Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV 7-seater flagship, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV 7-seater flagship, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Dalam barisan SUV terbaru yang dipertontonkan di Malaysia oleh Chery minggu ini, Chery Tiggo 8 Pro adalah yang paling besar dan mewah. Model flagship bagi Tiggo Pro ini turut hadir dalam versi “e+” plug-in hybrid, dan kedua-dua versi petrol dan PHEV ini ada dipamerkan.

    Jika Omoda 5 jadi pesaing kepada HR-V dan Tiggo 7 Pro pula dalam segmen yang sama dengan CR-V, boleh letakkan Tiggo 8 Pro ini sebagai lawan kepada Hyundai Santa Fe atau Mazda CX-8, dengan tiga barisan tempat duduk untuk tujuh penumpang.

    Model ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TGDi dengan janaan 254 hp dan 390 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi 7DCT. Ini enjin yang lebih berkuasa daripada dua pilihan yang ada; satu lagi adalah 1.6 liter TGDi yang boleh menghasilkan 194 hp/290 Nm yang juga digunakan untuk Omoda 5. AWD juga ditawarkan. Janaan enjin 2.0 liter itu agak tinggi: sebagai perbandingan, enjin 2.5 liter turbo Mazda menjana sebanyak 228 hp/420 Nm.

    Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV 7-seater flagship, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Model PHEV pula menggabungkan enjin 1.5 liter turbo dengan transmisi khusus hybrid (DHT) dan dua motor elektrik dengan janaan 241 hp dan 510 Nm. Chery mendakwa pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 8.2 saat, dengan jarak EV sepenuhnya 80 km.

    Apa yang lebih menarik, ada sembilan mod pengendalian untuk model ini — elektrik sepenuhnya dengan motor tunggal, elektrik sepenuhnya dengan dua motor, mod siri dan lanjutan jarak, pacuan enjin dan mod pemanduan selari. Lagi empat adalah berkaitan janaan semua tenaga — mod parkir dan cas, mod pemanduan dan cas, janaan semula tenaga brek motor tunggal dan janaan semula tenaga brek dua motor. Kami percaya, PHEV ini bertindak sama sahaja dengan PHEV yang lain, cuma Chery menerangkannya dengan cara berbeza.

    Papan pemuka Tiggo 8 Pro sama dengan Tiggo 7 Pro, dengan material lebih mahal digunakan di lebih banyak tempat. Kerusi mungkin yang paling ketara, dengan balutan kulit lebih lembut. Skrin kawalan pendingin juga berbeza antara keduanya — Tiggo 8 Pro dengan skrin berwarna.

    Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV 7-seater flagship, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Namun ada sedikit perubahan untuk papan pemuka PHEV: bukaan corong pendinginnya bersambung, dan panel instrumen bersambung dengan skrin infotainmen (lebar penuh 24.6 inci). Konsol tengah juga ada menempatkan panel sentuh bagi fungsi berkaitan hibrid dan pemilih 4WD — unit yang ditunjuk ini adalah dari pemanduan sebelah kiri.

    Dari segi kelengkapan, SUV flagship Chery ini menerima semua yang ada pada Tiggo 7, dan tambahan lainnya. Ini termasuk lampu LED penuh dengan teknologi Matrix, DRL LED, roda 18-inci, sunroof panoramik kuasa elektrik, panel instrumen digital 12.3-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar, kawalan pendingin dua zon, balutan kulit dua tona warna. Kerusi pemandu turut ada fungsi sokongan lumbar dan memori.

     
     
  • JPJ keluarkan 297 notis saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Sg Besi malam tadi

    JPJ keluarkan 297 notis saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Sg Besi malam tadi

    Malam tadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan satu operasi khas selama empat jam bermula 8 malam di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, dan dalam masa yang sama turut menjalankan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di lokasi yang sama.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, dalam operasi itu, sebanyak 2,282 kenderaan pelbagai jenis termasuk bas, van, kereta dan motosikal diperiksa dengan 152 kenderaan diambil tindakan termasuk empat kenderaan disita.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 297 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh yang merekodkan antara kesalahan tertinggi selain kesalahan tiada lesen memandu,” katanya.

    Selain JPJ, turut terbabit dalam operasi yang sama ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS).

    Zailani berkata, tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan utama yang kerap dilakukan pengguna jalan raya bagi semua jenis kenderaan.

    “Dalam kebanyakan kes yang kami terima, alasan pemandu kenderaan melakukan kesalahan itu adalah sama iaitu tidak sedar, atau tidak sempat untuk memperbaharui cukai jalan tamat tempoh.

    “Ini sekali gus akan menyusahkan ramai pihak sekiranya berlaku kemalangan terhadap kenderaan itu dan disebabkan itu kita perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan,” katanya.

    Dalam hubungan ini, JPJ turut menasihati pengguna dan pemilik kenderaan supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan seperti termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) terutamanya individu yang akan pulang ke kawasan masing-masing bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan dan kegagalan mematuhinya yang akan diambil tindakan termasuk penyitaan kenderaan dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” tambah Zailani lagi.

     
     
  • Proton Suprima S dari Malaysia diumum finalis Hot Wheels Legends Tour 2022; perlukan undian netizen!

    Proton Suprima S dari Malaysia diumum finalis Hot Wheels Legends Tour 2022; perlukan undian netizen!

    Rakyat Malaysia sekalian, ini ada satu peluang untuk kita lihat sebuah Proton dijelmakan secara rasmi sebagai kereta mainan skala 1/64 oleh Hotwheels yang bukan sahaja akan dijual di Malaysia malah seluruh dunia – ini dia, Proton Suprima S milik William Chong dari Nilai, Negeri Sembilan telah dipilih sebagai pemenang Hot Wheels Legends Tour Malaysia, sekaligus menjadi finalis mewakili negara untuk ke peringkat antarabangsa!

    Bagi memastikan impian kita semua tercapai, bantuan netizen Malaysia diperlukan untuk mengundi Suprima ini secara atas talian untuk peringkat akhir Hot Wheels Legends Tour 2022 rantau Asia Pasifik. Kereta yang menang untuk setiap rantau berpeluang bagi ditransformasikan menjadi kereta mainan Hot Wheels skala 1/64!

    Macam mana nak mengundi? Undian bermula esok (28 Oktober 2022) menerusi laman Instagram, atau lebih spesifik IG Stories yang boleh anda buat pada PAUTAN INI. Kita kalau bab netizen ni memang juara kan? Jadi untuk netizen Malaysia, tunjukkan kehandalan anda!

    Proton Suprima S ini menggunakan kit badan lebar rekaan pengeluar kit badan tempatan, JWide Bodykits, iaitu pengeluar yang sama menghasilkan kit badan lebar untuk Proton X50 sebelum ini. Ia digandingkan dengan rim Rays CE28 18-inci, dan badannya direndahkan juga dengan suspensi boleh laras keluaran tempatan, F-Tuned GT Series.

    Ia masih menggunakan enjin asal 1.6 liter CFE Turbo bersama kotak gear CVT, tetapi telah menerima pelbagai ubahsuai seperti sistem ekzos prestasi tinggi, talaan komputer menggunakan Racechip dan pelbagai lagi.

     
     
  • Harga minyak 27 Okt-2 Nov – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 27 Okt-2 Nov – Semuanya dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 27 Oktober hingga 2 November 2022, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 masih dikekalkan iaitu pada paras RM3.95 seliter. Ini merupakan minggu ketiga tiada perubahan pada harga runcit untuk RON 97.

    Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, turut masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya juga dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga yang diumumkan ini dilaksanakan mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 2 November 2022.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Yamaha Y16ZR tiba dalam warna baru untuk Malaysia

    Yamaha Y16ZR tiba dalam warna baru untuk Malaysia

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan Y16ZR akan ditawarkan dalam tiga warna baru, iaitu Glacier White, Phantom Neon dan Flaming Silver bermula esok di wakil pengedar sah mereka. Harga yang dikeluarkan adalah RM11,118 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Di antara tiga warna baru ini, Flaming Silver tampil lebih menyerlah dengan rim yang berwarna oren, sementara Glacier White dan Phantom Neon pula menggunakan rim hitam. Setiap pembelian Y16ZR juga datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek secara percuma.

    Bahagian lain motosikal ini tidak diubah, dan masih sama seperti waktu ia dilancarkan kali pertama untuk pasaran negara kita Mac 2021 lalu, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan VVA, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Lampu utama Y16ZR menggunakan jenis LED, sementara kemudahan berteknologi lain yang disediakan adalah termasuk sistem kunci pintar, butang kill switch, lampu memotong (pass light) serta meter digital LCD yang dapat memaparkan semua informasi dengan terang termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear.

    Kelengkapan lain pada Y16ZR adalah seperti brek cakera hadapan dan belakang (angkup dua piston pada roda hadapan), tangki bahan api 5.4 liter, tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang serta soket pengecas 12V.

     
     
  • Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Berita baik bagi mereka yang tidak dapat membeli Toyota GR Yaris tahun lalu, anda perlu bersedia kerana ‘abang’ kepada hot-hatch berkenaan iaitu GR Corolla dikhabarkan bakal ke ASEAN tidak lama lagi!

    Walau bagaimanapun, GR Corolla akan mendarat di pasaran Thailand terlebih dahulu – memetik dari sumber media yang dipercayai di Thailand, portal automotif Filipina iaitu Autoindustriya melaporkan bahawa GR Corolla mungkin akan dilancarkan ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2022 pada Disember nanti.

    Pelancaran GR Corolla itu juga serentak dengan sambutan ulang tahun ke-60 Toyota Thailand. Manakala laporan dari media Indonesia, Autonetmagz pula menyatakan bahawa presiden Toyota Akio Toyoda atau dikenali dengan nama samarannya ketika berlumba iaitu Morizo sendiri akan turun ke Thailand bagi melancarkan GR Corolla di sana.

    Tidak seperti GR Yaris yang dihasilkan secara terhad hanya 25,000 untuk pasaran seluruh dunia selari dengan peraturan homologasi Kejuaraan Rali Dunia (WRC) oleh FIA, Toyota tidak menetapkan sebarang had produksi untuk penghasilan GR Corolla. Walau bagaimanapun, hanya 10 unit model ini akan di bawa ke Thai bagi peringkat awal, lapor Autoindustriya.

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Sebelum ini Thailand hanya menerima 71-unit Toyota GR Yaris, berbanding pasaran Malaysia yang diperuntukkan sebanyak 127-unit (UMW Toyota sebelum itu hanya mengumumkan “kurang dari 200-unit”, kesemuanya habis dijual dalam masa tak sampai sebulan). Jadi mungkin ada peluang Malaysia sekali lagi mungkin akan menerima stok GR Corolla yang lebih banyak, walaupun dilancarkan lebih lambat.

    Toyota GR Corolla membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global pada 1 April di Amerika Syarikat kerana pasaran berkenaan tidak menerima sebarang stok GR Yaris. Walau bagaimanapun, GR Corolla masih diproduksi di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi, Jepun, sama dengan GR Yaris.

    Model ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

    Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu. Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

    Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Namun apa yang berbeza, GR Corolla turut diberikan mod “4WD” yang mengawal agihan desakan pemanduan, dan mod “Drive” yang mengawal respon pendikit dan stereng serta lain-lain aspek yang telah diasingkan bagi membolehkan talaan dibuat lebih spesifik mengikut kemahuan pemandu dan keadaan pemanduan yang lain.

    Di Amerika Syarikat, Toyota GR Corolla ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas GR Corolla Core dijual pada harga AS$ 35,900 (RM162k), diikuti GR Corolla Circuit Edition dijual pada harga AS$42,900 (RM193k). Manakala model paling hardcore GR Corolla Morizo Edition (lebih ringan, hanya dua tempat duduk, tork 400 Nm) dijual pada harga AS$49,000 (RM225k).

    Sebelum ini Toyota GR Yaris dijual oleh UMW Toyota di Malaysia hanya dalam satu varian (hadir dengan Performance Pack secara standard) dengan harga atas jalan tanpa insuran RM299,000. Agak-agak berapa pula harga jualan untuk Toyota GR Corolla ini sekiranya ia dijual di sini secara rasmi kelak?

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Selain model Chery Omoda 5, ada beberapa lagi model lain yang dipertontonkan oleh jenama itu sebagai menandakan kembalinya mereka ke pasaran Malaysia secara rasmi. Antaranya barisan model SUV Tiggo: ada tiga model berlainan yang ditunjuk, tetapi untuk artikel ini kita akan memberi tumpuan kepada Tiggo 7 Pro.

    Merupakan SUV dalam segmen C, Tiggo 7 dibangun menggunakan platform Chery T1X dan mempunyai ukuran dimensi 4,500 mm panjang dan jarak antara roda 2,670 mm. Ini saiz yang hampir sama dengan SUV Geely Boyue (Proton X70), yang mempunyai 4,519 mm panjang dan jarak antara roda yang sama, 2,670 mm. Tiggo 7 — dengan lima tempat duduk — menyediakan ruang but seluas 475 liter, atau hingga 1,500 liter dengan kerusi belakang dilipat.

    Reka bentuk Tiggo 7 cukup segak: ia langsung lari jauh daripada Tiggo lama yang pernah dijual di Malaysia lama dahulu. Wajah depan misalnya nampak sangat kekinian, dengan gril hexagon dan corak jaringan rinci mutiara, lampu LED nipis dan DRL bentuk T dan perumah lampu kabus.

    Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Dari sisi, tiang D hitam mengingatkan kita terhadap SUV X70, dengan garis bahu yang nampak lebih menonjol. Di belakang, Tiggo 7 Pro menerima jalur LED melintang penuh dengan tulisan Chery di atas. Bahagian ini juga nampak kosong tetapi elegan, seperti yang pernah dilihat pada Volvo XC40.

    Unit pamer ini menggunakan rim 18-inci dua-tona, lengkap dengan tayar 225/60. Sebagai kontras kepada warna badan, angkup brek depan dan belakang dihadirkan dalam warna merah, serta lencana T merah di sayap depan.

    Papan pemuka Tiggo 7 Pro menerapkan rekaan hampir sama dengan model lain dalam barisannya, menampilkan rekaan utama yang tirus dan melintang dengan konsol tengah yang tinggi. Bahagian ini juga nampak kemas dengan sentuhan rekaan kontemporari yang cantik. Corong pendingin pula tidak ketara tersambung, tetapi ada kemasan kulit dengan jahitan untuk memberikan kesan premium.

    Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Seperti juga Tiggo 8 Pro, terdapat tiga skrin, termasuk panel instrumen digital dan untuk infotainmen dengan Apple CarPlay, Android Auto dan peninjau sekeliling 360-darjah. Di bawahnya pula ada skrin monokrom untuk kawalan pendingin dua-zon (dengan penapis N95) dengan butang sentuhan. Untuk Tiggo 8 Pro, panel skrin pendingin ini berwarna.

    Lebih menarik, terdapat kawalan fizikal untuk kelajuan kipas dan suhu di kedua-dua sisi tuil gear. Untuk ciri kawalan fungsi yang kerap digunakan seperti ini, ia memang tidak sepatutnya tersorok dalam fungsi kendalian skrin sentuh.

    Kerusinya, dengan larasan enam-arah untuk pemandu — dibalut oleh kulit hitam dengan jahitan kontras. Kawalan suara, pengecas tanpa wayar dan pilihan lampu suasana juga tersedia. Juga berada dalam senarai kelengkapannya ialah bumbung sunroof panoramik kaca, pintu ruang kargo kuasa elektrik dan set ADAS lengkap dengan enam beg udara.

    Unit yang dilihat ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter empat-silinder turbo, yang menjana sebanyak 147 PS pada 5,500 rpm dan 210 Nm tork antara 1,750 dan 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui CVT dengan sembilan nisbah maya. Sama juga seperti Omoda 5, unit enjin 1.6L turbo dengan transmisi 7DCT juga boleh dipilih, serta ciri AWD juga. Apa pun, senarai kelengkapan ini belum tentu ditawarkan untuk pasaran Malaysia bila ia dilancarkan nanti — perancangan masih dibuat untuk ini.

    Apa pandangan anda tentang Chery Tiggo 7 Pro ini? Nampak molek luar dan dalam? Dari segi kelengkapan dengan reka bentuk, nampak menarik dan moden, tetapi berapa pula harga jualannya nanti? Ini kelak akan menjadi model pesaing terbaru bagi Honda CR-V dan Mazda CX-5. Jadi, harganya perlu lebih rendah daripada dua model tersebut. Dan, jangan dilupa ada Proton X70 juga.

     
     
  • KTM RC390 2022 dilancar untuk Malaysia – RM33,800

    KTM RC390 2022 dilancar untuk Malaysia – RM33,800

    KTM RC390 2022, yang diperkenalkan pertama kali kepada dunia hujung tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia, pada harga RM33,800. Peningkatan harga yang ketara bagi model ini adalah disebabkan ia sekarang diimport sepenuhnya (CBU), sementara sebelum ini RC390 dipasang di dalam negara (CKD) dan dijual pada harga bawah RM30k.

    Enjin model sports kelas permulaan ini masih lagi sama, iaitu unit satu silinder 373 cc DOHC, tetapi ia telah diberikan peningkatan untuk menepati tahap emisi Euro 5 serta mendapat kotak angin 40% lebih besar, pemetaan enjin yang ditala semula, lebih tork dan maklum balas yang lebih baik melalui pendikit ride-by-wire padanya.

    Turut dipasang adalah sistem ekzos baru yang menggabungkan manifold stainless steel serta peredam bunyi aluminium yang lebih ringan berbanding sebelum ini. Dari enjin, kuasa maksimum sehingga 43 hp dan 37 Nm disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper. Quickshifter untuk penukaran gear lebih pantas dijual secara berasingan.

    KTM RC390 2022 dilancar untuk Malaysia – RM33,800

    Pada bahagian elektronik, modul ABS Bosch 9.1 MP baru dipasang pada RC390, untuk memberikan bukan sahaja ABS two-channel, tetapi juga Cornering ABS dan mod Supermoto. Apabila mod Supermoto diaktifkan, ABS belakang dan Cornering ABS ditutup.

    Panel instrumen RC390 kini mengikuti Duke 390, dengan menggunakan skrin TFT-LCD berwarna penuh, dan boleh disambungkan kepada telefon pengguna untuk menerima/menjawab panggilan serta memainkan lagu. Semua lampu pada model ini menggunakan unit LED sementara lampu hadapan dilengkapi DRL.

    Panel badan RC390 mendapat banyak inspirasi daripada jentera GP16 yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP, dengan ciri aerodinamik serta pengurusan angin untuk membantu sistem penyejukan diambil penting waktu pembangunan.

    Ciri ergonomik motosikal ini turut dirujuk semula, dengan kini ia menggunakan pemegang yang boleh dilaras sebanyak 10 mm, geometri peletak kaki yang lebih baik untuk membelasah selekoh dan lebih ringan, serta tempat duduk yang lebih selesa dan dibalut dengan bahan yang lebih mencengkam.

    Pada bahagian suspensi, RC390 mendapat fork WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan serta lantunan sementara di belakang menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban. Brek menggunakan cakera 320 mm tunggal dengan angkup Bybre empat piston di hadapan dan cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Rim RC390 kini dapat memberikan berat putaran 3.4 kg lebih ringan, dan ia dibalut dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Secara keseluruhannya, RC390 mencatat berat 158 kg dan ia didatangkan dengan tangki minyak 13.7 liter.

     
     
  • KTM RC8C 2023 didedah- 200 unit sahaja, RM187k

    KTM RC8C 2023 didedah- 200 unit sahaja, RM187k

    KTM telah memperkenalkan RC8C 2023, iaitu sebuah model yang dibuat khas untuk kegunaan litar, dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja. Model generasi kedua ini datang dengan berat yang lebih ringan, sistem elektronik dipertingkat serta enjin LC8c yang dinaik taraf.

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin dua silinder selari 889 cc ini bertambah 7 hp, menjadi 135 hp pada 11,000 rpm dan 98 Nm tork pada 8,250 rpm, hasil daripada penggunaan connecting rod titanium, nisbah mampatan yang lebih tinggi, piston two-ring, throttle body lebih besar serta tekanan pam bahan api yang dipertingkat.

    Mencatat berat cuma 142 kg, RC8C dibina atas cais khas perlumbaan dan datang dengan sistem ekzos lengkap Akrapovic titanium. Ia kemudiannya dipadankan bersama sistem suspensi WP Pro, brek Brembo spesifikasi lumba serta rim forged Dymag.

    Sistem elektronik lengkap pada motosikal ini menyediakan fungsi kawalan cengkaman, pemetaan enjin serta engine braking yang boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggang. Beberapa bahagian lain seperti steering head, triple clamp, serta maklum balas pendikit dan brek juga boleh dilaras.

    Membantu penggunaan motosikal ini di dalam trek adalah pencatat masa dan data logger, melalui panel paparan AIM serta butang kawalan inspirasi daripada jentera lumba RC16 MotoGP. Penukar gear RC8C datang terus dalam tetapan GP, dan dilengkapi dengan quickshifter (naik dan turun).

    Komponen lain yang dipasang pada RC8C adalah termasuk fender gentian karbon, tayar slick Pirelli Diablo serta penyejuk minyak tambahan. Tempahan awal untuk RC8C akan dibuka esok dengan bayaran awal 2,600 USD (RM12,287), sementara harga penuh motosikal disiarkan pada 39,599 USD (RM187,144).

     
     
  • Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Seperti yang dilaporkan semalam, jenama Chery kini kembali ke Malaysia dengan syarikat pengedar dan pengurusan baru. Turut diadakan adalah sebuah acara rasmi untuk tujuan berkenaan, serta sesi pratonton beberapa model terbaru Chery yang khabarnya bakal memasuki pasaran Malaysia kelak.

    Jika sebelum ini, Chery untuk pasaran tempatan mungkin lebih dikenali dengan model seperti kereta kompak QQ dan juga MPV Eastar, kini tumpuannya adalah terhadap SUV. Antara model yang disasarkan untuk dibawa masuk ke sini ialah barisan SUV Tiggo Pro (4, 7 dan 8) serta SUV yang paling baru dan menawan, Omoda 5.

    Omoda 5 merupakan SUV segmen B yang saiznya hampir sama dengan Honda HR-V dan Proton X50. Ukuran dimensinya adalah 4,400 mm panjang dan 1,830 mm lebar: ia 15 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V terkini. Dengan ketinggian 1,585 mm, Omoda 5 adalah 5 mm lebih rendah berbanding HR-V, manakala jarak antara roda 2,630 mm pula adalah 20 mm lebih panjang.

    Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Di China, Omoda 5 datang dengan tujuh varian, termasuk beberapa dengan gandingan enjin 1.6 liter TGDI dan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan dan AWD. Unit dengan janaan 194 hp/290 Nm itu boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Ada juga enjin lebih kecil, 1.5 liter TCI dengan 9CVT 2WD yang menjana 154 hp/230 Nm. Kereta yang anda lihat ini menggunakan padanan tersebut — tertera “230” pada lencana di belakang, angka untuk janaan torknya.

    Omoda 5 juga ada didatangkan dalam versi tenaga baru/elektrifikasi untuk pasaran di sana, misalnya pada model plug-in hybrid untuk Tiggo 8 Pro e+. Chery juga ada perancangan untuk menjadikan model ini elektrik sepenuhnya, dengan bateri 64 kWh dan 450 km jarak perjalanan. Lebih dekat dengan penggunaan di Malaysia, terutamanya sebagai penawaran pertamanya di sini adalah unit 1.6T enjin petrol biasa.

    Tarikan utamanya tentulah rekaan yang ditampilkan, sebagai sebuah crossover fastback yang futuristik, dengan pendekatan rekaan yang dikenali sebagai Art in Motion. Mirip sentuhan dari Hyundai dan Lexus RX mungkin juga dapat dikesan pada Omoda 5 ini. Dari segi rekaannya, ini sebuah penyataan besar yang dilakukan oleh Chery bagi SUV segmen berkenaan.

    Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Di dalam kabin, sentuhan futuristik diteruskan. Rekaan kerusi sporty dengan perehat kepala bersepadu, manakala rekaan papan pemuka pula moden dan ringkas. Paparan skrin digital pula ala Mercedes-Benz, dengan skrin berkembar 20.5-inci, dan tak lupa corong pendingin yang nampak kontemporari.

    Stereng yang rata di bawah dengan tulisan Chery disertai juga oleh konsol tengah yang tinggi, dengan ruang bukaan di bawah tombol gear yang juga bertindak sebagai ruang simpanan. Sudut ruang berkenaan membolehkan telefon ditegakkan dan mudah dilihat. Terdapat juga 64 warna lampu suasana yang mengikut rentak muzik yang dimainkan. Kedudukan lampu juga disorok di tempat yang terselindung, menampkan sentuhan elegan untuk SUV ini.

    Senarai ciri dan kelengkapan juga banyak: kawalan suara, Android Auto dan Apple CarPlay, kamera keliling, ciri lengkap keselamatan ADAS dengan enam beg udara dan banyak lagi. Ciri premium lain seperti sunroof juga ada. Untuk pembesar suaranya, terlihat ada jenama Sony. Jadi, apa pandangan anda tentang model ini? Jika Honda HR-V Turbo V dijual pada harga RM134,000 manakala versi paling mahalnya RS Hybrid pada harga RM140,000, berapa harga yang masuk akal untuk Omoda 5 bersaing di sini?

    Bagaimanapun, spesifikasi Omoda 5 yang dilihat ini tidak mencerminkan setepatnya penawaran yang bakal ada di Malaysia kelak. Dan, belum ada sebarang tarikh didedahkan untuk pelancarannya di sini.

     
     
  • Ni Hsin EV bawa motosikal elektrik Ebixon ke Malaysia – mula dipasang bulan November, jual tahun hadapan

    Ni Hsin EV bawa motosikal elektrik Ebixon ke Malaysia – mula dipasang bulan November, jual tahun hadapan

    Sebuah syarikat yang baru masuk ke dalam pasaran kenderaan elektrik Malaysia, iaitu Ni Hsin EV Tech (NHEV), kini telah menerima Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dua model motosikal elektrik Ni Hsin Ebixon iaitu TailG Bold dan TailG Torque.

    Pemasangan dua model ini dalam negara (CKD) akan dimulakan pada bulan November ini di kilang syarikat di Seri Kembangan, Selangor, sementara produk akhir dirancang akan diperkenalkan kepada pasaran awal tahun 2023. NHEV juga telah mengadakan perjanjian dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co dari China untuk penghantaran komponen, alat ganti serta perisian, manakala pemasangan, kawalan kualiti dan pentauliahan dijalankan di dalam negara.

    Dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan, pengarah urusan NHEV, Khoo Chee Keong memberitahu bahawa syarikat meletakkan sasaran penjualan 50,000 e-bike di Malaysia dan ASEAN dalam masa tiga tahun akan datang. “Motosikal elektrik EBixon kami mempunyai sistem dua bateri yang boleh ditukar, menawarkan jarak gerak sehingga 200 km,” kata Khoo.

    Ni Hsin EV bawa motosikal elektrik Ebixon ke Malaysia – mula dipasang bulan November, jual tahun hadapan

    Khoo juga menambah bahawa e-bike Ebixon direka untuk dijual pada harga yang sama seperti motosikal enjin pembakaran dalaman biasa, tetapi mempunyai kos penjagaan 70% lebih rendah. “Baterinya boleh disambungkan kepada soket di rumah untuk dicas, atau ditukar di stesen bateri,” kata Khoo.

    Sementara perincian motosikal elektrik Ebixon ini masih belum dikeluarkan, sumber kami memberitahu model yang akan dibawa ke Malaysia nanti besar kemungkinan adalah daripada barisan TailG dan mendapat kelulusan EC.

     
     
  • Honda Accord 2023 – teaser model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

    Honda Accord 2023 – teaser model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

    Honda telah menyiarkan imej teaser rasmi pertama untuk Honda Accord generasi ke-11, yang bakal didedahkan sepenuhnya pada bulan November nanti. Model ini bakal menggantikan model generasi ke-10 yang telahpun diperkenalkan sejak 2017, dan menerima facelift pada 2020.

    Honda mendedahkan beberapa bahagian penting pada Accord 2023 ini, termasuk bahagian muka, belakang, skrin infotainmen dan sedikit rupa pada papan pemuka. Dapat dilihat, muka dan bahagian belakang yang didedahkan berkenaan adalah seiras dengan imej paten Accord 2023 yang tersebar sebelum ini.

    Tiada lagi rekaan Solid Wing pada model generasi ke-11 ini, dan ia menerima gril hadapan besar berbentuk heksagon, seakan mendapat inspirasi dari gril model-model Acura yang lebih mewah. Gril berkenaan diapit dengan lampu hadapan yang tirus, dan turut menampilkan jalur lampu nyalaan siang LED. Apron hadapan ini dilengkapkan dengan kemasan liang ambilan udara sebelah bawah yang direka lebar merentangi keseluruhan bampar.

    Honda Accord 2023 – teaser model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

    Di belakang, tiada lagi lampu berbentuk ‘stapler’ seperti model sedia ada, dan ia digantikan dengan rekaan lampu nipis yang lebih ringkas bersama bar yang merentangi penutup but, memberikan ‘perisa’ sebuah sedan Eropah. Berdasarkan imej paten tempoh hari, Accord generasi ke-11 ini masih diberikan bentuk badan ala-fastback.

    Beberapa perincian ringkas didedahkan bersama imej-imej teaser ini. Antaranya Honda menyatakan bahawa Accord ini diberikan skrin sesentuh bersaiz 12.3-inci – paling besar pernah ditawarkan pada sebuah Honda – dan ia dihubungkan kepada sistem infotainmen yang berintegrasi dengan servis-servis terhubung Google.

    Perkara ini sebenarnya telah dilaporkan sebelum ini di mana pada September lalu Honda telah mengesahkan bahawa ia akan menggunakan OS Android Automotive yang dibangunkan oleh Google untuk model-model baharunya. Antara servis-servis yang dijangka terkandung dalam sistem berkenaan termasuk Google Assistant, Google Maps dan aplikasi dalam-kenderaan lain seperti apa yang ditawarkan oleh Volvo.

    Selain dari skrin, bahagian konsol tengah Accord 2023 ini juga sedikit terdedah. Ia nampaknya diberikan rekaan ringkas dan menampilkan liang penghawa dingin yang nipis dan lebar, mungkin merentangi sepenuhnya papan pemuka seperti Civic. Tiada lagi kawalan penghawa dingin digital menerusi skrin, dan ia sudah diganti semula dengan suis-suis putar analog yang lebih mudah digunakan.

    Bagi pasaran Amerika Syarikat, varian Touring untuk Accord 2023 ini boleh dipilih dalam versi Hybrid. Untuk Accord Touring Hybrid sebelum ini, ia menerima unit rangkaian kuasa menggandingkan enjin petrol 2.0 liter kitaran Atkinson, transmisi E-CVT dan juga motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp/315 Nm. Model generasi baharu ini mungkin menerima padanan yang sama tetapi lebih diperhalusi.

    Perincian lebih lanjut bakal kita ketahui apabila Honda mendedahkan sepenuhnya Accord generasi ke-11 ini bulan depan. Buat masa sekarang bagaimana? Anda rasa Accord ini lebih handsome dari model generasi ke-10 atau sebaliknya?

    GALERI: Imej paten Honda Accord 2023

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat JVT dan DEP bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JVT, bakal dibuka bidaan mulai esok, 27 Oktober 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 31 Oktober ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 1 November 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan pula, DEP, bidaannya bakal dibuka bermula 12 November dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 November 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 November ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Litar Antarabangsa Sepang rancang pasang pengecas pantas DC untuk EV, dijangka akan siap akhir tahun ini

    Litar Antarabangsa Sepang  rancang pasang pengecas pantas DC untuk EV, dijangka akan siap akhir tahun ini

    Sejajar dengan halatuju Petronas yang kini melihat ke arah tenaga baharu, pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) merancang untuk memasang pengecas pantas DC untuk kegunaan kenderaan elektrik (EV) di litar berkenaan.

    “Ya, SIC ada rancangan untuk mengimplementasikan pengecas EV untuk digunakan di litar,” kata CEO SIC, Azhan Shafriman Hanif kepada media tempatan selepas berlangsungnya perlumbaan motoGP Petronas Malaysian Grand Prix 2022.

    “Ini untuk menjadikan Sepang mesra alam dan menggalakkan pemilik EV untuk menggunakan litar dan fasiliti di Sepang, sebagai contoh adalah Porsche Taycan,” jelasnya lagi.

    “Buat masa sekarang masalah paling besar kami adalah sub-stesen elektrik yang membekalkan kuasa kepada SIC. Ia tidak cukup kapasiti untuk menyokong penambahan pengecas pantas EV,” kata Shafriman. “Tetapi kami telah berhubung dengan rakan-rakan kerjasama kami dan berharap dapat melihat pengecas EV di litar tidak lama lagi, harap-harapnya tahun ini,” tambah beliau lagi

     
     
  • Petron dengan kerjasama PDRM anjur program Go-To-Safety-Point demi keselamatan masyarakat setempat

    Petron dengan kerjasama PDRM anjur program Go-To-Safety-Point demi keselamatan masyarakat setempat

    Demi membuktikan komitmen syarikat terhadap keselamatan masyarakat, Petron telah menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi program Go-To-Safety-Point (GTSP). Diketuai oleh PDRM, Program GTSP ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah “United Against Crime” yang bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

    Program ini meningkatkan kehadiran polis di stesen Petron dan panggilan yang dibuat dari stesen Petron menerima respon yang lebih cepat, menjadikan stesen itu tempat perlindungan yang selamat untuk orang ramai sewaktu berada dalam situasi kecemasan.

    Pelancaran program ini disempurnakan bersama PDRM kontinjen Sabah dengan melakukan simulasi situasi kecemasan di Petron Minintod, Sabah pada 20 Oktober lalu. Ia dilancarkan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Jauteh Dikun yang mensimulasikan situasi kecemasan. Latihan itu juga berfungsi sebagai latihan nyata kakitangan stesen untuk mempraktikkan pengetahuan mereka apabila berhadapan dengan situasi yang sama pada masa hadapan.

    Petron dengan kerjasama PDRM anjur program Go-To-Safety-Point demi keselamatan masyarakat setempat

    Aspek GTSP yang dipamerkan termasuklah penggunaan sudut ‘de-stress’ yang menyediakan ruang selesa untuk orang ramai mendapatkan perlindungan, bantuan awal dan untuk bertenang. Sudut tersebut dilengkapi dengan peti pertolongan cemas, kerusi, selimut dan papan maklumat keselamatan yang mengandungi nombor telefon kecemasan.

    “Program GTSP ini merupakan salah satu cara Petron menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Kami ingin meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap program GTSP dan ingin orang awam menjadikan Petron sebagai lokasi selamat dimana mereka boleh mendapatkan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan.

    “Kerjasama kami bersama PDRM ini memberi peluang untuk kami menyumbang semula kepada masyarakat,” kata Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron.

    Petron Malaysia merupakan syarikat minyak pertama yang menguatkuasakan GTSP di stesen-stesen servis. Sejak 2013, semua stesen servis Petron di seluruh negara telah sedia GTSP dan mempunyai pelekat tingkap GTSP telah ditampal pada dinding kaca stesen tersebut.

    Kakitangan stesen servis Petron menerima latihan berkala yang dianjurkan oleh Petron bersama PDRM. Latihan berkala ini adalah untuk memastikan bantuan yang diberikan oleh kakitangan stesen servis sentiasa dikemas kini dan sedia dengan secukupnya untuk menghadapi situasi kecemasan.

    Selain itu, pada September lalu, Petron turut melancarkan 10 reka bentuk mural dan poster keselamatan menggunakan peribahasa Melayu untuk menyampaikan mesej keselamatan kepada orang ramai, di Petron Nilai Impian yang menjadi sebahagiaan daripada program GTSP ini. Ia turut menyokong aspirasi kelestarian sosial Petron tentang penglibatan masyarakat, juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG) 17, perkongsian untuk matlamat tersebut.

     
     
  • Volvo XC40 facelift tiba di Malaysia – hibrid ringkas B5 dan PHEV T5 Recharge dijual pada harga RM269k

    Volvo XC40 facelift tiba di Malaysia – hibrid ringkas B5 dan PHEV T5 Recharge dijual pada harga RM269k

    Volvo XC40 facelift 2023 kini telah pun mula dijual di Malaysia, dalam versi hibrid ringkas B5 dan plug-in hybrid T5 Recharge. Kedua-duanya ditawarkan dalam satu kemasan sahaja, iaitu Ultimate, dan dijual pada harga sama RM268,888 tidak termasuk insurans.

    XC40 B5 Ultimate dipacu oleh enjin petrol empat silinder turbo 1,969 cc, menghasilkan 263 hp pada 5,500 rpm dan tork 390 Nm dari 1,800 rpm hingga 4,800 rpm, untuk dihantar ke semua empat tayar melalui transmisi automatik Geartronic lapan kelajuan. Pecutan 0-100 km/j mampu dilakukan dalam masa 7.6 saat.

    XC40 T5 Recharge pula digerakkan oleh enjin petrol tiga silinder 1,477 cc turbo, menghasilkan 262 hp pada 5,800 rpm dan tork 425 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda hadapan melalui transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

    Volvo XC40 facelift tiba di Malaysia – hibrid ringkas B5 dan PHEV T5 Recharge dijual pada harga RM269k

    Tangki bahan api T5 Recharge adalah sedikit kecil, iaitu 48 liter (B5 Ultimate 54 liter), dan ia boleh mencatat jarak gerak menggunakan elektrik sejauh 44 km. Saiz rim kedua-dua versi XC40 facelift ini adalah sama, iaitu 19 inci, dan ia juga dipasang dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Berkenaan pakej keselamatan aktif, kedua-dua varian datang dengan pakej City Safety, yang memberikan Collision Avoidance and Mitigation, serta pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan binatang. Kedua-duanya juga mendapat Adaptive Cruise Control, Pilot Assist System dan kamera 360 darjah.

    Selain daripada itu, dua varian XC40 facelift ini juga dilengkapi Front and Rear Collision Warning and Mitigation, Lane Keeping Assist, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Snformation with Steer Assist serta Cross Traffic Alert. Untuk sistem keselamatan pasif pula, XC40 facelift ini dilengkapi beg udara hadapan dua tahap, beg udara kaki, beg udara tepi dua bahagian serta sistem perlindungan impak tepi.

    Infotainmen menggunakan skrin sesentuh berwarna sembilan inci, dengan sistem operasi Android, 14 pembesar suara 600 watt Harman Kardon dan sambungan Bluetooth. Sistem ini juga boleh digunakan dengan Google Assistant, Google Maps, Google Play Store, fungsi kawalan jauh Volvo Car App dan data untuk empat tahun.

    Kedua-dua varian XC40 B5 Ultimate dan T5 Recharge ini menggunakan balutan gabungan suede dan Microtech berwarna Charcoal di dalam, sementara luaran pula ditawarkan dalam warna Fjord Blue, Black Stone, Crystal White, Thunder Grey dan Silver Dawn. Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan.

    GALERI:Volvo XC40 facelift pasaran Eropah

    GALERI:Volvo XC40 facelift Recharge PHEV pasaran Eropah

     
     
  • QJMotor SRV250, SRK250 dan SRK250RR tiba di M’sia – enjin 249 cc EFI dua silinder, harga dari RM16,888

    QJMotor SRV250, SRK250 dan SRK250RR tiba di M’sia – enjin 249 cc EFI dua silinder, harga dari RM16,888

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal jenama QJMotor di Malaysia telah melancarkan tiga model baru untuk pasaran, iaitu SRV250, SRK250 dan SRK250RR, dengan harga masing-masing RM16,888 untuk cruiser SRV250 dan naked SRK250, sementara SRK250RR yang berbentuk sports pula RM18,888. Harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Kedua-dua SRK250 dan SRK250RR digerakkan oleh enjin sama, iaitu unit dua silinder selari 249 cc, lapan injap, dengan sistem pembakaran bahan api elektronik (EFI), penyejukan cecair serta DOHC, dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan berserta klac jenis slip & assist.

    Namun, jumlah kuasa yang dihasilkan antara dua model ini adalah berbeza, di mana model naked mampu mengeluarkan 31.5 hp pada 11,000 rpm dan tork 21.2 Nm pada 9,000 rpm, sementara model sports menghasilkan 25 hp pada 8,500 rpm dan 24.1 Nm pada 6,500rpm.

    SRV250 pula dipacu oleh oleh enjin v-twin 249 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 27.5 hp pada 9,000 rpm dan tork 23.0 Nm pada 7,000rpm. Untuk suspensi, model cruiser ini menggunakan padanan fork USD di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, sementara rim pula menggunakan kombinasi saiz 16 inci di hadapan dan 15 inci di belakang.

    Tangki bahan api SRV250 meneydiakan kapasiti 13.5 liter, dan perincian lainnya adalah seperti brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, berat keseluruhan 163 kg dan tinggi tempat duduk 700 mm.

    Pergi kembali kepada SRK250 dan SRK250RR, antara kelengkapan lainnya adalah termasuk fork USD di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera depan (SRK250RR mempunyai tetapan cakera berkembar) dan belakang dengan ABS, rim 17 inci serta tangki bahan api 14 liter. Semua motosikal QJMotor ini didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: QJMotor SRK250

    GALERI: QJMotor SRK250RR

    GALERI: QJMotor SRV250

     
     
  • Honda Civic Type R FL5 bakal tiba di ASEAN; Vietnam dapat dulu, bakal dilancarkan esok di VMS 2022!

    Honda Civic Type R FL5 bakal tiba di ASEAN; Vietnam dapat dulu, bakal dilancarkan esok di VMS 2022!

    Laman automotif dari Vietnam, Autopro melaporkan bahawa Honda bakal melancarkan hot-hatch generasi baharu Honda Civic Type R di negara berkenaan ketika berlangsungnya Vietnam Motor Show (VMS) 2022 yang bakal bermula esok, 26 Oktober. Ini bermakna Vietnam merupakan negara pertama di pasaran Asia Tenggara menerima model tersebut, dan berkemungkinan besar ia turut akan dijual di pasaran ASEAN yang lain termasuk Malaysia.

    Portal itu turut menyatakan bahawa Honda Civic Type R generasi FL5 ini terus akan dijual selepas dilancarkan, dan pelanggan pertama yang membelinya akan menerima unit mereka selepas VMS 2022 berakhir pada 30 Oktober 2022. Ia dijangka akan dijual di Vietnam pada harga di bawah 2 billion Dong (RM382k).

    Tidak seperti Civic Type R FK2 dan FK8 sebelum ini yang dikilangkan di Swindon, United Kingdom, Civic Type R FL5 kembali dihasilkan semula di Jepun. Ini kerana dengan langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik, kilang Honda di Swindon berkenaan terpaksa ditutup tahun lalu.

    Honda Civic Type R FL5 ini telah didedahkan di Amerika Syarikat dan Jepun pada Julai lalu. Ia diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback dan masih dijana oleh enjin K20 2.0 liter VTEC Turbo, tetapi kali ini menjana kuasa lebih besar iaitu 330 PS (326 hp) pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm, berbanding 320 PS (316 hp) dan tork 400 Nm pada FK8.

    Ini menjadikan Civic Type R FL5 ini sebagai Type R paling berkuasa pernah dihasilkan, dan ia masih menyajikan resipi tradisi Type R – hanya memacu roda hadapan dengan pilihan tunggal kotak gear manual enam-kelajuan yang dilengkapi LSD jenis helical.

    Sebelum ini Honda Malaysia pernah membawa dua model Civic Type R secara rasmi ke pasaran tempatan iaitu model FD2R pada tahun 2007 dengan harga RM199,800, diikuti FK8R pada tahun 2017 dijual pada harga RM320,000. Agak-agak bila FL5 ini akan sampai ke Malaysia? Berapa pula harga jualannya nanti?

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • Toyota bZ3 2023 didedah di China – sedan EV dengan jarak hingga 600 km, 245 PS; pesaing Tesla Model 3

    Toyota bZ3 2023 didedah di China – sedan EV dengan jarak hingga 600 km, 245 PS; pesaing Tesla Model 3

    Toyota telah mendedahkan bZ3 baharu, yang merupakan model kedua bagi barisan bZ untuk kenderaan elektrik selepas bZ4X. Dibangunkan untuk pasaran China, bZ3 ini adalah hasil kerjasama antara Toyota, syarikat BYD dan FAW Toyota Motor yang bertanggungjawab dalam penghasilan dan pengedaran EV ini di China.

    Dibangunkan dengan platform Toyota e-TNGA dan dipadankan bersama bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) keluaran BYD, bZ3 ini menawarkan jarak sehingga 600 km berdasarkan China Light-Duty Vehicle Test Cycle (CLTC).

    Toyota masih belum mendedahkan perincian mengenai baterinya, tetapi menyatakan bahawa struktur bateri, penyejukan, kawalan dan sistem pemantauan keselamatan adalah rekaan serba baharu untuk EV. Ia diolah untuk mengurangkan kemerosotan bateri, menjamin kapasiti hingga 90% walau selepas penggunaan dalam tempoh 10 tahun secara purata. Memandangkan EV ini akan dijual di China, ia menggunakan penyambung pengecasan GB/T yang khusus untuk pasaran sana.

    Menurut media China, bZ3 ini menampilkan motor elektrik TZ200-XS002 bersumberkan BYD yang ditempatkan pada gandar hadapan yang menawarkan sama ada 245 PS (241 hp atau 180 kW) atau 184 PS (181 hp atau 135 kW). Tiada butiran mengenai masa pecutan atau kelajuan maksimum didedahkan, namun dijangkakan angka yang bakal didedahkan adalah munasabah.

    Toyota bZ3 2023 didedah di China – sedan EV dengan jarak hingga 600 km, 245 PS; pesaing Tesla Model 3

    Bagi rekaannya, EV baharu Toyota ini menerima imej hadapan ibarat-jerung hammerhead sama seperti bZ4X yang dipadankan dengan badan fastback dengan alunan yang menonjol di sepanjang sisinya. Walaupun ia mungkin diklasifikasikan sebagai sedan oleh pengeluarnya, namun jelas kelihatan lapisan gerbang roda yang halus.

    Untuk bahagian belakangnya, bZ3 nampak lebih bergaya dengan lampu yang dihiasi signatur lampu geometrik. Klusternya pula disambungkan dengan kepingan kemasan sepanjang boot lid, yang ditempatkan di bawah logo Toyota.

    Selain itu, bampar belakangnya pula dilunjurkan ke atas dengan plat nombor, bercantum bersama panel hitam besar yang melancarkan aliran udara. Ia bekerjasama dengan air guide, air curtain, pemegang pintu ke dalam dan roda alumnium aero, di mana EV ini didakwa mampu memberikan aerodinamik terbaik dalam kelasnya dengan nilai pekali seretan hanya 0.218.

    bZ3 ini dijangka mampu memberikan saingan terhadap Tesla Model 3 dan jika dibandingkan ia sedikit panjang dan tinggi. Di mana EV Toyota ini memiliki ukuran 4,725 mm panjang (+31 mm berbanding Model 3), 1,835 mm lebar (-14 mm) dan 1,475 mm tinggi (+32 mm). Untuk makluman, bZ4X juga mempunyai jarak keseluruhan lebih pendek berbanding bZ3, dengan 4,690 mm panjang. Crossover ini lebih lebar (1,860 mm) dan lebih tinggi (1,650 mm).

    Bagi jarak rodanya, bZ3 berukuran 2,880 mm (2,875 mm untuk Model 3 dan 2,850 mm bagi bZ4X) untuk memuatkan lima orang penumpang di dalam kabinnya. Konsep dalamnya pula digambarkan sebagai ‘Family Lounge’ dan kelihatan beberapa ciri yang dipengaruhi dari model pertama bZ, termasuk papan pemuka minimalis yang besar dan kluster instrumen digital yang diletakkan di atas papan pemukanya.

    bZ3 juga menampilkan ciri unik termasuk roda stereng squarish dan sistem infotainmen skrin sesentuh dengan format-potret yang ditempatkan di atas konsol tengahnya yang dipanggil ‘Digital Island’ yang hanya menempatkan rotary gear selector dan suis brek parkir elektronik.

    Berdasarkan foto, ruang dalamnya kelihatan agar besar dan luas, dengan kemasan tempat duduk berwarna terang dan upholstery berpaten. Ia juga menampilkan sistem kawalan suhu dwi-zon dengan corong udara belakang, yang dikawal menerusi skrin sesentuh dan banyak lagi.

    Untuk harga dan spesifikasi penuh bZ3, ia akan diumumkan menjelang pelancarannya yang djangka bakal berlangsung pada November ini selepas ia dipamerkan di khalayak umum dalam acara Guangzhou Auto Show tahun ini.

     
     
  • Toyota Innova Zenix 2023 – imej teaser disiar; guna platform TNGA, didedahkan di Indonesia bulan depan?

    Toyota Innova Zenix 2023 – imej teaser disiar; guna platform TNGA, didedahkan di Indonesia bulan depan?

    Nampaknya khabar angin yang bertiup sebelum ini menyatakan bahawa Toyota Innova generasi baharu bakal didedahkan di Indonesia bulan hadapan akan menjadi kenyataan – Toyota Indonesia telahpun menyiarkan imej teaser untuk MPV tujuh tempat duduk berkenaan di laman web rasminya!

    Teaser tersebut menayangkan bahagian muka Innova generasi ketiga tersebut, yang menunjukkan ia menerima gril tinggi berbentuk heksagon, diapit dan bersambung dengan lampu hadapan yang tirus. Gambar yang teaser tersebut digelapkan pada bahagian bawah muka MPV ini, namun apabila kami membuat larasan semula pada warna, rupa bampar Innova 2023 ini dapat dilihat.

    Bampar berkenaan diberikan kemasan seakan liang ambilan udara pada setiap sisi dengan bahagian yang nipis pada bahagian tengah untuk menghubungkan kedua-duanya. Dalam foto intipan yang dilihat sebelum ini, jalur melintang yang ada pada kemasan berkenaan sebenarnya adalah lampu nyalaan siang LED.

    Toyota Innova Zenix 2023 – imej teaser disiar; guna platform TNGA, didedahkan di Indonesia bulan depan?

    Tiada perincian lanjut didedahkan menerusi imej tersebut kecuali kapsyen “The crossing-edge is coming” menandakan kemunculan sulungnya akan dibuat tak lama lagi. Namun dalam laporan sebelum ini, Innova 2023 dikhabarkan dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan akan didedahkan di Indonesia pada 22 November, diikuti dengan pasaran India sebelum berakhir tahun ini.

    Secara spesifiknya, platform yang digunakan pada Innova baharu ini adalah dari varian TNGA-C bagi menggantikan casis ladder frame yang dikongsi bersama Toyota Hilux pada Innova generasi sedia ada. Seperti yang boleh dilihat pada foto intipan sebelum ini, Innova 2023 tersebut nampak lebih normal dan tidak janggal seperti model generasi sebelumnya.

    Laporan sebelum ini juga menyebut bahawa di Indonesia Innova generasi baharu tersebut mungkin akan diberi nama Innova Zenix atau mungkin hanya akan dikenali sebagai Toyota Zenix bagi varian paling tinggi.

    Ia adalah untuk mengikut apa yang telah dibuat pada MPV tujuh-tempat duduk yang lebih kecil iaitu Toyota Avanza. Buat masa sekarang varian tertinggi Avanza di Indonesia hanya dikenali sebagai Toyota Veloz dan bukan lagi Toyota Avanza Veloz seperti generasi sebelumnya. Ini bagi membolehkan Avanza dipisahkan dengan Veloz bagi memberikan imej lebih premium pada Veloz, seolah-olah ia tiada kaitan dengan Avanza.

    Manakala dalam laporan Autocar India, model generasi baharu ini ia akan dikenali sebagai Innova Hycross di India, mengantikan Innova Crysta generasi sedia ada. Portal tersebut turut menyatakan bahawa Innova Hycross ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid, menjadi model kedua hibrid Toyota diperkenalkan di negara berkenaan tahun ini selepas SUV Toyota Hyryder.

    Laporan berkenaan juga menyebut bahawa tiada varian dengan enjin diesel ditawarkan untuk Innova Hycross ini di India di mana ia hanya hadir dengan enjin petrol 2.0 liter bersama sistem hibrid hampir sama ditawarkan pada Toyota Hyryder. Namun, dijangka pelanggan masih boleh membeli Innova dengan enjin diesel kerana model Innova Crysta diesel akan terus dijual bersama Innova Hycross di bilik pameran.

    GALERI: Imej spyshot Toyota Innova 2023 yang diuji di India