Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Audi A8L kini di Malaysia – 3.0L TFSI quattro, RM880k

    Audi A8L kini di Malaysia – 3.0L TFSI quattro, RM880k

    Audi A8 generasi keempat kini dipamerkan di Audi Glenmarie, dan model spesifikasi tempatan yang dibawa masuk oleh Euromobil ini adalah A8 L 3.0 TFSI quattro.

    Dalam bentuk asas, D5 berukuran 5,172 mm panjang, 1,945 mm lebar dan 1,473 mm tinggi, tapi untuk versi jarak roda yang lebih panjang, ia ditambah 130 mm, membuatkan ukuran bagi model biasa 2,998 mm menjadi 3,128 mm. Bukan itu sahaja, ia juga menambah ukuran bagi ketinggian sebanyak 12 mm.

    Ciri luaran yang paling ditonjolkan untuk spesifikasi Malaysia termasuklah lampu utama Matrix HD LED dan lampu kombinasi belakang OLED, dengan kedua-dua unit hadapan dan belakang turut menampilkan isyarat membelok. Juga ditampilkan ialah cermin sisi auto-dimming, pakej luaran krom dan bumbung matahari panoramik. Menyerlahkan lagi gayanya dengan padanan roda aloi 15-jejari 19-inci yang dibaluti tayar siri 255/45.

    Audi A8L kini di Malaysia – 3.0L TFSI quattro, RM880k

    Untuk bahagian dalamannya, kemasan kulit upholstery Valcona, dengan material Alcantara pada headliner dan rak belakang. Bagi kemasannya pula, seksyen atas menerima sentuhan bebayang Natural Gray Brown Lime Artefact, sementara seksyen bawah pula dengan kemasan Dark Matte Brushed Aluminium.

    Kokpit maya Audi dan paparan 12.3-inci turut ditampilkan, begitu juga dengan sistem navigasi MMI bersama respons sentuhan MMI. A8 L juga dilengkapi dengan lampu bacaan Matrix LED, pakej pencahayaan ambien/kontur, paparan utama dan antara muka telefon pintar/Bluetooth.

    Selain itu, ia juga menampilkan sistem bunyi B&O Premium 3D, dengan antara muka muzik Audi dan kawalan pada bahagian belakang, bersama skrin sesentuh 5.7-inci yang membolehkan larasan untuk media/bunyi serta kawalan suhu. Konfigurasi tiga tempat duduk di bahagian belakang dengan dua daripadanya ada larasan kuasa.

    Audi A8L kini di Malaysia – 3.0L TFSI quattro, RM880k

    Ciri standard lain termasuklah suspensi udara adaptif dan stereng semua-roda dinamik, penebat haba untuk tingkap sisi dan belakang, sistem kawalan suhu empat-zon, dan pengaliran bagi tempat duduk hadapan dan belakang.

    Kuasanya disalurkan untuk pacuan semua-roda menerusi enjin 3.0 liter V6 TFSI dengan sistem hibrid sederhana 48-voltan, yang menangkap tenaga kinetik dan menghantarnya ke bateri lithium-ion. Apabila bateri telah dicas penuh, ia membolehkan A8 dipacu dengan enjin dimatikan antara 55 dan 160 km/j hingga 40 saat, menambahkan lagi penjimatan bahan apinya.

    Bagi aplikasi biasa, enjin ini menawarkan sehingga 340 hp pada 5,000 hingga 6,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,370 hingga 4,500 rpm, dipadankan dengan transmisi Tiptronic lapan-kelajuan, membolehkan A8 L melakukan pecutan dari 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan mencapai kelajuan tertinggi sehingga 250 km/j. Penggunaan bahan api mengikut pemanduan kombinasi dianggarkan sebanyak 8.2 liter per 100 km.

    Ciri bantuan pemanduan dan keselamatan termasuklah sistem keselamatan pre sense Audi yang memberikan brek kecemasan sendiri, Parking aid Plus dengan paparan 360-darjah dan kamera pandangan sekeliling, sementara beg udara termasuk sisi hadapan dan belakang dan di bahagian tirai. Turut didatangkan termasuklah amaran ketibaan lorong keselematam, bantuan menukar lorong serta amaran keluar dan kepekaan lintasan-trafik belakang.

    Audi A8 L 3.0 TFSI ditawarkan dengan harga atas jalan RM879,900 tanpa insurans, dan didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Audi SQ8 – mampu beri tork 900 Nm pada 1,000 rpm

    Audi SQ8 – mampu beri tork 900 Nm pada 1,000 rpm

    Barisan model Q8 kini menerima satu versi prestasi dengan pengenalan SQ8. Mengikuti langkah SQ7 yang diperkenalkan dengan enjin diesel, SQ8 ini juga dikuasakan oleh enjin diesel V8 biturbo 4.0 liter yang mampu menghasilkan 435 hp dan 900 Nm tork pada 1,000 rpm. Pada aspek prestasi, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.8 saat sementara laju maksimum pula dihadkan kepada 250 km/j.

    Dua pengecas turbo pada enjin diesel ini kemudiannya dibantu lagi dengan sistem elektrikal 48V dengan compressor elektrik, untuk memberikan prestasi tanpa lag secara virtual.

    Sistem ini juga membolehkan SQ8 dipandu dengan kuasa elektrik sahaja, hasil daripada penggunaan belt alternator starter (BAS) yang disambungkan kepada crankshaft – sehingga tempoh 40 saat pada kelajuan 55 km/j hingga 160 km/j. Kuasa disampaikan kepada semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan, manakala differential sport membahagikan tork antara roda belakang mengikut keadaan.

    Disebabkan ia menggunakan platform MLB Evo yang sama seperti SQ7, SQ8 juga dipegang oleh suspensi udara adaptif, yang menawarkan pelarasan tinggi sebanyak 90 mm, dan sistem elektrikal 48V tadi turut memberi sokongan kepada penstabilan kenderaan melalui motor elektrik. Setiap roda menggunakan rim 21 inci dan brek seramik karbon secara standard, namun pembeli masih diberikan pilihan rim 22 inci.

    Gril baru di hadapan menampakkan perbezaan antara SQ8 dengan model versi biasa, di mana ia menggunakan warna perak matte, manakala bampar hadapan pula mempunyai bukaan udara yang digayakan semula. Bahagian belakang mempunyai diffuser warna hitam matte serta empat muncung ekzos. Untuk lebih gaya, Audi turut menawarkan pakej penggayaan serba hitam untuk kenderaan ini.

    Bahagian dalam SQ8 mempunyai sedikit perbezaan berbanding Q8 biasa, dengan gabungan kemasan kulit dan Alcantara, berserta logo ‘S’ khas pada roda stereng dan tempat duduk. Selain kemasan stainless steel yang boleh dilihat pada pedal, perehat kaki dan tepi pintu, kenderaan ini juga boleh dipilih dengan kemasan gentian karbon serta jahitan warna kontras.

    Untuk sistem infotainmen, kenderaan ini menggunakan tetapan dua skrin sesentuh pada konsol tengah, manakala panel instrumen untuk pemandu pula menggunakan sistem digital Audi Virtual Cockpit dengan grafik khas untuk model S.

    Harga untuk SQ8 ini masih belum didedahkan, tetapi ia dijangka dijual pada harga lebih daripada varian 55 TFSI iaitu £80,815 (RM422,762) di United Kingdom. Di Malaysia, Audi Q8 ditawarkan dalam versi petrol 3.0 TFSI yang mempunyai kuasa 340 hp dan 500 Nm tork.

     
     
  • Bentley Continental GT Convertible dilancarkan di Malaysia – harga jangkaan bermula RM2.2 juta

    Bentley Continental GT Convertible dilancarkan di Malaysia – harga jangkaan bermula RM2.2 juta

    Bentley turut memilih Malaysia untuk memasarkan Continental GT Convertible baharu, model coupe generasi ketiga, salah satu pilihan untuk Continental GT selain versi hardtop (bumbung penuh) yang dilancarkan di sini pada tahun lalu.

    Dilancarkan malam tadi secara eksklusif di bilik pameran Bentley, Jalan Pinang, Kuala Lumpur, Continental GT Convertible yang dipamerkan adalah unit pemanduan sebelah kiri. Menurut Bentley Kuala Lumpur, ia ditawarkan pada harga anggaran atas jalan bernilai RM2,242,455 dan kini sudah dibuka untuk tempahan. Dijangka unit pemanduan sebelah kanan yang ditempah oleh pelanggan bakal tiba di Malaysia seawal-awalnya hujung tahun ini.

    Sama seperti versi coupe hardtop, Continental GT Convertible baharu ini turut dijanakan enjin W12 6.0 liter twin-turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 625 hp dan tork 900 Nm. Ia membolehkan Continental GT Convertible ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, dan ini cuma kurang 1/10 berbanding versi hardtop. Kelajuan tertinggi yang boleh dicapai ialah mencecah 333 km/j. Penggunaan bahan apinya pula dianggarkan sekitar 12.4 liter setiap 100 km mengikut ujian NEDC.

    Bentley Continental GT Convertible dilancarkan di Malaysia – harga jangkaan bermula RM2.2 juta

    Walau bagaimana pun, Continental GT Convertible mempunyai berat lebih 160 kg disebabkan mekanisme bumbung boleh lipat yang digunakan. Bumbung ini juga dikatakan sebagai satu peningkatan jelas berbanding GTC generasi sebelum ini, dalam aspek pakej dan kemasan.

    Selain daripada itu, bumbung baharu ini juga memberikan tahap kebisingan tiga decibel lebih rendah berbanding generasi sebelumnya, pada kelajuan biasa. Masa yang diperlukan untuk membuka dan menutup kembali bumbung ini cuma 19 saat, dan ia boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j.

    Bentley turut memaklumkan struktur badan Continental GT Convertible adalah 5% lebih tegar dan 20% lebih ringan berbanding model sebelum ini, hasil daripada penggunaan aluminium dan juga besi berketegangan tinggi pada platformnya. Ia juga mendapat sistem sama seperti Continuous Damping Control (CDC), Bentley Dynamic Ride, Electric Power-Assisted Steering (EPAS), angkup brek 10 piston di hadapan dan angkup empat piston di belakang.

    Bentley Continental GT Convertible dilancarkan di Malaysia – harga jangkaan bermula RM2.2 juta

    Walau pun rekaan luaran dan dalamannya memang banyak persamaan dengan versi hardtop, namun Continental GT Convertible ada sedikit keunikan yang ditampilkan. Memandangkan pada tahun ini, Bentley menyambut ulang tahun yang ke-100, bagi kesemua model yang diproduksi pada tahun 2019 termasuk Continental GT Convertible diberikan beberapa ciri istimewa.

    Antara ciri istimewa yang ditampilkan ialah lencana Bentley pada bahagian hud hadapan dan bonet serta plat sill pada kedua-dua belah kiri dan kanan tertera perkataan “1919” dan “2019”. Bukan itu sahaja, logo Bentley pada pencahayaan “Welcome Home” dan tombol gear hanya tertera abjad “B” tanpa lencana asal Bentley yang bersayap.

    Malah tombol gear tersebut juga ditampilkan lingkaran keemasan, senada dengan kawalan lain pada konsol tengah. Lebih menarik lagi, Continental GT Convertible yang dipamerkan ini hadir dengan warna Imperial Blue, jarang sekali kenderaan mewah sebegini ditampilkan dengan rona lembut tapi nampak seksinya.

    Ciri luaran lain yang turut ditampilkan pada Continental GT Convertible termasuklah roda aloi 21-inci dengan kemasan kelabu dan tona Bright Machined yang dibaluti tayar Pirelli P Zero, hud luaran dengan warna metalik kelabu gelap, selain lampu utama, gril hadapan, lampu belakang dan ekzos berkembar yang mirip dengan versi hardtop.

    Menjengah bahagian kabin yang serba mewah, rekaan dan susun atur segala elemen yang ada memang mirip dengan versi hardtop, cuma tona putih menjadi pilihan utama dalam merajai ruang dalamannya termasuk untuk tempat duduk. Kemasan kayuan mewah turut menjadi pilihan, malah hud lining turut diberikan enam pilihan pencahayaan termasuk merah, biru dan ungu.

    Bahagian konsol tengah didatangkan dengan kemasan teknikal baharu yang spesifik termasuk sentuhan aluminium. Ditampilkan dengan rekaan tiga dimensi untuk suis kawalan dan juga paparan papan pemuka, turut menempatkan pilihan dua paparan skrin yang boleh diterbalikkan, sama ada meter analog yang lebih klasik mahu pun paparan digital yang lebih canggih.

    Bentley Continental GT Convertible dilancarkan di Malaysia – harga jangkaan bermula RM2.2 juta

    Tempat duduk Comfort Seats yang boleh dilaras 20 cara dan mempunyai liang pengudaraan serta fungsi mengurut dan haba panas turut ditampilkan. Malah pemilik juga diberikan pakej ekstra iaitu boleh memilih tiga sistem audio, dengan yang datang secara standard adalah pakej 10-pembesar suara 650 watt, dan ia boleh dinaik taraf kepada sistem Bang Olufsen 16-pembesar suara 1,500 watt ataupun Naim 18-pembesar suara 2,200 watt.

    Selain itu, seperti kebiasaan apabila membeli jentera mewah sebegini, pemilik boleh mendapatkan pelbagai pilihan yang disediakan oleh Bentley termasuk 17 warna untuk bahagian luar, 15 pilihan alas kaki mewah, lapan jenis kemasan kayu berbeza dan 15 pilihan jenis kulit untuk kemasan dalaman. Ini belum termasuk lagi perincian lain seperti perincian jahitan, plat nama dan saiz rim yang dimahukan.

     
     
  • Proton Iriz R5 – unit baharu homologasi penuh bakal buat penampilan di Goodwood Festival of Speed 2019

    Proton Iriz R5 – unit baharu homologasi penuh bakal buat penampilan di Goodwood Festival of Speed 2019

    Tahun ini, Mellors Elliot Motorsport (MEM) sekali lagi akan ke Goodwood Festival of Speed dengan Proton Iriz R5, tetapi bukan dengan unit prototaip sebelum ini, sebaliknya sebuah kereta homologasi baharu sepenuhnya setelah proses ratifikasi oleh FIA lengkap tiga bulan lalu.

    Kemunculan sulung jentera yang kini sah boleh bertanding sehingga ke peringkat Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tersebut juga bakal menampilkan grafik badan perlumbaan baharu untuk pasukan MEM, dan ia bakal menyertai rali Goodwood Forest Stage pada festival yang berlangsung selama empat hari itu.

    Menurut MEM, buat masa ini Proton Iriz R5 adalah satu-satunya jentera R5 yang lulus homologasi dalam versi pemanduan sebelah kiri dan juga pemanduan sebelah kanan.

    “Tiada lagi tempat lain yang lebih baik untuk membawa Proton Iriz R5 selain Goodwood Festival of Speed dan mendedahkan hasil kerja kami kepada sebahagian peminat sukan bermotor dari seluruh dunia,” kata pengarah MEM, Chris Mellors.

    “Ramai yang telah berminat dengan Iriz dan sekarang kami telah mempunyai Homologasi FIA, dan minat tersebut semakin meningkat kini. Kami telah menarik orang seperti juara Irish Tarmac Rally Eugene Donnelly yang telah memiliki sebuah dan ia penting untuk jenama dan pembangunan yang berterusan, namun kami sentiasa mahu mengembangkan asas pelanggan kami. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan semua orang di Goodwood minggu hadapan,” kata Chris Mellors lagi.

    Goodwood Festival of Speed akan berlangsung pada minggu hadapan, bermula pada 4 hingga 7 Julai 2019. Proton Iriz R5 yang dijana enjin 1.6 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda ini telah melakukan kemunculan sulungnya di acara sama pada 2017, dan terus menjuarai Forest Stage Rally tahun berkenaan. Pada 2018, gelaran juara tersebut turus dipegang oleh Iriz R5.

     
     
  • Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019 VTREC-PDRM dilancarkan – sasar kurangkan kecurian kereta

    Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019 VTREC-PDRM dilancarkan – sasar kurangkan kecurian kereta

    Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini telah melancarkan Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019 di ibu pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi.

    Kempen tersebut turut disertai oleh Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) bersama berberapa agensi kerajaan serta bukan kerajaan, dan ia disasarkan untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya kecurian kenderaan serta bagaimana untuk mengelakkannya dari terjadi.

    Menurut VTREC, sejumlah 13,340 tuntutan insuran berkaitan kecurian telah dibuat sepanjang tahun lalu, atau merosot 29% berbanding 2017. Jika dilihat sejak lima tahun kebelakangan pula, angka yang dicatatkan tadi sebenarnya telah merudum sebanyak 65%.

    Dari jumlah keseluruhan tuntutan tahun lalu tersebut, hampir 60% adalah melibatkan motosikal dengan 7,442 kes. Kereta pula mencatatkan 5,155 kes manakala kenderaan komersial pula direkodkan sebanyak 743 kes.

    Jika dilihat dari laporan kecurian pula, motosikal masih lagi mencatatkan majoriti dengan laporan sebanyak 26,779 dibuat dari keseluruhan 35,953 laporan yang dicatatkan pada 2018. Ia diikuti kereta dengan 7,413 laporan dan kenderaan komersial pula mencatatkan 1,761 laporan.

    Jumlah berkenaan sekali lagi mencatatkan penurunan, dengan 15% lebih rendah berbanding 2017 dan 49% jika dibandingkan dalam lima tahun kebelakangan. Dari jumlah tersebut juga, terdapat 22 kes telah dijumpai dan diselamatkan di negara jiran, atas usaha sama pihak berkuasa Thailand dan Singapura.

    Walaupun angka-angka ini dilihat menurun, ia sebenarnya masih lagi berada pada paras agak tinggi. Secara purata, sebuah kereta akan di curi dalam masa 40 minit di Malaysia buat masa sekarang. Jadi untuk mengurangkan lagi kes kecurian ini, VTREC meminta orang ramai untuk mengambil langkah-langkah sepatutnya.

    Antara langkah-langkah berkenaan termasuk sentiasa memastikan kereta dikunci dan tingkap dinaikkan sepenuhnya sebelum meninggalkan kereta, jangan tinggalkan kunci di kereta atau membiarkan kereta hidup tanpa pengawasan, serta sentiasa menggunakan pengunci stereng.

    Pemilik juga seharusnya memakir kenderaan mereka di tempat parkir sebenar dan cerah, kerana 50% kecurian dilaporkan berlaku di tempat parkir haram serta gelap. VTREC juga menasihatkan pemilik agar tidak menyimpan geran di dalam kereta serta membiarkan kunci kereta di tempat terbuka yang memudahkan pencuri membuat kerja mereka.

    Dalam kempen ini, VTREC menganjurkan pertandingan swafoto menerusi aplikasi Instagram yang menawarkan hadiah tunai, bersama siri jelajah yang turut dirancang di lokasi-lokasi yang akan diumumkan selepas ini.

     
     
  • BMW Vision M Next PHEV untuk yang gemar memandu

    BMW Vision M Next PHEV untuk yang gemar memandu

    Memang, pada masa hadapan pemandu boleh memilih untuk berada dalam kenderaan yang boleh bergerak sendiri, tetapi model konsep terbaru yang ditunjukkan oleh BMW ini, iaitu Vision M Next adalah untuk mereka yang gemar memandu. Walaupun begitu, ia masih disediakan dengan “bantuan komprehensif tetapi tertumpu”.

    “BMW Vision M Next adalah sebuah kereta sports hibrid progresif yang memberikan pernyataan jelas dan yakin, dalam kedua-dua aspek penampilan dan hubungan,” kata timbalan presiden BMW Design, Domagoj Dukec.

    Tanda gaya daripada kereta sports BMW klasik dan kontemporari diserapkan pada kereta konsep ini, dengan bahagian hadapannya yang rendah, pintu terbuka ke atas dan warna yang menyerlah menampakkan pengaruh inspirasi daripada BMW Turbo dan BMW i8. Warna metalik Cast Silver utama diserlahkan lagi dengan jalur Thrilling Orange neon di hadapan dan belakang kereta.

    Merujuk kepada gril kidney kenderaan ini, BMW memberitahu lengkuk hujungnya yang lebih lembut mengingatkan kepada salur intake turbin dan memberikan impak lebih dinamik di bahagian hadapan. Bukaan dalam jeriji gril itu ditutup dengan lapisan lutsinar, yang kalau dilihat lebih dekat seperti terapung di dalam.

    Lampu utama Vision M Next diletakkan lebih tinggi berbanding grilnya. Ia disusun secara bertingkat, dan merupakan terjemahan baru untuk identiti klasik BMW dengan empat mata (lampu depan). Lampu ini menggunakan teknologi Laser Wire baru, manakala perumahnya pula dibuat daripada gentian kaca yang dibalut dengan phosphorous untuk menjadikannya lebih kecil dan menarik.

    Selain bumbung yang sudah sememangnya rendah, kenderaan ini kelihatan lebih dekat dengan jalan hasil penggunaan side skirt yang diperbuat daripada gentian karbon kitar semula serta padanan rim 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang. Satu lagi bahagian menarik adalah bukaan udara di hadapan lengkuk roda belakang yang bertindak sebagai saluran penyejuk serta meningkatkan aerodinamik.

    BMW Vision M Next PHEV untuk yang gemar memandu

    Vision M Next adalah sebuah kenderaan plug-in hybrid yang menggunakan gabungan dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) serta enjin petrol empat silinder turbo. Melalui sistem pacuan Power PHEV, pemandu boleh memilih untuk bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada semua tayar ataupun dua tayar belakang sahaja.

    Secara keseluruhannya sistem ini boleh mengeluarkan 600 hp dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa tiga saat. Terdapat juga mod Boost+ yang boleh memberikan kuasa tambahan setelah butang ditekan. Jarak gerak menggunakan elektrik sahaja bagi kenderaan ini adalah 100 km.

    “BMW Vision M Next memberikan petunjuk awal kepada pemanduan sporty masa hadapan. Sementara BMW Vision iNext memberikan gambaran bagaimana pemanduan autonomous bersedia untuk menukar keadaan di dalam kenderaan, BMW Vision M Next ini pula menunjukkan bagaimana teknologi maju juga boleh menjadikan pemanduan lebih tulen dan menyenangkan,” kata timbalan presiden kanan BMW Group Design, Adrian van Hooydonk.

     
     
  • Proton Wira kekal kereta paling banyak di curi untuk suku pertama 2019, diikuti Iswara dan Perodua Kancil

    Proton Wira kekal kereta paling banyak di curi untuk suku pertama 2019, diikuti Iswara dan Perodua Kancil

    Ketika pelancaran Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019 yang berlangsung pagi tadi, Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad ( VTREC) turut mendedahkan senarai 10 kenderaan paling banyak dicuri untuk suku pertama tahun ini.

    Seperti tahun-tahun sebelumnya, Proton Wira masih lagi kekal sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri dari Januari hingga Jun 2019, dengan sejumlah 127 unit dilaporkan telah hilang. Ia diikuti oleh satu lagi model cash cow dari Proton, Iswara dengan laporan 82 unit telah dicuri dalam tempoh yang sama.

    Tempat ketiga jatuh kepada satu lagi kereta ikonik Malaysia iaitu Perodua Kancil. Dalam tiga bulan terawal tahun ini, sebanyak 70 buah Kancil telah dilaporkan di curi.

    Walaupun berada di tempat keempat, Toyota Hilux masih kekal sebagai model bukan nasional paling banyak dicuri di Malaysia untuk suku pertama tahun ini. Dalam tempoh tiga bulan berkenaan, sebanyak 52 buah Hilux telah dilaporkan hilang kerana dicuri.

    Senarai ini diikuti oleh Perodua Myvi di tangga kelima (49 unit), Proton Waja di tempat keenam (41 unit) dan Proton Saga di kedudukan ketujuh (40 unit). Satu lagi kenderaan komersial yang popular iaitu Nissan Vannete berada di tempat lapan dengan laporan sebanyak 36 unit telah di curi.

    Proton Wira kekal kereta paling banyak di curi untuk suku pertama 2019, diikuti Iswara dan Perodua Kancil

    Dua model sedan popular dari Honda iaitu Civic dan City menghuni tempat kesembilan dan kesepuluh, dengan sedan segmen-C berkenaan mencatatkan kecurian sebanyak 28 unit, dan 28 buah City dilaporkan dicuri sepanjang tempoh yang sama.

    Laporan dari VTREC ini turut mendedahkan bahawa sejumlah 35,953 buah kereta telah dicuri tahun lalu, atau berkurangan 15% dari tahun 2017. Angka berkenaan juga dilihat berkurangan 49% secara keseluruhan dalam tempoh masa lima tahun kebelakangan ini.

     
     
  • Volkswagen Beetle Type 1 1.6L – kumbang Turbo!

    Volkswagen Beetle Type 1 1.6L – kumbang Turbo!

    Dalam banyak-banyak Volkswagen Beetle Type 1 yang hadir ke perhimpunan pertama Lowlife VW Malaya di SS15 Subang Jaya sekitar dua bulan lalu, Beetle ini nyata lain dari yang lain dan ia menarik perhatian penulis secara peribadi – penutup ruang enjin di belakang bukan sahaja tidak dipasang, malah sebuah pengecas turbo yang ‘bertenggek’ di atas enjinnya seolah-olah memberi amaran “jangan nak suka-suka kacau kalau tak nak menyesal.”

    Setelah bertanya dengan rakan-rakan penulis yang turut menyertai perhimpunan ini, akhirnya pemilik Beetle turbo berkenaan berjaya dikesan, dan dia memberikan keizinan kepada kami untuk memaparkan jentera berkenaan dalam satu artikel khas.

    Volkswagen Beetle berwarna Gun Metal ini adalah milik Amirul Hafiz Anwar yang kini menetap di Shah Alam. Menurutnya, kereta ini diterima dari bapa mertuanya, setelah tiada siapa mahu menggunakan Beetle tersebut. Selepas itu, ia mula diubahsuai dalam berberapa peringkat oleh Amirul sendiri.

    Untuk peringkat pertama, enjin 1.6 liter dengan kod AS pada perut kereta ini terus dipadankan dengan unit supercharger dua tahun lalu, dengan larasan tekanan boost pada takat 0.8 bar. Kemudian, kit supercharger tersebut dijual bagi membolehkan Amirul bereksperimen pula dengan sistem pengecas turbo.

    Volkswagen Beetle Type 1 1.6L – kumbang Turbo!

    Buat permulaan, Amirul membina sendiri paip-paip dan juga extractor untuk sistem turbo tersebut – ya, secara D.I.Y – dengan konfigurasi draw through tanpa intercooler, bermaksud karburator diletak sebelum pengecas turbo, dan udara yang disedut turbin sudah pun lengkap dengan campuran bahan api sebelum masuk ke kepala silinder.

    Tanpa mengusik sebarang komponen dalaman, pengecas turbo Toyota CT-9 yang diambil dari enjin 4E-FTE yang biasanya boleh dijumpai pada badan Starlet Turbo EP82 dan EP92, serta dikawal oleh wastegate 38 mm tersebut menghasil boost setinggi 0.7 bar untuk mengasak kebuk pembakaran.

    Amirul menggunakan karburator Stromberg yang diambil dari enjin Red Block Volvo 244 untuk setup Beetle turbo miliknya ini. Kenapa Stromberg, tidak karburator berprestasi tinggi lain seperti Solex atau Weber? Menurut Amirul, walaupun hardware dibina olehnya sendiri, talaan karburator dilakukan oleh pomen Axled Garage, dan dia sangat mahir dengan karburator Stromberg tersebut.

    Dengan ubahsuai berkenaan, Amirul pernah melakukan ujian dyno dengan boost 0.4, dan dia berjaya memperolehi 75 hp pada roda belakang atau lebih sekali ganda lebih dari kuasa asal!

    Namun sudah menjadi lumrah kaki modifikasi, ubahsuai terhadap kereta sememangnya tidak pernah habis. Amirul kemudian membaraikan enjin tersebut untuk kerja-kerja ubahsuai yang lebih efisien. Omboh-omboh asal telah ditukar kepada unit yang menghasilkan mampatan lebih tinggi.

    Kepala silinder enjin tersebut dilakukan proses port & polish bagi menghasilkan aliran udara yang lebih efektif, bersama pemadanan aci sesondol (camshaft) dengan durasi bukaan injap lebih lama. Untuk spesifikasi terkini ini, Amirul belum lagi berkesempatan untuk melakukan ujian dyno. Tetapi dia berharap untuk mendapat sekitar 100 hingga 110 whp.

    Bagi menghantar kuasa dari enjin ke permukaan jalan, khidmat transmisi manual empat-kelajuan asal masih digunakan. Tetapi untuk memastikan respon dan aliran kuasa ke roda belakang yang lebih baik, roda tenaga (flywheel) asal telah diringankan, dan digandingkan dengan sistem klac berprestasi tinggi Kennedy Stage 2.

    Suspensi Beetle turbo ini masih lagi menggunakan komponen-komponen standard. Amirul hanya melakukan berberapa pengubahsuaian pada kelengkapan asal berkenaan bagi membolehkan badan kereta lebih rapat ke permukaan bumi, seterusnya membuatkan ia kelihatan seperti seekor biawak yang sedang merayap ketika bergerak.

    Untuk melengkapkan rupanya, Amirul memadankan rim SSR mesh di hadapan dan replika Work Meister di belakang – kedua-dua set berkenaan berukuran 15-inci dengan lebar 8 jj, dibaluti tayar 185/60R15. Tentu ramai yang tertanya-tanya, apa PCD rim-rim tersebut bukan? Ia masih lagi PCD ‘normal’ 114.3, tetapi Amirul telah melakukan pengubahsuai pada hub roda.

    Di hadapan, set brek asal telah digantikan dengan sistem penuh dari Proton Wira, dan ia juga telah dilengkapi dengan spacer converter yang mengubah PCD 100 Wira kepada 114.3. Manakala di belakang, ia masih menggunakan brek dram asal Beetle, tetapi lubang knuckle telah ditebuk baharu dengan PCD 114.3.

    Pada bahagian dalaman, identiti asal Beetle masih dikekal. Tetapi bagi menyesuaikan imej luaran dan juga kuasa liar yang dihasilkan, Amirul menukar ‘stereng kapal’ asal kepada roda stereng perlumbaan OMP tiga jejari.

    Suis penghidup enjin dan suis-suis ala jet pejuang diletakkan di tengah papan pemuka, bersama takometer, meter suhu enjin dan tekanan minyak pelincir berada di bawahnya. Manakala meter boost turbo diletak pada bahagian atas papan pemuka, yang bukan sahaja memberikan bacaan kepada pemandu, malah ia turut memberikan satu lagi amaran bahawa ini bukan Beetle pakcik-pakcik.

    Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

     
     
  • Kerajaan akan semak kadar tambang perkhidmatan ETS – kawal selia caj ikut gred terminal dan fasiliti

    Kerajaan akan semak kadar tambang perkhidmatan ETS – kawal selia caj ikut gred terminal dan fasiliti

    Kerajaan mengambil keputusan untuk menyemak kadar tambang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), ujar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Beliau menjelaskan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) yang dipengerusikannya menerima cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menyemak kadar tambang ETS melalui pemansuhan kawalan tambang dan pelaksanaan struktur tambang dinamik bagi ETS.

    “MTSHN juga menerima cadangan Kementerian Pengangkutan bagi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menguatkuasakan perlesenan terminal dan mengawal selia caj yang akan dikenakan oleh pengendali terminal berdasarkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan terminal. Cadangan ini perlu mengambil kira kepentingan pengguna agar tidak membebankan,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Dalam masa yangh sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata, “Kementerian Pengangkutan akan mengawal selia caj tersebut dengan memberi gred A, B, atau C kepada terminal berkenaan dengan mengambil kira kemudahan yang disediakan termasuk fasiliti untuk orang kurang upaya (OKU) dan tahap kualiti perkhidmatan.

    “MTSHN juga memaklumkan agar pelaksanaan cadangan ini perlu mengambil kira kepentingan pengguna dengan tidak menaikkan harga tiket yang akan membebankan pengguna.”

     
     
  • BMW mempercepatkan pelan elektromobiliti dalam dua tahun – 25 model sedia diperkenalkan menjelang 2023

    BMW mempercepatkan pelan elektromobiliti dalam dua tahun  – 25 model sedia diperkenalkan menjelang 2023

    Pada 2017, BMW mendedahkan pelan elektrifikasi, dengn mensasarkan 25 model elektrik bakal diperkenalkan menjelang 2025. Walau bagaimana pun, kini jangka masa tersebut telah disemak semula dan BMW telah mengumumkan ia akan dipercepatkan dalam dua tahun lebih awal, iaitu pada 2023.

    Lebih daripada separuh 25 model telah disasarkan untuk menjadi kenderaan semua-elektrik, ditambah dari 12 model yang disebutkan pada 2017. Inilah perkhabaran yang didedahkan oleh pengeluar kenderaan premium terbabit di pertunjukan #NextGen di Munich semalam, yang mempamerkan Vision M Next dan Motorrad Vision DC Roadster e-bike yang menjadi tumpuan dalam majlis berkenaan.

    Syarikat itu berkata jangka masa awal dibuat mungkin kerana ia sydah mempunyai seni bina kenderaan fleksibel untuk penjana kuasa model elektrik sepenuhnya, plug-in hybrid dan enjin pembakaran yang membolehkan ia bertindak balas dengan lebih pantas kepada keadaan yang berubah-ubah.

    Menjelang tahun 2019, BMW mensasarkan untuk memiliki lebih daripada sejuta kenderaan dengan penjana kuasa elektrik-sepenuhnya atau plug-in hybrid di pasaran. Menurut CEO BMW Harald Kruger, jualan bagi kenderaan elektrifikasi mereka dijangka meningkat sekali ganda menjelang 2021, dengan pertumbuhan yang lebih memberangsangkan menjelang 2025, apabila jualan EV disasarkan meningkat lebih kurang 30% setiap tahun.

    Lima model kenderaan siri-produksi elektrik-sepenuhnya dijangka akan dijual dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan MINI Ekectrik pula dijangka akan menyertai model i3 pada tahun ini. Ini diikuti oleh iX3 pada 2020, yang dipasang di Shenyang, China. Pada 2021, iNext dan i4 sedan juga akan melengkapi lagi penawaran barisan elektrifikasi ini.

    Untuk model plug-in hybrid (PHEV), model akan datang termasuklah BMW X3 PHEV G01 dan juga versi jarak roda yang lebih panjang bagi X1, yang akan diproduksi untuk pasaran China. Pada hujung tahun ini, varian PHEV untuk 5 Series G30 dan 2 Series Active Tourer facelift juga akan diperkenalkan, diikuti dengan versi PHEV bagi X1 F48 facelift dan 3 Series Touring G21 pada 2020.

     
     
  • Driven Movie Night: Tiket Spider-Man: Far From Home

    Driven Movie Night: Tiket <em>Spider-Man: Far From Home</em>

    Selepas Endgame menjadi menamat sebuah era bagi sesetengah Avengers, kisah Spider-Man pula baru bermula. Ikuti kisah seorang pelajar yang perlu mengharungi hidup normal dengan tanggungjawab seorang hero – Peter Parker perlu berdepan dengan ancaman baru di dalam dunia yang semakin berkecamuk.

    Tonton Spider-Man: Far From Home bersama kami sebelum tayangan rasminya dibuka ehsan dari Sony Pictures Entertainment Malaysia. Ada 10 pasang tiket percuma untuk dimenangi, bermaksud keseluruhannya 20 tiket tersedia untuk diagihkan. Sebagai tambahan, pemenang terpilih juga akan menerima cenderahati eksklusif Spider-Man: Far From Home.

    Tayangan ini akan berlangsung pada Selasa, 2 Julai 2019, jam 9 malam bertempat di GSC One Utama di Petaling Jaya. Apa yang perlu anda lakukan ialah tonton sedutan filem di bawah dan jawab beberapa soalan mudah. Jangan lambat, kerana tarikh tutupnya pada 28 Jun 2019.

    *Peraduan ini ditutup pada Jumaat, 28 Jun 2019. Pemenang akan dimaklumkan melalui paultan.org serta emel dan mesej SMS pada hari Isnin, 1 Julai 2019. Keputusan adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan ialah pada hari Selasa, 2 Julai 2019, jam 9 malam di GSC One Utama di Petaling Jaya. Pemenang perlu mengambil tiket mereka di lokasi berkenaan sejam sebelum tayangan. Oleh kerana lokasi tayangan di Petaling Jaya, peraduan ini hanya terbuka untuk mereka yang berada di Lembah Klang sahaja.

     
     
  • Modenas rai Hari Motosikal Dunia dengan konvoi amal

    Modenas rai Hari Motosikal Dunia dengan konvoi amal

    Sempena Hari Motosikal Dunia yang diraikan pada 21 Jun setiap tahun, Modenas tahun ini telah menganjurkan satu konvoi kebajikan dari Shah Alam ke Tanjung Malim, melibatkan lebih daripada 100 pemilik motosikal jenama itu. Merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat (CSR), beberapa kelan motosikal Modenas turut menjayakan acara ini.

    Antaranya ialah Kelab Pemilik Modenas Pulsar (MPOC), Kelab Dominar 400 Malaysia (D4CM) dan Modenas Elegan Downtown (MEDT) yang turut disertai oleh wakil pengurusan dari Modenas dan juga DRB-Hicom. Bermula dari EON Glenmarie, konvoi kemudiannya menuju ke Pusat Tahfiz Ulum Add Din di Tanjung Malim, Perak dan meluangkan masa bergotong-royong membersihkan perkarangan pusat berkenaan.

    Modenas rai Hari Motosikal Dunia dengan konvoi amal

    Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan menjelaskan, pihaknya ingin selalu menganjurkan acara bermakna seperti ini yang turut melibatkan pelanggan-pelanggannya sekali untuk berbakti kepada masyarakat.

    “Pemilik-pemilik Modenas memang selalu berkongsi minat untuk aktiviti-aktiviti menunggang. Dan kali ini ia jadi lebih bermakna dengan cara kami sendiri untuk meraikan Hari Motosikal Dunia tahun ini – melakukan apa yang digemari iaitu menunggang keliling dan dalam masa sama turut mencurah tenaga untuk masyarakat, serta meraikan mereka di bulan Syawal ini,” jelas beliau.

     
     
  • BMW Vision DC Roadster – kuasa elektrik, pacuan syaf

    BMW Vision DC Roadster – kuasa elektrik, pacuan syaf

    Bagaimana agaknya rupa sebuah motosikal BMW sekiranya ia dikuasakan oleh elektrik pada masa hadapan? Jawapannya kini sudah ada apabila pengeluar dari Jerman itu menunjukkan model konsep Vision DC Roadster. Selain penggerak mesra alam, konsep rekaan yang sudah sinonim dengan motosikal BMW turut diterapkan pada motosikal ini.

    Ruang yang biasanya diisi oleh enjin, kini digantikan dengan bateri yang diletakkan secara melintang, dan disambung kepada motor elektrik berbentuk silinder. Dengan tetapan ini, ia masih kelihatan seperti enjin boxer, dan terkeluar sedikit daripada motosikal. Daripada motor, kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem syaf.

    Kemudiannya, menjadikan bahagian tengah motosikal ini lebih padat adalah sistem penyejukan, di mana ia diletakkan dalam rangka aluminium, dan mempunyai sirip seperti enjin penyejukan udara. Rangka biasa motosikal juga tidak lagi digunakan, dan diganti dengan struktur gabungan aluminium dan tiub (nampak seperti gentian karbon) khas untuk mengurangkan berat serta menjadikannya lebih menarik.

    Sekiranya anda melihat di hadapan, fork kelihatan tidak mempunyai bahagian yang boleh bergerak. Ini kerana BMW menggunakan tetapan Duolever yang mempunyai satu penyerap hentak di bahagian tengah dan lebih tinggi sebagai sistem suspensi. Monoshock belakang juga tersembunyi kerana terletak tinggi, menyamai tempat duduk.

    Konsep minimalis pada motosikal ini turut diterapkan pada lampu LED depan dan belakangnya yang nipis. Demi memastikan pengguna jalan raya lain dapat melihat motosikal ini, ia dipasang dengan tayar Metzeler yang mempunyai jalur fluoroscent di bahagian tepi, dan pembeli juga akan mendapat jaket yang mempunyai ciri keselamatan khas, tapi masih bergaya.

    Setakat ini masih belum ada informasi teknikal seperti prestasi dan kemampuan untuk Vision DC Roadster, tetapi ia menunjukkan kemampuan BMW dalam arena motosikal elektrik yang semakin berkembang sekarang. Apa pendapat anda? Adakah ia cukup membawa identiti BMW?

     
     
  • PLUS terbuka untuk kerajaan mengambil alih konsesi lebuhrayanya – sedia teliti cadangan dan tawaran

    PLUS terbuka untuk kerajaan mengambil alih konsesi lebuhrayanya – sedia teliti cadangan dan tawaran

    Selepas kerajaan mengumumkan bakal mengambil alih Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART) pada hujung tahun ini, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bersedia untuk meneliti semula perjanjian konsesi sekiranya kerajaan mahu melakukan langkah yang sama untuk lebuhrayanya.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, ini sejajar dengan kedudukan PLUS sebagai sebuah syarikat konsesi yang telah memeterai perjanjian terbabit dengan kerajaan. “Jika kerajaan mahu mengubahnya (perjanjian), maka kita akan meneliti (cadangan) mengikut perjanjian terbabit. Kita perlu menunggu apa yang kerajaan mahu tawarkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    PLUS terbuka untuk kerajaan mengambil alih konsesi lebuhrayanya – sedia teliti cadangan dan tawaran

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai kesediaan PLUS terhadap langkah pengambil-alihan konsesi oleh kerajaan. PLUS merupakan cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah). UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51% saham dalam PLUS manakala baki 49% dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Sebelum ini, Khazanah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menyerahkan kepada PLUS untuk mengendalikan rundingan terbabit sekiranya kerajaaan bercadang untuk mengambil alih lebuh raya bertol kendalian PLUS. Walau bagaimana pun, Khazanah akan memberi nasihat kepada PLUS dari semasa ke semasa jika wujud sebarang perkembangan berkaitan.

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi bulan Mei 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi bulan Mei 2019 ikut jenama

    Bulan Mei menyaksikan kenaikan pembelian kenderaan oleh pengguna. Satu daripada faktornya tentulah musim Raya Aidilfitri, dengan promosi khusus yang diberikan oleh kebanyakan jenama pengeluar. Menurut laporan bulanan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 60,780 unit kenderaan telah dijual sepanjang bulan lalu.

    Itu merupakan peningkatan sebanyak 10,816 unit lebih kenderaan yang terjual berbanding sejumlah 49,964 unit yang dicatatkan pada April 2019. Angka berkenaan diterjemahkan kepada peningatan 21.6% dari bulan sebelumnya. Dalam tempoh sebulan itu, hampir semua pengeluar mencatatkan peningkatan jualan – banyak juga yang menyaksikan kenaikan mendadak.

    Kedudukan paling atas seperti biasa masih lagi milik Perodua, walaupun hanya mencatatkan kenaikan sedikit; hanya 804 unit berbanding bulan sebelumnya. Ini diterjemah kepada kenaikan 3.6%, menjadikan angka keseluruhannya 22,945 unit. Berbeza dengan Proton; bulan Mei melonjakkan lagi angka jualannya kepada 10,611 unit. Ini merupakan kenaikan sebanyak 51.3% dari bulan sebelumnya dengan hanya 7,011 unit – meletakkannya di kedudukan kedua keseluruhan.

    Data jualan kenderaan bagi bulan Mei 2019 ikut jenama

    Peratusan kenaikan yang lebih banyak pula dicatatkan oleh Honda dengan 79.2%, dengan angka jualan keseluruhan mengikut rapat di belakang Proton sebanyak 10,509 unit. Walaupun jatuh ke tempat ketiga bermula April lalu, jenama Jepun ini masih lagi berada di depan bagi angka jualan sepanjang tahun setakat ini, dengan kelebihan hampir 3,000 unit, dengan keseluruhannya 38,874 unit berbanding 35,903 unit bagi Proton.

    Toyota pula turut mencatatkan peningkatan 25.2% kepada 6,842 unit, sementara Nissan kekal ditempat kelima dengan 2,103 unit, naik 30.8% berbanding April. Lain-lain jenama yang turut mencatatkan peningkatan adalah seperti berikut; Peugeot (+57.5%), Lexus (+39.3%), Hyundai (+32.4%) dan Volkswagen (+24.7%).

    Bagaimanapun langit tidak selalu cerah buat yang lain. Jualan Mazda misalnya jatuh 18.6% kepada 1,060 unit, diikuti juga oleh Kia dan Subaru. Bagi segmen premium pula, Mercedes-Benz sekali lagi mengatasi BMW dengan jualan 981 unit (naik 0.7%) berbanding BMW dengan 835 unit (naik 9.9%). Volvo pula terus menguncup dengan penurunan sebanyak 23.8%.

    Data jualan kenderaan bagi bulan Mei 2019 ikut jenama

     
     
  • Harley-Davidson bekerjasama dengan QianJiang dari China – keluarkan model berasaskan Benelli TnT 300?

    Harley-Davidson bekerjasama dengan QianJiang dari China – keluarkan model berasaskan Benelli TnT 300?

    Harley-Davidson (H-D) mungkin mempunyai nama yang besar dalam segmen motosikal kapasiti tinggi, tapi mereka masih perlu menawan pasaran motosikal kapasiti rendah yang saiznya sekarang semakin besar. Oleh itu, satu kerjasama dengan QianJiang Motorcycle Co dari China telah dibuat, untuk menghasilkan motosikal 383 cc.

    Menurut laporan daripada Reuters, motosikal ini akan mula-mula sekali diperkenalkan di China dengan harga mampu milik, dan kemudiannya akan diikuti negara lain di Asia. Untuk pengetahuan anda, QianJiang adalah sebuah syarikat milik Geely, dan selain motosikal jenama sendiri, ia juga mengeluarkan motosikal jenama Benelli.

    Malah dalam gambar yang dikeluarkan oleh H-D, motosikal baru mereka sememangnya kelihatan seperti berkongsi ciri dengan model sedia ada Benelli iaitu TnT 300 atau 302S. Anda boleh melihat sendiri bahagian fork, monoshock belakang, lengan ayun, kerangka serta brek dua model ini seakan-akan sama.

    Harley-Davidson bekerjasama dengan QianJiang dari China – keluarkan model berasaskan Benelli TnT 300?

    Tetapi sudah tentu, bentuk badannya telah diubah dan model baru H-D ini kelihatan seperti model elektrik mereka iaitu Livewire – skema warna juga menggunakan padanan oren dan hitam. Perincian berkenaan enjin serta prestasinya masih belum didedahkan.

    Setakat ini, motosikal berkapasiti paling rendah yang pernah dihasilkan oleh H-D adalah Street Rod, yang menggunakan enjin 500 cc. Antara sebab H-D mahu mengeluarkan motosikal berkapasiti rendah adalah mereka menjangkakan jualan segmen itu akan lebih meningkat sementara jualan domestik dalam Amerika Syarikat pula akan semakin menurun.

     
     
  • Honda Malaysia buka Pusat 3S di Bintulu, Sarawak

    Honda Malaysia buka Pusat 3S di Bintulu, Sarawak

    Honda Malaysia telah pun melancarkan Pusat 3S baharu dan yang pertama di Bintulu, Sarawak. Dikendalikan oleh Kemena Auto Sdn Bhd, Pusat 3S Honda Bintulu ini mampu memperkukuhkan lagi rangkaian pengedaran di seluruh Malaysia khususnya di negeri berkenaan.

    Dengan pelaburan bernilai RM11 juta, Pusat 3S Honda Bintulu ini terletak di kawasan seluas 43,560 kaki persegi dan turut dilengkapi dengan fasiliti terkini yang menepati standard Honda. Ia mempunyai enam petak penyelenggaraan, tiga petak membaiki badan kenderaan dan satu petak menyelenggara tayar, serta mampu melakukan penyelenggaraan terhadap hampir 40 buah kereta sehari.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ruang menunggu untuk pelanggan, perkhidmatan WiFi, sudut menjamu selera, surau dan juga ruang permainan kanak-kanak. Pusat 3S Honda Bintulu ini turut menyediakan perkhidmatan membasuh kenderaan, dan juga memperbaharui cukai jalan serta perlindungan insurans.

    “Timur Malaysia kini mempunyai potensi untuk berkembang pesat, dan merupakan antara pasaran penting bagi honda Malaysia. Sejak empat tahun yang lalu, kami telah memperluaskan rangkaian di sana dan kini mempunyai 13 pengedar dengan tujuh daripadanya berada di Sarawak. Untuk satu-satunya pengedar di Bintulu, kami percaya Kemena Auto mampu memberikan penjualan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik untuk pelanggan di daerah berkenaan,” ujar Pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    Sambungnya lagi, setakat Mei 2019, lebih 38,800 unit kenderaan yang telah didaftarkan, sekaligus meletakkan Honda Malaysia kekal di tangga pertama bagi segmen bukan-nasional dan nombor dua dalam keseluruhan TIV bagi bulan tersebut. Daripada keseluruhan jumlah kenderaan yang didaftarkan, City mencatatkan jumlah yang tertinggi sebanyak 33%, diikuti HR-V dengan 21% dan CR-V pula 14%.

    “Rantau Malaysia Timur pula menyumbang sebanyak 6% atau pun lebih 2,300 unit kenderaan daripada jumlah keseluruhan yang direkodkan pada Mei 2019, dengam 1,300 unit daripadanya di Sarawak. Malah HR-V baharu yang dilancarkan pada Januari lalu telah mencatatkan jualan melebihi 680 unit di Malaysia Timur,” sambungnya lagi.

    Untuk pelanggan yang berada di sekitar daerah Bintulu yang memerlukan perkhidmatan jualan dan selepas jualan, bolehlah berkunjung ke Pusat 3S Honda Bintulu yang terletak di Lot 14728, Taman Terus, Jalan Tun Hussein Onn, 97000, Bintulu, Sarawak.

     
     
  • Geely Boyue Pro didedahkan – diberi kemaskini pada gaya, sistem infotainmen GKUI 19 dan enjin 1.5L turbo

    Geely Boyue Pro didedahkan – diberi kemaskini pada gaya, sistem infotainmen GKUI 19 dan enjin 1.5L turbo

    Di China, SUV Geely Boyue – atau Proton X70 – khabarnya akan menerima facelift terbaru yang lebih ketara, seperti dilaporkan oleh Autohome. Dikenali sebagai Geely Boyue Pro, peningkatan yang diberikan termasuk pada bahagian luaran serta dalaman. Ini termasuk pada sistem infotainmen Geely Smart Ecosystem (GKUI).

    Di luar, Boyue Pro mengambil beberapa pendekatan rekaan yang ada pada model Xingyue yang dilancarkan Mei lalu. Dengan lampu utama yang lebih kecil, gril yang ada juga lebih besar. Bahagian gril yang sama juga lebih ke hadapan, menyebabkan rekaan bonet turut diberikan garis-garis yang lebih ketara. Bahagian bawah bamparnya juga kini lebih lebar, turut menempatkan lampu kabus serta corong laluan angin secara berasingan.

    Bahagian sisi bagaimanapun tidak banyak berubah. Dilihat dari atas, spoiler nampaknya turut menerima rekaan baru; seperti diambil dari model Binyue. Lampu belakang pula turut diberikan sentuhan baru dengan kesan 3D serta penampilan grafik di dalamnya. Boyue Pro tidak lagi menggunakan logo syarikat pada kemasan tengah, sebaliknya digantikan dengan ejaan “Geely”.

    Geely Boyue Pro didedahkan – diberi kemaskini pada gaya, sistem infotainmen GKUI 19 dan enjin 1.5L turbo

    Kabin dalaman turut menerima pembaharuan yang membezakan versi baru ini daripada Boyue biasa. Roda stereng misalnya kini rata di bawahnya. Ruang paparan maklumat pemanduan juga diberi rekaan baru, yang turut menempatkan kluster instrumen digital. Papan pemuka juga menggunakan dua-tona warna, dengan bahagian bawahnya menggunakan material kulit. Corong penghawa dingin juga lebih kemas, dengan ruang skrin paparan yang lebih lebar.

    Skrin berkenaan menggunakan sistem GKUI 19. Daripada gambar awal ini, ia seperti menggunakan antaramuka baru yang mirip laman utama pada sistem iDrive BMW (sebelum ia digantikan oleh BMW Operating System 7). Ciri telematics menjadi antara penawaran utama pada sistem baru ini, dengan smart watch khusus turut ditawarkan – menghimpunkan data-data kenderaan, kecergasan, infotainmen, komunikasi dan lain-lain.

    Konsol tengah juga menerima rekaan baru, sekali lagi ada mirip pendekatan tataletak yang sama seperti yang dilihat pada kenderaan BMW – tuil gearnya kini menempatkan butang parkir “P” di atasnya. Suis brek parkir elektronik serta sebual tombol dail turut kelihatan di bahagian berkenaan.

    Geely Boyue Pro didedahkan – diberi kemaskini pada gaya, sistem infotainmen GKUI 19 dan enjin 1.5L turbo

    Bagi enjin, unit 1.8 liter turbo empat-silinder sedia ada akan diberikan kemaskini untuk menepati piawaian pembebasan sisa bakar yang baru. Unit berkenaan juga akan disertai oleh enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder (seperti pada Binyue dan Xingyue) – yang dibangunkan bersama Volvo. Kotak gear menggunakan jenis klac berkembar tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan.

    Untuk Malaysia, belum pasti X70 versi CKD nanti akan menggunakan Boyue Pro ini sebagai asas atau sebaliknya. Khabarnya akan ada “kejutan” ketika pengenalan X70 versi pemasangan nanti. Itu sama-sama kita tunggu bila sampai masanya.

     
     
  • GALERI: Toyota Corolla KE10 milik UMWT sendiri

    GALERI: Toyota Corolla KE10 milik UMWT sendiri

    Ketika UMW Toyota meraikan 50-tahun operasi pemasangan tempatan (CKD) kenderaan berjenama Toyota di Malaysia hari ini, syarikat berkenaan membawa dua buah kereta untuk dipamerkan – kereta pertama yang dipasang di sini iaitu Toyota Corolla generasi pertama dengan kod casis KE10, dan juga kereta terbaharu mula dipasang secara CKD, Toyota Yaris 2019.

    Seperti dijangka, Toyota Corolla KE10 berkenaan menarik minat lebih ramai orang untuk membeleknya berbanding Yaris, kerana kereta ini semakin sukar untuk dijumpai di atas jalan raya, dan bagi sesetangah orang kereta ini menggamit kenangan masa silam mereka.

    Toyota Corolla KE10 mula di pasang di Seksyen 15 Shah Alam bermula pada tahun 1968, iaitu dua tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kali di Jepun, dan setahun selepas kilang kereta pertama beroperasi di Malaysia – kilang yang menghasilkan kenderaan berjenama Volvo, terletak hanya berberapa ratus meter dari kilang Toyota tersebut.

    GALERI: Toyota Corolla KE10 milik UMWT sendiri

    Corolla KE10 dijana oleh enjin siri-K paling kecil dengan kapasiti 1.1 liter, bersama sistem timing chain yang menggerakkan aci sesondol terletak di sisi blok enjin, seterusnya menolak push rod bagi membuka dan menutup injap yang berada di kepala silinder. Disuap dengan sistem karburator tunggal, enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa sekitar 60 PS.

    Tenaga dari enjin dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear manual empat-kelajuan. Berbanding model-model era berkenaan yang diberikan tuil penukar gear pada kolum stereng, Corolla KE10 menampilkan tuil penukar gear yang diletakkan pada lantai, sama seperti kereta-kereta moden sekarang.

    Kereta yang dipamerkan hari ini adalah milik UMW Toyota sendiri. Ia bukanlah sebuah kereta yang disimpan oleh Toyota Malaysia selepas ia keluar dari barisan produksi, sebaliknya UMW membeli semula kereta ini dari orang awam. Ia kemudiannya menjalani restorasi menyeluruh sekitar tahun 2006, dan selepas itu terus menghuni UMW Galeriku yang terletak di Shah Alam untuk tatapan orang ramai.

    Sebagai kereta yang dipamerkan di galeri, semestinya kereta ini berada dalam ‘kondisi muzium’. Segala karat pada badannya telah dibuang, dan di cat semula dengan warna baharu, kemudian hampir kesemua komponen bahagian luarannya seperti lensa-lensa lampu, emblem dan bampar telah direstorasi atau ditukar, membuatkan ia kelihatan baru sahaja keluar kilang.

    Ia juga masih mengekalkan rim besi asal 12-inci, dan dibaluti tayar old school yang seingat penulis agak popular pada era 90-an dahulu, Sime Tyres Monza 80W bersaiz 155/80R12.

    Pada bahagian dalaman, kereta ini juga masih mengekalkan komponen-komponen asli seperti papan pemuka, roda stereng dan juga tombol gear. Turut kelihatan, unit pemain audio utama dengan larasan bunyi dan juga saluran yang menggunakan sistem analog, bersama slot untuk memainkan kaset.

    Namun untuk upholsteri, ia telah dibalut semula dengan fabrik PVC berwarna merah pada bahagian seperti kesemua tempat duduk, dan juga semua panel pintu sebelah dalam. Anda ada kenangan dengan Toyota Corolla KE10 ini? Kongsikannya dengan pembaca lain pada ruang komen di bawah.

     
     
  • E-Racing Grand Prix SEA di MSF pusingan ke-3 nanti

    E-Racing Grand Prix SEA di MSF pusingan ke-3 nanti

    Bagi yang biasa mengikuti perkembangan perlumbaan MSF, sudah tentu anda tahu bahawa ia merupakan sebuah acara litar sebenar yang sering mempamerkan aksi-aksi mengujakan, baik bagi perlumbaan kereta mahupun motosikal, tidak kira bagi kategori yang mana pun.

    Tetapi, khusus untuk perlumbaan pusingan ketiga musim 2019, akan ada pertambahan terbaru – perlumbaan simulator ERacing Grand Prix Asia Tenggara (SEA) turut akan berlangsung untuk memeriahkan lagi acara. Diadakan dengan kerjasama Axle Motorsports, ia akan melibatkan dua siri perlumbaan kelak.

    Pertama, sebelah malam pada tanggal 6 Julai nanti (di South Paddock) dan kedua pada sebelah pagi hingga tengahari tanggal 7 Julai (di Main Paddock). Yuran pernyertaan yang dikenakan pula adalah serendah RM30 sahaja.

    Setiap penyertaan akan menerima t-shirt percuma dan beg cenderahati. Jika anda ingin ikut serta dalam perlumbaan simulator ini, anda boleh terus datang ke acara MSF pusingan ke-3 yang akan berlangsung hujung minggu hadapan.

    E-Racing Grand Prix SEA di MSF pusingan ke-3 nanti

    Peserta yang berada di dalam kelompok lapan terpantas akan memasuki Pusingan Separuh Akhir dan setiap dua peserta terpantas dari pusingan tersebut akan memasuki pula Pusingan Akhir bagi setiap siri perlumbaan yang berlangsung.

    Trofi akan diberikan bagi kedua-kedua siri perlumbaan berkenaan (hari Sabtu dan Ahad). Paling penting, para peserta yang berjaya memasuki Pusingan Akhir secara automatik akan layak memasuki E-Racing Grand Prix SEA yang akan diadakan di Atria pada pertengahan Julai nanti, yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai RM100,000 dan berpeluang mengembangkan bakat terus ke perlumbaan F4 SEA.

    Perlumbaan ini akan diadakan dalam beberapa tahap. Tahap Pertama, sesi kelayakan – Peserta boleh melakukan lima percubaan, setiap satu daripadanya merangkumi tiga pusingan litar (3 lap). Lapan peserta yang terbaik akan layak ke Pusingan Separuh Akhir. Tahap Kedua, Pusingan Separuh Akhir. Dua saringan bagi setiap empat orang pelumba; melihatkan tiga pusingan litar juga.

    Dua peserta teratas dari setiap saringan akan layak ke Pusingan Akhir. Tahap Ketiga, Pusingan Akhir. Perlumbaan kemuncak, dengan empat pelumba terbaik akan berlumba untuk merebut tempat pertama. Trofi eksklusif akan disediakan bagi Johan, Naib Johan dan pemenang tempat ketiga. Untuk maklumat lanjut berkaitan acara ini, klik di sini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026