Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Yamaha R15 V4 – jangkaan harga cecah RM14k apabila tiba di Malaysia? Berbaloi dengan peningkatan diberi?

    Yamaha R15 V4 – jangkaan harga cecah RM14k apabila tiba di Malaysia? Berbaloi dengan peningkatan diberi?

    Dalam waktu dunia kembali pulih daripada pandemik secara beransur-ansur, pengeluar motosikal juga kembali aktif dengan pengenalan model-model baru. Tidak terkecuali adalah Yamaha, melalui model kapasiti rendah mereka, dengan memperkenalkan R15 Version 4 beberapa hari lepas di India.

    Ia menjadi bualan ramai peminat motosikal kerana walaupun merupakan model sports kelas permulaan, diberi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti kawalan cengkaman, quickshifter serta panel instrumen yang boleh disambung kepada telefon bimbit melalui Y-Connect.

    Ada yang mengatakan ciri-ciri ini cukup bagus, namun ada juga membangkang dengan mengatakan ia sepatutnya diganti dengan ciri yang dapat membantu prestasi seperti suspensi ataupun brek yang lebih baik. Itu semua bergantung kepada individu, tetapi kita di sini mahu melihat kepada harganya.

    Untuk mewujudkan satu perbandingan yang boleh diterima, kita akan mengambil R15 V4 versi pertengahan yang dilengkapi dengan semua ciri tambahan baru model ini, dan diletakkan bersebelahan dengan R15 V3. Di India, iaitu pasaran pertama dunia yang menerimanya, R15 V4 versi pertengahan ini dijual pada harga 172,800 rupee (RM9,795) sementara R15 V3 pula 159,700 (RM9,052). Bezanya malah tidak mencecah RM750 pun.

    Ini adalah sesuatu yang menarik, kerana di India, R15 V3 adalah spesifikasi rendah (fork teleskopik biasa dan bukannya USD seperti di negara kita), sekaligus menjadikan jurang perbezaannya dengan R15 V4 lebih besar. Kemudiannya, selain peningkatan kelengkapan yang dinyatakan awal tadi, R15 V4 ini juga menggunakan panel badan serba baru.

    Sebelum anda semua rasa teruja dengan perbezaan harga yang tidak sampai RM750 ini, kita perlu ingat keadaannya mungkin boleh jadi berbeza mengikut negara. Jadi, untuk itu kita lihat pula contoh model NVX di pasaran Malaysia, kerana ia melibatkan peningkatan yang hampir sama seperti R15 V4 iaitu panel badan serba baru dan juga sistem Y-Connect.

    Yamaha NVX V1 vs Yamaha NVX V2 Y-Connect

    NVX V1 pada tahun 2020 dijual pada harga RM10,088 tidak termasuk insurans, sementara apabila ia diganti dengan NVX V2, dijual pada harga RM10,998 bagi versi Y-Connect. Ini adalah harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha, dan tidak termasuk insurans. Sebagaimana yang boleh anda lihat, perbezaannya adalah hampir RM1k.

    Bagimana pula dengan Y16ZR? Baiklah, model ini jika dibandingkan dengan Y15ZR memang melibatkan banyak peningkatan (panel badan, meter, brek, enjin dan sistem tanpa kunci), tetapi ia tidak mempunyai Y-Connect. Beza harga antara Y16 dan Y15 di Malaysia adalah sekitar RM2.7k (RM10,888 vs RM8,168).

    Jadi, perbezaan harga manakah yang sesuai kita gunakan untuk menjangka harga R15 V4 apabila ia tiba di Malaysia nanti? Melalui apa yang ditunjukkan di atas, anda juga boleh membuat penilaian sendiri. Jangkaan kami, perbezaan antara NVX boleh diambil sebagai jumlah permulaan, dan perlu ditambah sedikit lagi kerana R15 V4 juga diberikan dengan tambahan sistem kawalan cengkaman serta quickshifter.

    Yamaha Y16ZR vs Yamaha Y15ZR

    Jumlah yang logik kami kira, mungkin dalam lingkungan RM2k, dan jika begitu, harga R15 V4 pasaran Malaysia boleh mencecah RM14k (R15 V3 sekarang dijual pada harga RM11,988). Enjin R15 V4 masih lagi unit satu silinder VVA 155 cc, tetapi dengan kuasa yang berkurang menjadi 18.4 PS pada 10,000 rpm – mungkin kerana pelarasan yang dibuat untuk menjadikan emisi lebih baik.

    Jadi, sekiranya R15 V4 ini masuk ke Malaysia dengan harga RM14k, adakah anda rasa ia berbaloi untuk dibeli? Adakah ramai yang mahukan ciri baru seperti kawalan cengkaman, Y-Connect dan quickshifter pada R15? Honda juga mempunyai model yang boleh bersaing dalam segmen sama, iaitu CBR150R, tetapi harganya lebih mahal daripada R15 V3, iaitu RM12.5k, dan kuasanya juga lebih rendah.

    GALERI: Yamaha R15 V4 pasaran India

     
     
  • GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

    GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

    Ada sebuah laporan Berita Harian semalam yang menarik minat pemerhati automotif tempatan. Ia adalah berkenaan pandangan bahawa harga kenderaan dijangka lebih rendah antara satu hingga enam peratus sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus dikenakan semula untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.

    Laporan berkenaan memetik pandangan seorang penganalisis RHB Investment Bank, Eddy Do Wey Qing, yang menyatakan bahawa jika mengambil kira GST 6% seperti yang dikenakan pada tahun 2015, sebahagian besar harga model kenderaan di pasaran tempatan susut satu hingga tiga peratus.

    “Ketika GST dilaksanakan pada April 2015 menggantikan SST, harga kenderaan secara umumnya turun. Ini disebabkan kaedah pengiraan, kerana GST adalah cukai nilai tambah di mana cukai dibayar pada setiap peringkat transaksi perniagaan, manakala SST dibayar sekali saja oleh pengilang atau pengimport.

    GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

    “Bagaimanapun, jumlah cukai yang dibayar sebenarnya lebih rendah kerana perbezaan mekanisme tuntutan cukai di bawah GST. Pada dasarnya, kuantum GST akhir ditanggung oleh pengguna berbanding SST yang dibayar oleh pengimport/pengilang,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

    Wey Qing juga berkata, ketika GST dilaksanakan sebelum ini terdapat implikasi terhadap sektor automotif apabila jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) merosot pada April 2015 susulan harga kenderaan pasca GST. “TIV pada Mac 2015 mencecah 67,314 unit disebabkan kebanyakan pengguna membuat pembelian sebelum pelaksanaan GST. “Jika GST dilaksanakan semula, saya berpendapat tidak mungkin pembelian besar-besaran sebelum GST berlaku sekali lagi, melainkan ada kempen dan promosi penjualan pra-GST yang agresif dilaksanakan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah pula berkata, kenaikan atau penurunan harga kereta akan bergantung kepada kadar GST yang dikenakan berbanding kadar SST semasa. Terdapat banyak aspek yang perlu diambil kira, termasuk senarai barang atau komponen yang tidak akan dikenakan cukai serta insentif bagi syarikat yang melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini.

    Tambah beliau, ketika GST mula dilaksanakan pada 2015, harga model Proton turun 0.89 hingga 3.25 peratus dan memberi penjimatan kepada pelanggan. Justeru, tegasnya Proton akan menyokong mana-mana sistem pencukaian yang memberi manfaat, kelebihan dan disokong oleh rakyat Malaysia.

    GST boleh turunkan harga kereta, kembali dilaksana?

    “Dari sudut perniagaan, penukaran sistem pencukaian memerlukan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan sistem baru, dan ini akan memakan masa. Namun ia antara set kemahiran diperlukan oleh setiap syarikat yang ingin berjaya. Jika penukaran sistem percukaian kepada GST dapat memastikan industri permotoran lebih kompetitif dan memberi kelebihan kepada pembeli, Proton bersetuju dengan pelaksanaannya,” ujarnya kepada akhbar itu.

    Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad pula berkata, GST adalah lebih baik bagi sektor automotif berbanding SST kerana regim percukaian progresif itu terbukti membolehkan harga kenderaan turun antara tiga hingga enam peratus. “Terserah kepada kerajaan sama ada mahu melaksanakan semula GST atau sebaliknya,” katanya.

    Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan sedang mengkaji untuk memperluaskan asas pendapatan negara termasuk melaksanakan semula GST serta menilai semula pakej insentif cukai untuk mengukuhkannya dan menjadikannya lebih bersasar serta strategik. Kementerian itu akan melakukan beberapa pembaharuan fiskal yang besar untuk mengukuhkan kapasiti pendapatan negara apabila berlaku pandemik dan menyebabkan krisis.

     
     
  • Toyota Starlet ‘kambing’ KP61 bakal muncul dalam versi Hot Wheels, untuk siri premium Car Culture

    Toyota Starlet ‘kambing’ KP61 bakal muncul dalam versi Hot Wheels, untuk siri premium Car Culture

    Nampaknya tak lama lagi Hot Wheels akan memperkenalkan satu lagi model yang ditunggu-tunggu oleh peminat JDM old school – pengedar kereta model skala dari Amerika Syarikat, 1StopDiecast.com mendedahkan Toyota Starlet KP61 kini telah dijelmakan sebagai kereta Hot Wheels skala 1/64, dan tempahannya sudah dibuka!

    Walau bagaimanapun, Toyota Starlet ‘kambing’ berkenaan hadir bukan dari versi mainline biasa, sebaliknya dijadikan salah satu model dalam siri premium Car Culture Toyota, yang turut dibarisi model lain seperti Toyota 2000GT, Toyota Supra Mk4, Toyota Pickup Truck 1987 (juga dikenali sebagai Hilux diluar AS) dan Toyota Land Cruiser FJ60.

    Starlet pacuan roda belakang dalam versi Hot Wheels ini dihasilkan dari versi tiga-pintu, menampilkan cat badan berwarna merah dengan spoiler belakang seperti spoiler TRD N2, namun fender flare yang diberikan adalah berbentuk bulat dan ia turut dilengkapi spoiler bawah bampar hadapan. Sebagai model premium, ia turut hadir dengan bahagian bawah logam, bersama set tayar getah.

    Menurut 1StopDiecast, pelanggan di Amerika Syarikat yang telah membuat tempahan akan menerima set Car Culture Toyota ini seawal pertengahan Oktober atau pada November nanti.

     
     
  • Toyota perkenal program kesetiaan pelanggan Loyal-T di Malaysia — kumpul mata ganjaran, dapat baucar

    Toyota perkenal program kesetiaan pelanggan Loyal-T di Malaysia — kumpul mata ganjaran, dapat baucar

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah melancarkan Program Toyota Loyal-T baru, sebuah program kesetiaan pelanggan. Terbuka untuk semua pelanggan Toyota, ia merupakan sebuah program untuk mengumpul mata ganjaran — sebarang pembelian atau servis akan diberikan mata, yang kemudiannya boleh dituntut dalam bentuk baucar servis untuk digunakan.

    Dengan Loyal-T, pelanggan Toyota berpeluang mengumpul mata dengan pembelian kenderaan, servis kenderaan, pembelian alat ganti, pembaharuan insurans kenderaan serta baik pulih warna dan badan di mana-mana cawangan rasmi Toyota seluruh negara.

    Mata yang terkumpul itu boleh ditukar kepada baucar e-servis untuk kegunaan masa depan. Program Loyal-T ini menggantikan program Toyota Merit sebelum ini, yang berakhir Jun lalu.

    “Kami mempunyai keluarga Toyota yang besar dengan ramai pelanggan di seluruh negara. Untuk itu, adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan mereka sentiasa rasa dihargai. Sejak sebelum ini, kami telah melaksanakan pelbagai usaha tambah nilai dan mempertingkatkan mutu khidmat untuk meningkatkan lagi keselesaan pelanggan. Semua usaha itu, dan banyak lagi di masa akan datang, adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada kepercayaan dan sokongan pelanggan terhadap jenama ini. Kini kami ingin menghimpunkan keseluruhan usaha terbabit dengan memperkenalkan program kesetiaan kepada pelanggan secara langsung,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    Toyota perkenal program kesetiaan pelanggan Loyal-T di Malaysia — kumpul mata ganjaran, dapat baucar

    “Membeli kenderaan Toyota adalah satu permulaan. Seperti juga mana-mana perhubungan, anda akan melalui fasa berkenalan. Setelah mengenali satu sama lain dengan lebih baik, kepercayaan akan terbangun, dan hubungan itu akan bertambah kuat setelah itu. Orang boleh datang dan pergi, tetapi pertaliannya akan terus kekal. Struktur keahlian yang menyeluruh melalui Program Loyal-T Toyota ini mengiktiraf pertalian berkenaan, dan ia merupakan satu tanda komitmen kami sentiasa berada di sisi pelanggan untuk beberapa generasi mendatang,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama.

    Untuk mendaftar, muat turun aplikasi mudah alih Toyota Drive dari Google Play Store atau Apple App Store. Selepas dimuat turun dan membuka aplikasi berkenaan, pelanggan akan diminta untuk mendaftarkan perincian mereka dengan Toyota. Semua maklumat yang diberikan dijamin selamat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 (PDPA). Jangan lupa satu lagi aplikasi yang baru diperkenalkan oleh Toyota, 24Seven Road Assist.

     
     
  • Casio Edifice ECB-S100HR Honda Racing Championship White Edition diperkenalkan – RM1,750

    Casio Edifice ECB-S100HR Honda Racing Championship White Edition diperkenalkan – RM1,750

    ECB-S100HR

    Sebelum adanya grafik livery perlumbaan yang berasaskan penaja korporat, kereta-kereta lumba pada era 1900 hingga 1960’an akan tampil dengan warna kebangsaan yang telah ditetapkan – contohnya merah untuk Itali, hijau gelap untuk British dan biru untuk Perancis.

    Sebab itulah mengapa sehingga kini Ferrari dan Alfa Romeo sinonim dengan warna merah, Lotus, Jaguar dan Aston Martin bangga dengan warna British Racing Green dan Bugatti begitu ikonik dengan warna Agile Bleu. Bagaimana dengan Jepun? Honda merupakan jenama pertama dari negara Asia berkenaan yang menyertai Formula 1 dengan jentera RA271 pada tahun 1964 – dan mereka memilih warna putih bersama bulat merah yang menandakan “matahari terbit” untuk badan kereta tersebut.

    Kalau anda perasan, Toyota juga menggunakan skema warna yang sama ketika berlumba dalam F1 pada musim 2002-2009 (juga digunakan sebagai warna rasmi Gazoo Racing sehingga sekarang), namun untuk Honda warna putih istimewa yang digunakan pada jentera RA271 iru digelar sebagai “Championship White”.

    Casio Edifice ECB-S100HR Honda Racing Championship White Edition diperkenalkan – RM1,750

    Macam pernah dengar? Ya, inilah warna Championship White yang dijadikan warna hero untuk semua model Type R Honda. Dan istimewa sebagai mengenang sejarah jentera F1 berkenaan, Casio dan Honda memperkenalkan jam tangan edisi khas Casio Edifice ECB-S100HR Honda Racing Championship White Edition.

    Jam tangan ini merupakan salah satu produk dalam barisan model kronograf logam berprestasi tinggi Edifice yang menurut Casio dihasilkan dengan konsep “Kelajuan dan Kebijaksaan.” Gegelang luaran ECB-S100HR ini diberikan kemasan warna Championship White, manakala nombor inset dan juga butang menerima serlahan warna merah – seakan latar belakang logo ‘H’ Type R Honda.

    Ia turut diberikan cetakan corak bendera perlumbaan disekeliling penutup kaca muka jam tersebut bagi “melambangkan banyak kemenangan yang telah dicatatkan oleh Honda.” Tali jam istimewa ini juga diberikan warna Championship White di atas dan warna merah di bahagian bawah. Set ini juga datang dengan satu lagi tali berwarna hitam.

    Casio Edifice ECB-S100HR Honda Racing Championship White Edition diperkenalkan – RM1,750

    Jam ini menampilkan teknologi Tough Solar Casio yang boleh menukarkan cahaya kepada kuasa elektrik yang akan disimpan ke dalam bateri. Ia juga diberikan dua lampu LED bagi memudahkan segala maklumat dilihat dalam keadaan gelap. Ia juga boleh dihubungkan kepada telefon pintar melalui Bluetooth, bersama satu aplikasi khas.

    Dengan aplikasi berkenaan, waktu yang dipaparkan akan ditetapkan secara automatik, membolehkan pengguna memilih masa dari lebih 300 bandar di seluruh dunia. ECB-S100HR ini juga datang dengan fungsi Time & Place yang mampu merekod tarikh/masa dan posisi semasa pada peta yang ada pada aplikasi dengan hanya menekan butang pada jam, membolehkan pengguna mengetahui di mana posisi semasa mereka.

    Jam tangan ini akan mula dijual pada pasaran Jepun bermula 15 Oktober ini pada harga 46,200 yen atau sekitar RM1,750.

     
     
  • Daihatsu Terios dapat lebih banyak ciri di Indonesia – kini dilengkapi Eco Idle, VSC untuk semua varian

    Daihatsu Terios dapat lebih banyak ciri di Indonesia – kini dilengkapi Eco Idle, VSC untuk semua varian

    Astra Daihatsu Motor (ADM) telah menambah beberapa ciri baharu untuk Daihatsu Terios bagi pasaran Indonesia. Kini ia dilengkapi dengan Eco Idle, sama seperti Toyota Rush terkini serta Perodua Aruz di Malaysia. Butang di sebelah kanan roda stereng membolehkan pemandu untuk mematikannya.

    Fungsi Eco Idle adalah untuk mengurangkan emisi dan penggunaan petrol dengan mematikan enjin sewaktu kereta dalam keadaan melahu (idle). ADM berkata Eco Idle telah diuji di pusat R&D Daihatsi Indonesia, dan ia telah meningkatkan angka FC sebanyak 10%, laporan Autonetmagz. Untuk pengetahuan anda, Eco Idle telah pun dipasang secara standard untuk Perodua Aruz bagi pasaran Malaysia sejak ia dilancarkan pada Januari 2019.

    Ciri baharu lain yang turut diberikan kepada Terios termasuklah VSC (Kawalan Kestabilan Kenderaan) dan HSA (Bantuan Mula Mendaki) untuk varian asas X. Sebelum ini, ciri keselamatan tersebut hanya ditawarkan untuk varian R dan ke atas. VSC dan HSA diberikan secara standard untuk semua varian Aruz sejak dilancarkan. Walau bagaimana pun, tiada sistem keselamatan berdasarkan kamera (ASA) diberikan untuk Terios dan Rush di Indonesia.

    Dilancarkan pada awal 2018, Terios – model kereta penumpang bukan-LCGC paling tinggi jualan bagi ADM – ditawarkan pada harga dari Rp 205.1 juta (RM60,214) untuk model asas X MT hingga Rp 255.6 juta (RM75,041) untuk model tertinggi R AT Custom, seperti dalam galeri di bawah. Beberapa bulan lalu, Perodua juga telah memberikan peningkatan pada Aruz, termasuk menampilkan ciri baharu seperti pemijak sisi, pengunci pintu automatik dan warna baharu Passion Red.

    GALERI: Daihatsu Terios Custom di GIIAS 2018

     
     
  • Ducati siar teaser Desert X – model adventure serba baharu 937 cc yang akan didedah 9 Disember ini

    Ducati siar teaser Desert X – model adventure serba baharu 937 cc yang akan didedah 9 Disember ini

    Hampir setiap tahun, Ducati akan menganjurkan satu acara yang dipanggil sebagai Ducati World Premiere, di mana mereka mendedahkan model terbaru yang akan memasuki pasaran. Tahun ini, ia akan diadakan secara dalam talian, dan dibahagikan kepada enam siri, bermula 30 September hingga 9 Disember 2021.

    Bagi setiap siri, terdapat konsep tersendiri yang mungkin memberi gambaran kepada model yang akan didedah, namun nama model tersebut tidak diberitahu, kecuali satu, iaitu untuk 9 Disember dengan tajuk “Dream Wilder.” Pada tarikh itu, Ducati akan mendedahkan secara rasmi buat pertama kalinya, Desert X.

    Bentuk model ini hampir sama seperti model konsep yang pernah ditunjukkan pada tahun 2019, di mana ia menggunakan asas daripada Scrambler, tetapi dalam kenyataan terbaru Ducati, ia diberitahu menggunakan casis serba baru dan bakal dikuasakan oleh enjin Testastretta 937 cc (seperti Monster, Supersport 950 dan Hypermotard).

    Ducati siar teaser Desert X – model adventure serba baharu 937 cc yang akan didedah 9 Disember ini

    Keistimewaan lain Desert X adalah rim 21 inci di hadapan – lebih besar daripada Scrambler Desert Sled yang menggunakan rim 19 inci – sekaligus meningkatkan lagi kemampuannya di jalan lasak, seperti motosikal adventure sebenar.

    Setakat ini, itu sahaja perincian yang didedahkan untuk Desert X, dan jika kita melihat kepada gambar teaser pula, ia bakal menggunakan penampilan retro (dua lampu bulat di hadapan seperti Super Tenere atau Cagiva Elefant tahun 90-an). Sudah tentu, bagi motosikal jenis seperti ini, kita boleh menjangka suspensi yang lebih tinggi dengan pelarasan penuh serta kelengkapan lain yang menjadikan perjalanan jauh lebih mudah.

    Bagi siri lain Ducati World Premiere 2021, kita boleh menjangkakan ketibaan beberapa model yang diberi peningkatan, seperti Panigale, Streetfighter, Multistrada dan Monster.

     
     
  • BMW iX EV – lebih 100 unit telah ditempah di Malaysia tak sampai sebulan; harga bermula RM420k-RM473k

    BMW iX EV – lebih 100 unit telah ditempah di Malaysia tak sampai sebulan; harga bermula RM420k-RM473k

    Seperti yang kita tahu, kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) masih lagi belum begitu popular di Malaysia – bukan sahaja kerana fasiliti pengecaj dalam negara masih belum meluas, malah harganya juga masih mahal. Namun untuk SUV elektrik penuh BMW iX EV, sambutan yang diterima di sini nampaknya sangat menggalakkan.

    Model ini baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada hujung bulan lalu, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM419,630, atau RM472,630 dengan pakej Sport. Namun dalam masa kurang seminggu, 64 unit telah pun ditempah dan sehingga kini (belum lagi genap sebulan) tempahannya telahpun melebihi 100 unit!

    Perkara ini dinyatakan oleh ketua komunikasi korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan dalam satu sesi pertemuan maya yang dianjurkan oleh BMW baru-baru ini, di mana beliau turut mendedahkan beberapa perancangan syarikatnya berkenaan halatuju elektrifikasi mereka di Malaysia.

    BMW iX EV – lebih 100 unit telah ditempah di Malaysia tak sampai sebulan; harga bermula RM420k-RM473k

    Walaupun angka sebenar tempahan tersebut tidak dinyatakan secara terperinci, Sashi mengesahkan ia kini telah mencapai tiga digit. “Tempahan agak luar biasa – kami sebenarnya sudah mencapai 100 [tempahan] hanya dalam minggu [pertama],” katanya dan menambah “Ia agak memeranjatkan”.

    Pelanggan yang menempah BMW iX ini hanya akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan. Sebab itulah ia tidak akan menerima insentif potongan cukai jualan sebanyak 50% untuk model diimport sepenuhnya (CBU) oleh kerajaan yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

    Namun untuk mereka yang membuat tempahan awal ini menerima berberapa tawaran menarik seperti pemasangan percuma pengecaj wallbox (tidak disertakan) di rumah, dan juga penggunaan pengecaj awam ChargEV percuma selama setahun. Promosi ini pada awalnya hanya diberikan kepada 50 pembeli terawal, namun kemudiannya ditambah untuk 100 pembeli terawal.

    BMW iX EV – lebih 100 unit telah ditempah di Malaysia tak sampai sebulan; harga bermula RM420k-RM473k

    Model ini hanya ditawarkan dalam satu varian bagi pasaran Malaysia iaitu iX xDrive40. Varian tersebut dijana oleh dua buah motor elektrik – 190 kW (258 PS) pada gandar hadapan dan 200 kW (272 PS) pada gandar belakang – menghasilkan kuasa akhir 240 kW (326 PS) dan tork maksima 630 Nm bermula dari 0 rpm.

    Motor-motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri lithium-ion 71 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 425 km dengan satu caj penuh. Bateri tersebut mengambil masa tujuh jam dan 15 minit untuk dipenuhkan menggunakan pengecaj AC 11 kW.

    Ia juga boleh menerima pengecaj pantas DC 150 kW yang membolehkan kuasa dari 10% naik ke 80% dalam masa hanya 31 minit. BMW menyatakan bahawa sudah ada perancangan bagi membuka stesen pengecaj pantas DC ini di perhentian rehat lebuh raya, pusat beli-belah dan juga di semua jaringan pengedar BMW – jadi ini tentu berita baik untuk bakal pemilik SUV elektrik tersebut, membolehkan mereka bergerak dalam jarak jauh.

     
     
  • MOT sedang kaji aplikasi teknologi terkini termasuk penggunaan sensor dalam ujian memandu – Dr. Wee

    MOT sedang kaji aplikasi teknologi terkini termasuk penggunaan sensor dalam ujian memandu – Dr. Wee

    Bagi memantapkan lagi ujian memandu di negara ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melaksanakan kajian mengenai kebolehlaksanaan mengaplikasikan teknologi terkini termasuk penggunaan sensor di dalam ujian terbabit.

    Ia juga adalah bagi menambah baik proses pembelajaran dan meningkatkan tahap integriti pengujian yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), laporan Harian Metro

    “Contoh, kalau seseorang itu mengambil ujian dengan JPJ, kita akan masukkan mereka dalam kenderaan yang bukan sahaja ada video kamera untuk rakaman, malah sensor juga akan diletakkan dalam kenderaan yang sedang jalankan pengujian ini.

    “Apabila di litar, semua tiang parkir akan dipasang dengan kamera dan sensor untuk melihat macam mana soal integriti yang dipersoalkan dulu yang kata bila mengambil ujian kita boleh beri rasuah,” kata Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    MOT sedang kaji aplikasi teknologi terkini termasuk penggunaan sensor dalam ujian memandu – Dr. Wee

    Jelas beliau, spekulasi soal integriti dalam ujian memandu juga dapat diselesaikan dengan penggunaan teknologi dan sensor apabila semua maklumat dapat dikawal oleh pusat kawalan.

    “Keperluan automasi dalam merekodkan elemen pengujian yang boleh dilihat kembali apabila terdapat dakwaan juga boleh diselesaikan dengan bantuan teknologi itu. Ia memerlukan analisis data besar, penggunaan sensor yang canggih termasuk penggunaan Internet of things (IoT),” katanya lagi ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran).

    Dalam sidang Dewan Rakyat berkenaan, Zakaria meminta penjelasan MOT mengenai usaha memperkasakan penggunaan teknologi internet atau kecerdasan buatan (AI) dalam Industri Latihan Pemanduan (ILP).

     
     
  • Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ facelift 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

    Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

    Selepas model E-Class W213 facelift tiba di pasaran tempatan Julai lalu, hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) secara rasminya melancarkan pula versi prestasi tinggi Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ facelift 2021. Ia ditawarkan dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dengan harga atas jalan tanpa insuran RM1,118,888.

    Harga yang dinyatakan ini termasuk cukai jualan penuh 10%, menandakan bahawa pelanggan yang menempahnya hanya akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan, dan tidak akan menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 50% dari 10% berkenaan di bawah skim Pemerkasa yang berakhir 31 Disember ini. Setiap pembelian turut akan menerima waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan.

    Sedan E 63 S ini masih dijana oleh enjin M178 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo sama seperti model sebelum ini, menjana 612 PS (603 hp) pada takat 5,750 hingga 6,500 rpm dan juga tork maksima 850 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 300 km/j.

    Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

    Enjin berkenaan turut menampilkan teknologi nyah aktif silinder bagi membolehkan ia berfungsi dengan hanya empat silinder bergantung kepada situasi bagi meningkatkan kadar efisien, dan juga cagak enjin dinamik. Kuasa dari enjin disalur kepada semua roda dengan kadar tork bervariasi menerusi kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan dan sistem variable AWD AMG Performace 4Matic+.

    Sistem tersebut juga menampilkan LSD kawalan elektronik pada gandar belakang, membolehkan pemandu melakukan aksi menggelangsar dengan mudah menerusi “drift mode” yang dapat diaktifkan menerusi mod Race, menjadikan ia sebuah jentera pacuan belakang sepenuhnya tanpa bantuan ESP.

    Pengendalian Mercedes-AMG E 63 ini turut dibantu oleh suspensi AMG Ride Control+ dengan suspensi udara pelbagai kebuk, penyerap hentak adaptif ADS+ dan juga stereng sensitif-kelajuan. Kesemua kelengkapan tersebut berfungsi dengan sistem AMG Dynamic Select yang menawarkan enam mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race. Manakala dengan sistem AMG Dynamic, ia akan memberikan lebih kebebasan tetapan dengan talaan semula pada sistem ESP dengan empat tahap iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master.

    Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

    Dengan kuasa yang cukup besar, E 63 S juga menerima sistem brek dengan cakera 390 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, serta cakera 360 mm dan angkup omboh tunggal di belakang secara standard, dengan kesemua angkup menerima kemasan berwarna merah.

    Dari segi penggayaan, sudah semestinya versi AMG yang disegarkan semula ini menerima muka kemaskini yang sama seperti E-Class facelift biasa, menampilkan lampu hadapan yang lebih tirus. Ia diserasikan dengan gril Panamericana, dan juga bampar “jet wing” yang direka semula bagi disesuaikan dengan lampu berkenaan. Ia turut menerima lampu belakang baharu dengan rekaan lebih nipis, dan seperti biasa versi AMG paling berkuasa berkenaan diberikan bampar dengan perumah empat tip ekzos berbentuk segi empat.

    Bagi menandakan ini sebuah AMG asli, ia bukan sahaja menampilkan lencana-lencana istimewa, malah E 63 S ini turut diberikan fender yang lebih lebar. Untuk model pasaran Malaysia ini, ia turut dibekalkan dengan Night Package secara standard, menampilkan kemasan-kemasan hitam berkilat pada bahagian luaran termasuk penutup cermin sisi, kerangka tingkap, perincian-perincian kecil pada bampar, serta diberikan tip ekzos dalam kemasan krom hitam dan gril lebih gelap.

    Mercedes-AMG E63 S 4Matic+ <em>facelift</em> 2021 kini di M’sia – RM1.12 juta, kelajuan maksima 300 km/j, 612 PS!

    Ia juga hadir standard dengan AMG Exterior Carbon-Fibre Package I dan II, menampilkan splitter hadapan, perapi fender, jalur kemasan (dengan warna hitam berkilat Silver Shadow) pada apron belakang yang kesemuanya diperbuat dari material gentian karbon. 11 warna badan berbeza ditawarkan kepada pembeli E 63 S ini. Dan bagi melengkapkan rupanya, ia dipadankan dengan rim aloi ringan 20-inci 5-jejari berkembar AMG.

    Juga sama seperti W213 biasa, bahagian dalaman model AMG ini juga menerima sistem infotainmen yang disertakan dengan sistem A.I Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Sistem tersebut menampilkan dua skrin 12.25-inci yang membentuk widescreen cockpit, bertindak sebagai sebagai skrin sesentuh bagi sistem infotainmen serta paparan instrumen digital.

    Untuk paparan instrumen digital pada sistem tersebut pula, ia turut hadir dengan paparan AMG yang menampilkan sistem AMG Track Pace. Perincian lain yang turut disertakan termasuk karpet lantai dan kemasan bendul bernyala AMG, serta roda stereng dan juga tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori AMG Performance, kedua-duanya dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Dinamica.

    Model ini juga datang standard dengan lampu hadapan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, sistem ekzos AMG Performance dengan bunyi yang boleh dipilih, bumbung panaromik, papan pemuka kulit Nappa, sistem lampu suasana kabin, pendingin hawa tiga zon Thermotronic, LTE bina dalam untuk servis terhubung Mercedes me, sistem bunyi Burmester, paparan head up, serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay bersama pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Bagi sistem keselamatan pula, sedan prestasi tinggi ini diberikan kamera 360-darjah, Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, pakej Driving Assistanc (termasuk AEB), cruise control adaptif, Bantuan Stereng Aktif, akses tanpa sentuhan, Keyless-Go, Pre-Safe dan sistem pemantau tekanan angin tayar.

     
     
  • MV Agusta F3 RR diberi facelift – kuasa 147 hp, 88 Nm

    MV Agusta F3 RR diberi facelift – kuasa 147 hp, 88 Nm

    Pengeluar dari Itali, MV Agusta, telah memberikan pembaharuan kepada model F3 RR, di mana peningkatan utamanya adalah pada bahagian aerodinamik seperti fairing baru dengan sirip di sebalik panel sisi, yang mampu memberikan tambahan daya tolakan ke bawah sebanyak 8 kg.

    Kemudiannya, model baru ini juga menggunakan penghadang angin hadapan lebih tinggi, panel fairing gentian karbon serta mudguard baru yang dapat meningkatkan aliran udara kepada radiator. Sistem penyejukan juga ditambah baik dengan penyejuk minyak baru yang 5% lebih cekap.

    Rim yang sebelum ini mencatat berat 4.56 kg diganti dengan rim baru seberat 4.14 kg (10% lebih ringan), sekaligus membantu putaran roda yang lebih cepat. Penukaran gear melalui quickshifter EAS 3.0 juga diperbaiki dengan sensor baru serta hab klac yang diperkuat.

    Pada bahagian enjin, F3 RR menggunakan unit tiga silinder 798 cc yang mampu menghasilkan 147 hp pada 13,000 rpm dan 88 Nm tork pada 10,100 rpm. Penunggang boleh mengawal penyampaian kuasa ini melalui empat mod tunggangan yang disediakan sementara kawalan cengkaman pula boleh dilaras dalam lapan tahap.

    Suspensi terdiri daripada fork 43 mm Marzocchi boleh laras sepenuhnya di hadapan manakala di belakang pula terdapat monoshock Sachs, yang juga boleh dilaras sepenuhnya. Brek adalah daripada Brembo, dengan set cakera 320 mm berkembar di hadapan dan 220 mm di belakang.

    Pada bahagian kokpit terdapat panel instrumen TFT-LCD 5.5 inci berwarna penuh dengan sistem yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk memberikan fungsi seperti notifikasi dan pemain muzik. Motosikal ini juga datang dengan tangki bahan api 16.5 liter, launch control, cruise control serta berat keseluruhan 173 kg.

     
     
  • UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    Kepada pemilik kenderaan Toyota di Malaysia, ini ada perkembangan penting dan menarik. UMW Toyota Motor (UMWT) telah memperkenalkan aplikasi mudah alih terbaru bagi servis 24Seven Road Assist.

    Ini bermaksud, bantuan tepi jalan 24 jam yang sedia ada sebelum ini kini boleh dicapai melalui beberapa sentuhan mudah di skrin telefon. Ia bagaimanapun tidak menggantikan talian bantuan 1-800-888-247, sebaliknya ditawarkan sebagai satu lagi saluran alternatif kepada pengguna. UMWT menyifatkan ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri di Malaysia.

    Ada butang SOS disediakan, dan lebih menarik, ada juga ciri pengesan masa nyata untuk melihat di mana lokasi pengguna yang memerlukan bantuan itu terletak, serta bila bantuan akan tiba, sama seperti anda melihat dan mengesan perjalanan penghantar makanan yang anda pesan. Semua ini, termasuk bantuan yang dihantar adalah dari pengedar dan penyedia perkhidmatan sah Toyota sendiri, akan memberikan lebih kelegaan kepada pengguna dalam menghadapi situasi sukar.

    UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    Pengguna bahkan boleh meminta bantuan sekecil apa pun, seperti untuk menukar tayar ataupun jika kereta kehabisan minyak. Pengguna juga boleh memilih cawangan Toyota yang mereka inginkan. Servis ini, yang ditawarkan 24/7 sepanjang tahun, di seluruh negara, turut menawarkan baik pulih minor di lokasi dan tundaan (hingga 50 km jarak).

    “Kami telah menyediakan Bantuan Jalanan 24Seven Toyota kepada pelanggan sejak 20 tahun lalu. Ini perkhidmatan yang terus diberi penambahbaikan bagi memastikan pelanggan tidak perlu risau ketika berada di jalanan. Dengan perkembangan teknologi mudah alih yang semakin maju, langkah seterusnya bagi kami adalah untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih yang membawa servis ini ke tahap lebih tinggi,” jelas Presiden UMW Toyota, Ravindran K.

    UMWT telah menyepadukan aplikasi ini dengan Vehicle Telematics System (VTS) yang dibina ke dalam model-model kenderaan terbarunya. Dengan VTS, kenderaan boleh dipantau menggunakan GPS, dengan lokasi semasanya ditunjukkan dalam aplikasi. Ini tidak hanya akan memudahkan pihak berkuasa mengesan kenderaan sekiranya dicuri, sistem ini juga akan mengesan sekiranya berlaku impak (kemalangan), untuk menghantar bantuan kecemasan secepat mungkin.

    UMW Toyota sepadukan sistem telematik dengan khidmat 24Seven Road Assist dalam satu aplikasi

    VTS juga membolehkan pemilik melihat semula sejarah perjalanan dengan laporan minit-ke-minit, jarak yang dilalui dan tempoh keseluruhan perjalanan. Melalui aplikasi ini, pengguna juga boleh menilai semula corak pemanduan serta menetapkan parameter keselamatan untuk memantau pergerakan orang yang tersayang, misalnya pemandu baru. Aplikasi ini boleh menjejaki beberapa kenderaan dalam satu masa.

    “Dengan teknologi makin maju, kereta juga begitu. Ini tidak dapat dielakkan, dan kita telah melihat kenderaan berevolusi sejak 20 ke 30 tahun lalu untuk menjadi lebih selamat, bersih, lebih ekonomikal, menawarkan prestasi lebih baik, dan kini berkembang untuk menjadi lebih pintar dan boleh menawarkan interaksi lebih meluas kepada pemandu. Pengangkutan dan komunikasi bakal saling terhubung untuk memberikan manfaat di masa depan, dalam era keterhubungan mobiliti,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    Aplikasi mudah alih Toyota 24Seven Road Assist boleh dimuat turun darip App Store bagi iOS atau Google Play Store untuk peranti Android.

     
     
  • Rentas negeri jika liputan imunisasi capai 90% takkan cetuskan lonjakan kes Covid-19 – Khairy Jamaluddin

    Rentas negeri jika liputan imunisasi capai 90% takkan cetuskan lonjakan kes Covid-19 – Khairy Jamaluddin

    Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menyatakan bahawa pergerakan rentas negeri akan dibenarkan apabila negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa, hari ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan bahawa ia dijangka tidak akan mengundang gelombang peningkatan kes Covid-19, lapor Berita Harian.

    Khairy menyatakan perkara berkenaan dalam sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini, dan menjelaskan bahawa sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.

    Oleh itu, menteri berkenaan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

    “Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia. Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.

    “Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi ‘congregation’ (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan. Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat,” katanya.

    Keputusan kerajaan bagi membenarkan pergerakan rentas negeri selepas negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa berkenaan telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang berlangsung semalam. Sasaran tersebut dijangka mampu dicapai dalam masa dua hingga tiga minggu sahaja lagi.

    Buat masa sekarang Malaysia sudahpun mencapai tahap 80% kadar vaksinasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK).

     
     
  • Toyota failkan paten sistem kamera dalam kenderaan untuk kesan pesalah trafik yang langgar lampu merah

    Toyota failkan paten sistem kamera dalam kenderaan untuk kesan pesalah trafik yang langgar lampu merah

    Toyota telah memfailkan paten di United States Patent and Trademark Office (USPTO) yang menjelaskan sebuah sistem di mana keretanya dilengkapi dengan kamera yang boleh merakam perlanggaran peraturan lalulintas. Rakaman berkenaan kemudiannya dihantar ke sebuah pelayan, dan akan dinilai oleh pihak berkuasa sebelum saman dihantar kepada pesalah trafik yang terlibat.

    Dikesan oleh CarBuzz, sistem berkenaan, yang disifatkan sebagai sebuah “sistem pengesanan perlanggaran peraturan lalulintas”, bakal menjadikan kereta sebagai sebuah kamera trafik mudah alih. Berdasarkan dokumen paten tersebut, sistem berkenaan kelihatan seperti direka untuk mengesan pemandu yang melanggar lampu merah.

    Kurang lebih, ini caranya sistem berkenaan berfungsi. Ketika sebuah kereta (1) dengan sistem berkenaan mendekati sebuah simpang dengan lampu isyarat, sistemnya akan mengesan warna lampu isyarat berkenaan.

    Jika ia bertukar hijau, sistem akan meninjau jika ada mana-mana kereta (2) sedang melintas atau sedang datang, dan sekiranya ia melanggar lampu merah atau memecut. Sekiranya berlaku perlanggaran peraturan, kamera dalam kereta itu akan mengambil gambar dan sistem akan mencari perincian kereta terbabit, seperti nombor pendaftaran. Semua maklumat ini, termasuk lokasi kejadian, akan disalurkan kepada sebuah pelayan, dan kepada pihak berkuasa.

    Untuk maklumat yang lebih terperinci, sistem berkenaan juga disifatkan mampu untuk berinteraksi dengan kenderaan lain yang mempunyai sistem sama (atau prasarana sedia ada), kemungkinan besar melalui teknologi vehicle-to-everything (V2X), jadi kejadian yang sama boleh dirakam daripada dua sudut berbeza. Tidak dinyatakan model Toyota mana yang akan menerima teknologi ini, tetapi jika menjadi kenyataan, kita akan mempunyai kereta yang boleh “mengitip” satu sama lain.

     
     
  • Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Barisan kenderaan Peugeot di Thailand tiada perubahan sejak jenama ini hadir di bawah pengurusan baharu pada tahun 2019. Sama seperti di Malaysia, model 3008 dan 5008 masih kekal sebegitu sudah lebih dua tahun, tanpa sebarang pembaharuan atau peningkatan – walau pun model 2008 baharu telah pun dipertontonkan banyak kali di negara berkenaan pada tahun lalu.

    Kini sudah tiba masanya ia menerima perubahan, sekurang-kurangnya untuk 3008. Malahan Peugeot Thailand telah pun mengesahkan ia bakal melancarkan model facelift SUV lima-tempat duduk ini pada 1 Oktober 2021. Seperti sebelum ini, kereta berkenaan diimport dari Malaysia, sekaligus mengekalkan hab pengeluaran Groupe PSA (kini Stellantis) di Asia walau pun Bermaz Auto Alliance telah pun mengambil alih tugas pengedarannya dari Naza.

    Buat masa ini, 3008 dan 5008 untuk Thailand dipasang di kilang sedia ada yang terletak di Gurun, Kedah, yang dipercayai masih menjadi sebahagian pemilikan oleh Naza. Malahan kami juga menjangka model yang menerima peningkatan ini juga akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Walau bagaimana pun, jangkaan perancangan awalnya terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi memandangkan kilang automotif dan bilik pameran telah kembali beroperasi, progres ke arah pelancarannya akan segera dilaksanakan.

    Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Wajah 3008 facelift baharu ini kelihatan lebih segar, dengan menampilkan gril “tanpa bingkai” yang dilunjurkan menghala ke lampu nyalaan siang LED menegak pada hujung sudutnya. Corong pengambilan udara juga diprofilkan semula, sementara lampu belakang LED “triple-claw” juga lebih nipis. Lencana 3008 juga ditambah pada bonet, sama seperti model terkini 508, 208 dan 2008.

    Di dalamnya, kelihatan grafik baharu untuk kluster instrumen digital 12.3-inci, serta skrin sesentuh infotainmen yang ukurannya dipertingkatkan sehingga 10 inci. Malah ia juga diberikan kemasan baharu dengan pilihan upholstery untuk menyerlahkan lagi kabin futuristik sedia ada itu.

    Peugeot 3008 facelift 2022 bakal tiba di Thai 1 Okt ini – diimport dari M’sia, juga akan dilancarkan di sini?

    Model facelift ini juga didatangkan dengan beberapa pilihan enjin – termasuk varian plug-in hybrid baharu – model untuk pasaran Thai (dan pasaran Malaysia) juga diberikan pilihan enjin yang sama dengan unit 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder petrol. Ia menghasilkan kuasa hingga 156 hp dan tork 240 Nm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan Aisin.

    Model yang lebih kecil, 2008, juga dijangka akan tiba selepas itu, dan ia pernah dirancang untuk dilancarkan di Malaysia pada November (dikhabarkan sebelum PKP di negara kita dilanjutkan).

    GALERI: Peugeot 3008 facelift

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024