Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volvo, Uber tunjuk XC90 autonomous versi produksi

    Volvo, Uber tunjuk XC90 autonomous versi produksi

    Volvo dan Uber telah menunjukkan sebuah kereta autonomous sedia untuk fasa pengeluaran yang menggunakan asas daripada XC90. Tidak seperti versi terdahulu, kereta baru ini datang terus dengan teknologi pemanduan sendiri penuh oleh Uber dan tidak perlu dipasang kemudian.

    Ia adalah hasil terbaru untuk kerjasama antara dua syarikat yang telah dimeterai sejak tahun 2016, dan membawa Uber satu langkah lagi ke hadapan untuk memperkenalkan kereta pemanduan sendiri dalam rangkaian mereka. Uber juga memberitahu mereka tidak memerlukan pakar Uber untuk mengendalikan kenderaan ini di dalamnya.

    Apabila berkata tentang kereta yang boleh bergerak sendiri, aspek keselamatan sentiasa dibahas. Oleh itu, kereta khas ini telah diperlengkap dengan pelbagai sistem sokongan stereng, brek dan bateri. Dalam waktu kecemasan sekiranya ada sistem utama yang gagal berfungsi, sistem sokongan ini akan bertindak terus menghentikan kenderaan.

    Volvo, Uber tunjuk XC90 autonomous versi produksi

    Projek ini juga akan membenarkan Volvo menggunakan konsep kenderaan autonomous asal untuk kenderaan autonomous mereka dari tahun 2020. Teknologi ini akan hadir pada model Volvo generasi seterusnya yang menggunakan asas SPA2, dan membolehkan ia bergerak sendiri dalam kawasan yang telah ditetapkan.

    “Kami percaya teknologi pemanduan autonomous akan membenarkan kami memperbaiki lebih lagi ciri keselamatan, yang merupakan asas syarikat kami. Menjelang pertengahan dekad seterusnya, kami menjangka satu pertiga daripada semua kenderaan yang kami jual adalah kenderaan autonomous penuh,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Volvo Cars, Håkan Samuelsson.

     
     
  • BMW 8 Series Gran Coupe G16 – gambar bocor awal

    BMW 8 Series Gran Coupe G16 – gambar bocor awal

    Dalam masa beberapa hari lagi, BMW 8 Series Gran Coupe G16 akan didedahkan secara rasmi kepada dunia, namun gambarnya sudah bocor dalam internet. Ini seterusnya memberikan kita gambaran awal bentuk unik, terutamanya bahagian atas serta belakang model ini.

    Perbezaan model Gran Coupe yang mempunyai empat pintu ini dengan Coupe biasa bermula dari A-pillar, dengan sudut condong sedikit kurang manakala garis bumbung juga tidak menjunam secara keterlaluan demi memberi lebih ruang kepala untuk penumpang belakang. Ia kemudiannya bersambung kepada bahagian but yang mempunyai spoiler nipis bersepadu.

    Walaupun masih belum disahkan, Gran Coupe ini kelihatan seperti mempunyai jarak roda yang lebih panjang. Perubahan rekaan lain termasuk garis tingkap lebih jelas, dan lebih menarik, semua pintu menggunakan rekaan tingkap tanpa bingkai.

    Untuk enjin, 8 Series Gran Coupe ini akan berkongsi enjin yang sama dengan model 8 Series lain. Ini termasuk unit petrol enam silinder 3.0 liter B58 (335 hp, 450 Nm) untuk 840i dan 840i xDrive, diesel enam silinder 3.0 liter twin turbo untuk 840d xDrive (320 hp, 680 Nm), petrol V8 4.4 liter biturbo (530 hp, 750 Nm) untuk M850i xDrive dan petrol V8 4.4 liter twin turbo (600 hp, 750 Nm) untuk M8.

    Seperti biasa, bahagian dalam juga mungkin akan diambil terus daripada model 8 Series baru yang telah dilancarkan sebelum ini, berserta ciri keselesaan tambahan lain untuk penumpang belakang. Apa pendapat anda dengan model coupe empat pintu terbaru ini?

     
     
  • Mercedes-Benz EQC dipamerkan di M’sia – 408 hp/765 Nm, tempahan tahun 2020, anggaran dari RM600k

    Mercedes-Benz EQC dipamerkan di M’sia – 408 hp/765 Nm, tempahan tahun 2020, anggaran dari RM600k

    Malaysia terpilih sebagai lokasi pertama untuk Asia Tenggara mempertontonkan Mercedes-Benz EQC di khalayak umum. SUV ini merupakan kenderaan elektrik (EV) pertama di bawah produk EQ dan berkongsi asas yang sama dengan model GLC kerana mempunyai persamaan kuasa bateri. Untuk pasaran global, EQC hadir dengan varian EQC 400 4Matic yang menawarkan dua kemasan iaitu Electric Art dan AMG Line.

    Model yang dipertontonkan hari ini juga merupakan unit dengan versi pemanduan sebelah kiri (untuk pasaran global) dengan kemasan Electric Art. SUV elektrik ini memiliki dimensi 4,761 mm panjang, 2,096 mm lebar dan 1,624 tinggi, dengan jarak roda 2,873 mm, juga lebih kurang sama dengan model GLC.

    Mempertaruhkan portfolio elektrik baharu dengan ‘rupa-elektro’ yang berbeza, bahagian hadapannya dihiasi gril radiator berwarna hitam yang bersaiz besar, ditawarkan dengan dua gaya iaitu unit multi-louvre bagi Electric Art dan kepingan-berkembar untuk kemasan AMG Line. Malah tema hitam menjadi pilihan bagi lampu utama Multibeam LED dengan perumah dan tiub dalaman juga menerima sentuhan yang digelapkan.

    Mercedes-Benz EQC dipamerkan di M’sia – 408 hp/765 Nm, tempahan tahun 2020, anggaran dari RM600k

    Manakala pencahayaannya pula menampilkan warna biru sebagai identiti bagi EQ. Malah gambaran yang lebih terang turut ditampilkan menerusi garisan melintang yang merentasi bahagian atas gril, memberikan pencahayaan yang berterusan dari jaluran lampu nyalaan siang pada lampu utama. Roda aloi AERO lima-jejari bersaiz 19-inci turut menyerlahkan lagi gaya SUV EV ini.

    Melewati bahagian belakangnya pula, lampu berbilang-seksyen ditampilkan dengan cermin tema jalur cahaya mendatar. Lampu-lampu ini sedikit kecil hasil daripada pemantul yang berada di bahagian bampar, menampakkan hujungnya yang lebih menarik dan sporty. Untuk menyerlahkan lagi peralihan reka bentuk dengan EQ, model ini turut mendapat tipografi khusus dengan spesifik EQ.

    Menjengah bahagian kabinnya dilengkapi dengan elemen rekaan yang agak familiar, ini termasuklah konsol tengah dan paparan dwi-segi empat tepat, dengan sambungan dua kluster instrumen 10.25-inci dan skrin paparan media yang dihadirkan bersama gaya ‘free-standing’ dan corong udara AC dengan bentuk-kunci, kemasan kayuan berwarna coklat, roda stereng sport pelbagai fungsi dengan balutan kulit Nappa menjadi pilihan untuk kemasan Electric Art.

    Mercedes-Benz EQC dipamerkan di M’sia – 408 hp/765 Nm, tempahan tahun 2020, anggaran dari RM600k

    Selain itu, ciri lain yang turut ditampilkan termasuklah pakej Multicontour Seat, fungsi haba panas bagi tempat duduk hadapan dan belakang, kawalan suru automatik THERMOTRONIC, tempat duduk hadapan dengan larasan elektronik bersama fungsi memori, cermin pandang belakang anti silau automatik dan banyak lagi.

    Untuk paparan informasi pula, tiga gaya berlainan ditawarkan – Modern Classic, Sport dan Electric Art, yang mana pilihan terakhir itu boleh menukar tona persembahan dari Rose Gold bagi mod pemanduan ke putih, dan Electric Blue ketika pemulihan tenaga, dengan beberapa tahap (low, medium, high, coasting). Bagi mod pemanduan, ia menawarkan lima program iaitu Comfort, Eco, Sport, Individual dan Max Range.

    Elemen lain yang ditampilkan termasuklah sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX) baharu, yang menampilkan ciri spesifik EQ termasuk paparan jarak pacuan, status pengecasan dan aliran tenaga. Sebagai tambahan, EQ turut mengoptimakan navigasi, mod pemanduan, pengesan semasa dan juga masa ketibaan yang boleh dikawal dan ditetapkan menerusi MBUX.

    Ia turut hadir dengan kawalan suhu pra-kemasukan, yang mampu menyediakan suhu yang diperlukan untuk ruang dalaman, dan diprogramkan menerusi MBUX atau aplikasi Mercedes Me, sama ada masa ketibaan individu atau tetapan secara mingguan.

    Selain itu, sistem penggerak juga diutamakan. EQC menampilkan penjana kuasa elektrik – yang disambungkan pada motor elektrik, transmisi nisbah-tetap, sistem penyejukan dan elektronik kuasa pada perumah yang sangat kompak – pada setiap gandar. Motor elektrik hadapan berfungsi ketika muatan rendah dan peluncuran, sementara motor elektrik di belakang pula beroperasi ketika memacu prestasi dan dalam kelajuan yang tinggi.

    Hasil gabungan itu, motor ini mampu menawarkan kuasa hingga 300 kW (atau 402 hp) pada 5,500-6,000 rpm dan tork puncak 765 Nm. Jentera ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, dengan kelajuan maksimum 180 km/j dan boleh mencapai jarak sehingga 417 km bagi pengecasan penuh, berdasarkan kitaran ujian NEDC. Bukan itu sahaja, ia juga mampu memberikan penggunaan kuasa sekitar 22.2 kWh/100 km, juga mengikut NEDC.

    Mercedes-Benz EQC dipamerkan di M’sia – 408 hp/765 Nm, tempahan tahun 2020, anggaran dari RM600k

    Bateri lithium-ion berkuasa 80 kWh turut diberikan bagi menjana kedua-dua motor elektrik. Unit modular 650 kg, yang dibangunkan oleh Daimler anak syarikat Deutsche Accumotive, menampilkan 384 sel (dua modul dengan 48 sel bagi setiap satunya dan empat dengan 72 set setiap satunya) dan voltan maksimum sehingga 405 voltan bersama kapasiti nominal sekitar 210 Ah.

    Selain itu, EQC juga dilengkapi dengan pengecas onboard berkuasa 7.4 kW bersama penyejukan-air, juga sesuai untuk pengecasan AC di rumah atau di stesen pengecasan awam. Pengecasan menerusi Mercedes-Benz Wallbox pula adalah tiga kali lebih pantas berbanding menggunakan soket kuasa domestik. Menurut jenama premium ini, EQC juga boleh dicas dengan kadar sehingga 110 kW di stesen pengecasan yang bersesuaian, bergantung pada SoC (status pengecasan), dengan data pendedahan bagi bateri yang boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam sekitar 40 minit.

    Antara aspek keselamatan yang diberikan termasuklah kamera 360°, Active Distance Assist DISTRONIC, Active Speed Limit Assist, KEYLESS-GO dan PRE-SAFE® system . Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memaklumkan model EQC ini bakal dibuka untuk tempahan pada tahun hadapan untuk pasaran tempatan dengan harga anggaran yang diumumkan ialah bermula RM600,000.

     
     
  • Mercedes-Benz S560e kini tiba di M’sia – 3.0L V6 plug-in hybrid, 469 hp/700 Nm, harga anggaran RM659k

    Mercedes-Benz S560e kini tiba di M’sia – 3.0L V6 plug-in hybrid, 469 hp/700 Nm, harga anggaran RM659k

    Model sedan mewah Mercedes-Benz S560e, yang merupakan versi plug-in hybrid sekaligus tambahan varian terbaru dan kedua kepada model flagship S-Class W222 di Malaysia selepas S 450 L AMG Line, kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan pada harga anggaran RM658,888 (atas jalan tanpa insurans).

    Model yang pertama kali membuat penampilan global di Frankfurt pada 2017 ini menggunakan gabungan sistem antara enjin 3.0 liter turbocaj V6 petrol yang menghasilkan sebanyak 326 hp dan 500 Nm serta motor elektrik yang diletakkan bersekali dengan torque converter dan klac di dalam satu sistem transmisi hibrid kompak; ia menggunakan transmisi 9G-Tronic Plus sembilan-kelajuan automatik. Janaan kuasa yang dihasilkan oleh motor elektrik berkenaan ialah 121 hp dan 440 Nm. Output keseluruhan yang dihasilkan ialah 469 hp dan 700 Nm.

    Dari sudut prestasi, S650e mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya lima saat, sementara kelajuan maksimumnya ialah 250 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah pada kadar 2.1 l/100 km, manakala pembebasan emisi ialah sebanyak 49 g/km.

    Mercedes-Benz S560e kini tiba di M’sia – 3.0L V6 plug-in hybrid, 469 hp/700 Nm, harga anggaran RM659k

    Kereta ini boleh memberikan prestasi penggunaan elektrik sepenuhnya sehingga jarak 50 km, hasil daripada peningkatan kapasiti pada bateri lithium-ion 13.5 kWh. Bateri ini turut menampilkan penggunaan sel lithium-nickel-manganese-cobalt (Li-NMC) menggantikan unit lithium-iron-phosphate (LiFePo) 22 Ah sebelum ini. Unit yang dibangunkan oleh anak syarikat Daimler, Deutsche Accumotive juga lebih kecil daripada yang terdahulu, menjadikan ruang barangan yang tersedia lebih luas – dari 395 kepada 410 liter.

    Mercedes-Benz S560e turut menampilkan pengecas sejukan cecair dengan kapasiti 7.4 kW, dan baterinya boleh dicas dari 10% hingga 100% SoC (status of charge) dalam masa sekitar 1.5 jam dengan Mercedes Wallbox pada kuasa penuhnya. Melalui soket domestik biasa, tempoh mengecasnya ialah lima jam.

    Sebagai kenderaan cekap tenaga, S560e ini dilengkapi dengan mod ECO Assist yang berfungsi untuk membantu pemandu menikmati pengalaman yang pemanduan yang menjimatkan. Sistem pencahayaan pada sedan mewah ini menggunakan jenis Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus. Turut tersedia ialah bumbung panoramik boleh laras, Magic Vision Control dan menutup pintu dengan kuasa elektrik.

    Bahagian dalamnya menggunakan material kulit Nappa dengan kemasan kayu walnut untuk menyerlahkan sisi eksklusifnya. Selain itu, kawalan pendingin hawa Thermotronic juga tersedia bagi penumpang depan dan belakang, pakej Air Balance, cermin pandang belakang anti-silau, stereng multi-fungsi dengan kemasan kayu dan balutan kulit serta lampu ambient untuk kabin.

    Ciri multimedianya terdiri daripada Comand Online dengan kawalan jarak jauh bagi penumpang belakang, Touchpad dengan Controller, dua sistem hiburan untuk penumpang belakang dengan set headphone tanpa wayar, dua pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk bahagian depan dan belakang, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem bunyi keliling Burmester.

    Dari sudut keselamatan, S560e ini dilengkapi dengan pakej Driving Assistance yang antara lain merangkumi Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist dan Active Parking Assist dengan Parktronic. Ia juga hadir dengan sistem pemantau tayar, dan menggunakan tayar jenis run-flat (dengan saiz rim aloi 19-inci).

    Dengan harga RM658,888 (anggaran, atas jalan tanpa insurans), insentif cukai yang diterima oleh model ini menjadikannya RM41,000 lebih murah berbanding S 450 L AMG Line yang terdahulu. Ia bagaimanapun RM60,000 lebih mahal berbanding S 400 h pra-facelift dahulu, yang dijual pada harga RM598,888 bagi versi AMG Line terakhirnya pada 2017. Untuk perincian lanjut berkaitan Mercedes-Benz S-Class, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Toyota pegang takhta jenama automotif paling berharga di dunia untuk kali ke-7 berturut-turut

    Toyota pegang takhta jenama automotif paling berharga di dunia untuk kali ke-7 berturut-turut

    Nampaknya penguasaan Toyota sebagai jenama paling berharga di dunia masih lagi belum dapat digugat oleh mana-mana pengeluar automotif lain – BrandZ Top 100 Most Valuable Global Brands telahpun mengumumkan senarai berkenaan untuk tahun ini, dan gergasi automotif dari Jepun tersebut masih kekal di tempat pertama untuk tahun ke-tujuh berturut-turut!

    Toyota dianggar mempunyai nilai jenama USD29.151 bilion untuk tahun 2019, yang sebenarnya jatuh 3% berbanding pada tahun 2018. Mercedes-Benz masih kekal di tempat kedua walaupun mencatatkan peningkatan 9% dengan nilai jenama USD23.355 bilion.

    Kedudukan tempat ketiga juga tidak berubah, menjadi milik satu lagi jenama premium Jerman iaitu BMW dengan nilai USD23.326 bilion. Walaupun hanya ketinggalan sedikit sahaja dari Merc, nilai BMW dilihat menurun 9% dari tahun sebelumnya.

    Toyota pegang takhta jenama automotif paling berharga di dunia untuk kali ke-7 berturut-turut

    Honda pula menjadi jenama Jepun kedua paling bernilai atau tempat keempat secara keseluruhan degan nilai USD11.749 bilion. Ford pula di tangga kelima dengan nilai USD11.211 bilion, manakala Nissan di tempat keenam dengan nilai USD10,554 bilion.

    Pengeluar kereta elektrik dari Amerika, Tesla turut tersenarai dalam Top-10 dengan menghuni tangga ke-tujuh (USD9.285 bilion), diikuti Audi (USD8.556 bilion) dan Volkswagen (USD6.707 billion). Porsche turut termasuk sebagai muka baharu dalam senarai Top-10 ini di tempat terakhir dengan nilai USD5.817 bilion.

    Senarai ini adalah senarai yang hanya spesifik untuk kategori automotif. Sekiranya dilihat dari keseluruhan jenama yang ada di dunia, hanya Toyota, Mercedes-Benz dan BMW berada dalam senarai 100 jenama paling bernilai.

     
     
  • Proton Iriz 2019 edisi Razer Pay tunggu pemenang

    Proton Iriz 2019 edisi Razer Pay tunggu pemenang

    Sempena Malaysia Tech Week 2019, rakan korperat bagi acara berkenaan yang juga merupakan penyedia aplikasi perkhidmatan e-bayaran, Razer Pay menawarkan sebuah Proton Iriz 2019 dalam edisi khusus untuk unit berkenaan sahaja sebagai hadiah utama bagi peraduan “Pay With Razer Pay”.

    Proton Iriz 2019 berkenaan dalam warna hitam diberikan sedikit sentuhan kelainan dengan jalur hijau; yang utama bermula dari bahagian “sayap” pada gril hinggalah ke bahagian bumbung. Selain itu, jalur sama juga turut menghiasi kemasan bahagian bawah bampar dan sedikit pada sisi badan Iriz.

    Peraduan berkenaan bermula dari 1 hingga 30 Jun 2019, dan terbuka bagi mereka yang menggunakan aplikasi Razer Pay untuk pembayaran atau tambah nilai bagi urusan di Starbucks, 7 Eleven, Celcom Xpax dan juga Razer Gold.

    Proton Iriz 2019 dilancarkan pada April lalu dalam lima pilihan varian dengan harga bermula dari RM36,700 hingga RM50,700. Berminat nak cuba nasib?

     
     
  • Proton, Altel, ECarX jalin kerjasama teknologi digital

    Proton, Altel, ECarX jalin kerjasama teknologi digital

    Ada satu lagi perkembangan yang melibatkan Proton selain daripada pemasangan percubaan bagi X70. Proton hari ini turut menandatangani perjanjian usahasama antara Proton Edar Sdn Bhd, Altel Communications Sdn Bhd dan ECarX (Hubei) Technology Co. Ltd, China.

    Syarikat usaha sama ini akan memberi kelebihan kepada Proton, terutama dalam bidang teknologi digital serta sistem keterhubungan (connectivity) dalam kenderaan. Penggunaan ciri-ciri seumpama ini kini menjadi trend antarabangsa dan dijangka menjadi salah satu pemacu utama jualan automotif pada masa hadapan.

    Langkah ini akan membuka kemungkinan baru untuk Proton mempunyai R&D serta menghasilkan pengeluaran paranti atau aplikasi keterhubungan kenderaan tempatan. Ini akan mendorong kepada peningkatan kandungan tempatan dalam produk akhir, mengurangkan kos serta mengurangkan kebergantungan terhadap alatan dari luar.

    Selain itu, perkembangan ini juga memungkinkan penawaran “Hi Proton” untuk pasaran eksport serantau di ASEAN dan membolehkannya disesuaikan bagi setiap pasaran terlibat melalui R&D tempatan yang dapat dilakukan nanti. Ini secara tidak langsung memberikan kelebihan dan manfaat besar kepada Proton, baik untuk pasaran di Malaysia mahupun pasaran eksport. Sebagai contoh, “Hi Proton” misalnya telah juga diperkenalkan pada model Iriz, Persona dan Exora 2019 yang diperkenalkan baru-baru ini.

    “Dengan menandatangani perjanjian hari ini, Proton mengambil langkah kehadapan dalam perancangan syarikat untuk menjadi jenama automotif yang menawarkan produk-produk bertaraf global. Kerjasama seperti ini membolehkan Proton mendapat kedudukan yang lebih tinggi dalam teknologi penyelesaian perhubungan dalam kenderaan yang sedang berkembang pesat. Ini juga dapat meningkatkan asas pengetahuan jurutera R&D di Proton.

    “Ia juga membolehkan kami meneroka pelbagai kemungkinan untuk mengembangkan penyelesaian keterhubungan kenderaan ke pasaran eksport Proton, terutamanya di negara-negara ASEAN yang berdekatan. Ini akan memberi satu kelebihan teknologi kepada Proton, dalam keadaan industri automotif kini sedang menuju ke peringkat seterusnya dalam penyelesaian mobiliti,” ujar Pengerusi Proton, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

     
     
  • Pemasangan tempatan bagi Proton X70 sedang diuji

    Pemasangan tempatan bagi Proton X70 sedang diuji

    Dalam perkembangan terbaru berkaitan kesediaan pemasangan tempatan model Proton di Tanjung Malim, syarikat itu memaklumkan naik taraf kemudahan yang bernilai RM1.2 bilion itu semakin hampir siap dibina. Dan, ketika ini, kerja-kerja percubaan pemasangan telah pun dijalankan untuk model X70.

    Bahagian-bahagian seperti semakan akhir, mengecat dan pemasangan bagaimanapun masih dalam fasa disiapkan sepenuhnya. Bagaimanapun, jurutera dan pekerja pengeluaran Proton sudah boleh menjalankan proses percubaan pemasangan kenderaan secara semi automatik untuk tujuan mendapatkan pendedahan serta pengalaman awal bagi proses pengeluaran SUV Proton X70 CKD kelak.

    Perlu jelas, bahawa yang sedang dilakukan ini ialah percubaan bagi kerja-kerja pemasangan tempatan kelak, dan bukannya pengeluaran sebenar bagi unit CKD X70 yang akan diperkenalkan. Unit X70 yang digunakan dalam gambar berkenaan juga sangat mirip dengan versi CBU yang ada ketika ini. Lain halnya dengan unit CKD nanti, yang khabarnya akan turut menerima sedikit kelainan dari sudut rekaan dan lokalisasi lainnya. Itu kita perlu tunggu bila versi CKD ini dikeluarkan secara rasmi untuk tahu lebih lanjut.

    “PROTON berhasrat untuk memulakan pengeluaran X70 di Tanjung Malim pada separuh kedua tahun ini, jadi kami berusaha keras untuk memastikan sasaran itu dicapai. Ini akan menjadi pencapaian yang luar biasa kerana dalam masa kurang dari dua tahun sejak perjanjian antara DRB-Hicom dan Geely ditandatangani, Proton telah mencapai kejayaan penting dalam usaha bersama kami untuk mengembalikan jenama ini kembali kepada kedudukan yang dikenali,” jelas Pengerusi Proton, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    Pemasangan tempatan bagi Proton X70 sedang diuji

    April lalu dalam satu sesi bersama media, Syed Faisal memaklumkan bahawa pemasangan tempatan (CKD) bagi X70 adalah mengikut jadual dan model berkenaan akan diperkenalkan dalam tahun ini. Berkaitan kadar kandungan tempatan (local content) yang akan dilakukan terhadap X70 CKD nanti, tidak ada anggaran peratusan yang didedahkan.

    “Tetapi, ciri seperti sistem GKUI yang digunakan ketika ini antara perkara yang akan diberikan kemaskini dan disesuaikan untuk pengguna tempatan,” tambah beliau. Sebagai contoh, sistem peta yang menjadi sebahagian daripada sistem berkenaan pada X70 ketika ini menggunakan versi dari Baidu yang dibangunkan di China.

    “Kerja-kerja naik taraf dan persiapan di kilang Proton di Tanjung Malim untuk menampung pemasangan CKD X70 berjalan seperti dirancang dan hampir selesai. Selepas ini, ujian pemasangan kenderaan akan dilakukan serta memperkemaskan proses terlibat untuk memastikan kualiti berada pada tahap tertinggi. Begitu juga dengan untuk mempersiapkan vendor-vendor terlibat untuk tujuan ini,” ujar beliau.

     
     
  • Audi, Renault dan Honda akan guna speaker Alibaba

    Audi, Renault dan Honda akan guna <em>speaker</em> Alibaba

    Kenderaan-kenderaan Audi,Renault dan Honda di China selepas ini akan menggunakan pembesar suara atau speaker Tmall Genie Auto oleh Alibaba. Perkara ini diumumkan oleh syarikat berkenaan ketika pameran CES Asia 2019 di Shanghai, seperti dilaporkan Reuters.

    Dikuasakan oleh (artificial intelligence) AI dan bantuan kawalan suara, peranti ini akan membolehkan pemandu untuk menggunakan arahan suara untuk membuat pesanan di laman atas talian Alibaba dan juga tiket wayang, misalnya. Di dalam kenyataan bersama dengan tiga jenama pengeluar kenderaan itu, Alibaba memaklumkan dalam masa terdekat, Tmall Genie Auto akan membolehkan pemandu untuk meninjau dan mengawal peranti pintar mereka di rumah yang juga dilengkapi dengan peranti yang serasi dengan Tmall Genie.

    “Kami berbesar hati untuk menjadi rakan niaga bagi jenama automotif global seperti Audi, Renault dan Honda. Kami akan mempertingkatkan lagi perkhidmatan dalam kenderaan dan menjadikan pengalaman pemanduan lebih pintar dan semakin terhubung,” ujar Pengurus Besar Alibaba AI Labs, Miffy Chen.

    Laporan itu juga menjelaskan, Tmall Genie adalah mirip Echo oleh Amazon. Alibaba melancarkan peranti berkenaan pada 2017 dan mengeluarkan alatan sama versi kegunaan pada kenderaan pada April 2018. Antara jenama automotif lain yang khabarnya akan mengikut jejak yang sama memasang speaker pintar dalam kenderaan mereka termasuk BMW dan Volvo. Echo Auto yang dibangunkan oleh Amazon telah diumumkan pada September tahun lalu.

     
     
  • BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Kereta jenis wagon (juga dipanggil estate di beberapa tempat) masih lagi popular bagi pengguna kenderaan di Eropah, dan disebabkan itu BMW telah memperkenalkan 3 Series Touring G21 baru untuk mereka yang mencari lebih praktikaliti berbanding 3 Series Sedan G20.

    Jika dibandingkan dengan 3 Series Touring F31 sebelumnya, model baru ini adalah lebih besar, dengan ukuran 4,709 mm panjang (+76 mm), 1,827 mm lebar (+16 mm) dan 1,470 mm tinggi (+8 mm). Jarak roda depan dan belakang pula sekarang menjadi 2,851 mm (+41 mm), sementara jarak roda kiri dan kanan adalah 1,573 mm (+43 mm) di hadapan dan 1,569 mm (+21 mm) di belakang.

    Walaupun mempunyai dimensi lebih besar, model baru ini masih mencatat berat kurang 10 kg berbanding model sebelumnya, hasil daripada penggunaan lebih banyak besi berkekuatan tinggi dan aluminium. Ketegaran badan juga meningkat 25% secara keseluruhan dan mempunyai pembahagian berat 50:50.

    Melihat kenderaan ini daripada depan, tidak banyak beza rekaannya berbanding model sedan. Antara yang dilihat sama adalah gril hadapan besar serta lampu utama nipis yang didatangkan dengan sistem LED penuh secara standard (Adaptive LED dengan BMW Laserlight didatangkan sebagai pilihan tambahan).

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Barangan lain yang ditawarkan sebagai pilihan adalah lampu kabus, yang disepadukan pada bukaan udara luar, serta Air Curtain yang terdapat pada bucu bampar; kelengkapan ini adalah untuk varian Sport Line dan Luxury Line, dan bukannya Advantage Line yang paling asas. Model M Sport pula mendapat rekaan bampar yang lebih agresif dengan bukaan udara lebih besar.

    Pergi ke belakang, aspek praktikaliti yang diambil berat menyaksikan cermin belakang lebih lebar 20 mm berbanding model sebelum ini dan ia boleh dibuka secara berasingan untuk akses ke ruang barangan tanpa membuka pintu but. Lampu belakang pula mempunyai pencahayaan berbentuk L dan di hujung bampar terdapat kemasan berbentuk T (untuk semua varian kecuali M Sport).

    Kelebihan utama 3 Series Touring sudah tentu adalah ruang kargonya, yang menyaksikan peningkatan berbanding model sebelumnya. Bahagian but ini sekarang 112 mm lebih lebar dan bukaannya 30 mm lebih tinggi dan 125 mm lebih lebar di bahagian atas.

    Hasilnya, bahagian barangan belakang ini sekarang menyediakan ruang 500 liter (+5 liter) dengan semua tempat duduk berada tegak seperti asal, dan apabila dilipat (40:20:40), anda akan mempunyai 1,510 liter ruang barangan.

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Memasukkan barang ke bahagian ini juga menjadi lebih mudah kerana ia lebih rendah 616 mm, dan jarak antara atas bampar dengan lantai but cuma 8 mm berbanding 35 mm sebelum ini. BMW menambah, 3 Series Touring juga boleh didapati dengan rel anti gelincir, petak barangan serta fungsi melipat tempat duduk secara elektronik.

    Bahagian lain dalam kabin berkongsi banyak sistem dan ciri dengan model sedan, termasuk Live Cockpit Professional berserta panel instrumen 12.3 inci dan paparan infotainmen Control Display 10.25 inci dengan BMW Operating System 7.0 yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Versi yang lebih asas untuk sistem ini (Live Cockpit and Live Cockpit Plus) menggunakan panel instrumen warna hitam dengan skrin 5.7 inci dan Control Display 8.8 inci, dengan Live Cockpit Plus yang mempunyai Touch Controller, sistem navigasi, dua soket USB untuk penukaran data, sambungan Apple CarPlay dan Wi-Fi. Pilihan lain yang disedikan adalah seperti sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara, pengawal suhu tiga zon, bumbung panoramik, lampu suasana serta kemasan dalam.

    BMW 3 Series Touring G21 tampilkan lebih praktikaliti

    Sistem bantuan pemandu juga tidak berkurangan pada model ini, dengan brek kecemasan autonomous serta amaran keluar lorong diberikan secara standard. Sistem yang disediakan sebagai pilihan tambahan adalah Driving Assistant Professional, yang termasuk Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning, Side Collision Protection, Evasion Assistant, Cross Traffic Alert, Priority Warning dan Wrong-Way Warning.

    Semasa pelancaran, BMW menawarkan beberapa variasi enjin petrol untuk model ini, bermula dengan unit enam silinder 3.0 liter turbo xDrive M340i dengan jumlah kuasa 374 PS (369 hp) dan 500 Nm tork (0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, laju maksimum 250 km/j).

    Dua lagi varian selebihnya menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter. Pada 330i, enjin ini menghasilkan 258 PS (255 hp) dan 400 Nm (0-100 km/j dalam 5.8 saat, laju maksimum 250 km/j), manakala pada 320i ia menghasilkan 184 PS (181 hp) dan 300 Nm (0-100 km/j dalam 7.6 saat, laju maksimum 230 km/j). Semua varian petrol ini datang dengan transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic, dengan ciri pacuan xDrive disediakan sebagai pilihan untuk 330i (standard untuk M340i).

    Terdapat juga satu varian hibrid petrol 330e, yang akan ditawarkan menjelang tahun 2020, dengan kuasa keseluruhan 252 PS (248 hp). Ia menggunakan gabungan enjin empat silinder turbo 2.0 liter (184 PS atau 181 hp) dengan motor elektrik (109 PS or 107 hp) yang disepadukan pada kotak gear automatik lapan kelajuan.

    Pergi kepada model diesel, terdapat varian 330d xDrive yang menggunakan enjin enam silinder turbo 3.0 liter dengan kuasa 265 PS (261 hp) dan 580 Nm (0-100 km/j dalam 5.4 saat, laju maksimum 250 km/j). Ia kemudiannya diikuti oleh 320d yang menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter dengan kuasa 190 PS (188 hp) dan 400 Nm (0-100 km/j dalam 7.4 saat, laju maksimum 225 km/j).

    Akhir sekali adalah varian 318d yang menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter tetapi cuma menghasilkan 150 PS (148 hp) dan 320 Nm. Transmisi manual enam kelajuan datang secara standard untuk 318d dan 320d, tetapi 320d boleh dipilih dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Sistem pacuan empat roda juga boleh didapati untuk 320d, tetapi tiada pilihan transmisi automatik baginya.

    Sama seperti model sedan, 3 Series Touring boleh didapati dengan suspensi M Sport untuk menggantikan suspensi standard. Dengan suspensi ini, ia 10 mm lebih rendah, dan ditambah dengan pendakap badan, spring dan anti-roll bar lebih tegar serta sudut camber yang lebih.

    Kedua-dua tetapan suspensi ini bekerja dengan pengawal penyerap baru, yang merupakan satu sistem pasif yang memberikan serapan hidraulik tambahan pada roda hadapan dan sistem pengehad mampatan di bahagian belakang.

    Sekiranya itu masih tidak mencukupi, pemilik juga boleh mendapatkan suspensi Adaptive M dengan penyerap kawalan elektronik yang disambungkan kepada Driving Experience Control dengan mod Comfort, Adaptive dan Sport. Variable Sport Steering diberikan secara terus untuk kedua-dua sistem suspensi M yang ditawarkan.

    Pemilik juga kemudiannya boleh menambah lagi brek M Sport yang terdiri daripada cakera brek lebih ringan serta angkup empat piston di hadapan dan satu piston di belakang yang diwarnakan biru. Differential M Sport ditawarkan untuk 330i, 330i xDrive dan 330d xDrive dengan suspensi M Sport atau Adaptive M.

    BMW 3 Series G21 Touring M Sport

    BMW 3 Series G21 Touring Luxury Line

     
     
  • Skoda Karoq Velo – ada mesin basuh baju!

    Hari ini 12 Jun 2019, bukannya 1 April yang biasanya kita akan dihidangkan dengan berita pelik-pelik sebegini – ini betul punya berita, Skoda telah menghasilkan sebuah model khas dari SUV Karoq, digelar Karoq Velo yang mempunyai mesin basuh baju di dalamnya!

    Walau bagaimanapun, Karoq Velo ini sebenarnya bukanlah model produksi, tetapi model konsep dari Skoda UK dengan rekaan dan ciri-ciri dihasilkan khas untuk mereka yang gemar berbasikal. Sebelum projek ini dijalankan, pasukan rekaan Skoda telahpun menjalankan kaji selidik terhadap 1,500 penunggang basikal tentang kenderaan sokongan yang ideal untuk aktiviti tersebut.

    Dengan itu, terhasillah SUV dengan pelbagai ciri unik seperti ruang untuk menyimpan set peralatan lengkap bagi menukar tayar basikal bersama lampu LED bagi memudahkan kerja-kerja tersebut dibuat pada kawasan gelap, tempat penyimpanan basikal di dalam kabin selain dua lagi boleh diletakkan di bumbung, dan juga mesin basuh baju yang dinyatakan tadi.

    Skoda Karoq Velo – ada mesin basuh baju!

    Mesin basuh berkenaan menerima bekalan air dari sistem paip dan simpanan khas pada SUV tersebut, yang turut boleh digunakan untuk membasuh basikal. Walaupun Ia menerima pelbagai kelengkapan, ruang kabin Karoq Velo ini turut boleh dimuatkan dengan tiga orang dewasa termasuk pemandu.

    Pada bahagian luaran, Karoq Velo ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan dengan Karoq standard. SUV ini diberikan warna badan kelabu bersama grafik berbentuk rantai basikal bagi memberitahu bahawa ia adalah model yang tidak sama dengan versi biasa.

    Apa yang menarik lagi, SUV istimewa ini turut dilengkapi dengan sebuah dron bagi melakukan berberapa tugasan. Dron ini mempunyai pad mendarat magnetik serta juga fungsi Follow Me yang menggunakan penderia dan teknologi pengesan bagi membolehkan ia mengikut penunggang basikal secara automatik bagi mengambil gambar.

    Dron berkenaan juga mempunyai Wi-Fi Hotspot bagi membolehkan gambar-gambar yang diambil terus dimuat naik setelah mereka pulang ke kereta. Karoq Velo ini turut dilengkapi dengan sistem panggilan kecemasan, yang akan terus menghantar lokasi kereta ke pihak Skoda sendiri, seterusnya menghubungi pihak yang terdekat bagi memberikan bantuan – dengan semudah menekan satu butang.

    Menurut Skoda, walaupun Karoq Velo ini tidak dijual, mereka ada menghasilkan berberapa aksesori diinspirasikan dari SUV ini dan ia boleh dibeli di pengedar bertauliah. Antara barangan tersebut adalah Skoda Multi-tool, pam tayar basikal bersama pendakap Skoda dan juga lampu basikal Skoda.

     
     
  • Op Selamat 15 Aidilfitri: 229 maut, 22,852 kemalangan dan 319,576 saman dalam tempoh dua minggu

    Op Selamat 15 Aidilfitri: 229 maut, 22,852 kemalangan dan 319,576 saman dalam tempoh dua minggu

    Sejak dilancarkan pada 29 Mei lalu, Op Selamat ke-15 sempena Hari Raya Aidilfitri telah mencatatkan 22,852 kes kemalangan jalan raya dengan melibatkan 229 kematian.

    Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata, Selangor dan Johor mendahului jumlah kematian paling ramai membabitkan 37 orang diikuti Perak (24), Kedah dan Pahang (masing-masing 18), Kelantan (17), Sabah (16), Sarawak (15), Terengganu (12), Negeri Sembilan (9), Pulau Pinang (8), Kuala Lumpur (7), Melaka (6) dan Perlis (5).

    “Selangor masih mencatat jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 5,949 kemalangan, diikuti Johor (3,550), Kuala Lumpur (2,629), Perak (1,958) dan Pulau Pinang (1,835). Sepanjang dua minggu Op Selamat ke-15, sebanyak 4,195 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 319,576 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Op Selamat 15 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 12 Jun ini, memberi tumpuan terhadap enam kesalahan utama melibatkan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

     
     
  • Continental dan Leia bangunkan sistem paparan 3D – akan masuk fasa pengeluaran seawal tahun 2022

    Continental dan Leia bangunkan sistem paparan 3D – akan masuk fasa pengeluaran seawal tahun 2022

    Semasa pameran CES 2019 di Shanghai, Continental telah menunjukkan buat pertama kalinya kepada orang awam satu sistem paparan 3D yang menggunakan teknologi digelar Lightfield, hasil kerjasama dengan sebuah syarikat teknologi dari Silicon Valley, California, Amerika Syarikat, iaitu Leia Inc.

    Berbeza dengan teknologi paparan 3D yang ada sekarang, Lightfield tidak memerlukan sebarang peranti tambahan yang perlu dipakai di kepala atau mata, dan ia boleh dilihat oleh semua orang di dalam kenderaan. Ini adalah hasil daripada kaedah istimewa menghalang dan membiaskan cahaya.

    Secara keseluruhannya, imej 3D yang oleh Lightfield dihasilkan melalui lapan perspektif berbeza setiap objek dan ia berubah mengikut sudut pandangan. Selain paparan penting informasi kenderaan dan navigasi, Continental juga sedang meneroka kandungan lain untuk paparan 3D ini seperti panggilan video, melayari internet ataupun menonton video sebagai aktiviti tambahan untuk pengguna kenderaan autonomous.

    Continental dan Leia bangunkan sistem paparan 3D – akan masuk fasa pengeluaran seawal tahun 2022

    Menurut Continental, Lightfield boleh memasuki fasa produksi menjelang tahun 2022, dan pengeluar kenderaan yang mahu menggunakannya boleh memilih perincian tersendiri bagi membezakannya dengan pengeluar lain yang juga menggunakan Lightfield.

    “Antara cabaran hebat dalam industri automotif sekarang adalah untuk membangunkan konsep pintar bagi interaksi antara mesin dan manusia. Untuk mencipta penyelesaian yang dapat meningkatkan pengalaman pemandu dalam kenderaan dan membenarkan mereka berhubung dengan kenderaan tanpa terganggu dalam pemanduan. Lightfield adalah antara teknologinya,” kata ketua bahagian perniagaan Instrumen dan Pemandu HMI Continental, Dr. Frank Rabe.

     
     
  • Lorong Perbandaran di Klang dibuka semula untuk lalu lintas mulai 20 Jun 2019 – Presiden MPK

    Lorong Perbandaran di Klang dibuka semula untuk lalu lintas mulai 20 Jun 2019 – Presiden MPK

    Ini ada berita baik untuk penduduk Klang dan pengguna jalan raya di daerah berkenaan. Selepas ditutup mulai 3 April 2018, Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat keputusan untuk membuka semula Jalan Perbandaran, iaitu salah satu laluan utama paling sibuk di dearah berkenaan, kepada lalu lintas bermula 20 Jun ini.

    “Walau bagaimana pun, laluan berkenaan dibuka setiap waktu puncak iaitu dari jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 4 petang hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat. Ia akan ditutup pada trafik setiap hujung minggu dan juga cuti umum,” ujar presiden MPK Datuk Mohamad Yasin Bidin seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    Tambahnya lagi, pada waktu berkenaan, pihak MPK akan sentiasa mengawal pergerakan trafik, dari Jalan Raya Barat ke Jambatan Kota menerusi Jalan Perbandaran.

    Lorong Perbandaran merupakan antara laluan untuk pengguna jalan raya ke bandar Klang, Meru dan Kapar menerusi Jambatan Kota, serta ke kawasan berdekatan dengannya termasuk pejabat tanah dan daerah Klang, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan juga kawasan komersil Little India.

    Penutupan jalan terbabit sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna jalan raya dan penduduk setempat. Di mana ia telah menambah kesesakan trafik yang teruk berhampiran kuil Kuan Yin di Jalan Raya Barat setiap kali waktu puncak. Justeru, MPK membuat keputusan untuk membuka semula laluan terbabit pada setiap waktu puncak.

     
     
  • Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    Masih ramai lagi pengguna jalan raya mengabaikan larangan penggunaan lorong kecemasan terutamanya bila mahu mengelak kesesakan lalu lintas. Ia bukan sahaja boleh menyulitkan keadaan terutamanya jika berlaku kecemasan termasuk bila ada ambulans terpaksa bergegas untuk ke lokasi kejadian atau pun hospital. Malah memandu di lorong kecemasan juga boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya.

    Perkara ini dinyatakan oleh Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah A Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Ab Razak berkata, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dilihat sebagai penyumbang utama kemalangan dalam Operasi Selamat 15 (Op Selamat 15).

    “Jika dilihat kepada fungsi lorong kecemasan adalah untuk digunakan pihak berkuasa bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang berdepan masalah termasuk kemalangan. Namun, wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan laluan terbabit sesuka hati untuk kepentingan diri sendiri.

    “Berdasarkan jumlah kemalangan maut direkodkan bagi tempoh 29 Mei hingga 10 Jun lalu, sebanyak tiga kes direkodkan dalam Op Selamat 15 membabitkan lorong kecemasan di Zon Tengah A meliputi Shah Alam, Selangor hingga Tanjung Malim, Perak.

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    “Jumlah itu meningkat sebanyak dua kes berbanding hanya satu kes kemalangan maut dilaporkan di zon ini pada Op Selamat 13 membabitkan lorong kecemasan,” katanya seperti mana yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Nasyrul Ridzuan berkata, peningkatan jumlah kemalangan maut membabitkan lorong kecemasan direkodkan di zon berkenaan amat membimbangkan kerana permasalahan itu boleh dibendung jika ada kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

    “Dalam usaha mengelakkan kadar kemalangan semakin meningkat, seramai tiga pegawai dan 25 anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya termasuk menyalahgunakan lorong kecemasan.

    “Kerjasama daripada orang awam amat diperlukan bagi mengatasi permasalahan ini dengan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain selain melaporkan insiden penyalahgunaan lorong kecemasan yang berlaku di depan mata mereka kepada pihak berkuasa. Tanpa kerjasama ini, sukar untuk mengatasi masalah ini seperti kata pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’,” katanya.

    Op Selamat 15 sempena Aidilfitri: Guna lorong kecemasan antara punca kemalangan – PDRM

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan lorong kecemasan diminta menghubungi Pusat Kawalan Trafik PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan) di talian 03 78016666 atau hubungi hotline JSPT di talian 03 22734086 untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Dalam masa yang sama, setakat 10 Jun 2019, sebanyak 221 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang Op Selamat 15 sempena Aidilfitri ini. Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata 14 kematian direkodkan pada Isnin dengan empat daripada kematian itu berlaku di Perak.

    Laporan Bernama turut menyebut, Terengganu dan Johor semalam masing-masing merekodkan dua kematian manakala Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak menunjukkan satu angka kematian. Jumlah kemalangan dicatatkan sehingga semalam ialah 21,265 kes iaitu pertambahan 1,750 kes berbanding sebelumnya.

    “Op Selamat yang akan berakhir dua hari lagi juga menunjukkan Selangor selaku penyumbang terbesar angka kemalangan dengan 5,487 kes, diikuti Johor dengan 3,293 kes, Kuala Lumpur dengan 2,405 kes sementara Perak dengan 1,843 kes,” kata Asmawati.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Model segmen kompak sekarang menjadi antara penyumbang penting bagi Mercedes-Benz dalam menarik pengguna lebih muda. Dengan sekarang terdapat empat produk berbeza – A-Class, B-Class, CLA dan GLA – dan pelbagai varian antaranya, pilihan adalah banyak, tetapi pengeluar itu masih dapat melihat ruang untuk satu model lagi iaitu SUV GLB.

    Diangkat sebagai satu pilihan yang lebih praktikal dan luas berbanding GLA, GLB ini adalah model kompak pertama Mercedes yang datang dengan pilihan tujuh tempat duduk. Untuk memuatkan satu lagi baris tempat duduk ini, ukuran GLB dijadikan 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,658 mm (1,662 mm untuk versi tujuh tempat duduk) tinggi. Ukuran jarak roda pula adalah 2,829 mm (100 mm lebih panjang berbanding B-Class baru).

    Apabila diletakkan bersebelahan dengan GLA – yang sekarang ini sememangnya memerlukan pembaharuan – bezanya adalah jelas. GLB adalah 53 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 164 mm lebih tinggi berbanding GLA, manakala jarak roda pula 130 mm lebih panjang. Semua ini adalah untuk memberikan ruang pada penumpang belakang serta barangan.

    Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Mercedes mendakwa GLB dapat memberikan ruang kepala yang terbaik dalam segmennya iaitu 1,035 mm dan ruang kaki 967 mm untuk model lima tempat duduk, serta ruang barangan 560 liter (boleh dibesarkan menjadi 1,755 liter apabila tempat duduk belakang dilipat). Pada baris tempat duduk ketiga, ruangnya dikatakan cukup untuk orang sehingga ketinggian 168 sm, dan pemilik juga boleh menggunakan cagak ISOFIX serta cangkuk atas untuk sehingga empat tempat duduk kanak-kanak di dua baris belakang.

    Rekaan badan model ini juga adalah ringkas, tidak keterlaluan dan dikatakan oleh Mercedes sebagai mirip kepada kenderaan offroad sebenar. Banyak garis berpetak digunakan termasuk pada gril, lengkuk roda, lampu serta skid plate belakang. Pemilik juga diberikan pilihan lampu utama LED, Multibeam LED dan lampu kabus LED.

    Konsep offroad itu juga diteruskan pada bahagian dalam dengan rekaan biasa Mercedes diserapkan dengan sudut lebih tajam. Sementara corong udara bentuk turbin serta skrin rata besar masih dikekalkan, di depan bahagian penumpang pula terdapat kemasan plastik berwarna coklat dan di bawahnya plastik kelihatan seperti aluminium. Kemasan sama turut digunakan pada konsol tengah serta pemegang pintu.

    Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

    Sudah tentu, pemilik juga diberikan dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang ditawarkan bersama pengawal keselesaan Energizing yang kini boleh disambungkan dengan jam pintar Garmin tertentu untuk meningkatkan kecekapannya. Penumpang baris ketiga boleh menggunakan fungsi Easy Entry satu sentuhan untuk masuk dengan lebih mudah dan terdapat soket USB di belakang.

    Semasa dilancarkan, GLB akan ditawarkan dengan pilihan dua enjin petrol dan diesel, bermula dengan unit empat silinder petrol M282 1.33 liter untuk GLB 200. Ia mampu menghasilkan 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork antara 1,600 hingga 4,200 rpm, dengan penggunaan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan Getrag. Pergi pula kepada GLB 250, ia menggunakan enjin petrol M260 2.0 liter, yang digabungkan dengan transmisi lapan kelajuan 8G-DCT baru, untuk menghasilkan kuasa 224 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm.

    Untuk enjin diesel, GLB 200 d dan GLB 220 d menggunakan unit OM654q 2.0 liter sama, namun dengan kuasa yang berbeza iaitu masing-masing 150 hp/320 Nm dan 190 hp/440 Nm. Kedua-duanya juga menggunakan kotak gear 8G-DCT dan mampu memberikan penggunaan bahan api antara 4.9 dan 5.0 liter bagi setiap 100 km untuk 200 d serta 5.2 dan 5.5 liter bagi setiap 100 km untuk 220 d. Ia juga menepati peraturan Real Driving Emissions (RDE) 2.

    Sistem pacuan semua roda 4Matic dipasang secara standard pada GLB 250 dan GLB 220 d manakala untuk GLB 200 d ia disediakan sebagai pilihan tambahan. Pengagihan tork boleh ubah pada sistem ini menampilkan nisbah 80:20 antara roda hadapan dan belakang dalam mod Eco dan Comfort, sementara dalam mod Sport, ia menggunakan nisbah 70:30. Pakej tambahan Offroad Engineering yang datang dengan mod offroad pula dapat mengubah nisbah menjadi 50:50.

    Pakej ini juga datang dengan Hill Descent Control, paparan offroad khas di skrin tengah, lampu utama Multibeam LED, serta fungsi lampu offroad yang boleh menyalakan lampu membelok pada kelajuan sehingga 50 km/j. Penyerap adaptif juga datang sebagai pilihan tambahan.

    Pada aspek keselamatan, GLB ditawarkan dengan sistem bantuan pemandu yang termasuk Distronic Adaptive Cruise Control yang sekarang boleh menyesuaikan kelajuan dengan selekoh, persimpangan dan bulatan, serta penghidup automatik apabila Active Parking Assist dipilih. Fungsi Active Steering Assist pula kini datang dengan Active Lane Change Assist yang boleh menukar lorong.

     
     
  • Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan model facelift bagi Porsche Macan bakal diperkenalkan di pasaran tempatan pada 21 Jun ini, dan pelanggan yang berminat sudah boleh menempahnya mulai sekarang.

    Buat masa ini, hanya varian asas Macan yang akan ditawarkan, dengan harga RM455,000 (termasuk cukai yang berkaitan, kecuali yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans) dan termasuk dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaraan. Dengan 360 Financing Calculator, SDAP menawarkan yuran pemilikan bulanan yang menarik dari RM5,700 untuk Macan baharu ini.

    Di bawah bonetnya, terletak enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan 252 PS (248 hp) dan tork 370 Nm. Ia turut dipadankan bersama kotak gear dwi-klac PDK tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda aktif Porsche Traction Management (PTM).

    Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Bagi aspek prestasi, Macan boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 225 km/j. Penggunaan bahan api dianggarkan 8.1 liter per 100 km, sementara pelepasan CO2 pula sekitar 185 gram per km.

    Macan 2019 ini menerima unit pencahayaan yang disemak semula, dengan rekaan baharu bagi kluster lampu utama LED hadapan. Sementara di belakang pula menerima panel lampu LED tiga-dimensi seperti mana Cayenne terkini, dan lampu belakangnya juga memiliki rekaan empat-poin yang mirip dengan lampu utama. Lain-lain perubahan luaran termasuk bampar baharu menyerlahkan lagi kelebaran SUV ini.

    Untuk kabinnya, bahagian tengah telah direka semula untuk menyesuaikan dengan sistem Porsche Communication Management (PSM), yang merangkumi skrin sesentuh 10.9-inci yang menggantikan unit terdahulu 7.2-inci. Paparan skrin lebar ini memerlukan corong udara diprofilkan semula dan ditempatkan di bawah skrin infotainmen.

    Porsche Macan 2019 dibuka tempahan – dari RM455k

    Selain itu, Porsche Macan turut menerima paparan skrin sesentuh konsol tengah yang dipertingkatkan dari tujuh ke sebelas inci. Ia sama antara muka seperti Panamera dan Cayenne, dan turut ditempatkan sepasang corong pendingin hawa di tengahnya yang juga direka semula dan diletakkan di bawah skrin sesentuh tengah.

    Untuk pasaran Malaysia, Macan didatangkan dengan Pakej Premium, yang dilengkapi ciri standard termasuk tempat duduk hadapan dengan 14-cara larasan bersama fungsi memori, pencahayaan ambien, Power Steering Plus Park Assist, cermin anti silau automatik dan sistem bunyi Bose.

    Pelanggan boleh memilih beberapa ciri termasuk roda bersaiz 18- hingga 21-inci, serta Sport Chrono Package yang didatangkan dengan roda stereng GT Sport. Turut ditawarkan termasuklah warna pilihan yang boleh dipilih di pusat pengedar Porsche bertauliah.

     
     
  • Yamaha EC-05 – skuter elektrik berasaskan model Gogoro yang akan dijual di Taiwan bermula Ogos ini

    Yamaha EC-05 – skuter elektrik berasaskan model Gogoro yang akan dijual di Taiwan bermula Ogos ini

    Di Taiwan, Yamaha telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar skuter elektrik bernama Gogoro untuk menghasilkan model baru EC-05. Ia digerakkan oleh elektrik sepenuhnya, dan bakal dilancarkan dalam tahun ini juga di sana dan dijual menjelang bulan Ogos.

    Dalam video yang dikeluarkan melalui Youtube, Yamaha EC-05 ini dikatakan menggunakan asas daripada model Gogoro sedia ada dalam pasaran, tetapi rekaan luarnya mendapat sentuhan sendiri Yamaha Japan. Perincian sebenar EC-05 tidak didedahkan tetapi kami menjangka ia menggunakan asas daripada model Gogoro 2 dan mempunyai kelengkapan sama.

    Gogoro 2 datang dalam beberapa variasi dengan prestasi yang boleh mencapai 6.4 kW (8.5 hp) pada 3,000 rpm, laju maksimum 90 km/j dan jarak perjalanan 150 km dengan setiap cas penuh bateri (pada kelajuan 30 km/j). Gogoro juga mempunyai rangkaian infrastruktur skuter elektrik yang membolehkan pengguna kenderaan mereka menukar pek bateri ini di lebih 1,000 tempat dan meneruskan perjalanan tanpa perlu menunggu bateri dicas penuh.

    Antara kelengkapan menarik lain yang ada pada Gogoro 2 adalah seperti gear undur, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk, tiga mod tunggangan, sensor graviti, hentakan, suhu serta cahaya, sistem kunci pintar menggunakan cap jari, alat kawalan jauh atau aplikasi telefon, sambungan bluetooth dan semua lampu LED.

    Selain daripada itu, ia juga menggunakan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dengan larasan pra beban, brek cakera depan dan belakang, sistem brek SBS, rim 12 inci, berat keseluruhan 122 kg (dengan dua pek bateri) dan tinggi tempat duduk antara 750 hingga 770 mm. Harganya pula di sekitar USD3,000 (RM12,493).

    GALERI: Gogoro 2

     
     
  • BMW M8 F92 dengan barangan khas M Performance

    BMW M8 F92 dengan barangan khas M Performance

    Model BMW M8 yang baru didedahkan dalam dua bentuk badan iaitu Coupe F92 dan Convertible F91 sudah sedia cukup garang. Kalau itu masih tidak cukup, dan pemilik mahukan kemasan yang lebih sporty, BMW turut menawarkan pilihan barangan M Performance.

    Sudah tentu, dalam katalog M Performance ini banyak pilihan barangan yang dibuat daripada gentian karbon termasuk untuk keliling gril, salur udara di tepi, lip hadapan, side skirt serta spoiler dan diffuser belakang. Di dalam, bahan ini digunakan pada roda stereng, yang juga mempunyai pedal penukar gentian karbon serta penanda tengah biru.

    Turut ditawarkan adalah pad brek M Performance yang boleh menjadikan jarak berhenti lebih pendek, maklum balas lebih baik dan lebih ketahanan terhadap suhu tinggi, lapik kaki M Performance serta kain penutup khas untuk melindungi kenderaan apabila disimpan.

    BMW M8 baru dikuasakan oleh enjin S63 V8 4.4 liter twin turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dengan tetapan Drivelogic, mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum (telah dihadkan) 250 km/j. Jika memasang pakej M Driver’s, kelajuan ini akan dinaikkan kepada 305 km/j.

    Apabila memilih pakej Competition pula untuk M8 ini, kuasanya dinaikkan lagi menjadi 625 hp dan tork maksimum pada tahap 5,800 rpm. Versi ini juga akan mendapat pemegang enjin yang lebih keras untuk memastikan maklum balas pendikit yang lebih pantas, pusingan stereng lebih cepat serta sistem ekzos M Sport bersuis yang biasanya datang sebagai pilihan tambahan pada model lain

     
     
  • Proton jual 10,611 unit pada bulan Mei – naik 51.3% berbanding April, rekod tertinggi dalam 46 bulan

    Proton jual 10,611 unit pada bulan Mei – naik 51.3% berbanding April, rekod tertinggi dalam 46 bulan

    Satu pencapaian yang cukup memberangsangkan apabila Proton berjaya menjual sebanyak 10,611 unit pada Mei, iaitu meningkat sebanyak 51.3% berbanding April 2019. Sekali gus memecah rekod angka jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan. Proton berkata pencapaian itu merupakan angka jualan tertinggi yang pernah dicapai sejak Julai 2015.

    Malah ia turut mendorong pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini kepada lebih 70% berbanding tempoh masa sama pada 2018. Peratusan pegangan pasaran untuk bulan tersebut dianggarkan pada 17.2% menandakan satu lagi catatan cemerlang Syarikat sejak Januari 2016.

    Pastinya Proton X70 merajai carta jualan, dengan 2,439 unit dihantar pada Mei, dan jumlah keseluruhan jualannya dalam lima bulan pertama tahun ini mencecah 13,572 unit. Ini termasuklah unit yang dihantar pada hujung 2018 dan kini hampir 15,000 unit telah berada di jalan raya di Malaysia. Proton mendakwa X70 merupakan SUV yang terlaris di negara ini bagi tahun 2019.

    Selain itu, Proton Iriz dan Persona 2019 juga agak kencang jualannya. Persona 2019 terjual hampir 2,972 unit sejak dilancarkan, sementara Iriz 2019 pula cecah 940 unit, di mana ia memberikan angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh dua tahun. Dengan hampir 4,000 unit, kedua-dua model berkenaan telah menyumbang sebanyak 36% bagi keseluruhan jualan pada bulan Mei. Proton berkata, pihaknya telah menerima lebih 10,000 tempahan untuk bulan yang akan datang.

    Malah Saga juga mencatatkan jualan yang memberangsangkan, kini mencecah 3,000 unit bagi dua bulan berturut-turut. Dengan jualan sebanyak 3,610 unit pada Mei, jualan bagi model berkenaan hingga ke tarikh tersebut meningkat sebanyak 41%. Proton turut mengesahkan, versi yang dipertingkatkan bagi sedan saiz sederhana tersebut akan diperkenalkan tahun ini. Model yang terbaharu dilancarkan ialah MPV Exora RC 2019.

    “Dengan peningkatan jumlah jualan setakat ini sebanyak 70% pada tahun 2019, Proton menerima hasil untuk pelaburannya pada produk-produk, kakitangan serta cawangan-cawangan jualan. Syarikat berharap dapat mengakhiri keseluruhan jualan di tempat kedua dalam bulan kedua berturut-turut apabila angka jualan industri keseluruhan dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan kami yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap sepanjang tahun,” ujar Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Tambahnya lagi, “Strategi Proton bagi separuh kedua tahun ini adalah untuk terus meningkatkan jualan syarikat dengan memperkenalkan model-model sedia ada yang telah ditambahbaik serta meningkatkan pengalaman pelanggan dengan membuka lebih banyak cawangan 3S/4S kerana usaha ini telah mendapat maklum balas positif dari para pelanggan. Usaha-usaha ini akan membantu memastikan imej Proton ditambahbaik di mana kami akan terus mentakrifkan semula nilai jenama sebagai persediaan untuk pengenalan lebih banyak model yang akan dihasikan bersama-sama dengan Geely pada masa akan datang.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026