Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Geely Haoyue VX11 dilancarkan di China dalam tiga varian, harga antara RM62k hingga RM84k, enjin 1.8L

    Geely Haoyue VX11 dilancarkan di China dalam tiga varian, harga antara RM62k hingga RM84k, enjin 1.8L

    Geely Auto secara rasminya telah melancarkan SUV terbesar mereka, Haoyue VX11 di China. Model SUV segmen D ini pertama kali ditunjukkan pada Januari lalu dan mempunyai kabin yang luas dipasang dengan pelbagai kelengkapan. Kesemuanya ada tiga varian, dan harga terletak di antara 103,600 yuan (RM62k) hingga 139,600 yuan (RM84k).

    Haoyue datang dalam pilihan lima tempat duduk atau tujuh tempat duduk, dengan tempat duduk baris kedua serta ketiga boleh dilipat rata untuk memberi lebih ruang. Model lima tempat duduk menawarkan ruang simpanan maksimum 2,370 liter manakala model tujuh tempat duduk menyediakan 2,050 liter ruang barangan.

    Menurut Geely, tempat duduk Haoyue boleh dilipat untuk dijadikan seperti katil, dan orang yang berketinggian sehingga 1.9 meter juga boleh duduk dengan selesa tanpa melakukan sebarang pelarasan. Semua baris tempat duduk boleh dilaras dan tempat duduk belakang datang dengan penyandar yang boleh dilaras lapan arah. Jika itu masih tidak mencukupi, pelanggan boleh memilih tetapan tempat duduk VIP yang berasingan.

    Selain menggunakan bahan mesra alam, SUV ini juga dilengkapi dengan penapis udara gred CN95 yang mampu menapis 99% partikel PM2.5 dan 98% titisan yang lebih besar daripada 0.74 micrometer. Pengawal pendingin hawa dengan sistem AQS datang secara standard, dan ia membolehkan udara seluruh kabin dibersihkan dalam masa bawah tiga minit.

    Satu lagi ciri penting pada Haoyue adalah GKUI Geely Smart Ecosystem yang dikuasakan oleh pemproses quad-core E01 berprestasi tinggi. Sistem ini memberikan interaksi yang mudah dengan skrin sesentuh, dan boleh disambungkan kepada pelbagai fungsi lain seperti kawalan suara dan aplikasi IoT lain termasuklah peranti pintar di rumah. Pada papan pemuka terdapat dua skrin 12.3 inci dan head-up display untuk navigasi.

    Haoyue digerakkan oleh enjin empat silinder direct injection 1.8 liter yang mampu menghasilkan kuasa 181 PS dan 300 Nm tork, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan atau kesemua sekali. Enjin ini juga mematuhi tahap emisi 6B di China.

    Geely Haoyue VX11 dilancarkan di China dalam tiga varian, harga antara RM62k hingga RM84k, enjin 1.8L

    Menurut laporan di China, Geely juga akan melancarkan Haoyue dengan enjin 2.0 liter turbo yang dibangunkan bersama Volvo. Enjin ini juga akan ditawarkan dalam dua talaan kuasa dengan yang paling tinggi sekitar 247 hp dan 350 Nm tork. Apabila pengeluaran enjin 2.0L ini bermula, Haoyue akan menjadi model pertama yang menggunakannya.

    Akhir sekali, Haoyue dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomous Level 2 yang terdiri daripada 24 sensor untuk memberi fungsi kepada 17 ciri pintar. Antaranya adalah seperti Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop-Go serta fungsi lane centering dengan bantuan membelok (seperti Pilot Assist Volvo) sehingga 150 km/j. Parking Assist pula datang dengan pandangan panoramik 360 darjah.



     
     
  • Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

    Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

    Setelah didedahkan buat pertama kali pada November 2018, dan dipertontonkan di Malaysia setahun selepas itu, kini Range Rover Evoque generasi kedua secara rasmi telah masuk ke pasaran tempatan. Ia masih mengekalkan imej Evoque sebelum ini – satu-satunya model Range Rover dengan rupa yang ‘cocok’ walaupun dimiliki oleh seorang gadis – dan menampilkan pelbagai teknologi off-road terkini.

    Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, bermula model P200 yang dijual pada harga RM426,828, dan varian tertinggi P250 R-Dynamic dijual pada harga RM475,398. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk potongan cukai jualan 50% untuk model CBU yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

    Seperti biasa, setiap pembelian model-model Range Rover di Malaysia disertakan sekali dengan perlindungan waranti lima tahun atau 150,000 km, pakej servis percuma lima tahun atau 65,000 km dan juga bantuan tepi jalan selama tiga tahun. Istimewa untuk masa terhad, pembeli Evoque akan menerima baucer bernilai RM3,000 bagi membeli aksesori untuk kereta mereka, yang kesemuanya turut dilindungi waranti selama lima tahun.

    Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

    Seperti yang anda boleh lihat, garis badan pada Evoque baharu ini adalah kesinambungan dari model sebelumnya – garis bumbung yang menurun kebelakang dengan landai, manakala garis bahu pula menaik ke atas. Manakala pada bahagian belakang, Evoque diberikan perician seperti abangnya, Velar, bersama pembuka pintu yang boleh disorok.

    Untuk pasaran Malaysia, lampu hadapan LED Premium dengan lampu tinggi automatik bersama lampu isyarat membelok sequential, serta rim aloi lima jejari 20-inci hadir sebagai ciri standard. Varian R-Dynamic pula menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, kemasan seakan liang udara pada penutup bonet, kemasan-kemasan seakan tembaga, lampu kabus hadapan serta rim dengan rekaan turbin.

    Walaupun dimensi Evoque baharu ini hanya sedikit lebar dan sedikit tinggi berbanding model generasi sebelum ini, ia dihasilkan dengan jarak roda 21 mm lebih panjang. Ini membolehkan ruang kaki untuk penumpang belakang lebih luas, bersama ruang but yang 10% lebih besar kepada 591 liter.

    Range Rover Evoque 2020 kini di Malaysia – P200 dan P250 R-Dynamic, harga bermula RM427k tanpa SST

    Inspirasi dari Velar turut diberikan pada kabin. Ia dihasilkan dengan rekaan ringkas tanpa unsur-unsur ‘serabut’, yang di sifatkan Land Rover sebagai ruang dalaman yang mewah, minimalis dan digital. Antara ciri yang diberikan termasuk sistem skrin sesentuh berkembar Touch Pro Duo dengan saiz 10-inci – satu untuk infotainmen, dan satu lagi untuk larasan pendingin hawa serta larasan kenderaan. Kawalan turut dibantu dengan dua butang fizikal.

    Kelengkapan standard lain untuk bahagian dalaman Evoque 2020 pasaran Malaysia ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, cermin pandang belakang auto-dimming, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, upholsteri kulit, kemasan aluminium, tempat duduk hadapan larasan berkuasa 14-hala dengan memori, kolum stereng larasan berkuasa, sokongan Apple Carplay dan Android Auto, sistem bunyi Meridian 380-watt dengan 11-pembesar suara, kamera undur dan juga pintu tailgate bukaan tanpa sentuhan tangan.

    Manakala untuk varian R-Dynamic pula ia ditambah dengan kelengkapan seperti upholsteri balutan kulit dua-tona, kemasan aluminium gelap, pelapik bumbung hitam, kemasan bendul sisi krom, set pedal aluminium, lampu suasana serta sistem kamera 360-darjah. Model varian teringgi ini juga menerima teknologi baharu yang mula ditampilkan pada Evoque generasi baharu iaitu cermin pandang belakang digital Clearsight dan juga ClearSight Ground View.

    Dengan cermin pandang belakang Clearsight, pemandu masih boleh melihat bahagian belakang dengan jelas walaupun bahagian kabin belakang dipenuhi barang-barang bersaiz besar, menerusi paparan skrin HD. Menurut Land Rover, skrin tersebut memberikan imej lebih lebar (50 darjah) dengan tahap penglihatan yang sangat baik walaupun dalam cahaya rendah.

    Manakala dengan ClearSight Ground View pula, ia seolah-olah akan menjadikan bonet hadapan halimunan, membolehkan pemandu melihat bahagian bawah hadapan Evoque berkenaan dengan paparan 180 darjah. Sistem ini akan membantu pemandu pada ruang parkir yang sempit dan melalui jalan dengan halangan tinggi atau permukaan yang lasak.

    Untuk sistem keselamatan pula, Evoque tampil dengan ciri standard seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantau tumpuan pemandu, bantuan parkir dan juga amaran bukaan pintu. Model R-Dynamic menerima fungsi tambahan seperti cruise control adaptif, brek kecemasan automatik kelajuan tinggi dan juga pemantau titik buta.

    Range Rover Evoque ini dibangunkan dengan platform baharu Premium Transverse Architecture (PTA), dengan struktur kerangka menggunakan gabungan keluli berketegaran tinggi dan juga aluminium membolehkan ia 13% lebih keras seterusnya menghasilkan getaran dan bunyi yang lebih rendah. Casis ini menampilkan suspensi Topang Mcpherson di hadapan dan juga gandar intergral link di belakang, bersama penyerap hentak pasif untuk semua model.

    Kedua-dua model pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin Ingenium 2.0 liter turbo empat silinder, namun ditala dengan kuasa yang berbeza. Varian P200 menghasilkan 200 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 320 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Manakala versi P250 pula mengekstrak 249 PS dan tork maksima 365 Nm pada takat rpm yang sama.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua varian tersebut digandingkan dengan hanya satu pilihan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dari ZF, bersama sistem pacuan semua roda Efficient Driveline – dibekalkan dengan fungsi Driveline Disconnect membolehkan ia berubah kepada hanya pacuan roda hadapan untuk menjimatkan bahan api, bergantung pada keadaan.

    Evoque juga dibekalkan dengan sistem Terrain Response 2 terkini, menampilkan mod Auto yang akan melaras talaan enjin serta transmisi bagi disesuaikan dengan keadaan permukaan jalan. Model generasi baharu ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 212 mm dan boleh meredah air dengan kedalaman maksima 600 mm.

     
     
  • Range Rover Evoque 2020 akan diperkenalkan hari ini — ikuti majlis pelancaran digitalnya di sini, 11 pagi

    Range Rover Evoque generasi kedua akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia hari ini, pada jam 11 pagi. Ikut serta sesi pelancaran digital berkenaan bersama kami, di sini atau menerusi laman Facebook rasmi Jaguar Land Rover Malaysia.

    Evoque generasi kedua untuk Malaysia ini juga akan menerima teknologi ClearSight di depan dan belakang; Clearsight Ground View akan memaparkan pandangan 180-darjah bahagian bawah dan depan kenderaan, begitu juga dengan bahagian belakang kenderaan.

    Bagi sistem infotainmen, Evoque baru ini akan menampilkan ciri InControl Touch Pro Duo dengan dua skrin sentih 10-inci serta sebuah paparan digital 12.3-inci untuk pemandu. Kelengkapan keselamatan aktif juga termasuk bantuan mengekalkan lorong, serta peninjau keadaan pemandu yang akan memberikan amaran audio dan visual sekiranya ia mengesan pergerakan mengejut disebabkan keadaan pemandu yang letih.

    Unit enjin yang ditawarkan untuk pasaran tempatan ialah 2.0 litre Ingenium turbocas petrol, kemungkinan dalam versi janaan 300 PS dan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dengan pacuan semua roda. Untuk laluan yang lebih mencabar, ciri Terrain Response 2 datang sebagai standard, sementara kemampuan meredah air kini ialah 600 mm – tambahan 100 mm berbanding model sebelum ini.

     
     
  • Beberapa lebuhraya utama ditutup dari 27 Jun-15 Sept bagi pembinaan MRT laluan Putrajaya – MMC Gamuda

    Beberapa lebuhraya utama ditutup dari 27 Jun-15 Sept bagi pembinaan MRT laluan Putrajaya – MMC Gamuda

    MMC Gamuda telah mengumumkan beberapa lebuh raya utama ditutup untuk tempoh 81 hari bagi tujuan pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya. Penutupan dari 27 Jun hingga 15 Sept itu melibatkan beberapa kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (arah utara), Lebuhraya Bukit Jalil, Sungai Besi, Pekan Sungai Besi dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

    Menurut syarikat berkenaan lagi, susur keluar atau masuk di Lebuhraya KL-Seremban ditutup secara berkala sepanjang 300 meter. Oleh itu pengguna dari Bulatan Lumba Kuda menuju ke arah Lebuhraya KL-Seremban boleh menggunakan susur keluar ke Bukit Jalil.

    “Penutupan sepanjang Lebuhraya Bukit Jalil dan pengaktifan laluan kontra ke arah Bulatan Lumba Kuda dilanjutkan ke tempoh tersebut. Semasa penutupan 300 meter di lorong kanan itu, satu lorong kiri akan disediakan kepada pengguna di kedua-dua arah.

    Beberapa lebuhraya utama ditutup dari 27 Jun-15 Sept bagi pembinaan MRT laluan Putrajaya – MMC Gamuda

    “Semasa penutupan dua lorong kiri (arah Bukit Jalil) dan satu lorong kiri (arah Bulatan Lumba Kuda), laluan kontra akan disediakan kepada pengguna yang ingin ke Bukit Jalil dari Bulatan Lumba Kuda,” kata kenyataan terbabit seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Selain itu, di hadapan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi, pengguna dari Lebuhraya BESRAYA menuju ke Pekan Sungai Besi dan MRR2 akan melalui lencongan jalan sepanjang 100 meter, ke laluan bawah stesen MRT.

    Di Pekan Sungai Besi, penutupan penuh jalan secara berkala melibatkan Jalan Suasa 2 dan 3, menyaksikan pemandu dari MRR2 dilencongkan ke laluan kontra di Jalan Pekan Sungai Besi menggunakan Jalan Suasa.

    Beberapa lebuhraya utama ditutup dari 27 Jun-15 Sept bagi pembinaan MRT laluan Putrajaya – MMC Gamuda

    Manakala satu lorong akan disediakan kepada pengguna dari Lebuhraya BESRAYA menuju ke MRR2. Satu simpang ke kanan akan disediakan untuk menggunakan laluan kontra di Jalan Suasa bagi menghala ke Jalan Suasa 3, dan pengguna boleh menggunakan lorong sedia ada untuk menghala ke MRR2.

    Penutupan jalan secara berkala sepanjang 400 meter pula dilaksanakan di kedua-dua arah di MRR2. Dua lorong kiri di kedua-dua arah Shah Alam dan Cheras akan ditutup manakala satu lorong kanan akan disediakan kepada pengguna.

    Dalam pada itu, penutupan penuh bagi simpang masuk dan keluar ke 8trium dan Decathlon melalui Jalan Cempaka di Bandar Sri Damansara dilanjutkan dari 27 hingga 28 Jun bagi tujuan kerja-kerja mengangkat jambatan utiliti dan sebarang kerja berkaitan.

     
     
  • JPJ Pulau Pinang kesan syarikat e-hailing beroperasi secara haram, 11 kenderaan disita dalam operasi khas

    JPJ Pulau Pinang kesan syarikat e-hailing beroperasi secara haram, 11 kenderaan disita dalam operasi khas

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengadakan satu operasi khas, Ops Khas Penguatkuasaan E-Hailing Tanpa Permit, bagi mengesan syarikat pengendali e-hailing yang beroperasi secara haram di negeri terbabit.

    Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, pihaknya menerima aduan daripada persatuan pemandu e-hailing berdaftar terhadap kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing telah menggunakan aplikasi tersebut tetapi tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Dalam operasi yang dijalankan pada semalam dan hari ini, JPJ mendapati syarikat terbabit InDriver telah beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu dan tidak pernah membuat permohonan pendaftaran kepada APAD bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP).

    “Berikutan itu, JPJ telah menjalankan risikan dan operasi khas sejak semalam dan memberi tumpuan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang sebelum menahan 11 kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing dengan syarikat antarabangsa tersebut.

    JPJ Pulau Pinang kesan syarikat e-hailing beroperasi secara haram, 11 kenderaan disita dalam operasi khas

    “Berdasarkan siasatan, syarikat itu beroperasi di lebih 30 negara sebagai (syarikat) pengendali e-hailing, namun dipercayai masuk ke negara ini terutama Pulau Pinang sejak awal tahun tetapi sehingga hari ini syarikat itu masih belum berdaftar dengan APAD selain tidak mempunyai Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP). Kami sedang mengesan syarikat pengendali e-hailing ini untuk siasatan lanjut,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Adenan berkata hasil siasatan turut mendapati syarikat terbabit membenarkan pemandu mendaftar dan mengambil penumpang walaupun tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan ia jelas tidak mengikut peraturan ditetapkan oleh Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Selain itu, katanya syarikat tersebut juga sedang mengadakan promosi untuk menarik pemandu e-hailing dengan tidak mengenakan sebarang bayaran menggunakan aplikasi syarikat malah mereka mendapat sepenuhnya bayaran daripada penumpang.

    Selain itu, seramai 11 orang pemandu telah diambil tindakan kerana pemandu-pemandu ini menjalankan Perkhidmatan E-Hailing yang tidak berdaftar. Tindakan diambil di bawah Seksyen 16(1) APAD 2010. Kesemua kenderaan yang terbabit telah disita untuk tempoh satu bulan kalendar dari tarikh tindakan diambil di bawah Seksyen 80(1) APAD 2010.

    JPJ Pulau Pinang kesan syarikat e-hailing beroperasi secara haram, 11 kenderaan disita dalam operasi khas

    Pendakwaan akan dilaksanakan dalam tempoh satu bulan dari tarikh tindakan diambil. Sekiranya disabitkan kesalahan, pemandu boleh didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

    “Berdasarkan operasi, kami juga mendapati penumpang boleh tawar-menawar harga yang dikenakan menerusi aplikasi e-hailing tersebut malah ia lebih murah berbanding harga dikenakan oleh syarikat pengendali e-hailing yang lain.

    “Ada di antara 11 pemandu berusia 20 hingga 50 tahun itu merupakan pemandu e-hailing bagi syarikat (e-hailing) lain dan mereka turut menjadi pemandu syarikat tersebut kerana lebih mudah mendapat penumpang serta mendapat bayaran penuh (daripada penumpang),” katanya.

    Beliau berkata pihaknya memberi amaran kepada semua pemandu e-hailing serta penumpang untuk tidak menggunakan aplikasi itu kerana ia haram dan jika berlaku kemalangan semasa perjalanan mereka termasuk penumpang tidak dilindungi insurans.

     
     
  • SPYSHOT: Peugeot Landtrek dilihat di uji di Malaysia – trak pikap berasaskan Changan Kaicheng F70

    SPYSHOT: Peugeot Landtrek dilihat di uji di Malaysia – trak pikap berasaskan Changan Kaicheng F70

    Ini sesuatu yang tak terduga untuk di temui di Malaysia – pembaca kami, Fiirdaus Romeli telah terlihat dan merakam trak pikap dari jenama Perancis, iaitu Peugeot Landtrek di sini.

    Unit tersebut dilihat dengan pelekat penyamaran yang sangat minima, masih lagi dalam versi pemanduan sebelah kiri dan masih menggunakan trade plate – ia mungkin di uji bagi menilai prestasinya untuk kegunaan dalam cuaca seperti di rantau Asia Tenggara.

    Bagi yang belum mengetahui, Peugeot Landtrek ini dihasilkan khas untuk pasaran benua Afrika dan juga Amerika Latin, didedahkan pada awal tahun ini, namun hanya akan dijual pada pasaran-pasaran tersebut pada hujung tahun 2020. Ia juga sebenarnya sebuah model yang diasaskan dari trak pikap buatan China iaitu Changan Kaicheng F70 yang membuat kemunculan sulungnya pada tahun lalu.

    Trak pikap ini akan ditawarkan dalam bentuk badan chassis cab, single cab dan double cab, hadir dengan pilihan enjin petrol dan diesel, serta opsyen pacuan empat roda atau dua roda di belakang. Untuk versi petrol, Landtrek dijana enjin petrol 2.4 liter turbo berkuasa 210 hp/320 Nm dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam-kelajuan Getrag atau automatik enam-kelajuan Punch dengan mod Sport dan Eco.

    Manakala bagi versi diesel pula, trak pikap ini dijana oleh enjin 1.9 liter VGT berkuasa 150 hp dan 350 Nm, hadir hanya dengan padanan kotak gear manual enam-kelajuan Getrag.

    Pada bahagian luaran pula, trak pikap ini hadir dengan muka yang diberikan elemen sebuah Peugeot menerusi gril besar dengan logo ‘singa berdiri’ pada bahagian tengah, dan juga lampu LED menegak.

    SPYSHOT: Peugeot Landtrek dilihat di uji di Malaysia – trak pikap berasaskan Changan Kaicheng F70

    Manakala pada bahagian dalaman, trak pikap Peugeot ini menampilkan rupa yang berbeza dari versi Changan di mana papan pemukanya dihasilkan dengan inspirasi dari sedan Peugeot 508, serta diberikan roda stereng rata di bawah.

    Trak pikap ini juga menerima spesifikasi premium seperti sistem pendingin hawa automatik dua-zon, dan juga sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 10-inci definasi tinggi serta sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan hard drive 10 GB.

    Untuk kelengkapan keselamatan, ia dilengkapi enam beg udara, ESP, Hill Descent Control, ASR untuk kedua-dua versi 4×2 dan 4×4, Lane Departure Warning, Trailer Swing Control dan dua cagak Isofix di tempat duduk belakang.

     
     
  • Vauxhall Mokka 2021 – generasi baru dengan pilihan varian elektrik penuh, platform CMP, kokpit digital

    Vauxhall Mokka 2021 – generasi baru dengan pilihan varian elektrik penuh, platform CMP, kokpit digital

    Pengeluar dari British iaitu Vauxhall telah memperkenalkan model generasi baru Mokka yang kini juga boleh didapati dalam versi elektrik penuh. Crossover kompak ini dibina atas platform Common Modular Platform (CMP), dengan berat kurang 120 kg berbanding model sebelum ini sementara ketegaran pula bertambah 30%.

    Melihat kepada dimensi, Mokka baru mempunyai panjang keseluruhan 4,150 mm, atau 125 mm lebih pendek berbanding sebelum ini, manakala lebar pula bertambah 10 mm dan jarak roda bertambah 2 mm. Ruang simpanan dalam but masih lagi sama iaitu 350 liter.

    Setakat ini, perincian penuh untuk enjin Mokka baru masih belum didedahkan sepenuhnya tetapi ia diberitahu akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Selain daripada itu, ia juga datang dengan penggerak elektrik penuh yang menggunakan motor dan mampu menghasilkan 136 hp (100 kW) dan 260 Nm tork, hasil daripada bateri 50 kWh.

    Vauxhall Mokka 2021 – generasi baru dengan pilihan varian elektrik penuh, platform CMP, kokpit digital

    Apabila dalam cas penuh, Mokka-e boleh bergerak sehingga 320 km, dan laju maksimumnya telah dihadkan kepada 150 km/j. Untuk mengecas, Mokka-e boleh disambungkan kepada pengecas pantas DC 100 kW dan mengambil masa 30 minit untuk mencecah tahap 80% (dari kosong) atau pengecas AC 11 kW. Bateri ini datang dengan jaminan lapan tahun.

    Daripada aspek penampilan, Mokka baru ini adalah model pertama yang menggunakan muka dipanggil sebagai Vizor, dan dipasang dengan lampu utama LED matriks IntelliLux, DRL LED serta lencana Vauxhall Griffin di tengah. Rekaan Vizor ini dihasilkan oleh ketua bahagian rekaan, Mark Adams serta ahli pasukannya, dan akan digunakan pada model akan datang lain Vauxhall.

    Mokka juga adalah model pertama yang mendapat kokpit digital penuh Pure Panel generasi seterusnya dan ia mempunyai paparan yang lebih ringkas. Varian paling atas mendapat panel instrumen 12 inci yang turut disambung kepada satu lagi skrin infotainmen 10 inci di bawahnya.

    Selain Apple CarPlay dan Android Auto, sistem infotainmen ini juga boleh disambung kepada servis VauxhallConnect serta pengecas tanpa wayar. Bahagian konsol tengah juga lebih ringkas hasil penggunaan brek parkir elektronik, tombol gear elektronik serta suis yang kecil.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah tempat duduk larasan kuasa yang boleh dipilih dengan kemasan kulit atau Alcantara, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop-Go, Active Lane Positioning System, kamera pandangan belakang 180 darjah, pengenalan tanda jalan dan pelbagai lagi.

     
     
  • Transmisi Manual pintar (iMT) Kia diperincikan – boleh berfungsi walau dengan sistem hibrid ringkas 48-volt

    Transmisi Manual pintar (iMT) Kia diperincikan – boleh berfungsi walau dengan sistem hibrid ringkas 48-volt

    Pasaran untuk kereta-kereta dengan transmisi manual semakin lama menjadi semakin kecil. Namun disebabkan ia masih lagi ada permintaan (50% pemandu di Eropah masih menggunakannya) dan percaya bahawa transmisi berkenaan adalah salah satu cara bagi mendapatkan pemanduan yang efisien, Kia masih lagi membangunkan transmisi berkenaan, serta telah memperkenalkan teknologi baharu Transmisi Manual pintar atau iMT.

    Teknologi iMT ini membolehkan transmisi manual dipadankan pada unit janakuasa hibrid ringkas 48-volt dan juga membolehkan fungsi ‘coasting‘ (enjin dimatikan semasa masih bergerak, ketika kereta sedang ‘belayar’ bagi menjimatkan bahan api) boleh diaktifkan walaupun tanpa transmisi automatik.

    Bagaimana sistem iMT ini berfungsi? Secara bijak, Kia telah menggantikan sistem konvensional yang menggunakan pam klac hidraulik dengan actuator klac elektromekanikal – pam tidak lagi dihubungkan terus dengan pedal secara mekanikal, tetapi berfungsi secara clutch-by-wire, dan ia dikawal oleh kotak komputer khas serta boleh dihubungkan kepada operasi sistem hibrid ringkas dan juga unit starter-generator hibrid ringkas (MHSG) sistem berkenaan.

    Transmisi Manual pintar (iMT) Kia diperincikan – boleh berfungsi walau dengan sistem hibrid ringkas 48-volt

    Menerusi sistem ini, klac dapat memutuskan hubungan antara enjin dan kotak gear secara automatik ketika enjin masuk ke fungsi coasting berkenaan, dan hubungan tersebut dapat disambungkan kembali apabila enjin mula hidup semula sendiri apabila kuasa diperlukan kembali.

    Untuk memudahkan anda faham, kita letakkan dalam satu situasi; apabila kereta hampir tiba di selekoh atau persimpangan, secara normalnya kaki pemandu akan diangkat dari pedal pendikit untuk memperlahankan kereta. Sejurus kaki diangkat, klac akan memutuskan hubungan transmisi dan enjin secara automatik, kemudian enjin juga akan dimatikan secara automatik bagi membolehkan kereta tersebut ‘berlayar’ seketika bagi menjimatkan bahan api.

    Transmisi Manual pintar (iMT) Kia diperincikan – boleh berfungsi walau dengan sistem hibrid ringkas 48-volt

    Jika perlu, ketika ini juga unit MHSG yang menerima kuasa 48-volt dari bateri hibrid akan memberikan tork bagi membantu menggerakkan tayar kereta berkenaan.

    Apabila kuasa diperlukan kembali, pemandu hanya perlu menekan pedal pendikit, kemudian unit MHSG akan menghidupkan semula enjin secara automatik serta akan memadankan kelajuan enjin dengan tahap gear sistem transmisi yang telah dimasukkan secara manual sebelum itu, dan klac juga akan disambungkan semula – kesemua proses ini berjalan secara sangat lancar.

    Transmisi Manual pintar (iMT) Kia diperincikan – boleh berfungsi walau dengan sistem hibrid ringkas 48-volt

    Menurut Kia, keseluruhan operasi sistem iMT ini telah terbukti menjimatkan penggunaan bahan api dan pencemaran CO2 sebanyak 3% dalam pemanduan dunia sebenar. Jenama Korea tersebut turut mendakwa bahawa pedal klac sistem iMT ini memberikan rasa yang sama seperti pedal sistem konvensional, malah ia akan memberikan operasi yang lebih lancar kerana sistem kawalan elektromekanikal berkenaan akan memberikan ‘poin cengkaman semula’ yang lebih tepat.

    Sistem iMT ini sebenarnya telahpun dipadankan pada model-model produksi terkini Kia seperti i30 2020 dan juga Rio facelift. Ia kemudiannya akan dipadankan pada model-model hibrid ringkas petrol dan diesel yang lain – termasuk Kia Ceed pasaran Eropah yang akan menerima varian EcoDynamics+ baharu yang dijana enjin diesel 1.6 liter CRDi.

     
     
  • Ford Focus 2020 dapat enjin mild hybrid 1.0L EcoBoost baharu, ciri dipertingkatkan untuk Eropah

    Ford Focus 2020 dapat enjin mild hybrid 1.0L EcoBoost baharu, ciri dipertingkatkan untuk Eropah

    Ford Focus 2020 telah pun menerima peningkatan untuk pasaran Eropah, menyaksikan beberapa penambahan termasuk penjana kuasa elektrifikasi baharu dan beberapa perubahan kecil bagi senarai kelengkapannya. Varian baharu, Connected, juga telah menyertai barisan sedia ada termasuk ST-Line, Titanium, Active dan Vignale.

    Perkara terbesar yang diperkenalkan menerusi model 2020 ini ialah penjana kuasa EcoBoost Hybrid baharu, iaitu 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder dengan versi mild hybrid, yang mampu menghasilkan dua output; 155 PS (153 hp) dan 125 PS (123 hp), kedua-duanya dengan padanan transmisi manual enam-kelajuan.

    Dengan EcoBoost Hybrid, alternator standard digantikan dengan belt-driven integrated starter-generator (BISG), membolehkan pemulihan tenaga berlaku ketika membrek dan peluncuran untuk mengecas bateri lithium-ion yang ditempatkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

    Selain pemulihan tenaga, BISG juga bertindak sebagai motor untuk menyalurkan bantuan tork ketika pemanduan biasa, memberikan tork sehingga 24 Nm untuk mengurangkan tenaga yang dikeluarkan menerusi enjin petrol.

    Ford Focus 2020 dapat enjin mild hybrid 1.0L EcoBoost baharu, ciri dipertingkatkan untuk Eropah

    Secara alternatif, sistem ini juga boleh meledak untuk meningkatkan keseluruhan tork yang disalurkan oleh penjana kuasa sehingga 20 Nm apabila pendikitan yang lebih pantas diperlukan – juga mampu meningkatkan tork lebih 50% ketika enjin dalam pacuan rendah untuk mengoptimakan prestasi.

    BISG juga ditugaskan untuk memacukan alat tambahan elektrik kenderaan dan membolehkan jurutera Ford menetapkan nisbah mampatan yang lebih rendah dan sesuai dengan pengecas turbo yang lebih besar untuk lebih banyak tenaga, ini kerana tork bagi mild hybrid dapat mengurangkan sedikit turbo lag.

    Menurut Ford, EcoBoost Hybrid mengeluarkan paling minima 93 g/km bagi CO2 dan mempunyai 17% penjimatan bahan api yang lebih baik berbanding enjin 1.5 liter empat-silinder EcoBoost 150 PS dengan transmisi manual enam-kelajuan, mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh NEDC.

    Angka tersebut membolehkan beberapa ciri berfungsi termasuk Stop-in-Gear yang boleh mematikan enjin apabila kenderaan tidak bergerak, walau pun kenderaan masih di dalam gear dengan pedal klac ditekan, dan boleh dilaraskan untuk diaktifkan dari 15 km/j, 20 km/j atau 25 km/j. Sebagai tambahan, fungsi start-stop automatik juga boleh menghidupkan enjin dalam hanya 350 milisaat dan turut disertakan dengan teknologi penyahaktifan silinder.

    Ford Focus 2020 dapat enjin mild hybrid 1.0L EcoBoost baharu, ciri dipertingkatkan untuk Eropah

    Lain-lain enjin yang turut ditawarkan termasuk 1.0 liter tiga-silinder EcoBoost, 1.5 liter EcoBoost dan 2.0 liter ECoBlue diesel, yang kesemuanya dipadankan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan.

    Selain pilihan mild hybrid, Ford turut memperkenalkan kluster instrumen digital 12.3-inci, yang boleh dikonfigurasi dan didatangkan dengan paparan khas jika pelanggan memilih penjana kuasa EcoBoost Hybrid.

    Akhir sekali, varian Connected baharu turut menampilkan pad pengecasan tanpa wayar, sistem infotainmen SYNC 3 dengan navigasi, Kawalan Kelajuan Adaptif, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera pandangan belakang.

    Untuk varian lain, ST-Line dan Active, turut menerima kawalan suhu dwi-zon, cermin pandang belakang anti silau, bilah pengelap cermin pengesan-hujan dan kemasukan tanpa kunci secara standard. Sementara itu, model ST-Line X turut didatangkan dengan spoiler bumbung besar dan Active X pula menerima headliner hitam.

     
     
  • Mitsubishi perkenalkan aplikasi mudah alih mudahkan urusan pemilik, lengkap dengan butang SOS

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini memperkenalkan aplikasi mudah alih Mitsubishi Connect yang pertama seumpamanya untuk kegunaan pemilik-pemilik kenderaan jenama itu di Malaysia. Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Google Play dan Apple App Store secara percuma.

    Aplikasi berkenaan menawarkan pelbagai ciri perkhidmatan berkaitan kenderaan, membolehkan pemilik kenderaan Mitsubishi menetapkan antaranya temujanji jadual servis dengan pusat servis MMM kegemaran mereka, menyimpan rekod penyelenggaraan dan peringatan untuk servis akan datang dengan mudah. Pemilik juga boleh mendaftarkan beberapa kenderaan mereka di bawah satu akaun.

    Ia juga membolehkan pemilik untuk sentiasa boleh membuat panggilan Mitsibishi Assist 24 Jam serta bantuan kecemasan 24 Jam di seluruh negara sekiranya ada keperluan. Dengan memanfaatkan butang fungsi SOS pada aplikasi berkenaan, lokasi pengguna akan dikesan dengan tepat dan perincian akan disahkan oleh petugas khidmat pelanggan MMM sebelum bantuan dihantar dalam masa segera.

    Mitsubishi Connect juga boleh digunakan untuk mendapatkan lokasi cawangan pengedar sah atau bilik pameran Mitsubishi yang terdekat bersekali dengan sokongan tunjuk arah untuk memudahkan lagi pergerakan pemilik. Fungsi lain aplikasi berkenaan termasuk kemaskini berita dan promosi berkaitan Mitsubishi, pencarian maklumat produk dan muat turut risalah elektronik.

    “Pandemik Covid-19 telah menyebabkan kita beralih lebih cepat kepada medium digital dan MMM juga tidak mahu ketinggalan. Untuk itu, kami berbesar hati memperkenalkan aplikasi Mitsubishi Connect kepada semua pemilik kenderaan Mitsubishi untuk memudahkan lagi urusan mereka,” ujar CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 Rally Edition mula dijual di Eropah

    Yamaha Tenere 700 Rally Edition mula dijual di Eropah

    Jika melihat kepada pasaran global, Yamaha sekarang mempunyai satu model dual purpose/adventure menarik, yang masih lagi tidak ditawarkan di negara kita iaitu Tenere 700. Ia mula dipasarkan pada tahun 2019 di Eropah dan pasaran Thailand juga sudah menerimanya.

    Kini selepas satu tahun ia berada di pasaran, Yamaha memperkenalkan pula versi istimewa dipanggil sebagai Tenere 700 Rally Edition, di mana penampilannya dijadikan seperti Tenere pertama tahun 1983 yang menyertai perlumbaan Dakar.

    Warna ini sememangnya sudah dikenali ramai sebagai tanda unik Yamaha, dan ia menggunakan kontras antara biru muda, kuning serta jalur hitam yang dipanggil sebagai ‘speed block‘. Rim serta fork model ini menggunakan warna emas manakala pemegang pula berwarna hitam.

    Selain daripada penampilan, beberapa kelengkapan model istimewa ini dipertingkat termasuklah tempat duduk khas jenis rali yang 20 mm lebih tinggi, ekzos Akrapovic, pelindung bawah enjin, pelindung radiator, pelindung rantai, lampu penunjuk arah LED, getah pada panel tepi untuk membantu kaki mengepit motosikal serta pemegang yang lebih fokus kepada tunggangan offroad.

    Bahagian teknikal masih tidak berubah, di mana model ini masih lagi dikuasakan oleh enjin dua silinder selari DOHC 689 cc CP2 dan kotak gear enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm.

     
     
  • Tekun Mobilepreneur 2.0 – bakal bantu penghantar makanan beli motosikal baharu, modal pusingan

    Tekun Mobilepreneur 2.0 – bakal bantu penghantar makanan beli motosikal baharu, modal pusingan

    Sebagai salah satu cara untuk merancakkan semula ekonomi negara dan membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tekun Nasional bakal melancarkan program pembiayaan Tekun Mobilepreneur 2.0 yang menyediakan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 kepada rider penghantaran, lapor Bernama.

    Menurut Menteri di kementerian berkenaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pembiayiaan yang diberikan untuk pembelian motosikal baharu dan modal pusingan tersebut akan diberikan kepada penghantar-penghantar makanan berdaftar dengan syarikat e-hailing dan melepasi syarat-syarat yang ditetapkan, serta memerlukan mereka untuk memohonnya terlebih dahulu.

    Program ini bakal dilancarkan pada 7 Julai nanti dan ia adalah antara usaha kerajaan dengan menggunakan dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

    “Peruntukan awal sebanyak RM1 juta telah disediakan kepada 100 pemohon awal dan tambahan RM4 juta peruntukan kepada 400 pemohon lagi akan dimaklumkan kemudian.

    “Program ini diharap membantu rider untuk meneruskan perkhidmatan mereka dan melonjakkan semula ekonomi negara ketika kita masih berdepan ancaman pandemik Covid-19,” kata Wan Junaidi.

    Program pembiayaan ini juga sebenarnya adalah lanjutan program Tekun Mobilepreneur 1.0 yang diperkenalkan pada April lalu, menawarkan pembiayaan khas sehingga RM2,000 untuk membantu penghantaran tempatan membaiki motosikal dan menyediakan modal pusingan. Skim itu yang diperuntukkan kepada 500 rider penghantaran telah berakhir 23 Jun lalu.

    Sepanjang ia dilaksanakan, lebih 211 permohonan Tekun Mobilepreneur 1.0 tersebut telah diluluskan bernilai RM394,000. Tawaran itu terbuka kepada semua rider berdaftar melalui syarikat e-hailing seperti Grab, Foodpanda, Bungkusit, Lalamove, MyMakan, Zeptoekpress dan Mrspeedy.

     
     
  • Maserati bakal guna enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 untuk jentera sport MC20 – 542 hp

    Maserati bakal guna enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 untuk jentera sport MC20 – 542 hp

    Biar pun belum mendedahkan perincian penuh mengenai jentera sport yang sedang dipersiapkan, MC20, namun dengar cerita, pengeluar kereta berprestasi tinggi ini telah memutuskan untuk memilih penjana kuasa baharu.

    Menurut laporan penerbitan Automotive News Europe, MC20 akan menggunakan enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang turut menampilkan ciri “turbulent jet ignition” bagi mempertingkatkan lagi penjimatan dan menggurangkan emisi. Ia juga akan merangkumi elektrifikasi walau pun ada kekurangan daripada sudut spesifikasi.

    Enjin baharu ini dilaporkan mampu menghasilkan sehingga 542 hp (550 PS) dan bukan setakat MC20 sahaja yang bakal menggunakannya, bahkan Maserati turut memutuskan untuk memadankannya dengan model akan datang bagi GranTurismo dan GranCabrio.

    Malahan syarikat penerbitan itu turut mendakwa enjin baharu ini juga akan menjana model crossover saiz sederhana baharu yang bakal dibina bersama Alfa Romeo Stelvio pada tahun hadapan. Walau bagaimana pun, dikhabarkan pengeluaran kuasanya akan dihadkan sehingga 523 hp (530 PS).

    Memandangkan enjin baharu ini adalah bagi menggantikan penjana kuasa sedia ada V8 yang dihasilkan oleh Ferrari, ia juga dikhabarkan bakal digunakan untuk model Levante dan Quattroporte dengan masing-masing bersama hamburan kuasa 523 hp (530 PS) dan 572 hp (580 PS).

    Selain enjin baharu 3.0 liter turbo-berkembar V6 ini, laporan terbabit turut berkata Maserati turut menawarkan bentangan empat-silinder untuk model facelift Ghibli yang bakal didedahkan pada 15 Julai ini. Tidak menghairankanlah kerana enjin ini juga adalah versi yang sama bagi penjana kuasa 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang digunakan pada Alfa Romeo Giulia dan Stelvio serta Jeep Cherokee dan Wrangler. Ia juga akan dilengkapi dengan sistem hibrid sederhana 48 voltan dan digunakan untuk model Ghibli Hybrid.

    Walau bagaimana pun, tiada perincian mengenai hamburan kuasa yang untuk model hibrid ini, namun sebelum ini Maserati pernah berkata, ia akan memacu jentera tersebut “dengan lebih berani ke masa hadapan yang lebih mampan.”

     
     
  • Bride BR3D HSMSH1 – topeng muka JDM berharga RM132, habis dijual dalam masa tak sampai satu hari!

    Bride BR3D HSMSH1 – topeng muka JDM berharga RM132, habis dijual dalam masa tak sampai satu hari!

    Disebabkan amalan pemakaian topeng pelindung hidung dan mulut kini sudah menjadi sebahagian norma baharu di seluruh dunia selepas serangan pandemik Covid-19, pembuat tempat duduk perlumbaan dari Jepun, Bride hadir dengan produk tersebut di beri nama Bride BR3D HSMSH1.

    Menurut Bride, topeng ini dihasilkan dari fabrik yang sama untuk membaluti tempat duduk mereka, dan ia sebenarnya diambil dari lebihan fabrik-fabrik dalam proses produksi, secara tidak langsung turut menyokong aktiviti-eko mereka bagi mengurangkan sisa buangan di kilang.

    Bagi membentuk sebuah topeng, fabrik berkenaan turut dijahit bersama span urethane dan juga jalur “TM ICE” bagi memberikan sentuhan yang sejuk pada permukaan kulit pemakai. Manakala logo “Bride” pada topeng tersebut adalah tidak konsisten pada setiap unit kerana ia juga diambil dari bahan-bahan terbuang.

    Bride BR3D HSMSH1 – topeng muka JDM berharga RM132, habis dijual dalam masa tak sampai satu hari!

    Bride mendakwa fabrik yang digunakan tersebut turut boleh mengurangkan pancaran UV dan selesa digunakan walaupun ketika musim panas, serta boleh dicuci dan digunakan semula berulang kali. Topeng berkenaan disertakan dengan tali satin yang lembut dan juga pelaras bagi mengelakkan pemakainya terasa sakit pada bahagian telinga.

    Bride baru sahaja mengumumkan produk baharu ini pada laman facebook mereka semalam, dijual pada harga 3,300 yen atau sekitar RM132, dihasilkan dalam jumlah yang terhad. Namun setelah kami periksa sendiri di laman jualan atas talian Bride hari ini, ia sudah pun habis dijual.

     
     
  • UMW Toyota buka pusat 4S baharu di Muar, Johor

    UMW Toyota buka pusat 4S baharu di Muar, Johor

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan pembukaan pusat 4S terbaharunya yang telah pun beroperasi di daerah Muar, Johor. Dikendalikan oleh E.S. Yang Motor Sdn Bhd, pada awalnya ia merupakan tiga premis yang berasingan walau pun terletak dalam satu daerah yang sama. Oleh itu, E.S Yang Motor mengambil inisiatif untuk menggabungkan ketiga-tiga premis berkenaan iaitu pusat jualan, pusat selepas jualan serta pusat Body & Paint, dan diletakkan di bawah satu bumbung.

    Pusat 4S baharu ini menyediakan 12 petak penyelenggaraan dan mampu menyelenggara sehingga 33 unit kenderaan sehari. Selain itu, ia turut menyediakan ruang menunggu yang selesa untuk para pelanggan termasuk kemudahan WiFi, TV dan juga snek makanan ringan.

    “Kami sentiasa berbangga apabila para pengedar kami menyedari betapa pentingnya meningkatkan standard perkhidmatan demi kemudahan para pelanggan. Sebagai pengedar Toyota yang telah lama beroperasi di Muar, E.S Yang Motor telah memberikan sumbangan dalam meningkatkan jenama ini dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan demi kemudahan para pelanggannya dalam satu lokasi,” kata Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd Ravindran K.

    Terletak di 333, Jalan Dato Haji Kosai, Muar, pusat 4S ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Ia boleh dihubungi menerusi talian 06-952 833 untuk bahagian jualan dan 06-955 6333 bagi mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan.

    Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), UMW Toyota memastikan semua pusat jualan dan servis bertauliah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh MITI. Ini termasuklah mengamalkan penjarakan sosial, memakai hand sanitizer dan juga membuat pembayaran tanpa sentuhan di premis masing-masing.

     
     
  • Volkswagen Arteon facelift 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Volkswagen Arteon facelift 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Akhirnya, Volkswagen telah mendedahkan Arteon versi facelift terbaru. Banyak pembaharuan yang dilakukan, dari penggayaan hingga kepada pengenalan bentuk badan yang baru termasuk versi R dengan prestasi yang memukau.

    Arteon terbaru ini akan ditawarkan dalam bentuk Shooting Brake – sebuah rekaan cenderung ke arah wagon yang kini menyertai rekaan fastback sedia ada bagi model sama. Dengan bahagian bumbung yang lebih panjang, versi wagon ini menawarkan lebih praktikaliti dan kapasiti ruang kargo berbanding versi fastback.

    Menurut Volkswagen, dengan kedudukan kerusi seperti sedia ada, versi Shooting Brake menawarkan keluasan kargo 565 liter (563 liter bagi fastback) dan maksimum sehingga 1,632 liter jika kerusi belakang dilipat (1,557 liter). Panjang maksimum ruang barangan berkenaan ialah 2,090 mm.

    Volkswagen Arteon facelift 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Dari segi reka bentuk, versi Shooting Brake ini tidak berbeza terlalu ketara daripada rekaan fastback biasa sebelum ini, melainkan rekaan bumbungnya. Kemaskini wajah depan bagi model facelift ini ialah jalur lampu yang bersambung pada lampu utama (pilihan termasuk IQ.Light LED matriks) serta rekaan lampu belakang yang diperbaharui.

    Bagi tingkat kemasan Elegance, apron dengan kini datang dengan inlet bersegi pada sudutnya. Sementara bagi R-Line, elemen bilah menggantikan rekaan berkenaan bagi menyuntik imej yang lebih agresif. Di belakang, kedua-dua tingkat kemasan ini dilengkapi bukaan muncung ekzos berbentuk trapezoid, dengan kelainan pada R-Line ialah pembahagian rekaan itu kepada empat seksyen.

    Di dalam, tata letak papan pemuka Arteon diberi kemaskini yang agak banyak, misalnya pada rekaan dan kedudukan corong udara yang tidak lagi bersekali dengan kemasan tiga “bilah” yang dipanjangkan hingga ke hujung. Selain itu tiada lagi jam analog. Kini turut hadir ialah kawalan sentuhan HVAC di bawah skrin infotainmen lapan-inci yang lebih moden, serta stereng baru juga dengan kawalan sentuhan.

    Volkswagen Arteon facelift 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Sistem infotainmen MIB3 yang digunakan juga lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta sistem pencahayaan suasana kabin 30-warna, pengecas telefon tanpa wayar dan sistem audio premium Harman Kardon 700-watt.

    Penambahbaikan teknologi termasuk Travel Assist yang membolehkan sebahagian pemanduan automatik dalam julat kelajuan 0 ke 210 km/j. Cermin pandang belakangnya juga datang dengan fungsi bucu yang baru yang boleh memperluas imej dari kamera pada paparan infotainmen, dari 90-darjah hingga 170-darjah.

    Untuk enjin, varian R ditawarkan bagi kedua-dua bentuk badan fastback dan Shooting Brake sebagai varian tertinggi. Ia dilengkapi enjin EA288 2.0 liter tubocaj empat-silinder yang menjana 320 PS (316 hp) dan 420 Nm tork. Saluran kuasa ialah melalui kotak gear DSG tujuh-kelajuan klac berkembar dan sistem pacuan semua roda – yang menampilkan teknologi R-Perfaormance Torque Vectoring yang membahagi penyampaian tork antara gandar depan dan belakang serta antara kedua-dua roda belakang.

    Arteon R juga hadir dengan penyerap hentak adaptif yang 20 mm lebih rendah berbanding yang standard, dengan brek yang lebih berkuasa. Penampilannya juga sedikit berbeza berbanding varian lain, dengan bahagian inlet yang lebih besar di depan serta diffuser belakang yang lebih ringkas untuk semua empat hujung ekzos yang ada.

    Selain itu, varian eHybrid plug-in hybrid turut ditawarkan, dengan sistem janaan dipinjam dari Passat GTE. Ini termasuk unit enjin 1.4 liter empat-silinder TSI (156 PS atau 154 hp) dan motor elektrik (115 PS atau 113 hp), dengan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik klac berkembar DQ400 enam-kelajuan.

    Digabungkan, output keseluruhannya ialah 218 PS dan ia menawarkan jarak 53 km untuk janaan elektrik sepenuhnya dari bateri 13 kWh, dengan had laju 140 km/j dalam keadaan tersebut. Bergantung kepada pasaran, Arteon ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter empat-silinder petrol dan juga 2.0 liter turbodiesel, yang boleh digandingkan dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Volkswagen Arteon R 2020

    Volkswagen Arteon R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Shooting Brake eHybrid R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Elegance 2020

     
     
  • Volkswagen kini di Shopee – ganjaran lebih RM14k

    Volkswagen kini di Shopee – ganjaran lebih RM14k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan kedai rasmi mereka di dalam Shopee, dan bersempena jualan 7.7 Mid-Year Sale akan datang, pelbagai tawaran eksklusif disediakan bagi sesiapa yang menempah kenderaan melalui Shopee dari 23 Jun hingga 7 Julai 2020.

    Pelanggan cuma perlu membayar RM199 untuk melayakkan mereka memenangi ganjaran bernilai antara RM4,279 hingga RM14,819 (bergantung kepada model), di mana ia termasuk nilai penjimatan, penghantaran ke rumah (sekiranya tinggal dalam radius 20 km daripada pusat pengedar), pakej pembersihan bernilai RM150 serta Lego VW Camper bernilai RM499. Selain itu, tujuh pelanggan istimewa juga akan dipilih untuk mendapat baucar Shopee bernilai RM700.

    Pengarah urusan VPCM, Erik Winter memberitahu bahawa langkah ke Shopee adalah satu cara bagi jenama itu untuk mengoptimakan servis mereka dalam aplikasi digital, dan pada masa sama memberikan tawaran terbaik dan memudahkan apabila membeli kenderaan Volkswagen baru.

    Volkswagen kini di Shopee – ganjaran lebih RM14k

    “Kami telah mendapat kejayaan melalui inisiatif digital dan e-commerce, dan kehadiran dalam Shopee adalah satu langkah biasa yang seterusnya. Kerjasama dengan Shopee ini memanfaatkan kecekapan mereka dalam dunia digital dan platform untuk berhubung dengan pelanggan sambil memberikan mereka tawaran yang hebat,” kata Winter.

    Pengarah urusan serantau Shopee, Ian Ho pula menambah, “Kami senang hati menjadi sebahagian daripada kerjasama dengan jenama automatif yang terbesar di dunia ini. Ia datang dalam masa yang betul, berikutan pengumuman kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan.”

     
     
  • Riwayat Honda Civic sedan sekali lagi tamat di Jepun

    Riwayat Honda Civic  sedan sekali lagi tamat di Jepun

    Tahukah anda pada tahun 2010 dahulu Honda pernah menghentikan jualan sedan Civic di Jepun kerana permintaannya semakin menurun? Setelah hilang satu generasi (generasi kesembilan/FB) Civic kemudiannya kembali ke pasaran negara asalnya itu pada generasi ke-10 (FC) pada tahun 2017.

    Namun atas sebab yang sama, tahun ini sekali lagi Honda menghentikan jualan Honda Civic sedan pada pasaran negara matahari terbit berkenaan, lapor Automotive News. Tahun lalu, Civic sedan hanya mencatatkan jualan sebanyak 1,619 unit di Jepun, berbanding model Kei-Car Honda N-Box yang berjaya dijual sekitar suku juta unit.

    Dengan penghentian jualan Civic sedan tersebut, ini bermaksud Honda turut akan menghentikan produksi domestiknya menerusi kilang Yorii yang terletak di Saitama.

    Riwayat Honda Civic  sedan sekali lagi tamat di Jepun

    Walau bagaimanapun, Civic hatchback dalam versi berprestasi tinggi Type R (FK8) akan terus dijual di Jepun sekurang-kurangnya sehingga tamat usia produksi generasi sedia ada. Juga bagi yang belum tahu, Honda turut akan menutup kilangnya yang menghasilkan hot-hatch berkenaan yang terletak Swindon, UK tahun hadapan.

    Honda akan terus menghasilkan Civic generasi seterusnya selepas ini untuk pasaran global kerana permintaannya masih tinggi pada sebahgian pasaran seperti di Amerika Syarikat, namun pusat produksi utamanya masih belum diumumkan.

     
     
  • MB Perak pilih Lexus ES sebagai kereta rasmi bagi menggantikan Toyota Camry – dapat diskaun 50%

    MB Perak pilih Lexus ES sebagai kereta rasmi bagi menggantikan Toyota Camry – dapat diskaun 50%

    Mac tahun lalu, kerajaan Perak mencetuskan sedikit kontroversi apabila membuat keputusan untuk membeli 16 buah Toyota Camry bagi kegunaan rasmi. Baru-baru ini pula, difahamkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengaku telah membeli Lexus ES juga untuk kenderaan rasminya, bagi menggantikan Camry sedia ada.

    Menurut laporan The Star, Faizal berkata, kereta yang dibeli adalah model buatan 2019 dan pihaknya telah mendapat diskaun antara 40% hingga 50% untuk pembelian tersebut.

    “Kalau ikutkan harga asal adalah sekitar RM300,000, dan kami dapat diskaun antara 40-50% dengan harga lebih kurang RM200,000. Kereta berkenaan adalah milik kerajaan negeri, kami masih mampu untuk membelinya,” katanya.

    Faizal turut memaklumkan, pihak kerajaan negeri juga bercadang untuk menjual beberapa kenderaan rasmi sedia ada yang tidak lagi digunakan.

    “Kami akan melakukan bidaan terbuka untuk menjual beberapa kenderaan sedia ada, termasuklah Mercedes-Benz S Class,” tambahnya lagi.

     
     
  • Lotus Exige Sport 410 20th Anniversary 2020 didedah

    Lotus Exige Sport 410 20th Anniversary 2020 didedah

    Sempena menyambut kelahiran model pertama Exige Series 1, Lotus telah memperkenalkan sebuah model istimewa Exige Sport 410 20th Anniversary. Beberapa bahagian kereta sports ini dipertingkat dan dijual pada harga £79,900 (RM428k) – £5,412 (RM29k) lebih mahal berbanding Exige Sport 410 biasa.

    Pertama sekali, bahagian luarnya datang dengan bumbung, corong udara tepi serta sayap belakang yang sama warna dengan badan manakala di hadapan sedikit daripada roda belakang terdapat sirip berwarna hitam untuk melindungi daripada batu-batu kecil. Logo 20th Anniversary diletakkan pada fender hadapan dan bampar belakang.

    Seperti yang anda boleh lihat, pilihan warnanya adalah sama seperti Series 1, iaitu Chrome Orange, Laser Blue dan Calypso Red. Terdapat juga pilihan warna Saffron Yellow, Motorsport Black dan Arctic Silver.

    Pada bahagian dalam, beberapa bahagian dibalut dengan Alcantara berwarna hitam dan sama seperti warna luar, serta sulaman khas untuknya. Barangan yang sebelum ini disediakan sebagai pilihan tambahan diberikan terus secara standard termasuk radio digital dengan Bluetooth, cruise control, rim aloi ultra-lightweight serta stereng yang dibalut Alcantara.

    Turut diberi adalah penyerap boleh laras Nitron, serta splitter depan, panel akses hadapan dan tailgate gentian karbon. Jika itu masih tidak mencukupi, pelanggan boleh menambah lagi kemasan gentian karbon, bateri lithium ion serba ringan serta ekzos titanium.

    Bahagian enjin masih lagi menggunakan unit V6 3.5 liter yang mampu menghasilkan 410 hp pada 7,000 rpm dan 420 Nm tork pada 3,000 hingga 7,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.4 saat manakala laju maksimum pula adalah 290 km/j.