Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Ducati Panigale V4 R – model boleh guna atas jalan biasa paling hampir dengan jentera lumba, RM299,900

    Ducati Panigale V4 R – model boleh guna atas jalan biasa paling hampir dengan jentera lumba, RM299,900

    Jika anda mahukan sebuah motosikal yang boleh digunakan atas jalan biasa, tetapi paling hampir dengan jentera lumba Ducati, Panigale V4 R 2019 ini adalah jawapannya. Ia sudah pun tiba dalam pasaran Malaysia dengan harga jualan RM299,900 tidak termasuk insurans.

    Berbeza daripada model V4 biasa yang menggunakan enjin empat silinder V 1,103 cc Stradale, V4 R ini dikuasakan oleh enjin empat silinder V 998 cc (untuk mematuhi peraturan perlumbaan). Walaupun kapasiti lebih kecil, ia menawarkan lebih prestasi dengan kuasa 221 hp pada 15,250 rpm dan 11 Nm tork pada 11,500 rpm.

    Sudah tentu, sebagai sebuah model prestasi tinggi, V4 R ini dipasang dengan kelengkapan terbaik termasuk brek cakera terapung berkembar 330 mm dan angkup Brembo Monobloc M4.32 di hadapan, fork Ohlins titanium nitrided NPX boleh laras sepenuhnya serta monoshock Ohlins TTX36 (juga boleh laras sepenuhnya).

    Sistem elektronik juga boleh dikatakan lengkap, dengan adanya Bosch Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO, Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO, Engine Brake Control EVO (EBC) EVO dan tiga mod tunggangan (Street, Sport dan Race).

    Kelengkapan lain yang ada pada V4 R adalah termasuk klac kering STM EVO-SBK, kerangka hadapan aluminium yang diperkuat dan lebih ringan, damper stereng Ohlins dengan pelarasan manual, lengan ayun boleh dilaras, rim Marchesini, kit badan Aero Pack bersama sayap gentian karbon, skrin TFT 5.0 inci, Lap Timer EVO, Ducati Data Analyser (DDA+) dengan modul GPS dan satu tempat duduk.

     
     
  • Toyota rai Jubli Emas CKD di Malaysia – bermula dengan Corolla KE10, kini pasang Yaris di Bukit Raja

    Toyota rai Jubli Emas CKD di Malaysia – bermula dengan Corolla KE10, kini pasang Yaris di Bukit Raja

    Selain dari Volvo yang telah memulakan pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 1967 di Malaysia, Toyota juga antara jenama awal yang mula bertapak di sini, iaitu pada 1968 dengan membina kilang mereka di Seksyen 15, Shah Alam – hanya berberapa ratus meter dari kilang Volvo. Hari ini, UMW Toyota dengan gahnya meraikan ulang tahun ke-50 pemasangan CKD mereka di Malaysia, dengan majlis yang diadakan di kilang baharu mereka yang jauh lebih besar, terletak di Bukit Raja, Klang.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersama Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor. Antara VIP lain yang turut memeriahkan acara ini termasuk Menteri Besar Selangor YB Tuan Amirudin Shari dan Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, serta wakil-wakil Toyota sendiri seperti CEO Toyota Motor Corporation Japan untuk rantau China dan Asia, Tatsuro Ueda dan Pengerusi UMW Toyota, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah bin Che Othman.

    Dalam ucapan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, beliau menzahirkan penghargaannya kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan atas sokongan padu yang diberikan sepanjang operasi UMW Toyota di Malaysia. “Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pelanggan Toyota dan rakyat Malaysia atas sumbangan anda dan sokongan sepanjang 50 tahun, membolehkan kami berada di mana kami berada sekarang,” tambahnya lagi.

    Toyota rai Jubli Emas CKD di Malaysia – bermula dengan Corolla KE10, kini pasang Yaris di Bukit Raja

    Menurutnya lagi, kilang baharu UMW Toyota dengan pelaburan sekitar RM2 bilion ini telah membawa sekali teknologi pengilangan maju terkini, automasi tahap tinggi, rekaan inovatif, dalam masa yang sama menggalakkan penggunaan tenaga yang efisien di Malaysia.

    “Dalam masa yang sama, kami tidak lupa terhadap alam sekitar dan keselamatan; kilang kami telah dibina sebagai kilang Peduli-Masyarakat yang lebih senyap dan ia beroperasi dengan pelbagai inisitaif tenaga boleh diperbaharui dan juga dengan penghasilan karbon rendah,” jelas Pengerusi UMW Toyota itu, dan menegaskan bahawa dengan pembangunan modal insan, akan melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja dari luar.

    Meyingkap semula pemasangan tempatan Toyota di Malaysia, kilang pertama mereka di Shah Alam pada awalnya dikenali sebagai kilang Champion Motor, diberi kepercayaan untuk memasang Corolla KE10, hanya dua tahun selepas model generasi pertama berkenaan di perkenalkan di Jepun. Kilang berkenaan kemudiannya dikenali sebagai Assembly Services Sdn Bhd pada tahun 1975.

    Pada tahun 1982, menerusi kerjasama Toyota Motor Corporation, Toyota Tsusho Corporation dan United Motor Works (UMW), Sejati Motor telah diwujudkan. Kilang di Shah Alam berkenaan kemudiannya berjaya mencatatkan produksi ke-300,000 unit pada tahun 1990, dan selepas modenisasi yang dilakukan pada tahun 1996, angka produksi mencecah 500,000 unit dapat dicapai menjelang tahun 2000.

    Toyota rai Jubli Emas CKD di Malaysia – bermula dengan Corolla KE10, kini pasang Yaris di Bukit Raja

    Ketika tahun 2011, Toyota Camry dicatatkan sebagai model yang mencapai jumlah produksi tertinggi dengan rekod 83,000 unit. Pada tahun yang sama juga, kilang berkenaan telah mencapai produksi melebihi 1 juta unit.

    UMW Toyota kemudiannya mengambil keputusan untuk membina sebuah lagi kilang baharu yang terletak di Bukit Raja, di mana pembinaannya telah dimulakan pada tahun 2017. Kilang tersebut mula beroperasi untuk memasang Vios generasi terkini, dan kini ia telah beroperasi sepenunhya dengan kapasiti 50,000 unit setahun dan turut memasang hatchback segmen-B, Toyota Yaris.

    Dalam majlis untuk meraikan sambutan Jubli Emas ini, UMW Toyota turut menyerahkan sebuah Toyota Yaris kepada Komuniti Belia Selangor (SAY) untuk mereka gunakan dalam program-program membabitkan golongan belia. Kereta berkenaan diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk badan yang dinaungi oleh anakdanya, Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah.

     
     
  • Ducati Diavel 1260 S masuk pasaran M’sia – RM140k

    Ducati Diavel 1260 S masuk pasaran M’sia – RM140k

    Ducati Diavel 1260 yang merupakan generasi kedua bagi model ini sekarang sudah memasuki pasaran Malaysia dalam versi S, yang dijual pada harga RM139,900 tidak termasuk insurans. Ia menawarkan “prestasi sebuah maxi-naked, yang digabungkan bersama ergonomik muscle cruiser.

    Diavel 1260 S menggunakan enjin Testastretta DVT 1260 dengan pemasaan injap Desmodromic, dan ia adalah unit V-twin 1,262 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 159 hp pada 9,500 rpm (versi Amerika cuma berkuasa 157 hp) dan 129 Nm tork pada 7,500 rpm, dihantar ke roda belakang menggunakan sistem rantai melalui kotak gear enam kelajuan serta klac jenis slipper.

    Kedudukan menunggang model baru Diavel ini adalah lebih menegak, kerana peletak kaki ditarik ke belakang sedikit berbanding kedudukan pada XDiavel sebelum ini, bersama tuil-tuil kawalan berhampirannya. Tinggi tempat duduk boleh dianggap rendah iaitu 780 mm, manakala beratnya pula adalah 244 kg, dan menggunakan tayar belakang selebar 240 mm (rim berdiameter 17 inci dan 8.0 inci lebar).

    Keseluruhan bahagian utama motosikal ini masih dipegang kerangka Trellis, dan untuk suspensi, model 1260 S diberi dengan suspensi lebih baik berbanding model standard iaitu unit fork USD 48 mm Ohlins di hadapan dan monoshock Ohlins boleh laras sepenuhnya di belakang, bersama quickshifter (boleh digunakan untuk naik dan turun gear).

    Pada bahagian brek, Diavel 1260 S menggunakan unit daripada Brembo, dengan angkup Monobloc M50 berkembar di hadapan. Sistem Cornering ABS Evo daripada Bosch diberikan terus, bersama sistem bantuan lain seperti traction control dan mod tunggangan. Kelengkapan lain pada model ini adalah suis kawalan yang bercahaya, lampu siang LED, sistem Ducati Multimedia yang boleh menyambungkan fungsi telefon pintar kepada skrin TFT-LCD 3.5 inci di motosikal serta rim Marchesini.

     
     
  • FIA setuju MAM ambil alih sementara tugas AAM

    FIA setuju MAM ambil alih sementara tugas AAM

    Selepas berhadapan dengan pelbagai kemelut yang meruncing hinggalah status dilucutkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada November 2018, kini fungsi Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sebagai badan induk sukar permotoran empat roda negara telah diambil alih oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

    Berita Harian melaporkan keputusan ini diambil selepas Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan bersetuju untuk menyerahkan tugas dari AAM ke MAM seperti termaktub dalam Artikel 5.2 Statut FIA 16.3.

    “Sebarang perkembangan baharu mengenai subjek ini akan dibentangkan kepada ahli Majlis Sukan Permotoran Dunia dalam satu pertemuan Oktober ini,” ujar Setiausaha Agung FIA untuk Sukan Permotoran, Peter Bayer. Beliau turut mengharapkan MAM akan ‘mengambil semua langkah diperlukan bagi membolehkan aktiviti sukan menggalakkan’ dapat dijalankan di Malaysia.

    Walau pun ia melibatkan pengambilalihan secara sementara, Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir mengalu-alukan pengiktirafan daripada FIA. “Keutamaan kami adalah memastikan sukan permotoran di Malaysia dapat diteruskan tanpa halangan di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Adalah penting untuk sukan permotoran di Malaysia mempunyai badan bagi menjalankan aktiviti dan juga menyokong pembangunan, termasuk meluluskan sebarang acara yang berkaitan sukan permotoran.

    “Kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan sukan permotoran Malaysia akan menerima manfaat daripada kami,” ujarnya.

     
     
  • GALERI: Honda Super Cub C125 – retro hidup kembali

    GALERI: Honda Super Cub C125 – retro hidup kembali

    Honda Super Cub 125 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada Januari 2019, dan sebelum itu pernah dipertontonkan terlebih dahulu ketika acara Art Of Speed 2018.

    Walaupun mengekalkan banyak sentuhan retro klasik yang ada pada model ikonik lamanya seperti C70 dahulu, ia sebenarnya kini tampil sebagai sebuah motosikal moden; menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 125 cc yang mampu menghasilkan 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pada 5,500 rpm serta dipadankan pula dengan kotak gear empat-kelajuan,

    Brek Super Cub 125 menggunakan jenis cakera di depan, manakala di belakang dari jenis dram. Ia turut dilengkapi dengan lampu LED serta paparan meter gabungan antara digital dan analog, manakala untuk tempat duduk, penawarn standardnya hanya menyediakan satu ruang untuk penunggang, tetapi boleh ditambah satu lagi untuk pembonceng dengan mendapatkan aksesori daripada Honda sendiri.

    Harga yang diletakkan untuk model ini ialah RM13,999. Kalau anda belum sempat nak belek motosikal ini dari dekat, jangan risau. Kami sediakan galeri terperinci ini untuk tatapan anda. Ok ke tidak motosikal yang satu ini?

     
     
  • Produksi bateri PHEV BMW di Thai mulai Julai ini

    Produksi bateri PHEV BMW di Thai mulai Julai ini

    Pemasangan kenderaan plug-in hybrid BMW di Thailand bakal menerima bateri PHEV daripada sumber tempatan tidak lama lagi. Pembekal jenama kenderaan premium berkenaan, Draexlmaier, bakal memulakan produksi bateri bervoltan tinggi pada Julai ini di kilang di Rayong yang hanya 14 km jaraknya dari kilang BMW di Kawasan Perindustrian Amata City, menurut laporan Bangkok Post.

    Draexlmaier telah berjaya mendapat keistimewaan Lembaga Pelaburan Thailan (BoI) pada November 2018 dengan permohonan pelaburan berjumlah 540 juta baht termasuk pembelian tanah. Menurut presiden BMW Group Thailand Christian Wiedman, kilang DTS Draexlmaier Automotive System akan menjalankan dua proses akhir produksi bateri lithium-ion – produksi untuk modul dan pemasangan paket.

    “Kilang ini akan menjalankan dua proses di bawah satu bumbung sementara fasiliti tempatan lain akan membuat proses terakhir, membungkus semua modul bateri sebelum dilengkapi pada bateri plug-in hybrid dan EV,” ujarnya, sambil menambah dua proses pertama yang melibatkan produksi sel dan komponen tidak boleh dilakukan secara tempatan.

    Wiedmann berkta bateri yang telah siap sempurna akan menjanakan model 530e G30 dan sedan plug-in hybrid 740Le LCI G12 facelift mulai 2019. Jualan PHEV BMW di Thailand dilihat semakin utuh dan berkembang – tahun lalu, jualan bagi plug-in hybrid meningkat 122% di negara berkenaan, mewakili 24% bagi jualan keseluruhan jenama itu.

    BMW Thailand juga menyediakan stesen pengecasan di sana di bawah jenama ChargeNow. Buat masa ini, terdapat 121 pengecas di seluruh negara, dan akan mencapai 150 unit menjelang hujung tahun ini.

     
     
  • Volkswagen Malaysia bakal anjur Perhimpunan Ikonik Beetle di Putrajaya pada 13 Julai ini – Lebewohl bug!

    Volkswagen Malaysia bakal anjur Perhimpunan Ikonik Beetle di Putrajaya pada 13 Julai ini –  Lebewohl bug!

    Bagi mengucapkan selamat tinggal buat model ikonik Volkswagen Beetle, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) akan menganjurkan acara Perhimpunan Ikonik Beetle. Justeru, VPCM menjemput semua pemilik Beetle dari semua latar belakang untuk meraikan model klasik itu dan acara ini bakal diadakan di tempat letak kereta terbuka di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 13 Julai ini.

    Acara yang julung kali diadakan ini juga disasarkan untuk memecahkan rekod sedia ada perhimpunan Beetle terbesar di Malaysia di satu lokasi. Sambutan itu akan dimulakan dengan konvoi Beetle Sunshine Tour yang melibatkan sebanyak 100 buah Beetle dan dilepaskan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Konvoi itu akan melalui jalan-jalan di Segi Tiga Emas sebelum bergerak ke Putrajaya di mana ia akan menyertai Beetle yang lain di Istana Kehakiman.

    Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Volkswagen akan menamatkan pengeluaran produksi Beetle yang sangat digemari pada tahun ini. Kami mahu memberikan ucapan selamat jalan kepada model terlaris ini dengan meraikan warisannya. Justeru, kami ingin menjemput pemilik dan peminat Beetle untuk sama-sama berkumpul, sekali gus memecahkan rekod dan meraikan Bug kegemaran dunia ini.

    Volkswagen Malaysia bakal anjur Perhimpunan Ikonik Beetle di Putrajaya pada 13 Julai ini –  Lebewohl bug!

    Tambah Erik lagi, ini merupakan peluang terbaik untuk peminat Beetle melihat sendiri model Beetle klasik dan terkini dalam pelbagai bentuk penampilan. Kebanyakan daripadanya sudah menerima sentuhan tersendiri untuk disesuaikan dengan personaliti pemiliknya yang penuh warna-warni.

    Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web Volkswagen Malaysia. Penyertaan adalah percuma dan perincian acara akan diberikan ketika pendaftaran dalam talian dibuat. Semua peserta juga akan menerima sijil penyertaan daripada Volkswagen.

    Direka oleh Ferdinand Porsche pada tahun 1938, Beetle dianggap sebagai ikon automotif yang original. Ia telah menikmati kejayaan selama 80 tahun dengan lebih 21.5 juta terjual di seluruh dunia.

    Lebewohl (selamat tinggal) bug!

     
     
  • Honda Genio dilancar di Indonesia – gunakan kerangka baru, enjin lebih cekap berbanding Scoopy

    Honda Genio dilancar di Indonesia – gunakan kerangka baru, enjin lebih cekap berbanding Scoopy

    Pengedar motosikal Honda di Indonesia, PT Astra Honda Motor (AHM) telah melancarkan sebuah skuter baru yang dipanggil sebagai Genio. Bagi yang pernah ke negara itu, atau Thailand, anda pasti dapat melihat ia seperti mempunyai persamaan gaya dengan Scoopy.

    Walaubagaimanapun, terdapat banyak pembaharuan pada Genio ini yang menjadikannya lebih istimewa. Pertamanya adalah enjin. Walaupun asas adalah sama, enjin satu silinder 109.5 cc SOHC Genio ini telah diberikan beberapa pembaharuan yang menjadikannya lebih cekap dan boleh mencapai tahap penggunaan bahan api 59.1 km/l (ujian dalaman).

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-Fi ini adalah 9.0 PS pada 7,500 rpm dan 9.3 Nm tork pada 5,500 rpm. Ia juga disokong dengan sistem Idling Stop System ISS (enjin mati sendiri apabila berhenti sekejap dan hidup semula apabila pendikit dipulas) yang menggunakan starter ACG.

    Kerangka motosikal ini juga adalah baru, di mana menurut Honda, mereka menggunakan bahan serta teknologi eSAF – yang pertama untuk motosikal di pasaran Indonesia. Proses seperti kimpalan laser dan pressing digunakan, dan hasilnya, stabiliti motosikal dapat ditingkatkan, lebih selesa, ringan dan mudah dikawal. Secara keseluruhannya, Genio ini mencatat berat kering cuma 89 kg.

    Kelengkapan lain pada Genio ini adalah termasuk lampu LED, panel meter digital, ruang simpanan bawah tempat duduk 14 liter, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang (tiada ABS), fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, penghidup enjin elektrik dan tangki bahan api 4.2 liter.

    Genio ditawarkan dalam 11 warna berbeza di Indonesia, dan dua pilihan versi iaitu CBS (tiada sistem ISS) dengan harga 17.2 juta Rupiah (RM5,039) dan CBS-ISS pada 17.7 juta Rupiah (RM5,186).

     
     
  • BMW F 850 GS Adventure, R 1250 GS dan R 1250 GS Adventure tiba di M’sia – RM88.5k, RM116.5k, RM125k

    BMW F 850 GS Adventure, R 1250 GS dan R 1250 GS Adventure tiba di M’sia – RM88.5k, RM116.5k, RM125k

    BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan tiga model kembara baru untuk Malaysia iaitu F 850 GS Adventure, R 1250 GS dan R 1250 GS Adventure. Harganya masing-masing adalah bermula dari RM88,500, RM116,500 dan RM125,500 tidak termasuk insurans.

    Melihat kepada F 850 GS Adventure, ia adalah versi tertinggi bagi F 850 GS yang dilancarkan sebelum ini. Enjinnya masih menggunakan unit dua silinder berkapasiti 853 cc, bersama transmisi enam kelajuan dengan klac anti-hopping, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 95 hp pada 8,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,250 rpm.

    Kemudiannya, ia dinaik taraf lagi dengan pelindung enjin, fairing hingga ke bawah, penghadang angin boleh laras, tempat duduk bertekstur, pemijak kaki lebih lebar, pedal brek boleh lipat, rak barangan belakang serta suspensi dengan jarak gerak lebih tinggi (230 mm di hadapan dan 215 mm di belakang).

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, panel meter TFT 6.5 inci, pilihan mod tunggangan Rain dan Road, brek ABS, Automatic Stability Control (ASC), soket pengecas 12V, lampu utama LED, tangki bahan api 23 liter, brek cakera berkembar 305 mm dengan angkup Brembo dua piston di hadapan serta brek cakera 265 mm dan angkup Brembo satu piston di belakang.

    Pergi pula kepada R 1250 GS, ia adalah model baru yang diperkenalkan kepada dunia hujung tahun lalu dengan antara peningkatan utama pada model ini adalah enjin boxer 1,254 cc yang menggunakan teknologi ShiftCam, iaitu satu sistem yang memberikan pemasaan injap boleh ubah untuk memperbaiki penggunaan bahan api dan menepati tahap emisi yang ditetapkan. Sistem ini digunakan untuk injap yang berada pada bahagian intake.

    Juga baru untuk R 1250 GS ini adalah rantai penggerak cam bergigi, yang menggantikan rantai jenis roller sebelum ini. Dipadankan lagi dengan injector twin-jet, enjin 1,254 cc pada R 1250 GS boleh menghasilkan kuasa sehingga 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Sebelum ini, model R 1200 GS menggunakan enjin 1,170 cc dan kuasanya cuma 125 hp dan 125 Nm tork.

    Kelengkapan standard untuk R 1250 GS adalah termasuk BMW Keyless Ride, dua mod tunggangan iaitu Rain dan Road, ASC, suspensi elektronik Dynamic ESA generasi terbaru, cruise control, panel instrumen TFT 6.5 inci dan quickshifter Shift Assistant Pro.

    BMW F 850 GS Adventure, R 1250 GS dan R 1250 GS Adventure tiba di M’sia – RM88.5k, RM116.5k, RM125k

    Versi yang lebih tinggi bagi R 1250 GS ini, iaitu R 1250 GS Adventure datang kelengkapan tambahan iaitu pelindung enjin dan panel tepi, rak besi untuk kotak barangan belakang, tangki bahan api 30 liter (versi standard 20 liter), rim jenis spoked (19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang) dan jarak gerak suspensi lebih tinggi iaitu 210 mm di hadapan dan 220 mm di belakang (versi standard 190 mm/200 mm).

    Sekiranya itu masih tidak mencukupi, pembeli boleh menambah pelbagai ciri elektronik lain seperti Riding Modes Pro, Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro, Hill Start Control Pro, Dynamic Brake Control (DBC) dan sistem RDC dengan pemerhati tekanan angin tayar.

    GALERI: BMW F 850 GS Adventure 2019

    GALERI: BMW R 1250 GS 2019

    GALERI: BMW R 1250 GS Adventure 2019

     
     
  • MINI John Cooper Works GP Prototype didedahkan – terima bekalan lebih 300 hp dari enjin 2.0 liter turbo

    MINI John Cooper Works GP Prototype didedahkan – terima bekalan lebih 300 hp dari enjin 2.0 liter turbo

    MINI telah pun mendedahkan secara rasmi versi prototaip yang hampir kepada model produksi John Cooper Works GP, yang dihasilkan berdasarkan model konsep yang muncul di Frankfurt hampir dua tahun lalu. Jenama tersebut juga telah mengumumkan bahawa versi paling liar ini hanya akan dihasilkan sebanyak 3,000 unit, dan akan masuk ke pasaran secara rasmi tahun hadapan.

    Ia turut disahkan akan menerima bekalan kuasa lebih dari 300 hp, dari enjin empat-silinder 2.0 liter turbo – mungkin enjin B48 BMW, sama seperti unit yang berada pada perut X2 M35i. MINI juga belum mendedahkan sama ada ia akan hanya memacu roda hadapan atau semua roda. Untuk BMW X2 M35i, ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, bersama sistem AWD membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.

    Dengan kuasa lebih buas, JCW GP ini turut menampilkan rupa yang jauh lebih agresif. Trek kereta ini nampak lebih lebar, seterusnya memaksa badannya juga dilebarkan menerusi pemandanan overfender pada setiap ruang roda, dan ia kelihatan seperti terapung – mungkin direka bagi tujuan aerodinamik.

    MINI John Cooper Works GP Prototype didedahkan – terima bekalan lebih 300 hp dari enjin 2.0 liter turbo

    Pada bahagian hadapan, bampar hatchback ini diberikan spoiler lebih besar bersama liang kemasukan udara yang juga bersaiz agak besar. Pada bahagian belakang pula, ia diberikan spoiler dengan sayap lebih ganas, bersama diffuser pada bampar yang turut memuatkan tip ekzos berkembar di tengah. Seperti model konsepnya, lampu belakang JCW GP ini menampilkan elemen grafik bendera Union Jack.

    Berkemungkinan, versi produksi sebenar nanti akan menggunakan set rim lain bagi menggantikan rim lima jejari pada versi prototaip ini. Menurut MINI, JCW GP ini akan menerima talaan casis dengan pemadanan “teknologi suspensi yang spesifik” dibina hanya untuk versi istimewa ini.

    MINI juga mengesahkan bahawa, setakat ini JCW GP 2020 ini sudah mampu untuk mencatatkan masa di bawah lapan minit di litar ‘The Green Hell‘ Nurburgring Nordschleife. Model JCW GP sebelum ini mencatatkan masa 8 minit 23 saat, sementara rekod kereta produksi pacuan roda hadapan kini dipegang oleh Renault Megane RS Trophy-R dengan enjin 1.8 liter berkuasa 296 hp/400 Nm, mencatatkan rekod lap terpantas 7 minit 40.1 saat, atau lebih 3 saat lebih pantas dari pemegang rekod sebelumnya iaitu Honda Civic Type R FK8.

     
     
  • MRT 2: Projek dilaporkan siap 51.7% setakat Mei 2019

    MRT 2: Projek dilaporkan siap 51.7% setakat Mei 2019

    Pembinaan jajaran kedua Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dilaporkan telah 51.7% siap setakat Mei 2019. Menurut Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Datuk Ubull Din Om, sasaran awal fasa pertama projek MRT 2, membabitkan sambungan laluan dari Sungai Buloh ke Stesen Kampung Batu yang merangkumi 15 stesen kekal dijangka siap pada Julai 2021.

    Laporan Berita Harian turut menyebut, laluan selebihnya iaitu membabitkan 20 stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral pula, dijangka siap setahun kemudian iaitu Julai 2022, sekali gus memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di sepanjang koridor jajaran pengangkutan awam berkenaan.

    “Secara keseluruhan, status projek MRT 2 yang merangkumi pembinaan 35 stesen, masing-masing 24 stesen bertingkat dan 11 stesen bawah tanah adalah 51.7% siap, setakat Mei lalu. Mengikut perincian khusus, kerja pembinaan bagi jajaran bertingkat ialah 53.4% siap, manakala jajaran bawah tanah adalah 54.95%,” ujar Ubull.

    Mula dibina pada September 2016, projek MRT 2 ini dijangka siap secara keseluruhannya pada Julai 2022. Ia bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah, dengan laluan sepanjang 52.2 kilometer (km).

     
     
  • Pengguna akan jimat RM180 juta setahun jika kerajaan ambil alih 4 lebuhraya, tiada caj di luar waktu puncak

    Pengguna akan jimat RM180 juta setahun jika kerajaan ambil alih 4 lebuhraya, tiada caj di luar waktu puncak

    Minggu lepas, kerajaan melalui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng umumkan sedia tawarkan RM6.2 bilion untuk mengambilalih operasi empat lebuhraya sekitar KL. Ini merujuk kepada Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

    “Pengambilalihan empat lebuhraya ini merupakan langkah awal untuk mengurangkan beban pengguna lebuhraya serta untuk menunaikan janji Pakatan Harapan,” jelas Lim. Ini bagaimanapun tidak bermakna pengguna tidak perlu membayar langsung; sistem caj kesesakan akan diperkenalkan sebagai gantinya.

    “Di bawah sistem caj kesesakan yang dinyatakan itu, semua pengguna empat lebuhraya berkenaan jimat sebanyak RM180 juta setahun, dan semua penjimatan ini akan bertukar menjadi pendapatan boleh guna (disposable income) untuk isi rumah. Caj kesesakan ini akan mengikut struktur harga bolehubah yang bergantung kepada tempoh masa dalam sehari,” ujar Lim.

    Pengguna akan jimat RM180 juta setahun jika kerajaan ambil alih 4 lebuhraya, tiada caj di luar waktu puncak

    “Secara dasarnya, kerajaan akan memberikan potongan harga sehingga 30% bagi tempoh-tempoh waktu puncak manakala di luar waktu puncak pula, perjalanan adalah percuma. Sebagai tambahan, caj kesesakan maksimum aka dihadkan pada kadar tol semasa ketika ini untuk mengelakkan beban tambahan kepada pengguna,” jelas beliau.

    Beliau juga memaklumkan, struktur caj kesesakan itu akan dikaji dan diperhalusi lagi sebelum dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan. Apa pun, sebelum itu, pengambil alihan semua lebuhraya yang dikendalikan Gamuda itu perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk kelulusan daripada kabinet.

    Langkah berkenaan juga akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM5.3 bilion dari pembayaran pampasan kepada pihak konsesi tol akibat pembekuan kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi yang telah ditetapkan dahulu.

    Pengguna akan jimat RM180 juta setahun jika kerajaan ambil alih 4 lebuhraya, tiada caj di luar waktu puncak

    “Kerajaan tidak perlu lagi membayar pampasan selepas mengambil alih empat lebuhraya ini. Ini bermaksud, kerajaan akan mampu untuk memperuntukkan perbelanjaan tambahan lebih daripada RM5.3 bilion untuk tahun-tahun akan datang untuk dimanfaatkan oleh rakyat negara ini,” tambah Lim lagi.

    “Dalam maksud lain, langkah ini bukan sahaja menguntungkan pengguna yang kerap menggunakan lebuhraya, ini akan turut membawa manfaat kepada seluruh rakyat negara ini. Kerajaan telah berbincang bersungguh-sungguh dengan pemegang konsesi yang terlibat untuk membuat tawaran yang adil, dan mengambil kira keuntungannya kepada rakyat serta dalam masa yang sama tidak melibatkan tanggungan beban tambahan kepada kerajaan, ”

    Lim menjelaskan lagi, biaya RM6.2 bilion itu akan ditanggung oleh pihak special purpose vehicle (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Incorporated dalam bentuk pengeluaran bon. Pengumpulan caj kesesakan akan mencukupi untuk membayar hutang berkenaan, serta untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan semua lebuhraya terlibat tanpa meminta peruntukan tambahan.

     
     
  • Video teaser Honda RS150R 2019 Vietnam tersebar

    Sedang Yamaha menikmati pasaran dengan ketibaan Y15ZR versi facelift 2019, pesaing rapatnya iaitu Honda RS150R masih lagi tidak diperbaharui. Walaubagaimanapun, waktu pengenalan RS150R 2019 semakin hampir, dengan video teaser baginya telah pun disiarkan oleh laman web permotoran di sana, Motosaigon. Dipercayai, video ini bocor daripada pertemuan wakil pengedar yang berlangsung di sana.

    Perkara penting yang dinyatakan dalam video ini adalah RS150R (yang dipanggil sebagai Winner di Vietnam) 2019 akan dilancarkan secara rasmi 13 Julai ini, bertempat di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam. Kemudiannya, beberapa ciri model baru ini turut terdedah.

    Paling jelas adalah rekaan lampu utama, yang juga menggunakan sistem LED, tetapi bentuknya telah berubah lebih unik. Selain bahagian utama, terdapat jalur yang bersambung ke atas seperti sepasang tanduk. Selain daripada itu, bahagian yang boleh dilihat adalah lampu belakang.

    Unit itu kelihatan lebih kecil, dan kini menggunakan lampu penunjuk arah yang berada pada penghadang lumpur sama seperti RS150R versi Malaysia. Sebelum ini, Winner di Vietnam menggunakan lampu penunjuk arah yang bersepadu sekali dengan unit lampu belakang.

    Satu lagi ciri yang berubah pada model facelift ini adalah bahagian meter, dan sekiranya grafik kartun dalam video itu boleh dipercayai, ia menyerupai unit yang berada pada Honda CBR150R. Rekaan ekzos juga berubah. Biasanya, jika di Vietnam sudah dilancarkan, ia akan diikuti oleh Thailand dan Indonesia terlebih dahulu dan selepas itu mungkin barulah negara kita.

     
     
  • Toyota GR Supra A90 di Australia habis dijual dalam masa 22 minit – harga bermula RM245k-RM274k

    Toyota GR Supra A90 di Australia habis dijual dalam masa 22 minit – harga bermula RM245k-RM274k

    Toyota Australia telah membuka tempahan untuk 100 unit pertama GR Supra A90 untuk pasaran berkenaan pada pukul 12 tengah hari, 19 Jun lalu, dan kesemua unit tersebut habis ditempah dalam masa hanya tujuh minit! Disebabkan permintaan yang begitu tinggi, sejumlah 50 unit tambahan dibuka untuk ditempah, dan ia turut habis pada pukul 12:22 hari yang sama.

    Tempahan diterima oleh 63 pengedar rasmi seluruh Australia, dan permintaan terhadap Supra generasi baharu berkenaan turut tinggi di kawasan pedalaman. Pada pasaran berkenaan, Supra A90 ditawarkan dengan dua varian – versi asas GT dijual pada harga AUD84,900 (RM245k), dan juga versi tertinggi Supra GTS berharga AUD94,900 (RM274k).

    Menurut Toyota Australia, 80 peratus dari keseluruhan jumlah yang ditempah adalah dari varian tertinggi Supra GTS, manakala warna yang popular dipilih pula adalah Nurburg Matte Grey, diikuti Goodwood Grey, Monza Red dan Fuji White. Pembeli dikenakan bayaran deposit AUD4,000 (RM11.5k) untuk menempah Supra mereka.

    “Kami tahu menerusi kajian yang kami lakukan sendiri terdapat permintaan yang tinggi terhadap GR Supra dalam pasaran. Kami tidak jangka dengan menjualnya secara atas talian akan menjadi isu tetapi kami terkejut bagaimana cepatnya tempahan untuk 100 unit pertama dibuat,” kata naib presiden untuk jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley.

    Toyota Australia akan membuka tempahan untuk kumpulan kedua Supra tersebut pada 12 tengah hari 17 Julai 2019, namun jumlah unit yang disediakan masih belum disahkan.

    Toyota Supra generasi kelima ini dihasilkan dari platform yang sama dengan BMW Z4 G29. Ia dijana oleh enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris menjana 350 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm. Digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik, memacu roda belakang, Supra A90 ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

    Sementara itu di Malaysia, UMW Toyota telah mengesahkan bahawa GR Supra A90 turut akan berada di bilik pameran tempatan tahun ini. Sebarang spesifikasi mahupun harga belum lagi didedahkan, namun untuk rekod, ‘Abang Ngah‘ dalam barisan kereta sport jenama itu iaitu Toyota 86 yang dijana enjin 2.0 liter NA dijual pada harga bermula RM258k hingga RM264k.

     
     
  • Minyak enjin motosikal semi-sintetik terbaru dari Shell Advance AX7 – tambahan dua varian, RM33.90 sebotol

    Minyak enjin motosikal semi-sintetik terbaru dari Shell Advance AX7 – tambahan dua varian, RM33.90 sebotol

    Shell Malaysia Trading Sdn Bhd kini telah memperkenalkan dua lagi varian baru bagi minyak enjin motosikal semi-sintetik Shell Advance AX7. Minyak yang dimaksudkan ialah Shell Advance AX7 10W-30 dan 15W-50 yang dijual dengan harga RM33.90 bagi setiap botol 1 liter (harga runcit yang disyorkan). Tambahan terbaru ini menjadi pelengkap kepada Shell Advance AX7 10W-40 yang sedia ada dalam pasaran.

    “Penawaran terbaru ini membolehkan penunggang motosikal memilih minyak enjin semi-sintetik premium dari Shell Advance yang benar-benar menepati pelbagai keperluan mereka,” ujar Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan. Ketiga-tiga gred minyak pelincir berkenaan dirumus menggunakan Teknologi Active Cleansing oleh Shell yang memberikan perlindungan lengkap untuk motosikal.

    Antara manfaat yang akan dinikmati termasuk enjin yang 33% lebih bersih, perlindungan enjin yang 29% lebih baik pada suhu yang tinggi, penambahan jarak perjalanan sejauh 3 km bagi setiap liter bahan api, perlindungan komponen enjin daripada kehausan yang 36% lebih baik berbanding had industri serta tiada kehilangan kuasa walaupun selepas perjalanan sejauh 12,000 km.

    Shell Advance AX7 15W-50 baru yang lebih likat menjanjikan kelancaran penghantaran kuasa dan perlindungan yang lebih baik bagi enjin yang digunakan dalam tempoh yang lama dalam keadaan tekanan tinggi. Shell Advance AX7 10W-30 baru pula mempunyai kelikatan yang lebih rendah menawarkan penjimatan bahan api dan perlindungan enjin yang lebih baik, membolehkan tambahan jarak perjalanan sehingga 3 km lebih berbanding jika menggunakan minyak mineral.

    Minyak enjin motosikal semi-sintetik terbaru dari Shell Advance AX7 – tambahan dua varian, RM33.90 sebotol

    Shell Advance AX7 10W-40 sedia ada pula mempunyai formulasi seimbang yang sesuai untuk kegunaan hampir semua jenis motosikal bagi tunggangan harian dalam keadaan lalu lintas yang terhenti-henti. Apa pun, pengguna dinasihatkan untuk mengikut cadangan pengilang (OEM) berkenaan gred kelikatan dan penarafan kualiti minyak enjin yang diperlukan untuk motosikal masing-masing, seperti yang dinyatakan dalam manual pemilik.

    Produk-produk baharu ini diadun dan dipakejkan di Malaysia, dilengkapi dengan label “Untuk Pasaran Malaysia” untuk memudahkan pengguna mengenal pasti produk tulen Shell dalam pasaran tempatan dan mengelak mereka daripada ditipu. Label dibahagian hadapan boleh ditanggalkan untuk mendedahkan kod QR unik untuk pengguna membuat pengesahan ketulenan produk dengan segera, sementara label di belakang menampilkan maklumat produk dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

    “Ini merupakan pelaburan strategik oleh Shell Malaysia untuk melindungi penunggang motosikal dan rakan niaga dengan cara membolehkan mereka mengenal pasti dengan jelas produk-produk rasmi dan tulen. Kewujudan produk-produk palsu dan tidak sah di pasaran menjejaskan keyakinan pelanggan. Pengenalan rangkaian Shell Advance “Untuk Pasaran Malaysia” baru yang berterusan adalah langkah utama untuk menangani isu ini,” tambah Tan.

     
     
  • Mitsubishi Motors buka bilik pameran baru di Bintulu

    Mitsubishi Motors buka bilik pameran baru di Bintulu

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini telah membuka sebuah lagi bilik pameran dan pusat 3S terbaru di Bintulu, Sarawak dengan kerjasama pengedar sah jenama berkenaan, Auto Pacifica Sdn Bhd. Premis ini menjadi yang pertama menampilkan penjenamaan koperat terkini Mitsubishi di Sarawak dengan slogan “Drive Your Ambition” dan turut merupakan bilik pameran 3S kedua MMM di bandar itu.

    Ia terletak di Lot No. 31 & 32, Pusat Perdagangan Bintulu City Mall, Jalan Johari Sunam, Bintulu. Secara keseluruhannya, premis dengan keluasan 3,000 kaki persegi ini menelan pelaburan sekitar RM500,000. Pusat 3S ini turut menempatkan ruang menunggu untuk pelanggan, bengkel servis dengan kelengkapan khusus Special Set Tool (SST) terkini dan mampu untuk melakukan servis bagi tiga kenderaan dalam satu masa.

    Mitsubishi Motors buka bilik pameran baru di Bintulu

    Dengan pembukaan pusat 3S baru ini, MMM kini mempunyai 54 buah bilik pameran semuanya (48 daripadanya ialah pusat 3S) dan 55 cawangan untuk servis di seluruh Malaysia. Di Borneo, MMM diwakili oleh 15 bilik pameran (tujuh di Sarawak dan lapan di Sabah).

    “Mitsubishi Motors mula bertapak di Malaysia pada Januari 2005. Auto Pacifica pula menyertai keluarga Mitsubishi Motors empat tahun kemudian, pada 2009. Tahun ini genap 10 tahun kami sebagai rakan niaga. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Auto Pacifica di atas sokongan mereka serta telah membantu menjadikann Triton sebagai trak pikap kedua paling popular di Sarawak dengan perkongsian pasaran sebanyak 20.9%,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

     
     
  • Lego dedahkan Land Rover Defender 2020 dalam set siri Technic terbaharu – mula dijual Oktober 2019

    Lego dedahkan Land Rover Defender 2020 dalam set siri Technic terbaharu – mula dijual Oktober 2019

    Land Rover Defender generasi baharu kini sedang dalam fasa-fasa akhir pembangunannya, dan bakal didedahkan pada September tahun ini. Namun ketika Land Rover masih ‘menyorok’ rekaan sebenar jelmaan semula jentera off-road lagenda tersebut dengan pelekat-pelekat penyamaran, Lego sudah pun mendedahkan Defender 2020 dalam versi mereka.

    Walau bagaimanapun, set siri Technic untuk Land Rover Defender ini sebenarnya dijangka hanya akan mula dijual pada bulan Oktober nanti, pada harga £159.99 (RM845) di UK, menurut laman The Brick Brothers. Set tersebut terdiri dari 2,573 kepingan Lego, dan apabila ia siap dibina, anda akan memiliki Defender dengan dimensi 22 cm tinggi, 42 cm panjang dan 20 cm lebar.

    Defender berkenaan hadir dalam warna Olive Green (buat pertama kali dalam mana-mana set Lego), dan akan menampilkan mekanisma stereng, kotak gear sequential empat-kelajuan, unit differential, sistem suspensi bebas dan juga unit winch pada bahagian hadapan – kesemua ini berfungsi sepenuhnya.

    Bagi model sebenar Land Rover Defender 2020, tiada sebarang perincian lagi diumumkan oleh Jaguar Land Rover (JLR). Dikhabarkan ia akan hadir dengan dua pilihan jarak roda, dalam bentuk badan tiga- atau lima pintu. Ia mungkin dihasilkan menggunakan platform Modular Longitudinal Architecture (MLA) JLR, namun tidak mustahil ia kekal menggunakan kerangka ladder-frame yang direka khas untuknya, seperti Mercedes-Benz G-Class.

    CEO JLR, Ralf Speth sebelum ini pernah menjelaskan bahawa walaupun mempunyai kebolehan off-road yang hebat, namun Defender generasi baharu ini bukanlah bersifat mekanikal sepenuhnya seperti Defender klasik. Model generasi baharu ini bakal dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan aktif sama ada di atas jalan dan off-road, bersama sistem-sistem keselamatan terkini.

    GALERI:Land Rover Defender generasi baharu

     
     
  • VIDEO: ‘Mat Rempit’ sebabkan sebuah Triton terbalik

    Hari ini tular satu video kejadian yang tidak bertanggungjawab oleh seorang penunggang motosikal yang menyebabkan kemalangan yang agak teruk – sebuah trak pikap Mitsubishi Triton terbalik dan sebuah Nissan Almera terseret ke dalam longkang.

    Video ini adalah dari dashcam Nissan Almera yang terlibat dalam kemalangan tersebut, dan dimuat naik oleh akaun bernama Tajuddin Noordin, yang mendakwa dia adalah ahli keluarga pemilik Almera berkenaan. Kejadian ini pula dikatakan terjadi di Guar Chempedak,Kedah.

    Pada awal video berkenaan, dapat dilihat motosikal tersebut melakukan aksi ‘wheelie‘. Dan tidak lama selepas itu motosikal yang sama dilihat terjatuh di laluan bertentangan, menyebabkan sebuah Mitsubishi Triton yang mahu mengelak melanggarnya, dan lebih malang ia terbalik dan merempuh Nissan Almera berkenaan.

    VIDEO: ‘Mat Rempit’ sebabkan sebuah Triton terbalik

    Namun tidak diketahui apa nasib setiap individu yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Di sini penulis ingin mengingatkan bahawa kejadian ini salah satu contoh bagaimana sikap tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain akan menyusahkan bukan sahaja diri sendiri, malah yang tidak berdosa.

    Jadi, rakyat Malaysia sekalian, tolonglah, ubah sikap kita ketika berada di atas jalan raya. Perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku diatas jalan raya bukan disebabkan semata-mata oleh perkara ranting seperti tidak menggunakan signal, melanggar lampu isyarat, membuat pusingan-U sesuka hati dan sebagainya, punca pokoknya adalah sikap masyarakat kita.

    Ubah sikap, sentiasa fikirkan keselamatan kita dan orang lain dan memandu secara defensif, insyallah banyak kemalangan yang dapat kita elakkan.

     
     
  • Kerajaan tawar RM6.2 bilion untuk ambil alih pengendalian LDP, Sprint, Kesas dan Terowong Smart

    Kerajaan tawar RM6.2 bilion untuk ambil alih pengendalian LDP, Sprint, Kesas dan Terowong Smart

    Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) telah menawarkan pengambilalihan pengendalian bagi empat lebuhraya di Lembah Klang. Surat tawaran rasmi telah pun diberikan kepada empat syarikat konsesi lenuhraya terbabut iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

    Laporan Bernama turut menyebut, tawaran yang melibatkan harga “enterprise value” atau nilai wajar perusahaan berjumlah RM6.2 bilion, dengan pecahan sebanyak RM2.47 bilion kepada LDP, Sprint (RM1.98 bilion), Kesas (RM1.38 bilion) dan SMART (RM369 juta).

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kejayaan tawaran itu adalah tertakluk kepada ketekunan wajar, sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi yang mencukupi serta kelulusan Jemaah Menteri yang muktamad.

    “Jika proses pengambilalihan lebuhraya bertol ini berjalan dengan lancar, kerajaan, menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan, akan memgambil alih lebuhraya berkenaan pada 31 Dis, 2019,” katanya dengan menjelaskan pihak SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon.

    Kerajaan tawar RM6.2 bilion untuk ambil alih pengendalian LDP, Sprint, Kesas dan Terowong Smart

    Beliau turut berkata, dengan sistem caj kesesakan baharu seperti diumumkan sebelum ini, pengguna empat lebuhraya itu akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun, dan penjimatan ini bermakna pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.

    Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan. Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30% pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.

    “Di samping itu, bagi tidak membebankan rakyat, kerajaan akan mengekalkan caj kesesakan maksimum pada waktu puncak pada kadar tol sedia ada. Struktur akhir caj kesesakan akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020,” katanya.

    Dalam masa yang sama, pengambilalihan empat lebuhraya berkenaan juga akan secara langsung menjimatkan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi untuk membekukan kenaikan kadar tol sehingga akhir hayat konsesi.

     
     
  • Porsche Macan facelift 2019 dilancarkan di Malaysia – enjin 2.0L turbo, 252 PS/370 Nm, harga dari RM455k

    Porsche Macan <em>facelift</em> 2019 dilancarkan di Malaysia – enjin 2.0L turbo, 252 PS/370 Nm, harga dari RM455k

    Minggu lalu, Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan model facelift bagi Porsche Macan mula dibuka untuk diambil tempahan bagi pelanggan yang berminat. Dan, seperti dijanjikan, hari ini model berkenaan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

    Porsche Macan facelift 2019 ketika ini hanya akan ditawarkan dalam satu varian asas sahaja, pada harga RM455,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Model ini didatangkan dengan jaminan empat-tahun dan pakej penyelenggaraan. Melalui 360 Financing Calculator, SDAP menawarkan ansuran pemilikan bulanan yang menarik dari RM5,700 untuk Macan terbaru ini.

    Model terbaru ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo empat-silinder dengan janaan kuasa 252 PS (248 hp) serta tork 370 Nm. Unit ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar PDK tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda aktif yang dikenali sebagai Porsche Traction Management (PTM).

    Porsche Macan <em>facelift</em> 2019 dilancarkan di Malaysia – enjin 2.0L turbo, 252 PS/370 Nm, harga dari RM455k

    Bagi yang berminat untuk mengetahui angka-angka prestasi Porsche Macan 2019, ia adalah seperti berikut; pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 6.7 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 225 km/j. Kadar penggunaan bahan api didakwa sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 km, sementara pelepasan CO2 ialah 185 g/km.

    Antara pembaharuan yang dilakukan ialah Macan 2019 ini menerima unit pencahayaan yang diperkemas dengan rekaan baru bagi kluster lampu utama LED hadapan. Bahagian belakang pula menerima panel lampu LED tiga-dimensi sama seperti Cayenne terkini, dan lampu belakangnya memiliki rekaan empat-poin yang mirip dengan lampu utama. Lain-lain perubahan luaran termasuk rekaan bampar baru yang menyerlahkan lagi kelebaran SUV ini.

    Di dalam ruang kabin, bahagian tengah telah direka semula untuk disesuaikan dengan sistem Porsche Communication Management (PSM), yang merangkumi skrin sesentuh 10.9-inci yang menggantikan unit 7.2-inci terdahulu. Paparan skrin lebar ini turut memerlukan corong udara yang direka semula dan ditempatkan di bawah skrin infotainmen.

    Porsche Macan <em>facelift</em> 2019 dilancarkan di Malaysia – enjin 2.0L turbo, 252 PS/370 Nm, harga dari RM455k

    Selain itu, Porsche Macan 2019 turut menerima paparan skrin sesentuh konsol tengah yang dipertingkatkan dari tujuh ke sebelas-inci. Ia menggunakan sistem antaramuka yang sama seperti model Panamera dan Cayenne, menempatkan sepasang corong pendingin hawa di tengahnya yang juga direka semula dan diletakkan di bawah skrin sentuh di tengah.

    Untuk pasaran Malaysia, Porsche Macan 2019 didatangkan dengan Pakej Premium yang dilengkapi ciri standard termasuk tempat duduk hadapan dengan 14-cara larasan bersama fungsi memori, pencahayaan ambient, ciri Power Steering Plus Park Assist, cermin pandang belakang anti silau automatik dan sistem bunyi dari Bose.

    Pelanggan boleh memilih beberapa ciri termasuk roda bersaiz 18 hingga 21-inci, serta Sport Chrono Package yang didatangkan dengan roda stereng GT Sport. Turut ditawarkan termasuklah warna pilihan yang boleh dipilih di pusat pengedar Porsche bertauliah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026