Tahun ini BMW Motorrad menyambut ulang tahun ke-50 untuk pengeluaran enjin boxer /5 dan juga permulaan pengeluaran motosikal di kilang Spandau, Berlin. Untuk itu, mereka telah mengeluarkaan model istimewa R nineT /5 untuk menyertai href=”https://paultan.org/2017/04/12/bmw-motorrad-malaysia-perkenal-r-ninet-baharu-tambahan-varian-pure-dan-racer-harga-dari-rm83k/”>R nineT versi lain.
Pengeluaran enjin boxer twin di Spandau bermula pada tahun 1967 melalui model R 50/5, R 60/5 dan R 75/5, dengan tenaga kerja seramai 400 orang. Untuk menyambut peristiwa ini, R nineT /5 baru ditawarkan dalam warna Lupine Blue Metallic dengan kesan gelap khas dan jalur pinstripe.
Antara tanda rekaan yang diambil semula daripada model /5 klasik pada R nineT /5 ini adalah termasuk kemasan krom pada cermin sisi dan keseluruhan ekzos, tempat duduk yang mempunyai kemasan krom dan jalur putih, tangki 18 lier dengan pinstripe dan pad di tepi, serta rim spoked 17 inci dengan lebar 3.5 di hadapan dan 5.5 di belakang.
Untuk memberi kontras kepada warna biru dan krom pada beberapa bahagian, rangka dan syaf propeller motosikal ini diwarnakan hitam manakala enjin, kotak gear, tiub fork dan rim pula berwarna perak. Melengkapkan penampilan klasiknya, fork motosikal ini turut dipasang dengan sarung getah.
Bagi enjin, R nineT /5 masih dikuasakan oleh unit boxer twin penyejukan udara 1,170 cc dengan padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 110 hp dan 116 Nm tork. Turut diberi secara terus adalah brek ABS, Automatic Stability Control dan pemanas tangan. Harga model ini walaubagaimanapun masih belum didedah.
Belum lagi dilancarkan secara rasmi, namun bilik pameran Bermaz di Glenmerie, Shah Alam sudah pun mempamerkan Mazda 3 generasi baharu. Seperti apa yang telah kami laporkan sebelum ini, kita menerima Mazda 3 2019 dalam bentuk badan sedan dan hatchback, dengan pilihan enjin 1.5L dan 2.0L, dibahagikan dalam tiga varian, dan ia adalah versi diimport sepenuhnya (CBU) terus dari Jepun.
Tiga varian berkenaan adalah versi asas, versi pertengahan High, dan versi tertinggi High Plus. Namun untuk model High, ia hanya dijual dalam versi sedan. Hanya dua buah contoh boleh anda lihat di bilik pameran tersebut buat masa sekarang iaitu varian asas 1.5L Sedan dan juga varian tertinggi 2.0L High Plus.
Bagi kesemua model 1.5 liter, ia dijana oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 114 hp dan tork maksima 150 Nm. Manakala model-model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G, menjana 162 hp dan tork maksima 210 Nm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive, memacu hanya roda hadapan.
Untuk membezakan antara varian pula, versi asas hadir dengan lampu hadapan projektor LED automatik dengan lampu nyalaan siang jenis mentol, lampu belakang LED, rim 16-inci, penghawa dingin manual zon-tunggal, paparan instrumen digital dengan skrin TFT-LCD tujuh-inci, skrin utama 8.8-inci dihubungkan kepada sistem infotainmen Mazda Connect bersama lapan-pembesar suara, upholsteri fabrik, paparan head-up dipancarkan ke cermin hadapan, papan pemuka dan panel dalaman pintu dengan kemasan-kemasan sentuhan-lembut dan juga tempat duduk hadapan larasan manual.
Model asas ini juga diberikan fungsi seperti cruise control konvensional, brek parkir elektronik lengkap dengan sistem brake hold dan juga mod pemanduan Sport yang akan menajamkan lagi respon pendikit dan menala semula karekter transmisi automatik.
Untuk model pertengahan 2.0L High pula, ia ditambah dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, cermin suria, cermin pandang belakang tanpa bingkai, sistem penghawa dingin dua-zon. Model ini juga ditambah dengan liang penghawa dingin untuk penumpang belakang. Namun seperti yang diberitahu tadi, contoh sebenar untuk varian ini masih belum dipamerkan.
Model tertinggi 2.0 High Plus pula, ia menerima lampu nyalaan siang LED berbentuk gelang diletakkan pada projektor LED lampu utama dan lampu belakang, serta rim bersaiz 18-inci. Warna Polymetal Grey yang anda lihat pada unit yang dipamerkan ini adalah warna yang hanya ditawarkan untuk versi hatchback. Pada bahagian kabin pula, model ini dilengkapkan dengan tempat duduk larasan elektrik 10-hala dengan fungsi memori dua slot.
Mazda 3 tertinggi ini juga menerima empat penderia parkir dihadapan, bersama fungsi keselamatan penuh Mazda i-Activsense yang terdiri dari Sistem Lampu Hadapan Adaptif (AFS), Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan buat pertama kali Bermaz manawarkan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC) menerusi model ini.
Untuk kesemua varian, Mazda 3 generasi keempat ini hadir standard dengan sistem keselamatan yang terdiri dari brek ABS bersama EBD dan EBA, bantuan mula mendaki (HLA), Kawalan Dinamik Kestabilan (DSC) dan tujuh beg-udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu).
Harganya? Bermula dengan versi asas 1.5 liter SkyActiv-G dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,770. Model pertengahan High pula (sekali lagi diingatkan varian ini hanya hadir dalam bentuk sedan) dijual pada harga RM150,059. Model tertinggi hatchback dan sedan High Plus pula dijual pada pasaran Malaysia dengan harga RM160,059.
Jika minggu bertarikh 29 Jun-5 Julai 2019 menyaksikan kenaikan sebanyak 11 sen seliter bagi petrol RON 97, harga bahan api yang sama untuk minggu kedua Julai (6-12 Julai 2019) dilaporkan turut naik iaitu sebanyak 4 sen seliter. Efektif 12 tengahmalam ini, harga baharu bagi petrol RON 97 ialah RM2.53 seliter, berbanding RM2.49 seliter pada minggu sebelum ini.
Manakala petrol RON 95 masih dikekalkan dengan harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Begitu juga dengan diesel yang harganya kekal seperti sebelum ini, dijual pada harga RM2.18 seliter bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula mahal 10 sen berbanding harga berkenaan iaitu RM2.28 seliter.
Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.19 seliter dan RM2.28 seliter masing-masing. Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 6 hingga 12 Julai 2019 adalah berjumlah RM99.53 juta.
Selepas hampir dua tahun kerja-kerja pembinaannya dimulakan, kini litar lumba di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah bakal memasuki fasa kedua beberapa bulan lagi. Sebelum ini, fasa pertama yang melibatkan kos sebanyak RM10 juta yang melibatkan kerja seperti meratakan tanah telah selesai dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Usahawan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris, fasa kedua ini pula dijangka membabitkan peruntukan berjumlah RM20 juta.
“Kita akan mula merangka struktur litar termasuk menyediakan infrastruktur sebelum menyerahkan kepada syarikat milik kerajaan negeri iaitu Bina Darulaman Berhad (BDB) untuk melaksanakan pembinaannya. Sementara itu, Sepang International Circuit (SIC) pula akan bertindak sebagai penasihat teknikal termasuk mengenai pelaksanaan pembangunan litar serta sebagai penasihat pengurusan selepas litar berkenaan siap sepenuhnya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Mohd Asmirul berkata pembinaan litar lumba bertaraf antarabangsa itu juga akan menggunakan teknologi tinggi dari United Kingdom yang akan memastikan ia mencapai tahap piawaian yang ditetapkan.
“Projek pembinaan berteknologi tinggi ini mungkin akan memerlukan kos tambahan sebanyak RM40 juta lagi dan akan disalurkan kerajaan Persekutuan secara berperingkat nanti. Perkara itu telah dibincangkan semasa perjumpaan kerajaan negeri bersama SIC dan Menteri Belia Dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini.
“Kita juga akan memberi peluang kepada peminat sukan permotoran tempatan untuk menggunakan litar ini pada waktu-waktu tertentu, jadi ia tidaklah hanya fokus kepada penganjuran pertandingan antarabangsa sahaja,” katanya.
Litar sepanjang 1.8 kilometer yang pada awalnya dijangka menelan kos RM30 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan itu, mempunyai sembilan selekoh dan bertaraf antarabangsa. Bukan saja motosikal, malah perlumbaan kereta juga boleh diadakan di situ. Pada mulanya, ia dijangka siap dalam tempoh setahun selepas pembinaannya bermula. Walau bagaimana pun, disebabkan peralihan pemerintahan yang melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri, nampak gayanya tarikh jangkaan baharu perlu diumumkan untuk mengetahui bilakah litar tersebut bakal siap sepenuhnya.
‘Kad Laporan’ untuk prestasi jualan Lamborghini untuk tempoh separuh tahun ini sudah dikeluarkan, nampaknya jenama pembuat supercar Itali tersebut menunjukkan keputusan yang sangat luar biasa – sebanyak 4,553 unit kereta telah berjaya dijual, atau meningkat 96% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Rahsianya? Ini semua kerana Super SUV Lamborghini Urus yang diperkenalkan pada penghujung 2017. Dari jumlah keseluruhan jualan tersebut dalam masa enam bulan terawal 2019 itu, 2,693 unit daripadanya adalah Urus.
Ia diikuti oleh Huracan dengan jumlah 1,211 unit, termasuk model Huracán Performante yang mengakhiri produksi, dan digantikan oleh model Huracan Evo (penghantaran kepada pemilik hanya dilakukan selepas Jun 2019). Model dengan enjin ikonik V12 Lamborghini, Aventador SVJ pula berjaya dijual sebanyak 649 unit.
Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran terbesar untuk Lamborghini, diikuti China, UK, Jepun dan Jerman. Pasaran yang paling pesat berkembang untuk jenama itu juga adalah Amerika Syarikat dengan peningkatan jualan 128% atau 1,543 unit, diikuti oleh Asia Pasifik dengan peningkatan lebih sekali ganda kepada 1,184 unit, diikuti EMEA (Eropah, Timur Tengah, Afrika) dengan peningkatan 67% kepada 1,826 unit.
Lamborghini Urus sudahpun masuk ke pasaran Malaysia pada Mac tahun lalu, dijual pada harga bermula sekitar RM1 juta, sebelum termasuk semua cukai. Dijana oleh enjin 4.0 liter V8 turbo-berkembar berkuasa 650 PS/850 Nm, SUV lima-tempat duduk ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksimum 305 km/j.
Di samping memperkenalkan versi terkini A 45, Mercedes-Benz turut mendedahkan Mercedes-AMG CLA 45 4Matic+ baharu, model yang mempunyai lebih ruang but dengan penggayaan coupe.
Secara mekanikalnya, ia mirip dengan A 45, dengan enjin M139 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa 387 PS (382 hp) pada 6,500 rpm dan tork 480 Nm dari 4,750 rpm, melebihi kuasa yang diberikan oleh M133 generasi sebelum ini dengan 381 PS (375 hp) dan 475 Nm. Ini pun untuk model asas.
Sementara bagi model yang lebih berkuasa CLA 45 S 4Matic+ pula menawarkan kuasa sehingga 421 PS (416 hp) pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm dari 5,000 rpm, hasil ledakan tekanan yang lebih tinggi dari 2.1 bar bagi twin-scroll turbo tunggal berbanding model asas yang hanya 1.9 bar.
Kelebihan enjin ini juga disumbang beberapa faktor termasuklah crankcase binaan aluminium sepenuhnya, aci engkol forged, omboh aluminium forged, dinding silinder salutan-Nanoslide, injap ekzos lebih besar, penyuntik yang boleh diposisikan secara optima, suntikan terus bahan api dua-peringkat dan plat baffle untuk oil sump.
Selain itu, pam air (water pump) elektrik yang membantu menyejukkan enjin sewaktu bergerak dan juga radiator kedua di belakang ruang roda hadapan yang membantu radiator utama di bahagian hadapan, antara ciri yang juga menyumbang faktor ini. Malahan terdapat juga pengubah haba yang dipasang terus ke transmisi untuk mengekalkan suhu minyak transmisi dan disepadukan pada sistem penyejuk enjin.
Hasilnya, ia mampu memberikan prestasi dengan pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 4.1 saat dan kelajuan tertinggi pula mencapai 250 km/j (270 km/j dengan AMG Driver’s Package) untuk model asas, sementara A 45 S pula sekitar 4.0 saat dengan kelajuan tertinggi sehingga 270 km/j.
Gandingan transmisi dwi-klac AMG Speedshift DCT 8G lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda aktif-sepenuhnya AMG Performance 4MATIC+ turut dipadankan untuk enjin ini. Bagi sistem pacuan tersebut, ia turut didatangkan dengan AMG Torque Control, yang membolehkan tork enjin disalurkan ke roda hadapan atau belakang, juga antara kiri dan kanan roda belakang.
CLA 45 turut didatangkan dengan mod Drift, yang digabungkan dengan mod Race yang ditawarkan dengan pakej AMG Dynamic Plus – standard untuk model S tetapi ditawarkan secara pilihan bagi model asas. Walau bagaimana pun ESP perlu dimatikan dan transmisi ditukar ke mod manual untuk disambungkan ke mod Drift.
Untuk penjana kuasa dan transmisi ini, ia turut didatangkan dengan stereng kuasa sport elektro-mekanikal, casis dan sistem ekzos AMG, yang disambungkan dengan sistem AMG Dynamic Select, yang membolehkan pemandu menukar parameter ini dengan mod pemanduan yang ditetapkan. Ini termasuklah mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual.
Untuk konfigurasi yang lebih optima, AMG Dynamic juga boleh mengubah sistem pacuan semua roda dan ESP untuk menyuaipadannya dengan pemanduan dinamik yang dikehendaki. Ia bermula dengan Basic, dan dipertingkatkan ke Advanced, Pro dan Master (yang hanya didatangkan dengan pakej AMG Dynamic Plus).
Bahagian casisnya pula dipadankan dengan topang McPherson dan suspensi empat-sambungan di belakang, dengan memilih peredam yang pasif atau pun sistem peredam adaptif AMG Ride Control.
Apalah gunanya jika bahagian mekanikal sahaja dimantapkan tanpa membangunkan kerangka badan yang sepadan dengannya. Model prestasi ini dibangunkan dengan plat aluminium untuk menampung bahagian bawah enjin bagi meningkatkan ketegaran di bahagian hadapan kenderaan. Ia disokong dengan strut tower brace di antara topang suspensi hadapan dan plat pengukuh tambahan yang menghubungkan tiang-A untuk menstabilkan bahagian hadapan. Topang diagonal di hadapan dan belakang yang diletakkan di bawah badan juga mempertingkatkan ketegaran kerangka kenderaan.
Untuk memperlahankan kenderaan, angkup brek empat-omboh ditampilkan bersama cakera brek bersaiz 350 mm di hadapan, manakala angkup brek omboh-tunggal mengendalikan cakera 330 mm di belakang. Angkup brek berwarna kelabu ini turut tertera perkataan AMG berwarna putih.
Pakej AMG Dynamic Plus yang disebut ini, didatangkan secara standard untuk model-S dan ditawarkan secara pilihan untuk model asas A 45, ditambah dengan cakera 360 mm dan angkup enam-omboh di hadapan, diwarnakan merah dengan logo AMG berwarna hitam.
Bahagian kabin pula diserikan dengan material kulit Artico rona hitam dengan gentian mikro Dinamica secara standard tetapi pembeli boleh memilih kulit Artico sepenuhnya dengan tona kelabu/hitam bersama jahitan berkembar kelabu, disuaipadankan dengan kemasan aluminium.
Untuk mengekalkan pesona pada CLA 45, tidak ketinggalan ciri seperti tempat duduk sport, tali pinggang keledar designo merah, lingkaran merah pada corong udara, roda stereng AMG Performance, kemasan kuning (untuk model S sahaja) dan paparan spesifik-AMG untuk sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX).
Tiga gaya paparan AMG turut ditampilkan – Classic, Sport dan Supersport – dan pembeli juga boleh meminta untuk mendapatkan paparan yang lebih istimewa, yang memaparkan suhu bahan api, lap timer, data pemeriksaan enjin atau pun AMG Track Pace.
Untuk luarannya, jet-wing pada bahagian apron menempatkan corong pengambilan udara yang lebih besar di hadapan, manakala gril Panamericana pula membantu menyerlahkan lagi imej jentera ini.
Ekzos yang ditampilkan juga hadir dengan diameter paip yang berbeza, iaitu 82 mm untuk model asas, dan model-S menerima komponen yang lebih besar bersaiz 90 mm. Empat sirip juga ditambah pada bahagian diffuser, sementara spoiler pada boot lid melengkapkan lagi keseluruhan gaya yang cukup ranggi.
Dan semestinya penambah ciri bagi pakej AMG Aerodynamic termasuk spliter dan flic hadapan, diffuser blade, spoiler lips belakang turut ditawarkan. Tidak cukup dengan itu, ia turut menawarkan pakej AMG Night dan Silver Chrome, serta roda 19-inci. Apa yang tak cukup lagi? Dah cukup sarat bukan?
Model yang paling ditunggu-tunggu dalam segmen hot-hatch tahun ini kini sudah pun rasmi didedahkan – Mercedes-AMG A45 generasi baharu membuat kemunculan sulungnya di acara Goodwood Festival of Speed, UK. Berbeza dengan model W176 sebelum ini yang hadir dengan varian janakuasa tunggal, model W177 hadir dengan dua versi talaan enjin iaitu varian standard A45 dan yang paling liar A45 S.
A45 sememangnya dikenali dengan enjin M133 2.0 liter yang menghasilkan angka kuasa standard yang tidak masuk akal – 381 hp/475 Nm, jadi berapa pula kuasa yang akan diekstrak dari enjin empat silinder 2.0 liter turbo baharu M139 pada A45 W177 ini? Untuk model standard, ia menjana 387 hp dan tork maksima 480 Nm, manakala versi A45 S pula menghasilkan kuasa lebih liar dengan 421 PS dan tork maksima 500 Nm, menjadikan ia sebagai enjin 2.0 liter produksi paling berkuasa buat masa sekarang!
Bagaimana Mercedes-AMG dapat memerah begitu banyak ‘jus kuasa’ dari enjin yang hanya berkapasiti 2.0 liter, dan ia boleh dihenyak setiap hari ini? Pertama sekali, kedudukan enjin baharu ini telah diterbalikkan 180 darjah, bermaksud manifold kemasukan kini berada di hadapan, manakala pengecas turbo pula berada di belakang berhampiran firewall.
Rekaan ini membolehkan udara yang disedut lebih cepat sampai ke manifold kemasukan, manakala gas ekzos juga lebih untuk mengalir kebelakang. Ia juga membolehkan bonet direka lebih rendah dan memberikan kesan aerodinamik lebih baik pada bahagian hadapan.
Enjin M139 ini turut menerima pengecas turbo twin scroll baharu yang kini menggunakan galas bebola (roller bearing) pada syaf turbin bagi mengurangkan kadar geseran. Menurut Mercedes-AMG, pengecas turbo tersebut kini lebih responsif, dan putaran setinggi 169,000 rpm boleh dicapai dalam masa lebih singkat.
Selain menggunakan minyak pelincir dan air, pengecas turbo tersebut turut disejukkan oleh oleh udara segar menerusi paip saluran yang dibina khas untuknya, menerima suapan udara terus dari gril. Boost maksima yang diterima dari turbin berkenaan pula dikawal oleh wastegate elektronik yang dapat berfungsi dengan lebih tepat berdasarkan bacaan tekanan caj udara, posisi injap pendikit dan kemungkinan untuk berlakunya knocking. Boost maksima standard yang ditetapkan adalah pada tahap 2.1 bar (1.9 bar untuk versi standard)!
Jurutera Mercedes-AMG juga telah merubah semula sudut penyuntik bahan api dan palam pencucuh pada kebuk pembakaran. Kepala silinder tersebut juga kini dilengkapi dengan injap ekzos yang lebih besar, bagi membolehkan gas ekzos keluar dengan lebih efisien. sekaligus menghasilkan respon lebih baik.
Selain itu, enjin ini dibina dengan rekaan blok close deck, silinder omboh yang disalut bahan nanoslide dan juga takung minyak pelincir yang dibuat dari bahan aluminium sepenuhnya. Bagi membolehkan ia sentiasa berada pada suhu operasi yang optimum, pam air elektrik dibekalkan pada sistem penyejukkan, bersama tambahan unit radiator kedua yang diletak di belakang ruang roda hadapan untuk membantu radiator utama di bahagian hadapan.
Enjin ini ditala bagi membolehkan tork maksima dicapai pada 5,000-5,250 rpm (4,750-5,000 untuk versi standard), membolehkan responnya dirasakan seperti sebuah enjin tanpa turbo berkapasiti besar. Tahap redline enjin juga kini lebih tinggi, ditetapkan pada 7,200 rpm. Seperti biasa, setiap satu enjin AMG yang dihasilkan di Affalterbach ini dipasang hanya oleh seorang pakar dengan prinsip “satu enjin, satu orang”.
Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic. Ini membolehkan model standard memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat, dan versi A45 S pula 0.1 lebih pantas untuk jarak pecutan sama. Kelajuan maksima untuk A45 biasa dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, manakala A45 S pula boleh mencapai 270 km/j. Pembeli A45 biasa turut boleh menikmati kelajuan 270 km/j sekiranya memilih pakej AMG Driver.
Seperti yang didedahkan pada teaser sebelum ini, A45 generasi baharu ini hadir dengan ‘Drift Mode’ membolehkan ia menggelangsar seakan kereta rali. Mod berkenaan dapat dihasilkan menerusi teknologi yang digelar AMG Torque Control. Menerusi teknologi ini, A45 dibekalkan dengan gandar belakang baharu yang dilengkapi klac pelbagai cakera.
Dengan gandar baharu tersebut, tork dari enjin kini bukan sahaja dapat dibahagikan dengan tepat berdasarkan situasi antara gandar hadapan dan belakang, malah ia turut boleh dibahagikan secara berasingan kepada roda kiri dan kanan pada bahagian belakang.
Jadi karekter pembahagian tork akan berubah mengikut talaan mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu. ‘Drift Mode’ tersebut diletakkan pada talaan ‘RACE’ (ESP dimatikan, dan transmisi hanya beroperasi secara manual), dan sekiranya diaktifkan, pemandu dapat melakukan aksi powerslide dengan mudah dengan kawalan dibantu oleh komputer.Walau bagaimanpun, model standard tidak diberikan fungsi ini, tetapi pembeli tetap boleh memilihnya dengan bayaran tambahan.
Kerangka model generasi baharu ini juga telah diperkuatkan lagi, dengan pemandangan plat aluminium di bawah enjin bagi meningkatkan ketegaran torsi pada bahagian hadapan. Ia juga dibantu oleh strut tower brace yang menghubungkan bahagian atas kedua-dua belah suspensi hadapan. Satu lagi plat pengukuh diberikan pada tiang-A bagi memberikan lebih kestabilan pada bahagian hadapan.
Untuk suspensi, bahagian hadapan diberikan topang Mcherson dan juga sistem bebas sepenuhnya dari jenis four link pada bahagian belakang. Secara standard, ia hadir dengan penyerap hentak pasif biasa, Tetapi dengan bayaran tambahan, anda boleh memadankan suspensi aktif AMG Ride Control.
Stereng jentera liar ini pula diberikan dengan sistem elektro-mekanikal yang memberikan talaan sporty atau selesa, bergantung mod yang dipilih pemandu.
Enam mod pemanduan diberikan menerusi AMG Dynamic Select – Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race – yang akan menala semula karekter enjin, transmisi, suspensi dan juga sistem ekzos. Di dalam menu AMG Dynamics, anda juga boleh memilih karekter sistem pacuan semua roda, stereng dan ESP dengan empat preset iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master.
Dari segi rupa, sudah tentu model paling berkuasa ini tampil lebih ganas dari A-Class biasa mahupun Mercedes-AMG A 35 4Matic yang telah didedahkan sebelum ini. Bahagian muka, seperti model-model tertinggi AMG lain, ia menerima gril Panamericana. Bampar hadapan juga hadir dengan liang kemasukan udara yang besar bersama apron yang kelihatan seperti sayap jet.
Dengan trek roda yang lebih lebar, fender hadapan A 45 ini juga direka lebih gemuk dari A-Class biasa. Di belakang, bamparnya diberikan elemen diffuser dengan perumah untuk menempatkan sepasang tip ekzos bulat bersaiz besar – 80 mm untuk A45 standard, dan 82 mm untuk A45 S.
Selain dari lencana S di belakang, model standard dan versi lebih liar itu dapat dibezakan dengan pada set rim aloi – set 18-inci untuk biasa, dan 19-inci untuk model S.
Jika anda rasa A45 ini tidak cukup garang, jangan kedekut untuk membelanjakan lagi duit untuk pakej AMG Aerodynamic yang terdiri dari splitter hadapan, difusser dengan lebih banyak bilah, lips spoiler belakang dan juga spoiler bumbung yang lebih besar – kesemua ini dalam kemasan hitam berkilat.
Mercedes-AMG turut menawarkan pakej Night, pakej Silver Chrome dan juga rekaan lain untuk set rim bagi mereka yang mahukan kereta yang berbeza dari orang lain.
Pada bahagian dalaman, rekaan asas kabin A-Class masih jelas kelihatan, dibintangi skrin sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Seperti biasa, model AMG sebenar ini akan diberikan sentuhan perlumbaan dengan tempat duduk Sport bersama upholsteri kulit buatan Artico hitam dan gentian mikro Dinamica.
Model biasa akan diberikan serlahan-serlahan merah pada bahagian tertentu seperti tali pinggang keledar, dan liang penghawa dingin, manakala model S pula menerima serlahan-serlahan kuning pada bahagian sama. Ia turut dipadankan dengan roda stereng AMG Performance, bersama paparan instrumen AMG di belakangnya, yang hadir dengan tema Classis, Sport dan Supersport.
Paparan istimewa tersebut juga boleh memaparkan informasi-informasi lebih istimewa seperti jumlah G-Force ketika mengambil selekoh dan jam randik. Manakala sistem MBUX pada hot-hatch ini hadir dengan fungsi tambahan AMG Track Pace, iaitu sistem yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengumumkan Jalan Semangat di Petaling Jaya telah dinamakan semula dengan nama Jalan Profesor Khoo Kay Kim, sebagai menghargai jasa dan bakti mendiang kepada negara. Penamaan semula nama jalan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berkuatkuasa serta merta.
“Ia sebagai mengenang jasa dan ketokohan Profesor Khoo Kay Kim yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 Mei lalu. Pemergian mendiang meninggalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya pembabitan beliau dalam merangka Rukun Negara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara selepas peristiwa 13 Mei 1969,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Dalam masa yang sama, Amirudin turut berkata, kerajaan negeri juga menetapkan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja.
“Ini selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Perihal ini turut mendapat perhatian tuanku yang memberi titah dan nasihat agar Kerajaan Selangor memartabatkan Bahasa Melayu dengan menetapkan hanya Bahasa Melayu digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan.
“Pendirian kerajaan adalah selaras dengan komitmen Pakatan Harapan (PH) yang komited mempertahankan beberapa teras utama perlembagaan seperti kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Seperti yang dijanjikan Mellors Eliiot Motorsport (MEM) hujung bulan lalu, Proton Iriz R5 dengan kerangka baharu yang kini bukan lagi prototaip, sebaliknya sebuah jentera yang sudahpun sah menerima kelulusan FIA muncul di Goodwood Festival of Speed (FOS) 2019.
Kereta berkenaan menggunakan nombor plat pendaftaran YN19 GFG, berbanding PRO7 TON pada kerangka sebelum ini, dan ia muncul dengan livery perlumbaan baharu setelah pasukan MEM mendapat tajaan dari pengeluar minuman beralkohol, Thornbridge Brewery dari Bakewell (ibu pejabat MEM juga terletak di Bakewell).
Grafik baharu berkenaan menampilkan jenama minuman Jaipur keluaran syarikat tersebut, dengan keseluruhan badan Iriz R5 MEM menerima warna oren.
Seperti penyertaannya pada FOS 2017 dan 2018, Iriz R5 ini bukan hanya dipamerkan dan membuat demonstrasi, ia turut akan berlumba dalam Forest Stage Rally di acara tersebut. Untuk rekod, MEM dan Iriz R5 merupakan juara bertahan Forest Stage Rally ini selama dua tahun berturut-turut.
MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.
Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.
Teknologi injap bervariasi telah lama wujud, dan ia mula berevolusi dalam pelbagai bentuk, kaedah dan mekanisma. Bermula dengan sistem-sistem mudah seperti VTEC dan MIVEC yang mengubah durasi injap dari kecil ke besar, VVT yang mampu mempercepatkan atau melambatkan pemasaan bukaan injap, dan kemudian sistem gabungan kedua-duanya seperti VVTi-L dan juga i-VTEC.
Kini Hyundai hadir dengan sistem baharu yang digelar Continuously Variable Valve Duration (CVVD). Apa kelebihan sistem CVVD ini dan bagaimana ia berfungsi? Dalam sistem VVT, pemasaan bukaan injap dapat diawalkan, tetapi durasi bukaan injap adalah kekal sama – bermaksud jika ia buka awal, ia juga akan tutup kembali lebih awal.
Tetapi dengan sistem CVVD ini, Hyundai berjaya membuatkan durasi bukaan dikawal sepenuhnya dan membolehkan injap dibuka lebih awal dan ditutup lebih lewat, bergantung pada situasi, dan ia adalah pertama seumpamanya di dunia menurut Hyundai.
Menerusi sistem ini, ketika kereta dipandu pada kelajuan malar dan hanya memerlukan kuasa yang kecil, CVVD akan membuka injap kemasukan lebih lama iaitu sehingga pertengahan lejang mampatan bagi membolehkan rintangan omboh ketika naik ke atas dikurangkan semasa campuran bahan api dan udara dimampatkan.
Sementara ketika kelajuan tinggi, injap kemasukan ditutup pada betul-betul permulaan lejang mampatan bagi mendapatkan mampatan yang maksima, seterusnya menghasilkan letupan paling kuat dalam kebuk pembakaran bagi meningkatkan tork dan memberikan pecutan yang lebih baik.
Buat masa sekarang, sistem CVVD ini hanya dipadankan pada injap kemasukan sahaja. Ia dapat dilakukan menerusi mekanisma istimewa yang boleh mengalihkan sedikit aci sesondol sedikit kekiri atau kekanan untuk menjadikan bukaan injap lebih lama atau sekejap. CVVD ini muncul untuk pertama kali pada enjin empat-silinder SmartStream 1.6L T-GDI yang menjana Hyundai Sonata generasi baharu.
Menurut Hyundai, sistem CVVD tersebut berjaya meningkatkan prestasi sebanyak 4%, menambahbaik penggunaan bahan api sebanyak 5%, dan juga 12% lebih mesra alam. Secara keseluruhan, enjin SmartStream 1.6L turbo berkenaan mampu menghasilkan 180 hp dan tork maksima 265 Nm.
Selain dari CVVD ini, enjin tersebut turut dipadankan dengan sistem Low-Pressure Exhaust Gas Recirculation (LP EGR) bagi mendapatkan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Dalam sistem EGR biasa, ia akan membakar semula gas ekzos ke kebuk pembakaran bagi memastikan kesemua bahan api terbakar bagi mengurangkan haba dan pencemaran nitrogen oksida.
Dengan sistem LP EGR ini pula menampilkan sistem tekanan ringan yang akan mengalirkan gas ekzos ke pemampat pada pengecas turbo bagi meningkatkan keberkesanan sistem tersebut ketika bebanan enjin tinggi.
Enjin ini juga dipadankan dengan Sistem Pengurusan Suhu Bersepadu yang akan memanaskan atau menyejukkan enjin ke suhu operasi optimal, dan sistem suntikan terus yang kini beroperasi dengan 350 bar berbanding 250 bar pada enjin T-GDI terdahulu. Geseran pada enjin turut dikurangkan 34% dengan pemadanan komponen-komponen bergerak yang lebih rendah daya gerseran.
Hyundai Sonata Turbo akan membuat penampilan sulung pada separuh kedua tahun ini. Enjin ini turut akan digunakan pada model-model Kia, dan perincian model yang akan dijana enjin ini akan didedahkan hampir dengan pendedahan kereta tersebut.
Honda Malaysia telah mengumumkan berjaya merekodkan jualan melebihi 44,200 unit kenderaan yang didaftarkan untuk separuh pertama (1H) 2019, dengan bulan Mei mencatatkan jualan tertinggi melebihi 10,500 unit. Hasil pencapaian jualan tersebut turut mengekalkan Honda Malaysia dalam kedudukan Nombor 1 bagi segmen Bukan-Nasional dan juga Nombor 2 dalam jumlah keseluruhan industri (TIV), bagi 1H 2019, dengan menyumbang sebanyak 15.3% kepada TIV.
Model sedan segmen-B, City, dikatakan sebagai penyumbang terbesar dengan mencatatkan 34% dalam keseluruhan jualan. Diikuti dengan model crossover HR-V yang dilancarkan pada Januari lalu menyumbang sebanyak 20% dan CR-V pula sebanyak 14% dalam jumlah keseluruhan jualan tersebut. Honda turut mengesahkan barisan modelnya – Jazz, City, Civic, HR-V, CR-V dan BR-V – terus menjadi pendahulu dalam segmen masing-masing.
Malah HR-V yang diperkenalkan dengan warna Passion Red Pearl, telah menerima sambutan yang memberangsangkan. Justeru, baru-baru ini, warna yang sama turut diperkenalkan untuk model Jazz, City, CR-V dan BR-V. Honda Malaysia memaklumkan kini Passion Red Pearl telah menjadi warna paling popular yang menjadi pilihan pelanggannya. Sementara waktu menunggu untuk tempahan bagi semua modelnya pula antara satu hingga ke dua bulan.
“Kami ingin menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih buat semua rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mempercayai jenama Honda. Separuh pertama 2019 ini sebenarnya agak mencabar namun menaikkan semangat kami. Civic juga telah mencatatkan angka jualan sebanyak 130,000 unit sejak generasi ketujuhnya diperkenalkan di Malaysia pada 2001 lalu.
“Begitu juga dengan Jazz yang telah mencapai jualan sebanyak 100,000 unit sejak generasi pertamanya dibawa masuk ke Malaysia pada 2003. Ia memberikan inspirasi buat kami apabila kedua-dua model berkenaan menjadi kgemaran rakyat Malaysia dan kami juga berharap dapat mencatatkan lebih banyak kejayaan pada tahun ini,” ujar Pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Honda Malaysia yang baru dilantik, Sarly Adle Sarkum pula berkata, “Saya kagum dengan komitmen dan dedikasi pasukan Honda Malaysia yang tinggi yang membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi di negara ini. Ia telah memberikan saya keyakinan bahawa kami dapat menyahut cabaran untuk memacu jualan yang lebih cemerlang lagi.
“Di kesempatan ini, kami ingin berterima kasih kepada semua pelanggan yang terus menyokong jenama kami. Malah kami komited untuk menyediakan Joy of Buying dan penawaran terbaik kepada pelanggan kami untuk kepuasan pelanggan yang lebih tinggi.”
Sempena dengan pengumuman ini, Honda Malaysia turut melancarkan kempen ‘Tech Frontier Rewards” untuk memberikan penghargaan buat pelanggan Honda mengetahui lebih lanjut mengenai Teknologi Termaju Generasi Akan Datang termasuk Honda SENSING, Turbo dan Sport Hybrid i-DCD.
Kempen ini menawarkan Bonus Honda, Bonus Bulanan Honda dan Hadiah Eksklusif bernilai sehingga RM5,000 (tertakluk pada terma & syarat) untuk yang membuat tempahan mana-mana model baharu Honda. Kempen ini adalah untuk semua model Honda kecuali Civic Type R, berlangsung mulai 1 Julai sehingga 30 September 2019.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini atau menempah sesi pandu uji mana-mana model baharu Honda, pelanggan boleh berkunjung mana-mana 98 pusat pengedaran bertauliah Honda di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau pun layari www.honda.com.my.
Bulan lalu, Geely telah mendedahkan versi facelift terbaharu untuk SUV segmen-C mereka, Boyue (yang juga kembar kepada Proton X70) dikenali sebagai Boyue Pro. Kini model tersebut telah membuat penampilan sulungnya di Beijing, China sempena pengenalan sistem infotainmen terbaharu dari Geely dikenali sebagai GKUI 19 yang dibangunkan subsidiarinya iaitu ECARX, dan sistem itu turut dipadankan pada Boyue Pro ini.
Gambar ini diperolehi oleh wakil kami sendiri di China, menampilkan dua lagi warna – merah dan biru – selain warna perak yang didedahkan bulan lalu. Seperti yang anda lihat, Boyue Pro ini tampil lebih kacak dengan muka signatur baharu Geely seperti sedan Binrui dan Borui, serta SUV Coupe Xingyue yang muncul pada awal tahun ini.
Lampu asal Boyue dirombak sepenuhnya dengan rekaan lebih nipis dan tirus, dan ia kini mengapit gril “expanding cosmos” yang lebih besar dan diposisikan pada sudut lebih tegak – menyerlahkan rupanya yang lebih gagah. Muka baharu ini juga membuatkan ia perlu menerima bonet baharu menampilkan rupa lebih berotot, bersama bampar hadapan baharu dengan rekaan liang kemasukan udara dan perumah lampu kabus yang menghasilkan apron lebih agresif.
Bahagian belakang juga menerima sentuhan semula. Paling menyerlah adalah kedua-dua belah lampu belakang Boyue Pro ini di reka seakan ‘tertusuk’ terus dengan panel kemasan krom pada bahagian tengah yang merentangi pintu tailgate. Spoiler juga diberikan unit baharu bersama lampu brek ketiga diletak pada bahagian atas yang berlekuk di tengah.
Rekaan belakang Boyue Pro ini dilengkapkan dengan bampar lebih segar dengan pemadanan reflektor lebih panjang yang di letak menegak, bersama kemasan diffuser yang lebih ringkas. Perumah tip ekzos masih lagi kekal di kiri dan kanan, tetapi kini lebih lebar dan nipis untuk diserasikan dengan rekaan keseluruhan.
Bahagian dalam Boyue Pro ini turut berbeza dari versi asal. Anda boleh lihat papan pemuka baharu yang direka dengan lebih fokus kepada pemandu, bersama roda stereng rata di bawah yang nyata lebih sporty. Satu lagi kalau anda perasan, papan instrumen digital juga ditukar baharu menampilkan grafik seakan model-model Volvo terkini seperti XC90 dan XC40, bagi menggantikan panel seakan pada Volvo V40 untuk model sedia ada.
Papan pemuka Boyue Pro ini dihasilkan dengan kemasan dua-tona, bersama liang penghawa dingin lebih segar. Skrin untuk sistem infotaimen GKUI 19 yang dipadankan kelihatan jauh lebih tinggi dan lebar. Oleh itu butang-butang kawalan penghawa dingin direka dengan suis-suis lebih leper dan ditekan ke bawah bagi dimuatkan pada ruang lebih nipis.
Konsol gear juga berubah sepenuhnya menampilkan suis-suis yang disusun semula, suis mod pemanduan diganti dengan suis putar, serta menerima tombol gear yang lebih berpetak dengan suis posisi ‘P’ berada di atasnya.
Sistem audio Morel (Proton menawarkan sistem dari Kenwood untuk pasaran Malaysia) telah digantikan dengan komponen-komponen dari Bose pada Boyue Pro ini. Susunan semula suis-suis pada konsol gear tadi membolehkan satu ruang storan diletakkan di sebelah tuil gear – dalam gambar yang kami ambil ini kelihatan satu mikrofon diletakkan disitu, dan ia adalah sebahagian dari sistem karaoke SUV ini.
Boyue Pro yang ditampilkan ini dijana oleh enjin empat silinder 1.8 liter turbo yang sama, tetapi ia akan menerima talaan semula bagi memenuhi standard undang-undang emisi terkini. Ia kemudian turut akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang dibina bersama Volvo, sama seperti pada Xingyue dan SUV segmen-B Geely Binyue. Di China, model ditawarkan dengan pilihan dua kotak gear sama ada klac berkembar automatik tujuh-kelajuan atau enam-kelajuan manual.
Menurut Geely lagi, dengan pengenalan Boyue Pro ini bukan bermaksud Boyue sedia ada dihentikan pengeluarannya, tetapi kedua-dua model ini akan dijual sekali di bilik pameran dengan Pro adalah untuk pilihan mereka yang mahukan gaya lebih sporty. Ini adalah perkara biasa di China – contohnya Honda Accord mempunyai satu lagi kembar lebih sporty dikenali dengan nama Honda Spirior, manakala Honda City mempunyai kembar yang dikenali sebagai Honda Crider yang di buat hanya untuk pasaran republik tersebut.
Kita di Malaysia sedang ternanti-nanti kemunculan Proton X70 versi CKD. Dikhabarkan model yang akan di pasang di Tanjung Malim berkenaan mempunyai rekaan berbeza dari model sedia – adakah ia akan menerapkan rekaan Boyue Pro ini? Atau ia akan menerima sentuhan-sentuhan tersendiri dari Proton? Sama-sama kita tunggu kemunculannya nanti.
Pengeluar kereta sport Britain, Lotus, telah mengesahkan model semua elektrik yang sebelum ini dikenali sebagai Type 130, bakal dinamakan Evija. Disebut ‘ev-eye-ya’, nama ini bermaksud ‘yang pertama wujud’ atau ‘yang hidup’, ujar Lotus.
“Evija adalah nama yang dianggap sempurna untuk kereta baharu ini kerana ia merupakan hypercar pertama dari Lotus, yang juga jentera elektrik pertama kami serta model baharu pertama di bawah seliaan Geely,” ujar CEO Lotus Phil Popham. Difahamkan Evija juga akan ditawarkan dengan unit terhad iaitu sebanyak 130 buah sahaja. Produksinya bakal dimulakan pada 2020, dan dibuat di kilang pemasangan di Methel, Norfolk.
Buat masa ini tiada perincian lengkap mengenai Evija didedahkan. Permintaan terhadap kereta semua-elektrik Lotus memang sedia utuh, dengan perhatian yang memberangsangkan sejak ia dipertontonkan di Shanghai International Auto Show pada awal April lalu.
Lotus Evija akan didedahkan sepenuhnya pada bulan ini di London, ujar Lotus. Sementara itu, pengunjung yang pergi ke Goodwood Festival of Speed tahun ini juga berpeluang melihat sendiri model baharu tersebut. Lotus bakal mengambil bahagian dalam acara tersebut tahun ini, malah akan mempertontonkan kehebatan Evora GT4 Concept, yang akan merentasi bukit Goodwood, dan bakal menyertai barisan model lain termasuk Elise, Exige, dan Evora.
Lexus telah memperkenalkan model edisi terhad LS 500 Inspiration Series untuk pasaran USA dengan produksi dihadkan sebanyak 300 unit sahaja. Seperti model Inspiration Series sebelum ini, LS 500 menerima suntikan kosmetik yang unik, bermula dengan warna badan Deep Garnet.
Syarikat ini turut berkata, warna metalik tersebut akan lebih bersinar di bawah cahaya matahari, malah boleh menyerlahkan ton yang berkilau di bawah tempah teduh. Selain itu, keunikan model edisi terhad ini turut disumbangkan oleh kemasan roda 20-inci dengan warna Black Vapour Chrome, yang didakwa berkeupayaan menyerlahkan lagi tahan elegan sedan ini.
Untuk kabinnya pula, ia menerima kemasan kulit berwarna putih yang digunakan untuk tempat duduk upholstery, konsol tengah dan panel pintu. Kulit separa-aniline digunakan untuk memberikan warna putih tersebut lebih menyerlah dengan kontras hitam pada papan pemuka, roda stereng dan karpet.
Untuk ciri lain yang unik termasuklah kemasan kaca Kiriko yang digunakan pada panel pintu – yang sebelum ini hanya didapati pada Executive Package – disambung pada kemasan pintu berwarna putih dan gril speaker Lark Levinson gelap. Ciri tambahan pula dengan hadirnya pencahayaan pemuka LED biru dan juga “Lexus” puddle lamps.
Bagi mekanikal pula, tiada perubahan. Sedan ini dijanakan oleh enjin petrol 3.5 liter pengecas turbo-berkembar yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 415 hp pada 6,000 rpm dan tork 600 Nm dari 1,600 hingga 4,800 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik Direct Shift 10-kelajuan.
Dalam bentuk RWD, sedan ini mampu dipecut dari 0-96 km/j dalam 4.6 saat, malah pelanggan boleh memilih sistem AWD dengan Torsen limited-slip diff. Walau bagaimana pun, harga bagi Lexus LS 500 Inspiration Series ini akan diumumkan kelak.
Kereta-kereta hot-hatch sememangnya direka dengan imej ‘budak nakal’, dan model-model sedemikian bukan sahaja hadir dengan enjin kecil tetapi berkuasa, malah selalunya diberikan kelengkapan-kelengkapan fancy dari jenama-jenama yang sering dikaitkan dengan dunia perlumbaan.
Honda Civic Type R FK8 misalnya menerima set brek Brembo yang jelas kelihatan disebalik rim 20-inci, pemandu dan penumpang hadapan Ford Focus ST pula ‘dipeluk’ erat oleh tempat duduk Recaro, manakala Renault Megane RS diberikan kedua-dua ciri tersebut. Tetapi saingan segmen ini dari Korea, Hyundai i30 N tidak menerima sebarang kelengkapan sedemikian. Mengapa?
Menurut ketua pembangunan kumpulan Hyundai dan juga individu yang bertanggungjawab mengetuai projek pembangunan i30 N, Albert Biermann dalam laporan Road&Track, kereta ini direka sebagai sebuah hatchback ‘serigala berbulu biri-biri’ yang disasarkan untuk golongan muda, dan biasanya ia adalah kereta harian, bukan sebagai kereta ketiga atau keempat yang hanya digunakan di hujung minggu.
Jadi adalah menjadi tugas divisi N Hyundai untuk bersifat rasional untuk menghasilkan sebuah kereta yang tidak terlalu mahal dengan tidak hadir bersama kelengkapan-kelengkapan fancy seperti brek Brembo dan tempat duduk Recaro. Dengan itu, golongan muda boleh membeli sebuah kereta laju dan seronok yang lebih murah berbanding jenama-jenama lain.
Ketika i30 N sedang dibangunkan, Biermann pernah memberitahu kereta tersebut hanya menggunakan sistem brek sedia ada dari Hyundai dan menalanya untuk mendapatkan prestasi yang sporty. “Ia bukan sistem brek yang sofistikted seperti yang anda bayangkan dari sebuah hatchback berprestasi tinggi, sebaliknya, kami menggunakan sistem sedia ada dan mengubahsuainya untuk mendapatkan feel brek, manakala brek pad berlainan pula digunakan untuk memadankan karekter kereta ini,” jelas Biermann.
Hyundai i30 N dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus dan juga pengecas turbo, menghasilkan 275 PS/353 Nm dengan Performance Package. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan lengkap dengan LSD elektronik dan hanya memacu roda hadapan. Padanan ini membolehkan hot-hatch tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.
Ada banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang Toyota Camry. Sejak lama dulu, ia menjadi pilihan ramai orang yang inginkan sebuah kereta segmen D yang agak luas ruang dalamannya, dan dalam masa sama turut mahukan keselesaan tanpa perlu menjadi runsing atau sakit kepala sepanjang tempoh pemilikannya. Dan, memang itulah yang diberikan oleh Camry sejak beberapa generasi sebelum ini.
Cuma, dalam usaha Toyota untuk memenuhi keperluan itu, ia secara tidak langsung telah menjadikan Camry sebuah kereta yang perlahan-lahan sinonim digelar “kereta uncle”; memang betul ia tahan dan tak banyak songeh, tetapi ia tidak menawarkan keghairahan lain, apatah lagi dari susut pemanduan. Reka bentuk pula selalunya sangat “selamat”, bagi sesetengah orang mungkin itu sangat membosankan – tambahan bila dibandingkan dengan pesaing rapat dalam kelas yang sama.
Bagi saya sendiri, Camry pertama yang betul-betul boleh dirasakan menarik adalah pada versi Camry Hybrid 2.5L yang pernah diperkenalkan sebelum ini untuk pasaran tempatan. Sebelum itu, model ini sentiasa berada sedikit di belakang pencabar-pencabarnya – ambil contoh model-model seperti Honda Accord dan juga Mazda 6, atau mungkin juga Kia Optima dan Volkswagen Passat.
Tetapi, semua itu telah berubah selepas pengenalan Toyota Camry 2019 generasi kelapan yang terbaru yang ada ketika ini – ia telah meninggalkan imej lama itu jauh di belakang. Dilancarkan ketika pameran KLIMS 2018, untuk pasaran Malaysia bagaimanapun hanya ada satu varian sahaja yang ditawarkan waktu ini; iaitu Camry 2.5V.
Selalunya dalam barisan model satu-satu pengeluar, akan ada model-model asas dengan harga mampu milik dijual sebagai model ‘bread and butter‘ – bermaksud walaupun ia antara yang paling murah, tapi model tersebut adalah yang paling laris dan memberikan sumber pulangan utama kepada syarikat.
Tetapi lain pula nampaknya yang berlaku pada Proton di mana SUV segmen-C mereka, X70 nampaknya menjadi model paling laris untuk enam bulan pertama tahun ini, dan bukannya model-model lebih mampu milik seperti Saga mahupun Iriz. Ketika berlangsungnya sambutan Hari Raya Proton semalam, syarikat itu turut mendedahkan bahawa mereka telah menjual sebanyak 43,679 unit kereta untuk separuh pertama 2019, meningkat 61% berbanding tempoh sama tahun lalu!
Untuk bulan Jun sahaja, sejumlah 7,615 unit kereta telah diserahkan kepada pembeli, membolehkan Proton memegang bahagian pasaran sebanyak 18.1% (berdasarkan data dalaman mereka) – rekod tertinggi sejak Julai 2015, dan berjaya mengekalkannya di tangga kedua, mengatasi Honda.
Dalam pembentangan ini lagi turut mendedahkan X70 sebagai model penyumbang terbesar untuk jualan pada bulan Januari hingga Mac iaitu 40%, 53% dan 49%. Empat model digabungkan sekali dalam carta berkenaan iaitu Persona, Iriz, Exora dan Saga (ditulis sebagai PIES), dan jualan untuk gabungan PIES tersebut mula meningkat dari April hingga Jun iaitu 60%, 76% dan 78%.
Ini adalah kerana Proton mula memperkenalkan model-model facelift untuk Persona, Iriz dan Exora RC pada tempoh berkenaan. Menurut Proton, sebanyak 11,500 tempahan diterima untuk Persona 2019, meningkat 108% berbanding model pre-facelift yang diperkenalkan pada 2018. Manakala untuk Exora RC, sehingga kini sebanyak 1,500 tempahan telah diterima atau 135% lebih banyak dari versi 2018.
Versi CKD tersebut tentunya akan menawarkan X70 dengan harga yang lebih kompetitif, dan tidak mustahil ia akan mengekalkan atau meningkatkan lagi momentum jualan sedia ada. Proton juga kini dilihat sedang giat menguji Saga facelift – satu lagi model yang dilihat akan melonjakkan jualan jenama automotif nasional itu.
Mazda 3 telah disahkan akan di lancarkan di Malaysia pada pertengahan bulan ini, dan harga anggarannya juga telah diberikan oleh pengedar rasmi jenama itu di sini iaitu Bermaz. Nampaknya jurujual-jurujual Mazda tidak sabar untuk menjual model ini, dan laman Facebook Mazda Balakong/Cheras Selatan telah maju selangkah lebih awal dengan mendedahkan “harga rasmi sebenar” model generasi baharu tersebut.
Untuk versi 2019 ini, kesemua model adalah unit CBU yang diimport sepenuhnya dari Jepun, ditawarkan dengan dua jenis enjin iaitu 1.5 liter NA dan 2.0 liter NA, dan juga dua jenis bentuk badan iaitu hatchback dan sedan. Ia hadir dalam tiga varian iaitu versi asas, versi pertengahan High, dan versi tertinggi High Plus. Namun untuk model High, ia hanya dijual dalam versi sedan.
Untuk setiap varian, harga untuk bentuk badan hatchback dan sedan adalah sama. Bermula dengan versi asas 1.5 liter SkyActiv-G dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,770. Model pertengahan High pula (sekali lagi diingatkan varian ini hanya hadir dalam bentuk sedan) dijual pada harga RM150,059. Model tertinggi hatchback dan sedan High Plus pula dijual pada pasaran Malaysia dengan harga RM160,059.
Bagi model 1.5 liter, ia dijana oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 114 hp dan tork maksima 150 Nm. Manakala model-model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G, menjana 162 hp dan tork maksima 210 Nm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive, memacu hanya roda hadapan.
Dua tahun selepas mendedahkan A8 D5, Audi kini memperkenalkan pula versi yang lebih sporty iaitu S8. Dalam gambar ini ia menggunakan warna Navarra Blue. Peningkatan utama yang menjadi perhatian pada model ini adalah prestasi dan teknologi.
Di bawah bonetnya terdapat enjin V8 TFSI 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan 571 PS dan 800 Nm tork, tetapi masa pecutan 0-100 km/j model ini masih belum didedahkan. Laju maksimum pula dihadkan pada 250 km/j. Lapan silinder pada enjin ini menggunakan teknologi khas untuk mengurangkan geseran sementara pada sistem ekzos pula terdapat injap yang boleh dibuka secara sendiri untuk memberikan bunyi lebih garang.
Memandangkan semua model Audi A8 dipasang dengan teknologi hibrid ringkas (MHEV), begitu juga dengan S8 ini. Padanya terdapat belt alternator starter (BAS) 48 volt yang menerima kuasa daripada bateri lithium ion, dan membolehkan S8 meluncur atas lebuh raya dengan enjin tertutup. Menurut Audi lagi, sistem hibrid ringkas ini juga dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.8 liter bagi setiap 100 km.
Suspensi aktif boleh ramal diberikan standard pada S8 ini, dan ia dikatakan dapat “mengurangkan secara banyak” kecondongan kenderaan apabila membrek atau memecut secara kuat. Kamera yang menghadap ke depan membaca permukaan jalan, seterusnya mengarahkan perubahan suspensi. Suspensi aktif ini juga boleh naik dan turun sehingga 50 mm apabila pemegang pintu dibuka, menjadikan keadaan lebih mudah untuk pengguna masuk dan keluar.
Untuk keselesaan dalam kenderaan, mod Comfort+ baru dapat membantu badan kenderaan miring ke dalam selekoh sehingga tiga darjah untuk mengurangkan kesan daya lateral kepada penumpang. Dalam mod dinamik, sudut roll maksimum ketika selekoh laju adalah maksimum 2.5 darjah, berbanding lima darjah dengan suspensi biasa.
Turut diberi adalah dynamic all-wheel steering, yang membenarkan pelarasan sudut stereng untuk kedua-dua gandar pacuan. Untuk membantu memperlahankan roda bahagian dalam untuk mengurangkan oversteer, differential sport dapat membantu, manakala dalam situasi understeer, kuasa yang lebih akan disampaikan kepada roda sebelah luar.
Pelanggan yang mahukan lebih kuasa henti boleh mendapatkan cakera gentian karbon seramik, yang bersaiz 420 mm di hadapan dan 370 mm di belakang. Cakera ini juga mempunyai salur penyejukan, dan apabila digabungkan dengan angkup 10 piston mencatat berat kurang 9.6 kg berbanding cakera biasa.
Pada bahagian rekaan, S8 mendapat sentuhan biasa seperti muncung ekzos berkembar, kemasan aluminium satin pada bawah bampar, bukaan udara tepi dan pelindung cermin sisi, serta pilihan rim sehingga 21 inci. Warna pula ada sembilan pilihan dan boleh dipadankan dengan pakej kemasan hitam. Lampu utama LED HD Matrix dengan Audi Laser Light dan lampu belakang OLED juga ada ditawarkan.
Untuk bahagian dalam, S8 menggunakan tempat duduk Comfort secara standard dan disediakan dengan pilihan balutan kulit Valcona dan Unikat, berserta fungsi mengurut, lubang udara dan bahagian tepi yang boleh dilaras. Sistem bunyi kenderaan ini mempunyai fungsi penghalang bunyi aktif untuk menjadikan keadaan lebih selesa.
Bagi ciri keselamatan, secara keseluruhannya terdapat 38 sistem bantuan pemandu yang dibahagikan kepada pakej City dan Tour. Dalam pakej ini terdapat Adaptive Cruise Assist, Traffic Jam Assist, Lane Tracking, dan Predictive Efficiency Assist.
Kemudiannya dalam pakej City, ia ditambah lagi dengan Audi Pre Sense 360°, yang berkerjasama dengan suspensi aktif boleh ramal untuk meninggikan badan sehingga 80 mm. Ini sekaligus menjadikan bahagian kenderaan dapat menyerap lebih impak dan mengurangkan kesan perlanggaran.
Sistem bantuan pemandu ini diproses oleh komputer berprestasi tinggi yang dipanggil sebagai Central Driver Assistance Controller (zFAS). Ia memerhatikan keadaan sekeliling kenderaan berdasarkan data yang diberikan oleh lima pengesan radar, enam kamera, 12 pengesan ultrasound dan pengimbas laser. Kenderaan ini juga mempunyai kemampuan autonomous Level 3, sama seperti A8 biasa.
Tahun lalu, Volvo telah mencapai rekod jualan tahunan tertinggi pernah dicatatkan, dengan berjaya menjual lebih dari 600k unit kereta di seluruh dunia. Momentum tersebut nampaknya makin bertambah tahun ini – baharu sahaja setengah tahun, jenama Sweden tersebut telah menjual sebanyak 340,826 kereta atau 7.3% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jumlah 317,639 unit.
Eropah masih lagi menjadi pasaran terbesar Volvo dengan rekod jualan 174,398 unit untuk enam bulan pertama tahun ini, meningkat 6% berbanding separuh tahun lalu dengan jumlah jualan 164,480 unit. China walaupun menduduki tangga kedua, pasaran tersebut menunjukkan pertumbuhan paling pesat – mencatatkan jualan 67,741 unit berbanding 61,480 unit dalam tempoh sama 2018, atau peningkatan sebanyak 10.2%.
Pasaran Amerika Syarikat pula merekodkan jualan sebanyak 50,120 unit, juga dilihat meningkat dengan jumlah 5.2% untuk separuh pertama tahun ini. Tempoh sama tahun lalu, pasaran tersebut mencatatkan jualan sebanyak 47,622 unit.
Jika dipecahkan mengikut model, ‘Abang Ngah’ dalam barisan SUV Volvo – XC60 – merupakan model paling laris dengan jualan 97,203 unit berbanding tempoh sama tahun lalu hanya 19,534 unit. SUV paling kompak XC40 berada di tempat kedua, dengan jualan yang juga memberangsangkan dengan jumlah 61,864 unit berbanding 23,741 unit pada 2018.
Manakala SUV paling besar Volvo XC90 di tempat ketiga dengan jualan 47,818, sedikit meningkat berbanding tahun lalu dengan jumlah 47,658 unit. Model siri 60 lain – wagon V60, wagon crossover V60 Cross Country dan sedan S60 yang baru diperkenalkan – turut menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan Volvo untuk separuh pertama tahun ini.