Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda e – 150 PS/300 Nm, pacuan roda belakang!

    Honda e – 150 PS/300 Nm, pacuan roda belakang!

    Honda telah mendedahkan sebahagian perincian untuk hatchback comel elektrtik sepenuhnya Honda e yang akan masuk ke pasaran pada tahun 2020 nanti – kali ini satu set gambar menunjukkan model tersebut dalam semua lima warna yang akan ditawarkan, serta perincian kuasa yang dihasilkan oleh motor elektriknya.

    Sebelum ini, Honda mengesahkan bahawa model produksi elektrik sepenuhnya pertama mereka ini akan mendapat bekalan kuasa dari bateri lithium-ion 35.5 kWh yang boleh dicas pantas dalam masa 30-minit bagi mendapat cas 80% penuh, bersama jarak perjalanan melebihi 200 km. Dan sekarang jenama tersebut mendedahkan bahawa tenaga berkenaan akan dibekalkan kepada motor elektrik berkuasa 150 PS (110 kW) dan juga tork maksima dari rpm sifar 300 Nm.

    Kuasa berkenaan bukan dialirkan ke roda hadapan seperti Honda biasa, sebaliknya akan memutarkan roda belakang. Dan bersama bateri diletakkan di lantai dengan kedudukan ditengah-tengah kereta, ia merendahkan titik graviti kereta ini sehingga sekitar 50 cm dari permukaan tanah, serta menghasilkan agihan berat sempurna 50:50.

    Honda e – 150 PS/300 Nm, pacuan roda belakang!

    Ditambah dengan juntaian hadapan dan belakang yang pendek serta badan yang agak lebar, Honda mendakwa jurutera mereka menumpukan kepada aspek bagi memperbaiki dinamik pemanduan untuk memberikan pengalaman yang seronok dengan menghasilkan kestabilan yang optimal dan prestasi pengendalian kepada kereta elektrik tersebut.

    Menurut jenama Jepun itu lagi, dengan dipacu roda belakang, kereta ini dapat menampilkan radius pusingan stereng 4.3 meter membolehkan ia mudah dikendali dalam kawasan bandar yang sibuk. Dengan titik graviti rendah juga, Honda tidak perlu memadankan suspensi yang terlalu keras bagi mendapatkan olengan badan yang minimal.

    Kereta ini juga hadir dengan suspensi bebas dari jenis Topang Mcpherson untuk bahagian hadapan dan belakang bagi memastikan ia selesa untuk setiap penumpang.

    Untuk memandu kereta ini, Honda menghasilkan sistem Kawalan Pedal Tunggal, bagi membolehkan pemandu memecut dan memperlahkan kereta dengan hanya menggunakan satu pedal sahaja. Jika anda menekan pedal tersebut, ia berfungsi seperti pedal pendikit biasa. Tetapi jika kaki diangkat dari pedal, ia akan memberikan regenerative braking secara automatik dan akan memperlahankan kereta.

    Honda mendakwa bahawa sistem Kawalan Pedal Tunggal ini akan meningkat kadar efisien ketika memandu di kawasan bandar moden dan mengurangkan keperluan untuk menggunakan lebih dari satu pedal, seterusnya menawarkan pemanduan yang lebih lancar dan mengujakan dengan kawalan maksimum untuk pemandu.

    Jika dalam keadaan normal masih tidak merangsang deria pemanduan anda, butang ‘Sport Mode’ turut disediakan bagi memberi pemanduan yang lebih mengujakan. Dalam pendedahan lebih awal, Honda juga telah mengesahkan bahawa sistem kamera sisi untu menggantikan cermin sisi konvensional adalah standard untuk semua varian Honda e.

    Model produksi sebenar kereta ini akan didedahkan pada tahun ini, dan pelanggan di UK, Jerman, Perancis dan Norway sudah pun boleh membuat tempahan. Manakala untuk negara-negara Eropah lain, mereka boleh mendaftarkan minat mereka menerusi laman web global Honda.

     
     
  • Proton jual 7,615 unit kenderaan bagi Jun 2019 – 18.1% pegangan pasaran, rekod tertinggi dalam 47 bulan

    Proton jual 7,615 unit kenderaan bagi Jun 2019 – 18.1% pegangan pasaran, rekod tertinggi dalam 47 bulan

    Proton sekali lagi terus mencatatkan angka jualan kenderaan bulanan yang memberangsangkan, dengan sejumlah 7,615 unit terjual pada bulan Jun 2019. Ini menyumbang kepada pegangan pasaran sebanyak 18.1%, satu rekod terbaik yang pernah dicapai sejak Julai 2015.

    Dengan itu, angka jualan bulan Jun 2019 sekali lagi meletakkan Proton ditangga kedua dalam senarai keseluruhan mengikut jenama, mengatasi Honda dan berada satu tempat di belakang Perodua bagi bulan ketiga berturut-turut. Jumlah pegangan pasaran itu pula adalah berdasarkan keadaan TIV bagi tempoh sebulan yang menurun sebanyak 30.8% atau hanya dengan 42,090 unit kenderaan dikeluarkan sepanjang Jun 2019.

    Secara individu, Proton X70 terus menjadi yang paling popular dalam barisan kenderaan Proton. Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya pendahulu jualan terkumpul untuk keseluruhan segmen SUV disamping turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris dalam pasaran.

    Model-model lain juga turut mencatatkan jualan yang baik, dengan jualan Proton Saga terus berkembang dengan 2,541 unit telah diserahkan pada bulan Jun, menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan sebanyak 27% berbanding enam bulan pertama tahun 2018.

    Proton jual 7,615 unit kenderaan bagi Jun 2019 – 18.1% pegangan pasaran, rekod tertinggi dalam 47 bulan

    Bagi model-model yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar juga menunjukkan prestasi positif dengan tempahan terhadap Proton Persona, Iriz dan Exora 2019 meningkat masing-masing sebanyak 108%, 180% dan 135% berbanding jumlah tempahan model semasa.

    “Dengan mencapai pegangan pasaran sebanyak 18.1% pada bulan Jun, Proton terus menunjukkan
    pertumbuhan jualan yang positif bagi tahun ini meskipun keadaan pasaran yang sukar untuk jualan berikutan cuti musim perayaan Aidilfitri.

    “Pegangan pasaran setakat tahun ini pada masa kini berada pada 14.7% dan merupakan peningkatan yang besar berbanding angka 2018 iaitu sebanyak 10.8%. Bagi separuh kedua tahun ini, kami akan menumpukan kepada peningkatan jualan dan memberikan lebih keterujaan kepada pasaran dengan memperkenalkan model-model baru dan yang ditambah baik seperti yang dijanjikan sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

     
     
  • Shell kembali dengan koleksi Ferrari edisi terhad

    Shell kembali dengan koleksi Ferrari edisi terhad

    Bagi pengumpul koleksi model kereta mainan, ini ada berita baik untuk anda. Setelah agak lama menyepi, kini Shell muncul kembali dengan koleksi model Ferrari edisi terhad mulai 1 Julai lalu sehinggalah stok habis. Ia adalah sempena dengan ulang tahun ke-70 Ferrari dan musim kali ini menawarkan lapan model ikonik iaitu Ferrari 250 Testa Rossa, 250 GTO, 365 GTB4, GTO, F50, 430 Scuderia, 488 Spider dan jentera lumba SF71H.

    Menurut Shell Malaysia, dua model akan dikeluarkan dalam setiap dua minggu. Untuk minggu pertama dan kedua ini, ia adalah giliran model 488 Spider dan 365 GTB4 untuk direbut oleh para pelanggan Shell. Dan cara untuk mendapatkannya mudah. Pelanggan hanya perlu mengisi minyak minimum RM30 dalam resit tunggal dan berpeluang membeli model Ferrari yang ditawarkan dengan harga RM15.90 seunit.

    Selain itu, Shell turut memaklumkan, dengan pembelian pek Shell Helix Ultra empat liter, pelanggan berpeluang mendapat model Truck secara percuma. Kalau tak nak beli minyak pelincir berkenaan, harga untuk mendapatkan model Truck terbabit hanya RM99.90.

    Malah Shell juga bakal menganjurkan Galeri ShellVroom di lokasi terpilih iaitu di Queensbay Mall, Pulau Pinang pada 4 hingga 7 Julai ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Dua lokasi lain pula ialah Sunway Pyramid (11-14 Julai 2019) dan Paradigm Mall Johor Bahru (19-21 Julai 2019).

    Koleksi Ferrari edisi terhad dan juga model Truck boleh didapati di semua stesen minyak Shell di seluruh negara sehingga stok habis.

     
     
  • GALERI: Lexus ES 250 Luxury 2019 – dari RM332,888

    GALERI: Lexus ES 250 Luxury 2019 – dari RM332,888

    Untuk pasaran Malaysia, Lexus ES 250 2019 telah pun dibuka untuk tempahan kepada pelanggan yang berminat. Ada dua varian ditawarkan untuk sedan mewah generasi ketujuh ini; versi Premium yang dijual pada harga RM299,888 dan versi Luxury pula pada harga RM332,888.

    Lexus ES 250 2019 dibangun menggunakan casis “Global Architecture” baru yang lebih panjang – K (GA-K) – yang merupakan versi Lexus bagi platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Bagi enjin pula, ia menggunakan unit terkini 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder suntikan terus petrol, menghasilkan 204 hp pada 6,500 rpm dan 243 Nm dari 4,000 hingga 5,000 rpm, bersama sistem transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    GALERI: Lexus ES 250 Luxury 2019 – dari RM332,888

    Selain itu, pakej keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+), yang ditampilkan awalnya pada mdoel Lexus NX300 2019, turut ditawarkan pada model ini. Ia merangkumi ciri seperti Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDA), Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop/Go dan Adaptive High-Beam System (AHS).

    Melalui galeri ini, ia mempamerkan dengan lebih terperinci varian Luxury yang ditawarkan untuk pasaran tempatan. Anda rasa ia sepadan dengan harga yang dikenakan, memandangkan kereta ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun?

    Lexus ES 250 Luxury 2019

     
     
  • Kereta elektrik sepenuhnya di Eropah wajib dilengkapi bunyi palsu untuk model baharu selepas 1 Julai 2019

    Kereta elektrik sepenuhnya di Eropah wajib dilengkapi bunyi palsu untuk model baharu selepas 1 Julai 2019

    Bulan lalu, kerajaan UK telah mengumumkan bahawa mereka akan memasang ‘kamera bunyi‘ pada kawasan-kawasan tertentu bagi menangkap mereka-mereka yang telah mengubahsuai kenderaan masing-masing yang menghasilkan bunyi lebih kuat dari yang dibenarkan. Tetapi lain pula hal dengan kereta elektrik, kerana terlalu senyap dan menyebabkan pejalan kaki mahupun penunggang basikal tidak menyedari kehadirannya, setiap model EV empat roda baharu di Eropah wajib dilengkapi alat yang menghasilkan bunyi ketika beroperasi dalam kelajuan rendah bermula 1 Julai 2019.

    Alat tersebut adalah sebahagian dari Sistem Amaran Kenderaan Akustik (AVAS), yang dilengkapi dengan penghasil bunyi yang akan menjana bunyi dengan tahap tertentu ketika kereta elektrik sedang mengundur atau bergerak pada kelajuan di bawah 20 km/j. Bunyi yang dihasilkan tersebut adalah lebih kurang sama dengan bunyi dari kereta dengan enjin konvensional, dan ia turut boleh dimatikan sementara oleh pemandu sekiranya tidak perlu digunakan.

    Tiada bunyi tetap dalam undang-undang penggunaan AVAS ini, membolehkan pengeluar menghasilkan bunyi mereka yang tersendiri. Langkah untuk mewajibkan AVAS ini adalah untuk membantu mereka yang cacat penglihatan untuk mengesan kehadiran kereta elektrik, dan ada juga pihak yang mahu model-model EV mengeluarkan bunyi pada semua tahap kelajuan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya berada pada tahap lebih tinggi.

    Undang-undang yang mewajibkan kereta elektrik mengeluarkan bunyi ini sebenarnya telah diluluskan di parlimen Eropah pada tahun 2014, dan selepas proses peralihan selama lima-tahun, kesemua pengeluar kereta elektrik kini perlu melengkapkan model-model mereka dengan fungsi tersebut.

    Undang-undang ini akan digunapakai oleh semua model kereta elektrik dan hibrid baharu yang diperkenalkan bermula 1 Julai ini, dan kesemua model EV dan hibrid sedia ada yang dijual pada Julai 2021. Laporan berita turut menyebut bahawa kereta-kereta elektrik dan hibrid yang telah dijual mungkin akan diwajibkan juga untuk memasang sistem berkenaan pada masa akan datang.

     
     
  • Bentley Continental GT pecah rekod kereta produksi paling laju di Pikes Peak – lebih pantas 8.4 saat

    Bentley Continental GT pecah rekod kereta produksi paling laju di Pikes Peak – lebih pantas 8.4 saat

    Bentley tahun ini membolot gelaran sebagai kenderaan produksi paling pantas dalam acara Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) apabila model Continental GT yang digunakan berjaya memecahkan rekod sebelumnya. Kereta yang dipandu oleh juara tiga kali, Rhys Millen melengkapkan laluan mendaki 19.99 km itu dalam masa 10:18.488, iaitu 8.4 saat lebih pantas berbanding rekod sebelumnya.

    Sepanjang mendaki 5,000 kaki melalui 156 selekoh di Pikes Peak, Continental GT yang dikuasakan oleh enjin W12 ini mencatat laju purata 113 km/j. Selain daripada itu, puncak penamat litar ini juga mempunyai tahap ketumpatan udara yang 1/3 lebih tinggi berbanding dengan tempat bermula di bawah.

    “Rekod baru ini sekali lagi membuktikan Bentley masih mempunyai semangat dan kemahuan untuk memaksa batasan prestasi automotif sedia ada. Ia juga jelas menunjukkan kemampuan sebenar Continental GT,” kata pengarah sukan permotoran Bentley, Brian Gush.

    Bentley Continental GT pecah rekod kereta produksi paling laju di Pikes Peak – lebih pantas 8.4 saat

    “Ini adalah satu pengakhiran yang menakjubkan bagi musim 2019 yang basah dan bersalji di Pikes Peak! Kami datang ke sini dengan satu tujuan dalam kepala, iaitu untuk menjadi kereta produksi terpantas mendaki bukit ini dan mencatat rekod baru. Ia adalah satu minggu yang menakjubkan,” kata Millen.

    Dalam perlumbaan PPIHC tahun lepas, Bentley juga berjaya mencatat rekod sebagai SUV produksi terpantas melalui model Bentayga yang juga dipandu oleh Millen. SUV mewah itu mencatat masa 10:49.9, iaitu hampir dua minit lebih pantas berbanding rekod sebelumnya.

    GALERI: Bentley Continental GT 2018 di Malaysia

     
     
  • Model prototaip kereta terbang akan diperkenalkan pada Oktober ini, tidak guna duit kerajaan – Redzuan

    Model prototaip kereta terbang akan diperkenalkan pada Oktober ini, tidak guna duit kerajaan – Redzuan

    Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof mengesahkan model prototaip kereta terbang pertama Malaysia akan diperkenalkan di khalayak umum pada Oktober 2019 ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Redzuan berkata, kereta terbang berkenaan akan dipacu oleh teknologi tempatan. Malah beliau turut menegaskan kos pembangunannya tidak melibatkan peruntukan wang kerajaan.

    “Sukacita saya mengingati ahli Dewan, projek air mobility prototype bagi kereta terbang ini tidak melibatkan satu sen pun duit rakyat. Ia adalah inisiatif daripada beberapa syarikat persendirian dan kita kena sentiasa jalin hubungan dengan syarikat persendirian supaya industri ini dirangsang selari dengan pembangunan industri antarabangsa,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

    Model prototaip kereta terbang akan diperkenalkan pada Oktober ini, tidak guna duit kerajaan – Redzuan

    Kenyataan tersebut adalah bagi menjawab pertanyaan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang bertanyakan mengenai perkembangan pembangunan model prototaip kereta terbang.

    Tambah Redzuan lagi, projek kereta terbang ini adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu. Dalam masa yang sama, beliau turut mengesahkan pihaknya sedang berbincang mekanisme bagi mengawal isu keselamatan seperti pencerobohan ruang udara bagi digunapakai apabila industri kereta terbang mula digunakan di negara ini.

    “Pihak kementeriannya dan pihak berkaitan akan mengenalpasti laluan yang dibenarkan mengikut undang-undang yang akan diwujudkan kelak. Kita juga mengambil contoh daripada negara-negara yang telah mengaplikasikan prototaip itu bagi memastikan penggunaan kereta terbang di masa akan datang akan berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.

     
     
  • Perodua dan KPDNHEP banteras alat ganti tiruan

    Perodua dan KPDNHEP banteras alat ganti tiruan

    Masalah alat ganti tiruan memang sudah lama membarah di Malaysia, dan sehingga kini ia masih tidak dapat dilumpuhkan. Sebagai jenama automotif yang paling laris dalam negara, Perodua antara yang paling terkesan sehingga ada minyak pelincir tiruan jenama berkenaan dijual secara terang-terangan di aplikasi jualan-jualan atas talian.

    Dalam usaha menghalang perkembangan produk dan alat ganti tiruan di pasaran, Perodua mengambil inisiatif dengan menganjurkan sesi perjumpaan bersama pegawai-pegawai penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) di ibu pejabatnya di Sungai Choh semalam. Taklimat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP, Tuan Suhaimi Mat Sari.

    “Kami sedar bahawa terdapat banyak produk dan alat ganti tiruan di pasaran yang menggunakan jenama Perodua dan sebahagiannya sukar dibezakan dengan yang tulen. Ini termasuk minyak pelincir, penapis minyak, penyerap kejutan (shock absorbers) dan pad brek,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

    Perodua dan KPDNHEP banteras alat ganti tiruan

    “Perkara ini amat membimbangkan kerana barangan tersebut merupakan barangan kritikal. Pelanggan boleh terpedaya membeli dan menggunakan barangan tiruan ini pada kenderaan mereka – ini bukan sahaja akan membatalkan waranti tetapi boleh menjejaskan keselamatan dan keadaan kenderaan mereka,” katanya lagi.

    Bersama-sama dengan pengedar servis dan stokis terpilih Perodua, syarikat itu telah menyampaikan taklimat menyeluruh kepada kira-kira 120 pegawai penguatkuasa KPDNHEP, memberi pengenalan kepada pelbagai produk dan alat ganti Perodua, di mana produk dan alat ganti tersebut dijual, aliran logistik dan kaedah membezakan barangan tulen dan tiruan.

    “Kami mengucapkan terima kasih kepada KPDNHEP, Tuan Suhaimi Mat Sari dan pegawai-pegawai penguatkuasa kerana sudi menyertai inisiatif kami ini. Kami berharap sesi ini memberi manfaat serta membantu tugas mereka untuk mengesan, mengenalpasti dan membanteras barangan tiruan Perodua di pasaran,” kata Dr Zahari lagi.

    Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak terjebak dengan taktik peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab yang menjual barangan tiruan Perodua. “Beli dan pakailah produk dan alat ganti tulen Perodua daripada stokis-stokis kami yang sah atau mana-mana pusat servis Perodua di seluruh negara,” selarnya.

    Menurutnya lagi, produk dan alat ganti tulen Perodua boleh didapati dengan harga yang berpatutan dan memberikan ketenangan minda yang sepenuhnya. Bagi mereka yang mahukan alat-alat tulen dengan harga lebih rendah, Perodua turut menawarkan alternatif produk dan alat ganti ProGanti, yang lebih mampu milik dan tetap diuji serta diperakui Perodua.

    “Kami amat mengambil berat mengenai anda dan kenderaan anda. Ini merupakan sebahagian daripada Pengalaman Perodua, yang menjadi bukti kesungguhan dan iltizam kami untuk sentiasa mengatasi jangkaan dan mengekalkan kesetiaan anda,” tambah Dr Zahari.

     
     
  • Touch ‘n Go PayDirect – kini di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Bangunan Sultan Iskandar

    Touch ‘n Go PayDirect – kini di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Bangunan Sultan Iskandar

    Touch ‘n Go telah memperluaskan lagi rangkaian plaza tol yang dilengkapi dengan ciri bayaran PayDirect dengan dua lagi tambahan lokasi terbaru, iaitu di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

    Lain-lain lokasi di jajaran Lebuhraya PLUS seperti di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang, Jitra (JTR), Kempas (KPS), Malaysia-Singapore Second Link (LINKEDUA) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) juga akan dilengkapi dengan sistem sama tak lama lagi.

    Dengan tambahan terbaru ini, PayDirect kini boleh digunakan di semua sistem tol di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor – kecuali di Lebuhraya PLUS, Elite, NKVE dan LEKAS yang masih sedang diusahakan.

    Perkhidmatan PayDirect membolehkan pengguna menghubungkan tiga kad Touch ‘n Go kepada aplikasi eWallet mereka. Sebaik saja kad itu dihubungkan ke eWallet, caj tol akan dipotong secara automatik dari eWallet bila-bila masa kad yang dihubungkan itu digunakan di plaza tol (secara sentuhan biasa ataupun melalui SmarTAG), tanpa sebarang potongan kepada kad berkenaan.

    Sekiranya eWallet tidak mempunyai jumlah baki yang cukup, barulah caj akan dipotong daripada baki pada kad fizikal. Bagaimanapun, anda boleh mengekalkan jumlah baki dalam kad sekiranya anda mengaktifkan ciri “auto-reload” pada eWallet.

    Untuk menambah nilai eWallet, ia boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar menggunakan kad kredit atau debit, perbankan atas talian atau TNG Reload PIN tanpa dikenakan caj tambahan. Ramai yang dah pernah cuba sistem baru ini?

     
     
  • Perlumbaan MSF pusingan ketiga hujung minggu ini – Superturismo, Superbikes, eRacing Grand Prix SEA

    Perlumbaan MSF pusingan ketiga hujung minggu ini – Superturismo, Superbikes, eRacing Grand Prix SEA

    Selepas sebulan berehat, siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) 2019 akan bersambung kembali hujung minggu ini (7-9 Julai) untuk pusingan yang ketiga di Litar Antarabangsa Sepang. Tiket cuma berharga RM35 untuk akses penuh termasuk paddock, manakala bahagian K1 pula adalah percuma (Grandstand ditutup kerana kerja naik taraf).

    Untuk perlumbaan kereta Superturismo, ia dibahagikan kepada banyak lagi kategori kecil di bawahnya bergantung kepada jenis kereta sama ada Street atau Race, dan kapasiti atau jenis enjin. Kategori paling menarik perhatian semestinya adalah SuperStreet Limited yang melibatkan saingan pelbagai kereta ubah suai.

    Dalam perlumbaan motosikal Superbikes pula, kategori Super 1000 dan Super 400 yang sedia ada kini ditambah dengan satu lagi kategori baru iaitu Toyo Super Rookie. Aksi pintas memintas dalam perlumbaan ini pastinya menambahkan keterujaan penonton.

    Selain untuk mengejar mata dan kedudukan, pusingan ketiga MSF ini juga memainkan peranan penting sebagai waktu untuk pasukan memastikan segalanya sudah bersedia untuk perlumbaan endurance 45 minit yang akan berlangsung semasa pusingan keempat bulan Ogos nanti.

    Untuk pusingan ketiga ini juga ada satu penambahan istimewa baru. Mereka yang berminat dengan e-racing, anda boleh menyertai perlumbaan simulator ERacing Grand Prix Asia Tenggara (SEA). Peserta yang masuk ke pusingan akhir di MSF secara automatik akan layak memasuki E-Racing Grand Prix SEA yang akan diadakan di Atria pada pertengahan Julai nanti, yang menawarkan hadiah kemenangan bernilai RM100,000 dan berpeluang mengembangkan bakat terus ke perlumbaan F4 SEA. Bayarannya cuma RM30.

    Selain daripada semua ini, litar juga akan dibuka untuk Track day dengan bayaran RM350, di mana peserta boleh membawa masuk kereta mereka sendiri ke dalam Litar Sepang. Waktunya adalah pada malam 6 Julai, jam 8 hingga 10 malam. Pendaftaran boleh dilakukan di sini.

     
     
  • Ford Puma 2019 guna enjin 1.0L EcoBoost hibrid, ruang barang fleksibel dan banyak ciri keselamatan

    Ford Puma 2019 guna enjin 1.0L EcoBoost hibrid, ruang barang fleksibel dan banyak ciri keselamatan

    Nama Puma sebelum ini digunakan oleh Ford untuk sebuah model sports. Tapi kini melalui Puma baru yang ditunjukkan, syarikat itu telah mengubah bentuknya menjadi sebuah crossover kompak yang mempunyai beberapa inspirasi SUV.

    Puma 2019 ini dibina atas platform B Ford, yang menjadikannya kompak, tapi nampak tinggi dan tegap. Model yang ditunjukkan dalam gambar ini adalah varian ST Line yang lebih sporty dan mendapat kit badan penuh. Walaupun begitu, rupa hadapannya masih sedikit pelik, terutamanya bentuk lampu LED itu. Menurut Ford, rekaan ini digunakan untuk memberikan Puma rupa yang mudah didekati.

    Bagi kami, bahagian belakang adalah lebih sedap mata memandang. Walaupun cerminnya kecil, gabungan bentuk serta nyalaan lampu menarik, bampar yang sporty serta diffuser yang diwarnakan sama seperti badan mewujudkan gambaran yang sporty. Dalam keadaan standard, Puma datang dengan rim 18 inci, tapi versi ST-Line mendapat pilihan rim 19 inci untuk dipadankan dengan suspensi sport padanya.

    Ford Puma 2019 guna enjin 1.0L EcoBoost hibrid, ruang barang fleksibel dan banyak ciri keselamatan

    Rekaan bahagian dalam Puma menyerupai model Fiesta, dengan ciri seperti panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin infotainmen lapan inci SYNC 3 dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem FordPass Connect dengan WiFi hotspot dapat disambungkan kepada sehingga 10 peranti, manakala melalui aplikasi FordPass pula, pengguna boleh mengawal kunci pintu dan pemula enjin dari peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet.

    Kelengkapan yang disediakan sebagai pilihan untuk model ini adalah termasuk bumbung panoramik dan sistem bunyi Bang & Olufsen 10 pembesar suara yang juga datang dengan subwoofer 150 mm x 200 mm yang diletakkan dalam lantai ruang barangan belakang tanpa mengganggu ruang simpanan.

    Ruang simpanan barang Puma boleh diubah kepada tiga tetapan. Untuk yang paling dalam, ruang yang dipanggil Ford MegaBox ini boleh memuatkan dua beg golf (saiz sederhana) secara tegak dan masih mempunyai sedikit ruang lebihan. Kapasiti ruang simpanan ini dengan semua tempat duduk masih tegak adalah 456 liter manakala pintu but pula boleh dibuka tanpa menggunakan tangan (lalukan kaki di pengesan pergerakan di bawah bampar).

    Ford telah meletakkan enjin petrol tiga silinder 1.0 liter EcoBoost pada Puma, bersekali dengan sistem hibrid ringkas baru yang terdiri daripada sistem starter/generator (BISG) pacuan tali sawat 11.5 kW untuk menggantikan alternator. Sistem ini dapat menyimpan kembali tenaga yang biasanya terbazir semasa membrek atau meluncur atas lebih raya, dan menyampaikannya kembali kepada pek bateri lithium ion 48 volt.

    BISG ini juga bertindak memberikan tambahan kuasa sehingga 50 Nm kepada kenderaan, dan cukup berguna untuk pecutan awal. Pemasangannya juga telah membolehkan jurutera Ford mengurangkan nisbah mampatan enjin tapi meletakkan pengecas turbo yang lebih besar untuk mendapatkan kuasa yang dimahukan – pilihan sama ada versi 125 PS atau 155 PS.

    Sistem hibrid pada Puma ini juga membantu menjadikan penggunaan bahan apinya lebih cekap sehingga sembilan peratus. Berdasarkan ujian WLTP, penggunaan bahan apinya berada pada tahap 5.4 liter bagi setiap 100 km untuk versi 125 PS dan 5.6 l/100 km bagi versi 155 PS.

    Ford Puma 2019 guna enjin 1.0L EcoBoost hibrid, ruang barang fleksibel dan banyak ciri keselamatan

    Pada bahagian keselamatan, kenderaan ini dilengkapi dengan Ford Co-Pilot360, yang terdiri daripada beberapa ciri yang berfungsi melalui 12 sensor ultrasonik, tiga radar dan dua kamera yang diletakkan di sekeliling kereta. Kelengkapan ini membantu fungsi seperti Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Speed Sign Recognition, Lane Centering dan Evasive Steering Assist.

    Fungsi lain yang ada pada Puma adalah termasuk Blind Spot Monitoring System dengan Cross Traffic Alert, Active Park Assist dengan Perpendicular Parking, Road Edge Detection, Pre-Collision Assist dengan Pedestrian Detection, dan teknologi Post-Collision Braking. Ford Puma akan mula dijual hujung tahun ini dan akan dikeluarkan di kilang Ford di Craiova, Romania.

     
     
  • E-hailing: Tambang tidak naik mendadak selepas wajibkan pemandu ada lesen PSV – Anthony Loke

    E-hailing: Tambang tidak naik mendadak selepas wajibkan pemandu ada lesen PSV – Anthony Loke

    Sebelum ini ada media tempatan melaporkan keresahan pengguna yang bimbang tambang perkhidmatan e-hailing bakal naik mendadak selepas pelaksanaan dasar untuk mewajibkan semua pemandu e-hailing menduduki ujian lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

    Laporan Bernama menyebut, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyangkal dakwaan tersebut dan berkata, harga tambang bagi perkhidmatan e-hailing tidak ditetapkan mengikut harga siling, selain ia berdasarkan kepada permintaan pasaran.

    “Saya tidak melihat bahawa ia akan berubah secara mendadak. Ramai yang berkata bahawa apabila kami buat peraturan ini maka kadar tambang akan meningkat. Itu adalah apa yang dikatakan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

    “Kami harap syarikat e-hailing apabila mereka sudah mengikut peraturan ini, maka kadar tambang harus berpatutan dan kalau mereka tidak kompetitif, penumpang tidak akan memilih perkhidmatan mereka,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    E-hailing: Tambang tidak naik mendadak selepas wajibkan pemandu ada lesen PSV – Anthony Loke

    Loke berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai pelaksanaan mewajibkan pemandu e-hailing mengambil lesen PSV akan menyebabkan perbezaan harga kepada pelanggan perkhidmatan itu.

    Dalam waktu yang sama, beliau turut memaklumkan seramai 16,338 calon menduduki ujian teori PSV untuk teksi dan e-hailing dan 10,151 daripada jumlah itu lulus serta layak memohon lesen berkenaan.

    “Secara rumusan, 62% lulus ujian dan layak dilesenkan bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun lalu. Di mana tahap penilaian soalan yang dibangunkan sudah diuji dan dinilai terlebih dulu supaya menepati suatu pencapaian kompetensi bagi seseorang yang ingin dilesenkan dengan Lesen Vokasional PSV Teksi atau e-hailing,” ujarnya.

    E-hailing: Tambang tidak naik mendadak selepas wajibkan pemandu ada lesen PSV – Anthony Loke

    Ia adalah bagi menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN -Padang Terap) mengenai langkah mitigasi yang diambil Kementerian Pengangkutan susulan kenyataan Persatuan Pemandu Grab Malaysia bahawa hanya 10 hingga 50% pemandu lulus dalam setiap kelas seperti laporan media Mei lalu.

    Tambahnya lagi, bermula 1 April lalu, pemohon Lesen Vokasional PSV berkenaan perlu menghadiri kursus teori selama enam jam di pusat latihan memandu yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menduduki ujian teori sebanyak 60 soalan.

    “Soalan ujian teori bagi Lesen Vokasional dibangunkan melalui Jawatankuasa Pembangunan Modul Latihan Baharu Pemandu Teksi dan E-Hailing yang terdiri daripada agensi-agensi seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan pakar akademik dari Universiti Awam Malaysia,” katanya.

     
     
  • Ford Eropah distruktur semula – 3 model baharu dalam 5 tahun lagi, 12k pekerja dihentikan akhir 2020

    Ford Eropah distruktur semula – 3 model baharu dalam 5 tahun lagi, 12k pekerja dihentikan akhir 2020

    Ford telah mengumumkan pelan untuk membaikpulih empayarnya di Eropah dengan penstrukturan operasi yang akan melibatkan perubahan dan semakan semula terhadap barisan modelnya serta fasiliti pembuatan.

    Model operasi baharu ini akan meyaksikan tiga kumpulan perniagaan yang memfokuskan pelanggan dibentuk untuk kenderaan komersil (CV), kenderaan penumpang (PV) dan import, serta setiap bahagian akan mempunyai organisasi pengurusan tersendiri – termasuk ketua – yang bertanggungjawab untuk pemasaran, pembuatan dan pembangunan produk.

    Bahagian CV berpangkalan di UK, akan disokong oleh Volkswagen, syarikat pakatan strategik dan Ford Otosan JV baharu di Turki, mensasarkan profit berganda di Eropah dalam tempoh lima tahun akan datang. Bagi perniagaan PV pula, yang akan beroperasi dari Cologne, Jerman, ia akan menumpukan perhatian kepada pembangunan PV Eropah, dengan menetapkan elektrifikasi yang agak banyak.

    Ford Eropah distruktur semula – 3 model baharu dalam 5 tahun lagi, 12k pekerja dihentikan akhir 2020

    Dalam tempoh yang pendek, model yang tidak menunjukkan keberangsangan akan digugurkan, dan ini termasuklah C-Max, Grand C-Max dan Ka+. Selain itu, Ford juga mengesahkan setiap plat nama bagi PV akan ditambah pilihan elektrifikasi, dengan model sedia ada termasuk Fiesta, Focus, Kuga, Mondeo dan Puma baharu. Ia akan menambahkan kenderaan pacuan elektrik pada masa hadapan.

    Manakala untuk kumpulan Import, ia akan mengetengahkan kenderaan penumpang ikonik bagi niche portfolio termasuk Mustang dan SUV Explorer, serta Mustang serba baharu yang menawarkan prestasi elektrik sepenuhnya yang dijangka tiba pada akhir 2020, yang dikenali sebagai Mustang Mach-E.

    Ford Eropah distruktur semula – 3 model baharu dalam 5 tahun lagi, 12k pekerja dihentikan akhir 2020

    Utiliti Mustang semua-elektik merupakan salah satu daripada tiga plat nama yang bakal Ford perkenalkan di Eropah dalam tempoh lima tahun akan datang – dua lagi merupakan SUV, yang diletakkan di bawah perniagaan kenderaan penumpang. Pengenalan ini termasuklah Kuga baharu, Puma, dan Explorer plug-in hybrid yang bakal tiba pada awal 2020.

    Pengeluar kereta ini juga akan menyelaras fasiliti pembuatan dan pemasangan di benua berkenaan, dengan mengurangkan jumlah daripada 24 menjadi 18 menjelang akhir 2020. Antara fasiliti yang bakal ditutup ialah Bridgend Engine Plant di South Wales dan kilang transmisi Aquitaine Industri di Bordeaux, Perancis.

    Turut bakal berada dalam senarai penutupan ialah tiga lokasi kilang di Rusia, kilang pemasangan Ford Sollers Naberezhnye Chelny dan kilang enjin Elabuga di Tatarsan serta kilang pemasangan berdekatan St.Petersburg. Fasiliti ke-enam, kilang transmisi Kechnec di Slovakia, akan dijual kepada Magna.

    Selain menyusun semula fasiliti pembuatan, Ford juga akan menutup Ford Britain dan ibu pejabat Ford Credit Europe di Warley, di mana operasi di UK akan disatukan di Dunton, yang menempatkan sebahagian besar pasukan rekan bentuk Ford di Eropah. Di samping itu, pengurangan shif juga akan dilakukan di kilang pemasangan di Saarlouis, Jerman dan Valencia, Sepanyol.

    Ford berkata hasil langkah ini, sekitar 12,000 tenaga kerja akan dikurangkan menjelang akhir 2020. Ini termasuklah 7,000 pekerja yang terlibat dengan pengurangan di peringkat global.

     
     
  • GR Supra A90 sebenarnya hasilkan lebih kuasa dan tork dari apa yang didakwa Toyota di dalam brosur

    Di atas kertas, Toyota GR Supra A90 varian tertinggi yang dijana enjin BMW B58 3.0 liter enam-silinder turbo didakwa menghasilkan 340 hp dan tork maksima 500 Nm dalam keadaan standard. Angka berkenaan mengundang pelbagai pandangan kerana enjin 2JZ-GTE pada Supra generasi sebelumnya untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat sudahpun mampu menjana sekitar 320-330 hp.

    Namun setelah mengujinya sendiri, jurnalis CarThrottle Alex Kersten merasakan Supra ini menghasilkan kuasa lebih dari apa yang didakwa. Jadi untuk mengesahkannya, kereta sport baharu Toyota berkenaan di bawa ke mesin dyno untuk mengetahui jumlah sebenar kuasa yang dihasilkan.

    Supra tersebut menjalani dua kali run di atas mesin dyno bagi mengesahkan jumlah kuasa sebenar yang dihasilkan. Untuk kali pertama, skrin mesin berkenaan menunjukkan bahawa Supra A90 mampu menghasilkan 365 hp, atau 25 hp lebih tinggi dari apa yang ditulis oleh Toyota di dalam brosur.

    GR Supra A90 sebenarnya hasilkan lebih kuasa dan tork dari apa yang didakwa Toyota di dalam brosur

    Run kali kedua menunjukkan jumlah kuasa yang lebih besar dihasilkan oleh Supra A90 ini – 376 hp dengan tork maksima 512.5 Nm, atau 10% lebih berkuasa dengan tork 12.5 Nm lebih dari jumlah yang dikatakan standard!

    Kuasa yang dihasilkan Supra berkenaan disalurkan sepenuhnya ke roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF. Menurut Toyota, ia mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat. Jika anda berminat untuk memiliki Supra generasi baharu ini, sediakan sahaja duitnya kerana UMW Toyota mengesahkan bahawa ia akan mendarat di Malaysia pada tahun ini.

     
     
  • Lexus ES 250 dibuka untuk tempahan – dari RM300k

    Lexus ES 250 dibuka untuk tempahan – dari RM300k

    Lexus ES terkini yang pernah dipertontonkan ketika KLIMS 2018 dahulu kini mula dibuka untuk tempahan. Sedan generasi ketujuh itu ditawarkan di sini dalam varian ES 250, dengan harga bermula dari RM299,888 atas jalan, tanpa insurans bagi versi Premium, manakala varian Luxury pula pada harga RM332,888.

    Dengan rekaan luaran yang lebih dinamik, Lexus turut menyifatkan model ini mempunyai keluasan ruang dalaman yang terbaik dalam kelasnya, dengan kemasan yang lebih baik berbanding model sebelumnya. Ini dicapai dengan penggunaan casis “Global Architecture” baru yang lebih panjang – K (GA-K) – yang merupakan versi Lexus bagi platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Enjin pula menggunakan unit terkini 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder suntikan terus petrol, menghasilkan 204 hp pada 6,500 rpm dan 243 Nm dari 4,000 hingga 5,000 rpm. Ini diganding dengan sistem transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    Selain itu, pakej keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+), yang ditampilkan awalnya pada mdoel Lexus NX300 2019, turut ditawarkan pada model ini. Ia merangkumi ciri seperti Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDA), Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop/Go dan Adaptive High-Beam System (AHS).

    Versi paling tinggi model ini dilengkapi ciri tempat duduk 10-larasan, kerusi belakang larasan elektrik, kawalan pendingin hawa tiga zon, head-up display (HUD), skrin 12.3-inci dan paparan tinjauan panoramik. Ada tujuh pilihan warna sebagai pilihan. Lexus ES 250 diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) dan datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Lexus ES 250 Luxury 2019

     
     
  • Kerajaan tetap bertegas pemandu e-hailing wajib memiliki lesen PSV mulai 12 Julai ini – Anthony Loke

    Kerajaan tetap bertegas pemandu e-hailing wajib memiliki lesen PSV mulai 12 Julai ini – Anthony Loke

    Kerajaan tidak akan mengubah keputusan untuk melaksanakan peraturan mengenai e-hailing, ia bukan untuk menyusahkan, sebaliknya bagi menyelaraskan industri tersebut menjadi peniagaan yang diiktiraf, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Memetik laporan Berita Harian, Anthony turut berkata, mereka perlu melalui proses itu sekiranya mahu terus menjadi pemandu e-hailing, malah pemandu orang kurang upaya (OKU) yang menempuhi pelbagai kesukaran pun sanggup memenuhi pelbagai syarat yang ditetapkan.

    “Jadi, apa yang menghalang pemandu biasa daripada menjalani proses sama? Kalau mereka katakan sebab ada proses ini mereka tidak mahu jadi pemandu e-hailing, maka kerajaan tidak boleh paksa mereka. Kita perlu faham dalam sesebuah negara itu ada kerangka undang-undang dan apa yang kita buat hari ini adalah untuk menyelaras dan membenarkannya di sisi undang-undang.

    “Kita (kerajaan) sudah buat keputusan untuk benarkan e-hailing terus beroperasi tetapi dalam kerangka undang-undang ditetapkan,” katanya selepas menghadiri Program Khas Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu e-hailing OKU, hari ini.

    Kerajaan tetap bertegas pemandu e-hailing wajib memiliki lesen PSV mulai 12 Julai ini – Anthony Loke

    Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengulas laporan media mengenai akan berlaku pengurangan sekurang-kurangnya 50% pemandu e-hailing di Malaysia bermula bulan ini susulan pengumuman kerajaan bahawa mereka perlu memiliki lesen PSV sebelum 12 Julai ini. Ia berikutan sesetengah pemandu menganggap undang-undang yang dikenakan terhadap mereka membebankan dan ada antara mereka yang berkhidmat separuh masa saja.

    Loke turut menjawab mengenai dakwaan ramai pemandu e-hailing gagal dalam ujian PSV. Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, majoriti pemandu perkhidmatan itu lulus ujian berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

    Berkenaan dengan pemandu e-hailing OKU, katanya, sejumlah 256 calon dikenal pasti layak menduduki ujian PSV dan mereka akan menerima keputusan dalam tempoh lima hari akan datang.

    Pada hujung November lalu, media melaporkan, mulai 12 Julai 2019, pemandu-pemandu Grab dan perkhidmatan e-hailing yang lain perlu menduduki kursus dan memperoleh lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle, PSV) sama seperti yang diwajibkan ke atas pemandu teksi. Malah kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan baharu yang mewajibkan semuak pemandu e-hailing perlu mendaftarkan diri, serta mempunyai lesen dan insurans untuk PSV. Kenderaan yang berusia lebih daripada tiga tahun pula perlu menjalani pemeriksaan

     
     
  • Volvo XC90 Armoured – SUV kalis peluru dan letupan

    Volvo XC90 Armoured – SUV kalis peluru dan letupan

    Kereta ini nampak seperti Volvo XC90 biasa? Sebenarnya ia direka dan dibangunkan secara spesifik untuk memberikan tahap perlindungan tertinggi bagi penumpang dan dinamakan sebagai XC90 Armoured. Penghasilannya dilakukan atas permintaan pelanggan Volvo sendiri dan mengambil masa selama dua tahun untuk pembangunan.

    Volvo XC90 Armoured menggunakan asas daripada varian T6 AWD yang dikeluarkan oleh kilang Volvo di Torslanda, Sweden, tapi untuk kerja ubah suai, ia dihantar kepada sebuah syarikat yang mempunyai pengkhususan dalam binaan kenderaan dengan tahap perlindungan tinggi yang berkualiti dari Jerman iaitu Trasco Bremen.

    Berapa tahankah SUV ini? Pertamanya, ia mendapat kelulusan VPAM VR8, yang membawa makna keliling kereta ini kalis peluru dan letupan. Ia adalah hasil penggunaan besi perisai berkekuatan tinggi setebal 10 milimeter, manakala cermin pula mempunyai ketebalan sehingga 50 milimeter sekiranya anda mahu.

    Ubah suai perlindungan maksimum ini menjadikan XC90 Armoured 1,400 kg lebih berat berbanding XC90 biasa dengan jumlah berat keseluruhan 4,490 kg (termasuk lima penumpang). Untuk menampung berat ini, bahagian suspensi serta brek telah dipertingkat.

    Menurut pengarah pemasaran Volvo Cars Special Vehicles, Stephan Green, antara contoh pelanggan berpotensi adalah pemberi khidmat keselamatan yang membawa individu berprofail tinggi, dan pengeluarannya akan dirahsiakan. Perisai yang dipasang juga tidak nampak dengan jelas, menjadikan XC90 Armoured kelihatan seperti kereta biasa.

    XC90 Armoured sudah boleh ditempah termasuk dengan keperluan tersendiri pelanggan sekiranya ada, dan penghantaran pertama dijangka bermula hujung tahun ini. Volvo juga ada menawarkan kenderaan perisai lebih ringan yang menggunakan asas XC60 T6 AWD Inscription serta XC90 T6 AWD Inscription.

     
     
  • Moto Guzzi V85 TT 2019 tiba di Malaysia – dari RM88k

    Moto Guzzi V85 TT 2019 tiba di Malaysia – dari RM88k

    Ini ada sebuah lagi motosikal jenis kembara atau adventure touring yang baru saja dilancarkan untuk pasaran Malaysia; Moto Guzzi V85 TT 2019. Ditawarkan dalam dua versi; model asas V85 TT dijual pada harga RM87,888, manakala versi “Evocative Graphics” pula pada harga RM89,888.

    Bagaimanapun, untuk tempoh terhad sempena pelancaran rasmi model ini, V85 TT ditawarkan pada harga pengenalan RM79,888 – belum termasuk cukai, insurans dan pendaftaran. Model ini merupakan arah tuju baru bagi Moto Guzzi, menggunakan enjin tradisional V-Twin yang ada sebelum ini untuk dipasangkan pada motosikal kembara pula.

    Dengan kapasiti 853 cc, V85 TT ini menghasilkan kuasa sebanyak 80 hp pada 7,750 rpm dengan 80 Nm tork pada 5,000 rpm. Motosikal ini juga menggunakan injap titanium, crankshaft 30% lebih ringan dan dua pam minyak yang memberikannya lekuk tork lebih mendatar. Tangki minyak 23 liternya didakwa mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 400 km.

    Skrin TFT-LCD dalam warna penuh yang ada padanya memudahkan lagi penunggang memerhatikan bacaan tunggangan yang berkaitan. Tiga mod tunggangan disediakan – Road, Rain dan Off-Road – pilihan terakhir ini akan mematikan fungsi ABS pada roda belakang serta memberikan kadar brek enjin juga boleh ditentukan melalui piliha menu.

    Ketinggian pelana bagi V85 TT ini ialah 830 mm, sementara berat basahnya pula 229 kg. Selain itu, terdapat lima pilihan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan; Grigio Atacama, Blu Atlante dan Rosso Vulcano (dengan tayar Metzeler Tourance) bagi versi biasa, sementara versi “Evocative” pula dalam warna Giallo Sahara dan Rosso Kalahari (dengan kerangka merah dan tayar Michelin Anakee).

     
     
  • Hong Leong Yamaha Motor lanjutkan tempoh jaminan

    Hong Leong Yamaha Motor lanjutkan tempoh jaminan

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan program lanjutan tempoh jaminan atau waranti bagi semua motosikal keluaran Yamaha Malaysia. Bagaimanapun, program ini hanyalah sah untuk semua motosikal yang didaftarkan selepas 1 Julai 2019 dan merangkumi jaminan selama dua tahun atau 20,000 km bagi hal-hal kerosakan yang disebabkan kesilapan/kecatatan pengilangan.

    Lanjutan tempoh haminan ini juga hanya sah untuk motosikal yang diservis oleh pengedar sah HLYM mengikut jadual yang ditetapkan, dan menggunakan hanya minyak pelincir serta alat ganti tulen Yamaha. Selain itu, motosikal hendaklah berada dalam keadaan standard dan tidak diubahsuai. Tuntutan waranti juga hanya akan dilayan sekiranya ia dilampirkan bersama rekod servis dari pengedar rasmi HYLM berserta resit asal.

    “Dengan penawaran terbaru ini, HLYM ingin meningkatkan lagi keyakinan pengguna terhadap jenama ini, serta meningkatkan juga daya saing produk kami di dalam industri automotif Malaysia dengan cara menaikkan lagi amalan positif untuk pelanggan,” ujar Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor. Senarai pra-serahan juga sudah dilaksanakan, bagi memastikan semua motosikal yang diserahkan kepada pemilik berada dalam keadaan terbaiknya dari pengedar rasmi HLYM.

     
     
  • Mercedes-Benz A250e PHEV bakal diperkenalkan

    Mercedes-Benz A250e PHEV bakal diperkenalkan

    Mercedes-Benz dikhabarkan sedang dalam membuat persiapan untuk memperkenalkan varian A-Class W177 versi plug-in hybrid, yang menawarkan pacuan elektrik sehingga 60 km, menurut laporan Autocar. A-Class PHEV atau pun digelar A 250 e – akan diletakkan di bawah barisan kereta EQ jenama berkenaan.

    Kuasanya disalurkan dari enjin 1.3 liter pengecas turbo petrol yang turut digunakan oleh A 200, dan ia mampu menghamburkan output sehingga 163 hp dan tork 250 Nm. Untuk A 250 e, motor elektrik yang dipasang pada kotak gear, boleh menghasilkan 101 hp dan tork sehingga 300 Nm, bagi membantu enjin petrol.

    Dengan kombinasi itu, sumber Mercedes-Benz berkata, larasan yang ditawarkan bagi PHEV adalah lebih kurang dengan prestasi bagi model A 250 sedia ada. Untuk pengetahuan, A 250 mampu menghasilkan 224 hp dan tork 350 Nm, cukup untuk pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j.

    Bagi A 250 e, dijangka menggunakan kotak gear 8G-DCT lapan-kelajuan baharu yang telah pun digunakan untuk barisan model kompak Mercedes-Benz baharu, termasuk GLB baharu. Kotak gear ini dijangka akan ditala untuk menahan beban tork yang lebih tinggi yang ditawarkan oleh penjana kuasa PHEV.

    Mercedes-Benz A250e PHEV bakal diperkenalkan

    Menambahkan lagi prestasinya, A 250 e juga dikhabarkan akan menerima kuasa daripada bateri lithium-ion 15 kWh. Jika benar, ternyata kuasanya lebih besar berbanding BMW 330e G20 yang menggunakan unit 12.0 kWh. Menurut dokumen rasmi dari Lembaga Pengangkutan Jerman yang ditunjukkan kepada Autocar, kelajuan tertinggi dalam mod elektrik bagi A 250 e ini ialah 140 km/j.

    Pek bateri ini akan dipasang di lantai bonet, dan Mercedes-Benz juga akan mengecilkan tangki bahan apinya iaitu dari 45 liter pada A 200 menjadi 35 liter untuk model PHEV tersebut. Lain-lain modifikasi termasuklah suspensi belakang yang diteguhkan untuk ketegarannya bagi bebanan bateri lithium-ion seberat 120 kg itu.

    Untuk pengecasan A-Class PHEV dijangka boleh menggunakan pengecas DC sehingga 22 kW, walau bagaimana pun perincian mengenainya akan dinyatakan lebih tepat bila ia diperkenalkan kelak. Mercedes-Benz A 250 e dijangka akan diperkenalkan di Frankfurt Motor Show pada September ini, dan penjana kuasa yang sama juga akan digunakan untuk model kompak yang lain termasuklah B 250 e, CLA 250 e dan GLB 250 e.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026