Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri nombor plat PQN bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor plat PQN bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor dari Pulau Pinang, PQN, bersedia untuk dibida menerusi platform bidaan dalam talian, JPJ eBid.

    Bakal mula dibuka bidaan pada 29 Oktober 2022, ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 2 November ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 3 November 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    Pada Disember 2021, kami mendedahkan bahawa jenama Chery akan kembali ke Malaysia, dan akhirnya jenama berkenaan diperkenalkan secara rasmi dalam satu acara rasmi di Setia Alam hari ini. Turut ditunjukkan adalah lima model yang disasarkan untuk pasaran Malaysia — Omoda 5, Tiggo 4 Pro, Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro dan the Tiggo 8 Pro PHEV. Model paling akhir ini juga membuat penampilan sulung untuk ASEAN.

    “Acara ini penting untuk beberapa sebab. Pertama, ini penampilan pertama Chery untuk pasaran Malaysia di bawah pasukan yang baru. Kedua, ia menandakan penampilan rasmi pertama model-model generasi baru Chery di Malaysia. Ketiga, ini penampilan sulung bagi Tiggo 8 Pro PHEV di Asia Tenggara,” ujar Leo Chen, Pengarah Chery Malaysia.

    “Di Chery, mendekati pelanggan adalah keutamaan kami. Selain memaklumkan tentang kejayaan global terkini kami serta menunjukkan peralihan teknologi, kualiti dan rekaan terkini, acara ini juga adalah sebuah platform untuk kami berhubung terus dengan pengguna di Malaysia dan memahami dengan lebih mendalam hati dan fikiran mereka tentang kenderaan,” tambah beliau.

    Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    “Acara ini juga akan memperkukuh kajian pasaran yang telah kami lakukan setakat ini dengan membolehkan kami mengumpul maklum balas lanjut daripada tetamu melalui kaji selidik, kali ini bersama-sama dengan kehadiran model-model kenderaan sebenar. Maklum balas berkenaan akan sangat membantu kami untuk memperkemas strategi produk dan penjenamaan terbaik untuk ditawarkan di pasaran tempatan, serta melihat kesesuaian setiap model untuk pasaran di sini,” tambah Chen.

    Perlu juga ambil maklum, bahawa lima SUV yang ditunjukkan ini belum 100% disahkan bakal dilancar di sini, dan semuanya juga bukan hadir dengan spesifikasi Malaysia kerena itu belum ada. Bagaimanapun, adalah dimaklumkan yang kesemuanya sangat hampir dengan apa yang bakal diterima oleh pasaran Malaysia nanti, dan spesifikasi tempatan juga akan ditentukan.

    Omoda 5 adalah model yang paling menarik perhatian antara kesemuanya, dengan rekaan “Art of Motion” yang diterapkan padanya. Siri Tiggo Pro, yang kelihatan lebih konvensional, diterajui oleh SUV besar tujuh-tempat duduk Tiggo 8 Pro. DI bawahnya pula adalah Tiggo 7 lima-tempat duduk dan ada juga untuk SUV segmen B, Tiggo 4 Pro. Semuanya hadir dengan enjin turbo. Versi PHEV pula menggabungkan enjin biasa dengan transmisi hibrid khas dan dua motor elektrik untuk sembilan mod operasi.

    Chery kembali ke pasaran Malaysia, tunjuk Omoda 5, barisan SUV Tiggo Pro dalam acara rasmi pertama

    “Sebagai satu daripada ekonomi terbesar ASEAN dengan pasaran automotif membangun, Malaysia adalah pasaran yang sangat strategik dalam perancangan Chery untuk globalisasi seterusnya. Sebagai pengeksport kenderaan penumpang utama China bagi 19 tahun berturut-turut, dengan kehadirdan di lebih 80 negara dan rantai berbeza, serta dengan jumlah penggguna lebih daripada 10 juta di seluruh dunia, kami percaya akan dapat menyumbang kepakaran kami terhadap industri automotif Malaysia dan merancakkan pertumbuhannya,” ujar Chen.

    Chery juga baru-baru ini membuat penampilan semula di Indonesia. Yang membezakan penawaran jenama ini berbanding yang lain adalah jaminan enam-tahun atau 150,000 km yang diberikan, serta ditambah dengan jaminan ke atas enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer — tawaran yang sama diberikan oleh Chery di Afrika Selatan.

     
     
  • VIDEO: Honda City 2022 1.5L V Sedan atau 1.5L RS e:HEV hatchback — mana lagi menarik dan praktikal?

    VIDEO: Honda City 2022 1.5L V Sedan atau 1.5L RS e:HEV hatchback — mana lagi menarik dan praktikal?

    Honda City 2022 menyaksikan penawaran model hibrid pertama bagi kenderaan segmen B di Malaysia. Bukan itu saja, ia juga kini hadir dengan model rekabentuk sedan dan yang terbaru, hatchback. Versi kedua ini juga telah menggantikan model Jazz dahulu, yang terkenal kompak dan sangat praktikal.

    Ini meletakkan penawaran daripada Honda ini seperti buku bertemu ruas dengan pesaing paling dekatnya dari Toyota, yang sejak beberapa lama ini mempertaruhkan Vios dan juga Yaris — sebuah sedan dan sebuah hatchback dalam segmen yang sama, walaupun menggunakan nama berbeza.

    Lebih menarik adalah untuk melihat apa yang ada pada City Hatchback RS e:HEV yang merupakan sebuah model hibrid, dengan janaan kuasa motor elektriknya sebanyak 109 PS/253 Nm, dengan bekalan kuasa juga dari enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS pada 5,600 rpm dan 127 Nm dari 4,500 rpm hingga 5,000 rpm. Ruang dalamannya juga dibezakan dengan penggunaan kemasan merah, seperti yang dapat kita lihat kelainannya daripada varian V sedan.

    Kerana perbezaan rekabentuk itu, andara hal yang dibezakan dengan ketara adalah saiz daa kapasiti ruang barangan antara keduanya. Model Sedan memberikan ruang but seluas 519 liter, sementara City Hatchback menyediakan 289 liter (841 jika kerusi belakang dilipat). Jika mengambil kira ruang sampai ke bumbung, maka ruang yang tersedia adalah 1,189 liter.

    Ini, dan banyak lain perkara yang membezakan antara keduanya, baik antara model sedan dan hatchback, mahupun dari sudut pandang model petrol dan hibrid. Semuanya kami tunjukkan dalam video ini. Menurut pandangan anda, versi yang mana satu lagi tampil menarik? Atau mana yang lebih praktikal?

    Honda City Sedan 1.5 V 2022

    Honda City Hatchback e:HEV 1.5 RS 2022

     
     
  • VIDEO: Perodua Alza 2022 — kereta paling menarik dan berbaloi dimiliki kalau ada bajet bawah RM100k?

    VIDEO: Perodua Alza 2022 — kereta paling menarik dan berbaloi dimiliki kalau ada bajet bawah RM100k?

    Pastinya ramai mungkin sedar bahawa ada banyak kelebihan pada Perodua Alza 2022. Yang paling penting mungkin pembaharuan yang diberikan kepadanya, jika dibanding dengan model generasi pertama yang sudah berada dalam pasaran tempatan sekitar 13 tahun. Dah lama sangat, memang patut ada model pengganti, dan lebih menarik ia adalah pengganti yang jauh lebih berkeupayaan, dengan nilai yang besar.

    Kami mencatat banyak perihal model ini dalam laporan pandu uji yang pernah diterbitkan sebelum ini, selepas meluangkan banyak masa dengan MPV tujuh-tempat duduk berkenaan, baik untuk perjalanan dalam bandar mahupun perjalanan jauh, untuk memerhatikan apa yang ada ditawarkan oleh Alza terbaru ini.

    Menjadi nadi utama Alza 2022 ini adalah enjinnya, unit 1.5L Dual VVT-i dengan Eco Idle empat-silinder petrol yang menghasilkan 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Ini enjin yang sama dengan Myvi, walaupun antara keduanya ada melibatkan perbezaan output sedikit (Alza lebih 3 hp dan 1 Nm, dengan Perodua memaklumkan bahawa kecekapan penggunaan minyak 40% lebih baik berbanding versi sebelumnya).

    Melengkapi paduan sistem janaan ini adalah kotak gear D-CVT yang pertama kali diperkenalkan untuk SUV Ativa sebelum ini dan kemudiannya diberikan juga kepada Myvi dalam versi facelift yang terkini. Tidak lupa, platformnya juga dari generasi baru: DNGA. Semua ini memberikan kelebihan kepada Alza 2022. Dalam banyak hal, ia bahkan dirasa sangat berbaloi sekiranya mereka yang mempertimbangkan atau sudah menggunakan Myvi untuk beralih kepada Alza.

    Ia rendah, lebih kuasa, dengan tetapan yang cukup selesa. Tambahan pula, ruang kabin yang lebih luas dan praktikal yang sentiasa berguna dalam keadaan yang memerlukan. Jika tidak perlu, konfigurasi tempat duduknya boleh saja dikekalkan kepada lima, dan ruang di belakang digunakan sebagai ruang barangan semata. Banyak lagi kelebihan (tak lupa juga kekurangann) Alza 2022, dan kami soroti semuanya dalam video ini. Tonton untuk tahu lebih lanjut.

     
     
  • Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

    Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

    Foto milik Adi Wibowo dari Komunitas Rally Indonesia

    Selepas kecundang awal kerana kerosakan mekanikal di APRC Danau Toba Rally 2022, Indonesia bulan lalu, Karamjit Singh dan jururahnya, Jagdev Singh tidak terus membawa pulang Proton Gen2 4WD Turbo mereka balik ke Malaysia. Sebaliknya jentera berkenaan diperbaiki bagi bersiap sedia untuk menyertai pula Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 yang berlangsung di Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi.

    Tiga perlumbaan serentak berlangsung di litar yang khas dibangunkan untuk rali ini iaitu pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia yang berlangsung pada 21 Oktober, serta pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia yang berlangsung dari 22 hingga 23 Oktober.

    Kali ini, Karam menang besar – muncul juara untuk kelas M3 dan kelima secara keseluruhan dalam Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan ketiga, serta juara kelas M3 dan keempat secara keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan keempat!

    Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

    Walaupun Karamjit Singh hanya memandu Proton Gen2 2.0L Turbo dengan enjin dan sistem 4WD diambil dari Evo 6 yang sudah pun berumur 15 tahun, dan hanya dikelaskan dalam kategori M3 (jentera 4WD 2.0L Turbo yang tidak menerima homologasi FIA), masa yang dicatatkan oleh Karamjit nyata lebih pantas dari beberapa jentera M1 seperti Skoda Fabia R5, dan tidak jauh ketinggalan dari saingan utama kelas M1 seperti Mitsubishi Xpander AP4 yang dipandu Rifat Sungkar (Xpander Rally Team).

    Ini membuktikan Karamjit masih lagi kompetitif untuk bertanding di peringkat antarabangsa, bertarung dengan pasukan-pasukan besar sekurang-kurangnya pada peringkat Asia Pasifik. Harapnya perancangan Karamjit untuk kembali ke kelas utama APRC menjadi kenyataan; mungkin kita boleh tengok pertarungan epik Mitsubishi Xpander AP4 vs. Toyota GR Yaris AP4 vs. Proton Iriz R5 selepas ini?

    Karamjit Singh menang besar di Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022, rangkul 3 gelaran juara!

     
     
  • WRC 2022: Toyota sapu bersih, sah juara pengeluar!

    WRC 2022: Toyota sapu bersih, sah juara pengeluar!

    Selepas pemandu Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Kalle Rovanperä mengesahkan mahkota kejuaraan dunia WRC 2022 di Rally New Zealand pada awal bulan ini, kini pasukan tersebut disahkan pula juara WRC 2022 untuk kategori pengeluar selepas menamatkan Rally de España hujung minggu lalu dengan kemenangan 1-3!

    Dalam pusingan yang berlangsung di Sepanyol tersebut, pemandu Toyota Sebastien Ogier berjaya bergelar juara, manakala juara WRC 2022 Kalle Rovenperä pula berada di tempat ketiga. Sementara kedudukan podium kedua pula diisi oleh pemandu pasukan Hyundai, Thierry Neuville.

    Dengan pungutan 93-mata di hadapan Hyundai sudah cukup untuk mengesahkan Toyota sebagai juara kategori pengeluar tahun ini, walaupun musim WRC 2022 masih berbaki satu lagi pusingan iaitu Rally Japan yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan. Kemenangan ini juga membolehkan Toyota mengekalkan takhta pemandu dan pengeluar WRC yang dikecapi musim lalu.

    Bagi musim ini, Sebastien Ogier yang juga juara WRC tahun lalu tidak berlumba secara sepenuh masa. Beliau mengambil langkah untuk ‘separa bersara’ dan berkongsi jentera ketiga GR Yaris Rally1 dengan Esapekka Lappi. Kemenangannya semalam merupakan yang pertama tahun ini, dan yang pertama dalam era hibrid WRC.

    “Adalah sangat hebat dapat mengesahkan kejuaraan di sini. Rali terakhir di Jepun merupakan pusingan kampung halaman Toyota jadi sekarang kami akan lebih relaks untuk ke sana. Jika kami menang di sana, kami boleh mengadakan sambutan yang lebih besar!” kata prinsipal pasukan TGR WRT, Jarri-Matti Latlava.

    Ketika sambutan besar diraikan oleh Toyota, berita duka terus menyelubungi kem pasukan Hyundai. Selepas berputih mata dua tahun kehilangan gelaran kategori pengeluar yang diraih pada musim 2019 dan 2020, pada Rally de España ini juga pemandu pasukan berkenaan iaitu Ott Tanak mengumumkan bahawa dia akan menarik diri dari Hyundai bermula akhir musim ini walaupun kontraknya berbaki lagi satu tahun.

    Sebelum itu, Hyundai juga telah mengumumkan bahawa ia tidak akan lagi meneruskan kontrak untuk pemandu mudanya iaitu Oliver Solberg untuk WRC musim hadapan.

     
     
  • MotoGP 2022: Bagnaia tawan Litar Sepang, Bastianini kedua – juara keseluruhan ditentukan di Valencia

    MotoGP 2022: Bagnaia tawan Litar Sepang, Bastianini kedua – juara keseluruhan ditentukan di Valencia

    Ducati sekali lagi menunjukkan penguasaan dalam perlumbaan MotoGP apabila dua jentera jenama Itali itu menawan tempat teratas semasa pusingan di Litar Sepang hari ini, dengan Francesco Bagnaia dari pasukan Ducati Lenovo Team di tempat pertama, dan Enea Bastianini dari Gresini Racing MotoGP di tempat kedua.

    Dalam beberapa pusingan awal, Jorge Martin dari Prima Pramac Ducati yang menguasai perlumbaan di tempat pertama, tetapi beliau akhirnya terjatuh di selekoh kelima, memberikan saingan tempat pertama kepada Bagnaia dan Bastianini.

    Bagnaia juga tidak mendapat tempat pertama dengan mudah, kerana Bastianini terus mengasak sehingga pusingan terakhir. Tempat ketiga dimenangi oleh Fabio Quartararo, dari pasukan Monster Energy Yamaha. Beliau sebenarnya memulakan perlumbaan di tempat ke-12, tetapi berjaya memintas ramai pelumba lain dalam beberapa pusingan awal.

    Walaupun nampak seperti Quartararo mahu mengejar dua jentera Ducati di hadapan dalam beberapa pusingan terakhir, beliau akhirnya memutuskan untuk bertenang dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Itu sahaja sudah cukup untuk mengganggu rancangan Bagnaia untuk membolot gelaran juara pelumba keseluruhan di Sepang.

    Pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol 6 November nanti nampaknya akan menjadi tempat penentuan untuk melihat siapakah yang akan membawa pulang gelaran tersebut bagi tahun 2022 kerana Quartararo yang berada di tempat kedua masih mempunyai peluang dengan sekarang mencatat kutipan 235 mata sementara Bagnaia pula berada di atas dengan kelebihan 23 mata.

     
     
  • Honda Vario 160 di Litar Sepang – tanda pelancaran?

    Honda Vario 160 di Litar Sepang – tanda pelancaran?

    Honda Vario 160, yang pertama kali diperkenalkan kepada dunia di Indonesia Februari lalu nampaknya sudah tiba di Malaysia, tetapi belum dilancarkan secara rasmi untuk jualan. Tiada sebarang petunjuk yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda untuk pelancaran model ini, namun kehadirannya di tapak pameran Honda di Litar Sepang boleh diambil sebagai petanda.

    Vario 160 ini walaupun masih nampak familiar, keseluruhan panel badan sebenarnya adalah baru dan anda boleh nampak perbezaan utamanya pada bahagian panel dada. Kemudiannya, masalah utama Vario yang kelihatan ‘tergantung’ sebelum ini juga sudah diatasi dengan rekaan fender baru, bersama tayar yang lebih tebal (100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang). Saiz rim itu sendiri masih lagi 14 inci, seperti sebelum ini, tetapi ia menggunakan rekaan serta warna baru.

    Melalui namanya, kita sudah boleh tahu Vario 160 menggunakan enjin yang lebih besar. Daripada 149.3 cc, kapasiti enjin satu silinder, suntikan bahan api, dengan sistem penyejukan cecair ini telah ditingkatkan kepada 156.9 cc dan menggunakan nisbah mampatan 12:1 (sebelum ini 10.6:1). Hasilnya, ia dapat menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm (sebelum ini 13.1 PS dan 13.4 Nm).

    Satu lagi peningkatan menarik yang diberikan oleh Honda pada Vario 160 adalah pada sistem brek. Selain versi CBS yang menggunakan padanan brek cakera hadapan dan dram di belakang seperti sebelum ini, Vario 160 turut ditawarkan di Indonesia dengan versi ABS yang bukan sahaja memberikan tambahan sistem keselamatan elektronik itu sahaja, tetapi dipadankan bersama brek cakera di belakang.

    Bahagian lain masih kelihatan sama, termasuklah panel meter LCD, tangki bahan api 5.5 liter, fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang dan ruang simpanan di bawah tempat duduk. Skuter ini turut didatangkan dengan sistem tanpa kunci serta pengecas USB di bahagian poket simpanan di bawah pemegang.

     
     
  • JPJ kutip RM286 juta dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2022 menerusi sistem eBid – Ketua Pengarah

    JPJ kutip RM286 juta dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2022 menerusi sistem eBid – Ketua Pengarah

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mencatatkan sejumlah RM286 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini menerusi sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian, JPJeBid.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, sepanjang tempoh itu, sebanyak 124 siri nombor pendaftaran telah diperkenalkan melalui sistem eBid, dengan purata keuntungan sebanyak RM2.3 juta bagi setiap siri, laporan Bernama.

    “Sejak JPJ memperkenalkan inisiatif eBid ini, ia mendapat sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai, kerana sistem dalam talian ini memudahkan semua pihak membida nombor pendaftaran yang mereka suka, walau di mana mereka berada.

    “Sistem itu juga menjadi pemudah cara buat pengguna untuk membida nombor-nombor yang disukai secara telus dan efektif. Kalau dahulu, orang Pulau Pinang tidak boleh bida nombor plat luar, tetapi sekarang boleh bida nombor mana-mana negeri termasuk Sarawak hanya secara dalam talian,” katanya.

    JPJ eBid mula diperkenalkan sejak April 2019, dengan projek perintisnya bermula dengan siri plat FC. Sistem ini boleh digunakan oleh mana-mana individu dan syarikat yang berdaftar di Malaysia, untuk membida nombor pendaftaran kenderaan menerusi platform yang lebih menyenangkan dan telus.

    Proses-proses di dalam JPJeBid meliputi proses pengiklanan, pendaftaran, bidaan, bayaran dan juga ketetapan aplikasi dan akaun. Semua proses ini perlu dilakukan secara kendiri oleh pembida terlibat dan akan dikawal selia oleh pihak JPJ.

     
     
  • PANDU UJI: Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022 – RM134,800; masih yang terbaik dalam kelasnya?

    PANDU UJI: Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022 –  RM134,800; masih yang terbaik dalam kelasnya?

    Penulis ingat lagi ketika Honda HR-V generasi kedua tiba di Malaysia pada 2015 – ia seakan satu fenomena. Ketika itu SUV segmen-B merupakan sesuatu yang baharu kerana kebanyakkan SUV lain ditawarkan pada segmen-C dan ke atas. Penawaran HR-V di Malaysia seolah-olah mewujudkan satu demografi baharu untuk pembeli kereta di pasaran tempatan.

    Dengan bentuk seakan hatchback, saiz dan harga yang lebih mampu milik dari CR-V, serta logo ‘H’ pada SUV kompak ini menyebabkan ramai yang merasakan mereka perlu mendapatkannya. Umum mengetahui, salah satu tarikan untuk orang ramai memandu SUV (terutamanya wanita) adalah kedudukan pemanduannya yang tinggi sekaligus menambahkan keyakinan sesorang itu untuk memandu.

    HR-V direka seakan sebuah hatchback tetapi mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi. Namun saiznya pula tidak terlalu besar, dan ia masih mudah untuk dipandu dan diparkir di kawasan bandar yang sesak. Malah harga jualan untuk HR-V ketika itu bermula RM99,800 untuk model gred S hingga RM118,800 untuk gred tertinggi V – yang agak rendah untuk sebuah Honda ketika itu, membuatkan HR-V terus digilai oleh rakyat Malaysia.

    Dengan kehadiran HR-V, semakin ramai pengguna di Malaysia mula beralih dari sedan dan hatchback ke SUV. Malah pengeluar lain turut membawa SUV segmen-B ke pasaran tempatan; Mazda dengan CX-3, Subaru dengan XV, Toyota dengan C-HR, dan pelbagai lagi. Tetapi tiada satu pun yang dapat memberikan saingan sengit kepada HR-V dari segi jualan, sehinggalah Proton memperkenalkan X50 pada Oktober 2020.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • PLUS aktifkan SmartLane pada cuti Deepavali – lorong kecemasan dibuka di laluan Johor, PD-Seremban

    Klik untuk besarkan imej

    PLUS telah mengumumkan pengaktifan SmartLane untuk sesetengah laluan di Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang cuti panjang hujung minggu ini sempena perayaan Deepavali. Dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), SmartLane tersebut dibuka di lorong kecemasan untuk meningkatkan kapasiti lorong dan membantu pergerakan trafik yang lebih lancar serta menyuraikan lalu lintas di laluan sesak.

    Dua laluan di lebuhraya PLUS yang akan diaktifkan SmartLane ini ialah di Johor dan Negeri Sembilan. Untuk Johor, SmartLane ini di antara persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai, arah utara dari KM19.0 hingga KM27.0. SmartLane ini beroperasi pada 21-22 Oktober, dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

    Laluan kedua di selatan yang turut diaktifkan SmartLane ialah dari Port Dikson Utara ke Seremban, arah utama dari KM260 hingga KM263.1. SmartLane ini akan dibuka pada 22-24 Oktober, dari jam 12 tengahari hingga 10 malam.

    Sebelum ini, PLUS terlebih dahulu mengumumkan SmartLane turut dibuka di Pulau Pinang/Kedah. Ia akan diaktifkan untuk trafik arah utara dari Bukit Tambun (KM150) menghala ke plaza tol Juru (KM146.2) dari jam 3 petang hingga 6 petang pada hari ini, 21 Oktober. Untuk trafik arah selatan pula pada 26 Oktober, laluan kecemasan akan dibuka dari Sungai Petani Selatan (KM107.6) menghala ke Tikam Batu (KM113) dari jam 2 petang hingga 6 petang.

    Sila patuhi isyarat papan tanda jalan dan petugas yang berada di lapangan apabila anda tiba di kawasan berkenana. Sila pandu secara berhati-hati dan kekal bersabar sekiranya berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. PLUS menjangkakan lebih 1.9 juta kenderaan sehari akan melalui lebuhraya berkenaan sepanjang cuti Deepavali ini.

     
     
  • Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan pantau dan kawal harga tiket kapal terbang menjelang PRU15

    Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan pantau dan kawal harga tiket kapal terbang menjelang PRU15

    Dengan PRU15 yang bakal menyaksikan hari mengundi jatuh pada Sabtu, 19 November 2022, ramai yang pastinya membuat perancangan untuk bergerak dan balik menunaikan tanggungjawab. Bagi mereka yang terpaksa mengambil penerbangan, Menteri Pengangkutan sementara, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan yang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan mengawal selia harga tiket kapal terbang untuk mengelakkannya melambung sebelum PRU15 nanti, lapor Bernama.

    Ini berikutan tuduhan bahawa harga tiket penerbangan telah naik mendadak berikutan pengumuman tarikh membuang undi untuk PRU15 semalam. Di media sosial misalnya boleh dilihat beberapa pengguna berhadapan dengan tambang yang mahal. Pengguna @IcedNyior sebagai contoh, memaklumkan bahawa tiket dari JB ke Kuching telah melonjak kepada RM730, sekali ganda daripada harga biasa.

    Seorang lagi pengguna, @brandconsultant berkata, penerbangan terus antara Singapura ke Kuala Lumpur menelan kos sehingga RM2,376 untuk hujung minggu mengundi itu, sementara harga meningkat kepada sekitar RM720 dari KL ke Kuching dan sehingga RM647 dari KL ke JB.Wee menjelaskan, harga tiket penerbangan biasanya akan naik berikutan kaedah harga dinamik, yang akan naik sekiranya ada pergerakan meluas disebabkan adanya situasi tertentu.

    Bagaimanapun, MAVCOM akan mengambil tindakan terhadap syarikat penerbangan yang didapati menaikkan harga melangkaui syarat yang ditetapkan. “Berdasarkan kaedah harga dinamik bagi semua syarikat penerbangan di dunia, lebih awal tiket itu ditempah, ia sepatutnya lebih murah manakala ketika semakin hampir dengan tarikh berkenaan, ia akan menjadi lebih mahal,”
    jelas beliau.

    Jika ada dalam kalangan anda yang perlu pulang untuk mengundi, berapa harga yang terpaksa dibayar? Boleh kongsikan maklumat ini dengan kami di ruangan komen.

     
     
  • ACE 2022: Hyundai Staria 10-tempat duduk bermula RM180k dan banyak lagi tawaran di SCCC 5-6 Nov ini!

    ACE 2022: Hyundai Staria 10-tempat duduk bermula RM180k dan banyak lagi tawaran di SCCC 5-6 Nov ini!

    Perlukan kenderaan besar untuk angkut lebih ramai penumpang? Hyundai ada penawaran yang menarik, dan ia akan dipamerkan di acara Auto Car Expo (ACE) anjuran paultan.org yang bakal berlangsung pada 5-6 November 2022 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Dalam versi terbaru yang diperkenalkan, Hyundai Staria merupakan sebuah MPV dengan 10-tempat duduk, hadir pula dalam tiga varian berbeza — Lite, Plus dan Max. Dengan kemampuan dan kapasiti seperti, ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, misalnya sebagai kereta keluarga yang besar, servis bawa pelancong atau kereta sewa.

    Ciri utama Staria antaranya adalah pintu gelungsur dan pintu kargo belakang pintar, lapan slot USB, dengan tujuh daripadanya boleh digunakan untuk mengecas peranti, serta kerusi yang boleh dilipat rata dengan pelbagai konfigurasi tata letak.

    Sambungan telefon pintar juga lebih mudah dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sementara ciri keselamatan aktif Hyundai Smartsense menyertakan juga ciri Blind-Spot Collision Avoidance Assist dengan Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist dan Smart Cruise Control dengan Stop/Go.

    ACE 2022: Hyundai Staria 10-tempat duduk bermula RM180k dan banyak lagi tawaran di SCCC 5-6 Nov ini!

    MPV besar ini digerakkan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel yang menghasilkan 177 PS dan 431 Nm tork yang disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik lapan kelajuan. Staria memanfaatkan tetapan suspensi multi-link di belakang, yang memberikan lebih keselesaan berbanding model lama yang digantikannya, Starex.

    Harga Staria 10-tempat duduk bermula dari RM179,888. Dan jika ia ada ciri yang anda inginkan, elok segera kerana stok tidak banyak kerana ia agak laris dijual ketika ini. Begitu juga, akan ada tawaran istimewa lain diberikan ketika acara ini nanti, tidak hanya dari jenama-jenama terlibat, tetapi dari penganjur sendiri.

    Ditaja bersama oleh Petron, Yinson GreenTech and myTukar, Hyundai menjadi antara jenama yang bakal ikut serta dalam acara ini, bersama-sama Toyota, Nissan, Honda, Proton, Perodua dan Subaru. Selain itu, wakil daripada jenama premium juga ada, dengan Mercedes-Benz (melalui Cycle & Carriage) dan BMW/MINI (melalui Wheelcorp Premium) akan ikut serta.

    Sama seperti PACE, anda berpeluang untuk memandu uji dan membeli kenderaan yang dihajatkan sepanjang ACE 2022 berlangsung — unit baru atau terpakai, semuanya ada, dengan tawaran menarik daripada semua jenama yang terlibat.

    Selain daripada promosi daripada jenama terlibat, yang akan kami umumkan dari semasa ke semasa, anda juga boleh menikmati tawaran khas oleh paultan.org. 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan baru akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,500 yang terdiri daripada baucar RM500 bagi filem penapis haba V-Kool, RM500 bagi baucar Dodomat, baucar RM500 untuk penapis udara Blueair, baucar RM500 Recaro untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan baucar RM500 DK Schweizer bagi balutan kulit kustom untuk ruang dalaman kenderaan.

    ACE 2022: Hyundai Staria 10-tempat duduk bermula RM180k dan banyak lagi tawaran di SCCC 5-6 Nov ini!

    myTukar juga menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan pertama yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

    Hadiah tidak berakhir di situ. Tempahan kereta baru yang telah disahkan pula akan membolehkan anda untuk layak dalam cabutan bertuah dengan tawaran pelbagai hadiah, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan hadiah utama terdiri daripada pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

    Walaupun dengan peraturan pandemik Covid-19 yang semakin longgar kini, kami masih akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua orang. Pengunjung adalah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di dalam ruang pameran, dan cecair sanitasi tangan juga akan diletakkan di beberapa tempat di sepanjang acara berlangsung.

    Banyak lagi perincian promosi yang akan kami kongsikan daripada jenama-jenama yang ikut serta nanti, jadi teruskan bersama kami. Sementara itu, tandakan kalendar anda untuk 5-6 November 2022 untuk ACE 2022 di SCCC. Jumpa di sana!

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Sept 2022 naik 0.15%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Sept 2022 naik 0.15%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan September 2022, dengan mengumumkan sebanyak 67,659 kenderaan telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 99 unit dari 67,560 unit (pada mulanya dilaporkan sebanyak 66,614 unit) yang terjual pada Ogos, atau meningkat 0.15%.

    Persatuan ini berkata jumlah yang konsisten ini disebabkan syarikat kereta yang terus memenuhi tempahan yang diterima sebelum 30 Jun 2022, ketika pengecualian cukai jualan (SST) berakhir. Prestasi bulan lalu dan juga pada bulan Ogos menunjukkan bahawa tahap pengeluaran kelihatan agak stabil selepas bulan Julai yang tidak menentu.

    Berbanding bulan yang sama pada 2021, jumlah yang dicatatkan pada September adalah 53% (atau 23,432 unit) lebih tinggi berbanding 44,227 unit yang direkodkan pada tahun lalu. Sementara itu, jumlah jualan keseluruhan setakat ini untuk sembilan bulan pertama 2022 telah mencecah 516,798 unit, meningkat sebanyak 62% (atau 197,971 unit) berbanding 318,827 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Bagi bulan Oktober, MAA meramalkan rekod jualannya bakal lebih kurang sama dengan September, dengan syarikat kereta masih terus memenuhi tempahan kenderaan yang tertunggak yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai. Dengan keputusan kerajaan yang membenarkan pengecualian SST boleh digunakan untuk tempahan kenderaan pada 30 Jun dan pendaftaran sebelum 31 Mac 2023, jumlah jualannya mungkin akan konsisten sehingga hujung 2022, dengan jumlah akhirnya ditentukan oleh keupayaan pengeluaran.

     
     
  • Kawasaki Z900RS tiba di Malaysia – CBU, RM63,800

    Kawasaki Z900RS tiba di Malaysia – CBU, RM63,800

    Semasa lawatan ke kilang Modenas di Gurun, Kedah Jun lalu, kami telah diberitahu bahawa empat model Kawasaki yang diimport sepenuhnya (CBU) akan diperkenalkan tahun ini. Bersempena dengan perlumbaan MotoGP yang berlangsung hujung minggu ini di Litar Sepang, kesemua model tersebut telah dilancarkan dengan harganya didedah.

    Salah satu daripadanya adalah Z900RS, iaitu sebuah model bergaya klasik, tetapi dengan kelengkapan moden dan enjin empat silinder 848 cc sama seperti Z900, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip and assist) dan mampu menghasilkan kuasa 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Suspensi motosikal ini terdiri daripada fork dan monoshock yang boleh dilaras, sementara breknya pula menggunakan tetapan cakera 300 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan tetapan cakera tunggal di belakang. Berat keseluruhan model yang berbentuk klasik ini adalah 215 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api 17 liter.

    Bagi model baru yang dijual melalui EMOS ini, harga yang ditetapkan adalah RM63,800, dan ia akan mula berada di wakil pengedar sah Kawasaki bulan hadapan (November 2022). Sebelum ini, Z900RS juga ada dipasarkan di Malaysia di bawah Kawasaki Motor Sdn Bhd (KMSB), tetapi harganya lebih tinggi, iaitu RM69,319.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R 2023 dipamer di Sepang – tiba di Malaysia pertengahan tahun depan, meter TFT, CKD

    Kawasaki ZX-25R 2023 dipamer di Sepang – tiba di Malaysia pertengahan tahun depan, meter TFT, CKD

    Setakat ini kita memang sudah mengetahui Kawasaki Ninja ZX-25R akan tiba di negara kita tahun hadapan. Sekarang, dengan berlangsungnya perlumbaan MotoGP di Litar Sepang hujung minggu ini, model tersebut juga dipamerkan untuk tontonan orang ramai.

    Untuk pengetahuan, model yang dipamerkan ini adalah versi terbaru yang diperkenalkan untuk pasaran Indonesia awal bulan lalu, di mana ia dilengkapi dengan panel instrumen TFT berwarna penuh. CEO Modenas, Roslan Roskan juga telah mengesahkan bahawa model yang akan dibawa ke Malaysia adalah versi yang terkini.

    Selain daripada itu, Roslan juga memberitahu bahawa ZX-25R ini akan dipasang di dalam negara (CKD), namun jangkaan harganya masih belum didedah. Di pasaran Indonesia, model ini dijual pada harga 123.5 juta rupiah (RM37,570).

    Satu lagi yang perlu diambil perhatian, ZX-25R yang dipamerkan ini adalah versi pertengahan, di mana ia juga menerima fork hadapan dengan pelarasan pra beban, tetapi monoshock masih lagi unit biasa dengan sekadar larasan pra beban. Versi yang lebih tinggi, iaitu ZX-25RR datang dengan monoshock Showa BFRC dengan pelarasan pra beban dan mampatan.

    Kelengkapan lain model tahun 2023 ini masih sama seperti sebelum ini, bermula dengan enjin, iaitu unit empat silinder DOHC 249.8 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm.

    Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), brek ABS dual-channel, quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Sebagai keselamatan, kunci motosikal ini juga datang dengan sistem immobilizer.

     
     
  • Isi minyak dengan perlahan dapat jumlah lebih banyak, fakta atau auta? – Pakcik Shell lakukan eksperimen

    Isi minyak dengan perlahan dapat jumlah lebih banyak, fakta atau auta? – Pakcik Shell lakukan eksperimen

    Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Shairan Huzani Husain atau lebih senang dikenali sebagai Pakcik Shell, sekali lagi memperkatakan tentang mitos lain yang berkaitan dengan pengisian minyak kenderaan. Kali ini, memfokuskan sama ada mengisi dengan perlahan akan dapat memberikan jumlah minyak yang lebih banyak berbanding melakukannya dengan cepat.

    Menerusi video yang dikongsikan di Instagram rasminya, Pakcik Shell dirakamkan menggunakan pam minyak untuk mengisi 10 liter petrol RON 95 ke dalam sebuah balang. Semasa dia mengisi dengan cepat dengan menekan sepenuhnya pemegang pada muncung pengisi minyak tersebut, seorang lagi pekerja Shell (dipanggil William) sedang mengisi satu lagi balang pada kadar yang jauh lebih perlahan

    Selepas kedua-dua balang itu penuh, ia membuktikan kedua-duanya juga boleh diisi dengan isipadu tepat 10 liter bagi petrol RON 95, tidak kiralah sama ada ia diisi secara perlahan mahu pun cepat, malah amaun yang terpapar pada pam juga sama.

    Sebelum ini, Pakcik Shell juga pernah mengendalikan eksperimen yang lebih kurang sama pada Mac lalu dengan teori yang berlegar-legar di laman media sosial yang mendakwa tekanan sepenuhnya pada pemegang muncung pengisi minyak akan memberikan jumlah minyak yang lebih sikit berbanding dengan jumlah yang dibayar – itu juga tidak dapat dibuktikan.

    Teori sedemikian timbul kerana tanggapan bahawa petrol menguap dengan sangat mudah, jadi apabila minyak dipam pada kadar yang lebih cepat, dipercayai bahawa lebih banyak daripadanya akan “hilang” ke udara. Ya, penyejatan minyak memang berlaku semasa mengisinya dan boleh dipengaruhi oleh suhu dan faktor persekitaran lain, tetapi kesannya terhadap jumlahnya adalah kecil, seperti yang dibuktikan oleh eksperimen.

    Memanglah tiada halangan sekiranya anda mahu mengisi minyak secara perlahan, tetapi sebenarnya ia lebih membuang masa saja. Tiada keperluan yang signifikan untuk berbuat demikian, malah turut membuang masa mereka yang sedang menanti giliran di belakang anda.

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan hingga 26 Okt di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Deepavali – PLUS

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan hingga 26 Okt di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Deepavali – PLUS

    Sempena dengan sambutan perayaan Deepavali yang bakal diraikan pada 24 Oktober (Isnin) ini, pastinya ramai di antara kita yang merancang untuk pulang ke kampung halaman atau ke mana-mana destinasi kerana melibatkan ‘cuti’ yang agak panjang. Malah sekolah juga menerima cuti tambahan hingga Selasa (25 Oktober) ini,

    Sehubungan itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik akan melonjak bermula hari ini hingga Rabu hadapan (26 Oktober 2022). Oleh itu, PLUS menasihatkan pengguna lebuhraya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.

    Manakala, pengguna lebuhraya dari negeri-negeri tersebut yang bergerak pulang ke Lembah Klang bermula 24 hingga 26 Oktober pula disarankan supaya memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.

    “Kami menjangkakan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuhraya kami setiap hari semasa cuti perayaan Deepavali bermula 21 Oktober (hari ini) berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari biasa.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan hingga 26 Okt di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Deepavali – PLUS

    “Oleh yang demikian, PLUS mengeluarkan jadual TTA untuk membantu orang ramai merancang perjalanan mereka di samping membantu kami mengagihkan trafik yang bergerak di pelbagai destinasi. Jadual TTA ini boleh juga boleh dirujuk di laman web www.plus.com.my serta saluran-saluran media sosial PLUS,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    Selain itu, PLUS juga akan memastikan tiada penutupan lorong atau kerja-kerja penyelenggaraan serta naik taraf atau pembinaan dilaksanakan di lebuhraya kendaliannya di antara 21 hingga 25 Oktober ini bagi memastikan tiada gangguan terhadap perjalanan orang ramai.

    Namun begitu, lorong mungkin terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal dilaksanakan secepat mungkin.

    “Oleh yang demikian, PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengaktifkan Ujian Awam SmartLane (melibatkan pembukaan dan penggunaan lorong kecemasan kepada kenderaan) di laluan di antara Bukit Tambun (KM150.6) menghala ke Plaza Tol Juru (KM146.2) bermula jam 3 petang hingga 6 petang pada 21 Oktober untuk melancarkan pergerakan trafik ke Utara.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan hingga 26 Okt di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Deepavali – PLUS

    “Bagi perjalanan ke Selatan pada 26 Oktober, Ujian Awam SmartLane akan diaktifkan di antara Persimpangan Sungai Petani Selatan (KM107.6) hingga Hentian Sebelah Tikam Batu (KM113) bermula jam 2 petang hingga 6 petang. Hasil daripada Ujian Awam SmartLane ini akan dibentangkan kepada pihak berkuasa untuk diadaptasikan di lokasi lain pada masa yang akan datang,” jelas Datuk Zakaria.

    Pengguna lebuhraya juga dinasihatkan mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go, atau e-Wallet untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmarTAG atau RFID sebelum memasuki lebuhraya bagi mengelakkan sebarang kesulitan serta memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk perjalanan yang jauh.

    Dengan memuat turun Aplikasi PLUS, anda boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Sebagai alternatif, anda boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Anda juga disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map.

     
     
  • Kereta Proton yang dijual menerusi program PCPO kini dapat waranti lanjutan satu-tahun oleh Allianz

    Kereta Proton yang dijual menerusi program PCPO kini dapat waranti lanjutan satu-tahun oleh Allianz

    Kenderaan Proton yang dijual menerusi program Pra-Milik Bertauliah Proton (PCPO) kini didatangkan dengan waranti lanjutan satu-tahun yang dijamin oleh Allianz General Insurance berkuatkuasa serta merta, seperti mana yang diumumkan oleh pengeluar kereta ini.

    Tempoh lanjutan waranti ini meliputi bahagian enjin dan transmisi yang didapati rosak di bawah penggunaan biasa untuk 25,000 km pertama atau 12 bulan dari tarikh atau pembelian – pembaikan dan penggantian dikendalikan oleh pembekal waranti.

    “Proton ingin mengalu-alukan Allianz sebagai rakan kongsi insurans dalam usaha kami untuk memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan. Dengan jaminan lanjutan, pemilik kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka akibat kegagalan mekanikal untuk bahagian enjin dan transmisi,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Tambahnya lagi, “Dengan jumlah jualan Proton yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melihat peningkatan yang sama dalam transaksi jual beli atau tukar beli. Oleh itu, dengan mengutamakan kepuasan pelanggan, kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan PCPO adalah pengalaman yang memuaskan dan setanding dengan jenama lain.:

    Sejak penubuhannya pada 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) Proton telah mempunyai 36 cawangan yang menjual kenderaan PCPO dalam negara. Di mana kenderaan yang dijual di bawah program PCPO akan menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 mata dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar. Selain menikmati jaminan lanjutan satu tahun yang meliputi enjin dan transmisi, pelanggan juga mendapat sekali perkhidmatan servis asas yang percuma selepas enam bulan dari tarikh pembelian.

     
     
  • Kemalangan maut pertama di DASH, polis cari saksi

    Kemalangan maut pertama di DASH, polis cari saksi

    Tak sampai seminggu selepas Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dibuka kepada awam, sebuah kemalangan maut telah dilaporkan berlaku malam semalam, dan polis Petaling Jaya menerima laporan pada 12.05 pagi tadi.

    Menurut kenyataan oleh Ketua Polis PJ, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal SYM VF3I. Mangsa dipercayai hilang kawalan ke atas motosikalnya dan merempuh penghadang jalan sebelum jatuh ke atas jalan. Kejadian tersebut berlaku di KM15.7 Lebuhraya DASH menghala ke Denai Alam.

    Mangsa dikenali sebagai seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun, dan telah meninggal di tempat kejadian. Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis sedang cuba mengenal pasti punca kemantiannya dan memohon saksi untuk tampil memberi keterangan. Jika anda ada maklumat berkaitan, hubungi pegawai penyiasat trafik Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.

    Lebuhraya DASH berjarak 20.1 km, menghubungkan Puncak Perdana ke Penchala. Ia melibatkan 13 susur keluar (Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang 2, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala). Sehingga 30 November nanti, tiada caj tol dikenakan.

    Kepada semua, jika anda melalui lebuhraya ini, atau di mana saja situasinya selagi berada di atas jalan, hendaklah lebih peka dan berhati-hati. Jadilah pengguna yang bertanggungjawab, kerana semua kita mampu berbuat demikian. Sayangi nyawa.