Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volkswagen Beetle – pengeluaran unit terakhir selesai

    Volkswagen Beetle – pengeluaran unit terakhir selesai

    Volkswagen Beetle lepas ini akan jadi lembaran sejarah yang tersendiri dalam peta automotif dunia. Unit pengeluaran terakhir bagi Beetle generasi ketiga di kilang pemasangan di Puebla, Mexico telah pun disempurnakan. Sebuah coupe dalam warna Stonewashed Blue, unit terakhir ini akan dipamerkan di muzium tempatan Volkswagen di bandar berkenaan.

    Model generasi kedua dan ketiga Beetle dikeluarkan dari kilang Mexico berkenaan. Bagi versi generasi kedua, ia mula dipasang dan dikeluarkan pada tahun 1998 dan mencatatkan angka jualan 1.2 juta unit sehingga diakhir tempoh pengeluarannya pada 2010. Generasi ketiga pula mula diperkenalkan pada 2011, dengan lebih 500,000 unit dikeluarkan sejak itu.

    Beetle “original”, atau turut dikenali dengan Type 1 di AS, terjual sebanyak 21.5 juta unit sepanjang hayatnya, dengan pengeluaran terakhir turut dijalankan di Puebla pada 2003. Keseluruhannya, dua generasi terakhir Beetle yang dikeluarkan itu terdiri daripada 23 warna luaran, 32 kemasan dalaman, 13 padanan sistem jana kuasa yang berbeza serta 19 edisi istimewa – ini termasuk Dune, Denim, Coast dan #PinkBeetle – dan terjual di 91 pasaran seluruh dunia.

    Volkswagen Beetle – pengeluaran unit terakhir selesai

    “Susah untuk membayangkan Volkswagen tanpa Beetle. Sejak mula, ia menjadi petanda terhadap kemampuan syarikat untuk bersaing di dalam industri automotif dunia. Peranannya dalam mengembangkan jenama Volkswagen juga tidak dapat dinafikan dan akan diingati selalu,” jelas CEO Volkswagen Group Amerika, Scott Keogh.

    Penamatan pengeluaran Beetle ini akan memberi ruang kepada pengeluaran SUV kompak terbaru syarikat itu untuk dikeluarkan dari kilang Puebla berkenaan. SUV kecil di bawah Tiguan itu akan turut disertai oleh Atlas, sebuah SUV untuk pasaran Amerika Utara. Untuk pasaran Malaysia, semalam telah diperkenalkan edisi khas untuk memperingati Beetle.

     
     
  • Porsche 911 generasi ke-8 tiba di Malaysia – Carrera S dan Carrera 4S, 450 PS/530 Nm, bermula RM1.2 juta

    Porsche 911 generasi ke-8 tiba di Malaysia – Carrera S dan Carrera 4S, 450 PS/530 Nm, bermula RM1.2 juta

    Baru lapan bulan didedahkan pada peringkat global, model kereta sport paling ikonik dari Porsche – 911 – dari generasi terbaharu kini telah rasmi dilancarkan pada pasaran Malaysia. Versi dengan kod generasi 992 ini ditawarkan pada pasaran tempatan dalam dua varian iaitu Carrera S dan Carrera 4S dijual pada harga masing-masing RM1,150,000 dan RM1,220,000.

    Walaupun sudah masuk generasi kelapan, 911 masih kekal dengan bentuk ‘kodok’ yang ikonik, namun tampil dengan rekaan lebih segar dengan pelbagai ciri baharu. Untuk model 992 ini, Porsche menerapkan rekaan diinspirasikan dari 911 generasi pertama. Bampar hadapan direka dengan garis yang tidak bersentuh dengan lampu hadapan LED berbentuk bulat, manakala bonet hadapan pula menerima dua garis tulang menegak.

    Secara keseluruhan, model generasi baharu ini direka lebih lebar dari sebelumnya dengan bahagian hadapan sahaja adalah 45 mm lebih lebar dari sebelum ini. Bahagian belakang pula akan direka dengan kelebaran standard untuk semua model termasuk versi dengan sistem pacuan semua roda. Ia dilengkapkan dengan rim 20-inci pada bahagian hadapan dan 21-inci dibelakang, manakala permukaan sisi kini lebih halus bersama pemegang pintu yang direka dengan ciri boleh disorokkan.

    Porsche 911 generasi ke-8 tiba di Malaysia – Carrera S dan Carrera 4S, 450 PS/530 Nm, bermula RM1.2 juta

    Lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang juga kini adalah standard untuk semua model, bukan hanya terhad kepada versi AWD. Selain itu 911 turut diberikan spoiler belakang aktif, lampu brek melintang pada bahagian tengah, kemasan berwarna kelabu pada bampar belakang yang turut menempatkan sepasang tip ekzos oval yang besar. Kini bukan hanya bahagian hadapan dan belakang sahaja, malah keseluruhan badan 911 adalah dibina dari aluminium.

    911 992 menampilkan kabin yang direka seiras dengan model-model terkini Porsche seperti Panamera, Cayenne dan Macan. Ia diberikan papan pemuka dengan elemen melintang, manakala konsol tengah direka tinggi. Pemandu akan menerima maklumat dari paparan instrumen digital baharu digandingkan bersama meter rpm analog. Berbeza dengan model sebelumnya, tuil penukar gear transmisi PDK pada kereta ini direka dengan sangat kecil.

    Skrin sesentuh sistem infotaimen Porsche Communication Management (PCM) bersaiz 10.9-inci ditempatkan di bahagian tengah. Ia dilengkapi dengan sistem navigasi atas talian bersama data dari orang ramai yang Porsche gelarkan sebagai data kumpulan, serta sistem hubungan telefon pintar Porsche Connect Plus. Bagi memudahkan akses terhadap fungsi penting pada kereta, lima butang pintas disediakan pada skrin tersebut.

    Porsche 911 992 dijana oleh enjin boxer 3.0 liter enam-silinder turbo yang diolah semula, menghasilkan kuasa 450 PS dan tork maksima 530 Nm, atau 30 PS/30 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya. Kuasa berkenaan diekstrak dengan sistem suntikan petrol yang dikemaskini (menggunakan penyuntik jenis piezo buat pertama kali), pengecas turbo baharu serta laluan intercooler yang disusun semula.

    Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik PDK lapan-kelajuan yang telah dibangunkan semula, menampilkan gear overdrive yang dipanjangkan bagi memberikan sistem transmisi yang berfungsi lebih harmoni, menurut Porsche.

    Unitjanakuasa berkenaan membolehkan Carrera S memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, manakala Carrera 4S lebih pantas dengan 3.6 saat. Pakej Sport Chrono pula akan membolehkan kedua-duanya memecut 0.2 saat lebih pantas, manakala versi S mampu mencatatkan kelajuan maksima 308 km/j, sementara 4S pula 306 km/j. Bagi penggunaan bahan api pula, S mencatatkan penggunaan petrol 8.9 l/100 km, dan 4S pula adalah 9.0 l/100 km.

    Model generasi baharu ini menerima pelbagai fungsi keselamatan yang lebih maju. Dalam mod pemanduan, ia disertakan dengan mod Wet (basah), yang menggunakan penderia bagi melaraskan semula sistem kestabilan elektronik bergantung pada situasi. Sistem bantuan brek dengan sistem brek kecemasan automatik, bantuan pandangan malam Night Vision Assist dan juga cruise control adaptif bersama fungsi stop-and-go turut diberikan secara standard.

    GALERI: Porsche 911 dari generasi pertama hingga kelapan

     
     
  • Honda Malaysia lakar kejayaan dengan pengeluaran ke-10,000 untuk kereta hibrid pemasangan tempatan

    Honda Malaysia lakar kejayaan dengan pengeluaran ke-10,000 untuk kereta hibrid pemasangan tempatan

    Honda Malaysia (HM) telah melakar satu lagi kejayaan, dengan mencatatkan pengeluaran ke-10,000 unit bagi model hibrid pemasangan tempatan (CKD), iaitu Honda City Hybrid. Model ke-10,000 itu juga telah pun diserahkan kepada pemiliknya yang bertuah, Saddam Hassan Abdul Salim, dengan majlis penyampaiannya disempurnakan di Macinda Auto, Kuantan, kelmarin.

    Pada tahun 2004, buat pertama kalinya HM membawa masuk model hibrid ke pasaran Malaysia, dengan Civic Hybrid, diikuti Insight dan seterusnya CR-Z, yang kesemuanya diimport terus dari Jepun (unit CBU). Tahun 2012 pula, HM melangkah lebih agresif dengan mula memasang model hibrid secara CKD yang dimulakan dengan model Jazz Hybrid, di kilang pemasangannya di Pegoh, Melaka. Malah kilang terbabit juga pertama kali memproduksikan kereta hibrid di Malaysia, dan merupakan negara ketiga selepas Jepun dan Amerika Syarikat yang mengeluarkan kereta hibrid Honda.

    Daripada 10,000 unit hibrid CKD yang dijual di sini, Jazz Hybrid merupakan penyumbang yang terbesar dengan lebih 6,000 unit, diikuti City Hybrid yang terjual lebih 3,400 unit. Model terkini dalam barisan kereta hibrid keluaran Honda, HR-V Hybrid, telah pun terjual sebanyak 670 unit sehingga Jun lalu.

    Klik untuk besarkan

    “Saya gembira dapat menyaksikan penerimaan positif rakyat Malaysia terhadap kenderaan hibrid Honda. Barisan model hibrid kami memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan yang berbeza. Kami amat berbesar hati dengan kejayaan ini, yang merupakan pencapaian ketara kerana kami bukan sahaja menawarkan teknologi Jepun yang maju tetapi juga sesuatu yang menyeronokkan untuk mengekalkan kemampuan,” ujar presiden dan COO HM Sarly Adle Sarkum.

    Malaysia merupakan satu-satunya negara selain Jepun yang menawarkan sistem Sport Hybrid i-DCD, yang menjana model hibrid bagi Jazz, City dan HR-V. Ia digabungkan dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC Atkinson-cycle dengan motor elektrik 30 PS/160 Nm, pek bateri lithium-ion dan juga transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Bagi HR-V Hybrid, ia mampu mencapai kuasa sehingga 152 PS dan 190 Nm.

    Sebagai pemilik kenderaan hibrid Honda yang ke-10,000, Saddam turut menerima Pakej Perlindungan, yang merangkumi Ultra Body Coating, Ultra Window Coating dan skru pengunci roda, selain turut diberikan pakej Modulo secara percuma oleh HM.

     
     
  • Proton Savvy dengan sentuhan rekaan Geely – ok tak?

    Proton Savvy dengan sentuhan rekaan Geely – ok tak?

    Dengan segala perkembangan positif yang berlaku terhadap Proton melibatkan kerjasama dengan Geely ketika ini, jangan lupa terhadap usaha-usaha lama syarikat terbabit yang pernah bertungkus-lumus membangunkan model sendiri untuk dipertaruhkan dalam pasaran. Satu daripada kisah menarik episod berkenaan tentulah yang melibatkan Proton Savvy, sebuah percubaan berani untuk memasuki pasaran kereta hatchback kecil yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat Perodua dalam pasaran tempatan.

    Sekadar untuk memperingati model kompak berkenaan, Theophilus Chin menumpahkan imajinasinya, membayangkan sebuah Savvy generasi terbaru yang mengunakan sedikit sebanyak sentuhan rekaan dari beberapa model Geely sedia ada – tetapi masih mengekalkan reka bentuk utama Savvy seperti yang kita kenal sebelum ini.

    Antara perkara yang diberi perubahan pada rekaan digital ini ialah garis bahu yang lebih ketara, bahagian tingkap dengan kemasan yang diubah sedikit, serta beberapa sentuhan yang lebih moden kepada Savvy. Antaranya, ia menggunakan rekaan gril baru Proton “Infinite Weave” dan “Ethereal Bow”. Lampu utama pula menggunakan jenis projector dengan rekaan dalamannya dipinjam dari X70. Bukaan udara di bahagian bawah pula menampilkan kemasan warna perak serta DRL LED.

    Proton Savvy dengan sentuhan rekaan Geely – ok tak?

    Bahagian belakang pula menggunakan rekaan lampu trapezoid dari Geely Binyue, disertai juga dengan ejaan nama Proton di atas jalur krom melintang di antaranya. Ruang untuk nombor plat pula dinaikkan dari bahagian bampar ke bahagian pintu ruang barangan. Ekzos yang dulu di tengah, kini dialih menggunakan dua corong di tepi. Rim lapan-jejari dengan rekaan turbin melengkapkan gaya kereta kompak ini.

    Kereta dengan saiz ini boleh memanfaatkan enjin baru Geely, 1.0 liter turbocas tiga-silinder petrol yang digunakan pada Binyue. Walaupun unit berkenaan hanya diganding bersama kotak gear manual enam-kelajuan, ia mungkin akan menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh segelintirn penggemarnya, sekiranya perkara ini menjadi kenyataan. Tetapi untuk kegunaan yang lebih meluas, tentulah transmisi automatik lebih sesuai. Ramai yang inginkan Savvy kembali dalam pasaran? Atau lebih selesa dengan Iriz yang juga lebih praktikal dan murah? Kongsikan pandangan anda.

     
     
  • Projek ECRL: Tiada pengecualian skop – Loke

    Projek ECRL: Tiada pengecualian skop – Loke

    Tiada pengecilan skop dilakukan pada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) meskipun kos pembinaan dikurangkan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Laporan Bernama turut menyebut, hanya jajaran Kota Bharu-Wakaf Bharu-Pengkalan Kubor tidak lagi dilaksanakan kerana ia tidak menambah nilai yang besar terhadap jaringan pengangkutan rel keretapi pada masa ini. Manakala stesen-stesen yang dibatalkan pula adalah Bentong, Gombak Utara, Terminal Bersepadu Gombak, Telaga Papan, Jelawat, Pengkalan Kubor dan Wakaf Bahru.

    “Stesen-stesen baharu yang telah dikenal pasti di sepanjang jajaran ialah Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral, Pelabuhan Klang dan stesen-stesen baharu turut dicadangkan di Selangor dan Negeri Sembilan. Oleh yang demikian, tiada pengecilan skop dilaksanakan bagi projek ini,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sama ada pengurangan kos bermakna pengecilan skop projek.

    Tambahnya lagi, pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion itu dicapai melalui siri semakan semula aspek kejuruteraan dan kajian kejuruteraan nilai yang menyeluruh merangkumi semua aspek pelaksanaan projek. Kajian teknikal itu dijalankan bersama antara pihak pemilik projek yang dilantik kerajaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

     
     
  • Volkswagen Beetle Collector’s Edition – RM164,390

    Volkswagen Beetle Collector’s Edition – RM164,390

    Volkswagen telah memutuskan tahun ini adalah tahun terakhir untuk pengeluaran model ikonik, Beetle. Meskipun banyak spekulasi akan ada penyambung generasinya nanti, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) pula mahu mengingati peristiwa ini dengan pengeluaran Beetle Collector’s Edition (Edisi Pengumpul).

    Dijual pada harga RM164,390, model keluaran istimewa ini hanya dikeluarkan sebanyak 75 unit dan ditawarkan dalam warna Blue Silk, Pure White, Hanabero Orange dan Tornado Red. Setiap pembelian akan menerima sijil pemilikan khas, jaminan lima tahun tanpa had batuan, bantuan tepi jalan lima tahun dan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.

    Keistimewaan kereta ini adalah ia didatangkan dengan aksesori yang bernilai RM12,000, yang termasuk spoiler belakang, pelekat hiasan, muncung ekzos krom, pedal sports aluminium, scuff plate, penapis haba cermin Volkswagen serta lencana tanda nombor pengeluaran.

    Tiada perubahan mekanikal yang dilakukan pada Beetle Collector’s Edition ini, dan ia masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol 1.2 liter TSI yang mampu menghasilkan 103 hp pada 5,000 rpm dan 175 Nm tork pada 1,550 rpm. Kuasa disampaikan kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

    “Semua benda yang baik akan berakhir, dan sama juga dengan model global yang laris ini. Beetle mempunyai sejarah yang panjang – di Malaysia, ia merujuk kembali pada waktu ia dipasang di Shah Alam pada tahun 1968. Malah, kebanyakan warga Malaysia membesar dengan cerita tersendiri bersama kereta ini,” kata pengarah urusan VPCM, Erik Winter.

    Pelancaran Beetle Collector’s Edition ini adalah sebahagian daripada kempen “Selamat Tinggal Beetle” yang akan diteruskan dengan perkumpulan pemilik Beetle di Putrajaya Sabtu ini (13 Julai). VPCM cuba untuk memecahkan rekod pertemuan Beetle yang paling besar di Malaysia melalui acara ini dan sesiapa yang memiliki model Beetle tidak mengira generasi boleh menyertainya.

     
     
  • Geely akui Proton R3 antara pasukan paling banyak warisan sejarah sukan bermotor dalam kumpulannya

    Geely akui Proton R3 antara pasukan paling banyak warisan sejarah sukan bermotor dalam kumpulannya

    Ketika Proton mula sahkan kerjasama mereka dengan Geely dua tahun lalu, terdengar khabar angin bahawa divisi perlumbaan mereka, Race Rally Research atau R3 terpaksa ‘tutup kedai’ dan ada staf yang terpaksa dipindahkan ke divisi lain. Tetapi pada hujung tahun sama, R3 tampil membuat kemunculan semula di perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) sebagai pasukan utama setelah hanya tampil sebagai pasukan sokongan untuk Program Perlumbaan Pelanggan tahun sebelumnya.

    Selepas itu, Proton R3 masih lagi kekal ‘King’ di S1K dengan James Verappan dan Admi Shahrul memenangi perlumbaan untuk tahun 2017 dengan memandu Proton Suprima S, manakala Syafiq Ali dan Farique Hairuman dinobatkan sebagai juara pada tahun 2018 dengan memandu Proton Iriz.

    Jadi, betul ke Proton R3 nak tutup kerana Geely tidak berminat dengan sukan bermotor? Pagi ini pasukan Proton R3 telah melakukan sesi shakedown di Litar Antarabangsa Sepang sebelum bermulanya perlumbaan Malaysia Championship Series pusingan ketiga hujung minggu ini, dan kami dijemput untuk menyaksikan persediaan pasukan tersebut.

    Kami juga sempat berbual dengan Prinsipal Pasukan Proton R3, Gary Lee, dan bertanyakan apa halatuju R3 setelah Proton berada di bawah payung Geely Group.

    Geely akui Proton R3 antara pasukan paling banyak warisan sejarah sukan bermotor dalam kumpulannya

    Prinsipal Pasukan Proton R3, Gary Lee

    Menurut Gary, Geely tidak pernah memandang rendah nilai dalam sukan permotoran, malah mereka menganggap dunia perlumbaan adalah salah satu cara untuk menaikkan imej sesebuah jenama automotif. Lihat sahaja apa yang dilakukan kepada divisi mewah mereka, Lynk & Co – pasukan Cyan Racing yang sebelum ini bertanding dalam WTCC kini kembali ke WTCR tetapi bukan lagi dengan Volvo S60, sebaliknya dengan sedan Lynk & Co 03 sebagai salah satu cara melonjakkan jenama mewah baharu tersebut dalam masa yang singkat.

    Bukan itu sahaja, tahun lalu Geely dilaporkan telah membeli Utah Motorsport Campus iaitu sebuah litar perlumbaan yang lengkap dengan pelbagai fasiliti terletak di Amerika Syarikat, yang bukan sahaja akan digunakan untuk menganjurkan perlumbaan, malah akan dijadikan sebagai litar ujian mereka.

    Gary juga telah membuka cerita bahawa Proton R3 kini mempunyai hubungan terus dengan Geely Motorsport sebagai salah satu ahli dalam kumpulan automotif berkenaan yang mengendalikan sukan permotoran. Malah Geely Motorsport sendiri telah turun bertemu dengan pasukan R3 dan menyatakan bahawa R3 adalah antara pasukan yang mempunyai pengalaman paling lama serta warisan sejarah sukan permotoran yang paling banyak dalam kumpulan itu.

    Volvo sebagai contoh, telah melantik Tom Wilkinshaw Racing (TWR) dari England untuk membina kereta lumba Volvo 850 Estate serta mengendalikan pasukan lumba mereka di Kejohanan Touring Car British (BTCC) pada tahun 1994.

    Lain dengan Proton R3, mereka adalah divisi terus di bawah Proton dengan fasiliti yang di bina di dalam kawasan kilang Proton Shah Alam sendiri, hampir dengan unit R&D utama Proton.

    Walaupun nama R3 itu hanya wujud pada tahun 2003, divisi perlumbaan Proton berkenaan sebenarnya telahpun wujud pada era 80’an, dikenali sebagai Petronas EON Racing Team atau PERT. Siapa tak kenal dengan ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh? Bukan setakat rantau Asia Pasifik, malah Karam dan Proton PERT telah pun dinobatkan sebagai Juara Dunia WRC untuk musim 2002 dalam kategori Produksi (juga dikenali sebagai Group N)!

    Dengan nama R3, fungsi divisi berkenaan tidak terhad kepada hanya untuk mengendalikan pasukan lumba dalam disiplin rali dan litar, malah ia juga berfungsi sebagai alat untuk unit R&D Proton bagi mendapatkan data dari dunia perlumbaan kemudian digunakan untuk pembangunan model-model jalan raya. Jadi anda jangan hairan mengapa kereta-kereta Proton mempunyai tahap pengendalian antara yang terbaik dalam kelasnya.

    Dengan adanya R3 juga membolehkan Proton membina model-model prestasi tinggi edisi terhad contohnya seperti Satria GTi R3 (dikenali dengan warna badan hitam bersama jalur sisi merah), Satria Neo Lotus Edition dan juga Satria Neo R3.

    Jadi ke mana Proton R3 selepas ini? Gary menyatakan bahawa walaupun R3 masih menerima dana dari Proton dan bukan terus dari Geely, divisi tersebut kini dipantau rapat oleh pengeluar kereta dari China itu. Buat masa sekarang tidak banyak yang dapat dilakukan oleh R3 contohnya untuk kembali semula ke kancah Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) kerana jenama Proton itu sendiri kini masih dalam tempoh pemulihan semula.

    Namun kami percaya, R3 bakal mempunyai ruang yang lebih besar sekiranya Proton kembali ke kedudukan sepatutnya kelak!

     
     
  • Shell perkenalkan model kereta Ferrari untuk dikumpul – dua model setiap dua minggu, RM15.90 setiap satu

    Shell perkenalkan model kereta Ferrari untuk dikumpul – dua model setiap dua minggu, RM15.90 setiap satu

    Shell Malaysia hari ini dengan rasminya memperkenalkan barisan model kereta Ferrari untuk peminat serta pengumpul, yang ditawarkan dari tempoh 1 Julai hingga 8 September 2019. Sepanjang tempoh itu, lapan model skala eksklusif Ferrari boleh didapati disemua stesen Shell seluruh negara.

    Pelanggan yang berminat untuk memiliki koleksi berkenaan hanya perlu mengepam minyak bernilai RM30 dalam satu resit untuk membolehkan mereka membeli model-model kereta berkenaan pada harga RM15.90 setiap satu. Dua model akan diperkenalkan bagi tempoh setiap dua minggu.

    Lapan model berbeza itu mewakili dekad-dekad yang berlainan dalam sejarah Ferrari. Dekad 50an diwakili oleh 250 Testa Rossa, diikuti oleh model 250 GTO ikonik dari awal 60an. Ini diteruskan lagi dengan model 365 GTB/4 atau lebih dikenali dengan nama Daytona yang dikeluarkan lewat 60an hingga awal 70an.

    Dekad 80an pula ditandai dengan kehadiran model 288 GTO sejak 1984, diikuit F50 yang mula diperkenalkan pada pertengahan 90an. Era milenium pula diingati melalui model 430 Scuderia yang muncul pada 2007 dan 488 Spider yang tiba pada 2015. Barisan ini disudahi dengan model kereta lumba F1 SF71H dari musim yang terakhir.

    Dua kereta pertama berkenaan telahpun mula dijual pada 1 Julai lalu. Set kedua pula akan mula menemui pembeli pada 14 Julai nanti. Selepas itu, 250 GTO dan 288 GTO akan mula beredar pada 28 Julai, dan set yang terakhir akan menemui peminatnya pada 11 Ogos.

    Melengkapkan lagi koleksi ini ialah sebuah model trak pengangkut edisi terhad yang direka untuk mempamerkan dua buah koleksi kereta Ferrari ini. Pelanggan yang membeli pelincir Shell Helix Ultra empat liter akan menerimanya secara percuma. Anda juga boleh membeli trak ini pada harga RM99.90. Kalau ada yang berminat untuk mengumpul, jangan tunggu lama-lama, takut melepas.

     
     
  • Hafizh ada peluang beraksi di pentas dunia – Razlan

    Hafizh ada peluang beraksi di pentas dunia – Razlan

    Semalam, pasukan Red Bull KTM Tech3 mengeluarkan pengumuman mengejutkan dengan mengambil Brad Binder sebagai pengganti kepada pelumba negara, Hafizh Syahrin dalam kelas MotoGP untuk tahun 2020. Ramai yang masih tertanya bagaimana nasib Hafizh selepas ini, dan setakat ini masih belum ada kenyataan rasmi dari pihak beliau.

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian, ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menasihatkan peminat sukan dua roda supaya kekal tenang kerana beliau yakin Hafizh masih akan kekal beraksi di pentas kejuaraan dunia.

    “Dalam musim panas ini, ia adalah satu tempoh yang menyaksikan adanya pelumba masuk dan keluar daripada pasukan untuk 2020 dan saya yakin Hafizh akan kekal dalam Kejuaraan Motosikal Dunia tetapi sama ada dia kekal dalam kelas perdana, itu mungkin tampak sukar kerana buat masa ini tiada tempat kosong.

    Hafizh ada peluang beraksi di pentas dunia – Razlan

    “Bagaimanapun, masih ada beberapa peluang dan tawaran untuk Hafizh ke Moto2. Saya pasti Hafizh akan membuat keputusan tepat berdasarkan keadaan ketika ini dan kami di SIC akan melakukan yang terbaik untuk membantunya,” kata Razlan kepada Berita Harian.

    Hafizh mula melangkah masuk ke kategori MotoGP pada tahun 2018 bersama pasukan Tech3, dan berlumba menggunakan jentera Yamaha YZR-M1. Walaupun begitu, pada musim 2019, Tech3 telah beralih kepada jentera KTM RC16 dan prestasi Hafizh dilihat semakin merudum. Dengan baki 10 pusingan lagi bagi musim ini, Hafizh cuma berjaya mengutip tiga mata dan berada di kedudukan ke-25 daripada 26 pelumba dalam kategori MotoGP.

     
     
  • Sistem JPJeBid diperluaskan di Kedah pula – siri KET sudah boleh dibida mulai hari ini hingga 15 Julai 2019

    Sistem JPJeBid diperluaskan di Kedah pula – siri KET sudah boleh dibida mulai hari ini hingga 15 Julai 2019

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan, pelaksanaan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian JPJeBid diperluaskan ke Kedah untuk bidaan bagi siri KET.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, bidaan bagi nombor pendaftaran KET dibuka bermula hari ini (11 Julai) selama lima hari.

    “Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang ditetapkan iaitu RM20,000 bagi nombor bernilai utama, RM3,000 bagi nombor utama, RM800 bagi nombor popular dan RM300 bagi nombor biasa. Tawaran bidaan terbuka kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas serta syarikat berdaftar,” ujarnya.

    Kaedah pembayaran bidaan menerusi sistem ini boleh dibuat menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja.

    Beliau berkata pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran fi perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida namun setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi syarikat pula tidak lebih lima nombor kenderaan sahaja.

    Projek rintis sistem JPJeBid dilaksana bagi nombor pendaftaran khas untuk Putrajaya iaitu FC pada April lepas. Sistem itu membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ dan bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73 – ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti’.

     
     
  • BMW X7 versi pikap – projek khas pelatih vokasional

    BMW X7 versi pikap – projek khas pelatih vokasional

    Tahun ini, pengunjung acara BMW Motorrad Days di Jerman dapat menyaksikan sesuatu yang istimewa oleh pengeluar itu. Ia bukanlah motosikal, tetapi sebuah trak pikap yang dibuat khas menggunakan asas badan daripada model X7 yang baru sahaja dilancarkan di negara kita pagi tadi.

    Trak yang ditunjukkan dengan membawa motosikal F 850 GS di belakangnya ini adalah hasil rekaan pelatih vokasional BMW Group, dengan kerjasama bahagian Pembinaan Kenderaan Konsep dan Teknologi Model di kilang BMW di Munich, Jerman. Ia bukanlah untuk dijual, tetapi sekadar projek khas.

    Dalam masa 10 bulan sahaja, 12 pelatih yang terlibat dalam projek ini berjaya mengubah suai sebuah model X7 yang sudah digunakan sebagai ujian kepada sebuah trak pikap konsep yang boleh beroperasi sepenuhnya dan boleh dibawa atas jalan biasa. Penjanaan konsep dan cara pelaksanaan juga difikirkan oleh mereka sendiri.

    Daripada sebuah SUV tujuh tempat duduk, kini trak pikap konsep tersebut cuma boleh dinaiki lima orang dan di belakangnya terdapat ruang barangan dengan panjang 140 sm apabila tertutup dan 200 sm apabila pintunya dibuka. Panjang keseluruhan kenderaan juga bertambah 10 sm, dan hasil daripada penggunaan bahan CFRP pada komponen bumbung dan pintu ruang barangan, beratnya dapat dikurangkan sebanyak 200 kg berbanding X7 biasa.

    Sebagai kemasan, mereka telah memilih untuk menggunakan kayu jati pada lantai dan tepi bahagian ruang barang, sementara badan kenderaan pula dicat dengan warna Tanzanite Blue metalik yang dipilih daripada katalog warna BMW Individual.

     
     
  • BMW X7 G07 kini dilancarkan di Malaysia – xDrive40i, 7-tempat duduk, harga anggaran dari RM888,800

    BMW X7 G07 kini dilancarkan di Malaysia – xDrive40i, 7-tempat duduk, harga anggaran dari RM888,800

    Seperti yang dikhabarkan beberapa hari lalu, SUV mewah bersaiz besar, BMW X7 G07 telah pun dibuka tempahannya untuk pasaran Malaysia. Hari ini pula, ia telah pun dilancarkan secara rasmi bersama model 7 Series baharu.

    Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan varian BMW X7 xDrive40i Pure Excellence. Dengan kapasiti tujuh-tempat duduk, model pertama X7 ini sebenarnya lebih besar berbanding X5 sedia ada walau pun menggunakan platform yang sama tetapi yang telah dimodifikasi bagi menampung saiz yang lebih besar. X7 disasarkan untuk bersaing dengan model yang setara dengannya termasuk Mercedes-Benz GLS, Lexus LX dan Range Rover.

    Dengan jarak kelegaan tanah dan bahagian belakang yang lebih tinggi, X7 xDrive40i yang berukur lima meter ini hadir dengan kelebaran yang bersaiz 2,000 mm, dan jarak roda berukuran 3,105 mm. Jarak kelegaan tanah mencecah 1,805 mm, iaitu 60 mm lebih tinggi berbanding BMW X5. Ia juga lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLS.

    Bahagian hadapan X7 ini ditampilkan dengan gril ‘kidney’ dengan ‘BMW Laserlight’ berbentuk langsing yang mampu mencahayakan laluan di hadapan sejauh 600 meter, dan pada masa yang sama menzahirkan kontras yang dapat dilihat dengan jelas. Ditawarkan sebagai standard, lampu kabus LED serta sistem bantuan lampu puncak juga melengkapi SUV ini. Bahagian bawah apron yang terletak di muncung kenderaan ini memiliki elemen trim yang mengunjur merentasi kelebaran jentera tersebut dan ia ditampilkan dengan bingkai komponen salur masuk udara.

    Mengikut pandangan sisi, garisan bahu yang hampir vertikal sepenuhnya membuahkan penampilan yang memanjang dari seksyen hadapan ke belakang. Seperti BMW 7 Series, ia didatangkan dengan liang udara, Air Breather yang lain daripada yang lain dalam elemen krom. Tingkap yang lebih besar serta garis bumbung yang lebih memanjang menerusi kaedah yang dinamik memperlihatkan keluasan kabinnya..

    Pintu belakang berukuran lebih panjang berbanding pintu hadapan, ia menekankan keluasan kompartmen belakang yang memudahkan penumpang untuk masuk dan keluar dari jentera ini. Ia juga menampilkan roda aloi ringan 21-inci dalam penggayaan Y-spoke dwiwarna 753 dengan tayar ‘run-flat’ juga ditawarkan sebagai standard. Di bahagian atas, jentera ini juga digayakan dengan rel bumbung yang sporty dalam varian Aluminium Satin.

    BMW X7 G07 kini dilancarkan di Malaysia – xDrive40i, 7-tempat duduk, harga anggaran dari RM888,800

    Melewati bahagian belakangnya pula, siluet menegak juga ditakrifkan secara visual oleh lampu belakang berbentuk-L yang langsing dan ia hadir dalam rekaan tiga dimensi yang menarik. Jaluran trim krom seperti yang dilihat pada BMW 7 Series juga menghubungkan kedua-dua kluster lampu. Pintu but belakang yang luas hadir dengan dua bahagian dan ia boleh dioperasikan secara elektrik. Selain itu, ia menampilkan dua paip ekzos segi empat yang besar di setiap sisi.

    Untuk ruang kabinnya pula, ia membawakan elemen trim cantik buatan tangan “Crafted Clarity” yang dipadankan ke atas tuil gear, pelaras bunyi pembesar suara, butang Mula/Henti dan iDrive Controller. Kokpit futuristik berterapkan orientasi pemandu BMW yang tipikal dan posisi tempat duduk yang lebih tinggi dengan tahap visibiliti sempurna juga merupakan karakteristik yang membentuk model BMW X.

    Ciri lain lain termasuk stereng sport berkulit dan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik dengan teknologi ventilasi. Permukaan trim kayu halus pula dibingkaikan dengan trim berelektrosadur pada panel instrumen serta konsol sentral untuk memperkayakan aura keelegenan bahagian dalaman.

    BMW X7 G07 kini dilancarkan di Malaysia – xDrive40i, 7-tempat duduk, harga anggaran dari RM888,800

    Upholsteri di ruang dalam ditawarkan dalam kemasan Black Leather Vernasca, Coffee Leather Vernasca (tidak ditawarkan untuk versi kenderaan enam tempat duduk) dan Cognac Leather Vernasca dipadankan dengan papan pemuka berwarna hitam, atau Canberra Beige Leather Vernasca dipadankan dengan papan pemuka “Mokka’.

    Seperti model BMW baharu yang lain, X7 ini turut menampilkan BMW Live Cockpit Professional dengan sistem operasi, BMW Operating System 7.0 menjamin fungsi kawalan jentera ini dapat digunakan dengan lancar. Ia menggabungkan kluster instrumen digital 12.3 inci yang boleh dikonfigurasikan dengan Paparan Kawalan sentral yang mempunyai fungsi skrin sentuh serta antara muka yang tercanggih.

    Bukan itu sahaja, ciri lain untuk jentera ini termasuk kluster instrumen pula memaparkan fungsi-fungsi yang lain seperti navigasi, maka Paparan Kawalan boleh memberikan tumpuan yang sepenuhnya ke atas aspek kefungsian kenderaan dan maklumat hiburan Selain itu, ciri lain termasuklah BMW Head-Up Display, BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Gesture Control., pendingin hawa lima-zon, Sistem Bunyi Keliling Harman Kardon dengan 16-pembesar suara, dan tirai gulung elektrik untuk tingkap sisi.

    Bukan itu sahaja, sistem Rear Entertainment Professional hadir dengan dua skrin yang terletak di ruang belakang kini boleh dioperasikan menggunakan sentuhan jari – ia membekalkan elemen hiburan yang sama kualitinya untuk penumpang di hadapan dan di belakang. Selain itu, ia turut menampilkan bumbung kaca panoramik “Sky Lounge”, pencahayaan ambien dengan fungsi Welcome Carpet.

    Tujuh tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik secara standard. Walau bagaimana pun, jika dipesan dalam versi enam tempat duduk, kenderaan ini didatangkan dengan dua tempat duduk berasingan yang selesa di barisan kedua, lantas memudahkan lagi akses bagi penumpang di barisan ketiga.

    Tempat duduk di barisan kedua kini mempunyai pembahagian 40/20/40 untuk memuatkan barangan besar, serta ia juga boleh dibahagikan 60/40 untuk mewujudkan ruang masuk dan keluar yang lebih selesa buat para penumpang. Untuk menaik taraf aspek kemudahan ini, kesemua tempat duduk juga boleh dilipat atau dikembalikan ke posisi asalnya dengan hanya menekan butang yang disediakan.

    BMW X7 G07 kini dilancarkan di Malaysia – xDrive40i, 7-tempat duduk, harga anggaran dari RM888,800

    X7 xDrive40i ini dipadankan dengan enjin 3.0 liter petrol pengecas turbo enam-silinder sebaris yang boleh menghamburkan kuasa sehingga 340 PS dan tork 420 Nm dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda. Ia membolehkan SUV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 6.1 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

    Untuk aspek keselamatan, ia didatangkan dengan ciri BMW Personal CoPilot terdiri daripada Parking Assistant Plus, Reversing Assistant, Driving Assistant Professional yang merangkumi Lane Departure Warning, Lane Change Warning, dan Front Collision Warning dengan intervensi brek. Selain turut menawarkan Lane Keeping Assistant dengan Active side collision protection, Steering and lane control assistant, Emergency Stop Assistant, Evasion Aid, Crossroads warning dengan fungsi City Braking.

    Diberikan tujuh warna pilihan iaitu Mineral White, Black Sapphire, Artic Grey atau Sophisto Grey, Phytonic Blue, Terra Brown dan Vermont Bronze, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence ditawarkan pada harga anggaran RM888,800 (atas jalan, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dengan Program Servis Berjadual Percuma, Program Waranti Tayar Bertempoh Dua Tahun/24 Bulan, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW, Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card dan Servis Dalam Talian BMW.

     
     
  • BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

    BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

    BMW Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model 7 Series G12 LCI (kata lain bagi facelift yang digunakan oleh BMW) bagi model berkenaan. Ia hadir beberapa bulan selepas model sama mula diperkenalkan diperingkat global pada Januari tahun ini.

    Untuk pasaran tempatan di sini, hanya satu varian tunggal plug-in hybrid ditawarkan, iaitu BMW 745Le xDrive yang menggantikan 740Le sebelum ini. Merupakan model CKD, harga jualannya bermula dari RM594,800 atas jalan tanpa insurans. Ini merupakan harga selepas ditolak insentif EEV oleh kerajaan; harga asal tanpa potongan berkenaan ialah RM907,145.

    Sedan besar/limosin ini menggunakan enjin 3.0 liter turbocaj enam-silinder sebaris yang diambil dari model 745Le yang lebih asas, menggantikan unit enjin 2.0 liter turbo empat-silinder yang digunakan pada 740Le. Enjin 3.0 liter berkenaan menghasilkan sebanyak 286 hp dari 5,000-6,000 rpm dan 450 Nm tork dari 1,500-3,500 rpm. Ini digandingkan pula dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, 113 PS pada 3,170 rpm dan 265 Nm dari 0-2,700 rpm – 15 Nm lebih tinggi dari sebelumnya.

    Secara keseluruhannya, sistem ini memberikan output terkumpul sebanyak 394 hp dan 600 Nm. Motor elektrik berkenaan disepadukan di dalam sistem transmisi, yang menggunakan kotak gear Steptronic lapan-kelajuan, membolehkannya bukan sahaja memberikan pacuan secara terus, tetapi turut berfungsi sebagai generator untuk meraih kembali tenaga ketika membrek dan meluncur.

    BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

    Sekali dengan sistem pacuan semua roda xDrive, keseluruhan sistem yang ada ini memberikan output sebanyak 394 PS dan 600 Nm. Ini lebih tinggi berbanding yang diberikan 740Le sebelum ini (326 PS/500 Nm). Dari sudut prestasi, bacaan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.3 saat dan kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

    Motor elektriknya kini dikuasakan oleh bateri lithium-ion 12 kWh, yang mempunyai lebih kapasiti berbanding unit sebelum ini pada kadar 9.2 kWh. Masih diletakkan di bawah tempat duduk belakang, bateri 355 volt berkenaan digunakan untuk menyalakan rangkaian peranti kereta ini, serta sistem lainnya seperti pendingin hawa.

    Untuk mengecas bateri, ia boleh dilakukan dengan kabel pengecas AC fasa tunggal yang disediakan dan disambungkan pada soket biasa di rumah, walaupun akan mengambil masa yang agak lama. Cara lebih cepat untuk ini adalah dengan menggunakan sambungan AC tiga-fasa melalui BMW Public Charging Cable serta stesen mengecas awam.

    Alternatif lain, BMW i Wallbox/Wallbox Plus juga ditawarkan sebagai pilihan. Ia mampu memberikan output 22 kW sekiranya rumah anda menggunakan saluran kuasa elektrik tiga-fasa. Memandangkan 745Le didatangkan dengan pengecas 3.7 kW, masa paling singkat untuk mengecas penuh baterinya ialah 4.4 jam.

    BMW 7 Series G12 LCI dilancarkan di Malaysia – varian 740Le xDrive Pure Excellence, harga dari RM594,800

    Satu caj penuh boleh memberikan sekitar 50 km jarak pacuan elektrik sepenuhnya, dengan kelajuan maksimum 140 km/j. 745Le ini didakwa mampu memberikan bacaan penggunaan minyak serendah 2.3 liter bagi 100 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Kadar pembebasan C02 pula ialah 52 g/km.

    Suspensi pula kereta ini menggunakan jenis double wishbone untuk bahagian hadapan, manakala di belakang ia menggunakan talaan jenis five-link. Kedua-duanya hadir dengan ciri suspensi udara larasan sendiri. Selain itu, ia menggunakan sistem stereng kuasa elektronik dengan fungsi Servotronic serta Integral Active Steering (untuk roda belakang).

    Terdapat lima mod pemanduan untuk dipilih oleh pemandu – Sport, Adaptive, Hybrid, Electric dan Battery Control. Sebaik kenderaan dihidupkan, ia akan berada di dalam mod Hybrid. Mod Batery Control pula membolehkan pemandu untuk tahap cas bateri tertentu untuk kegunaan kemudian.

    Antara penampilan baru pada kereta ini ialah rekaan “kidney grille” yang 40% lebih besar. Lampu pula lebih tirus, menggunakan teknologi BMW Laserlight. Untuk pasaran tempatan, 745Le yang dijual di sini datang dengan pakej M Sport. Lampu belakang pula hadir dengan visual 3D dan 35 mm lebih nipis untuk dipadankan dengan rekaan lampu utama di depan. Dua corong ekzos masih lagi dikekalkan. Pengenalan “L” bagi model ini pula merujuk kepada jarak antara roda yang panjang – 3,210 mm.

    Untuk ruang dalaman, tambahan sistem Live Cockpit Professional merupakan kemaskini yang penting. Terdahulu, sistem ini sudah diperkenalkan pada mdoel X5 terbaru, 3 Series dan juga Z4. Terdiri daripada dua paparan – 10.25-inci yang bertindak sebagai kluster instrumen dan skrin 12.3-inci utama yang dikuasakan oleh BMW Operating System 7.0.

    Lain-lain kelengkapan yang ada termasuk kawalan pendingan hawa empat zon, kemasan kulit, bumbung panoramik Sky Lounge, BMW Display Key, 16-pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 600 watt serta sistem hiburan penumpang belakang dengan dua skrin 10-inci yang boleh dikendalikan melalui tablet BMW Touch Command tujuh-inci.

    Bagi ciri keselamatan, ia menerima tujuh beg udara, pakej bantuan pemanduan yang terdiri daripada ciri seperti amaran perlanggaran dan pejalan kaki dengan City Braking, amaran mengekalkan lorong (dari kelajuan 70-120 km/j), amaran pertukaran lorong (dari 20 km/j-kelajuan maksimum), info had kelajuan serta amaran perlanggaran serta amaran lintasan belakang.

    Kereta ini turut hadir dengan jaminan lima-tahun/tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua-tahun, bantuan tepi jalan BMW, BMW Service Online dan BMW White Card dengan capaian kepada aplikasi mudah alih Loyalti+.

     
     
  • Brad Binder ganti tempat Hafizh Syahrin dalam pasukan MotoGP Red Bull KTM Tech3 tahun 2020

    Brad Binder ganti tempat Hafizh Syahrin dalam pasukan MotoGP Red Bull KTM Tech3 tahun 2020

    Seperti yang diketahui, semua pelumba pasukan KTM dalam kategori MotoGP (Johann Zarco, Pol Espargaro dan Miguel Oliveira) sudah pun menandatangani kontrak untuk tahun depan, kecuali Hafizh Syahrin. Sekarang, pemilik satu tempat kosong itu sudah terjawab apabila Red Bull KTM Tech 3 memilih Brad Binder sebagai pelumba.

    Binder sudah lima tahun bersama KTM di mana beliau bermula daripada Red Bull MotoGP Rookies Cup pergi ke Moto3 dan kemudiannya sekarang dalam Moto2. Antara tahun 2012 hingga 2015 dalam kategori Moto3, Binder berjaya mendapatkan enam kali podium manakala pada tahun 2016, beliau memenangi perlumbaan sebanyak tujuh kali dalam kategori itu.

    Masuk pula ke kategori Moto2 pada tahun 2017 bersama pasukan Red Bull KTM Ajo, Binder berjaya mendapatkan tiga kali podium dan pada tahun 2018 beliau berjaya menamatkan perlumba di tempat pertama beberapa kali sebelum menamatkan musim di tempat ketiga secara keseluruhan. Untuk tahun 2019, Binder telah menaiki podium sebanyak dua kali dan kini berada di tempat kelapan dalam carta keseluruhan dengan 84 kutipan mata (beza 52 mata berbanding Alex Marquez di tempat pertama).

    Brad Binder ganti tempat Hafizh Syahrin dalam pasukan MotoGP Red Bull KTM Tech3 tahun 2020

    “Saya sentiasa terpukau dengan bakat, ciri agresif serta sikap tidak menyerah kalah beliau, dan apabila menguruskan sebuah pasukan lumba motosikal, ini adalah profail penunggang yang dimahukan. Ia akan menjadi sebuah pasukan yang kuat, sebab saya rasa akan ada hubungan yang baik antara beliau dan rakan sepasukan, Miguel. Sejujurnya, saya tidak boleh mengimpikan struktur yang lebih baik,” kata pengurus pasukan Red Bull KTM Tech3, Herve Poncharal.

    Bagaimana pula dengan nasib Hafizh Syahrin? Setakat ini tiada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan rasmi dan kita masih perlu menunggu sebarang berita. Banyak kemungkinan yang boleh difikirkan, tetapi kita masih perlu menanti jawapan rasmi. Harap beliau masih boleh berlumba dalam MotoGP.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

    PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

    Proton Exora, sudah 10 tahun berada dalam pasaran. Setelah tersebarnya berita bahawa Proton akan membina sebuah MPV berdasarkan Geely Jiaji, ramai yang beranggapan bahawa Exora bakal ditamatkan pengeluaran tidak lama lagi. Namun, nampaknya usia produksi Exora ini nampaknya masih panjang apabila Proton memperkenalkan Exora RC 2019 pada Mei lalu, menampilkan berberapa tingkat taraf.

    Ramai yang mempersoalkan, macam mana Exora nak bersaing dengan rekaan yang sudah masuk usia sedekad? Jadi kami uji sekali lagi bagi mengetahui adakah Exora masih relevan dalam pasaran.

    Proton Exora RC ini masih ditawarkan dalam dua varian. Model yang kami pandu uji ini adalah dari versi tertinggi Exora Premium, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM66,800, atau sekitar RM2,500 lebih murah dari sebelum ini. Jika anda mahukan pilihan yang lebih mampu milik, model Exora Executive boleh dibeli pada harga RM59,800 atau sekitar RM2,000 lebih murah dari sebelumnya.

    Sebelum pergi lebih jauh, adalah lebih baik kita buat senarai pendek apa model yang perlu Exora berdepan secara terus dalam pasaran. Cara mudah, pergi ke laman Carbase.my, dan kemudian klik kotak Any Price (Max) pada RM90k, dan Any Body Type pada MPV – tiga model teratas yang akan keluar adalah Proton Exora, Perodua Alza dan juga Toyota Avanza.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Geely Boyue Pro diperkenal di China – banyak kemas kini gaya, GKUI 19 baru, DCT 7-kelajuan untuk 1.8T

    Geely Boyue Pro diperkenal di China – banyak kemas kini gaya, GKUI 19 baru, DCT 7-kelajuan untuk 1.8T

    Selepas satu minggu menunjukkan versi terbaru bagi sistem infotainmen yang dikenali sebagai GKUI 19, Geely kini mendedahkan lebih banyak informasi dan gambar untuk Boyue Pro baru.

    Lampu asal Boyue dirombak sepenuhnya dengan rekaan lebih nipis dan tirus, dan ia kini mengapit gril “expanding cosmos” yang lebih besar dan diposisikan pada sudut lebih tegak. Muka baru ini juga membuatkan ia perlu menerima bonet baharu menampilkan rupa lebih berotot, bersama bampar hadapan baru dengan rekaan liang kemasukan udara dan perumah lampu kabus yang menghasilkan apron lebih agresif.

    Bahagian belakang juga menerima sentuhan semula. Paling menyerlah adalah kedua-dua belah lampu belakang Boyue Pro ini di reka seakan ‘tertusuk’ terus dengan panel kemasan krom pada bahagian tengah yang merentangi pintu tailgate. Spoiler juga diberikan unit baru bersama lampu brek ketiga diletak pada bahagian atas yang berlekuk di tengah.

    Rekaan belakang Boyue Pro ini dilengkapkan dengan bampar lebih segar dengan pemadanan reflektor lebih panjang yang di letak menegak, bersama diffuser yang lebih ringkas. Perumah tip ekzos masih lagi kekal di kiri dan kanan, tetapi kini lebih lebar dan nipis untuk diserasikan dengan rekaan keseluruhan.

    Geely Boyue Pro diperkenal di China – banyak kemas kini gaya, GKUI 19 baru, DCT 7-kelajuan untuk 1.8T

    Menurut Geely, hasil daripada maklum balas pengguna, mereka telah menjadikan bahagian bukaan belakang Boyue Pro ini lebih rendah untuk memudahkan pengguna memasuk dan mengeluarkan barang. Di dalam, papan pemuka baru direka dengan lebih fokus kepada pemandu, bersama roda stereng rata di bawah yang lebih sporty. Kemudiannya, papan instrumen digital juga ditukar, menampilkan grafik seakan model-model Volvo terkini seperti XC90 dan XC40.

    Selain daripada itu, terdapat juga corong pendingin hawa baru, skrin untuk sistem infotaimen GKUI 19 yang lebih tinggi dan lebar, suis-suis lebih leper, konsol gear yang disusun semula, suis mod pemanduan diganti dengan suis putar, serta tombol gear yang lebih berpetak dengan suis posisi ‘P’ berada di atasnya. Untuk varian yang lebih tinggi, ia juga akan dilengkapi dengan sistem bunyi Bose dengan fungsi karaoke.

    Boyue Pro masih ditawarkan dengan enjin empat silinder direct injected 1.8 liter turbo, tetapi ia telah dipertingkat untuk mematuhi tahap emisi National 6B di China. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 181 hp dan 300 Nm tork (tambahan 15 Nm tork berbanding sebelum ini).

    Geely Boyue Pro diperkenal di China – banyak kemas kini gaya, GKUI 19 baru, DCT 7-kelajuan untuk 1.8T

    Sebagai tambahan, orang ramai juga boleh mendapatkan Boyue Pro dengan enjin 1.5 liter sama seperti Binyue. Enjin tiga silinder ini turut menampilkan sistem direct injection dan pengecas turbo, mampu menghasilkan kuasa 174 hp dan 255 Nm tork.

    Transmisi standard untuk enjin 1.8T sekarang adalah unit automatik tujuh kelajuan klac berkembar (sebelum ini automatik biasa enam kelajuan) dan Geely mendakwa transmisi ini dapat memberikan tahap kecekapan 97% dan mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak satu liter bagi setiap 100 km berbanding Boyue asal. Enjin 1.5L pula dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan daripada Aisin.

    Tempahan untuk Boyue Pro sudah pun dibuka di China, dan ia akan dijual sekali dengan Boyue biasa sebagai satu tawaran model yang lebih tinggi. Memandangkan Boyue mempunyai persamaan dengan Proton X70, kita masih belum tahu sama ada versi CKD nanti akan menggunakan Boyue biasa sebagai asas (seperti sekarang) ataupun Boyue Pro. Kami diberitahu nanti akan ada kejutan daripada Proton. Anda teruja?

    GALERI: Penampilan pertama Geely Boyue Pro di China

     
     
  • LokaTAG dilancar untuk M’sia – pembaca kad Touch n Go binaan dalam untuk semua jenis kenderaan, RM499

    LokaTAG dilancar untuk M’sia – pembaca kad Touch n Go binaan dalam untuk semua jenis kenderaan, RM499

    Sekiranya anda masih belum menggunakan RFID, ini ada satu lagi alternatif untuk melakukan pembayaran tol iaitu LokaTAG, yang baru dilancarkan hari ini. Dalam kata ringkas, ia adalah satu peranti seperti SmartTAG tetapi disambungkan terus kepada kereta anda.

    Peranti LokaTAG mempunyai tempat untuk meletakkan kad Touch n Go dan skrin untuk memberitahu baki nilai kad, ralat serta tanda baki rendah (bawah RM10) – seperti pembaca kad binaan dalam yang terdapat pada Perodua Myvi, kenderaan Haval dan aksesori pilihan oleh UMW Toyota Motor. LokaTAG tidak memerlukan bateri kerana ia disambungkan terus kepada sistem elektrik kereta dan boleh dipasang pada semua jenis kenderaan.

    Modul pembaca kad LokaTAG disambungkan menggunakan wayar kepada antena kecil yang dilekatkan pada cermin hadapan (bahagian dalam kenderaan), dan ini bermakna anda tidak perlu memegang atau menunjukkan peranti apabila tiba di plaza tol. Ia juga menggunakan teknologi infrared oleh syarikat dari Australia iaitu Efkon, sama seperti MaxTAG.

    LokaTAG dilancar untuk M’sia – pembaca kad Touch n Go binaan dalam untuk semua jenis kenderaan, RM499

    Menurut pengarah Efkon Asia, Helmuth Blasch, kutipan tol elektronik menggunakan peranti infrared masih lagi relevan meskipun sekarang sudah ada teknologi RFID, dan ini turut dibuktikan dengan catatan jualan MaxTAG yang meningkat (dilancarkan pada bulan September 2018).

    Harga jualan LokaTAG adalah RM499, dan bagi pembeli dari Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor, harga ini termasuk dengan pemasangan yang akan dilakukan oleh Maxx N Go dan mereka akan membuat temu janji dengan pembeli. Bagi pembeli dari tempat lain pula, pemasangan akan dilakukan oleh pengedar sah LokaTAG. Peranti ini juga ada dijual atas talian iaitu melalui Shopee Malaysia.

    Tambah Blasch, Efkon sentiasa melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memperbaiki ciri pembaca tol IR, dan pada masa hadapan akan ada fungsi lain seperti amaran suara dan sambungan Bluetooth yang boleh berinteraksi dengan telefon pintar dan sistem media kenderaan.

     
     
  • MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

    MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

    Tahun ini MINI menyambut ulang tahun jenamanya yang ke-60. Selari dengan industri automotif yang sekarang bertumpu kepada kuasa elektrik, pengeluar kenderaan dari United Kingdom ini telah memperkenalkan MINI Cooper SE, yang merupakan model elektrik penuh pertama mereka. Jika anda perasan, sebelum ini MINI pernah memperkenalkan MINI E yang menggunakan asas R56, tapi model itu cuma dihasilkan dalam jumlah terhad dan untuk kegunaan syarikat tertentu sahaja, sementara MINI Cooper SE adalah untuk pasaran awam.

    Motor elektrik yang digunakan pada model ini mampu menghasilkan kuasa 181 hp (135 kW) dan tork maksimum 270 Nm, sama seperti BMW i3s. Walaubagaimanapun, MINI Cooper SE ini menggunakan pacuan roda hadapan dan bukannya pacuan roda belakang seperti i3s. Dari keadaan pegun, ia boleh memecut ke 100 km/j dalam masa 7.3 saat, dan mencapai laju maksimum 150 km/j.

    Bagi memastikan tahap tork yang tinggi dapat disampaikan secara cekap, MINI Cooper SE dilengkapi dengan Dynamic Stability Control (DSC) yang dapat mengurangkan gelinciran pada roda dan mengekalkan stabiliti kenderaan. Turut membantu adalah Dynamic Traction Control (DTC) baru yang dapat meningkatkan kelincahan kenderaan atas jalan licin.

    MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

    Motor elektrik yang digunakan mendapat kuasa daripada bateri voltan tinggi yang diperbuat daripada lithium ion dan dibahagikan kepada 12 modul. Ia diletakkan pada lantai kenderaan dalam bentuk T dan mempunyai kapasiti 32.6 kWh (i3 menggunakan bateri 33.2 kWh).

    Disebabkan kedudukan bateri ini, badan Cooper SE lebih tinggi 18 mm berbanding Cooper 3 Door biasa, tetapi ruang barangan masih lagi sama iaitu 211 liter, atau 731 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Komponen pacuan elektrik ini juga menambah berat sebanyak 145 kg, menjadikan berat keseluruhannya 1,365 kg.

    Sama seperti i3s, Cooper SE ini datang bersama pengecas AC 11 kW dengan penyambung Type 2, yang membenarkan pilihan beberapa tempat mengecas termasuk soket dan kabel single phase biasa di rumah. Selain daripada itu, pemilik juga boleh menggunakan MINI Electric Wallbox di rumah yang mempunyai kapasiti 22 kW atau kabel three phase untuk disambungkan kepada stesen pengecasan pantas awam.

    Apabila menggunakan dua sistem pengecasan ini (Wallbox dan stesen awam), bateri Cooper SE boleh sampai ke tahap 80% dalam masa dua jam setengah dan 100% dalam masa tiga jam setengah. Apabila sudah penuh, ia boleh bergerak antara 235 hingga 270 km berdasarkan ujian kitaran WLTP. Jika mahukan pengecasan yang lebih pantas, pemilik perlu menggunakan sistem DC dengan sambungan CCS Combo 2, di mana dengan kapasiti pengecasan 50 kW, tahap 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit sahaja.

    Seperti yang sudah dijangka, kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem penjanaan semula kuasa brek, yang disediakan dalam dua pilihan tetapan untuk menentukan pada tahap brek manakah tenaga dapat diperoleh semula. Penukaran tetapan ini boleh dilakukan menggunakan butang yang terdapat di sebelah butang pemula enjin.

    Untuk mod pemanduan, terdapat empat pilihan iaitu Mid, Green, Green+ and Sport. Setiap mod memberikan kadar tindak balas yang berbeza untuk sistem pacuan, karekter stereng serta ciri keselesaan seperti pendingin hawa.

    Melihat kepada penggayaannya, Cooper SE mempunyai bentuk yang sama dengan Cooper 3 Door biasa, tetapi beberapa bahagian dijadikan unik. Ini termasuk gril hadapan dengan bukaan udara lebih kecil dan diserikan dengan jalur kuning serta logo MINI Electric, dan kemasan kuning pada beberapa bahagian lain termasuk cermin sisi dan tempat mengecas.

    Rim standard yang diberi adalah bersaiz 16 inci, dalam rekaan yang dipanggil sebagai MINI Electric RevoliteSpoke, tetapi pelanggan juga boleh mendapatkan pilihan saiz 17 inci MINI Electric Corona Spoke seperti dalam gambar dengan bayaran tambahan.

    MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

    Bahagian dalam juga mempunyai bentuk yang sama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil termasuk panel instrumen digital 5.5 inci di belakang roda stereng yang boleh memaparkan pelbagai informasi seperti tahap bateri, mod pemanduan, infotainmen, jarak gerak dan lain-lain. Paparan panel ini juga boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Kemudiannya, kemasan kuning turut digunakan termasuk pada stereng, tombol gear, butang pemula enjin dan pengawal sistem infotainmen. Apabila memilih pakej Interior Style MINI Electric, ia akan dilengkapi pula dengan jahitan benang kuning serta alas kaki yang mempunyai logo MINI Electric.

    Kelengkapan standard lain untuk Cooper SE adalah termasuk lampu utama LED, pengawal pendingin hawa dua zon automatik dan kawalan pendingin hawa menggunakan aplikasi MINI Connected Remote. Sistem Connected Navigation dengan skrin sesentuh 6.5 inci juga boleh dinaik taraf kepada Connected Navigation Plus dengan skrin 8.8 inci dan pengecas tanpa wayar.

    Sebagai sebuah kenderaan MINI, pilihan tambahan lain adalah banyak dan antaranya untuk kemasan dalam adalah Interior Style MINI Dark, Interior Style MINI Light dan Interior Style MINI Yours.

     
     
  • Waktu menunggu untuk dapatkan kenderaan Grab mungkin ambil masa lebih lama kerana peraturan baru

    Waktu menunggu untuk dapatkan kenderaan Grab mungkin ambil masa lebih lama kerana peraturan baru

    Pada bulan Julai tahun lalu, kerajaan telah menetapkan pemandu kenderaan e-hailing seperti Grab perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan melakukan pemeriksaan kenderaan tahunan dengan Puspakom. Disebabkan itu, tambang perjalanan dijangka meningkat dan pemandu Grab pula mungkin akan berkurang.

    Walaupun sedang berusaha membantu pemandu dengan peraturan baru ini, Grab telah mengeluarkan kenyataan dalam senarai soalan lazim (FAQ) mereka yang menyatakan pelanggan mungkin perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan kereta Grab – sehingga dua kali ganda waktu biasa.

    Syarikat e-hailing ini juga telah mengeluarkan beberapa saranan ringkas untuk pengguna. Ini termasuk membuat tempahan lebih awal daripada biasa dan bersedia secepat mungkin apabila pemandu tiba untuk mengurangkan waktu menunggu. Ini adalah sangat penting dalam keadaan seperti pengguna perlu ke lapangan terbang atau mempunyai temu janji penting. Selain daripada itu, pengguna juga boleh menggunakan Grab di luar waktu puncak (7am-9am dan 5pm-8pm).

    Waktu menunggu untuk dapatkan kenderaan Grab mungkin ambil masa lebih lama kerana peraturan baru

    Grab berharap situasi ini hanyalah sementara, dan akan terus memberi maklumat terkini berkenaannya. Peraturan baru untuk pemandu e-hailing ini ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan kesamarataan bagi pengendali khidmat ini, serta pengendali teksi biasa.

    Minggu lalu, menteri pengangkutan ada memberitahu, daripada 167,000 pemandu e-hailing di Malaysia, hanya 16,338 telah mendaftar untuk ujian PSV, dengan 62% (10.151) daripadanya telah pun layak untuk mendapatkan lesen tersebut lebih awal daripada tempoh akhirnya (12 Julai). Menurut presiden persatuan pemandu e-hailing Malaysia, Daryl Chong, 70% pemandu e-hailing akan bersedia dengan lesen PSV menjelang akhir tahun ini.

     
     
  • Aprilia RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory dilancar untuk Malaysia – harga RM160k dan RM120k

    Aprilia RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory dilancar untuk Malaysia – harga RM160k dan RM120k

    Dua motosikal berprestasi daripada Aprilia kini sudah tiba di Malaysia iaitu RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory, dengan harga masing-masing RM159,900 dan RM119,000 tidak termasuk insurans dan pendaftaran, tetapi bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Dua model ini menggunakan enjin yang sama iaitu unit empat silinder V 1,077 cc tetapi mempunyai kuasa yang berbeza iaitu 217 hp pada 13,200 rpm dan 122 Nm tork pada 11,000 rpm untuk RSV4 dan 177 hp pada 11.000 rpm dan 121 Nm tork pada 9,000 rpm untuk Tuono V4. Selain daripada itu, anda boleh perhatikan sendiri bahawa RSV4 adalah sebuah superbike dengan fairing penuh manakala Tuono pula adalah model naked.

    Melihat terlebih dahulu kepada RSV4 1100 Factory, kebanyakan bahagiannya boleh dilaras termasuk fork Ohlins NIX 43 mm, monoshock Ohlins TTX, steering damper, serta juga bahagian kerangka yang termasuk kedudukan headstock, sudut rake, tinggi enjin dan ketinggian lengan ayun – untuk menyesuaikannya dengan penunggang dan keadaan litar.

    Model ini datang terus dengan sistem ekzos titanium penuh Akrapovic, sementara panel badannya pula menggunakan gabungan bahan plastik impak tinggi dan gentian karbon (termasuk winglet). Untuk pasaran Malaysia, enam pembeli pertama akan menerima winglet yang berharga RM4,000 ini secara percuma.

    Pada bahagian brek, RSV4 1100 Factory dilengkapi dengan cakera berkembar 330 mm serta angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan dan ia disambungkan dengan sistem kawalan Bosch 9.1 MP ABS bersama fungsi di selekoh, rear wheel lift control dan tiga tahap kekuatan brek.

    Kelengkapan lain pada RSV4 1100 Factory ini adalah termasuk sistem elektronik Traction Control, Wheelie Control, Launch Control, Cruise Control, Speed Limiter dan tiga pilihan mod tunggangan, rim aluminium 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 200/55 di belakang, tinggi tempat duduk 851 mm, tangki bahan api 18.5 liter dan berat keseluruhan 199 kg.

    Pergi pula kepada Tuono V4 1100 Factory, ia menggunakan sistem suspensi semi aktif elektronik, yang dikawal oleh unit Smart EC 2.0 yang disambungkan kepada fork Ohlins NIX dan monoshock Ohlins. Ada tiga mod aktif dan tiga mod manual yang boleh dipilih oleh penunggang demi mendapatkan prestasi yang bersesuaian.

    Bahagian brek pula menggunakan cakera 330 mm berkembar serta angkup Brembo M50 empat piston di hadapan manakala di belakang menggunakan cakera 220 mm dan angkup Brembo satu piston di belakang. Sistem brek ini turut didatangkan terus dengan hos metal braided dan disambung dengan sistem Bosch 9.1 MP ABS dengan fungsi di selekoh dan boleh dilaras dalam tiga mod.

    Kelengkapan lain pada Tuono V4 1100 Factory adalah termasuk Traction Control (ATC), Wheelie Control (AWC), Launch Control (ALC), Cruise Control (ACC), Speed Limiter (APL), tiga mod tunggangan (Track, Sport dan Race), tangki bahan api 18.9 liter, tinggi tempat duduk 825 mm dan berat 209 kg (dengan minyak penuh).

    GALERI: Aprilia RSV4 1100 Factory

    GALERI: Aprilia Tuono V4 1100 Factory

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026