Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota bakal labur RM8.3 bilion untuk EV di Indonesia

    Toyota bakal labur RM8.3 bilion untuk EV di Indonesia

    Toyota kini mempunyai perancangan untuk memulakan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di Indonesia, dan akan melabur sebanyak US$2 bilion (RM8.26 bilion) untuk projek berkenaan dalam tempoh empat tahun, bermula dengan pembangunan kenderaan hibrid.

    Kementerian Hal Ehwal Maritim Indonesia yang bertindak selaku penyelaras berkata perjanjian itu telah dipersetujui dalam satu pertemuan di Osaka minggu lalu antara menterinya, Luhut Pandjaitan dan Presiden Toyota, Akio Toyota, lapor Reuters.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu, Toyoda dipetik sebagai berkata bahawa syarikat itu melihat Indonesia sebagai destinasi pelaburan utama memandangkan kerajaannya telah mempunyai pelan pembangunan EV. “Dari 2019 hingga 2023, kami akan meningkatkan pelaburn secara berperingkat kepada 28.3 trilion Rupiah,” ujar Toyoda dalam laporan itu.

    Beliau berkata syarikat itu akan mengikut rancangan pelaburan EV berperingkat seperti yang dirancang kerajaan negara itu, bermula dengan pembangunan kenderaan hibrid. Perincian lanjut berkaitan pelaksanaan pelaburan Toyota itu bagaimanapun belum didedahkan.

    Toyota bakal labur RM8.3 bilion untuk EV di Indonesia

    Indonesia sebelum ini telah melakukan banyak usaha untuk menarik perhatian pelabur asing dalam bidang automotif. Awal tahun ini, negara itu mengumumkan dasar EV baru, yang akan menawarkan potongan cukai bagi pengeluar bateri EV serta perjanjian khas bagi tarif dengan negara lain yang mempunyai permintaan EV yang tinggi.

    Tahun lalu, ada laporan menyebut bahawa Hyundai juga sedang merancang untuk melabur sebanyak US$880 (RM3.63 bilion) di republik itu dan mula mengeluarkan EV dari sana. Indonesia mempunyai simpanan nickel laterite ore yang banyak, bahan utama di dalam bateri lithium-ion yang digunakan oleh EV.

    Pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga mencanang bahawa negar itu boleh menjadi pemain utama di rantau ini bagi pengeluaran bateri lihtium, yang diperlukan untuk menampung permintaan yang semakin berkembang terhadapnya. Sebahagian penganalisa pula masih ragu-ragu dengan perkara itu, memandangkan teknologi pencairan nickel yang diperlukan untuk pembuatan bateri lihtium adalah rumit.

     
     
  • Maxus T60 dibuka tempahan di M’sia – RM99k untuk spesifikasi tertinggi 2.8L AT, kumpulan pertama CBU

    Maxus T60 dibuka tempahan di M’sia – RM99k untuk spesifikasi tertinggi 2.8L AT, kumpulan pertama CBU

    Weststar Maxus telah mengumumkan trak pikap Maxus T60 telah pun berada di Malaysia dan tempahannya juga sudah dibuka. Walau pada mulanya dikhabarkan model ini sepatutnya tiba di Malaysia pada hujung 2018, apa pun, biar terlambat, asalkan ia tetap tiba dengan selamat. Tak gitu?

    Maxus T60 untuk pasaran kita ditawarkan dengan dua varian; manual dan spesifikasi tertinggi auto. Untuk varian spesifikasi tertinggi, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM99,000 tanpa insurans, dengan beberapa ciri tambahan yang ditampilkan. Manakala untuk varian manual pula hanya beberapa ribu lebih rendah.

    Kami juga difahamkan pelancaran T60 bakal dilakukan dalam dua ke tiga bulan lagi, dan ia merupakan model CBU yang akan dibawa masuk dari China. Pemasangan tempatannya akan berlangsung tidak lama lagi di Johor yang dijangka dimulakan pada suku ke-empat 2019.

    Maxus T60 dibuka tempahan di M’sia – RM99k untuk spesifikasi tertinggi 2.8L AT, kumpulan pertama CBU

    Maxus T60 diperkenalkan di Guangzhou Motor Show pada hujung 2016 sebagai trak pikap pertama dari SAIC Motor, yang dibangunkan mengikut standard antarabangsa, seperti mana yang didakwa oleh syarikat berkenaan. Di bawah jenama legasi LDV, T60 dilancarkan di Australis pada September 2017, dan menerima penarafan lima-bintang dalam ujian ANCAP, jadi keselamatannya terjamin.

    Australia yang merupakan pasaran besar bagi pikap sebegini, merupakan pasaran pertama bagi pemanduan sebelah-kanan yang menerima T60, yang turut dijual di New Zealand dalam format yang sama. Kami dimaklumkan T60 yang bakal tiba di negara kita akan 95% sama dengan foto yang dilihat, cuma Weststar Maxus mungkin mahu memadankan dengan roda yang lebih besar daripada saiz 17-inci.

    T60 dijanakan oleh enjin VM Motori 2.8 liter empat-silinder turbodiesel yang mampu memberikan kuasa 150 hp dan tork 360 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm. Penjana kuasa R428 DOHC dengan VGT ini dipadankan bersama kotak gear manual dan automatik (yang ujuga ada mod manual) enam-kelajuan. Mod pemanduan Normal, Eco dan Power juga ditampilkan, dengan pacuan 4WD yang boleh disambungkan menerusi rotary 2H-4H-4L dial.

    Maxus T60 dibuka tempahan di M’sia – RM99k untuk spesifikasi tertinggi 2.8L AT, kumpulan pertama CBU

    Perincian lain bagi spesifikasi ini tidak jauh beza dengan trak lain, termasuk suspensi double wishbone di hadapan, gegelung spring di belakang, stereng berkuasa hidraulik, cakera brek ventilated hadapan/belakang dan ladder frame.

    T60 juga dilengkapi dengan ABS, ESP dan enam beg udara yang menyumbang pada penarafan lima-bintang dari ANCAP. Selain itu, ia ditampilkan juga dengan skrin sesentuh berwarna 10-inci yang turut disambung pada kamera undur dan kamera parkir 360-darjah. Ciri lain termasuklah lampu utama LED auto, lampu nyalaan siang LED, kemasukan tanpa kunci dengan butang push start, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pendingin hawa auto, corong AC belakang, sport bar dan banyak lagi.

    Bagi versi manual, ia tidak didatangkan dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED; krom pada gril, perumah cermin sisi dan pemegang pintu; tempat duduk balutan kulit dan kemasukan tanpa kunci dengan butang push start.

     
     
  • BMW Z4 G29 sDrive30i tiba di Malaysia- RM456,800

    BMW Z4 G29 sDrive30i tiba di Malaysia- RM456,800

    Semasa pelancaran 3 Series G20, BMW Malaysia turut mempamerkan model Z4 G29. Walaubagaimanapun, itu adalah varian M40i panduan sebelah kiri, sementara varian yang akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia adalah sDrive30i, seperti yang boleh dilihat dalam gambar ini. Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, tempahan untuknya sudah dibuka dan harga yang didedahkan adalah RM456,800 tidak termasuk insurans.

    Z4 G29 sDrive30i dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter dengan sistem pengecas turbo twin-scroll, yang dipadankan bersama transmisi Steptronic lapan-kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 255 hp (258 PS) dan 400 Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm. Laju maksimum dihadkan pada 250 km/j.

    Antara kelengkapan standard yang ada pada Z4 G29 ini adalah termasuk casis serba baru, sambungan spring berkembar strut axle di depan, suspensi jenis five-link rear axle di belakang, Dynamic Stability Control (DSC), yang merangkumi ABS, Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC), Start-Off Assistant serta Fungsi Performance Control yang memberikan kawalan lebih mantap dengan cara menyalurkan tork dalam kadar yang pelbagai kepada roda belakang.

    Ia akan ditawarkan dalam empat warna luaran iaitu San Francisco Red, Misano Blue, Black Sapphire dan Alpine White, bersama pilihan kemasan dalam serba hitam, Magma Red dengan jahitan hitam atau Cognac dengan jahitan hitam (seperti pada unit yang dipamerkan sempena acara BMW M Track Day di Litar Sepang ini).

    Kereta ini juga datang dengan M Sport Suspension dan Variable Sport Steering secara standard, dan barangan lain yang turut diberi adalah termasuk pengecas telefon tanpa wayar, kunci digital dan Intelligent Parking Assistant dengan ciri Reversing Assistant.

     
     
  • Carlin Dunne maut dalam cubaan pecah rekod di Pikes Peak menggunakan Ducati Streetfighter V4 Prototype

    Carlin Dunne maut dalam cubaan pecah rekod di Pikes Peak menggunakan Ducati Streetfighter V4 Prototype

    Dalam perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC), kategori motosikal adalah antara yang memberi aksi mengujakan kerana anda dapat melihat model bukan superbike seperti naked, supermoto dan sport tourer dikerah sehingga maksimum sepanjang litar jalanan mendaki bukit 20 kilometer itu.

    Bagi Ducati, tahun ini mereka membawa model yang masih belum dilancarkan untuk pasaran iaitu Streetfighter V4 Prototype untuk menunjukkan kemampuannya, di bawah kendalian pelumba berpengalaman, Carlin Dunne. Dalam tiga sesi yang berjalan sebelum hari perlumbaan sebenar, Dunne menunjukkan prestasi cemerlang dan mencatat masa kelayakan terpantas lima saat di hadapan Rennie Scaysbrook yang menunggang Aprilia Tuono V4 1100.

    Walaubagaimanapun, kecelakaan telah menimpa Dunne yang berusia 36 tahun, apabila motosikal beliau terbabas hanya beberapa meter daripada garisan penamat. Dunne meninggal dunia akibat kemalangan tersebut namun masalah sebenar yang menyebabkan beliau hilang kawalan masih belum didedahkan.

    Carlin Dunne maut dalam cubaan pecah rekod di Pikes Peak menggunakan Ducati Streetfighter V4 Prototype

    Dunne bukanlah seorang yang baru dalam dunia perlumbaan motosikal termasuk PPIHC. Beliau pernah mencatatkan masa terpantas dan diangkat sebagai pemenang PPIHC sebanyak tiga kali dan semuanya menggunakan model Ducati Multistrada.

    “Tiada perkataan yang boleh menggambarkan rasa sedih dan terkejut kami. Carlin adalah sebahagian daripada keluarga kami dan antara orang yang paling ikhlas kami kenali. Semangat beliau untuk acara ini dan cinta terhadap dunia motosikal akan diingati sepanjang masa,” kata CEO Ducati Amerika Utara, Jason Chinnock.

     
     
  • HKS Supra A90 2JZ-GTE untuk Nobuteru Taniguchi – jentera Drift 690 hp, bakal tampil di Goodwood 2019

    HKS Supra A90 2JZ-GTE untuk Nobuteru Taniguchi – jentera Drift 690 hp, bakal tampil di Goodwood 2019

    Selepas Daigo Saito dan Masato Kawabata menerima Toyota Supra A90 mereka dari pasukan masing-masing, kali ini seorang lagi pelumba drift D1GP, Nobuteru Taniguchi juga diberikan jentera baharu berasaskan Supra generasi baharu berkenaan dari pasukannya iaitu HKS.

    Sama seperti dua jentera drift Supra A90 sebelum ini, kereta yang akan dipandu “Drifter NOB” ini juga disumbat enjin 2JZ-GTE dari Supra generasi sebelumnya bagi menggantikan enjin BMW B58 asal. Ia turut menerima kit untuk meningkat kapasiti enjin dari 3.0 liter kepada 3.4 liter dari HKS, sama seperti jentera Daigo Saito dan Kawabata.

    Namun menurut HKS, enjin 2JZ pada jenteranya yang disuap pengecas turbo HKS GTIII-4R berkenaan mampu menghasilkan 690 hp. Dan menurut Taniguchi ketika kereta ini masih dalam peringkat pembangunan dan menghasilkan 600 hp, ia “masih jauh dari kemampuan maksimum”. Untuk rekod, enjin dengan kit yang sama pada kereta Daigo Saito berupaya mengekstrak 800 hp. Selain itu, kereta ini juga menerima set suspensi lengkap HKS Hipermax.

    Seperti jentera-jentera HKS yang dipandu oleh Taniguchi sebelum ini, Supra A90 berkenaan turut tampil dengan perincian identitinya -set rim Advan Racing GT, spoiler GT bersaiz gergasi, serta roda stereng Nardi Classico deep dish. Ia juga menampilkan kit badan lebih lebar dengan warna hitam, serta grafik badan ikonik HKS Super Oil.

    Apa yang istimewa, tidak seperti dua Supra tadi yang muncul buat pertama kali di Jepun, HKS Supra A90 Drift ini bakal membuat penampilan sulung dikhalayak ramai di Goodwood Festival of Speed, UK pada 4 hingga 7 Julai ini – acara yang sama akan menampilkan Proton Iriz R5 baharu yang sudah lulus homologasi FIA buat pertama kali.

    Sebelum ini juga, HKS telah mengumumkan sedang menguji peralatan-perlatan prestasi tinggi untuk kegunaan jalan raya bagi Supra generasi terbaharu tersebut, diuji oleh Manabu ‘Max’ Orido di Gunsai Touge.

     
     
  • PROLINTAS umum operasi lorong tambah nilai di AKLEH dan GCE ditamatkan mulai 1 Julai ini

    PROLINTAS umum operasi lorong tambah nilai di AKLEH dan GCE ditamatkan mulai 1 Julai ini

    Kumpulan Syarikat PROLINTAS telah mengumumkan dua lebuhraya seliaanya iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan menghentikan operasi lorong tambah nilai berkuatkuasa 1 Julai 2019.

    Menurut CEO (Projek dan Operasi) PROLINTAS, Ir. Rostam Shahrif Tami, pemberhentian lorong tambah nilai ini bagi melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh pengguna beratur di lorong tersebut di plaza tol.

    “Bagi pengguna AKLEH, dicadangkan untuk melakukan transaksi tambah nilai Touch ‘n Go di Pejabat Operasi AKLEH. Manakala di GCE pula, pengguna boleh berbuat demikian di lorong berlapis Touch ‘n Go Plaza Tol Bukit Jelutong (arah utara), kawasan Rehat & Rawat Elmina (arah selatan dan utara) dan hentian sebelah Lagong,” ujar Ir.Rostam.

    Sambungnya lagi, selain itu, pengguna juga boleh melakukan transaksi tersebut menerusi perkhidmatan eWallet (Direct Pay) di semua plaza tol di GCE.

     
     
  • DS7 Crossback dilancar di Malaysia – dari RM199,888

    DS7 Crossback dilancar di Malaysia – dari RM199,888

    Dipertontonkan pertama kali ketika KLIMS 2018, dan kemudian disusuli dengan dibuka untuk tempahan, model SUV DS7 Crossback kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Harga jualannya ialah RM199,888 (atas jalan tanpa insurans) bagi varian Performance Line.

    DS7 Crossback merupakan alternatif yang lebih premium bagi model-model seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5, ia juga ingin menggugat kedudukan model-model SUV kompak dari BMW dan Mercedes-Benz. Dari segi rekabentuk, ia memiliki penampilan dengan penggayaan yang tersendiri. Ini termasuklah gril DS Wings yang dipadankan bersama lampu utama LED empat-elemen (dengan ciri Active LED Vision), perincian kemasan yang lebih lebar untuk memisahkan corong laluan udara atas dan bawah, lampu kabus segi empat tepat bersaiz kecil dengan lampu nyalaan siang LED menegak yang menyerlahkan lagi keunikannya.

    Melihat kepada profil keseluruhan, garis badan yang jelas pada bahagian depan dan keliling roda menjadikan DS7 Crossback ini kelihatan tegap, dan ditampilkan dengan trim Performance Line, yang merangkumi rim ‘Beijing’ Black Onyx 19-inci. Di belakangnya pula, terdapat lampu yang mempunyai grafik ala berlian, dan kemasan kelabu yang bermula dari bawah lampu tersebut dan bersambung di tengah.

    DS7 Crossback dilancar di Malaysia – dari RM199,888

    Di dalamnya, tema berlian dikekalkan. Antara elemen yang ditampilkan ciri DS Connect, termasuklah sistem infotainmen serta panel instrumen digital 12.3-inci, corak pada tempat duduk dan juga suis kawalan pada stereng. Penggunaan material Alcantara banyak digunakan pada bahagian dalaman yang merupakan penawaran khas bagi pilihan kemasan Performance Line.

    Panel paparan utama pada papan pemuka pula merupakan skrin sesentuh berukuran 12.3-inci, dan di atasnya terletak corong pendingin hawa. Melalui skrin ini, ia menempatkan kawalan bagi sistem pendingin hawa, pemain media dan juga fungsi tunjuk arah.

    Turut disertakan ialah pengecas telefon tanpa wayar, sistem bunyi 14-pembesar suara Focal Electra, tempat duduk larasan kuasa, corong pendingin hawa belakang dengan butang kawalan digital, pintu but belakang kawalan elektrik dan jam BRM R180 yang akan tertutup apabila enjin dimatikan.

    DS7 Crossback dilancar di Malaysia – dari RM199,888

    SUV seberat 1,485 kg ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter THP empat-silinder, dengan janaan kuasa 165 hp pada 5,500 rpm dan 240 Nm dari 1,650 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan, dan pecutan dari sifar ke 100 km/j mengambil masa 10.2 saat. Kelajuan maksimum mampu mencecah 220 km/j, sementara penggunaan bahan api pula dianggarkan sekitar 7.5 liter per 100 km.

    Bagi aspek keselamatan, DS7 Crossback dilengkapi enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP), Anti-Skid Regulation (ASR), Kawalan Kestabilan Dinamik, Amaran Perhatian Pemandu dan dua cagak Isofix untuk tempat duduk belakang.

    DS7 Crossback didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun atau 120,000 km. Selain itu, bantuan tepi jalan 24/7 selama lima-tahun juga akan disediakan serta akses eksklusif untuk SkyLounge Naza di Subang Skypark. Terdapat tiga warna yang ditawarkan, iaitu Platinum Grey, Nero Black dan Absolute Red.

     
     
  • Harga minyak 29 Jun-5 Julai 2019 – RON97 naik 11 sen

    Harga minyak 29 Jun-5 Julai 2019 – RON97 naik 11 sen

    Selepas turun 22 sen minggu lepas, lain pula cerita harga minyak untuk tempoh seminggu ke hadapan. Bagi tarikh 29 Jun hingga 5 Julai 2019, harga petrol RON 97 akan naik sebanyak 11 sen. Ini bermakna, RON97 akan dijual pada harga RM2.41 seliter bermula tengah malam ini.

    Bagaimana pun, petrol RON 95 masih kekal pada harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Begitu juga dengan diesel yang harganya kekal seperti sebelum ini, dijual pada harga RM2.18 seliter bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula mahal 10 sen berbanding harga berkenaan iaitu RM2.28 seliter.

    Harga minyak 29 Jun-5 Julai 2019 – RON97 naik 11 sen

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.19 seliter dan RM2.28 seliter masing-masing. Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 29 Jun 2019 sehingga 5 Julai 2019 adalah berjumlah RM75.16 juta.

     
     
  • Perodua mula jual model Axia di Pulau Seychelles

    Perodua mula jual model Axia di Pulau Seychelles

    Perodua mengorak selangkah lagi dalam pasaran eksport selepas melancarkan model Axia di Seychelles, sebuah negara kepulauan di Lautan Hindi, timur Afrika.

    Dilancarkan malam tadi, Perodua Axia untuk pasaran di sana ditawarkan dalam varian E MT, G AT, SE dan AV, dengan harga promosi masing-masing 235,000 (*RM71,500), 265,000 (*RM80,600), 275,000 (*RM83,700) dan 290,000 (*RM88,300) Rupee Seychellois.

    Semua varian menggunakan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan intelligent variable valve timing serta padanan transmisi manual lima-kelajuan bagi varian E MT manakala transmisi automatik empat-kelajuan bagi varian-varian lain.

    “Kami sangat teruja untuk mengeksport kenderaan Perodua ke Seychelles kerana ia memberi peluang untuk memperkenalkan jenama Perodua kepada masyarakat berbilang bangsa dari Afrika dan Eropah yang kerap berkunjung ke negara ini untuk bercuti,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

    Perodua mula jual model Axia di Pulau Seychelles

    Perodua telah melantik SF Hybrid Motors Pty Ltd sebagai pengedar rasminya di Seychelles bagi mengendalikan jualan dan lepas jualan di sana. “Perodua dan SF Hybrid Motors baru-baru ini telah menandatangani MoU bagi memasarkan model Perodua di Seychelles kepada pembeli individu dan fleet,” jelas Zahari.

    Di benua Afrika, Perodua juga mengeksport ke Mauritius, di mana lebih 3,000 unit kenderaannya telah dijual sejak 1996. “Kami akui bahawa prestasi eksport kami masih tidak signifikan pada masa ini, namun kami gigih berusaha untuk mengembangkan perniagaan kami.

    “Kami sedang bekerjasama dengan rakan teknikal dan teknologi kami, Daihatsu Motor Company of Japan, dengan memanfaatkan pengalaman dan rangkaian mereka untuk merancangkan eksport yang lebih mampan dan menguntungkan,” tambah beliau.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Yamaha Y15ZR V2 2019 – RM8,168

    Walaupun sudah dilancarkan di Malaysia selama beberapa bulan, sambutan untuk Yamaha Y15ZR 2019 (juga dipanggil sebagai V2) masih lagi hangat. Mungkin kerana sekarang ini pesaing terdekatnya seperti Honda RS150R masih lagi tidak diperbaharui.

    Kami berpeluang menunggang uji Yamaha Y15ZR ini selama satu minggu dan dalam video di atas, kami terangkan apa yang baru jika dibandingkan dengan model pertama Y15ZR sebelum ini, dan bagaimana ia memberikan kesan kepada tunggangan.

    Kami tahu, ramai pemilik yang sudah menerima motosikal ini, dan ada yang sudah diubah suai sehingga puluhan ribu ringgit, tapi apa yang ditunjukkan adalah Y15ZR versi standard keluar dari kilang. Bagi menjadikan video ini lebih menarik, kami juga telah membawanya untuk ujian dyno.

    Selain daripada itu, kami juga melakukan ujian pecut Y15ZR V2 ini menentang sebuah lagi model Yamaha tetapi adalah sebuah skuter iaitu NVX 155. Ini sekadar ujian suka-suka, demi melihat bagaimana prestasi NVX 155 yang mempunyai kelebihan enjin 155 cc dengan sistem VVA. Tonton semuanya dalam video di atas, dan nyatakan pendapat anda di bawah.

    GALERI: Yamaha Y15ZR 2019

     
     
  • BMW M2 Competition dilancar untuk M’sia – RM627k

    BMW M2 Competition dilancar untuk M’sia – RM627k

    BMW Malaysia hari ini melancarkan M2 Competition, iaitu model terkini untuk model M terkecil mereka, yang telah didedahkan di pentas global April tahun lepas. Harga model prestasi ini adalah RM626,800 tidak termasuk insurans, dan meletakkannya lebih mahal berbanding model M2 LCI yang digantikannya.

    M2 Competition dikuasakan oleh enjin enam silinder 3.0 liter S55 sama seperti M3 dan M4, tetapi talaannya dikurangkan sedikit. Ia juga menggunakan dua pengecas turbo, bukannya satu unit twin-scroll bersama teknologi High Precision Injection, angkatan injap boleh ubah Valvetronic serta pemasaan injap boleh ubah Double Vanos.

    Ciri baru lain adalah termasuk sistem minyak yang diambil daripada sukan permotoran, sistem penyejukan yang dinaik taraf daripada unit dalam pakej M4 Competition, sistem ekzos dua cabang dengan injap aktif yang boleh memberikan bunyi unik serta penapis habuk untuk menghasilkan emisi lebih baik.

    Dengan semua barangan ini, M2 Competition dapat menghasilkan 410 PS antara 5,250 hingga 7,000 rpm dan 550 Nm tork antara 2,350 hingga 5,200 rpm. Ini adalah 40 PS dan 85 Nm tork lebih berkuasa berbanding M2 biasa, dan kuasa disampaikan ke roda belakang melalui transmisi manual enam kelajuan dengan lapik geseran gentian karbon serta fungsi rev-matching yang boleh diaktifkan dengan menutup sistem kawalan kestabilan.

    BMW M2 Competition dilancar untuk M’sia – RM627k

    Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi M Double Clutch dan Active M Differential, tetapi anda masih boleh mendapatkan unit manual enam kelajuan sekiranya mahu. Bergantung kepada kotak gear yang dipilih, M2 Competition ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat dengan transmisi DCT, dan 4.4 saat dengan kotak gear manual. Memandangkan model yang sampai di negara kita ini tidak mempunyai M Drive Package, laju maksimumnya dihadkan kepada 250 km/j.

    Bagi memastikan kereta ini lebih tegap, ia dipasang dengan pendakap gentian karbon daripada M3 dan M4 di bawah bonetnya, seterusnya juga dapat meningkatkan pengendalian. Sistem Dynamic Stability Control turut ditala semula supaya dapat memberikan cengkaman lebih baik atas jalan basah, kawalan lebih memuaskan dan mengurangkan gangguan sewaktu melakukan drift.

    Penampilan yang sudah cukup garang pada M2 ditambah lagi bagi model ini, menggunakan gril kidney serta bukaan udara lebih besar di bahagian bawah bampar. Cat warna hitam berkilat digunakan pada gril, sirip tepi serta empat muncung ekzos, dan paling membahagiakan penggemarnya, cermin sisi khas seperti M3 dan M4. Rim adalah unit 19 inci.

    Di dalam pula terdapat plet hiasan bertulis M2 Competition di tepi pintu, bersama tempat duduk bucket M Sport yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Roda stereng juga mendapat butang seperti M1 dan M2 yang boleh digunakan untuk menyimpan tetapan pelarasan enjin, stereng serta kawalan stabiliti.

    Kereta yang menggunakan warna luar Alpine White, Black Sapphire Metallic, Long Beach Blue Metallic atau Hockenheim Silver Metallic akan mendapat bahagian dalam yang mempunyai jahitan kontras warna biru pada kemasan kulitnya manakala kereta yang berwarna Sunset Orange menggunakan jahitan oren.

    Kelengkapan lain pada M2 Competition ini adalah termasuk lampu utama LED, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk larasan kuasa dengan memori untuk pemandu, BMW Navigation System Professional dengan skrin sesentuh 8.8 inci dan BMW M Laptimer serta sistem bunyi Harman Kardon 12 pembesar suara.

    Dengan harga jualan itu, pembeli juga menerima jaminan lima tahun tanpa had batuan serta program servis percuma, program waranti tayar dua tahun, BMW Roadside Assistance, BMW Service Online dan BMW White Card melalui aplikasi Loyalty+ Mobile

     
     
  • JPJeBid dilaksana sepenuhnya di KL mulai Julai ini – dipertimbangkan untuk negeri lain secara berperingkat

    JPJeBid dilaksana sepenuhnya di KL mulai Julai ini – dipertimbangkan untuk negeri lain secara berperingkat

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian JPJeBid akan diguna sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 3 Julai ini. Ia akan dimulakan dengan nombor pendaftaran VDP.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, sejak projek perintisnya dilaksanakan bagi nombor pendaftaran khas untuk Putrajaya iaitu FC pada April lepas, ia menampakkan perkembangan yang memberangsangkan.

    “Malah pada Jun lalu, JPJeBid ini sekali lagi digunakan untuk nombor Wilayah Persekutuan siri VDN dan kami berpuas hati dengan kelancaran sistem berkenaan yang tidak berdepan dengan masalah akses walaupun pernah merekodkan lebih 8,000 transaksi menjelang tempoh akhir bidaan,” ujarnya dalam sidang media mengenai keputusan JPJeBid bagi siri VDN semalam.

    Shaharuddin berkata seramai 903 pembida menggunakan sistem JPJeBid bagi siri VDN itu, dengan bidaan tertinggi adalah sebanyak RM158,000 untuk nombor bernilai utama, VDN1. Daripada 903 pembida itu, 463 daripadanya berjaya dalam bidaan masing-masing, sekaligus membawa hasil kutipan keseluruhan RM1.31 juta.

    Shaharuddin berkata pihaknya juga mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem JPJeBid secara berperingkat ke seluruh negara bermula di negeri seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

     
     
  • Isuzu D-Max – pencarian bacaan meter paling tinggi

    Isuzu D-Max – pencarian bacaan meter paling tinggi

    Khas untuk pengguna setia trak pikap Isuzu D-Max, Isuzu Malaysia kini sedang mencari pemilik dengan catatan jarak perjalanan paling tinggi serta ingin mengenali dan mendengar cerita unik pelanggan setia mereka bersama trak pikap tersebut.

    Melalui “Cabaran Super Mileage”, Isuzu Malaysia ingin memberikan ganjaran istimewa dan pemilik hanya perlu menghantar maklumat mereka secara atas talian sebelum 31 Julai untuk layak memenangi hadiah utama bernilai RM15,000.

    “Kebanyakan pemilik kenderaan Isuzu terdiri daripada mereka yang mencatatkan jarak perjalanan yang tinggi, memanfaatkan kos penggunaan yang rendah hasil daripada ketahanan dan prestasinya. Menempuh jarak perjalanan beratus kilometer setiap minggu adalah perkara biasa bagi mereka. Kami ingin bertemu dengan pemilik-pemilik seperti ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana kenderaan Isuzu telah membantu urusan pengangkutan mereka,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

    Peraduan ini terbuka kepada semua pemilik persendirian mahupun korporat yang telah mencatatkan jarak perjalanan minumum 200,000 km pada Isuzu D-Max mereka. Melalui kod QR pada laman web rasmi, pemilik hanya perlu mengikuti arahan mudah untuk memuat naik jarak perjalanan dan keadaan semasa trak pikap mereka.

    Di hujung tempoh peraduan ini, pemilik yang mempunyai jumlah jarak penggunaaan yang tertinggi yang disahkan akan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai lebih daripada RM38,888. Laman web berkenaan juga akan memaparkan pendahulu semasa peraduan berkenaan, begitu juga dengan terma dan syarat peraduan. Pemilik-pemilik Isuzu D-Max boleh melayari laman https://isuzumalaysia.net atau Facebook untuk perincian lanjut berkaitan peraduan ini.

     
     
  • MITI bentuk majlis penasihat baru untuk bincang NAP

    MITI bentuk majlis penasihat baru untuk bincang NAP

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menubuhkan majlis perdagangan dan penasihat (TIAC) yang akan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar-dasar, strategi dan perubahan lain yang berpotensi dilakukan terhadap perdagangan antarabangsa serta promosi pelaburan dan pembangunan industri oleh kementerian berkenaan.

    Majlis berkenaan terdiri daripada 12 wakil daripada pelbagai organisasi seperti kementerian kewangan, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional. Ini bagi membolehkan mereka memberi input dari sudut pandang dan kepakaran yang berbeza dalam membentuk sesebuah dasar, lapor Bernama.

    Menurut Menteri MITI, Datuk Darell Leiking, majlis berkenaan akan membincangkan isu-isu berkaitan misalnya pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) serta dasar automotof Kebangsaan (NAP) di dalam mesyuarat akan datang. Mereka akan bertemu sekurang-kurangnya empat kali setahun untuk tujuan berkenaan.

    MITI bentuk majlis penasihat baru untuk bincang NAP

    Beliau berkata, mesyuarat berikutnya Ogos nanti, tumpuan akan diberikan kepada aspek perdagangan dan pelaburan dan juga NAP. “Dalam mesyuarat akan datang, kita akan bincangkan mengenai NAP serta kertas putih berkaitan industri besi dan sektor perkapalan,” tambah beliau.

    Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan topik apa yang akan dibincangkan mengenai NAP. “Perlu tunggu hingga Ogos nanti,” jawabnya ketika ditanya tentang komitmen MITI untuk memberi perhatian terhadap potensi pelaburan dan insentif bagi kenderaan hibrid dan PHEV.

    Untuk rekod, kemaskini terhadap NAP yang dilaporkan sedang dinilai semula Jun tahun lalu dijangka awalnya akan diumumkan pada suku pertama tahun ini. Bagaimanapun, April lalu, kementerian memaklumkan perkara berkenaan akan dianjak serta diumumkan pada suku kedua.

     
     
  • Gamuda terima tawaran k’jaan ambil alih 4 lebuhraya

    Gamuda terima tawaran k’jaan ambil alih 4 lebuhraya

    Lembaga Pengarah Gamuda telah sepakat untuk menerima tawaran kerajaan dalam mengambil alih empat syarikat konsesi lebuhraya yang berada di bawahnya. Gamuda memiliki 44% pegangan dalam Litrak (operator bagi LDP), 52% untuk Sprint, 70% untuk Kesas dan 50% untuk Smart.

    “Lembaga Pengarah Gamuda akan membuat pengumuman yang berkaitan selepas meneliti beberapa proses yang berkaitan dengan syarikat yang terlibat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat terbabit.

    Pada 21 Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan tawaran bernilai RM6.2 bilion untuk pengambilalihan empat konsesi tol yang mengendalikan LDP, Sprint, Kesas dan Lebuhraya Terowong Smart.

    Rancangan yang pertama kali disebut pada Februari lalu, apabila pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa Pakatan Harapan akan menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya lalu untuk mengambil alih konsesi lebuhraya dan menghapuskan kutipan tol secara berperingkat, mengikut syarat-syarat perjanjian konsesi. Langkah ini adalah untuk mengurangkan kos sara hidup yang tinggi terutamanya bagi pengguna yang tinggal di bandar.

    Gamuda terima tawaran k’jaan ambil alih 4 lebuhraya

    Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, langkah ini mampu memberikan penjimatan kepada pengguna jalan raya sehingga RM180 juta setahun. Salah satu langkah yang bakal diambil ialah melaksanakan sistem caj kesesakan mulai 1 Januari 2020.

    “Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30% pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak. Faktor lain bagi pengambilalihan lebuh raya itu ialah tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan, tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada.

    “Ketiga, setelah perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja, tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Lancer Evolution XI mungkin akan dihasilkan, dijana enjin Renault Megane RS – laporan

    Mitsubishi Lancer Evolution XI mungkin akan dihasilkan, dijana enjin Renault Megane RS – laporan

    Sebelum ini sudah dua kali Mitsubishi menyatakan bahawa model sedan segmen-C mereka, Lancer bersama versi berprestasi tinggi Lancer Evolution tidak akan disambung penghasilannya – semasa mereka bergerak secara sendiri, mahupun sesudah menyertai pakatan Renault-Nissan. Tiba-tiba, satu lagi khabar angin bertiup bahawa Lancer Evo akan dihidupkan kembali, dan bakal dijana enjin dari Renault Megane RS.

    Perkara ini dilaporkan oleh portal Autocar, di mana mereka mengambil sumber laporan dari Jepun. Enjin Renault Megane RS yang dinyatakan tersebut bukanlah unit 1.8 liter turbo berkuasa 299 PS/420 Nm yang digunakan sekarang, sebaliknya ia adalah enjin 2.0 liter turbo baharu yang akan dipadankan pada Megane RS generasi seterusnya.

    Enjin berkenaan dikhabarkan akan digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik dari Mitsubishi, dan juga sistem pacuan semua roda S-AWC. Kuasa tambahan turut akan disuntik dari sistem hibrid ringkas 48-Volt, membolehkan Lancer Evolution tersebut menjana tenaga hampir dengan saingan terdekatnya yang kini masih lagi ‘hidup’ iaitu Subaru WRX STI S209 yang berkuasa 341 HP/433 Nm.

    Khabar angin tersebut turut menyebut bahawa Lancer Evolution ini akan ditawarkan dalam dua pilihan badan iaitu sedan empat-pintu dan juga hatchback lima-pintu. Laporan berkenaan juga menambah bahawa rancangan untuk menghidupkan kembali Evo ini dicetuskan oleh CEO Mitsubishi sendiri, Osamu Masuko, bagi mengembalikan jenama itu sebagai sebuah jenama yang dikaitkan dengan prestasi tinggi. Masuko yang kini berusia 70-tahun dijangka akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi, tetapi akan terus memantau syarikat berkenaan sebagai Pengerusi.

    Boleh percaya ke berita ini? Anda perlu ingat Mitsubishi sudahpun mendedahkan model konsep e-Evolution yang dikatakan mungkin akan membawa semula emblem Evo kepasaran. Tetapi ia bukanlah sebuah sedan turbo, sebaliknya dibina dalam bentuk SUV, dijana sepenuhnya oleh elektrik.

    Apa pun, kita tunggu dahulu model asas Lancer generasi ke-9 yang sebelum ini telah dinyatakan berkemungkinan besar akan dihasilkan dari platform CMF-C/D F4 Pakatan Renault-Nissan. Setelah model produksi sedan segmen-C tersebut muncul, barulah ada harapan untuk kita lihat kelahiran semula Lancer Evolution ini.

     
     
  • Honda Malaysia rai pemilik Jazz yang ke-100,000

    Honda Malaysia rai pemilik Jazz yang ke-100,000

    Sejak generasi pertamanya dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun 2003, Honda Jazz menjadi antara hatchback kompak yang cukup digemari di sini. Malah Jazz yang sebelum ini merupakan model import sepenuhnya (CBU), telah berjaya terjual hampir 18,000 unit secara keseluruhannya.

    Pada tahun 2012, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) telah memulakan pemasangan Jazz secara tempatan (model CKD) di kilang mereka yang terletak di Pegoh, Melaka. Ia dimulakan dengan pemasangan bagi model Jazz Hybrid, dan setahun kemudian disusuli oleh model Jazz petrol pula.

    Setelah 16 tahun Jazz berada di Malaysia, hari ini, HMSB mengumumkan hatchback kompak tersebut telah pun mencecah sebanyak 100,000 unit. Bertempat di Ban Lee Motor Sdn.Bhd, pusat jualan Honda di Seremban, satu majlis ringkas penyerahan unit Jazz baharu diserahkan kepada pemiliknya yang ke-100,000, Kelvin.

    HMSB turut memaklumkan model semasa Jazz iaitu generasi ketiga, kini telah mencapai jualan lebih 75,000 unit (data sehingga Mei 2019). Sekaligus meletakkan Jazz sebagai pendahulu hatchback kompak dalam segmen bukan-nasional dengan perkongsian pasaran sebanyak 62%.

    Honda Malaysia rai pemilik Jazz yang ke-100,000

    Model konsep Honda Jazz Mugen seperti yang dipertontonkan di KLIMS 2018

    Pengarah Urusan dan CEO HMSB, Toichi Ishiyama berkata, “Bulan lalu, kami meraikan pelanggan yang 130,000 yang membeli Honda Civic dan hari ini satu lagi rekod dicipta dengan pencapaian sebanyak 100,000 unit Jazz di Malaysia. Kami sangat berterima kasih buat semua pelanggan dengan kepercayaan yang diberikan. Sekaligus meletakkan jenama kami sebagai No.1 dalam segman bukan-nasional dan No.2 dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) setakat Mei 2019.”

    Menjadi pemilik Jazz yang ke-100,000 di Malaysia, Kelvin turut diberikan “Pakej perlindungan” lengkap yang ditawarkan secara khas oleh HMSB. Pakej tersebut merangkumi Ultra Body Coating, Ultra Window Coating, dan Wheel Lock Nut yang telah diuji dan diluluskan oleh Honda Access di Jepun, jenama tulen yang diiktiraf untuk Honda Accessories. Selain itu, Kelvin juga menerima pakej aksesori Mugen secara percuma sebagai tanda penghargaan daripada HMSB.

    “Saya sangat gembira dan terkejut apabila diumumkan sebagai pemilik Jazz yang ke-100,000. Saya mengambil keputusan untuk membeli Jazz kerana inginkan sebuah kereta kompak untuk pemanduan setiap hari, dan tidak menyangka sama sekali menjadi pemilik yang ke 100,000 ini,” ujar Kelvin.

    Honda Jazz kini ditawarkan dengan empat varian bersama padanan enjin 1.5L i-VTEC iaitu tiga daripadanya adalah unit petrol; 1.5 S, 1.5 E dan 1.5 V, serta satu varian 1.5 hybrid dengan sistem Sport Hybrid i-DCD. Ia ditawarkan pada harga antara RM70,242 hingga RM80,091. Turut menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP, Jazz baharu dilengkapi dengan ciri keselamatam termasuk ABS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

    GALERI: Model konsep Honda Jazz Mugen di KLIMS 2018

     
     
  • Kerajaan jimat RM5.3b-RM6.5b jika ambil alih empat lebuhraya, tempoh konsesi tidak dilanjutkan – Lim

    Kerajaan jimat RM5.3b-RM6.5b jika ambil alih empat lebuhraya, tempoh konsesi tidak dilanjutkan – Lim

    Selain mengurangkan bebanan rakyat dari terus membayar tol, cadangan kerajaan untuk ambil alih empat lebuhraya di Lembah Klang dilihat mampu memberikan penjimatan antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion kepada negara. Pengambilalihan lebuhraya tersebut menerusi penerbitan bon merupakan ‘penyelesaian menang-menang’ berikutan penjimatan bayaran pampasan sekurang-kurangnya RM5.3 bilion kepada operator untuk membekukan kadar tol.

    Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bayaran penjimatan tersebut ialah RM1.92 bilion – RM2.24 billion bagi LDP, RM1.57 bilion – RM2.04 bilion bagi SPRINT, RM1.08 bilion – RM1.19 bilion bagi KESAS dan RM671 juta-RM1.03 bilion bagi SMART.

    Kerajaan menawarkan untuk membayar RM2.47 bilion bagi LDP (konsesi tamat pada 2030), RM1.98 bilion bagi SPRINT (2031-2034), RM1.38 bilion bagi KESAS (selepas lanjutan konsesi lima tahun sehingga 2028 diluluskan oleh kerajaan terdahulu) dan RM369 juta bagi SMART (2042).

    Laporan Bernama turut menyebut, kerajaan tidak mampu membelanjakan RM18 bilion sebagai kos pampasan bagi lebuh raya untuk tidak mengutip caj tol akibat daripada isu-isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu yang telah menyebabkan kekangan kewangan.

    Kerajaan jimat RM5.3b-RM6.5b jika ambil alih empat lebuhraya, tempoh konsesi tidak dilanjutkan – Lim

    “Cadangan kos pengambilalihan berjumlah RM6.2 bilion akan dibiayai menerusi terbitan bon yang akan dibayar balik sepenuhnya dan dibayar daripada pungutan caj kesesakan. Ini berbanding kos pampasan RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya-lebuh raya tersebut,” katanya.

    Beliau menegaskan bahawa pengguna lebuh raya juga akan mendapat manfaat daripada membayar caj kesesakan yang dikurangkan secara ketara daripada kadar tol semasa, sekali gus memberi penjimatan sehingga RM180 juta setahun.

    “Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30% pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak. Faktor lain bagi pengambilalihan lebuh raya itu ialah tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan, tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada.

    “Ketiga, setelah perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja, tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan,” katanya.

    Kerajaan jimat RM5.3b-RM6.5b jika ambil alih empat lebuhraya, tempoh konsesi tidak dilanjutkan – Lim

    Dengan tawaran bersyarat ini, katanya, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang empat pemegang konsesi lebuh raya tersebut, masih tertakluk kepada kelulusan daripada Majlis Jemaah Menteri.

    “Ini secara jelas dinyatakan dalam kenyataan saya pada 22 Jun, 2019 setelah Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan secara prinsip pada 27 Feb, 2019, serta kelulusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas tawaran tersebut pada 20 Jun, 2019.

    “Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa tawaran-tawaran tersebut yang dibuat selepas melalui ketekunan wajar oleh perunding perbankan profesional adalah sejajar dengan usaha memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol bagi meringankan beban rakyat,” kata Lim.

     
     
  • Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

    Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

    Setelah beberapa siri teaser, Kia akhirnya mendedahkan XCeed secara penuh. Menyertai barisan model Ceed segmen C lain oleh Kia di Eropah seperti Ceed hatchback lima pintu, Ceed Sportswagon dan ProCeed shooting brake lima pintu, XCeed ini juga akan dibina di Slovakia untuk benua itu.

    Jadi, apakah sebenarnya XCeed ini sedangkan Kia sudah mempunyai SUV Stonic, Niro (hibrid, PHEV dan EV) serta Sportage? Kia memanggilnya sebagai Crossover Utility Vehicle (CUV) Urban yang “menyediakan alternatif sporty kepada SUV biasa”, menggabungkan praktikaliti SUV kompak dengan pakej sport dan pengendalian memuaskan sebuah hatchback.

    Direka di pusat rekaan Kia Eropah di Frankfurt, Kia XCeed mempunyai penampilan yang berbeza berbanding model yang lain. Semua bahagian atasnya adalah tersendiri dan cuma pintu hadapan sahaja yang dikongsi bersama dengan Ceed hatchback lima pintu.

    Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

    Meskipun jarak rodanya masih lagi sama dengan Ceed biasa iaitu 2,650 mm, jarak dari roda ke hadapan kenderaan ditambah 25 mm manakala dari roda ke hujung belakang kenderaan ditambah 60 mm. Selain daripada itu, ia juga 26 mm lebih lebar berbanding Ceed.

    Pintu bahagian but dan cermin belakang XCeed dijadikan lebih curam memberikan penampilan yang lebih menarik berbanding SUV biasa, dan pemilik diberikan pilihan untuk mendapatkan rim bermula dari saiz 16 inci hingga 18 inci (bersama tayar Continental SportContact 5) seperti di dalam gambar.

    ‘Muka’ XCeed ini juga berbeza berbanding model Ceed yang lain. Grilnya lebih menyerlah dan bukaan udara di bawah bampar adalah lebih besar. Unit lampu adalah baru, dengan di dalamnya terdapat petak lampu LED yang disengetkan sedikit. Di belakang pula ia lebih nipis dan menggunakan jalur melintang untuk menampakkannya seperti lebar.

    Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

    XCeed terletak 174 mm daripada tanah apabila menggunakan rim 16 inci, dan bila menggunakan 18 inci, ia menjadi 184 mm – peningkatan sehingga 42 mm berbanding Ceed hatchback. Kemasan pada keliling lengkuk roda, bawah pintu serta rel bumbung menjadikannya lebih seperti sebuah SUV, dan hiasan di bawah bampar yang berwarna metalik meningkatkan ciri ranggi. Keseluruhannya terdapat 12 warna luar untuk XCeed baru ini.

    Di dalam, XCeed menggunakan semula papan pemuka seperti model Ceed yang lain, dengan konsol tengah yang dipalingkan kepada pemandu. Dengan kedudukan pemandu yang lebih rendah berbanding SUV dan jarak dari tengah lebih tinggi berbanding hatchback biasa, Kia menyatakan XCeed dapat memberikan kedudukan pemanduan lebih sporty, tapi dengan pandangan yang lebih jelas kepada jalan.

    Terdapat juga pakej kuning baru khas untuk CUV ini, di mana terdapat jalur serta jahitan kuning pada tempat duduk, tepi pintu dan juga papan pemuka untuk menyerikan kulit serta panel plastik warna hitam yang digunakan dalam kabin.

    Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

    Dalam barisan model Kia, XCeed diletakkan antara Ceed hatchback lima pintu dan Sportage. Dimensi keseluruhannya adalah 4,395 mm panjang (85 mm lebih panjang berbanding Ceed dan 90 mm lebih pendek berbanding Sportage) dan 1,490 mm tinggi (43 mm lebih tinggi berbanding Ceed dan 155 mm lebih rendah berbanding Sportage.

    Dengan jarak dari roda ke bahagian belakang yang lebih panjang, ruang barangan juga menerima manfaat di mana ia sekarang 31 liter lebih besar berbanding Ceed, menjadi 426 liter. Apabila tempat duduk belakang dilipat, ia bertambah menjadi 1,378 liter. Pintu but boleh dibuka secara elektrik.

    Pembeli di Eropah boleh memilih tiga enjin petrol turbo T-GDi untuk XCeed ini, bermula dengan unit tiga silinder 1.0L 120 PS/172 Nm tork, empat silinder 1.4L 140 PS/242 Nm dan 1.6L 204 PS/265 Nm sama seperti Ceed GT dan Proceed GT.

    Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

    Bagi yang lebih menggemari enjin diesel pula, terdapat dua pilihan unit Smartstream, iaitu enjin diesel paling bersih pernah dihasilkan oleh Kia. Kedua-duanya adalah unit 1.6L, tetapi dengan kuasa sama ada 115 PS ataupun 136 PS. Kesemua enjin yang disebutkan boleh dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan ataupun klac berkembar tujuh kelajuan, kecuali varian petrol manual paling asas. Sistem Idle Stop & Go diberikan secara standard. Versi hibrid ringkas 48V dan PHEV akan menyusul kemudian.

    Siaran akhbar XCeed ini memberikan banyak fokus kepada dinamik pemanduan, dengan mengatakan ia telah diuji di lebih banyak kawasan berbanding model Kia lain yang dibangunkan di Eropah. Suspensi independent penuh masih lagi sama seperti model Ceed yang lain, tapi Kia telah melembutkan kadar spring depan dan belakang sebanyak masing-masing 7% dan 4% demi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan stabiliti.

    Walaupun nampak menarik, sebenarnya XCeed ini adalah model khas yang dibangunkan di Eropah, untuk pasaran sana sahaja.

     
     
  • Retro Havoc umum DRIVE4PAUL Malaysia 2019

    Jika anda peminat watak Brian O’Conner dalam saga Fast and Furious yang dilakonkan oleh Paul Walker, anda mungkin pernah dengar akan NGO Reach Out World Wide (ROWW), diasaskan oleh Paul sendiri dan ditubuhkan untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia.

    Walaupun Paul Walker telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 November 2013, ROWW masih lagi wujud dan meneruskan kerja-kerja amal mereka. Sebagai salah satu cara untuk mengumpulkan dana, ROWW telah mengadakan acara bercorak konvoi amal yang turut dibuat bagi memperingati mendiang pengasasnya, yang dinamakan sebagai DRIVE4PAUL.

    Sehingga kini, DRIVE4PAUL telah diadakan di Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun – disertai bukan sahaja pemilik-pemilik kereta berprestasi tinggi dan eksotik, malah turut menampilkan adik mendiang sendiri iaitu Cody Walker.

    Atas inisiatif Retro Havoc, DRIVE4PAUL akan di bawa ke Malaysia tahun ini, dan bakal diadakan pada 12 Oktober 2019. Menurut pengasas Retro Havoc, Rosli Mohamad Said atau lebih dikenali dengan nama Alie Kuoppa, pendaftaran untuk acara ini akan dibuka pada Julai nanti, namun yuran dan lokasi acara berkenaan akan diumumkan kemudian.

    Alie juga menjelaskan bahawa, segala bayaran yang akan dikutip nanti akan terus disalurkan ke ROWW bagi membolehkan mereka terus menjalankan kerja-kerja amal bagi membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia. Jadi jika anda berminat, boleh terus ‘like’ akaun Facebook rasmi DRIVE4PAUL Malaysia bagi mengetahui perkembangan terkini acara tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026