Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Teknologi 5G boleh lancarkan kesesakan trafik, operasi autonomous lebih cekap — pensyarah UTM

    Teknologi 5G boleh lancarkan kesesakan trafik, operasi autonomous lebih cekap — pensyarah UTM

    Kehadiran 5G, atau teknologo selular jalur lebar generasi kelima akan membolehkan operasi lebih pantas bagi rangkaian peranti yang terlibat. Pembangunan prasarana untuk menyokong 5G di Malaysia juga akan memperbaiki operasi sektor-sektor tertentu, antaranya adalah aliran trafik serta pengangkutan awam. Perkara ini dinyatakan oleh Pensyarah Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia, Bruce Leow.

    Masalah seperti kesesakan trafik, ketidakcekapan pengangkutan awam dan banyak lagi akan dapat diatasi dengan teknologi 5G, menggunakan sistem pusat yang memanfaatkan kepintaran buatan, ujar beliau kepada SAYS.

    “Ketika ini, banyak sistem berfungsi secara sendirian. Ia tidak terhubung. Ini bermaksud seperti lampu isyarat misalnya, ia tidak berhubung atau berkomunikasi antara satu sama lain. Tetapi dengan 5G, lampu isyarat boleh berhubung sesama mereka, kemudian akan diselaraskan dan diubah sewajarkan bergantung kepada keadaan trafik,” tambah Leow.

    Teknologi 5G boleh lancarkan kesesakan trafik, operasi autonomous lebih cekap — pensyarah UTM

    Pelaksanaan teknologi 5G akan turut memberi manfaat kepada pembangunan kenderaan autonomous dan teknologi berkaitan. Malaysia sudahpun mempunyai jalan awam yang menyokong ujian kenderaan autonomous ini, dengan laluan pertama diusulkan pada November 2020 dan diluluskan tidak lama kemudian.

    Bertempat di Cyberjaya, laluan ujian ini dibangunkan oleh anak syarikat Cyberview, Futurise dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS), di bawah inisiatif National Regulatory Sandbox. Ia satu daripada dua laluan yang ada untuk tujuan berkenaan. Sebahagian dari usaha berkenaan turut melibatkan pembangunan mobiliti urban, termasuk kenderaan autonomous dan kenderaan terbang tanpa pengendali (UAV).

     
     
  • Lori rempuh 11 kereta di lampu isyarat di Shah Alam

    Lori rempuh 11 kereta di lampu isyarat di Shah Alam

    Ini kejadian yang kerap juga berlaku; barisan kereta yang sedang dalam trafik berhenti dirempuh oleh lori dari belakang. Kali ini ia melibatkan 11 buat kereta selepas sebuah lori merempuh mereka di persimpangan lampu isyarat di Shah Alam. Kejadian ini berlaku tengahari semalam di Persiaran Tengku Ampuan, berhadapan McDonald Seksyen 22.

    Agak bernasib baik kerana tiada orang yang tercedera dan semua pemilik kenderaan terlibat telah membuat laporan polis. Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati lori berkenaan tidak sempat berhenti selepas kenderaan di hadapannya membrek secara mengejut. Ujian urin pemandu lori juga mendapati dia negatif daripada penggunaan dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya. Saksi kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” jelas beliau seperti dilaporkan oleh Sinar Harian dengan gambar di atas.

    Kes lebih kurang sama masih kerap berlaku? Ya. Bulan lalu satu kes serupa juga berlaku di Tambak Johor, arah ke Singapura. Dua minggu lalu juga ada kejadian sebuah lori simen melanggar beberapa kenderaan dan tersasar ke laluan bertentangan. Pada April, di Torowong Menora, sebuah lori dengan masalah brek telah merempuh lima kenderaan lain. Tahun lalu pula, berdekatan Jalan Ipoh, sebuah lori melanggar sebuah Myvi.

    Kejadian yang berulang ini membawa pertanyaan sejauh mana telah kita lakukan dari aspek peraturan dan keselamatan kenderaan komersial, untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya. Apa penyelesaian untuk perkara ini?

     
     
  • MSF Touge Hillclimb berlangsung di Bukit Putus, N.Sembilan Ahad ini – saksikan aksi ala-Initial D!

    MSF Touge Hillclimb berlangsung di Bukit Putus, N.Sembilan Ahad ini – saksikan aksi ala-Initial D!

    Thrill memandu di jalan bukit (atau lebih popular disebut “Touge” di kalangan kaki kereta, bermaksud jalan bukit dalam bahasa Jepun) sememangnya tidak sama dengan memandu di litar. Ini kerana touge menampilkan bentuk selekoh, gradien, luas dan permukaan jalan raya yang kadang-kala lebih mencabar, ala-animasi/manga popular dari Jepun iaitu Initial D.

    Namun aktiviti memandu dengan laju di jalan seperti ini sememangnya merbahaya kerana ia boleh melibatkan pengguna jalan raya yang lain terbabit dalam kemalangan. Jadi bagi memberikan peluang kepada “kaki-kaki touge” untuk melakukan aktiviti tersebut dengan lebih selamat, Malaysia Speed Festival (MSF) menganjurkan MSF Touge Hillclimb yang bakal berlangsung Ahad ini, 7 Ogos 2022 di Bukit Putus, Negeri Sembilan.

    MSF sememangnya telah dikenali dengan penganjuran-penganjuran perlumbaan tahap kebangsaan untuk kereta dan motosikal di Litar Sepang, malah kini turut menganjurkan siri perlumbaan SuperMoto (juga peringkat kebangsaan) yang menjelajah pelbagai litar dalam negara. Manakala bagi MSF Touge ini, MSF mensasarkan untuk terlibat lebih dekat dengan peminat perlumbaan diperingkat akar umbi.

    MSF Touge Hillclimb berlangsung di Bukit Putus, N.Sembilan Ahad ini – saksikan aksi ala-Initial D!

    MSF Touge Hillclimb ini sebenarnya telah dirancang lebih dua tahun lalu, tetapi terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19. Perlumbaan pertama ini akan menghidangkan laluan sempit dan selekoh tajam sepanjang mendaki Bukit Putus sejauh tiga kilometer.

    “Nampaknya ramai yang teruja dengan acara ini di media sosial, dan kami tak sabar untuk menyaksikan kereta-kereta dan pemandu-pemandu legenda ‘underground’ mendaki laluan ini,” kata prinsipal MSF, Adian Yein dan menambah bahawa MSF mahu menjadikan acara ini sebagai siri dengan beberapa pusingan setahun.

    “Walau bagaimanapun, kerana kami memulakan sesuatu yang baru menerusi acara ini, perkara yang paling kami titik beratkan adalah keselamatan pemandu dan penonton kerana kami mahu buktikan bahawa acara seperti ini adalah selamat untuk diadakan. Sasaran kami adalah untuk menjadikan perlumbaan ini sebagai acara yang boleh diadakan berulang kali, mungkin 2-3 kali setahun,” katanya.

    MSF Touge Hillclimb ini merupakan acara yang dikawalselia oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan oleh itu setiap kereta yang bertanding perlu memenuhi garis panduan keselamatan yang ketat. Pegawai, marsyal keselamatan, staf perubatan dan keselamatan kebakaran sentiasa bersedia jika berlaku kecemasan.

    “MAM menantikan Touge Hillclimb pertama oleh MSF ini yang pada mulanya dijadualkan pada 2020. Kami memuji MSF atas inisiatif mereka dalam mempertimbangkan disiplin sukan ini yang sangat popular di kalangan pemandu hujung minggu. Kami berharap kebanyakan pemandu akan menggunakan saluran yang lebih selamat ini untuk menyalurkan semangat daya saing mereka. Kami ucapkan yang terbaik untuk pasukan MSF hujung minggu ini,” kata setiausaha agung MAM, Muizz Ali.

    Sesi latihan untuk MSF Touge ini akan bermula pada pukul 10:15 pagi pada hari Ahad nanti. Manakala acara sebenar untuk mencatatkan masa akan bermula pada pukul 2 petang. Service Park untuk peserta-peserta yang bertanding terletak di StarFresh Agro Park – penonton boleh meletakkan kereta di sini bagi melihat pelumba dilepaskan pada garis permulaan.

    MSF Touge Hillclimb kali ini disokong oleh EXN Lubricants dan Hankook motorsports tyres.


     
     
  • Isuzu D-Max X-Terrain bakal menyerikan KL Fashion Week 2022 – dipamer di Pavilion KL pada 15-22 Ogos

    Isuzu D-Max X-Terrain bakal menyerikan KL Fashion Week 2022 – dipamer di Pavilion KL pada 15-22 Ogos

    Isuzu D-Max X-Terrain telah berbesar hati menerima lamaran penganjur Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (KLFW 2022) untuk menjadi sebahagian daripada penyeri acara fesyen terunggul di negara ini. Bakal berlangsung pada 15 hingga 21 Ogos ini, sebanyak tiga unit D-Max X-Train bakal dipamerkan di lokasi utama KLFW 2022 iaitu di Pavilion Kuala Lumpur sepanjang acara berkenaan diadakan.

    “Dengan rekaan canggih, kelengkapan penuh serta kemampuan untuk melakukan apa jua di mana saja, Isuzu D-Max mencabar norma kebiasaan dan membolehkan anda untuk mengukir memori tersendiri dengannya. Bersama KLFW, kami ingin membawakan rekaan imaginatif yang mengilhami selangkah ke hadapan dan untuk dikongsikan bersama khalayak,” kata CEO Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo dalam majlis pelancaran KLFW 2022 di Hotel Pavilion KL, petang tadi.

    Sebagi penaja kenderaan gaya hidup terulung untuk acara berkenaan, D-Max X-Terrain mempamerkan identitinya yang tersendiri, menjadikannya sebagai sebuah kenderaan urban yang miliki daya tarikan tersendiri, lengkap dengan pelbagai kemampuan pemanduan termasuk off-road.

    Sejak diperkenalkan pada April tahun lalu, D-Max X-Terrain pantas mendapat perhatian ramai. Rekabentuk D-Max serba baharu generasi ketiga ini telah menerima pembaharuan meluas, menjadikannya lebih maskulin. Pada pertengahan Jun lalu, trak pikap ini telah diberi kemaskini dengan menambahkan lagi senarai kelengkapan yang ada padanya.

    Antara ciri menarik yang ditampilkan pada D-Max X-Terrain 2022 ini termasuklah paparan pemandangan sekeliling 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, sambungan Android Autp dan Apple carPlay tanpa wayar serta sistem bantuan pemandu termaju.

    X-Terrain menggunakan enjin 3.0 liter VGS turbodiesel dengan 190 PS dan 450 Nm tork dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Enjin ini digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan, dan sistem Terrain Command 4WD membolehkan mod pemanduan di pilih (2WD, 4WD-High, 4WD-Low) ketika memandu. Ada juga diff-lock belakang, pelindung bawah badan dan 800 mm kedalaman redahan air.

    Jika anda berkesempatan berkunjung ke Pavilion KL pada 15 hingga 21 Ogos ini, jangan lupa untuk saksikan penampilan khas D-Max X-Train 2022 dalam acara KLFW 2022. Setiap satunya ditampilkan dengan warna luaran yang berbeza iaitu Valencia Orange yang mewakili sisi kembara yang menyeronokkan, Onyx Black dengan gaya lebih premium serta Silky Pearl White yang mencerminkan kepintarannya. Ia akan dipamerkandi ruang legar air pancut Pavilion, laluan penghubung ke Quivio dan di seberang jalan di hadapan Fahrenheit.

    GALERI: Isuzu D-Max 3.0 X-Terrain 2022

     
     
  • Rider penghantar makanan bakal lancar mogok 24 jam mulai tengah malam ini – tuntut keadilan dari syarikat

    Rider penghantar makanan bakal lancar mogok 24 jam mulai tengah malam ini – tuntut keadilan dari syarikat

    Sekumpulan rider penghantar makanan telah berpakat untuk menganjurkan mogok yang dinamakan ‘Food Delivery Blackout’ selama 24 jam bermula tengahmalam ini. Difahamkan, mogok ini dilakukan bagi memberikan mesej yang jelas kepada syarikat terbabit dan juga kerajaan.

    Dimana kumpulan terbabit mahu membuat tuntutan demi keadilan para rider penghantar makanan yang dikatakan makin ditindas oleh syarikat yang dinaungi mereka. Antara tuntutan berkenaan adalah berkaitan kadar pembayaran penghantaran ketika ini yang didakwa semakin rendah, berbanding sebelumnya.

    Selain itu, kumpulan ini juga membangkitkan mengenai isu bilangan penghantar makanan yang tidak terkawal sehingga mewujudkan persaingan dan seterusnya mengakibatkan pendapatan mereka menurun. Bukan itu sahaja, kumpulan ini turut menuntut caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

    Rider penghantar makanan bakal lancar mogok 24 jam mulai tengah malam ini – tuntut keadilan dari syarikat

    Ini kerana rider penghantar makanan tidak diberikan caruman KWSP dan PERKESO kerana tidak dianggap sebagai pekerja dan ada juga di antara mereka yang terpaksa membuat caruman KWSP sendiri secara sukarela.

    Menurut laporan Malaysiakini pula, kumpulan terbabit juga merancang untuk berkonvoi ke ibu pejabat salah satu syarikat berkenaan yang terletak di Petaling Jaya bagi menyuarakan tuntutan berkenaan.

    Malah terdapat mesej yang tular di laman media sosial yang meminta orang ramai untuk tidak melakukan pesanan sepanjang hari sebagai tanda solidariti. Ini bukanlah pertama kali kumpulan rider makanan membuat mogok sebegini, pada tahun 2019, perkara yang sama juga pernah dilakukan.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan Ariya EV dijumpai di Segambut – bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi?

    SPYSHOT: Nissan Ariya EV dijumpai di Segambut – bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi?

    Februari lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) seolah-olah memberikan bayangan bahawa SUV elektrik penuh Nissan Ariya bakal dilancarkan pada pasaran tempatan, dengan menampilkan model yang telah diperkenalkan pada peringkat global pada Julai 2020 tersebut dalam iklan sambutan Tahun Baharu Cina mereka.

    Hari ini, SUV berkenaan dilihat dibawa menggunakan trak pengangkut di kawasan Segambut, yang mungkin menandakan tarikh pelancarannya semakin hampir. Walaupun ditutup dengan plastik pembalut, ia masih lagi mendedahkan warna Akatsuki Copper dan rekaan rim yang unik untuk Ariya.

    ETCM tidak asing dalam memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Sebelum ini syarikat berkenaan sudahpun menjadi perintis dalam membawa model EV menerusi pengenalan Nissan Leaf generasi pertama pada 2012, serta model-model EV dari Renault seperti Zoe dan Twizy.

    SPYSHOT: Nissan Ariya EV dijumpai di Segambut – bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi?

    Untuk Ariya, ia dihasilkan dengan dimensi 4,595 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,655 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,775 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan, Ariya adalah sedikit pendek dan sedikit rendah berbanding X-Trail, tetapi lebih lebar dan menampilkan jarak roda lebih jauh berbanding SUV petrol segmen-C berkenaan.

    Ariya ditawarkan dengan dua pilihan pek bateri lithium ion iaitu 63 kWj dan 87 kWj (kedua-duanya menerima sistem penyejukkan aktif), serta pilihan dalam versi pacuan dua roda atau pacuan semua roda.

    Bagi model 2WD, motor elektrik hanya dibekalkan pada gandar hadapan bagi memacu hanya roda hadapan, dan ia lebih fokus untuk penggunaan ekonomi dan jarak gerak lebih jauh. Model 2WD dengan bateri 87 kWj memberikan jarak gerak paling jauh iaitu sehingga 610 km. Model ini menerima motor elektrik lebih berkuasa iaitu 178 kW (239 hp), berbanding hanya 160 kW (215 hp) pada versi dengan bateri 63 kWj.

    Ariya paling laju ditawarkan adalah dari versi pacuan semua bersama bateri 87 kWj. Untuk versi ini, ia diberikan dua buah motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 290 kW (388 hp), membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat.

    Buat masa sekarang, Nissan Ariya dijual pada pasaran Jepun bermula dengan varian 2WD 66 kWh berharga 6,600,000 yen (RM219k), diikuti varian 2WD 91 kWh berharga 7,400,800 yen (RM245k). Model pacuan semua roda pula bermula dengan varian e-4ORCE AWD 66 kWh berharga 7,200,600 yen (RM239k), serta varian paling berkuasa e-4ORCE AWD 91 kWh dijual pada harga 7,900,200 yen (RM262k).

    Dengan pengecualian duti dan eksais untuk EV yang diberikan kerajaan, harga Ariya untuk pasaran Malaysia dijangka tidak jauh berbeza dengan pasaran Jepun – mungkin tambahan sekitar 10% untuk SST?

    GALERI: Nissan Ariya EV

     
     
  • Perodua Alza – 70% tempahan pilih kit badan GearUp

    Perodua Alza – 70% tempahan pilih kit badan GearUp

    Ramai yang cakap, rekaan Perodua Alza 2022 kali ini jauh lebih cantik dari kembar-kembarnya iaitu Daihatsu Xenia, Toyota Avanza dan juga Toyota Veloz. Malah kali ini, jenama aksesori rasmi Perodua iaitu GearUp turut tampil dengan kit badan yang paling cantik pernah mereka hasilkan berbanding rekaan untuk model-model lain sebelum ini.

    Jadi tidak hairanlah Perodua mengumumkan bahawa 70% dari jumlah keseluruhan pelanggan yang menempah Alza 2022 ini mahukan MPV mereka terus dipadankan dengan kit badan GearUp! Perkara ini diumumkan sendiri oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad pagi tadi ketika sidang media di Kota Bahru, Kelantan sempena sesi pandu uji media untuk Alza 2022.

    Menurutnya lagi, sehingga kini sejumlah 39,000 unit Alza telah ditempah oleh pelanggan, atau lebih 9,000 unit tempahan tambahan diterima selepas pelancarannya dua minggu lalu. Ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap Alza masih tinggi walaupun tidak lagi menerima insentif pengecualian cukai jualan.

    Perodua Alza – 70% tempahan pilih kit badan GearUp

    Kit badan GearUp ini dijual pad harga RM2,500 yang merangkumi lips bawah bampar hadapan dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam, lips bawah bampar belakang dan juga spoiler belakang yang lebih menonjol. Aksesori GearUp lain seperti visor tingkap (RM160) dan scuff plate bernyala (RM300) juga agak popular dikalangan pembeli Alza.

    Bagi yang memilih varian asas Alza X dan varian pertengahan Alza H yang hanya diberikan balutan fabrik pada tempat duduk (varian AV menerima balutan gabungan kulit dan fabrik) turut ditawarkan dengan upholsteri PVC dua tona yang memberikan rasa seakan kulit dari GearUp, yang direka bersama tambahan poket pada bahagian belakang perehat tempat duduk hadapan. Balutan tempat duduk ini boleh dipilih dengan tambahan RM1,000.

    Pelbagai lagi aksesori GearUp disediakan untuk Alza 2022 yang diperkenalkan serentak ketika ia dilancarkan. Antaranya lampu untuk bahagian ruang kaki baris pertama dan kedua, karpet kaki jenis gegelung, penebat bunyi bawah bonet, pelapik dan pengatur bahagian kargo belakang, nat pengunci rim, dashcam, pemantau tekanan tayar, tempat duduk keselamatan kanak-kanak dan pelbagai lagi.

    Aksesori-aksesori ini boleh dibeli menerusi pakej yang disediakan mahupun secara berasingan. Untuk maklumat lebih terperinci termasuk harga aksesori-aksesori berkenaan, anda boleh rujuk artikel pada PAUTAN INI. Perodua turut menyatakan bahawa pecahan varian dalam tempahan Alza masih lagi tidak berubah di mana 65% pembeli memilih untuk menempah Alza dalam varian tertinggi AV yang berharga RM75,500.

    GALERI: Perodua Alza AV 2022 dengan kit GearUp

    GALERI: Brosur Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

     
     
  • TNB labur RM90j untuk ekosistem EV dalam tempoh 3 tahun, termasuk bina stesen cas di lebuhraya – CEO

    TNB labur RM90j untuk ekosistem EV dalam tempoh 3 tahun, termasuk bina stesen cas di lebuhraya  – CEO

    Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersedia melabur sebanyak RM90 juta bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh tiga tahun di negara ini.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, ini termasuklah mmbina infrastruktur pengecasan EV di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan sebagai sebahagian daripada kerjasamanya dengan PLUS Malaysia Bhd.

    “TNB menyasarkan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) bagi memperoleh nilai pasaran RM1.3 bilion menjelang 2030 dan mengalu-alukan kerjasama dengan rakan kongsi strategik dalam merangsang pertumbuhan ekosistem BEV,” katanya pada taklimat bersama pengarang media semalam, laporan Harian Metro.

    TNB labur RM90j untuk ekosistem EV dalam tempoh 3 tahun, termasuk bina stesen cas di lebuhraya  – CEO

    Seperti yang diumumkan pada Mac lalu, TNB dan PLUS bakal bekerjasama bagi menyediakan sejumlah inisiatif kelestarian, merangkumi pembangunan bagi infrastruktur pengecasan pantas EV termasuk pemasangan sistem solar photovoltaic di dua bangunan R&R di sepanjang jajaran lebuhraya PLUS.

    Lokasi cadangan untuk stesen pengecasan itu adalah di R&R Gurun (Arah Utara dan Arah Selatan, masing-masing dengan pengecas an DC Exicom 120 kW dan DC ABB 120 kW) di Kedah dan R&R Gunung Semanggol Arah Selatan (DC Charge Core 150 kW) dan R&R Tapah Arah Utara (DC Siemens 180 kW) di Perak.

    Selain itu, ia juga termasuk di R&R Rawang Arah Utara (DC Charge Core 150 kW) di Selangor dan R&R Ayer Keroh Arah Utara (DC Star Charge 120 kW) di Melaka. Sementara itu, sistem solar photovtaic pula akan dipasang di atas bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara), dengan keseluruhan jumlah bagi kapasitinya adalah melebihi 360 kWp (kilowatt peak).

    Selain PLUS, Baharin berkata TNB juga sedang berbincang dengan pengendali lebuh raya serta pihak berkuasa jalan persekutuan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Beliau berkata pasaran EV berpotensi untuk 3,300 tempat pengecasan bagi 33,350 BEV di jalan raya menjelang 2025 dengan hasil elektrik tahunan mencecah RM80 juta, yang dijangka meningkat kepada 18,000 tempat pengecasan bagi 524,409 BEV dan hasil elektrik tahunan adalah sebanyak RM1.25 bilion menjelang 2030.

    “Menjelang 2030, kami menjangkakan setengah juta EV akan berada di jalan raya dengan keperluan pengecasan elektrik 2.3 TWh, bernilai RM1.26 bilion. Ini juga bermakna pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 4.4 juta tan dengan mengambil kira kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) di jalan raya,” tambahnya.

    Katanya lagi, potensi yang memberi impak positif terhadap iklim dan keuntungan syarikat menyebabkan pembangunan ekosistem EV menjadi keutamaan yang jelas untuk TNB.

    Di samping membina infrastruktur pengecasan, TNB juga akan menyediakan kursus peningkatan kemahiran dan kemahiran semula untuk industri EV, elektrifikasi kira-kira 4,200 kenderaan TNB sendiri, menaja kajian berkaitan EV dan memupuk gabungan dalam kalangan pemain sektor EV, seperti ZEVA (Persatuan Kenderaan Pelepasan Sifar).

     
     
  • Dua polis trafik iringi anak Ahli Parlimen di Pulau Pinang dikenakan tindakan tatatertib – Menteri KDN

    Dua polis trafik iringi anak Ahli Parlimen di Pulau Pinang dikenakan tindakan tatatertib – Menteri KDN

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan dua anggota trafik yang mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib.

    Dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat pagi ini, beliau berkata, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, laporan Berita Harian.

    “Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

    “PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya.

    Menerusi video yang tular pada Mei lalu, pemandu kereta terbabit yang telah dirakam videonya ketika memandu Land Rover di Jalan Bukit Gambir dan kelihatan diiringi oleh dua anggota polis bagi memastikan jalan di hadapannya lancar termasuk ketika melalui persimpangan lampu isyarat.

    Disebabkan kes ini, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik berhubung kejadian mengiringi kenderaan awam. Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

     
     
  • Chery kekal komited untuk kembali ke pasaran M’sia; model siri Omoda 5, Tiggo Pro dalam rancangan

    Chery kekal komited untuk kembali ke pasaran M’sia; model siri Omoda 5, Tiggo Pro dalam rancangan

    Selain mengumumkan pembincangan antara Chery dan Indonesia dalam merancang pelaburan tenaga baharu di negara berkenaan, pengeluar kereta dari China ini turut mengulangi pendiriannya untuk kekal komited memperkukuhkan kedudukannya semula di pasaran Malaysia.

    Chery berkata, untuk merealisasikan rancangan tersebut, pihaknya akan bekerjasama erat dengan rakan kongsitempatan bagi mewujudkan operasi pemasangan tempatan di Malaysia. Ini turut melibatkan penubuhan rangkaian jualan dan selepas jualan di seluruh negara, dan perincian lanjut akan didedahkan dalam masa terdekat ini, ujar Chery menerusi kenyataan yang dikongsikan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, berita mengenai Chery kembali ke pasaran Malaysia telah pun tersebar pada Disember tahun lalu, dan sejak itu, jenama ini secara agresif menguar-uarkan kehadirannya menerusi laman media sosial Facebook rasminya untuk mempromosikan model Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Tiggo 7 Pro yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan.

    Tiggo 8 Pro (kiri) & Omoda 5 (kanan)

    Omoda 5 dihasilkan sebagai pesaing kepada Honda HR-V, dan sekiranya ia tiba di Malaysia sudah tentu perlu berhadapan dengan Proton X50. Ia juga merupakan produk pertama dalam strategi Chery 4.0, dan jenama tersebut turut mengatakan bahawa SUV ini disasarkan kepada “pembeli muda dalam kumpulan umur 25-30 tahun.”

    Manakala Tiggo 8 Pro pula bakal dijana unit rangkaian kuasa yang sama dengan Omoda 5, iaitu enjin 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan terus (dari keluarga enjin Kunpeng Chery), menghasilkan 197 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 4,400 rpm. SUV tujuh-tempat duduk ini juga digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Tiggo 7 Pro pula dikatakan mampu memberikan saingan terhadap Proton X70 dan Honda CR-V yang berada di bawah SUV segmen-C. Untuk enjin, ia disediakan dalam dua pilihan yang kedua-duanya adalah unit empat silinder turbo. Enjin 1.5 liter bersama transmisi CVT mampu menghasilkan 150 PS dan 230 Nm tork sementara enjin 1.6 liter bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan pula menghasilkan 197 PS dan 290 Nm tork. Pacuan bagi kedua-dua jenis enjin ini disalurkan ke roda hadapan.

    GALERI: Chery Tiggo 7 Pro

    GALERI: Chery Omoda 5

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2022

     
     
  • Perodua mungkin tawar fungsi Apple CarPlay tahun ini, sedang selesaikan perkara berkaitan pensijilan MFi

    Perodua mungkin tawar fungsi Apple CarPlay tahun ini, sedang selesaikan perkara berkaitan pensijilan MFi

    Perodua sudahpun menawarkan fungsi hubungan telefon pintar kepada skrin sistem infotainmen, Android Auto menerusi varian tertinggi MPV generasi baharu Perodua Alza AV 2022, menjadikan ia model jenama nasional pertama yang menerima perincian tersebut. Lazimnya, fungsi berkenaan akan turut ditawarkan untuk versi peranti Apple iaitu Apple CarPlay, namun ketika dilancarkan, Alza AV hanya dibekalkan dengan Android Auto sahaja. Mengapa?

    Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, dalam satu temu bual ketika sesi pandu uji media Perodua Alza 2022 pagi ini, sistem Apple CarPlay berkenaan mungkin akan ditawarkan pada model-model Perodua, termasuk Alza AV yang telah diserahkan kepada pelanggan sebelum berakhir tahun ini. Ia adalah kerana Perodua kini sedang menyelesaikan perkara-perkara berkaitan “pensijilan MFi untuk CarPlay”, dan kini telah pun masuk ke fasa terakhir.

    Pensijilan tersebut melibatkan pelbagai ujian kualiti dan prestasi bagi memastikan unit pemain infotainmen berkenaan dapat berfungsi dengan baik ketika menggunakan aplikasi Apple CarPlay. Bagi proses terakhir pensijilan ini, Apple sendiri memberikan anggaran ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat bulan untuk diselesaikan.

    Jadi untuk pemilik dan bakal pemilik Alza AV 2022 yang menggunakan iPhone, bersabarlah buat sementara waktu ya. Atau mungkin anda boleh memilih Toyota Veloz yang sememangnya ditawarkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay malah boleh dihubungkan tanpa menggunakan wayar.

    GALERI: Fungsi Android Auto pada Perodua Alza AV 2022

    GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L AV

     
     
  • Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition tiba di M’sia – terhad 1,000 unit, tambahan kelengkapan, RM140k

    Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition tiba di M’sia – terhad 1,000 unit, tambahan kelengkapan, RM140k

    Satu lagi varian baru untuk model Triton diperkenalkan oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) untuk pasaran, iaitu Triton Phantom Plus Edition, dijual pada harga RM139,700 (Semenanjung Malaysia) tidak termasuk insurans dan pendaftaran, bersama jaminan lima tahun atau 200,000 km.

    Dalam barisan model Triton, varian baru Phantom Plus Edition ini diletakkan di antara Triton Athlete (RM146,600) dan Triton AT Premium (RM116,200), dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja, dalam warna Jet Black Mica.

    Bermula di bahagian luar, penampilan Triton Phantom Plus Edition ini dijadikan lebih sporty dan lasak dengan tambahan lampu LED berserta perumah penuh di atas bumbung, kemasan pada bampar hadapan dan belakang dengan warna merah, panel tambahan pada tepi pintu dan lengkuk roda serta rim 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar Yokohama Geolander A/T.

    Melihat di bahagian belakang, trak pikap ini mempunyai kemasan tambahan pada pintu bahagian barangan belakang berserta spoiler, palang sports yang dicat warna hitam matte dan dipasang dengan tailgate assist yang dapat membantu membuka pintu bahagian barangan dengan lebih mudah. Melengkapkan penampilan uniknya adalah jalur pelekat Phantom Plus.

    Tidak setakat berhenti di luar, bahagian dalam model keluaran terhad ini juga turut menerima kemasan tersendiri, yang termasuk balutan tempat duduk kulit tiruan dengan jahitan bercorak, alas kaki dengan jalur merah dan logo Phantom Edition serta skrin sesentuh sembilan inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Pada bahagian keselamatan, Triton Phantom Plus Edition datang dengan dua beg udara hadapan, brek ABS, Electronic Brake Force Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Active Stability Control (ASC), Traction Control (TC), Rest Reminder, Hill Start Assist (HSA), Trailer Stability Assist (TSA) dan Hill Descent Control. Turut diberikan adalah perakam video (DVR).

    Jika ada yang tertanya mengapa Triton Phantom Plus Edition lebih murah berbanding Triton Athlete, ini adalah kerana ia dibuat dengan menggunakan asas daripada varian AT Premium, dan tidak dilengkapi dengan sistem keselamatan Forward Collision Mitigation, Blind Spot Warning, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Auto High Beam dan Ultrasonic Misacceleretion Mitigation System seperti varian paling tinggi tersebut.

    Sama seperti varian Triton yang lain, Triton Phantom Plus Edition ini juga dipacu oleh enjin diesel empat silinder 2.4L MIVEC Turbo DI-D Common Rail VGT yang berkuasa 181 hp pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm. Transmisi menggunakan unit automatik enam kelajuan dengan Sport Mode sementara sistem pacuan untuk keempat-empat rodanya boleh dilaras menggunakan tombol Easy Select 4WD.


     
     
  • Tempahan Perodua Alza cecah 39k unit, 4k diserah; jualan Julai turun 13.3% berbanding Jun 2022

    Tempahan Perodua Alza cecah 39k unit, 4k diserah; jualan Julai turun 13.3% berbanding Jun 2022

    Tempahan bagi Perodua Alza 2022 kini telah merekodkan angka 39,000 unit sejak tempahannya mula dibuka, dengan lebih 4,000 unit daripadanya telah diserahkan setakat ini. Tempahan bagi bulan Julai sahaja pula adalah sebanyak 9,000 unit. Tempoh menunggu bagi Alza juga masih kekal antara lapan hingga sepuluh bulan, berdasarkan kadar pengeluaran 3,000 unit sebulan.

    Dalam perkembangan lain, setakat bulan Julai 2022, Perodua menyaksikan permintaan kukuh untuk kenderaannya dengan mencatatkan tempahan sebanyak 24,265 unit, walaupun SST telah diperkenalkan semula sejak 1 Julai 2022. Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini juga memperlihatkan peningkatan 48.7% kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit, bagi tempoh sama tahun lalu.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menggariskan dua faktor yang menyumbang kepada perkara ini. “Faktor pertama disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Faktor kedua merupakan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 pada masa itu,” ujar beliau.

    Tempahan Perodua Alza cecah 39k unit, 4k diserah; jualan Julai turun 13.3% berbanding Jun 2022

    Bagaimanapun, Perodua tetap mengakui terdapat beberapa isu lain yang masih berlarutan, misalnya kekurangan tenaga kerja serta gangguan bekalan cip semikonduktor. “Akibat daripada itu, jualan bulanan kami merosot sebanyak 13.3% kepada 18,346 pada bulan Julai berbanding 21,164 kenderaan yang dijual pada bulan Jun lepas,” tambah beliau.

    “Dalam isu kekurangan bekalan cip semikonduktor, kami telah mendapat bekalan secukupnya untuk kami mengeluarkan dan mendaftar lebih daripada 247,800 unit yang kami sasarkan pada awal tahun ini. Walaupun begitu, kami masih dalam usaha menstabilkan peningkatan pengeluaran kami. Ini bermaksud kami hanya akan mengumumkan sasaran jualan baharu kami pada tarikh kemudian” kata Dato’ Sri Zainal.

    Beliau turut memaklumkan jumlah jualan industri automotif tahun ini juga berpotensi untuk melebihi sasaran 630,000 unit yang telah diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini; melibatkan peningkatan 30,000 unit berbanding sasaran awalnya.

     
     
  • JPJ eBid: RAP dan MDQ bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bakal dibuka untuk bidaan. Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bermula 11 Ogos 2022, siri plat nombor dari Melaka, MDQ, bakal dibuka bidaan. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 15 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 16 Ogos 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala siri plat nombor dari Perlis pula, RAP, akan mula boleh dibida pada 17 Ogos 2022 dan berlangsung selama lima hari serta berakhir jam 10 malam pada 21 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Ogos.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Program langganan Perodua Ativa Hybrid disahkan, 300 unit CBU untuk kaji selidik, RM500 sebulan — CEO

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid disahkan, 300 unit CBU untuk kaji selidik, RM500 sebulan — CEO

    Perodua mengesahkan bahawa syarikat itu sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan Perodua Ativa Hybrid di Malaysia. Ini kali pertama pengesahan seumpamnya dilakukan, setelah khabar angin tentangnya mula kedengaran sejak kebelakangan ini. Model rebadge dari Daihatsu Rocky Hybrid itu merupakan unit CBU dari Jepun, dan hanya 300 unit dibawa masuk bagi tujuan kajian dan penilaian terlebih dahulu.

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad memaklumkan kepada paultan.org yang Ativa Hybrid berkenaan akan dibawakan melalui program langganan sahaja terlebih dahulu. Ini bermakna, ia bukan untuk dijual seperti model lain. Beliau juga mengesahkan bahawa program sewa-beli berkenaan melibatkan komitmen selama lima-tahun, dengan bayaran muka RM2,150, diikuti dengan ansuran bulanan sebanyak RM500. Had perbatuan bagi tempoh lima-tahun itu adalah 100,000 km.

    Memandangkan ini merupakan program sewa-beli/langganan sahaja, mereka yang mendaftar perlu bersetuju untuk membolehkan sistem telematik GPS dipasangkan pada kenderaan tersebut. Ini bertujuan untuk Perodua mengkaji dan menilai corak penggunaan dan pemanduan. Mereka yang terlibat dalam program ini perlu menghantar maklum balas berkala kepada Perodua untuk tujuan sama.

    Daihatsu Rocky Hybrid (kiri) dan Perodua Ativa AV (kanan)

    Beliau menambah, komitmen atau ansuran bulanan itu sudah termasuk insurans, cukai jalan dan penyelenggaraan. Ini bermakna, mereka yang bertindak sebagai “penjaga” kepada Ativa Hybrid berkenaan hanya perlu mengeluarkan wang sekali ketika bersetuju untuk terlibat, dan bayaran bulanan tersebut tanpa tambahan lain. Perincian penuh bagi program langganan Perodua ini akan diumumkan kelak.

    Tawaran ini nampak menarik? Mungkin, bergantung kepada bagaimana anda melihatnya. Namun, perbezaan utama antara membeli dan melanggan ini adalah anda tidak perlu memiliki kenderaan terbabit, dan perlu mengembalikannya kepada Perodua selepas tempoh langganan yang dipersetujui itu tamat.

    Adakah Perodua akan menawarkan kepada pelanggannya untuk membeli kereta tersebut selepas tempoh lima-tahun itu? Jika ya, ini sama misalnya dengan skim pembiayaan HouzKEY oleh Maybank, sebagai contoh.

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid disahkan, 300 unit CBU untuk kaji selidik, RM500 sebulan — CEO

    Bagaimanapun, tidak semua pengedar Perodua akan terlibat dengan program Ativa Hybrid ini. Hanya mereka di Lembah Klang dan dua cawangan setiap satunya dari bahagian utara dan selatan akan ikut serta. Memandangkan ini model hibrid pertama Perodua, cawangan yang terlibat ini perlu juga menggalas tanggungjawab untuk melakukan servis kenderaan terbabit.

    Siapa yang boleh ikut serta? Syarikat itu telah mula mengirimkan SMS dan borang kaji selidik, tetapi setakat ini belum lagi diketahui perincian lanjut tentangnya. Kenapa hanya 300 unit? Itu angka yang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk tujuan penilaian ini.

    Unit yang terlibat itu pula dibawa masuk dari Jepun, dari model Daihatsu Rocky Hybrid, tetapi telah siap dipasangkan dengan lencana Perodua, begitu juga dengan nama Ativa.

     
     
  • WMoto RT3S pasaran Malaysia dipertingkat – kini dilengkapi panel instrumen TFT dengan TPMS, RM18k

    WMoto RT3S pasaran Malaysia dipertingkat – kini dilengkapi panel instrumen TFT dengan TPMS, RM18k

    Skuter WMoto RT3S yang tiba di pasaran Malaysia pertama kali pada tahun lepas kini diberikan peningkatan dan dijual pada harga RM17,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Harga ini menunjukkan peningkatan hampir RM3k berbanding harganya sebelum ini.

    Peningkatan utama yang dibuat adalah pada panel paparan, yang kini menggunakan unit TFT berwarna penuh, yang selain boleh memaparkan informasi penting seperti kelajuan, rpm, tahap bahan api serta suhu enjin, juga dilengkapi dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Pilihan warna bagi model baru ini sekarang terdiri daripada Justice Blue, Youth Grey dan Union Red, dan ini menggantikan warna Glittery Blue, Matte Grey dan merah sebelum ini.

    Bahagian lain skuter ini tidak berubah, termasuk enjin yang masih menggunakan unit 247 cc, silinder-tunggal sejukan cecair dengan empat-injap dan DOHC serta suntikan minyak EFI, menghasilkan 23 hp pada 8,000 rpm dan 22.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Brek pula menggunakan jenis cakera hidraulik tunggal di depan dan belakang, dengan ciri ABS twin-channel sebagai standard sementara suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang. Rim bersaiz 15 inci di hadapan, dengan tayar 120/70 manakala di belakang menggunakan rim 14 inci dengan tayar 140/60.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada WMoto RT3S ini adalah seperti tangki bahan api 17 liter, kunci pintar, ruang bawah tempat duduk boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh dan lain-lain barangan, dua slot USB dalam glovebox serta lampu jenis LED. Berat keseluruhannya adalah 194 kg.

     
     
  • Proton jual 11,477 unit kereta sepanjang Julai; Jualan X50 atasi Saga, X70 masih SUV segmen-C paling laris

    Proton jual 11,477 unit kereta sepanjang Julai; Jualan X50 atasi Saga, X70 masih SUV segmen-C paling laris

    Proton telah mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan pertama bagi separa kedua 2022, yang menyaksikan ia berjaya menjual sebanyak 11,477 unit kenderaan bagi pasaran tempatan dan eksport sepanjang bulan Julai. Jumlah jualan berkenaan dilihat turun berbanding bulan sebelumnya dimana Proton mencatatkan jualan sebanyak 14,787 unit kereta pada Jun.

    Walau bagaimanapun, jualan kumulatif tahunan untuk Proton dari Januari sehingga Julai kini sudah mencecah 71,061 unit, atau 19.7% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini membolehkan Proton kekal di kedudukan kedua dalam jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 22.7% bagi bulan Julai manakala pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD) meningkat kepada 18.7%. Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit setelah jumlah pendaftaran berundur ke median berikutan penamatan tempoh insentif SST pada 30 Jun.

    Bulan Julai 2022 ini juga mencatatkan satu lagi sejarah buat Proton apabila X50 bukan sahaja menjadi model paling laris dalam kelas SUV segmen-B, malah dinobatkan model paling laris di Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 4,763 unit. Menurut Proton, ini adalah pertama kali dalam sejarah apabila sebuah model dalam segmen SUV berjaya menjadi model paling laris di Malaysia.

    Jumlah jualan X50 tersebut melangkaui jumlah jualan sedan mampu milik Proton iaitu Saga yang biasanya menjadi model paling larisnya. Sepanjang Julai, Saga berjaya dijual sebanyak 4,521 unit, dan ia sebenarnya masih kekal sebagai sedan segmen A paling laris di Malaysia. Menurut Proton, sejak Saga MC2 diperkenalkan pada 12 Mei lalu, ia telah berjaya mencapai pendaftaran sebanyak 9,811 dalam masa 80 hari sahaja.

    Manakala satu lagi model SUV Proton iaitu X70 turut mencatatkan peningkatan jualan dengan 1,704 unit telah dihantar kepada pelanggan. SUV ini telah pun menerima kemaskini yang dilancarkan pada Jun lalu, dan kini turut tampil dengan enjin 1.5 liter tiga silinder T-GDI, manakala enjin 1.8 liter T-GDI hanya ditawarkan varian tertinggi.

    Proton Exora juga kekal sebagai MPV segmen C paling laris sepanjang Julai dengan jualan sebanyak 476 unit. Namun agak malang bagi Proton kerana hanya dapat menghantar sebanyak lima unit sedan segmen-B Proton Persona dan lapan unit kembar hatchbacknya iaitu Proton Iriz kerana kedua-dua model berkenaan masih menanti kelulusan harga baharu dari pihak berkuasa.

    “Berikutan bulan Jun yang sibuk di mana jenama industri automotif berebut-rebut untuk mengumpul tempahan sebelum tamat insentif SST, Julai merupakan bulan di mana permintaan pasaran jatuh ke paras normal. Oleh itu tumpuan telah diberikan untuk memenuhi tempahan yang telah diterima. Proton tidak terkecuali dan dengan keadaan bekalan komponen kami yang terus bertambah baik, kami dapat menunjukkan potensi jualan sebenar Proton X50,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Ogos – RON97 turun 5 sen

    Harga minyak 4-10 Ogos – RON97 turun 5 sen

    Bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Ogos 2022, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 97 turun sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM4.50 seliter berbanding RM4.55 seliter pada minggu sebelumnya.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 10 Ogos 2022.

    Manakala harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Tenaga Nasional akan bina stesen pengecas EV di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, pelaburan RM90j

    Tenaga Nasional akan bina stesen pengecas EV di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, pelaburan RM90j

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Bernama, presiden dan CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipetik berkata bahawa TNB akan memasang pengecas kenderaan elektrik sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan sebagai sebahagian daripada kerjasamanya dengan pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia.

    “Tenaga Nasional Berhad meletakkan sasaran untuk mempercepatkan penerimaan kenderaan elektrik bateri (BEV) untuk merebut nilai pasaran RM1.3 bilion menjelang 2030, dan mengalu-alukan kolaborasi dengan rakan kerja strategik bagi merangsang pertumbuhan ekosistem BEV,” kata Baharin dalam laporan Bernama.

    Turut dinyatakan adalah syarikat tenaga ini akan melaburkan RM90 juta dalam tempoh masa tiga tahun sebagai sokongan kepada ekosistem EV. Mac lalu, TNB pernah mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan PLUS Malaysia untuk pemasangan rangkaian pengecas pantas DC, sebanyak lapan stesen dengan enam daripadanya di Lebuh Raya Utara-Selatan dan dua lagi di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

    Bulan lalu pula, PLUS Malaysia mengumumkan bahawa ia akan menyiapkan 100 stesen pengecas EV sepanjang lebuh raya menjelang tahun 2024. Sebagai tambahan kepada kerjasama dengan PLUS, Baharin turut memberitahu bahawa TNB sedang berbincang dengan pengendali lebuh raya lain serta penguasa jalan persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya.

    Tenaga Nasional akan bina stesen pengecas EV di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, pelaburan RM90j

    Menurut Baharin lagi, pasaran kenderaan elektrik mempunyai potensi 3,300 tempat mengecas untuk unjuran 33,350 BEV menjelang 2025, dengan bakal membawa pendapatan elektrik sebanyak RM80 juta, dan seterusnya akan meningkat kepada 18,000 stesen pengecas untuk 524,809 BEV dengan pendapatan sebanyak RM1.25 bilion menjelang 2030.

    “Menjelang 2030, kami meramalkan separuh juta EV akan berada atas jalan, dengan keperluan mengecas elektrik 2.3 Twh, bernilai RM1.26 bilion. Ini juga membawa makna pengurangan emisi karbon dioksida sebanyak 4.4 juta tan hasil daripada pengeluaran kenderaan berenjin pembakaran dalaman di atas jalan,” kata Baharin.

    Selain pembinaan infrastruktur mengecas, TNB juga akan menyediakan kursus peningkatan kemahiran untuk industri kenderaan elektrik, penukaran kenderaan TNB kepada elektrik, menaja kajian berkenaan EV dan mewujudkan gabungan dengan pemain sektor EV seperti Persatuan Kenderaan Emisi Sifar (ZEVA).

     
     
  • Proton X50 adalah model paling laris di Malaysia untuk Julai 2022, SUV pertama capai rekod sedemikian!

    Proton X50 adalah model paling laris di Malaysia untuk Julai 2022, SUV pertama capai rekod sedemikian!

    Proton mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyerahkan sebanyak 4,763 unit SUV segmen-B Proton X50 kepada pelanggan sepanjang bulan lalu, yang bukan sahaja menjadikannya sebagai model paling laris dalam kelasnya, malah merupakan model paling laris dalam Malaysia untuk bulan Julai 2022!

    Jumlah jualan yang dicatatkan X50 berkenaan melangkaui jualan model paling mampu milik Proton iaitu Saga yang merekodkan jualan berjumalah 4,521 untuk bulan lalu. Ini menjadikan jualan kumulatif bagi X50 tahun ini iaitu dari Januari sehingga Julai 2022 sudah pun mencapai 20,745 unit.

    “Syarikat amat berbangga dengan model Proton X50 menjadi SUV pertama yang dinobatkan sebagai kenderaan terlaris di Malaysia dan kami berterima kasih atas sokongan daripada pelanggan kami. Pencapaian ini dan kelarisan jualan Proton dalam segmen lain menunjukkan rancangan perniagaan kami berada di landasan yang betul dan membalas keyakinan yang diletakkan pada jenama oleh pembeli, pelabur dan pihak berkepentingan lain,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    Proton X50 adalah model paling laris di Malaysia untuk Julai 2022, SUV pertama capai rekod sedemikian!

    Secara keseluruhan, Proton telah menjual sebanyak 11,477 unit kenderaan (domestik dan eksport) bulan lalu. Menurut Proton, kejayaan ini adalah berikutan jumlah produksinya yang meningkat semula selepas berjaya menyelesaikan isu kekurangan komponen. Ini menjadikan jumlah jualan kumulatif tahunan Proton sehingga bulan lalu telah pun mencapai 71,601 unit, atau peningkatan sebanyak 19.7% berbanding tempoh yang sama pada 2021.

    Menurut Proton lagi, ia turut kekal di kedudukan kedua dalam jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 22.7% bagi bulan Julai manakala pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD) meningkat kepada 18.7%. Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit setelah jumlah pendaftaran berundur ke median berikutan penamatan tempoh insentif SST pada 30 Jun