Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki kembali di Malaysia – pengedar mula ambil tempahan beberapa model motosikal berkapasiti tinggi

    Suzuki kembali di Malaysia – pengedar mula ambil tempahan beberapa model motosikal berkapasiti tinggi

    Bermula hujung tahun 2019, pengedaran motosikal jenama Suzuki di Malaysia telah diambil alih oleh syarikat baru, tetapi sejak itu, kita tidak mendapat sebarang berita tentang pelancaran rasmi model baru. Ramai yang tertunggu-tunggu dan keadaan pandemik sekarang juga tidak membantu.

    Berita yang paling mengujakan muncul pada tahun lepas, apabila laman Facebook rasmi syarikat itu mengeluarkan teaser yang menampakkan bahagian hadapan motosikal yang kelihatan seperti Satria F150 ataupun Raider 150. Ia bagaimanapun terhenti setakat di situ sahaja dan pelancaran rasminya masih belum berlaku sehingga kini.

    Dalam berita baru yang berkaitan dengan syarikat itu, sebuah syarikat pengedar motosikal di Klang, iaitu Wah Motor Superbike nampaknya telah memuat naik satu hantaran yang membuka tempahan untuk beberapa model, namun semuanya adalah yang berkapasiti tinggi seperti V-Strom 650XT, SV-650, GSX-S750, GSXR-1000, GSX-R1000R dan Katana.

    Berapa bayaran tempahan yang dikenakan tidak dinyatakan tetapi ia diberitahu akan datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km dan mereka yang menempah juga akan menerima pakej tempahan awal khas.

    Ini ternyata adalah satu khabar yang baik berkenaan kemajuan Suzuki di Malaysia tetapi kami pasti lebih ramai yang tertunggu-tunggu ketibaan model berkapasiti rendah, yang selain Satria F150, juga seperti GSX-R150 yang kami terima berita sebelum ini akan dipasang di dalam negara (CKD).

     
     
  • Volkswagen Arteon facelift kini di Malaysia — R-Line 2.0 TSI 4Motion, 280 PS, 350 Nm; CKD, RM248,693

    Volkswagen Arteon facelift kini di Malaysia — R-Line 2.0 TSI 4Motion, 280 PS, 350 Nm; CKD, RM248,693

    Mula dibuka untuk tempahan bulan lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini dengan rasminya telah melancarkan Arteon facelift untuk pasaran tempatan. Coupe lima-pintu yang diberi kemaskini berkenaan datang dalam varian R-Line 2.0 TSI 4Motion, dengan tambahan lebih kuasa dan pacuan semua roda.

    Penambahan ini tentulah hadir dengan tanda harga yang lebih premium, kereta ini dijual pada harga RM248,693 atas jalan tidak termasuk insurans, hampir RM28,000 lebih tinggi dari sebelumnya. Arteon ini dipasang di Pekan, Pahang, dan untuk itu ia menikmati pengecualian SST penuh hingga hujung tahun ini. Termasuk dalam harga itu ialah jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan servis percuma tiga-tahun.

    Kuasanya dijana oleh unit EA888 2.0 liter turbocas empat-silinder, kini menghasilkan 280 PS dari 5,100 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm antara 1,700 dan 5,600 rpm. Ini 50 PS lebih rendah berbanding model spesifikasi Eropah, tetapi mewakili peningkatan sebanyak 90 PS dan 30 Nm berbanding model sebelum ini.

    Volkswagen Arteon facelift kini di Malaysia — R-Line 2.0 TSI 4Motion, 280 PS, 350 Nm; CKD, RM248,693

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, dengan pacuan kini dihantar ke semua empat roda melalui sistem 4Motion. Dengan kelengkapan yang lebih banyak, ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

    Dari segi penampilan, Arteon baru ini menggunakan gril yang diberi rekaan semula untuk dilanjutkan ke bahagian jalur lampu LED pada DRL. Lampu belakang juga hadir dengan grafik baru, termasuk bentuk L. Kemasan R-Line menjadikannya lebih agresif, terutama pada bampar depan dengan bilah bukaan udara dalam warna badan serta diffuser belakang warna hitam serta empat muncung ekzos hiasan. Kereta ini juga yang pertama di Malaysia yang menggunakan logo baru Volkswagen.

    Bahagian dalam pula diberikan lebih banyak perubahan. Corong udara bersegi dan jalur perak di separuh kabin antara tambahannya. Juga, tiada lagi jam analog di tengah. Turut diberikan ialah suis yang sensitif terhadap sentuhan untuk kawalan pendingin serta stereng rekaan baru. Tidak ketinggalan pencahayaan suasana dalam 30-warna. Kerusi ErgoComfort pula menampilkan rekaan agresif dengan bahagian perehat kepala bersepadu dengan logo R.

    Volkswagen Arteon facelift kini di Malaysia — R-Line 2.0 TSI 4Motion, 280 PS, 350 Nm; CKD, RM248,693

    Kelengkapan standard pula kekal sama, termasuklah lampu utama LED penuh, lampu balakang LED dengan lampu isyarat sequential dan rim 19-inci Montevideo dua-tona warna seperti sebelum ini. Di dalam, Arteon kekal menggunakan balutan kulit Nappa dengan corak gentian dan lengkap dengan sistem bunyi Harman Kardon 700-watt dengan 12-pembesar suara (sebelum ini menggunakan unit Dynaudio).

    Turut melengkapinya adalah ciri tanpa kunci, butang Push Start, kerusi depan larasan kuasa dengan memori untuk pemandu, kawalan pendingin tiga-zon, pengilap dan lampu automatik, cermin pandang belakang anti-silau, skrin sentuh Discover Pro 9.2-inci dengan kawalan gerakan, Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto, penyerap hentak adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360-darjah dan pintu ruang belakang tanpa kendalian tangan.

    Dari sudut keselamatan, Arteon menerima ciri bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, enam beg-udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, brek pasca-perlanggaran dan ISOFIX. Bagaimanapun, kereta ini masih tidak dilengkapi dengan ciri brek kecemasan autonomous, walaupun hadir dengan kamera untuk ciri pengekalan lorong.

     
     
  • Subaru WRX 2022 dilapor bakal terima enjin boxer 2.4 liter turbo berkuasa 300 PS, versi STI hasilkan 350 PS

    Subaru WRX 2022 dilapor bakal terima enjin boxer 2.4 liter turbo berkuasa 300 PS, versi STI hasilkan 350 PS

    Banyak juga perincian yang didedahkan oleh Subaru semasa menunjukkan teaser WRX generasi baru bulan lepas, tetapi satu laman web dari Jepun, iaitu Goo-net mendakwa mereka sudah mempunyai spesifikasi yang boleh dijangka untuk model baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi ini.

    Memang, ini bukan kali pertama kita mendapat informasi awal berkenaan WRX baru, dan laporan sebelum ini juga sudah mendedahkan beberapa fakta serta angka prestasi sedan prestasi tersebut. Walaubagaimanapun, dalam kedua-dua laporan, terdapat info yang kekal sama, iaitu ia akan dikuasakan oleh enjin boxer 2.4 liter turbo.

    Lebih spesifik lagi, ini adalah unit FA24F sama seperti yang digunakan pada model Ascent, tetapi akan ditala untuk memberikan kuasa lebih tinggi. Pada Ascent, enjin ini menghasilkan 264 PS (260 hp) dan 376 Nm sementara pada WRX baru pula ia dikatakan boleh menghasilkan 300 PS (296 hp).

    Subaru WRX 2022 dilapor bakal terima enjin boxer 2.4 liter turbo berkuasa 300 PS, versi STI hasilkan 350 PS

    Jumlah ini sedikit lebih tinggi berbanding yang diberitahu oleh Best Car Web sebelum ini, dan berbeza banyak berbanding unit 2.0 liter FA20F yang menghasilkan 272 PS (268 hp) dan 350 Nm pada WRX pasaran antarabangsa sekarang. Unit FA20F pasaran Jepun pula menghasilkan 300 PS (296 hp) dan 400 Nm.

    Laporan terbaru ini juga mendakwa versi STI akan hadir dengan kuasa 350 PS (345 hp), yang mana adalah sedikit kurang berbanding 400 PS (395 hp) yang diberitahu sebelum ini. Jika dibandingkan dengan model semasa, WRX STI pasaran antarabangsa menggunakan enjin EJ25 empat silinder turbo 2.5 liter dengan kuasa 314 PS (310 hp) dan 393 Nm, sementara model pasaran Jepun pula menggunakan enjin EJ20 empat silinder turbo 2.0 liter dengan kuasa 308 PS (304 hp) dan 422 Nm.

    Setakat ini WRX dan WRX STI difahamkan bakal menerima sistem pacuan semua roda dengan unit transmisi CVT diberikan standard untuk versi WRX, dan manual enam kelajuan untuk WRX STI. Memandangkan Subaru juga akan beralih ke arah elektrifikasi, ini juga mungkin akan menjadi model WRX terakhir yang akan diperkenalkan tanpa sebarang sistem hibrid.

    GALERI: Subaru Viziv Performance STI Concept di Tokyo Auto Salon 2018

    GALERI: Subaru Viziv Performance Concept di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • Kes wayar digigit tikus pada kereta Tesla meningkat di AS kerana disalut dengan penebat kacang soya

    Kes wayar digigit tikus pada kereta Tesla meningkat di AS kerana disalut dengan penebat kacang soya

    Tikus, walaupun hanya bersaiz kecil, haiwan ini berpotensi untuk merosakkan kereta jika ia mengigit wayar-wayar dalam sistem elektronik yang kini semakin meluas digunakan dalam automotif. Kereta yang dijana enjin petrol sekalipun masih berpotensi untuk ‘lumpuh’ jika diserang oleh tikus, inikan pula kereta dengan kuasa elektrik sepenuhnya (EV).

    Namun, inilah masalah terbaharu yang dihadapi oleh pemilik-pemilik EV jenama Tesla di Amerika Syarikat buat masa sekarang – menurut laporan akhbar New York Post, kes-kes kerosakan yang diakibatkan oleh gigitan tikus pada wayar model-model Tesla kini dilihat sedang meningkat. Kerosakan berkenaan bukan sahaja tidak dilindungi oleh waranti, malah menyebabkan pemiliknya perlu membayar kos yang tinggi untuk membaiki.

    Apa yang menyebabkan tikus begitu tertarik untuk mengigit wayar pada kereta-kereta Tesla ini? Menurut email yang dijawab oleh salah seorang penasihat servis Tesla kepada seorang pelanggan yang menghadapi masalah berkenaan, wayar-wayar yang digunakan pada kereta keluaran Tesla kini menggunakan penebat yang disalut oleh kacang soya, sama seperti kebanyakkan pengeluar lain buat masa sekarang.

    Kes wayar digigit tikus pada kereta Tesla meningkat di AS kerana disalut dengan penebat kacang soya

    “Kebanyakkan pengeluar automotif menggunakan kacang soya berbanding minyak untuk penebat wayar bagi kenderaan-kenderaan baharu kerana ia lebih murah dan lebih baik untuk alam sekitar,” kata tulis penasihat servis tersebut, Jose Solis dalam email yang dibalas.

    Perkara ini menjadi semakin buruk kerana selepas pandemik Covid-19 menyerang, kerana kebanyakkan pejabat-pejabat tidak lagi dihadiri oleh manusia yang membawa makanan, menyebabkan tikus-tikus berkenaan keluar mencari sumber makanan di tempat lain, tulis New York Post berdasarkan berberapa rujukan yang dibuat.

    Walaupun material yang digunakan menjadi penyebab kenapa tikus tertarik untuk cuba memakannya, Solis menyatakan Tesla tidak akan memberikan waranti atas masalah berkenaan kerana ia tidak diklasifikasikan sebagai kegagalan fungsi komponen.

    “Penggunaan material berkenaan tidak dikira sebagai ‘kecacatan’ dalam rekaan atau penggunaan…Setelah mengambilkira banyak lagi faktor luaran lain yang diluar kawalan Tesla kami tak boleh melindungi kerosakan berkenaan di bawah waranti atau pembaikan,” jelas Solis dalam email tersebut.

     
     
  • BMW 3 Series LWB G28 dilancar di M’sia – 330Li M Sport dengan jarak roda 110mm lebih panjang, RM277k

    BMW 3 Series LWB G28 dilancar di M’sia – 330Li M Sport dengan jarak roda 110mm lebih panjang, RM277k

    Dipertontonkan pada April lalu dengan harga jangkaan, BMW 330Li M Sport G28 kini telah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga yang dimuktamadkan. Sedan sport dengan jarak roda yang lebih panjang ini dijual pada harga atas jalan. RM277,164 tanpa insurans (hampir lebih RM6,000 berbanding 330i G20 standard), termasuk pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berakhir pada 31 Disember ini.

    Harga tersebut turut didatangkan dengan waranti dua-tahun, tanpa had perbatuan; namun jika dengan waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis, harganya melonjak ke RM290,284. Walau bagaimana pun, ia kurang RM10,000 berbanding harga jangkaan sebelum ini.

    Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, BMW 330Li M Sport sebenarnya adalah versi jarak roda lebih panjang (LWB) bagi 3 Series G20 biasa, dan ia sudah diperkenalkan terlebih dahulu di Thailand awal tahun ini. Ukuran jarak rodanya adalah 2,961 mm (+110 mm) manakala panjang keseluruhan pula adalah 4,819mm (+110). Ketinggiannya turut bertambah enam milimeter menjadi 1,441 mm.

    Dimensi baru ini juga menghasilkan ruang dalam yang lebih, di mana penumpang belakang dapat menikmati tambahan 4 mm lagi di bahagian kepala, serta 42 mm lagi ruang kepala tambahan bagi penumpang belakang, berbanding 330i M Sport. Selain itu, ruang butnya juga bertambah 10 liter, kini menjadi 480 liter.

    BMW 3 Series LWB G28 dilancar di M’sia – 330Li M Sport dengan jarak roda 110mm lebih panjang, RM277k

    Kelengkapannya tidak banyak beza, 330Li turut dipadankan dengan pakej M Sport dengan bampar yang lebih agresif dan skirt sisi yang lebih ke dalam, serta lampu utama LED adaptif. Satu-satunya perbezaan yang ada ialah ia tidak diberikan lampu kabus LEd, dan ditampilkan dengan rim M Sport Style 848 M 18-inci dengan tayar run-flat dari 4 Series, yang menggantikan roda pelbagai-jejari 790 M.

    Di dalamnya, 330Li turut menerima kelengkapan M termasuk roda stereng kulit dan pedal, manakala kemasan pula menggunakan Aluminium Tetragon dan Pearl Chrome. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3-inci BMW Live Cockpit Professional manakala untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan BMW Navigation System Professional dengan skrin sesentuh 10.25-inci.

    Kelengkapan lain yang diberi termasuk cermin anti silau, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana 11-warna, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik dengan kawalan tiga zon serta Comfort Access System. Pemilik juga boleh menikmati khidmat seperti navigasi on-the-go dan e-mobility melalui aplikasi My BMW yang menggantikan BMW Connected pada telefon pintar.

    Untuk sistem bantuan pemandu, 330Li M Sport datang dengan Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collission Warning, Cross Traffic Warning, Rear Collission Prevention, Cruise Control dengan fungsi membrek, Active Pedestrian Safety serta Parking Assistant.

    Enjin pada model jarak roda panjang ini masih lagi sama seperti 330i M Sport, iaitu unit empat silinder petrol TwinPower Turbo 2.0L yang mampu menghasilkan 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm, dan 400 Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm, bersama transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan dan menyalurkan kuasa pada roda belakang. Masa pecutan 0-100 km/j bagaimanapun bertambah sedikit menjadi 6.2 saat, berbanding 5.8 saat bagi 330i M Sport. Manakala penggunaan bahan api dianggarkan pada kadar 6.4 liter bagi setiap 100 km.

    Selain itu, stereng dan ssuspensi M Sport Passive pada 330i telah ditukar dengan stereng Servotronic dan suspensi yang lebih selesa untuk pengendalian yang lebih mantap. Dua pilihan warna luaran ditawarkan, iaitu Mineral White dan Carbon Black, sementara gril kidney padanya pula diwarnakan hitam dan mempunyai kemasan keliling krom.

     
     
  • Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

    Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

    Pada bulan Mac 2019, Aston Martin telah memperkenalkan model konsep AM-RB 003, yang menunjukkan contoh awal sebuah model yang akan dikenali sebagai Valhalla. Kini, versi produksi model tersebut sudah pun ditunjukkan kepada awam, dan menampakkan beberapa perubahan berbanding model konsep sebelumnya.

    Sebagai permulaan, model ini tidak akan dikeluarkan dalam jumlah terhad 500 unit sahaja, dan menurut Autocar, harga satu juta pound sterling (sekitar RM5.8 juta) yang dicadangkan sebelum ini juga telah diturunkan kepada antara 600,000-700,000 pound (sekitar RM3.45-4.07 juta).

    Jadi, harganya lebih murah dan anda tidak perlu tergesa-gesa membelinya. Tapi, bagaimana ini boleh berlaku? Sebelum ini ramai yang menjangka Aston Martin akan menggunakan enjin V6 3.0 liter dengan sistem hibrid pada Valhalla, tetapi nampaknya pengeluar dari British itu telah berubah fikiran.

    Mereka telah mengambil keputusan menggunakan enjin V8 4.0 liter twin turbo yang sebenarnya juga bukan calang-calang kerana mampu menghasilkan 740 hp pada 7,200 rpm. Aston Martin memberitahu, ini adalah enjin buatan khas, tetapi mengetahui kerjasama mereka dengan Mercedes-Benz, ini sebenarnya adalah enjin AMG.

    Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

    Pergi lebih spesifik, kita mungkin melihat kepada unit V8 yang diambil daripada GT Black Series, kerana enjin V8 Valhalla juga menampilkan flat-plane crankshaft untuk meningkatkan tahap responnya. Walaubagaimanapun, bahagian transmisi adalah berbeza kerana Valhalla mendapat unit klac berkembar lapan kelajuan yang direka khas untuk Aston Martin oleh pembekal Itali, Graziano.

    Transmisi ini, bersama limited-slip differential elektronik di belakang menghantar kuasa dari enjin ke roda belakang. Aston Martin tidak berhenti setakat di situ. Disebabkan telah membuat keputusan untuk menjadikan Valhalla sebagai kereta plug-in hybrid pertama Aston Martin, mereka telah meletakkan sepasang motor elektrik untuk membantu enjin V8 tersebut.

    Satu daripada motor tersebut diletakkan pada gandar hadapan manakala satu lagi di gandar belakang. Secara gabungan, dua motor elektrik ini boleh menghasilkan 204 PS (201 hp), menjadikan kuasa keseluruhan kereta ini 950 PS (937 hp) dan 1,000 Nm tork.

    Sama seperti kebanyakan PHEV, kereta ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sahaja, dengan menggunakan motor yang berada di hadapan. Dalam mod EV, Valhalla boleh mencecah laju maksimum 130 km/j dan jarak gerak sehingga 15 km.

    Aston Martin Valhalla versi produksi didedah – enjin V8 4.0L twin-turbo dengan sistem PHEV, 950 PS

    Satu yang berbeza, kedua-dua motor elektrik di belakang, serta enjin V8 itu boleh berjalan secara berasingan untuk memberikan prestasi maksimum. Apabila dikerah sepenuhnya, Valhalla boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat, sebelum mencapai laju maksimum 330 km/j.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan jenis push rod dengan penyerap dan spring dipasang secara inboard sementara belakang pula menggunakan tetapan multi-link. Valhalla juga menggunakan spring dua tahap daripada pembekal Kanada, Multimatic, penyerap dengan spool valve adaptif, brek karbon seramik (dengan teknologi brake-by-wire), rim berlainan saiz (20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang), serta tayar Michelin khas.

    Pada aspek rekaan, Valhalla masih kelihatan sama seperti model konsep, kecuali dengan beberapa perubahan untuk menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan atas jalan biasa seperti lampu jenis LED matriks serta gril yang sudah menjadi tanda unik Aston Martin.

    Lekuk di bahagian tepi juga dikurangkan sedikit, dan dibentuk dengan beberapa bukaan udara untuk meningkatkan lagi daya tekanan ke bawah. Pada bahagian belakang, lubang besar yang menjadi sebahagian daripada diffuser masih lagi ada tetapi dua lubang ekzos yang terletak di atas (dengan injap aktif) kini dijadikan lebih rapat.

    Semua ciri aerodinamik pada kereta ini (termasuk yang tidak boleh dilihat di bawah kereta) memainkan peranan penting untuk menghasilkan daya tolakan ke bawah, dengan Aston Martin mendakwa ia boleh mencatat 600 kg pada kelajuan 241 km/j. Aston Martin juga memberitahu mensasarkan berat kurang 1,550 kg serta masa pusingan di Nurburgring bawah enam minit 30 saat.

    Buat masa ini kita masih belum dapat melihat bahagian dalam Valhalla dan sekadar boleh menjangka rekaan seperti sebuah kereta lumba. Aston Martin memberitahu, mereka memilih kokpit ringkas yang memberi perhatian kepada ergonomik pemandu, dan masih akan mempunyai sistem infotainmen lengkap, pendingin hawa, kamera belakang dan sistem bantuan pemandu lain.

    Bahagian dinamik kenderaan akan terus dibangunkan oleh Aston Martin, bersama Sebastian Vettel, Lance Stroll dan Nico Hulkenburg. Valhalla adalah model ketiga dalam siri kereta enjin di tengah Aston Martin, selepas Valkyrie dan Valkyrie AMR Pro, sementara model yang keempat sedang dibangunkan dan telah ditunjuk awal melalui Vanquish Vision Concept.

     
     
  • Kerajaan pertimbang kelonggaran pergerakan, makan di restoran bagi yang sudah terima vaksin penuh

    Kerajaan pertimbang kelonggaran pergerakan, makan di restoran bagi yang sudah terima vaksin penuh

    Melihat angka kes positif saban hari di Malaysia kini bukanlah satu pengalaman yang menyenangkan. Namun, dari sisi lain, kadar pemberian vaksin kepada warga juga semakin rancak, bahkan antara yang paling pantas di dunia ketika ini. Sebelum ini kita sudah melepasi tahap 200K dos vaksin sehari, tetapi bekalan vaksin yang lebih banyak tiba dalam kadar pantas telah membolehkan Malaysia mencapai angka pemberian baru setiap hari — dengan 460K sehari menjadi yang tertinggi. Ini perlu diberi pujian.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika menjadikan Labuan sebagai contoh, memaklumkan kes harian akan turun ke tahap bawah 1,000 kes pada Oktober sekiranya kadar vaksinasi dikekalkan pada tahap 150,000 untuk dos kedua sehari. Setakat semalam, daripada 460K dos keseluruhan, 155k merupakan dos kedua.

    Dan dalam hal lain pula, hasil daripada perkembangan ini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan peraturan larangan pergerakan ketika ini bagi mereka yang sudah mendapatkan dua suntikan penuh vaksin. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gambaran semalam bahawa mereka yang telah divaksin penuh akan dibenarkan bergerak dan makan di restoran tidak lama lagi.

    “Kebanyakan orang sudah mendapatkan suntikan vaksin mereka. Jadi, saya telah meminta JKJAV untuk mempertimbangkan kelonggaran bagi mereka yang sudah divaksin penuh untuk membolehkan mereka bergerak dan makan di restoran. Ini akan menunjukkan bahawa ketika kerajaan sedang menguruskan Covid-19, warga tetap boleh meneruskan kehidupan mereka seperti biasa, secara beransur-ansur,” ujarnya, lapor Bernama.

    Sementara itu terjadi, jangan lupa bahawa ketika ini sebahagian negeri Selangor masih berada di bawah PKPD, dan PKP penuh seluruh negara masih berlangsung sejak 1 Jun lalu yang menyaksikan tiada pergerakan rentas negeri boleh dilakukan (sejak 10 Mei) kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa. Semoga keadaan kita akan bertambah baik dalam beberapa waktu akan datang. Jaga diri, dan kekal selamat, semua.

     
     
  • Kotak gear CVT Bosch untuk kereta elektrik; jarak gerak, prestasi lebih baik guna motor & bateri kecil

    Kereta elektrik sepenuhnya (EV) lazimnya tidak memerlukan kotak gear kerana motor elektrik itu sendiri bukan sahaja menghasilkan tork yang cukup kuat, malah keseluruhan tork berkenaan telah pun tersedia bermula 0 rpm, tanpa memerlukan ia dibina pada tahap putaran tertentu.

    Namun, pembekal komponen automotif dari Jerman, Bosch telahpun memperkenalkan kotak gear CVT yang dicipta khas untuk dipadankan dengan motor elektrik, dan didakwa akan memberikan pelbagai manfaat untuk kereta elektrik dalam memberikan keberkesanan fungsi yang lebih baik.

    Kotak gear berkenaan dikenali sebagai Bosch CVT4EV, dan menurut Bosch ia boleh membantu dalam memenuhi keperluan prestasi untuk pasaran lebih luas serta memberikan manfaat ekonomi dan prestasi pada rangkaian kuasa elektrik, disamping mengekalkan karekter pemanduan yang lancar.

    Bosch memberitahu bahawa kotak gear ini bukan hanya sesuai untuk digunakan pada kenderaan elektrik penumpang biasa, malah ia turut sesuai untuk kegunaan kenderaan lain seperti kenderaan komersil ringan untuk membawa beban dan mendaki bukit, sehingga kereta sport yang memerlukan kelajuan maksima yang lebih tinggi.

    Kotak gear CVT Bosch untuk kereta elektrik; jarak gerak, prestasi lebih baik guna motor & bateri kecil

    Kotak gear CVT4EV ini masih lagi kelihatan sama seperti kotak CVT konvensional dan ia beroperasi menggunakan pushbelt. Namun sistem hidraulik seperti pada kotak gear CVT untuk enjin pembakaran dalaman tidak lagi digunakan, dan digantikan dengan sistem elektro-hidraulik.

    Bosch menyatakan dengan memadankan kotak gear CVT4EV ini, sesebuah kereta elektrik berkenaan boleh menggunakan motor elektrik lebih kecil dan juga bateri yang lebih kecil bagi mendapat prestasi dan juga jarak gerak yang sama. Ini secara tidak langsung bukan sahaja akan menghasilkan sebuah kereta elektrik dengan kos lebih rendah, malah ia turut akan mengurangkan lagi pencemaran yang disebabkan oleh bahan nadir bumi yang perlu digunakan pada bateri dan motor elektrik berkenaan.

    Dalam laporan SAE International, pengarah transmisi untuk Bosch Transmision Technology, Gert-Jan van Spijk menyatakan bahawa dalam ujian yang dibuat pada sebuah kereta elektrik segmen-C berkuasa 201 hp, transmisi dengan berat sekitar 20 kg ini mampu untuk memberikan pecutan 0-100 km/j dan 80-120 km/j masing-masing 3% dan 13% lebih pantas, kelajuan maksima 11% lebih tinggi serta dapat meningkatkan keberkesanan sehingga 4%.

    Kotak gear CVT Bosch untuk kereta elektrik; jarak gerak, prestasi lebih baik guna motor & bateri kecil

    Menurutnya lagi, transmisi CVT ini memberikan pembahagian nisbah yang lebih luas berbanding trasmisi gear tetap dua kelajuan yang ditawarkan pada kereta elektrik premium (seperti Porsche Taycan) buat masa sekarang. Berbanding CVT pada enjin konvensional yang memerlukan ia memberi nisbah seakan 7-8 gear pada transmisi konvensional, CVT4EV ini hanya memberikan nisbah gear seakan 3-4 kelajuan sahaja.

    Ini membolehkan CVT4EV menerima tork maksima sehingga 4,000 Nm, berbanding CVT untuk enjin konvensional yang hanya mampu menangani tork kurang dari 400 Nm, dakwa van Spijk dan memberitahu sebab itulah ia turut sesuai digunakan untuk kenderaan komersial ringan.

    “Kapasiti tork maksima CVT4EV lebih tinggi dari aplikasi enjin pembakaran dalaman adalah kerana, secara teknikalnya, capaian-nisbah dan kapasiti tork adalah parameter yang boleh diubah. Memandangkan capaian nisbah hanya separuh dari aplikasi enjin pembakaran dalaman, ia mampu untuk menahan tork yang jauh lebih tinggi untuk EV,” jelasnya.

     
     
  • Volkswagen Arteon R-Line facelift dilancarkan hari ini, jam 12.30 t/hari – livestream di sini, dan di FB, YouTube

    Hari ini, jam 12.30 tengahari, Volkswagen Arteon R-Line facelift 2021 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia. Anda turut dijemput untuk menyaksikan pelancaran secara langsung tersebut menerusi Facebook, YouTube atau di sini di paultan.org.

    Arteon baharu ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD), dan model yang akan dilancarkanhari ini ialah R-Line 2.0 TSI 4Motion. Ia dijangka berharga sekitar RM245k hingga RM255k, dengan enjin EA888 2.0 liter TCI pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa 280 PS dari 5,100 hingga 6,500 rpm dan tork 350 Nm antara 1,700 dan 5,600 rpm.

    Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan dan juga pacuan semua-roda 4Motion secara standard, yang memberikannya pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 5.6 saat.

    Ciri kelengkapan standard yang diberikan termasuklah lampu utama LED penuh, lampu belakang LED dengan penunjuk arah sequential dan rim Montevideo 19-inci. Malahan Arteon terus menggunakan balutan kulit Nappa dengan corak seperti gentian karbon, serta dilengkapi sistem bunyi Harman Kardon 700 watt 12 pembesar-suara.

    Perincian penuh mengenai Arteon 2021 ini akan kami kongsikan selepas pelancarannya sebentar nanti. Teruskan bersama kami untuk perkembangan selanjutnya.

     
     
  • Ford Ranger XL Street Special Edition baharu di Thai

    Ford Ranger XL Street Special Edition baharu di Thai

    Sempena meraikan ulangtahunnya yang ke-25, Ford Thailand telah pun memperkenalkan Ford Ranger XL Street Special Edition di negara berkenaan. Model edisi istimewa ini hanya dikeluarkan sebanyak 300. unit sahaja yang dibangunkan berasaskan Ranger T6, dengan diinspirasikan oleh trak perlumbaan Ford Thailand – yang diproduksi di negara berkenaan.

    Sebenarnya XL Street bukanlah baharu, ia pernah dilakukan terhadap barisan Ranger 2021 pada akhir 2020. Namun kini, model edisi istimewa ini diberikan kit tambahan dan berharga 682,000 baht (RM87,727), di mana ia sedikit mahal berbanding harga pelancaran XL Street iaitu 669,000 baht (RM86,075).

    Ciri tambahan paling ketara yang diberikan untuk model edisi istimewa ini ialah ia menampilkan gril yang F-O-R-D yang lebih menyerlah yang dipopularkan oleh trak prestasi tinggo Raptor. Imej yang sporty turut dipergayakan termasuk menambahbaik kit badan dengan pertambahan bampar hadapan dan belakang, skirt siti dan juga spoiler untuk tailgate. Kit badan ini diberikan gabungan rona hitam dan warna badannya, dengan serlahan kelabu pada seksyen tengah hadapannya.

    Ford Ranger XL Street Special Edition baharu di Thai

    Roda 16-inci (tayar 215/70) diberikan dalam rona hitam, begitu juga dengan perumah cermin sisi dan pemegang pintu. Pelekat perak dan merah – juga diinspirasikan oleh trak racing Thailand – merupakan ciri baharu. Jaluran tengah berkembar melintangi dua pintu trak, dan pelekat sisi pula melunjur dari roda hadapan hingga ke belakang. ia juga diberikan pilihan warna badan Lightning Blue dan Absolute Black.

    Ranger XL Street dijanakan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel, dipadankan ekslusif dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Ia mampu memberikan kuasa hingga 160 hp dan tork 385 Nm yang disalurkan ke gandar belakang.

    Kit standardnya tidaklah begitu menyeluruh seperti varian tertinggi tetapi lebih banyak ciri kelengkapannya. berbanding spesifikasi asas XL. Street menerima cermin pandang belakang auto-kelam, cermin bahagian pemandu dengan satu-sentuhan, unit utama skrin sesentuh 8.0-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth, enam-pembesar suara, arahan suara dan dua beg udara.

     
     
  • Hyundai Kona 1.6 Turbo, N Line kini dibuka untuk tempahan — 198 PS, 265 Nm tork, ciri Smartsense

    Hyundai Kona 1.6 Turbo, N Line kini dibuka untuk tempahan — 198 PS, 265 Nm tork, ciri Smartsense

    Tidak tertarik dengan prestasi Hyundai Kona facelift sebelum ini? Kalau begitu, ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu — Hyundai-Sime Darby Motors telah umumkan model Kona 1.6 Turbo akan diperkenalkan tak lama lagi, dan tempahan kini mula dibuka bagi model SUV segmen B tersebut.

    Kereta berkenaan akan ditawarkan dalam varian standard dan N Line, kedua-duanya menggunakan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder petrol. Kini dengan teknologi Smartstream G1.6, ia telah dinaik taraf daripada versi sebelum ini dengan penambahan ciri Continuous Variable Valve Duration (CVVD), menjadikannya lebih berkuasa.

    Output kuasa meningkat sebanyak 21 PS, menjadikan kuasanya 198 PS pada 6,000 rpm, sementara tork puncak pula pada tahap 265 Nm dari 1,800 hingga 4,500 rpm. Walaupun dengan pertambahan kuasa, pecutan 0-100 km/j masih lagi kekal 7.7 saat. Transmisi pula kekal menggunakan jenis klac berkembar tujuh-kelajuan sebagai penawaran tunggal untuk enjin ini, yang dipacu oleh roda depan.

    Hyundai Kona 1.6 Turbo, N Line kini dibuka untuk tempahan — 198 PS, 265 Nm tork, ciri Smartsense

    Buat masa ini, perincian lanjut masih belum banyak didedahkan. Namun melihat kepada dua varian yang akan menjadi penawaran lebih tinggi ini, boleh dijangkakan ia akan hadir dengan barisan kelengkapan yang lebih tinggi daripada yang sudah ada pada varian 2.0 Active ketika ini. N Line akan dibezakan dengan kit badan yang lebih agresif, tentunya.

    Perubahan daripada Kona standard termasuklah wajah depan yang lebih sporty dengan bukaan ruang udara lebih besar, splitter depan warna perak dan sirip bucu bampar, serta tiga inlet hiasan di atas gril. Gril itu juga hadir dengan kemasan bentuk Y, dengan bahagian bukaan udaranya lengkap dengan rekaan honeycomb mesh.

    N Line juga menerima skirting sisi yang lebih tajam dan bampar belakang rekaan diperkemas dengan bahagian ala diffuser besar, dua muncung ekzos serta corong dan sirip bucu hiasan yang disifatkan akan menambahbaik aliran udara. Mould keliling badan kereta ini juga diberikan warna badan. Melengkapi rupa luarannya ialah rim 18-inci dua-tona aloi unik.

    Hyundai Kona 1.6 Turbo, N Line kini dibuka untuk tempahan — 198 PS, 265 Nm tork, ciri Smartsense

    Di dalam, N Line dibezakan daripada versi standard dengan jahitan merah pada kerusi, pedal logam, tombol gear tegak dengan jalur merah dan logo N di stereng, tombol gear dan kerusi. Kain hitam, balutan kulit dan suede adalah pilihan yang ditawarkan nanti.

    Turut disahkan ialah sistem bantuan pandu Smartsense yang sudah juga ada untuk varian Active. Ini termasuklah brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, bantuan lorong lurus, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek, amaran pergerakan kereta depan dan lampu tinggi automatik.

    Varian Active juga datang dengan amaran bukaan pintu dan pengingat tali keledar belakang, tetapi tiada kawalan melayar adaptif. Mungkin varian Turbo ini akan menjadi model pertama model itu di Malaysia yang menerima ciri berkenaan, memandangkan harganya dijangka lebih tinggi daripada Varian Active, yang kini dijual pada harga RM136,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

     
     
  • Hyundai N akan hasilkan kereta elektrik ‘kejam di selekoh’, berasaskan platform E-GMP – Biermann

    Hyundai N akan hasilkan kereta elektrik ‘kejam di selekoh’, berasaskan platform E-GMP –  Biermann

    Berkali-kali ketua R&D Hyundai, Albert Biermann menyatakan bahawa barisan kereta prestasi dengan jenama Hyundai N mereka bukanlah jentera yang menyajikan kuasa paling tinggi, ataupun yang mencatatkan masa terpantas di Nürburgring, tetapi mereka lebih menumpukan aspek ‘beat per-minute’ (BPM) atau degupan jantung seminit dengan memberikan jentera yang sangat mengujakan dengan sifat seperti ‘kenakalannya’ ketika mengambil selekoh dan juga keseronokan tukaran gear secara manual.

    Selepas menguji sendiri Hyundai i30 N tahun lalu, penulis mengesahkan bahawa Albert Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan di BMW M tidak menipu. Menurut Biermann selepas memperkenalkan Hyundai Elantra N semalam, konsep yang sama turut akan diterapkan pada kereta prestasi elektrik Hyundai N selepas ini, dan ia bakal menjadi jentera yang “kejam di selekoh”.

    Dalam laporan Korean Car Blog, Biermann menyatakan bahawa kereta elektrik prestasi Hyundai N selepas ini akan diasaskan dari Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai.

    Hyundai N akan hasilkan kereta elektrik ‘kejam di selekoh’, berasaskan platform E-GMP –  Biermann

    “Platform E-GMP untuk kenderaan elektrik Hyundai Motor Group mempunyai potensi yang luar biasa. Model elektrifikasi pertama Hyundai N akan diasaskan dari E-GMP. Saya tak sabar untuk menunggu hari di mana peminat jenama N akan dihidangkan dengan jentera baru yang kejam di selekoh. Semestinya sangat seronok untuk beraksi di Nürburgring dengan EV E-GMP yang dibangunkan dengan proses kepakaran N,” kata Biermann.

    Jadi ia bukan lagi sekadar khabar angin bahawa Hyundai N akan menghasilkan kereta prestasi elektrik berdasarkan apa yang dikatakan oleh bos R&D Hyundai sendiri. Malah kereta elektrik N berkenaan juga akan menjalani proses yang sama dengan model-model N sedia ada, iaitu dibangunkan di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife.

    “Pada selekoh-selekoh tertentu, E-GMP N mungkin akan mengatasi kereta prestasi dengan enjin pembakaran dalaman”, jelas Albert Biermann lagi.

    Hyundai N akan hasilkan kereta elektrik ‘kejam di selekoh’, berasaskan platform E-GMP –  Biermann

    Beliau juga jelas teruja kerana turut menyebut berkenaan lakaran kereta prestasi elektrik N tersebut yang telah dibuat. “Saya tak boleh sorok keterujaan saya selepas melihat lakaran yang ditunjukkan oleh SangYup Lee kepada saya baru-baru ini,” kata Biermann. Lee adalah ketua di Pusat Rekaan Global Hyundai.

    E-GMP adalah platform pertama Hyundai yang dihasilkan khas untuk pembangunan model-model elektrik. Platform modular berkenaan bukan hanya untuk Hyundai, malah ia akan menjadi asas kepada model-model elektrik Hyundai Group lain seperti Kia, Genesis dan juga jenama elektrik sepenuhnya Ioniq.

    Platform tersebut telah pun digunakan pada Ioniq 5 EV yang telah didedahkan pada Februari lalu Hyunai Group merancang untuk memperkenalkan 23 model EV termasuk 11 model yang hanya dihasilkan sebagai varian EV sahaja, serta mensasarkan untuk menjula lebih sejuta kereta elektrik di seluruh dunia menjelang 2025.

     
     
  • Kia Ceed 2022 dilancarkan – rekaan luaran lebih segar, ciri keselamatan dinaiktaraf, dijual mulai Q4 2021

    Kia Ceed 2022 dilancarkan – rekaan luaran lebih segar, ciri keselamatan dinaiktaraf, dijual mulai Q4 2021

    Barisan Kia Ceed 2022 telah pun dilancarkan secara rasmi, sehari selepas foto bagi model Ceed dan ProCeed bocor tersebar dalam talian. Semakan yang dibuat untuk model pertengahan hayat ini ternyata lebih segar, ini kerana Ceed dikatakan menguasai pasaran Eropah bagi jenama Kia sebanyak 28%, oleh itu rekaan dan kejuruteraanya perlu menepati selera Eropah.

    Ketiga-tiga varian menerima rekaan semula dengan dwi lampu utama LED projektor baharu, tiga lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk anak panah, gril Tiger Nose dengan serlahan krom, rekaan corong pengambilan bawah yang berinspirasi-sayap serta lencana Kia baharu.

    Selain itu, enam rekaan roda aloi dengan saiz dari 16- ke 18-inci turut ditawarkan, bersama lampu belakang LED yang lebih premium dengan rekaan modul LED berbentuk-sarang lebah. Indikator membelok juga diberikan pada cermin sisi. Bukan itu sahaja, kali ini, dua warna luaran baharu diberikan – Orange Fusion dan Machined Bronze.

    Di dalamnya, bentangan rekaan tidak banyak perubahan. Ciri baharu yang ditampilkan antaranya, paparan skrin sesentuh freestanding baharu bersaiz 10.25-inci (dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto) yang dipadankan bersama sistem bunyi JBL Premium lapan-pembesar suara.

    Selain itu, ciri baharu lain termasuklah kluster instrumen digital dengan empat tema pemilihan. Bergantung pada kemasan, model Sportwagon dan ProCeed menerima tempat duduk dengan mekanisma satu-sentuhan, tailgate larasan kuasa, tempat duduk ventilasi dengan pemanas (termasuk tempat duduk belakang). Lain-lain ciri ialah kemasan dalaman baharu dan juga pemilihan sembilan jenis kemasan upholstery.

    Pilihan penjana kuasa masih sama seperti dulu, iaitu enjin Smartstream petrol, diesel mild-hybrid dan plug-in hybrid. ProCeed GT menerima kuasa sehingga 204 PS dan tork 265 Nm dari enjin 1.6 T-GDi empat-silinder, yang dipadankan. sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Kia Ceed 2022 dilancarkan – rekaan luaran lebih segar, ciri keselamatan dinaiktaraf, dijual mulai Q4 2021

    Enjin baharu dengan unitb 1.5 liter T-GDi (160 PS) dikeluarkan di kilang milik Kia di Slovakia, telah diperkenalkan ke dalam famili Ceed sejak awal tahun ini, dan ia akan terus digunakan. Bagi Sportwagon PHEV, ia dipadankan dengan enjin 1.6 GDI dengan DCT enam-kelajuan, motor elektrik 44.5 kW dan bateri polimer Li-Ion 8.9 kWh. Ia boleh mencapai 141 PS/265 Nm bagi keseluruhan output, dan mendakwa jarak elektrik boleh mencapai sehingga 47 km.

    Bagi aspek keselamatam, Ceed turut menerima peningkatan bagi teknologi pengelak aktif, yang menggantikan sistem amaran titik buta. Apabila mengoperasikan isyarat membelok untuk menukar lorong, sekiranya sistem ini mengesan risiko pelanggaran dengan kenderaan yang datang dari arah tepi, Bantuan Mengelak-pelanggaran Titik Buta (BCA) baharu akan mengeluarkan bunyi amaran, atau terus mengaplikasikan tekanan brek untuk mengelakkan pelanggaran.

    Sistem Amaran Perhatian Pemandu juga telah dipertingkatkan termasuk juga bagi kepekaan ketibaan kenderaan. Lain-lain sistem bantuan pemandu termaju termasuklah bantuan mengelak-pelanggaran hadapan dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, bantuan kekal lorong, amaran pengehad kelajuan pintar, bantuan lampu tinggi dan bantuan pengehad kelajuan manual.

    Ciri lain termasuk kamera pandangan belakang, sistem amaran keluar selamat, bantuan mengelak pelanggaran trafik lintasan belajang, kawalan kelajuan pintar dan bantuan ikut lorong. Barisan Ceed akan mula memasuki produksi pada Ogos ini dan akan berada di benua Eropah menjelang suku keempat tahun ini. Perincian penuh akan menyusul.

    GALERI: Kia Ceed GT-Line 2022

    GALERI: Kia ProCeed 2022

     
     
  • Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk off-road, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

    Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk off-road, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

    Firma kejuruteraan Jerman, Marc Philipp Gemballa baru sahaja mendedahkan kereta sport pertama keluarannya yang digelar sebagai Marsien. Nama ‘Gemballa’ macam pernah dengar kan? Ya, pengasas syarikat baharu ini merupakan anak kepada Uwe Gemballa iaitu pengasas Gemballa GmBH, yang juga terkenal menghasilkan kereta sport istimewa berasaskan Porsche.

    Sebelum menubuhkan syarikat sendiri yang menggunakan namanya ini, Marc Philipp yang baru sahaja berumur 27-tahun ini telah pun berkhidmat dengan pelbagai jenama automotif terkemuka seperti Aston Martin, Mercedes-Benz dan juga Porsche.

    Berbalik kepada jentera baharu yang diperkenalkan ini, Marsien masih diasaskan dari model produksi Porsche iaitu 911 Turbo S dari generasi 992. Tidak sukar untuk menafsirkan apa yang ingin disampaikan oleh pereka Mersien, Alan Derosier ini, kerana ia jelas diinspirasikan dari model lagenda Porsche 959, dan dengan tayar off-road yang diberikan, mengingatkan semula kita kepada jentera rali dengan livery biru-putih Rothmans, Porsche 959 Paris-Dakar Rally.

    Tayar off-road yang diberikan pada kereta sport ini bukan sekadar kosmetik semata-mata, kerana Marsien sememangnya dihasilkan untuk beraksi pada permukaan lasak. Malah nama Marsien itu sendiri adalah diambil dari perkataan Perancis, ‘Martian’ yang bermaksud ‘dari Marikh’.

    Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk off-road, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

    Bagi mentransformasi 911 Turbo S kepada Marsien, badan kereta sport ini dihasilkan semula menggunakan gentian karbon sepenuhnya, dihasilkan oleh pembekal peneraju dalam industri di Jerman. Ia juga menerima kelengkapan khas lain seperti jalur lampu LED dibelakang, komponen-komponen karbon yang terdedah di hadapan dan cermin sisi baharu

    Pelanggan juga ditawarkan sama ada untuk mengenakan pilihan cat badan istimewa pada kereta ini atau untuk tidak mengenakan sebarang cat pada badannya bagi mendedahkan sepenuhnya badan gentian karbon kereta berkenaan.

    Model isitimewa ini masih dijana oleh enjin enam-silinder bentangan rata 3.8 liter yang sama dengan 911 Turbo S, tetapi mendapat sentuhan semula oleh penala lagenda Porsche, RUF Automobile. Ia kini menghasilkan 750 PS dan tork maksima 930 Nm atau 100 PS/130 Nm lebih berkuasa dari asal. Pembeli turut boleh memilih versi yang menghasilkan 830 PS, yang diberikan pengecas turbo VTG lebih besar serta talaan semula pada kotak komputer enjin.

    Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk off-road, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

    Selain itu, enjin Marsien ini turut menerima salur ambilan udara yang direka semula dan sistem ekzos titanium dari Akrapovic. Transmisi juga menerima pelbagai komponen lebih baik bersama aci pacu lebih panjang yang diambil dari Cayenne dan kemudiannya diperkuatkan lagi.

    Marsien dipadankan dengan off-road 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang, dibalut dengan tayar jenis all-terrain. Namun pembeli masih ditawarkan dengan set roda yang lebih sesuai digunakan di atas permukaan tar terdiri dari rim 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang, bersama tayar UHP dari Michelin. Kedua-dua pilihan rim staggered ini menampilkan rekaan lug nut tunggal seperti kereta lumba sebenar.

    Suspensi Marsien pula dibangunkan bersama KW Automotive. Ia menggunakan sistem double wishbone baharu di hadapan bersama sistem adaptif dengan penyerap hentak omboh solid dengan larasan ketinggian boleh ubah. Menerusi larasan paling tinggi, ia akan memberikan kelegaan tanah dengan jarak 250 mm, memaksima kebolehannya pada laluan off-road.

    Daya tekanan serta lambungan semula suspensi berkenaan juga telah ditala semula, dan ia turut menerima mod pemanduan off-road iaitu Gravel, Mud, Sand dan Snow. Bawah badan kereta ini juga diberikan panel pelindung aluminium solid bagi mengelak sebarang kerosakan ketika dipandu lasak. Jika pemiliknya masih rasa tidak cukup, mereka turut boleh memilih pakej off-road yang menampilkan suspensi rali sebenar dari Reiger yang lebih hardcore.

    Pada bahagian kabin, Marsien ditawarkan dengan pilihan upholsteri kulit penuh atau Alcantara. Ia juga diberikan konsol tengah gentian karbon yang diinspirasikan dari Carerra GT, serta kemasan-kemasan gentian karbon pada bendul pintu serta bahagian lain, unit pemadam api istimewa dan juga plak nombor siri binaan.

    Menurut Marc Philipp Gembala, mereka hanya menghasilkan sejumlah 40 unit Marsien. Kos untuk memiliki 911 Turbo S yang tidak sama dengan orang lain ini bermula 495,000 euro (RM2.45 juta), dan ia sebenarnya belum termasuk harga sebuah 911 Turbo S sebagai asas untuk ditransformasi!

     
     
  • UMW Toyota suarakan keresahan tentang kesan PKP — tiada perniagaan, eksport dan model hibrid terjejas

    UMW Toyota suarakan keresahan tentang kesan PKP — tiada perniagaan, eksport dan model hibrid terjejas

    Berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan ketika ini, UMW Toyota mendedahkan cabaran yang terpaksa dihadapi syarikat itu serta industri automotif tempatan umumnya yang kini sangat terkesan dengan situasi semasa. Angka jualan bulan Jun misalnya merudum akibat bilik pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

    Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K. memaklumkan, penutupan berterusan semua bilik pameran Toyota dan Lexus di seluruh negara bermakna tiada perniagaan yang boleh dilakukan. Dalam masa sama, pengeluaran kenderaan termasuk usaha rantaian bekalan serta logistik juga perlu dihentikan sementara. Walaupun menerima langkah kerajaan itu adalah untuk kebaikan negara, namun ia hadir dengan kesan tersendiri kepada syarikat dan industri automotif Malaysia.

    “Kami masih mempunyai himpunan tempahan yang menggalakkan untuk pelbagai model. Walaupun begitu, kami berharap agar larangan pergerakan dapat dilonggarkan untuk membolehkan kami beroperasi dalam kapasiti terhad dan selamat. Kami selalu mematuhi semua SOP yang ditetapkan, seperti yang telah ditunjukkan tahun lalu,” ujarnya.

    UMW Toyota suarakan keresahan tentang kesan PKP — tiada perniagaan, eksport dan model hibrid terjejas

    “Tambahan pula, perniagaan eksport turut akan terkesan memandangkan anak syarikat kami terlibat mengeksport dalam jumlah yang besar komponen automotif sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global Toyota. Jika situasi ini berlarutan, kami khuatir pelanggan kami di negara luar yang terlibat akan mencari pembekal lain, memandangkan mereka tidak boleh menangguhkan pengeluaran hanya kerana gangguan bekalan dari Malaysia. Ini akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara disebabkan keseluruhan perniagaan eksport menurun,” tambahnya.

    Toyota yang pada awal bulan ini telah mengumumkan pelaburan tambahan untuk memperluaskan lagi usaha ke arah neutraliti karbon melalui pengeluaran kenderaan elektrik hibrid, turut memberi isyarat bahawa dengan larangan yang berpanjangan terhadap kilangnya akan turut memberi kesan kepada rancangan berkenaan.

    UMW Toyota suarakan keresahan tentang kesan PKP — tiada perniagaan, eksport dan model hibrid terjejas

    Bagaimanapun, beberapa pusat servis UMW Toyota Motor terpilih terus beroperasi mengikut peraturan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, bertujuan untuk memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan. Bantuan 24/7 juga tersedia dan boleh didapati dengan menghubungi masing-masing di talian 1-800-888-247 (Toyota) dan 1800-225-3987 (Lexus).

    Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama pula memaklumkan; “Agak kurang bernasib baik, situasi pandemik dan PKP ketika ini tidak membolehkan penganjuran acara umum secara terbuka. Ini termasuklah sukan permotoran. Jadi, disebabkan itu musim keempat Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Vios Challenge terpaksa ditangguhkan. Ketika kami menganjurkan pusingan pertama yang mengujakan pada 2 Mac lalu di Litar Sepang, kami tidak sabar untuk membawakan pula pusingan kedua serta pengenalan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup.”

     
     
  • Weststar perkenal ambulans tekanan negatif guna model Maxus V80 untuk bawa pesakit Covid-19

    Weststar perkenal ambulans tekanan negatif guna model Maxus V80 untuk bawa pesakit Covid-19

    Dalam usaha bersama untuk mengendalikan krisis Covid-19 di Malaysia, Weststar Group telah menyumbangkan barisan “negative pressure ambulances” untuk kegunaan pengangkutan selamat bagi pesakit Covid-19. Ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, menurut syarikat itu.

    Ambulans khas ini dibina khusus menggunakan platfom Weststar Maxus V80, menawarkan tetapan dua tahap perlindungan bagi petugas baris depan yang berurusan secara langsung dengan pesakit Covid-19. Pesakit akan ditempatkan dalam kebuk pengasingan khas yang dilengkapi dengan sistem penapisan tekanan negatif sendiri untuk menghindari saling-jangkitan ketika berurusan dengan mereka.

    Ambulans khas ini membolehkan tekanan udara di dalam kenderaan dikekalkan di bawah tekanan barometrik di persekitaran luaran, menjadikan penebat kabinnya sangat berkesan kerana udara hanya boleh mengalir ke dalam kawasan bertekanan lebih rendah, iaitu di dalam ambulans sahaja, dan bukan ke luar.

    Udara dalam ambulans berkenaan hanya akan dilepaskan keluar selepas ia telah melalui peranti penapisan bio-keselamatan ekzos tekanan negatif dan dibersihkan oleh penapis HEPA, untuk menghindari pemindahan patogen atau agen jangkitan lain. Turut disediakan ialah peranti pencahayaan ultraviolet untuk menyah-kuman kenderaan selepas setiap kali digunakan.

    Ambulans jenis ini kini digunakan oleh hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara, termasuk di Jabatan Kesihatan Selangor dan Pusat Kesihatan Universiti Malaya. Pihak terkini yang menyediakan ambulans jenis ini ialah First Ambulance Services, yang ketika ini mengendalikan 44 buah ambulans dengan 140 petugas paramedik dan pemandu.

    Setiap ambulans Maxus ini berharga di bawah RM400,000, sama dengan harga ambulans konvensional tetapi mampu menawarkan tahap keselamatan dan perlindungan lebih tinggi, jelas Ketua Pegawai Operasi Weststar Maxus, Julius Jonathan. Datang dengan jaminan lima-tahun dan pakej penyelenggaraan, Westar Group turut menawarkan penyelesaian barisan kenderaan untuk ambulans ini, termasuk program pajakan.

     
     
  • Harga minyak 15-28 Julai – RON 97 naik 3 sen seliter

    Harga minyak 15-28 Julai – RON 97 naik 3 sen seliter

    Buat pertama kalinya, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga bahan api utama di Malaysia untuk dua minggu sekaligus, iaitu bertarikh 15 hingga 28 Julai 2021. Seperti minggu-minggu sebelum ini, hanya petrol RON 97 sahaja yang mengalami kenaikan harga iaitu tiga sen seliter, menjadikan harganya dari RM2.70 seliter, bakal menjadi RM2.73 seliter untuk tempoh dua minggu ini.

    Manakala untuk tempoh minggu yang sama, tiada perubahan harga siling untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu dua minggu lagi iaitu pada 28 Julai 2021.

     
     
  • Zero Motorcycles FXE 7.2 – supermotard elektrik 46 hp

    Zero Motorcycles FXE 7.2 – supermotard elektrik 46 hp

    Zero Motorcycles yang sudah mempunyai beberapa model motosikal elektrik dalam barisan produk mereka kini memperkenalkan satu lagi model baru iaitu FXE 7.2. Ini adalah sebuah motosikal elektrik berbentuk supermotard, dengan harga bermula daripada 11,795 USD (RM49,546).

    Untuk makluman, FXE direka dengan kerjasama Huge Design SF, iaitu sebuah syarikat rekaan industri yang juga terlibat dengan rekaan barangan seperti GoPro dan pelbagai lagi. Ia juga kini adalah produk paling mampu milik yang ditawarkan oleh Zero Motorcycles.

    Menggunakan motor elektrik brushless Z-Force 75-5 penyejukan udara, FXE mampu menghasilkan kuasa yang bersamaan dengan 46 hp pada 4,300 rpm dan 106 Nm tork. Laju maksimum dihadkan kepada 137 km/j dan apabila ditunggang dalam mod bandar, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 165 km sementara apabila digunakan di lebuh raya, ia berkurang menjadi 97 km (90 km/j).

    Bateri lithium ion Z-Force yang digunakan pada motosikal ini mempunyai kapasiti 7.2 kWh, dengan kapasiti nominal 6.3 kWh. Jika menggunakan pengecas 650W biasa, ia mengambil masa 9.7 jam untuk penuh, melalui sumber 110 atau 220 volt, sementara apabila menggunakan pengecas aksesori pula ia mengambil masa 4.1 jam.

    Daripada motor elektrik, kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui tali sawat karbon Poly Chain, dengan nisbah sprocket 18/90. Menurut Zero Motorcycles, apabila dibandingkan dengan motosikal enjin pembakaran dalaman biasa, FXE sama seperti motosikal yang memberikan penggunaan bahan api 0.44 l/100 km dalam tunggangan bandar dan 1.10 l/100 km dalam tunggangan atas lebuh raya.

    Kedua-dua suspensi hadapan dan belakang FXE menggunakan unit boleh laras sepenuhnya daripada Showa, dengan di hadapan terdapat fork USD 41 mm sementara di belakang pula unit monoshock dengan tabung piggy-back. Brek adalah daripada J Juan, dengan unit cakera di hadapan dan belakang, dan datang dengan sistem ABS two-channel secara standard.

     
     
  • MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

    MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

    Selepas hampir sebulan setengah Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berlangsung seluruh negara bermula 1 Jun lalu kerana angka jangkitan wabak Covid-19 yang meningkat, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) membuat rayuan agar kerajaan membenarkan sektor automotif negara beroperasi semula di negeri-negeri yang masih berada Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Menurut MAA, industri automotif negara sangat bergantung kepada pasaran domestik, jadi dengan penghentian operasi produksi dan juga pengedaran produk automotif (yang dirancang akan bermula semula pada Fasa 2 PPN) dan juga jualan kenderaan akan mendatangkan implikasi yang besar kepada seluruh ekosistem automotif negara.

    Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad menyatakan bahawa keseluruhan rantaian pembekalan dalam sektor automotif telah terjejas teruk, khususnya dengan penutupan sepenuhnya operasi di negeri-negeri dalam Perintah Pergerakan Diperketat (PKPD) seperti di Selangor dan Kuala Lumpur. “Maklum balas yang diterima dari banyak ahli kami menunjukkan operasi perniagaan walaupun di negeri bukan PKPD kini terjejas kerana ganguan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

    MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

    Persatuan berkenaan menyatakan bahawa kesan dari pemberhentian operasi kilang automotif, bengkel dan pusat pengedaran alat ganti di Selangor dan Kuala Lumpur akan memberikan kesan yang sangat serius. MAA juga menegaskan bahawa semakin lama operasi dihentikan, semakin besar impak yang akan ditimbulkan pada industri automotif dan negara.

    Menurut MAA lagi, sementara syarikat-syarikat mungkin terkesan dari kehilangan pendapatan, keuntungan, pasaran eksport dan penutupan pelbagai perniagaan, kerajaan juga akan kerugian dalam aspek mengutip duti eksais, duti import, cukai jualan dan cukai jalan kenderaan bermotor yang lebih rendah.

    Tambahnya lagi, Selangor dan Kuala Lumpur mewakili hampir 50% jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia setahun, kerana banyak syarikat-syarikat automotif utama untuk produksi kenderaan dan komponen terletak di dua negeri ini. Malah, terdapat ahli MAA yang hanya mempunyai satu-satunya pusat atau pusat pengedaran utama (untuk kenderaan dan alat ganti) yang terletak di Selangor dan KL.

    Oleh itu, persatuan berkenaan merayu agar kerajaan membenarkan sektor automotif seperti bengkel dan pusat pengedaran untuk kenderaan penumpang/komersil dan juga perniagaan alat ganti untuk beroperasi semula segera, dengan mengambil kira kapasiti tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di negeri-negeri di bawah PKPD serta negeri di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 PPN.

    MAA turut menyebut bahawa pembukaan semula bengkel automotif dan pusat alat ganti di negeri-negeri PKPD adalah sesuatu yang perlu dibuat segera, kerana dengan penutupan yang berterusan akan menyebabkan kesukaran besar kepada semua pengguna, dalam masa yang sama mungkin akan membahayakan keselamatan mereka yang terus menggunakan kenderaan yang rosak atas jalan raya kerana tiada bengkel dan pusat alat ganti yang dibuka, sekaligus turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    Persatuan tersebut juga memohon agar kerajaan membuka pelabuhan dua atau tiga hari seminggu bagi proses menerima dan menyimpan kargo bagi sektor automotif agar tidak berlaku kesesakan, sama seperti yang dipraktikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

     
     
  • Mercedes-AMG SL R232 – bahagian dalam didedah

    Mercedes-AMG SL R232 – bahagian dalam didedah

    Kempen teaser untuk Mercedes-AMG SL baru diteruskan lagi dengan terbaru, pengeluar dari Jerman itu menunjukkan pula bahagian dalam model R232 ini. Menurut syarikat itu, bahagian dalam ini menggabungkan geometri analog dengan dunia digital, dan dipanggil sebagai “hyperanalogue.”

    Berkenaan geometri, rekaan pelik pada papan pemuka SL R231 sebelum ini telah diganti dengan rekaan lebih simetti yang dikatakan mendapat inspirasi daripada kapal terbang. Ia mempunyai rekaan seperti sayap di bahagian tepi dan kemudiannya dilengkapkan dengan corong pendingin hawa seperti turbin jet.

    Inspirasi yang sama turut digunakan pada panel pintu, dengan rekaan yang bersambung dengan papan pemuka, untuk mewujudkan rasa seperti di dalam kokpit. Pada kedua-dua pintunya, anda akan menemui butang kawalan tempat duduk dan pemegang yang hampir sama seperti EQS baru, serta penutup besi berlubang untuk pembesar suara Burmester.

    Syarikat ini juga menerapkan beberapa ciri yang lebih memberikan fokus kepada pemandu, seperti panel instrumen digital 12.3 inci yang mempunyai pelindung di atasnya supaya pemandu dapat melihat informasi yang terpapar dengan lebih jelas. Kemudiannya, skrin sesentuh di tengah pula boleh dilaras secara elektrik untuk mengelakkan ia silau apabila terkena cahaya matahari.

    Skrin sesentuh ini disambungkan dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi kedua, sama seperti S-Class baru. Disebabkan itu, grafiknya adalah lebih terang dan mempunyai pelbagai fungsi seperti menu Performance dan Track Pace yang mengetengahkan lagi ciri sporty model SL.

    Konsol tengah pula kelihatan hampir sama seperti AMG GT, serta GT Coupe 4-pintu, kerana ia menggunakan bentuk V yang bersambung dengan skrin di atasnya. Walaubagaimanapun, tiada butang khas untuk melaras fungsi khas kenderaan tertentu pada konsol tengah ini, dan pemandu perlu melakukannya melalui butang di stereng, bawah skrin sesentuh atau skrin sesentuh itu sendiri.

    Mercedes-AMG SL R232 – bahagian dalam didedah

    Seperti yang boleh dijangka, bahagian kabin model baru ini diperkemas dengan pelbagai bahan premium dan pelanggan diberikan pelbagai lagi pilihan dalam katalog. Tempat duduk sports atau prestasi boleh dipadankan bersama kulit Nappa satu atau dua tona, dan jahitan sama ada berbentuk berlian atau gentian mikro Dinamica dengan jahitan kontras warna kuning atau merah. Terdapat juga lampu suasana 64 warna serta head-up display sebagai pilihan tambahan.

    SL baru ini membawa semula tetapan tempat duduk 2+2 yang sebelum ini digunakan pada R129 tahun 1989, dan menurut pengeluar itu, tempat duduk belakang boleh digunakan oleh manusia sebenar dengan ketinggian sehingga 1.5 meter. Jika tidak mahu menggunakannya sebagai tempat duduk, pemilik boleh memasang penghadang angin untuk menghalang angin daripada masuk ke bahagian belakang ini dan pergi ke leher penumpang hadapan.

    Satu lagi ciri yang dibawa semula adalah bumbung jenis fabrik, selepas beberapa generasi sebelum ini menggunakan bumbung jenis besi, sementara bahagian-bahagian lain kenderaan adalah serba baru, dengan rekaan yang lebih ringan. R232 juga akan menjadi SL pertama yang mendapat sistem pacuan semua roda 4Matic+, dengan pilihan enjin yang berkemungkinan adalah unit enam silinder dan lapan silinder.


    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG SL R232 lapan silinder

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG SL R232 enam silinder