Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Harga bahan api 22-28 Jun 2019 – RON97 turun sedikit

    Harga bahan api 22-28 Jun 2019 – RON97 turun sedikit

    Minggu lalu agak melegakan pengguna petrol RON97 kerana harga bahan api tersebut turun dengan mendadak. Minggu ini, ia turun lagi tetapi dengan jumlah yang agak kecil.

    Bermula tengah malam ini, 22 Jun 2019, petrol RON 97 akan dijual pada harga RM2.38 seliter, atau turun 3 sen seliter berbanding minggu sebelumnya. Harga untuk RON 95 masih lagi ditambat pada harga RM2.08 seliter, iaitu harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

    Untuk diesel pula, harga untuk gred Euro 2M dilihat tidak berubah iaitu pada RM2.18 seliter, begitu juga dengan diesel Euro 5 yang sentiasa 10 sen seliter lebih mahal, dijual pada harga RM2.28 seliter.

    Namun menurut kerajaan, sekiranya harga petrol tidak ditambat pada harga siling, pengguna perlu membayar RM2.11 seliter untuk RON 95 pada minggu hadapan, dikira berdasarkan Mekanisma Harga Automatik (APM). Manakala diesel Euro 2M pula perlu dijual pada harga RM2.19 seliter mengikut kaedah yang sama.

    Harga yang telah diumumkan ini akan terus efektif sepanjang minggu hadapan, iaitu sehingga 28 Jun 2019. Seperti biasa, harga baharu akan diumumkan pada Jumaat hadapan menggunakan cara yang sama.

     
     
  • Ducati Multistrada 950 S dan Multistrada 1260 Enduro masuk pasaran M’sia dengan harga RM96k, RM139k

    Ducati Multistrada 950 S dan Multistrada 1260 Enduro masuk pasaran M’sia dengan harga RM96k, RM139k

    Barisan motosikal jelajah Ducati Multistrada juga diperbaharui untuk pasaran Malaysia dengan pelancaran dua buah model tahun 2019 iaitu Multistrada 950 S dan Multistrada 1260 Enduro. Ia dijual pada harga RM95,900 untuk Multistrada 950, RM138,900 untuk Multistrada 1260 Enduro warna merah dan RM139,900 untuk Multistrada 1260 Enduro warna coklat cair (Sand).

    Daripada sebuah Multistrada 950 asas, model S dijadikan lebih moden dengan kehadiran Unit Pengukur Inertia (IMU) 6-axis Bosch, Cornering ABS, Vehicle Hold Control (VHC), klac hidraulik, Ducati Skyhook Suspension (DSS) serta Ducati Quick Shift (DQS) naik dan turun. Ia juga dilengkapi dengan lampu utama LED penuh, panel instrumen TFT lima inci berwarna, Hands-Free System, Cruise Control dan lampu penunjuk arah boleh mati sendiri.

    Untuk enjin, ia masih dikuasakan oleh unit Testastretta 11 937 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 113 hp pada 9,000 rpm dan 96 Nm tork. Enjin ini juga mempunyai tempoh servis 15,000 km untuk servis biasa dan 30,000 km untuk servis Desmo. Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk penghadang angin boleh laras di hadapan, brek cakera berkembar 320 mm dan angkup Brembo di hadapan dan tangki bahan api 20 liter.

    Ducati Multistrada 950 S dan Multistrada 1260 Enduro masuk pasaran M’sia dengan harga RM96k, RM139k

    Pergi kepada Multistrada 1260 Enduro yang terletak paling atas dalam keluarga Multistrada, ia mempunyai pelbagai peningkatan berbanding model sebelumnya, termasuk enjin 1262 cc Testastretta DVT yang mempunyai kuasa 158 hp/129.5 Nm tork, lebih lancar dan berkuasa pada tahap rpm rendah.

    Pemilik juga dapat menikmati penukaran gear yang lancar pada transmisi enam kelajuan Multistrada 1260 Enduro ini tanpa menggunakan klac kerana ia dilengkapi dengan Ducati Quick Shift (DQS) yang boleh digunakan untuk turun dan naik gear. Turut disediakan adalah pilihan mod tunggangan untuk memastikan kawalan yang mudah mengikut keadaan.

    Sistem elektronik lain yang diberikan secara standard pada Multistrada 1260 Enduro adalah termasuk Bosch Cornering ABS, Cornering Lights, Wheelie Control, Traction Control dan Vehicle Hold Control, manakala panel instrumen pula menggunakan skrin TFT 5.0 inci yang lengkap dengan Ducati Multimedia System (DMS) dan juga boleh disambung kepada Ducati Link App.

    Untuk model baru ini, Ducati turut mengubah ergonomiknya, dengan bahagian pemegang, tempat duduk dan jarak dari tanah yang lebih rendah, manakala suspensi Sachs elektronik semi aktifnya juga dilaras kembali untuk memberikan lebih keselesaan dan kepuasan kepada pelbagai jenis penunggang di pelbagai tempat. Sebagai sebuah model Enduro, sudah tentu model ini menggunakan rim jenis spoked – 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dan didatangkan dengan tangki bahan api 30 liter.

    GALERI: Ducati Multistrada 950 S 2019

    GALERI: Ducati Multistrada 1260 Enduro 2019

     
     
  • Ford Mustang Shelby GT500; Mustang produksi paling berkuasa pernah dihasilkan – V8 5.2L, 760 hp/847 Nm!

    Ford Mustang Shelby GT500; Mustang produksi paling berkuasa pernah dihasilkan – V8 5.2L, 760 hp/847 Nm!

    Januari lalu, Ford telah mendedahkan rupa Mustang Shelby GT500 2020, dan kini perincian sepenuhnya telah pun diumumkan – dijana enjin V8 5.2 liter yang dibina dengan tangan, disuap dengan unit supercharger, ini adalah Ford Mustang produksi paling berkuasa dalam sejarah dengan bekalan kuasa 760 hp dan tork maksima 847 Nm!

    Dengan angka tersebut juga sekaligus menjadikan Mustang Shelby GT500 ini sebagai Ford dengan enjin V8 Supercharge produksi menghasilkan tork paling kuat di dunia serta sah digunakan di atas jalan raya.

    Kuasa dari enjin tersebut dialirkan sepenuhnya ke gandar belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik Tremec tujuh-kelajuan yang didakwa mampu menukar gear dengan lancar dalam masa tidak sampai 100 milisaat, bersama propeller shaft diperbuat dari gentian-karbon, membolehkan muscle car ini memecut dari 0-60 bs/j (0-96 km/j) dalam masa tidak sampai 3.5 saat.

    Ford Mustang Shelby GT500; Mustang produksi paling berkuasa pernah dihasilkan – V8 5.2L, 760 hp/847 Nm!

    Kotak gear tersebut turut menampilkan berberapa mod pemanduan seperti Normal, Slippery, Sport, Drag dan Track bagi membolehkan karekter dilaras semula mengikut gaya pemanduan pemandu. Sistem Launch Control diberikan dalam Track Apps, membolehkan ia berlepas seperti lastik mengikut tahap rpm yang dipiih pemandu.

    Tidak seperti muscle car tradisional Amerika Syarikat yang lain, Shelby GT500 generasi baharu ini menampilkan teknologi casis aktif. Ia dipadankan dengan set suspensi aktif dari MagnaRide bersama spring gegelung ringan. Geometri suspensi berkenaan turut telah diubah, dan Ford mendakwa talaan tersebut menjadi kereta ini sebagai Mustang dengan pecutan sisi paling tinggi pernah dihasilkan.

    Selain itu, Mustang Shelby GT500 ini turut menerima tayar litar Michelin Pilot Sport Cup 2, sistem brek besar dari Brembo dan juga sistem stereng bantuan kuasa elektrik baharu.

    Jika anda masih rasa tidak cukup pada GT500 berkenaan, Ford turut menawarkan Track Package yang terdiri dari rim gentian karbon 20-inci dengan lebar 11 jj (bahagian belakang setengah inci lebih lebar), splitter udara yang bersepadu dengan dive plane, sayap GT4 gentian-karbon dan juga tempat duduk belakang dicabut bagi mengurangkan beratnya.

    Ford juga menawarkan Handling Package untuk Shelby GT500 ini bagi menambahbaik pengendaliannya menerusi pemadanan cagak strut bahagian atas yang boleh dilaras, bersama Gruney Flap pada sayap belakang.

    Berbanding Mustang lain dalam barisan model, Shelby GT500 ini juga menampilkan rupa yang paling agresif. Gril hadapan Mustang ini boleh dibuka dua kali lebih luas dari Shelby GT350, membolehkan aliran udara sejuk mengalir 50% lebih banyak. Manakala komponen aerodinamik GT500 ini pula diinspirasikan dari pesawat pejuang moden.

    Kabin GT500 ini pula menerima elemen rekaan berat kepada jentera perlumbaan sebenar. Kemasan-kemasan dari bahan gentian karbon memenuhi papan pemuka, manakala panel pintu pula menerima kemasan sued Dark Slate Miko bersama jahitan benang kontras. Pemandu dan dan penumpang hadapan ‘dipeluk’ dengan erat oleh sepasang tempat duduk perlumbaan Recaro. Namun sekiranya anda tidak selesa dengan tempat duduk berkenaan, opsyen tempat duduk larasan berkuasa bersama kemasan sued Miko turut ditawarkan.

    Pemandu akan menerima segala informasi dari kluster instrumen LCD berwarna 12-inci. Manakala pada bahagian tengah papan pemukan diberikan skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotaimen SYNC 3 bersama SiriusXM dan FordPass Connect, dihubungkan kepada sistem bunyi premium berprestasi tinggi B&O dengan 12-pembesar suara.

    Ford Mustang Shelby GT500 akan mula dijual pada pasaran Amerika Syarikat bermula September tahun ini. Tiga pilihan warna badan diberikan terdiri dari Red Hot, Twister Orange dan Iconic Silver, dengan opsyen tambahan jalur badan.

     
     
  • Ducati Hypermotard 950 dilancar di M’sia – dari RM76k

    Ducati Hypermotard 950 dilancar di M’sia – dari RM76k

    Selain Scrambler 2019, Ducati Malaysia turut melancarkan Hypermotard 950 untuk pasaran Malaysia. Harganya adalah RM75,900 tidak termasuk insurans dan ini adalah model terbaru generasi ketiga yang mempunyai beberapa peningkatan. Kami juga sudah berpeluang menguji model ini dan anda boleh membaca laporannya di sini.

    Sebenarnya, untuk Hypermotard 950 terdapat dua versi iaitu Standard dan SP, tetapi yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia setakat ini adalah model Standard sementara model SP hanya dibawa masuk apabila ada tempahan dengan harga RM117,900. Enjinnya masih lagi sama dengan Hypermotard 939, iaitu unit Testastretta 11 937 cc, tetapi dipertingkat dengan piston, profail cam ekzos, throttle body, serta kalibrasi dan pemetaan baru. Hasilnya, kuasa meningkat 4 hp menjadi 114 hp pada 9,000 rpm dan tork 96 Nm pada 7,250 rpm.

    Selain enjin, bahagian transmisi juga dipertingkat, dengan kini ia menggunakan klac jenis hidraulik serta sistem slip and assist. Fungsi utama ciri elektronik motosikal ini dikawal unit pengukur inertia (IMU) 6-axis oleh Bosch dan melaluinya, sistem seperti Cornering ABS dengan Ducati Slide by Brake), Ducati Traction Control EVO, Ducati Wheelie Control EVO, Ducati Quick Shift (SP sahaja) dan tiga mod tunggangan dapat disediakan.

    Untuk bentuknya, banyak ciri Hypermotard generasi pertama digunakan semula seperti pada bahagian ekor belakang, ekzos bawah tempat duduk, kerangka belakang jenis trellis serta paruh. Ergonomik juga diubah dengan bahagian pemegang dijadikan lebih lebar manakala rangka tangki bahan api serta bahagian tengah tempat duduk dijadikan lebih kurus supaya penunggang boleh mengepitnya dan memudahkan kaki memijak tanah apabila berhenti, walaupun sebenarnya tempat duduk Hypermotard 950 ini lebih tinggi (+20 mm menjadi 870 mm).

    Di hadapan penunggang, terdapat panel instrumen TFT 4.3 inci baru, yang mendapat inspirasi daripada Panigale V4. Melalui panel digital ini, pengguna boleh melihat pelbagai informasi dan mengawal operasinya menggunakan butang di sebelah kiri pemegang, yang juga adalah baru.

    Bagi model SP, ia dinaik taraf dengan beberapa kelengkapan yang termasuk fork Ohlins 48 mm boleh laras sepenuhnya di depan (+15 mm, Standard menggunakan fork Marzocchi yang juga boleh dilaras), monoshock Ohlins dengan tabung pelarasan (+25 mm), rim aluminium forged Marchesini, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3 (standard menggunakan Pirelli Diablo Rosso III), pelindung tayar hadapan dan tepi enjin gentian karbon serta quickshifter naik dan turun gear.

    Untuk mengetahui selanjutnya berkenaan motosikal ini anda boleh melihat perbandingan antara model generasi ketiga dan generasi kedua yang kami sediakan di sini, atau laporan tunggang uji kami di sini.

    GALERI: Ducati Hypermotard 950 2019

    GALERI: Ducati Hypermotard 950 SP 2019

     
     
  • Kisah dua orang OKU cipta alat Hand-Drive Controller

    Mohd Afiq Barni, 30, dan Hairul Anuar Abu Bakar, 42, merupakan dua orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami kecacatan tulang saraf – kaki mereka tidak lagi berfungsi. Bagi Afiq, ia disebabkan oleh kemalangan jalan raya yang dialaminya pada 2013, manakala bagi Hairul Anwar pula ia akibat terjatuh dari bangunan pada 2008 dahulu.

    Namun, semangat mereka untuk terus hidup bukan calang-calang. Kini, Afiq yang merupakan seorang pereka grafik berkelulusan Diploma dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala Hairul Anuar yang merupakan pakar mekanik kenderaan berganding bahu mengusahakan syarikat Double A Project Enterprise yang ditubuhkan pada 2017.

    Tujuannya? Untuk mencipta alat yang dipanggil hand-drive controller (HDC) bagi membolehkan atau membantu OKU seperti mereka memandu kereta semula, lapor Bernama. “Saya mencipta alat untuk memandu – HDC- bagi golongan OKU kerana mahu melihat mereka dapat memandu kenderaan (kereta) dan berdikari tanpa bantuan orang luar,” ujar Mohd Afiq.

    Kisah dua orang OKU cipta alat <em>Hand-Drive Controller</em>

    Beroperasi di sebuah bengkel sewa di Larkin, Johor, dua sahabat itu ingin membantu golongan OKU untuk berdikari kerana menyedari antara halangan yang dihadapi golongan tersebut adalah untuk bergerak ke sesuatu tempat, menyebabkan kesukaran bagi mereka bekerja untuk mencari rezeki.

    “Rekaan HDC kami bergantung kepada laporan doktor, contohnya jika pesakit itu mengalami lumpuh tulang belakang, disyorkan untuk memandu di mana mereka boleh mengawal brek dan minyak menggunakan pedal di tangan,” kata Mohd Afiq lagi.

    HDC yang dicipta terdiri daripada jenis kekal dan boleh ubah. Alat ini dipasang mengikut tahap kecacatan dan kenderaan pelanggan. Alat yang dihasilkan ini sesuai untuk semua jenis kecacatan seperti kecederaan saraf tunjang, tiada kaki kiri atau kanan, tiada tangan kanan atau kiri. Malah, orang kerdil juga boleh menggunakannya.

    Kisah dua orang OKU cipta alat <em>Hand-Drive Controller</em>

    Lebih menarik, menurut Afiq; “HDC ini akan direka mengikut laporan doktor mengenai kecacatan yang dihadapi oleh pelanggan dan selepas pemasangan, pihak syarikat akan membawanya ke JPJ untuk pengesahan sebelum pelanggan membawanya ke Puspakom bagi pemeriksaan dan pengesahan,” katanya.

    Pelanggan tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana HDC tersebut mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Puspakom Sdn Bhd dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ikuti kisah Afiq dan Hairul selanjutnya dalam video ini.

     
     
  • Ducati Scrambler 2019 tiba di Malaysia – empat versi ditawarkan dengan harga antara RM53k hingga RM68k

    Ducati Scrambler 2019 tiba di Malaysia – empat versi ditawarkan dengan harga antara RM53k hingga RM68k

    Sebelum ini, Ducati Scrambler ditawarkan dalam pelbagai versi, tapi untuk tahun 2019, pilihannya dikecilkan kepada empat sahaja iaitu Icon, Full Throttle, Cafe Racer dan Desert Sled. Semuanya sudah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM52,900 untuk Icon, RM62,900 untuk Full Throttle dan RM67,900 untuk kedua-dua Cafe Racer dan Desert Sled.

    Antara pembaharuan yang dikongsi untuk semua model Scrambler tahun 2019 adalah termasuk lampu penunjuk arah dan lampu utama LED berserta DRL, klac jenis hidraulik, panel meter yang lengkap dengan penunjuk tahap minyak dan kedudukan gear, Cornering ABS serta tempat duduk baru.

    Enjin pula, ia masih lagi dikuasakan oleh unit L-Twin 803 cc yang sama, serta padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm. Walaupun perubahannya tidak besar, apabila ditunggang, anda akan dapat merasa Scrambler baru ini lebih selesa dan menyenangkan.

    Selain daripada itu, setiap satu versi Scrambler 2019 ini juga mempunyai peningkatan lain yang tersendiri. Bagi Full Throttle, penampilannya kini diubah dengan grafik hitam kuning dua tona, bersama jalur putih serta penutup tempat duduk belakang yang berbentuk seperti motosikal lumba. Rekaan pada Scrambler Full Throttle baru ini banyak mendapat inspirasi daripada motosikal lumba flat track dan dapat dilihat pada bahagian tempat duduk, pemegang yang lebih rendah serta ekzos Termignoni yang boleh digunakan atas jalan biasa.

    Scrambler Cafe Racer 2019 pula didatangkan dengan rim spoked 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III, dan datang sekali dengan silinder master brake radial seperti motosikal prestasi moden yang lain. Warna gabungan biru pada kerangka dan Silver Ice Matt pada panel badan motosikal ini adalah mendapat inspirasi daripada jentera tahun 60-an, terutamanya 125GP Desmo dan dipasang dengan cermin sisi di hujung pemegang, fairing kecil serta pemegang jenis clip on.

    Melihat kepada model Scrambler yang paling berkemampuan untuk meredah jalan offroad pula, iaitu Desert Sled, ia diperbaharui dengan tempat duduk lebih tinggi (860 mm) serta kerangka yang diwarnakan merah. Lengan ayun model ini juga adalah spesifik cuma untuknya dan diperbuat daripada aluminium. Kelengkapan lain yang ada padanya termasuk suspensi boleh laras, padanan rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tayar Scorpion Rally STR dan jarak dari tanah 238 mm.

    Kami sudah berpeluang menguji Scrambler Icon dan Desert Sled 2019 ini di Thailand, dan anda boleh membaca laporannya di sini.

    GALERI: Ducati Scrambler Icon 2019

    GALERI: Ducati Scrambler Desert Sled 2019

    GALERI: Ducati Scrambler Cafe Racer dan Full Throttle

     
     
  • VIDEO: Ken Gushi drift Toyota Avalon TRD

    Sempena sambutan Hari Bapa baru-baru ini, Toyota telah menghasilkan video istimewa memaparkan sedan ‘ayah-ayah’ yang sedikit lebih besar dari Camry untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Toyota Avalon. Video tersebut dibintangi pemandu Formula D Ken Gushi bersama atlit paralimpik Jarryd Wallace dan ayahnya, Jeff Wallace, menyajikan aksi-aksi drift.

    Toyota Avalon yang digunakan oleh Ken Gushi kali ini adalah dari versi Avalon TRD yang telah didedahkan hujung tahun lalu. Dan tidak seperti Toyota Corolla dipandu Fredric Aasbo yang telah pun diubahsuai secara ekstrem bagi mengubah pacuannya ke roda belakang, Avalon ini masih menggunakan enjin dan transmisi standard memacu roda hadapan.

    Toyota hanya membuat pengubahsuaian pada sistem brek, dengan memadankan tuil brek tangan untuk mengunci roda belakang bagi memulakan aksi drift kerana Avalon TRD standard menggunakan brek parkir elektronik. Dengan skil tinggi Ken Gushi, sedan besar berkenaan mampu menggelangsar seakan kereta pacuan roda belakang dengan asap yang banyak.

    Avalon TRD didedahkan serentak dengan Camry TRD pada November 2018. Walau bagaimanapun, ia hanya akan tiba ke bilik pameran di pasaran Amerika Syarikat pada Ogos tahun ini, diikuti Camry TRD sebulan selepasnya. Berbanding model standard, versi yang diasaskan dari Avalon XSE ini menampilkan kit badan yang jauh lebih agresif, bersama set rim TRD 19 x 8.5-inci dihasilkan 8.1 kg lebih ringan dari set rim asal.

    Ia masih dijana enjin asal iaitu unit V6 2GR-FKS menghasilkan 301 hp/363 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Namun Toyota menyatakan bahawa versi TRD ini memberikan bunyi enjin yang ‘lebih merdu’ menerusi pemadanan sistem ekzos cat-back dengan dua tip ekzos krom yang lebih besar dari standard.

    Versi TRD ini juga menampilkan set penyerap hentak khas yang telah ditala semula, bersama spring baharu yang merapatkan badan sedan tersebut ke permukaan tanah sebanyak 0.6-inci – bukan sahaja untuk mendapatkan stance yang lebih agresif, malah turut memperbaiki titik gravitinya. Brek hadapan juga dipertingkat dengan penggunaan cakera 12.9-inci dan angkup dua omboh berwarna merah berbanding cakera 12-inci dan angkup omboh tunggal pada model standard.

    Menurut Toyota, “talaan litar” yang diberikan pada Avalon dan Camry TRD ini dihasilkan oleh jurutera TRD yang memberikan karekteristik baharu kepada kedua-duanya menerusi pembangunan dan ujian ekstensif di litar ujian Toyota Arizona, litar ujian TMC Higashi-Fuji di Jepun dan juga Motorsport Ranch di Texas, Amerika Syarikat.

    GALERI: Toyota Avalon TRD 2020

     
     
  • Sindiket kereta klon kembali aktif – JPJ Selangor

    Sindiket kereta klon kembali aktif – JPJ Selangor

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesahkan sindiket kereta klon khususnya melibatkan kenderaan mewah telah kembali bergiat aktif. Berikutan peningkatan aduan yang ketara daripada pengguna sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang mengadu mereka telah disenarai hitam berikutan terdapat saman tertunggak yang tidak disedari semasa hendak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

    Menurut pengarah JPJ negeri, Nazli Md Taib, pihaknya telah mengadakan pemeriksaan dan mendapati saman-saman ini dikeluarkan ke atas kereta yang mempunyai nombor pendaftaran yang sama dengan milik pengadu dan dipercayai kereta berkenaan adalah kereta klon.

    “Pemeriksaan juga mendapati kebanyakan saman ini dikeluarkan di negeri-negeri pantai timur melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas). Malah bagi tempoh Januari lepas sehingga hari ini, JPJ Selangor telah menerima sebanyak 25 aduan melibatkan kereta klon, ” ujarnya seperti yang dilaporkan menerusi Bernama.

    Sambungnya lagi, kebanyakkan aduan yang diterima pihaknya berhubung perkara itu adalah membabitkan kereta mewah antaranya BMW dan Toyota Vellfire berbanding sebelum ini yang banyak melibatkan kereta daripada jenama Honda. Oleh itu beliau menasihatkan pembeli kereta terpakai agar tidak menyerahkan seluruh urusan dokumentasi kepada pihak ketiga atau ejen untuk mengelakkan daripada tertipu dan membeli kereta klon.

    “Pembeli mesti hadir ke JPJ untuk urusan pertukaran nama dan ke Puspakom untuk urusan pemeriksaan kereta, pembeli harus pastikan semua dokumen adalah tulen,” katanya.

     
     
  • Kia Seltos – SUV segmen-B global diperkenalkan

    Kia Seltos – SUV segmen-B global diperkenalkan

    Kia telah mendedahkan Seltos sepenuhnya, dalam majlis memperkenalkan SUV segmen-B baharu itu di Delhi, India. Selain Korea, SUV ini juga akan dipasang di fasiliti pengeluar kenderaan ini di India iaitu di daerah Anatapur yang terletak di Andhra Pradesh, dan akan dijual di pasaran global pada separuh kedua tahun ini.

    Selepas beberapa siri foto spyshot tersebar awal bulan ini, bentuk Seltos ini memiliki banyak garisan yang bersudut dan tajam, dan ternyata ia mampu meletakkan golongan muda sebagai sasarannya. Rekaan yang ditonjolkan termasuklah lampu utama LED dua-peringkat, dengan seksyen atas disambungkan pada gril “tiger nose” dan kluster bawah pula bersambung pada perumah indicator pelbagai-lapisan 3D.

    Pembeli boleh memilih roda daripada pelbagai size, sama ada 16-inci, 17-inci atau 18-inci dengan roda aloi potongan-kristal. Malah pilihan tayar masing-masing sama ada 205/60 16, 215/55 17 atau 235/45 18.

    Kia Seltos – SUV segmen-B global diperkenalkan

    Di dalamnya, ruangnya dihiasi dengan material berkualiti tinggi dan juga sarat dengan pelbagai teknologi untuk memenuhi kehendak masa kini. Antara elemen yang ditampilkan termasuklah sistem infotainmen skrin sesentuh 10-25-inci dengan fungsi skrin-berasingan, pertama dalam segmennya, memudahkan pengguna untuk menentukan larasan paparan pada skrin sehingga tiga aplikasi serentak atau hanya fungsi tertentu seperti navigasi yang dipaparkan secara sendirian pada skrin.

    Lain-lain ciri termasuklah sistem bunyi premium Bose dengan lapan-pembesar suara, paparan utama 8.0-inci dan sistem telematik UVO Connect buatan Kia sendiri yang bekerjasama dengan aplikasi UVO untuk peranti mudah alih.

    Selain itu, ia turut menampilkan sistem Sound Mood Lighting yang memberikan pencahayaan lembut dari panel pintu, yang bergerak mengikut alunan muzik yang dimainkan menerusi sistem audio. Lapan warna dan enam tema memberikan pilihan kepada pengguna mengikut mood.

    Tiga pilihan enjin diberikan untuk Seltos, dengan dua daripadanya adalah unit petrol dan satu ujit diesel. Pilihan unit petrol ialah enjin 1.6 liter T-GDI pengecas turbo dengan kuasa 177 PS dan juga 2.0 liter naturally-aspirated bersama hamburan 149 PS. Sementara diesel pula dengan unit 1.6 liter berkuasa 136 PS/

    Untuk transmisinya pula, turut menawarkan tiga pilihan. Bergantung pada pasaran, Seltos akan dilengkapi sama ada transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan (7DCT), transmisi automatik enam-kelajuan (6AT) atau CVT. Teknologi yang paling ditonjolkan pula ialah sistem Driver Mode Select, dengan tiga larasan untuk dipilih sama ada Normal, Eco atau Sport.

    Bagi aspek keselamatannya, Seltos didatangkan dengan enam beg udara termasuk juga sistem keselamatan kenderaan elektronik. Ini termasuklah sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan secara standard, dengan kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan elektronik. Juga terdapat dalam senarai ialah bantuan mula mendaki dan pengesan parkir hadapan/belakang.

     
     
  • SPYSHOT: Renault Kangoo generasi baharu sudah mula diuji di atas jalan awam – nampak lebih besar

    SPYSHOT: Renault Kangoo generasi baharu sudah mula diuji di atas jalan awam – nampak lebih besar

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Bulan lalu Renault telah mendedahkan Kangoo Z.E Concept, yang bukan sahaja memberikan gambaran bagaimana kenderaan pelbagai guna tersebut dalam versi elektrik sepenuhnya, malah sebagai prebiu untuk Kangoo generasi ketiga. Dan kini, nampaknya jenama dari Perancis itu sudah mula menguji Kangoo generasi baharu berkenaan di atas jalan raya awam.

    Unit prototaip yang diuji ini dijumpai oleh jurugambar intipan kami di selatan Sepanyol. Sekali imbas, anda tentu perasan bahawa Kangoo ini nampaknya semakin membesar jika dibandingkan dengan model generasi kedua dan pertama yang pernah dipasarkan di Malaysia satu ketika dahulu.

    SPYSHOT: Renault Kangoo generasi baharu sudah mula diuji di atas jalan awam – nampak lebih besar

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Seperti yang tampil pada model konsep sebelum ini, Kangoo generasi ketiga ini diberikan muka dengan rekaan signatur terkini Renault yang terdiri dari lampu dan juga gril hadapan. Namun Kangoo tidak menerima jalur lampu nyalaan siang LED seperti Koleos dan Megane.

    Model generasi baharu ini dijangka akan menerima enjin diesel dengan talaan kuasa 80 hp, 95 hp dan juga 115 hp. Versi elektrik sepenuhnya juga akan terus ditawarkan seperti pada model generasi kedua. Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan oleh Renault, namun pada versi sebelumnya model elektrik berkenaan dijana motor elektrik 44 kW yang mampu menghasilkan tork 226 Nm, dengan bekalan kuasa dari bateri lithium ion 22 kWh, membolehkan ia bergerak sejauh 170 km.

     
     
  • Michelin Energy XM2+ rasmi di pasaran M’sia – kekal mencengkam walaupun sudah haus, bermula RM200

    Michelin Energy XM2+ rasmi di pasaran M’sia – kekal mencengkam walaupun sudah haus, bermula RM200

    Michelin hari ini secara rasmi telah melancarkan tayar dari siri asas, Energy XM2+ untuk pasaran Malaysia bagi menggantikan siri XM2 sebelum ini. Menurut pengeluar tayar dari Perancis tersebut, tayar yang dihasilkan untuk kereta-kereta penumpang biasa itu kini dibangunkan dengan teknologi material yang sama seperti Primacy 4, menampilkan ketahanan yang lebih lama serta boleh memberhentikan kereta dalam keadaan basah.

    Sekali tengok, Energy XM2+ ini sama seperti XM2 kerana masih mengekalkan corak bunga tayar yang serupa. Namun sebenarnya bunga tayar berkenaan dihasilkan dari bahan silika penuh dengan formulasi baharu, yang lebih daya lentur, membolehkan yang bersentuh dengan permukaan jalan dengan skala-mikro, seterusnya memastikan cengkaman yang baik walaupun bunganya sudah haus sehingga lapisan yang terakhir, dakwa Michelin.

    Tayar ini juga didakwa mempunyai daya lekatan yang lebih kuat, bagi membolehkan ia lebih tahan lasak, seterusnya meminimakan kehausan dan boleh digunakan dalam jarak yang lebih jauh.

    Hasilnya, tayar Energy XM2+ ini mampu untuk menghentikan kereta pada jarak 1.5 meter lebih pendek dalam keadaan permukaan jalan basah berbanding pengeluar-pengeluar premium lain. Ia juga kekal mencengkam walaupun bunga tayar mula haus, dan mencatatkan jarak pemberhentian dalam keadaan basah 2.6 meter lebih pendek berbanding tayar-tayar jenama lain dalam keadaan peratusan bunga yang sama.

    Menurut Michelin lagi, tayar ini juga boleh digunakan 25% lebih jauh berbanding tayar jenama lain, dan ia juga masih tayar dengan tanda Green “X” iaitu tayar dengan rintangan golekan yang rendah membolehkan ia lebih menjimatkan bahan api.

    Jika anda berminat untuk mendapat Michelin Energy XM2+ ini, anda boleh kunjungi kesemua outlet Michelin Tyreplus dan juga pengedar-pengedar Michelin yang sah di seluruh negara. Ia ditawarkan dalam 32 saiz, bermula untuk rim berdiameter 14-inci sehingga 16-inci, dengan harga bermula RM200.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Nissan X-Trail 2019 – Nissan Connect dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto

    Banyak video yang telah kami sediakan berkaitan SUV Nissan X-Trail 2019 sebelum ini. Antaranya, perbezaan model lama dan model barunya serta “drag race” untuk lihat varian mana yang lebih pantas. Tapi, nanti dulu. Masih ada lagi yang ingin diperkatakan tentang SUV ini.

    Yang dimaksudkan ialah sistem infotainmen yang digunakan. Mungkin ada yang terlepas pandang sebelum ini; melalui Nissan X-Trail 2019, inilah kali pertama Nissan menggunakan sistem Nissan Connect yang sebetulnya dalam kenderaan mereka.

    Sistem ini turut hadir dengan sokongan Apple CarPlay, yang membolehkan anda sambungkan serta paparkan kandungan telefon anda pada skrin sistem ini. Ia memudahkan lagi pengguna, misalnya ketika anda ingin menggunakan peta Waze dari telefon – paparan skrinnya lebih besar dan jelas.

    Namun ada juga kelemahan lain; Apple CarPlay ini hanya boleh memamarkan satu aplikasi sahaja dalam satu-satu masa. Maksudnya, jika anda sedang memaparkan peta tunjuk arah, paparan untuk Spotify tidak akan dipaparkan bersebelahan. Ini akan sedikit mengganggu aliran penggunaan anda pada antaramuka sistem berkenaan.

    Jika menggunakan Android Auto pula, ia sedikit rumit, tetapi masih boleh disambungkan juga. Untuk tahu dengan lebih lanjut tentang ciri utama yang ditawarkan pada head unit ini, sila tonton video ringkas yang kami sediakan. Jangan kata tak tahu nak manfaatkan sistem berkenaan pula nanti. Selamat menonton.

     
     
  • Tawaran hebat di Rumah Terbuka Volkswagen sempena Aidilfitri – penjimatan sehingga RM15,000

    Tawaran hebat di Rumah Terbuka Volkswagen sempena Aidilfitri – penjimatan sehingga RM15,000

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) bakal menganjurkan Rumah terbuka sempena Aidilfitri di semua rangkaian pengedarannya pada Sabtu ini, 22 June, dari jam 11 pagi hingga 5 petang, dan ia bukan setakat jamuan makan-makan saja tapi paling menarik ada tawaran jualan dan selepas jualan yang bakal dianjurkan bersama.

    Nikmati penjimatan sehingga RM8,000 untuk Vento Comfortline dan RM15,000 untuk Passat Comfortline, dengan kadar faedah serendah 1.88% juga ditawarkan. Kadar faedah istimewa juga boleh didapati untuk varian Passat Highline dan Tiguan Highline.

    Tawaran hebat di Rumah Terbuka Volkswagen sempena Aidilfitri – penjimatan sehingga RM15,000

    Pelanggan yang menempah kenderaan Volkswagen bakal menerima baucer petrol tambahan bernilai RM2,000 di samping baucer promosi sedia ada bernilai RM1,000, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM3,000. Baucer petrol tambahan ini hanya akan diperoleh untuk tempahan yang dibuat pada hari berkenaan, dan kenderaan yang didaftarkan menjelang 30 Jun 2019. Pelanggan yang layak juga bakal menikmati program keahlian Volkswagen Care Plus secara percuma.

    Malah turut promosi selepas jualan turut dianjurkan, termasuk pemberian diskaun sebanyak 20% untuk penyelenggaraan pendingin hawa, diskaun 20% bagi penggantian bateri dan banyak faedah lain termasuk pemasangan, penjajaran, dan pengimbangan tayar secara percuma. Dan…dalam jamuan makan-makan yang diadakan ini juga akan disajikan durian. #untunglah

     
     
  • Toyota Corolla Altis terbaru masuk Thailand Ogos ini

    Toyota Corolla Altis terbaru masuk Thailand Ogos ini

    Toyota Corolla Altis generasi terbaru dijangka akan diperkenalkan di Thailand Ogos ini, menurut Headlightmag. Laman automtotif Thai itu mendakwa pasaran negara berkenaan – yang menjadi pasaran besar untuk Coralla Altis, yang turut digunakan sebagai teksi di sana – akan menerima versi yang sama seperti di Taiwan.

    Penelitian lanjut mendapati, pasaran Taiwan menerima Coralla Altis dengan rekabentuk sama seperti Corolla Sedan di Eropah, yang mula ditampilkan pada penghujung 2018. Model sama untuk pasaran Amerika Syarikat pula menerima penggayaan yang berbeza dan lebih agresif.

    Selain versi Altis berkenaan, pasaran China juga menerima versi yang lebih sporty yang dikenali sebagai Levin, yang menggunakan wajah depan Corolla Hatchback lima-pintu dan Corolla Touring Sports. Corolla generasi ke-12 merupakan model serba baru yang memanfaatkan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C, yang turut digunakan pada Prius dan C-HR.

    Toyota Corolla Altis terbaru masuk Thailand Ogos ini

    Ia mempunyai dimensi 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, menjadikannya 10 mm lebih panjang, lima mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah berbanding sedan sedia ada. Jarak antara roda kekal 2,700 mm. Keluasan but belakang ialah 470 liter. Dibandingkan dengan Civic, Altis baru ini 10 mm lebih panjang, satu mm lebih lebar dan 19 mm lebih tinggi – jarak antara rodanya sama.

    Laporan berkenaan juga meramalkan Corolla Altis di Thailand nanti akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol – 1.6L dan 1.8L – dengan varian 1.8L hibrid akan menyusul kemudian. Kalau jangkaan ini betul, maka enjin yang dimaksudkan mungkin unit 1ZR-FAE Dual VVT-i dengan 132 hp dan 159 Nm, yang boleh dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT.

    Toyota Corolla Altis terbaru masuk Thailand Ogos ini

    Enjin 1.8L pula boleh jadi dari unit 2ZR-FE Dual VVT-i dengan janaan 140 hp dan 173 Nm tork dengan transmisi automatik Super CVT-i dengan tujuh nisbah gear maya. Versi 1.8L hibrid pula akan menggabungkan unit 2ZR-FXE kitaran Atkinson yang menjana 122 PS/142 Nm dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm – dengan kotak gear CVT.

    Sebagai perbandingan, pasaran Amerika Syarikat menerima enjin 2.0 liter Dynamic Force dengan 169 hp dan 205 Nm. Dalam segmen C kenderaan pengeluar Jepun, hanya Honda menawarkan enjin yang lebih kecil dengan desakan turbo, Civic 1.5T. Toyota dan Mazda (yang akan tampil dengan Mazda 3 terbaru nanti) menggunakan enjin naturally aspirated (NA).

     
     
  • Yamaha 135LC 2019 kini rasmi dijual – harga RM6.7k

    Yamaha 135LC 2019 kini rasmi dijual – harga RM6.7k

    Minggu lalu, kami telah menyiarkan satu artikel berkenaan risalah jualan Yamaha 135LC versi terbaru tahun 2019 yang sudah pun disebarkan oleh pengedar motosikal. Pada waktu itu, harganya masih belum ada, tapi sekarang, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd telah pun mengeluarkan harga cadangan pengeluar tidak termasuk insurans untuk model yang dipertingkat ini iaitu RM6,868.

    Kalau dibandingkan dengan 135LC sebelum ini, harga waktu pelancarannya adalah RM7,167 (termasuk GST waktu itu) dan sekaligus secara terus menunjukkan model baru tahun 2019 ini adalah lebih murah, meskipun ia mempunyai beberapa peningkatan kecil.

    Bahagian yang baru bagi model tahun 2019 ini adalah termasuk pelindung hon (atau biasanya dipanggil dada depan), lubang udara di panel tepi, panel pelindung enjin serta rekaan panel meter. Selain daripada itu, kelengkapan lain masih lagi sama seperti sebelumnya.

    135LC 2019 masih menggunakan enjin satu silinder SOHC sejukan cecair 134 cc yang menggunakan sistem bahan api karburator, dan digabungkan bersama transmisi empat kelajuan untuk menghasilkan 12 hp pada 8,500 rpm dan 11.79 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Kelengkapan lain model ini adalah termasuk tangki bahan api empat liter, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, rim 17 inci berserta tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, lampu jenis halogen, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.

    135LC 2019 ini didatangkan dalam tiga warna iaitu Fiery Red, Storm Blue dan Comet Grey, dan sebagai tambahan, pembeli juga akan diberi dengan pengunci brek cakera stainless steel.

     
     
  • Proton Iriz S1000 Concept – lakaran imaginasi edisi istimewa raikan kejayaan perlumbaan Sepang 1k km

    Proton Iriz S1000 Concept – lakaran imaginasi edisi istimewa raikan kejayaan perlumbaan Sepang 1k km

    Apa lagi la yang pakar render, Theophilus Chin, ni buat? Serba kreatif sungguh dalam menghasilkan lakaran imaginasi untuk model-model kenderaan konsep. Kali ini, terhasilnya lakaran imaginasi bagi Proton Iriz S1000 Concept, edisi istimewa bagi meraikan kejayaan perlumbaan Sepang 1,000 km.

    Lihat satu persatu imej yang dihasilkan, memang mengagumkan. Lakaran yang berasaskan model Iriz 2019, namun Theo telah membuat beberapa ‘pembedahan kosmetik’ untuk membuatkan model konsep terbabit lebih sporty dan menyerlah berbanding model standard. Nama pun ‘edisi istimewa’, dah pasti ia kena nampak kelainan dan keunikannya.

    Theo memulakan olahan bahagian wajah hadapan Iriz dengan gril “busur panah” dengan sayap krom untuk gril yang lebih konvensional, bersama kemasan “Infinite Weave” yang lebih menyerlah. Kemasan krom pada lampu dan gril juga telah ditukar kepada hitam pekat bagi memberikan aura yang lebih sporty.

    Proton Iriz S1000 Concept – lakaran imaginasi edisi istimewa raikan kejayaan perlumbaan Sepang 1k km

    Bampar bawah dari Iriz standard (yang tidak sama dengan Persona 2019) ditampilkan, tetapi jaluran lampu nyalaan siang LED disingkirkan. Selain gril, elemen lain masih dikekalkan. Splitter hadapan dengan rekaan yang agak unik turut menyerlah imejnya, dengan “horns” menegak yang disambung pada corong pengambilan udara sisi.

    Kemasan karbon dan corong merah kecil di kedua-dua belah turut ditampilkan, juga pada skirt sisi. Kaliper brek juga dipadankan dengan warna merah.

    Untuk bahagian profil, Theo menambah fender hadapan yang lebih lebar, dan dua corong – satunya di sayap hadapan yang berhubung ke bonet (berdasarkan A-pillar), dan satu lagi pada jaluran menegak yang agak panjang (terletak antara pintu hadapan), macam lebih kurang sama dengan elemen pada Honda Civic Type R FK8 pula. Iriz S1000 juga menampilkan aloi pelbagai-jejari besar dengan kemasan hitam. Begitu juga dengan perumah cermin sisi yang juga ditampilkan dengan rona hitam.

    Proton Iriz S1000 Concept – lakaran imaginasi edisi istimewa raikan kejayaan perlumbaan Sepang 1k km

    Manakala bahagian belakangnya pula memang menampakkan sisi yang agresif dan menyerlah, hasil sambungan baharu berwarna hitam di antara lampu menegak dengan label perkataan Proton. Kalau hatchback ini didatangkan dengan sayap belakang sedia ada, tapi untuk lakaran imaginasiini, Theo mengolahnya lebih besar supaya mirip dengan jentera lumba. Bukan itu sahaja, “two-tier wing’ dengan lampu brek ketiga ‘gaya-F1’ turut ditampilkan.

    Kalau tengok ‘sayap’ yang cukup menonjol pada Iriz S1000 Concept ini tidak begitu menguja, perhatikan pula bampar belakangnya yang menampilkan rekaan seperti gaya ‘terowong angin’ Lamborghini.

    Diffuser pula kelihatan macam banyak potongan karbon di antaranya, tambah menyerlah dengan dua corong ekzos dengan kemasan hitam untuk menyuaipadankannya dengan bahagian bawah badan hatchback ini yang gelap.

    Tidak lengkap gaya jentera lumba jadi beberapa elemen yang setara dengannya ditampilkan, termasuklah kemasan perkataan “S1000” yang terukir di sayap hadapan, seperti yang boleh anda lihat menerusi kereta biru dan hijau di atas ini. Model berwarna hijau ini juga didatangkan dengan kemasan kit badan berwarna kuning bagi menggantikan sentuhan tona merah dan juga pelekat tambahan dari warna kuning yang sama (atau mungkin keemasan?) pada bonet, sisi bawah dan juga belakangnya.

    Proton turut memperkenalkan lencana Iriz baharu pada model facelift dengan menonjolkan abjad “R” – jadi model S1000 Concept ini telah memilih merah untuk diwarnakan pada “R” untuk ciri yang lebih menonjol (bukan hanya pada gril hadapan) dan juga kelengkapan lumba sepenuhnya.

    Pakar render ini juga membayangkan Iriz S1000 Concept turut menerima peningkatan prestasi, sama ada dengan unit Geely 1.5 liter turbo (174 hp/255 Nm) bersama kombinasi auto dwi-klac (seperti pada Geely Binyue a.k.a Proton X50 akan datang), atau penjana kuasa Proton sendiri dengan unit 1.3 liter turbo (140 hp/190 Nm) bersama kotak gear manual enam-kelajuan, seperti yang ditampilkan pada model prototaip pada tahun 2015. Iriz 2019 asalnya dipadankan dengan enjin 1.6L NA (109 PS/150 Nm) yang digabungkan dengan janaan kuasa CVT.

    Cuba bayangkan kalau model konsep ini dijelmakan sebagai realiti? Agak-agak cukup WOW tak?

     
     
  • Proton anjur pertandingan pemasaran berteraskan SUV X70 untuk mahasiswa universiti asah bakat

    Proton anjur pertandingan pemasaran berteraskan SUV X70 untuk mahasiswa universiti asah bakat

    Proton telah menganjurkan pertandingan Kepintaran yang Memberi Inspirasi yang berteraskan SUV X70 untuk mahasiswa universiti tempatan mengasah bakat dalam bidang berkenaan. Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, pertandingan ini telah bermula pada bulan April dan akan berlangsung sehingga akhir bulan Julai.

    Ia boleh dijadikan platform bagi mahasiswa berkenaan untuk belajar dengan mengalami sendiri semua aspek perlaksanaan pelan pemasaran di samping turut membolehkan mereka membina hubungan interpersonal dan menonjolkan kreativiti mereka. Malah ia turut mengasah kemahiran yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan dalam industri automotif yang bergerak pantas terutama ketika bekerja dengan sebuah jenama terkemuka seperti Proton.

    Melalui program ini, Proton dan para peserta akan bekerjasama untuk berbakti kepada komuniti dan komited untuk meningkatkan kualiti hidup di Malaysia. Di samping itu, mereka juga ditugaskan untuk menyediakan pelan kekal yang boleh dilaksanakan yang akan menjurus kepada penjualan SUV di pelbagai bandar di seluruh Malaysia.

    Proton anjur pertandingan pemasaran berteraskan SUV X70 untuk mahasiswa universiti asah bakat

    Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Pusingan Penyingkiran, Separuh Akhir dan Pusingan Akhir. Sebanyak 51 kumpulan dari 20 institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia telah mendaftar menyertai pertandingan ini. Daripada 51 kumpulan yang bertanding, hanya 19 kumpulan dipilih untuk ke peringkat kedua.

    Peringkat akhir akan berlangsung pada 23 Julai ini di di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam di mana para peserta akan dihakimi oleh panel pakar, termasuklah pakar terkemuka dalam bidang pemasaran.

    “Saya yakin bahawa ciri kepimpinan harus dipupuk dari usia muda lagi, jadi melalui pertandingan ini kami berharap dapat memberikan peluang kepada para pemimpin generasi akan datang dari universiti-universiti di Malaysia ini untuk menyerlah ke peringkat kebangsaan dan dapat melengkapkan mereka dengan pelbagai kemahiran untuk mencapai kecemerlangan di dalam dunia korporat,” ujar CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

     
     
  • Pematuhan Garis Panduan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan sukarela dilaksanakan

    Pematuhan Garis Panduan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan sukarela dilaksanakan

    Mulai hari ini (20 Jun 2019), pematuhan terhadap Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan adalah secara sukarela dilaksanakan sebelum peraturan mandatori berkenaan filem penghadang haba kenderaan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2020.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam tempoh sukarela itu, produk filem penghadang haba kenderaan yang akan dijual disyorkan melalui ujian dan lulus berdasarkan standard MS2669, seterusnya mendapatkan pensijilan dan label berserta QR kod sebagai pengesahan daripada SIRIM sebelum dipasarkan.

    “Pihak industri boleh mendapatkan pensijilan dan menggunakan label beserta QR kod sebagai pengesahan di premis-premis perniagaan masing-masing secara sukarela dengan merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan SIRIM. Garis panduan ini dilancarkan sebagai panduan dan langkah didikan kepada pihak industri sebelum peraturan mandatori berkenaan filem penghadang haba kenderaan dikeluarkan,” katanya dalam sidang media semalam.

    Pematuhan Garis Panduan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan sukarela dilaksanakan

    Menurut Saifuddin, KPDNHEP turut mencadangkan supaya pensijilan dan pelabelan serta QR kod dikuatkuasakan apabila perintah mandatori dikeluarkan melalui punca kuasa perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dalam tempoh setahun.

    “Walaupun garis panduan itu belum lagi dimandatorikan, pihak industri masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada mengenai penandaan maklumat yang berkaitan pada label filem penghadang haba kenderaan iaitu Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” ujarnya lagi.

    Jelasnya, tindakan melekatkan label atau QR kod yang tidak disahkan oleh SIRIM, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 bagi orang persendirian atau RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

    “Dalam masa yang sama KPDNHEP memandang serius dengan penipuan yang membabitkan isu kualiti, prestasi, harga dan iklan filem penghadang haba kenderaan. Kami juga banyak menerima aduan daripada orang ramai mengenainya. Justeru, kami memberi keutamaan dalam isu kualiti barangan pengguna, terutamanya berkaitan lambakan barang-barang substandard di negara ini bagi mengelakkan pengguna terus ditipu,” katanya.

     
     
  • Nissan akan hasilkan lebih banyak sedan – kajian tunjuk golongan muda lebih suka kereta sedemikian

    Nissan akan hasilkan lebih banyak sedan – kajian tunjuk golongan muda lebih suka kereta sedemikian

    Umum mengetahui, pengeluar-pengeluar kenderaan kini berlumba-lumba menghasilkan pelbagai model SUV kerana mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran. Namun kajian yang dijalankan sendiri oleh Nissan menunjukkan sebaliknya – lapan dari 10 orang dari golongan milenial menyatakan mereka lebih suka sedan berbanding bentuk badan lain.

    Menurut Nissan, kajian berkenaan dibuat “di seluruh dunia” dan dilakukan terhadap mereka yang berumur antara 18 hingga 65 tahun. Dari kajian tersebut, 75 peratus responden yang kini tidak memiliki sedan akan mempertimbangkan kereta dengan but belakang tersebut pada masa hadapan. Manakala 80 peratus golongan milenial pula akan mempertimbangkan untuk memiliki sedan sekarang atau pada masa hadapan.

    Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa 68 peratus dari golongan ‘Generasi Z’ akan mempertimbangkan sedan, manakala 71 peratus dari pemilik sedan buat masa sekarang yang suka untuk mengembara dan minat terhadap budaya berpendapat, sedan menampilkan rupa yang lebih melambangkan seorang enthusiast.

    Berdasarkan hasil kajian ini, Nissan mengambil keputusan bagi menggandakan penghasilan model-model sedan (yeay!) mereka untuk masa akan datang. Ini dibuktikan sendiri oleh Nissan setelah memperkenalkan berberapa model sedan baharu yang agak mengujakan baru-baru ini.

    Nissan akan hasilkan lebih banyak sedan – kajian tunjuk golongan muda lebih suka kereta sedemikian

    Antaranya Nissan Sylphy generasi baharu yang telah membuat kemunculan sulungnya di China April lalu yang menampilkan rupa yang sangat garang. Model generasi baharu Almera juga telah membuat kemunculan global di Amerika Syarikat pada bulan yang sama – model yang dikenali sebagai Versa pada pasaran berkenaan hanya akan dijual dalam versi sedan berbanding penawaran versi hatchback yang hadir pada model generasi sebelumnya.

    “Sedan-sedan baharu kami memenuhi sepenuhnya apa yang dimahukan pembeli, khususnya golongan muda yang mungkin mahu membeli kereta pertama mereka. Ketika berberapa pesaing kami tidak lagi menghasilkan sedan, kami sedang merebut peluang berkenaan,” kata naib presiden korporat Nissan untuk strategi dan perancangan produk global, Ivan Espinosa.

    Kita di Malaysia juga sah akan ‘menikmati’ dua buah sedan kacak ini setelah pengedar tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan kedua-duanya akan mendarat di sini pada masa akan datang. Namun apa yang belum pasti adalah, bila ianya akan sampai, dan spesifikasi bagaimana yang akan diterima pada pasaran tempatan.

    GALERI: Nissan Sylphy generasi baharu

    GALERI: Nissan Versa (Almera) generasi baharu

     
     
  • Toyota bakal perkenal sistem matikan enjin secara automatik sekiranya dibiar melahu terlalu lama

    Toyota bakal perkenal sistem matikan enjin secara automatik sekiranya dibiar melahu terlalu lama

    Toyota mengumumkan bahawa mereka bakal hadir dengan dua teknologi baharu yang berkaitan dengan keselamatan untuk model-model baharu pada tahun 2020 kelak, menurut laporan Automotive News.

    Pertama, jenama berkenaan akan menghasilkan sistem yang akan mematikan enjin yang melahu (hidup tetapi kereta tidak berjalan) terlalu lama, dan kedua adalah sistem yang akan membolehkan gear ‘P’ dimasukkan secara automatik sekiranya pemandu terlupa untuk berbuat demikian bagi mengelakkan kereta bergerak sendiri.

    Untuk teknologi pertama, ia akan dibuat dengan hanya menaik taraf sistem kunci pintar sedia ada. Sistem berkenaan selepas ini akan memberikan dua tahap amaran audio dan visual kepada pemandu sekiranya enjin dibiar melahu terlalu lama. Sekiranya amaran tersebut tidak diendahkan, enjin berkenaan akan dimatikan sendiri. Toyota turut merancang untuk menghantar amaran berkenaan terus ke telefon pintar pemilik menerusi satu aplikasi khas.

    Toyota bakal perkenal sistem matikan enjin secara automatik sekiranya dibiar melahu terlalu lama

    2017 Toyota Camry V6 engine

    Toyota mengambil langkah untuk menghasilkan sistem ini setelah menerima teguran dari Safety Research & Strategies atas statistik kematian disebabkan oleh karbon monoksida dicatatkan terjadi kepada kereta Toyota dengan sistem kunci pintar di Amerika Syarikat. Menurut badan tersebut, sekurang-kurangnya 37 kematian telah dikaitkan dengan keracunan karbon monoksida pada kereta yang dibekalkan sistem kunci pintar.

    “Ini merupakan pengumuman yang positif, dan kami gembira ia berlaku. Walau bagaimanapun, mereka telah lambat untuk mengambil tindakan dan tiada rancangan diumumkan untuk membaikpulih sistem pada kereta yang telah pun berada di atas jalan raya,” kata pengasas Safety Research & Strategies, Sean Kane.

    “Keselamatan dan sekuriti pelanggan kami adalah menjadi keutamaan, dan kami bersimpati dengan setiap orang yang terlibat dalam kemalangan membabitkan kenderaan kami. Kami gembira untuk melihat respon positif keatas langkah proaktif ini. Kami akan terus menurut semua standard yang berkenaan untuk masa sekarang dan akan datang,” kata jurucakap Toyota dalam respon kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Kane.

    Toyota bakal perkenal sistem matikan enjin secara automatik sekiranya dibiar melahu terlalu lama

    Bagi teknologi kedua pula, Toyota menggelarnya sebagai Automatic Park, yang akan sama ada menukarkan gear ke posisi ‘P’ atau mengkatifkan brek parkir elektronik secara automatik sekiranya pemandu keluar dari kenderaan tanpa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’. Sistem ini akan diaktifkan apabila ia mengesan pintu dan tali pinggang pemandu dibuka, dan brek telah dilepaskan.

    Namun, Toyota masih belum memperincikan berapa lama sistem baharu ini akan diserapkan ke kesemua model baharu mereka, dan masih belum jelas ia hanya untuk pasaran Amerika Syarikat atau akan dilakukan ke seluruh dunia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026