Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemilik EV di Malaysia sudah mula beratur tunggu giliran di pengecas DC – perlu disediakan lebih banyak

    Pemilik EV di Malaysia sudah mula beratur tunggu giliran di pengecas DC – perlu disediakan lebih banyak

    Kelab Pemilik EV Malaysia (MyEVOC) menggesa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) agar mempercepatkan kelulusan bagi menambah lebih banyak pengecas kenderaan elektrik (EV) di sepanjang lebuhraya dalam negara. Ia susulan beberapa ahli kelab berkenaan membuat hantaran di media sosial yang menyatakan bahawa mereka kini sudah perlu beratur menunggu giliran untuk menggunakan stesen pengecas pantas DC (DCFC) yang diletakkan di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan yang diuruskan oleh PLUS Malaysia.

    Isu kelambatan implementasi berkenaan bukan perkara baharu dan ia telah disuarakan oleh presiden MyEVOC, Datuk Shahrol Halmi sebelum ini. “Lebih banyak EV akan dihantar kepada pelanggan pada suku kedua dan ketiga 2022 dan kita sudah boleh ramalkan dengan mudah bahawa akan terjadi barisan lebih panjang pada stesen pengecas di sepanjang lebuhraya tak lama lagi,” tulis Shahrol dalam hantaran LinkedIn enam hari lalu,

    Beliau turut menyatakan dalam hantaran tersebut bahawa salah satu faktor yang menjejaskan pengembangan infrastruktur pengecas EV di Malaysia bukan kapasiti grid, tetapi ia disebabkan kekangan dalam rangkaian pengedaran/peruncitan, terutamanya disebabkan oleh kerenah birokrasi.

    Beliau turut memberikan contoh berkenaan jaringan DCFC Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), yang baru dapat dipasang tidak sampai 20 unit, jauh berbanding sasaran 1,000 pengecas DC yang dirancang untuk dipasang oleh persatuan itu menjelang 2025 – kebanyakkan pemasangang tersebut tertangguh kerana masih menunggu tingkat taraf bekalan elektrik dari Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    Shahrol menjelaskan bahawa sebahagian dari 1,000 pengecas DC tersebut adalah disasarkan untuk pengguna EV di lebuhraya, yang akan membantu untuk mengelakkan masalah beratur panjang, namun implementasinya terpaksa ditangguh akibat karenah birokrasi.

    “Untuk di lebuhraya ia biasanya disebabkan kerana ia perlu menunggu kelulusan dari banyak pihak seperti dari pengendali lebuhraya, pihak berkuasa lebuhraya, pihak berkuasa tempatan dan juga TNB,” katanya kepada paultan.org sebelum ini.

    Syarikat besar dan berpengaruh seperti Shell juga tidak terkecuali dalam berhadapan masalah birokrasi ini dalam menyediakan jaringan Recharge HPC mereka di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan. “Tarikh sasaran awal empat lokasi menjelang akhir 2021 telah datang dan hilang, dengan hanya satu (Tangkak) beroperasi pada Januari 2022,” tulis Shahrol lagi.

    Beliau turut mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas bagi memudahkan implementasi infrastruktur pengecas, yang berfungsi lebih kurang sama dengan PEMUDAH, bagi mengurangkan karenah birokrasi, memusatkan pelbagai aspek dan mempercepatkan proses. Beliau juga menambah bahawa maklum balas dari pengguna perlu diambil secara serius.

     
     
  • Lelaki campak diri atas kereta di dakwa di mahkamah — warga Myanmar, masuk Malaysia secara haram

    Lelaki campak diri atas kereta di dakwa di mahkamah — warga Myanmar, masuk Malaysia secara haram

    Ingat lagi satu kes yang mana seorang lelaki sengaja mencampakkan dirinya ke atas sebuah kereta dan berlakin seolah-olah dia dilanggar? Helah berkenaan bagaimanapun tidak menjadi kerana semua kejadian itu terakam oleh dashcam dalam kereta berkenaan.

    Dia kemudiannya ditahan dan didakwa di mahkamah atas kesalahan bertindak membahayakan nyawa serta keselamatan orang lain. Menurut FMT, Soe Mg Mg, seorang warga Myanmar berusia 25-tahun, telah didakwa di mahkamah majistret Klang di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan berkenaan di Jalan Goh Hock Huat, Klang pada 7 April lalu.

    Berdasarkan kertas dakwaan yang dilihat oleh portal berkenaan, kesalahan terbabit boleh dihukum hingga tiga bulan penjara atau denda RM500, atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

    Lelaki campak diri atas kereta di dakwa di mahkamah — warga Myanmar, masuk Malaysia secara haram

    Soe juga didakwa di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia. Bagaimanapun, tertuduh tidak dapat membuat pengakuan kerana tidak memahami tuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Melayu. Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid menetapkan 3 Jun untuk pendengaran kes seterusnya untuk membolehkan mahkamah mendapatkan khidmat penterjemah untuk membacakan pertuduhan.

    Kejadian seperti ini malangnya boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja. Satu-satunya cara untuk mempersiapkan diri hanyalah dengan memasang dashcam dalam kereta sekiranya anda belum ada. Soe misalnya telah meninggalkan tempat kejadian setelah diberitahu semua perlakuannya terakam dalam video oleh pemandu.

    Jadi, kalau kereta anda belum dipasangkan dashcam, maka eloklah berbuat demikian segera. Banyak lagi kejadian di atas jalan raya yang dapat ditentukan pesalah-pelakunya dengan bukti rakaman yang ada, dan ini akan menyelamatkan pengguna jalan raya daripada ditipu atau dianiaya.

     
     
  • Geometry E didedah – EV berasaskan Geely dengan gaya lebih moden dan ranggi, motor elektrik 82 PS

    Geometry E didedah – EV berasaskan Geely dengan gaya lebih moden dan ranggi, motor elektrik 82 PS

    Satu lagi jenama kenderaan elektrik daripada Geely, iaitu Geometry, telah mendedahkan model baru E, yang merupakan sebuah crossover kecil berasaskan Geely Vision X3. Selain daripada itu, ia juga berkongsi asas yang sama dengan EX3 Kungfu Cow.

    Melibatkan perubahan luaran dan dalaman yang banyak berbanding Vision X3 dan EX3, Geometry E ini akan diletakkan lebih tinggi dalam pasaran, dan ia mempunyai dimensi 4,006 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,485 mm.

    Walaubagaimanapun, kuasanya adalah kurang berbanding dua model tersebut, dan prestasinya tidaklah begitu mengujakan. Mengikut informasi yang didapati daripada Kementerian Industri dan Informasi Teknologi China (dilaporkan oleh beberapa laman termasuk Sina), E cuma mampu menghasilkan kuasa 60 kW (82 PS) daripada motor elektrik tunggalnya.

    Sebagai perbandingan, EX3 mampu menghasilkan 10 kW (14 PS) lebih kuasa, dengan jumlah keseluruhan 70 kW (95 PS), dan tork maksimum 180 Nm. Perincian bateri dan jarak gerak masih belum didedah tetapi sebagai rujukan, EX3 menyediakan jarak 322 km dengan setiap caj penuh bateri lithium ion 37 kWh padanya.

    Keistimewaan E adalah ia nampak lebih moden dan ranggi, dengan bahagian hadapan yang menggunakan jalur lampu LED nipis di atas, lampu utama di bawah dengan perincian berwarna hijau terang, pembuka pintu sama rata dengan badan serta lampu belakang berbentuk seperti boomerang. Bahagian dalam pula cukup minimalis dengan bentuk rata serta dua skrin yang bersambung.

     
     
  • smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

    smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

    Selepas didedahkan di Berlin awal bulan ini, smart #1 kini telah pun dilancarkan di pasaran China. SUV kompak berkuasa elektrik sepenuhnya itu ditawarkan dalam dua varian di republik berkenaan iaitu smart #1 Pro+ dan smart #1 Premium.

    Ia dijual pada harga bermula RMB 190,000 (RM126,241) untuk varian Pro+, diikuti RMB 230,000 (RM152,819) untuk varian Premium. Pelanggan yang berminat kini boleh membuat tempahan mereka dengan bayaran hanya RMB 500 (RM332) menerusi aplikasi yang telah dibangunkan. smart menawarkan waranti selama empat tahun atau 150,000 km untuk #1 ini di China, bersama waranti bateri lithium-ion selama lapan tahun atau 150,000 km, serta bantuan tepi jalan selama empat tahun.

    Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, smart #1 turut disahkan akan dijual di Malaysia – ia tidak lagi dijual menerusi pengedar Mercedes-Benz seperti sebelum ini, sebaliknya akan dijual oleh Proton Edar susulan memorandum perjanjian (MoU) yang telah ditandatangani oleh Proton dengan smart Automobile Company (smart) untuk bekerjasama dalam memperkenalkan kenderaan tenaga baru (NEV) keluaran smart untuk pasaran ASEAN, dengan Proton turut mendapat hak menjual kenderaan jenama tersebut di Thailand.

    Selepas Daimler AG menjalinkan kerjasama bersama Geely, kini smart hanya akan menghasilkan model dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) dengan smart #1 adalah produk pertama kerjasama berkenaan. Ia dibangunkan oleh Geely menggunakan platform modular khas untuk EV iaitu Sustainable Electric Architecture (SEA), sama seperti model di bawah payung Geely yang lain seperti Zeekr 001 dan Lotus Eletre, namun rekaannya masih dibuat oleh Mercedes-Benz.

    smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

    Secara spesifiknya, smart #1 diasaskan dari platform SEA2 dengan menampilkan dimensi 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar, 1,636 mm tinggi bersama jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi smart #1 sebenarnya adalah SUV dalam segmen B dengan panjang keseluruhan 60 mm lebih pendek tetapi dengan jarak roda 150 mm lebih jauh berbanding Proton X50.

    Menurut laporan CarNewsChina, bagi model pasaran China smart #1 turut diberikan nama mandarin yang disebut Jingling, bermaksud “Elf” iaitu orang halus dalam cerita-cerita rakyat barat. Jadi untuk nama penuh model ini di China adalah Smart Elf #1, dan ia turut diberikan lencana “styled by Mercedes-Benz” pada tiang-B.

    Ketika dilancarkan, kedua-dua varian smart #1 ini digerakkan dengan hanya sebuah motor berkuasa 272 ps (200 kW) dan tork maksima 343 Nm, yang hanya memacu roda belakang, membolehkan ia dipandu sehingga kelajuan maksima 180 km/j. Motor tersebut menerima bekalan kuasa elektrik menerusi bateri lithium-ion berkapasiti 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dalam kitaran ujian WLTP (535 km dalam kitaran CLTC di China).

    Bagi model varian tertinggi smart #1 Premium, ia dibekalkan dengan motor yang diberikan teknologi silikon karbida (SiC). Teknologi ini membolehkan motor berkenaan dihasilkan lebih ringan, lebih efisien dan bersaiz lebih kecil. Prestasi untuk motor ini masih sama, tetapi ia mampu memberikan jarak gerak lebih jauh dari varian Pro+ iaitu sehingga 440 km dalam kitaran WLTP (560 km kitaran CLTC).

    smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

    Dengan pengecas AC 22-kW, bateri kereta ini boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 3.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula jumlah cas yang sama boleh dicapai dalam masa hanya 30 minit. Teknologi yang ada pada smart #1 ini juga membolehkan 75% dari kotak komputernya menerima kemaskini secara over-the-air, membolehkan sistemnya ditambah baik dari masa ke masa.

    Selepas ini, smart #1 dijangka bakal diperkenalkan dalam versi prestasi tinggi diberikan lencana Brabus, menampilkan dua motor elektrik bagi memacu semua roda, dengan rupa lebih garang seperti dilihat pada imej spyshot yang tersebar tempoh hari.

    Untuk smart #1, model Pro+ menerima kelengkapan seperti rim aloi 18-inci dengan tayar 235/50R18, lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang semuanya dengan teknologi LED, paparan instrumen penuh dengan skrin 9.2-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.8-inci, lima pembesar suara, sistem pendingin hawa dengan penapis kabin N95, tempat duduk hadapan larasan kuasa, sistem lampu suasana kabin 64-warna, pintu tailgate berkuasa, serta fungsi V2L untuk membekalkan kuasa untuk peralatan elektrik sehingga 3.3 kW.

    Model Premium pula diberikan pelbagai tingkat taraf termasuk lampu hadapan LED matrix, rim aloi 19-inci dengan tayar 235/45R19, paparan head-up 10-inci untuk pemandu, serta sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara. Varian paling tinggi ini juga dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan smart Pilot lebih komprehensif Tahap 2.

    smart #1 dilancarkan di China – harga bermula RM126k, akan tiba di Malaysia dijual oleh Proton Edar

    Antara fungsi yang termasuk dalam sistem tersebut adalah cruise control adaptif, bantuan kekal lorong kecemasan, amaran keluar laluan, bantuan kawalan lorong, bantuan lebuhraya, brek kecemasan automatik, bantuan tukar lorong automatik, bantuan kesesakan trafik, pengelak pelanggaran hadapan dan belakang, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, bantuan parkir automatik, brek kecemasan parkir, pengesan titik buta dan banyak lagi.

    Kesemua smart #1 yang akan dipasarkan ke seluruh dunia akan diproduksi oleh fasiliti milik Geely, dengan kilang khas dibangunkan di Xi’an, China, kira-kira 1,400 km dari ibu pejabat baharu smart yang terletak di Hangzhou Bay. Di China, smart akan membuka jaringan pengedarnya di enam bandar utama iaitu Beijing, Shanghai, Guangzhou, Chengdu, Shenzhen, dan Hangzhou. Manakala jualan untuk smart #1 akan bermula pada suku ketiga tahun ini.

    Untuk pasaran Malaysia, baru-baru ini Proton dilihat mencari bakat-bakat baharu di laman LinkedIn rasmi mereka, bagi menubuhkan satu pasukan baru untuk menguruskan operasi jenama smart di sini. Senarai jawatan kosong yang dibuka nampaknya sangat luas merangkumi bidang pengurusan produk, pemasaran jualan dan selepas jualan, sokongan dan juga teknologi maklumat (IT).

    Dengan insentif pengecualian cukai dan duti untuk kereta elektrik yang diimport sepenuhnya (CBU) diberikan oleh kerajaan, kami jangkakan smart #1 akan dijual pada harga tak jauh dari harga jualan di China. Agak-agak anda boleh terima sekiranya ia dijual oleh Proton Edar di sini pada harga bermula RM135k?

    GALERI: smart #1

     
     
  • Mazda MX-30 di M’sia – kenapa bateri 35.5 kWh, jarak gerak 199 km dan laju maksimum 140 km/j sahaja?

    Mazda MX-30 di M’sia – kenapa bateri 35.5 kWh, jarak gerak 199 km dan laju maksimum 140 km/j sahaja?

    Beberapa hari lalu, Bermaz Auto telah melakukan pra tonton awal untuk MX-30, sebelum ia dilancarkan suku keempat tahun ini di Malaysia. Harga sebenar masih belum didedahkan, tetapi pengerusi eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh memberitahu bahawa syarikat kini sedang berusaha untuk menjadikan harganya bawah RM200k dengan mengambil kira insentif yang diberikan oleh kerajaan untuk kenderaan elektrik.

    Berkenaan spesifikasi, MX-30 menggunakan motor elektrik yang terletak di hadapan, dengan kuasa 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm tork, membenarkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat dan mencecah kelajuan maksimum 140 km/j.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion yang terletak di bawah lantai, dengan kapasiti 35.5 kWh. Ia boleh dicas menggunakan input AC Type 2 yang boleh digunakan sehingga 6.6 kW, dan apabila menggunakan wallbox pada kadar maksimum, baterinya akan mengambil masa lima jam untuk penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Bateri yang penuh dikatakan boleh memberi jarak gerak 199 km, di mana bagi seorang bakal pembeli, ia boleh menimbulkan rasa risau. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, jika bakal pembeli mempunyai bajet RM200k untuk sebuah EV, mereka mempunyai beberapa pilihan lain berbanding MX-30. Sebagai contoh, Hyundai Kona Electric ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga antara RM149,888 hingga RM199,888.

    Mazda MX-30 di M’sia – kenapa bateri 35.5 kWh, jarak gerak 199 km dan laju maksimum 140 km/j sahaja?

    Selain itu terdapat juga MINI Cooper SE 3 Door (RM178,240.73), Nissan Leaf (RM168,000) dan varian asas (Lite) Hyundai Ioniq 5 (RM199,888) – semuanya bawah RM200k. Alternatif jenama lain ini juga semuanya boleh memberikan jarak gerak melebihi 199 km (jarak yang disediakan oleh MX-30), seperti yang ditunjukkan di bawah.

    • Hyundai Kona Electric – 39.2 kWh, 305 km; 64 kWh, 484 km (WLTP)
    • MINI Cooper SE 3 Door – 28.9 kWh, 232 km (WLTP)
    • Nissan Leaf – 40 kWh, 311 km (NEDC)
    • Hyundai Ioniq 5 Lite – 58 kWh, 384 km (WLTP)

    Ini sekaligus menimbulkan pertanyaan, kenapa MX-30 datang dengan bateri yang kecil dan jarak gerak yang kurang berbanding kebanyakan pesaingnya yang berharga bawah RM200,000? Ataupun, apa sebenarnya pasaran sasaran model ini?

    Soalan ini diajukan kepada Yeoh sewaktu sesi soal jawab semasa pra tonton MX-30 baru-baru ini. Menurut beliau, MX-30 lebih kepada “kenderaan utiliti” yang disasarkan kepada segmen pelanggan berbeza, yang cuma memerlukan kenderaan ulang alik bandar di mana pemanduan harian mereka tidak melebihi 100 km. Pelanggan seperti ini juga berkemungkinan tidak begitu mengambil penting berkenaan prestasi.

    Keputusan yang dibuat oleh Mazda untuk MX-30 ini juga memang disengajakan, demi mengurangkan kesan kenderaan kepada alam sekitar, termasuk waktu proses pengeluarannya. Seperti yang dilaporkan oleh Automotive News Canada, saiz bateri MX-30 dipilih mengikut emisi yang dikeluarkan semasa menghasilkan komponen elektrikal kenderaan serta mengambil kira penukaran bateri pada 160,000 km bagi “mengekalkan prestasi bateri.”

    Pengeluar kenderaan tahu, kereta elektrik yang menggunakan bateri lebih besar juga lebih mencemarkan alam sepanjang kitaran hidupnya, dan kebanyakan besar pelanggan tidak begitu memerlukan jarak gerak yang tinggi bagi pergerakan harian mereka.

    Sebagai tambahan, bateri yang lebih kecil juga menjadikan EV lebih ringan, seterusnya menjadikan kereta lebih cekap dan berkemampuan mengurangkan kesan penggunaan pada barangan seperti tayar dan brek. Berat kenderaan juga penting bagi Mazda, yang sangat mengambil berat tentang kereta yang seronok dipandu.

    GALERI: Pra tonton Mazda MX-30 di Malaysia

     
     
  • Nissan bangunkan teknologi pencegah perlanggaran automatik berketepatan tinggi, LiDAR generasi baru

    Nissan bangunkan teknologi pencegah perlanggaran automatik berketepatan tinggi, LiDAR generasi baru

    Apakah perkara penting bagi pemanduan autonomous? Bagi Nissan, ia adalah kemampuan untuk mengelak kemalangan dalam apa jua keadaan. Demi membawa syarikat ke arah itu, Nissan telah membangunkan satu sistem penghindaran perlanggaran versi dipertingkat.

    Sistem baru yang dikatakan sebagai “teknologi penglihatan permukaan sebenar” ini dapat membenarkan kenderaan Nissan melakukan pergerakan mengelak perlanggaran secara automatik, dengan ketepatan tinggi. Ia menggunakan kombinasi teknologi LiDAR generasi seterusnya (bahagian paling penting), radar serta kamera.

    Menurut Nissan, sistem baru ini dapat mengesan bentuk dan jarak objek, serta struktur kawasan sekeliling kenderaan pada waktu sebenar. Ia menggunakan informasi yang diperoleh untuk mengenal pasti keadaan secara pantas, membuat penilaian dan melakukan pergerakan mengelak.

    Selain daripada itu, ia juga dapat mengesan trafik yang semakin perlahan serta halangan atas jalan dari jauh, serta melakukan penukaran lorong yang bersesuaian. Nissan berkata, ciri ini adalah berguna bagi kawasan yang tidak mempunyai informasi peta yang terperinci seperti dalam terowong ataupun kawasan letak kereta bawah tanah.

    Dalam membangunkan sistem ini, Nissan telah bekerjasama dengan syarikat teknologi gergasi, Luminar (juga terlibat dengan Mercedes-Benz dan Volvo) untuk bahagian perkakas, serta Applied Intuition untuk simulasi canggih.

    Nissan meletakkan sasaran untuk melengkapkan pembangunan teknologi baru mereka ini pada pertengahan dekad ini dan ia dijangka digunakan terus pada model terpilih selepas itu, dan seterusnya dijadikan sebagai ciri standard bagi setiap model yang dikeluarkan bermula 2030.

     
     
  • Datsun ‘mati’ buat kali kedua selepas satu dekad – operasi pengeluaran redi-Go di India dihentikan terus

    Datsun ‘mati’ buat kali kedua selepas satu dekad – operasi pengeluaran redi-Go di India dihentikan terus

    Kira-kira sedekad yang lalu, Nissan menghidupkan kembali jenama Datsun – berbanding sebelum itu Datsun dikenali sebagai jenama import Nissan di luar Jepun, nyawa kedua yang diberikan berkenaan memperkenalkan Datsun sebagai jenama bajet Nissan. Namun nampaknya jangka hayatnya kali ini juga tidak panjang kerana operasi kilangnya yang memproduksi Datsun redi-Go di Chennai, India telahpun dihentikan, lapor Autocar India.

    Penutupan kilang ini dibuat selepas dua tahun Nissan mengesahkan bahawa mereka akan mengecilkan operasi Datsun secara berperingkat. Kilang Datsun di Indonesia telahpun ditutup pada 2020, diikuti dengan penutupan operasinya di Rusia. Langkah berkenaan menyebabkan pengeluaran model hatchback Datsun Go dan MPV Go+ dihentikan, manakala penutupan kilang di India ini menghentikan penghasilan model terakhir Datsun iaitu redi-Go.

    “Sebagai sebahagian strategi transformasi global Nissan, syarikat kini memfokuskan model-model dan segmen-segmen penting yang memberikan manfaat paling banyak kepada pelanggan, rakan pengedar dan perniagaan. Produksi Datsun redi-Go telah dihentikan di kilang Chennai,” jelas Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Namun Nissan memberikan jaminan bahawa khidmat lepas jualan dan sokongan waranti bagi kereta-kereta Datsun sedia ada masih akan diberikan kepada pemilik menerusi pengedar-pengedarnya di India. “Kami boleh memastikan semua pemilik Datsun sedia ada dan akan datang bahawa kepuasan pelanggan kekal keutamaan kami, dan kami akan terus menyediakan khidmat selepas jualan pada tahap tertinggi, ketersediaan alat ganti dan sokongan jaminan daripada rangkaian pengedar nasional kami.”

    Datsun ‘dihidupkan’ semula pada 2012 sebagai jenama kos-rendah bagi pasaran penting baharu yang sedang “berkembang pesat”, sama seperti jenama bajet untuk Renault iaitu Dacia yang dilihat agak berjaya di Eropah. Datsun Go diperkenalkan di India pada 2014, dengan harga yang sangat murah dan mengejutkan, dijual tidak sampai 400,000 rupee (RM22,700). Namun model berkenaan mendapat penilaian yang rendah dengan laporan-laporan kualitinya yang rendah serta menerima penarafan sifar-bintang dalam ujian pelanggaran Global NCAP.

    Model-model seterusnya termasuk Datsun on-Do dan mi-Do diasaskan dari model Lada di Rusia turut gagal memberikan jualan memberangsangkan, kerana kebanyakkan pembeli tidak mahu memiliki kereta yang jelas nampak sebagai sebuah kereta bajet. Operasi Datsun kemudiannya terpaksa dikecilkan susulan pelbagai masalah yang berlaku dalam Nissan termasuk skandal yang melibatkan bekas pengerusinya iaitu Carlos Ghosn dan juga jualan yang turun mendadak.

    Jualan global tertinggi pernah dicatatkan oleh Datsun adalah 90,000 unit pada 2016, lapor Nikkei, dan ia hanya mampu menjual 6,400 unit kenderaan setahun pada 2021, iaitu tahun penuh terakhirnya.

    Strategi Nissan berubah selepas itu dengan menghasilkan model-model bajet tetapi masih dengan jenama ‘Nissan’ – contohnya SUV Nissan Magnite yang sepatutnya dijual dengan jenama Datsun (masih menggunakan gril signatur oktagon Datsun), tetapi kemudiannya dijual dengan lencana Nissan dan kini menunjukkan angka jualan yang memberangsangkan.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia tak lama lagi – 1.6L TGDI, 197 PS/290 Nm, 7-DCT, 7-tempat duduk

    Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia tak lama lagi – 1.6L TGDI, 197 PS/290 Nm, 7-DCT, 7-tempat duduk

    Selain dari SUV Chery Omoda 5 yang disahkan bakal dilancarkan di Malaysia bagi berhadapan terus dengan model seperti Proton X50 dan Honda HR-V, Chery Malaysia turut disahkan bakal membawa sekali SUV tujuh-tempat duduk, Tiggo 8 Pro ke sini sempena kembalinya jenama China tersebut ke pasaran tempatan. Tiggo 8 Pro ini dijangka bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi.

    SUV berkenaan bakal dijana unit rangkaian kuasa yang sama dengan Omoda 5, iaitu enjin 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan terus (dari keluarga enjin Kunpeng Chery), menghasilkan 197 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 4,400 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Spesifikasi bagi model pasaran tempatan masih belum jelas, namun untuk pasaran lain, Tiggo 8 Pro tampil dengan kelengkapan yang agak baik. Ia diberikan lampu hadapan LED penuh dengan teknologi matrix, lampu nyalaan siang LED berkembar, rim aloi 18-inci, bumbung suria panaromik berkuasa, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 12.3-inci, paparan sistem infotainmen dengan skrin 10.25-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi lapan pembesar suara dari Sony, tray pengecas tanpa wayar, sistem pendingin hawa dua-zon, dan upholsteri dua tona hitam/perang.

    Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia tak lama lagi – 1.6L TGDI, 197 PS/290 Nm, 7-DCT, 7-tempat duduk

    Tiggo 8 Pro juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju yang merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar laluan, amaran lintasan trafik belakang, pengenal tanda trafik, amaran buka pintu dan kamera definasi tinggi 360-darjah.

    Namun sistem yang dibekalkan ini dilihat sedikit tertinggal berbanding sistem yang ditawarkan pada Proton X50 kerana fungsi AEB tidak disertakan dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, serta tidak diberikan sistem bantuan pengekal tengah lorong.

    Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia tak lama lagi – 1.6L TGDI, 197 PS/290 Nm, 7-DCT, 7-tempat duduk

    Menerusi temubual sidang video bersama paultan.org Disember lalu, Chery Malaysia ada menyebut bahawa Tiggo 8 Pro bakal dilancarkan disini tahun ini. Malah Chery turut ada menyatakan bahawa mereka dalam perbincangan dengan rakan kerjasama di Malaysia bagi mewujudkan operasi pemasangan tempatan (CKD) di sini.

    Selain Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, Chery turut merancang untuk memperkenalkan Tiggo 4 Pro dan Tiggo 7 Pro ke Malaysia. Jurucakap jenama tersebut turut menyatakan bahawa mereka juga merancang untuk memperkenalkan kenderaan tenaga baru ke pasaran tempatan dengan model elektrik mikro eQ1. Chery Tiggo 8 Pro Facebook fan page juga telah diwujudkan di laman sosial berkenaan yang boleh anda layari menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • BMW i7 di Malaysia – EV 7 series muncul dalam laman tempatan, hingga 544 PS dan jarak 615 km; ROI dibuka

    BMW i7 di Malaysia – EV 7 series muncul dalam laman tempatan, hingga 544 PS dan jarak 615 km; ROI dibuka

    Kurang daripada seminggu ia diperkenalkan secara rasmi, BMW i7 telah pun muncul dalam laman web BMW Malaysia dengan perincian spesifikasi serta pendaftaran minat (ROI) juga telah dibuka. Menerusi paparan dalam laman web terbabit, bateri bagi kenderaan elektrik (EV) ini mampu memberi jarak hingga 615 km, dan puncak kuasanya boleh mencapai 440 kW (600 PS), dengan varian M60 mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam kurang empat saat.

    Ia ditawarkan dalam versi xDrive60, penjana kuasa dwi-motor turut didatangkan dengan motor hadapan 258 PS/365 Nm dan 313 PS/380 Nm bagi motor belakang, dengan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 544 PS dan tork 745 Nm, seperti yang dipaparkan dalam laman web tersebut. Ini membenarkan i7 dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.7 saat, dan mampu mencapai kelajuan tertinggi dengan pengehad elektronik sehingga 240 km/j.

    Dikuasakan oleh bateri lithium-ion 101.7 kWh, ia mampu mencapai status pengecasan dari 10% hingga 80% menerusi pusat pengecasan 195 kW dalam hanya 50 minit. Namun jika menggunakan pengecasan AC 11 kW menerusi sambungan Type yang mampu memberikan jarak hingga 100 km, boleh dicapai dalam satu jam 38 minit, atau pengecasan penuh sekitar 9.5 jam.

    Menerusi maklumat yang dipaparkan di laman web tersebut, i7 didatangkan dengan ciri termasuk gril ‘kidney’ iluminasi Iconic Glow, “Great Entrance Moments” welcome scenario, ambien dalaman boleh laras menerusi My Modes, dan Skrin Teater bersaiz 31.3-inci yang dipasang di atas siling untuk penumpang belakang.

    Turut diberikan ialah bumbung suria panoramik Sky Lounge, yang membolehkan cahaya semulajadi memasuki kabin pada waktu siang serta efek lampu dinamik pada waktu malam.

    Konfigurasi kompakmen untuk penumpang belakang juga disenaraikan termasuk tempat duduk Executive Lounge, menawarkan tempat duduk penumpang belakang dengan rekaan ottoman di mana BMW menggelarkannya sebagai ‘perehat kaki’, yang boleh dibaringkan sehingga 42.5 darjah. Turut diberikan skrin sesentuh 5.5-inci pada setiap pintu untuk barisan kedua.

    Manakala untuk pemandu pula, i7 menawarkan Curved Display 14.9-inci bagi infotainmen, dan juga BMW Interaction Bar yang melintang sepanjang papan pemuka.

    Bagi fungsi digital pula, pemilik BMW i7 boleh menempah ciri ConnectedDrive yang dipertingkatkan, termasuklah fungsi bagi roda stereng dengan pemanasan dan Parking Assistant Professional, dan semua ciri ini boleh didapati mulai suku ke-empat tahun ini.

    Lain-lain ciri yang diberikan termasuklah BMW Remote Software Upgrade untuk kemaskini over-the-air dan Digital Key Plus yang membolehkan pemandu menggunakan telefon pintar sebagai kunci i7. BMW turut berkata, menerusi aplikasi My BMW, seramai lima individu boleh diberikan kebenaran untuk menggunakan kenderaan terbabit.

    Untuk perincian penuh dan harga yang ditawarkan untuk BMW i7 ini, kena nantikan perkembangan selanjutnya dari BMW Malaysia.

     
     
  • Kerajaan beri tol percuma dan diskaun tol sehingga 50% sempena Aidilfitri untuk 30 Apr-1 Mei, 7-8 Mei

    Kerajaan beri tol percuma dan diskaun tol sehingga 50% sempena Aidilfitri untuk 30 Apr-1 Mei, 7-8 Mei

    Sempena dengan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah ini dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.

    “Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi,” katanya dalam pengumuman hari ini.

    Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan Lebuhraya utara–selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang mengendalikan Lebuhraya pantai timur (LPT). Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

    Bukan itu sahaja, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara–Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11.59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

    Selain Lebuhraya Utara-Selatan dan LPT, lebuhraya lain yang terbabit termasuklah Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE), Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang (JPP), LPT2, dan Lebuhraya KL-Karak (KLK)

    Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30% dan 50% akan diberikan kepada lebuhraya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

    Lebuhraya yang terbabit dengan pemberian diskaun sebanyak 50% untuk tarikh yang sama ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

    Manakala lebuhraya yang terlibat dengan pemberian diskaun tol sebanyak 30% pula termasuklah Projek Pengurusan Air Banjir Dan Terowong (SMART), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK).

    Selain itu, ia turut melibatkan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (JPP2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

    “Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama- sama orang tersayang. Keputusan Kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    “Pada masa yang sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” sambungnya lagi.

     
     
  • Bermaz Auto latih petugas tingkat kemahiran EV, PHEV — CX-60 bakal sertai MX-30, e-2008, Sorento, Niro?

    Bermaz Auto latih petugas tingkat kemahiran EV, PHEV — CX-60 bakal sertai MX-30, e-2008, Sorento, Niro?

    Bermaz Auto sebelum ini telah umumkan tamat pengajian bagi 185 pelajar di bawah Program Perintis Bermaz, yang bakal menyaksikan semua mereka akan ditempatkan di pusat servis bagi tiga jenama yang dikendalikan oleh syarikat itu; Mazda (Bermaz), Peugeot (Bermaz Auto Alliance) dan Kia (Dinamikjaya Motors).

    Keseluruhan 185 pelajar itu juga adalah daripada tiga program berbeza, dengan 68 orang dari Program Perintis Mazda, 60 orang dari Program Mekanik Mazda dan 57 orang lagi dari Program Badan & Cat.

    Selain itu Bermaz Auto juga telah menaik taraf kelengkapan teknikal dan kemudahan di Sekolah Latihan di Glenmarie untuk memastikan tenaga kerja lepas jualanya bersedia untuk mengendalikan kenderaan generasi akan datang seperti kenderaan elektrik bateri (BEV) serta kenderaan plug-in hybrid (PHEV).

    Naiktaraf tersebut bertujuan untuk memberikan pendidikan vokasional dan teknikal serta program latihan untuk memenuhi keperluan tiga jenama yang dinyatakan itu. Satu lagi program, Program Mekatronik juga telah ditambah, memberi tumpuan untuk mendidik pelajar berkaitan teknologi elektronik dan EV.

    Langkah ini adalah sangat perlu sebagai persiapan syarikat itu menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk mengendalikan BEV dan PHEV terlebih dahulu sebelum model-model berkaitan dilancarkan secara rasmi. Sebagai contoh, MX-30 yang dipertontonkan beberapa hari lalu dijangka akand mula dijual di sini dalam tahun ini, sementara syarikat itu juga ada perancangan untuk membawa masuk Peugeot e-2008.

    Bagi Kia pula, Carnival, Sorento, Sportage dan Niro dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan dalam masa dua tahun ini, dengan setiap daripadanya akan melibatkan sistem janaan elektrifikasi, sama ada hibrid, elektrik penuh atau plug-in hybrid yang akan mengiringi sistem janaan konvensional.

    Dan, walaupun belum dinyatakan oleh Bermaz, CX-60 yang menjadi model pertama jenama itu dengan sistem janaan PHEV, mungkin juga akan diperkenalkan di sini. “Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pekerja untuk menepati keperluan kenderaan generasi akan datang dengan fokus terhadap teknologi hijau dan bersih, ciri keselamatan autonomous dan keterhubungan lebih baik. Program kami akan di strukturkan untuk menggalakkan pembelajaran berterusan,” ujar Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022 – 65 unit sudah dihantar kepada pelanggan, 300 unit ditempah

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022 – 65 unit sudah dihantar kepada pelanggan, 300 unit ditempah

    Volvo Car Malaysia (VCM) telahpun menghantar kumpulan pertama berjumlah 65 unit SUV elektrik penuh Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 kepada pelanggan pada 23 April lalu. Model ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Shah Alam, dilancarkan pada 15 Mac lalu.

    Menurut VCM, sehingga kini sebanyak 300 tempahan telah diterima untuk XC40 EV berkenaan, dan dijangka sejumlah 100 unit SUV tersebut akan dihantar kepada pelanggan pada hujung bulan ini. XC40 EV ini dijual pada harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan RM262,460, dan merupakan model pertama elektrik penuh dipasang di sini.

    Volvo XC40 EV ini digerakkan oleh dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar menjadikan ia SUV pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, menjadikan ia SUV paling pantas yang boleh anda beli dalam pasaran buat masa sekarang.

    Kuasa dibekalkan dari bateri 78 kWj yang mampu memberikan jarak gerak 418 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. XC40 EV ini menyokong pengecas AC 11 kW menggunakan penyambung Type 2, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa 7.5 jam. Ia juga diberikan sistem cas pantas DC dengan kemampuan maksimum 150 kW (antaramuka CCS2) yang boleh mengecas bateri dari 0% hingga 80% penuh dalam masa hanya 33 minit.

    Walaupun XC40 EV ini sekitar RM20k lebih mahal berbanding XC40 plug-in hybrid, ia adalah pilihan yang lebih berkuasa malah lebih murah berbanding Mercedes-Benz EQA 250 AMG Line dan juga varian tertinggi Hyundai Ioniq 5 Max. Ia turut ditawarkan dengan waranti dan servis percuma selama lima tahun dengan bantuan tepi jalan. Bateri EV pula diberikan waranti berasingan selama lapan-tahun.

    GALERI: Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 2022

     
     
  • VIDEO: Toyota Hilux 2.4V vs Mitsubishi Triton 2.4 A/T Premium – trak pikap mana lebih berbaloi di Malaysia?

    Sebelum ini, kami pernah membuat perbandingan antara Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, dengan mengambil varian yang paling tinggi iaitu Hilux 2.8L dan Triton 2.4L Adventure X. Sambutannya cukup baik, dan kali ini kami temukan sekali lagi dua trak pikap paling popular dalam pasaran itu, tetapi dengan mengambil varian pertengahan pula, iaitu Hilux 2.4V dan Triton 2.4 A/T Premium.

    Satu lagi perkara yang membawa kepada perbandingan ini adalah Hilux diberikan facelift pada tahun 2020. Meskipun secara luaran hanya varian paling tinggi sahaja yang nampak jelas menerima perubahan, varian lain juga masih diberikan peningkatan termasuk pada kelengkapan, enjin dan lebih penting, selang masa servis.

    Bagi Triton, walaupun sudah berada dalam pasaran sejak awal tahun 2019, ia masih lagi memberikan cabaran sengit dalam segmen trak pikap dengan rupa Dynamic Shield serba garang serta barangan yang tidak kurang lengkapnya berbanding model lain.

    Bagi yang ingin membeli trak pikap, membuat keputusan mungkin tidak mudah. Jadi, dengan adanya video ini kami harap ia dapat membantu memberikan anda idea di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model. Bukan setakat itu, kami turut nyatakan pilihan kami sendiri dan sebabnya. Jom tonton!

    GALERI: Toyota Hilux 2.4V

    GALERI: Mitsubishi Triton 2.4 A/T Premium

     
     
  • MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    Pada tahun 2020, MG ZS EV diberitahu akan datang ke negara kita dengan dijual dan dipasarkan oleh MG Berjaya. Kerjasama syarikat itu nampaknya tidak berjaya tetapi awal tahun ini tersebar lagi berita bahawa jenama itu sendiri akan mengeskport kenderaan ke negara ASEAN, dengan Malaysia bakal menerima pengedar baru.

    Itu semua bagaimanapun masih belum berlaku, dan bagi sesiapa yang masih mencari SUV elektrik segmen B tersebut, ia sebenarnya sudah ada dalam negara, dibawa oleh pengimport persendirian, G-Mart Corporation. Unit yang mereka bawa ini adalah daripada varian Trophy dari United Kingdom (UK).

    Model facelift ini boleh dikenali dengan mudah melalui ketiadaan gril hadapan, serta tempat mengecas yang dialihkan ke sebelah kanan kenderaan dan mempunyai penutup yang terbuka ke tepi. Bukaan udara di bahagian bawah bampar juga adalah lebih besar berbanding sebelum ini.

    Lampu LED adalah baru, dan ia mempunyai DRL berbentuk anak panah, sementara di belakang pula ia mendapat bampar yang direka semula. Melengkapkan penampilannya adalah rim 17 inci berserta penutup aerodinamik (masih belum dipasang pada kereta).

    Kedua-dua model yang dibawa ini adalah versi standard, yang bermakna ia dilengkapi dengan bateri 51.1 kWh, boleh memberikan jarak gerak sehingga 319 km (kitaran WLTP) dan merupakan satu peningkatan berbanding 263 km yang ditawarkan melalui bateri lithium ion 44.5 kWh pada model sebelum ini. Di pasaran luar, Z5 EV juga mempunyai versi Long Range dengan bateri 72.6 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 440 km.

    Motor elektrik pada model facelift kini menawarkan 177 PS (130 kW) kuasa pada model Standard – 150 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini – sementara tork pula menurun sedikit menjadi 280 Nm (sebelum ini 350 Nm). Daripada aspek prestasi, kereta seberat 1,610 kg ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat dan mencecah kelajuan maksimum 174 km/j.

    MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

    Untuk mengecas, ia akan mengambil masa lapan jam apabila menggunakan pengecas AC tujuh kilowatt, 54 minit untuk mencapai tahap 80% (dari kosong) menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan 36 minit apabila menggunakan pengecas pantas DC 100 kW.

    Di dalam, model facelift ini mendapat panel instrumen digital tujuh inci baru, skrin sesentuh 10.1 inci di tengah untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, suis pengawal suhu rekaan baru, sistem masuk tanpa kunci bersama butang pemula, kamera parkir 360 darjah serta roda stereng balutan kulit.

    Barangan tambahan yang diberikan pada versi Trophy ini pula terdiri daripada balutan tempat duduk ala kulit dengan jahitan benang warna kontras, tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung panoramik, pengelap cermin automatik, sistem audio enam pembesar suara serta pengecas Qi tanpa wayar.

    Untuk sistem keselamatan, ZS EV dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu MG Pilot, yang termasuk AEB dengan pengesan pejalan kaki dan basikal, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Traffic Jam Assist, Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Intelligent High Beam Assist.

    Model MG ZS EV Trophy Standard ini dijual pada harga RM235,000 dan ia termasuk sekali dengan pengecas dinding, serta pengecas kompak Exicom EVAC 7.5 kW Type 2, tetapi pemilik harus menanggung sendiri kos untuk memasangnya.

    Pada masa hadapan, syarikat itu akan membawa pula versi SE bagi ZS EV ini, dan ia dijual pada harga kurang RM20k, iaitu RM215,000. Kedua-dua model Trophy ini menggunakan warna Dynamic Red dan sekarang dipamerkan di Auction House syarikat itu di Shah Alam.

     
     
  • ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    ANIH Berhad, pemegang konsesi untuk Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi pengguna lebuhrayanya. Ia adalah bagi tempoh perjalanan antara 30 April hingga 8 Mei 2022.

    Bagi perjalanan dalam tempoh 30 April-2 Mei, pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur dan Selangor yang memasuki lebuhraya berkenaan dari Plaza Tol Gombak dan ingin ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, memiliki beberapa pilihan waktu untuk bergerak.

    Bagi yang ingin ke Pahang, anda boleh bergerak antara jam 10 pagi-2 petang atau 8 malam-11 malam. Untuk pengguna yang ingin ke Terengganu dan Kelantan pula, boleh bergerak antara jam 6 pagi-10 pagi atau 5 petang-10 malam. Manakala waktu perjalanan bebas pula dari jam 12 tengah malam-6 pagi.

    ANIH saran pengguna Lebuhraya Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 30 April-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    Untuk yang mahu bergerak pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 7-8 Mei 2022, juga diberikan beberapa pilihan waktu untuk memulakan perjalanan. Bagi yang datang dari Pahang, disarankan untuk memulakan perjalanan antara 6 pagi-10 pagi atau 7 malam-10 malam. Manakala yang datang dari Terengganu dan mula memasuki lebuhraya dari Plaza Tol Jabor, boleh memulakan perjalanan antara jam 8 pagi-11 pagi atau 8 malam-10 malam.

    Manakala yang datang dari Kelantan, boleh memulakan perjalanan antara jam 6 petang-8 malam atau 10 malam-12 tengahmalam. Dan waktu perjalanan bebas pula dari jam 12 tengah malam-6 pagi.

    Dalam masa yang sama, pengguna lebuh raya dinasihati untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi. Selain itu, pengguna juga diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19, khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025