Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Vespa Primavera, Sprint dan GTS 300 Super Sport dengan kemaskini 2018 diperkenalkan – dari RM15.6k

    Pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, Naza Premira Sdn Bhd hari ini memperkenalkan tiga lagi model tahun 2018 terbaru untuk pasaran tempatan; Vespa Primavera 150, Vespa Sprint 150 dan Vespa GTS 300 Super Sport. Ini susulan pengenalan model-model edisi terhad September lalu.

    Bermula dari sejarah model pertama yang diperkenalkan sejak 1968, Vespa Primavera 2018 kini tampil dengan beberapa pembaharuan. Antaranya ialah dengan rekaan ala tali leher yang menghiasi wajah depannya, serta kemasan krom pada mudguard depan.

    Primavera juga menggunakan rim 12-inci lima jejari untuk memberikan lebih kestabilan dan keseronokkan tunggangan. Lampu depan dan lampu belakang juga kini menggunakan teknologi LED.

    Sebagai tambahan, pilihan warna baru juga diperkenalkan. Ini termasuk Beige Metallic, Nero Vulcano dan Monto Bianco. Bagi enjin, ia menggunakan unit 150 cc i-get dengan janaan kuasa 9.5 kW pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Pemilik juga boleh memilih untuk menyesuaikan citarasa kustom mereka dengan barisan aksesori yang turut ditawarkan sebagai pilihan, seperti kotak barangan, perehat belakang, rak barangan dan lain-lain. Vespa Primavera 2018 ini dijual pada harga RM15,600.

    Bagi model Vespa Sprint pula, ia turut menerapkan pembaharuan yang sama dengan Primavera, dengan rekaan dan penggayaan keseluruhannya menjadi pembeza utama – spesifikasi enjin adalah sama.

    Sedikit kelainan pilihan yang ditawarkan ialah dari segi pilihan warna; Blue Matt, Monte Bianco, Rosso Dragon dan Grigio Titantio. Aksesori pilihan yang ditawarkan pula adalah seperti kotak barangan khusus, cermin penghadang angin di depan dengan logo Vespa serta mudguard depan dan belakang. Selain itu, rim aloi dwi-warna dengan grafik Sport menghiasi penampilannya. Vespa Sprint 2018 dijual pada harga RM16,400.

    Vespa GTS Super Sport pula menjadi model paling berkuasa dalam barisan skuter yang ditawarkan Vespa ketika ini. Ia menggunakan enjin Quasar 273 cc silinder tunggal, dengan janaan kuasa sebanyak 15.6kW pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm. Ciri lain yang menjadi kelebihannya ialah sistem kawalan cengkaman ASR dan juga ABS.

    Model ini kini tampil dalam gandingan warna dan kemasan baru, serta rekaan grafik yang turut diberi kesegaran. Pilihan warna baru terdirii daripada Red Matt dan Grigio Titanio. Vespa GTS 300 Super Sport 2018 dijual pada harga RM28,000.

    Vespa Primavera 150 2018

    Vespa Sprint 150 2018

    Vespa GTS 300 Super Sport 2018

     
     
  • Teknologi Honda Smart Intersection bantu kenderaan “melihat melangkaui bangunan”, elak kemalangan

    Teknologi Honda Smart Intersection bantu kenderaan “melihat melangkaui bangunan”, elak kemalangan

    Honda telah membangunkan satu teknologi baru yang menarik yang dapat dimanfaatkan untuk mengurangkan kemalangan; teknologi Smart Intersection membolehkan kenderaan berkomunikasi dengan persekitarannya, terutamanya di kawasan yang terselindung dari penglihatan.

    Infrastruktur yang terlibat ialah empat kamera yang dipasang pada bahagian atas lampu isyarat di setiap bucu simpang untuk memberikan pandangan sejauh 300 kaki tentang keadaan kenderaan dan pejalan kaki.

    Imej 360 darjah dihasilkan melalui perisian pemproses Honda yang akan mengkelaskan kenderaan dan objek bergerak lainnya seperti pejalan kaki, motosikal dan kenderaan kecemasan. Maklumat penting dari situasi itu kemudiannya di”maklumkan” kepada kendearan-kenderaan lain yang berada di sekitarnya melalui isyarat komunikasi jarak dekat (DSRC).

    Selepas menerima penghantaran isyarat itu, semua kenderaan yang terhubung akan memberi tindak balas dan menyediakan amaran audio dan visual kepada pemandu sekiranya tindakan berjaga-jaga diperlukan. Setakat ini Honda telah menggunakan sejumlah 200 kenderaa terhubung bagi tujuan penilaian di 33 koridor Smart Mobility dan projek Smart Columbus.

    “Dengan kerjasama bandar Marysville dan negero Ohio, kami percaya kajian ini akan memberikan pemahaman yang lebih baik terhadap bagaimana teknologi komunikasi vehicle-to-everything (V2X) boleh dimajukan dan lebih penting, untuk digunakan bagi manfaat pengguna jalan raya,” jelas Presiden, Kajian Strategik Honda R&D Amerika, Ted Klaus.

    Ini merupakan projek peneraju yang dibangunkan bersama dengan bandar Marysville, Ohio sebagai sebahagian daripada 33 projek koridor Smart Mobility yang bertujuan untuk menanggapi had sensor pada kenderaan untuk mengelak kemalangan di persimpangan. Kemalangan dalam situasi ini menyumbang kepada 40% daripada jumlah kemalangan keseluruhan, dan 20% daripada kira-kira 35,000 kematian di jalan raya di Amerika setiap tahun.

     
     
  • McLaren 720S kini hadir dengan pilihan Track Pack

    McLaren 720S kini hadir dengan pilihan Track Pack

    McLaren sedang dalam program pembangunan jentera lumba 720S GT3, dan telah memutuskan untuk membangunkan model Super Series ini dengan versi yang boleh digunakan di atas jalan raya.

    Digelar Track Pack, spesifikasi baharu ini akan tiba di beberapa pasaran untuk model 720S, dengan jentera yang lebih ringan, umpama jentera lumba terutama bagi kalangan penggemarnya.

    Bagi pakej jentera asas dengan spesifikasi 720S Performance, akan menerima ciri standard termasuk corong udara bonet gentian karbon, corong udara dapra belakang dan perumah cermin pintu, bersama pencahayaan enjin.

    Ditambah pula dengan rim aloi 10-jejari yang cukup ringan, spoiler belakang gentian karbon MSO Defined dengan kemasan berkilat dan ekzos sport. Bagi dalamannnya pula, tempat duduk racing gentian karbon yang ringan (dalam dua saiz), pedal penukar gear gentian karbon MSO Defined dengan kemasan sutera dan roda stereng kemasan Alcantara hitam turut ditampilkan.

    Menurut McLaren, untuk kesemua elemen ini, bersama titanium bar mount untuk enam-poin harness telah membantu mengurangkan 24 kg daripada beratnya. Malahan Track Pack juga menambah larasan Track terlebih dahulu ke mod pemanduan. Manakala sistem McLaren Track Telemetry (MTT) pula membantu merekod catatan masa di litar dengan tiga kamera video dan perisian data-logging.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan pada penjana kuasa, ia masih kekal dengan enjin M840T 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 750 PS pada 7,500 rpm dan tork 770 Nm pada 5,500 rpm. Turut dipadankan dengan kotak gear dwi-klac SSG tujuh-kelajuang, yang membolehkan pecutan dari sifar ke 100/j hanya dalam 2.9 saat dan kelajuan maksimum sehingga 341 km/j.

    Track Pack ditawarkan pada harga 28,360 British pounds (RM153,061) sebelum nilai harga kereta itu sendiri, dan jika anda inginkan 720S dalam spesifikasi Performance dengan Track Pack, nilai yang diperlukan ialah 224,700 British pounds (RM1,212,725).

     
     
  • Land Rover Defender generasi seterusnya sedang diuji

    Land Rover Defender generasi seterusnya sedang diuji

    Awal tahun 2016 yang lalu, selepas lebih daripada 60 tahun, pengeluaran Land Rover Defender telah dihentikan dan ramai yang tertanya bagaimana agaknya bentuk model generasi seterusnya. Kini, anda boleh melihat antara gambar terawal Defender generasi baru melalui spyshot yang disiarkan sendiri oleh Land Rover ini.

    Seperti yang boleh dilihat, Defender baru ini masih mempunyai bentuk berpetak, tapi mungkin ada yang berpendapat ia tidak mempunyai penampilan offroad seganas dulu. Jika anda ingat juga, ia mempunyai bentuk iras seperti Defender Concept 100 (DC100) yang pernah ditunjukkan tujuh tahun yang dulu. Disebabkan pelekat camouflage itu, mungkin pandangan sedikit terganggu, tapi apa pendapat ada dengan bentuknya ini?

    Land Rover Defender generasi seterusnya sedang diuji

    Dengan latar belakang Defender sebelum ini, model baru yang dipanggil menggunakan nama kod L663 ini dijangka akan mendapat banyak kelengkapan untuk jalan offroad. Sudah tentu, buat masa ini Land Rover masih belum mendedahkan apa-apa perincian lagi dan kita harus menunggu masa mereka sudah bersedia nanti.

    Tetapi, syarikat itu ada mengeluarkan satu kenyataan yang memberitahu, “Jaguar Land Rover mempunyai pelbagai program kejuruteraan dan pembangunan teknologi. Kami masih belum dapat memberikan sebarang komen untuk program ini secara spesifik. Walaupun begitu, kami boleh mengesahkan program Defender sedang bergerak maju dan sudah sampai ke tahap pembangunan yang mengujakan.” Ada khabar angin juga mengatakan model ini akan dirasmikan pada tahun 2020.

     
     
  • Toyota Corolla Touring Sports muncul di Paris – wagon dengan pilihan enjin 1.2L turbo dan hibrid

    Toyota Corolla Touring Sports muncul di Paris – wagon dengan pilihan enjin 1.2L turbo dan hibrid

    Selepas diumumkan awal September lalu, versi wagon untuk Corolla generasi ke-12 digelar Toyota Corolla Touring Sports akhirnya didedahkan sepenuhnya di Paris Motor Show 2019 yang sedang berlangsung. Model ini akan menjengah pasaran tidak lama lagi, untuk menyertai Corolla Hatchback (juga dikenali sebagi Auris di Eropah yang telah pun muncul di Geneva Motor Show Mac lalu) dalam barisan model segmen-C generasi baharu Toyota berkenaan.

    Sama seperti versi hatchback, Corolla dalam bentuk wagon ini turut diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C. Namun versi terbaharu ini menampilkan jarak roda 2,700 mm atau 60 mm lebih panjang dari hatchback. Ia juga menerima unit janakuasa yang sama iaitu pilihan enjin petrol 1.2 liter turbo berkuasa 116 hp, dan juga dua versi hibrid sama ada 1.8 liter berkuasa 122 hp, atau 2.0 liter berkuasa 180 hp.

    Dari segi penggayaan, Touring Sports menerima muka yang sama dengan Corolla Hatchback.Namun berbanding hatchback yang mempunyai dua garis bahu – garis utama naik ke tiang-C, manakala satu lagi bermula dari pintu belakang hingga lampu belakang – model Touring Sports ini hanya mempunyai satu garis bahu yang bermula dari fender hadapan hingga lampu belakang.

    Seperti juga model-model wagon baharu dalam pasaran, bahagian belakang kereta ini tidak direka petak, tetapi menerapkan rekaan shooting brake dengan garis bumbung tirus kebelakang, bersama cermin belakang yang lebih leper. Pada bahagian belakang pula, versi wagon ini menampilkan kedudukan nombor pendaftaran lebih tinggi, manakala bamparnya pula direka agar seiring dengan unit di hadapan.

    Toyota Corolla Touring Sports muncul di Paris – wagon dengan pilihan enjin 1.2L turbo dan hibrid

    Touring Sports dibekalkan dengan lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang bina dalam, lampu kabus hadapan dan lampu belakang LED secara keseluruhan. bergantung pada pilihan varian, konfigurasi lampu hadapan turut menawarkan dari jenis tiga LED parabola, dua beam LED dengan bantuan lampu tinggi, serta sistem lampu adaptif dengan teknologi LED.

    Pada bahagian dalaman pula, kedua-dua Hatchback dan Touring Sports direka lebih luas dari sebelum ini, menurut Toyota. Ia dicapai menerusi papan instrumen yang direka 24 mm lebih pendek secara keseluruhan, dimana ia turut direndahkan bagi memperbaiki pandangan cermin hadapan serta turut boleh merendahkan lagi posisi tempat duduk dan titik pinggang.

    Dengan jarak roda yang lebih jauh, kedudukan antara tempat duduk hadapan dan belakang pada wagon ini turut dapat ditambah 48 mm bagi mendapatkan jarak 928 mm, membolehkan ruang penumpang belakang lebih lega. Ruang kargo belakang pula boleh dibuka hanya menggunakan kaki bagi mengakses storan dengan kapasiti 598 liter walaupun kerusi belakang masih belum dilipat. Pintu tailgate belakang juga boleh dibuka lebih besar dengan 10 mm tambahan.

    Transformasi dari hatchback ke wagon bukan sekadar memanjangkan jarak roda dan bahagian belakang. Toyota turut menyusun semula kedudukan suspensi belakang kereta ini bagi membolehkan ruang kargo direka seluas mungkin dengan akses yang lebih mudah. Poket sisi turut diberikan disebalik kedua-dua ruang roda belakang, manakala lantai bahagian ini turut direka dengan dua aras dek (atas dan bawah), yang boleh ditutup dan dibuka pada bahagian atas.

    Toyota Corolla Touring Sports muncul di Paris – wagon dengan pilihan enjin 1.2L turbo dan hibrid

    Menurut Toyota, karpet pada bahagian kargo ini juga boleh digunakan pada kedua-dua belah permukaan – permukaan utama adalah kemasan resin, manakala dibelakangnya boleh digunakan ketika mengangkat barang yang kotor. Pada bahagian dek bawah pula, ia kini diperbesarkan dan menerima karpet penuh, serta dilengkapkan dengan pemisah yang boleh dicabut.

    Ruang kargo ini juga merupakan yang pertama di dunia dilengkapi dengan lampu LED pada kedua-dua belah, dakwa Toyota lagi. Selain itu, ia turut disertakan dengan pelindung tonneau yang boleh dicabut dan juga dibuka dengan satu sentuhan.

    Paparan pelbagai informasi yang dilengkapi membolehkan pemandu memilih sama ada untuk menggunakan meter kelajuan analog atau digital, kata Toyota. Jenama itu turut menambah, panel instrumen berkenaan boleh dipilih untuk memaparkan efek tiga-dimensi, dimana grafik meter kelihatan seperti terapung-apung.

    Pembeli turut ditawarkan dengan pilihan paparan head-up TFT 10-inci yang boleh memancarkan amaran dan informasi pemanduan lain seperti arahan sistem navigasi, amaran kelajuan dan lain-lain ke cermin hadapan bagi memudahkan pemandu melihatnya tanpa mengalihkan pandangan.

    Toyota Corolla Touring Sports muncul di Paris – wagon dengan pilihan enjin 1.2L turbo dan hibrid

    Sistem infotaimen pula terdiri dari skrin sesentuh lapan-inci Toyota Touch Multimedia System yang memberikan operasi seperti zoom dan slide, serta fungsi One Box Search. Servis kecemasan eCall yang boleh digunakan ketika kecemasan dengan satu sentuhan butang juga dibekalkan dalam kad SIM yang disertakan pada kereta ini, di mana penggilan yang dibuat tidak akan dikenakan sebarang caj.

    Toyota turut memberikan fungsi servis Connected pada Corolla ini, yang terdiri dari fungsi-fungsi seperti panduan Last Mile, navigasi Send-to-Car, Find My Car, analisis pemanduan dan juga pengingat servis selenggara. Pengecas telefon tanpa wayar turut dibekalkan, membolehkan apa-apa peranti yang mempunyai Wireless Power Consortium (WPC) dicas semudah dengan meletakkannya sahaja diatas pad berkenaan.

    Untuk penjana hibrid, enjin pembakaran dalam bagi model 1.8 liter direka dengan pelbagai ciri untuk mengurangkan geseran, injap sistem EGR yang lebih besar serta pengurusan haba yang lebih optimal. Talaan untuk sistem hibrid telah diperhalusi, manakala pek bateri lithium ionnya pula “memberikan ekonomi bahan api yang lebih baik”, dakwa Toyota.

    Manakala untuk versi 2.0 liter hibrid pula, ia direka berdasarkan maklum balas yang signifikant dari pelanggan berpotensi yang telah biasa dengan enjin 1.4 liter turbo atau yang lebih besar. Enjin 2.0 liter mempunyai nisbah mampatan 14:1, dan mencapai pembakaran kelajuan tinggi menerusi strok yang panjang dan aliran pusaran yang tinggi dari port kemasukan.

    Pam pelincir baharu juga dibangunkan dengan menerapkan pelbagai rekaan untuk mengurangkan geseran bersama transaxle, unit kawalan kuasa, motor dan bateri hibrid yang dikecilkan bagi mendapatkan penggunaan bahan api lebih baik, kata Toyota, dalam masa yang sama operasi menggunakan bateri sepenuhnya kini mampu mencapai kelajuan maksima 115 km/j.

    Bagi meningkatkan lagi keberkesanan pengunaan bahan api, sistem kawalan telah dirombak bagi menghalang enjin petrol dihidupkan tanpa operasi pada pedal pendikit, walaupun sebelum enjin mencapai suhu kerja yang ditetapkan. Perkara lain yang turut disentuh termasuk unit catalytic converter kini diletakkan lebih hampir dengan enjin, kawalan pemanasan enjin telah dioptimakan untuk mengawalkan dan memperbaiki pembersihan gas ekzos.

    Manakala ciri lain yang diperhalusi pula terdiri dari penambahbaikkan pada syaf pengimbang, kedudukan dan reka bentuk cagak enjin yang diubah semula, perubahan struktur pada transaxle, gigi gear yang digilap, penggunaan penyerap histerisis, rantai pemasa lebih ringan dan juga rombakan semula dibuat pada motor pam air.

    Bahagian hadapan kereta ini diberikan suspensi jenis Topang McPherson manakala di belakang menerima sistem jenis multilink. Buat pertama kali, Corolla menerima sistem suspensi bervariasi dan juga teknologi injap baharu pada penyerap hentak.

    Toyota Corolla Touring Sports muncul di Paris – wagon dengan pilihan enjin 1.2L turbo dan hibrid

    Geometri suspensi hadapan, spring dan karekteristik penyerap hentak telah ditala semula, manakala struktur lengan suspensi dan bush telah diubah bagi menguranhkan aliran getaran bagi memperbaiki keselesaan pemanduan. Perubahan struktur pada sistem multilink belakang bukan sahaja bagi menyediakan ruang lebih besar, malah turut memberikan kestabilan dan keselesaan yang cemerlang, dakwa Toyota.

    Bagi sistem suspensi adaptif (AVS) yang dinyatakan tadi, ia dihubungkan kepada sistem mod pemanduan Drive Mode Select yang mana talaannya akan berubah mengikut mod Eco, Normal, Sport S, Sport S+ dan Custom yang ditetapkan oleh pemandu. Daya serapan tersebut ditala dan dikawal secara automatik menggunakan actuator solenoid linear yang empat kali lebih cepat berbanding step motor konvensional.

    Toyota Corolla Touring Sports ini menerima lima rekaan rim 18-inci dan dua 17-inci baharu. Kedua-dua model ditawarkan dengan empat warna baharu iaitu Oxide Bronze Metallic, Emotional Red 2, Precious Silver dan Phantom Brown selain dari 11 warna sedia ada lain, dan juga dua pilihan cat dengan dua tona.

     
     
  • Volkswagen Malaysia lanjutkan lagi ‘cuti cukai’ hingga 30 November – sifar GST/SST selagi stok masih ada

    Volkswagen Malaysia lanjutkan lagi ‘cuti cukai’ hingga 30 November – sifar GST/SST selagi stok masih ada

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah membuat pengumuman melanjutkan lagi tempoh tanpa cukai melalui skim perlindungan harga mereka hingga hujung bulan November 2018. Sebelum ini, syarikat itu menyatakan cukai SST hanya akan diserap sehingga 15 November.

    Dengan ini, mana-mana pelanggan yang membeli sebarang model kenderaan Volkswagen dari sekarang hinggalah hujung bulan November 2018 akan dapat menikmati harga waktu ‘cuti cukai’ sebelum ini, iaitu harga 0% GST dan SST.

    Skim ini sah untuk kedua-dua model yang dipasang dalam negara serta model import, tetapi bergantung kepada stok yang ada. Jadi, jika anda mahu memiliki model Volkswagen yang tertentu dan mahu mengambil kesempatan daripada harga tanpa GST dan SST ini, lebih baik cepat ke wakil pengedar Volkswagen yang berhampiran.

    Volkswagen Malaysia lanjutkan lagi ‘cuti cukai’ hingga 30 November – sifar GST/SST selagi stok masih ada

    Semua kenderaan Volkswagen yang dijual oleh VPCM datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun, bantuan tepi jalan lima tahun dan tiga tahun servis percuma.

    Sebelum ini, ‘cuti cukai’ berlangsung selama tiga bulan iaitu bermula 1 Jun 2018, dengan kadar GST diletakkan pada 0%. Kemudiannya memasuki 1 September 2018, cukai SST pula diperkenalkan dengan kadar yang bergantung kepada model. Semasa cuti cukai juga, harga kenderaan Volkswagen turun sehingga RM17k, menyebabkan ia mendapat banyak perhatian oleh orang ramai.

     
     
  • Kia Cerato GT sedan didedah – 204 PS 1.6L turbo

    Kia Cerato GT sedan didedah – 204 PS 1.6L turbo

    Didedahkan buat julung kalinya sebagai hatchback lima-pintu, Kia Cerato GT dalam bentuk sedan pula diperkenalkan di Korea Selatan, yang dikenali sebagai K3 GT. Sama seperti model hatchback, varian sedan ini juga menerima enjin yang lebih berkuasa dan juga beberapa orientasi prestasi yang lain.

    Di bawah bonetnya, terletak enjin petrol 1.6 liter Gamma pengecas turbo suntikan-terus (T-GDI) empat-silinder, sama seperti Ceed GT. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 204 PS pada 6,000 rpm dan tork 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm, dan tidak seperti model bagi pasaran Eropah yang hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan – Cerato GT ini hanya didatangkan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Kia Cerato GT sedan didedah – 204 PS 1.6L turbo

    Casisnya juga telah dipertingkatkan dan kini dipadankan dengan suspensi multilink belakang sport berbanding model standard dengan larasan palang torsion; bersama dengan gegelung yang disemak semula, sekaligus menambah keselasaan pemanduan dan kestabilan di selekoh. Sementara, nisbah stereng juga lebih pantas bagi meningkatkan lagi respons, dan turut didatangkan dengan cakera brek hadapan yang lebih besar untuk membantu meningkatkan kuasa dan tork.

    Lain-lain penambahbaikan termasuk empat mod pemanduan (Eco, Sport, Comfort dan Smart), Electronic Sound Generator (ESG) dan tayar Michelin Pilot Sport yang membaluti roda aloi pelbagai-jejari 18-inci. Kia turut menawarkan pilihan pakej talaan merangkumi Bilstein monotube dampers dan gegelung yang lebih keras, palang anti-olengan dan control arms, bersama brek hadapan yang lebih besar.

    Kia Cerato GT sedan didedah – 204 PS 1.6L turbo

    Bagi bahagian luarannya, Cerato GT digandingkan dengan gril krom gelap, skirt sisi, diffuser belakang hitam berkilat dan dwi corong ekzos. Di dalamnya pula, kelihatan roda stereng leper-di bawah dengan logo GT, tempat duduk bucket, pedal aloi dan sistem pencahayaan ambien enam-warna, dengan paten dot.

    Kia turut menaiktaraf barisan K3 di Korea untuk model 2019. Semua model kini menerima Amaran Pelanggaran Hadapan dan Bantuan Mengelak (FCW/FCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA) secara standard, dan Kawalan Kelajuan Pintar adaptif (SCC) dan Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW) juga dimasuk dalam senarai pilihan.

    GALERI: Kia Cerato GT hatch

     
     
  • Peugeot P2X guna platform dan enjin Mahindra Mojo?

    Peugeot P2X guna platform dan enjin Mahindra Mojo?

    Selain Honda, Peugeot juga menjadi satu lagi pengeluar yang memperkenalkan model baru di Paris Motor Show, dipanggil sebagai P2X. Pengeluar dari Perancis ini memang ada memasarkan motosikal di Eropah dalam waktu semasa ini, tetapi semuanya adalah jenis skuter, sementara yang menggunakan gear pula sudah dihentikan selama beberapa dekad.

    Model yang dibawa ke Paris ini masih adalah satu konsep, dan menurut media dari India termasuk Rushlane, ia menggunakan asas daripada Mahindra Mojo – Mahindra sudah menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat Peugeot Motorcycle sejak beberapa tahun lalu.

    Peugeot P2X diperkenalkan dalam dua versi iaitu roadster dan cafe racer, dan kedua-duanya menggunakan enjin 300 cc suntikan bahan api. Jika pada Mahindra Mojo, enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 43 hp dan 30 Nm tork. Walaubagaimanapun, untuk Peugeot P2X ini, orang ramai boleh menjangka ia akan ditala semula oleh Peugeot untuk memberi lebih kuasa.

    Semasa di Paris juga, Peugeot tidak mendedahkan perincian lengkap motosikal ini, dan ia sekadar dipamerkan sahaja di situ. Daripada apa yang boleh dilihat, ia menggunakan fork jenis USD dan satu brek cakera di hadapan, penghadang bahagian bawah enjin, dua penyerap hentak belakang dengan tabung gas serta meter jenis digital.

    P2X Roadster (warna biru) mempunyai pemegang yang lebih tinggi serta rim jenis lidi manakala P2X Cafe Racer (warna putih) mempunyai pemegang jenis clip on yang lebih rendah, rim sports (kelihatan seperti saiz 17 inci) serta penghadang angin kecil di atas lampu hadapan.

     
     
  • Honda Neo Sports Cafe Concept – pengganti CB650F?

    Honda Neo Sports Cafe Concept – pengganti CB650F?

    Sementara pengeluar lain menggunakan acara INTERMOT di Jerman sebagai tapak untuk memperkenalkan model baru, Honda pula beralih ke Paris Motor Show, di mana mereka telah menunjukkan buat kali pertama model Neo Sports Cafe Concept.

    Anda tidak salah jika merasakan seperti pernah melihat model ini kerana model konsep dengan gaya dan nama hampir sama pernah muncul dan seterusnya menghasilkan model produksi seperti CB125R, CB300R (di negara kita CB250R) dan CB1000R. Untuk model yang terbaru ini, ia menggunakan enjin 650 cc.

    Anda boleh lihat sendiri bahagian enjin dan kerangka utamanya seperti datang dari model CB650F, dan berkemungkinan tidak lama lagi, model penggantinya yang dipanggil sebagai CB650R akan muncul hasil daripada model konsep yang ditunjukkan ini.

    Jika benar begitu, motosikal CB650R nanti masih akan mempunyai kuasa sama seperti CB650F iaitu sekitar 90 hp dan 64 Nm tork kerana enjin masih sama – unit empat silinder sebaris DOHC 649 cc dengan padanan kotak gear enam kelajuan.

    Cuma yang berbeza sudah tentu adalah penampilan – melihat kepada model konsep ini dan model CB-R baru yang lain – ia akan mempunyai lampu LED berbentuk bulat di hadapan, panel tepi yang lebih kecil, bahagian belakang yang lebih pendek dan pilihan warna gabungan perak dan hitam.

     
     
  • Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

    Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

    Volvo XC40 menjadi antara model yang paling mendapat perhatian meluas serta ditunggu-tunggu, terutama selepas dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Eropah 2018, kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Model ini pernah dilihat diuji di sini Ogos lalu. Ia merupakan “adik” terbaru dengan saiz yang lebih kecil kepada model-model SUV Volvo XC90 dan XC60 sebelum ini.

    Sebagai permulaan, hanya ada satu varian sahaja ditawarkan di sini, iaitu spesifikasi XC40 T5 AWD R-Design dan dijual pada harga RM255,888 atas jalan, tidak termasuk insurans. Volvo Car Malaysia (VCM) akan mula menyerahkan XC40 kepada pelanggan bermula Januari 2019 nanti, dan merupakan versi pemasangan tempatan (CKD).

    XC40 terbaru ini dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang direka oleh Volvo sendiri. Ia mempunyai dimensi binaan seperti berikut; 4,425 mm panjang, 1,863 mm lebar dan 1,655 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,702 mm. Sentuhan ke permukaan jalan dibahagian tayar belakang pula 25 mm lebih lebar berbanding di depan.

    Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

    Bagaimanapun, rekaan keseluruhan yang diterapkan pada XC40 bukanlah jelmaan yang sama dari model-model SUV jenama ini yang lebih besar – ia merupakan rekaan serba baru dengan tumpuan kepada imej dan praktikaliti penggunaan warga kota yang moden. Wajah depannya menggunakan imej yang sudah sinonim dengan Volvo ketika ini, dengan lampu DRL LED Thor’s Hammer, rekaan pintu yang lebih rendah, garis badan sisi yang lebih menonjol serta bumbung dengan kesan terapung.

    Selain itu, XC40 dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan ciri Active High Beam serta Active Bending Lights. Turut melengkapi bahagian berkenaan ialah pembersih lampu utama bertekanan tinggi dan lampu kabus LED yang mengikut arah input stereng.

    Perincian R-Design menyerikan lagi penampilan model ini dengan gril hitam berkilat, bampar rekaan lain (bahagian belakang bersepadu dengan bukaan hujung ekzos) serta tulisan R-Design pada tiang belakang. Landasan atas bumbung, skid plate dan perumah cermin sisi juga dalam warna hitam berkilat.

    Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

    Model ini antara lain akan dilengkapi rim 19-inci lima jejari berkembar dengan dua tona lengkap dengan tayar bersaiz 235/50 sebagai standard. Namun, terdapat lagi empat rim sebagai pilihan, termasuk saiz 21-inci dan 22-inci. Pilihan warna badan pula ada empat; Bursting Blue, Fusion Red, Cyrstal White dan Osmium Grey.

    Ruang kabin XC40 pula sangat menyerlah dengan rekaan yang berbeza. Antara perkara yang diberi perhatian khusus ialah bagaimana untuk mewujudkan lebih banyak ruang simpanan barangan yang praktikal dan berfungsi sebaiknya.

    Antara yang dilakukan ialah mengalihkan pembesar suara dari pintu dan mencipta kedudukan sub-woofer yang ditempatkan pada bahagian papan pemuka, menjadi pendekatan yang pertama seumpamanya. Ruang pada pintu kini boleh menampung simpanan laptop atau tablet, atau beberapa botol minuman.

    Dalam ruang perehat lengan, tersedia ruang yang cukup besar untuk meletakkan cawan serta boleh memuatkan saiz satu kotak tisu. Turut ada ialah tong kecil yang boleh dicabut untuk memudahkan pengguna membuang sisa. Satu cangkuk boleh lipat pula ada dalam glove box. Di bawah tempat duduk pemandu pula tersedia ruang yang boleh memuatkan tablet.

    Kelengkapan R-Design lainnya pada ruang kabin terdiri daripada tema hitam secara keseluruhannya; rekaan stereng unik tiga jejari balutan kulit, tombol gear, pedal sport, karpet khas serta tempat duduk kulit dan Nubuck R-Design. Terdapat juga kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh Sensus Connect 9.0-inci serta pengecas tanpa wayar.

    Lain-lain ciri termasuk sistem pendingin hawa dua-zon dengan Clean Zone, sistem bunyi lapan pembesar suara 250W, sistem tunjuk arah, Apple CarPlay dan Android Auto serta bukaan pintu kargo tanpa kendalian tangan.

    Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

    XC40 T5 AWD dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbocas Drive-E dengan janaan 252 hp dan 350 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 4,800 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan laju maksimum 230 km/j. Kadar penggunaan minyak dapat memberikan 7.7 liter bagi setiap 100 km.

    Tidak ketinggalan ialah ciri keselamatan dan bantuan pemandu. Antara yang tersenarai adalah seperti Pilot Assist (pemanduan semi-autonomous), City Safety generasi terbaru (menghindari dan mengelak perlanggaran secara autonomous, termasuk terhadap pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar), Run-off Road Protection and Mitigation, Cross Traffic Alert with Auto Brake dan banyak lagi.

    Volvo XC40 terbaru ini juga dilengkapi dengan beg udara sepenuhnya – dua di depan, sisi, tirai dan juga lutut pemandu. Isofix turut ada pada tempat duduk belakang. Aksesori lain turut ditawarkan, sebagai contoh rak basikal kepada pelanggan yang berminat. Untuk mendapatkan perincian lanjut berkaitan model ini, layari CarBase.my.

    Volvo XC40 di Malaysia

     
     
  • Perodua Myvi – 22,000 unit belum dihantar sehingga akhir Sept, tumpu usaha kurangkan tempoh menunggu

    Perodua Myvi – 22,000 unit belum dihantar sehingga akhir Sept, tumpu usaha kurangkan tempoh menunggu

    Pada pertengahan Ogos lalu, Perodua memaklumkan pengeluaran model paling larisnya, Myvi baharu, terpaksa diberhentikan buat sementara waktu berikutan gangguan bekalan pada salah satu vendornya. Hal ini sekaligus mengakibatkan kira-kira 3,000 pelanggan tidak dapat mendaftarkan Myvi baharu mereka sebelum akhir bulan tersebut.

    Terkini, jenama kereta nasional kedua ini memberitahu, sebanyak kira-kira 22,000 unit Myvi baharu yang masih lagi belum diserahkan setakat akhir bulan September. Walau bagaimana pun, syarikat tersebut kini menumpukan usaha mengurangkan tempoh menunggu para pelanggannya kepada jangka masa yang lebih wajar.

    “Kami masih belum dapat memberikan tempoh masa penghantaran yang penuh, namun tenaga kerja di bahagian pengeluaran kami telah memulakan pengeluarannya dan seterusnya proses penghantaran akan bermula tidak lama lagi. Di sebalik isu yang tidak diingini ini, kami amat bersyukur kerana rakyat Malaysia masih terus menyokong Perodua. Kami ingin memohon maaf kepada para pelanggan yang terjejas kerana terpaksa menunggu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Perodua Myvi – 22,000 unit belum dihantar sehingga akhir Sept, tumpu usaha kurangkan tempoh menunggu

    Antara bulan Januari hingga September tahun ini, Perodua telah menjual 168,200 kenderaan – melibatkan kenaikan sebanyak 11% ke atas 151,600 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama pada tahun 2017.

    “Kenaikan jualan ini boleh dikaitkan dengan sambutan positif untuk Myvi baharu serta model-model kami yang lain – Axia, Bezza dan Alza – yang masing-masing terjual sebanyak 53,700, 38,100 dan 18,400 unit pada tahun ini setakat ini,” ujar Aminar lagi.

    Bagaimanapun, Perodua hanya menjual kira-kira 9,500 buah kenderaan keseluruhannya pada bulan September lalu berikutan pengeluaran Myvi yang terpaksa dihentikan bermula daripada bulan Ogos disebabkan isu teknikal di salah satu vendornya.

     
     
  • Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

    Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

    Desas-desus bahawa Toyota bakal menghasilkan hot-hatch berdasarkan Corolla Hatchback generasi baharu kini bertiup lebih kencang. Kali ini presiden dan CEO Toyota Eropah Dr Johan van Zyl pula membuka mulut berkenaan hal tersebut dalam laporan AutoExpress ketika berlangsungnya Paris Motor Show 2019.

    Menurut van Zyl, syarikatnya kini sedang mengenalpasti model-model yang berpotensi menerima lencana Gazoo Racing Master of Nürburgring (GRMN) selepas kejayaan menghasilkan hot-hatch kompak Toyota Yaris GRMN.

    “Aspirasi kami adalah untuk menawarkan pilihan yang luas untuk kereta-kereta GR kepada pelanggan bagi membawa keterujaan kepada jenama. Jadi apabila kami bersama dengan barisan produk kami akan melihat setiap daripadanya dan berkata ok mana yang mungkin? Adakah model ini sesuai dengan jenama GR? Bolehkan kami menghasilkan keterujaan dengannya?” kata van Zyl.

    Selain dari SUV RAV4, Toyota hadir dengan Corolla Hatchback pada Paris Motor Show tahun ini bagi mewakili produk-produk terbaharu mereka. Saingan Toyota di Eropah iaitu Skoda membawakan model konsep hot-hatch hibrid Vision RS pada acara tersebut dan van Zyl mengesahkan mereka akan melakukan perkara hampir sama dan Corolla berpotensi untuk projek berkenaan.

    Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

    “Saya rasa apa yang kami cuba sampaikan adalah faktanya kami telah menlancarkan model 2.0 liter hibrid dalam barisan model Corolla. Kami katakannya ia tidak mustahil. Kami boleh jadikannya model hibrid yang lebih menarik dan sporty. Teknologinya sudah ada. Hanya cara kamu talanya sahaja.”

    Apa yang van Zyl katakan ini agak sama seperti apa yang disebut oleh ketua jurutera Corolla Hatchback, Yasushi Ueda. Dalam laporan sebelum ini, Ueda mengatakan Corolla tersebut dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang turut digunakan sebagai asas untuk crossover Toyota C-HR dan Prius generasi baharu. Jadi selain dari mempunyai titik graviti rendah yang memudahkan ia ditala bagi memberikan pemanduan lebih berprestasi tinggi, ia juga tidak mempunyai masalah untuk diberikan unit janakuasa hibrid.

    “Sudah tentu, untuk masa hadapan hot hybrid kedengaran sangat bagus,” kata Ueda. Sekiranya projek ini benar-benar menjadi kenyataan, kereta berkenaan berkemungkinan bakal dipacu dengan sistem pacuan semua roda – kuasa dari enjin petrol pada roda hadapan, sementara motor elektrik akan memacu gandar belakang, menurut laporan dari Drive berkenaan.

    Sejak generasi pertama, Toyota Corolla sering dikaitkan dengan ‘kereta keluarga’, tetapi sebenarnya Corolla sememangnya telah mempunyai varian lebih sportynya sendiri bermula dengan Sprinter KE15 pada tahun 1968, dan yang terakhir pasangan kembar Levin/Sprinter Trueno AE111 pada tahun 2000.

    Jika benar Corolla ini dihasilkan kelak, tak dapat beli pun kita bakal terhibur dengan pertarungan klasik sambungan dari Levin/Trueno BZ-R AE111 Vs. Civic EK9 Type R, dan melihat bagaimana Toyota terjun ke kancah persaingan hot-hatch global yang kini disertai oleh Honda Civic Type R FK8, Volkswagen Golf GTI, Hyundai i30 N dan juga Renault Megane RS.

    Selain dari Gazoo Racing, penala persendirian yang dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota sejak era 70’an iaitu Tachi Oiwa Motor Sports atau lebih dikenali sebagai TOM’S turut telah mengumumkan visi mereka bagi menghasilkan Corolla hatchback yang lebih sporty versi mereka sendiri, digelar TOM’S Toyota Corolla Sport.

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback generasi baharu pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Ford Mondeo Hybrid wagon tiba di Eropah pada 2019

    Ford Mondeo Hybrid wagon tiba di Eropah pada 2019

    Ford telah mengumumkan bakal memperkenalkan versi wagon bagi Mondeo Hybrid di Eropah pada tahun 2019, yang akan menyertai barisan model sedan sedia ada. Wagon hybrid ini adalah sebahagian daripada facelift bagi Mondeo.

    Menurut pengeluar automotif terbabit, Mondeo Hybrid wagon sesuai untuk pelanggan yang “membawa muatan yang besar tetapi mahu menikmati pacuan daripada penjana kuasa elektrik tanpa sebarang kebimbangan”. Dibangunkan eksklusif untuk pasaran Eropah, model ini bakal ditawarkan dalam beberapa kemasan termasuk Vignale.

    “Untuk kebanyakan pelanggan, praktikaliti yang ditawarkan oleh gaya estate ini adalah sangat diperlukan, jadi kami teruja untuk mengumumkan bahawa pada tahun hadapan, bagi pemandu yang mahu mengurangkan kos penggunaan bahan api petrol -penjana kuasa eletrik dari Mondeo Hybrid baharu ini adalah pilihan yang tepat,” ujar Roelant de Waard, timbalan presiden, Jualan dan Perkhidmatan Pemasaran Ford Eropah.

    “Penjana kuasa elektrifikasi akan terus memainkan peranan penting bagi barisan produk kami di Eropah. Ford telah melabur sebanyak USD11 bilion dan merancang untuk mengeluarkan 16 model kenderaan elektrik sepenuhnya bagi portfolio global yang menjadi sebahagian daripada 40 EV menjelang 2022,” sambungnya lagi.

    Ford Mondeo Hybrid wagon akan mengunakan penjana kuasa hibrid yang sama pada model sedan, dengan 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol, motor/penjana elektrik dan CVT. Selain bateri lithium-ion 1.4 kWh, dan penyejuk udara yang diletakkan di belakang tempat duduk belakang, dan ia boleh dicas menerusi penjana atau ketika membrek bagi sistem elektrikal 12 V.

    Secara keseluruhan, penjana kuasa ini mampu menyalur output sebanyak 187 PS, dan mendakwa mampu memberikan penjimatan bahan api dari 4.4 l/100 km dan emisi CO2 dari 101 g/km (WLTP) seperti sedan. Sistem lain yang ditampilkan pada Mondeo Hybrid termasuk pemampat pendingin hawa elektrik, water pump, vacuum pump dan juga inverter system controller.

    GALERI: Spyshot Ford Mondeo facelift

     
     
  • Yamaha R125 masuk pasaran Eropah, enjin VVA 125 cc

    Yamaha R125 masuk pasaran Eropah, enjin VVA 125 cc

    Semakin banyak pengeluar mtoosikal jenama terkenal melancarkan model berkapasiti rendah di Eropah, dan terbaru adalah Yamaha, melalui penawaran R125. Seperti yang boleh dilihat, banyak ciri pada model kelihatan sama dengan R15 termasuk kerangka Deltabox, panel depan dan belakang, meter LCD, ekzos serta lengan ayun.

    Walaupun begitu, tidak semuanya adalah sama dan anda boleh melihat ada perbezaan pada panel bahagian tepi serta rekaan rim. Sudah tentu, yang paling utama adalah enjinnya, di mana R125 ini menggunakan unit satu silinder, suntikan bahan api, SOHC, penyejukan cecair 124.7 cc lengkap dengan sistem Variable Vave Actuation (VVA). Transmisi pula adalah unit enam kelajuan.

    Kapasiti enjin ini dipilih supaya R125 dapat menepati keperluan pengguna lesen motosikal A1 di Eropah yang cuma membenarkan pemegangnya menunggang motosikal di bawah 125 cc dengan nisbah kuasa kepada berat motosikal yang tertentu. Kuasa maksimum R125 adalah 13.8 hp (15 PS) pada 9,000 rpm dan 12.4 Nm tork pada 8,000 rpm. Jika dibandingkan dengan R15 yang dipasarkan di Malaysia, bezanya cuma sekitar 5.5 hp dan 2.6 Nm.

    Pada bahagian hadapan, saiz rim serta tayar yang digunakan masih sama seperti R15, iaitu unit 17 inci dengan tayar 100/80, tetapi di belakang, rimnya menggunakan tayar lebih kecil iaitu 130/70 berbanding 140/70 pada R15. Jejari rim itu masih lagi 17 inci. Tangki bahan api pula besar sedikit daripada R15 iaitu 11.5 liter (+0.5 liter).

    Perincian lain pada R25 ini adalah termasuk fork USD 41 mm di hadapan, monoshock di belakang, berat keseluruhan 142 kg, tinggi tempat duduk 825 mm, lengan ayun aluminium, klac assist & slipper, panel meter lengkap dengan penunjuk gear serta lampu tukar gear (shift lamp) dan lampu depan LED.

     
     
  • Mercedes-AMG A45 generasi baharu akan terima lebih 400 hp, drift mode dan transmisi DCT 8-kelajuan

    Mercedes-AMG A45 generasi baharu akan terima lebih 400 hp, drift mode dan transmisi DCT 8-kelajuan

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Mercedes-AMG A45, sebuah hot-hatch yang tidak perlu dipertikaikan lagi tahap ‘gila’nya. Model sedia ada dari generasi W176 walaupun hanya dibekalkan dengan enjin berkapasiti 2.0 liter, namun suapan pengecas turbo standardnya yang sebesar pasu bunga membolehkan kereta berkenaan menjana 381 hp/475 Nm, seterusnya memberikan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat.

    Pada Paris Motor Show 2019 yang sedang berlangsung, model generasi baharu W177 telah diperkenalkan dalam versi berprestasi tinggi, namun ia bukanlah A 45, sebaliknya ialah ‘adik’nya Mercedes-AMG A 35 yang lebih mampu milik dibekalkan dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 306 hp/400 Nm. Menurut boss AMG Tobias Moers, A 45 akan generasi baharu akan menyusul selepas ini dengan enjin yang lebih buas serta kelengkapan lain yang lebih maju, lapor CarAdvice.

    “Kesemuanya. 45, 45 generasi seterusnya adalah cerita baharu sepenuhnya. Ia diberikan banyak penambahbaikkan termasuk casis, sistem pacuan empat-roda baharu, yang tidak sama dengan apa yang kamu tahu sekarang,” kata Moers. “Ya, ia klac berkembar lapan-kelajuan, A 35 adalah tujuh-kelajuan, 45 akan menerima lapan-kelajuan,” tegasnya dalam menjelaskan bahawa model generasi baharu itu akan menerima kotak gear klac berkembar DCT lapan-kelajuan berbanding tujuh pada model sebelumnya dan juga A 35 AMG.

    Moers juga turut mengesahkan bahawa kereta berkenaan bakal menerima enjin yang berkuasa lebih 400 hp, menjadi aras baharu dalam kategori hot-hatch produksi.

    Mercedes-AMG A45 generasi baharu akan terima lebih 400 hp, drift mode dan transmisi DCT 8-kelajuan

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Model generasi sedia ada diberikan sistem pacuan semua roda 4Matic yang berasaskan pacuan hadapan, dan dapat mengalirkan tork ke gandar belakang sebanyak 50% jika diperlukan. Tetapi untuk A 45 generasi baharu kelak, tork berkenaan dapat dialirkan dengan lebih banyak kebelakang sehingga membolehkan kereta ini menggelangsar dalam kawalan di selekoh.

    “Casisnya berbanding hari ini…sukar untuk dipercayai. Kami mempunyai pelbagai suspensi dalam kereta tersebut dan ia adalah penambahbaikkan dalam setiap perspektif. Ia lebih selesa, lebih tegar dalam setiap arah, jadi kami laburkan banyak usaha dalam badan kereta tersebut. Banyak yang diperkukuhkan dan ia sangat sesuai. Okay…kamu boleh menggelangsar dengannya.” jelas Moers.

    Teknologi tersebut berkemungkinan adalah sama seperti mod Drift pada Mercedes-AMG E 63, iaitu sistem kawalan komputer yang membolehkan pemandu yang tidak mahir dengan aksi drift turut boleh melakukannya dengan kelebihan tork gergasi yang dihasilkan oleh enjin.

    Apabila ditanya bagaimana A45 baharu ini akan berinteraksi dengan pemandu, Moers menjelaskan bahawa sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggantikan sistem COMAND sedia ada akan memainkan peranan yang penting dalam memaparkan informasi dan memberikan pemandu untuk mengawal bacaan prestasi.

    “Kami mempunyai ciri yang benar-benar cool. Lebih kepada emosi. Kami mempunyai skrin yang super sport khas yang secara peribadi saya menyumbangkan banyak usaha dalam merekabentuknya. Anda akan diberikan track pace dan segalanya dalam aplikasi tersebut.”

    Pada model A 35 W177 yang telah diperkenalkan, fungsi istimewa AMG Track Pace pada sistem MBUX tersebut mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta berkenaan dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau. Ia berfungsi menerusi sistem GPS dan telah diberikan pra tetapan untuk litar Nürburgring atau Spa Francochamps.

    Peta paparan boleh dipilih dalam bentuk 2D atau 3D dan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut disertakan dengan pengajar maya menerusi sistem fungsi A.I MBUX yang memberikan anda panduan bagi mendapatkan masa lap yang lebih pantas.

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG A 45 W177

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 W177

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025