Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mazda 3 2019 dilancarkan di Malaysia – sedan dan hatchback, 3 varian, harga dari RM140k-RM160k

    Mazda 3 2019 dilancarkan di Malaysia – sedan dan hatchback, 3 varian, harga dari RM140k-RM160k

    Walau pun telah mula dipamerkan di bilik pameran Bermaz di Glenmarie, Shah Alam pada dua minggu lalu, hari ini Mazda 3 generasi baharu dilancarkan secara rasmi. Seperti mana yang kami laporkan sebelum ini, Mazda 3 2019 hadir dengan bentuk badan sedan dan hatchback, yang masing-masing dengan pilihan enjin 1.5L dan 2.0L. Malahan Mazda 3 2019 yang diimport terus dari Jepun ini (unit CBU) ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas, model pertengahan High, dan model tertinggi High Plus. Namun untuk model High, ia hanya dijual dalam versi sedan.

    Untuk model 1.5 liter, ia dijana oleh enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 118 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 153 Nm pada 4,00 rpm. Manakala model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G, menjana 162 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada 4,000 rpm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive yang memacu hanya roda hadapan. Malah kesemua model juga dilengkapi dengan G-Vectoring Control (GVC).

    Untuk varian asas, ia menawarkan versi sedan dan hatchback, ditawarkan pada harga atas jalan RM139,620 tanpa insurans, dan didatangkan dengan enjin 1.5 liter. Bagi kelengkapannya, ia didatangkan dengan lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang jenis-mentol, lampu belakang LED dan roda aloi 16-inci.

    Manakala bagi kabinnya, ia dilengkapi pendingin hawa manual zon-tunggal, paparan kluster instrumen digital TFT-LCD tujuh-inci, paparan tengah 8.8-inci yang disambung pada sistem infotainmen Mazda Connect dengan lapan pembesar suara, upholsteri fabrik, paparan head-up dipancarkan ke cermin hadapan, papan pemuka dan panel dalaman pintu dengan kemasan sentuhan lembut dan juga tempat duduk hadapan larasan manual.

    Model asas ini juga diberikan fungsi seperti Cruise Control konvensional, brek parkir elektronik lengkap dengan sistem brake hold dan juga mod pemanduan Sport yang akan menajamkan lagi respon pendikit dan menala semula karakter transmisi automatik.

    Bagi varian pertengahan 2.0 High dijual pada harga atas jalan RM150,059 (tanpa insurans), tapi hanya ditawarkan dengan versi sedan sahaja. Dengan enjin 2.0 liter, ciri kelengkapannya juga ditambah berbanding model asas. Ini termasuklah dengan adanya sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, cermin suria, cermin pandang belakang tanpa bingkai, sistem pendingin hawa dua-zon dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.

    Model tertinggi 2.0 High Plus pula yang menawarkan versi sedan dan hatchback berharga RM160,059 (atas jalan, tanpa insurans), ditampilkan dengan semua ciri yang ada pada varian 2.0 High, tetapi ditambahkan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk gelang diletakkan pada projektor LED lampu utama dan lampu belakang, serta rim bersaiz 18-inci. Pada bahagian kabin pula, model ini dilengkapkan dengan tempat duduk larasan elektrik 10-hala dengan fungsi memori dua slot.

    Nama pun model tertinggi, pastinya ciri keselamatan yang ditampilkan juga turut lebih menarik, dengan adanya pengesan parkir hadapan, bersama fungsi keselamatan penuh Mazda i-Activsense yang terdiri dari Sistem Lampu Hadapan Adaptif (AFS), Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan buat pertama kali Bermaz manawarkan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

    Lain-lain ciri keselamatan standard untuk semua varian seperti brek ABS bersama EBD dan EBA, bantuan mula mendaki (HLA), Kawalan Dinamik Kestabilan (DSC) dan tujuh beg-udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu).

    Di bawah ini merupakan perbandingan spesifikasi penuh mengikut varian:

    1.5L Sedan, 1.5L Hatchback – RM139,620

    Didatangkan standard dengan:

  • Enjin 1.5 liter SkyActiv-G naturally-aspirated empat-silinder (118 hp dan 153 Nm) dengan teknologi melahu i-Stop
  • Transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan dengan mod manual
  • Lampu utama projektor LED automatik
  • Lampu belakang LED
  • roda aloi 16-inci dengan tayar profil 205/60
  • Empat pengesan parkir belakang
  • Kamera undur
  • Papan pemuka balutan kulit
  • Pendingin hawa zon-tunggal
  • Tempat duduk balutan fabrik
  • Tempat duduk hadapan larasan manual dengan larasan sokongan paha
  • Roda stereng pelbagai-fungsi tilt and telescopic
  • Paparan kluster instrumen digital warna-penuh TFT-LCD tujuh-inci
  • Paparan kedua 8.8-inci
  • Sistem infotainmen Mazda Connect dengan Commander Control dan lapan-pembesar suara
  • Paparan head-up yang dipasang pada windscreen
  • Tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu)
  • Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), kawalan cengkaman, ABS, EBD dengan bantuan brek
  • Bantuan Mula Mendaki (HLA)
  • Cagak Isofix dengan top tether
  • G-Vectoring Control (GVC)
  • 2.0 High Sedan – RM150,059

    Ditambah dengan:

  • Enjin 2.0 liter SkyActiv-G naturally-aspirated empat-silinder (162 hp dan 213 Nm) dengan teknologi melahu i-Stop
  • Pedal penukar gear
  • Bumbung matahari kuasa elektrik
  • Cermin pandang belakang tanpa bingkai
  • Kemasukan tanpa kunci
  • Tempat duduk balutan kulit
  • Kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong udara untuk tempat duduk belakang
  • 2.0 High Plus Sedan, 2.0 High Plus Hatchback – RM160,059

    Ditambah dengan:

  • Lampu utama projektor LED adaptif dengan Kawalan Lampu Tinggi (HBC)
  • Roda aloi 18-inci dengan tayar profil 215/45
  • Empat pengesan parkir hadapan
  • Tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-cara dengan fungsi memori dua-ketetapan
  • Sistem bantuan pemandu dan keselamatan Mazda i-Activsense – Sistem Lampu Hadapan Adaptif (AFS), Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan Mazda Radar Cruise Control (MRCC).
  • Terdapat enam pilihan warna yang ditawarkan untuk kesemua varian iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver dan Jet Black. Namun varian tertinggi 2.0 Liftback versi hatchback menerima satu warna khas iaitu Polymetal Gray.

    Semua pemilikan Mazda 3 2019 ini turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km, pakej penyelenggaraan percuma lima-tahun/100,000 km dan juga lapisan tingkap keselamatan SkyTint. Untuk mengetahui perincian dan spesifikasi penuh Mazda 3 2019, sila layari Carbase.my untuk versi hatchback dan sedan.

    GALERI: Mazda 3 2.0L High Plus Hatchback 2019

    GALERI: Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2019

    GALERI: Mazda 3 1.5L Sedan 2019

     
     
  • Perodua tingkat kapasiti pengeluaran kepada 249,000 unit, singkatkan masa menunggu terhadap pelanggan

    Perodua tingkat kapasiti pengeluaran kepada 249,000 unit, singkatkan masa menunggu terhadap pelanggan

    Dalam usaha untuk berhadapan dengan situasi permintaan yang tinggi terhadap model-model Perodua, kapasiti pengeluaran di dua kilang pemasangan syarikat itu – PMSB dan PGMSB – juga kini di pertingkat. Kedua-dua premis berkenaan ketika ini menjalankan dua shift bagi pengeluarannya, dengan kadar “tact time” di PMSB kini 1.8 minit, sementara PGMSB pula 2.0 minit.

    Sasaran jumlah pengeluaran bagi tahun 2019 juga dinaikkan kepada 249,000 unit berbanding 242,000 unit yang ditetapkan sebelum ini, dengan kedua-dua kilang berkenaan beroperasi pada tahap optimum 97% dengan situasi pengeluaran yang stabil, serta jumlah kecatatan bagi setiap unit (DPU) yang rendah.

    Jika diperhatikan angka sasaran jualan yang ditetapkan pada kadar 235,000 unit untuk 2019 serta sejumlah 3,270 unit pasaran eksport, sasaran jumlah pengeluar berkenaan masih berbaki dengan jumlah yang besar. Mengapa begini? Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad, ia bertujuan untuk meningkatkan tahap stok sedia ada bagi model-model Perodua.

    “Sebelum ini, stok kenderaan Perodua yang tersedia adalah rendah. Ini menyebabkan tempoh menunggu untuk pelanggan yang menempah kereta kami menjadi panjang terlalu panjang. Situasi terkini memerlukan mereka menunggu sekitar purata dua bulan. Sebelum ini, lebih lama lagi mereka perlu menunggu.

    “Jadi, kami tingkatkan jumlah pengeluaran untuk tahun ini bagi mengatasi masalah berkenaan, dengan harapan tempoh menunggu pelanggan untuk mendapatkan kereta yang ditempah boleh disingkatkan mungkin kepada dua-tiga minggu. Tetapi ini bergantung juga kepada model dan varian yang dibeli pelanggan. Apa pun, matlamatnya adalah untuk memendekkan masa menunggu, dan harapnya boleh dicapai dalam hujung tahun ini juga” jelas beliau.

     
     
  • Perodua Aruz dipanggil untuk pemeriksaan – terdapat kemungkinan sensor beg udara “terlalu sensitif”

    Perodua Aruz dipanggil untuk pemeriksaan – terdapat kemungkinan sensor beg udara “terlalu sensitif”

    Perodua telah memanggil semula sejumlah Aruz untuk pemeriksaan kemungkinan masalah sensor beg udara. Ia melibatkan 3,000 unit SUV tersebut, yang dibuat sebelum 15 Februari tahun ini.

    Menurut Perodua, kempen keselamatan ini dibuat kerana di Filipina, Toyota Rush telah dipanggil semula kerana sensor beg udara yang didakwa “terlalu sensitif”. Akibatnya, beg udara bidai kenderaan ini boleh keluar apabila melanggar bonjolan atas jalan pada kelajuan 60 km/j ke atas.

    Setakat ini menurut Perodua, masalah itu masih tidak memberi kesan kepada model di Malaysia, dan pemeriksaan serta penggantian alat yang terlibat dibuat sebagai langkah berjaga-jaga. Keseluruhan proses akan mengambil masa 30 minit untuk siap, dan semua kos ditanggung oleh Perodua.

    Perodua Aruz dipanggil untuk pemeriksaan – terdapat kemungkinan sensor beg udara “terlalu sensitif”

    “Kita mempunyai jalan yang lebih baik, tapi sebagai sebuah syarikat yang bertanggung jawab, kami akan menjalankan pemeriksaan pada semua model Aruz yang dibuat sebelum 15 Februari tahun ini, melibatkan 3,000 unit,” kata presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Beliau turut menambah bahawa ini bukan masalah keselamatan yang besar, jadi pengguna tidak perlu risau. Semua pemilik kenderaan yang terlibat akan diberitahu tentang panggilan pemeriksaan ini, dan ada antara mereka sudah pun menerima surat yang memberitahu potensi berlaku masalah tersebut, dan meminta mereka datang ke pusat servis untuk pemeriksaan.

     
     
  • Perodua jual 121,800 unit bagi separuh pertama 2019, 41.1% pegangan pasaran, sasaran baru jadi 235k unit

    Perodua jual 121,800 unit bagi separuh pertama 2019, 41.1% pegangan pasaran, sasaran baru jadi 235k unit

    Bagi tempoh separuh pertama 2019, Perodua menjual sebanyak 121,800 unit kenderaan. Jumlah berkenaan adalah 4% lebih tinggi berbanding tempoh sama yang dicapai tahun lalu, yang mencatatkan angka sebanyak 117,100 unit.

    “Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, Perodua telah mencatatkan jumlah tempahan sebanyak 190,765 unit kenderaan, meningkat sebanyak 3% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan 184,949 tempahan,” jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Peningkatan positif ini juga telah membolehkan Perodua untuk meletakkan sasaran baru untuk tahun ini kepada 235,000, lebih 4,000 unit berbanding sasaran awal yang diumumkan pada Januari lalu, iaitu sebanyak 231,000 unit.

    Bagi pegangan dalam pasaran untuk tempoh enam bulan pertama 2019, Perodua mencatatkan 41.7%. Sasaran pegangan pasaran bagi tempoh penuh tahun 2019 pula ialah sekitar 40%. Sepanjang enam bulan lalu, pecahan model kenderaan Perodua yang telah berjaya dijual adalah seperti berikut; lingkungan sekitar 43,000 unit Myvi, 32,000 unit Axia, 22,000 unit Bezza, 15,000 unit Aruz dan terakhir Alza dengan 8,000 unit jualan.

    Perodua jual 121,800 unit bagi separuh pertama 2019, 41.1% pegangan pasaran, sasaran baru jadi 235k unit

    Sementara itu, jumlah pengeluaran keseluruhan bagi tempoh enam bulan pertama ini juga telah mencecah 120,800 unit, meningkat sebanyak 10.5% berbanding tempoh sama tahun lalu, yang merekodkan sejumlah 109,300 unit kenderaan yang dikeluarkan.

    Peningkatan juga dicatatkan bagi pertumbuhan khidmat lepas jualan, dengan perkembangan sebanyak 10.4% berbanding 2018. Ini turut menyaksikan kenaikan dalam bilangan jumlah kenderaan yang dihantar semula ke pusat servis rasmi Perodua untuk penyelenggaraan, yang mencatatkan sebanyak 1,133,000 unit kenderaan diselia pada separuh pertama tahun ini.

    Bagi pasaran eksport pula, sasaran tahun ini ialah sebanyak 3,270 unit akan dihantar untuk pasaran luar. Perodua Myvi merupakan model paling banyak terlibat dengan aktiviti ini, dengan 2,170 unit daripadanya adalah untuk pasaran Indonesia. Baki 1,100 unit lagi adalah gabungan jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual dipasaran seperti Brunei, Sri Lanka, Seychelles, Singapura, Mauritius dan Fiji.

     
     
  • Perodua sah akan hasilkan model janaan hibrid

    Perodua sah akan hasilkan model janaan hibrid

    Begitu banyak perkara yang dikongsikan kepada kami oleh presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pembentangan prestasi jualan syarikat itu untuk setengah tahun 2019 pagi tadi. Selain dari hal-hal jualan, perancangan masa hadapan turut di sentuh oleh bos baharu Perodua itu dan salah satunya berkaitan dengan teknologi elektrifikasi.

    Menurut Datuk Zainal, Perodua tidak akan menghasilkan model-model elektrik sepenuhnya (EV) kerana ia tidak berapa sesuai di sini. Katanya, Malaysia masih lagi mendapatkan punca kuasa elektrik dari sumber bahan api fosil seperti gas asli dan arang baru, berbanding negara-negara maju yang menggunakan kuasa boleh diperbaharui seperti kuasa hidro.

    Namun, teknologi elektrifikasi ini tidak akan dibiar tanpa sebarang penerokaan kerana teknologi hibrid masih lagi sangat sesuai digunakan di Malaysia. Jadi Perodua sebenarnya sudahpun mula bergerak kearah teknologi hibrid, dan jika anda perasan, mereka sudahpun mendedahkannya pada KLIMS 2018.

    Perodua sah akan hasilkan model janaan hibrid

    Teknologi hibrid yang diambil dari Daihatsu itu beroperasi dengan konsep hibrid selari, dengan gabungan enjin pembakaran dalaman konvensional dan juga motor elektrik. Sama seperti kebanyakkan sistem hibrid lain, ia menerima kuasa elektrik dari bateri yang di cas semula dengan sistem pemulihan tenaga kinetik ketika kereta diperlahankan.

    Walau bagaimanapun, Datuk Zainal tidak mendedahkan bila teknologi ini akan diperkenalkan pada model-model produksi Perodua. Tetapi jika sistem tersebut sudah diprebiu kepada orang awam, sudah tentu ia tidak akan mengambil masa yang terlalu lama bukan?

    Beliau turut menegaskan bahawa fokus untuk membawa teknologi ini sebenarnya bagi memberikan penggunaan petrol yang lebih rendah, serta mengurangkan kebergantungan hanya kepada bahan api fosil. Menurutnya lagi, Perodua kini sudahpun mencapai ekonomi bahan api serendah 22 km setiap liter, manakala Daihatsu membuktikan 30 km setiap liter boleh dicapai menerusi model Mira e:S, jadi masih banyak ruang yang boleh dilakukan terhadap enjin konvensional.

    GALERI: Sistem hibrid Perodua di KLIMS 2018

     
     
  • Perodua akan terus jual Alza meskipun pasaran lebih cenderung kepada SUV dan sudah mempunyai Aruz

    Perodua akan terus jual Alza meskipun pasaran lebih cenderung kepada SUV dan sudah mempunyai Aruz

    Jualan pasaran kenderaan sekarang lebih cenderung kepada SUV, dan disebabkan itu, permintaan untuk MPV pula semakin kurang, termasuk di Malaysia. Meskipun begitu bagi Perodua, mereka akan terus menjual Alza bersama dengan Aruz yang menyertai sebagai produk tujuh tempat duduk mereka.

    Perkara ini diberitahu oleh pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Zahari Husin dalam satu sidang akhbar yang berlangsung pagi tadi. Tambah beliau, Aruz dan Alza tidak memberi kesan atas nombor jualan masing-masing kerana pembeli MPV masih memilih Alza manakala pembeli SUV dalam segmen ini akan memilih Aruz. Walaupun sudah memasuki facelift kedua, Alza masih mencatat permintaan yang tinggi dengan waktu menunggu antara satu hingga dua bulan.

    Perodua Alza dijual bermula pada harga sekitar RM51k untuk model asas 1.5S manual lima kelajuan, dan mencecah sehingga RM63k untuk varian 1.5 Advance automatik empat kelajuan. Kuasa datang daripada enjin petrol 1.5 liter 3SZ-VE dengan DVVT, dan disalurkan kepada roda hadapan.

    Perodua akan terus jual Alza meskipun pasaran lebih cenderung kepada SUV dan sudah mempunyai Aruz

    Sementara itu, Perodua Aruz pula dijual pada harga bermula RM73k untuk varian asas X, dan naik sehingga RM78k untuk AV yang paling tinggi. SUV ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter 2NR-VE yang mampu menghasilkan kuasa 101 hp dan 133 Nm tork, dengan gabungan transmisi automatik empat kelajuan dan kuasa yang disampaikan kepada roda belakang.

    Pada aspek keselamatan, Alza standard dilengkapi dengan ABS dengan Electonic Brake Force Distribution (EBD) dan Brake Assist, bersama dua beg udara dan cagak Isofix di tempat duduk baris tengah.

    Aruz pula secara standard datang dengan Vehicle Stability Control, Hill Start Assist, Hill Descent Control, cagak Isofix untuk tempat duduk baris kedua, perekod video hadapan, Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, amaran sebelum perlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, brek sebelum perlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, amaran pergerakan hadapan dan kawalan pedal sekiranya tersalah tekan.

    GALERI: Perodua Alza Advance facelift 2018

    GALERI: Perodua Alza SE facelift 2018

     
     
  • Perodua bakal hasilkan Myvi GT versi produksi untuk dijual, tetapi dengan spesifikasi jauh lebih murah

    Perodua bakal hasilkan Myvi GT versi produksi untuk dijual, tetapi dengan spesifikasi jauh lebih murah

    Apa yang paling disebut-sebut orang ketika Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun lalu? Sudah tentu salah satu konsep Perodua iaitu Myvi GT – sebuah Myvi generasi ketiga yang diberikan pelbagai kelengkapan yang jauh lebih sporty dari model standard. Persoalannya, adakah Myvi GT ini akan diproduksi memandangkan ia menjadi buah mulut orang ramai tahun lalu?

    Ketika pembentangan prestasi jualan Perodua untuk setengah tahun 2019, presiden dan CEO jenama tersebut, Datuk Zainal Abidin Ahmad mendedahkan bahawa sebuah model Myvi yang lebih sporty akan didedahkan tidak lama lagi. Model berkenaan tidak mengambil spesifikasi Myvi GT sepenuhnya kerana ia akan menghasilkan sebuah model yang terlalu mahal.

    Perodua bakal hasilkan Myvi GT versi produksi untuk dijual, tetapi dengan spesifikasi jauh lebih murah

    Tetapi, ia bakal menampilkan ciri-ciri lebih garang dengan bampar yang lebih agresif dan sebagainya, bagi menghasilkan model lebih sporty yang masih mampu milik, juga sebagai versi produksi Myvi GT.

    Di KLIMS 2019, Myvi GT tampil bukan sahaja dengan kit badan yang lebih garang, malah hadir dengan suspensi boleh laras, rim 17-inci lima-jejari berkembar berwarna hitam, dibaluti tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE003, sistem brek Brembo dan pelbagai lagi. Dalam kabin, ia menerima roda stereng rata di bawah diperbuat dari gentian karbon, bersama tempat duduk bucket serta balutan-balutan Alcantara.

    Buat masa sekarang, Myvi hadir dengan model Advance 1.5 automatik sebagai model tertinggi, dijana enjin 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT berkuasa 102 hp/136 Nm bersama sistem upholsteri kulit, pemain audio utama skrin sesentuh dengan navigasi dan SmartLink serta sistem bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA), dijual pada harga atas jalan RM 52,186.23.

    Sehingga kini versi SE untuk Myvi generasi baharu tersebut masih lagi belum muncul, dan model lebih sporty yang diperkatakan berkenaan mungkin akan mengambil tempat ini. Seperti Myvi SE generasi kedua, ia hanya menampilkan ciri lebih sporty hanya pada aspek esterika semata-mata, dan ini berkemungkinan besar akan diteruskan pada versi baharu ini.

    GALERI: Perodua Myvi GT di KLIMS 2018

     
     
  • Perodua rancang tawarkan ciri ASA untuk varian dan model lebih rendah, bukan hanya terhad bagi Advance

    Perodua rancang tawarkan ciri ASA untuk varian dan model lebih rendah, bukan hanya terhad bagi Advance

    Faktor keselamatan sentiasa menjadi keutamaan bagi Perodua. Dan, perkara ini dapat dilihat melalui penawaran yang diberikan bagi model-model yang dilancarkan beberapa tahun kebelakangan ini seperti Myvi dan Aruz, yang ketika ini varian tertinggi kedua-dua model berkenaan dilengkai dengan ciri keselamatan ASA, termasuk di dalam ciri brek kecemasan automatik atau AEB.

    “Ini yang ingin dilakukan oleh Perodua, menawarkan teknologi keselamatan maju kepada lebih ramai pengguna,” jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad. Beliau turut memaklumkan, berdasarkan kajian dijalankan oleh Daihatsu di Jepun, ciri AEB telah berjaya mengurangkan kemalangan kecil sehingga 53%.

    Untuk itu, Perodua memang ada perancangan untuk memperkenalkan teknologi keselamatan ASA berkenaan pertama sekali kepada varian lain selain Advance yang tertinggi. “Begitu juga, ciri berkenaan akan kami sertakan pada model-model lain yang lebih rendah. Matlamatnya adalah untuk membolehkan ciri ini dimanfaatkan oleh lebih ramai orang,” ujarnya.

    “Jadi, untuk masa akan datang, tak kira pelanggan beli varian yang rendah atau yang tinggi, mereka akan mendapat kelengkapan keselamatan yang sama. Ini yang cuba kami capai, dan memang sudah ada dalam perancangan syarikat,” tambah Dato’ Zainal walaupun tidak memberikan tempoh jelas bila perkara ini akan dilaksanakan, kemungkinan dalam tempoh dua tahun ini.

    Beliau menambah, ciri ASA atau kelengkapan keselamatan seperti akan lebih memberi kesan kepada pengguna di Malaysia, terutamanya dalam mengurangkan kemalangan yang melibatkan motosikal. “Kami juga berharap, kereta dengan teknologi keselamatan maju seperti ini dapat ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik, dan mungkin dapat menarik pelanggan yang sebelum ini menggunakan motosikal beralih untuk membeli kereta Perodua, untuk faktor keselamatan berkenaan,” ujarnya lagi.

     
     
  • Mercedes-AMG GLC43, GLC43 Coupe FL dalam teaser

    Mercedes-Benz telah pun mendedahkan versi facelift bagi model GLC dan GLC Coupe, termasuklah versi berkuasa yang menggunakan lencana “63”, tetapi versi pertengahan “43” masih lagi belum diperkenalkan. Persoalan yang ada bakal terjawab tidak lama lagi kerana syarikat itu baru sahaja mengeluarkan teaser Mercedes-AMG GLC 43 4Matic dan GLC 43 4Matic Coupe melalui laman media sosial mereka.

    Berdasarkan klip video pendek yang menampilkan GLC 43 Coupe, SUV prestasi ini dilihat mempunyai lampu utama Multibeam LED dengan DRL yang direka semula, lampu belakang dengan grafik bulat di dalamnya serta gril Panamericana di hadapan. Untuk bahagian dalam, terdapat sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang termasuk skrin sesentuh 10.25 inci dan pad kawalan sesentuh.

    Selain perubahan visual, model facelift GLC 43 sepatutnya juga datang dengan enjin yang dipertingkat. Pada model sekarang ini, enjin V6 3.0 liter twin-turbo M276 yang digunakan mampu menghasilkan 362 hp (367 PS) dan 520 Nm tork, digabungkan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Perincian lanjut model facelift ini hanya akan diketahui apabila ia didedahkan secara rasmi tidak lama lagi.

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupe di Malaysia

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC di Malaysia

     
     
  • Mercedes-Benz akan hentikan pengeluaran X-Class

    Mercedes-Benz akan hentikan pengeluaran X-Class

    Kerana permintaannya yang tidak begitu memberangsangkan, Mercedes-Benz dijangka bakal menghentikan pengeluaran trak pikap ladder frame mereka iaitu X-Class. Perkara ini diberitahu sumber dalaman jenama berkenaan kepada portal berita automotif, Automotive News Europe.

    Seperti yang diketahui, trak pikap dengan gaya mewah sebenar Mercedes-Benz berkenaan dihasilkan dari asas yang sama dengan Nissan Navara NP300, dilancarkan pada tahun 2017. Walaupun ia berada dalam segmen yang popular iaitu trak pikap bersaiz sederhana seperti Ford Ranger dan Toyota Hilux, X-Class hanya berjaya dijual sebanyak 16,700 unit di Eropah, Australia dan Afrika Selatan sepanjang tahun lalu.

    Mercedes tidak membawa trak ini ke pasaran Amerika kerana pasaran berkenaan didominasi oleh trak-trak pikap bersaiz penuh seperti Ford F-150 dan Chevrolet Silverado.

    Mercedes-Benz akan hentikan pengeluaran X-Class

    Sebelum ini, X-Class dikatakan akan menerima enjin petrol V8 bersama pilihan bentuk badan lebih banyak – telah dilihat diuji di atas jalan raya. Namun pilihan enjin V8 berkenaan mungkin tidak akan muncul kerana segmen trak-pikap saiz sederhana di dominasi oleh model-model dengan enjin empat-silinder sebaris.

    Rancangan untuk memproduksi X-Class di kilang Renault-Nissan di Argentina dan Amerika Selatan turut di telah dibatalkan dan Daimler terpaksa memotong jangkaan untungnya untuk kali keempat dalam tempoh 13-bulan kerana mereka menyusun semula dana untuk undang-undang pencemaran diesel serta panggilan semula masalah beg udara.

    Buat masa ini X-Class hadir dengan varian X 220 d berkuasa 163 hp dan juga X 250 d, yang dijana enjin 2.3 liter diesel dari Renault, dalam versi pengecas turbo tunggal dan berkembar. Model X 350 d dengan enjin 3.0 liter V6 turbo berkuasa 258 hp/550 Nm kemudiannya muncul pada tahun 2018, digandingkan bersama kotak gear automatik tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic.

     
     
  • 281,527 kemalangan jalan raya bagi 1H 2019 – Naik 2.5%, Selangor dan Johor penyumbang tertinggi

    281,527 kemalangan jalan raya bagi 1H 2019 – Naik 2.5%, Selangor dan Johor penyumbang tertinggi

    Bagi tempoh separuh pertama (1H) tahun 2019, sebanyak 281,527 kes kemalangan jalan raya telah dicatatkan di seluruh negara. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 2.5% berbanding 274,556 bagi tempoh sama pada tahun lepas.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, kes berkenaan meliputi kemalangan maut, kemalangan yang membawa cedera parah dan cedera ringan.

    “Daripada jumlah itu, Selangor merupakan negeri penyumbang tertinggi kes kemalangan iaitu sebanyak 83,607 kes (29.7%), diikuti Johor 41,161 kes (14.6%) dan Kuala Lumpur di tempat ketiga dengan 36, 288 kes (12.9%),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, bagi kes kemalangan maut, Selangor dan Johor menjadi penyumbang tertinggi dengan 482 kematian direkodkan, diikuti Perak dengan 302 kematian.

    “Penunggang motosikal pula kekal mendahului senarai penyumbang kematian paling ramai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan 1,984 kes kematian direkodkan, diikuti dengan kereta (580 kematian) dan pejalan kaki (220 kematian) dan selebihnya adalah lain-lain kenderaan,” katanya.

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

    Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

    Barisan model “45” oleh Mercedes-AMG yang dirombak semula kini semakin berkembang dengan pengenalan CLA 45 4Matic+ Shooting Brake, yang menyertai model A 45 dan CLA 45 yang telah didedahkan sebelum ini. Jika anda mahukan sebuah model pantas, tapi dengan lebih ruang, inilah calonnya.

    Sama seperti dua model yang dinyatakan tadi, CLA 45 SB ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter M139 yang menggantikan enjin M133 sebelum ini. Bergantung kepada tekanan boost pengecas turbo twin scroll tunggalnya, model ini ditawarkan dalam dua variasi kuasa.

    Model asas mempunyai boost 1.9 bar dan mampu menghasilkan 387 PS (382 hp) pada 6,500 rpm dan 480 Nm tork dari 4,750 rpm. Model S yang menggunakan lencana CLA 45 S 4Matic+ Shooting Brake pula mempunyai kadar boost 2.1 bar, mampu menghasilkan kuasa 421 PS (416 hp) pada 6,750 rpm dan 500 Nm tork dari 5,000 rpm.

    Untuk pecutan 0-100 km/j, model S boleh melengkapkannya dalam masa cuma empat saat, manakala model asas pula 1/10 lebih lambat. Kedua-dua model boleh mencapai laju maksimum 270 km/j, tetapi model asas perlu mendapatkan pakej tambahan AMG Driver’s Package. Jika tidak, ia cuma boleh sampai ke kelajuan 250 km/j.

    Seperti yang pernah kami jelaskan sebelum ini, enjin M139 adalah unik untuk model “45”, dan menampilkan crankcase serba aluminium, crankshaft forged steel, piston forged aluminium, silinder yang disalut dengan Nanoslide, injap ekzos lebih besar, kedudukan injector yang dioptimakan, sistem suntikan dua tahap (direct dan port injection), dan penapis pada takung minyak.

    Enjin ini juga dipasang dengan pengecas turbo dan manifold ekzos yang berada lebih dekat kepada firewall, manakala bahagian intake pula menghadap ke depan. Tetapan ini memberikan laluan udara yang lebih pendek dan tidak banyak gangguan – kedua-dua untuk bahagian intake dan ekzos.

    Untuk sistem penyejukan, pam air mekanikal digunakan untuk menghantar coolant kepada head, sementara untuk crankcase pula ia menggunakan pam air elektronik. Suhu optima ditentukan oleh unit pengawal enjin (ECU).

    Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi klac berkembar AMG Speedshift DCT 8G (lapan kelajuan), serta sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4MATIC+ yang juga datang dengan AMG Torque Control. Dua klac multi-disc elektronik pada gandar belakang pula membahagikan tork antara tayar depan dan belakang, serta kiri dan kanan.

    Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

    Pada bahagian suspensi, kenderaan ini menggunakan tetapan McPherson di hadapan dan four-link di belakang. Penyerap pasif diberikan secara standard, tetapi pelanggan juga boleh memilih penyerap adaptif AMG Ride Control sebagai tambahan. Stereng menggunakan sistem kuasa elektro-mekanikal yang sensitif kepada kelajuan.

    Sistem ini disambungkan kepada pemilih mod pemanduan AMG Dynamic Select, yang boleh ditambah lagi dengan pakej AMG Dynamic Plus untuk model standard (pakej ini datang terus bagi model S). Melalui pakej ini, anda akan mendapat mod Race sebagai tambahan kepada mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual yang sedia ada, boleh menggunakan mod Drift untuk berseronok. Sebagai tambahan kepada mod pemanduan ini, terdapat juga AMG Dynamics, yang dapat mengawal dinamik kenderaan melalui empat tahap iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master.

    Untuk mengurangkan laju kenderaan, CLA 45 SB menggunakan angkup empat piston serta cakera 350 mm di hadapan, manakala di belakang menggunakan angkup terapung satu piston yang mencengkam cakera 330 mm. Angkup itu diwarnakan kelabu dengan tulisan AMG putih. Melalui pakej AMG Dynamic Plus yang dinyatakan awal tadi, breknya adalah angkup enam piston berserta cakera 360 mm di hadapan, dan ia diwarnakan merah berserta logo AMG hitam.

    Mercedes-AMG CLA45 4Matic+ Shooting Brake X118 – 416 hp dan 500 Nm tork, ruang simpanan lebih luas

    Daripada penampilam, CLA 45 SB mendapat muka yang sama seperti CLA 45, termasuk gril Panamericana, diffuser belakang dan tambahan panel aerodinamik lain melalui pakej tambahan AMG Aerodynamic. Model asas mendapat ekzos bersaiz 82 mm manakala model S menggunakan muncung 90 mm.

    Masuk ke dalam, sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada model ini mendapat paparan khas untuk model AMG dan roda stereng AMG Performance, sementara untuk model S ia akan datang dengan kemasan berwarna kuning. Tempat duduk dan beberapa bahagian lain dibalut dengan kulit buatan Black Artico dan gentian mikro Dinamica secara standard, tetapi masih ada pilihan tambahan lain sekiranya mahu.

    Bagi yang khuatir tentang praktikaliti, anda harus tahu bahawa CLA 45 SB ini mempunyai bukaat but lebih luas, iaitu 871 mm, berbanding 635 mm bagi model sebelumnya, dan ditawarkan dengan pakej Easy Pack dan Hands Free Access. Ruang simpanan itu sendiri mempunyai keluasan 505 liter dan Mercedes memberitahu ia “cukup besar untuk memuatkan barangan rekreasi dan aktiviti luar.”

     
     
  • Lotus Evija – hypercar elektrik sepenuhnya 2,000 PS!

    Lotus Evija – hypercar elektrik sepenuhnya 2,000 PS!

    Lotus terkenal dengan kereta-kereta sport yang dibina dengan kuasa yang tidak terlalu tinggi, tetapi lebih mengutamakan aspek ringan, sesuai dengan prinsip pengasasnya, Colin Chapman yang mengatakan “kurangkan berat untuk tambah kelajuan”. Tapi kereta elektrik pertama yang dihasilkan oleh pembuat dari Britain ini menampilkan perkara sebaliknya kerana bakal dikerah dengan 2,000 PS dan tork 1,700Nm!

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, hypercar berkenaan diberi nama Lotus Evija (sebut ‘E-vi-ya’ yang bermaksud kewujudan pertama). Kereta ini juga adalah model baharu sepenuhnya dari Lotus sejak 2008, dan model pertama di bawah payung kumpulan Geely. Projek ini juga mendapat kerjasama dari Williams Advanced Engineering (WAE).

    Hypercar elektrik ini akan dibekalkan dengan bateri lithium-ion 70 kWh yang dibekalkan oleh WAE, dan akan diletakkan di belakang kokpit, atau di tengah-tengah badan kereta berkenaan. Bukan saja-saja ia diletakkan di situ kerana menurut Lotus, posisi bateri tersebut akan memberi kelebihan dari aspek reka bentuk, aerodinamik, nisbah agihan berat, keselesaan dan dinamik pemanduan.

    Ia turut akan mudah untuk diselenggara dan membolehkan bateri alternatif lain boleh ditukar dengan senang pada masa hadapan, sebagai contoh bateri yang lebih dioptimakan untuk kegunaan litar. Lotus juga menyatakan bahawa bateri ini adalah unit paling ringan dan paling padat dengan tenaga pernah dipadankan pada sebuah model produksi jalan raya biasa.

    Lotus Evija – hypercar elektrik sepenuhnya 2,000 PS!

    Asas kepada Evija adalah casis monocoque yang dihasilkan dari gentian karbon sepenuhnya – pertama seumpamanya dari Lotus – dengan berat hanya 129 kg. Model ini juga disasarkan akan menjadi sebuah hypercar produksi elektrik sepenuhnya paling ringan dalam pasaran dengan berat hanya 1,680 kg.

    Tab monocoque untuk casis Evija ini dibekalkan oleh CPC, iaitu syarikat peneraju teknologi komposit dari Itali. Ia dibina dari pelbagai lapisan karbon dengan proses penghasilan yang sama dengan pembuatan casis jentera F1 bagi memastikan platform ini adalah yang paling ringan, tegar, selamat dan canggih pernah dihasilkan untuk kereta jalan raya Lotus.

    Bekalan kuasa yang tidak masuk akal berkenaan hadir dari dua motor elektrik berkuasa tinggi dibekalkan oleh Integral Powertrain yang diletakkan secara sebaris, yang turut menampilkan unit-unit inverter yang dihasilkan dari silikon karbida serta transmisi epicyclic pada gandar hadapan dan belakang hypercar pacuan semua roda ini.

    Setiap hab roda akan menerima kotak gear dengan gear helix satu kelajuan yang sangat kompak dengan ukuran hanya 100 mm. Setiap kotak gear tersebut hadir sekali dengan motor elektrik dan unit inverter – kedua-duanya terkandung dalam satu unit pacuan elektrik yang berbentuk silinder, dan Lotus mensasarkan setiap satu akan menghasilkan kuasa 500 PS.

    Ini membolehkan Evija memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai 3 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 320 km/j. Ia juga mampu untuk memecut dari 100-200 km/j kurang dari 3 saat, dan 200-300 km/j di bawah 4 saat. Lotus juga mendakwa bahawa Evija mampu mencapai kelajuan 300 km/j tidak sampai 9 saat, yang nyata lebih pantas dari saingan-saingan terdekatnya.

    Walaupun ia sebuah kereta elektrik, Evija masih dibekalkan dengan sistem stereng elektro-hidraulik bagi memberikan rasa yang paling semulajadi. Ia juga dibekalkan dengan sistem torque vectoring yang memberikan respon dinamik dan menjadikan ia sebuah jentera lincah di selekoh dengan mengagihkan tork secara tepat pada setiap roda berdasarkan selekoh dan permukaan jalan.

    Kereta ini hadir dengan lima mod pemanduan iaitu Range, City, Tour, Sport, dan Track. Untuk mod Track, sistem torque vectoring akan dioptimakan bagi membantu pemandu untuk mendapatkan masa lap terpantas.

    Untuk pemanduan biasa di jalan raya menerusi mod Range dan City, Evija boleh dipandu sejauh 400 km (berdasarkan protokol WLTP baharu) dengan satu cas penuh. Ia boleh dicas semula dengan sistem pengecas ultra pantas 800 kW atau dua kali lebih pantas dari sistem 450 kW yang diperkenalkan oleh BMW dan Porsche.

    Lotus Evija – hypercar elektrik sepenuhnya 2,000 PS!

    Dengan penggunaan pengecas 800 kW tersebut, bateri Evija ini hanya mengambil masa 9 minit untuk mendapatkan cas penuh! Walau bagaimanapun, pengecas ultra pantas berkenaan masih lagi belum ditawarkan dalam pasaran. Tetapi dengan pengecas pantas 350 kW sedia ada sudah cukup untuk Evija mendapatkan cas penuh hanya dalam masa 18 minit. Lotus Evija menggunakan soket pengecas CCS Type 2 yang diletakkan pada bahagian belakang.

    Rekaan luaran Evija ini sudahpun hampir bersedia untuk diproduksi, menurut Lotus. Seperti kereta-kereta Lotus lain, Evija juga turut direka sangat rendah, dengan kelegaan tanah hanya 105 mm. Kabin signatur berbentuk titisan air Lotus masih kekal pada model ini. Tetapi pada bahagian belakang, ia hadir seakan supercar Itali dan jentera Le Mans menampilkan terowong venturi yang mengoptimakan aliran udara dengan menghalakannya ke badan kereta.

    Setiap corong terowong tersebut diberikan jalur LED yang turut berfungsi sebagai lampu brek bersama lampu isyarat membelok yang turut terbina dalam, bagi menghasilkan imej seolah-olah lampu belakang kereta ini kelihatan seperti riben. Ada juga lampu LED yang disorokkan pada terowong tersebut bagi memberikan pencahayaan ke dalam kabin, manakala lampu mengundur pula muncul pada huruf ‘T’ pada emblem Lotus itu sendiri.

    Spoiler belakang kereta ini bertindak sebagai aerodinamik aktif Evija kerana ia akan naik secara automatik sekiranya mod Track dipilih. Pemandu turut boleh menaikkan spoiler berkenaan secara manual. Jika anda perasan, kereta ini juga tiada cermin sisi pandang belakang. Ini kerana tugas tersebut telah digantikan dengan kamera yang diletakkan pada setiap sisi yang boleh disorokkan ke dalam badan.

    Satu lagi kamera turut diletakkan pada bumbung menghadap belakang bagi menggantikan cermin pandang belakang. Kesemua imej dari kamera-kamera tersebut akan dipancarkan ke tiga skrin yang terletak dalam kabin. Pembuka pintu juga tiada di mana pemandu perlu membuka pintu menggunakan kunci kawalan jauh, manakala untuk menutupnya dari dalam, suis yang diletakkan pada konsol bumbung perlu ditekan.

    Dalam kabin, Evija diberikan roda stereng berbentuk empat segi yang turut menempatkan suis kawalan Drag Reduction System (DRS), sistem cruise control, dan juga suis “Manettino” bagi memilih mod pemanduan. Satu-satunya skrin pada kereta ini adalah instrumen meter digital, dan ia turut memberikan maklumat seperti mod pemanduan, jumlah cas bateri serta memberikan fungsi jam randik bagi merekodkan bacaan masa lap di litar.

    Konsol tengah pula direka seakan ‘ski-slope‘ dan menempatkan butang-butang haptik peka-sentuhan dengan rekaan heksagon bagi memudahkan pemandu untuk menggunakannya. Elemen rekaan yang sama turut diterapkan pada tuil suis lampu signal dan juga permukaan pedal-pedal kaki aluminium.

    Sistem penghawa dingin dan juga infotainment adalah ciri standard pada Evija dan ia turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Buat pertama kali, Lotus menyediakan servis terhubung pada keretanya menerusi Evija, yang menawarkan kemaskini perisian secara atas talian bersama modem onboard yang membolehkan komunikasi cloud.

    Ia turut hadir dengan aplikasi telefon pintar yang membolehkan pemilik mengetahui status Evija mereka di mana-mana, sebagai contoh status caj bateri dan juga jarak pemanduan. Aplikasi tersebut turut boleh mengawal fungsi lain seperti penghawa dingin, membolehkan pemilik menyejukkan atau memanaskan kabin terlebih dahulu sebelum mereka masuk ke kereta. Log data ketika sesi pemanduan litar juga dapat diakses menerusi aplikasi ini.

    Lotus Evija hanya akan dihasilkan sebanyak 130 unit, dan akan diproduksi bermula tahun 2020. Ia akan dijual pada harga anggaran £1.5-2 juta. Bagi mereka yang ingin menempah, bayaran deposit £250,000 (RM1.3 juta) diperlukan, dan ia akan dipulangkan sekiranya pelanggan mengubah fikiran.

     
     
  • PDRM beri amaran buang sampah dari dalam kenderaan boleh disaman sebanyak RM300

    Ini bukan perkara main-main tapi amaran dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menegaskan membuang sampah dari kenderaan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 52, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959) dengan denda maksimum RM300. PDRM berpendapat, tindakan tersebut adalah perbuatan buruk kerana sampah yang dibuang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain sehingga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

    Amaran ini telah disiarkan menerusi laman Facebook rasminya pada Isnin lalu dan mendapat pelbagai respons daripada netizen yang rata-ratanya bersetuju penguatkuasaan ini diimplementasikan. Malah ada juga netizen yang mengemukakan cadangan agar pihak PDRM menerima laporan bergambar mahu pun video yang dihantar oleh pengguna jalan raya sekiranya ada yang ternampak pemandu atau penumpang kenderaan yang melakukan kesalahan ini.

    Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengumpul sampah dalam kenderaan terlebih dahulu dan membuangnya di tempat yang disediakan apabila berhenti untuk berehat ketika memandu. Menjaga kebersihan persekitaran bukan sahaja amalan yang dituntut oleh semua agama, tetapi juga melambangkan adab seseorang dan keprihatinan terhadap alam sekitar.

     
     
  • 240,501 saman trafik tertunggak libatkan warga asing antara 2014-2018; Singapura catat rekod tertinggi

    240,501 saman trafik tertunggak libatkan warga asing antara 2014-2018; Singapura catat rekod tertinggi

    Dalam tempoh antara tahun 2014 hingga 2018, sebanyak 240,501 saman trafik tertunggak membabitkan warga asing dengan jumlah mencecah puluhan jutaan ringgit telah dicatatkan. Kenyataan ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, pada sidang media mengenai laporan prestasi setengah tahun dan op saman tertunggak warga asing (Ostwa IX) di Bukit Aman semalam.

    Tanpa mendedahkan nilai sebenar saman tertunggak itu, beliau turut berkata, daripada jumlah itu, warga Singapura merekodkan jumlah tertinggi saman tertunggak membabitkan 136,601 saman dan yang paling banyak melakukan kesalahan jalan raya kerana mereka yang paling banyak keluar masuk ke negara ini. Diikuti dengan warga Brunei sebanyak 40,101 saman dan Thailand pula 24,651 saman.

    “Saya akan berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan bagi menetapkan polisi mengambil tindakan terhadap warga asing yang membuat kesalahan di negara ini seperti yang dilaksanakan Singapura yang tidak membenarkan kenderaan Malaysia masuk jika masih mempunyai saman tertunggak.

    “Saman tertunggak itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat dan tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Harap kerajaan Malaysia lebih bertegas dalam menyelesaikan masalah ini dan tidak lagi berlembut dengan warga asing yang ‘makin naik lemak’ sebegini. Apa komen anda mengenainya? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah.

     
     
  • Mazda CX-30 – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    Mazda CX-30 – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    SUV Mazda CX-30 akan dilancarkan di Eropah tidak lama lagi. Bersekali dengan sesi pandu uji media di sana, Mazda telah mengeluarkan senarai spesifikasi awal dan galeri penuh bagi SUV kompak berkenaan, yang akan mengisi slot penawaran antara CX-3 dan CX-5 selepas ini.

    Senang cerita, ini model crossover bagi Mazda 3 hatchback, dan akan ditawarkan dengan enjin 2.0L SkyActiv-G NA empat-silinder. Ia menjana sebanyak 122 PS pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm dengan kadar penggunaan minyak antara 6.2 dan 7.3 liter bagi setiap 100 km menurut bacaan gabungan kitaran WLTP.

    Ini dicapai melalui ciri seakan nyah-aktif silinder dan sistem Mazda M Hybrid yang merupakan sistem mild-hybrid 24-volt. SUV ini turut ditawarkan dengan enjin 1.8L SkyActiv-D yang menghasilkan 116 PS pada 4,000 rpm dan 270 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Unit ini mampu berikan bacaan penggunaan minyak dari 5.1 dan 6.1 liter bagi setiap 100 km.

    Mazda CX-30 – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    Mazda CX-30 ini juga akan menerima enjin SkyActiv-X petrol untuk pasaran di sana. Tiada perincian lanjut tentang enjin ini didedahkan setakat ini, tetapi unit sama pada Mazda 3 menghasilkan 180 PS pada 6,000 rpm dan 224 Nm pada 3,000 rpm. Ia juga memanfaatkan sistem Mazda M Hybrid.

    Semua pilihan enjin ini digandingkan bersama antara kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, bersekali dengan pilihan sistem pacuan semua roda i-Activ yang diperkemas untuk menjadi lebih cekap serta sistem G-Vectoring Control (GVC). CX-30 juga menggunakan platform SkyActiv-Vehicle Architecture – badan yang dibangun menggunakan kerangka lurus dan struktur gelung bersambung.

    Semua ini, termasuk penggunaan keluli berketahanan tinggi memberikan kadar 1,310 MPa, membolehkan struktur yang ringan tetapi sangat tahan digunakan untuk bahagian badan kenderaan. Suspensi pula menggunakan “McPherson Strut” di depan dan “torsion beam” di belakang.

    Mazda CX-30 mempunyai ukuran dimensi seperti berikut; 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm. Dibandingkan dengan dimensi bagi CX-3 (4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, 2,570 mm bagi jarak roda) and CX-5 (4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi, 2,700 mm untuk jarak roda).

    Mazda CX-30 – spesifikasi pasaran Eropah didedahkan

    Dari sudut rekaan luaran, CX-30 memiliki penampilan yang tersendiri, bukan sekadar sebuah Mazda 3 yang ditinggikan kedudukannya dari tanah. Perkara ini antaranya boleh dilihat pada rekaan lampu utama yang tirusnya (dengan lampu isyarat nyalaan berturutan) serta rekaan gril yang diwarisi dari Mazda 3. Tetapi ada ciri lain yang unik bagi CX-30, misalnya tiang-C yang lebih nipis serta rekaan lampu belakang yang berbeza.

    Ruang dalaman pula banyak mengekalkan rekaan apa yang kita lihat ada pada Mazda 3. Sedikit berlainan mungkin ialah panel atas papan pemuka yang menempatkan skrin 8.8-inci, yang tetap disambung pada sistem infotainmen Mazda Connect. Ia menggunakan sistem audio Bose 12-pembesar suara, hadir dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Kapasiti but untuk membawa barangan ialah 430 liter.

    Dari segi keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan tujuh beg-udara, serta bantuan pemandu seperti AEB, kawalan meluncur adaptif, bantuan mengekalkan lorong, tinjauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan beberapa ciri yang turut ditawarkan sebagai pilihan untuk pasaran Eropah. Nak model ini untuk pasaran Malaysia?

     
     
  • SPYSHOT: VW Golf GTI Mk8 bakal jana 300 hp?

    SPYSHOT: VW Golf GTI Mk8 bakal jana 300 hp?

    Volkswagen Golf generasi kelapan dijangka bakal membuat kemunculan rasminya pada Oktober tahun ini, dan ia sudah pun dijumpai diuji tanpa sebarang penyamaran sebelum ini. Ini adalah gambar Golf Mk8 yang baru kami terima jurugambar intipan kami – ia masih penuh dengan pelekat penyamaran, kerana ini adalah dari versi berprestasi tinggi, Golf GTI!

    Dapat dilihat, muka model GTI ini masih lagi seiras dengan model standard menampilkan lampu hadapan LED yang lebih nipis dari model sedia ada. Walaupun ia menerima pelekat penyamaran penuh dan tebal, model lebih berkuasa ini nampaknya menerima gril bawah yang lebar diberikan elemen mesh, dan juga apron lebih agresif bagi mengalirkan udara dengan lebih aerodinamik.

    Unit prototaip ini juga diuji dengan rim berdiameter 19-inci, diambil dari Golf R sedia ada (rim dengan saiz sama mungkin ditawarkan sebagai opsyenal, dan ia hadir standard dengan rim 18-inci). Manakala pada bahagian belakang, Golf GTI generasi baharu ini turut diberikan dua tip ekzos bersama bampar yang lebih sporty.

    SPYSHOT: VW Golf GTI Mk8 bakal jana 300 hp?

    Tiada lagi gambar bahagian kabin Golf GTI Mk8 ini dapat ditangkap, tetapi Volkswagen sebelum ini telah mendedahkan lakarannya. Kali ini Golf akan menerima dua skrin yang akan bertindak sebagai paparan instrumen dan unit infotaimen seakan Mercedes Benz A-Class generasi terkini. Seperti model sedia ada, varian GTI dijangka bakal hadir dengan grafik instrumen lebih serius.

    Buat masa sekarang, Golf Mk7.5 telah hadir dengan versi paling berkuasa digelar Golf GTI TCR yang telah didedahkan awal tahun ini, dihasilkan dari inspirasi terhadap jentera perlumbaan Golf TCR sebenar. Walaupun menghasilkan kuasa hampir 300 PS, Golf GTI TCR tidak mengambil terus enjin dari Golf R, sebaliknya menggunakan enjin TSI EA888 2.0 liter turbo dari GTI, dan ditala bagi menjana 290 PS dan tork maksima 370 Nm, memacu hanya roda hadapan.

    SPYSHOT: VW Golf GTI Mk8 bakal jana 300 hp?

    Ia jelas lebih berkuasa dari model yang pernah merampas takhta dari Honda Civic Type R di Nurburgring iaitu Golf GTI Clubsport S yang berkuasa 261 hp, dan Golf GTI TCR tersebut mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa bawah enam saat.

    Ada sumber yang mengatakan bahawa Volkswagen akan terus menggunakan enjin yang sama dari Mk7 untuk model Mk8 ini, dan tidak mustahil talaan versi TCR turut akan ditampilkan memandangkan seteru utama Golf GTI seperti Hyundai i30 N dan Honda Civic Type R kini menampilkan kuasa sekitar 250 PS hingga 320 PS.

     
     
  • Volkswagen dedah kotak gear manual MQ281 baharu – kendali hingga 340 Nm, standard untuk semua model

    Volkswagen dedah kotak gear manual MQ281 baharu – kendali hingga 340 Nm, standard untuk semua model

    Volkswagen telah membangunkan kotak gear manual baharu yang dikenali sebagai MQ281, dan pengeluar kenderaan tersebut mendakwa ia boleh membantu memberi penjimatan sehingga lima gram bagi CO2 per kilometer bergantung pada kombinasi kotak gear-enjin. Passat baharu akan menjadi model pertama yang akan dipasangkan dengan kotak gear ini, diikuti hampir kesemua model lain di bawah Volkswagen Group.

    Beberapa penambahbaikan dan pengubahsuaian telah dilakukan untuk meningkatkan kecekapan dan penggunaan bahan bakar untuk membuatkan kotak gear ini menjadi lebih baik. Ia bagi memenuhi permintaan yang masih tinggi dalam pasaran global yang memerlukan kotak gear manual ini.

    Terutamanya bagi SUV dengan roda berdiameter-besar, ujar Volkswagen. Malah ketua unit pembangunan kotak gear manual dan pacuan empat-roda Volkswagen, Helmut Gobbles berkata, “Dengan MQ281, kami membangunkan kotak gear manual yang lebih tinggi penjimatannya yang dapat memenuhi permintaan – dan ia bakal diperkenalkan untuk beberapa kelas kenderaan.”

    Bagi sudut teknikal, MQ281 ini memiliki spektrum tork antara 200 Nm hingga 340 Nm, di mana ia berkeupayaan menggantikan model semasa kotak gear Volkswagen iaitu MQ250 dan MQ350.

    Volkswagen dedah kotak gear manual MQ281 baharu – kendali hingga 340 Nm, standard untuk semua model

    Kotak gear manual MQ250 dan MQ350 lama akan digantikan dengan unit MQ281

    Ia dibangunkan berdasarkan konsep shaft 2.5 dan mampu membahagikan nisbah gear pada kadar lebih tinggi (maksimum 7.89). Ia memberikan jaminan untuk prestasi pemanduan off-road, walau pun kenderaan berat dengan roda yang besar. Bukan itu sahaja, ia turut dihasilkan dengan rekaan ‘downspeeding’, membolehkan ia dipandu dalam gear yang tinggi dalam kelajuan enjin putaran enjin (rpm) yang rendah, seterusnya memberikan penjimatan bahan api.

    Malah pembangunan bagi kotak gear manual ini memfokuskan untuk penjimatan yang lebih optimum. “Di sini kami menggunakan kaedah pembangunan maya. Ia membolehkan kami mereka bentuk sistem pengaliran minyak sepenuhnya. Dengan menggunakan pelbagai cara untuk mengalirkan minyak, kami dapat mencapai pelinciran yang lebih optimum untuk roda gear dan bearing, sekaligus mengurangkan jumlah minyak yang diperlukan dengan hanya 1.5 liter,” tambah Gobbels.

    Di samping itu, satu set bearing untuk mengurangkan geseran bersama seal yang lebih kurang permukaan yang bergeser telah dipasang serta bahan-bahan untuk membuat perumah kotak gear juga telah dioptimumkan. Ia juga dibangunkan secara maya, dan berfungsi untuk membantu mengurangkan bunyi dan getaran yang tidak diperlukan daripada memasuki ruang kabin, sekaligus menambah keselesaan pemanduan. MQ281 dibangunkan sendiri oleh Volkswagen dan pengeluarannya sedang dijalankan di kilang-kilangnya yang berada di Barcelona dan Cordoba, Argentina.

     
     
  • Nissan Skyline V37 facelift muncul di Jepun – muka inspirasi R35 GT-R, 3.0L V6 turbo berkembar 405 PS

    Nissan Skyline V37 <em>facelift</em> muncul di Jepun – muka inspirasi R35 GT-R, 3.0L V6 turbo berkembar 405 PS

    Selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, berbanding sebuah model yang diasaskan dari sebuah sedan keluarga seperti model-model sebelumnya. Strategi ini membuatkan nama Skyline itu sendiri agak tenggelam kerana model-model V35, V36 dan V37 dijual di luar Jepun dengan jenama mewah mereka iaitu Infiniti.

    Nissan Skyline V37 (atau dikenali dengan nama Infiniti Q50 di Malaysia) kini telah tampil dalam versi facelift di Jepun, bakal dijual bermula musim luruh akan datang. Selain dari teknologi pemanduan sendiri ProPILOT 2.0 yang telah diumumkan sebelum ini, Skyline 2019 tersebut juga kini telah tampil dengan muka seakan GT-R R35.

    Bagi menjadikan Skyline ini seakan ‘R35 empat-pintu’, Nissan telah mereka semula bampar hadapan dengan menerapkan rekaan gril V-Motion, bersama liang sisi dan perumah lampu kabus LED yang juga seakan GT-R. Secara tidak langsung, rekaan baharu ini membuatkan hidungnya sedikit tinggi berbanding model sedia ada, dan panjang keseluruhannya meningkat 20 mm menjadi 4,810 mm.

    Nissan Skyline V37 <em>facelift</em> muncul di Jepun – muka inspirasi R35 GT-R, 3.0L V6 turbo berkembar 405 PS

    Tiada perubahan dilihat pada bahagian sisi di mana garis badan dan garis bahu masih lagi kekal sama bersama lekuk signatur Infiniti pada quater window pintu belakang.

    Di belakang, kluster lampu masih mempunyai bentuk yang sama, tetapi kali ini ia diberikan grafik dua bulat bagi memperingati semula lampu belakang ikonik model-model Skyline klasik. Bampar belakang turut diberikan kemasan diffuser dengan gaya baharu yang turut menempat dua tip ekzos.

    Namun dalam kabin, tiada perubahan ketara ditampilkan di mana rekaan papan pemuka masih lagi sama dengan model sebelumnya. Tetapi dengan penambahan sistem ProPILOT 2.0, Skyline V37 ini menerima kluster instrumen baharu untuk paparan Advanced Drive Assist, dengan skrin digital tujuh-inci yang digabungkan dengan meter-meter analog.

    Selain itu, model facelift tersebut turut hadir dengan paparan head-up berwarna sepenuhnya, bersama sistem infotainmen NissanConnect yang menyokong kemaskini over-the-air (OTA) dan juga akses Wi-Fi di dalam kereta.

    Sedikit penerangan berkenaan sistem ProPILOT 2.0, menurut Nissan ini adalah sistem pemanduan sendiri pertama di dunia yang membolehkan pemandu melepaskan tangan sepenuhnya dari roda stereng. Walau bagaimanapun, ia hanya boleh digunakan di atas lebuh raya dengan sistem navigasi diaktifkan, dan pemandu masih perlu mengawasinya.

    Sekiranya kereta tersebut perlu memotong kenderaan di hadapan, sistem ProPILOT ini akan mencadangkan waktu yang sesuai, dan ia turut akan memberitahu pemandu untuk mengambil semula kawalan ketika hampir tiba di susur keluar lebuhraya. Perincian lebih lengkap untuk sistem ProPILOT 2.0 berkenaan boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Nissan Skyline V37 facelift 2019 ini hadir dalam tiga janakuasa berbeza. Untuk model GT, GT Type P dan GT Type SP, ia dijana enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo berkuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan automatik dan memacu hanya gandar belakang.

    Versi hibrid juga ditawarkan dengan enjin VR35HR 3.5 liter V6 tanpa pengecas turbo, digandingkan bersama motor elektrik HM34 berkuasa 68 PS/290 Nm, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 306 PS dan tork maksima 350 Nm. Ia menerima kotak gear automatik khas untuknya dengan tujuh-kelajuan. Model hibrid ini juga hadir dalam kemasan GT, GT Type P dan GT Type SP, serta turut ditawarkan dengan opsyen pacuan semua roda.

    Model paling berkuasa pula adalah dari varian 400R, yang dijana oleh enjin VR30DDTT, tetapi ditala semula bagi menghasilkan kuasa 405 PS dan tork maksima 475 Nm. Model JDM ini akan dijual pada harga bermula dari 4,274,640 yen (RM162,637).

     
     
  • MINI Malaysia siar imej teaser Convertible facelift

    MINI Malaysia siar imej <em>teaser</em> Convertible <em>facelift</em>

    MINI Malaysia telah mengumumkan bakal memperkenalkan model baharu, menerusi imej teaser yang didedahkan membuktikan ia adalah MINI Convertible F57 facelift. Model ini pernah dipertontonkan di Detroit tahun lalu, dijangka tiba di sini selepas setahun hatchback terbabit diperkenalkan.

    Dijangka akan diperkenalkan secara rasmi pada 19 Julai ini, Convertible facelift dikatakan memiliki persamaan spesifikasi dengan Cooper S F56 3-Door, tanpa kit badan JCW. Seperti yang ditampilkan pada set gambar ini, ia juga dipadankan dengan roda aloi Rail-spoke 17-inci.

    Seperti model Cooper S F56 3-Door, kuasanya turut disalurkan menerusi enjin baharu 2.0 liter pengecas turbo, dengan Cooper S mampu menghamburkan output yang sama sekitar 192 hp dan tork 280 Nm seperti sebelum ini, tetapi penjimatan bahan apinya telah dipertingkatkan. Penjana kuasa tersebut juga dipadankan dengan transmisi wet dual-clutch tujuh-kelajuan, yang didakwa lebih lancar dan pantas berbanding kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Selain teaser tersebut, MINI Malaysia turut menayangkan sambutan ulang tahun yang ke-60 jenama berkenaan dengan formasi kenderaan berbentuk ‘MINI 60’. Syarikat terbabit berjaya menghimpunkan sekumpulan peminat dan pemilik MINI untuk membentuk nombor 60 dengan kenderaan MINI masing-masing di sebuah kawasan lapang dengan berlatarbelakangkan permandangan Kuala Lumpur.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026