Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW Driving Experience 2019 – lahir lebih ramai pemandu berkemahiran, cekap, peka serta selamat

    BMW Driving Experience 2019 – lahir lebih ramai pemandu berkemahiran, cekap, peka serta selamat

    BMW Malaysia sekali lagi berjaya menamatkan acara BMW Driving Experience hujung minggu lalu, yang kini sudah pun masuk edisi ke-12. Seperti tahun-tahun sebelum ini, ia sekali lagi berjaya mencapai objektifnya iaitu melatih peserta bagi menajamkan skil pemanduan, dan menjadi pemandu yang lebih peka serta berhemah di jalan raya.

    Program satu hari di Litar Antarabangsa Sepang ini bukan sahaja menekankan aspek teori, malah kemahiran pemanduan peserta dilatih lebih banyak secara praktikal menggunakan model BMW 3 Series iaitu 330i M Sport generasi G20 yang baharu sahaja dilancarkan bulan lalu.

    Sebelum memandu, pelatih-pelatih terlebih dahulu diajar bagaimana untuk melaraskan kedudukan tempat duduk untuk memandu dan bagaimana untuk memutarkan roda stereng dengan betul. Kemudian, mereka dilatih secara praktikal bagaimana untuk membuat brek kecemasan dan bagaimana untuk mengelak sebarang halangan secara kecemasan dengan betul ketika memandu.

    Teknik-teknik bagaimana untuk membetulkan kembali kereta yang understeer dan oversteer turut diajar dalam BMW Driver Experience ini. Akhir sekali, sebuah litar Gymkhana kecil disediakan oleh penganjur, dan pelatih perlu berlumba sesama mereka bagi mendapatkan catatan masa terpantas, menggunakan segala ilmu yang telah diajar.

    Berminat untuk menyertai acara ini? Jangan risau kerana BMW Malaysia akan terus mengadakan program ini untuk tahun-tahun seterusnya. Ia dibuka untuk penyertaan orang ramai sama ada pemilik atau bukan pemilik BMW (keutamaan dan diskaun yuran akan diberi kepada pemilik). Sila lawati laman sesawang rasmi BMW Malaysia untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Toyota GR Super Sport – model produksi jalan raya akan menerjah pasaran, sah sertai musim baharu WEC

    Toyota GR Super Sport – model produksi jalan raya akan menerjah pasaran, sah sertai musim baharu WEC

    Hujung minggu lalu, Toyota telah mempertahankan gelaran juara Le Mans 24 Jam dengan kemenangan bergaya 1-2 di Circuit de la Sarthe. Bukan itu sahaja, kejayaan pada pusingan terakhir FIA World Endurance Championship (WEC) itu turut mengesahkan trio sebastien Buemi, Fernando Alonso dan Kazuki Nakajima sebagai juara kategori pemandu untuk musim ini, manakala juara untuk kategori pengeluar sudahpun disahkan milik pasukan tersebut lebih awal di pusingan Spa Francorchamps Mei lalu.

    Tahun ini merupakan musim WEC terakhir yang menampilkan kategori prototaip LMP1 sebagai kategori tertinggi siri perlumbaan ketahanan tersebut. Musim hadapan, FIA telah memperkenalkan kategori baharu bagi menggantikan LMP1, dikenali sebagai Hypercars.

    Untuk kategori Hypercars ini, pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta lumba berasaskan kereta-kereta yang sah digunakan pada jalan raya dan dijual dalam pasaran – pengeluar perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 20 unit model ‘homologation special’ untuk di jual kepada orang awam dalam tempoh dua tahun.

    Adakah Toyota akan bersara dari WEC kerana undang-undang baharu ini? Tidak, kerana Gazoo Racing telah mengesahkan bahawa mereka akan terus berjuang dan akan menggunakan kereta lumba baharu berdasarkan model konsep GR Super Sport. Menurut Gazoo Racing, kedua-dua versi kereta tersebut – produksi jalan raya dan juga jentera perlumbaan sebenar – kini sedang dibangunkan secara itensif di Pusat Teknikal Toyota City, Higashi Fuji dan juga di Toyota Motorsport GmbH, Cologne Jerman.

    Ujian litar dan nama kereta lumba tersebut akan didedahkan selepas ini, dan ujian tersebut dijangkan akan bermula tahun hadapan sebelum bermulanya kejohanan WEC untuk musim 2020-2021. Manakala perincian untuk model produksi jalan raya GR Super Sport pula akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Bagi Toyota Gazoo Racing, pertandingan era baharu ini merupakan peluang keemasan untuk menunjukkan kebolehan kami bukan sahaja sebagai pasukan lumba yang bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik lain dalam lapangan ini, tetapi sebagai pengeluar kereta sport. Saya percaya saya bersama peminat dan pesaing-pesaing dalam mengalu-alukan peraturan baharu ini dan tidak sabar untuk masuk ke era yang mengujakan dalam WEC dan di Le Mans,” kata presiden Gazoo Racing, Shigeki Tomoyama.

    Kereta konsep berkenaan sebenarnya telah didedahkan di Tokyo Auto Salon dan Le Mans tahun lalu. GR Super Sport Concept dijana oleh enjin 2.4 liter V6 dengan dua pengecas turbo, dan turut disokong Toyota Hybrid System-Racing (THS-R). Gabungan tersebut membolehkan kereta ini menjana 1,000 hp seperti jentera LMP1 TS050 Hybrid sedia ada.

    “Bertanding di WEC, salah satu siri sukan bermotor yang paling mencabar, dan berlumba di Le Mans – salah satu perlumbaan yang ikonik – membantu kami untuk memajukan pembangunan teknologi hibrid eletrik yang menjadi peneraju dunia dan membolehkan kami memindahkan pengetahuan yang kami perolehi ke kereta produksi kami,” kata Tomoyama lagi.

    “Serentak dengan industri automotif yang kini menghampiri era perubahan yang besar, kami akan meneruskan minat kami untuk memnghasilkan kereta yang benar-benar mengujakan. Tidak kira bagaimana teknologi elektronik dan digital akan terus merubah kenderaan, kami akan memastikan kereta kami tidak menjadi sekadar satu lagi komoditi.

    “Kami mulakan projek ini kerana kami percaya dengan menghasilkan kereta super sport yang memberikan penampilan seperti TS050 Hybrid akan menampakkan Toyota sebagai jenama yang terlibat dalam WEC. Dan pada satu tahap pada masa terdekat, pelanggan akan mempunyai peluang untuk memandu jentera hebat ini dan merasa kuasa yang begitu menakjubkan serta prestasi pemanduan,” jelas Tomoyama.

    GALERI: GR Super Sport Concept

     
     
  • Yamaha Y15ZR Ultraman Edition – produk berlesen guna asas daripada V2, terhad 100 unit, harga RM12.7k

    Yamaha Y15ZR Ultraman Edition – produk berlesen guna asas daripada V2, terhad 100 unit, harga RM12.7k

    Model kapcai yang semakin popular iaitu Yamaha Y15ZR V2 kini hadir dalam satu edisi terhad yang dipanggil sebagai Y15ZR Ultraman Limited Edition. Ia dijual secara eksklusif oleh Welly Assorted di Rawang, dengan harga RM12,688 (tidak termasuk insurans) dan hanya terhad sebanyak 100 unit sahaja.

    Model ini sebenarnya adalah satu produk rasmi berlesen yang diiktiraf oleh ejen perlesenan Ultraman Malaysia, Taigaco dan menggunakan grafik airbrush khas berwarna perak, merah dan disudahi dengan kemasan matte. Kemudiannya, ia juga dipasang dengan tuil brek dan klac aloi boleh laras Rapido, serta penghadang radiator dan pelindung enjin aloi.

    Menambah lagi keistimewaannya, Y15ZR Ultraman Edition ini datang dengan plet nombor keluaran khas, dan pemilik boleh memilih nombor yang dimahukan, selagi ia masih ada. Melengkapkan pakejnya, terdapat sijil keaslian, serta kemeja T, poskad dan gambar di sebalik tabir Ultraman.

    Yamaha Y15ZR V2 yang digunakan sebagai asas kepada model keluaran terhad ini dipacu oleh enjin enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc serta padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Kelebihannya berbanding Y15ZR keluaran pertama adalah bahagian lampu hadapan yang menggunakan bentuk baru dan merupakan nyalaan LED, meter paparan LCD, tayar hadapan lebih besar (bersaiz 90/80), fender depan baru, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch). Harga cadangan pengeluar Y15ZR V2 biasa adalah RM8,168, tidak termasuk insurans.

     
     
  • GALERI: Mazda 3 2019 – hatchback, sedan dari Jepun

    GALERI: Mazda 3 2019 – hatchback, sedan dari Jepun

    Bukan lagi rahsia, Mazda 3 2019 dari generasi keempat akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Julai nanti. Dan, hujung minggu lalu, rakan sekerja kami dari versi bahasa Inggeris, Gerard Lye berkesempatan berkunjung ke Jepun untuk menjadi yang terawal dari Asean yang mendekati serta memandu uji model berkenaan.

    Akan ada dua pilihan enjin serta dua pilihan rekabentuk yang akan masuk ke pasaran kita; enjin 1.5 liter dan enjin 2.0 liter, serta Mazda 3 hatchback dan juga sedan – awalnya dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) terus dari Jepun. Anggaran harga pula ialah dari RM137,000 dan Bermaz sudah mula mengambil tempahan untuk model ini.

    GALERI: Mazda 3 2019 – hatchback, sedan dari Jepun

    Berbalik kepada enjin, ada dua pilihan ditawarkan, iaitu enjin petrol SkyActiv-G yang akan ditawarkan iaitu 2.0 liter (162 hp/210 Nm) dan 1.5 liter (114 hp/150 Nm) dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive secara standard untuk kedua-duanya. Unit enjin SkyActiv-X bagaimanapun tidak akan ditawarkan untuk pasaran tempatan buat masa ini.

    Model baru ini turut melibatkan perbezaan saiz berbanding Mazda 3 lama. Bagi versi hatchback, ia kini berukuran 4,459 mm panjang (-1mm berbanding model sebelumnya), 1,797 mm lebar (+2 mm) dan 1,440 mm tinggi (-10 mm). Manakala sedan pula 4,662 mm panjang (+82 mm), 1,797 mm lebar (+2 mm) dan 1,445 mm tinggi (+5 mm). Kedua-duanya berkongsi jarak antara roda yang sama iaitu 2,725 mm (+25 mm).

    GALERI: Mazda 3 2019 – hatchback, sedan dari Jepun

    Perincian lanjut berkaitan penawaran yang akan diberikan untuk pasaran tempatan hanya akan diketahui menjelang pelancaran rasminya nanti. Selebihnya, anda boleh belek galeri gambar “live” yang kami sediakan ini untuk meninjau kelengkapan yang ada pada unit yang ditunjukkan di Jepun ini.

    Mazda 3 Hatchback 2019

    Mazda 3 Hatchback 2019 dengan aksesori

    Mazda 3 Sedan 2019

     
     
  • Yamaha LC135 V6 – risalah sudah diedar, harga naik?

    Yamaha LC135 V6 – risalah sudah diedar, harga naik?

    Bermula dengan gambar yang sudah tersebar sejak beberapa minggu lalu, sekarang risalah jualan untuk Yamaha 135LC versi terbaru pula sudah tersebar di dalam internet. Model ini masih belum dilancarkan secara rasmi oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dan risalah tersebut dimuat naik oleh pengedar motosikal – dalam gambar ini Seng Hoe Motor di Skudai.

    Disebabkan ia masih belum dilancar secara rasmi, kami belum menerima harga model terbaru ini daripada HLYM namun sedikit peningkatan boleh dijangka berbanding harga cadangan pengeluar (waktu pelancaran) model sebelum ini iaitu RM7,167.

    Dalam risalah tersebut, dinyatakan tiga peningkatan utama 135LC versi terbaru ini adalah termasuk rekaan penutup hon (biasanya dipanggil panel dada), pelindung enjin serta pengalir udara pada panel tepi. Kemudiannya, ia datang dengan tiga pilihan warna baru. Selain daripada itu, semuanya masih sama seperti model sebelumnya.

    Yamaha LC135 V6 – risalah sudah diedar, harga naik?

    Ini bermaksud, 135LC versi terbaru masih lagi dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC sejukan cecair 134 cc yang menggunakan sistem bahan api karburator, dan digabungkan bersama transmisi empat kelajuan untuk menghasilkan 12 hp pada 8,500 rpm dan 11.79 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Kelengkapan lain model ini adalah termasuk tangki bahan api empat liter, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, rim 17 inci berserta tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 d belakang, lampu jenis halogen, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.

     
     
  • Petronas memperkenalkan perkhidmatan trak pengisian minyak ROVR – pertama di Malaysia

    Petronas memperkenalkan perkhidmatan trak pengisian minyak ROVR – pertama di Malaysia

    Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kini menawarkan perkhidmatan mengisi minyak bergerak yang pertama di Malaysia dikenali sebagai ROVR. Ia merupakan perkhidmatan inovatif ROVR yang membolehkan pengisian bahan api yang lancar dan selamat bagi kedua-dua pemandu komersial dan harian di luar stesen minyak konvensional.

    Mula berkhidmat kepada pelanggan komersil (B2B) sejak projek perintisnya dimulakan pada Oktober 2018, sehingga kini ia telah menyalurkan lebih satu juta liter minyak kepada pengguna. ROVR kini bersedia untuk berkhidmat kepada lebih ramai pelanggan B2B di seluruh negara dengan memperkenalkan lebih banyak trak ROVR.

    Malah tidak lama lagi, ROVR akan membawa bahan api terkini Petronas Primax95 dengan Pro-Drive ke kawasan yang memiliki kepadatan trafik, sekaligus memperluaskan perhidmatan seumpamanya di luar rangkaian stesen minyak Petronas di seluruh negara.

    Menurut Petronas, trak pengisian minyak ROVR dijamin selamat dan diperakui untuk penghantaran dan pengeluaran minyak mematuhi keperluan ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan pengawalseliaan. Semua trak ROVR dilengkapi dengan sensor untuk memantau maklumat penting dan mengekalkan keselamatan operasi sepanjang tempoh perkhidmatan. Barisan jentera ROVR terdiri daripada sebuah trak berkapasiti 4,000 liter dan tiga trak 11,000 liter untuk pelanggan komersial.

    “Trak dengan kapasiti 3,000 liter untuk pengguna akhir kerana masih dalam peringkat ujian. PDB akan mengembang perkhidmatan ROVR ke seluruh negara serta menambah lebih banyak tapak pengisian minyak menjelang hujung tahun ini,” ujar Petronas.

     
     
  • Mazda 3 2019 tiba di M’sia Julai ini – hatchback dan sedan, enjin 1.5L dan 2.0L, anggaran dari RM137k

    Mazda 3 2019 tiba di M’sia Julai ini – <em>hatchback</em> dan sedan, enjin 1.5L dan 2.0L, anggaran dari RM137k

    Mazda 3 generasi ke-empat telah pun mula didedahkan secara rasminya pada November 2018, dan dikhabarkan ia bakal dilancarkan di Malaysia pada pertengahan Julai ini.

    Kedua-dua versi sedan dan hatchback Mazda 3 serba baharu ini (model import sepenuhnya atau CBU) bakal ditawarkan dengan harga anggaran bermula RM137,000 – pengedar rasmi Mazda di Malaysia, Bermaz, kini telah mula membuka tempahan bagi model ini.

    Bagi penjana kuasa pula, hanya dua pilihan enjin petrol SkyActiv-G yang akan ditawarkan iaitu 2.0 liter (162 hp/210 Nm) dan 1.5 liter (114 hp/150 Nm) dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive secara standard untuk kedua-duanya.

    Mazda 3 2019 tiba di M’sia Julai ini – <em>hatchback</em> dan sedan, enjin 1.5L dan 2.0L, anggaran dari RM137k

    Jika anda ternanti-nanti enjin SkyActiv-X dengan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI), sayangnya ia tidak ditawarkan untuk pasaran kita. Unit tersebut menampilkan pencucuhan mampatan yang biasanya terdapat pada enjin diesel, dengan sistem tersebut menyediakan bahan bakar yang setara atau lebih baik berbanding enjin diesel SkyActiv-D 1.5 ciptaan Mazda sendiri.

    Buat masa ini, tiada perincian mengenai elemen yang akan ditampilkan bagi model pasaran kita, tetapi difahamkan terdapat lima varian yang ditawarkan. Kita hanya akan tahu perincian penuh mengenai varian terbabit pada hari pelancarannya kelak.

    Walau bagaimana pun, Mazda 3 baharu ini merupakan model pertama bagi barisan produk generasi akan datang Mazda dan menampilkan platform SkyActiv-Architecture baharu.

    Mazda 3 2019 tiba di M’sia Julai ini – <em>hatchback</em> dan sedan, enjin 1.5L dan 2.0L, anggaran dari RM137k

    Bagi versi hatchback, kini ia berukuran 4,459 mm panjang (-1mm berbanding model sebelumnya), 1,797 mm lebar (+2 mm) dan 1,440 mm tinggi (-10 mm). Manakala sedan pula 4,662 mm panjang (+82 mm), 1,797 mm lebar (+2 mm) dan 1,445 mm tinggi (+5 mm). Kedua-duanya berkongsi jarak roda yang sama iaitu 2,725 mm (+25 mm).

    Untuk rekaannya, ia menerapkan falsafah rekaan Kodo generasi kedua yang menampilkan pendekatan “less is more” bagi penggayaannya, termasuk bahagian luaran dan dalaman. Walau bagaimana pun, versi hatchback diolah menjadi lebih dinamik berbanding sedan, dan kedua-duanya berkongsi rekaan dalaman yang sama.

    Adakah kehadiran Mazda 3 baharu ini mampu memberikan persaingan sengit buat pencabar terdekatnya iaitu Honda Civic dan Toyota Corolla Altis? Walau apa pun, kena nantikan perincian penuh bagi spesifikasi setiap varian Mazda 3 baharu ini, barulah kita boleh buat pertimbangan untuk memilih model mana yang lebih menarik perhatian.

    GALERI: Mazda 3 2019 yang dipamerkan di Singapore Motor Show

     
     
  • JPJ teruskan sistem bidaan nombor pendaftaran atas talian untuk Wilayah Persekutuan, VDN bermula 21 Jun

    JPJ teruskan sistem bidaan nombor pendaftaran atas talian untuk Wilayah Persekutuan, VDN bermula 21 Jun

    Kementerian pengangkutan telah mengumumkan sistem bidaan nombor pendaftaran JPJeBid akan diteruskan bermula minggu hadapan dan digunakan untuk nombor Wilayah Persekutuan siri VDN yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan bermula 21 Jun ini.

    Semasa sidang media yang berlangsung hari ini, menteri pengangkutan, Anthony Loke memberitahu bahawa proses bidaan untuk siri ini akan bermula pada jam 12 tengah malam 21 Jun, hingga 11.59 malam 25 Jun. Keputusan tender pula akan diumumkan pada tengah hari 26 Jun.

    Beliau turut menambah bahawa sistem ini akan terus digunakan untuk siri nombor plet FT, dengan bidaan atas talian untuknya akan dibuka dalam tempoh yang sama iaitu lima hari.

    Loke memberitahu, kadar pendaftaran kenderaan yang tinggi untuk siri FT menjadikan ia pilihan yang baik sebagai tempat permulaan untuk sistem ini, selepas ia dimulakan sebagai projek perintis untuk siri plet FC April lalu. Beliau berkata JPJeBid nanti juga akan digunakan untuk negeri lain secara berperingkat.

    JPJ teruskan sistem bidaan nombor pendaftaran atas talian untuk Wilayah Persekutuan, VDN bermula 21 Jun

    Tambah Loke, untuk siri FC, 2,481 bidaan telah diterima, memberikan pulangan sebanyak RM3,113,364 kepada kerajaan. Bidaan tertinggi adalah untuk nombor FC1 dengan nilai RM231,000.

    Tiada perubahan yang dilakukan berkenaan proses pendaftaran serta cara bidaan atas talian ini, dan ia masih sama seperti yang dijelaskan waktu projek perintisnya. Sistem ini terbuka kepada mana-mana individu dan syarikat yang mahu membida nombor tertentu.

    Semua pembida pertamanya perlu mendapatkan ID untuk laman MySIKAP dengan cara memberikan perincian diri serta salinan kad pengenalan untuk pendaftaran (individu) manakala untuk syarikat, mereka perlu memberikan antaranya salinan sijil pendaftaran dan lesen perniagaan.

    Apabila pendaftaran telah diluluskan, anda boleh menggunakan sistem bidaan ini melalui komputer ataupun peranti mudah alih lain dan mencari siri plet serta nombor yang dimahukan. Bayaran jumlah bidaan berserta tambahan yuran servis RM10 cuma akan dilakukan apabila bidaan telah tamat untuk siri tersebut.

    JPJ teruskan sistem bidaan nombor pendaftaran atas talian untuk Wilayah Persekutuan, VDN bermula 21 Jun

    Bayaran cuma boleh dilakukan menggunakan kad kredit atau kad debit keluaran tempatan dan anda juga boleh melakukan bayaran dengan lebih daripada satu kad. Sekiranya bidaan itu berjaya, jumlah akan terus ditolak daripada kad kredit tersebut manakala jika gagal, transaksi akan dibatalkan, jumlah itu akan ditolak balik dan tiada tambahan caj lain.

    Empat kategori disediakan untuk nombor dalam senarai, dengan setiap satunya mempunyai kriteria bayaran minimum masing-masing. Untuk nombor biasa ia bermula dengan RM300, diikuti RM800 untuk nombor popular, RM3,000 untuk nombor menarik dan RM20,000 untuk nombor utama.

    Tiada deposit yang diperlukan untuk proses bidaan ini, tetapi setiap pembida perlu meletakkan harga yang sama atau melebihi harga minimum yang telah ditetapkan untuk setiap kategori. Peningkatan minimum setiap bidaan pula adalah 5% daripada harga minimum untuk setiap kategori dan tiada had peningkatan maksimum untuk setiap bidaan.

    JPJ teruskan sistem bidaan nombor pendaftaran atas talian untuk Wilayah Persekutuan, VDN bermula 21 Jun

    Apabila dikira, jumlah peningkatan minimum bidaan untuk nombor utama adalah RM1,000, diikuti RM150 untuk nombor menarik, RM40 untuk nombor popular dan RM15 untuk nombor biasa. Tiada had bidaan yang ditetapkan tetapi pembida tidak dibenarkan menarik diri semasa proses bidaan masih berlangsung.

    Semua pemenang bidaan diberikan tempoh masa 12 bulan untuk melakukan pendaftaran nombor yang dimenangi kepada kenderaan, bermula dari tarikh pengeluaran surat keputusan bidaan. Sekiranya gagal dilakukan dalam tempoh tersebut, surat tersebut akan dianggap luput dan bayaran yang telah dibuat tidak akan dikembalikan.

    Nombor pendaftaran yang dimenangi juga cuma boleh didaftarkan pada kenderaan milik individu atau syarikat atas nama yang sama, namun bagi individu, ia masih boleh ditukar kepada keluarga terdekat dengan mengemukakan sijil kelahiran, sijil nikah dan dokumen lain yang berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Jun 2019 – RON97 turun 22 sen

    Harga minyak 15-21 Jun 2019 – RON97 turun 22 sen

    Dua minggu berturut-turut bahan api petrol RON97 dilaporkan mengalami penurunan harga. Berbanding minggu lalu dengan RM2.63 seliter, dan minggu bertarikh 15 hingga 21 Jun 2019 pula, ia dilaporkan turun lagi sebanyak 22 sen seliter menjadi RM2.41 seliter. Harga baharu ini efektif mulai tengahmalam ini sehingga Jumaat minggu hadapan.

    Walau bagaimana pun, petrol RON 95 masih kekal pada harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Begitu juga dengan diesel yang harganya kekal seperti sebelum ini, dengan dijual pada harga RM2.18 seliter bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula mahal 10 sen berbanding harga berkenaan iaitu RM2.28 seliter.

    Menurut Kementerian Kewangan, penurunan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya. Pada masa yang sama, perkembangan semasa berikutan ketegangan di rantau Teluk seperti yang berlaku semalam juga berkemungkinan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.11 seliter dan RM2.19 seliter masing-masing. Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

     
     
  • Terengganu antara negeri paling popular dengan kereta klon, 307 unit telah disita sejak 2015 – JPJ

    Terengganu antara negeri paling popular dengan kereta klon, 307 unit telah disita sejak 2015 – JPJ

    Walau banyak kes kereta klon yang disita, tetapi masih ramai juga yang ‘merelakan’ diri terjerat dengan sindiket ini biar pun pelbagai alasan diberikan, paling popular; “tidak tahu ia adalah kereta klon”, “tidak tahu bahawa memiliki kereta klon adalah salah di sisi undang-undang”, selain terpengaruh dengan harga yang ditawarkan iaitu jauh lebih murah berbanding yang dijual di pasaran.

    Antara negeri yang paling banyak menerima kemasukan kenderaan klon ialah Terengganu. Perkara ini disahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu yang telah menyita 307 kenderaan klon termasuk dua jenis Mini Cooper dan Honda Jazz yang berjaya dikesan pada Op Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu.

    Laporan Kosmo menyebut, jumlah kenderaan yang disita sejak tahun 2015 itu telah menjadikan Terengganu antara negeri utama lubuk kenderaan klon di negara ini.

    “Kebanyakan kenderaan klon ini jenis mewah yang dibawa masuk dari negara jiran, Singapura dan Thailand dengan nombor pendaftaran palsu yang mirip dengan casis enjin model sama terdapat di negara ini. Kebanyakan pengguna kenderaan yang disita terbabit mendakwa terpengaruh dengan harga murah ditawarkan sindiket terbabit tanpa mengetahui ia sebenarnya adalah klon,” ujar Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin dalam sidang media yang berlangsung semalam.

    Beliau turut berkata, sebahagian besar kenderaan klon terbabit yang telah dilucut hak oleh mahkamah dan tidak dikacau ganggu nombor casis enjinnya akan dibuka untuk lelongan awam sebanyak dua kali setahun.

    “Sesi lelongan awam paling terdekat ialah 30 Jun ini melibatkan 42 buah motosikal dan kereta termasuk 20 kenderaan klon seperti Honda Jazz, Honda Odysey, Honda City, Subaru Impreza, Nissan Sentra dan Toyota Wish pada harga bidaan bermula antara RM70 hingga RM15,000,” katanya

     
     
  • Lamborghini Urus dapat sentuhan ABT, 710 PS/910 Nm

    Lamborghini Urus dapat sentuhan ABT, 710 PS/910 Nm

    ABT Sportsline GmbH telah umumkan pakej naik taraf bagu SUV Lamborghini Urus – termasuk aspek peningkatan prestasi. Dalam keadaan standard sahaja SUV pertama Lamborghini berkenaan telah dilengkapi enjin 4.0 liter biturbo V8 dengan janaan 650 PS dan 850 Nm tork, menjadikan pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat.

    Dengan tambahan ABT Engine Control (AEC) pula, output berkenaan ditingkatkan lagi sebanyak 60 PS dan 60 Nm, menjadikan janaan keseluruhan 710 PS dan 910 Nm. Pecutan 0-100 km/j pula menjadi lebih pendek kepada 3.4 saat – ini menjadikannya lebih pantas daripada sebahagian daripada kereta sport yang lain. Kelajuan maksimum standard bagi Urus ialah 305 km/j.

    Menurut ABT Sportsline, pakej ini turut datang dengan pelindungan waranti dan talaan yang dilakukan khusus untuk setiap unit, dengan ujian berasingan. Ini termasuk data-data yang dikumpulkan oleh dynometer canggih yang digunakan.

    Dalam perkembangan lain, Lamborghini khabarnya sedang mempersiap Urus dengan prestasi yang lebih tinggi, dikenali sebagai Urus Performante. Syarikat itu juga baru-baru ini telah memperkenalkan Urus ST-X Concept, sebuah jentera yang siap untuk kegunaan dilitar dan dilengkapi ciri keselamatan yang disahkan oleh FIA.

     
     
  • Bas ekspres khas wanita wajib untuk KL-Seremban

    Bas ekspres khas wanita wajib untuk KL-Seremban

    Syarikat pengusaha bas ekspres yang menyediakan perkhidmatan antara KL-Seremban selepas ini wajib menyediakan bas khusus untuk wanita sahaja, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Peraturan baru itu, yang perlu dipatuhi bagi perjalanan harian perkhidmatan yang disediakan, adalah sebagai respon kepada permintaan penumpang-penumpang wanita sendiri, lapor Malay Mail.

    “Ketika ini, ada tiga syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkenaan, dan kami maklumkan kepada mereka untuk menyediakan empat perjalanan setiap jam dari pukul 5 pagi hingga 7 pagi setiap hari, khusus untuk wanita sahaja. Ini adalah untuk membolehkan penumpang wanita yang perlu ke tempat kerja merasa lebih selesa,” tambah Anthony. Kekerapan empat kali yang sama turut dilakukan pada waktu puncak dari 5 petang hingga 7 malam.

    The Star pula melaporkan, kira-kira 2,000 orang bergerak menggunakan bas ekspres antara KL dan Seremban ketika waktu puncak di sebelah pagi. Anthony yang juga sempat melawat stesen bas Terminal 1 memaklumkan bahawa stesen berkenaan perlu diberi naik taraf terhadap kemudahannya. “Sudah tiba masanya kita melihat bagaimana untuk menaiktaraf kemudahan di terminal ini supaya ia lebih moden dan selesa mengikut peredaran semasa,” tambah beliau.

     
     
  • Kerajaan UK bakal pasang ‘kamera bunyi’ untuk tangkap kenderaan bising melebihi had ditetapkan

    Kerajaan UK bakal pasang ‘kamera bunyi’ untuk tangkap kenderaan bising melebihi had ditetapkan

    Bagi mengesan dan menangkap kenderaan dengan bunyi yang terlalu bising, kerajaan UK telah membiayai prototaip ‘kamera bunyi’ dan ia bakal dipasang pada berberapa lokasi terpilih di negara berkenaan dalam tempoh masa tujuh bulan akan datang, lapor portal Autocar.

    Kamera berkenaan akan mengukur tahap bunyi setiap kenderaan yang melaluinya dan kemudian menggunakan pengesan nombor plat automatik bagi mengenal pasti identiti pemilik kenderaan dengan bunyi yang melebihi tahap dibenarkan.

    Laporan tersebut menyebut bahawa tindakan ini diambil kerana Jabatan Pengangkutan UK percaya bahawa “kenderaan dengan bunyi melebihi had yang dibenarkan” boleh menjadikan hidup mereka yang tinggal di kawasan sekitar “sengsara”, terutamanya dalam komuniti luar bandar, dan mempunyai “impak kesihatan yang sangat serius.”

    “Ujian ini bukan bertujuan untuk disasarkan kepada pemandu yang mematuhi undang-undang tetapi untuk mereka yang tidak patuh dengan undang-undang bunyi. Semua kenderaan mesti mematuhi had bunyi yang dibenarkan sebelum dibenarkan semula untuk bergerak di atas jalan raya.” kata setiausaha jabatan pengangkutan, Chris Grayling.

    “Sekiranya kenderaan diservis, ekzos dan penyenyap perlu diselenggara bagi beroperasi dengan baik, dan bukan diubahsuai untuk meningkatkan bunyinya,” tambah Grayling lagi.

    Apa pendapat anda? Adakah kamera ini adalah baik untuk masyarakat, atau ia “akan menyekat kreativiti penggiat sukan bermotor” seperti apa yang selalu disebut oleh mereka yang gemar mengubahsuai kenderaan?

     
     
  • Mercedes-Benz C300e PHEV dipertontonkan di M’sia

    Mercedes-Benz C300e PHEV dipertontonkan di M’sia

    Seiring dengan pelancaran Mercedes-Benz S560e dan juga penampilan pertama ASEAN Mercedes-Benz EQC di sini semalam, ada sebuah lagi model yang membuat penampilan iaitu C300e yang turut dipertontonkan sebagai pameran terhadap teknologi yang digunakan dalam kenderaan.

    C300e diperkenalkan di Thailand minggu lalu, dan akan mula dijual di sana sebagai unit CKD Thailand. Bagaimanapun, model sama khabarnya tidak akan dijual di Malaysia dalam masa terdekat; Mercedes-Benz Malaysia (MBM) masih belum ada perancangan model facelift W205 hibrid berkenaan untuk pasaran tempatan. Sebabnya? Kesukaran untuk mendapatkan harga dan potongan cukai yang kompetitif.

    C300e menggunakan enjin 2.0 liter turbocaj empat-silinder petrol, yang memberikan 208 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,200 hingga 1,400 rpm. Motor elektriknya pula menghasilkan 121 hp kuasa. Ini digandingkan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Mercedes-Benz C300e PHEV dipertontonkan di M’sia

    Keseluruhan sistem berkenaan menghasilkan sebanyak 315 hp dari 4,500 hingga 5,500 rpm dan 700 Nm. Angka ini lebih tinggi berbanding output 275 hp/600 Nm yang ada pada model C350e – lebihan kuasanya datang dari motor elektrik yang digunakan kini. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.4 saat (pantas lima saat dari model sebelum ini), sementara kelajuan maksimum pula kekal sama pada 250 km/j.

    Terdapat empat mod operasi untuk sistem janaan disediakan, dengan mod hibrid menjadi yang utama. Turut ada ialah E-Mode, yang membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya, E-Save untuk menjimatkan tenaga pada bateri sehingga ia benar-benar perlu digunakan serta mod Charge, yang menambah tenaga bateri ketika sedang memandu.

    Mercedes-Benz C300e PHEV dipertontonkan di M’sia

    Sama seperti S560e, C300e ini menggunakan bateri lithium-ion 13.5 kW baru yang direka oleh Deutsche Accumotive. Ini melibatkan pertambahan kapasiti dari 6.2 kWh sebelum ini yang menggunakan 37 Ah sel lithium-nickel-manganese-cobalt (Li-NMC) yang menggantikan unit 22 Ah lithium-iron-phosphate (LiFePo). Bateri ini memberikan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sekitar 50 km; lebih baik berbanding jarak 31 km pada C350e.

    Dengan pengecas sejukan cecair 7.4 kW dalamannya, tempoh mengecas sama seperti S560e, memerlukan 1.8 jam sahaja dari 10% hingga 100% SoC (status of charge) menggunakan Mercedes Wallbox dalam kuasa penuh. Jika menggunakan soket domestik biasa, ia memerlukan sekitar enam jam melalui soket jenis 230V/13A 3.0 kW. Jika menggunakan jenis 230V/16A 3.7 kW awam pula, ia memerlukan sekitar empat jam.

     
     
  • Ducati Streetfighter V4 versi prototaip akhirnya muncul

    Ducati Streetfighter V4 versi prototaip akhirnya muncul

    Selepas banyak spekulasi dan gambar intipan yang beredar, akhirnya Ducati menunjukkan beberapa imej rasmi Streetfighter V4 yang sekarang ini masih lagi digelar sebagai sebuah prototaip. Ia hanya akan muncul di khalayak ramai semasa perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb 30 Jun ini dan didedahkan sepenuhnya semasa pameran EICMA 2019.

    Seperti yang anda boleh lihat, Streetfighter V4 ini menggunakan grafik khas yang dibuat oleh Centro Stile Ducati dan menurut mereka, rekaan ini bukanlah untuk menyembunyikan garisan badan yang ada, tetapi malah menyerlahkan lagi penampilannya.

    Sejak Panigale V4 memasuki pasaran, ramai yang sudah menjangka pasti ia akan disusuli oleh Streetfighter V4 dan berita ini mengesahkan perkara tersebut. Sebagai sebuah motosikal kategori naked, sudah tentu tiada lagi fairing penuh pada Streetfighter V4, dan ia diganti dengan lampu serta panel tepi dan bawah yang tersendiri.

    Apabila diperhatikan lebih dekat lagi, model prototaip ini juga mempunyai sirip angin di bahagian tepinya, kedudukan pemegang lebih tinggi dan dipasang dengan sistem ekzos titanium Akrapovic. Perincian teknikal motosikal ini masih belum didedahkan tapi kita boleh menjangka kelengkapan yang sama diambil terus daripada Panigale V4.

    Jika pada Panigale V4, enjin Desmosedici V4 berkapasiti 1,103 cc yang digunakan datang dengan beberapa jumlah kuasa bergantung kepada versi iaitu 214 hp dan 124 Nm tork untuk V4 dan V4 S, manakala bagi V4 Speciale, ia ditingkatkan menjadi 226 hp.

    Pada bahagian elektronik, ia mempunyai pilihan tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street, ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

     
     
  • Honda e – EV pacuan belakang, nisbah berat 50:50

    Honda e – EV pacuan belakang, nisbah berat 50:50

    ALL-NEW HONDA E PLATFORM ENGINEERED TO DELIVER EXCEPTIONAL URBAN DRIVING EXPERIENCE

    Sebelum ini Honda telah mengesahkan bahawa kereta elektrik kompak Honda e yang akan dipasarkan pada tahun 2020 sah akan menerima kamera sisi bagi menggantikan cermin pandang belakang standard untuk semua varian. Kini, lebih banyak perincian untuk model janaan elektrik sepenuhnya itu didedahkan.

    Hatchback comel yang direka seakan Honda Civic generasi pertama ini merupakan model pertama Honda yang dibina dari platform khas untuk janakuasa elektrik sepenuhnya, dan direka dengan asas “bagi memberikan dinamik pemanduan Honda yang cemerlang” dan “menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan dan responsif.”

    Honda meletakkan bateri lithium-ion 35.5 kWh dengan sistem penyejukkan cecair pada lantai kereta berkenaan, di tengah-tengah antara roda hadapan dan belakang. Ini membolehkan ia mempunyai pusat graviti yang rendah serta nisbah berat hadapan dan belakang 50:50, menyumbangkan kepada dinamik pemanduan yang baik.

    Motor elektrik kereta ini pula bukan memacu roda hadapan, sebaliknya menyalurkan kuasa ke roda belakang, memberikan pacuan seakan kereta sport sebenar serta menawarkan stereng yang jitu walaupun dalam pecutan tinggi. Ia juga diberikan suspensi bebas untuk keempat-empat roda yang dihasilkan bagi menawarkan kestabilan dalam apa jua stuasi, pemanduan yang lancar dan juga pengendalian yang responsif. Berberapa komponen suspensi dihasilkan dari aluminium forged bagi mengurangkan beratnya.

    Gabungan kesemua ini bersama dimensi kereta tersebut yang kecil serta juntaian hadapan dan belakang yang pendek, membolehkan Honda e dipandu di dalam bandar dengan sangat seronok serta boleh dikawal pada jalan-jalan sempit tanpa masalah, menurut Honda sendiri.

    Ia juga diberikan sistem pengecaj semula sambungan AC Type 2 atau pengecas pantas CCS2 DC yang lebih universal berbanding kaedah CHAdeMO yang selalunya digunakan pada kereta-kereta elektrik Jepun lain. Ini kerana Honda e adalah sebuah model global dan buat permulaan ia akan dijual di Eropah. Pengecas pantas DC akan memberikan 80% cas penuh dalam tempoh 30 minit.

    Port pengecas utama Honda e ini terletak pada bonet hadapan, di atas logo Honda. Port berkenaan juga mempunyai indikasi LED untuk memberitahu status cas, yang boleh dilihat menerusi panel lutsinar.

    Di dalam kabin pula, papan pemuka kereta ini diberikan dua skrin sesentuh bersaiz besar, yang turut memaparkan jumlah cas elektrik dan juga carta grafik unit janakuasa yang menunjukkan aliran tenaga dan status caj serta pemulihan tenaga. Honda mendakwa bahawa dengan satu cas penuh, kereta ini boleh dipandu “lebih dari 200 km”

    Menurut Honda lagi, sehingga kini Honda e telah menarik pendaftaran minat seramai 31,000 orang. Nampaknya macam boleh ‘meletup’ juga jualan kereta elekrik comel ini setelah ia dilancarkan nanti kan?

     
     
  • Harga Toyota Camry naik RM7k, kini dijual RM196,888

    Harga Toyota Camry naik RM7k, kini dijual RM196,888

    UMW Toyota Motor telah mengeluarkan senarai harga baru bagi barisan kenderaan keluaran syarikat itu. Bagaimanapun, semua harga kekal sama kecuali bagi Toyota Camry 2.5V. Sedan segmen D itu kini dijual pada harga RM196,888 atas jalan tanpa insurans. Ini menjadikannya RM6,988 lebih mahal berbanding sebelumnya.

    Toyota Camry merupakan unit CBU yang diimport dari Thailand, dan sebelum ini dijual pada harga RM189,900. Dilancarkan lewat tahun lalu ketika KLIMS 2018, Camry generasi kelapan ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) terkini, dan tampil dengan imej yang lari jauh dari apa yang pernah ada sebelum ini.

    Harga Toyota Camry naik RM7k, kini dijual RM196,888

    Setakat ini, untuk pasaran Malaysia, hanya ada satu varian dan pilihan enjin ditawarkan, 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder, dan dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan pacuan roda hadapan. Varian dengan enjin 2.0L juga khabarnya akan diperkenalkan di sini nanti.

    Kelengkapan lain yang ada pada bahagian luar Camry ini adalah termasuk lampu utama bi-LED projector automatik dengan lampu penunjuk arah, lampu siang, lampu kabus dan lampu belakang LED, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, pengelap cermin automatik dan dua muncung ekzos di belakang.

     
     
  • Mitsubishi Triton Absolute bakal di produksi dan dijual bagi beri saingan terus kepada Ford Ranger Raptor?

    Mitsubishi Triton Absolute bakal di produksi dan dijual bagi beri saingan terus kepada Ford Ranger Raptor?

    Mac lalu, Mitsubishi telah mendedahkan trak pikap konsep Triton Absolute di Bangkok International Motorshow 2019 – menunjukkan potensi Triton 2019 untuk dijadikan sebuah trak yang lebih berprestasi tinggi. Nampaknya model ini mungkin akan dihasilkan dalam bentuk produksi dan dijual dalam pasaran untuk bersaing dengan Ford Ranger Raptor tidak lama lagi setelah portal Australia CarAdvice mengesan Mitsubishi telah mendaftarkan lukisan paten trak pikap tersebut di negara berkenaan.

    Dua lukisan telah difailkan oleh Mitsubishi, menandakan berkemungkinan ia akan hadir dengan dua varian. Versi pertama dilihat hampir sama dengan model konsep yang tampil di Bangkok tempoh hari, menampilkan plat-plat pelindung tambahan di hadapan dan belakang, bar lampu yang bersepadu dengan rel bumbung dan sports bar serta tayar off-road lebih agresif bersama suspensi 50 mm lebih tinggi dari standard.

    Manakala versi kedua pula tampil sedikit ‘jinak’ dengan ketiadaan kelengkapan tambahan pada bumbung. Walau bagaimanapun, Triton Absolute ini mungkin tidak akan menerima talaan casis dan suspensi yang ekstrem seperti set suspensi Fox Racing Shox pada Ranger Raptor bagi membolehkan ia melompat dan mendarat seakan jentera Baja. Tetapi dengan anjakan 50 mm, ia sudah cukup bagi memberikan prestasi off-road lebih baik dari asal.

    Komponen-komponen gentian karbon pada model konsep tersebut juga mungkin akan digantikan dengan material lain bagi membolehkan ia dijual pada harga yang lebih masuk akal.

    Menurut CarAdvice lagi, model konsep Triton Absolute berkenaan kini sedang dibawa dalam jelajah ke bilik-bilik pameran jenama tersebut di seluruh Australia bagi ditunjukkan kepada orang ramai, namun Mitsubishi Australia enggan mengulas sama ada ia akan diproduksi atau tidak. Tetapi dengan terdedahnya lukisan yang telah dipatenkan ini, ia mungkin akan berada di pasaran paling awal bermula tahun hadapan.

    Mengapa Triton Absolute ini didaftarkan di Australia? Bagi mereka yang belum tahu, Australia mempunyai permintaan yang tinggi terhadap trak pikap (dipanggil sebagai UTE di sana) dan terkenal dengan trak-trak berprestasi tinggi seperti Holden VF Ute dan Ford Falcon Ute. Malah, Ford Ranger Raptor juga dibangunkan oleh Ford Performance Australia walaupun kilang pembuatannya berada di Thailand.

    GALERI: Mitsubishi Triton Absolute Concept di Bangkok International Motor Show 2019

     
     
  • Kerajaan tubuhkan jawatankuasa untuk pasarkan biodiesel B20 di stesen-stesen minyak seluruh negara

    Kerajaan tubuhkan jawatankuasa untuk pasarkan biodiesel B20 di stesen-stesen minyak seluruh negara

    Selepas melancarkan program biodiesel B10 hujung tahun lalu, kerajaan berhasrat untuk memasarkan biodiesel B20 pula di stesen minyak di seluruh negara. Ia dianggap sebagai mekanisme bagi mengawal industri berasaskan sawit.

    Menurut Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, pelaksanaan cadangan itu bagaimanapun akan diumumkan selepas perbincangan dibuat bersama syarikat petroleum, pengeluar dan pengeksport kereta serta beberapa pihak berkaitan lain. Di mana jawatankuasa bersama membabitkan Kementerian Industri Utama, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Perdana Menteri juga sudah ditubuhkan bagi mengendalikan perkara itu.

    “Jawatankuasa ini sudah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet semalam, bagi membincangkan kaedah pelaksanaan untuk memasarkan B20 kerana ia membabitkan perundangan dan peraturan yang turut membabitkan kementerian dan agensi lain. Kita berharap kaedah ini boleh guna lebih banyak minyak sawit dalam negara, khususnya bagi sektor pengangkutan awam dan industri, sekali gus menaikkan harga komoditi ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tahun lalu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata, beliau berharap semua pihak bersedia sepenuhnya bagi peningkatan kadar adunan biodiesel kepada B20, iaitu 20% adunan biodiesel sawit dengan 80% diesel petroleum menjelang 2020. Malah, industri sawit di Malaysia digesa untuk berani meneroka pasaran baharu dan membuktikan di mata dunia bahawa kualiti minyak sawit Malaysia adalah antara yang terbaik.

     
     
  • BMW, Shell dan ParkEasy bekerjasama sediakan petak mengecas kenderaan khas yang boleh ditempah

    BMW, Shell dan ParkEasy bekerjasama sediakan petak mengecas kenderaan khas yang boleh ditempah

    BMW Malaysia telah bekerjasama dengan Shell Malaysia dan ParkEasy untuk menyediakan lot mengecas kenderaan Reserve + Shell Recharge di beberapa tempat bawah pengurusan Sunway Group dan ia boleh ditempah menggunakan aplikasi ParkEasy (boleh dimuat turun secara percuma untuk peranti Android dan iOS).

    Di Sunway Pyramid, tiga lot mengecas ini diletakkan dalam kawasan Preferred Parking (tingkat CP2) yang dikenakan bayaran tambahan, sementara di Sunway Pinnacle dan Sunway Velocity masing-masing mempunyai tiga dan dua lot mengecas Reserve + Shell Recharge yang sama. Melalui kerjasama ini, setiap lot tersebut dipasang dengan sistem mengecas BMW i Wallbox dengan penghasilan kuasa sehingga 3.7 kW (16A single-phase).

    Menurut BMW, bermula pada bulan Julai, pemilik kenderaan plug-in hybrid BMW akan diberi hak istimewa untuk lot Reserve + Shell Recharge ini. Ia termasuk pek permulaan elektronik untuk pemilik PHEV BMW baru dan kad hadiah elektronik untuk pemilik PHEV BMW sedia ada (boleh digunakan pada lot tersebut). Sementara itu, bagi pemilik mana-mana kenderaan PHEV atau elektrik lain, mereka boleh menggunakan kod promo BMWMY untuk menebus lima kredit ParkEasy untuk digunakan pada lot ini sehingga 31 Julai dan terhad untuk 2,000 pengguna pertama.

    Walaupun aplikasi ParkEasy ini percuma untuk dimuat turun, mereka mengenakan caj melalui kredit yang ada dalam aplikasi tersebut untuk membuat tempahan, dan setiap kredit bernilai RM1. Pengguna boleh menambah kredit dengan menggunakan kad kredit ataupun perbankan atas talian.

    Setakat ini, aplikasi ini boleh digunakan untuk menempah petak letak kenderaan di IOI City Mall, Ativo Plaza, Quill City Mall, Shaftsbury Square, TNB Jalan Timur dan Khind (Mistral), sebagai tambahan kepada Sunway Pyramid, Sunway Pinnacle dan Sunway Velocity yang telah dinyatakan tadi. Untuk lot yang mempunyai pengecas kenderaan, ia ditandakan warna kuning dan merah.

    Bayaran yang dikenakan adalah berbeza bergantung kepada tempat, dan tempahan untuk bahagian tertentu seperti LG Level di IOI City Mall hanya boleh dibuat pada hujung minggu sahaja. Untuk melihat lebih lanjut cara menggunakan aplikasi ParkEasy, tonton video di bawah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026