningkatan jumlah jualan setakat ini sebanyak 70% pada tahun 2019, Proton menerima hasil untuk pelaburannya pada produk-produk, kakitangan serta cawangan-cawangan jualan. Syarikat berharap dapat mengakhiri keseluruhan jualan di tempat kedua dalam bulan kedua berturut-turut apabila angka jualan industri keseluruhan dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan kami yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap sepanjang tahun,” ujar Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Tambahnya lagi, “Strategi Proton bagi separuh kedua tahun ini adalah untuk terus meningkatkan jualan syarikat dengan memperkenalkan model-model sedia ada yang telah ditambahbaik serta meningkatkan pengalaman pelanggan dengan membuka lebih banyak cawangan 3S/4S kerana usaha ini telah mendapat maklum balas positif dari para pelanggan. Usaha-usaha ini akan membantu memastikan imej Proton ditambahbaik di mana kami akan terus mentakrifkan semula nilai jenama sebagai persediaan untuk pengenalan lebih banyak model yang akan dihasikan bersama-sama dengan Geely pada masa akan datang.”

     
     
  • BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Kewujudan BMW M8 baru telah diketahui lama dulu, malah sebelum 8 Series G15 membuat penampilan pertamanya. Pada tahun 2017, BMW sendiri telah mendedahkan model ini akan berlumba dalam World Endurance Championship (WEC). Selepas model konsep ditunjukkan dan beberapa gambar bocor dalam internet, akhirnya pengeluar dari Jerman itu mendedahkan sendiri M8 versi produksi.

    Ditampilkan dalam versi Coupe F92 dan Convertible F91 (versi Gran Coupe akan menyusul kemudian), M8 menggunakan enjin yang diambil terus daripada M5 F90. Ia adalah unit S63 V8 4.4 liter twin turbo yang mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

    Semua kuasa ini disampaikan kepada semua empat roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dengan tetapan Drivelogic. Hasil daripada itu, M8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum (telah dihadkan) 250 km/j. Jika memasang pakej M Driver’s, kelajuan ini akan dinaikkan kepada 305 km/j.

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Apabila dilancar nanti, M8 akan ditawarkan dengan versi Competition (sama seperti X3 M dan X4 M), yang meningkatkan lagi kuasanya kepada 625 hp dan tork maksimum pada tahap 5,800 rpm. Versi ini juga akan mendapat pemegang enjin yang lebih keras untuk memastikan maklum balas pendikit yang lebih pantas, pusingan stereng lebih pantas serta sistem ekzos M Sport bersuis yang biasanya datang sebagai pilihan tambahan pada model lain. Untuk itu, pecutan 0-100 km/j versi Competition menjadi cuma 3.2 saat (3.3 saat bagi yang berbadan Convertible).

    M8 baru juga mendapat sistem pacuan semua roda M xDrive, yang dapat mengagihkan tork secara berbeza untuk roda hadapan dan roda belakang, bergantung kepada keadaan jalan dan tetapan yang dipilih. Walaupun dalam keadaan standard sistem ini sudah menyampaikan lebih kuasa kepada roda belakang, tork akan ditambah lagi kepada gandar itu apabila diletakkan dalam mod 4WD Sport. Mod 2WD pula cuma boleh diguna apabila fungsi kawalan kestabilan ditutup, dan membolehkan pemandu berseronok dengan membuat aksi drift. Gandar belakang juga menggunakan Active M Differential.

    Untuk memastikan kenderaan dapat melekap atas jalan, bahagian casisnya disambung dengan kelengkapan seperti penyerap adaptif dan pembaca kinematik dan elastokinematik untuk memberikan kedudukan roda yang tepat dan stabiliti terbaik. Tetapan suspensi double wishbone di hadapan mempunyai bearing boleh pusing khas, torque arm, control arm dan bearing elastomer untuk mengagihkan semua tenaga pada suspensi kepada subframe dan struktur badan.

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Sementara itu di belakang, gandar dengan gantungan five-link mendapat sambungan diperkuat khas M untuk meningkatkan kelincahannya, serta anti-roll bar yang lebih keras untuk maklum balas suspensi dan serapan yang lebih tepat. Daya tahan kilasan juga ditingkatkan melalui penggunaan penyerap tower-to-bulkhead serta panel lebih kuat di hadapan, serta pendakap besi di belakang. Kemampuan mengambil selekoh secara dinamik versi Competition diperelok lagi dengan camber hadapan yang ditingkatkan, dan penggunaan ball joint pada toe link belakang.

    Bahagian lain kenderaan juga telah berubah sejak M5 didedahkan. Sekarang ia mempunyai sistem brake-by-wire dengan modul kompak yang memadukan pengaktifan brek, fungsi boost dan kawalannya, serta booster brek tanpa vakum. Sistem ini dikata dapat mengurangkan berat sebanyak dua kilogram dan memberikan tekanan brek segera, campur tangan kawalan stabiliti yang lebih pantas dan tepat, serta rasa pada pedal lebih optimum dalam pelbagai keadaan.

    Sistem ini turut memberikan pilihan tetapan Comfort dan Sport yang mengubah penyampaian tekanan kuasa brek, dan ia boleh dipilih menggunakan butang Setup baru yang juga mengawal tetapan enjin, kotak gear, suspensi, nisbah stereng dan sistem pacuan empat roda. Satu lagi butang baru adalah untuk M Mode, yang mengubah sistem bantuan pemandu dan informasi yang disampaikan melalui skrin kenderaan untuk mengikut mood pemandu.

    Dalam mod standard Road, semua sistem dan paparan berfungsi seperti biasa, tetapi apabila mod Sport dipilih, paparan instrumen dan head-up display cuma akan mengeluarkan informasi penting sahaja dan pemandu juga boleh menutup terus semua paparan sistem bantuan pemandu, brek autonomous serta Evasion Assistant. Model Competition pula ditambah dengan satu lagi mod Track yang menutup semua sistem bantuan, skrin tengah serta audio, sekaligus memberikan peluang pemandu lebih fokus kepada pemanduan yang bersemangat.

    Disebabkan semua peningkatan prestasi ini, BMW juga mengubah bahagian luar kenderaan dengan ia sekarang menggunakan rekaan lebih agresif berserta tiga corong udara yang besar di hadapan, fender lebih lebar untuk memuatkan jarak roda yang juga lebih lebar, bukaan Air Breather serta diffuser belakang dengan empat muncung ekzos.

    Turut dipasang adalah spoiler belakang yang nipis, cermin sisi khas untuk model M, dan bagi model Coupe, terdapat bumbung gentian karbon. Rim aloi 20 inci datang secara standard dan di sebaliknya terdapat brek M dengan ukuran cakera 395 mm di hadapan atau pilihan unit seramik karbon 400 mm yang lebih besar. Model Competition mendapat kemasan hitam berkilat, rekaan rim khas serta pilihan pakej luar M Carbon.

    BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

    Di dalam, anda akan menemui tempat duduk sport dengan bahagian tepi yang lebih besar, penyandar kepala bersepadu serta lambang M8 yang menyala, dan juga rekaan roda stereng unik berserta butang M1 dan M2 berwarna merah untuk pilihan tetapan kenderaan kegemaran anda. Terdapat juga butang pemula enjin berwarna merah dan tombol gear elektronik baru.

    M8 datang secara standard dengan balutan kulit Merino, tetapi model Competition turut mendapat pilihan kulit lain serta Alcantara dalam skema warna dua tona yang kontras. Model ini juga menggunakan Alcantara pada konsol tengah, bahagian bawah papan pemuka serta kemasan atas BMW Individual.

     
     
  • Lexus Malaysia umum NX 2019 yang dipertingkatkan – Lexus Safety System+, harga turun, dari RM314k

    Lexus Malaysia umum NX 2019 yang dipertingkatkan – Lexus Safety System+, harga turun, dari RM314k

    Lexus Malaysia telah mengumumkan tempahan bagi Lexus NX 2019 telah mula dibuka. SUV generasi pertama ini yang diperkenalkan pada tahun lalu dan kini ia telah dipertingkatkan, malah hanya ditawarkan dengan tiga model sahaja – NX 300h telah digugurkan daripada barisannya, dengan tiga model selebihnya iaitu Urban, Premium dan F Sport masih dikekalkan.

    Peningkatan yang dilakukan ialah penambahan Lexus Safety System+ untuk semua model, dengan menambah Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA), Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan fungsi stop/go dan Adaptive High-Beam System (AHS).

    Malah terdapat juga semakan semula bagi ciri sedia ada, termasuk beberapa perubahan kecil. Bagi varian Urban dan F Sport, ciri yang digugurkan termasuklah sistem Kunci Pintar ala-kad kredit, hanya Premium sahaja masih kekal dengan sistem kunci. Begitu juga pengecas tanpa wayar yang turut digugurkan dari varian Premium dan F Sport.

    Lexus Malaysia umum NX 2019 yang dipertingkatkan – Lexus Safety System+, harga turun, dari RM314k

    Sebelum ini, varian Urban dan F Sport didatangkan dengan bumbung kaca panoramik penuh, manakala Premium pula menampilkan moonroof. Tapi kini semuanya telah digugurkan. Selain itu, F Sport juga menggugurkan ciri lain termasuk paparan 10.3-inci dan sistem audio Mark Levinson – kini didatangkan dengan paparan lapan-inci dan sistem Lexus Premium Audio lapan-pembesar suara, sama seperti model lain.

    Tiada perubahan bagi mekanikal, dan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder masih digunakan untuk NX 300 dengan hamburan kuasa 235 hp dan tork 350 Nm. Tujuh pilihan warna ditawarkan untuk NX 2019 – Blazing Carnelian, Amber CS, Sonic Titanium, Sonic Quartz, Graphite Black GF, Red MC CS dan Sparkling Meteor ME. Manakala F Sport menerima dua warna eksklusif iaitu Heat Blue CL dan Lava Orange CS.

    Dengan beberapa ciri yang digugurkan, mendorong penurunan harga bagi barisan NX 2019. Bagi NX 300 Urban, dari harga RM326,000 kini menjadi RM313,888. Sementara NX 300 Premium pula kini berharga RM333,888 (harga sebelum ini RM345,000). Manakala NX 300 F Sport pula mengalami penurunan harga terbesar – kini RM348,888, turun lebih RM55,000 daripada harga dahulu RM404,000. Semuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

     
     
  • Renault Koleos 2020 facelift – imej dan enjin baharu

    Renault Koleos 2020 facelift – imej dan enjin baharu

    Renault telah mendedahkan SUV Koleos yang dinaiktaraf, menampilkan imej yang menerima sentuhan terkini, enjin baharu serta beberapa ciri teknologi yang turut dipertingkatkan. Untuk kali ini, Renault turut memperkenalkan dua enjin diesel baharu yang menawarkan prestasi lebih baik dan emisi yang lebih rendah berbanding unit yang diganti.

    Ini termasuklah enjin 1.8 liter Blue dCi 150, dengan hamburan kuasa 150 PS dan tork 340 Nm, dan yang terbesar enjin 2.0 liter Blue dCi 190 dengan 190 PS/380 Nm. Puncak tork bagi kedua-duanya pada takat 1,750 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda menerusi X-Tronic Continuously Variable Transmission. Model dengan unit 1.8 liter merupakan pacuan roda-hadapan, sementara enjin yang lebih besar didatangkan dengan All Mode 4×4 i ciptaan Renault sendiri.

    Untuk penggayaan, lampu utama Pure Vision LED kini standard untuk semua model. Malah ia juga ditampilkan dengan gril yang lebih bergaya dengan kemasan krom baharu, serta skid plate yang lebih besar dan apron bawah yang disemak semula.

    Di belakang juga menerima skid plate yang lebih besar, dipenuhi kemasan krom dan lampu brek ketiga yang lebih panjang. Lampu belakang Edge Light tiga-dimensi dikekalkan. Lain-lain ciri tambahan baharu termasuk roda aloi dua-tona baharu dan cat metalik Vintage Red.

    Di dalamnya, kebanyakannya tiada perubahan, melainkan material sentuhan lembut dan sutera didatangkan bagi memberikan citarasa lebih premium. Di belakang pula menampilkan tempat duduk boleh dibaringkan dengan dua-fasa secara standard. Di tengah papan pemuka pula diletakkan skrin infotainmen skrin sesentuh R-Link 2 8.7-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Malah unit tujuh-inci turut menyokong fungsi Apple CarPlay.

    Untuk aspek keselamatan, Koleos kini menerima fungsi pengesan pejalan kaki untuk Sistem Brek Kecemasan Aktif (AEBS). Lain-lain ciri keselamatan masih dikekalkan, dan termasuklah kawalan kelajuan adaptif. Renault kini menjual lebih 100,000 unit Koleos secara global pada 2018.

     
     
  • Mercedes-AMG hasilkan enjin empat silinder turbo paling berkuasa di dunia dengan 416 hp, 500 Nm tork

    Mercedes-AMG cukup berbangga dengan prinsip “satu enjin, satu orang” mereka, dan ia diteruskan dengan enjin baru M139 yang akan digunakan untuk A 45 berasaskan W177 akan datang. Enjin ini diangkat sebagai enjin empat silinder turbo paling berkuasa untuk model produksi, dan menggantikan unit M133 yang digunakan pada A 45 sebelum ini. Mereka juga mempunyai catatan kuasa untuk menyokong dakwaan ini.

    Bagi versi paling berkuasa, enjin 2.0 liter seberat 160.5 kg ini mampu menghasilkan 421 PS (416 hp) pada 6,750 rpm dan 500 Nm tork dari 5,000 rpm. Jumlah ini adalah khas untuk A 45 varian S, yang juga pengecas turbo twin-scroll padanya mempunyai tekanan lebih tinggi (2.1 bar).

    Model “asas” pula menggunakan tekanan 1.9 bar, menghasilkan 387 PS (382 hp) pada 6,500 rpm dan 480 Nm dari 4,750 rpm. Sebagai perbandingan, enjin M133 sekadar mampu mengeluarkan kuasa maksimum 381 PS (375 hp) pada 6,000 rpm dan 475 Nm dari 2,250 rpm. Enjin baru ini juga mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 9.0:1, berbanding 8.6:1 sebelum ini. Kemudiannya, tahap maksimum pusingan enjin ditingkatkan kepada 7,200 rpm (sebelum ini 6,700 rpm pada M133).

    Mercedes-AMG juga bersungguh-sungguh untuk memastikan terdapat perbezaan yang jelas antara model A 35 dan A 45 baru, di mana A 35 masih menggunakan enjin M260 sama seperti A 250 tetapi versi talaan kuasa 306 PS (302 hp) dan 400 Nm tork.

    Mercedes-AMG hasilkan enjin empat silinder turbo paling berkuasa di dunia dengan 416 hp, 500 Nm tork

    Enjin M139 baru ini juga telah dipusing 180 darjah supaya pengecas turbo serta manifold ekzos menghadap ke belakang manakala bahagian intake pula menghadap ke depan. Dengan ini, salur udara dapat dijadikan lebih pendek dan tidak banyak gangguan.

    Pada unit pengecas turbo itu sendiri, ia mempunyai perumah turbin yang menggunakan dua salur selari, dan bersambung dengan salur berasingan pada manifold ekzos. Ini sekaligus membenarkan edaran angin ekzos dimasukkan secara berasingan ke dalam turbin. Tetapan ini mengelakkan sebarang kesan negatif daripada silinder berbeza waktu kitaran beban. Turut digunakan adalah roller bearing pada turbo untuk mengurangkan geseran dan membantu ia sampai ke tahap maksimum 169,000 rpm.

    Aspek lain enjin baru ini termasuk crankcase aluminium, crankshaft besi forged, piston aluminium forged (dengan saduran Nanoslide) serta baffle plate untuk takung minyak bagi memastikan pelinciran yang baik waktu pemanduan bersemangat. Kedudukan muncung injector dan palam pencucuh turut diubah supaya bersesuaian dengan injap ekzos yang lebih besar berbanding enjin M133.

    Perincian teknikal enjin M139 baru ini tidak berakhir di situ. Pada tahap bebanan rendah awal, direct injection digunakan, tetapi untuk mencapai kuasa maksimum, suntikan tambahan pada intake manifold turut dibuat, menggunakan injap solenoid.

    Sudah tentu, dengan kuasa sebanyak ini, sistem penyejukan turut dinaik taraf. M139 dipasang dengan dua radiator iaitu satu di hadapan seperti biasa dan satu lagi di dalam lengkung roda, dengan pam elektrik untuk menggerakkan bendalir penyejuk. Penyejukan minyak transmisi juga disepadukan pada laluan penyejuk enjin dan dibantu dengan penukar haba yang dipasang pada transmisi tersebut.

    Mercedes-AMG juga memberitahu pakej teknologi enjin empat silinder ini akan mempunyai sistem pengurusan alternator, fungsi start/stop dengan penghidup pantas, penapis petrol dan fungsi meluncur (melibatkan transmisi klac berkembar kenderaan ini, yang telah disahkan oleh CEO Mercedes-AMG, Tobias Moers sebagai unit lapan kelajuan).

     
     
  • Mercedes-AMG CLA35 4Matic Shooting Brake diperkenalkan – 2.0L pengecas turbo, 306 PS/400 Nm

    Mercedes-AMG CLA35 4Matic Shooting Brake diperkenalkan – 2.0L pengecas turbo, 306 PS/400 Nm

    Buat pertama kalinya Mercedes-AMG CLA 35 4Matic Shooting Brake baharu diperkenalkan di peringkat global. Wagon junior generasi-kedua ini turut menerima enjin petrol M260 2.0 liter pengecas turbo, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 306 PS pada 5,800 rpm dan tork 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

    Secara mekanikalnya, ia sama seperti C118 CLA 35. Dilengkapi dengam trasmisi dwi-klac AMG Speedshift 7G dan AMG 4Matic (pacuan semua roda boleh laras sepenuhnya), Shooting Brake lebih pantas, hanya memerlukan 4.9 saat untuk pecutan penuh. Manakala kelajuan tertinggi mampu mencapai 250 km/j.

    Sama seperti C118, ia turut didatangkan dengan mod pacuan biasa – Slippery, Comfort, Sport, Sport+, dan Individual. Turut diberikan mod Race Start, yang berfungsi dengan kuasa pendikitan maksimum dari pegun. Apabila disambungkan dengan mod tersebut, sistem ekzos akan terus bertindak sewajarnya, lengkap dengan bunyi latar AMG apabila ia berfungsi.

    Mercedes-AMG CLA35 4Matic Shooting Brake diperkenalkan – 2.0L pengecas turbo, 306 PS/400 Nm

    Selain itu, gandar hadapan dengan bentangan topang MacPherson, sementara belakang pula menggunakan sistem empat-sambungan. Ia turut menampilkan geometri gandar yang lebih spesifik untuk mengurangkan torque steer, sementara aluminium wishbone pula membantu mengurangkan berat badan yang tidak sepatutnya, Peredam adaptif (AMG Ride Control) turut ditawarkan secara pilihan, menawarkan tiga larasan, dari keselesaan hinggalah sporty.

    Lain-lain bahagian seperti brek, sistem ekzos AMG, stereng nisbah boleh laras, dan AMG Track Pace data logger sebagai pilihan turut ditampilkan dari CLA 35 biasa.

    Untuk aspek rekaan, ia mirip dengan coupe empat-pintu, tapi Shooting Brake tampil dengan profil yang berlainan. Daripada belakang, ia didominasi dengan cermin belakang bersudut curam (dengan disambung bilah pengelap cermin). Di bawahnya, lampu belakang sama, begitu juga dengan bampar, diffuser dengan empat fin dan juga dwi corong ekzos berbentuk oval yang besar.

    Pilihan lain termasuklah rim aloi 19-inci dengan rekaan berbeza-beza (saiz standard 18-inci), AMG Night Package (ekzos dan kemasan krom), serta AMG Aerodynamic Package, dengan splitter hadapan yang dimodifikasi, flic pada gril dan spoiler belakang dengan warna hitam berkilat.

    Di dalamnya, tiada perubahan. Ciri yang fancy seperti paparan instrumen digital dan sistem infotainmen MBUX dengan paparan spesifik-AMG turut diberikan, sementara roda stereng dibalut dengan kulit Nappa. Bukan itu sahaja, sistem pencahayaan ambien LED 64-warna juga masih dikekalkan.

    Ciri yang dipertingkatkan termasuk pakej kulit AMG yang didatangkan dengan tempat duduk upholstery dua tona, roda stereng gentian mikro Dinamica dan ambang pintu keluli tahan karat dengan perkataan AMG.

    Menurut pengerusi jemaah Mercedes-AMG, Tobias Moers, CLA 35 Shooting Brakes menampilkan “dinamik kenderaan yang tangkas dan ruang penyimpanan yang fleksibel mampu menarik perhatian pelanggan muda yang gemarkan gaya hidup aktif.”

    CLA Shooting Brake juga dijangka menerima sepenuhnya ciri AMG 45. Ini termasuklah enjin M139 baharu, yang dikatakan sebagai enjin empat-silinder yang paling berkuasa di dunia, dengan output yang boleh mencecah 415 hp dan tork 500 Nm.

     
     
  • Lamborghini Huracan Sterrato – kemampuan offroad pada badan supercar, guna enjin 5.2 liter 640 hp

    Lamborghini Huracan Sterrato – kemampuan offroad pada badan supercar, guna enjin 5.2 liter 640 hp

    Automobili Lamborghini kini sedang meneroka dunia baru dan ia ditunjukkan melalui model konsep yang dinamakan sebagai Huracan Sterrato. Kehebatan pengeluar ini dalam dua jenis kenderaan berbeza iaitu offroad melalui SUV Urus dan super sports melalui Huracan digabungkan menjadi satu pada Huracan Sterrato.

    Selain badan asas, enjin juga diambil daripada Huracan EVO, iaitu unit 5.2 liter NA yang mampu menghasilkan kuasa 640 hp, berserta sistem Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata (LDVI) yang mampu menjangka keadaan pemanduan serta mengubah tetapan pacuan empat roda, stereng empat roda, suspensi serta pengagihan tork untuk lebih cengkaman.

    Kereta konsep ini dicipta untuk keadaan yang mencabar. Tingginya telah dinaikkan 47 mm, sudut bampar hadapan ditajamkan satu peratus, sudut belakang ditingkatkan 6.5 peratus, jarak tayar kiri dan kanan lebih lebar 30 mm serta rim 20 inci yang dibalut dengan tayar lebih tebal dan berbunga kasar khas.

    Lamborghini Huracan Sterrato – kemampuan offroad pada badan supercar, guna enjin 5.2 liter 640 hp

    Untuk memastikan ia dapat bertahan dengan pemanduan ekstrem serta pemandu dapat berseronok atas jalan tidak berturap, badan Huracan Sterrato dipasang dengan perlindungan khas termasuk penguat aluminium di bawah badan, tepi serta rangka hadapan, skid plate belakang yang juga bertindak sebagai diffuser serta skid plate hadapan.

    Campuran bahan khas yang dapat memberi perlindungan daripada kesan batu turut digunakan pada bahagian enjin serta salur udara manakala penghadang lumpur pula menggunakan campuran gentian karbon dan elastomeric resin. Kemudiannya, kereta ini ditambah dengan lampu LED di bumbung dan bampar, roll cage aluminium, tali pinggang four-point, tempat duduk gentian karbon serta panel lantai aluminium.

     
     
  • Toyota dan Subaru sepakat bangunkan platform BEV

    Toyota dan Subaru sepakat bangunkan platform BEV

    Toyota dan Subaru telah mengumumkan jalinan kerjasama untuk membangunkan platform bagi bateri kenderaan elektrik (BEV) bagi kenderaan pelbagai saiz, termasuk sedan segmen-C dan -D serta SUV.

    Sebahagian daripada perjanjian itu, SUV BEV segmen-C akan dijual di bawah jenama masing-masing, seperti kerjasama terdahulu yang melibatkan Toyota 86 dan Subaru BRZ. Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, platform tersebut bakal menggunakan kepakaran Subaru dalam teknologi pacuan semua-roda dan kenderaan elektrifikasi pula oleh Toyota.

    Bagi kepakaran kenderaan elektrifikasi, Toyota akan berkongsikan teknologi plug-in hybrid dengan Subaru bagi model XV Hybrid, model PHEV pertama dari Subaru. Buat masa ini, Toyota hanya menawarkan kenderaan elektrik penuh menerusi model C-HR EV dan Izoa EV.

    Dengan pengkomersilan bagi BEV yang pasti memberikan beberapa cabaran tersendiri, terutamanya bagi Subaru, kerjasama sebegini pastinya mampu menyusun langkah yang lebih strategik untuk membantu masalah pembangunan, kos dan rantaian bekalan. Untuk tujuan tersebut, Subaru kini telah mengubah pembangunan BEV sedia ada untuk projek kerjasama baharu ini.

    Buat masa ini, tiada perincian untuk projek berkenaan, termasuk jumlah motor dan saiz bateri yang platform berkenaan mampu kendalikan. Walau bagaimana pun, kedua-dua syarikat memahami keperluan segera untuk CASE (ketersambungan kenderaan, autonomous atau bantuan pemanduan, perkongsian kenderaan atau mobiliti baharu, dan penjana kuasa elektrifikasi serta komponen) baharu.

     
     
  • Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Hari ke-11 tambah 13 kematian, Selangor catat kemalangan maut tertinggi

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri:  Hari ke-11 tambah 13 kematian, Selangor catat kemalangan maut tertinggi

    Polis DiRaya Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya menyebut hari ke-11 Op Selamat 15 bersempena musim perayaan Aidilfitri merekodkan penambahan 13 kematian akibat kemalangan jalan raya. Jumlah tersebut menjadikan angka keseluruhan sebanyak 189 kes sehingga semalam.

    Bernama melaporkan, jumlah kemalangan turut meningkat kepada 18,053 kes, berbanding hari sebelumnya sebanyak 16,470 kes.

    “Setakat semalam, Selangor merekodkan jumlah kematian terbanyak melibatkan lima kematian diikuti Johor dengan tiga kematian, sementara Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Kelantan serta Sarawak masing-masing mencatat satu kematian,” ujar Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad.

    Asmawati berkata Selangor masih menyumbang kepada jumlah kemalangan tertinggi dengan 4,715 kes, diikuti Johor (2,781), Kuala Lumpur (2,140) dan Perak 1,517 kes.

    “Pihak polis mengadakan sebanyak 3,226 operasi sementara 241,144 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

    Op Selamat 15 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 12 Jun ini, memberi tumpuan terhadap enam kesalahan utama melibatkan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

     
     
  • PLUS bagi potongan tol 20% sepanjang Raya pertama

    PLUS bagi potongan tol 20% sepanjang Raya pertama

    Kepada sesiapa yang akan menggunakan Lebuhraya PLUS sepanjang hari Raya pertama esok, ada berita baik untuk anda. PLUS akan berikan potongan harga bagi kadar tol sebanyak 20% bagi tempoh 24 jam bermula tengah malam ini – tertakluk kepada masa anda keluar dari lebuhraya, dan bukannya ketika memasuki lebuhraya berkenaan.

    “Potongan harga ini kami berikan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan sempena perjalanan balik kampung bagi Aidilfitri kali ini,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    Diskaun 20% ini sah bagi semua kenderaan persendirian yang menggunakan rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), ELITE, LinKedua, Lebuhraya Butterwort-Kulim, LPT2 dan Jambatan Pulau Pinang.

    Bagaimanapun tiada diskaun bagi transaksi di Plaza Tol Tanjung Kupang (LinKedua). Tawaran ini juga tidak terpakai bagi mereka yang ketika ini sedang menikmati diskaun tol 20% untuk Jambatan Pulau Pinang. Selamat Hari Raya!

     
     
  • Audi A6 C8 3.0 TFSI tiba di Malaysia – RM589,900

    Audi A6 C8 3.0 TFSI tiba di Malaysia – RM589,900

    Selain dari A7 Sportback, Audi juga telah membawa sedan A6 bagi memberikan cabaran terus kepada BMW 5 Series dan Mercedes-Benz E-Class. Ia dijual dalam versi 3.0 liter V6 TFSI quattro, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM589,900. Sebagai perbandingan, model facelift A6 3.0 TFSI generasi C7 dijual pada harga RM484,900.

    Ia dijana enjin petrol V6 TFSI berkuasa 335 hp dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S Tronic, bersama sistem pacuan semua roda quattro Audi. Ini membolehkan A6 3.0 TFSI memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Model ini turut dilengkapi sistem hibrid ringkas 48-volt, terdiri dari bateri lithium-ion dan alternator stater yang digerakkan oleh tali-sawat. Sistem ini membolehkan kereta berkenaan ‘berlayar’ dengan enjin dimatikan dalam kelajuan antara 55 hingga 160 km/j.

    Seperti A7, A6 ini turut menerima lampu hadapan dan belakang LED, bersama pakej penggayaan S Line yang terdiri dari liang kemasukan udara lebih agresif bersama kemasan sama di belakang. Ia juga dilengkapkan dengan rim aloi 20-inci dibaluti tayar 255/40R20.

    Pada bahagian dalaman, A6 turut berkongsi banyak ciri dengan A7. Pamandu menerima paparan instrumen digital Virtual Cockpit dengan skrin 12.3-inci dan juga paparan head-up. Manakala ditengah, skrin infotaimen bersaiz 10.1-inci diletakkan di atas untuk sistem MMI Navigation Plus, disambungkan ke sistem bunyi Bang & Olufusen.

    Manakala di bawah satu lagi skrin dengan saiz 8.6-inci diletakkan untuk kawalan lain seperti pendingin hawa, pad sesentuh untuk menaip dan sebagainya. Sedikit berbeza dengan A7, A6 diberikan kemasan upholsteri berwarna perang.

     
     
  • Skoda Mountiaq trak pikap konsep, asas dari Kodiaq

    Skoda Mountiaq trak pikap konsep, asas dari Kodiaq

    Jangan tak tahu, Skoda pun ada angan-angan untuk bangunkan trak pikap. Model konsep ini, Skoda Montiaq, diasaskan daripada sebuah lagi model jenama itu, SUV Kodiaq. Trak ini mempunyai dimensi 4,999 mm panjang, 2,005 mm lebar dan 1,710 mm tinggi.

    Jarak antara roda pula ialah 2,788 mm dan berat keseluruhan 2,450 kg. Jarak kelegaan tanah pula 290 mm, dengan rim 17-inci Rockstar II. Enjin menggunakan unit 2.0 liter TSI empat-silinder seperti Kodiaq, menghasilkan 190 PS dan 320 Nm tork. Ia digandingkan pula dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

    Rekaan projek khas ini dihasilkan oleh 35 orang tenaga perintis dalam Skoda (termasuk enam perempuan) dan disokong oleh tanaga pakar dari bahagian Rekaan, Pengeluaran dan Pembangunan Teknikal Skoda sendiri.

    Umumnya, Mountiaq masih mengekalkan banyak ciri rekaan dari Kodiaq, tetapi diberikan penampilan lebih rugged sesuai dengan imej trak pikap yang ingin dibawanya. Bampar depan misalnya, siap dengan bullbar tebal dan juga alat winch prestasi tinggi. Lampu tambahan juga banyak disediakan, terutama pada bahagian bampar, bumbung dan di ruang barangan belakang.

    Bahagian truck bed juga mempunyai banyak ruang simpanan kecil yang berasingan. Warna Sunset Orange yang digunakan juga merupakan warna khas. Bahagian dalam antara lain mempunyai ciri peti sejuk. Head unit dengan skrin sentuhnya disambung kepada satu set pembesar suara 320-watt yang dipacu oleh amplifier 2,000-watt dan sebuah lagi subwoofer 2,000-watt.

    Secara keseluruhannya, pasukan berkenaan mengambil masa selama lapan bulan dan lebih daripada 2,000 jam untuk membangunkan Skoda Mountiaq ini. Anda rasa, trak pikap ini nampak cukup menarik atau sebaliknya?

     
     
  • Brabus tunjukkan dua versi Mercedes-AMG G63 mereka – Black Ops 800 dan Shadow 800, unit terhad

    Brabus tunjukkan dua versi Mercedes-AMG G63 mereka – Black Ops 800 dan Shadow 800, unit terhad

    Mercedes-AMG G63 adalah sebuah kereta yang cukup gagah atas jalan, tapi Brabus merasakan mereka boleh membuat generasi baru Gelandewagen ini lebih ganas. Jadi, syarikat ubah suai dari Jerman ini memperkenalkan Brabus Shadow 800 dan Brabus Black Ops 800.

    Hanya 10 unit untuk setiap model ini akan dihasilkan dan enjin 4.0 liter twin-turbo padanya juga telah diusik oleh Brabus untuk menghasilkan 800 PS (789 hp) dan 1,000 Nm. Bezanya adalah banyak dengan model standard, kerana G63 apabila keluar dari kilang cuma boleh menghasilkan 585 PS (577 hp) and 850 Nm. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.1 saat

    Turut menyumbang kepada peningkatan kuasa ini adalah sistem ekzos stainless steel dengan muncungnya yang berwarna krom gelap keluar di bahagian tepi kenderaan. Ia juga datang dengan injap khas yang membolehkan pengguna memilih mod bunyi terkawal atau liar.

    Kedua-dua model yang dikeluarkan oleh Brabus ini sebenarnya menggunakan kit badan Brabus Widestar yang sama – menambah lebarnya 100 mm lagi – serta rim ‘Platinum Edition’ 23 inci, tetapi bezanya cuma pada skema warna, termasuk kemasan bahagian dalam.

    Melihat kepada Black Ops 800, badannya dicat warna hitam berkilat dengan kemasan merah, termasuk pada angkup brek. Kemudiannya, skup udara atas hud serta kemasan keliling lampu LED menggunakan gentian karbon yang berkilat. Masuk ke dalam, kulit yang digunakan adalah berwarna kelabu gelap, dan dipadankan bersama jahitan merah, sementara kemasan plastik diganti dengan gentian karbon.

    Shadow 800 pula datang dalam warna dua tona, dengan kelabu gunmetal yang utama dan hitam di beberapa bahagian lain. Kemasan gentian karbon pada model ini juga lebih banyak termasuk pada keliling gril, skup udara, lampu LED atas bumbung, tepi sayap bumbung belakang serta keseluruhan penutup tayar simpanan.

    Di bahagian dalamnya pula Shadow 800 menggunakan kulit warna ‘Light Shadow Grey’, dengan sentuhan kemasan hitam dan merah. Tiang a-pillar ditutup dengan kain Alcantara dan turut melihatkan banyak penggunaan gentian karbon pada bahagian lain. Kedua-dua model juga datang dengan lencana keluaran khas. Untuk harga, Black Ops 800 bermula dari 275,055 euro (RM1,292,985) manakala Shadow 800 dijual bermula pada 327,621 euro (RM1,540,088).

    Black Ops 800

    Brabus Shadow 800

     
     
  • Tiada simbahan minyak berlaku di Terowong Menora dan Lebuhraya Karak – Polis, LLM dan Anih Berhad

    Tiada simbahan minyak berlaku di Terowong Menora dan Lebuhraya Karak – Polis, LLM dan Anih Berhad

    Kecoh di laman sosial bahawa ada lagi insiden pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menumpahkan minyak di dua kawasan popular ketika musim perayaan ini iaitu di Terowong Menora dan Kilometer 75.7 Lebuhraya Karak. Namun menurut laporan Bernama, kedua-dua berita yang tular tersebut adalah insiden lama yang ditularkan kembali.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Zakaria Abd Rahman, hasil rondaan sepanjang Op Selamat 15 tidak menemukan sebarang kesan tumpahan minyak seperti di dalam gambar yang tular.

    “Saya juga telah membuat semakan dan tiada sebarang kenderaan seperti di dalam gambar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan itu,” katanya.

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menafikan kejadian tumpahan minyak di sekitar laluan sebagaimana yang didakwa. Menurut jurucakap LLM, pihaknya tidak menerima sebarang insiden tumpahan minyak di kawasan berkenaan sepanjang dua hari lalu dan mengesahkan bahawa laluan itu selamat digunakan oleh pengguna jalan raya ketika ini. Menurutnya lagi, gambar yang tular itu dipercayai kejadian pada tahun 2017.

    Sementara itu di Karak, pemegang konsesi lebuhraya tersebut, Anih Berhad menerusi satu kenyataan media menafikan dakwaan berlaku kejadian yang sama di Kilometer 75.7 dan ia sebenarnya adalah insiden lama yang berlaku pada 6.28 petang, 3 Julai 2017.

    “Ia adalah kemalangan lama membabitkan tujuh kenderaan yang berlaku akibat kesan daripada tumpahan minyak akibat daripada kemalangan di lokasi sama sebelumnya,” tulis kenyataan tersebut.

    Penularan mesej di Km75.7 itu merupakan insiden kedua yang membabitkan lebuh raya itu pada bulan ini, selepas insiden pertama kononnya berlaku tumpahan minyak antara Km46.2 hingga Km46.8 arah timur berhampiran Bukit Tinggi.

    Justeru, Anih Berhad meminta orang ramai untuk menghentikan penularan mesej terbabit kerana dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dan suasana panik, terutamanya semasa orang ramai rancak pulang ke kampung bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

     
     
  • Perodua Aruz cecah 25,000 tempahan, 52% sudah dihantar; jualan Mei 2019 capai 22,943 unit

    Perodua Aruz cecah 25,000 tempahan, 52% sudah dihantar; jualan Mei 2019 capai 22,943 unit

    Ternyata langkah Perodua dalam memperkenalkan Aruz di pasaran tepat pada masanya, apatah lagi tatkala SUV kian menjadi pilihan di negara ini. Sejak dilancarkan pada pertengahan Januari lalu, Perodua telah menghantar 52% daripada 25,000 tempahan yang diterima, iaitu sekitar 13,000 unit kini telah berada di jalan raya.

    “Kami telah berjaya mempercepatkan penghantaran Perodua Aruz kepada 110 unit sehari secara purata daripada 100 sebelumnya. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal kami untuk terus mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menjadikan Perodua Aruz antara SUV yang terlaris di negara ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Dalam masa yang sama, Zainal turut memohon maaf kepada para pelanggan yang masih belum menerima kereta mereka untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. “Kepada pelanggan kami yang dihargai, kami dengan rendah hati dan tulus ikhlas memohon maaf andai kenderaan baharu anda tidak berjaya dihantar menjelang tibanya Hari Raya. Perodua sedang bertungkus-lumus untuk memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu anda. Kami amat berterima kasih atas pemahaman, kesabaran dan kepercayaan anda,” katanya.

    Perodua Aruz cecah 25,000 tempahan, 52% sudah dihantar; jualan Mei 2019 capai 22,943 unit

    Menurut data jualan kenderaan yang direkodkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua telah menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei 2019, mengikut kiraan dalaman. Ini membawa jumlah lima bulan pertamanya kepada 105,743 unit – lonjakan 8.5% berbanding dengan jualan 97,487 unit dari Januari hingga akhir-Mei 2018.

    “Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pembekal komponen tempatan kami yang telah membuktikan kebolehan mereka dengan meningkatkan pengeluaran dan mengekalkan kualiti mereka untuk memenuhi permintaan tinggi bagi model-model Perodua, yang kesemuanya mengandungi lebih 90% komponen tempatan,” kata Dato’ Zainal.

    SUV tujuh tempat duduk ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5X yang berharga RM72,900 dan 1.5 Advance (AV) yang berharga RM77,900 (harga tidak termasuk insurans). Kedua-dua varian ini masih menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula adalah unit automatik empat-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang.

     
     
  • Touch ‘n Go PayDirect akan beroperasi di lebuhraya PLUS, Elite, NKVE dan LEKAS pula selepas ini

    Touch ‘n Go PayDirect  akan beroperasi di lebuhraya PLUS, Elite, NKVE dan LEKAS pula selepas ini

    Ketika ini, ada 16 lebuhraya di Malaysia yang menyediakan sokongan untuk ciri Touch ‘n Go PayDirect, yang membolehkan membayar tol menggunakan eWallet mereka melalui kad TnG sedia ada.

    Selepas ini, perkhidmatan itu akan dilanjutkan pula kepada tol sistem tertutup seperti Lebuhraya PLUS, Elite, NKVE dan LEKAS, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 20 lebuhraya. Bagaimanapun, tiada jangka masa yang dinyatakan bagi pelaksanaan di lebuhraya-lebuhraya tersebut.

    Perkhidmatan PayDirect membolehkan pengguna menghubungkan tiga kad Touch ‘n Go kepada aplikasi eWallet mereka. Sebaik saja kad itu dihubungkan ke eWallet, caj tol akan dipotong secara automatik dari eWallet bila-bila masa kad yang dihubungkan itu digunakan di plaza tol (secara sentuhan biasa ataupun melalui SmarTAG), tanpa sebarang potongan kepada kad berkenaan.

    Sekiranya eWallet tidak mempunyai jumlah baki yang cukup, barulah caj akan dipotong daripada baki pada kad fizikal. Bagaimanapun, anda boleh mengekalkan jumlah baki dalam kad sekiranya anda mengaktifkan ciri “auto-reload” pada eWallet.

    Untuk menambah nilai eWallet, ia boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar menggunakan kad kredit atau debit, perbankan atas talian atau TNG Reload PIN tanpa dikenakan caj tambahan. Ramai yang dah pernah cuba sistem baru ini?

     
     
  • BMW Malaysia dan Childline Foundation anjur kempen ‘From Day One’ – advokasi kerusi kanak-kanak

    Menerusi program, ‘BMW Safety 360° Programme’ edisi kelima, BMW Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Childline Foundation – sebuah organisasi bukan bermotifkan untung yang bermatlamat untuk memberi kesedaran dan pendidikan mengenai keselamatan kanak-kanak, untuk melancarkan kempen ‘Dari Hari Pertama’ (‘From Day One’). Kempen tersebut berhasrat untuk menaungi kepentingan kerusi kereta kanak-kanak, terutamanya untuk kelahiran bayi baharu.

    Dengan sokongan Chicco Malaysia, BMW Malaysia akan menghadiahkan set kerusi kereta ini kepada enam bayi yang pertama dilahirkan pada Hari Bapa di Hospital Putrajaya. Ibu bapa bayi-bayi berkenaan juga akan mempelajari amalan yang betul berkaitan keselamatan kanak-kanak daripada konsultan keselamatan penumpang daripada Childline Foundation. Sesi perkongsian tersebut akan meliputi kriteria pemilihan kerusi kereta kanak-kanak yang wajar, kaedah pemasangan yang betul, serta kitaran hidup kerusi khas berkenaan.

    Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Sejak tahun 2015, BMW Safety 360° Programme telah beriltizam untuk menaungi nilai-nilai keselamatan bagi pemandu, penumpang serta pengguna jalan raya. Melalui kempen ‘From Day One’, kami berharap pihak ibu bapa menyedari betapa mustahaknya perlindungan seperti ini diberikan kepada bayi mereka sejurus mereka keluar dari hospital bersalin.”

    Klik untuk besarkan

    Sambungnya lagi, “Kami turut berharap untuk mendidik mereka tentang kaedah pemasangan dan penggunaan yang betul melibatkan kerusi kanak-kanak ini. Kepentingannya adalah sama seperti pemakaian tali pinggang keledar, agar tahap keselamatan setiap individu dapat dipelihara,” ujar Harald.

    Menerusi kempen tersebut, BMW Malaysia dan Childline Foundation juga akan berkongsi informasi penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka selamat sewaktu perjalanan balik kampung masing-masing.

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan penggunaan kerusi kanak-kanak di dalam kenderaan bakal diwajibkan pada tahun 2020. “Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia, tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

    BMW Malaysia dan Childline Foundation anjur kempen ‘From Day One’ – advokasi kerusi kanak-kanak

    Sebagai pengetahuan, untuk kanak-kanak di bawah berat 25 kg (berat adalah ukuran lebih tepat berbanding usia) haruslah diletakkan di kerusi khas kanak-kanak (Kumpulan 0+, 1 dan 2, kerusi berkenaan diposisi menghadap belakang) dan bagi yang di bawah berat 36 kg pula boleh duduk di tempat duduk biasa dengan tambahan pemasangan booster seat atau booster cushion (Kumpulan 3) tetapi dalam masa yang sama pastikan dipakai tali pinggang keledar. Ini adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan.

    Dan mereka juga perlu didudukkan di tempat duduk penumpang belakang, bukan di hadapan. Ini bagi menjauhkan mereka daripada beg udara hadapan yang akan terkeluar sekiranya berlaku kemalangan. Anda hanya boleh menempatkan kerusi khas kanak-kanak atau booster seat di tempat duduk hadapan sekiranya ada suis untuk mematikan beg udara di bahagian penumpang hadapan (tidak semua kereta didatangkan dengan fungsi itu), tetapi ini hanya pilihan terakhir (terutamanya jika bimbang si kecil anda mengamuk, meragam atau tantrum bila kena duduk seorang diri di belakang).

    Malaysia merupakan salah satu negara yang menandatangani perjanjian World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations WP 29. Salah satu peraturan yang Malaysia bersetuju untuk menggunapakai adalah peraturan United Nations Regulation 44 atau UN R44 iaitu Uniform Provisons Concerning the Approval of Restraining Devices for Child Occupants of Power-Driven Vehicles atau Child Restraint System (CSR).

     
     
  • GALERI: Honda HR-V RS dengan dalaman hitam

    GALERI: Honda HR-V RS dengan dalaman hitam

    Semasa dilancarkan lima bulan lalu, Honda HR-V facelift datang dengan varian RS yang lebih sporty. Ia sebenarnya menggunakan varian Grade V sebagai asas dan dijadikan lebih bergaya. Bahagian dalam versi RS ini kemudiannya menggunakan warna Ivory.

    Sekarang, warna bahagian dalam telah diubah kepada hitam penuh, bermakna balutan kulit tempat duduk, konsol tengah, kemasan panel papan pemuka serta panel pintu yang sebelum ini berwarna Ivory semuanya kini berwarna hitam. Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan bagi varian ini.

    HR-V RS datang dengan gril sports di hadapan, hiasan pada lampu kabus, serta kemasan warna hitam pada bahagian seperti bawah bampar hadapan dan belakang, side sill serta cermin sisi. Pemegang pintu pula menggunakan warna krom manakala hiasan tepi nombor plet menggunakan warna krom gelap. Varian ini juga dilengkapi dengan rim 18 inci dua tona dengan tayar 225/50.

    Sama seperti varian petrol Grade E dan Grade V, HR-V RS dilengkapi dengan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC serta padanan kotak gear CVT, yang mampu menghasilkan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan 172 Nm tork pada 4,300 rpm. Unik baginya, ia dilengkapi dengan sistem stereng baru Variable Gear Ratio (VGR).

    Kelengkapan lain yang ada pada model ini adalah termasuk lampu LED (dengan pelarasan automatik), lampu kabus LED, roda stereng kulit, skrin paparan sistem audio 7.0 inci serta tempat duduk pemandu larasan kuasa. Untuk ciri keselamatan terdapat Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan varian RS ini juga datang dengan kamera titik buta Honda LaneWatch.

    Honda HR-V RS dijual pada harga RM124,800 atas jalan tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.