Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Triumph telah membuat pengumuman kini sedang membangunkan motosikal jenis lasak, motocross dan enduro untuk menyertai barisan model sedia ada mereka sekarang. Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan ia bukan setakat satu model, tetapi dipanggil sebagai satu barisan, yang terdiri daripada model motocross perlumbaan dan juga enduro.

    Setiap kepakaran kejuruteraan dalam syarikat akan digunakan untuk pembangunan motosikal baru Triumph ini, dan mereka juga membuat kerjasama dengan pelumba motocross terkenal, Ricky Carmichael serta Ivan Cervantes sebagai rakan kerjasama aktif untuk ujian dan persiapan motosikal tersebut sebelum ia digunakan dalam perlumbaan.

    Selain daripada itu, Triumph juga akan menubuhkan satu program perlumbaan factory baru yang akan bertanding menggunakan motosikal baru ini dalam kejuaraan perlumbaan motocross serta enduro peringkat tertinggi di dunia.

    Triumph bangunkan jentera motocross dan enduro

    Kebanyakan motosikal lasak yang bertanding dalam perlumbaan motocross dan enduro sekarang menggunakan enjin satu silinder, sama ada empat lejang atau dua lejang, dan datang dalam pelbagai kapasiti, antara 125 cc hingga 450 cc. Daripada ini, kita juga boleh menjangka Triumph menggunakan tetapan enjin sama.

    Setakat ini waktu pelancaran dan pengenalan model baru ini, serta maklumat lanjut berkenaan pasukan lumba yang akan ditubuhkan masih belum diberitahu, dan hanya akan didedahkan dalam masa beberapa bulan yang akan datang.

     
     
  • Prasarana buka PPV sementara di Stesen LRT Putra Height dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan

    Prasarana buka PPV sementara di Stesen LRT Putra Height dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menggunakan dua asetnya iaitu Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di Balakong untuk dijadikan fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai menyokong program immunisasi nasional untuk pencegahan kepada wabak Covid-19.

    Fasiliti di Stesen LRT Putra Heights, yang merupakan stesen integrasi Laluan LRT Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, mula beroperasi pada 19 Julai selama lima hari. Manakala PPV di kompleks yang menjadi ibu pejabat korporat Rapid Bus Sdn. Bhd., dibuka mulai hari ini (21 Julai) sehingga 26 Julai 2021 dan ia adalah eksklusif untuk kakitangan Rapid Bud. Kedua-dua PPV yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 4 petang itu adalah untuk urusan pemberian dos pertama.

    Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, pembukaan PPV ini melengkapkan pemberian vaksin bagi sektor pengangkutan sebagai antara perkhidmatan perlu (essential services) bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.

    “Para petugas perkhidmatan rel dan bas tetap memainkan peranan penting mereka demi manfaat rakyat walaupun berdepan risiko jangkitan COVID-19. Justeru, mempercepatkan vaksinasi kepada barisan hadapan ini adalah langkah proaktif yang diambil Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi melindungi para petugas serta penumpang mereka,” katanya.

    Menurut satu kenyataan media Prasarana, langkah pembukaan kedua-dua pusat vaksinisasi itu dibuat selepas Prasarana mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), yang membuat tinjauan dan pemeriksaan terhadap kedua-dua aset pengangkutan awam itu pada 11 Julai.

    Kedua-dua premis dipilih kerana lokasi yang strategik serta mempunyai ruang yang luas dan selesa, sesuai dengan keperluan yang digariskan oleh CITF. Lebih kurang 4,000 jam masa kerja (manhour) digunakan untuk menyiapkan kedua-dua pusat, dengan Prasarana memperuntukan sebanyak RM350,000 bagi menampung kos keseluruhan program vaksinasi ini.

    “Prasarana berasa bangga diberi peluang melaksananakan program vaksinasi nasional ini kerana ia adalah agenda terpenting sekarang untuk proses pemulihan negara. Kami berharap sumbangan kami akan memberikan impak yang besar untuk kejayaan program ini; sekali gus membantu menamatkan ancaman penularan wabak Covid-19 ini,” tambah kenyataan itu.

    Selain itu, Prasarana turut menawarkan penggunaan aset-asetnya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi berkenaan khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang. Termasuklah untuk menjadikan bas-bas miliknya di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.

     
     
  • Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

    Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

    Lamborghini sememangnya jenama eksotik dan ekslusif dengan satu-satu produk mereka biasanya tidak dihasilkan dalam jumlah yang banyak. Namun menerusi SUV terbaharunya, Lamborghini Urus, sambutan yang diterima dilihat agak luar biasa. Baru tiga tahun berada dalam pasaran, produksi Urus kini sudah pun mencapai angka ke 15,000-unit!

    Menurut Lamborghini, ini merupakan model dengan jumlah produksi tertinggi pernah mereka hasilkan dalam masa yang singkat selepas dilancarkan. Urus dengan casis yang ke-15,000 berkenaan adalah unit yang didatangkan dengan pakej Graphite Capsule dan akan dihantar ke pelanggan di Britain. Dengan pakej tersebut pembeli boleh memilih antara empat warna matte yang ditawarkan, dan pelanggan unit berkenaan telah memilih warna Grigio Keres bersama serlahan Verde Scandal .

    Lamborghini Urus dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 650 PS dan tork maksima 850 Nm. Kuasa berkenenaan dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear ZF lapan kelajuan automatik dan sistem AWD. Ia masih SUV produksi paling pantas dalam pasaran buat masa sekarang – mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, 0-200 km/j dalam masa 12.8 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 305 km/j.

    Lamborghini Urus – produksi capai angka 15,000 unit hanya dalam tiga tahun, rekod baharu untuk syarikat

    Mac lalu, Urus telah pun mencatatkan rekod kelajuan di atas permukaan ais di Tasik Baikal, Rusia ketika acara Days of Speed. SUV berkenaan mencatatkan kelajuan maksima 298 km/j dan kelajuan purata 114 km/j bermula dari kedudukan pegun sehingga 1,000 meter di atas permukaan licin tersebut. Menurut Lamborghini, rekod ini membuktikan “prestasi hebat dan pengendalian yang luar biasa walaupun dengan cengkaman yang berkurangan” pada Urus.

    Dalam perkembangan berkaitan, Lamborghini juga baru sahaja mengumumkan prestasi jualan separa pertama 2021 mereka yang mencatatkan jualan sebanyak 4,852 unit seluruh dunia. Ini merupakan satu lagi kejayaan besar buat jenama Itali ini kerana angka berkenaan adalah angka jualah separa tahun pertama yang paling tinggi dalam sejarah mereka.

    Dari keseluruhan angka jualan tersebut, Urus adalah model yang paling laris dengan jualan 2,796 unit (naik 35% berbanding tempoh sama tahun lalu). Ia diikuti dengan barisan kereta sport dan super mereka iaitu Huracan dengan jualan 1,532 unit (naik 46%) dan Aventador terjual sebanyak 534 unit (naik 21%). Tempahan untuk kereta-kereta yang diproduksi di kilang Sant’Agata Bolognese berkenaan juga diumumkan telah penuh sehingga bulan April tahun hadapan.

     
     
  • Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Sudah masuk 10 tahun sejak Toyota mula meluaskan barisan Prius hibrid dengan model Prius C. Ini satu kitaran hayat yang agak panjang bagi sesebuah produk automotif. Namun, berbeza dengan khabar angin sebelum ini, pengeluar kereta dari Jepun itu akhirnya memperkenalkan model generasi keduanya, dengan jolokan “kereta kompak untuk 10 tahun ke depan.”

    Menarik tentang perkembangan ini ialah Prius C terbaru tersebut menampilkan perubahan rekaan yang komprehensif, walaupun bentuk umum, penggayaan dan dimensi tidak banyak berubah. Dibangun menggunaan platform segmen B Toyota New Global Architecture (TNGA-B), Prius C ini mempunyai dimensi 4,050 mm panjang dan 1,695 mm lebar. Bagaimanapun, ia kini 30 mm lebih tinggi dengan 1,485 mm, dengan jarak antara roda juga 50 mm lebih panjang dengan 2,600 mm. Menurut Toyota, ini memberikan tambahan keluasan ruang kabin, terutama pada ruang kaki dan ruang barangan.

    Sistem janaan hibrid yang ada pada Prius C terbaru ini juga dirombak. Ia menggunakan enjin 1.5 liter Dynamic Force tiga-silinder dalam versi kitara Atkinson — unit sama yang digunakan pada Yaris hatchback dan Yaris Cross SUV — menghasilkan 91 PS pada 5,000 rpm dan 120 Nm tork dari 3,800 hingga 4,800 rpm.

    Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Enjin ini dipadankan dengan dua elektrik motor dan set gear Toyota Hybrid System II yang sudah teruji, dengan motor yang lebih besar menghasilkan 80 PS dan 141 Nm. Tiada angka janaan gabungan didedahkan setakat ini, tetapi pada Yaris dan Yaris Cross sistem ini menghasilkan 116 PS, 16 PS lebih tinggi berbanding Prius C sebelum ini.

    Pembaharuan paling utama ialah pada bateri. Walaupun masih menggunakan sel nickel-metal hydride (NiMH), ia menampilkan penggunaan teknologi bipolar pertama di dunia, menggunakan katod untuk satu sisi bagi setiap pengumpul aliran dan anod di sebelah yang satu lagi. “Elektrod bipolar” ini mengurangkan penggunaan pengumpul aliran dan bahagian lain, menjadikan tindanan sel bateri tersebut lebih kompak.

    Elektrod ini mempunyai permukaan aktif yang lebih luas dengan binaan yang ringkas, mengurangkan rintangan dalam bateri itu sendiri. Ini membolehkan aliran yang lebih besar untuk meningkatkan output sekitar 1.5%. Dengan rekaan yang lebih kompak (membolehkan lebih banyak sel dimuatkan), teknologi baru ini membolehkan bateri Prius C ini dua kali ganda lebih berkuasa berbanding model sebelumnya.

    Toyota Prius C 2021 didedahkan — platform TNGA-B, 1.5L Dynamic Force 3-silinder, bateri bipolar NiMH

    Menurut Toyota, bateri baru ini membolehkan kerata tersebut memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik, pecutan lancar dan berkuasa dari kelajuan rendah dan julat peningkatan kelajuan menggunakan pacuan elektrik sendirian. Ini juga membolehkan Prius C memberikan penggunaan minyak gabungan 35.8 km seliter dalam kitaran WLTP, meningkat daripada sekadar 29.8 km seliter sebelum ini.

    Di Jepun (dengan menggunakan nama Aqua), kereta ini turut ditawarkan dalam sistem pacuan semua roda E-Four untuk pertama kali, menambah satu lagi motor elektrik di gandar belakang. Model generasi kedua ini juga menampilkan penggunaan pertama kali Comfort Pedal, yang diaktifkan melalui Power+ Mode, yang menambah “regenerative braking” ketika mengangkat kaki dari pedal untuk membolehkan pemanduan melalui satu pedal sahaja.

    Rekaan luaran Prius C secara umumnya masih kekal sama dengan yang lama. Bagaimanapun, ada banyak bahagian yang diberikan sentuhan baru, seperti lampu utama LED yang lebih tirus, kerangka bawah gril dalam bentuk U, tiang-C lebih tinggi dan lampu belakang bentuk-C yang bercantum dengan spoiler. Fender belakang juga kini lebih lebar, memberikan penampilan lebih menarik. Juga ada pertambahan warna baru, Clear Beige.

    Ruang dalaman pula turut meneruskan pendekatan rekaan di luar, misalnya bahagian papan pemuka yang dirangkum oleh bingkai nipis dan dibalut kulit tiruan, begitu juga pada bahagian panel pintu dan kerusinya (kerus pemandu larasan kuasa elektrik). Prius C juga menjadi model pertama Toyota yang datang dengan skrin sentuh 10.5-inci yang lebih besar untuk infotainmen; glovebox bahagian atas dan juga talam konsol tengah turut tersedia. Outlet kuasa 100-volt AC padanya juga datang standard untuk pasaran Jepun.

    Dari sudut keselamatan, Prius C dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense, termasuk brek kecemasan autonomous dengan pengesanan lintasan trafik, kawalan melayar adaptif, bantuan laluan lorong dan kawalan salah-aplikasi pedal. Buat pertama kali, kereta ini juga hadir dengan bantuan parkir dan AEB kelajuan rendah yang kini mengesan objek di kedua-dua sisi.

    Prius C sudah mula dijual di Jepun dengan harga bermula 1,980,000 yen (RM76,200) bagi model B paling asas hingga 2,598,000 yen (RM100,000) bagi spesifikasi Z dengan pilihan untuk sistem pacuan semua roda. Toyota mensasarkan jualan 9,800 unit sebulan model ini untuk pasaran di sana.

     
     
  • Proton X70 SE akan dilancarkan di M’sia 22 Julai ini

    Proton X70 SE akan dilancarkan di M’sia 22 Julai ini

    Proton akhirnya telah mengesahkan bahawa model edisi istimewa, X70 Special Edition (SE) akan dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan pada 22 Julai ini. Ia diumumkan menerusi laman Facebook rasmi mereka, dan seperti amalan norma baharu sekarang, pelancaran tersebut akan diadakan secara maya bermula pada pukul 11 pagi hari tersebut.

    Anda juga sudahpun boleh mendaftarkan minat secara atas talian jika berminat terhadap model ini, namun harga SUV tersebut hanya akan didedahkan ketika pelancarannya nanti. Proton X70 SE ini diasaskan dari varian Premium 2WD dan hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit. Dari segi spesifikasi, ia adalah hampir sama dengan 37 unit Proton X70 Exclusive Edition (EE) yang telah dilancarkan di Brunei Jun lalu.

    Model SE ini akan menerima pilihan warna Ocean Blue seperti model EE di Brunei, yang tidak terdapat dalam pilihan X70 biasa. Namun untuk SE di Malaysia ini, ia juga akan ditawarkan dengan pilihan warna badan Ruby Red.

    Selain dari warna, komponen seperti cermin sisi, spoiler belakang, dan bumbung X70 SE ini akan menerima kemasan hitam bagi memberikan imej dua-tona, lebih kurang sama seperti 62 unit X70 Merdeka Edition yang dilancarkan pada Hari Kemerdekaan 2019.

    Perincian-perincian unik lain yang turut diberikan pasa model istimewa ini termasuk emblem SE pada pintu tailgate belakang, dan juga rim 19-inci dengan rekaan sama seperti Geely Boyue Pro.

    Pada bahagian dalaman pula, ia diberikan karpet lantai dengan lencana SE, upholsteri kulit Nappa hitam (warna perang pada model Premium dan Premium X) bersama serlahan jahitan benang putih dan merah, serta roda stereng yang turut diberikan jahitan benang putih.

    Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE ini, di mana ia masih menerima enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 300 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, memacu hanya roda hadapan.

    GALERI: Brosur Proton X70 SE yang bocor

    GALERI: Proton X70 Exclusive Edition pasaran Brunei

     
     
  • MINI Anniversary Edition dikeluarkan sempena sambut ulang tahun Mini Cooper asal – 740 unit sahaja

    MINI Anniversary Edition dikeluarkan sempena sambut ulang tahun Mini Cooper asal – 740 unit sahaja

    Mini yang asal dilancarkan pada tahun 1959, dengan rekaannya dibuat oleh Alec Issigonis untuk British Motor Corporation (BMC). Selepas ia muncul, pemilik Cooper Car Company, John Cooper melihat model hatchback kecil ini mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai kereta prestasi, dan dari situ muncullah pula Mini Cooper, pada tahun 1961.

    Kerjasama antara dua pihak ini masih berterusan sehingga sekarang, dan anda boleh melihat nama John Cooper Works digunakan pada pelbagai model MINI yang menawarkan lebih prestasi berbanding versi biasa. Demi menyambut ulang tahun Mini Cooper yang ke-60, dan memberi penghormatan kepada Cooper yang telah meninggal dunia pada tahun 2000, MINI telah mengeluarkan model 3 Door edisi khas yang dipanggil sebagai Anniversary Edition.

    Ia ditawarkan untuk 3 Door biasa, Cooper S dan John Cooper Works, dan hanya akan dikeluarkan terhad 740 unit sahaja. Nombor ini dipilih sebagai memperingati nombor 74 yang pernah digunakan oleh Mini Cooper klasik dulu dalam perlumbaan.

    Pada waktu dulu, kereta lumba yang dibuat oleh Cooper boleh dikenali dengan warna hijau serta kemasan putih. Disebabkan itu, model Anniversary Edition ini diwarnakan British Racing Green, bersama bumbung, cermin sisi, pemegang pintu, serta kemasan keliling lampu yang berwarna putih.

    Di atas bonet juga terdapat dua jalur berwarna putih, dan kemudiannya ia diserikan lagi dengan kemasan merah pada bahagian gril. Melengkapkan penampilannya, ia dipasang dengan rim Circuit Spoke John Cooper Works 18 inci warna dua tona.

    Masuk ke dalam, pada panel sebelah pemandu, terdapat tanda tangan John, Mike dan Charlie Cooper, sementara pada tiang pintu terdapat lencana yang datang dengan tanda tangan John Cooper, serta tulisan tangan “1 daripada 740” serta tulisan “60 Years of Mini Cooper – The Unexpected Underdog.”

     
     
  • Smart tunjuk lagi teaser SUV elektrik konsep baharu

    Smart tunjuk lagi teaser SUV elektrik konsep baharu

    Smart telah mengeluarkan satu lagi teaser untuk model SUV elektrik konsep baru mereka, sebelum ia didedahkan secara rasmi di Munich Motor Show September nanti. Sementara teaser pertama Mei lalu menunjukkan bahagian depan dan sisi, teaser kedua ini pula menunjukkan bahagian atas.

    Kita boleh melihat bumbung kaca besar, dengan corak berbintik di atasnya, dan rel bumbung warna perak di tepinya. Penyambung antara bumbung dengan badan pula menggunakan warna emas, dan turun sehingga ke d-pillar.

    SUV elektrik ini adalah produk pertama hasil kerjasama Daimler dan Geely, dengan Geely mengendalikan pembangunan model masa hadapan manakala Mercedes-Benz pula terus melakukan bahagian rekaannya. Gaya jenama ini masih diketuai oleh Gordon Wagener, dan beliau pernah memberitahu Auto Express bahawa SUV ini sepatutnya kelihatan “cool, seksi dan matang, bukannya comel dan ceria.”

    Secara tidak langsung ini membawa makna rekaan unik kereta smart seperti Tridion Safety Cell dan lampu yang besar tidak akan digunakan. Peralihan kepada penggerak elektrik juga bermaksud akan ada ruang lebih luas. “Sama seperti model semasa smart sekarang, kereta era baru ini akan menawarkan nisbah panjang kepada ruang yang lebih baik berbanding kereta biasa,” kata Wagener.

    Model produksi nanti dijangka menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely, dengan jarak roda antara 2,650 mm hingga 2,900 mm, dan disasarkan untuk bersaing dengan model seperti MINI Countryman.

     
     
  • Xpeng P5 cuba tarik pelanggan dengan harga murah – kereta elektrik penuh dijual bermula RM104k di China

    Xpeng P5 cuba tarik pelanggan dengan harga murah – kereta elektrik penuh dijual bermula RM104k di China

    China yang merupakan pasaran kenderaan elektrik paling besar di dunia melihatkan persaingan hebat pelbagai pengeluar yang mahu menarik pelanggan kepada produk mereka. Salah satunya adalah Xpeng, yang baru sahaja mengumumkan sedan P5 mereka akan dijual pada harga bermula 160,000 yuan (RM104k), lapor South China Morning Post.

    Xpeng dilihat cuba mengalihkan pandangan pelanggan daripada Tesla kerana pengumuman ini dibuat beberapa hari selepas Tesla mendedahkan Model Y jarak gerak lebih pendek, dengan harga lebih rendah, iaitu 276,000 yuan (RM180k) – 20% lebih rendah berbanding Model Y biasa.

    Xpeng yang sebenarnya mempunyai sokongan Alibaba Group Holding ini memberitahu akan terdapat enam varian untuk P5, dengan harga antara 160,000 yuan (RM104k) hingga 230,000 yuan (RM150k). Daripada semua varian itu, empat akan dipasang dengan teknologi canggih LiDAR.

    Xpeng P5 cuba tarik pelanggan dengan harga murah – kereta elektrik penuh dijual bermula RM104k di China

    Pengurus jualan Yiyou Auto Service, Tian Maowei berkata, struktur harga Xpeng “mensasarkan pelanggan yang luas dan nampak menarik bagi golongan berpendapatan sederhana yang mahu memiliki EV pintar. Pangkalan pelanggan EV harga bawah 200,000 yuan (RM130k) adalah besar di China.”

    Daripada semua kenderaan elektrik yang dijual pada tahun 2020 secara global, 45.3% (1.2 juta unit, 6.3% daripada semua kenderaan penumpang) datang daripada China, dan ini bersamaan dengan 3.7 kali ganda daripada jumlah EV yang dijual di AS. Bank Switzerland, UBS berkata jumlah ini meningkat 34% setiap tahun dan boleh mencecah 4.2 juta pada tahun 2025.

    Bagi Xpeng, pada tahun produksi pertama, iaitu 2018, mereka berjaya menyerahkan 29 unit kenderaan kepada pelanggan, sebelum menjual 12,729 unit pada tahun 2019 dan 27,041 pada tahun 2020. Pada suku pertama tahun 2021, ia menjual 13,340 buah EV.

     
     
  • Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia – catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    Thierry Neuville (BEL) Martijn Wydaeghe (BEL) of team Hyundai Shell Mobis are seen performing during the World Rally Championship Estonia in Tartu, Estonia on 18,July // Jaanus Ree/Red Bull Content Pool // SI202107180044 // Usage for editorial use only //

    Uniknya perlumbaan rali, ia tidak berlangsung dalam litar, tetapi ia dibuat secara ‘time attack’ dijalan awam yang dikenali sebagai laluan Special Stage (SS). Dan bagi bergerak dari service park ke SS atau dari satu SS ke SS yang lain, kereta-kereta rali ini perlu dipandu sendiri melalui jalan raya awam dan perlu mengikut peraturan trafik sama seperti kereta lain – sebab itulah kereta rali mempunyai nombor plat pendaftaran yang sah serta perlu membayar cukai jalan.

    Jadi ketika bergerak atas jalan raya awam, kereta-kereta rali ini tidak kebal dari undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Ketika berlangsungnya Rali Estonia, iaitu pusingan ketujuh Kejohanan Rali Dunia (WRC) hujung minggu lalu, pemandu Hyundai Motorsport, Thierry Neuville telah disaman setelah dikesan memandu jentera Hyundai i20 Coupe WRC melebihi had laju yang ditetapkan di jalan raya awam.

    Neuville dikesan mencatatkan kelajuan 190 km/j pada jalan raya dengan had laju maksima 90 km/j ketika bergerak dari SS ke-22 menuju ke garis permulaan SS ke-23 pada hari terakhir Rali Estonia 2021. Ini menyebabkan dia didenda sebanyak €2,500 (RM12k) dari FIA serta akan digantung satu perlumbaan untuk musim ini. FIA turut memberi amaran bahawa dia boleh digantung terus selepas ini sekiranya sekali lagi melakukan kesalahan yang sama dengan kelajuan melebihi 30% had maksima yang ditetapkan.

    Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    Keputusan dari pegawai pengelola FIA tersebut menyatakan bahawa Neuville dan juruarahnya Martijn Wydaeghe memberitahu mereka lewat tiba di tempat kawalan masa “kerana menghadapi masalah teknikal pada kereta”.

    Dalam sidang media selepas berakhirnya Rali Estonia, Neuville memberitahu bahawa mereka menghadapi masalah berkenaan motor penghidup enjin, dan kerana mereka “sedang berentap untuk kedudukan podium mereka tidak dapat mengelak kesalahan memandu melebihi had laju tersebut kerana tidak mahu lewat tiba di TC23”.

    Dokumen pegawai pengelola tersebut turut menyebut bahawa Neuville dan Wydaeghe menyatakan “keadaan trafik ketika itu adalah lengang”.

    Walau bagaimanapun, FIA masih menganggap insiden berkenaan sebagai “pelanggaran yang serius” terhadap Kod Sukan Antarabangsa FIA 2021 dan juga Undang-undang Kesukanan WRC – secara spesifiknya Artikel 34.3.1 yang menyatakan bahawa “sepanjang berlangsungnya rali, kedua-dua ahli kru perlu patuh kepada undang-undang trafik nasional”.

    Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

    “Dalam kes ini kelajuan yang dicatatkan adalah melebihi 100% dari had laju, dan ketiadaan lalu lintas tidak boleh diambil kira bagi mendakwa bahawa kesalahan tersebut tidak dapat dielakkan,” tulis laporan tersebut lagi. Ia juga memetik kempen Action for Road Safety yang dijalankan oleh FIA dan menambah “keselamatan kekal menjadi cabaran utama dan FIA komited untuk melakukan segala yang boleh bagi memperbaiki sikap pemanduan”.

    Dalam insiden yang sama, Thierry Neuville turut dikenakan penalti 10-saat terhadap catatan masa keseluruhan mereka kerana tiba lambat di garis permulaan, namun tetap berjaya mencatatkan masa terpantas di SS ke-23 berkenaan.

    Rali Estonia dimenangi oleh Kalle Rovanpera yang baru berumur 20-tahun dari pasukan Toyota Gazoo Racing, yang juga mencatatkan rekod baharu sebagai pemenang WRC termuda dalam sejarah. Ia diikuti oleh pemandu Itali, Craig Breen dari pasukan Hyundai Motorsport di tempat kedua, manakala Neuville berjaya menduduki podium tempat ketiga.

    Thierry Neuville bukan satu-satunya pelumba yang dikenakan hukuman gantung satu perlumbaan untuk WRC musim ini. Rakan sepasukannya, Ott Tanak dikenakan hukuman yang sama selepas memandu keretanya dengan hanya tiga tayar semasa pulang ke service park di Rali Monte Carlo. Manakala pendahulu kejuaraan Sebastien Ogier juga diberikan hukuman serupa selepas terlibat dalam kemalangan dengan trafik awam dan meninggalkan kejadian tersebut secara tergesa-gesa ketika berlangsungnya Rali Croatia April lalu.

     
     
  • Penumpang MRT pada 15 Julai dikesan positif Covid-19, Rapid KL gesa yang ada gejala buat swab test

    Penumpang MRT pada 15 Julai dikesan positif Covid-19, Rapid KL gesa yang ada gejala buat  swab test

    Susulan pengesanan kes positif Covid-19 pada 15 Julai lalu, Rapid KL menggesa pengguna MRT pada waktu puncak pagi dan petang pada tarikh berkenaan agar melakukan swab test sekiranya mengalami gejala.

    Rapid KL memaklumkan, penumpang berkenaan yang dilaporkan positif virus itu, menggunakan MRT Laluan Kajang (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Kajang) pada 15 Julai lalu. Dia menaiki tren dari stesen Sungai Buloh sekitar jam 8 pagi dan turun di stesen Semantan. Serta menggunakan tren MRT dalam perjalanan pulang dari Semantan ke Sungai Buloh sekitar jam 6 petang pada hari yang sama. Penumpang terbabit dilaporkan sah positif Covid-10 pada 17 Julai dan rakannya telah memaklumkan kepada Rapid KL menerusi Facebook.

    Susulan perkara sebegini, Rapid KL mengingatkan pengguna untuk sentiasa memakai face mask dan mengikut semua SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memgekang penularan Covid-19. Sekiranya anda melakukan ujian saringan, dan sementara menunggu keputusan tersebut, hendaklah melakukan pengasingan diri iaitu kuarantin di rumah sehinggalah didapati negatif. Beringatlah, kita jaga kita.

     
     
  • Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

    Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

    Susulan pelancaran model Arteon facelift minggu lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melalui Pengarah Urusannya, Erik Winter, turut berkongsi beberapa perkembangan dan perancangan semasa syarikat itu untuk pasaran Malaysia — termasuk model-model baru untuk pasaran tempatan.

    Tentang Arteon sendiri, yang menyaksikan penawaran versi terbaru ini dalam spesifikasi yang lebih tinggi (dan harga juga) adalah bertujuan untuk membezakan penawaran antara barisan model Passat dan Arteon. Winter menjelaskan, walaupun posisi penawaran yang agak rapat antara keduanya, Arteon tidak mengganggu jualan Passat.

    “Selepas membandingkan angka jualan sebelum ini dengan angka ketika Arteon dilancarkan, kami tidak melihat banyak penurunan jualan Passat,” ujarnya. “Saya percaya Arteon memberi nilai tambahan kepada penawaran barisan kenderaan Volkswagen dan memberikan lonjakan imej lebih tinggi kepada Passat.”

    Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

    Berkaitan mengapa Arteon terbaru ini masih tidak dilengkapi dengan ciri brek kecemasan autonomous (AEB), Winter menjelaskan: “Untuk memperkenalkan sistem berkenaan di sini memerlukan kajian dan pembangunan lanjut, serta ujian dan kebenaran. Hal ini sedang kami usahakan, dan kami jangkakan akan dapat memperkenalkannya di Malaysia nanti.”

    Sama seperti pengeluar lain, VPCM juga sangat terkesan dengan protokol PKP yang berlangsung ketika ini, memandangkan syarikat ini juga memasang kenderaannya di sini. “Permulaan awal tahun ini agak baik untuk kami sebenarnya, beberapa bulan terawal nampak sangat menjanjikan. Sudah tentu, ketika ini kami juga sangat terkesan dengan PKP, terutama di Lembah Klang.”

    “Kami ada beberapa rakan pengedar yang kini beransur ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), tetapi perniagaan kami, serta kilang di Pekan, Pahang dan keseluruhan rantaian pembekal masih lagi terkesan oleh pandemik. Sebab itu, bersama dengan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami meminta kerajaan untuk membenarkan kami beroperasi semula, kerana situasi sangat kritikal bagi kami semua ketika ini,” tambah beliau.

    Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

    Berkaitan model-model akan datang untuk pasaran tempatan pula, sudah diketahui bahawa VPCM akan memperkenalkan Golf tahun ini. Sebelum ini, Golf Mk8 GTI pernah dilihat di Pekan sekaligus memberi petunjuk kehadirannya untuk pasaran tempatan mungkin dalam versi CKD, Winter mengesahkan model berkenaan memang akan tiba di Malaysia.

    “Kami sedang bekerja keras untuk memperkenalkan model tersebut di sini. Tetapi, dengan keadaan pandemik, PKP, kurang bekalan cip dan sebagainya telah menyebabkan hal itu terpaksa ditunda seketika. Namun ketika ini, perkembangannya agak baik, dan harap dapat memperkenalkannya secara berdepan dan bukan di secara virtual kelak,” jelas Winter.

    Bagi Polo pula, Winter memaklumkan belum ada perancangan untuk memperkenalkan versi Mk6 di Malaysia dalam masa terdekat. Jadi model apa yang berada dalam perancangan? Menurut beliau, VPCM akan mengembangkan barisan model SUV-nya.

    Ini secara langsung membuka banyak kebarangkalian, misalnya bagi SUV peringkat kemasukan. Ketika ini, jenama itu menawarkan dua model yang diposisikan di bawah Tiguan di Eropah, iaitu T-Cross (Taigun di India) dan T-Roc, sementara model Taigo dari segmen B pula dijangka akan diperkenalkan tak lama lagi. Syarikat ini juga ada memasarkan model Taos/Tharu dalam pasaran Amerika Utara dan China.

    Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

    VPCM juga mungkin akan memperkenalkan Tiguan Allspace facelift dalam masa terdekat, memandangkan model berkenaan menerima sambutan menggalakkan di sini. Menurut Winter, SUV berkenaan yang tiba dalam masa yang sama dengan Arteon tahun lalu merekodkan jualan yang 15-20% lebih tinggi berbanding Tiguan lima-tempat duduk sebelum ini.

    Kecenderungan elektrifikasi dalam industri automotif pula hangat dibincangkan ketika ini di peringkat global, dan Volkswagen juga tidak ketinggalan dalam perlumbaan ini melalui barisan model ID. Pengenalannya di sini pula bergantung kepada insentif kerajaan. “Kami di Malaysia sentiasa mengikuti perkembangan e-mobiliti dan kami mengalu-alukan rancangan kerajaan terhadap perkara ini. Sudah tentu kami akan ikut serta. Namun, untuk menjawab sama ada kami mempunyai perancangan kukuh berkaitannya ketika ini, kami masih belum memutuskan tentang itu,” ujarnya.

    Jangan salah faham. VPCM sentiasa berminat untuk membawa masuk barisan model ID. untuk pasaran tempatan sekiranya perancangan dan prasarana di sini mengizinkannya.

     
     
  • Range Rover Evoque L 2021 – varian LWB dilancar di China, ruang kaki lebih panjang 125 mm; RM280k

    Range Rover Evoque L 2021 – varian LWB dilancar di China, ruang kaki lebih panjang 125 mm; RM280k

    Land Rover telah memperkenalkan Range Rover L di China, yang merupakan varian jarak-roda lebih panjang (Long- wheelbase/LWB) spesifisik untuk pasaran berkenaan, bagi menggantikan model biasa. SUV kompak ini memiliki jarak roda berukuran 4,531 mm berbanding 4,371 mm bagi versi standard.

    Menurut laman web Land Rover China, Evoque L menawarkan ruang kaki tambahan sebanyak 125 mm di belakang, dan turut diberikan tempat duduk belakang boleh laras secara elektronik (dengan kecondongan tujuh darjah). Untuk pengetahuan anda, ia juga merupakan SUV tujuh-tempat duduk.

    Tiga warna baharu diperkenalkan – Belvia Green dengan bumbung Narvik Black, Noble Soul Pearl Silver dengan bumbung Rossello Red, dan Santorini Black dengan bumbung Seoul Pearl Silver. Ruang dalaman juga menerima kemasan dua-tona, bumbung suria panoramik, dan paparan infotainmen 10.2-inci yang dipertingkatkan dengan InControl OS 2.0.

    SUV ini juga diberikan gelang kunci pintar untuk dipakai di pergelangan tangan generasi kedua dari Land Rover sendiri, dengan skrin sesentuh OLED. Ia membolehkan pemilik membuka pintu secara automatik, dan ia turut berfungsi sebagai jam. Harga bagi Evoque L ini bermula dari 430,000 yuan, atau lebih kurang RM280k.

    Evoque merupakan model kedua terlaris bagi JLR di negara berkenaan, dengan 3,642 unit terjual pada suku kedua tahun ini. Manakala model Land Rover Discovery yang menjadi model terlaris dengan jualan mencecah 5,641 unit. Walau bagaimana pun, difahamkan Evoque L juga dijangka tidak akan dijual di luar China.

     
     
  • Kalle Rovanpera pemenang WRC paling muda dalam sejarah, menang Rali Estonia pada umur 20 tahun

    Kalle Rovanpera pemenang WRC paling muda dalam sejarah, menang Rali Estonia pada umur 20 tahun

    Kalle Rovanpera (FIN) Jonne Halttunen (FIN) of team Toyota Gazoo Racing celebrate on the podium in first place after winning the World Rally Championship in Tartu, Estonia on 18.07.2021 with Craig Breen (IRL) Paul Nagle (IRL) of team Hyundai Shell Mobis second place and Thierry Neuville (BEL) and Martijn Wydaeghe (BEL) of team Hyundai Shell Mobis third place // Jaanus Ree/Red Bull Content Pool // SI202107180115 // Usage for editorial use only //

    Kalle Rovanpera bukan sahaja mencatatkan rekod peribadinya untuk memenangi rali pertamanya dalam ketegori tertinggi Kejohanan Rali Dunia (WRC) di Rali Estonia semalam, malah bintang muda yang baru berusia 20 tahun dan memandu untuk pasukan Toyota Gazoo Racing berkenaan telah mencatatkan satu rekod dunia iaitu pemenang WRC paling muda dalam sejarah!

    Rovanpera yang berasal dari Finland tetapi kini tinggal di Estonia boleh dikatakan mendominasi hampir keseluruhan Rali Estonia hujung minggu lalu. Dia mengambil tempat pendahulu rali selepas bintang tempatan dan juara WRC 2019, Ott Tanak yang terpaksa menamatkan cabaran hari pertama apabila tayarnya pecah pada SS ke-3, dan kemudian kemalangan di SS ke-4 yang menyebabkan kerosakan pada suspensi hadapan.

    Kedudukan Rovanpera kekal sehingga ke garis penamat pada SS ke-24 dengan kelebihan 59.9 saat di hadapan pemandu Itali, Craig Breen dari pasukan Hyundai Motorsport. Seorang lagi pemandu Hyundai, Thierry Neuville melengkapkan podium ketiga dengan catatan masa 1 minit 12.4 saat di belakang Rovanpera.

    “Ini merupakan musim yang sukar dan ia sangat manis untuk mengecapi kemenangan pertama saya di Estonia. Ia hampir seperti rali di kampung halaman untuk saya buat masa sekarang dan ramai peminat Estonia menyokong saya,” kata Rovanpera.

    “Keputusan yang kami capai tak pernah begitu baik, tetapi kami buktikan rentak memang ada dan hari ini kami bawanya pulang. Untuk menjadi pemenang paling muda adalah menakjubkan. Ia mungkin boleh dicapai lebih awal, tetapi ia di sini sekarang,” tambahnya lagi.

    Apa yang menarik, Rovanpera telah memadam rekod pemandu paling muda memenangi WRC yang dibuat oleh bos pasukannya sekarang, Jari-Matti Latvala pada 2008 pada usia 23 tahun. Menerusi kemenangan ini juga, rekod Kalle Rovanpera telah menyamai rekod ayahnya sendiri, Harri Rovanpera yang memenangi Rali Sweden 2001, iaitu satu-satunya pusingan WRC yang dimenangi sepanjang kariernya.

    Kalle Rovanpera mula mendapat perhatian dalam dunia rali ketika masih berumur lapan-tahun, dilihat begitu mahir memandu jentera rali pacuan belakang Toyota Starlet. Dia berjaya bergelar juara kelas R2 dalam Kejohanan Rali Latvia ketika berumur 15 tahun.

    Rovanpera kemudiannya beralih ke kelas lebih tertinggi pada kejohanan rali nasional berkenaan dan berjaya bergelar juara kategori terbuka dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017. Dia kemudiannya dilamar oleh pasukan Skoda untuk bertarung dalam WRC dalam kategori WRC2 Pro, dan bergelar juara pada tahun 2019.

    Ini menyebabkan Tommi Makinen yang ketika itu menyandang tugas sebagai prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing tidak menunggu lama untuk melamar Rovanpera untuk menyertai pasukannya, melengkapkan barisan pemandu pasukan tersebut bersama Elfyn Evans dan Sebastien Ogier bermula pada musim 2020.

    Dengan kemenangan pada Rali Estonia ini, Kalle Rovanpera kini berada di tempat ke-empat keseluruhan WRC musim 2021 dengan 82 mata. Sebastien Ogier yang hanya menamatkan rali tersebut pada kedudukan ke-empat semalam kini masih pendahulu kejuaraan dengan 148 mata, diikuti Elfyn Evans (111 mata) dan Thierry Neuville (96 mata). Rali Estonia merupakan pusingan ke-7 WRC 2021 dari 12 pusingan keseluruhan.

     
     
  • Puspakom di Selangor telah dibuka mulai hari ini, cawangan Batu Caves beroperasi mulai 21 Julai

    Puspakom di Selangor telah dibuka mulai hari ini, cawangan Batu Caves beroperasi mulai 21 Julai

    Puspakom telah memaklumkan bahawa semua cawangannya di Selangor sudah kembali beroperasi mulai hari ini, 19 Julai 2021. Walau bagaimana pun, untuk cawangan Batu Caves pula hanya akan beroperasi mulai 21 Julai ini.

    “Semua pusat pemeriksaan di Negeri Selangor termasuk Perkhidmatan Bergerak Puspakom di kawasan Lembah Klang telah beroperasi seperti biasa. Pengoperasian semula ini melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan. Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat temujanji secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom atau mengguna perkhidmatan bergerak. Pemeriksaan secara ”walk-in” tidak dibenarkan.

    “Para pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan memastikan MySejahtera diimbas sebelum masuk ke premis Puspakom. Malahan Puspakom berhak melarang masuk mana-mana pelanggan yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan,” ujar kenyataan yang dihantar.

    Sebelum ini, semua cawangan Puspakom di Lembah Klang ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)di beberapa daerah di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur yang telah berakhir pada 16 Julai lalu.

     
     
  • 4,839 kenderaan diarah patah balik Jumaat lalu – TPM

    4,839 kenderaan diarah patah balik Jumaat lalu – TPM

    Situasi dalam negara kita boleh dikatakan sudah mencapai keadaan cukup buruk buat masa sekarang dengan angka jangkitan Covid-19 harian yang mencatatkan angka melebihi 10k. Namun masih ada lagi yang berdegil serta tidak mengambil iktibar dari apa yang sudah berlaku sebelum ini dan masih mencuba untuk merentas negeri bagi meraikan Hari Raya Aidiladha minggu ini.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam laporan Bernama, sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya diarah berpatah balik Jumaat lepas (16 Julai), jumlah tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

    Beliau menyatakan bahawa kenderaan yang diarah berpatah balik itu dipercayai cuba mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

    4,839 kenderaan diarah patah balik Jumaat lalu – TPM

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN semalam.

    Sabtu lalu, PDRM yang mengawal rentas daerah dan negeri memeriksa 381,952 kenderaan di sekatan jalan raya seluruh negara.

    Beliau turut berkata, peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah Aidilfitri lepas perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    4,839 kenderaan diarah patah balik Jumaat lalu – TPM

    “Larangan rentas negeri dan larangan kunjung-mengunjung menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman. Sebaliknya, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan-insan yang dikasihi dan disayangi,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, semalam pihak polis telah mengumumkan bahawa surat kebenaran merentas negeri bagi tujuan bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak akan diterima dari 18 hingga 21 Julai.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu dibuat bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran tersebut untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha Selasa ini.

     
     
  • Surat MITI untuk rentas negeri tak laku hingga Rabu ini

    Surat MITI untuk rentas negeri tak laku hingga Rabu ini

    Bagi mengelakkan orang ramai menyalahgunakan surat kebenaran merentas negeri bagi tujuan bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa surat berkenaan tidak akan diterima dari 18 hingga 21 Julai.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu dibuat bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran tersebut untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha Selasa ini.

    “Ini berikutan PDRM mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini. Justeru, semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarah meningkatkan penguatkuasaan.

    “Semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarahkan supaya tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh bermula hari ini hingga 21 Julai ini (Rabu) bagi pergerakan merentas negeri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM semalam.

    Bagaimanapun, Acryl berkata, larangan itu tidak terpakai untuk urusan kecemasan dengan kebenaran polis serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

    “Mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.

    “Masyarakat dinasihat untuk terus bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID-19,” katanya.

     
     
  • PKPD 34 mukim di Selangor tamat – kembali ke Fasa 1 PPN; bengkel, kedai alat ganti boleh di buka semula

    PKPD 34 mukim di Selangor tamat – kembali ke Fasa 1 PPN; bengkel, kedai alat ganti boleh di buka semula

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di 34 mukim dalam Selangor akan ditamatkan tengah malam ini. Ini bermakna PKPD di mukim-mukim berkenaan bersama berberapa kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bermula 1 Julai lalu tidak akan bersambung selepas 16 Julai.

    Pengumuman ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob siang tadi. Oleh itu segala prosedur operasi standard (SOP) PKPD akan secara automatik akan bertukar kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, seperti yang telah dikemaskini pada 9 Julai lalu.

    Perubahan berkenaan termasuk kapasiti setiap kereta dari rumah yang sama meningkat dari hanya seorang kepada dua orang bagi membolehkan mereka keluar membeli keperluan harian. Walau bagaimanapun, pergerakan masih terhad dalam radius 10 km dari rumah, serta rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan sama sekali.

    Manakala untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan serta kecemasan berkenaan kesihatan, jumlah yang dibenarkan dalam satu kereta penumpang adalah tiga orang termasuk individu yang memerlukan rawatan berkenaan. Manakala untuk teksi dan servis e-hailing, kapasiti yang ditetapkan masih dua orang termasuk pemandu dan penumpang perlu duduk di belakang.

    Juga seperti sebelum ini, pasaraya, kedai runcit, kedai serbaneka dan juga farmasi boleh beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam. Namun pusat beli-belah masih lagi tidak dibenarkan beroperasi kecuali pasaraya, kedai serbaneka, farmasi serta premis-premis menjual makanan di dalam bangunan berkenaan boleh di buka dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

    Untuk premis-premis makanan lain seperti restoran, medan selera, kiosk, penjaja dan gerai tepi jalan di Selangor kini boleh dibuka bermula 6 pagi hingga 10 pm. ‘Dine-in’ masih belum dibenarkan di mana pelanggan hanya boleh bawa pulang atau memesan makanan menerusi perkhidmatan penghantaran.

    PKPD 34 mukim di Selangor tamat – kembali ke Fasa 1 PPN; bengkel, kedai alat ganti boleh di buka semula

    Perniagaan-perniagaan lain yang dibenarkan dalam Fasa 1 PPN juga sudah boleh mula beroperasi esok, 17 Julai. Perniagaan runcit yang dibenarkan termasuk kedai haiwan peliharaan dan juga premis lain yang menjual makanan haiwan, dobi (termasuk layan diri), kedai cermin mata dan juga kedai hardware.

    Bengkel kenderaan dan kedai alat ganti juga sudah boleh mula beroperasi esok. Namun bilik pameran dan juga kedai cuci kereta masih belum boleh dibuka. Perniagaan-perniagaan yang dinyatakan ini juga hanya dibenarkan beroperasi bermula pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

    Semalam Ismail Sabri turut mengumumkan berberapa perniagaan lain seperti kedai alat tulis dan juga kedai yang menjual alat komunikasi serta komputer juga sudah boleh dibuka dalam Fasa 1 PPN bermula 16 Julai. Operasi stesen minyak masih tidak berubah iaitu dari 6 pagi sehingga 8 malam, manakala yang terletak di lebuhraya pula dibenarkan beroperasi selama 24-jam.

    Akhir sekali, jogging dan juga aktiviti sukan lain yang tidak melibatkan sentuhan dan dilakukan secara berseorangan akan dibenarkan semula di Selangor selepas berakhirnya PKPD ini. Namun aktiviti berbasikal untuk rekreasi serta sukan-sukan lain masih tidak dibenarkan dalam Fasa 1 PPN ini.

     
     
  • Lamborghini catat jualan separuh tahun tertinggi dalam sejarah – 4,852 unit terjual, Urus paling laku

    Lamborghini catat jualan separuh tahun tertinggi dalam sejarah – 4,852 unit terjual, Urus paling laku

    Walaupun pandemik Covid-19 masih lagi menjadi ancaman global, nampaknya masih lagi ramai golongan berada tidak terkesan. Mana tidaknya, jenama eksotik Itali, Lamborghini telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mencatatkan jualan separuh tahun paling tinggi dalam sejarahnya!

    Dalam tempoh Januari sehingga Jun lalu, Lamborghini telah berjaya menjual sebanyak 4,852 kereta, atau kenaikan 37% berbanding tempoh sama pada 2020. Kenaikan ini juga adalah 6.6% lebih tinggi jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2019.

    SUV Lamborghini Urus sekali lagi menjadi ‘bintang utama’ dalam rekod jualan kali ini dengan jualan sebanyak 2,796 unit (naik 35%). Ia diikuti dengan barisan kereta sport dan super mereka iaitu Huracan dengan jualan 1,532 unit (naik 46%) dan Aventador terjual sebanyak 534 unit (naik 21%).

    Walaupun telah mencatatkan kenaikan yang cukup banyak, momentum berkenaan dilihat akan terus kekal dalam tempoh yang lama kerana tempahan yang mereka terima kini sudah penuh sehingga April 2022.

    Lamborghini catat jualan separuh tahun tertinggi dalam sejarah – 4,852 unit terjual, Urus paling laku

    Amerika Syarikat kekal menjadi pasaran terbesar Lamborghini dengan jualan sebanyak 1,502 unit sepanjang enam-bulan pertama tahun ini. Ia diikuti China (termasuk Hong Kong dan Macau; 602 unit), Jerman (391 unit), UK (318 unit), Jepun (258 unit), Timur Tengah (226 unit), dan Itali (197 unit). Jenama tersebut kini mempunyai 168 pengedar dalam 51 pasaran di seluruh dunia.

    “Hasil luar biasa ini merupakan pengesahan berganda buat kami. Ia bukti kekukuhan dan kekuatan jenama ini, yang sedang menikmati daya tarikan walaupun dalam tempoh situasi yang terus mencabar dan tidak menentu,” kata CEO dan presiden Lamborghini, Stephan Winkelmann.

    “Ia juga mengesahkan penerimaan positif kepada rancangan industri baharu kami untuk masa hadapan elektrifikasi barisan model kami, yang akan kami laburkan sejumlah lebih dari 1.5 bilion euro (RM7.45 bilion) menjelang 2024. Halatuju Lamborghini telahpun ditetapkan dalam tempoh tranformasi yang hebat, di mana inovasi teknologi dan kelestarian akan maju seiring dengan fokus kepada prestasi maksimum produk serta kesetiaan kepada DNA jenama,” tambahnya lagi.

     
     
  • Jangan cuba rentas daerah, negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidiladha minggu hadapan – TPM

    Jangan cuba rentas daerah, negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidiladha minggu hadapan – TPM

    Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacub, menegaskan bahawa larangan merentas daerah dan negeri masih berkuatkuasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dilaksanakan di seluruh negera.

    Justeru, orang ramai diingatkan untuk tidak berbuat demikian semata-mata mahu pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada pertengahan minggu hadapan, ujar Ismail.

    “Rentas daerah dan negeri dalam Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih belum dibenarkan. Dan kebanyakan negeri masih berada di Fasa Dua.

    “Saya harap rakyat ambil iktibar dalam kejadian Aidilfitri, meskipun rentas negeri tidak dibenarkan, tapi masih ada yang ingkar sehingga kes memuncak naik,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Dalam pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan lorong-lorong tikus untuk cuba pulang ke kampung.

    “Kita boleh lepas daripada polis, tapi mungkin tak lepas daripada jangkitan Covid-19. Justeru, kita jaga kita, buat kawalan kendiri, tolong jangan rentas negeri dan daerah. Jika dah capai imuniti kelompok, mungkin kita dah boleh rentas negeri selepas itu, jadi sabarlah,” tambahnya lagi.

     
     
  • Puspakom Sg Petani ditutup sementara mulai 17 Julai

    Puspakom Sg Petani ditutup sementara mulai 17 Julai

    Puspakom telah mengumumkan operasi bagi cawangannya di Sungai Petani, Kedah, akan ditutup sementara mulai 17 Julai 2021 bagi tujuan melakukan proses disinfeksi dan sanitasi.

    “Pembukaan semula Puspakom Sungai Petani akan dimaklumkan kelak. Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik. Temujanji pemeriksaan boleh dilakukan semula apabila Puspakom Sungai Petani beroperasi kembali seperti biasa.

    “Pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPuspakom jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Puspakom dari semasa ke semasa.