Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GALERI: Honda City 1.5L V Passion Red Pearl

    GALERI: Honda City 1.5L V <em>Passion Red Pearl</em>

    Bulan Mei lalu, Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan bahawa satu lagi warna telah ditambah dalam palet warna Honda City iaitu Passion Red Pearl. Sudah tengok depan mata? Kalau belum, mari kami belanja galeri penuh City dengan warna berkenaan.

    Warna ini sebenarnya menggantikan warna merah yang lebih lembut sebelum ini iaitu Dark Ruby Red Pearl, dan Honda Malaysia memperkenalkan warna berkenaan pada HR-V facelift buat pertama kali. Menurut HM, Passion Red Pearl ini begitu popular dikalangan pembeli baharu HR-V, di mana 30% dari jualan SUV segmen-B tersebut adalah dengan warna badan merah menyala berkenaan.

    Unit yang kami bawakan untuk anda ini adalah versi spesifikasi penuh City Grade V. Ia datang standard dengan ciri-ciri seperti rim 16-inci, sistem LED pada lampu hadapan, lampu kabus, lampu nyalaan siang dn lampu belakang, sistem penghawa dingin zon tunggal, upholsteri kulit, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 6.8-inci, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, enam-beg udara dan VSA.

    Kesemua City yang dijana enjin petrol sepenuhnya diberikan unit empat silinder 1.5 liter NA berkuasa 120 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. City juga hadir dalam versi petrol hibrid menampilkan enjin 1.5 liter Kitaran Atkinson, motor elektrik untuk sistem Sport Hybrid i-DCD, dan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Spesifik untuk Honda City 1.5L Grade V ini, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM86,983. Selain merah, anda turut boleh memilih City dalam warna Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl.

     
     
  • Nissan Navara pasaran Eropah terima enjin diesel 2.3L turbo berkembar 190 PS/450 Nm, suspensi dipertingkat

    Nissan Navara pasaran Eropah terima enjin diesel 2.3L turbo berkembar 190 PS/450 Nm, suspensi dipertingkat

    Trak pikap Nissan Navara NP300 telah menerima kemaskini terbaharu untuk pasaran Eropah, yang bukan sahaja melibatkan kosmetik dan suspensi, malah turut menampilkan unit janakuasa baharu.

    Navara versi Eropah ini menerima enjin diesel baharu dengan kapasiti lebih kecil iaitu 2.3 liter, tetapi disuap dengan dua pengecas turbo. Ia hadir dalam dua versi talaan iaitu 163 PS dengan tork maksima 425 Nm (versi 2.5 liter E hingga V di Malaysia diberikan enjin 2.5L turbodiesel berkuasa 163 PS/403 Nm), manakala versi paling berkuasa ditala bagi menghasilkan 190 PS dan tork maksima 450 Nm – sama seperti model VL dengan enjin 2.5L turbodiesel di sini.

    Enjin baharu tersebut menampilkan omboh keluli bersama gegelang omboh yang disalut oleh karbon seperti permata, dan juga nisbah mampatan yang lebih rendah iaitu 15.1 berbanding 15.4 sebelum ini. Tekanan penyuntik bahan api telah ditingkatkan dari 2,000 bar kepada 2,200 bar yang dihasilkan dari pemadanan pam bahan api baharu, membolehkan semburan lebih halus, lebih tepat dan lebih efisien disuntik ke dalam kebuk pembakaran.

    Bagi memastikan suhu operasi yang lebih stabil, sistem penyejuk cecair turut ditingkat taraf pada enjin baharu ini. Aspek emisi juga diambil kira, dan Nissan memadankan sistem ekzos baharu yang dibina bersepadu dengan Diesel Particle Filter (DPF), bersama teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR), untuk menghasilkan pencemaran gas Nitrogen Oksida (NOx) yang lebih rendah.

    Nissan Navara pasaran Eropah terima enjin diesel 2.3L turbo berkembar 190 PS/450 Nm, suspensi dipertingkat

    Menurut Nissan, enjin baharu tersebut berfungsi dengan lebih efisien dengan penggunaan bahan api dicatatkan pada 6.9 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan NEDC. Kedua-dua versi berkenaan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan baharu (pertama kali dipadankan pada Navara pada pasaran global), tetapi khas untuk model Double Cab paling berkuasa, ia turut hadir dengan pilihan transmisi tujuh-kelajuan automatik.

    Untuk kotak gear enam-kelajuan manual baharu berkenaan, ia direka dengan jarak pergerakan tuil gear yang lebih pendek, serta memberikan penukaran gear lebih lancar menerusi penggunaan mekanisma kabel baharu. Sistem syncro pada set gear juga direka semua dan secara keseluruhan gegaran pada transmisi ini juga dikurangkan.

    Kedudukan gear undur pula telah diubah, kini diletakkan di sebelah kiri gear-1, manakala keseluruhan nisbah gear ditala semula bagi memberikan penggunaan bahan api lebih rendah dan juga lebih senyap dipandu di lebuh raya. Manakala untuk kotak gear auto 7-kelajuan, unit sedia ada masih digunakan tetapi telah diperhalusi supaya ia lebih selesa, lancar dan juga responsif.

    Selain itu, sistem suspensi pada Navara tersebut turut mendapat perhatian. Suspensi hadapan telah ditala semula bagi memberikan fungsi stereng yang lebih ringan, selesa dan mudah dikendali dalam kelajuan rendah.

    Navara masih menampilkan sistem suspensi 5-link pada bahagian belakang yang membolehkan trak pikap ini menggunakan spring gegelung berbanding spring dedaun seperti trak-trak ladder frame saingannya yang lain. Kini, model asas King Cab juga menerima sistem suspensi yang sama.

    Namun talaan untuk suspensi tersebut telah diolah semula. Spring gegelung dengan dua tahap menggantikan spring sebelum ini bagi memberikan postur dan stance yang lebih menarik. Bukan setakat itu, kemampuan mengangkat beban juga kini ditingkatkan pada model kemaskini ini, di mana model King Cab meningkat 55-95 kg (bergantung varian) dari 1,165 kg sebelum ini, dan Double Cab pula meningkat 54-114 kg (bergantung varian) kepada jumlah keseluruhan 1115 kg hingga 1180 kg.

    Sistem brek turut diberikan peningkatan di mana diameter rotor hadapan kini meningkat dari 296 mm kepada 320 mm, manakala untuk bahagian belakang brek dram sebelum ini digantikan dengan brek cakera dengan rotor 308 mm. Menurut Nissan, sistem brek baharu ini bukan sahaja memendekkan jarak pemberhentian, ia juga memberikan rasa pedal lebih baik, lebih sukar untuk fade, lebih senyap dan lebih mudah untuk mengekalkan prestasi serta 40% tenaga dapat dikurangkan ketika pemandu menekan pedal brek.

    Sistem Intelligent Trailer Sway Assist juga mula diperkenalkan pada Navara ini, bersama sistem-sistem sedia ada seperti Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit, Brek Kecemasan Pintar, dan Monitor Pandangan Sekeliling Pintar.

    Pada bahagian kabin, trak pikap ini dipadankan dengan sistem infotaimen NissanConnect, yang menampilkan skrin lebih besar bersaiz lapan-inci, berbanding tujuh-inci sebelum ini.

     
     
  • BMW dan Daimler berkerjasama bangunkan teknologi pemanduan autonomous, libatkan R&D bersama

    BMW dan Daimler berkerjasama bangunkan teknologi pemanduan autonomous, libatkan R&D bersama

    Siapa sangka dua syarikat yang bersaing secara terus selama berpuluh tahun akhirnya berjabat tangan setelah nampak satu titik persamaan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak? BMW dan pemilik jenama Mercedes-Benz iaitu Daimler kini telah sah menandatangani perjanjian untuk membangunkan teknologi pemanduan sendiri generasi seterusnya.

    Dalam perjanjian tersebut, kedua-dua syarikat berkenaan akan bersama-sama membangunkan teknologi bantuan pemanduan, pemanduan autonomous di lebuh raya dan sistem parkir automatik – kesemuanya pada standard tahap ke-4. Kerjasama ini disasarkan untuk mempercepatkan sistem ini masuk ke pasaran kereta-kereta penumpang bermula pada tahun 2024, dan sistem yang telah siap nanti boleh digunakan oleh kedua-dua pihak secara bebas pada model masing-masing.

    Dengan kerjasama ini, lebih dari 1,200 orang pakar dari kedua-dua syarikat akan berkerjasama, dibahagikan dalam pelbagai kumpulan, dan ditempatkan di berberapa lokasi termasuk di Pusat Teknologi Mercedes-Benz Sindelfingen, Pusat Ujian dan Teknologi Daimler Immendingen dan Kampus Pemanduan Autonomous BMW di Unterschleissheim, berhampiran Munich.

    Teras utama penyelidikan ini akan difokuskan kepada pembangunan platform berskala untuk sistem bantuan pemanduan, termasuk penderia, dan juga pusat pengumpulan data bagi menyimpan, menguruskan dan memproses data, serta membangunkan sistem dan perisian. Kedua-dua syarikat mengatakan bahawa perbincangan lebih lanjut akan dibuat untuk mengembangkan lagi kerjasama ini bagi membina sistem pemanduan automatik dengan tahap lebih tinggi di kawasan moden dan pusat bandar.

    BMW dan Daimler berkerjasama bangunkan teknologi pemanduan autonomous, libatkan R&D bersama

    Sebelum ini, BMW dan Daimler sudahpun membina teknologi pemanduan autonomous mereka sendiri. BMW mensasarkan untuk mencapai teknologi tahap 3 pada model produksinya menjelang 2021 pada model BMW iNext, dengan tahap 4 akan dimulakan dalam projek permulaan.

    Manakala untuk Daimler, mereka sedang dalam peringkat pembangunan untuk berberapa prohek bukan sahaja spesifik untuk tahap 3, tetapi juga untuk tahap 4 dan 5, dan mensasarkan dapat menghasilkan kenderaan dengan teknologi tahap 4/5 penuh untuk pasaran pada dekad seterusnya.

    Kedua-dua syarikat turut menyatakan bahawa kerjasama ini tidak eksklusif dan ia turut dibuku kepada rakan-rakan kerjasama teknologi dan OEM, dengan hasilnya nanti membolehkan teknologi tersebut boleh digunakan di bawah lesen oleh pengeluar OEM lain. Awal bulan ini, BMW dan Daimler bersama dengan Aptiv, Audi, Baidu, Continental, FCA, HERE, Infineon, Intel dan Volkswagen menerbitkan kertas putih bertajuk Utamakan Keselamatan untuk Pemanduan Automatik, yang meliputi kesemua kaedah keselamatan yang relevan untuk pemanduan autonomous tahap 3/4 SAE.

    Sebenarnya ini bukan pertama kali BMW dan Daimler bekerjasama. Awal tahun ini, kedua-dua syarikat telah menjalinkan kerjasama untuk menyediakan servis mobiliti, menyuntik modal satu billion Euro untuk lima projek berbeza iaitu perkongsian kenderaan, ride-hailing, parkir, sistem pengecaj dan pengangkutan multimodal. Mereka juga sudah mula berbincang berkenaan idea untuk membina platform kereta elektrik bagi menjimatkan kos pembangunan.

     
     
  • VIDEO: Aksi liar Oliver Solberg, 17-tahun di Goodwood Festival of Speed 2019 dengan Citroen DS3 RX 600HP

    Anak kepada juara WRC 2003, Petter Solberg iaitu Oliver Solberg sekali lagi menjadi tajuk sensasi dalam dunia sukan permotoran setelah mempamerkan pemanduan yang sangat agresif semasa mencatatkan masa di Hill Climb, Goodwood Festival of Speed (FOS) 2019 hujung minggu lalu.

    Oliver yang baharu sahaja berumur 17-tahun memandu kereta yang pernah digunakan oleh dia dan ayahnya dalam perlumbaan RallyCross sebelum ini, iaitu Citroen DS RX Supercar yang menghasilkan sekitar 600 hp. Dengan gaya yang begitu liar tetapi nampak cukup terkawal, Oliver berjaya mencatatkan masa 49.39 saat di Hill Climb berkenaan.

    Dengan catatan masa tersebut, Oliver menjadi pemandu ketiga terpantas di Hill Climb FOS tahun ini, di belakang ayahnya yang berada di tempat kedua dengan masa 47.83 saat, memandu Volkswagen Polo RX Supercar. Romain Dumas dinobatkan sebagai pemandu terpantas di Hill Climb FOS 2019 dengan kereta elektrik sepenuhnya, Volkswagen ID.R, mencatatkan masa 42.32 saat.

    VIDEO: Aksi liar Oliver Solberg, 17-tahun di Goodwood Festival of Speed 2019 dengan Citroen DS3 RX 600HP

    Awal tahun ini, Oliver Solberg diberikan tempat oleh Subaru Rally Team USA untuk bertanding di kejuaraan American Rally Association (ARA), dan diberi penghormatan untuk memandu jentera Subaru dengan livery perlumbaan klasik Subaru – warna badan Sonic Blue dan logo Subaru berwarna kuning – sama seperti Subaru Impreza WRCar 2003 yang dipandu ayahnya ketika bergelar juara dunia 16 tahun dahulu.

    Kemudian, dia melakukan satu lagi kejutan pada bulan Mei lalu – ketika penampilan sulungnya dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC) di Rali Liepàja 2019, Oliver Solberg disahkan sebagai juara dan menewaskan juara ERC 2018, “Russian Rocket” Aleksey Lukyanuk.

     
     
  • Pemilik BMW Singapura pamer no. plat palsu mengaku bersalah di Mahkamah JB, dihukum denda RM8,000

    Pemilik BMW Singapura pamer no. plat palsu mengaku bersalah di Mahkamah JB, dihukum denda RM8,000

    Ingat lagi kes seorang pemilik BMW dari Singapura menukar nombor plat pendaftaran keretanya dengan nombor sebuah Hyundai Elantra ketika berada di Johor Bahru Mei lalu? Pemandu berkenaan sudahpun dihadapkan di Mahkamah Majistret Khas Trafik Johor Bahru hari ini, dan telah pun mengaku bersalah, menurut laporan Harian Metro.

    Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Hock Lai, 44, yang juga orang kena saman (OKS) selepas mengaku salah terhadap pertuduhan dihadapinya. Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan sebagai pemandu kereta jenis BMW 320i menggunakan kenderaan terbabit di jalan raya dengan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.

    Dia dikesan melakukan perkara tersebut di sebuah stesen minyak di Lebuhraya LinKedua, Gelang Patah, 7.35 pagi, 18 Mei lalu. Nombor pendaftaran asal BMW 3 Series E90 berkenaan adalah SLX27E, tetapi Tan menggunakan nombor SKD2777C milik sebuah Hyundai Elantra berwarna emas dalam kes itu.

    Bagi perbuatan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 108 (3)(j) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Khairi Ismail manakala OKS tidak diwakili peguam.
    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu dan memerintahkan OKS dipenjara setahun jika gagal membayar denda berkenaan.

    Berpandukan maklumat, pihak JPJ membuat siasatan dan pada 2 Julai lalu, pemandu kenderaan hadir ke JPJ Johor dengan rela hati bagi tujuan siasatan.

    Selepas disiasat, pemandu sebagai pemilik kereta mengaku salah atas perbuatan yang dilakukan pada 18 Mei lalu dan Notis JPJ (P)22 dikeluarkan kepada pemandu iaitu pemilik kenderaan atas perbuatan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.

     
     
  • Rapid Bus kendali perkhidmatan bas percuma Go KL

    Rapid Bus kendali perkhidmatan bas percuma Go KL

    Berkuatkuasa 31 Ogos ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan perkhidmatan bas percuma Go KL menerusi anak syarikatnya, Rapid Bus Sdn Bhd dan pengendali perkhidmatan bas Rapid KL. Kontrak untuk tempoh satu tahun diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini telah mengambil alih operasinya daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Menerusi kontrak tersebut, Rapid Bus mengendalikan enam laluan Go KL iaitu Laluan Hijau (Green Line) antara Suria KLCC dan Bukit Bintang, Laluan Ungu (Purple Line) antara Hab Pasar Seni dan Bukit Bintang, Laluan Biru (Blue Line) antara Hab Titiwangsa dan Bukit Bintang; Laluan Merah (Red Line) antara Hab Titiwangsa dan KL Sentral menerusi Dataran Merdeka, Laluan Jingga (Orange Line) antara Hab Titiwangsa dan MINDEF dan Laluan Merah Jambu antara LRT Universiti dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di Bangsar.

    Sebelum ini Rapid KL hanya mengendalikan perkhidmatan Go KL untuk Laluan Ungu dan Hijau ketika perkhidmatan bas percuma itu mula diperkenalkan pada 1 September 2012. Kemudian ia mengambil alih Laluan Merah dan Biru pada 1 Mei 2014 sebelum diberikan kontrak mengendalikan Laluan Jingga pada 28 Februari lepas dan Laluan Merah Jambu pada 1 April 2019.

    Rapid Bus kendali perkhidmatan bas percuma Go KL

    “Prasarana ingin merakamkan penghargaan kepada DBKL atas kepercayaan yang diberikan kepada kami khususnya Rapid Bus untuk terus menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dan mengendalikan enam laluan yang penting untuk meningkatkan mobiliti di kawasan Lembah Klang khususnya di pusat bandaraya Kuala Lumpur itu sendiri.

    “Ini adalah satu pengiktirafan yang tinggi untuk Prasarana khususnya Rapid Bus. Kami akan terus memberikan perkhidmatan yang sebaik mungkin kepada para pelanggan selaras dengan misi kami untuk menyediakan perkhidmatan berkelas dunia untuk rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Muhammad Nizam Alias dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain GO KL, Rapid Bus turut mengendalikan perkhidmatan bas percuma Petaling Jaya City Bus dan perkhidmatan bas SMART Selangor.

     
     
  • MINI Malaysia tawar lima-tahun servis percuma, waranti hingga 31 Ogos sempena ulang tahun ke-60

    MINI Malaysia tawar lima-tahun servis percuma, waranti hingga 31 Ogos sempena ulang tahun ke-60

    Sempena dengan ulangtahun ke-60, MINI Malaysia telah memperkenalkan Program Inklusif Servis + Pembaikan MINI (“MINI Service + Repair Inclusive Programme” atau “MSRI”) mulai hari ini sehingga 31 Ogos 2019. Program ini memberikan pemilik-pemilik MINI yang baharu dengan Servis Berjadual Percuma yang terhad untuk lima-tahun atau 80,000km (mana-mana yang dipenuhi dahulu), serta waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan bagi kesemua model yang berada dalam portfolio kenderaan MINI.

    Servis yang ditawarkan melalui Program Inklusif Servis + Pembaikan MINI lima-tahun ini sejajar dengan sistem Servis Berasaskan Kondisi (“Condition Based Service” atau “CBS”) dan ia merangkumi pemeriksaan kenderaan, penukaran minyak enjin, serta servis untuk penapis udara, penapis bahan api, penapis mikro, palam pencucuh dan bendalir brek.

    Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, “Pada tahun ini, kami meraikan inovasi British yang berusia 60 tahun, ia hadir bersama reka bentuk ikonik serta ciri-ciri pemanduan mengujakan yang sinonim dengannya. Sempena meraikan ulang tahun ke-60 ini, kami berbesar hati untuk melanjutkan Program Inklusif Servis + Pembaikan MINI 60 Bulan kepada pemilik-pemilik MINI baharu untuk membawakan Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan.”

    Tawaran eksklusif ini boleh dimiliki bagi semua pembelian kenderaan MINI yang didaftarkan dengan JPJ dalam tempoh program tersebut bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2019. Di samping itu, Program Inklusif Servis + Pembaikan MINI lima-tahun juga boleh didapatkan oleh pelanggan pakej fleet, kenderaan dikecualikan duti serta Program Kepulangan Pakar (REP).

     
     
  • Toyota GR Supra GT4 – jentera lumba sebenar muncul di Goodwood FOS 2019, mula dijual pada tahun 2020

    Toyota GR Supra GT4 – jentera lumba sebenar muncul di Goodwood FOS 2019, mula dijual pada tahun 2020

    Selain dari jentera Drift HKS GR Supra A90 untuk Nobuteru Taniguchi, Toyota turut mendedahkan satu lagi jentera kompetitif Supra di Goodwood Festival of Speed hujung minggu lalu iaitu GR Supra GT4.

    Kereta ini dibina oleh Toyota Motorsport GmbH yang berpangkalan di Jerman, dan ia boleh dibeli oleh pasukan-pasukan yang ingin bertanding pada mana-mana perlumbaan di bawah undang-undang FIA GT4 di seluruh dunia bermula tahun hadapan. Sama seperti versi konsep Supra GT4 yang muncul di Geneva awal tahun ini, jentara perlumbaan versi produksi ini turut diasaskan dari model jalan raya sebenar Supra generasi kelima.

    Antara perlumbaan yang boleh disertai oleh Supra GT4 ini adalah Siri Super Taikyu di Jepun, Siri GT4 Eropah, Kejohanan VLN Endurance Nurburgring, dan Siri Cabaran Michelin Pilot di Amerika Syarikat.

    Walau bagaimanapun, Toyota masih lagi belum mendedahkan spesifikasi penuh dan juga harga untuk kereta lumba ini. Cuma jenama tersebut mengumumkan bahawa kereta ini dibina dengan sokongan dari Ravenol untuk minyak pelincir, Pirelli untuk pembangunan tayar dan juga Akrapovic untuk sistem ekzos.

    Selain dari GT4, Supra kini sudah pun bertanding dalam Nascar untuk siri Xfinity di Amerika, dan sah akan kembali semula ke kancah Super GT Jepun untuk kategori GT500 untuk musim 2020.

     
     
  • Mitsubishi Triton SuperUtes – trak perlumbaan litar

    Mitsubishi Triton SuperUtes – trak perlumbaan litar

    Generated by pixel @ 2019-06-21T12:53:29.440125

    Selain dari perlumbaan bercorak touring car yang dikenali sebagai Supercars (sebelum ini V8 Supercars), Australia turut popular dengan perlumbaan SuperUtes, iaitu perlumbaan atas litar menggunakan trak pikap yang berlangsung sekali dengan SuperCars. Antara jentera yang bertanding dalam siri perlumbaan tersebut adalah trak ini – Mitsubishi Triton 2019.

    Sebelum ini, SuperUtes menampilkan trak pikap yang diasaskan dari kereta-kereta sport V8 seperti Holden Commodore Ute dan Ford Falcon Ute, namun pada tahun 2017, undang-undang untuk perlumbaan ini telah dirombak untuk lebih rasional dengan pasaran semasa – menggunakan trak-trak pikap double-cab.

    Oleh itu, Triton yang digunakan oleh pasukan Mitsubishi Australia ini masih dijana oleh enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel, tetapi ia bukanlah unit standard. Enjin ini telah dibina semula menampilkan pengecas turbo baharu, manifold kemasukan yang direka semula, unit wastegate elektronik untuk mengawal boost dengan lebih tepat, unit intercooler lebih besar dan kemudian pengurusan enjin diambil alih oleh sistem stand alone dari Motec.

    Secara keseluruhan, enjin yang pada asalnya menghasilkan kuasa 179 hp/430 Nm tersebut kini bernafas dengan lebih lega dengan bekalan kuasa maksima yang dibenarkan dalam perlumbaan tersebut iaitu sekitar 350 hp/550 Nm. Kemudian kerangka badan trak pikap ini juga dibina seperti kereta lumba lain – casisnya diperkuatkan, dan menerima roll cage penuh, tempat duduk perlumbaan, set pedal box dari Tilton dan alat pemadam api.

    Triton ini juga diberikan set suspensi perlumbaan lengkap hadapan dan belakang dari SupaShock, bersama sistem brek Brembo dengan angkup enam-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang. Kesemua jentera yang bertanding dalam perlumbaan ini juga wajib untuk menggunakan set rim 20-inci dari Hussla.

    Pada bahagian luaran, rupa standard Triton ini kekal dengan muka Dynamic Shield Mitsubishi. Namun dengan trek roda yang kini lebih lebar, keempat-empat ruang roda kini dilengkapi dengan overfenders.

    Untuk musim 2019, SuperUtes Australia akan berlangsung dalam 8 pusingan. Ia bermula pada bulan Mac 2019, dan pusingan keempat baru sahaja berakhir pada hujung minggu lalu di Townsville, Queensland. Selain dari Triton, SuperUtes turut disertai oleh trak-trak pikap terkini yang lain seperti Ford Ranger T6, Mazda BT-50, Toyota Hilux, Holden Colorado, dan Isuzu D-Max.

     
     
  • Borgward BX5 kini mula dijual di Malaysia – 1.4T 2WD dan 2.0T AWD, CKD, lima varian, harga dari RM119k

    Borgward BX5 kini mula dijual di Malaysia – 1.4T 2WD dan 2.0T AWD, CKD, lima varian, harga dari RM119k

    dav

    Nampaknya, SUV lima-tempat duduk Borgward BX5 yang awalnya dijangka akan masuk pasaran pada suku keempat tahun ini telah mula dijual. Model berkenaan telah dikesan di Juru Auto City, Pulau Pinang dengan tanda harga rasmi. Di jual sebagai versi CKD, ada dua pilihan enjin ditawarkan, dengan harga bermula dari RM118,950 atas jalan tanpa insurans.

    Pilihan enjin turbocaj yang ditawarkan terdiri daripada unit 1.4 liter empat-silinder yang menjana 150 PS pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,750-4,000 rpm. Ia disertai dengan satu lagi unit enjin 2.0 liter empat-silinder yang menghasilkan 224 PS pada 5,500 rpm dan 300 Nm dari 1,500-4,500 rpm. Dua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Versi AWD hanya pada model 2.0 liter sahaja, model 1.4L menggunakan sistem pacuan roda depan.

    Bagi model 1.4L, ada dua varian ditawarkan; 1.4T dan 1.4T (TS) dan masing-masing dijual pada harga RM118,950 dan RM130,950. Dari sege kelengkapan, kedua-duanya dipasang dengan lampu utama halogen serta DRL LED, lampu belakang LED, rim 19-inci (saiz tayar 235/55), sistem tanpa kunci, skrin sentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen, zon pendingin hawa tunggal, kluster meter 4.2-inci, pengimbas tol serta kawalan meluncur.

    Borgward BX5 kini mula dijual di Malaysia – 1.4T 2WD dan 2.0T AWD, CKD, lima varian, harga dari RM119k

    dav

    Yang membezakan kedua-duanya ialah kemasan kosmetik. Varian 1.4T (TS) menerima tingkat kemasan TS Line, dengan gril “diamond”, pelapik tapak pintu berwarna merah, penutup konsol tengah serta tikar kaki yang lebih menarik. Ini turut disertakan dengan visor pintu dan filem keselamatan.

    Bagi model 2.0L pula, tiga varian ditawarkan – 2.0T, 2.0T (TS) dan 2.0T (CRS); dua varian awal itu sama kelengkapannya dengan varian 1.4T berkenaan, kecuali beberapa perkara. Antara tambahan yang diberikan ialah sensor parkir, pintu ruang barangan belakang berkuasa elektrik, cermin sisi (dengan puddle lamp) berkuasa elektrik, pendingin hawa dua zon dengan corong belakang. Varian 2.0T dijual pada harga RM138,950 sementara varian 2.0T (TS) pada harga RM150,950.

    Bagi varian 2.0T (CRS) pula, ia menerima rim 20-inci (saiz tayar 245/45) serta tikar pelapik kaki khusus – bagaimanapun ia tidak menerima pakej kemasan TS Line. Antara kelebihan lain ialah glass coating dan balutan badan warna matte turut ditawarkan. Varian ini dijual pada harga RM156,950.

    Borgward BX5 kini mula dijual di Malaysia – 1.4T 2WD dan 2.0T AWD, CKD, lima varian, harga dari RM119k

    dav

    Semua varian hadir dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, ABS, EBD, bantuan brek, brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), peninjau tekanan tayar, bantuan mula mendaki dan sistem differential elektronik – bantuan menuruni bukit hanya ada pada varian 2.0 liter.

    Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pemilik juga akan menerima manfaat dari Borgward Privileges, yang terdiri daripada jaminan lapan-tahun tanpa had perbatuan, servis percuma lima-tahun (termasuk kos buruh dan alat ganti), Kad Borgward RedBlack untuk petrol percuma selama dua tahun, bantuan tepi jalan (penundaan percuma) serta RedBlack Premier (cashback untuk lima tahun).

     
     
  • RM124.3 juta telah dibelanjakan untuk selenggara jalan Persekutuan hingga Mei 2019 – Kem. Kerja Raya

    RM124.3 juta telah dibelanjakan untuk selenggara jalan Persekutuan hingga Mei 2019 – Kem. Kerja Raya

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat pagi ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memaklumkan sebanyak RM124.3 juta atau 34.33% daripada jumlah peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan, telah digunakan untuk program penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh Malaysia bagi tahun ini sehingga Mei.

    “Jumlah keseluruhan yang dijamin oleh Kementerian Kewangan semuanya berjumlah RM782 juta. Kami tidak menerima secara serentak, kami menerima secara berperingkat, berfasa-fasa dan kita akan gunakan mengikut keutamaannya,” ujar timbalan menteri KKR, Mohd Anuar Mohd Tahir, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Pada Mac lalu, menteri KKR, Baru Bian, berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa jalan Persekutuan di negara ini terpaksa ditunda berikutan kurangnya peruntukan. Menurutnya, kementerian itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkesan kerana hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2019. Di mana sejak 2015, peruntukan penyelenggaraan dikurangkan berbanding keperluan sebenar iaitu kira-kira RM2 bilion setahun

     
     
  • Mitsubishi Triton dengan kadar pinjaman serendah 0.88% setahun sempena Hari Merdeka & Hari Malaysia

    Mitsubishi Triton dengan kadar pinjaman serendah 0.88% setahun sempena Hari Merdeka & Hari Malaysia

    Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memberikan tawaran istimewa untuk setiap pembelian trak pikap Triton. Dengan menawarkan kadar pinjam serendah 0.88% setahun (eksklusif untuk pinjaman menerusi Maybank sahaja) atau pun rebat tunai bernilai RM4,000 untuk pembelian trak pikap tersebut mulai sekarang hingga 30 September ini.

    Varian yang terlibat dengan promosi istimewa ini termasuklah 4×4 VGT Premium manual (dengan rebat RM6,000) dan automatik serta 4×4 VGT Adventure X yang turut diberikan “flying” sports bar tanpa sebarang kos tambahan. Model asas 4×4 VGT manual dan automatik hanya ditawarkan dengan rebat.

    Turut ditawarkan rebat istimewa ini ialah Outlander – model 2.0 liter yang menerima potongan sehingga RM6,000, sementara RM4,000 bagi varian 2.4 liter. Bukan itu sahaja, crossover ASX turut ditawarkan dengan rebat sehingga RM12,000 untuk varian 2WD dan RM8,000 pula menerima RM8,000.

     
     
  • VIDEO: Toyota Supra lebih pantas dari BMW Z4!

    Rasanya seluruh pelusuk dunia sudah tahu bahawa Toyota Supra generasi kelima dihasilkan dari platform BMW Z4 G29, dan dijana juga oleh enjin yang sama iaitu enjin BMW B58 3.0 liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo. Antara persoalan paling popular setelah kedua-dua kereta sport tersebut dilancarkan adalah, adakah prestasinya sama? atau salah satu daripadanya adalah lebih laju?

    Untuk mengetahui jawapan yang menghantui ramai peminat automotif ini, saluran Youtube Carwow telah melakukan ujian dengan cara mudah – lumba drag dalam jarak 400 meter antara Supra A90 dan BMW Z4 M40i. Di atas kertas, kedua-dua kereta ini memaparkan maklumat prestasi yang sama iaitu 340 hp/500 Nm, bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, dan memacu hanya roda belakang.

    Apa yang berbeza tentulah pada bahagian luaran, di mana Z4 menampilkan rupa bentuk roadster tradisi mereka dengan bumbung softop yang boleh dibuka, manakala Supra kekal sebagai sebuah kereta sport GT dua-pintu dengan bumbung keras.

    Apa yang mengejutkan, dalam perlumbaan ini Supra menghabiskan jarak suku batu dari kedudukan pegun dalam masa tepat 12 saat, manakala BMW Z4 tertinggal 0.5 saat di belakang. Tidak puas hati, perlumbaan ini dilakukan sekali lagi, tetapi keputusannya tetap sama iaitu Supra masih berada di hadapan!

    Carwow turut melakukan ujian pecutan secara rolling start, iaitu kedua-duanya bermula pada kelajuan 50 bs/j (80.5 km/j), dan keputusannya tetap sama – Z4 ditinggalkan oleh Supra selepas kedua-duanya menekan pedal pendikit secara maksimum.

    Namun, Supra kalah pada ujian terakhir iaitu ujian membrek. Dalam ujian ini, kedua-dua kereta akan membrek serentak pada kelajuan 70 bs/j (113 km/j). Jarak membrek Supra adalah sedikit jauh berbanding Z4, tetapi hanya tidak sampai separuh kereta – mungkin kerana perbezaan sistem brek di mana menggunakan sistem jenama prestasi mereka sendiri iaitu BMW M, manakala Supra menerima sistem dari Brembo. Untuk rekod, kedua-dua kereta ini dibekalkan dengan tayar yang sama dari kilang iaitu Michelin Pilot Super Sport.

    Ketika Supra A90 dibangunkan, pembantu ketua jurutera untuk projek ini Masayuki Kai pernah memberitahu bahawa pasukan jurutera Toyota dan BMW langsung tidak berkomunikasi sejak tahun 2014, dua tahun selepas projek kedua-dua kereta sport tersebut bermula. Ini menjadikan kedua-dua kereta tersebut mempunyai karekter berbeza kerana tidak ditala bersama-sama.

    “Secara asasnya, platform adalah sama… jadi kami rasa kami menggunakan komponen yang sama, tetapi seperti yang saya nyatakan, kami tak pasti adakah mereka akan menggunakan komponen yang sama,” jelas Kai dan menambah bahawa pasukannya bekerja keras bagi menala suspensi adpatif, enjin dan transmisi pada Supra tersebut bagi memberikan rasa yang Toyota mahukan.

    “Talaan untuk penukaran gear, berberapa kejutan tukaran gear, kelajuan tukaran gear, semua ini adalah direka khas untuk Supra… Untuk enjin, kami talanya bagi memberikan respon pendikit lebih baik dan juga lebih sporty,” terang Kai.

    GALERI: Toyota GR Supra A90

    GALERI: BMW Z4 G29 M40i

     
     
  • BMW X7 G07 kini dibuka untuk tempahan di Malaysia

    Ini ada satu SUV besar yang bakal masuk pasaran Malaysia. Betul-betul baru, sebab sebelum ini ia belum pernah dibangunkan; BMX X7. BMW Malaysia melalui hantaran di laman Facebook rasmi mereka semalam mula mengambil tempahan bagi pelanggan-pelanggan yang berminat untuk mendaftar minat mereka melalui pautan yang tertera.

    BMW X7 G07 ini merupakan sebuah SUV yang lebih besar daripada X5 yang ada sebelum ini, bertujuan untuk menjadi seperti 7 Series bagi barisan SUV keluaran syarikat Jerman ini. Ia menggunakan platform X5 yang diubahsuai untuk menampung saiz yang lebih besar. X7 ini antara lain akan bersaing dengan model-model seperti Mercedes-Benz GLS, Lexus LX dan Range Rover.

    BMW X7 G07 kini dibuka untuk tempahan di Malaysia

    Model ini memiliki ukuran dimensi 5,151 mm panjang, 2,000 mm lebar dan 1,805 mm tinggi, iaitu 229 mm lebih panjang dan 60 mm lebih tinggi berbanding X5 terkini, yang juga bakal tiba di pasaran kita tidak lama lagi. SUV tiga-barisan tempat duduk ini mempunyai jarak roda 3,105 mm, 130 mm lebih panjang berbanding X5 G05. X7 ini juga lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLS.

    Enjin pula menggunakan unit 3.0 liter petrol dengan pengecas turbo enam-silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 340 PS dan tork 420 Nm dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Ia dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Malaysia dijangka akan menerima tiga-tempat duduk untuk barisan kedua, dalam bentuk xDrive401 yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.1 saat serta mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.

     
     
  • BMW X7 Pick-up Concept – trak pikap super mewah!

    BMW X7 Pick-up Concept – trak pikap super mewah!

    Selepas trak pikap Mercedes-Benz X-Class diperkenalkan tahun lalu, ada desakan dari BMW Australia terhadap ibu pejabat mereka di Munich untuk menghasilkan produk yang sama kerana terdapat permintaan pada pasaran tersebut (Australia popular dengan kenderaan sebegini dan digelar sebagai UTE disana). Namun selepas itu tiada respon dari BMW tentang perkara tersebut, sehinggalah minggu lalu, mereka mendedahkan sebuah trak pikap yang digelar BMW X7 Pick-Up.

    Tidak seperti Merc X-Class yang membina trak pikap ladder frame berasaskan Nissan Navara NP300, pikap BMW ini menggunakan asas SUV paling mewahnya buat masa ini iaitu BMW X7! Tetapi, ini hanyalah sebuah model konsep, dihasilkan hanya sebuah dalam dunia, dan ia dibina oleh sekumpulan pelatih vokasional BMW Group.

    BMW telah mengubahsuai bahagian belakang X7 sedia ada, atau secara spesifiknya memotong bahagian belakang bermula dari tiang-C, kemudian juntaian belakangnya dipanjangkan lagi bagi membentuk sebuah bed kargo bersaiz 140 cm (200 cm jika pintu tailgate dibuka untuk memberikan ruang tambahan) bagi menjadikan ia sebuah trak pikap.

    BMW X7 Pick-up Concept – trak pikap super mewah!

    Sesuai dengan imej X7, bahagian bed berkenaan dibina dengan mewah menampilkan penggunaan kayu jati. Manakala rekaan elemen parapet, pemegang tangan dan juga jalur-jalur kemasan dihasilkan dari komponen tekanan SLS 3D. Bukan hanya bahagian bed ini diubahsuai, malah pelatih-pelatih berkenaan telah menghasilkan komponen bumbung, pintu belakang dan pintu tailgate dengan menggunakan bahan CFRP, membolehkan trak pikap ini 200 kg lebih ringan dari X7 standard, walaupun panjangnya bertambah 10 cm.

    Menurut BMW, trak pikap konsep ini dihasilkan hanya dalam masa 10 bulan oleh 12-orang pelatih, terdiri dari jurusan badan dan mekanik kenderaan, mekatronik kenderaan dan pembinaan model teknikal. Trak pikap ini masih menggunakan unit janakuasa asal X7 xDrive40i iaitu enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris, berkuasa 340 PS/430 Nm, bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik Steptronic dan sistem pacuan semua roda XDrive.

    Sistem suspensi udara dengan dua tahap larasan dari X7 standard juga dikekalkan pada trak pikap ini. Dan bagi mendemonstrasikan kebolehannya untuk mengangkut, sebuah motosikal BMW F 850 GS diletakkan pada bahagian kargo baharu tersebut.

     
     
  • E-hailing: Kadar tambang dijangka naik mulai 12 Julai

    E-hailing: Kadar tambang dijangka naik mulai 12 Julai

    Walau pun sebelum ini Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kadar tambang perkhidmatan e-hailing tidak akan naik mendadak selepas pelaksanaan dasar untuk mewajibkan semua pemandu e-hailing menduduki ujian lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) mulai 12 Julai ini. Bagaimana pun, Persatuan Pemandu E-hailing Malaysia (MeHDA) tidak senada dengan kenyataan menteri tersebut.

    Menurut presiden MeHDA, Daryl Chong, pihaknya menjangkakan kenaikan kadar tambang sehingga 50% selepas 12 Julai ini, bergantung pada faktor permintaan, dan masa menggunakan perkhidmatan terbabit.

    “Dengan jumlah pengurangan pemandu perkhidmatan tersebut mulai 12 Julai ini, agak sukar untuk mereka (yang masih menjalankan perkhidmatan terbabit) untuk memenuhi semua tempahan. Pengurangan pemandu disebabkan masih ramai di antara mereka yang tidak mempunyai lesen PSV,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh The Star

    E-hailing: Kadar tambang dijangka naik mulai 12 Julai

    Tambahnya lagi, sebagai contoh, kadar tambang sebelum ini, RM10, boleh meningkat ke RM20 pada waktu puncak. Memandangkan syarikat e-hailing memberikan insentif kepada pemandu pada waktu puncak pagi dan petang untuk mengambil penumpang.

    “Namun demikian, peningkatan kadar tambang tersebut mungkin menyebabkan permintaan di kalangan penumpang pula berkurangan. Maka, kadar tambang mungkin akan dinaikkan pada kadar minimum, jadi penumpang tidak akan rasa terbeban,” ujar Daryl lagi.

    MeHDA merupakan persatuan terbesar yang mewakili pemandu e-hailing di Malaysia dan mempunyai 3,500 ahli di seluruh negara dengan 60% daripadanya merupakan pemandu sepenuh masa. Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), terdapat 167,000 pemandu e-hailing di Malaysia dan Anthony Loke telah mendedahkan, hanya 16,338 pemandu sahaja yang mendaftar ujian PSV serta 10,151 orang atau 62% daripadanya yang lulus ujian tersebut.

    Walau bagaimana pun, menurut Daryl, pihaknya menjangka jumlah pemandu akan meningkat semula. “Kami menjangkakan 70% daripada jumlah keseluruhan pemandu e-hailing bakal memiliki lesen PSV menjelang akhir tahun ini,” katanya lagi.

     
     
  • Proton Iriz R5 Juara Goodwood Festival of Speed Forest Rally Stage untuk kali ketiga berturut-turut!

    Proton Iriz R5 Juara Goodwood Festival of Speed Forest Rally Stage untuk kali ketiga berturut-turut!

    Goodwood Festival of Speed (FOS) 2019 telah melabuhkan tirainya, dan sekali lagi Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah berjaya menjadi juara dalam Rally Stage acara tahunan tersebut, untuk kali ketiga berturut-turut!

    Apa yang istimewa kali ini, jentera yang dipandu oleh Oliver Mellors bersama juruarah Ian Windress bukan lagi unit prototaip dengan nombor pendaftaran “PRO7 TON” sebelum ini, sebaliknya unit baharu dengan nombor plat pendaftaran “YN19 GFG” yang sudah pun menerima homologasi penuh dari FIA Mac lalu.

    MEM turut menerima tajaan pengeluar minuman beralkohol, Thornbridge Brewery dari Bakewell (ibu pejabat MEM juga terletak di Bakewell). Oleh itu, Iriz R5 berkenaan diberikan livery perlumbaan berwarna oren dengan grafik Jaipur, iaitu jenama dari syarikat tersebut.

    Proton Iriz R5 mula membuat kemunculan sulung pada Goodwood FOS 2017, dan terus bergelar juara untuk Rally Stage pada penyertaan pertamanya itu. Olie Mellors dan Iriz R5 kemudian kembali ke FOS 2018, dan sekali lagi mempertahankan kejuaraannya.

    Proton Iriz R5 Juara Goodwood Festival of Speed Forest Rally Stage untuk kali ketiga berturut-turut!

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

    Dengan homologasi penuh dari FIA diterima oleh kereta ini, Proton Iriz R5 kini sudah boleh bertanding dalam Kejuraan Rali Dunia (WRC) untuk kategori WRC2, menentang jentera-jentera lain seperti Skoda Fabia R5 dan Volkswagen Polo GTI R5.

     
     
  • BMW R nineT /5 untuk sambut ulang tahun ke-50

    BMW R nineT /5 untuk sambut ulang tahun ke-50

    Tahun ini BMW Motorrad menyambut ulang tahun ke-50 untuk pengeluaran enjin boxer /5 dan juga permulaan pengeluaran motosikal di kilang Spandau, Berlin. Untuk itu, mereka telah mengeluarkaan model istimewa R nineT /5 untuk menyertai href=”https://paultan.org/2017/04/12/bmw-motorrad-malaysia-perkenal-r-ninet-baharu-tambahan-varian-pure-dan-racer-harga-dari-rm83k/”>R nineT versi lain.

    Pengeluaran enjin boxer twin di Spandau bermula pada tahun 1967 melalui model R 50/5, R 60/5 dan R 75/5, dengan tenaga kerja seramai 400 orang. Untuk menyambut peristiwa ini, R nineT /5 baru ditawarkan dalam warna Lupine Blue Metallic dengan kesan gelap khas dan jalur pinstripe.

    Antara tanda rekaan yang diambil semula daripada model /5 klasik pada R nineT /5 ini adalah termasuk kemasan krom pada cermin sisi dan keseluruhan ekzos, tempat duduk yang mempunyai kemasan krom dan jalur putih, tangki 18 lier dengan pinstripe dan pad di tepi, serta rim spoked 17 inci dengan lebar 3.5 di hadapan dan 5.5 di belakang.

    Untuk memberi kontras kepada warna biru dan krom pada beberapa bahagian, rangka dan syaf propeller motosikal ini diwarnakan hitam manakala enjin, kotak gear, tiub fork dan rim pula berwarna perak. Melengkapkan penampilan klasiknya, fork motosikal ini turut dipasang dengan sarung getah.

    Bagi enjin, R nineT /5 masih dikuasakan oleh unit boxer twin penyejukan udara 1,170 cc dengan padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 110 hp dan 116 Nm tork. Turut diberi secara terus adalah brek ABS, Automatic Stability Control dan pemanas tangan. Harga model ini walaubagaimanapun masih belum didedah.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Mazda 3 2019 tiba di bilik pameran Malaysia – 1.5L Sedan dan 2.0L hatchback High Plus, bermula RM140k

    Belum lagi dilancarkan secara rasmi, namun bilik pameran Bermaz di Glenmerie, Shah Alam sudah pun mempamerkan Mazda 3 generasi baharu. Seperti apa yang telah kami laporkan sebelum ini, kita menerima Mazda 3 2019 dalam bentuk badan sedan dan hatchback, dengan pilihan enjin 1.5L dan 2.0L, dibahagikan dalam tiga varian, dan ia adalah versi diimport sepenuhnya (CBU) terus dari Jepun.

    Tiga varian berkenaan adalah versi asas, versi pertengahan High, dan versi tertinggi High Plus. Namun untuk model High, ia hanya dijual dalam versi sedan. Hanya dua buah contoh boleh anda lihat di bilik pameran tersebut buat masa sekarang iaitu varian asas 1.5L Sedan dan juga varian tertinggi 2.0L High Plus.

    Bagi kesemua model 1.5 liter, ia dijana oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 114 hp dan tork maksima 150 Nm. Manakala model-model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat silinder tanpa turbo SkyActiv-G, menjana 162 hp dan tork maksima 210 Nm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive, memacu hanya roda hadapan.

    Untuk membezakan antara varian pula, versi asas hadir dengan lampu hadapan projektor LED automatik dengan lampu nyalaan siang jenis mentol, lampu belakang LED, rim 16-inci, penghawa dingin manual zon-tunggal, paparan instrumen digital dengan skrin TFT-LCD tujuh-inci, skrin utama 8.8-inci dihubungkan kepada sistem infotainmen Mazda Connect bersama lapan-pembesar suara, upholsteri fabrik, paparan head-up dipancarkan ke cermin hadapan, papan pemuka dan panel dalaman pintu dengan kemasan-kemasan sentuhan-lembut dan juga tempat duduk hadapan larasan manual.

    Model asas ini juga diberikan fungsi seperti cruise control konvensional, brek parkir elektronik lengkap dengan sistem brake hold dan juga mod pemanduan Sport yang akan menajamkan lagi respon pendikit dan menala semula karekter transmisi automatik.

    Untuk model pertengahan 2.0L High pula, ia ditambah dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, cermin suria, cermin pandang belakang tanpa bingkai, sistem penghawa dingin dua-zon. Model ini juga ditambah dengan liang penghawa dingin untuk penumpang belakang. Namun seperti yang diberitahu tadi, contoh sebenar untuk varian ini masih belum dipamerkan.

    Model tertinggi 2.0 High Plus pula, ia menerima lampu nyalaan siang LED berbentuk gelang diletakkan pada projektor LED lampu utama dan lampu belakang, serta rim bersaiz 18-inci. Warna Polymetal Grey yang anda lihat pada unit yang dipamerkan ini adalah warna yang hanya ditawarkan untuk versi hatchback. Pada bahagian kabin pula, model ini dilengkapkan dengan tempat duduk larasan elektrik 10-hala dengan fungsi memori dua slot.

    Mazda 3 tertinggi ini juga menerima empat penderia parkir dihadapan, bersama fungsi keselamatan penuh Mazda i-Activsense yang terdiri dari Sistem Lampu Hadapan Adaptif (AFS), Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan buat pertama kali Bermaz manawarkan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC) menerusi model ini.

    Untuk kesemua varian, Mazda 3 generasi keempat ini hadir standard dengan sistem keselamatan yang terdiri dari brek ABS bersama EBD dan EBA, bantuan mula mendaki (HLA), Kawalan Dinamik Kestabilan (DSC) dan tujuh beg-udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu).

    Harganya? Bermula dengan versi asas 1.5 liter SkyActiv-G dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,770. Model pertengahan High pula (sekali lagi diingatkan varian ini hanya hadir dalam bentuk sedan) dijual pada harga RM150,059. Model tertinggi hatchback dan sedan High Plus pula dijual pada pasaran Malaysia dengan harga RM160,059.

    Buat masa sekarang Bermaz belum bercadang untuk membawa Mazda 3 dijana enjin SkyActiv-X yang menampilkan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) atau Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan. Spesifikasi lebih terperinci untuk setiap model pula akan kami laporkan menjelang pelancarannya nanti iaitu pada 17 Julai 2019.

    Mazda 3 Hatchback 2.0L High Plus 2019

    Mazda 3 Sedan 1.5L 2019

     
     
  • Harga minyak 6-12 Julai 2019 – RON 97 naik 4 sen

    Harga minyak 6-12 Julai 2019 – RON 97 naik 4 sen

    Jika minggu bertarikh 29 Jun-5 Julai 2019 menyaksikan kenaikan sebanyak 11 sen seliter bagi petrol RON 97, harga bahan api yang sama untuk minggu kedua Julai (6-12 Julai 2019) dilaporkan turut naik iaitu sebanyak 4 sen seliter. Efektif 12 tengahmalam ini, harga baharu bagi petrol RON 97 ialah RM2.53 seliter, berbanding RM2.49 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala petrol RON 95 masih dikekalkan dengan harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Begitu juga dengan diesel yang harganya kekal seperti sebelum ini, dijual pada harga RM2.18 seliter bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula mahal 10 sen berbanding harga berkenaan iaitu RM2.28 seliter.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.19 seliter dan RM2.28 seliter masing-masing. Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 6 hingga 12 Julai 2019 adalah berjumlah RM99.53 juta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026