Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • UMW Toyota Motor jual 6,637 kenderaan pada Julai 2022 – 52,548 unit setakat 7 bulan pertama tahun ini

    UMW Toyota Motor jual 6,637 kenderaan pada Julai 2022 – 52,548 unit setakat 7 bulan pertama tahun ini

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjual sebanyak 6,637 kenderaan pada bulan Julai 2022, dengan 6,624 unit daripadanya adalah model Toyota, dan 13 unit pula model Lexus. Secara keseluruhannya ia adalah kurang sebanyak 2,302 unit berbanding 8,939 unit yang berjaya dijual pada Jun lalu. Walau bagaimana pun, jualan setakat Julai adalah 48% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Dalam tujuh bulan pertama tahun ini, UMWT telah mendaftar sebanyak 52,548 unit berbanding 35,561 unit pada tempoh yang sama tahun 2021. Syarikat ini juga berkata, Hilux masih kekal sebagai trap pikap paling laris di Malaysia sejak 2005 dengan 1,788 unit terjual pada Julai tetapi tidak didedahkan secara terperinci mengenai prestasi jualan bagi model lain.

    “UMW Toyota Motor komited untuk memastikan penghantaran kenderaan dapat dilakukan segera. Kami sedang berusaha sepanjang masa untuk mempergiatkan pengeluaran bagi memastikan penghantaran lebih cepat kepada pemilik kereta baharu yang telah menunggu dengan sabar. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami atas kesabaran mereka,” ujar Ravindran Kurusamy, presiden UMWT.

    Veloz bakal menjadi model akan datang yang bakal dilancarkan oleh UMWT pada tahun ini dan tempahannya telah pun dibuka sejak Jun lalu. Selepas beberapa minggu, UMWT makin mendedahkan lebih banuak informasi mengenai MPV tujuh-tempat duduk ini yang bakal menggantikan model Avanza. Harga jangkaannya bermula RM95,000 atas jalan tanpa insurans bagi varian tunggal 1.5 AT.

     
     
  • Empat pemenang BMW Motorrad GS Challenge 2022 ke Albania untuk GS Trophy “Follow The Trails”

    Empat pemenang BMW Motorrad GS Challenge 2022 ke Albania untuk GS Trophy “Follow The Trails”

    Hujung minggu lalu telah berlangsung BMW Motorrad GS Challenge 2022, di Putrajaya dengan melibatkan 49 penunggang yang diuji dengan pelbagai teknik serta kemahiran menunggang. Daripada semua yang terlibat, empat telah dipilih sebagai pemenang dengan mendapat hadiah perjalanan yang ditaja sepenuhnya ke Albania untuk “Follow The Trails” BMW Motorrad GS Trophy 2022.

    Mereka adalah Niranjan Visuvalingam, Rosmadi Saad, Muhairi Muhammad serta satu-satunya peserta wanita, Elis Suriani Johari. Melalui perjalanan Follow The Trails ini, mereka akan dapat melalui jalan yang sama untuk cabaran GS Trophy, tetapi tidak bertanding.

    Pada hari pertama GS Challenge di Putrajaya ini, peserta diuji melalui jalan offroad sepanjang 68 km menggunakan jentera BMW GS mereka sendiri dan dinilai berkenaan kemahiran bukan sahaja untuk menunggang, tetapi juga navigasi dan perkara lain oleh pasukan marshal GS antarabangsa yang diketuai oleh bekas peserta GS Trophy 2016, Faizal Sukree.

    Empat pemenang BMW Motorrad GS Challenge 2022 ke Albania untuk GS Trophy “Follow The Trails”

    Kemudiannya pada hari kedua, 10 peserta terbaik yang dipilih daripada hari pertama dihadapkan dengan cabaran dalam laluan khusus yang dibuat di tapak acara utama, melibatkan 13 cabaran. Pemenang dipilih berdasarkan kutipan mata tertinggi.

    Bercakap dengan ketua BMW Motorrad Asia Tenggara, Miguel Llabres-Pohl, semasa hari kedua cabaran, beliau menekankan bahawa meskipun Follow The Trails bukanlah melibatkan penyertaan langsung dalam pertandingan GS Trophy, kecergasan dan kemahiran menunggang yang bagus adalah mandatori. “Mereka akan ikut laluan yang sama dengan peserta GS Trophy, tujuh hari menunggang, semuanya offroad. Ia bukanlah mudah,” kata Llabres-Pohl.

     
     
  • JPJ laksana Ops Puspakom di cawangan Puspakom, pantau pemeriksaan kenderaan perdagangan

    JPJ laksana Ops Puspakom di cawangan Puspakom, pantau pemeriksaan kenderaan perdagangan

    Bagi mengurangkan risiko kemalangan khususnya ke atas kenderaan perdagangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula melaksanakan Ops Puspakom di semua cawangan Puspakom di seluruh negara. Operasi khas ini juga akan turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Zailani Hj. Hashim berkata, Ops Pupskom ini juga akan menumpukan perhatian kepada penilaian standard dan tahap pematuhan pemeriksaan di Puspakom berhubung kualiti penyelenggaraan teknikal kenderaan perdagangan.

    “Berdasarkan statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), mulai Januari sehingga Jun 2022, sebanyak 19,888 buah lori telah direkodkan terlibat dalam kemalangan di jalan raya seluruh Malaysia.

    “Melihat kepada angka itu, JPJ telah merancang tindakan bersepadu melalui pemantauan dan peningkatan intensiti penguatkuasaan roadworthiness termasuk memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan kenderaan dengan kerjasama PUSPAKOM selaras dengan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mana setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan awalan dan pemeriksaan berkala di Puspakom mengikut ketetapan peraturan semasa bagi memastikan kenderaan adalah selamat semasa digunakan di jalan raya”, jelasnya.

    Tambah beliau, selain itu JPJ bercadang untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap prosedur pemeriksaan kenderaan, antaranya meningkatkan frekuensi pemantauan dan audit operasi Puspakom oleh Pasukan Kejuruteraan Automotif JPJ secara mingguan terutama di cawangan yang menjalankan pemeriksaan kenderaan berat.

    JPJ laksana Ops Puspakom di cawangan Puspakom, pantau pemeriksaan kenderaan perdagangan

    “Kita tidak akan maklum terlebih dahulu bila akan masuk bersama SPRM ke Puspakom. Ini menunjukkan suatu komitmen tinggi kita untuk memastikan kenderaan yang melalui proses pemeriksaan, apabila keluar ia dalam keadaan status yang cukup bersedia untuk digunakan.

    “Kenderaan itu (apabila selesai disemak) tanpa memberi sebarang bentuk ancaman keselamatan dari segi mekanikal dan teknikal yang tidak lengkap,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Zailani berkata, pasukan kejuruteraan automotif JPJ tidak hanya terdapat di ibu pejabat, bahkan di pejabat-pejabat negeri sekali gus berupaya melakukan pemeriksaan di Puspakom sekurang-kurangnya sekali seminggu.

    “Pemeriksaan itu bagi melihat sama ada penilaian ke atas kenderaan (oleh Puspakom) dibuat dengan lancar dan mengikut tatacara sebenar, yang sepatutnya. Pihak Puspakom diminta untuk melaksanakan operasi dalaman secara lebih kerap dan mereka ada audit sendiri, ada tatacara sendiri, jadi akan diperhatikan oleh pasukan kejuruteraan automotif JPJ,” katanya.

    Menurutnya, semakan semula mengutamakan keselamatan tinggi terhadap kenderaan lebih-lebih lagi tayar dan brek.

     
     
  • Penghantar barangan p-hailing perlu dapatkan lesen GDL, pindaan had umur penuggang dari 18 tahun

    Penghantar barangan p-hailing perlu dapatkan lesen GDL, pindaan had umur penuggang dari 18 tahun

    Penunggang penghantar makanan dan bungkusan (p-hailing) perlu mendapatkan lesen penghantar barangan (GDL), itu yang dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu sesi dialog bersama wakil penunggang penghantaran makanan susulan mogok seluruh negara oleh kalangan mereka Jumaat lalu.

    Keperluan baru untuk penunggang p-hailing ini dijangka akan berkuatkuasa selepas tiga undang-undang yang terlibat dipinda; Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715), jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. Menurut JPJ, kos untuk mendapatkan lesen GDL berkenaan ialah RM20 dan sah untuk setahun.

    Pindaan akan datang itu adalah untuk tujuan penyeliaan dan penetapan peraturan, dan akan mengambil kira pandangan daripada pihak terlibat. Keperluan terhadap GDL ini adalah bertujuan untuk mengawal selia kenderaan penghantar barangan untuk kegunaan perniagaan penghantar barangan, terutamanya p-hailing yang menggunakan motosikal.

    Penghantar barangan p-hailing perlu dapatkan lesen GDL, pindaan had umur penuggang dari 18 tahun

    Dalam memastikan daya saing jangka panjang sektor perkhidmatan ini, kawal selia berkenaan turut bertujuan mengambil berat kebajikan penunggan dan pemandu kenderaan p-hailing. Syarat untuk ini termasuklah insurans untuk penunggang dan pemandu, jelas Wee lagi.

    Selain itu, had umur untuk penunggang p-hailing juga akan diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun bagi membolehkan lebih banyak penunggang untuk bekerja dalam p-hailing. Pindaan undang-undang itu akan dibentang untuk didebat dalam sidang Parlimen seterusnya.

     
     
  • JPJ eBid: AMQ dan QCP bakal dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan terdapat dua siri nombor plat pendaftaran baharu yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Perak, AMQ ini akan mula dibuka bidaan pada 13 Ogos 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 17 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 18 Ogos 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor plat dari Sarawak pula, QCP, bakal dibuka bidaan bermula 20 Ogos ini dan berlangsung sehingga 10 malam pada 24 Ogos 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaannya ditutup.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Pembinaan Fasa 2 projek SSLR dan LTB di S’wak, Sabah bermula seawal tahun depan; kos RM10.62b

    Pembinaan Fasa 2 projek SSLR dan LTB di S’wak, Sabah bermula seawal tahun depan; kos RM10.62b

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) telah menerima kelulusan daripada kerajaan pusat dan pembinaannya akan bermula seawal tahun 2023.

    Menurutnya, penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir dengan pembinaannya dijangka mengambil masa selama tiga hingga lima tahun, laporan Bernama.

    Tambah beliau lagi, projek itu bukan saja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai laluan perhubungan utama.

    Pembinaan Fasa 2 projek SSLR dan LTB di S’wak, Sabah bermula seawal tahun depan; kos RM10.62b

    “Pengguna dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Brunei menggunakan laluan projek LTB sepanjang 96 km yang bakal ditambah baik kepada dua lorong untuk perjalanan dua hala.

    “Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326 km yang juga kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77 km,” katanya.

    Jelasnya, projek membabitkan kos RM10.62 bilion itu bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.

     
     
  • JPJ Penang saman 235 penunggang motosikal untuk pelbagai kesalahan trafik dalam Op Lejang

    JPJ Penang saman 235 penunggang motosikal untuk pelbagai kesalahan trafik dalam Op Lejang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah menyaman 235 penunggang motosikal menerusi Op Lejang yang diadakan pada malam minggu lalu. Sebanyak 675 motosikal telah diperiksa, dan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

    Antara kesalahan tersebut ialah penunggang bawah umur, tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan lnsuran, ubahsuai motosikal seperti tiada brek belakang, ubahsuai swing arm, ubahsuai ekzos, saiz tayar terlalu kecil, tidak pamer pelekat P, tiada cermin sisi dan guna nombor pendaftaran fancy.

    Op Lejang ini yang dilaksanakan di dua lokasi iaitu di Tol Juru dan Tol Jambatan Pulau Pinang ini dengan sasaran utama terhadap motosikal yang diubahsuai untuk tujuan uji kelajuan, lumba haram atau rempit, di samping kesalahan trafik lain.

    Turut bersama menyertai Op Lejang ialah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PLUS Berhad.

    Dalam masa yang sama, JPJ menasihati pemilik dan penunggang motosikal supaya patuh pada peraturan dan undang undang berkuatkuasa serta tidak terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram, rempit serta menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya yang boleh merbahayakan penunggang sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Pandulah dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Keselamatan di jalan raya menjadi keutamaan Jabatan serta tanggungjawab kita bersama. lngat insan tersayang,” kata JPJ Penang seperti yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasminya.

     
     
  • GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star — MPV 7-tempat duduk pada harga RM163k

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star — MPV 7-tempat duduk pada harga RM163k

    Nissan Serena S-Hybrid facelift baru saja dilancarkan untuk pasaran tempatan awal Julai lalu selepas diperkenalkan di Jepun pada 2019. Dua varian disediakan, iaitu Highway Star pada harga RM149,888 dan Premium Highway Star pada harga RM162,888 atas jalan, tidak termasuk insurans dan termasuk SST. Yang anda lihat di dalam galeri ini adalah versi yang paling tinggi, Premium Highway Star.

    Untuk enjin, Serena Hybrid ini masih menggunakan unit MR20DD 2.0 liter empat-silinder suntikan terus petrol dengan kotak gear Xtronic CVT. Enjin ini menjana sebanyak 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm tork pada 4,000 rpm, dan dibantu oleh motor elektrik 1.8 kW (2.6 PS) dan 48 Nm motor elektrik untuk pecutan lebih baik. Penggunaan minyak gabungan adalah 14.2 km/l dalam kitaran NEDC.

    Untuk bahagian luaran, MPV ini ditampilkan dengan gril Majestic Chrome V-Motion baharu yang lebih bergaya dan nampak agresif, bampar hadapan rekaan baharu dengan kemasan hitam berkilat, lampu utama dengan unit projektor automatik bersama larasan auto dan lampu signitur LED. Ia turut diberikan lampu kabus hadapan dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan cermin sisi yang boleh dilaras secara automatik.

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star — MPV 7-tempat duduk pada harga RM163k

    Nissan Serena S-Hybrid 2022 ini turut ditambahkan dengan ciri keselamatan aktif seperti brek kecemasan sendiri (AEB), amaran ketibaan lorong (LDW) dan amaran titik buta (BSW) serta kepekaan trafik lintasan belakang (RCTA).

    Ini sebagai tambahan kepada kelengkapan keselamatan aktif lain buat Serena S-Hybrid 2022 yang terdiri daripada bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, ABS, EBD dengan bantuan brek, cagak ISOFIX untuk barisan kedua tempat duduk. Untuk keselamatan pasif, kedua-dua varian menerima enam beg udara.

    Pilihan warna pula terdiri daripada Diamond Black, Tungsten Silver, Brilliant White dan Radiant Red; yang terakhir ini warna yang dikhususkan hanya kepada varian Premium Highway Star.

     
     
  • Mercedes lancar kerusi pejabat AMG – berasaskan kerusi AMG Performance dalam kereta; RM16k

    Mercedes lancar kerusi pejabat AMG – berasaskan kerusi AMG Performance dalam kereta; RM16k

    Bukan setakat keluarkan jentera, terkini Mercedes-AMG turut memperkenalkan kerusi pejabat AMG yang didakwa keselesaannya menyamai dengan tempat duduk AMG di dalam jentera prestasi model berkenaan. Kerusi pejabat ini diasaskan dari tempat duduk AMG Performance yang berada di dalam model kompak pengeluar terbabit, termasuk A 45 atau GLA 45 – dengan seberat 32 kg dan harganya setanding kualitinya.

    Harga rasminya mencecah 3,500 euro (RM15,899) dan ia dikeluarkan secara eksklusif, dengan 50 unit pertama diperuntukkan khas untuk ahli Private Lounge. Walau bagaimana pun, difahamkan pada masa hadapan, ia juga akan ditawarkan pada bukan ahli, tetapi jika anda ingin menjadi salah satu daripada pemilik bertuah ini, anda perlu mendaftarkan diri untuk mendapatkannya.

    Dengan harganya yang agak tinggi itu, kerusi pejabat AMG ini diberikan kulit buatan tangan Artico dan upholstery gentian karbon Dinamica. Ia juga dipadankan dengan jahitan kontras merah, dan dilengkapi dengan lencana AMG.

    Walau bagaimana pun, ia tidak diberikan larasan kuasa seperti tempat duduk dalam model AMG, tetapi kerusi pejabat ini memiliki perehat tangan yang boleh dilaras ketinggian, kelebaran dan pangsinya secara manual. Manakala perehat kaki juga boleh dipanjangkan dan terdapat juga larasan untuk sudut kerusi serta bahagian belakangnya, selain dibaluti kusyen yang tebal dan selesa.

     
     
  • Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Mac lalu, Mazda Malaysia yang diwakili oleh Bermaz Motor telah pun memperkenalkan model kemasikini 2022 untuk Mazda CX-3. Terkini, nampaknya crossover segmen-B yang diimport sepenuhnya (CBU) itu diberikan varian baharu yang lebih mampu milik untuk pasaran tempatan.

    Perkara ini diketahui selepas pembaca paultan.org menunjukkan senarai harga baharu untuk CX-3 dari pengedar, yang kini turut menyenaraikan model CX-3 1.5G dalam varian tunggal 2WD Core, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM107,870, yang jelas lebih murah dari model-model CX-3 dengan enjin 2.0 liter

    Model ini dijana oleh enjin SkyActiv-G 1,496 cc tanpa sebarang induksi paksaan, menghasilkan kuasa 114 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 149 Nm pada takat 4,000 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bagi memacu roda hadapan.

    Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Padanan unit rakgkaian kuasa ini sebenarnya sama dengan unit yang terdapat pada Mazda 2 Hatchback dan sedan. Pelanggan turut ditawarkan dengan filem penapis haba Activ-e yang berharga RM1,900, menjadikan harga penuhnya ialah RM109,770.

    Senarai harga yang ditunjukkan oleh pengedar berkenaan turut memberikan harga baharu untuk CX-3 dengan enjin 2.0 liter, bermula dengan 2.0G 2WD Core dijual pada harga RM118,159 diikuti varian 2.0G 2WD High dijual pada harga RM131,359. Pembeli untuk model 2.0G High juga ditawarkan dengan opsyen bumbung suria, dengan tambahan harga RM2,000.

    CX-3 2.0G Core dan 2.0G High ini menerima enjin SkyActiv-G 2.0 liter NA yang menghasilkan 154 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 206 Nm bermula 2,800 rpm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bagi memacu roda hadapan.

    Mazda CX-3 1.5L 2022 – harga didedahkan pengedar, bermula RM108k; model 2.0L masih ditawarkan

    Antara perincian yang sudahpun dilengkapkan untuk CX-3 2022 yang telah diumumkan Mac lalu termasuk enam beg-udara, sistem brek dengan ABS dan EBD serta BA, kawalan kestabilan, traction control, isyarat berhenti kecemasan, bantuan mendaki, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, kunci walk away, amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk semua kerusi dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Model kemaskini 2022 tersebut juga kini sudah menerima skrin sesentuh lapan-inci yang lebih besar, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi.

    Pakej bantuan pemanduan i-Activsense turut dipadankan secara standard pada model ini, termasuk sistem seperti High Beam Control (HBC), Lane Departure Warning System (LDWS), Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support (SCBS), Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

    Senarai harga baharu berkenaan turut menyebut bahawa Mazda CX-3 2022 dalan versi 1.5 dan 2.0 kedua-duanya menerima waranti selama lima-tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun 100,000 km.

     
     
  • GALERI: Honda City 1.5 V petrol sedan vs Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV 2022 — RM91k – RM110k

    GALERI: Honda City 1.5 V petrol sedan vs Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV 2022 — RM91k – RM110k

    Kereta segmen B ketika ini mempunyai penawaran yang setara dalam kalangan beberapa jenama utama yang ada. Disember tahun lalu, Honda City Hatchback mula diperkenalkan, menjadikan saingan Honda kini juga dalam “format” reka bentuk yang sama dengan pesaing lain, misalnya Toyota yang mempertaruhkan Vios dan Yaris.

    Dengan kehadiran City Hatchback ini juga, model Jazz tidak lagi ditawarkan untuk pasaran Malaysia, kerana menurut Honda, “jenama” City itu sendiri sudah cukup kuat dan dengan penampilan terkininya itu model berkenaan benar-benar membawa semangat dan penggunaan yang sangat ideal untuk warga kota.

    Untuk itu, dua versi terbaru berkenaan jugalah ditampilkan dalam galeri lengkap ini. Pertama adalah Honda City Sedan 1.5 V, dan adiknya pula diwakili oleh varian yang paling tinggi, Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV.

    GALERI: Honda City 1.5 V petrol sedan vs Honda City Hatchback 1.5 RS e:HEV 2022 — RM91k – RM110k

    Dari segi penampilan, wajah depan kedua-dua model sangat mirip (hanya berbeza dari sudut kemasan, misalnya bahagian grilnya bagi gred kemasan yang berlainan), dengan perbezaan paling ketara adalah dibahagian belakang; jika model sedan nampak lebih bersedia untuk memikul tugasan sebagai kenderaan keluarga, model hatchback pula menampilkan imej yang lebih sporty dan muda.

    City Hatchback ini merupakan model hibrid, dengan janaan kuasa motor elektriknya sebanyak 109 PS/253 Nm, dengan bekalan kuasa juga dari enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS pada 5,600 rpm dan 127 Nm dari 4,500 rpm hingga 5,000 rpm. Ruang dalamannya juga dibezakan dengan penggunaan kemasan merah.

    Dan sudah tentu kapasiti ruang barangan juga berbeza antar keduanya. Model Sedan memberikan 519 liter, sementara City Hatchback menyediakan 289 liter (841 jika kerusi belakang dilipat). Jika mengambil kira ruang sampai ke bumbung, maka ruang yang tersedia adalah 1,189 liter.

    Untuk melihat dengan lebih lanjut kelainan antara kedua model dan varian yang ada ini, galeri lengkap yang kami sediakan ini boleh dijadikan rujukan.

    Honda City Sedan 1.5 V 2022

    Honda City Hatchback e:HEV 1.5 RS 2022

     
     
  • Honda Jazz facelift 2022 didedah untuk pasaran Jepun – terima versi sporty RS, sistem e:HEV lebih berkuasa

    Honda Jazz facelift 2022 didedah untuk pasaran Jepun – terima versi sporty RS, sistem e:HEV lebih berkuasa

    Tidak sampai tiga tahun selepas ia diperkenalkan buat kali pertama di Tokyo Motor Show 2019, Honda Jazz generasi keempat kini diberikan facelift di Jepun. Dikenali sebagai Fit di sana, model hatchback ini terus ditawarkan dalam lima versi, namun versi Ness telah dikeluarkan daripada senarai.

    Sekarang ini, apa yang ditawarkan adalah Basic, Home, Luxe dan Crosstar, sementara versi Ness diganti dengan RS yang baru. Setiap versi mempunyai kemasan penggayaan unik tersendiri, dan yang paling sporty adalah RS, dengan mendapat bampar hadapan dengan bukaan udara lebih besar, lencana RS warna merah serta rekaan rim lebih agresif.

    Di dalam, versi RS ini mendapat jahitan kontras pada roda stereng, pedal penukar gear di stereng serta butang pemilih mod pemanduan (Normal, Sport dan Econ). Bahagian lain kabin masih sama, dan turut mendapat panel instrumen digital tujuh inci serta skrin infotainmen sesentuh sembilan inci.

    Honda memberitahu Jazz (Fit) akan hadir dengan sistem e:HEV, yang didakwa telah ditala untuk meningkatkan kuasa motor serta memperbaiki maklum balas pendikit, tetapi perinciannya masih belum didedah. Pada Jazz sebelum facelift ini, sistem e:HEV dengan teknologi i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) menampilkan motor elektrik yag terletak di hadapan, berkuasa 109 PS dan 253 Nm tork.

    Enjin petrol 1.5 liter berkuasa 98 PS dan 127 Nm bertindak sebagai generator untuk bateri yang memberi kuasa kepada motor elektrik, tetapi pada kelajuan lebih tinggi, ia juga mampu memberikan pacuan terus melalui klac jenis lock-up.

    Bagi versi lain Jazz ini, Basic, Home dan Luxe mendapat rekaan bampar hadapan baru yang tidak lagi mempunyai kemasan C di bucunya (menjadi lebih ringkas), sementara Home juga mendapat kemasan krom pada gril untuk membezakannya dengan Basic. Versi Luxe turut mendapat kemasan krom di bahagian tepi pintu serta cermin sisi berwarna kontras.

    Honda Jazz facelift 2022 didedah untuk pasaran Jepun – terima versi sporty RS, sistem e:HEV lebih berkuasa

    Versi Crosstar yang mendapat inspirasi daripada crossover mendapat bahagian dalam gril baru seperti HR-V, dan bahagian bawahnya ditambah dengan kemasan berwarna. Kemasan di tepi pintu juga dijadikan lebih menyerlah dan memberikan kontras berbanding kemasan hitam lain di keliling kereta. Crosstar juga adalah satu-satunya versi yang didatangkan dengan warna dua tona.

    Semua versi Jazz yang dijual di Jepun datang dengan pakej Honda Sensing secara standard, dengan sistem seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), False Start Suppression, Lane Keeping Assist, Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist, Traffic Sign Recognition serta lampu tinggi automatik. Enjin biasa tanpa sistem hibrid dan pacuan semua roda turut ditawarkan.

    Maklumat lebih lanjut akan didedahkan apabila ia dilancarkan secara rasmi di Jepun tidak lama lagi. Di negara kita, dan beberapa negara ASEAN lain, Jazz tidak lagi dijual dan diganti dengan City Hatchback.

     
     
  • Royal Enfield Hunter 350 didedah – lebih murah dan mudah ditunggang berbanding Classic 350, RM8k

    Royal Enfield Hunter 350 didedah – lebih murah dan mudah ditunggang berbanding Classic 350, RM8k

    Seperti yang diberitahu awal melalui teaser-teaser sebelum ini, Royal Enfield akhirnya semalam mendedahkan kepada dunia model baru Hunter 350 dalam satu acara yang dilakukan di Thailand. Ini adalah sebuah model yang menggunakan asas sama seperti Classic 350 dan Meteor 350, tetapi mendapat beberapa perubahan untuk menjadikannya lebih unik.

    Tiga varian diperkenalkan untuk Hunter 350 ini, iaitu paling murah adalah Retro Factory yang diletakkan pada harga 149,900 rupee (RM8,419), diikuti Metro Dapper 163,900 rupee (RM9,205) dan Metro Rebel 168,900 rupee (RM9,486). Sebagai perbandingan, model Hunter ini adalah lebih murah berbanding Classic 350, yang dijual di India pada harga 218,450 rupee (RM12,269). Di Malaysia, Classic 350 dijual pada harga bermula RM23,500 sementara Meteor 350 bermula RM24,300.

    Melihat kepada kelengkapannya, varian Retro adalah lebih murah disebabkan ia menggunakan rim 17 inci spoked, brek dram di belakang dan meter seperti Classic 350, sementara varian Metro mendapat rim aloi 17 inci dengan tayar tanpa tiub, brek cakera hadapan dan belakang serta meter gabungan digital dan analog seperti Meteor 350.

    Sepanjang majlis pelancarannya yang boleh ditonton melalui siaran langsung dalam media sosial, Hunter 350 dipersembahkan lebih sebagai satu produk yang mensasarkan pengguna baru dan lebih mudah didekati dan tidak banyak kelengkapan teknikal yang ditunjuk selain diberitahu merupakan model Royal Enfield paling ringan, serta lebih lincah hasil daripada jarak roda yang dipendekkan 20 mm serta kedudukan fork yang lebih tegak.

    Walaupun ciri teknikal tidak banyak dibentangkan, kita boleh mengetahui ia tidak berbeza jauh dengan Classic 350 dan Meteor 350, dengan menggunakan enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm. Walaubagaimanapun, pemetaan enjinnya dikatakan telah diubah sedikit.

    Perincian lain Hunter 350 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, sistem ABS two-channel (untuk varian Metro), tinggi tempat duduk 800 mm, tangki bahan api 13 liter serta pengecas USB berhampiran bahagian tuil klac tangan.

     
     
  • Proton Iriz R5 rangkul naib juara di Rallye National de Fourmies-en-Avesnois, Perancis hujung minggu lalu

    Proton Iriz R5 rangkul naib juara di Rallye National de Fourmies-en-Avesnois, Perancis hujung minggu lalu

    Hujung minggu lalu, pasukan Proton Motorsports yang dikendalikan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah pun menyertai rali permukaan tar di Perancis, Rallye National de Fourmies-en-Avesnois 2022, menyaksikan pemandu utamanya iaitu Oliver Mellors yang memandu Proton Iriz R5 berjaya merangkul tempat kedua keseluruhan!

    Rali ini berlangsung di Nord-Pas-de-Calais, dengan laluan 100% di permukaan asfalt sejauh 131.31 km yang dibahagikan kepada tujuh Special Stage (SS) dan berlangsung selama dua hari, dari 6 Ogos hingga 8 Ogos 2022. Oliver Mellors menunjukkan prestasi yang cukup meyakinkan sejak dari peringkat awal rali berkenaan dengan menghabiskan SS1 di tempat kedua, dengan berada 13.8 saat di belakang pemandu tuan rumah, Sébastien Alemany yang memandu Skoda Fabia R5.

    “Ia adalah peringkat yang sukar. Secara jujur, kami memandu dengan baik, Mellors mengejutkan saya,” kata Alemany selepas tamat SS1. “Kereta agak tidak stabil pada laluan ini. Walau bagaimanapun ia masih pagi yang baik. Saya akan terus menyempurnakan pengalaman asfalt saya di Perancis,” kata Ollie Mellors pula.

    Proton Iriz R5 rangkul naib juara di Rallye National de Fourmies-en-Avesnois, Perancis hujung minggu lalu

    Namun pada SS2, Ollie Mellors jatuh ke tempat ketiga setelah dipintas oleh seorang lagi pemandu Perancis, Frédéric Roussel yang memandu Citroën DS3 R5.

    Walau bagaimanapun, Ollie melakukan kejutan pada SS terakhir untuk hari pertama, di mana dia mencatatkan masa terpantas di SS4 meninggalkan Alemany 4.8 saat di belakang. Ini membolehkan Ollie kembali naik ke tangga kedua keseluruhan dengan perbezaan masa 33.7 saat berbanding Alemany.

    Cabaran hari kedua menyaksikan Ollie sekali lagi mencatatkan masa terpantas di SS6, manakala di SS5 dan SS7 dia hanya berada di tempat kedua. Ini membolehkan Sébastien Alemany memenangi rali berkenaan, sementara Frédéric Roussel kekal di tempat ketiga sehingga tamat perlumbaan.

    Menurut MEM, penyertaan mereka di Rallye National de Fourmies-en-Avesnois ini adalah salah satu persediaan untuk Oliver Mellors bersama juru arahnya, Ian Windress dan juga Proton Iriz R5 bagi mewakili United Kingdom dalam FIA Motorsports Games untuk kategori Rally2 yang juga akan berlangsung di Perancis pada 26 hingga 30 Oktober 2022.

     
     
  • JPJ eBid: JVP, VJM dan BRB dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri baharu bagi nombor plat pendaftaran kenderaan yang bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Untuk siri nombor plat dari Johor, JVP, ia bakal dibuka bidaan pada 10 Ogos 2022 dan tempoh bidaannya selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 14 Ogos. Keputusannya pula akan diumumkan pada keesokan harinya, 15 Ogos 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dua lagi siri plat baharu pula sedang dibuka bidaannya, iaitu VJM dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan BRB dari Selangor. Untuk VJM, bidaannya sedang berlangsung sehingga esok, 9 Ogos 2022 dan keputusannya akan diumumkan pada 10 Ogos. Manakala bagi yang berminat untuk mendapatkan nombor plat BRP pula, anda diberi peluang untuk membidanya sehingga 10 Ogos ini dan tempohnya berakhir pada jam 10 malam, 11 Ogos ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Jaguar F-Type 2022 di Malaysia – 2.0L P300, luaran disemak semula, paparan digital penuh; RM689k

    Jaguar F-Type 2022 di Malaysia – 2.0L P300, luaran disemak semula, paparan digital penuh; RM689k

    Jaguar Land Rover Malaysia telah memperkenalkan Jaguar F-Type facelift di Malaysia, yang hadir dengan varian 2.0L P300, dan ditawarkan pada harga bermula RM688,800.

    F-Type ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder Ingenium yang mampu menghasilkan kuasa hingga 300 PS dan 400 Nm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, dengan pacuannya disalurkan ke roda belakang. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai hingga 250 km/j.

    Antara perubahan luaran yang dilakukan termasuklah lampu utama LED yang lebih nipis, dengan ditemani lampu nyalaan siang LED tiga-bilah. Hujung hadapannya juga menerima bampar yang direka semula bersama gril yang lebih besar, bersama bonet clamshell baharu.

    Selain itu, ia juga diberikan kemasan warna Firenze Red yang menyerlah, juga bersama pakej Black Exterior. Di mana rona hitam menjadi kemasan untuk keliling tingkap, gril hadapan, fender dan lip hadapan.

    Untuk bahagian belakang pula, rekaan lampu baharu diinspirasikan dari SUV I-Pace eletrik. Ia juga diberikan roda split-spoke Style 6003 20-inci dibaluti tayar Pirelli P Zero, bersama ciri pilihan termasuk sistem Switchable Active Exhaust secara standard. Selain itu, F-Type juga diberikan roda jejari-10 Style 1036 18-inci dengan kemasan Gloss Sparkle Silver secara standard.

    Sistem Switchable Active Exhaust boleh diaktifkan menerusi suis pada konsol tengah untuk mendapatkan ngauman yang lebih padu. Manakala dwi corong ekzos sebelum ini telah digantikan dengan unit segi empat tepat. Selain itu, terdapat juga suis pada konsol tengah untuk membuka boot lid spoiler.

    Jaguar F-Type 2022 di Malaysia – 2.0L P300, luaran disemak semula, paparan digital penuh; RM689k

    Di dalamnya, F-Type ini diberikan tempat duduk ringan sport, paparan infotainmen InControl Touch Pro 10-inci dengan Apple CarPlay, sistem pendingin hawa zon tunggal dan sistem bunyi Meridian 380 watt. Selain itu, tempat duduk larasan elektrikal 12-hala yang dibaluti material kulit Ebony dan suede turut diberikan.

    Ciri baharu untuk bahagian kabin termasuklah kluster instrumen digital penuh, bagi menggantikan unit analog daripada model pre-facelift. Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, ia diberikan enam beg udara, paparan keadaan pemandu, bantuan parkir, bantuan kekal lorong, kawalan kelajuan dan kamera undur.

     
     
  • Pemandu BMW no. pend. Singapura geser Honda e milik Tunku Temenggong Johor di saman RM300

    Susulan insiden membabitkan sebuah BMW 3 Series dengan nombor pendaftaran Singapura yang menggeser bahagian hadapan Honda e milik Tunku Temenggong Johor (TTJ), Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim minggu lalu, pemandu BMW berkenaan dilaporkan telah pun disaman oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat dalam laporan Harian Metro, lelaki berusia 62 tahun itu dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk diserahkan saman Pol 257, semalam.

    Raub menjelaskan bahawa lelaki tersebut disaman mengikut Rule 10 LN 166/59 iaitu kesalahan lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik yang boleh dikenakan saman maksimum RM300. Walau bagaimanapun, pemandu tersebut sudahpun menjelaskan saman pada pukul 1.45 petang hari yang sama.

    Insiden berkenaan berlaku di Jalan Serampang, Taman Pelangi, pada jam 2.17 1 Ogos lalu di hadapan sebuah kedai roti. Tunku Idris berkongsi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut menerusi akaun Instagram miliknya dengan kapsyen ringkas “perangai”.

    Pemandu BMW no. pend. Singapura geser Honda e milik Tunku Temenggong Johor di saman RM300

    Daripada rakaman CCTV yang dikongsi, dapat dilihat BMW tersebut melanggar bahagian hadapan kanan Honda e yang diparkir pada sebelah kiri jalan ketika ia mengambil side untuk masuk ke petak parkir pada sebelah kanan. Kemudian seorang pemandu lelaki keluar daripada BMW dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.

    Honda e merupakan kereta elektrik kompak yang setakat ini hanya dijual secara rasmi di pasaran Eropah dan Jepun, jadi ia tidak akan di bawa secara rasmi ke sini oleh Honda Malaysia. Tunku Idris memuat naik gambar Honda e tersebut buat pertama kali pada bulan Ogos tahun lalu.

    Namun jika ada yang berminat, ada juga pengedar kereta import terpakai yang mula membawa Honda e ini ke pasaran tempatan, contohnya Weststar Motors yang menawarkan model berkenaan bermula tahun lalu. Ketika itu kerajaan masih belum menawarkan insentif pengecualian cukai untuk model-model EV, dan ia dijual pada harga RM210,000 untuk varian tertinggi Advance. Di UK model ini dijual baharu dengan harga atas jalan £31,665 atau sekitar RM180k.

     
     
  • Petronas di R&R Sg Perak (selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup mulai 8 Ogos untuk dinaiktaraf

    Petronas di R&R Sg Perak (selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup mulai 8 Ogos untuk dinaiktaraf

    PLUS Berhad telah memaklumkan bahawa stesen Petronas di R&R Sungai Perak (di KM249.4, arah selatan) akan ditutup mulai 8 Ogos ini untuk kelancaran kerja-kerja naiktaraf.

    Penutupan stesen Petronas tersebut akan berlangsung sehingga tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Walau bagaimana pun, penutupan tersebut tidak melibatkan keseluruhan kawasan R&R terbabit, di mana anda masih boleh singgah di sana untuk menjamu selera, ke tandas mahu pun ke surau.

    Jika kenderaan anda hampir kehabisan bahan api dalam perjalanan berhampiran kawasan berkenaan,
    selepas melepasi sungai Perak dan merentasi laluan di Terowong Menora, anda boleh memasuki susur Ipoh untuk mengisi minyak berhampiran dengan plaza tol Ipoh.

     
     
  • Chery Omoda 5 ditemui lagi di M’sia – stereng sebelah kanan, pencabar X50 dan HR-V bakal dilancar?

    Chery Omoda 5 ditemui lagi di M’sia – stereng sebelah kanan, pencabar X50 dan HR-V bakal dilancar?

    Chery sebelum ini pernah memberitahu mereka akan kembali ke pasaran Malaysia pada tahun 2022 dengan membawa beberapa SUV termasuklah Omoda 5. Model ini sudah pernah ditemui diuji di Malaysia, tetapi melalui set gambar yang kami dapat daripada pembaca, Wafi Rahman dan Colin Yong ini adalah lebih jelas dan ada antaranya turut menampakkan bahagian dalam.

    Kita boleh melihat bahawa unit ujian yang ditemui ini mempunyai stereng di sebelah kanan, sekaligus mengesahkan bahawa Chery sedang membangunkan Omoda 5 RHD untuk pasaran global. Tempahan untuk SUV ini baru sahaja dibuka di China bulan lalu, tetapi di sana mereka menggunakan model pemanduan sebelah kiri. Selain Malaysia, negara jiran lain seperti Thailand dan Indonesia, serta Australia dan Afrika Selatan juga menggunakan model RHD.

    Disebabkan cuaca yang panas dan lembab, serta pelbagai keadaan pemanduan di atas jalan raya, negara kita menjadi tempat yang sesuai untuk menjalankan ujian ketahanan dan jarak jauh. Chery juga berkemungkinan sedang membuat penilaian teknologi pemanduan seperti ADAS pada kenderaan mereka.

    Sekarang melalui gambar terbaru yang menampakkan bahagian depan ini, kita sudah boleh yakin kenderaan yang ditampal dengan pelekat camouflage ini sebenarnya memang adalah Omoda 5. Gril unik model ini boleh dikenali meskipun dengan pelekat penyamaran tersebut, dan kita juga boleh melihat lampu utamanya yang terletak rendah, bersama DRL LED di atas. Warna tapak cermin sisi itu juga adalah satu lagi petunjuk ia adalah Omoda 5.

    Walaubagaimanapun, rekaan papan pemuka, roda stereng serta panel pintu model RHD ini adalah berbeza berbanding Omoda 5 LHD – sama ada Chery memang akan menghasilkan rekaan yang berbeza ataupun ia sekadar diguna buat sementara waktu. Bentuk papan pemuka ini juga lebih konvensional dan tidak terlalu rumit.

    Di China, Omoda 5 dipacu oleh enjin petrol TGDI 1.6 liter, menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm tork, dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan boleh melakukan pecutan o-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih padanan penggerak 1.5 TCI dengan transmisi 9CVT.

     
     
  • Penghantar makanan mogok 24 jam hari ini – Grab bagi maklum balas, tiada pengurangan bayaran asas

    Penghantar makanan mogok 24 jam hari ini – Grab bagi maklum balas, tiada pengurangan bayaran asas

    Semalam telah keluar satu laporan bahawa penghantar makanan bermotosikal (rider) berpakat untuk mengadakan satu mogok 24 jam hari ini (5 Ogos) di seluruh negara sebagai tanda protes mereka terhadap bayaran diterima yang mereka katakan tidak adil.

    Menurut timbalan presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani, rider dibayar kadar rata untuk setiap penghantaran dan menerima insentif berdasarkan masa dan jarak bagi setiap tempahan yang diterima.

    Walaubagaimanapun beliau mendakwa, rider tidak menerima pampasan yang sepatutnya apabila penghantaran mengambil masa yang lebih lama untuk dilaksanakan. Beliau turut menambah bahawa rider ditekan untuk melaksanakan lebih banyak penghantaran setiap hari untuk mencapai pendapatan sasaran mereka, dan mogok 24 jam ini dilakukan bagi menunjukkan kepada syarikat bagaimana perasaan mereka berkenaan situasi sekarang, di mana mereka rasa mereka menerima kurang bayaran meskipun telah membuat lebih penghantaran.

    Susulan daripada pengumuman mogok yang dipanggil sebagai “Food Delivery Blackout” ini, Grab Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan yang menjelaskan tiada pengurangan bayaran asas dibuat untuk servis penghantaran mereka – lapor The Star.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, syarikat itu memberitahu bahawa isu terbaru yang dibangkitkan oleh rakan penghantar mereka adalah disebabkan oleh kesilapan yang berlaku dalam sistem, di mana rider akan melihat percanggahan dalam bayaran yang diterima. Grab bagaimanapun memberitahu bahawa isu ini telah diatasi dengan menyampaikan kembali sebarang kekurangan kepada rakan penghantar mereka yang terkesan. Perkara ini dikatakan sudah dijelaskan melalui saluran komunikasi rasmi 21 Julai lalu.

    Penghantar makanan mogok 24 jam hari ini – Grab bagi maklum balas, tiada pengurangan bayaran asas

    “Kami meminta maaf atas sebarang kesulitan terjadi kepada semua rakan kongsi kami, dan kami ingin menggalakkan mereka untuk mendekati kami melalui laman Facebook kami, atau datang terus ke Grab Driver Centre & Kiosks (GDC) sekiranya ada sebarang pertanyaan,” kata Grab.

    Syarikat itu juga memberi jaminan kepada semua pengguna, termasuk pelanggan dan rakan peniaga bahawa mereka sentiasa komited dalam memberi sokongan kepada komuniti rakan penghantar. Ia juga memberitahu bahawa pelbagai usaha telah diperkenalkan untuk memberi sokongan kepada rakan penghantar selama beberapa tahun ini.

    Grab menyatakan, antara inisiatuf yang dibuat termasuk perlindungan sewaktu bekerja dengan perlindungan kemalangan individu percuma dan kerjasama dengan EPF, serta membantu rider mengurangkan kos operasi melalui antaranya diskaun petrol, penyelenggaraan kenderaan dan keperluan harian. Selain daripada itu, mereka juga ada membuat pelbagai promosi dan kempen untuk menyediakan lebih tugas kepada rider.